Roslan Hamid's Blog, page 66

January 26, 2021

Jamadilakhir 14, 1442: Malam untuk tidur, bukan makan-makan! (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr)


KEMBARA solo saya telah membawa saya ke sejumlah negara Asean. Berdasarkan pandangan mata, saya dapati orang Malaysia paling ramai yang gempal, gemok dan boroi berbanding di negara lain seperti Indonesia dan Thailand.


Apa yang saya disaksikan itu adalah sama dengan Laporan 'Mengatasi Obesiti di Asean' yang merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2017, meletakkan Malaysia sebagai juara negara obes di Asia Tenggara.


Menurut laporan itu kadar obesiti di Malaysia adalah 13.3 peratus, manakala peratusan rakyatnya yang memiliki berat badan berlebihan adalah 38.5 peratus.


Salah satu penyumbang kepada masalah obesiti dan kesihatan ada makan berlebihan pada sebelah malam apatah lagi pada larut malam dan dinihari. Gaya hidup kurang sihat ini disuburkan dengan wujud dan tumbuhnya macam cendawan gerai dan restoran yang beroperasi sehingga subuh atau lebih teruk lagi dibuka 24 malam. 


Hal ini bermakna rakyat Malaysia makan dan terus makan pada bila-bila masa; jadi istilah sarapan, makan tengah hari dan makan malam seolah-olah tidak terpakai lagi. 


Situasi ini tidak berlaku di sesetengah negara  atau wilayah dan kota yang penguasanya berusaha agar kesihatan penduduk diberi perhatian serius. Sehubungan itu, kita menyambut baik usaha kerajaan Kelantan tidak lama dahulu untuk mengehadkan operasi premis menjual makanan sehingga jam 12 tengah malam.


Bercakap mengenai perkara ini, teringat saya kunjungan saya ke Manipal, India, tidak lama lagi. Manipal adalah sebuah 'bandar ilmu' terutama dalam bidang perubatan dan keadaan bandar ini yang agak unik dari kaca mata saya.


Manipal kira-kira enam dekad dulu, adalah sebuah kawasan berbukit tandus dengan hanya beberapa batang pokok. Tetapi di atas usaha seorang doktor berwawasan tinggi, Dr TM A Pai, bandar yang bermaksud 'kawasan berlumpur di tepi tasik' dalam bahasa Tulu bertukar menjadi pusat ilmu bukan saja menjadi kebanggaan India tetapi masyhur di peringkat antarabangsa. 


Universiti Manipal yang sempat saya kunjungi mempunyai 19 kolej, daripada bidang perniagaan, kejuruteraan dan sains kesihatan. Manipal juga berbangga dengan wujudnya Muzium Anatomi dan Pathologi (MAP) yang terbesar di Asia. Muzium ini menempatkan ribuan spesimen asli manusia (bukan plastik) daripada rangka hinggalah alat kemaluan mereka! 


'Keunikan' Manipal boleh 'dirasakan' sebaik saja seorang mendaftar masuk ke hotel penginapannya. Hanya sebutir kecil sabun perubatan disediakan dalam bilik (berbanding hotel di tempat lain yang menyediakan pelbagai kelengkapan seperti syampu); nampaknya penghuninya berusaha 'meminimumkan' penggunaan semua jenis barangan termasuklah plastik dan yang lebih penting lagi penjimatan elektrik. 


Apa yang mengejutkan saya, mulai jam 9.00 malam (berdasarkan pengamatan saya), bandar Manipal sudah bergelap apabila hampir semua lampu jalan dipadamkan. Pendeknya, kegiatan dan urusan luar rumah dan bangunan sudah terhenti; fikir saya mungkinkah orang Manipal sudah bersiap sedia untuk masuk tidur! 


Seorang pelajar mengesahkan dugaan saya itu. Katanya, menjelang tengah malam, hampir semua kegiatan dihentikan; restoran pun perlu menutup kedai pada jam 11.00 malam, demikian juga pelbagai kemudahan awam seperti perpustakaan. 


Pendeknya, malam bagi orang Manipal adalah untuk tidur dan bagi 'pemburu ilmu', mereka bersengkang mata di rumah sendiri bukannya 'merayap' di kedai-kedai 'mamak' dan makanan segera 24 jam; suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi di negara kita! 


Sebagai penghuni 'bandar ilmu', orang Manipal faham bahawa malam dijadikan Tuhan untuk berehat selepas berhempas pulas bekerja atau menuntut ilmu pada siang harinya. Selain itu mereka dapat berjimat dari segi penggunaan elektrik dan tenaga manusia. 


Apabila cukup tidur pada sebelah malam, bersemangatlah orang Manipal terutama puluhan ribu pelajarnya memburu ilmu pada siang harinya. Mungkinkah ini rahsia yang membuatkan Manipal semakin dikenali di kalangan cendekiawan dari seluruh pelosok dunia termasuk ribuan pelajar dari Malaysia yang menuntut di sana.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 26, 2021 15:19

January 25, 2021

Jamadilakhir 13, 1442: Sudah besar dalam 'pelukan' siapa? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 


ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.


Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.


Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.


Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali LARI daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.


Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!


Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.


Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.


Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?


Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. 


Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.


Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.


Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?


Ingatlah akan 7 (tujuh) golongan manusia yang akan mendapat naungan (perlindungan) Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Usahakan untuk menjadi pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh di atas kebiasaan ibadah kepada Rabbnya, lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah, lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya dan orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua-dua matanya basah menangis takutkan Allah. (HR. Al-Bukhari nombor 620 dan Muslim nombor 1712)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2021 15:33

January 24, 2021

Jamadilakhir 12, 1442: Refleksi 4: "My foot, you want to get 5A’s?”

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SEHINGGA kini saya masih menyimpan buku cerita 'Trixie Belden in Arizona' hadiah pihak sekolah rendah saya kerana mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima 1973.


Pada muka dalam kulit buku ada kertas pelekat tertulis - ...dihadiahkan kepada.........daripada darjah 5A kerana mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5, 1973 dengan ditandatangani guru besar.


Semasa anak-anak saya sedang membesar (lima orang semuanya), saya sengaja menayangkan pelekat dan buku itu di rak buku rumah bagi 'mencabar' anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan setara sekarang iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Alhamdulillah, tiga anak mendapat 5A manakala dua lagi 4A 1B. Bersyukurlah kepada Allah SWT di atas nikmat-Nya dan perlu diakui bahawa kejayaan seseorang itu seperti murid adalah kombinasi usaha dan kerja keras serta doa ibu bapa, guru, keluarga lanjutan (seperti datuk nenek, saudara mara dan adik beradik) dan tak terlupakan persekitaran dan pemerintah.


Kata bijak pandai, ibu bapa membawa kepada kelahiran kamu tetapi guru mempersiapkan kehidupan kamu. Jadi sewajarnya guru disanjung dan dihormati sepanjang zaman.


Imam Abu Hanifa pernah berkata: "Aku takkan meluruskan kaki menghala ke rumah guruku, Hamamd sekalipun ada tujuh lorong memisahkan rumah kami. Saya lakukan ini sebagai hormatku kepada tuan guru."


Kepada semua guru diucapkan ribuan terima kasih, jasamu sentiasa dikenang, semoga Allah membalasnya. Kepada semua guru rasmiku daripada darjah satu 1969 kepada tingkatan enam atas 1981 dan pensyarah di universiti, terima kasih semua...bagi yang telah meninggal dunia, didoakan mendapat keredaan dan pengampunan-Nya.


Kebanyakan kita, selepas dewasa baharu menyedari tempoh paling menyeronokkan dalam kehidupan adalah ketika zaman persekolahan, malangnya semua itu sudah berlalu - kita hanya menyimpan memori peristiwa menggembira atau menyedihkan.


'Guru rasmi' (sekolah) datang dan pergi daripada kehidupan kita tetapi pengajaran, bimbingan dan mungkin sekali-sekala cubitan dan rotan yang hinggap di punggung, kita akan diingat sampai bila-bila.


Demikian juga kata-kata yang mungkin dapat menjentik semangat untuk berjaya dan mungkin tanpa disedari guru (ya guru juga manusia biasa yang tak lekang daripada kesilapan) ada kata-kata pedas dan pedih tak terkawal yang maaf kata, mengheret anak murid ke kancah kehancuran. Jadi awas dalam tutur kata kita, hatta kepada anak murid.


Ya, dalam catatan awal, saya menceritakan saya mendapat 5A...itu kisah 'gembira' pada akhir tahun tetapi tahun itu sebenarnya dipenuhi dengan linangan air mata dalaman dan rasa kepahitan hidup bagi seorang budak berusia 11 tahun.


Suatu hari ketika kelas tambahan darjah 5A, guru kelas saya mengherdik saya dengan kata-kata yang sungguh melukakan - "my foot, you want to get 5A’s?” (muka kau nak dapat 5A?). 


Pada zaman itu murid darjah lima yang menduduki peperiksaan penilaian mengambil lima mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Tawarikh / Ilmu Alam. Setiap murid berusaha mendapat 5A dalam ujian awam pertama itu; saya juga bercita-cita begitu.


Saya bukan jenis 'budak main-main' dalam kelas tetapi masalah besar saya tak mampu membeli buku panduan/bimbingan dan latihan yang dikeluarkan khas bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan itu.


Bapa saya seorang tukang kebun sekolah, saya tahu gajinya tak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga besar kami apatah lagi semua anak lelaki dihantar ke sekolah Inggeris di bandar yang sudah tentu memerlukan belanja besar.


Saya bersyukur dihantar ke sekolah berkenaan tetapi ketika zaman persekolahan saya terpaksa menelan kepahitan hidup seperti tidak mempunyai buku teks mencukupi, gagal membayar yuran sekolah dan pada darjah lima itu tidak mampu membeli satu pun buku panduan yang disyorkan.


Bagi mengatasi masalah ini, saya meminjam buku-buku panduan itu daripada seorang rakan yang tinggal setengah kilometer daripada rumah saya dan menyalin setiap perkataan dalam buku itu ke buku latihan kosong saya.


Sebagai contoh, jika kelas tambahan yang diadakan pada hari Sabtu akan diajar Matematik dan Sains, saya akan salin beberapa topik dalam buku latihan saya lebih awal dan membawanya ke kelas.


Pada satu sesi kelas Sabtu, ramalan saya mengenai topik yang akan diajar tersasar, apa yang saya salin tidak sama dengan yang diajar oleh guru itu. Apabila guru meminta kami membuat latihan daripada buku panduan itu, saya hilang punca.


Saya cuba 'menghimpit' rakan sebelah untuk melihat bukunya, tetapi guru kelas yang melihat kejadian itu, terus menerpa ke arah saya dan melontarkan kata-kata yang sungguh melukakan itu -  “my foot, you want to get 5A’s?’


Sebagai budak berusia 11 tahun, saya tak tahu maksud sebenar kata-kata guru itu...namun saya tunduk sedih...dan apa yang saya lihat lagi menyedihkan...kasut yang saya pakai sudah lusuh benar malah bahagian hujungnya sudah koyak, menampakkan sebahagian jari kaki saya.


Saya rasa sungguh kecil sekali, sekolah Inggeris yang hebat itu kelihatan tidak layak bagi saya. Terfikir di benak saya, sekolah ini hanya untuk budak-budak daripada anak-anak orang kaya dan ternama; saya tahu bapa rakan sekelas saya adalah tokoh bank, doktor dan peguam.


Saya perasan (atau ini cuma anggapan saya) sesetengah guru hanya memberi tumpuan kepada anak orang-orang kaya. Saya lihat mereka ketawa, sentiasa bercakap dalam bahasa Inggeris yang menyebabkan diri ini iri hati.


Saya mahu berada bersama mereka tetapi tunggu dahulu...bahasa Inggerisku tak sebaik mereka, penampilan saya uhhh...dengan pakaian sekolah tak terurus, rambut tak bersikat dan kasut koyak itu...saya pasti imej saya tidak menyenangkan mana-mana guru.


Jadi bagi saya apa jalan penyelesaiannya...saya jauhkan diri daripada guru-guru tetapi meningkatkan tumpuan di kelas. Saya tak tahu cara saya ini betul atau salah, maklumlah saya terlalu 'hijau' dalam menempuh hidup.


Kata-kata keras - “my foot, you want to get 5A’s?" – melukai saya tetapi ia sebenar menjadi pencabar, pemangkin yang menyemarakkan kesungguhan dan memberi motivasi ke arah kejayaan. Saya tingkatkan usaha, bekerja dan berdoa kuat, berharap mendapat 5A dalam peperiksaan itu dan akhirnya ia dimakbulkan. Alhamdulillah.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2021 15:46

January 23, 2021

Jamadilakhir 11, 1442: Pejam mata saat tabung derma didorong...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Muazd bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka janganlah kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya." (HR. At Tabrani dan Abu Nuaim)


DAHULU pernah saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Gombak, Selangor. Masjidnya besar dan selesa. Khutbah Jumaat disampaikan khatib penuh bersemangat, antara lain membidas seorang tokoh antihadis. 


Sebelum itu, sesi tazkirah menjelang azan Jumaat juga menggetarkan jiwa, antaranya menyentuh perlakuan pemimpin yang menyalahi iktikad dan ucapan berhubung hukum Allah sedangkan perkara itu terkandung dalam kitab Mustika Hadith, terbitan Jabatan Perdana Menteri (JPM). 


Contohnya ada pemimpin yang mengungkapkan kata-kata seperti "hukum apa ini" dan "kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju." 


Terpegun saya mendengar khutbah dan tazkirah 'penuh bersemangat dan jitu itu' yang sudah pasti jarang atau lebih tepat lagi tidak pernah 'kedengaran' di masjid-masjid negeri lain.


Syabas, saya ucapkan di atas 'keterbukaan' itu, namun 'ada satu hal' yang tidak berkenan di mata dan hati saya berlaku ketika khatib berkhutbah di mimbar. Saya amat-amati pada saat jemaah diperlukan untuk 'concentrate' (menumpukan sepenuh perhatian) kepada khutbah, seorang anak muda berjubah dan berserban bergerak dari satu saf ke satu saf dengan kantung besar di tangan. 


Dia berjalan sambil mengutip derma; 'kelibatnya' sahaja sudah cukup membuatkan jemaah mengalih tumpuan daripada khatib dan ketika dia melintasi jemaah, ada pelbagai aksi dilihat seperti jemaah terkial-kial mengeluarkan dompet, ada mengeluarkan wang dan ada yang seolah-olah 'menayangkan' wang kertas yang mahu didermakan.


Perlakukan si pengutip derma dan gelagat penderma mungkin lebih teruk daripada mengungkapkan kata-kata 'diam' kepada rakan se-Jumaat. Kerap benar sebelum khutbah, bilal akan membacakan sebuah hadis daripada Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: "Apabila kamu berkata kepada rakan kamu untuk diam sedang imam berkhutbah, maka dikira sia-sia Jumaat kamu." 


Beberapa tahun lalu ketika saya menjadi jemaah Jumaat secara tetap di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan, ada seorang tua 'terhinjut-hinjut' berjalan dari saf ke saf mengutip derma ketika khutbah; penampilannya begitu menyentuh hati. Saya pun turut sama menderma, fizikal sang pengutip derma membuatkan kita belas kepadanya, dan secara automatik tangan diseluk ke poket, mahu menderma. 


Namun selepas disedarkan melalui kelas pengajian apabila ada ustaz memberitahu kaedah fiqh, mengutamakan perkara lebih utama daripada yang utama, barulah saya tahu perbuatan menderma ketika khutbah Jumaat itu tidak wajar - yalah menderma itu sunat sedangkan menumpukan konsentrasi kepada khutbah itu wajib, jadi tidak mungkin yang sunat dapat mengatasi yang wajib. Melakukan perkara sunat boleh jadi tidak sah kerana kita telah mengabaikan yang wajib. 


Keyakinan saya mengenai perkara ini menjadi semakin jitu apabila saya 'terjumpa' sebuah buku panduan jabatan mufi sebuah negeri mengenai perbuatan menderma ketika Jumaat ini. Namun, apa yang saya musykilkan mengapa buku ini tidak disebarkan secara meluas, pembaca boleh memikirkannya sendiri.


Dalam buku yang bertajuk 'Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid Dan Surah Negeri...' itu ada disebut mengenai hukum mengerakkan tabung derma antara jemaah ketika imam sedang berkhutbah: 


"Perbuatan mengerakkan tabung derma masjid semasa khatib sedang membaca khutbah sekiranya menyebabkan ahli Jumaat terganggu atau memalingkan mereka daripada mendengar khutbah maka ia termasuk perbuatan yang tidak digalakkan dan menghilangkan fadilat Jumaat. 


"Justeru, amalan tersebut walaupun mempunyai tujuan yang baik tetapi tidak digalakkan kerana pelaksanaannya boleh menimbulkan gangguan kepada jemaah. Jawatankuasa masjid dinasihatkan agar mencari kaeadah lain umpamanya mengedarkan tabung sebelum khutbah dimulakan, meletakkan tabung di setiap pintu masuk masjid, memperbanyakkan tabung untuk memudahkan jemaah menderma dan membuat pengumuman kepada jemaah agar menderma." 


Selepas yakin bahawa perbuatan menderma ketika khutbah Jumaat adalah tidak wajar, apabila ada tabung derma yang disorongkan di depan saya, kerap benar saya pura-pura pejam mata, namun ada jemaah yang 'kuit' perut atau tangan saya, 'menyuruh' agar tabung itu dijalankan, maka mahu tidak mahu saya menolaknya! 


Ya saya bimbang perbuatan itu boleh menjejaskan Jumaat saya dan jemaah lain, tapi persoalannya apa yang boleh saya lakukan?


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 23, 2021 15:35

January 22, 2021

Jamadilakhir 10, 1442: Susahnya nak solat Jumaat

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Bahawasanya manusia itu dijadikan berkeluh kesah, apabila ditimpa kesusahan dia sangat resah gelisah, apabila beroleh kebajikan dia bersifat kikir dan menahan kebajikan, melainkan orang-orang yang mendirikan solat." (Al-Ma'arif: 19-22)


RABU, 19 Januari, seorang saudara membawa perkhabaran gembira. Katanya, pada Jumaat, 15 Januari, masjid/surau di kawasannya dibenarkan solat Jumaat tetapi dihadkan jemaahnya 40 orang sahaja. Jadi pada Jumaat, 22 Januari cubalah, 'try' pergi solat Jumaat di mana-mana masjid atau surau, katanya.


Jadi, pada jam 12.30 tengah hari Jumaat, 22 Januari saya pun segera ke masjid di kampung saya. Di beranda depan masjid, segera saya 'menyuakan' muka di depan alat pengimbas suhu. Terpampang 36 darjah. Insya-Allah, aku dapat masuk, bisik hati saya.


Namun, teng, teng, teng...baharu aku nak melangkah masuk, seorang AJK masjid, bertanya...abang ada dapat 'whatsapp' ke? Tercengang aku dibuatnya. "Kalau tak ada whatsapp, nama abang tak ada dalam senarai, tolong balik..."


Saya lihat seorang jemaah sedang bertegang leher dengan seorang AJK. Dia mendakwa mendapat 'whatsapp' tetapi AJK berkata namanya tidak tersenarai. Jemaah itu marah-marah. Itu dia punya hal, saya tak nak campur tangan.


Saya dah tahu nasib diri. Jadi cepat-cepat saya 'blah'. Saya 'mencari' surau pula. Kata saudara saya yang membawa berita gembira sebelum ini, surau ini mengamalkan kaedah 'first come basis' (siapa cepat dia dapat)...cukup 40 orang, pintu surau ditutup...


Saya tahu saya sudah lambat. Peluang tipis. Tetapi cubalah 'try'. Sebaik-baik memakir motosikal di seberang jalan surau, seorang AJK melolong..."Bang minta maaf. Sudah penuh." 


Dengan berat hati, saya pun naik motor tetapi sebaik saja mahu menendang 'starter' AJK yang sama melolong balik..."Bang ada satu kosong..."


Masuk dalam surau, seorang AJK lain menunjukkan tempat saya. Sudah dibentangkan sejadah di situ. Kedudukannya di saf ketiga, belakang imam.


Alhamdulillah, bersyukur aku kerana dapat solat Jumaat. Saya tak tahu macam mana tiba-tiba ada kekosongan. Kerana terlalu gembira, aku pun sujud syukur.


Syukur ya Allah. Itulah sekarang ini nak solat Jumaat pun susah nak dapat. Macam kita pergi ke Masjidilharam masa 'dulu-dulu'. Susah betul nak dapat solat di depan Kaabah apatah lagi nak kucup Hajar Aswad.


Jadi kepada semua, jika ada peluang beribadat, buat bersungguh-sungguh. Jangan tangguh-tangguh. Seperti sekarang, kita masih hidup, jadi 'pulun' betul-betul dalam beribadat, nanti dah mati...apa pun tak guna!



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2021 13:09

January 21, 2021

Jamadilakhir 9, 1442: Kubur kau kubur kau, kubur aku kubur aku...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: 'Tuhanku telah memuliakanku'. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: 'Tuhanku menghinaku'." - Maksud Ayat 15-16 Surah Al-Fajr


KETIKA ke masjid di kampung saya untuk solat zuhur, saya ternampak sebuah keranda yang ditutupi kain di tepi dinding. Ya, ada orang kampung meninggal tetapi saya tidak tahu siapa.


Selepas solat zuhur, dilangsungkan solat jenazah; keranda pun dipikul orang ke kuburan. Sekalipun si mati tidak saya kenali, saya berusaha mengangkat keranda, sama-sama menyembahyangkannya dan kemudian ke kuburan.


Daripada apa yang saya dengar pada kelas pengajian, orang yang menyembahyang mayat mendapat ganjaran satu qirat dan jika dia turut hadir di pengkebumiannya, dia akan mendapat ganjaran dua qirat. Teringat kelebihan ini, saya pun bersama-sama ke kubur walaupun saya tidak tahu siapa si mati.


Apakah ganjaran qirat itu? Daripada Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengkebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud’.” (Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 1575)


Di kuburan, saya hanya jadi penyaksi kerana sanak saudara si mati begitu ramai. Saya lihat mereka perlahan-lahan menurunkan mayat, disambut tiga lelaki yang sudah ada dalam kubur. Mayat diletakkan dalam liang lahad. Apabila semuanya sudah beres, tanah pun dimasukkan perlahan-lahan, kemudian mereka mencangkul tanah dengan cepat bagi menimbus kuburan itu.


Ketika itu saya dapat saksikan, ada beberapa orang yang sedang bekerja itu bergurau dan ketawa-ketawa. Hairan, mereka masih boleh gelak-gelak ketika mengkebumikan saudara sendiri.


Apakah maksud semua ini? Ertinya orang yang hidup masih dengan ‘drama di pentas kehidupan’ masing-masing, orang yang mati, awak tanggunglah sendiri baik buruk apa yang kamu lakukan semasa hidup di atas muka bumi.


Itulah agaknya, kata-kata seperti ‘kenapa menyibuk hal aku, bukankah kubur kau, kubur kau; kubur aku, kubur aku!” Sekalipun ungkapan ini begitu negatif sekali, setiap orang wajar ingat bahawa dia perlu menyediakan bekalan semaksimum mungkin sebelum dia memasuki kuburnya kerana orang lain apa peduli kerana ‘ketika mengkebumikan kita pun mereka masih boleh ketawa-ketawa’.


Sebenarnya ketika hidup tidak ramai orang memikirkan rumah mereka dalam tanah itu. Hanya sedikit orang teringat akan rumah yang satu itu, apatah lagi membuat persediaan untuk memasukinya. Ramai tidak bersedia, tetapi mahu tak mahu, suatu hari kita tetap akan memasukinya.


Sufyan Ats-Tsauri berkata: “Barang siapa yang banyak mengingat kubur maka dia akan mendapatkan kubur itu sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan barangsiapa yang lalai kepada kubur maka dia akan mendapatkan kubur itu sebagai salah satu jurang daripada jurang-jurang neraka”.


Sayidina Ali karromallahu wajhahu di dalam khutbahnya mengatakan: “Wahai hamba Allah ingatlah mati, ingatlah mati kerana kamu tidak dapat menghindar daripadanya. Apabila kamu diam, maka ia akan datang menghampirimu; dan apabila kamu lari, ia akan mengejarmu. Ia terikat pada ubun-ubunmu. Carilah keselamatan, carilah keselamatan. Di belakangmu ada kubur yang selalu mengejar kamu. Ingatlah bahawa kubur itu merupakan salah satu taman daripada taman-taman syurga, dan boleh pula merupakan salah satu jurang daripada jurang-jurang neraka. Ingatlah bahawa sesungguhnya kubur itu setiap hari berbicara tiga kali dengan perkataan; “aku adalah rumah gelap, aku adalah rumah dukacita, dan aku adalah rumah ulat.”.


Jika rumah abadi dalam tanah itu tidak ramai yang peduli, hampir semua orang bermati-matian dan bergolok gadai akan hal rumah sementara mereka di dunia ini. Mereka berlumba-lumba membina kediaman paling hebat dan segak. Manusia yang sering lalai lupa rumah di dunia ini adalah sementara saja, mereka menyangka kehidupan di dunia adalah abadi untuk mereka nikmati sampai bila-bila.


Disebakan hal ini sebahagian besar daripada manusia bermati-matian mengumpul wang ringgit, kemudian berbelanja habis-habisan untuk membina rumah kediaman bagai mahligai dengan bahan binaan yang mahal termasuklah batu marmar yang diimport. Hiasan dalaman juga begitu hebat, kebanyakan perabotnya juga didatangkan dari luar negara.


Dari segi ukuran akhirat, rumah adalah pelaburan paling merugikan kerana tidak banyak kebaktian dapat dibuat dengannya, apatah lagi apabila seseorang itu bertindak memasang pagar dan tembok tinggi di sekeliling kediamannya menyebabkan orang fakir, miskin serta yang memerlukan bantuan tidak dapat ditolong.


Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda bermaksud: “Setiap harta yang dinafkahkan itu kesemuanya dikira fisabilillah kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya.”  


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2021 15:32

January 20, 2021

Jamadilakhir 8, 1442: Hukum merokok menjurus kepada haram (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Muazd bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka janganlah kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya." (HR. At Tabrani dan Abu Nuaim)


HEBOH seantero dunia dalam gabus (filter) rokok ada sel babi. Namun saya perhatikan perokok tegar tidak ambil 'pot'. Di bahagian beranda surau kampung saya ada tersedia beberapa tempat habuk rokok. Demikian juga di beberapa surau dan masjid lain di seluruh negara. Ramai orang veteran gemar duduk-duduk di tangga atau beranda surau dan masjid, menghembuskan asap penuh kenikmatan, terutama selepas solat asar dan isyak.


Jadi, tidakkah 'asap babi' bertebaran di ruang surau dan masjid. Apakah hukum perbuatan ini?


Di sini sukacita saya menjalankan amanah menegur perbuatan merokok berdasarkan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka.


1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.


2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.


3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.


4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.


5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.


6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.


7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.


8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.


9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.


10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.


Sehubungan itu saya berharap, penghisap rokok menghentikan tabiat buruk itu terutama di beranda serta tangga surau dan masjid. Dibimbangi anda menghebus dan menebarkan asap zat babi dalam masjid dan surau. Tentulah ini kesalahan amat serius dan suatu dosa besar.


Kepada pengurusan masjid dan pihak penguat kuasa agama, saya berpendapat tidak cukup dengan hanya meletakkan papan tanda DILARANG MEROKOK atau MEROKOK ADALAH HARAM di dinding atau ruang depan masjid.


Tangkap saja orang merokok di kawasan masjid terutama di berandanya dan hadapkan mereka ke mahkamah. Apabila berita mereka tersiar di dada-dada akhbar, barulah penghisap 'sel babi' di kawasan sekitar masjid akan takut dan lama kelamaan akan insaf.


Kepada penanam tembakau, marilah kita bersama-sama menukar kepada tanaman lain untuk mendapat keberkatan Ilahi. Sekian, harap dimaaf teguran saya dan terima kasih.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 20, 2021 15:37

January 19, 2021

Jamadilakhir 7, 1442: Refleksi 3: Ilmu alam...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


SUDAH banyak kali saya berpesan kepada anak-anak selepas menyenduk nasi daripada periuk nasi, bekas nasi di senduk perlu dilurut-lurut supaya sebutir nasi pun tak tertinggal dan terbiar...ya jangan membazir sekalipun dengan sebutir nasi. Jangan biar senduk itu 'berbulu'.


Namun nasihat saya kurang diendahkan...anak-anak tetap dengan perangai lama, hanya kadang-kadang 'ok'...demikian susah mendidik anak-anak pada zaman hampir setiap orang asyik berkepit dengan telefon pintar ini.


Mungkin anak-anak tidak melalui pengalaman saya berkaitan sawah dan padi...jadi mereka tak peka. Ya, maafkan mereka. Mungkin cara pendidikan saya kurang tepat kerana bukankah Sayidina Umar Al-Khattab (atau Sayidina Ali k.w.j) berkata didiklah anak-anak mengikut cara zaman mereka, bukan zaman kita?


Hampir 50 tahun lalu (ketika itu usia saya 9-12 tahun) saya membantu emak dan ayah bersawah padi. Bapak saya sentiasa di tempat kerjanya manakala emak sibuk di rumah, maka kerap benar tugas di sawah, sayalah 'in charge' (dipertanggungjawabkan).


Suatu petang hujan lebat, namun saya tetap ke bendang. Aiii, ketika itu hidup kita macam 'Tarzan' jadi apa nak dihairankan. Tak pernah terfikir pun dalam otak saya jika berada di kawasan lapang seperti sawah padi tersangat bahaya kerana mudah disambar petir, aiii boleh mati ooi!


Sampai di petak-petak sawah kami, saya lihat sebahagian batas (ban) sudah pecah. Air mengalir deras dari petak atas melalui batas yang sudah runtuh itu, merempuh serta menenggelamkan rimbunan anak padi di petak sebelah yang mulai menghijau.


Saya menjadi panik. Apa nak buat ni...kalau dibiarkan mahu habis separuh anak-anak padi di petak bawah itu tercabut dan musnah. Saya cuba membaiki batas itu. Saya cangkul dan himpun tanah dan kemudian memupuknya di batas yang pecah itu. Saya bekerja 'macam nak gila'....tetapi hasilnya sia-sia sahaja.


Tanah yang saya pupuk mudah dihanyut arus deras...dan selepas menyedari hari hampir senja (orang akan bang/azan tak lama lagi) saya terduduk di atas batas dalam hujan memerhatikan saja anak-anak padi dirempuh arus deras. Sayu saya menyaksikan separuh petak sawah sudah tenggelam dengan banyak anak padi tercabut dibawa arus.


Peristiwa hampir 50 tahun ini masih terpahat di depan mata ini...ya 'kecik-kecik' lagi saya sudah sedar dan insaf bahawa bukan mudah untuk 'menaikkan' hatta sebutir nasi di di atas meja makan. Hakikatnya, banyak orang berkorban bagi membolehkan kita menikmati sarapan, makan tengah hari dan malam.


Petani bertungkus-lumus di sawahnya - ada kala hasil menjadi, ada kala tidak. Seperti saya yang berlinangan air mata 50 tahun lalu menyaksikan anak-anak padi saya musnah, mereka pastilah melalui pengalaman lebih hebat dan dahsyat lagi...


Ya wahai anak-anak, nasi yang berada di pinggan anak-anak itu adalah hasil perit jerih petani. Hargailah nasi itu walaupun sebutir cuma. Ia nampak kecil tetapi satu butir nasi itu dihimpunkan ia menjadi sepinggan nasi. Namun, yang paling penting anak-anak perlu ingat bahawa sebutir nasi itu adalah kurniaan daripada Yang Maha Hebat iaitu Allah SWT. Pandanglah Sang Pencipta, insya-Allah anak-anak akan hargai walau sebutir nasi atau padi.


Peristiwa berkaitan alam (ilmu alam) banyak mengajar saya dalam menempuh kehidupan. Ketika kecil, alam saya banyak berkaitan sawah padi. Rumah kami dikelilingi sawah padi...saya suka pemandangan dan bau lumpur tatkala petani membajak sawah. Bau hujan turun dari cerun atap juga 'mengasyikkan'.


Burung-burung seperti wak-wak (ruak-ruak) dan pucung kelihatan berlarian atau berterbangan menyelamatkan diri ketika bendang dibajak. Apabila ke sawah, mudah bagi saya menangkap ikan seperti betuk (puyu), sepat, haruan dan keli yang sudah mabuk atau mati.


Apabila bendang sudah dibersihkan termasuk daripada menerung dan bertukar menjadi hamparan permaidani hijau...tibalah saat yang saya nanti-nantikan...menangkap ikan dengan 'skil' (kemahiran) yang dipelajari secara sendiri (semula jadi). Yalah, dahulu mana ada 'Youtube' yang dapat dijadikan rujukan untuk membuat perangkap ikan dan sebagainya..


Ikan sawah boleh ditangkap dengan pelbagai cara tetapi di sini saya merujuk kepada tajur kerana ada peristiwa berkaitan yang pengajarannya sehingga kini menjadi pegangan saya dalam kehidupan.


Tajur adalah teknik menggunakan batang buluh yang dipasang dengan mata kail besar dan berumpankan binatang hidup seperti 'kodok' (katak kecil) dan ikan kecil seperti sepat. Binatang ini sengaja dibiarkan hidup kerana tindakannya meronta-ronta itu akan menyebabkan ia segera disambar haruan. Memang haruan sangat rakus menyambar mangsanya.


Tajur (buluh) dipacak di tanah (batas) dan anak katak atau ikan yang ditusuk mata kail itu dibiarkan meronta-ronta dalam sawah. Sungguh kejam saya, sekarang saya sudah insaf - tak nak buat lagi. Tajur dibiarkan begitu...sejam atau dua jam kemudian kita datang balik untuk melihat hasilnya.


Namun semasa ketiadaan kita, pemburu ikan lain mungkin 'kebas' (curi) hasil kita. Untuk mengelakkan hal ini, selalunya saya benamkan tajur (buluh) saya dalam air dan meletakkan penanda di batas yang hanya saya kenal.


Suatu petang saya menjerit gembira kerana tajur saya mengena (ini pada ketika usia saya sembilan tahun, baharu belajar memancing). Saya mengangkatnya. Alangkah hebatnya, ada seekor haruan besar di hujung joran.


Saya berjaya mendaratkan ikan itu di atas batas...tetapi macam mana saya tersilap bertindak dengan membawa lari ikan itu pulang ke rumah dengan cara memegang joran dan membiarkan ikan besar itu terkontang-kanting di udara (hujung joran).


Ketika berlari-larian itu, ikan itu membuka mulutnya dan ooshh berdebur jatuh dalam sawah. Tergamam saya dibuatnya. Berputih matalah saya...ikan besar yang saya bayangkan akan dibuat masak lemak daun kesom dan kantan sudah terlepas...Terbeliak biji mata saya dibuatnya.


Alhamdulillah, peristiwa alam ini mengajar saya satu hal - berpegang kuatlah kepada apa-apa yang sudah anda miliki dan sesuatu usaha itu buatlah bersungguh-sungguh, jangan banyak berangan-angan. Kalau sudah dapat ikan tu (atau apa-apa pun), pegang dia betul-betul, jangan biar terlepas. Kalau dah dapat kerja, kerja betul-betul biar sampai berjaya...


Kepada anak-anak semua, bersungguh-sungguhlah dalam semua perkara. Kata orang tua-tua, genggam bara biar sampai jadi arang, jangan jadi macam Mat Jenin, asyik beranggan-anggan sehingga jatuh dari puncak pokok kelapa. Istiqamahlah kita dalam melakukan perkara diredai Allah SWT sehingga kita dijemput-Nya. Amin.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 19, 2021 15:33

January 18, 2021

Jamadilakhir 6, 1442: Hari suamiku pulang’…(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


SUDAH lama saya tidak tengok drama Melayu di kaca televisyen. Lama dulu pernah saya cuba ‘menumpang tonton’ drama yang sedang disaksikan anak saya…ceritanya ‘entah apa-apa’ (kisah cinta muda-mudi tak bertempat)…jadi saya pun ‘blah’ kerana bagi saya ia membazirkan masa saja.


Terfikir di benak saya alangkah bagus dibuat drama atau teater berdasarkan kisah teladan termasuk yang membabitkan sahabat Rasululllah s.a.w. seperti ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ yang dipentaskan tidak lama dulu. Alangkah bagus jika kisah teladan masa lampau digarap dan diadaptasikan dalam drama atau filem mengenai kehidupan hari ini supaya ia dapat menjadi panduan kepada masyarakat.


Dalam saya berfikir-fikir ‘ketandusan’ mutu drama-drama kita, secara kebetulan dalam kuliah antara maghrib dan isyak di sebuah masjid yang saya hadiri, ustaz yang mengkuliahkan kitab Riyadhus Shalihin karya Imam Nawawi, membicarakan kisah Ummu Sulaim, sang isteri yang bijaksana iaitu ibu kepada pembantu Rasulullah s.a.w., Anas bin Malik.


Sang ustaz membicarakan kebijaksanaan Ummu Sulaim yang solehah dalam menjaga kebajikan suaminya, Abu Talhah (bapa tiri Anas). Diriwayatkan oleh Anas, dia berkata: “Pada suatu ketika seorang putera Abu Talhah dan isterinya yang bernama Ummu Sulaim, meninggal dunia; Ummu Sulaim berkata kepada keluarganya: “Janganlah kalian memberitahu musibah ini kepada Abu Talhah sehingga saya sendiri yang akan memberitahukannya.”


Tidak lama kemudian Abu Talhah tiba di rumah. Seperti biasa, Ummu Sulaim menghidangkan makan malam untuk suaminya. Lalu Abu Talhah makan dan minum dengan senangnya. Kemudian Ummu Sulaim mula berhias LEBIH CANTIK daripada hari biasanya hingga Abu Talhah menggaulinya.


Setelah mengetahui bahawasanya Abu Talhah telah merasa puas dan lega, maka Ummu Sulaim berkata: “Wahai Abu Talhah, bagaimana menurut pendapat engkau apabila ada sekumpulan orang memberikan pinjaman kepada suatu keluarga. Kemudian, ternyata pinjaman tersebut mereka minta kembali. Apakah boleh keluarga itu menolak permintaannya?”


Dengan mantap Abu Talhah menjawab: “Tentu saja keluarga itu tidak boleh menolak permintaan kumpulan itu.” Lalu Ummu Sulaim berkata: “Maka demikian dengan anak kita, ketahuilah bahawasanya anak kita yang tercinta telah diminta oleh Zat yang telah Mencipta dan Memilikinya. Oleh kerana itu relakanlah kematian putera kita tersebut.”


Betapa terkejut dan marahnya Abu Talhah mendengar informasi yang disampaikan isterinya itu. Lalu dia pun berkata kepada isterinya: “Mengapa kamu tidak memberitahu terlebih dahulu berita ini? Tetapi kamu memberitahukannya kepadaku setelah aku menggaulimu?”


Keesokan harinya Abu Talhah pergi menemui Rasulullah s.a.w. untuk menceritakan kepada beliau tentang apa yang telah terjadi pada keluarganya. Mendengar cerita sedih tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah memberkati kalian berdua dalam menjalani malam kalian (persetubuhan).” Maka beberapa lama kemudian ada seorang dari kalangan Ansar berkata: “Aku melihat kedua-duanya (Abu Talhah dan Ummu Sulaim) memiliki sembilan anak yang semuanya telah hafal al-Quran.”


Sang ustaz dalam kuliahnya menekankan bahawa Ummu Sulaim telah BERHIAS paling cantik untuk suaminya dan hal ini perlu diambil perhatian oleh isteri-isteri moden hari ini. Ini kerana ramai para isteri berhias paling cantik siap dengan semburan minyak wangi apabila keluar rumah untuk urusan bekerja dan sebagainya tetapi dalam rumah apabila berhadapan dengan suami hatta di bilik tidur dengan baju dan kain batik atau baju kelawar kusam.


Jadi terfikir di benak saya, tidak bolehkah orang filem atau drama kita membuat filem misalnya dengan tajuk ‘Hari Suamiku Pulang’ atau 'Menunggu Kepulangan Suamiku' bagi menggambarkan suasana pada hari seorang isteri menyambut kepulangan suaminya, misalnya kembali ke pangkuan keluarga selepas meringkuk dalam penjara gara-gara ISA. Atau ditahan selepas protes 'Bersih'.Tunjukkan bagaimana istimewanya layanan seorang isteri kepada suaminya seperti dicontohkan oleh Ummu Sulaim. Bagaimanapun, janganlah dipamerkan ‘perkara bukan-bukan’ – jagalah batasan agama.


Dengan adanya drama atau filem yang mengandungi unsur dakwah ini, diharapkan dapat mengubah minda anggota masyarakat seperti dalam kes ini isteri berpakaian sedap dipandang mata suami (tidaklah berbaju kelawar atau berkemban dengan kain batik lusuh ke sana sini) dan pada hari 'spesial' dia berpakaian 'seksi gila', tetapi sang ustaz mengingatkan jika suami mahukan sedemikian, isteri pun mahu melihat kehebatan penampilan suaminya, jadi pada suami janganlah di rumah asyik 'berkemban' dengan kain pelikat gombang...sesekali pakailah kot dan 'tie'!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2021 15:40

January 17, 2021

Jamadilakhir 5, 1442: Mencari pengajar lesen L wanita (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


SEORANG anak gadis saya kini duduk-duduk saja di rumah; menunggu keputusan peperiksaan SPM-nya. Ingatkan dia dipanggil menyertai PLKN, tetapi tidak pula. Bagi mengisi masa lapang, saya mengesyorkan dia belajar memandu kereta. Dia bersedia belajar; jadi terpaksalah saya menyediakan wang bagi membayar pelbagai yuran dan kos pengajian yang mencecah RM1,000.


Sebelum ini dua orang anak saya yang pernah belajar memandu ini adalah lelaki; tidaklah saya peduli sangat di mana dan dengan siapa mereka belajar, tetapi apabila anak gadis saya mahu belajar memandu, saya usahakan mencari tenaga pengajar wanita. Ya, wanita belajar dengan wanitalah, tetapi masalahnya wujudkah pengajar wanita itu?


Memang susah mencari tenaga pengajar wanita. Saya bertanya ke sana dan sini, semuanya menjawab tidak tahu. Mereka tidak tahu kewujudan pengajar lesen L wanita. Agak-agak saya di seluruh negeri kami tidak ada pengajar lesen L wanita.


Namun mungkin niat dan keazaman kuat saya untuk mendapatkan pengajar wanita untuk mengajar anak gadis saya, suatu hari ketika saya sedang memandu, Allah 'menemukan' saya dengan pengajar wanita itu.


Ya, di depan kereta saya ada sebuah kereta L, bergerak perlahan-lahan macam kura-kura; saya meneka yang memandu itu seorang gadis pelajar manakala pengajarnya seorang wanita! Apalagi, bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya pun mengikuti kereta ini yang akhirnya masuk ke kawasan latihan memandu.


Kereta itu berhenti; wanita pengajar itu turun dari keretanya, bertanya apa saya mahu kerana mengekorinya. Terus saja saya katakan saya mencari seorang pengajar L untuk anak gadis saya. Orang itu ketawa dan saya pun ketawa. Lama kemudian baru saya perasan bahawa pengajar L itu adalah Lisa, orang yang telah mengajar hampir semua adik beradik perempuan saya dan juga isteri saya mendapatkan lesen kereta lama dulu.


Pada tahun-tahun 1990-an, bapa saya memberi kepercayaan kepada Lisa untuk mengajar anak-anak gadisnya, tetapi selepas puluhan tahun saya sudah terlupakan si Lisa sehinggalah pertemuan terbaru itu.


Saya ingatkan Lisa ini sudah 'pencen' kerana usianya sudah hampir 70 tahun; rupa-rupanya dia masih 'ligat' mengajar 'budak-budak' mendapatkan lesen kereta. Syabas Lisa kerana 'perjuanganmu', tetapi apa yang ingin saya suarakan di sini; semua pihak perlulah berusaha untuk 'meramaikan' tenaga pengajar lesen kereta wanita.


Alangkah 'indahnya' (tentunya faktor agama seperti batas pergaulan perlu diberi perhatian) jika wanita diajar memandu oleh wanita; tidaklah mereka terdedah kepada fitnah jika berdua-duaan dalam kereta dengan pengajar lelaki.


Jadi kepada wanita yang berkelayakan, saya menyeru jadilah tenaga pengajar lesen L agar 'wanita dapat mengajar wanita juga' dan yang paling penting, kita dapat 'menjaga' agama kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 17, 2021 15:44

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.