Mawar Safei's Blog, page 94
September 13, 2017
Sahabat baruImpian saya adalah untuk tadabbur al-Qur'an d...

Impian saya adalah untuk tadabbur al-Qur'an dari sumber yang lenggok bahasanya saya senangi dan serasi. Maka dengan seribu syukur saya diperkenalkan dengan Tafsir al-Azhar karangan Hamka. Ikrar tafsir ini, diperkaya dengan pendekatan sejarah, sosiologi, tasawuf, ilmu kalam, sastera dan psikologi, saya kian menikmatinya sepanjang meneruskan surah an-Naml. Antaranya kisah Nabi Sulaiman dengan masyarakat burung, Negeri Saba' dan Ratu Balqis. Saya singgah pada doa Nabi Sulaiman Dawud, Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh. Aamiin.
Published on September 13, 2017 15:44
September 12, 2017
Negara kelahiran saya melalui sejarah besarnya hari ini a...

Negara kelahiran saya melalui sejarah besarnya hari ini apabila Halimah Yaacob secara rasmi merupakan Presiden baru Singapura. Beberapa perihal menarik terkait dengan sejarah ini, beliau adalah Presiden ke-8 ~ Presiden wanita pertama ~ Presiden Melayu kedua selepas Yusof Ishak ~ Menetap di flat HDB Yishun dan merupakan ahli Parlimen GRC Jurong. Syabas Puan Presiden.
Published on September 12, 2017 15:18
September 7, 2017
Sdr tentu banyak melalui kisah hujan. Dan ia kemudian men...

Sdr tentu banyak melalui kisah hujan. Dan ia kemudian menyeret Sdr ke capahan ruang sendiri dan sangat rahsia. Saya pernah kehujanan pada sebuah malam Ramadhan. Kami berjanji untuk berjumpa di ruang iftar. Ya, saya menunggu dan menanti hingga azan berbunyi dan semua pelanggan di rumah makan itu mula menikmati hidangan yang dipesan. Saya masih menunggu dan menanti di penjuru itu dengan segelas air suam ihsan dari pemilik kedai. Ternyata dia terus sepi sedang saya yang masih menanti. Perasaan dungu dan malu hingga saat ini masih saya dapat rasakan. Kemudian saya membelah dingin malam, hujan yang bersatu dengan hawa dalam gerabak mrt (ya, kenangan teman yang mungkir dan tidak peduli akan janji ini berlaku di Temasek), membawa langkah sebak saya pulang ke apartment. Anehnya saya tidak menangis seperti selalu apabila ditinggalkan. Namun hingga sedekad ia berlalu, babak kehujanan, tidak berpayungan, apalagi dengan tiada kepedulian pada janji dan kata maaf, semuanya berhimpun lama. Sesekali ia menziarahi saya apabila kisah yang mirip terjadi lagi. Bersama-sama saya sekarang adalah baris ini, tak ada yang lebih tabah dari hujan bulan Juni Sapardi. Biar saya rahsiakan kisah rintiknya.
Published on September 07, 2017 14:26
September 3, 2017
Masih dengan cerita korban. Semasa meladeni Mak yang dema...

Masih dengan cerita korban. Semasa meladeni Mak yang demam, kami berjanji untuk mula menabung bagi korban tahun depan. Satu hari RM2.00 selama setahun dari sekarang. Bunyinya kami seperti anak kecil yang seronok mahu mengumpul duit bagi mendapatkan sesuatu yang diimpikan. Subhanallah, mata Mak yang kelabu jernih seperti bintang yang cantik cuba untuk menyatakan sesuatu. Saya tahu saat itulah kebahagiaan menyertai sukma kami. Dan saya mahu menangis sebenarnya, separuh mengelus garis-garis halus di tangan Mak dan sebahagiannya lagi berdoa sungguh-sungguh tabungan kami penuh menuju Idul Adha tahun 1439, insya-Allah.
Published on September 03, 2017 20:31
September 2, 2017
Salam Idul Adha.Kita masih dalam untaian takbir. Dapat pu...

Salam Idul Adha.Kita masih dalam untaian takbir. Dapat pulang bertemu Mak kali ini rupa-rupanya kian menghangatkan keakraban kami. Itu yang paling saya syukuri walau dalam risau panas demam Emak yang lambat kebahnya. Alhamdulillah syukur, jalan takdir yang indah, dalam rutinitas tadabbur, saya singgah di surah al Anbiya: 69: Wahai api. Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim. Sebelumnya saya bacakan al Fatihah (40 atau 10 kali atau sekali), surah al Ikhlas, surah an-Nas dan surah al-Falaq dalam air untuk Mak. Saya memohon doa penyembuhan. Dalam pengharapan yang panjang saya tahu doanya yang turut mengiringi buat Mak, sangat ikhlas, sangat tulus. Alhamdulillah syukur, suhu Mak turun senja hari kedua. Dan saya selalu yakini Allah Maha Mendengar dan Menyembuhkan Mak. Allahu akbar.
Published on September 02, 2017 14:03
August 30, 2017
Salam Arafah.Terus berdoa dalam berjarak.
Published on August 30, 2017 16:55
August 28, 2017
Lama dahulu sewaktu di Temasek, saya mengaji al-Qur...

Lama dahulu sewaktu di Temasek, saya mengaji al-Qur'an di surau kampung kecil kami di penjuru Bukit Timah. Masih ingat, saya mempunyai seorang dua sahabat anak jiran yang saling menemani ke surau usai Maghrib, walau ia hanya sepelaung jauh. Walau dekat kami masih beriringan. Dalam beberapa cerpen mengenangnya, saya juga pernah menulis sekembali dari kelas mengaji, pada musim kuih bulan dan tanglung tiba, sahabat Tionghua kami akan sedia menunggu. Bahagia dengan cahaya tanglung dalam jelaga malam, menebar riang, kami menjamah manisnya kuih bulan dan persahabatan. Begitulah antara pecahan ingatan dan kenangan. Alangkah sepi sebenarnya tanpa sahabat mengaji, sahabat al-Qur'an, mahupun sahabat solah. Biarlah saya kehilangan seribu sahabat lain, asal saja dia masih ada, walau sebenarnya jauh daripada nyata. Ya, saya rindukan sahabat al-Qur'an dan sahabat solah saya.
Published on August 28, 2017 16:58
Kerap saya mengulang baris Rumi, dalam kesenyapan kita ak...

Kerap saya mengulang baris Rumi, dalam kesenyapan kita akan mendengar dengan lebih larut. Enak juga berdiam. Seperti melangkah masuk ke ruang tengah kutubkhanah, kita bertembung aksara yang membariskan maksud akan ingatan. Atau saat kita menyertai galeri lukisan dan arca, kita berpapasan dengan keping-keping kenangan. Benar, sunyi sering membentangkan keluasan agar kita lebih menjadi saksama. Saya yakini juga ia menawarkan pengertian. Dan ia sama sekali tidak bererti adanya jarak.
Published on August 28, 2017 02:33
August 26, 2017
Semakin kita menuju hari besar Zulhijjah. Kian kita mahu ...

Semakin kita menuju hari besar Zulhijjah. Kian kita mahu membenarkan apa yang dimaksudkan dengan pengorbanan. Saya memetik baris Sister Yasmin Mogahed, apa yang dikorbankan sebenarnya adalah ikatan. Seperti Nabi Allah Ibrahim yang diminta mengorbankan puteranya, bukanlah sebenar leher Ismail yang menjadi sasaran. Apa yang mahu dirungkai adalah ikatan. Apa yang mahu direngkuh adalah pembebasan akan sesuatu yang sangat dicintai. Subhanallah. Saya sedang belajar akan perihal melerai, merungkai, membebaskan ikatan yang beberapa waktu ini dengannya saya jadi menggenap, bahkan berpaut dan larut. Ternyata jauh sekali jalan saya menjadi pintar.
Published on August 26, 2017 16:01
August 25, 2017
Saya berdusta jika saya katakan saya tidak pernah sekali ...

Saya berdusta jika saya katakan saya tidak pernah sekali berbohong dalam hidup. Sering juga saya berdalih untuk mententeramkan jiwa sendiri atau orang lain. Ada seorang sahabat yang menyatakan perkataan dan perkara yang paling tidak disukainya dalam seluruh hidup adalah bohong. Saya fikir dalam keadaan tertentu, saya harus berdalih kerana untuk menjaga hati. Saya harus melapisi alasan saya dengan tidak menjawab benar. Ketikanya, diyakini jika saya mengambil pilihan sebagai orang jujur, ia akan menumbuhkan jarak dan ada yang akan berasa hati. Aneh sekali bunyi entri ini. Aneh memang. Saya seperti mahu berlari membawa diri ke wilayah sunyi yang hanya saya sendiri mendengar talun kelurusan,ya bunyi ketulusan.
Published on August 25, 2017 07:58
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
