Roslan Hamid's Blog, page 75
October 25, 2020
Rabiulawal 9, 1442: Pulangkan duit gaji perolehan daripada hasil judi, arak (U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
Seorang ustaz pernah memberitahu penulis supaya mengasingkan wang faedah (riba) yang dimasukkan dalam akaun bank. Dulu faedah dibayar sekali gus dalam setahun, tidak sekerap sekarang. Disebabkan simpanan saya tidak banyak, jumlah faedahnya kecil saja, tidak lebih RM100.
Katanya, keluarkanlah wang faedah itu dan berikan kepada pihak yang mahu melakukan projek pembangunan umum seperti membina jalan dan jambatan serta membiayai program sekolah seperti sukan tahunan dan majlis penyampaian hadiah.
Menurutnya, wang itu perlu dikeluarkan, usah dibekukan dalam akaun. “Ini penting kerana wang itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan dan kepentingan umum. Tetapi janganlah wang itu untuk kegunaan sendiri atau memasukkannya dalam tabungan berkaitan ibadat seperti tabung masjid,” pesannya.
Demikianlah betapa sejak dulu lagi, kita diajar supaya mengasingkan wang perolehan daripada sumber haram dan diragukan supaya tidak bercampur dengan hasil halal yang diperolehi melalui titik peluh kita.
Lima belas tahun lalu, apabila usia semakin meningkat, saya mulai sedar bahawa wang gaji yang saya perolehi daripada kerja perit jerih itu terdapat juga unsur-unsur meragukan. Ketika itu saya bekerja di sebuah syarikat akhbar gergasi, surat khabar yang diterbitkan mengandungi unsur-unsur tidak sihat seperti penyiaran iklan arak dan judi. Surat khabar Melayu harian berbahasa Melayu sehingga hari ini masih menyiarkan keputusan nombor ekor (judi) manakala akhbar bahasa Inggeris selain menyiarkan keputusan judi turut menyiarkan iklan arak.
Perolehan daripada iklan judi dan arak dicampurkan bagi meningkatkan pendapatan syarikat dan wang inilah digunakan oleh membayar gaji pekerja termasuk pemberian bonus dan x-gratia dua atau tiga kali ganda gaji asal pada setiap hujung tahun. Disebabkan isu wang perolehan daripada hasil judi ini menjadi hangat suatu ketika dulu, terluanglah kesempatan untuk saya 'refresh' (mengingatkan kembali) pengurusan media massa, tauke-tauke media dan juga kepada peneraju negara mengenai satu dua perkara yang tidak Islamik dalam pekerjaan kita. Selain wang haram judi, diharapkan kita dapat 'berfikir lagi jauh ke depan' untuk sama-sama memansuhkan unsur-unsur tidak Islamik lain termasuk dalam akhbar - sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
Akhbar-akhbar berbahasa Melayu, terutamanya terbitan hari minggu - dalam usaha bersaing untuk muncul sebagai akhbar No 1 negara, menyajikan ruangan dan gambar-gambar artis wanita dalam keadaan tidak senonoh sama sekali. Gambar wanita mendedahkan pangkal buah dada, kadang-kadang terlondeh dengan hanya menutup 'benda itu' saja, nampaknya sudah menjadi perkara biasa, seolah-olah ia sudah diterima masyarakat. Seorang tuan guru pernah menegur dengan berkata: "Nampaknya semua orang sudah jadi syaitan bisu, tidak ada orang berani menegur, hatta sekalipun anaknya berpakaian tidak senonoh."
Jika bahan bacaan berkenaan dikhaskan untuk pembaca dewasa, 'damage' (kerosakan)nya tidaklah sebegitu besar berbanding statusnya sebagai akhbar untuk seisi keluarga. Alangkah malunya seorang bapa apabila si anak terikut-ikut mahu memperagakan pakaian yang digayakan artis dalam akhbar ataupun bertanyakan soalan sensitif apabila tidak faham sesuatu yang dibacanya dalam ruangan seks dan rumahtangga. Selain menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh, sesetengah akhbar masih bebas menyiarkan iklan arak malah semua akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor (judi) sekalipun dalam akhbar yang sama mungkin ada rencana yang menyatakan haram dan padahnya berjudi atau minum arak.
Seorang wartawan muda pernah menghubungi saya, mengemukakan soalan dan meminta nasihat: "Saya kerja di………sebagai penyunting bahagian sukan. Apabila saya 'buat page tu, di tepinya ada 'ad' (advertisement) 'empat nombor ekor'. Macam mana ni bang, pendapatan saya ni haram ke halal, atau saya dikira syubahat ke bang?" Saya katakan kepadanya, tanyalah ustaz, tentulah ustaz lebih arif. Demikian betapa serba salahnya seseorang Muslim yang bekerja dalam suasana (environment) demikian kerana apabila dia mendirikan solat, dia akan memohon - ya Allah, Kau tunjukkanku jalan yang lurus - jadi kalau Allah sudah bukakan pintu hatinya untuk mengikuti jalan lurus, tentulah suasana tidak Islamik itu tidak akan mententeramkan jiwanya.
Jadi jawapan yang terbaik bagi syarikat akhbar ini, asingkan wang haram seperti hasil iklan judi, arak dan penjualan majalah separuh lucah daripada perolehan lain. Gunakan ‘wang haram’ itu untuk membiayai projek awam seperti pembikinan jalan dan jambatan manakala wang halal itu membayar pekerja yang mahukan gaji bersih daripada unsur syubahat. Kepada pekerja yang prihatin termasuk wartawan yang beriya-iya mahukan golongan veteran di Pulau Pinang memulangkan wang yang didakwa ‘daripada hasil judi’, kini tibalah giliran anda untuk memulangkan sebahagian gaji anda selama ini kerana ia juga daripada sumber haram iaitu iklan empat nombor ekor (judi).
Kepada pemimpin termasuk Adun atau ahli Parlimen yang bercakap berdegar-degar dalam isu judi ini, pulangkanlah sebahagian daripada elaun atau gaji anda kerana sebahagian daripada wang berkenaan adalah daripada sumber (cukai) judi, tidakkah anda sedar kedai judi berlambak di seluruh tanah air manakala di Genting Highlands terpacak salah sebuah pusat perjudian paling besar di Asia?
Demikian juga dengan cukai rokok dan cukai arak. Perolehan cukai arak terlalu besar memandangkan terlalu banyak premis menjual minuman keras ada di seluruh negara, malah tin dan botol arak bersepah-sepah di jalanan, menunjukkan betapa hebatnya pengunaan arak di negara ini. Malah ada laporan menyebut pengambilan minuman keras di negara ini adalah antara 10 negara tertinggi di dunia, menyamai sesetengah negara di Eropah. Hakikat inilah negara yang dicanangkan sebagai negara Islam contoh, tetapi bagaimana pengambilan arak boleh menyamai Perancis atau Denmark?
Jelas sebahagian hasil negara adalah daripada sumber haram dan meragukan termasuk cukai arak, judi dan rokok. Kepada kakitangan awam yang prihatin terutama orang politik yang terkinja-kinja bercakap mengenai arak dan judi, silalah kembalikan wang elaun atau gaji anda yang dipercayai ada unsur-unsur haram itu atau syubahat itu. Lakukan ini, jangan pandai bercakap saja!
October 24, 2020
Rabiulawal 8, 1442: Sumbangan kecil; besar erti kepada agama jika ikhlas (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)
SEMAKIN tua diri ini, semakin terasa pula terlalu sikit bekalan untuk dibawa ke alam sana. Kadang-kadang terasa cemas di hati, diri ini sebenarnya tiada apa-apa bekalan untuk dibawa ke sana. Ringkasnya diri ini 'belum bersedia lagi untuk mati'. Namun mati akan tetap menjemput diri kita sama ada kita bersedia atau tidak.
Seorang ustaz dalam kuliah dwi-bulanan di sebuah masjid berhampiran rumah saya, berkata 'orang yang hidup hatinya' termasuk ustaz sendiri ramai yang mula 'menggulung tilam' mereka sebaik saja memasuki umur 40 tahun seterusnya 'membuat pecutan' terakhir sebelum ajal menjemput mereka.
Apakah makna 'menggulung tilam' itu? Sang ustaz membawa kisah Umar Abdul Aziz (hidup pada 682-719 Masihi) iaitu salah seorang khalifah Bani Umaiyah yang juga dianggap Khalifah Al-Rasyidin yang kelima selepas Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a., Uthman Affan r.a. dan Ali Abu Talib k.w.j. yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.
Umar berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu."
Sungguh Umar telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia dua setengah tahun kemudian dalam usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan khalifah Al-Rasyidin yang empat.
Khalifah Umar telah 'menggulung tilamnya' sebelum berusia 40 tahun (baginda meninggal dalam usia 37 tahun) tetapi adakah kita ini (termasuk sayalah tu) yang telah tua ini (melebihi 50 tahun) masih mahu berleka-leka dengan kehidupan dunia yang singkat ini? Masa yang berbaki terlalu pendek tetapi apa yang telah kita buat?
Ya, tiada apa yang kita sudah buat; namun sebagai teladan (tiadalah niat di hati saya untuk membesar diri), beberapa 'perkara terlalu kecil dan remeh' yang telah saya buat telah mendatangkan apa yang saya anggap kesan besar kepada kebajikan masyarakat.
Menulis cadangan kepada Pengerusi dan AJK Masjid dan memasukkannya ke dalam kotak cadangan masjid (semacam surat layang) adalah antara 'kerja' yang pernah saya lakukan. Antara cadangan yang pernah saya utarakan ialah "kenapa masjid kita ada tandas VIP yang ditutup saja sepanjang tahun. Bukalah untuk kegunaan jemaah kerana ada tandas tetapi tidak digunakan adalah pembaziran (VIP datang sesekali saja). Pembaziran adalah kerja SYAITAN."
Terkejut sungguh saya, cadangan saya mendapat respons baik. Tidak lama kemudian tandas itu dibuka untuk kegunaan awam selepas papan tanda VIP ditanggalkan! Bukankah ini 'kerja kecil' tetapi faedahnya dapat dinikmati bersama.
Selepas kali pertama menunaikan haji pada 2002, saya menulis surat kepada pengurusan Tabung Haji mencadangkan agar diadakan tandas berasingan untuk buang air kecil dan buang air besar (serta mandi) di Mina dan Arafah (ketika musim haji) kerana orang buang air kecil mengambil masa singkat sedangkan orang buang air besar serta mandi mengambil masa terlalu lama jadi kasihanlah orang yang beratur panjang dan lama terutama orang-orang tua, hanya untuk kencing sedangkan 'urusannya' boleh diselesaikan dengan segera.
Saya ingat cadangan saya tak ke mana-mana; tetapi terkejut saya mendapat surat dari Tabung Haji memberitahu cadangan saya telah disampaikan kepada pihak Muassasah Asia Tenggara di Arab Saudi yang mengurusakan hal-ehwal jemaah haji di Arafah dan Mina! Dan apabila saya menunaikan haji bagi kali kedua pada 2005, sudah ada tandas bertulis 'Untuk Buang Air Kecil' saja. Ya, tidaklah saya tahu sama ada perubahan itu ada kaitan dengan surat saya, tetapi setidak-tidaknya saya gembira dan bersyukur dengan pembaharuan itu yang mendatangkan kebaikan kepada semua.
Berilah kerjasama kepada pemimpin, pihak atau individu yang membuat kebaikan dalam agama kita. Ia mungkin kecil di sisi kita dan manusia tetapi percayalah jika dilakukan ikhas semata-mata kerana-Nya, insya-Allah kita akan melihat hasilnya, termasuk di dunia lagi.
Ingatlah kisah si burung kecil yang berusaha memadamkan api besar yang dinyalakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan membawa air di paruhnya; usahanya mungkin dilihat kecil oleh makhluk tetapi besar di sisi-Nya. Hendaklah kita menjadi seperti burung itu yang tidak meminta jasanya dikenang tetapi hanya mengharapkan reda Illahi!
October 22, 2020
Rabiulawal 6, 1442: Pergilah sebelum orang benci...(U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
PADA Disember 2013 saya berada di Manipal, India. Selepas subuh suatu hari, ketika menatap akhbar "Deccan Herald' agak 'terasa' saya melihat 'headline' (kepala beritanya) 'Peace hero Mandela passes away'. Di muka 15, ada belangkasuka bertajuk 'Mandela, the Gandhi of South Africa'.
Mengapa saya katakan saya 'terasa' dengan berita pemergian Mandela? Ini kerana saya sebagai wartawan pada April/Mei 1994 membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan yang membawa kehancuran dasar aparteid seterusnya menobatkan Mandela sebagai Presiden Afrika Selatan pertama di kalangan orang bukan kulit putih.
Ya, sebagai wartawan mungkin saya telah berusaha membuat laporan sebaik mungkin mengenai pilihan raya bersejarah itu, tetapi sebagai individu yang mempunyai hati dan perasaan apa yang sudah saya pelajari daripada kisah hidup insan yang pernah terpenjara di Pulau Robben selama 27 tahun itu?
Daripada pelbagai sumber bacaan, saya andaikan Mandela pada zaman mudanya adalah seorang pemberontak, melakukan tentangan agresif yang berakhirnya dengan dirinya meringkuk dalam penjara dan pengasingan - bukan setahun dua tetapi puluhan tahun.
Penjara telah 'mematangkan' si pemberontak bernama Mandela. Dia mula menyedari taktik gerila (ganas) tidak akan membawa bangsanya dan negara Afrika Selatan yang dicintainya ke mana-mana. Daripada seorang pejuang pembebasan, Mandela melalui 'transformasi' menjadi pemimpin sedia berunding, mendengar, berubah, melakukan pengubah-suaian, dan memperhalusi tindakannya. Dia sudah bersedia bersabar menempuh onak duri sepanjang perjalanan mencapai matlamat perjuangannya.
Mandela 'yang matang' amat jitu dalam prinsip dan matlamat utama perjuangannya - membebaskan Afrika Selatan terutama orang kulit hitam daripada dasar penghambaan aparteid seterusnya membuka lembaran baru kepada semua warga Afrika Selatan tanpa mengira warna kulit dan kedudukan. Dan semua itu sudah diraihnya melalui pilihan raya 1994.
Selepas berakhirnya pilihan raya bersejarah itu, saya jarang mengikuti perkembangan di Afrika Selatan sehinggalah negara itu bersiap sedia mengadakan pilihan raya kedua selepas berakhirnya aparteid pada 1999. Pada pilihan raya ini, Mandela sebagai pemimpin ulung Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, memilih untuk berundur, membuka laluan kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.
Mandela pernah berkata: "Untuk mengawal sekawan lembu, kamu berdiri di belakang dengan memegang ranting; lembu yang 'cerdik' akan ke depan untuk mengetuai kumpulan lembu itu." Ya, pemimpin yang cerdik, berdirilah di belakang, bukan gila untuk berada di depan selama-lamanya!
Demikianlah, contoh hebat ditunjukkan negarawan hebat! Mandela enggan berada di puncak kuasa buat tempoh lama, tidak seperti banyak diktator dan presiden serta perdana menteri (bagi negara) dan CEO organisasi (bagi syarikat dan agensi) yang 'lapar' atau gila untuk berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya'.
Pemimpin berada di jalan Allah SWT, sekalipun dibunuh dan dihina sedemikian rupa, orang yang berada di jalan lurus seperti ramai nabi-nabi dan pada zaman moden ini Hasan Al-Banna, Syed Qutb dan Dr Mohamad Morsi terus harum nama mereka sedangkan pemimpin yang mahu berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya' seperti Firaun, Namrud (zaman dulu) dan pada zaman moden seperti Hitler dan Marcos melalui pengakhiran yang penuh penghinaan.
Demikianlah, wahai insan terutama pemimpin; insaflah, ikutilah laluan yang telah dirintis dan ditunjuki negarawan termasyhur dunia abad ini, Nelson Rolihlahla Mandela - 'pergilah (atau berundurlah) sebelum orang benci!'
October 21, 2020
Rabiulawal, 5, 1442: Giving an impromptu talk at Universitas Komputer Indonesia (U)
In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.
Reflection
The Declining Day (Al-'Asr)
1. By the declining day,
2. Lo! Man is in a state of loss,
3. Save those who believe and do good works, and exhort
one another to truth and exhort one another to endurance.
AFTER attending 'solat Jumaat' (Friday prayers) at Masjid Baiturrahman in Jalan Dipatiukur, Bandung, Indonesia on a few years ago, 'alhamdulillah' (all praise and thanks be to Allah SWT) I was one lucky guy when the 'khatib' (person who reads the sermon) himself met me, perhaps he 'could sense' that I was a foreigner.
He introduced himself as Anton, a 'dosen' (lecturer) at Universitas Komputer Indonesia which is a walking distance away from the masjid. Later on I found out that he is Dr Anton Minardi who teaches International Relations and Communication in Universitas Komputer and Universitas Pasundan in Bandung.
In the masjid after exchanging information about ourselves; I told Anton that I was very impressed with his 'khutbah' where he openly criticized the newly installed administration of President Joko Widowo (Jokowi) and 'going further' by saying that "Islam and democracy do not fit" - Islamic political parties had failed to govern successfully any country; for example 'Ikhwanul Muslimin (Islamic Brotherhood) had failed in Egypt while Islamic Salvation Front (FIS) too failed in their bid to take power in Algeria even though they had won the election.
As a solution, Dr Anton in his 'khutbah' said Muslims must look back at how Prophet Muhammad s.a.w. successful transformed 'jahilyah' (barbarian) Arabs into refined people in all aspects of life and with their love for life in the Hereafter compared with pleasures and treasures of life unable them to rule three quarter of the world.
During our discussion at the masjid, Dr Anton once again stressed that the establishment of Islamic political parties that took part in elections as a part of democracy process is not a way out to Muslims problems but he was opened to ideas after I told him I was a member of PAS (an Islamic party in Malaysia) and it fact is a writer of its publication, Harakah.
Dr Anton showed interest in me and asked me to follow him to his room in Universitas Komputer. I thought we would further discussed the issue in his room, but he surprised and caught me off guard when he guided me to a lecture room where some 40 students were waiting in the chairs.
After addressing and explaining some points to his class of International Relations, Dr Anton turned to me, introduced me to his students and said: "Alhamdulillah' we are very lucky today to have a veteran journalist from Malaysia to give us some insight about the political situation in his country; especially regarding the Islamic party. We would also would like to hear from him on international issues pertaining to Muslims worldwide especially regarding contemporary subjects such as on Islamic State (IS) or Islamic State of Iraq and Syria (ISIS)."
'Subhanallah' (Glory be to God) I was speechless, my throat dried; nevertheless I managed to calm myself and kept on repeating this word in my head: "come on LanH, you could do it, there's nothing to be afraid of."
As I pulled 'for a brave face' in front of the students, my mind 'raced' back to some of my latest article in the English Section of Harakah. Ohh, 'alhamdulillah', it helped me, and I did feel that my confidence was building up in me as I talked that PAS is not a political party but also a 'da'wah' movement; and at the moment it is trying hard to portray the beauty of Islam to 'non-Muslims'.
I talked that Islam is for all; its is not only a religion for Muslims. I mentioned that in the Qur'an there are 'ayahs' (verses of the Holy Qur'an) which begins with 'ya ayyuhannas' which means 'Oh people' and 'ayahs' beginning with 'ya ayyuhal lazina amanu' that means 'Oh people who believe'. This proved that the Qur'an is sent by Allah SWT for all of mankind, not only for the people during the time of the Prophet and only for Muslims.
Islam is a religion of 'Rahmatan Lil 'Alamin' (blessing to all mankind); in 'Ayah' 107 of Surah al-Anbiya, Allah SWT notes: "We have not sent thee, O Muhammad, but as a mercy to mankind," I said.
Regarding issues pertaining to Muslims worldwide I mentioned that the world community were very concerned about apartheid in South Africa that brought to the end of that 'barbaric way of life' after a multi-race elections was held for the first time in 1994 that spearheaded Nelson Mandela from African National Congress (ANC) into power but the world especially super powers showed no commitment in solving the Palestinians issue.
"In my opinion this is the last apartheid; Palestinian lands should be returned to their rightful owners and Israel should be check by the world community; they must be punished heavily for their brutality in invading and striking Palestinians lands such as in Gaza and the West Bank," I told the students.
I too mentioned that Muslims were not alert and ready to assist fellow Muslims internationally stating for example after the fall of Soviet Union and the independence of of several Islamic republics in Central Asia such as Kazakhstan, Uzbekistan and Turkmenistan in 1991, they were left to be influenced by the Americans, Koreans and China who set up large business identities such as in oil and gas related industries.
Regarding the IS or ISIS issue, my talk was based to the points that I had raised in my previous article in Harakah entitled 'IS - Two sides of a coin'. I mentioned to the students that it was better for us not to take sides as we have no idea what was going in that part of the world.
"Well, all the reports regarding IS or ISIL that we received were filled in by the foreign press, are we going to belief blindly at anything they write and report?" I asked them.
I reminded the students to study 'Ayah' 6 of Surah 46 or Al-Hujurat (Room) which reads: "O you who have believed, if there comes to you a disobedient one with information, investigate; lest you harm a people out of ignorance and become, over what you have done, regretful."
I end my talk by mentioning to the boys and girls a story on how particular was one of our 'imans' regarding facts - Imam Shafie who was on the back of a donkey when asked by a stranger how many legs do the animals have, stepped down and do the counting and only after that said: "It has four legs!"
October 20, 2020
Rabiulawal 4, 1442: Kreativiti orang Indonesia hadapi kemelut hidup...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)
ALHAMDULILLAH, saya sudah beberapa kali ke Indonesia, terutama ke ibu kotanya, Jakarta.
Nostalgia kali pertama ke Jakarta pada 1996 menyemarakkan saya untuk menulis mengenai kreativiti penduduknya mencari rezeki, mungkin dapat menyuntik semangat pembaca yang menghadapi kemelut hidup akibat kenaikan harga barangan selepas kenaikan harga bahan bakar apatah lagi pada era sukar akibat pandemik Covid-19.
Ya, kalau pembaca 'nak cuba' apa salahnya...Pada kunjungan kali pertama ke Jakarta saya ada menaiki kenderaan awam terutama bas bagi menyelami nadi penduduk kota yang kata sesetengah pihak berjumlah 12 juta pada waktu siang tetapi berkurangan menjadi 10 juta pada sebelah malam! Alasannya dua juta orang tidak tinggal di Jakarta tetapi masuk ke kota itu setiap hari untuk bekerja di firma swasta dan kerajaan dan ada pula mencari rezeki dengan cara amat kreatif sekali.
Suatu ketika saya yang mendiami Hotel Hilton, Jakarta, mahu ke pusat membeli belah Sarina. Pusat niaga terkenal kota Jakarta ini dinamakan sempena nama pengasuh presiden pertama Indonesia, Sukarno ketika beliau kecil. Ya, Sarina adalah srikandi yang namanya diabadikan dalam sejarah moden Indonesia.
Saya menunggu bas di sebuah perhentian di jalan besar depan Hotel Hilton. Saya perhatikan setiap kali bas berhenti, konduktornya menjerit laluan bas - Sarina, Monas, Tanah Abang dan Ancol - adalah antara destinasi dilaungkan. Apabila ada konduktor melaungkan Sarina, saya pun menaiki bas itu.
Saya cari tempat duduk dan membatukan diri. Kata orang, untuk tidak menimbulkan syak bahawa kita orang luar, cara terbaik ialah mendiamkan diri. Jangan banyak buka mulut.
Apabila konduktornya menghampiri, saya hulurkan wang kertas 5,000 rupiah. Saya tidak tuturkan apa-apa. Dia kemudian memulangkan wang baki. Saya kira. Ada 4,000 rupiah. Saya tidak tahu tambang itu betul atau tidak. Yang pasti konduktor itu tidak menyerahkan sebarang tiket atau resit kepada saya. Tetapi penumpang lain pun tak diberikan tiket. Mungkin di Jakarta tiket bas tidak diperlukan, fikir saya.
Apabila tiba di sebuah perhentian lain, naik seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun. Dia bersongkok dan memegang sebuah kotak aluminium. Dia tidak mencari tempat duduk seperti orang lain tetapi memegang palang besi di depan penumpang.
Ligat otak saya membuat andaian apa yang hendak dibuat budak ini. Apabila bas bergerak, dia pun memulakan tugasnya. "Assalamualaikum wbk...bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian..."
Rupa-rupanya dia menyampaikan ceramah agama. Hebat sekali pidatonya. Dia mengingatkan kepentingan orang Islam menderma dan ancaman kepada orang yang kedekut, yang hanya mementingkan diri sendiri.
Selepas menutup ceramahnya dengan doa, dia mendapatkan seorang demi seorang penumpang sambil mengunjukkan kotak dermanya. Kebanyakan orang tidak mengendahkannya, ada pula menggelengkan kepala. Namun ada yang mencampakkan 'sesen dua', jadi dapat juga sedikit wang.
Tiba di sebuah perhentian lain, budak itu turun dan naik pula beberapa orang termasuk seorang pemuda dengan gitar kapuk bersilang di bahunya. Dia tidak duduk, sebaliknya menyandarkan dirinya di sisi sebuah kerusi penumpang. Apa pulak halnya kali ini, fikir saya.
Sama seperti budak tadi, pemuda itu memulakan aksinya dengan memberi ucapan selamat ketemu kepada penumpang bas. Kemudian dia pun mula memetik gitarnya dan mengalunkan lagu. Sayu sekali lagunya, kena dengan suaranya yang serak-serak basah. Lagunya kisah malang seorang penganggur dan seniman jalanan.
Selesai dia menyanyi, tiada tepukan kedengaran. Mungkin orang Jakarta sudah 'lali' dengan adegan seperti ini. Namun pemuda itu bergerak dari sebuah kerusi ke sebuah kerusi penumpang dengan 'muka seposen' seolah-olah merayu mereka mencampakkan 'sesen dua' ke dalam topinya. Kebanyakan penumpang tidak mempedulikannya, namun ada juga 'insan baik hati' - jadi dapat juga dia 'sedikit rezeki'.
Demikianlah kota Jakarta 'yang keras' mengajar penghuninya melakukan apa saja demi kesinambungan hidup. Adalah biasa untuk melihat kanak-kanak menjual akhbar (koran) di persimpangan jalan berlampu trafik malah ada yang mengangkat tangan di tepi jalan, bersedia menjadi penumpang bagi mereka yang memandu 'solo' kerana menjadi peraturan di sesetengah kawasan Jakarta kereta 'wajib penuh' sebelum dibenarkan masuk.
Subhanallah,'penderitaan' telah mengajar orang Jakarta (dan Indonesia) 'mencari jalan keluar', apakah 'orang Malaysia' sedia mencontohi mereka apabila 'zaman susah' mulai dirasai rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar?
October 19, 2020
Rabiulawal 3,1442: Ini bumi Allah, bukan bumi manusia...(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
HARI Bumi disambut tidak lama dahulu pada ketika negara kita membahang panas. Di masjid tidak jauh dari rumah saya diadakan solat sunat istisqa' (memohon hujan) selepas kuliah subuh. Pada kuliah subuh hari itu sang ustaz memberi penerangan mengenai solat istisqa' di samping hal-hal berkaitan keadaan yang membahang panas sekarang ini.
Kata ustaz, sekarang ini masyarakat kita terlalu banyak melakukan maksiat dan kezaliman, jadi bertaubatlah dan minta ampun kepada Allah SWT. Keadaan membahang yang kalau boleh dikatakan bahana diturunkan oleh Allah SWT itu baru sedikit tetapi sudah tidak tertanggungkan manusia, jadi marilah kita bersama-sama membulatkan hati, menekadkan keazaman bagi menjunjung segala perintah-Nya.
Sesungguhnya ini bumi Allah, bukan bumi manusia yang membolehkan manusia membuat sesuka hati masing-masing dengan manusia mengamalkan hukum rimba; yang berkuasa menekan dan menindas yang lemah. Jika Allah SWT mahu menghancurkan umat manusia, hal ini boleh dilakukan mengikut kehendak-Nya, jadi masihkah kita mahu mendabik dada mengaku dunia ini kita punya?
Perilaku manusia yang degil, tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT ini yang kemudian dimusnahkan dirakamkan oleh-Nya dalam al-Quran melalui kisah kaum Nabi Nuh, Ad, Tsamut, Lut dan sebagainya. Hari ini, manusia mengulangi kisah sama, membuat maksiat dan onar seolah-olah dunia ini milik mereka.
Apabila kekufuran dan kemaksiatan sudah berleluasa, kita bimbang umat manusia hanya menunggu bala daripada-Nya. Inilah yang paling kita takuti, kerana bala itu tidak mengenal siapa, orang beriman dan tidak beriman sama-sama terkena akibatnya.
Sesungguhnya bala daripada Allah SWT tersangat dekat, tetapi tertahan disebabkan adanya orang tua rukuk kepada-Nya, anak-anak muda yang taat kepada agama-Nya, bayi-bayi yang masih menyusu dan binatang melata di muka bumi. Kini dunia semakin dibakar kepanasan disebabkan maksiat manusia.
Apabila manusia menganggap dunia ini milik mereka, mereka berpesta bermaksiat di atasnya, mengetepikan sama sekali perintah-Nya. Tetapi itu hanyalah sementara, apabila Allah kehendaki, Dia akan lenyapkan segala-galanya kerana bumi ini milik-Nya. Manusia hanya menumpang, sejurus cuma, ibarat berteduh di bawah sebatang pokok sebelum pergi buat selamanya!
Demikianlah pandangan 'orang agama' mengenai punca bahana yang menimpa manusia seperti cuaca panas membayang sekarang ini. Namun ada pejuang alam sekitar termasuk yang mengaku Islam 'memperlekeh' pandangan berleluasa maksiat sebagai punca Allah SWT menurunkan bala kepada manusia. Mereka mengaku pejuang sedangkan kepentingan diri sendiri pun tak terjaga, misalnya yang perempuan mendedahkan rambut.
Menurut mereka, perubahan alam sekarang ini disebabkan oleh kerakusan golongan kapitalis yang merosak dunia untuk kepentingan tembolok masing-masing seperti memusnahkan hutan (bagi mendapat kayu balak), membina empangan dan penggunaan kenderaan bermotor yang terlalu meluas. Hal inilah yang menyumbang kepada pemanasan global, ia tidak ada kaitan langsung dengan 'dosa-dosa' manusia.
Pada kuliah subuh itu, saya bertanyakan sang ustaz; apakah pandangan pejuang alam sekitar itu betul? Sang ustaz berkata, ia separuh betul lantas beliau membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: "Telah tampak kerosakan di darat dan di laut, disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). - Surah ar-Rum, ayat 41
Betul dunia menjadi rosak disebabkan tangan-tangan rakus manusia. Namun ia hanya sebahagian daripada dosa-dosa dilakukan manusia seperti berleluasanya zina dan kezaliman. Selain merosakkan alam seperti hutan dan lautan, manusia juga terlalu banyak bermaksiat dengan tidak mengikut jalan ditunjuki-Nya. Mereka menjalani kehidupan termasuk berhukum berdasarkan 'kepala otak' masing-masing seperti 'menghalalkan' perkahwinan sejenis - tidakkah mereka 'mengundang' bala daripada Allah Taala yang telah menghancur-leburkan kaum Nabi Lut a.s.!
October 18, 2020
Rabiulawal 2, 1442: Macam anjing dengan bayang-bayang...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan atau nasib seseorang (sesuatu kaum) kecuali dia (mereka) sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya (mereka)." - Maksud Ayat 11 Surah Al-Ra'd.
AKHIRNYA selepas 'bercuti panjang' ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kembali mengajar subjek akademik di sebuah pusat tahfiz berhampiran kampung saya.
Suatu pagi sebelum mengajar subjek berkenaan, saya cuba memberi motivasi kepada anak-anak murid...saya tanya mereka sama ada mereka tahu kisah yang mahsyur pada zaman sekolah saya dahulu seperti 'Pelayaran Sinbad' dan 'Kisah 1,001 Malam'.
Semuanya tak tahu...yalah sekarang ini zaman canggih dengan teknologi komunikasi, bukan zaman saya yang hanya kenal buku.
Saya pun memetik salah satu cerita dalam 'Pelayaran Sinbad'. Mungkin petikan cerita saya itu kurang tepat sebab sudah terlalu lama membaca buku itu tetapi saya berharap dapat memberi pedoman kepada anak-anak murid saya.
Kata saya, ada dua orang saudagar terkandas selepas kapal mereka pecah, di sebuah pulau yang 'kaya' dengan emas, berlian, batu permata dan sebagainya. Namun pulau itu banyak ular yang sentiasa mencari mangsa.
Saudagar pertama seorang yang tamak. Dia mengumpul dan mengheret sebanyak mana harta tetapi lelaki kedua 'ringkas' orangnya. Dia mencekup satu dua batu permata ke dalam poketnya, jadi dapat berlari dengan pantas dan akhirnya berjaya menyelamatkan dirinya tetapi saudagar pertama kerana bebannya terlalu banyak, gagal menyelamatkan dirinya.
Ya, kalau kita tamak, kita akan jadi seperti anjing dengan bayang-bayangnya...kata saya merujuk kepada satu peribahasa Melayu yang mahsyur. Atau kita boleh menyamakannya dengan sebuah lagi peribahasa...yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Berceloteh mengenai ketamakan manusia ini, saya juga tidak terkecuali. Ini cerita diri saya yang mungkin boleh dijadikan pengajaran.
Suatu malam, anak sulung saya yang sudah bekerja membelanja anggota keluarga menjamu selera makan ikan bakar di gerai. Dipendekkan cerita, disebabkan sudah makan pada sebelah petang, saya membungkus ikan bakar bahagian saya untuk dibawa pulang. Saya berhajat memakannya dengan nasi lemak baharu pada pagi esoknya.
Pagi esoknya, saya tidak memakan ikan itu di rumah sebaliknya membawanya ke kebun. Saya bercadang memakan ikan itu ketika berehat selepas berpeluh menghayun cangkul.
Saya letakkan ikan itu di tempat biasa saya berehat. Pagi itu tidak pula saya mencangkul tetapi menuju ke anak sungai di hujung kebun dengan satu jala ikan yang sudah lama tidak saya gunakan.
Jala ini saya miliki sejak zaman bujang lagi. Jadi usianya mungkin lebih 30 tahun. Ketika baharu membelinya dahulu, kerap saya gunakannya tetapi pada setiap kali keluar menjala, hasilnya hambar, saya pun tinggalkan jala itu puluhan tahun dalam setor dan melupainya. Entah apa anginnya, pagi itu tergerak hati saya membawanya ke kebun. Selepas meneliti keutuhan jala itu, dengan lafaz ‘Bismillah’ saya pun menebarkannya ke permukaan anak sungai.
Sungguh menakjubkan, selepas puluhan tahun tidak menjala ikan, hayunan kali pertama itu membuahkan hasil lumayan. Saya mengira ikan yang saya dapat – tujuh ekor ikan tilapia. Saya lemparkan kali kedua. Lumayan juga – lima ekor tilapia.
Percubaan ketiga menghasilkan lima lagi ikan tilapia. Ertinya saya sudah dapat 17 ekor ikan tilapia dengan tiga kali tebaran saja! Selepas melempar jala tiga kali dan mendapat hasil lumayan yang saya yakin sudah cukup untuk dibuat satu hidangan, saya teringat pesanan orang tua...jangan tamak, nanti rugi macam anjing dengan bayang-bayang. Jadi saya pun berhenti daripada menjala; sebaliknya kembali ke kebun untuk menghayun cangkul.
Sedang asyik bekerja, saya terdengar bunyi kucing ‘mengiau’. Mata saya dengan pantas dihalakan ke tempat rehat di mana saya letakkan ikan bakar yang saya cadang ‘santap’ pagi itu. Menyirap darah saya tatkala melihat seekor kucing berbelang yang besar sedang menjilat-jilat lidah dan mulutnya. Sahlah kucing itu sudah ‘taram’ makanan yang membuatkan air liur saya tercekur.
Mahu saja saya terkam kucing itu dan membaling cangkul yang berada dalam tangan saya. Tapi satu perasaan aneh membuatkan saya ‘stop’ (berhenti).
Heiii, ‘manusia sombong’, Allah baru bagi kau 17 ekor ikan, sekerat ikan bakar kau dimakan oleh ‘hamba Allah lain’ (kucing) pun kau nak balas dendam. Apa punya manusia kau ni? Ikan bakar kau yang tak sampai seekor tu pun Allah Taala sudah balas dengan 17 ekor ikan; itu pun kau tak bersyukur. Apa lagi kau mahu?
Apa, tak mahukah ‘bersedekah’ habuan itu kepada si belang? Saya terpaku dengan batang cangkul masih di tangan, memerhatikan ‘penyamun tarbus’ itu menghabiskan hidangannya.
Selepas makan, ‘dia’ dengan langkah selamba pun pergi. Saya ke tempat itu, mendapati yang tinggal hanya tengkorak kepala ikan! Wahai kucing, kau ingat aku ini jenis makan tengkorak ikan ke? Namun aku halalkan apa yang kau dah makan tu. Ia sudah ditakdirkan bukan rezekiku tapi rezeki kau. Kata orang, kalau bukan rezeki kita, sudah berada dalam mulut pun, orang boleh rampas, apatah lagi dalam tangan.
Ya, saya relakan kucing itu makan ikan saya. Saya bersedekah kepadanya. Teringat saya, pesanan beberapa ustaz - sesuatu sedekah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Ada kisah Sayidina Ali dan isterinya Sayidatina Fatimah az-Zahra mengenai hal ini. Fatimah yang berkeinginan makan buah delima menyuruh Ali ke pasar; Ali mendapat sebiji delima. Di pertengahan jalan pulang, Ali telah menyedekahkan buah delima itu pada seseorang. Dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah rela dengan perbuatan Ali, kalau isteri lain dikhuatiri akan mengamuk!
Tiba-tiba seorang sahabat muncul di rumah Sayidina Ali membawa sembilan biji delima, katanya buah itu dihadiahkan seseorang kepadanya dan Fatimah.
Ali bertanya, mana sebiji lagi, lantas buah itu dikeluarkan dari poketnya. Ya, Ali tahu janji Allah itu tepat, suatu sedekah akan dibalas 10 kali ganda. Kalau pada bulan Ramadan, lagi berlipat kali ganda banyaknya.
Kata ustaz, jika bersedekah diberi ganjaran 10 kali ganda, memberi pinjaman lagi besar ganjarannya – sebanyak 18 kali ganda. Terfikir di benak saya, saya ‘bersedekah’ ikan bakar kepada sang kucing atau ‘memberinya pinjam’? Saya ingat, saya berinya ‘pinjam’ – sebab saya sudah dibalas dengan 17 ekor ikan. Tetapi mana seekor lagi, selayaknya saya dapat 18 ekor ikan. Perasaan tamak menguasai diri.
Saya ingatkan ‘seekor lagi ikan saya’ masih berada dalam anak sungai. Saya pun menebarkan jala buat kali keempat. Betul saya mendapat dua lagi ikan tilapia, menjadikan jumlahnya 19 ekor tetapi jala saya mengangkut sampah sarap dan lumpur yang banyak menyebabkan saya menghadapi masalah lain pula.
Lama saya termenung, bermuhasabah diri. Aku ini bagaikan anjing dengan bayang-bayang atau apa? Mengapa perasaan tamak sentiasa menguasai diri? Tak pernah puas dengan apa yang dimiliki?
Teringat saya sebuah hadis yang bermaksud, jika manusia diberikan dua lembah emas, itu masih tidak mencukupi, dia mahu lembah yang ketiga. Dia tidak akan puas sehingga tanah memenuhi mulutnya (matilah)!
October 17, 2020
Rabiulawal 1, 1442: 'Parameswara Moden' tak perlu naik kapal ke Melaka...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Maksud ayat 280 Surah al-Baqarah)
TIDAK lama dahulu, saya berceloteh mengenai kerinduan seorang warga Seberang (Indonesia) kepada kekasihnya melalui bait-bait catatan - sampai maut memisahkan kita, aku takkan pernah berpisah dengan kamu Hasianku. Dan sampai Tangan Tuhan memisahkan kita berdua, aku takkan pernah meninggalkan atau melepaskan kamu Hasianku...
Pemuda ini mungkin dari Riau, sebuah provinsi di seberang Selat Melaka. Wilayah ini amat dekat bukan sahaja dari segi fizikal (kedudukan) tetapi juga di hati rakyatnya - orang Melayu di kedua-dua bahagian negara berbeza ini adalah bersaudara dalam segala segi hatta berkongsi budaya dan ini dapat dilihat daripada sebait pantun yang mahsyur - Pulau Pandan jauh di tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua (semua lokasi disebut dalam pantun ini adalah di Kepulauan Riau iaitu sebahagian daripada empayar Melayu Johor-Riau).
Pada celoteh lalu dengan tajuk 'Sampai maut memisahkan kita', ada saya mencatatkan: "...di jeti Pelabuhan Melaka dahulunya saya berlepas dengan feri untuk ke Dumai, Pekanbaru dan Bengkalis di Propinsi Riau, Indonesia. Tetapi gara-gara COVID-19, hampir tiada peluang untuk ke Seberang (Indonesia).
Ya, saya terpingin menziarahi kembali kota Dumai,,,merasai santunan ramah penduduknya terutama ketika menyertai solat berjemaah di masjid-masjidnya yang meriah seperti di Masjid At-Taqwa dan menikmati makanan nasi padang dan air apokatnya (alpukat atau avocado).
Dicatatkan alpukat termasuk buah yang cukup popular di Indonesia. Biasanya diolah menjadi jus atau es. Tetapi sebenarnya banyak variasi olahan alpukat yang bisa dicoba. Misalnya cendol, 'avocado toast', puding, sushi, atau salad (sumber Merdeka.com).
Pada Jumaat, 25 September 2020, ketika 'melihat-lihat' di internet saya ketemui sebuah perkhabaran yang segera memikat diri ini. Diberitakan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan merasmikan pada keesokan harinya (Sabtu) lebuh raya Dumai-Pekanbaru sepanjang 131 kilometer (hampir sama jarak Kuala Lumpur-Melaka). Ini sebuah projek gemilang di Sumatera yang kemudian diharapkan projek serupa dapat menghubungkan kota-kota utama di pulau itu dari Banda Aceh di utara hingga ke Lampung di selatan yang jaraknya ribuan kilometer.
Kompas.com melaporkan sekalipun sudah rasmi beroperasi, tol Pekanbaru-Dumai masih gratis (percuma). Ia memetik, Presiden Jokowi) mengatakan Jalan Tol Pekanbaru-Dumai yang menelan biaya Rp 12.18 triliun itu telah dapat dioperasikan secara penuh untuk kegiatan produktif. Jalan tol ini, lanjutnya, merupakan bagian dari Jalan Tol Trans-Sumatera sepanjang 2,878 km yang membentang dari Lampung hingga Aceh.
"Tol ini (Permai) akan meningkatkan konektivitas antara Ibu Kota Provinsi Riau dengan Kota Dumai sebagai kota pelabuhan dengan industri perminyakan dan agribisnis yang maju, serta kawasan industri dan perkebunan lainnya."
Kompas melaporkan jalan tol ini memperpendek jarak Kota Pekanbaru-Dumai, dari sebelumnya 200 km jika lewat jalan nasional menjadi 131 km jika melalui jalan tol ini.
Jalan Tol Trans Sumatera akan menyambungkan Aceh hingga Lampung melalui Palembang hampir 3,000 kilometer jaraknya. Tol (lebuh raya) ini juga akan tersambung dengan kota lain yakni Padang dan Bengkulu.
Jika di Sumatera dipergiatkan usaha membina jalan tol, tidak lama dulu (sejak 2013) pemimpin Indonesia dan Malaysia ada mencadangkan dibina jambatan dari Dumai ke Melaka. Jambatan dengan anggaran kos RM44 bilion (ketika itu) jika direalisasikan akan menghubungkan dua belahan dunia Melayu - sekaligus menyaksikan penduduk kedua-dua wilayah tidak perlu belayar di Selat Melaka untuk ke seberang.
Jika dulu, Parameswara yang melarikan diri dari Palembang menaiki kenderaan air di Selat Melaka untuk ke Singapura, Muar seterusnya ke Melaka, 'Parameswara Moden' boleh saja berkereta dari Palembang terus ke Melaka. Tidak perlu lagi naik kapal atau perahu!
October 15, 2020
Safar 28, 1442: Kenapa media Indonesia marah-marah dengan Malaysia? (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan atau nasib seseorang (sesuatu kaum) kecuali dia (mereka) sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya (mereka)." - Maksud Ayat 11 Surah Al-Ra'd.
PADA Februari 2005, selepas lebih seminggu membuat liputan keadaan mangsa tsunami di Meulaboh dan Banda Aceh, saya ke rakan-rakan kembali ke Medan; bersiap untuk pulang ke tanah air. Ketika menunggu penerbangan, kami berkunjung ke beberapa pusat membeli-belah. Sungguh terasa hebat kerana kebanyakan jurujual berpendapat kami kaya raya belaka, ringkasnya orang Malaysia hidup penuh kemewahan.
Seorang jurujual bersungguh-sungguh meminta saya membeli alat senaman peribadi; katanya, harga barangan sebanyak dua juta rupiah itu tidak ada apa-apa bagi orang Malaysia yang kaya seperti saya. Memanglah dua juta rupiah itu hanya kira-kira RM600; tetapi saya bukan orang kaya yang boleh membuat pembelian sesuka hati.
Demikianlah saya membuat andaian, orang Indonesia menganggap orang Malaysia kaya; sama seperti orang Malaysia mengandaikan orang Brunei kaya raya belaka. Orang Malaysia juga mengadaikan orang Kuwait dan Arab Saudi hidup dalam timbunan wang.
Hakikatnya tidak begitu. Di mana saja ada orang kaya dan orang miskin. Ketika menunaikan haji pada 2005 dulu, di Makkah saya perhatikan ramai orang Indonesia menginap di hotel lima bintang seperti Hilton, beraya sakan membeli gelang dan rantai emas dan makan-makan di restoran mewah termasuk KFC.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, tanggapan orang Malaysia kaya dan berstatus tinggilah yang penyebab orang Indonesia, khususnya koran (akhbar) di negara itu cemburu, sekali gus cepat melenting jika tercetus isu membabitkan kedua-dua negara.
Saya masih ingat bagaimana pada tahun-tahun 70-an dan 80-an (semasa saya remaja), dalam kebanyakan bidang orang Malaysia berkiblatkan Indonesia tetapi kini tidak lagi.
Ada perkara berkaitan Indonesia membabitkan diri penulis. Misalnya ketika itu penulis asyik dengan filem-filem Indonesia yang hangat di pasaran dengan aktor dan artisnya seperti Roy Marten, Lenny Marlina, Christine Hakim dan Yenny Rachman. Penyanyi seperti Emilia Contessa dan Brorey Marantika juga mendapat tempat.
Penulis-penulis Indonesia juga disanjungi. Penulis agama seperti Hamka disegani manakala karya Pramodeya Ananta Toer, Keluarga Gerilya dijadikan buku teks Kesusasteraan Melayu Tingkatan Enam.
Sirnanya kekaguman rakyat Malaysia kepada Indonesia dapat difahami berdasarkan apa yang diungkapkan oleh editorial sebuah akhbar Indonesia tidak lama dulu: “Malaysia semakin memperlihatkan keangkuhannya. Negara yang pernah ‘berguru’ kepada Indonesia itu, sekarang menginjak-injak kedaulatan bangsa ini.” (Akhbar ini merujuk kepada isu Ambalat, kepulauan di luar Sabah-Kalimantan yang menjadi perselisihan Malaysia-Indonesia).
Betulkah dulunya Malaysia murid, Indonesia guru seperti diungkapkan akhbar itu? Ataupun dalam bahasa yang lembut, dalam hubungan ‘abang-adik’ Indonesia-Malaysia; dulunya Malaysia adalah adik manakala Indonesia abang; tetapi apakah perubahan status sekarang ini menyebabkan media Indonesia cepat terasa dan melenting apabila timbul isu berkaitan kedua-dua negara?
Hakikatnya orang dan pemerintah Indonesia sudah acap kali berkecil hati dengan banyak perkembangan membabitkan rakyat mereka di Malaysia. Daripada isu pembantu rumah didera kepada pekerja yang tidak dibayar gaji, pendatang haram yang dihalau balik dan terkini kes model Manohara Odelia Pinot yang mendakwa didera suaminya seorang putera raja Kelantan, semuanya memperlihatkan seolah-olah orang Malaysia berlaku zalim kepada mereka.
Oleh itu apabila tercetusnya isu membabitkan kedua-dua negara, media massa Indonesia cepat melenting, menaikkan semangat rakyat sedangkan isu yang sengaja dijadikan panas di Indonesia itu ditangani dengan tenang di Malaysia.
Sebagai contoh isu pertindihan tuntutan ke atas Ambabat dijadikan permasalahan nasional oleh media Indonesia; rakyat diapi-apikan untuk bertindak ke atas Malaysia sehingga ada yang melancarkan kempen ‘ganyang’ Malaysia. Malah dalam perkembangan terbaru, Manohara dan ibunya dilaporkan turut serta dalam kempen Lasykar Merah ‘mengganyang’ Malaysia.
Dalam hal ini, sikap sederhana dan bersabar pemerintah Indonesia dipuji kerana walaupun isu Ambalat ini yang sudah bertahun-tahun diapi-apikan oleh media massa Indonesia, mereka masih bersedia mencari jalan damai dengan berunding dengan pemimpin tertinggi Malaysia termasuk panglima angkatan tentera selain ketua kerajaan kedua-dua negara.
Bayangkan bagaimana panasnya isu Ambalat ini tidak lama dulu apabila sesetengah akhbar Indonesia, membuat laporan dan editorial mencemaskan dengan tajuk seperti ‘DPR desak pemerintah tembak kapal Malaysia’, ‘Meninjau kesiapan persenjataan’, ‘Pesawat F-16 disiagakan untuk Ambalat’, ‘Empat F-16 RI ke perbatasan’, ‘Malaysia tembak nelayan kita’ dan ‘DPI setuju perang: RI kerahkan F-16’.
‘DPI setuju perang?’ – bunyinya sungguh menakutkan; tidak dapat dibayangkan jika terjadi perang Malaysia-Indonesia. Namun, satu perkembangan melegakan, walaupun media Indonesia mengapi-apikan keadaan, hubungan rakyat Malaysia-Indonesia sebenarnya amat erat, bertepatan dengan ungkapan abang-adik yang masyhur itu.
Persoalannya, siapa abang dan siapa adik? Dulu mungkin Malaysia adik, Indonesia abang atau seperti yang diungkapan oleh koran Indonesia yang disebut sebelum ini, ‘Malaysia berguru dengan Indonesia’ (ertinya Malaysia murid, Indonesia guru), tetapi bagaimana status hari ini?
Bagi penulis status atau kedudukan itu tidak penting; apa yang nyata Malaysia dan Indonesia saling perlu memerlukan. Kedua-duanya berkongsi banyak perkara; malah suatu ketika dulu kedua-dua wilayah Malaysia dan Indonesia berada dalam pemerintahan yang sama seperti ketika kemuncak kuasa Empayar Sriwijaya, Melaka, Johor-Riau dan Aceh yang berkuasa di kedua-dua belah Selat Melaka, sebelum dipecah dan perintah oleh penjajah Inggeris dan Belanda.
October 14, 2020
Safar 27, 1442: 'Membunuh' di jalan raya...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Maksud ayat 280 Surah al-Baqarah)
SEKARANG ini setiap kali menatap akhbar, berita nahas jalan raya hampir pasti mengisi muka-mukanya. Biasanya ia membabitkan kemalangan ngeri yang mengakibatkan sejumlah orang termasuk sekeluarga meninggal dunia. Dan antara penyebabnya adalah pemandu mabuk.
Tidak lama dulu, ketika mengikuti sebuah tazkirah; terkesan di minda saya apabila ustaz mengingatkan bahawa "kita janganlah termasuk golongan orang yang melakukan pembunuhan di jalan raya yang balasannya tersangatlah dahsyat di akhirat nanti."
Ya, bagaimana kita boleh disabitkan dengan kesalahan membunuh itu? Bagaimana kita akan terlepas daripada dakwaan membunuh itu jika kita sebagai pemandu lalai dalam pemanduan kita seperti mengikut hawa nafsu amarah 'memotong dalam situasi yang kita sendiri tak pasti selamat' dan memandu dalam keadaan diri kita terlalu mengantuk dan letih manakala kita sendiri tahu kenderaan kita mempunyai masalah.
Ingatlah, jika memandu dalam keadaan begitu dan ditakdirkan kita kemalangan yang mengakibatkan diri kita sendiri terbunuh dan juga penumpang kenderaan kita termasuklah anak isteri serta pengguna jalan raya lain terbunuh, terlalu berat tanggungan kita di akhirat nanti seperti tuduhan membunuh diri sendiri dan membunuh orang lain.
Dan jika ditakdirkan kita selamat, tetapi kaum keluarga kita dan orang lain terbunuh, kita akan hidup sengsara memikirkan bahawa 'kitalah yang telah membunuh mereka'. Mungkin hukuman di dunia tidak menyatakan 'kita membunuh' tetapi 'kita sendiri tahu apa yang sudah kita lakukan dan kita akan menanggung derita rasa bersalah sehingga akhir hayat'. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 195; bermaksud, "dan jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan!"
Kemalangan jalan raya sekarang ini terlalu banyak dan ada yang 'amat dahsyat'. Hakikatnya, Malaysia adalah antara negara paling tinggi mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya di dunia. Kadar kematian dianggarkan 4-5 orang sehari bagi seluruh negara.
Walaupun pelbagai program keselamatan jalan raya dijalankan, jumlah kemalangan terlalu tinggi. Kenapa ini berlaku dan kaedah apa boleh digunakan bagi mengurangkan kadar kemalangan seterusnya korban jalan raya?
Bagi merungkai persoalan ini, penulis membawa pembaca menghayati kelas pengajian agama mingguan di sebuah masjid berhampiran kediaman penulis yang tuan gurunya membicarakan bab diat (pampasan) akibat daripada jenayah pembunuhan berdasarkan kitab Bahru Mazi syarahan Sheikh Muhammad Idris Marbawi.
Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Pada penulisan ini, penulis merujuk hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.
Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.
Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)
Sementara itu diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta.
Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.
Pembunuhan separuh sengaja (seperti guru memukul murid dengan rotan, tiba-tiba budak itu mati), dikenakan diat 100 ekor unta manakala pembunuhan tidak sengaja (seperti seorang pemburu tertembak mati rakannya, dihukum membayar pampasan 100 ekor unta.
Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.
Sementara itu diat jenayah kerana mencederakan anggota ada pelbagai kategori seperti 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
Pampasan 50 ekor unta dikenakan untuk anggota berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu daripada kaki atau tangan, mata dan telinga. Demikianlah ada pampasan lebih rendah jika membabitkan kecederaan lebih ringan.
Tuan Guru terbuka untuk pertanyaan, dan penulis sempat bertanya, apakah jika berlaku sesuatu kemalangan jalan raya membabitkan mangsa yang terbunuh apakah si pelanggar atau orang mengakibatkan nahas itu perlu membayar diat.
Antara lain Tuan Guru menjawab, jika si pelanggar sengaja melakukannya; seperti dia sudah mengenal mangsa dan berhajat membunuhnya dengan melanggarnya bererti dia sudah melakukan satu pembunuhan, hukumannya adalah qisas bunuh. Dia akan dihukum mati, caranya dengan memancung kepalanya.
Kalau si pelanggar tadi, tidak sengaja (seboleh-bolehnya tidak mahu terbabit dalam kemalangan) tetapi nahas berlaku juga, dan mangsa dilanggarnya mati; bererti dia membunuh secara tidak sengaja. Apabila ini berlaku dia perlu membayar diat 100 ekor unta.
Dan apabila si pelanggar tadi, mengakibatkan orang dilanggarnya cedera, dia boleh dikenakan membayar diat 100, 50 ekor unta dan seterusnya.
Demikianlah dalam Islam, hukumnya yang datang daripada Allah SWT adalah menyeluruh; menyentuh soal kematian dan kecederaan termasuk dalam kemalangan jalan raya. Apabila hukum qisas dan diat ini dilaksanakan termasuk di atas jalan raya, tentulah pengguna jalan raya gementar dan berhati-hati memandu.
Membayar pampasan 100 ekor unta bukan murah, kerana kata Tuan Guru jika ditaksirkan seekor unta berharga RM5,000 seekor, seseorang yang membunuh secara tidak sengaja termasuk dalam kemalangan jalan raya, perlu membayar RM500,000 (RM0.5 juta).
Kalau dia mencederakan orang, dan diperintah membayar pampasan 50 ekor unta, bermakna dia perlu mengeluarkan RM250,000. Itu kalau seorang dicederakannya, kalau lima orang dan lebih, tentunya jumlahnya mencecah jutaan ringgit.
Jika hukuman qisas dilaksanakan, kemungkinan besar pemandu mabuk tidak berani berada di jalanan (lagi pun mereka sudah dikenakan hukuman hudud) manakala orang awam akan menggunakan jalan raya secara paling sopan dan ini insya-Allah akan menyebabkan kadar kemalangan jalan raya berkurangan.
Roslan Hamid's Blog
- Roslan Hamid's profile
- 2 followers

