Mawar Safei's Blog, page 107

March 9, 2017

Si CantikSaya ditemani banyak wanita berani, tegas namun ...

Si Cantik
Saya ditemani banyak wanita berani, tegas namun menuntun saya dengan segenap kelunakan kasih sayang yang mereka miliki. Dari setiap penjuru peribadi, akademia dan penulisan, mereka mendatangi tangan kecil saya lalu memimpin terus. Alhamdulillah. Allah itu Maha Mengetahui betapa saya ini rapuh, cengeng, gembeng, maka didatangkan sosok yang ampuh sebegitu. Nenek Ona @ Nenek Merah, antara yang sangat mujarab akan setiap azimatnya. Bonda Siti (Hawa Hj Salleh) yang selalu menjegil mata apabila saya cengeng tiba-tiba. Walau mereka sudah berpulang, saya meyakini mereka masih berdiri rapat di tepi saya. Begitu juga Bonda Zaharah yang mengilhamkan, baru saya temui beberapa hari lalu. Maka saya kurang mempercayai skrip ucapan hari wanita sedunia yang menyelinap masuk lalu lintas telefon kelmarin. Saya meyakini mereka selalu ada pada tiap detik yang persis. Merekalah tempat saya meminta tanpa ragu. Banyak kali saya terlanjur dan tersilap meminta pada yang tidak sepatutnya, dan begitu saya kesali. Memang saya ini dungu dan tidak tahu malu. Akan tetapi tidak pula dengan tiga nama ini. Terima kasih buat adinda yang mengirim foto si cantik dari jauh. Saya menghirup malai wanginya dalam mengenang mereka yang masyhur di mata kalbu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2017 12:52

March 8, 2017

Masih lagi dengan perihal memberi. Ada mahasiswa yan...



Masih lagi dengan perihal memberi. Ada mahasiswa yang mencelah, memberi hari ini dengan ingatan akan tiba suatu ketika nanti kita pula yang akan menerima. Semakin menjadi tua, saya kian meraguinya. Saya semakin sudah tidak peduli dalam soal memberi, asal sahaja saya benar-benar jelas mengapa ia harus saya perbuat. Sering juga saya mahu melepaskan apa yang ada tanpa menyedari perginya sama sekali. Itu ternyata jauh lebih baik. Biar ia jadi alami seperti takdir yang didepani pohon sukma. Musim luruhnya kelihatan menuju akhir, dan ia merupakan kesedihan buat saya. Aneh memang. Kelak akan saya rindukan ranting dan daun kosongnya. Sebentar saya akan mencari-cari dahan yang seperti mahu menggamit setiap kali giliran saya menghampirinya. Alangkah tidak gemarnya saya pada ucapan selamat tinggal. Alangkah ada jalan lain yang boleh saya pilih. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2017 08:06

March 7, 2017

Letakkan tangan Sdr di atas meja. Semua mahasiswa akur. S...


Letakkan tangan Sdr di atas meja. Semua mahasiswa akur. Saya seperti guru disiplin yang memeriksa kuku dan tangan, memastikannya bersih. Semua para pelajar saya meneliti tangan masing-masing, seperti mereka telah meninggalkannya lama dahulu. Semalam kami bercakap tentang perkembangan kesusasteraan Melayu dekad 50-an. Pertentangan hidup antara proletar dengan borgeois. Perihal keangkuhan dengan derita yang melata. Bagaimana kemudian saya mengheret mereka masuk ke ruang kerendahan hati untuk mengadili bangsa proletar, marhaen, murba. Kasihani mereka dengan memberi. Lihatlah tangan Sdr sekarang. Sudahkah Sdr memberi hari ini. Jika ya, tanyakan tangan Sdr yang memberi itu tentang ihsan. Tentang menjadi ikhlas. Tentang hakikat bahawa keenakan memberi itu adalah Sdr mensyukuri seluruhnya apabila dihidupkan semula setelah kematian, dan saat itu yang mahu Sdr lakukan tidak ada apa selain mahu memberi dan memberi. Saya melihat mata anak-anak murid saya yang jernih. Mudah-mudahan mereka menyertai hati orang tua ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2017 13:02

March 6, 2017

Antara kesyukuran, lingkaran hidup saya yang kecil ini di...


Antara kesyukuran, lingkaran hidup saya yang kecil ini dipenuhi dengan ramainya mereka yang pemurah, yang punya hati yang selalu cinta akan memberi. Daripada ahli keluarga, arwah nenda dan datuk di Temasek kepada arwah bonda mertua yang masing-masing mempunyai seni dalam memberi. Di samping sanak saudara, saya juga didatangi teman dan sahabat yang sedemikian. Lengkap memberi dalam kalangan keluarga, mereka akan meneroka pelosok mana lagi untuk berinfaq. Ada seorang sahabat yang pantang menerima berita pihak yang memerlukan dia akan mula bertindak. Masya-Allah tabarakallah. Seorang sahabat jauh seberang benua, yang sanggup berlari mendapatkan yang meminta-minta untuk memberi. Ada teman yang menyua dalam diam ke dalam saku atau kantung akaun yang memerlukan. Ada pula zakatnya melimpah ruah. Seorang lagi sahabat yang mempunyai tabung sadaqah sendiri, memenuhinya setiap hari walau sepuluh sen lalu diserahkan kepada yang memerlukan pada hujung bulan. Berbahagilah dengan saya pengalaman memberi sdr. Ia adalah keindahan.  Ia adalah hanya buat-Nya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2017 06:12

March 3, 2017

Semalam saya ke sekolah lagi. Seperti sekolah AM, SMK Ser...




Semalam saya ke sekolah lagi. Seperti sekolah AM, SMK Seri Menanti, Muar ini juga meraikan saya dengan kenangan persekolahan dahulu. Ternyata saya sangat cergas di sekolah. Daripada menjadi Ketua Pengawas, saya terlibat dalam sukan bola jaring dan penyanyi koir sekolah. Berpindah ke sekolah menengah saya banyak terlibat dengan Persatuan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris malah pernah bercita-cita untuk menyertai aliran TESL di ITM. Sebagai pelajar aliran sains juga, saya lebih gemar mengepit novel, yang antara saya uliti adalah Hujan Pagi, Saga dan banyak dari genre remaja yang ditulis Khairuddin Ayip atau Mohd Ismail Sarbini (akhirnya menjadi guru penulisan saya secara pos). Subhanallah. Ramai yang terpinga, setiap kali saya menyatakan Hujan Pagi adalah novel serius yang saya baca secara sukarela semasa sahabat sekelas ketika itu menekuni buku tebal biologi, kimia, fizik dan matematik tambahan (subjek yang saya paling tidak faham). Hingga ke universiti, saat teman sekuliah di lapangan mengukur pencemaran bunyi untuk kuliah ekologi, saya masih menyelinap masuk ke dalam puisi Muhammad Hj Salleh dan A Latiff Mohidin. Sehingga kini saya gemar membaca sains dalam menanggapi kemanusiaan. Atau seperti pohon sukma, sahabat sepanjang musim, melalui ekosistem dan biodiversiti yang didepaninya, saya diajak untuk lebih mengerti penyaksiannya terhadap manusia yang melalui jalan takdir 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2017 14:51

March 1, 2017

Hari kelmarin akan selalu menjadi pelajaran. Ya, masih de...



Hari kelmarin akan selalu menjadi pelajaran. Ya, masih dengan peristiwa semalam, saya diajar Allah untuk merasai saat diusir. Ternyata ia perih, hiba, malu, hina, marah, sakit hati dan benar-benar jadi orang murba. Ternyata ia bukan sekadar soal diusir dari kotak parkir. Saya belajar menerima asuhan untuk kenal diri, mengukur baju (lagi), lebih rendah hati, jauh sekali berasa hebat dalam banyak perkara. Subhanallah. Ya, akhirnya saya tahu alasannya mengapa parkir banyak dihadang semalam. Saya sedar bagaimana apabila kuasa menjadi nyalaan yang menjulang di tangan yang menjadi ketua. Ya, rupanya semalam saya juga belajar untuk berdoa lebih tulus agar pemimpin harus turut saksama akan apa yang dilalui orang banyak. Atau sebenarnya agar saya yang harus lebih saksama. Dalam lelah perjalanan pulang, mendongak ke pohon sukma yang dikasihi, rasanya hanya dia sahabat yang tinggal dan mengerti, kerana kesan diusir menumbuhkan jarak dan ia kian menjauh.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 01, 2017 20:23

February 28, 2017

Jarang saya menulis dua entri pada satu hari yang sama. S...

Jarang saya menulis dua entri pada satu hari yang sama. Saya baru saja diusir pengawal keselamatan universiti yang bermisai lebat. Tolong alihkan kenderaan, untuk hari ini parkir ini tidak boleh digunakan. Saya boleh migraine! Baru mencecah jam 8.00 dan semua parkir yang tidak bertanda pentadbir sudah penuh. Parkir di bahu jalan semua dihadang tali dan kon. Allah ya Allah. Rabu memang hari mengada-ngada kampus kami apabila dinamakan sebagai hari tanpa kenderaan dengan objektif mengurangkan peratusan karbon. Saya tidak pasti akan matlamat itu. Apabila semua parkir menjadi rebutan, banyak pula ruang yang selalu boleh diletakkan kenderaan, menjadi tidak boleh. Aneh. Mencari parkir lain di ceruk mana yang boleh, membawa saya satu pusingan kampus. Maka saya melalui jalan yang selalu saya elakkan iaitu jalan kampung. Ya, jalan selepas bulatan kecil ini mengingatkan saya kepada jalan perkampungan Zahar yang jauh lebih rata dan aman. Subhanallah. Dosa saya penuh satu kereta dengan kutukan  kepada yang memimpin pagi ini. Pernahkah mereka melalui jalan berlubang dan tidak rata yang sekian lama begini rupanya; apa getaran hati mereka? Allah ya Allah. Saya malu sendiri menyeka airmata geram yang berjurai-jurai.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 28, 2017 17:12

Kasihan saya terhadap mahasiswa. Kuliah yang berterusan s...


Kasihan saya terhadap mahasiswa. Kuliah yang berterusan sehingga memasuki dua waktu solah. Kuliah saya jam 2.00 hingga 4.00. Sebelumnya mereka memulakan kuliah lain dari awal pagi merentas ke waktu Zuhur.  Sebaik keluar dari dewan kuliah kami, mereka akan memasuki bilik tutorial sehingga lewat senja. Jadi bilakah Zuhur dan Asar mereka. Subhanallah. Kasihannya. Semalam, saya membuat pengumuman, pastikan Sdr melunaskan solah Zuhur sebelum mengikuti kuliah saya.  Menjelang Asar pula, saya akan melepaskan mereka solah sebelum memulakan tutorial jam 5.00 dengan mengekalkan wudhu Zuhur. Saya sedar mata mahasiswa bukan Muslim memandang tepat kata-kata saya: lepaskan dunia daripada tangan Sdr untuk solah. Subhanallah. Saya hanya mahu menjauhkan mahasiswa saya daripada kemurkaan Allah, sedang ayat di penghujung surah al Anbiya' yang baru saya tamatkan bertanya, apakah kamu telah berserah diri?    
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 28, 2017 13:09

February 27, 2017

Daripada mahasiswaHari ini saya genap 46 tahun. Dirai ana...

Daripada mahasiswa
Hari ini saya genap 46 tahun. Dirai anak-anak mahasiswa dengan kejutan dan kek lewat petang di kamar kerja, membikin saya rasa mengada-ngada betul. Seperti orang lain, ucapan demi ucapan yang datang, saya aminkan sungguh-sungguh. Bukan mudah untuk orang mendoakan kita. Seperti selalu juga doa yang paling membuat airmata saya tak henti-henti mengalir adalah dari ibu yang melahirkan. Ia pasti dicemburui mereka yang sudah tidak lagi dapat menerima doa kudus dari dasar kalbu seseorang yang terlalu indah untuk dilukiskan. Satu ucapan indah yang juga saya terima adalah tamsilan mawar sebagai meraikan cinta Rasulullah. Ia sangat membahagiakan. Saya seperti dalam rangkulan cinta itu. Katanya, walau jauh tapi dekat. Benar, siapalah yang mengerti. Benar, siapalah saya yang selalu mahu berasa hati.

Daripada sahabat
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2017 05:10

February 26, 2017

Saya baru sedar WA sudah ada paparan status. Kalau tidak ...





Saya baru sedar WA sudah ada paparan status. Kalau tidak silap ini sudah seperti FB. Mengada-ngada betul. Kalau tidak kerana banyak urusan rasmi di WA, saya rasa macam mahu lari ke hutan meninggalkan WA dan yang lain-lain seumpamanya. Ya, bagus juga sekali-sekali melarikan diri.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 26, 2017 05:27

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.