Mawar Safei's Blog, page 89

January 10, 2018

Saya seperti selalu dan sejak dulu menerima pedoman ini: ...



Saya seperti selalu dan sejak dulu menerima pedoman ini: usah angkuh. Seringkas itu. Semudah itu pesannya. Dan saya tahu jalan tuntunannya menuju dua persimpangan perhentian akhir nanti. Menekuni surah Luqman kelmarin, kami menanggap yang sama akan makna kepongahan: Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri ~ Dan sederhanakalah kami dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Betapa ia sangat mendidik terus akan kerendahan hati. Ternyata ia tidak sukar hanya setiap kali mahu jadi sombong, yang diingat ialah asal usul penciptaan diri dan selanjutnya bertanyalah, apa yang dimiliki daripada semua yang ada ini. Melihatlah sesiapa sahaja dengan seluruh kasih. Dan saya juga tidak mahu jadi keldai, ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 10, 2018 12:51

January 8, 2018

Simpang cuaca. Daripada terik, sekejap akan bertukar hala...


Simpang cuaca. Daripada terik, sekejap akan bertukar hala ke tikungan gerimis malah dengan geluduk dan seluruh rusuh. Sebentar datang dan hilang, sering juga menjuakkan keliru yang menjadikan saya dungu sedungunya. Melihat ke luar tingkap, daun yang jatuh kian jauh dari dahannya yang sunyi dan sendiri. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2018 01:47

January 4, 2018

Berapa pagi, berapa senja atau berapa malam yan...


Berapa pagi, berapa senja atau berapa malam yang sangat bersahabat dengan sdr? Hampir setiap petang menuju jalan pulang, saya sering menanti-nanti untuk menatap dua sahabat itu. Ya, menuruni sedikit lereng, ayuh kita namakan ia, Lembah Sukma, saya akan dibentangkan sekumpulan awan dan banjaran yang berkawan. Sangat indah. Seperti juga pagi ini, hujan yang turun sepanjang jalan, seperti mahu sekali bersahabat dengan gerimis dalam hati saya. Mengenang semakin sukar saya ini dimengerti, ia benar-benar satu pathetic fallacy, mencengkamnya jauh ke hujung hati. Walau saya suka sekali mendengar suara hujan, merenung tiap satu, hingga tidak mahu ada saat teduh tiba. Aneh, seperti hanya dia yang mahu cuba masuk dan duduk, menuruti tiap apa yang tidak dimengerti ini. Namun, tidak ada apa yang ditemukannya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2018 20:07

Benar. Ada yang Disimpan-Nya daripada pengetahuan ki...




Benar. Ada yang Disimpan-Nya daripada pengetahuan kita, untuk memadam duka dan lara. Perpisahan. Ada yang kita sudah tahu bila ia akan tiba. Persis tarikh dan saatnya. Kita sama ada jadi tertunggu-tunggu detik hiba itu atau sebaliknya ia tidak mahu kita hirau sama sekali kerana ia hanya akan menambah sengsara. Dan lebih mengharukan bagaimana kita akan meladeni hidup setelah sekian tahun rutinitas itu  dijalani bersama-sama. AM akan memulakan kuliah al-Qur'an dan bahasa Arabnya awal minggu depan. Satu fasa baru dalam kehidupannya, kehidupan kami. Mengurus hidup sendiri nanti, pasti banyak yang mendidik akhlak, hati dan pertimbangan AM. Memilih lajur al-Qur'an seperti kata F adalah jalan mukjizat. Pasti Allah tidak akan biarkan. Z dan saya meleraikan rutinitas kami demi jalan itu. Saya yakini, tidak ada yang lebih baik daripada ikatan terhadap surah suci, yang akan membersih dan memelihara hati. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2018 01:41

January 1, 2018

Foto dari UtaraMahasiswa memulakan minggu ujian semester ...

Foto dari Utara
Mahasiswa memulakan minggu ujian semester pertama yang bersambungan dari tahun lepas. Inilah yang saya katakan, tidak ada lagi makna tahun lalu dan tahun baru. Ia seperti larian sungai yang bergerak terus tanpa kita dapat menemukan sekali lagi zarah air yang serupa. Begitulah waktu. Pertanyaan ustaz dhuha kami, siapa antara kita yang dapat menjadi seorang yang sering bersyukur; antaranya dengan penciptaan waktu. Bersyukur saat dapat melihat matahari masih menurut hukum rutinitasnya. Dengannya kita lagi punya waktu untuk banyak perkara termasuk berbuat kebajikan dan memikirkan dengan tekun ihwal yang harus ditinggalkan, dicegah. Mudah-mudahan Allah redha. Foto dari Utara, titipan Dr H, juga ada bayangan rintihan yang seperti sebelumnya, menghilang tahun.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 01, 2018 07:04

December 31, 2017

Saya tidak meraikan tahun baru 2018. Saya hanya rasa terl...


Saya tidak meraikan tahun baru 2018. Saya hanya rasa terlibat kerana ia cuti umum, jika tidak saya akan meneruskan rutinitas pagi ke pejabat dan menjalankan kerja seperti selalu. Waktu itu baru saya sedar bahawa semua orang sedang bercuti. Pernah berlaku saya datang ke pejabat pada hari cuti umum dan mendapati fakulti gelap gelita. Ya, saya memang lucu. Lugu juga. Bagi Sdr yang meraikan, semoga 2018 lebih merupakan tahun kejayaan. Saya hanya mahu jadi lebih baik, walau hakikatnya saya tahu saya tidak lepas. Saya sering kandas. Oh ya, menuju tengah malam nanti, tidur saya akan dikejutkan dengan bising mercun dan gegar bunga api. Setiap tahun begitulah. Saya akan menjengah jendela kamar, mendongak ke langit malam dan kemudian menyambung lena.  
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2017 02:01

December 28, 2017

Saat saya mengetik ini, hujan petang mengguyur ...


Saat saya mengetik ini, hujan petang mengguyur dengan celahan geluduk. Bersandar dan memerhatikan hujan dengan turut mendengar suaranya, ternyata merupakan seni alam yang terindah. Apalagi sebentar, azan akan menyelinap antara basah, resah dengan belahan jurai palma yang berkawan di luar jendela. Sekejap reda dan bertukar guruh lagi, saya pernah mengharapkan agar gerak dan deru hujan akan terus dan terus bersama-sama saya di ruang kerja, menuju penutup tahun ini. Mungkin ini juga kesempatan untuk berdiam, menghimpunkan segala jalan panjang yang jelas sekali singkat apabila dikenang. Benar, bukankah berulang kali diingatkan, hanya jika kita benar-benar mengetahui, sebentar saja kita di sini. Malang sekali, sayalah yang kerap lupa. Saya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 28, 2017 01:54

December 26, 2017

1933 - 2017Tidak kerap saya bertemu sosok terhormat ini. ...

1933 - 2017
Tidak kerap saya bertemu sosok terhormat ini. Sesekali ke Utara atau bertemu dalam acara rasmi di Ibu Kota. Namun antara ziarah yang tak mungkin saya lupa, pernah saya catat dalam entri 24 Januari 2014. Antara jalan rahsia yang sering dibentangkan, hati saya dapat dibacanya dengan cermat. Jelas sebutannya, Mawar harus selalu syukur dan sabar. Saya tidak akan melupakannya, pada ketika saya sangat memerlukan tuntunan dan ketika saya seperti terlupakan sekian nikmat yang Allah kurniakan. al Fatihah buat Cikgu Shahnon, segala yang datang dari-Nya akan kembali jua pada-Nya. Semoga diampuni dan diterima di sisi-Nya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2017 10:49

December 24, 2017

Sejak kecil saya sukakan kupang. Saya sering lupa bahawa ...


Sejak kecil saya sukakan kupang. Saya sering lupa bahawa saya anak kelahiran pulau yang pasti ada keterkaitan dengan pantai, angin asin yang melekit di kulit dan hidupan karangannya yang cantik. Ya, kupang. Ia tidak kurang menyangkutkan kenangan waktu kecil yang sehingga sekarang menjadi capahan pertelingkahan bawah sedar. Berdiri di tikungan yang asing ini, saya seperti mahu berlari ke teluk atau beluk belahan tanjung mana yang mahu menerima galau yang bertimpa timpa. Atau mungkin juga tidak  ada yang dapat memahami. Atau mungkin narasi tentang kupang ini sama sekali sukar dimengerti. Ya, ia ternyata bukan hanya perihal kupang yang suka saya rapikan karang hijaunya yang berlapis tona. Ia bukan hanya tentang keenakan urat jingganya. Saya fikir ia melangkaui makna kehadiran serta kewujudan yang kian tidak berjejak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 24, 2017 00:22

December 21, 2017

Fakulti yang kian sunyi. Jalan kampus yang sudah tidak pe...


Fakulti yang kian sunyi. Jalan kampus yang sudah tidak perlu saya berlari lari dengan bas dan kenderaan mahasiswa saban pagi untuk menuju kotak letak kereta. Mahasiswa mula memasuki minggu belajar sendiri, sebelum menduduki bulan ujian sepanjang Januari. Sangat jelas riangnya  bunyi unggas di luar ruang kerja saya, untuk menjadi dalil kesepian kian mengepung lembah hijau kami. Begitu juga sunyi dan sepi akan menjadi sahabat paling mengerti saat yang lain datang dan pergi seperti angin yang lewat dahan, antara kenangan dengan harapan. Saya meninjau pelbagai tugasan yang masih di meja dan folder komputer,  tarikh akhirnya bersambung ke Januari. Ia berwajah sepi juga. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 21, 2017 15:44

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.