Mawar Safei's Blog, page 108

February 23, 2017

Saya pernah menggelarnya sahabat Asar. Malah saya menyusu...


Saya pernah menggelarnya sahabat Asar. Malah saya menyusupnya masuk ke dalam Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu (BH, 22 Januari 2017). Saya menulis: Menunggu, menanti dan mengangankan dia datang walau sekejap, saya mengintai dia antara dahan, pelepah dan daun. Ternyata dia tidak terbit juga. Penat saya menggantung harap, antara menjengah masih dengan mahu melupakan. Kemudian saya seperti dikirim kawat pujukan lewat azan bahawa kami saling mengerti, walau dalam seribu sepi atau ketidakhadiran diri. Ya, kawat itu seperti jatuh melayah dari ranting dan dahan lalu hinggap di jendela kepercayaan saya. Beberapa hari lalu, dia muncul tiba-tiba dari arah yang sama. Subhanallah. Indahnya. Saya dalam ta'ajub melihat dia dan saat itu menjelang dhuha. Tangis saya seperti dalam rangkulan yang tersayang setelah menghilang tahun.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2017 22:40

TAHNIAH kepada ketujuh-tujuh pemenang dari...


TAHNIAH kepada ketujuh-tujuh pemenang dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Lima daripada mereka merupakan mahasiswa kami semester lepas dalam kursus Penulisan Kreatif: Ahmad Azwadie Azman, Siti Nurhajar Zukafly, Nurul Diyana Muhammad Ruzlan, Noratikah Syamimie Abdul Moin dan Noor Yazmin Azhar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Dua yang lain dari Fakulti Undang-undang Nor Afiqah Baharudin dan Fakulti Pendidikan Arif Hadri Japri. Saya tumpang bersyukur dan sangat bahagia untuk mengiringi mereka ke majlis ini. Sebagai guru, ia adalah hadiah istimewa. Syabas. Terus menulis buat semua. Saya terpaksa memadam entri  yang sama sebelum ini kerana ada masalah teknikal pada kotak komen. Saya sempat melihat satu komen, mungkin jika perlu boleh ditulis semula. Terima kasih.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2017 00:04

February 21, 2017

Selasa merupakan hari lumba lari untuk semester ini. Kuli...




Selasa merupakan hari lumba lari untuk semester ini. Kuliah saya dari pagi hingga ke petang. Letih? Tidak sama sekali. Semakin tua saya kian senang mendampingi anak-anak murid. Saya mahu berbahagi kisah muda saya. Apa yang tidak harus diulangi atau apa yang sudah saya perbuat mungkin daripada cuplikannya dapat diambil sebagai ibrah. Apa sebagai orang tua yang saya fikir terbaik untuk anak-anak. Menyudahkan slaid peraturan dan pantang larang dalam kuliah minggu ini, ia termasuk bersih. Pelajar paling hadapan cepat menyebut bersih hati. Ya itulah maksud sebenar. Bukan hanya tubuh badan yang tidak berbau, pakaian yang berbasuh atau catatan nota yang rapi, hati juga harus dipastikan tulus. Satu susuk wajah yang bersih membayangi sejak dalam dewan kuliah petang tadi. Pohon sukma yang redup.  Mata kalbu yang jernih. Sangat mengilhamkan untuk berbuat kebaikan sepertimana dia. Aneh, dalam mengenangnya, saya separuh iri separuh tergenang. Hampir air mukanya tidak beriak, berkocak dengan apa yang datang hatta puting beliung - saya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 21, 2017 06:52

February 19, 2017

Dalam keluarga kecil kami, saya mempunyai seorang se...



Dalam keluarga kecil kami, saya mempunyai seorang sepupu yang hampir merupakan sahabat baik. Emak saya merupakan kakak kepada Abahnya. Maka sejak kecil kami bersahabat baik sehingga kini. Apatah lagi namanya Melati. Kami seperti anak kembar walau saya setahun tua daripadanya. Kami pernah mempunyai latar dan pilihan jalan hidup dan takdir yang berbeza. Namun alhamdulillah, kami tetap dan terus bersahabat.
Pohon sukma musim luruh
Saya pernah menulis tentang Mel di sini sebelum ini. Malah Mel pernah menyusup masuk dalam cerita pendek saya. Mengapa saya bercerita lagi tentang Mel...  Dulu saya akan menunggu-nunggu setiap kali mahu ke rumahnya di Toa Payoh (kemudian Yishun). Saya akan menangis setiap kali mahu meninggalkannya untuk pulang. Dan apabila kami berjauhan, saya akan mudah menangis mengenangnya. Saya percaya kami mempunyai ikatan sukma yang berkuasa. Ya, benar begitulah apabila dia mula menjadi istimewa dalam kalbu. Ketiadaannya sangat dirasa walau sekejap dan ia sangat mengharukan. Ia menerbitkan rasa sangat sendiri walau dalam riuh. Malah dalam sekejap dia berpergian, ada rasa ditinggalkan. Juga pastinya, dalam sekejap perginya, rindu yang keras sehingga membikin segalanya  jadi luruh. Terima kasih kepada dia yang menitip foto pohon sukma dari sisi satu lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2017 15:58

February 18, 2017

Foto kecintaan saya yang berulang ulangSejak kecil Emak m...






Foto kecintaan saya yang berulang ulang

Sejak kecil Emak mengasuh saya, secara tidak langsung, mengukur baju di badan sendiri. Selalu tahu membawa diri. Dalam apa-apa juga suasana atau acara, tahulah di mana harus kita duduk atau berdiri atau memberi ruang tertentu kepada pihak berkenaan. Sehingga sekarang saya belajar untuk meneruskan amalan itu. Namun kadangkala saya jadi dungu atau lupa atau mungkin saya sering diberi muka. Istilah lainnya, saya mengada-ngada, lupa letak duduk diri dan saya lalai dengan asuhan Emak. Siapalah yang akan menyedarkan saya, si debu berterbangan ini. Sabda Rasulullah yang saya cinta, pernah mengingatkan anak kecil juga boleh mengirim kesedaran. Kelmarin, AM dengan tangan masih dalam anduh, sendiri turun daripada kereta membantu seorang tua di tepi parkir masjid. Sebaknya saya melihat barangannya yang bertaburan dari atas motor dan AM mendatanginya lantas mengutip dan meletakkan di tepi. Begitulah AM mengasuh kalbu tua saya. Atau saya sebenarnya bercakap kepada diri sendiri, bercermin dirilah mawar, dengan siapa engkau mahu mengada-ngada.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 18, 2017 13:47

Kami berjumpa Dr Azaiddin lagi. Sudah bersedia mendengar ...



Kami berjumpa Dr Azaiddin lagi. Sudah bersedia mendengar dialog sengit AM dengan Dr Azaiddin. Saya minta AM bertanya sendiri, mendapatkan jawapan yang saya berikan selama ini masih tidak memuaskan hatinya. Dr Azaiddin yang bijak  menjawab: ini bukan masa bertanya. Belum masanya lagi. Waktu ini tidak perlu bertanya. Tidak relevan. Semua pertanyaan dan jawapan akan AM dapat sendiri setelah balutan dirungkai dan anduh tidak perlu lagi bergantungan. Malah Dr minta AM berhenti bercakap dalam masa lima minit semasa prosedur memasang simen baru. Balutan baru AM hari ini akan mengambil masa tambahan dua minggu. Saya sedar doktor pakar tulang berpengalaman ini mahu AM jadi anak yang sabar, tidak buru-buru, sebaliknya belajar berhenti sebentar dan cuba berfikir sebelum bertindak. Saya tidak pasti AM boleh lulus ujian Dr Azaiddin. Satu lagi, Dr Azaiddin memberi amaran, berhenti mengutis balutan simen.  Saya suka perkataan "mengutis" Dr Azaiddin. Aduhai AM.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 18, 2017 04:12

February 16, 2017

Sahabat syurgaSdr sangat bertuah jika mempunyai sahabat y...

Sahabat syurga


Sdr sangat bertuah jika mempunyai sahabat yang sejak mengenali hingga akhirnya nanti merupakan sahabat yang terhubung justeru pertautan dengan Ilahi. Subhanallah. Ada sahabat yang pertama kali bertemunya adalah di penjuru atau di pintu masjid. Ada sahabat yang kita mula jatuh hati kerana asyik dengan gayanya dalam majlis ilmu. Lantas persahabatan yang bersemi dan tumbuh menjadi pohon sukma yang rendang rimbun malah. Sahabat yang akan kita kenang selalu. Sahabat yang kita akan rindu saat yang ada hanya sepi. Sahabat yang mengindahkan setiap inci penjuru apalagi perihal kalbu. Saya sendiri merasakan tidak memadai apa yang saya catatkan tentang sahabat di sini. Tidak pernah akan menjadi genap ta'arifannya. Sedang saya  cuba menjadikan al-Qur'an sebagai sahabat yang indah. Tidak pernah akan saya dapat tiba di titik yang melengkapi bulatan yang seluruh kerana pastinya si debu yang berterbangan ini tidak pantas sama sekali mengiringi sahabat semulianya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2017 07:03

February 15, 2017

Lagi foto berulangAntara keasyikan saya adalah terhadap p...

Lagi foto berulang
Antara keasyikan saya adalah terhadap puisi. Saya membaca puisi hampir setiap hari. Ia antara asuhan untuk saya menulis dengan lebih halus dalam cerpen. Ia antara asuhan untuk saya membaca bahasa sukma manusia. Foto yang memukau ini (terima kasih sedalamnya kepada yang menitip), membawa saya kepada puisi lama Chairil Anwar, Derai-derai Cemara (1949), ya puisi yang sangat purba,
cemara menderai sampai jauhterasa hari akan jadi malamada beberapa dahan di tingkap merapuhdipukul angin yang terpendam
Seperti puisi, pohon kosong yang semakin mengikat saya di ranting, dahan, tangkai malah kesepuhannya ini, menyimpan banyak ajaran. Ia menawarkan antara celah, rongga dan bacaan batin. Mungkin di banirnya nanti akan saya mahu bersimpuh, bertanya lanjut apa yang dia tahu tentang kalbu manusia yang setiap hari melewati jalannya.  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2017 01:12

February 13, 2017

Mihrab CintaKampus sudah  kembali ramai. Semester du...

Mihrab Cinta
Kampus sudah  kembali ramai. Semester dua kami. Seperti selalu 14 minggu akan berakhir dengan pantas. 14 minggu akan dirasakan sangat sekejap. Seperti selalu juga dalam ramai, ada yang berasa sendiri. Lebih lebih lagi semester ini saya akan bersama-sama mahasiswa tahun 1 yang sangat baru dengan renyah kampus. Biasanya kuliah pertama di samping memperkenalkan kursus, bahan rujukan dan tugasan, saya akan turut mengemukakan panduan dan pantang larang dalam kursus saya. Pertama-tama sekali saya akan selalu meminta mahasiswa untuk berdoa sungguh-sungguh (bukan membaca doa). Mohonlah Allah bantu permudahkan urusan pengajian dan perjalanan hidup. Doa sihat untuk lebih taat. Foto dikirim seorang sahabat. Ia mihrab Masjid Baiturrahman yang masyhur. Saya seperti mahu sekali  membawa hampir 70 mahasiswa saya, mengambil giliran berdoa di penjuru mulia ini. Saya teringat tiba tiba Dalam Mihrab Cinta karya Habib. Ya, mihrab yang menuntun cinta  menuju-Nya.  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2017 19:27

February 12, 2017

Foto ulangan Antara kemalangan dalam hidup apabila k...

Foto ulangan 
Antara kemalangan dalam hidup apabila kita ditinggalkan sahabat yang sekian masa menuntun kita ke jalan mengingati Allah. Kita akan rindukan panduan yang setiap hari dibawakannya. Kita rasa kehilangan. Dalam gundah itu Rumi memujuk, walau sahabat itu menjauh, akan selalu ada jendela yang membawa hati kita kepadanya. Dari bahu jendela itu seperti ada juga bulan yang menawarkan satu lorong rahsia, membawa khabar yang mahu kita kirim kepadanya. Saya tahu, lorong rahsia itu adalah doa. Saya bermohon agar dia dipayungi rahmat Ilahi. Aneh. Foto dan catatan lama ini (8 Mac 2015), saya ulang hari ini. Mungkin juga mengenang si bulan penuh. Hari ini 15 Jamadil awal 1438.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2017 06:14

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.