Mawar Safei's Blog, page 97
July 13, 2017
Sdr sedar, kita sudah memasuki hampir separuh Julai ...

Sdr sedar, kita sudah memasuki hampir separuh Julai 2017 dan sudah melepasi setengah Syawal 1438. Allah ya Allah. Bacaan al-Qur'an saya juga kian melepasi Juz Amma lagi. Bermakna saya hampir dapat menamatkan bacaan sebulan sekali; yang kali terakhir semasa Ramadhan. Subhanallah. Ia tidak pernah dapat saya lakukan sebelum ini. Saya bersyukur sekali kerana masih diberi ruang menumpang kemuliaan Ramadhan untuk terus dengan al-Qur'an. Begitu juga bersama-sama sahabat al-Qur'an yang sering penuh mengingat dan berpesan akan isyarat yang Allah sampaikan. Cuma soalan untuk hati saya yang masih kotor ini, sedalam mana saya mahu turut?
Published on July 13, 2017 02:28
July 10, 2017
Beberapa minggu ini halaman surah yang dibaca seperti ban...

Beberapa minggu ini halaman surah yang dibaca seperti banyak menunjuk arah tentang kemuliaan infaq. Subhanallah, sehingga malam tadi, surah al Ma'arij masih menumpukan kisah orang yang mengumpul harta dan menyimpannya. Begitu sebaliknya orang yang menyediakan bahagian tertentu daripada hartanya untuk mereka yang meminta atau tidak. Sebelumnya dalam ayat akhir al Munafiquun yang mengingatkan lagi bahawa jika Allah mahu menundakan kematian, betapa yang manusia mahu lakukan adalah sadaqah. Allah ya Allah. Tangan kecil saya masih memohon. Kaki tua saya masih cuba melangkah bagi mendapatkan sahabat sejiwa yang mahu mendukung upaya kami menyantuni anak-anak yatim. Dalam saya menahan sebak, tiada yang menyahut, saya didatangi kekuatan ini daripada seorang sahabat yang memujuk. Dibawakannya tafsiran al Hajj: 27, saat Nabi Ibrahim berdiri di Bukit Qubais, ragu ragu akan seruan hajinya sama ada didengar atau tidak, justeru Allah meyakinkan bahawa Dia yang akan menyampaikan. Maka benar sekali, perihal infaq dan sadaqah ini adalah pilihan Allah.
Published on July 10, 2017 22:06
July 9, 2017
Musim saling mengunjungi dan makan (lagi) sempena bulan S...

Musim saling mengunjungi dan makan (lagi) sempena bulan Syawal ini, saya juga menerima tetamu syurga yang sudi mampir. Meraikan mereka turut bermakna saya harus memastikan pinggan mangkuk mencukupi. Saya mudah cemas jika bilangan yang datang lebih daripada lima kerana ia menuntut tampungan masakan yang sukar saya congak; mencukupi atau kurang. Dan saya pula bahagia menyambut mereka di meja makan dengan masakan sendiri. Bermakna ia melibatkan Z yang harus ke pasar. Z dan AM juga risau dengan jumlah pinggan mangkuk dan sudu garfu kami yang sedikit. Saya meninjau rak, pinggan mangkuk yang tidak pernah bertambah sejak dua puluh tahun lalu. Saya tidak menyimpan set pinggan makan. Apa yang ada itu yang digunakan seharian malah masih yang turut jarang digunakan. Saya teringat zaman dahulu, kebanyakan surirumah mempunyai almari pinggan mangkuk khas untuk diperaga di penjuru ruang tamu termasuk Emak. Semua perhiasan itu hanya digunakan pada hari raya ataupun apabila menerima tetamu istimewa. Falsafah itu saya tolak setelah berkeluarga. Saya tidak ada konsep menyimpan apalagi memperaga. Malah di rumah tidak ada stor, ruang menyimpan barang tidak dipakai. Kewujudan stor, bermakna ada hak orang lain yang saya simpan. Dan ia harus segera dikembalikan. Subhanallah. Saya meninjau hari yang sedikit lapang untuk diketepikan perhiasan yang masih dapat diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan. Siapa yang mahu?
Published on July 09, 2017 16:58
July 8, 2017
Penjuru SukmaHujung minggu yang padat. Seperti tahun-tahu...

Hujung minggu yang padat. Seperti tahun-tahun lalu, harus meraikan sahabat dan kerabat yang mahu merakam kesyukuran dengan jamuan lebaran dan rumah terbuka. Allah ya Allah. Sebenarnya saya lebih berasa tidak selesa daripada gembira untuk acara makan dan makan. Jadi, saya berjanji hanya akan menjamah dan tidak mengambil air manis. Di samping ingatan seorang teman, jalinkan silaturrahmi. Justeru saya cuba akur. Dan pada saat yang sama saya menjamah pulut kuning dan rendang ayam, mencari kuih lama seperti bangkit, batang buruk atau biskut ma'amor, rindu saya jauh menyelinap ke penjuru sukma ini yang terkepung antara jalan gunung dengan berjaraknya kami. Alangkah saya dapat bersimpuh di ruang persujudan ketika angin dingin perkebunan membawa salam antara celahan dindingnya yang bersegi-segi. Saya mahu duduk berdiam, memaknakan sebenar akan Syawal. Kembali mengenang Ramadhan yang baru lalu dan yang diharapkan pada tahun mendatang. Ya, saya mahukan Syawal yang di luar konvensi. Saya sedikit bosan dengan cliche ini. Atau sebenarnya saya yang dungu mentafsir. Ampuni saya.
Published on July 08, 2017 14:00
July 7, 2017
Foto lamaSaya percaya Sdr akan bersetuju dengan saya...

Saya percaya Sdr akan bersetuju dengan saya. Kekuatan naluri dan kurniaan nurani itu seiring, apalagi apabila ia berkaitan dengan mauduk al-Qur'an yang menjadi kecintaan. Kelmarin saya diziarahi sahabat disertai kedua ibu bapanya yang saya turut kenal sejak lama. Ibunya yang memang mengajar al-Qur'an dan sekarang membangunkan Rumah Ngaji di Pagoh. Subhanallah. Saya juga mengenali seorang sahabat yang merupakan anak kepada guru ngaji (sejak kecil mengaji yang saya maksudkan adalah belajar al-Qur'an) yang masih sempat bertadabbur di mana juga dia berada dengan kedudukannya sebagai orang besar. Subhanallah. Ingat kisah saya bertemu watak pikun Syawal ini, pada usia hampir 100 tahun, dia masih memangku al-Qur'an. Sedang saya yang lalai dengan makna surah yang saya baca. Berkali-kali dalam al-Qamar yang baru usai, ditanya tidakkah diambil pengajaran daripada apa yang menjadi sejarah. Maka, sayalah itu. Saya yang lupa, keliru dan cuai dan segala kata khilaf. Saya ditemukan dengan beberapa watak itu dan adakah ia menjejaki kalbu. Allah, ampuni saya.
Published on July 07, 2017 02:14
July 4, 2017
Foto yang mungkin ironi untuk mewakili perasaan saya. Ked...

Foto yang mungkin ironi untuk mewakili perasaan saya. Kedudukan tempat tinggal mahupun kampus tempat saya mencari rezeki, sangat jauh dari garis pantai. Namun saya selalu mahu dekat dengan firus laut mahupun menerima sapaan angin kering yang asing namun mahu bersahabat. Ternyata ia seperti kasih sayang yang sangat rahsia sifatnya. Ia boleh sahaja beruntaian tanpa perlu bersua. Benar sekali apabila Syawal kali ini saya bertemu dengan dua susuk pikun yang sekian masa menyimpan rindu sejak saya baru kenal buku. Subhanallah. Kebetulan saja saya membaca baris Sonet 7 Sapardi, tulisnya, ada jarak yang harus ditebas kalau kita mahu menerima pertemuan ini dengan ikhlas. Allah ya Allah. Suz, terima kasih lagi fotonya.
Published on July 04, 2017 22:53
July 2, 2017
Surah Dhuha, membawa banyak terjemahan. Saat nenda terbar...

Surah Dhuha, membawa banyak terjemahan. Saat nenda terbaring di Hospital KTP, saya pernah menemaninya dengan surah pujukan ini (entri 28 Januari 2013). Dan lebih agung kisah bujukan ini adalah kesedihan Rasulullah yang berasa berjarak dan ditinggalkan, setelah sekian masa tidak menerima perutusan daripada Allah. Dan pasti hanya Dia Maha Tahu mengapa berlakunya jeda. Galaunya hati Rasulullah itu seperti dapat saya terjemahkan apabila ketika yang sama saya rasa berjarak dan ditinggalkan menunggu, ya pada saat Dhuha. Mahu memujuk sendiri, saya membaca berkali kali surah ini. Mahu belajar lebih lagi untuk bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurnia kala saya bingung atau berasa kurang. Sedang bukankah sudah saya diberi sekian tuntunan dan kecukupan. Subhanallah. Saya mahu mula menghentikan segala rasa berjarak atau ditinggalkan pada setiap waktu Dhuha datang, dengan doa agar dilerai segala perihal menanti dan menunggu yang kian mengikat. Saya mahu seperti sebelumnya, bersimpuh sendiri di atas sajadah sedang matahari naik sepenggalah. Terima kasih Suz, foto indahnya. Ia juga persis latar Dhuha yang redup pagi ini.
Published on July 02, 2017 17:50
June 30, 2017
Mahu terus dalam rangkulan Ramadhan. Maka ada yang sedang...

Mahu terus dalam rangkulan Ramadhan. Maka ada yang sedang meneruskan puasa Syawal. Dengan kecintaan yang menyala-nyala, masih yang meneruskan bacaan dan tadabbur surah suci malah menjunjungnya dengan erti dan tafsiran yang terkait dengan pertelingkahan dalam diri. Subhanallah. Sangat mencintai malam al Qadr, hingga sepertiga malam masih dihidupkan dengan solah dan zikrullah. Mengingati Ramadhan adalah memberi, ada yang sudah mengatur rencana menyantuni si murba lagi. Allah ya Allah. Apa yang sudah saya perbuat sepanjang seminggu Syawal ini. Apa hadiah Syawal setelah sekian bulan kononnya saya berjuang?
Published on June 30, 2017 18:23
June 29, 2017
20112017Sebuah lagi buku kami. Diulang cetak dengan sedik...


Sebuah lagi buku kami. Diulang cetak dengan sedikit pengemaskinian, khusus tentang para penulisnya. Mudah mudahan masih dapat dijadikan sahabat saat menulis. Moga ada manfaatnya. Ampun maaf atas segala kekurangan. Terima kasih atas dukungannya.
Published on June 29, 2017 14:00
June 28, 2017
Dua...


Dua antologi kami 2017. Antaranya membentang dua buah cerpen saya. Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan. Cerpen bersejarah saya di Utusan Malaysia. Sementara cerpen Surat daripada Umar, saya garap dari Tanah Selandia Baru. Selamat menikmati.
Published on June 28, 2017 19:28
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
