Mawar Safei's Blog, page 93
October 10, 2017
Melihat ombak dan getar yang datang, tak akan pernah bole...

Melihat ombak dan getar yang datang, tak akan pernah boleh ditebak makna atau rusuh yang diseret panjang. Meskipun muara ini sering dikunjung dan menjadi negeri sukma, ternyata ia masih wilayah yang canggung. Bagaimana nanti ia menjadi daerah yang menjarak dan akhirnya di situlah menjadi titik paling hujung.
Published on October 10, 2017 02:17
October 5, 2017
Berbahagia sekali hari ini untuk saya berbahagi kuliah te...

Berbahagia sekali hari ini untuk saya berbahagi kuliah tentang tsunami. Dari paparan kisah benar, novel dan filem Hafalan Shalat Delisa Tere Liye dan puisi Lidah Tsunami A. Samad Said. Bagaimana saya menyaran mahasiswa untuk menyusun plot cerita. Mana takdir yang harus membuka tabir atau peleraiannya adalah sesuatu yang tidak terjangkakan. Melihat mata anak-anak yang ditinggalkan, ya anak-anak yang kehilangan, sering juga saya melihat bersit berani dan tabah. Persis baris Pak Samad bahawa tsunami itu lidah ombak memang tak terduga, begitulah hati yang sering sukar ditebak. Kilas kata yang payah dibaca. Atau juga hasrat yang hanya Dia tahu tulus dustanya. Melihat gelombang seteru dengan pusaran yang mendera, saya membayang dia yang ternyata jauh walau selalu ada.
Published on October 05, 2017 03:29
October 2, 2017
Foto ini saya rakam dari muzium sempena kembara lalu. Say...

Foto ini saya rakam dari muzium sempena kembara lalu. Saya melihatnya sebagai pejuang. Meredah gelombang. Menongkah cuaca. Berdepan dengan bongkah takdir yang tidak diketahui ukurannya sama sekali. Banyak antara kita yang sedang berjuang. AM juga. Ujian besar UPKKnya minggu ini. Malam tadi AM mengimami solah Isya' dan hajat kami. Subhanallah. al Waqia yang lancar, menyeret saya ke ruang kesyukuran. Benar, tidak ada yang lebih mahal selain pejuang yang soleh lagi musleh. Minggu ini saya mohon ia menjadi pemula yang baik buat AM, seperti bacaan doanya yang kami aminkan. Cintanya pada al-Quran dan solah. Cintanya buat Allah dan Rasulullah.
Published on October 02, 2017 02:13
October 1, 2017
Berada jauh dalam tebal awan, saya meneruskan introspeksi...

Berada jauh dalam tebal awan, saya meneruskan introspeksi yang dikumpulkan beberapa hari ini. Masih debunya saya dalam soal perjuangan. Masih naifnya saya dalam narasi orang yang berjiwa besar. Ternyata saya dengan langkah lelah dan tangan kecil, mahu berbuat banyak perkara. Permulaan surah az Zumar dini ini sangat memujuk, lakukannya dengan tulus, dengan ikhlas, hanya untuk-Nya. Sejak awal saya sangat sedar kekuatan ini datang dari dia. Banyak dalam al-Qur'an menyebut tentang dia. Dan dengannya saya berikhlas hati. Ya, dia yang jauh.
Published on October 01, 2017 15:42
September 28, 2017
Menuju ranah asing sekian kali menyeret sama pelbaga...

Menuju ranah asing sekian kali menyeret sama pelbagai renungan. Seperti tulis SDD dalam Sonet 3 Kolamnya, jangan lupa, di sini ada yang gelisah.
Published on September 28, 2017 13:30
September 26, 2017
Saya senang berada di rusuk jendela kamar AM. Mudah...

Saya senang berada di rusuk jendela kamar AM. Mudah sekali melihat apa yang dibentangkan di langit. Pernah bulan terhias di situ. Atau seperti waktu dini tadi, terletak bintang yang mengerdip dan membuat saya asyik sekali. Mahu menyertai tiap kali kerlipannya sehingga saya memberitahu mahasiswa dalam kuliah siang tadi, ia merupakan tanda mata, hadiah yang indah sekali buat saya. Malangnya mata mahasiswa saya kosong. Saya mahu saja berbahagi tiap rasa yang terucap di dasar sukma saat menatap si bintang sebutir itu. Saya berasa malu, sebenarnya, untuk berdiri lama merenung dia. Saya sebak dalam syukur, kerana hadirnya. Saya jadi terus menangis kerana siapalah saya yang mahu diberi-beri semua ini. Namun saya meragui adakah mahasiswa saya mengerti atau mereka selalu lupa baris apa yang merupakan nota kuliah yang harus disimpan atau membiarkan saja gurunya ini terus bercerita. Atau saya sedang melayan kedunguan sendiri tentang malu, sebak, syukur dan keharuan saya. Ya, masih tentang bintang yang satu itu. Bintang di langit dini.
Published on September 26, 2017 08:34
September 24, 2017
Setiap kita pasti mempunyai keanehan yang tersendiri. Ben...

Setiap kita pasti mempunyai keanehan yang tersendiri. Benar? Saya pernah ditertawakan teman-teman apabila mengeluarkan kantung merah sudu dan garfu yang dibawa dari rumah ketika makan di luar. Ya, saya mengelakkan daripada menggunakan sudu dan garfu yang disediakan di kedai makan. Saya juga lebih selesa membawa air panas sendiri dalam kelalang. Ia setelah melalui beberapa kali pengalaman saya akan mudah mendapat sakit tekak dan demam apabila minum di luar. Pernah juga suatu ketika saya tidak akan menggunakan cawan yang sudah pernah digunakan oleh orang lain. Aneh? Mungkin tidak, atau ia lebih dilihat sebagai mengada-ngada. Dahsyatnya saya.
Published on September 24, 2017 00:20
September 23, 2017
Bagaimana hujung minggu Sdr yang panjang? Selain membaca ...

Bagaimana hujung minggu Sdr yang panjang? Selain membaca dan menulis, dapur saya wangi dengan harum biskut Belgium. Seperti dalam mimpi cerpen lama saya, "Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah", saya meneruskan dengan dulang kek coklat pula. Nikmat apabila melihat biskut yang gurih disejukkan di atas redai, kemudian mengisi ke dalam beberapa balang comel yang diikat reben. Kepingan kek yang dibahagi-bahagikan, menyeret saya ke ruang Rumah Coklat: “Bukankah kehidupan seperti sekotak penuh coklat dan kita tidak tahu coklat yang bagaimana bentuknya dan jenis apa yang kita akan terima.” Dia mengulang pula dialog Forrest yang banyak berlari dalam hidup. Atau sayakah itu yang mahu sahaja berlari apabila setiap saat bertemu dengan manusia yang menyarung pelbagai topeng. Dan sarung itu boleh ditukar-tukar. Sarung muka yang sentiasa ada di kantung baju. Ia mudah disimpan, diganti dan dikenakan dalam keadaan-keadaan tertentu. Saya mahu berlari dan berlari daripada topeng-topeng itu kerana ia sangat mengusir kepercayaan yang saya sediakan. Nantinya saya hanya mempercayai Tuhan dan diri sendiri. Atau nantinya kepercayaan itu hanya buat Tuhan kerana kadangkala saya menyedari bahawa diri sendiri pun pernah berdusta.
Published on September 23, 2017 00:20
September 21, 2017
Hampir setiap semester kuliah saya bermula yang pali...

Hampir setiap semester kuliah saya bermula yang paling awal iaitu jam 8 dan ia mengambil masa selama dua jam. Saya berusaha sedaya mungkin untuk berdiri tepat waktu di hadapan kelas, meraikan mahasiswa, meraikan ilmu. Namun antara kekangannya adalah mahasiswa saya yang sering lewat kerana faktor bas kampus atau mereka sendiri yang terlewat. Pagi ini ada mahasiswa yang menyerah diri mengakui tidak hadir kuliah kerana terlewat bangun, hampir jam kuliah berakhir. Subhanallah. Soalan pertama saya Sdr sudah solah Fajr? Jam berapa Sdr masuk tidur malam tadi? Matanya yang mula penuh air, saya singgah antara cerita dengan separuh menasihati. Cerita saya tentang AM yang sering saya beritahu, meninggalkan solah bermakna kita menempah nama di pintu neraka. Antara ketakutan akan azab api yang menjulang, juga harus selalu direnung apa rahasia solah yang difardhukan. Mudah mudahan ia pesan yang mengasuhnya menuju tahun baru esok. Mudah-mudahan azamnya bangun awal untuk solah dan bukan semata untuk hadir kuliah. Insya-Allah.

Si cantik ini saya rakam dari bahu jalan masuk ke fakulti kami. Selamat tahun baru 1439.
Published on September 21, 2017 02:05
September 19, 2017
Saya menemui tafsiran ini sewaktu bertadabbur tentan...

Saya menemui tafsiran ini sewaktu bertadabbur tentang kisah Ibu Nabi Musa yang kebingungan saat menghanyutkan anaknya di Sungai Nil. Allah memeliharanya daripada kegelisahan. Ternyata Ibu Musa sudah dapat mengendalikan dirinya. Sukma yang sebegini jadi tidak lekas menggelora oleh sebarang rasa duka atau suka. Itu petanda dia sudah dapat memelihara imannya. Dia sudah percaya bahawa segala yang terjadi selalu ada hubungan dengan kehendak Allah. Maka sukma orang beriman tidak resah gelisah akibat susah atau tidak pula gembira beriya-iya ketika ada yang menyenangkan hatinya. Saya ternyata jauh daripada sukma yang begitu. Jauh sekali.
Published on September 19, 2017 02:56
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
