Mawar Safei's Blog, page 111

January 7, 2017

Sahabat baruAntara keindahan hujung minggu adalah dapat b...

Sahabat baru
Antara keindahan hujung minggu adalah dapat bersama-sama mahaguru di taman miliknya. Dia akan memperkenalkan tiap nama pohon, kembang, daun atau unggas yang hinggap tiba-tiba di ranting yang mempunyai tamsilan yang erat dengan cabang takdir yang sedang tumbuh. Semenjak menjadi tua, saya sudah jarang mahu memandu sendiri di hujung minggu apatah lagi masuk ke taman atau kebun. Namun menziarahi mahaguru dengan kuliah alami di anjung rumahnya yang permai menghadap tasik kecil dengan angin petang yang membawa banyak kenangan genap dua puluh lima tahun lalu, manis sekali untuk disimpan. Si Cantik Merah ini dibekal pulang untuk saya gandingkan dengan Si Kemboja Jepun seludupan Bali. Mudah mudahan nanti kedua-duanya bersahabat seperti dalam pantun mahaguru yang selalu dikenang akan budinya,
Buah markisa buah nangka, Buah berangan  dalam pinggan;Hari ini kita ketawa,Besok semua bayang kenangan.
Pura ini pura gunung,Angin bertiup udaranya getir;Kepala tunduk hati merenung,Tak sepatah tersebut di bibir.
Pantun dari Tujuh GunungMuhammad Haji Salleh, 2016
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 07, 2017 14:44

January 5, 2017

Kemuning dari taman kecilkuBersahabat dengan si penjual h...

Kemuning dari taman kecilku

Bersahabat dengan si penjual haruman, sama seperti bersahabat dengan si Cantik dalam foto ini. Si Cantik  ini apabila datang musimnya akan menyelinap masuk ke setiap penjuru rumah kecil kami. Angin tipis wangi dari taman di hadapan rumah akan singgah di mana-mana termasuk nurani saya. Ternyata senang sekali menjadi sahabatnya. Ya, memiliki sahabat atau saudara yang harum hatinya sama seperti si Cantik ini, turut membawa keindahan dirinya untuk hinggap di tubuh dan jiwa kemanusiaan saya. Pernah saya berdiri dan berbisik di bahunya, wahai Cantik, terima kasih mengiringi rutinitas dan monotonous saya yang sekian lama kering. Terima kasih sedalamnya atas ketulusan ini.  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 05, 2017 13:02

January 4, 2017

Semakin kuat saya cuba menjauhi pelanggaran, kian banyak ...



Semakin kuat saya cuba menjauhi pelanggaran, kian banyak kali saya ditewaskan. Dan dengannya mengheret saya ke jalan penyembuhan setelah melihat luka dan pedih. Allah ya Allah. Aneh sekali pelanggaran kali ini. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2017 13:03

January 2, 2017

Titipan buat SahabatMudah-mudahan Allah ampuni saya dan k...

Titipan buat Sahabat
Mudah-mudahan Allah ampuni saya dan kekalkan saya dengan rasa cinta ini. Saya sangat percaya ia adalah kerana cahaya mukjizatnya. Ia juga kerana saya sangat didorong rasa malu setiap kali Zahar mencapai al-Qur'an lamanya, duduk di sofa merah dan mula asyik membaca. Saya mula merapikan al-Qur'an yang saya ada. Di atas meja kerja di rumah. Di atas meja kerja di pejabat. Di dalam kereta. Sebuah lagi versi digital dalam telefon tangan. Saya membacanya secara bersambungan dan mencatat setiap 'ain dalam kotak takwim telefon tangan. Ia membolehkan saya menyambung bacaan di mana-mana walau dalam kembara panjang. Saya sering bertanya sahabat yang rapat akan jadual bacaan mereka. Surah apa yang sedang ditekuni. Saya mahukan rasa terus mencintai al-Qur'an dengan berbuat demikian. Sekali lagi ya Allah, ampuni saya. Segala ini saya catatkan untuk saya berbahagi sama rasa mencintai al-Qur'an dengan tulus. Saya sangat memerlukan al-Qur'an kerana saya sering sakit. Saya perlukan penyembuhan. Serentak, saya mahu selalu dituntun arah dan rahmah dalam banyak perihal pelanggaran. Allah ya Allah. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 02, 2017 13:10

December 31, 2016

Foto yang berulangTahun baru lagi. Sekian lama saya tidak...

Foto yang berulang
Tahun baru lagi. Sekian lama saya tidak meraikan tahun baru. Namun semuanya mengharap tahun baru ini lebih baik daripada sebelumnya. Ya, ikrar saban tahun dipasang, mungkin juga saban bulan atau minggu atau setiap hari kita perbaharui ikrar untuk jadi lebih baik. Sedang kenyataannya, banyak yang dilanggar. Apa agaknya pesanan al-Qur'an untuk istiqomah dalam perjalanan menjadi lebih baik sedang kita selalu mungkir. Saya menemukan Fushilat: 6: Aku ini hanyalah seorang  manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu beribadah kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Subhanallah. Sedang orang lain membuka kertas takwim baru, saya masih menyelak helaian Disember, apa yang saya pernah abaikan. Dengan usia lelah, menuju hari baru ini saya dengan tekad mahu tetap dalam ibadah dan pengampunan. Sedang saya ini tidak lebih daripada hanya debu yang berterbangan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2016 12:40

December 30, 2016

Dari penjuru kembaraSaat saya mahu sekali diasuh agar men...

Dari penjuru kembara
Saat saya mahu sekali diasuh agar menghormati sesama, saya diperlihat akan banyak pelanggaran. Saat saya belajar dengan tekun erti kerendahan hati, saya diperaga akan segala perihal keangkuhan. Saat saya mena'akul makna setia, saya turut membaca ayat mungkir. Allah ya Allah. Betapa Engkau Maha Mengetahui apa yang berjalan dalam lorong darah dan akal fikir kami; apa yang tersembunyi dan apa yang terlihat. Engkau juga yang kami mohon agar selalu menyuluh jalan terhadap banyaknya soal dan jawab yang bertelingkah. Antaranya melalui rutinitas al-Qur'an, ketika ini saya bersama-sama Surah Ibrahim: 24. Ia sesungguhnya mukjizat yang menunjuk arah dan ajaib dalam urusan penyembuhan jiwa. Saya membaca tentang kalimah thoyyibah itu seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Subhanallah. Allah ya Allah, bagaimana kata-kata yang baik, dapat mengubah jiwa, mengganti keliru dan segala sangka.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2016 12:54

December 28, 2016

Sejauhmana Sdr  bersahabat kerana cinta? Membaca riw...


Sejauhmana Sdr  bersahabat kerana cinta? Membaca riwayat hidupnya yang mahu menebar risalah insani, menumbuhkan dalam hati Sdr hasrat yang sama. Memahami dirinya yang mencintai para murba, membawa Sdr untuk ikut serta. Sepertinya Sdr mahu sekali bersahabat kerana atas hubungan itu Sdr tidak diabaikan dalam setiap doanya. Dia akan bermohon agar Allah memperlihatkan Sdr yang benar dan diberikan jalan mudah mengikutinya atau sebaliknya melepaskan tiap yang salah untuk Sdr menjauhi. Bukankah janji Allah kepada dua sahabat yang saling mencintai kerana-Nya. Persahabatan itu pula tidak dituntut untuk harus dekat, sebaliknya dalam kadar berjarak juga yang dapat memperkenalkan jiwa. Subhanallah, luar biasanya persahabatan itu, ta'ajubnya persaudaraan sedemikian. Saya membaca pengakuan Imam al-Ghazali itu ketika mahu bersahabat dengan Syeikh az Zahid dalam halaman Bidayatul Hidayah. Subhanallah. Alangkah jika saya menemukan ketulusan itu. Bersahabat tanpa syarat. Bersaudara untuk sama-sama ke syurga.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 28, 2016 01:33

December 27, 2016

Lukisan jalan ke Canselori oleh Azman NorSaya temukan di ...


Lukisan jalan ke Canselori oleh Azman Nor
Saya temukan di tangga dewan utama universiti
Kampus sudah mula sunyi. Meletusnya masa. Begitulah satu semester sudah menuju penghujungnya, sementara anak-anak mahasiswa mendepani ujian akhir. Hari ini saya mengurus dua kertas ujian mereka di dewan utama universiti. Mudah-mudahan bukan hanya mahukan gred yang baik tetapi seperti selalu yang saya ujarkan saat menutup kuliah, ingatan agar berikhlas hati dalam perihal ilmu. Melaksanakan tugasan bukan dengan hati yang terdera sebaliknya ia adalah latihan dan persiapan mendepani tikungan dan jalan yang tidak lurus nanti. Ya, kampus kian sunyi sedang saya sudah mulai rindukan rutinitas kami. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2016 13:18

December 25, 2016

Ya, keluarga saya sangat kecil khasnya yang di pihak Tema...


Ya, keluarga saya sangat kecil khasnya yang di pihak Temasek; berbanding wilayah persanakan Zahar. Maka saya sangat menghargai persaudaraan; walau pernah awalnya oleh kerana terlazim dengan bilangan yang kecil, saya rimas dengan ramai dan riuh. Menuju negeri tua dan sendiri, saya kian menyanjungi saudara yang mengasihi dan melindungi. Saudara yang saling memberi perhatian dan mendukung. Hingga mungkin kedunguan saya masih dibelah keliru. Kadangkala sukar  untuk saya mengenal ketulusan. Akhirnya mungkin sahaja membawa saya ke sebuah penjuru, berdiam lagi, cuba merapikan apa sebenarnya yang sedang saya jalani. Adakah ini perhatian terhadap kewujudan saya. Atau ia sebenarnya hanya  angin (sebuah cerpen lama saya, "Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan") yang sekadar singgah. Ya, terkadang saya sangsi akan tulusnya nurani.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 25, 2016 07:22

December 22, 2016

Naluri juga bersahabat. Percayakah sdr? Pada detik yang s...




Naluri juga bersahabat. Percayakah sdr? Pada detik yang sama antara kita punya ingatan yang sangat berhubungan. Ia sangat misteri. Ia sangat rahsia sehingga membuat kita saling terpinga-pinga dan akhirnya mahu sujud atas kebesaran kuasa Allah yang mencipta. Dan bagaimana naluri dan nurani itu tertambat apabila salah seorangnya sudah pulang ke jalan datang. Kelmarin saya menerima khabar seorang yang budiman membangunkan rumah anak-anak tahfiz kembali ke Rahmatullah sedang beberapa masa ini saya sangat dipanggil-panggil untuk menghubunginya. Subhanallah. Rupanya kami bersahabat antara dunia yang berjarak. Subhanallah. Rupanya dia menyapa saya dari negeri yang sangat jauh. 


Saya juga mempunyai grup wassap yang sangat bermakna terkait dengan naluri rahsia ini. Kami, hanya bertiga,  kami bersaudara dengan diikat  sahabat yang kini berada di negeri jauh. Setiap kali kami bertemu adalah untuk mengenang sahabat kami yang baik itu. Kami mengulang kata-kata dan pekerti mulianya. Sedangkan sebelumnya kami sama sekali saling tidak mengenali. Subhanallah. Betapa berkuasanya naluri dari Dia. Betapa magisnya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 22, 2016 13:00

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.