Mawar Safei's Blog, page 114
November 5, 2016
Dua karya saya ini mendapat tempat dalam senarai panjang ...


Dua karya saya ini mendapat tempat dalam senarai panjang Hadiah Sastera Darul Taazim @ Anugerah Sastera Johor ke X (2016). Hari besarnya pada 4 November di Johor Bahru. Alhamdulillah syukur. Malangnya saya berhalangan untuk hadir. Saya menyertai senarai HSDT sejak 1999. Ya, sangat lama. Dan sangat panjang juga saya diajar saban tahun untuk bersyukur. Belajar untuk terus menerima dengan kerendahan hati. Setiap kali saya memijak tangga pentas untuk menerima anugerah dan cek hadiah, saya kerap melakukan refleksi sebenarnya. Adakah ini yang saya mahu dalam kerja penulisan saya. Terbentang di hadapan adalah wajah para mahasiswa saya yang melihatnya sebagai perangsang untuk mereka turut berkarya. Lebih baik daripada saya. Dan ia menambah saya menadah tangan untuk melanjutkan syukur. Namun dalam pertelingkahan di beluk yang lain, saya merasakan, cukuplah. Saya menyimpulkan ini merupakan tahun terakhir saya menyertai senarai panjang HSDT @ ASJ. Saya berterima kasih kepada semua penilai yang menghormati kerja seni saya. Mudah-mudahan Allah redho atasnya. Insya-Allah.
Published on November 05, 2016 13:45
November 4, 2016
Hujung minggu ini menghala ke awal minggu depan, kami mer...

Hujung minggu ini menghala ke awal minggu depan, kami meraikan mahasiswa yang menerima ijazah. Tahniah. Tiba di puncak kejayaan, ia ditamsilkan, membentangkan banyaknya makna. Mengukur sebenar-benar kejayaan pula menuntut syarat yang lebih panjang. Bersama-sama dalil di atas kertas, adakah ia benar-benar sebuah puncak? Mercu itu adakah didaki dengan kerendahan hati yang seluruh? Titik tumpu itu mahu diraih dengan inci langkah untuk mengakui kepuncakan yang sebenar. Ah, sukarnya menterjemah makna. Sulitnya mnjelaskan hikmah.
Published on November 04, 2016 19:00
October 31, 2016
Beberapa hari ini menerima pelbagai warta tentang kepulan...

Beberapa hari ini menerima pelbagai warta tentang kepulangan. Atau berdepan dengan takdir kehilangan sahabat yang sekian masa menjadi tabib kegundahan. Semuanya memang melelahkan bertindan dengan rindu. Kaki terasa melekat dan tidak kuat untuk diangkat. Apalagi dengan tuntutan demi tuntutan kerja, tanggungjawab keluarga dan yang paling atas, memelihara terus hubungan baik dengan Allah. Penuhnya dada saya. Benar, terasa berat sekali himpitannya. Dan, ya, hanya solah dan al Qur'an merupakan rehat yang vital. Sangat seluruh. Atau sahabat saya sering memujuk begini, bersabarlah. Di sini memang tempat untuk kita berpenat. Nantilah, di sana sebenarnya masa untuk kita berehat.
Published on October 31, 2016 16:57
October 27, 2016
Beberapa hari ini hujan lewat senja di daerah kami. Sejur...

Beberapa hari ini hujan lewat senja di daerah kami. Sejurus asar di pejabat, saya akan bergegas pulang bagi mengelak kesesakan dada dan jalanraya. Saya sangat meyakini Mikhail yang menerima tugas menurunkan hujan, bagi membersihkan sungai sungai kami yang dicemari. Allah ya Allah, kami tidak tahu apa-apa. Ampunkan apa yang kami terlupa dan kami tersalah. Kau permudahkan urusan rezeki kami termasuk air hujan ini sebagai yang bermanfaat buat kami meneruskan amal soleh. Saya kerap terharu dengan rentetan plot ini. Ada air. Tidak ada air. Sungai dicemar. Menadah air. Menyimpan air. Bersyukur dengan tiap titik air dari pili. Hujan senja larut ke malam. Pemimpin yang mempertahankan. Pemimpian yang memfitnah. Allah ya Allah. Ampuni kami apa yang kami tidak tahu.
Published on October 27, 2016 16:56
October 26, 2016
Antara kesyukuran terbesar adalah dahi kita dapat menceca...

Antara kesyukuran terbesar adalah dahi kita dapat mencecah lantai. Ya, kita dapat melakukan sujud. Saat kita berserah penuh. Ya, kita meletakkan diri serendah-rendah dan sangat menundukkan segalanya kepada Allah. Sering saya mengenang seorang sahabat yang sangat rindukan sujud. Ya, dia tidak dapat meletakkan dahinya sepertimana selalu (selepas kemalangan). Betapa rindunya dia pada bersujud. Saya bertanya diri. Begitu akrabkah saya terhadap sujud saya selama ini. Adakah ia hanya ketertiban yang perlu saya lakukan dalam setiap solah. Adakah ia benar-benar membekas. Sedang ia adalah detik terdekat saya dengan Allah. Adakah saya sangat memaknakan sujud saya dan doa saya pada ketika itu.
Published on October 26, 2016 15:03
October 23, 2016
Hujung minggu bersama-sama meraikan dua pasang pengantin ...

Hujung minggu bersama-sama meraikan dua pasang pengantin Temasek yang merupakan sepupu saya. Dari Arab St ke Tampiness, dan kembali ke rumah mencecah waktu dini memang sangat melelahkan apalagi dengan duduk memandu. Namun bertemu sanak saudara, bertukar khabar dan cerita, merupakan detik keluarga yang sering mengharukan kerana sekejapnya masa dan kami akan berpisah lagi. Entah siapa yang akan menyarung cincin nanti, buat pertemuan akan datang. Lelah kerja pejabat dan karenah sahabat yang tenggelam-timbul, terpadam begitu sahaja.
Published on October 23, 2016 13:43
October 18, 2016
Sebenarnya semalam, saya mahu menyalin puisi Zaen ya...

Sebenarnya semalam, saya mahu menyalin puisi Zaen yang ini,
aku di sini
di balik pohon
kala embun bak mutiara
melingkati lehermu
kaudengarkah suaraku
yang dihantar hujan
melewati belukar
dan jalan yang kian sunyi
dimamah malam?
(di sisiku seekor burung balam
terbang melintasi malam
mencari diam)
Ingatan kepada Kawan "li" (51)
Published on October 18, 2016 16:55
October 17, 2016
Ya. Di luar tingkap kaca bilik kerja saya sudah...

Ya. Di luar tingkap kaca bilik kerja saya sudah tidak ada lagi bayangan si Putih. Kantung surat saya sudah tidak ada lagi jelmaan si Bulan Penuh. Saya sudah semakin mendekati sempadan negeri asal. Saya kian merasakan hawanya. Dalam merangkak ke sana, saya seperti semalam membaca terus siri Ingatan kepada Kawan Zaen,
"telah lama kumiliki kamusejak angin itu memulangkan kamukepadaku."
(begitu bisik hujan yang mendesah dalam darahkusesudah bermusim kemarau menggigit tulangku)
dan hujan pun terlalu tua untuk menjadi gerimissedang kemarau kian muda membuat langit terhiris
Ingatan kepada Kawan liii
Published on October 17, 2016 22:54
October 16, 2016
Pernahkah sdr bertemu dengan detik yang tepat, ...

Pernahkah sdr bertemu dengan detik yang tepat, sdr sangat memerlukan sahabat sebagai tempat mengadu perihal merungkai kegelisahan yang menyerang dada. Namun detik yang sama itu, tiada pula sahutan yang sdr harapkan. Bunyi tulisan saya ini seperti rima syair yang penuh harapan namun tergontai-gontai, saya memujuk diri bahawa dalam banyak ketika saya harus berdiam. Sendiri. Bukankah sudah sekian banyak ketika itu yang selalu mengingatkan, bahawa sendirilah; kerana berdiam dan bersendiri itu akan menjadi negerimu.
Published on October 16, 2016 22:47
October 14, 2016
Letih. Rupa-rupanya FB (yang saya kuburkan bertahun-...

Letih. Rupa-rupanya FB (yang saya kuburkan bertahun-tahun lalu) sudah kian purba. Saya dimaklumkan yang sedang menyala-nyala sekarang adalah IG. Saya tidak tahu sama sekali tentang planet IG ini. Rupanya. Riuhnya. Rentaknya. Kami di kampus juga ada ruang sosial begini. Researchgate. Akademia. Linkedin. Saya bayangkan nama-nama itu juga seperti FB. Ada pengikut. Ada ruang berbual. Ada ruang promosi diri. Ada ruang beritahu semua orang apa yang terjadi dalam hidup yang dijalani setiap detik. Saya anti semua itu. Kemungkinan besar kenyataan saya ini tidak selari dengan tuntutan majikan saya. Perlu sekali saya akan pujukan pujukan yang mengekalkan saya mencintai keluhuran dan menuntun saya berikhlas hati. Memang letih.
Published on October 14, 2016 02:56
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
