Roslan Hamid's Blog, page 71

December 5, 2020

Rabiulakhir 20, 1442: Selepas bersara, kurangilah beban duniamu...

 

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)


ISTERI saya, seorang guru akan bersara tidak lama lagi. Dia berkata, sebahagian rakannya yang sudah bersara 'melalui kebosanan' dalam hidup. 


Apa tak bosannya, kalau penggemar novel, sudah habis novel dibaca, kalau kaki TV, rancangan televisyen rupanya kerap dulang-ulang,, kalau 'kaki jalan' (pengembara)...sekarang ini lagi lagi bosan kerana kapal terbang pun 'tak terbang' disebabkan Covid-19...oohh tersangat bosannya hidup!


Nak jalan-jalan dekat pun susah...'shopping mall' (pasar raya) dan kedai-kedai makan pun 'tak berapa dibuka'. Demikian juga tempat hiburan seperti pawagam apatah lagi pub dan disko...


Demikianlah kalau seseorang itu memberi keutamaan kepada hal-hal duniawi, dia akan sampai ke kemuncak kebosanan tetapi tak demikian halnya orang mencari akhirat.


Saya pun sudah bersara...sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”


Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”


Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”


Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.


Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.


Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.


Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).


Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.


Itulah, 'kawan fikir' saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2020 16:22

December 4, 2020

Rabiulakhir 19, 1442: Jadilah insan (artis) bertakwa...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


APABILA Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang terbaharu (ke-33) dipolemikkan, saya seperti dipanggil-panggil untuk membaca sejumlah komentar mengenainya sama ada dalam media cetak atau elektronik. 


Ini kerana saya pernah bekerja di syarikat akhbar ini selama lebih 12 tahun; kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...


Dalam celoteh ini tiadalah saya berhajat mengulas komentar-komentar berkenaan - sama ada yang pro padanya atau tidak tetapi memusatkan perhatian kepada artis dan dunia artis apatah lagi selepas saya menonton sebuah  filem bernaunsa Islam melalui Bioskop TV AlHijrah membawakan kisah Hanum dan Rangga dalam filem '99 Cahaya Di Langit Eropa'.


Filem ini adalah Bahagian 1 disiarkan mulai jam 9 malam pada 21 November lalu dan pada 28 November disiarkan Bahagian 2, juga mulai jam 9 malam yang menggambarkan suami isteri itu berada di Cordova yang menjadi pusat keilmuan (termasuk kebudayaan dan kesenian) Islam terhebat suatu ketika dahulu. 


Islam adalah yang terhebat dalam semua bidang kehidupan - hatta dalam bidang kesenian sekalipun. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berjaya dalam bidang apa pun selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.


Apabila seseorang itu mematuhi hukum-hakam dalam apa juga bidang diceburinya maka apabila dia menjadi seorang jurutera dia akan menjadi seorang jurutera bertakwa; apabila dia menjadi seorang ahli politik dia menjadi seorang politikus bertakwa; jika dia menjadi seorang wartawan dia menjadi seorang wartawan bertakwa dan jika dia menjadi seorang artis dia menjadi seorang artis yang bertakwa. Kalau dia pembuat filem, dia akan menjadi pembuat filem bertakwa.


Namun kerjaya terakhir dinyatakan (artis) menimbulkan tanda tanya, kerana apa yang dimaksudkan dengan artis yang bertakwa itu? Mungkin gambaran seorang artis bertakwa terlalu kabur pada pandangan masyarakat sekarang ini berdasarkan dunia kehidupan artis yang digembar-gembur dan diprojekkan sekarang ini. Dunia artis yang dipertontonkan sekarang ini terlalu hitam, hampir semuanya (nilai, penampilan dan paling utama niat) adalah berpaksikan kehendak dunia Barat yang mementingkan nafsu, kebendaan, eksploitasi dan sebagainya.


Soal persembahannya, soal pakaiannya, soal perangainya, semuanya mengambil contoh dari sana. Jadi dunia artis kita adalah berkiblatkan Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Korea dan Jepun. Masing-masing berkarier untuk memenuhi kehendak, kantung (duit) dan nafsu dunia Barat; tidak ada kena mengena langsung dengan kehidupan seorang Muslim.



Jadi persoalannya bagaimana menjadi artis bertakwa? Pertama, perbetulkan niat. Aku mahu menjadi artis kerana Allah Taala. Apabila niat sudah berada di jalan lurus seperti diminta sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam solat), seseorang itu sudah bersiap sedia untuk menjadi artis bertakwa. Sebelum terjun ke bidang ini, diselidiki dulu apa yang boleh dan tidak boleh (soal halal dan haram). Sepanjang perjalanan, tentunya banyak onak dan duri yang tersangat dahsyat akan ditempohi. Itulah sebenarnya perjalanan seorang anak seni yang mahu menjadi artis bertakwa.


Ganjarannya bukan keuntungan duniawi semata-mata seperti difahami dunia Barat dan orang-orang sealirannya, tetapi kebaikan di dunia dan akhirat seperti lazim kita berdoa, Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azaban naar.



Apabila berazam menjadi artis bertakwa, tentunya panduan kehidupan bukan lagi nilai Barat yang disogokkan melalui gegak gempita Hollywood, Bollywood dan Hong Kong. Tentunya bukan lagi mencontohi cara hidup songsang artisnya termasuk dari segi pakaian, tingkah laku dan pergaulan. Tentunya bukan lagi berpakaian bagai tak cukup kain di karpet merah; tentunya bukan lagi tutur bicara takabur, satu sifat yang hanya layak dipakai Sang Pencipta Alam. Namun semuanya terarah kepada kehendak-Nya, berpandukan kepada kitab dan sunnah; dengan alam ciptaan-Nya menjadi inspirasi insan bergelar anak seni – semuanya dikaitkan dengan keagungan Yang Maha Kuasa.



Semua ini bukan kerja mudah. Puncanya kerana kita sudah terlalu lama terpesong jauh. Dunia artis kita hari ini adalah dunia jahil – menyamai zaman jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Namun kita tidak bermaksud menyalahkan dunia artis semata-mata kerana dunia politik kita (maraknya fitnah dan segala kebusukan lain seperti rasuah dan pembohongan), dunia kewartawanan, dunia perniagaan dan sebagainya yang berkiblatan nafsu keduniaan, semuanya menuju zaman jahiliah.



Apa yang paling menakutkan; seluruh sistem kehidupan kita menghampiri zaman punah itu. Fitnah, bunuh, zina, riba, rasuah; semuanya sudah membarah dalam masyarakat. Hanya dengan kembali kepada Islam dengan segala ilmu dan pengamalannya, kita menadah tangan merintih memohon-Nya menyelamatkan kita daripada bahana akhir zaman ini. 


Ingatlah firman Allah SWT yang bermaklsud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2020 16:10

December 3, 2020

Rabiulakhir 18, 1442: Zahirkan keindahan Islam...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)


SEBUAH hadis; daripada Abdullah ibn Umar, katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud: "Berikan kepada seorang pekerja upahnya sebelum keringatnya kering." (Riwayat Ibnu Majah, hadis ini shahih)


Ya, wahai pembaca...zahirkan nilai-nilai murni dalam Islam seperti menghargai orang dan makhluk lain. Nilai-nilai Islam bersifat universal, untuk diamalkan oleh Muslim dan orang yang belum lagi Muslim. Apabila seseorang atau pihak dijanjikan untuk dibayar upah atau gaji, bayarlah segera; janganlah bersikap tak nak bayar atau sengaja melewat-lewatkan pembayarannya.


Apa yang diluahkan seperti ucapan 'Assalamualaikum', 'terima kasih', bertanya khabar, meminta maaf dan memaklumkan perkembangan nampak kecil bagi kebanyakan manusia tetapi hakikatnya adalah tersangat besar dalam pembinaan tamadun manusia apatah lagi di sisi Allah SWT.


Tamadun manusia yang hebat-hebat bermula daripada perkara-perkara yang dianggap kecil ini. Sekalipun tamadun Barat yang kita saksikan di ambang keruntuhan sekarang ini, jika kita berkunjung ke negara-negaranya seperti Britain kita tak lekang bertemu dengan orang yang memberikan ucapan 'good morning', 'thank you', 'excuse me', 'please' dan sebagainya sekalipun kita tidak kenal mereka.


Demikian juga dari segi disiplin, mereka masih hebat walaupun ramai yang sudah 'tersasar' seperti mabuk dan sebagainya. Beratur lurus membeli tiket, membuat pembayaran di kaunter, menaiki pengkangkutan awam adalah senario biasa...Ketepatan masa seperti mesyuarat dan perjalanan pengangkutan awam tetap menjadi amalan. Ya Barat masih hebat...dulu seorang sarjana Islam,  ada mengungkapkan bahawa nilai Islam 'terzahir' di Barat tetapi tidak di negara umat Islam!


Sekarang ini kita sudah di akhir tahun, apa kata kita cuba ubah secara beransur-ansur sikap terutama kebiasaan kita. 'Kezahiran' nilai mulia tetapi mudah seperti ucapan 'terima kasih'.


Kita sudah biasa menemui individu atau organisasi yang mendakwa pengamal Islam yang baik atau Islamik sekalipun mereka (maaf kata), jarang atau tidak pernah pun berbuat demikian. Panggilan telefon ke pejabat mereka begitu sukar 'masuk', jika ada yang mengangkat telefon, tiada ucapan ceria manakala layanannya 'bina tak bina saja'!


Demikian juga soal membabitkan kewangan seperti membuat pembayaran atau membayar hutang...banyak pihak culas dan lewat dalam membereskan hak-hak pihak dan orang lain. 


Banyak pihak melihat perkara ini remeh-temeh, kononnya matlamat mereka hebat-hebat belaka seperti mendapat kuasa, memperkasa agama, memajukan rakyat dan menggandakan keuntungan; hakikatnya kemuncak kejayaan hakiki wajiblah bermula daripada perkara paling dasar termasuklah betul dari segi akidah.


Sekarang ini kita perhatikan, ramai orang dan pihak lebih banyak beretorik daripada membuat pengamalan. Kononnya mereka akan 'berbuat begitu begini selepas mendapat kuasa', hakikatnya kebaikan boleh dilakukan oleh semua orang...takkan ucapan seperti ' Assalamualaikum', 'terima kasih' dan memberi senyuman pun tidak boleh diamalkan! 


Malahan kita dapati ucapan 'minta maaf' pun sukar diucapkan oleh 'orang besar' hatta 'golongan agamawan' sekalipun, misalnya jika mereka terlewat sampai ke sesuatu majlis termasuk tazkirah sedangkan hadirin sudah lama menunggu! Jika ada 100 orang dan masa menunggu 30 minit, masa dihabiskan adalah 3,000 minit bersamaan 50 jam!


Mereka pandai bercakap..."demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian" tetapi apabila mereka 'menghabiskan masa orang awam' mereka tak rasa bersalah pun! Ya, sukalah diingatkan kepada diri sendiri dan semua orang, bikinlah seperti mana yang dicakap (atau cakap serupa bikin), itulah salah satu daripada nilai-nilai murni dalam agama kita yang suci!


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 03, 2020 15:35

December 2, 2020

Rabiulakhir 17, 1442: Amerika gagal bendung gejala arak...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dan janganlah engkau berdoa selain daripada Allah, iaitu sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepadamu, dan tidak pula mendatangkan mudarat. Maka jika engkau perbuat juga, sesungguhnya engkau pada waktu itu, termasuk orang-orang yang menganiaya dirinnya sendiri." (Maksud Ayat 106 Surah Yunus) 


KETIKA gegak gempita mengenai isu arak (minuman keras) sekarang ini adalah bermanfaat kita merujuk kepada pandangan cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi mengenai keberkesanan sesebuah pemerintahan. 

Kata Maududi, tugas utama pemerintahan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Kemudian bagi memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. 

Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber.

Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. 

Hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya sesetengah pemimpin dari segi akhlak tidak kira di mana belah dunia. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. 

Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik.

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. 

Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. 

Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. 

Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. 

Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. 

Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. 

Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik. 

Ya, pemimpin paling takut kepada Allah persis dua Umar (Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz) begitu didambakan masyarakat. Pilihlah mereka yang menghampiri ciri-ciri ini bukan pemimpin lara.

Ingatlah di akhirat kelak seseorang akan dihimpunkan bersama orang (pemimpin) dikasihi mereka. Anda mahu dihimpunkan bersama tok-tok guru takutkan Allah SWT atau tokoh penyemarak kemaksiatan seperti pesta arak, hiburan tak bertempat dan perjudian?


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 02, 2020 15:40

December 1, 2020

Rabiulakhir 16, 1442: Membeli kehidupan dunia dengan akhirat (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


SAYA pantang melihat bahan bacaan. Habis saya baca jika ada kesempatan. Kegemaran sejak kecil ini saya teruskan kini walaupun umur hampir setengah kurun. Baru-baru ini saya mengambil ‘sebeban’ bahan bacaan ‘free’ dari Masjid Negara dan Masjid UPM Serdang.


Ada banyak bahan menarik; salah satu daripadanya risalah bertajuk ‘Konsep Sambutan Hari Lahir – Menurut Perspektif Islam’ yang ditulis oleh Imam Masjid Putra, Haji Abdul Manaf Mat.


Setelah membaca risalah ini, saya berpendapat apa yang ditulis imam ini amat relevan untuk dijadikan sandaran dan bahan renungan kita apabila ada daripada kita termasuk pemimpin yang sanggup ke rumah ibadat penganut tertentu dan bersama-sama merayakan hari kebesaran mereka.


Sekalipun tajuk risalah itu ‘hari lahir’, Haji Abdul Manaf tidak memaksudnya sebagai hari lahir seseorang sebaliknya “sambutan hari lahir menurut perspektif masyarakat Malaysia bermaksud menyambut secara terbuka dengan sahabat handai yang berbilang kaum dan pelbagai bangsa di Malaysia secara bersama-sama.”


Menurut beliau, perbuatan meraikan upacara atau perayaan bukan Islam sama ada perayaan yang disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi ataupun Musyrikin, adalah sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” (TMQ. At-Taubah (9): 33)


Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.” (TMQ. Al-Fath (48): 28)


Tafsiran kedua-dua ayat al-Quran ini dengan jelas menerangkan bahawa orang-orang kafir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam neraka bersama penguasa mereka sebagaimana yang dikuatkan oleh sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya akan terbukalah bagimu (kaum Muslimin) bahawa bumi Allah dari timur sampai ke barat. Dan bahawa para penguasanya akan masuk neraka semuanya kecuali yang bertakwa dan melaksanakan amanat di antara mereka.” (HR. Ahmad, tafsir Ibn Kathir)


Jadi, untuk apa kita menyambut hari lahir menurut perspektif agama lain sedangkan mereka kesemuanya akan dihumban ke neraka? Justeru perbuatan untuk duduk bersama-sama di dalam majlis sambutan hari lahir yang menyamai orang-orang bukan Islam seolah-olah kita membenarkan kemenangan agama mereka.


Pada hal, Islam diutus untuk dimenangi dan ditinggikan atas semua agama yang ada. Kerap kali juga kita dapat melihat menerusi kaca TV, bagaimana sebahagian Muslimin yang berpakaian menyerupai penganut-penganut agama lain ketika menghadiri sambutan hari lahir tersebut.


Justeru, perbuatan tersebut termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai ‘tasyabbuh bil kuffar’, yang bermaksud menyerupakan orang kafir.


Ini suatu perbuatan yang mana sangat jelas bertentangan dengan akidah Islam yang kita anuti. Islam melarang umatnya daripada meniru dan menyerupai perbuatan-perbuatan orang bukan Islam.


Larangan telah dinyatakan dengan tegas oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. dengan sabdanya bermaksud: “Barangsiapa di kalangan kaum Muslimin yang menyerupai, atau meniru-niru perbuatan-perbuatan orang kafir, maka di kalangan mereka (orang-orang kafir).” (HR. Abu Daud, Al-Baihaqi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ad-Daruquthni)


Apa pun, sambutan hari lahir mengikut cara orang bukan Islam juga merupakan salah satu perbuatan yang dianggap sebagai reda terhadap agama dan kepercayaan mereka, di samping secara tidak sedar mereka telah mengiktiraf dan mengakui wujudnya agama selain daripada Islam.


Orang yang menjual agama untuk mendapat kepentingan duniawi termasuk politik diberi amaran oleh Allah SWT; “Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan azabnya dan mereka tidak akan ditolong." (Maksud ayat 86 Surah Al-Baqarah)


Dan ingatlah antara maksud Surah Al-Kafirun: Untukmu agamamu, untukku agamaku.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 01, 2020 14:57

November 30, 2020

Rabiulakhir 15, 1442: Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan berterusan (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)


PEMIMPIN boleh datang dan pergi dan ada kalanya tergelincir dan tersasar, tetapi perjuangan untuk hidup bersandarkan al-Quran dan hadis tetap akan diteruskan sehingga kiamat.


Hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang, bukannya menjadikan tokoh tertentu dan ternama sebagai sandaran perjuangan.


Jika pun seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.


Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.


Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.


Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon, Mubarak, Zein el-Ebiden, dan Saddam semuanya hancur. Demikian juga pemimpin dari rantau Asia seperti Marcos dan Suharto.


Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'.


Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana.


Di sinilah terletak cabaran besar kepada umat, organisasi dan pergerakan Islam sedangkan parti lawan hanya berseronok-seronok untuk menang di peringkat tempatan dan nasional.


Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global.


Berdasarkan Tragedi 11 September 2001, ternyata cabaran umat dan pergerakan Islam semakin mencabar. Konspirasi untuk memburuk dan menjatuhkan Islam semakin menjadi-jadi malahan apa saja bentuk keganasan dengan segera dirujuk kepada orang Islam.


Maka tidak hairan timbulnya istilah-istilah menjijikkan media massa Barat malah diterima pakai media milik orang Islam sendiri seperti 'militan Islam' 'pengganas Islam', 'terroris Islam', 'pengebom Islam' dan 'pelampau Islam'.


Dalam keadaan dunia kini seolah-olah di bawah telunjuk kuasa unipolar Amerika Syarikat, cabaran umat dan pergerakan Islam untuk menegakkan hukum-hakam Allah dan hidup berpandukan al-Quran dan sunnah menjadi semakin sukar.


Kini di seluruh dunia timbul gerakan dan cengkaman kuasa untuk menafikan hak orang Islam. Misalnya di Eropah termasuk di Perancis, hak wanita Islam untuk bertudung dinafikan manakala masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan menerima pelbagai ugutan.


Sebaliknya dengan pelbagai helah seperti istilah 'dunia tanpa sempadan', segala yang jijik berpunca daripada cara hidup songsang Barat seperti filem lucah dan kegilaan kepada maksiat seperti arak, zina dan judi dilambakkan di negara Dunia Ketiga khususnya di negara Islam.


Jika ada kumpulan atau negara yang cuba hidup berlainan daripada budaya popular Barat, mereka akan dihancurkan. 


Kesimpulannya, pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.


Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan bagaikan tautan mata rantai sehingga hari kiamat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 30, 2020 15:15

November 29, 2020

Rabiulakhir 14, 1442: Dosa orang diuar-uarkan, dosa kita bagaimana?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." - Maksud Ayat 190 Surah Al-Baqarah 


TERSENTAK saya mendengar seorang pemimpin besar menguar-uarkan tujuh dosa besar pihak tertentu. Renungkanlah, jika jari telunjuk kita dihalakan dalam menuduh seseorang, tiga lagi jari akan menuding balik ke arah kita. 

Apabila kita menyatakan seseorang atau pihak melakukan tujuh dosa besar, berapa banyak pula dosa besar kita? Tidakkah ia sebanyak 21 dosa besar iaitu 7X3 atau lebih banyak daripada itu? 

Orang baik (atau beriman) adalah orang yang takut akan dosa dilakukannya, bukan menyibuk akan dosa orang lain. Dosa orang lain dia tanggunglah sendiri dalam kuburnya, yang perlu dibimbangi ialah dosa-dosa kita sendiri. Hakikatnya dosa kita sudah terlalu banyak untuk kita renung-renungkan seterusnya mengambil langkah bertaubat daripada menyibuk akan dosa orang lain. 

Tidak payahlah kita pergi jauh untuk memikirkan seterusnya cemas akan dosa kita sendiri. Dalam rumah tangga sendiri pun kita sudah tahu betapa banyak dosa kita. Kalau kita seorang bapa, apakah anak-anak kita sudah terdidik dengan ajaran Islam sepenuhnya dan mengamalkannya? 

Betulkah anak-anak mengikut pesanan kita atau mereka 'bersandiwara' saja? Misalnya, ada anak-anak yang pura-pura solat; mereka melakukan bacaan solat dengan kuat ketika kita melepasi bilik mereka sedangkan mereka masih di atas katil! 

Kisah seorang anak saya ini diharap dapat dijadikan iktibar dan menyuntik semangat ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Ketika si anak ini dalam Tahun 2 (lapan tahun) termenung panjang saya apabila saya menyedari dia 'menyeludup keluar' sejenis permainan daripada sebuah pasar raya. 

Tentunya saya 'menggelupur kepanasan', tetapi selepas 'timbang punya timbang', saya bersyukur kerana Allah dedahkan perbuatan kurang baik itu ketika dia masih kanak-kanak. Kalau dia sudah jadi macam Sazali. anak P Ramlee (dalam filem) itu sudah terlambat. 

Ya, inilah masa untuk mendidik si anak. Saya berhasrat memberi pengajaran yang mungkin tak dilupakan sepanjang hayatnya. Ketika dalam satu perjalanan, saya terus memandu kereta memasuki sebuah balai polis. Tentunya si anak tak nak keluar dari kereta. Saya berjumpa dengan seorang pegawai polis, menceritakan hal yang berlaku dan merayu dia berlakon mahu menangkap anak saya. Pendeknya dia 'acah' saja, selepas itu dia nasihatkan anak saya jangan buat 'kerja-kerja tak baik' lagi. 

Demikianlah bukan senang untuk membesarkan seorang anak agar dia menjadi insan berguna. Jika mereka gagal menjadi seorang Muslim yang baik seperti tidak solat, apakah kita boleh berlepas tangan saja? Jawapannya tidak, dosa kita terlalu banyak - terhadap Allah SWT, terhadap ibu bapa, anak isteri dan sebagainya. Jadi, fikir-fikirkan akan dosa kita yang banyak itu bukan bertindak sebaliknya seperti menguar-uarkan dosa pihak lain, malah dosa besar pula! 

Berceloteh mengenai pendidikan anak-anak, seorang pembaca mahu berkongsi pandangannya dengan pembaca yang beliau e-mel kepada saya: 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh; semoga Saudara LanH dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa sihat bahagia senyum sentiasa dalam masa kecederaan menunggu pembubaran Parlimen. 

Syukur kepada Maha Pencipta dan rantaian terima kasih buat Saudara yang sudi menyiarkan pandangan rakyat biasa yang tiada kepentingan kecuali rasa kasih melimpah-ruah buat agama dan anak bangsa. Justeru apabila membaca coretan Saudara, hati tua tersentuh kemudian terbit linangan air mata. Terbayang di mata dan terdengar-dengar di telinga keluhan Saudara terhadap anak-anak sekarang yang menuduh kita menyibuk, sehingga tidak terkeluar ayat untuk bertanya, solat subuh hari ini? 

Itulah hakikatnya orang Melayu beragama Islam pada hari ini Saudara. Ustaz dan ustazah di sekolah pun dituduh menyibuk sekiranya bertanya, solat subuh pagi tadi? Ingin juga hati tua ini bertanya, murid yang tidak cukup sembahyang lima waktu, berada di 'band' mana dalam pentaksiran berasaskan sekolah?

Justifikasi kita orang tua, senang sahaja Saudara. Tidak sembahyang, tidak berterima kasih kepada Allah. Tidak cukup solat sehari semalam, tidak adalah rasa syukur, terima kasih kepada Tuhan bukan saja pada rezeki hatta oksigen yang disedut. 

Fikiran tua ini berpandangan, mengingatkan sembahyang (detik berterima kasih rasmi kepada Maha Pencipta) ini bukan kerja ustaz ustazah sahaja tetapi semua guru. Guru pula akan menambah, mak dan bapa juga kena selalu ingatkan anak-anak mereka. 

Mak, bapa, nenek, datuk pula akan menuding pada tuan guru dan ulama, ini autoriti tuan guru, mufti. Tok guru pula kata, ini kerja pemimpin dan pemerintah. Pemimpin tak jaga solat, rakyat pun ikut sama. 

Oleh sebab itu, mohon sangat kepada Saudara agar dihebah kepada rakyat jelata, hidup berkat disayangi Allah SWT lebih diutama. Pilihlah pemimpin yang sayang dan takut akan Maha Pencipta. Pemimpin inilah ulul-amri yang orang awam seperti hamba tua ini wajib dan mohon sentiasa diberi ingat akan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Manusia berada di maya pada ini bersebab, bukan mati terus menjadi tanah. 

Kepada mak dan bapa beragama Islam, jangan marah ustaz, ustazah yang menegur aurat anak-anak Dato', Datin, Tuan, Puan. 

Jangan naik angin dengan soalan, solat subuh pagi tadi? Mak-mak pun jangan melatah, golongan bapa menambah dua, tiga atau empat. Golongan bapa pun dengan hujah mereka, tiada manusia yang boleh adil dalam soal kasih sayang (buktinya anak-anak kita sendiri - yang sulung, yang tengah, yang bongsu). Oleh hal yang demikian, pemerintah setaat Umar Abdul Aziz sangat diperlukan di Malaysia. 

Pemerintah yang sangat takut akan Tuhannya, sangat menjaga perbendaharaan negara, sangat menjaga keluarga daripada menggunakan harta milik negara, sangat memikirkan jawapan yang akan diberikan di Padang Mahsyar, pemimpin Malaysia yang akan menjawab di hadapan Allah SWT bagi pihak 30 juta rakyat. 

Malaysia memang sudah lama menunggu pemimpin yang amanah, ikhlas, cerdik dan membetulkan semula semua jentera kerajaan yang sudah jelas bobrok di makan anai-anai. 

Mohon saudara khabar-khabarkan. Sekian. Terima kasih kepada Allah SWT. Terima kasih Saudara.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 29, 2020 15:18

November 28, 2020

Rabiulakhir 13, 1442: Khalifah Umar pun cari rakyat miskin...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


BAHARU-BAHARU ini saya ke pejabat pos. Sudah lama saya tidak menghantar surat atau bungkusan melalui pos. Bagi generasi baru, mereka mungkin tidak tertedah dengan 'kaedah lama' ini. Apabila tiba giliran, di kaunter saya menyerahkan satu sampul surat sederhana besar berisi sebuah buku dan bertanya petugas berapakah harga setemnya jika dihantar secara pos biasa.

Kerani wanita itu menimbang sampul surat itu dan menyerahkannya kembali kepada saya sambil berkata, satu ringgit lima sen (RM1.05). Saya menyerahkan wang RM2, kemudian mengambil baki wang (tanpa mengiranya) serta setem dan terus menuju ke kaunter sisi yang ada disediakan gam untuk menampal setem.

Ketika mahu menampal setem, saya terperasan setem itu tertera RM1.00 saja, mana pula setem 5 sen itu, fikir saya. Mungkin tercicir agaknya atau kerani itu terlupa memberikan saya, Saya kembali ke kaunter, bertanya sang petugas mana setem 5 sen itu.

'Tidak pasal-pasal' di kaunter itu saya 'dimalukan' apabila kerani itu dengan agak keras berkata: "Lima sen tu adalah GST, kan saya sudah beri awak resit tu. GST tu enam sen, tetapi kita kira lima sen saja."

Dengan muka merah padam, saya kembali ke meja sisi meneruskan 'kerja' saya mengepos surat itu. Ya sejak 1 April 2015 hampir semua perkhidmatan dan pembelian barangan dikenakan GST. Ini termasuklah hal remeh temeh seperti pembelian setem yang saya alami, pembayaran bil elektrik dan air malah pembelian mi segera yang kerap menjadi 'santapan'  budak 'U'. GST pada 2015 mengutip hasil RM27 bilion, pada 2016 RM41 bilion dan jangkaan RM42 bilion pada 2017.

Setiap transaksi RM1, pembeli atau pengguna dikenakan GST enam (6) sen iaitu pada kadar 6 peratus. Jika transaksi RM10, GST yang dikenakan adalah 60 sen tetapi sungguh menghairankan apabila seorang editor dalam sebuah akhbar harian tabloid dalam kolum 'Komentar' dengan tajuk 'Kemakmuran kisah indah Malaysia' baru-baru ini terlebih 'bodek' sehingga 'terlupa diri' apabila menulis: "Kalau anda belanja RM10 sehari, cukainya 30 sen sahaja."

Antara lain beliau menulis: "Negara kita tetap kekal makmur pada era kejatuhan harga petroleum yang teruk sejak beberapa tahun lalu kerana ia diimbangi oleh GST yang turut dirasai segenap lapisan masyarakat."

Editor ini merasionalkan senario ini bagi menggambarkan 'kemakmuran kisah indah Malaysia': "Ramai rakyat Malaysia masih mampu makan di restoran mewah yang GST-nya juga tinggi, menonton wayang seperti biasa malah mampu melancong sehingga ke luar negara. Mereka juga menggunakan telefon bimbit mahal-mahal, melaram dengan pakaian berjenama malah membeli-belah di pasar raya ternama."

Bagi saya editor ini 'tidak turun padang' - 'tidak merakyat' dalam pemerhatian dan tulisannya. Dalam setiap masyarakat (negara) ada rakyat yang kaya, sederhana dan miskin tetapi nampaknya sang editor memfokuskan kepada kumpulan berkemampuan lantas merasionalkan mengapa GST perlu dikenakan - anda 'mempersembahkan' apa yang anda lihat secara zahir dan mahu pembaca mengesahkannya sedangkan apa yang tersirat tidak mahu diambil peduli.

Dalam sejarah Islam, Khalifah Umar Al-Khattab telah memberikan contoh terbaik. Jika Umar mahu hidup mewah, beliau boleh berbuat demikian. Demikian juga pegawai-pegawainya. Dengan hidup dalam lingkungan golongan mewah, bagaimana pemimpin boleh tahu keadaan sebenar rakyat?

Umar turun padang - pada malam hari beliau 'mengendap' sana sini. Tahulah dia ada rakyat tak ada makanan. Salah satu kisah, ada ibu 'memasak batu' sebagai helah supaya anak yang lapar tertidur kerana penat menunggu. Umar sendiri memikul gandum pada malam itu kerana takut Allah akan menyoalnya.

Jika Umar, sang khalifah (pemimpin tertinggi daulah Islam), berkorban turun padang bagi melihat keadaan sebenar rakyat, apakah penulis (editor) 'yang mulia' tak 'ingin menjengah' celah-celah jalan kota, meninjau kehidupan gelandangan, singgah di kawasan setinggan dan ke desa menyapa si Mat yang padinya tidak menjadi, si Bedul yang hutangnya bertimbun-timbun 'angkara Felda' atau si Midah yang ditinggalkan laki penghisap dadah!

Atau paling kurang, santunilah si Shah yang sudah setahun lulus MBBS tetapi masih menunggu panggilan 'housemanship', atau si Karim yang baru dibuang kerja! Santunilah mereka, santunilah mereka wahai sang penulis, janganlah kamu asyik melihat kemeriahan di KFC, Jusco, Hilton dan meneropong jauh ke Dubai, Paris, London dan New York, takut-takut nanti anda 'terteropong' si dia yang sedang membeli cincin permata dan beg tangan berjenama Birkin...jeng,jeng,jeng!


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2020 15:57

November 27, 2020

Rabiulakhir 12, 1442: Jika mahu jadi artis, jadilah artis bertakwa...

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)


APABILA Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang terbaharu (ke-33) dipolemikkan, saya seperti dipanggil-panggil untuk membaca sejumlah komentar mengenainya sama ada dalam media cetak atau elektronik. 


Ini kerana saya pernah bekerja di syarikat akhbar ini selama lebih 12 tahun; kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...


Dalam celoteh ini tiadalah saya berhajat mengulas komentar-komentar berkenaan - sama ada yang pro padanya atau tidak tetapi memusatkan perhatian kepada artis dan dunia artis apatah lagi selepas saya menonton sebuah  filem bernaunsa Islam melalui Bioskop Hijrah TV9 membawakan kisah Hanum dan Rangga dalam filem '99 Cahaya Di Langit Eropa'.


Filem ini adalah Bahagian 1 disiarkan mulai jam 9 malam pada 21 November lalu dan pada 28 November nanti akan siarkan Bahagian 2, juga mulai jam 9 malam yang menggambarkan suami isteri itu berada di Cordova yang menjadi pusat keilmuan (termasuk kebudayaan dan kesenian) Islam terhebat suatu ketika dahulu. 


Islam adalah yang terhebat dalam semua bidang kehidupan - hatta dalam bidang kesenian sekalipun. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berjaya dalam bidang apa pun selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.


Apabila seseorang itu mematuhi hukum-hakam dalam apa juga bidang diceburinya maka apabila dia menjadi seorang jurutera dia akan menjadi seorang jurutera bertakwa; apabila dia menjadi seorang ahli politik dia menjadi seorang politikus bertakwa; jika dia menjadi seorang wartawan dia menjadi seorang wartawan bertakwa dan jika dia menjadi seorang artis dia menjadi seorang artis yang bertakwa. Kalau dia pembuat filem, dia akan menjadi pembuat filem bertakwa.


Namun kerjaya terakhir dinyatakan (artis) menimbulkan tanda tanya, kerana apa yang dimaksudkan dengan artis yang bertakwa itu? Mungkin gambaran seorang artis bertakwa terlalu kabur pada pandangan masyarakat sekarang ini berdasarkan dunia kehidupan artis yang digembar-gembur dan diprojekkan sekarang ini. Dunia artis yang dipertontonkan sekarang ini terlalu hitam, hampir semuanya (nilai, penampilan dan paling utama niat) adalah berpaksikan kehendak dunia Barat yang mementingkan nafsu, kebendaan, eksploitasi dan sebagainya.


Soal persembahannya, soal pakaiannya, soal perangainya, semuanya mengambil contoh dari sana. Jadi dunia artis kita adalah berkiblatkan Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Korea dan Jepun. Masing-masing berkarier untuk memenuhi kehendak, kantung (duit) dan nafsu dunia Barat; tidak ada kena mengena langsung dengan kehidupan seorang Muslim.



Jadi persoalannya bagaimana menjadi artis bertakwa? Pertama, perbetulkan niat. Aku mahu menjadi artis kerana Allah Taala. Apabila niat sudah berada di jalan lurus seperti diminta sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam solat), seseorang itu sudah bersiap sedia untuk menjadi artis bertakwa. Sebelum terjun ke bidang ini, diselidiki dulu apa yang boleh dan tidak boleh (soal halal dan haram). Sepanjang perjalanan, tentunya banyak onak dan duri yang tersangat dahsyat akan ditempohi. Itulah sebenarnya perjalanan seorang anak seni yang mahu menjadi artis bertakwa.


Ganjarannya bukan keuntungan duniawi semata-mata seperti difahami dunia Barat dan orang-orang sealirannya, tetapi kebaikan di dunia dan akhirat seperti lazim kita berdoa, Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azaban naar.



Apabila berazam menjadi artis bertakwa, tentunya panduan kehidupan bukan lagi nilai Barat yang disogokkan melalui gegak gempita Hollywood, Bollywood dan Hong Kong. Tentunya bukan lagi mencontohi cara hidup songsang artisnya termasuk dari segi pakaian, tingkah laku dan pergaulan. Tentunya bukan lagi berpakaian bagai tak cukup kain di karpet merah; tentunya bukan lagi tutur bicara takabur, satu sifat yang hanya layak dipakai Sang Pencipta Alam. Namun semuanya terarah kepada kehendak-Nya, berpandukan kepada kitab dan sunnah; dengan alam ciptaan-Nya menjadi inspirasi insan bergelar anak seni – semuanya dikaitkan dengan keagungan Yang Maha Kuasa.



Semua ini bukan kerja mudah. Puncanya kerana kita sudah terlalu lama terpesong jauh. Dunia artis kita hari ini adalah dunia jahil – menyamai zaman jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Namun kita tidak bermaksud menyalahkan dunia artis semata-mata kerana dunia politik kita (maraknya fitnah dan segala kebusukan lain seperti rasuah dan pembohongan), dunia kewartawanan, dunia perniagaan dan sebagainya yang berkiblatan nafsu keduniaan, semuanya menuju zaman jahiliah.



Apa yang paling menakutkan; seluruh sistem kehidupan kita menghampiri zaman punah itu. Fitnah, bunuh, zina, riba, rasuah; semuanya sudah membarah dalam masyarakat. Hanya dengan kembali kepada Islam dengan segala ilmu dan pengamalannya, kita menadah tangan merintih memohon-Nya menyelamatkan kita daripada bahana akhir zaman ini. 


Ingatlah firman Allah SWT yang bermaklsud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 27, 2020 15:51

November 26, 2020

Rabiulakhir 11, 1442: Kos hidup tinggi: Belajarlah menikmati bukan memiliki...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


SEMASA budak-budak dulu salah sebuah cerita yang menarik perhatian saya adalah kisah seorang kaya kurus dan jirannya yang miskin tetapi gagah perkasa. Puas sudah si kaya memikirkan bagaimana dia tetap kurus dan kurang sihat sekalipun makanan dihidangkan kepadanya sedap-sedap belaka sedangkan si jiran makan seadanya.


Suatu hari sedang si kaya duduk-duduk di beranda rumahnya, terbau masakan sungguh menyelerakan dari dapur. Tukang masaknya sedang menyediakan makanan paling sedap. Tiba-tiba dia terpandang sosok si miskin di depan rumahnya. Timbul perasaan jahat di hatinya. Mungkin si miskin segar bugar kerana dia mencuri makananku; iaitu baunya. Lantas si kaya menyaman si miskin.


Di mahkamah, selepas mendengar dakwaan si kaya dan keterangan si miskin, hakim memutuskan bahawa si miskin bersalah. Si hakim bertanya si kaya nilaian ganti rugi dituntutnya. Dia berkata 100 keping emas. Hakim memerintahkan dibawa kepingan emas itu dan kemudian beliau memisahkan si kaya dan si miskin dengan sehelai tabir.


Hakim kemudian memerintahkan si miskin menjatuhkan kepingan emas itu satu persatu dan menyuruh si kaya dan miskin mengiranya kuat-kuat. Selepas kiraan ke-100, hakim memerintahkan kepingan emas itu disimpan balik dan berkata kepada si kaya dan si miskin bahawa kes itu sudah selesai.


Si kaya terkejut, lantas bertanya, "Mana wang saya?" Jawab hakim; "Jiran kamu hanya menikmati bau makanan kamu; sebentar tadi bukankah kamu sudah mendengar bunyi wang kamu? Kes selesai, pulanglah kamu berdua!"


Demikianlah, si miskin boleh 'menikmati' tetapi tidak 'memiliki'. Hari ini boleh dikatakan hampir semua anggota masyarakat kita gila memiliki harta dan segala perkara bersangkutan dunia tetapi gagal menikmati kehidupan.


Kita juga biasa dengan cerita bagaimana si miskin dapat tidur lelap berdengkur sedangkan si kaya yang tidur dengan tilam empok Maya Karin dan bilik 'air-cond' tidak dapat melelapkan mata. Ya, peralatan 'kesedapan' seperti tilam gebu boleh dibeli tetapi tidur iaitu sebahagiaan daripada kenikmatan dunia tidak boleh dibeli hatta dengan emas seluruh dunia!


Perhatikan rumah tangga moden hari ini, saban hari sang suami dan isteri bekerja 'macam nak mati', mengumpulkan wang ringgit. Esoknya sama juga, lusa pun macam itu. Minggu bertukar bulan, bulan bertukar tahun. Mungkin duit mereka banyak tetapi mereka tidak ada masa menikmati wang itu. Mungkin untuk makan dan bermesra dengan anak-anak pun mereka tidak ada masa apatah lagi pergi bercuti.


Pada era kos hidup tinggi sekarang ini, makin ramai orang bekerja 'macam nak mati'. Bukan saja suami isteri bekerja, bagi mereka satu kerja tak cukup. Mereka buat dua atau tiga kerja ditambah pula dengan bisnes 'online'. Hampir 24 jam mereka bekerja, jadi pada masa bila mereka hendak menikmati hidup ini?


Pada pendapat saya yang 'naif' ini, untuk menikmati kehidupan kita perlu perlahankan rentak (slow down) hidup kita. Tidak perlulah kita bekerja 'macam nak mati'. Subhanallah, kalau betul-betul kita mati, orang lain pula akan menikmati wang dan harta yang kita kumpulkan macam nak mati.


Salah satu cara untuk kita menikmati kehidupan ini adalah dengan mensyukuri apa saja yang ada lantas mengaitkannya dengan kehebatan Illahi di samping menjalani kehidupan secara berjemaah. Misalnya kita tidak perlu memiliki sendiri sebuah taman bunga yang indah di rumah kita sebaliknya keindahan ciptaan Allah di dunia ini termasuk taman-taman awam sudah dapat 'membungakan' hati kita.


Dari segi kehidupan berjemaah pula, sebagai contoh kita tidak perlu memiliki penghawa dingin sebaliknya dengan pergi ke masjid untuk solat berjemaah lima kali sehari kita dapat menikmati kedinginan 'air-cond'. Di masjid pun kita boleh nikmati 'karpet tebal terbenam kaki', air 'water cooler' yang dingin dan banyak kemudahan lain.


Kita juga tidak perlu memiliki surat khabar, majalah dan buku tetapi boleh menikmatinya dengan pergi ke perpustakaan. Ini sebagai contoh saja, sebenarnya ada banyak perkara yang kita tidak perlu memiliki tetapi boleh menikmatinya.


Mengenai menikmati dan memiliki ini, saya ada terbaca sebuah artikel dari seberang (Indonesia) yang antara lain penulisnya mengungkapkan (ejaan dan istilahnya dikekalkan): "Banyak orang salah kaprah dan beranggapan bahwa memiliki itu jauh lebih penting. Karenanya, mereka berusaha mendapatkan harta lebih banyak dan lebih banyak lagi. Padahal, harta yang banyak itu membuat mereka senantiasa diliputi rasa takut. Akibatnya, mereka tak bisa lagi menikmati hidup yang aman, damai dan sejahtera.


"Banyak orang yang memiliki, tapi tak sempat menikmati. Sebaliknya, banyak juga orang yang tak memiliki tapi bisa menikmati. Cobalah lihat vila-vila yang kini menjamur di kawasan Puncak. Siapakah yang memiliki vila tersebut? Namun, siapakah sebenarnya yang selalu menikmatinya? Bukankah si pembantu rumah yang selalu di situ sedangkan pemiliknya ke sana sini berbisnes?


"Ada juga cerita mengenai seorang pengacara terkenal yang suatu ketika mengunjungi pameran mebel. Ia tertarik dengan meja makan berharga ratusan juta dan tanpa pikir panjang langsung membelinya. Yang menarik, setelah meja tersebut dikirim ke rumahnya, ia menjadi kebingungan. Perabot di rumahnya sudah sangat banyak dan tak ada lagi tempat tersisa. Inilah contoh dari memiliki tetapi tidak menikmati.


"Kunci kebahagiaan kita sebenarnya tidak terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita nikmati. Bahkan, orang yang kaya dalam arti yang sesungguhnya bukanlah orang yang memiliki banyak hal, tetapi orang yang dapat menikmati apa pun yang ia miliki."

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 26, 2020 15:24

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.