Roslan Hamid's Blog, page 70
December 15, 2020
Jamadilawal 1, 1442: Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kalau seseorang kamu sedang sembahyang, maka janganlah membiarkan orang lalu di hadapannya. Jika ada yang lewat, hendaklah dicegah sedapat mungkin. Dan kalau ia enggan, pukullah ia kerana orang itu serupa syaitan." (Sahih Muslim)
KHUTBAH Jumaat lalu, antara lain khatib membicarakan sebuah hadis yang bermaksud, perguna lima perkara sebelum datang lima perkara. Kata khatib pada hari kiamat kelak seseorang itu tidak akan dapat bergerak selagi pertanyaan terhadap lima perkara itu tidak beres.
Secara kebetulan, penulis ada membicarakan perkara ini dalam tulisan penulis sebelum ini dalam bahasa Inggeris yang bertajuk 'Take benefit of 'five' before another 'five'.
In a hadith narated by Ibn Abbas: Allah’s Apostle s.a.w., said: “Take benefit of 'five' before 'five': your youth before your old age, your health before your sickness, your wealth before your poverty, your free-time before your preoccupation and your life before your death.”
Terjemahan Melayunya: Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu berada (kaya) sebelum jatuh papa (miskin), masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."
Khatib mengingatkan jemaah bahawa kehidupan manusia sebenarnya adalah satu perjalanan yang cukup singkat (masanya diibaratkan berteduhnya seorang pengembara di bawah sebatang pokok sebelum berangkat pergi) untuk menemui Allah SWT. Sehubungan itu dalam perjalanan itu perlulah diisi dengan segala keperluannya agar apabila berlaku pertemuan dengan Allah nanti tidaklah kita membawa tangan kosong, atau lebih malang lagi membawa onar dan keburukan diri.
Beliau mengambil kiasan seorang perantau yang mahu pulang ke kampung berhari raya. Tentunya kepulangan yang menggembirakan itu dihiasi dengan pelbagai persiapannya. Duit, pakaian, kenderaan, semuanya sudah dipastikan dalam keadaan 'tip top' agar keberadaan kita di kampung nanti menggembirakan semua.
Tetapi cuba bayangkan orang yang mahu balik kampung tetapi tidak membuat persediaan. Misalnya, mahu balik kampung tetapi tidak 'booking' tiket bas. Kemungkinan besar dia tidak sampai ke kampung, meranalah dia menyambut hari raya berseorangan di kota, tanpa kaum kerabat dan sahabat handai.
Demikian juga bagi yang berkenderaan, tetapi keadaannya terabai. Nasib baik sampailah ke kampung halaman, jika tidak berhari rayalah di lebuh raya. Demikian juga dengan duit, ada duit adalah yang sayang, tak da duit abang melayang...
Jika untuk berhari raya sehari dua di kampung, kita memerlukan persediaan yang cukup hebat, jadi tentulah persediaan kita untuk ke alam kubur (barzakh) seterusnya akhirat yang menjadi destinasi TERAKHIR kita memerlukan pengorbanan paling besar.
Lengkapkan diri untuk menghadapi saat itu, kerana tidak mungkin kita boleh kembali semula ke dunia bagi menebus semula kesilapan kita selepas berlaku kematian. Jadi pergunakanlah sepenuhnya HIDUPMU sebelum MATIMU.
Bagaimana mahu memastikan kita tidak rugi semasa hidup? Khatib membacakan Surah Al-Asr yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."
Jadi adakah kehidupan kita kini bertepatan dengan ayat ini? Sehubungan itu, marilah kita mengkoreksi dan menghitung diri sebelum diri kita dihitung oleh Allah SWT
December 14, 2020
Rabiulakhir 29. 1442: Indikator mengentarkan Zionis, musuh Islam...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SEJAK 'perintah berkurung' mulai 18 Mac lalu, rakyat tak berapa bebas bergerak sama ada di dalam atau luar negara. Jemaah Tabligh yang kerap menghantar pendakwah 'keluar 40 hari' turut terkesan.
Tidak lama dahulu, saya sempat berbual-bual dengan beberapa anggota Jemaah Tabligh yang kerinduan untuk pergi berdakwah. Ada jemaah ini sudah sampai ke India dan Sri Lanka.
Mereka menceritakan kepada saya perkembangan sangat menarik ini - Muslim di Sri Lanka dan sebahagian India bersemangat mengamalkan sunah-sunah Rasul s.a.w. - misalnya masjid-masjid di negara ini (sebelum pandemik Covid-19) solat waktunya sentiasa penuh dengan jemaah termasuklah solat subuh.
Jemaah yang ke negara ini untuk misi 40 hari atau tiga bulan, berkata perkembangan ini adalah indikator bahawa Muslim seantero dunia akan akhirnya bangun daripada tidur yang panjang. Selama ini orang Islam diperkotak-katikkan di hampir semua penjuru dunia termasuk di India dan Sri Lanka.
Ketika ini saudara-saudara Muslim seperti orang Palestin, Rohingya, Kashmir dan Uighur menjadi mangsa kezaliman rejim musuh Islam termasuklah Zionis dan Komunis. Namun setengah negara Islam menjadi tak peduli terhadap nasib orang Palestin seperti ditunjukkan negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir dan Sudan yang mengiktiraf rejim Zionis Israel.
Rakan-rakan saya daripada Jemaah Tabligh berkata dengan melaksanakan sunnah Nabi s.a.w. seperti solat berjemaah dapat dijadikan senjata bagi menghadapi ancaman musuh Islam termasuk Zionis.
Kata mereka, musuh Islam amat takut jika ummah dapat dipadukan termasuk dalam menunaikan solat secara berjemaah...ya jika solat subuh jemaahnya melimpah seperti solat Jumaat...ummah dalam perjalanan untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat dan ini sudah pasti mendatangkan ketakutan kepada rejim Zionis dan musuh Islam lain.
Mengenai kepentingan solat subuh berjemaah ini, ada cendekiawan menyatakan ia adalah indikator mengenai tahap keimanan dan kekuatan ummah. Jika ramai umat Islam dapat 'mewakafkan diri' untuk solat berjemaah terutama subuh, umat ini insya-Allah akan berada di puncak kejayaan dan digeruni oleh golongan kufar.
Seorang cendekiawan lain menyatakan, solat adalah terapi menghebatkan minda. Beliau menyatakan seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya terhadap solat. Doktor neurologi itu amat kagum dengan penemuan tersebut.
Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan 'perubatan melalui al-Quran. Kajian perubatan melalui al-Quran membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam kitab suci itu. Antara kaedah-kaedah yang digunakan adalah berpuasa, penggunaan madu lebah dan biji hitam (black seed).
Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah.
Pada hal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.
Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang.
Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam...begitulah keagungan ciptaan Allah.
Orang yang tidak menunaikan sembahyang, otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.
Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.
Solat dapat mendatangkan 'keajaiban' kepada individu dan umat Islam. Seperti dikatakan oleh sesetengah anggota Jemaah Tabligh, jika solat subuh dapat menyamai jemaah solat Jumaat, ummah ini akan digeruni hatta oleh rejim Zionis, persoalannya mengapa ummah terus diganyang di seantero dunia?
Mungkinkah antara masalah atau halangan terbesar adalah sikap umat sendiri - daripada pemerintah negara umat Islam kepada rakyat. Mereka tidak menunjukkan komitmen untuk hidup bersandarkan apa yang diperintah Allah melalui Rasul dan Kitab-Nya termasuk dalam persoalan solat.
Hari ini, hidup kita berkiblatkan Barat (Amerika). Dari celik mata sampailah ke malam hari apabila mahu melelapkan mata, semuanya adalah berkisar kepada cara hidup Amerika. Pegang 'handset' 24 jam. Sebut apa saja - daripada sumber maklumat, teknologi, makanan, hiburan - semuanya berpaksikan Amerika dan Barat. Globalisasi (penjajahan) Amerika sudah sampai ke kemuncaknya.
Jadi apa yang tinggal pada umat Islam? Jawapannya kembalilah kepada Islam, nescaya ia menjadi lawan paling ditakuti Amerika dan sekutunya. Sudah tentu pada peringkat awal bukan untuk berperang dengan Amerika tetapi berperang dengan nafsu diri, memperbaiki dan muhasabah diri, seterusnya anak pinak, saudara mara dan masyarakat.
Ya, subuh esok kita penuhkan masjid dengan jemaah seperti solat Jumaat. Boleh? Kita tinggalkan 'handset' kita. Boleh tak? Kalau penuh masjid kita, insya-Allah, Zionis dan Amerika pun akan takut...
December 13, 2020
Rabiulakhir 28, 1442: Harta, kuasa tidak membahagiakan tetapi mengapa diburu? (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.
KINI saya berkesempatan menatap lambakan buku di rumah saya. Entah kenapa kali ini saya tertarik dengan buku-buku karangan Allahyarham Hamka termasuklah Tafsir Al-Azhar daripada Juzuk 1 sampai 30 yang telah saya himpun sejak puluhan tahun lalu.
Apabila mengulang pembacaan kitab karangan Hamka, sedarlah saya bahawa apa ditulis Allahyarham adalah relevan dengan perkembangan semasa termasuklah tribulasi yang terpaksa dilalui rakyat yang berusaha bergerak di jalan lurus seperti perjuangan menegakkan keadilan dalam masyarakat.
Hamka atau nama sebenarnya, Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Prof, Dr) sudah lama meninggalkan kita (kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta), tetapi mutiara ditinggalkannya begitu berkesan di hati.
Dalam salah satu bukunya ‘Lembaga Hikmat’ (terbitan Pustaka Dini), antara lain beliau menulis mengenai penderitaan batin orang kaya, besar dan ternama. Apabila mengulang baca buku ini, mahu tidak mahu saya mengaitkannya dengan kisah kematian ngeri orang ternama dan kaya.
Ternyata kaya, berkuasa dan masyhur itu bukanlah faktor kebahagiaan, persoalannya mengapa perkara ini menjadi buruan orang? Dalam bab ‘Kehidupan Batin Dari Orang Besar’ dalam ‘Lembaga Hikmat’, antara lain Hamka menulis: “Meskipun pada penglihatan orang-orang di luar, raja-raja besar itu hidup dalam kemewahan dan kemegahan, namun pada adatnya, kemewahan dan kemegahan itu hanya nampak dari luar saja. Banyak sekali orang-orang demikian menanggung kesengsaraan dan kesusahan yang tiada terperikan.”
Namun dalam menjalani penghidupan di dunia yang singkat ini (hadis menyatakan tempohnya bagaikan seorang pengembara berteduh di bawah sebatang pokok sebelum meneruskan perjalanan jauh), manusia melakukan pelbagai tipu muslihat untuk menumpuk kekayaan dan menempa kemasyhuran.
Ada penipuan dilakukan secara terang-terangan, seolah-olah sah dari segi undang-undang. Disebabkan rutin kehidupan saya berkaitan dengan pengangkutan awam (terutama bas ekspres), saya akan mendedahkan bagaimana sebuah syarikat ternama membolot kesempatan untuk menjadi kaya raya di atas penderitaan orang ramai.
Syarikat bas ekspres yang saya maksudkan mengenakan surcaj musim perayaan sebanyak 10 peratus bagi hampir perjalanan basnya. Surcaj ini sebenarnya hanya boleh dikenakan melalui khidmat bas tambahan tetapi syarikat berkenaan telah memperdaya penumpang, menyatakan khidmat bas bagi perjalanan biasa telah habis ditempah, jadi orang ramai perlu membayar lebih bagi bas tambahan yang kononnya bertolak lima minit lambat daripada jadual asal.
Misalnya jadual asal perjalanan adalah 8.00 malam tetapi pada tiket dicop 8.05 malam, sedangkan bas itu bukan bas tambahan tetapi bas asal yang sepatutnya bertolak jam 8.00 malam. Sebagai penumpang setia yang hampir setiap hari menggunakan perkhidmatan syarikat bas berkenaan, saya boleh sahkan bas itu bukan bas tambahan; tiada dua bas bergerak hampir serentak.
Jika sebuah bas membawa 35 penumpang, dengan mengekanakn surcaj RM2 setiap penumpang, wang haram sebanyak RM70 sudah dikutip; kalau dalam sehari ada 20 perjalanan bagi sesuatu destinasi maka duit haram sebanyak RM1,400 sudah dikutip. Jika 10 hari surcaj dikenakan, duit haram (yang diperah daripada penumpang) yang ditompokkan sudah menjadi RM14,000. Itu bagi satu destinasi, jadi bayangkan berapa banyak wang dapat dikumpulkan jika syarikat perkenaan menjalankan perkhidmatan ke 10 destinasi manakala surcaj lebih tinggi dikenakan bagi perjalanan lebih jauh (misalnya RM5 bagi tiket RM50).
Demikianlah keghairahan manusia termasuk syarikat menipu untuk menumpuk kekayaan dan membina kemasyhuran, tetapi hakikatnya untuk apa? Seperti dinyatakan, hidup ini adalah singkat saja sedangkan harta bertimbun dan kemasyhuran tidak mampu membawa manusia ke tingkat kebahagiaan, bahkan membawa kepada kesengsaraan hidup dan kemusnahan semata-mata!
Seorang rakan membawa nasihat menginsafkan bahawa kenikmatan sama ada dari segi kepuasan nafsu makan minum, pemilikan harta benda, seksual dan keperluan duniawi lain hanyalah bersifat sementara yang pada bila-bila masa boleh ditarik Allah SWT dalam sekelip mata.
Katanya, apa guna makanan dan minuman begitu lazat dilambakkan di meja sedangkan awak sudah dihinggap kencing manis atau lebih parah lagi apabila pelbagai penyakit sudah bersarang dalam tubuh? Demikian juga dengan duit bertimbun-timbun dalam akaun bank sedangkan untuk makan seulas durian pun anda tidak boleh?
Selain menipu dan merompak untuk membina kekayaan ada orang bersifat lebih dahsyat iaitu memfitnah orang dalam membina kekuasaan dan kemasyhuran diri yang sudah pasti bagi memuaskan nafsu alat antara lutut dan pusat (tentunya nafsu makan dan seksual).
Berhubung perkara ini Hamka yang telah dipenjarakan selama dua tahun lebih oleh rejim Orde Lama Sukarno, menulis dalam kitabnya, Tafsir Al-Azhar, Juzuk 1: “...manusia-manusia berjiwa kecil, yang menyangka bahawa dengan berbuat dan menyusun fitnah, hasad dengkinya bisa (boleh) dilepaskan, yang merasa diri BESAR kerana pangkat, akan kembali menjadi kepinyuk kecil setelah pangkatnya ditanggalkan daripada dirinya...Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal.”
Maka relevan sungguh apa yang diperkatakan Hamka jika kita amat-amati pelbagai peristiwa mutakhir di negara kita ini. Kita dapat saksikan bagaimana seorang ketua sebuah organisasi keselamatan, terpinga-pinga apabila dilucutkan jawatannya.
Bagi orang perjuangan amat-amati apa ditulis oleh Hamka ini agar mereka sedar sama ada perjuangan masing-masing berada di landasan benar atau tidak. Kata Hamka: “Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengatakan, bahawanya tanda alamat orang yang berjalan atas yang hak ialah apabila dia mati dihantarkan jenazahnya ke pusaranya oleh ribu-ribu manusia, dengan sukarelanya sendiri.”
Tentunya kita tidak tahu bagaimana keadaan masa kita mati nanti, tetapi kita boleh merasakan naluri hati sendiri sama ada ramai orang akan bersedih dengan kematian kita atau mereka tertawa gembira kerana kejahatan kita sudah berakhir dengan kematian kita atau lebih teruk lagi mereka akan kencingkan kubur kita!
December 12, 2020
Rabiulakhir 27: Usaha perbanyak pakar sakit puan Muslim (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Uqbah ibnu Amir r.a. berkata, aku dengan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tuhanmu kagum terhadap pengembala kambing di hujung bukit di kala dilaungkan azan dia mendirikan solat. Lalu Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: Lihatlah hamba-Ku ini, dilaungkan azan kemudian dia solat kerana takut terhadap-Ku. Aku telah mengampuni hamba-Ku dan memasukkannya ke syurga."
"MANA sakit?"
"Sini."
"Bukak baju!" kata doktor lelaki itu.
Pesakit wanita Islam itu tergamam kerana yang sakit perutnya, tetapi mengapa pula dia disuruh menanggalkan baju.
Adegan ini dikatakan kerap berlaku di sebuah klinik swasta di bandar kediaman penulis pada tahun 70-an dulu tetapi dialognya masih segar sampai hari ini.
Apabila disebut saja nama doktor itu, mereka yang tahu kisahnya akan ketawa.
Penulis membawakan kisah bagi bagi membincangkan satu topik yang begitu menyentuh perasaan ummah iaitu bagaimana ada wanita Islam terpaksa dirawat doktor lelaki bukan Islam ketika bersalin di hospital.
Baru-baru ini penulis menerima e-mail daripada seorang wanita Islam yang menasihatkan wanita supaya berhati-hati memilih tempat bersalin agar 'kehormatan' mereka sentiasa terjaga.
Seorang wanita pula memberitahu semasa bersalin di sebuah hospital, dia disambut 'bidan perempuan' tetapi kerja-kerja menjahit peranakannya dilakukan seorang doktor lelaki bukan Islam.
"Tangan doktor yang besar dan berbulu itu sudah cukup untuk menggerunkan saya," katanya.
Terpegun penulis mendengar kata-katanya. Lebih mengerikan apabila dia berkata, selepas beberapa hari bersalin, seorang doktor lelaki bukan Islam menyeluk kemaluannya semasa melakukan pemeriksaan.
Ada juga wanita mengadu, mereka menjadi bahan ujian doktor pelatih sejurus sebelum dan selepas mereka bersalin. Sekejap-sekejap ada saja 'doktor pelatih' lelaki yang meminta mereka membuka 'benda tu'.
Penulis seram sejuk mendengar kisah ini. Penulis tidak sangka perkara ini berlaku hari ini. Penulis ingatkan hal seperti ini berlaku pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu iaitu semasa negara kita baru merdeka.
Hakikatnya perkara ini berlaku selepas dunia melangkah ke kurun dan alaf baru dan negara ini sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.
Ertinya dalam kita sibuk-sibuk memperkatakan mengenai jihad ekonomi dan seumpamanya, masih lagi banyak perkara yang kita tertinggal. Dalam kes wanita Islam berbidankan kakitangan perubatan lelaki dan bukan Islam pula, membayangkan banyak perkara belum dibereskan.
Urusan perbidanan ini adalah fardu kifayah. Bagi kebanyakan orang, pengertian fardu kifayah bermaksud, jika ada sesuatu kumpulan yang melaksanakannya, 'orang lain tak payah'.
Memang benar kebanyakan daripada urusan perbidanan dilaksanakan oleh bidan dan jururawat perempuan tetapi satu hal yang perlu diakui, doktor pakar yang melakukan pemeriksaan dan rawatan, kebanyakannya adalah lelaki dan bukan Islam pula.
Berhubung perkara adalah perlu untuk umat Islam menginsafi bahawa jumlah doktor pakar perbidanan adalah amat sedikit sekali. Umat Islam bukan saja lemah dalam bidang ini tetapi juga dalam bidang profesional lain.
Adalah bermanfaat untuk kita mengetahui kedudukan golongan profesional bumiputera di Malaysia berbanding bangsa lain.
Bumiputera Bukan Bumiputera
Akauntan 11 peratus 89 peratus
Peguam 22 peratus 78 peratus
Arkitek 22 peratus 78 peratus
Doktor Gigi 25 peratus 75 peratus
Doktor 27 peratus 73 peratus
Sekalipun data ini diambil beberapa tahun lalu, dijangkakan jumlah profesional bumiputera (Islam) adalah terlalu sedikit berbanding bukan bumiputera.
Jika peratusan doktor bumiputera adalah 27 peratus saja, bagaimana agaknya kedudukan bumiputera yang menjadi pakar perubatan termasuk pakar sakit puan dan perbidanan.
Berdasarkan hakikat ini, tahulah kita mengapa ibu-ibu yang bersalin di hospital diperiksa oleh pakar perubatan lelaki dan bukan Islam pula.
Berdasarkan maklumat yang diterima, doktor-doktor pakar ini bukan saja memeriksa, merawat dan menguji kaji peranakan ibu-ibu tetapi juga mengesyorkan kepada sesetengahnya supaya menjalani proses pemandulan (mengikat saluran peranakan).
Demikian betapa bernasib malangnya umat Islam hari ini yang 'terpaksa menyerahkan wanita-wanita' mereka untuk diperiksa oleh pakar-pakar perubatan lelaki bukan Islam.
Wahai saudara seagamaku, adakah anda tidak berasa apa-apa dengan keadaan ini? Tidak terguriskah hati anda apabila kehormatan isteri, adik, kakak, dan saudara-saudara perempuan kita yang lain diperiksa oleh lelaki asing, bukan Islam pula?
Tidak rasa sayukah hati kita dengan nasib malang yang menimpa ummah ini? Sebagai seorang Islam, apakah yang sudah kita buat untuk mengatasi perkara ini?
Sebagai penulis, saya mendedahkan perkara ini untuk pengetahuan umum supaya diambil tindakan oleh setiap Muslim yang cintakan agamanya.
Saya merayu agar anak-anak Islam sekalian terutama yang perempuan dapat belajar bersungguh-sungguh dan bercita-cita menjadi pakar perbidanan dan sakit puan supaya hal yang memalukan ummah ini dapat dipadamkan.
Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak anda dengan sesungguh hati dan berdoa agar ada yang menjadi pakar dalam pelbagai bidang termasuk ilmu kedoktoran.
Kepada kakitangan perubatan Islam yang sedia ada, saya merayu agar anda sekalian meneruskan profesion anda dengan penuh istiqamah, sekali gus menepati ibadah fardu kifayah ini.
Rayuan ini dibuat kerana saya difahamkan ada doktor perbidanan wanita Islam yang beralih kerjaya menyertai syarikat jualan langsung kerana gaji sebagai kakitangan kerajaan tidak memuaskankan.
Kepada pemimpin negara, saya juga merayu agar perkara ini dapat diatasi segera. Usahlah terlalu taksub berpolitik sehingga sanggup mengetepikan doktor-doktor dan profesional Melayu lain seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin sebuah negeri.
Semua pihak perlulah insaf bahawa negara kita sudah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu tetapi masih gagal menangani permasalahan ummah yang amat meruncing seperti ini.
Usahlah mendabik dada menyatakan kita sudah mencapai kemajuan dalam bidang itu dan ini tetapi hakikat ini kita masih tidak ke mana.
Seorang pemimpin juga pernah berkata, jika ditarik harta, pemilikan dan tenaga kerja orang bukan Islam daripada negara ini, maka negara kita tidak ada apa-apa.
Jika dakwaan itu benar, bagaimana pula kita boleh mendabik dada menyatakan negara ini sebagai negara Islam tersohor di dunia. Mungkinkah benar negara kita tersohor tetapi umat Islamnya masih ketinggalan dalam segala segi?
December 11, 2020
Rabiulakhir 26, 1442: Semasa remaja dikawal loceng, sewaktu tua...? (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
APABILA penggal persekolahan bermula Januari ini, terkenang saya zaman di sekolah menengah berasrama penuh pada tahun 1970-an dulu. Salah satu aspek disiplin yang sangat ditekankan di sekolah ini adalah masa.
Hampir semua 'pergerakan' (aktiviti) terutama yang dilakukan secara 'berjemaah' (berkumpulan) 'ditandai' dengan deringan loceng yang sangat kuat di seluruh kawasan sekolah. Saya tak pasti sama ada satu loceng besar atau ada beberapa loceng dipasang di tempat-tempat tertentu.
Seawal jam 5.30 pagi deringan loceng yang kuat dan memanjang sudah 'memaksa' pelajar bangun. Jam 6.00 pagi sekali lagi bunyi loceng bergema, 'mengajak' seluruh pelajar ke surau untuk solat subuh. Namun ada yang 'cendekil' (mengelat), maka 'perburuan' pengawas akan memastikan mereka tetap ke surau
Jam 7.00 pagi loceng bergema lagi, untuk sarapan. Kemudian 7.30 pagi, berbunyi lagi untuk ke sekolah. Semasa mengikuti pembelajaran, setiap 40 minit jam berbunyi menandakan satu waktu pengajian tamat. Jam 10.15 pagi berbunyi lagi untuk 'snack' (minuman ringan), jam 1.30 petang berbunyi sebagai tanda berakhir waktu sekolah......demikianlah loceng itu sentiasa berbunyi sehingga yang terakhir pada hari itu pada jam 10.30 malam yang 'memaksa' semua pelajar masuk ke dalam kelambu (tidurlah)!
Ada sejumlah pelajar degil, tidak masuk kelambu. Kata mereka 'malam masih muda'. Namun mereka terpaksa masuk juga sebab warden bertugas diiringi beberapa pengawas akan berjalan dari satu katil ke satu katil di setiap dormitori menyuluh pelajar dengan api suluh. Sesetengah pelajar berlakon 'mematikan diri' - selepas warden dan pengawas sudah jauh pergi, mereka 'bangkit kembali'!
Pelajar nampaknya macam robot - pergerakan mereka 'ditentukan' oleh deringan loceng. Namun, lama kelamaan disebabkan 'sudah lali' (terbiasa), kebanyakan mereka dapat melakukan kegiatan seperti biasa sekalipun loceng tidak berbunyi seperti ketika 'black out' (terputus bekalan elektrik). Ya, kata orang alah bisa tegal biasa!
Adatnya, setiap yang muda akan menjadi tua. Saya (penulis) pun sudah tak berapa muda lagi, agak-agaknya pada usia tua ini, pergerakan kita dikawal oleh apa? Takkan dikawal oleh deringan loceng lagi?
Syukurlah pada usia tua sekarang ini, kebanyakan pergerakan saya dikawal oleh laungan azan menandakan waktu solat. Azan bergema lima kali sehari. Awal pagi kita sudah bangun untuk solat subuh, kemudian zuhur, asar, maghrib dan isyak.
Jadi kebanyakan pergerakan (aktiviti) yang dilakukan adalah berpandukan waktu solat. Misalnya untuk memulakan pekerjaan awal pagi, kita melakukannya selepas solat subuh, Kemudian kita mengambil masa untuk solat sunat dhuha dan sejam sebelum waktu zuhur masuk, kita sudah berhenti rehat untuk bersedia ke masjid.
Dalam menjayakan aktiviti sosial seperti kenduri kendara juga kita berpandukan waktu solat. Misalnya pada awal hari kita menjemput tetamu datang jam 11 pagi bagi membolehkan mereka berzikir dan berdoa dan kemudian makan dengan aman sebelum ke masjid untuk solat zuhur berjemaah. Adalah 'tidak bijak menjaga waktu' jika kita memulakan majlis jam 12.30 atau 1.00 tengah hari kerana waktu itu sudah terlalu hampir memasuki waktu zuhur.
Pemilihan waktu kenduri dan majlis lain membayangkan sama ada seseorang itu prihatin mengenai solat atau tidak. Oleh itu apa 'mesej' yang dapat dibaca jika seseorang atau sesuatu pihak itu memulakan majlis pada jam 4,00 petang atau 7.00 malam? Demikian juga mengapa belanjawan negara mula dibentang jam 4.00 petang?
Menjadikan laungan azan sebagai 'pengawal waktu' tidak boleh kita pergantungan 100 peratus...ini kerana dalam situasi tertentu suara azan tidak kedengaran misalnya ketika kita berada dalam masyarakat atau negara non-Muslim...namun jika pergantungkan diri kita hanya kepada Allah SWT, insya-Allah, kita, tidak kira muda atau tua, masa kita akan dijagai-Nya membolehkan kita selamat di dunia dan akhirat!
December 10, 2020
Rabiulakhir 25, 1442: Pemimpin berganti tetapi perjuangan berterusan...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
KITA kini di ambang tahun baharu 2021. Sepanjang tahun 2020 kita dapat menyaksikan sejumlah pemimpin datang dan pergi. Ada yang naik dan ada jatuh. Segelintir yang tersembam, naik kembali, tetapi kebanyakannya tersungkur tak bangun-bangun lagi.
Pemimpin boleh datang dan pergi dan kerap kali tergelincir dan tersasar, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat.
Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh ternama sebagai sandaran perjuangan.
Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.
Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.
Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.
Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon semuanya hancur. Mungkin pemimpin zalim anti-Islam sedang menunggu gilirannya!
Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'. Lihatlah 'si tokoh kecil' di sekeliling pemimpin besar sebagai misalannya. Ketika si besar merengkok dalam penjara, 'si tokoh kecil' ini berkokok menghina, tetapi selepas si besar dibebaskan, dia tidak malu-malu untuk kembali 'membodek'.
Berhubung perjuangan melepasi batasan tokoh dan sempadan politik ini, penulis tertarik dengan perbicaraan seorang bekas pensyarah universiti dalam satu pertemuan tidak lama dulu.
Berikut antara pesanan beliau: "Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana."
Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat dan pergerakan Islam sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional.
"Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global," katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam.
Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'.
Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar.
Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan.
Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam.
Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat atau, mereka akan dihancurkan.
Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.
Bagi individu Muslim, terus istiqamah kerana perjuangan itu adalah sepanjang hayat manakala jemaah Islam usaha menegakkan Islam akan berterusan sehingga hari kiamat!
December 9, 2020
Rabiulakhir 24, 1442: Bertudung tetapi bertelanjang? (U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang aniaya, nanti kamu ditimpa api neraka.." (Q.S. Hud:113)
KINI semakin ramai wanita Islam bertudung. Syukur alhamdulillah, tetapi apa dikesalkan, segelintir remaja wanita bertudung, berpakaian seolah-olah bertelanjang – mereka mengenakan jeans ketat dipadankan dengan kemeja-T tanpa lengan yang ‘hanging’ (tergantung) sendat, sekali gus menyerlahkan susuk tubuh.
Kemeja-T singkat itu menyebabkan punggung mereka yang berbalut jeans ketat atau seluar jenis melekat (seperti legging), terserlah, begitu memalukan orang memandang. Tetapi si pemakai tidak malu menyerlahkan aset mereka untuk dilihat ratusan malahan ribuan pasang mata terutama di tempat-tempat awam seperti stesen bas dan pusat membeli-belah.
Pemandangan bertambah jelek jika si pemakai jeans ketat tadi membongkok atau duduk di bangku kerana seluar dalam mereka terserlah malah alur bontot pun boleh nampak.
Penulis teringat sebuah rencana menyatakan di Aceh Barat sudah ada pasukan penggunting celana ketat; mana-mana wanita berpakaian begitu akan digunting seluar mereka dan diberikan kain sarung sebagai ganti.
Selain berjeans ketat dan berkemeja-T sendat, segelintir lagi wanita bertudung mengenakan baju kebaya mengikut bentuk badan yang dipadankan dengan kain berbelah sama ada di depan, belakang atau sisi.
Bagi wanita mereka mungkin tidak rasa apa-apa, tetapi bagi kebanyakan lelaki ‘normal’, itu adalah gangguan seksual amat hebat. Jika selama ini, pejuang hak wanita selalu bercakap mengenai gangguan seksual terhadap wanita di pejabat, mengapa agaknya mereka tidak langsung mempedulikan apa yang telah dibuat oleh golongan Hawa yang mengganggu ketenangan dan fikiran insan bernama lelaki?
Kenapa semakin ramai wanita berfesyen begini? Salah satu sebabnya pengaruh massa termasuk televisyen. Seorang ustaz dalam ceramahnya yang saya dengari berkata, alangkah sedihnya apabila ada orang berbelanja atau mengeluarkan modal besar (ratusan atau ribuan ringgit) tetapi pakaian itu tidak menutup aurat dan menjuruskan dirinya ke jurang neraka.
Katanya, bukan saja perempuan berpakaian tak sempurna, lelaki pun sama. Ada lelaki/perempuan yang suka pakai jeans koyak (sengaja dikoyakkan di bahagian paha, lutut dan betis) dan pudar (faded)...mereka bayar harga tinggi untuk 'barang lusuh' ini...
Begitu juga seluar londeh dan baju-T singkat. Lelaki apabila solat di masjid, kadang-kadang alur bontot pun nampak...perempuan lagi dahsyat...kadang-kadang apabila naik motor, alur bontot pun nampak...ustaz kata kalau berhenti di 'traffic light' mahu saja dimasukkan pontong rokok dalamnya...
Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, ketika dihubungi menyatakan dalam Islam hanya wajah (muka) dan tapak tangan wanita boleh didedahkan manakala anggota lain wajib ditutup dalam pakaian longgar.
Beliau menasihati wanita Islam termasuk mereka yang terbabit dalam industri pakaian (Islam dan bukan Islam, lelaki atau perempuan), mempelajari etika berpakaian dalam Islam dan tidak mudah melabelkan sesuatu ciptaan itu Islamik bagi menarik minat pengguna Islam, hakikatnya ia bersifat komersial.
Katanya, apabila salah faham berlaku, ia menyumbang kekeliruan kepada orang ramai. Ramai beranggapan apabila bertudung, mereka sudah memenuhi kehendak Islam, hakikatnya dengan berpakaian menampakkan susuk tubuh, mereka bukan saja menimbulkan salah faham kepada orang Islam dan bukan Islam bahkan boleh sampai ke tahap menghina ajaran Islam.
Apabila seseorang wanita itu bertudung ia dikaitkan dengan kepatuhan kepada hukum Islam tetapi apabila pada masa yang sama dia mendedahkan aurat lain seperti lengan, kaki dan berpakaian ketat dan nipis, dia seolah-olah menghina agama sendiri kerana mengambil hukum-hakam secara separuh-separuh.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebilangan ahli neraka adalah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi hakikatnya bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.”
Ustazah Nuridah berkata perlakuan pelakon dan personaliti televisyen yang sesetengahnya gemar ‘memakai dan membuka tudung’ memberi kesan negatif kepada remaja. Sesetengahnya ketika upacara tertentu seperti majlis akad nikah begitu sopan bertudung litup tetapi pada majlis resepi kahwin berpakaian terdedah sana dan sini. Ini dibimbangi akan mempengaruhi remaja mengikuti idola masing-masing.
Berhubung perkembangan kurang sihat dalam pemahaman mengenai pakaian menutup aurat ini, Ustazan Nuridah berkata, pihaknya insya-Allah, akan berusaha memberi kesedaran mengenai etika berpakaian kepada wanita Muslim termasuk kemungkinan mengadakan pertunjukan busana Muslim dengan kerjasama Nisa Malaysia dalam masa terdekat.
*** Info
Petikan daripada buku Penenang Jiwa (Pengubatan & Rawatan) oleh Imam Al-Ghazali dan diterjemahan oleh Muhammad Qadirun Nur (Wholesale Mart)
QANAAH
Meniaraplah di hadapan Allah, jangan meniarap kepada manusia,
Menerimalah dengan memutuskan keinginan,
Sungguh kemuliaan itu dalam tiada keinginan,
Jangan berharap kepada sanak saudara,
Orang kaya yang tidak berhajat kepada manusia.
Juga dikatakan senada dengan syair itu:
Wahai si pengumpul dunia!
Waktu kian menentukan,
Terkunci rapat semua pintu,
Sambil kau fikir bagaimana mewujudkan keinginan,
Entah mudah atau sulit kau buru juga,
Kau kumpulkan harta,
Katakan padaku, sudahkah kau kumpulkan?
Hai pemburu harta,
Hari-hari kian meninggalkanmu,
Hartamu telah dilirik ahli waris,
Milikmu hanyalah yang kau infakkan,
Zat yang membahagi akan memberimu rezeki,
Pemberian daripada-Nya selalu terjaga,
Selalu baru takkan binasa,
Qanaah itu selalu menerima,
Tidak pernah tergesa atau berduka.
December 8, 2020
Rabiulakhir 23, 1442: Terus bersilaturahim sekalipun berbeza pandangan…(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
KETIKA menyaksikan pertandingan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor tidak lama dahulu, teringat saya akan pesanan seorang ustaz bahawa perbezaan pendapat dan pihak disokong termasuk parti dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram.
Yalah, kita faham orang Kedah tinggi semangat 'Kekedahannya' manakala orang Selangor dengan 'Keselangorannya', masing-masing 'mahu memenangkan' pasukan masing-masing. Malah ada suami isteri, orang Kedah dan Selangor, bermasam muka gara-gara sokongan pasukan mereka yang berbeza. Berlainan pasukan disokong tidak menjadi masalah, tetapi sehingga menjejaskan ikatan persaudaraan apatah lagi perkahwinan amat 'bahaya'!
Baru-baru ini di kelas pengajian mingguan di masjid yang saya ikuti, sang ustaz begitu bersungguh-sungguh mengingatkan jemaah jangan sesekali memutuskan siraturahim kerana rahmat Allah SWT tidak akan turun ke atas sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan sejagat jika ada anggotanya berbuat demikian.
Ustaz memetik daripada kitab Khulasah Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits Samarqandi yang meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Aufa r.a. berkata: “Pada waktu petang hari Arafah, kami duduk bersama-sama Nabi s.a.w., tiba-tiba Nabi s.a.w. bersabda; jangan duduk bersama kami siapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan, supaya bangun dari tengah-tengah kami, maka tidak ada orang kecuali seorang di belakang berdiri, maka tidak berapa lama dia kembali.
“Maka Nabi s.a.w. bertanya: Mengapa kamu? Jawab beliau: Ya Rasulullah, ketika aku mendengar sabdamu itu, aku segera pergi ke rumah saudaraku yang memutuskan hubungannya dengan aku, lalu dia bertanya; mengapakah engkau datang? Ganjil sungguh kedatanganmu ini.
“Maka aku beritahukan apa yang aku dengar daripada kamu, maka dia membacakan istighfar untukku dan aku juga membacakan istighfar untuknya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Bagus kamu, duduklah sekarang, sebab rahmat Allah tidak akan turun pada satu kaum jika ada antara mereka seorang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.”
Demikianlah jika kita sering mengikuti kelas-kelas pengajian di surau dan masjid, kita diberitahu betapa pentingnya menjaga hubungan siraturahim. Berhubung silaturahim dalam keluarga, kita sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu. Namun ada hubungan yang retak kerana anak dan ibu bapa berbalah mengenai soal jodoh malah ada yang tidak mengaku anak atau ibu bapa lagi,
Seorang anak perlu memuliakan ibu bapanya sepanjang hayat, malah jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup.
Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan kerana semakin ramai anak-anak jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi s.a.w. ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan.
Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja.
Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu.
Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi.
Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati.
Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung.
Subhanallah, jika kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' oleh Allah SWT seperti yang kita pohonkan dalam bacaan surah Al-Fatihah setiap rakaat solat, insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.
December 7, 2020
Rabiulakhir 22, 1442: Allahyarham Zaleha Ismail dan 'super mom'...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
KETIKA 'merangkak-rangkak' menjadi wartawan dahulu (pertengahan 1980-an), antara pemimpin yang diarahkan 'bos' untuk saya ekori adalah Datin Paduka (pangkat terakhir adalah Tan Sri) Zaleha Ismail tak kiralah sama ada majlis itu membabitkan kementerian beliau, parti beliau (Umno) atau pertubuhan sosial dipimpinnya.
Kini Tan Sri Zaleha Ismail tiada lagi bersama kita. Dilaporkan bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat yang juga veteran Umno itu meninggal dunia pada 14 November 2020 di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur pada usia 84 tahun.
Sebelum berjawatan menteri penuh, beliau adalah Timbalan Menteri Pengangkutan pada era yang sama ketika saya mula-mula menjadi wartawan.
Marilah kita berhenti sebentar untuk membaca Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan berdoa semoga beliau dikumpulkan bersama roh orang salih dan salihah.
Berceloteh mengenai Tan Sri Zaleha, saya teringat pembabitan beliau yang panjang dalam pelbagai organisasi sosial seperti Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia yang terbabit dalam penganjuran majlis seperti penganugerahan Tokoh Kanak-Kanak (termasuk Pingat Hang Tuah) dan pada satu majlis saya hadir membuat liputan.
Ketika menjadi pengarang luar negara sebuah akhbar harian pada era 1990-an dahulu, unit kami dibekalkan akhbar dan majalah luar negara antaranya majalah Time dan Newsweek.
Suatu hari alangkah seronoknya membaca sebuah rencana mengenai masa berkualiti ibu bapa bertajuk 'Suffering in Silence' dalam majalah Newsweek yang memetik komenter Zaleha (ketika itu Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat,) bahawa ada ibu bapa yang keluar rumah menyuruh pembantu rumah mendukung anak mereka atau membawa botol susunya.
Katanya, jika ini berterusan ikatan antara ibu bapa dengan anak-anak akan hilang buat selama-lamanya. Zaleha juga berkata jangan pandang enteng tugas isteri, pendapatan seorang suri rumah sepenuh masa, jika mahu ditaksirkan adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan (ketika itu).
Jika ada pihak yang sanggup membayar suri rumah sepenuh masa ini, mungkin adakah lebih baik untuk ibu-ibu terus berada di rumah supaya dapat mendidik anak mereka sepenuh masa. Bagaimanapun, masalahnya, pihak mana atau siapa mahu membayar suri rumah berkenaan?
Komenter Zaleha itu adalah di bawah tajuk besar 'The Myth of Quality Time' (Mitos Mengenai Masa Berkualiti) majalah Newsweek yang bertarikh 19 Mei 1997.
Rencana ini mempersoalkan sikap ibu bapa bekerjaya yang berpendapat mereka boleh membentuk anak masing-masing dalam ruang waktu singkat, di luar masa bekerja, jika mereka memanfaatkan waktu itu sepenuhnya.
Misalnya, jika seseorang ibu dan ayah itu bekerja hingga jam 5 petang dan sampai ke rumah jam 7 petang, masanya untuk berinteraksi dengan anak ialah antara selepas 7 petang hinggalah waktu tidur. Masa singkat yang dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengambil tahu hal anak-anak inilah yang dinamakan masa berkualiti.
Bagaimanapun, kini semakin ramai ibu bapa sedar dan mula mempersoalkan sama ada masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak itu mencukupi.
Ramai ibu bapa di Amerika Syarikat meragui masa yang dikhaskan kepada anak-anak boleh ditetapkan pada satu ruang waktu singkat sama seperti temu janji perniagaan yang memakan waktu singkat dengan si pelanggan yang jelas menunjukkan minat.
Sehubungan itu, tidak menghairankan semakin ramai ahli psikologi dan pendidik mahu menghapuskan sama sekali pandangan mengenai masa berkualiti itu.
Seorang pakar psikologi di Sekolah Perubatan Harvard, Ronald Revant, berpendapat masa berkualiti itu adalah satu cara untuk menyedapkan hati kita berhubung kurangnya tumpuan dan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak.
"Kanak-kanak perlulan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata: "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?"
Jika di Amerika ibu bapa mulai bimbang mengenai nasib anak masing-masing, di Malaysia sesetengah ibu bapa mempunyai sikap sebaliknya.
Ada ibu dengan bangganya berkata bukannya berapa banyak waktu yang mereka dapat bersama anak-anak yang penting, tetapi bagaimana mereka memanfaatkannya.
Ada yang mendakwa mereka 'super mother' (super-mom), yang boleh berjaya di pejabat dan di rumah. Pendeknya, mereka percaya pada masa berkualiti itu.
Mereka percaya anak-anak dapat dididik dan sedia untuk mengikut kata sekalipun waktu interaksi si anak dengan ayah atau ibu singkat sekali.
Selain itu ada ibu bapa mendabik dada, mendakwa mereka boleh memberi perhatian sepenuhnya pada si anak pada hari minggu. Mereka tidak pula bertanya pada waktu mereka bertungkus-lumus di pejabat, dengan siapa anak mereka berinteraksi.
"Salah satu fungsi ibu bapa ialah mengawas. Anda mengawas kerja rumah mereka, rakan mereka dan apa yang mereka lakukan pada waktu lapang," kata Jeanne Brooks-Gunn, seorang pakar psikologi di Universiti Columbia.
Bagi ibu bapa yang sayangkan anak dan kerjaya mereka, ada sebuah buku bertajuk 'The Times Bind' oleh Arlie Hochschild, yang diterbitkan di Amerika, bagi menyedarkan mereka.
Pendedahan Hochschild yang paling kurang menyenangkan ialah bahawa kita sebenarnya bersubahat dalam menafikan hak anak-anak kita.
Masalah tiada perhatian kepada anak-anak inilah yang menyumbangkan kepada gejala sosial yang diperkatakan sekarang. Pakar psikologi dan pendidik Amerika berkata masalah disiplin dan pelajar melakukan gangguan di kelas semakin menjadi-jadi.
Pakar ini berpendapat ibu bapa tidak lagi meluangkan waktu yang cukup untuk anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa pula sebenarnya sudah letih apabila pulang daripada kerja bagi memberi perhatian kepada anak-anak mereka.
December 6, 2020
Rabiulakhir 21: Payahnya mendidik anak pada 'zaman gerhana' ini (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barang siapa mengucapkan syahadat dan mengingkari penyembahan selain daripada Allah, maka terjagalah harta dan darahnya, sedangkan perhitungan batin orang itu terserah kepada Allah." (Sahih Muslim)
DIDIKLAH anak-anak untuk keperluan zamannya - demikian antara lain kata Sayidina Ali k.w. (atau Umar Al-Khattab). Ini bermakna anak-anak kita (termasuk anak saya) perlu diasuh dan dididik untuk memenuhi masa depan umat dan negara, mungkin pada 2023, 2025, 2030 dan seterusnya.
Tetapi dalam usaha mendidik anak-anak ini, cabaran sekarang dirasakan amat berat sekali, berbeza dengan zaman persekolahan kita atau orang tua kita.
Kerap terdengar, guru-guru mengadu betapa sukarnya mengendalikan anak-anak di sekolah sekarang ini. Untuk mendisiplinkan anak-anak supaya duduk dalam kelas pun sukar, inikan pula untuk mengajar mereka.
Seorang guru mengadu pada saya, hari ini bukan saja hampir tiada pelajar sudi mengangkat buku-buku latihan dari kereta cikgu, malah jika berselisih jalan, guru pula dilanggar mereka.
Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda kita ini? Ramai ibu bapa yang mengorbankan banyak tenaga dan masa di rumah dalam mendisiplinkan anak-anak pun turut mengeluh. Kata mereka, di dalam rumah, anak-anak mungkin mendengar cakap, tetapi pengaruh persekitaran merosakkan segala-galanya.
Pengaruh luar ini tidak semestinya ketika anak-anak berada di luar rumah. Ia berupa alat dunia baru seperti televisyen, komputer (internet), radio dan telefon.
Rancangan televisyen hari ini begitu menakutkan. Filem, dokumentari, rancangan hiburan dan iklan menjurus kepada budaya lagha. Manakala siaran radio pula berkonsepkan hiburan terutama muzik sepanjang hari, tidak kira siang atau malam.
Itu belum diambil kira 'komputer keluarga' yang mempunyai akses internet. Jika seseorang anak sudah 'lekap' dengan 'handset' dan di depan monitor komputer, alamat dari pagi sampai malam dia akan berada di situ.
Dengan penggunaan telefon selular pula, pelbagai aktiviti lagha boleh dilakukan. Semuanya dibuat dari rumah, tanpa anak-anak kita dipengaruhi rakan dan faktor persekitaran luar rumah.
Di luar pula, persekitaran tidak menyebelahi ibu bapa dan guru dalam membentuk anak-anak membesar dalam suasana keagamaan. Anak-anak dipaparkan dengan pelbagai kegiatan kurang sihat, misalnya kebanjiran bahan lucah menjijikkan, percampuran tanpa batasan lelaki perempuan, kewujudan pusat-pusat hiburan serta perjudian dan perlakuan orang dewasa yang buruk.
Anak-anak sukar mengenali idola yang baik. Ada pemimpin, pemimpin korup (bukan semua); ada artis, artis tidak bermaruah (bukan semua); ada ustaz, ustaz pula tergolong dalam ulama su' (segelintir saja); ada wartawan, wartawan pengampu (bukan semua); ada ibu bapa, ibu bapa pun tidak pedulikan agama (bukan semua) dan sebagainya.
Demikian betapa sukar untuk mendidik anak-anak pada 'zaman gerhana' ini. Kemajuan diukur bukan berdasarkan kehendak Islam, tetapi mengikut nafsu serakah manusia yang berkiblatkan Barat dengan segala 'isme' yang jelas menolak agama daripada kehidupan.
Hanya kepada Allah kita berserah. Hanya Dia Yang Mengetahui apa sebenarnya sudah berlaku kepada negara kita dan dunia ini. Sebagai manusia, kita hanya berusaha, berjaya atau tidak bukan urusan kita yang daif ini.
Kemungkaran wajib dibanteras, tidak kira siapa pelakunya. Selain pelakunya, ada tangan-tangan halus yang membela kemungkaran ini. Tangan-tangan halus ini perlu diperangi sedaya upaya kerana ia adalah pencetus gelombang kemungkaran ini. Siapa golongan ini, tepuk dada tanya selera
Roslan Hamid's Blog
- Roslan Hamid's profile
- 2 followers

