Mawar Safei's Blog, page 101
May 19, 2017
Dekat dengan Allah. Itu tafsiran terbaru yang ...

Dekat dengan Allah. Itu tafsiran terbaru yang saya tahu tentang taqwa. Dan ia sangat mengesankan saya yang sedang bertelingkah dengan diri sendiri tentang jalan kecintaan ini. Allah ya Allah. Menurut Ustaz, Ramadhan nanti bakal melahirkan insan yang bertaqwa. Ramadhan akan melahirkan mereka yang dekat dengan Allah. Subhanallah. Saya pasti mahu terhimpun di dalamnya. Saya mahu dekat dengan Allah untuk banyak perihal. Tafsiran Ustaz selanjutnya, dekat dengan Allah bermakna takut meninggalkan perintah-Nya dan takut melakukan apa yang ditegah. Saya mencongak diri. Saya jadi malu sendiri.
Published on May 19, 2017 13:57
May 18, 2017
Saya mahu menyudahkan seluruh halaman al-Qur'an sepa...

Saya mahu menyudahkan seluruh halaman al-Qur'an sepanjang Ramadhan. Pasti sahaja ia merupakan hasrat yang paling luhur. Itu antara yang disuarakan sahabat saya; persediaan Ramadhannya adalah dengan iltizam untuk menggenapkan bacaan. Ada sahabat lain yang mahu meneruskan apa yang sedang ditekuni. Ada juga yang mahu berjeda pada bacaan terakhir, memulakan 1 Ramadhan dengan al Fatihah dan al Baqarah dan selanjutnya. Memasuki Syawal nanti disambung kembali jedanya itu. Ya, saya sangat sebak dengan kisah kecintaan mereka terhadap al-Qur'an. Memandangnya. Mendakap kejap. Menyentuh tiap huruf. Membunyikan tiap dengung atau sabdu. Allah ya Allah, itu semua adalah kurnia. Apalagi makna yang dibawakan selalu serasi dengan gundah mahupun getar hati tepat pada ketikanya. Apalagi ada surah tertentu yang dapat dihafal lancar. Subhanallah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini saya dapat jalani sebaiknya bersama-sama al-Qur'an yang saya cinta. Saya tidak mahu berkejar-kejaran dengan bacaan saya. Sebaliknya saya mahu membawa hati saya menyantuni setiap bacaan dan makna dengan penuh ta'azim, kelembutan dan kasih sayang. Bukankah berkali-kali saya akui bahawa Dia adalah huda, syifa dan rahmah.
Published on May 18, 2017 14:07
May 17, 2017
Saya senang sekali untuk mengetahui persediaan sahabat ba...

Saya senang sekali untuk mengetahui persediaan sahabat bagi menjalani Ramadhan yang menjelang dekat. Seperti juga menjadi hujjaj, persiapannya bertahun. Rutinitas mukmin tidak mungkin dapat berdiri dengan amalan sehari dua, seminggu dua. Ia harus tumbuh perlahan-lahan, alami, dicintai, tekal dan diyakini . Subhanallah. Belum terlewat seminggu ini, dibersihkan hati, dilapangkan fikiran untuk Ramadhan. Seorang sahabat yang mahu mengemas rumah, dan ternyata ia jauh lebih mengesankan daripada saat menyambut Syawal. Dia akan mengemas rumah dalamannya juga. Subhanallah. Ini entri pengiraan detik menjelang 1 Ramadhan minggu hadapan. Insya-Allah saya akan susuli lagi dengan amalan sahabat lain.
Published on May 17, 2017 14:24
Mendekati jendela ruang kerja(yang jarang saya pajangkan ...

(yang jarang saya pajangkan di sini)
Saya sudah kembali ke ruang kerja, namun masih tidak sepenuhnya ke jadual rutinitas kerana akan berpergian lagi dan lagi. Jadi banyak persiapan yang harus dirapikan. Subhanallah. Saya sempat menunggu si Putih di tepi tingkap barang sebentar namun kelihatannya dia bersembunyi entah di mana. Saya seperti selalu, masih rindu dan mengharap. Seraya masih menantinya, saya mencongak-congak Ramadhan yang penuh nikmat, yang dinanti-nanti sekian masa. Beberapa kali saya berkira-kira apa persediaan meraikan kehadirannya tahun ini. Mudah-mudahan kita diberikan kesempatan lagi bagi menjadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna. Insya-Allah. Apa persiapan Sdr, silalah berbahagi.
Published on May 17, 2017 07:20
May 12, 2017
Masih dalam jalan berpergian, menumbuhkan jarak kita dari...

Masih dalam jalan berpergian, menumbuhkan jarak kita daripada rutinitas dan sebenarnya realiti. Jauh daripada meja kerja, keriuhan kolega dan kenakalan mahasiswa, mahupun getar jalan kampung yang masih begitu rupanya. Melihat laut dan gunung dan bulan penuh, menjadikan segalanya seperti personifikasi atau metafora pantulan daripada nurani yang banyak berbicara sendiri. Baris puisi Usman Awang yang sangat dekat di hati saya saat ini pasti adalah,
akan kutenun awan gemawan menjadi selendang menudungi rambutmuakan kujahit bayu gunung menjadi baju pakaian malammu.
Ya, ia pujukan seketika. Sementara berada dalam berpergian. Saya sangat sedar, segalanya akan berubah rupa saat kaki saya melangkah masuk kampus, minggu hadapan. Persis dari Usman Awang lagi, hitunglah mimpi yang membunuh realiti dengan syurga ilusi.
Published on May 12, 2017 15:54
May 11, 2017
Saat berjarak, yang diperlukan hanya diam. Seperti rintih...

Saat berjarak, yang diperlukan hanya diam. Seperti rintih kalbu si Perempuan Pemetik Harpa, yang menyitir baris Rumi, bulan penuh menjadi pintu untuk saling menitip khabar. Walau banyak teka teki yang datang dan pergi seperti ombak kecil di pantai lepas ini, ia tetap menjadi pujukan mengamankan keliru mahupun gundah dari jauh.
Published on May 11, 2017 15:41
May 10, 2017
mimpiSatu ruang yang hampir kita tidak dapat menghalang s...

Satu ruang yang hampir kita tidak dapat menghalang sebarang bentuk kehadirannya, adalah mimpi. Segalanya boleh memasuki ruang pemilikan, bahkan menyertai kehidupan yang sedang berjalan. Tanpa perlu kunci atau izin ta'azim. Aneh, saya pernah bermimpi seseorang yang saya tidak pernah jumpa, kenal malah bercakap sama sekali, namun saya tahu akan kewujudannya. Freudian juga percaya, mimpi adalah projeksi hasrat yang banyak tetapi sangat jauh daripada nyata. Menarik sekali, ia semua sering saya tunggu kerana akan menjadi lingkaran ilham yang meriah dalam tulisan saya nanti. Ya, mungkin saja dalam berpergian (lagi) mimpi menjadi ruang bicara yang sangat rahasia. Sangat misteri.
Published on May 10, 2017 15:40
May 9, 2017
Memulakan langkah kembara ternyata membuka pintu introspe...

Memulakan langkah kembara ternyata membuka pintu introspeksi juga. Inilah jalan takdir yang terbentang ketika pintu terkuak. Menggenapi seluruh yang terbaik Allah berikan. Syukur dengan apa yang sudah dijalani semalam dan kelmarin. Memohon yang lebih baik agar besok dan lusa menjadi kurnia yang terindah. Maka doa menjadi kunci yang sangat sakti; antara lapis pertaubatan dengan iltizam. Walau jauh daripada nyata, walau merentas Laut Jawi, doa itu mengukuhkan hati.
Published on May 09, 2017 20:49
May 8, 2017
PamitPerihal berpergian lagi. Merapi bagasi. Menyusun get...

Perihal berpergian lagi. Merapi bagasi. Menyusun getar. Menyemak jadual perjalanan. Meneliti hati sendiri. Memilih buku untuk dibaca sepanjang kembara. Lalu menata rindu yang mahu ditinggalkan. Aneh sekali cerita berpergian kali ini. Menuju ranah yang sama dengan jalan takdir yang sama sekali berbeza.
Published on May 08, 2017 14:12
May 7, 2017
Berpergian Saat ini segalanya terpencar-pencar. Anta...

Saat ini segalanya terpencar-pencar. Antara mengandai rupa esok dengan mengenang apa yang sudah dijalani sejak kelmarin. Saya mahu berikhlas hati dalam berpergian kali ini, kerana saya tahu, banyak doa akan dijawab Allah sepanjang menjadi si kelana murba. Banyak yang mahu saya mohon. Banyak hasrat yang mahu saya pahatkan. Mudah mudahan kita bersua lagi selepas berpamitan ini. Insya-Allah.
Published on May 07, 2017 13:51
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
