Mawar Safei's Blog, page 96

August 1, 2017

Cerpen terkini ...Berada di sesebuah daerah asing agak ba...

Cerpen terkini ...

Berada di sesebuah daerah asing agak banyak menawarkan ilham kepada saya untuk menulis. Daerah asing itu sama ada saya menziarahi tempat itu secara lahiriah, mahupun daerah yang sangat batiniah sifatnya seperti memasuki sempadan pengalaman  atau mimpi orang lain. Ya, cerpen terbaru saya, "Bulan di Gifford Avenue" (Ogos 2017, Dewan Siswa) mengambil sepotong daerah di Wellington ketika saya ke sana beberapa tahun sudah. Selebihnya, saya membawa kaki kecil saya melewati daerah kanak-kanak dan remaja seorang sahabat yang sangat dekat dengan bulan. Ya, bulan. Di situ tempat dia menggantungkan rindu sebenarnya, saya percaya, terhadap ibunya yang sangat dikasihi. Bujukan ibu tentang kucing kesayangan yang berpulang, justeru bulan dijadikan tempat terbaik untuk sahabat saya itu menterjemahkan kasih sayang dan rindu yang sangat dalam rawannya. Subhanallah. Saya juga pernah menyediakan ruang khayalan yang indah buat anak saya sebagai bujukan. Namun di dasar hati, saya mendoakannya agar memiliki kalbu yang jauh lebih jernih dan tabah saat berdepan dengan banyaknya pertelingkahan mahupun kesedihan yang panjang.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 01, 2017 14:37

July 31, 2017

Saya membaca sebuah perenungan yang menghampiri rangkap p...


Saya membaca sebuah perenungan yang menghampiri rangkap puisi kerana keindahan perlambangan dan tataan bahasanya (asli Inggeris). Antaranya berbunyi,  kita ini seperti seorang yang hilang arah dalam belantara yang tidak diketahui mana pangkal dan jalan hujungnya kerana semua pohon yang berbaris begitu persis sehingga kita menjadi sangat keliru. Kita tidak ada sebarang pemilikan, apalagi sandaran; yang berdiri bersama-sama kita ketika itu hanyalah harapan. Ya, kita mahu diselamatkan daripada ketakutan kesendirian. Saat itu tidak ada yang dapat melindungi selain perasaan memiliki kasih sayang Sang Penyelamat. Detik itu munculnya harapan dan rasa betapa syukurnya apabila memiliki.  Sesungguhnya tiada upaya melainkan dengan Penyelamatan ini. Lindungi saya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 31, 2017 15:31

July 30, 2017

Antara pesan asuhan Ustaz Dhuha kami bahawa hidup ini buk...


Antara pesan asuhan Ustaz Dhuha kami bahawa hidup ini bukan hanya tentang diri. Hidup adalah untuk memberi dan bermanfaat kepada yang lain. Persis itu kata-katanya; yang selama ini sangat menyalakan sukma. Ia juga akhirnya membuat rasa kasih dan kasihan seperti garis laut yang kelihatannya sangat tidak bertepi. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 30, 2017 03:43

July 28, 2017

Subhanallah. Benar, saat rawan atau kekosongan yang mengi...



Subhanallah. Benar, saat rawan atau kekosongan yang mengisi, pada detik yang sama dia mampir persis tahu apa yang sedang berulang alik di dalam sana. Kembali bermohon dengan Allah. Pertajamkan salawat. Rapikan rasa keindahan terhadap Rasulullah. Cuba dibawa dalam kehidupanmu akan permulaan Iftitah. Allah yang Maha Besar. Lagi sempurna kebesaran-Nya. Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang. Mudah mudahan ia bujukan sakti untuk pilu dan resahmu pergi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 28, 2017 15:57

July 25, 2017

Beberapa kali bekalan yang saya siapkan untuk AM ke sekol...



Beberapa kali bekalan yang saya siapkan untuk AM ke sekolah, akhirnya terbiar di atas meja. Sama ada AM terlupa atau sengaja tidak mahu bawa. Saya pernah menangis dan berjanji kononnya tidak mahu siapkan lagi bekalannya. Bapak juga ada memberikan duit belanja; jika perlu digunakan. Jadi saya tidak begitu berasa bersalah. Kemudian janji saya cepat berubah apabila kecintaan saya menyediakan makan pagi untuk keluarga, masih terus ada. Ikrar yang boleh saya patuh dan leraikan juga. Ia sangat mewakili hati saya yang selalu juga berubah. Ya, ia datang dan pergi seperti angin ribut taufan. Saya selalu mengharapkan orang lain akan bahagia dengan apa yang saya sandarkan di bahu mereka. Bukankan enak rasanya apabila kita dipercaya. Bukankah satu keberuntungan apabila kita menjadi tempat berlindung. Saya teringatkan selendang merah magis yang masih tersangkut di tempatnya. Mahupun si mawar merah. Saya selalu mahu kembali mendapatkan lunak dan hangatnya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2017 22:56

July 24, 2017

Melihat buku kira-kira AM di rumah yang banyak bertanda m...



Melihat buku kira-kira AM di rumah yang banyak bertanda merah, membawa saya kembali ke kerusi sekolah. Saya juga seperti AM yang sering gagal dalam ujian matematik. Saya tidak tahu apa yang diajar guru, faedahnya untuk masa depan saya, ketika itu. Sekarang memikirkan dungunya saya terhadap kira-kira dalam kehidupan, saya menyesali pernah mengecam mata pelajaran itu malah selalu mencela kerja rumah yang tidak masuk akal. Ya, sekarang hampir usia  separuh abad atau mungkin saja tinggal sedikit bakinya, saya menebak saya akan jadi bijak menilai apa yang berlaku dalam masyarakat sekarang jika saya menguasai ilmu kira-kira di sekolah dahulu. Misalnya menjawab persoalan, mengapa wang yang diperoleh daripada hasil kerja harus saya berbahagi bukan sahaja untuk ibu bapa malah kerabat, sahabat, anak yatim, faqir, mereka yang meminta-minta atau  juga yang tidak. Dengan hukum matematika, mungkin saya lebih faham mengapa zakat yang sudah disalurkan, maka tidak akan ada lagi kesengsaraan. Mungkin juga dengan saya menguasai buku log, saya kian mengerti mengapa orang yang punya kedudukan akan selalu kasihan pada anak yatim yang sering diulang al-Qur'an kisah tentang mereka. Saya juga percaya, dengan mendalami hukum tiga sudut kos, sin dan tangen, saya akan bersetuju bahawa pemimpin tidak  menjadi mesin kira-kira dengan memberi jawaban yang mutlak. Subhanallah. Begitukah rupa matematik tumbuh dan menerobos masuk ke dalam derita, getir dan kian menjadi petaka raksasa dalam siratan sistem kewangan dan kemanusiaan. Begitukah? 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 24, 2017 06:17

July 21, 2017

Saya tidak pernah akan melupakan wanita pikun ini. Usiany...




Saya tidak pernah akan melupakan wanita pikun ini. Usianya lanjut mencecah 80-an. Sepanjang bersama-samanya sejak kecil, saya melihat susuknya yang sangat melindungi. Suaranya lunak tapi pada ketika tertentu akan kedengaran mahu dimanjakan. Atau pada dentingan lain, saya seperti disergah untuk bangkit saat kaki terasa begitu lelah dan lengan rengsa saya berpaut pada semangatnya. Dia si pikun yang tidak pernah menyerah kecuali bulan terakhirnya. Saya banyak bercerita tentangnya khusus menerusi entri tahun 2013. Nenda Merah. Itu gelar saya buatnya. Merah juga sudah saya beritahu sebagai warna kecintaannya. Merah adalah ghairah, gelora, sukma, kuasa dan, malah cinta. Ya, dialah Nenda saya yang sudah berpulang, dan hari ini bukanlah tarikh akhirnya atau lahirnya. Bila-bila, malah setiap hari namanya tetap terisi dalam dada. Dia yang istimewa akan selalu ada. Nenda Merah berpulang tepat pada Tahun Baru Cina dengan baju merah yang merupakan pakaian terakhirnya. Malah doktor yang datang juga seorang Tionghua muda, membuat pengesahan pulangnya. Saya percaya, teman-teman kopitiam Tionghua Nenda Merah, sangat merinduinya hingga sekarang. Sebahagian besar pecahan hidup saya sudah hampir kehilangan semangat merahnya. Atau yang saya masih punya adalah selendang merah magisnya yang sempat dihadiahkan. Saya tahu saat saya lemah, selendang itu datang untuk melindung. Hawa merahnya empuk menghangatkan. Rangkulannya rapi, dekat dan kian mengakrab walau saya sangat sedar kami jauh daripada nyata untuk kembali bercanda, menyanyi atau saling mengasihi. Namun tautan kami selalu ada lewat doa dan asuhan memberinya yang saya kenang sampai bila-bila. Al Fatihah yang tidak putus buatnya. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 21, 2017 07:47

July 18, 2017

Banyak cara Allah mahu mengasuh hati kita yang masih belu...


Banyak cara Allah mahu mengasuh hati kita yang masih belum bersih bersih. Antaranya dengan dibawakan pancingan yang berupa hasutan, godaan mahupun sanjungan; saat diyakini kita sangat tulus. Dalam kita berdukacita, kecewa atau bungkam dengan jurus pandang orang lain terhadap ketulusan tadi, Allah membawa cahaya menuntun kesedaran. Ia merupakan kaedah mensaksamakan kembali antara niat dengan amal. Ya, di situlah kantung keikhlasan ditimbang. Dan, ternyata benar, memang sukar sekali untuk mengharungi jalan berikhlas hati. Ia tidak jarang membawa kita berdiri lama di tikungan atau pun paling tidak  kembali membawa kita mencongak congak akan apa yang sudah kita perbuat. Justeru takdir yang indah,  dibawakan dia doa ini: doa cahaya untuk kalbu. Cahaya di langit. Cahaya rahmah. Cahaya hikmah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 18, 2017 13:34

July 16, 2017

Cerpen terkiniTerima kasih kepada Editornya, Sdr Mohd. Na...

Cerpen terkini
Terima kasih kepada Editornya, Sdr Mohd. Nazmi Yaakub yang menyiarkan cerpen Rinai di Perkebunan, 16 Julai 2017, Berita Harian. Beberapa sahabat yang bertanyakan hubungan ilustrasi dengan kandungan cerpen. Tidak ada vespa dalam cerpen. Dan keseluruhan cerpen tidak diwakili gambarnya. Cerpen ini antara pengalaman saya mengenali satu susuk terindah di sebuah perkebunan teh di Ranau beberapa bulan sudah. Ya, sebuah ruang persujudan. 
Masjid Nalapak, Ranau
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 16, 2017 13:55

July 14, 2017

Alhamdulillahi Rabbil alamin. Saya tiba di halaman terakh...


Alhamdulillahi Rabbil alamin. Saya tiba di halaman terakhir al-Qur'an usai Isya' malam tadi. Diajukan sahabat akan doa khatam al-Qur'an dan baru kali ini saya benar-benar memasuki tiap aksara dan baris maknanya, walau sebelum ini pernah mendengarnya berkali-kali. Allah ya Allah, mudah mudah al-Qur'an kian memimpin, sebagai cahaya, petunjuk dan rahmah buat hati saya yang masih belum bersih bersih. Ini bukan hanya kisah khatam, tetapi saya menerima al-Qur'an sebagai yang selalu menemani tanpa sebarang syarat mahupun pembatasan. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 14, 2017 16:20

Mawar Safei's Blog

Mawar Safei
Mawar Safei isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Mawar Safei's blog with rss.