Roslan Hamid's Blog, page 78

September 21, 2020

Safar 4, 1442: Memutuskan siraturahim mengundang bencana...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


PERBEZAAN pendapat dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.


Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu. 


Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup. 


Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup berpatah arang dengan orang tua mereka termasuklah kerana perselisihan pandangan dalam politik.


Akibat daripada terputusnya hubungan ini, ada anak-anak yang sudah lama tidak menjenguk ibu bapa masing-masing. Mereka tidak peduli kebajikan orang tua mereka di kampung - makan ke, sihat ke, mereka tak ambil kisah lagi.


Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan. 


Seorang tokoh agama berkata ramai anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka. 


Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan. 


Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja. 


Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu. 


Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi. 


Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati. 


Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung. Ya, jangan lari daripada mempelajari dan mengamalkan ilmu agama.


Apabila kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam setiap rakaat solat), insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar. 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2020 16:46

Safar 3, 1442: Kenapa kasihi yang cantik, 'molek' sahaja? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


KATA bijak pandai sebagai makhluk setiap daripada kita adalah pengemis. Mungkin ada orang terutama yang kaya, berkuasa, ternama dan berpangkat tidak dapat menerima hakikat ini, jadi moleklah saya mengutarakan hal ini yang diharapkan dapat membuka mata dan hati kita semua.


Tidak lama dahulu heboh kisah seorang artis cantik kehilangan seekor kucing yang juga 'cantik'. Ya, ramai orang 'menyayangi' kucing. Ini kisah seorang daripadanya, tetapi bukanlah membabitkan artis itu. 

Di rumah orang ini ada sejumlah kucing; dan apabila diberi kucing-kucing makan di luar, maka adalah seekor dua kucing termasuk 'kucing kurap' datang untuk menumpang makan. Apa yang menyedihkan, hanya kucing-kucing kesayangan diberi makan sebaliknya si kucing kurap diusir. Ya, kucing-kucing cantik milik sendiri disayangi tetapi yang kurap tidak dikasihani.


Kenapa manusia membeza-bezakan layanan sesama binatang; menyayangi yang comel dan cantik tetapi membenci yang kurap? Mungkinkah orang ini bukan penyayang binatang tetapi menyayangi 'kecantikan dan kecomelan'. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa Mengetahui; kepada-Nya kita meminta pengampunan.


Apa yang kita amat kita bimbang, jika kita tidak mengasihi makhluknya di bumi atau melakukannya secara terpilih-pilih, yang di langit (seperti malaikat-Nya) apatah  lagi Allah SWT tidak mengasihani kita atau melakukan sikap terpilih-pilih pula. Inilah yang amat kita takuti. Jika kita mengusir si kucing kurap tanpa belas kasihan, ingatlah Yang Maha Berkuasa pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'.


Misalnya, sekali Dia tarik satu 'suis' di tubuh kita, maka menderitalah kita dengan penyakit angin ahmar. Lumpuh satu badan. Terbaring kaku di katil tetapi nafas masih ada. Berhari-hari koma kemudian bertukar minggu dan bulan. 


Bahagian bawah badan akhirnya bertokak. Seluruh tubuh mula berkudis. Kerana lama kita dirawat, banyak harta dan wang kita habis. Boleh jadi kita akhirnya jatuh miskin, papa kedana. Orang termasuk anggota keluarga menjadi benci - mereka bertanya, bila 'orang tua ni' nak mati?


Demikianlah akhirnya kita menjadi 'orang kurap'. Dulu kita mengusir si kucing kurap, kini kita pula menjadi 'manusia kurap'. Takutilah, wahai pembaca budiman terutama diri ini, Allah pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'. Apabila sudah menjadi 'manusia kurap' apakah masih ada harapan kepada kita?


Jawapannya, insya-Allah harapan masih ada, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada semua hamba-Nya. Bertaubatlah dan merintihlah seperti apa yang ucapkan doa pada awal celoteh ini: "Aku memohon kepada-Mu umpama si miskin yang meminta-minta, aku juga tunduk di hadapan-Mu sebagai orang yang berdosa dan hina. Aku memanjatkan doa kepada-Mu umpama orang yang dicengkam rasa takut dan bahaya sebagai hamba yang patuh dan tunduk di hadapan-Mu."


Selain penyakit; sejarah mencatatkan berapa banyak orang kaya, ternama dan masyhur akhirnya menjadi tinggal sehelai sepinggang atau menjadi pengemis disebabkan bencana seperti berlakunya kebakaran dan bencana alam malah 'dijual' sendiri oleh anak-anak, suami atau isteri dan rakan masing-masing. Malah ada yang 'lingkup' kerana kemerosotan ekonomi dan jenayah kewangan mereka sendiri.


Emperor Moghul yang masyhur dan kaya raya, Shah Jahan, yang terkenal dengan 'Taj Mahal'nya, pada penghujung hayatnya dikatakan 'dikurung' sendiri oleh anaknya. Dari 'kamar tahanan', dia melihat penuh sedih Taj Mahal; kuasa akhirnya sudah terlerai daripadanya; dia hidup penuh kesepian dan kehinaan kerana dunia sudah terlepas dari tangannya sekalipun dia belum mati! 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 21, 2020 00:41

September 19, 2020

Safar 2, 1442: Kecil dalam pelukan ibu, sudah besar dalam lindungan siapa?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 


ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.

Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.

Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.

Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali lari daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.

Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!

Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.

Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.

Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?

Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. 

Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.

Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.

Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2020 09:22

Safar 3, 1442: Kecil dalam pelukan ibu, sudah besar dalam lindungan siapa?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 


ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.

Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.

Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.

Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali lari daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.

Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!

Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.

Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.

Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?

Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. 

Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.

Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.

Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2020 09:22

September 17, 2020

Muharam 30, 1442: Usahakanlah kebarakahan hidup (u)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


ORANG tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.


Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat. 


Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. 


Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.


Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar. 


Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya. 


Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula. 


Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda. 


Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara. 


Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya, pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak. 


Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini? 


Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka? 


Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat manakala kehidupan rakyat semakin sukar.


Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya. 


Jika demikian ukurannya, negara perlu berjimat, tidak membazirkan wang rakyat dengan pelbagai macam pesta. 


Jamuan dan pesta hari ulang tahun kelahiran VIP adalah tidak perlu, orang yang diraikan sudah cukup makan, yang tidak cukup makan ialah rakyat-rakyat miskin, anak-anak petani, nelayan dan anak-anak  nun jauh di ceruk kampung di pedalaman. 


Ada pula pesta  dan jamuan, wang kosnya mungkin diambil daripada khazanah negara yang membabitkan wang si petani, nelayan, pekedai, penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan sebagainya yang membayar cukai tanah dan pelbagai lesen. 


Rakyat miskin mengeluh dengan kos hidup tinggi yang memaksa mereka mengerah tenaga dan menyabung nyawa misalnya di laut untuk menyekolahkan anak, membesarkan mereka agar menjadi 'orang' pada masa akan datang. 


Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT. 


Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan negara kita, adakah ia penuh kebarakahan?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2020 16:38

September 16, 2020

Muharam 29, 1442: Berusahalah 'meremajakan' masjid-masjid kita...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)


DI negeri saya sekarang ini sibuk dibuat pemilihan kepimpinan masjid; pada peringkat awal adalah pemilihan jawatan penting seperti pengerusi dan setiausaha manakala jawatan lain ditentukan kemudian.

Apabila muncul kepimpinan baru, anggota masyarakat mengharapkan mereka dapat menjalankan amanah memakmurkan rumah Allah; jadi janganlah LARI daripada tanggungjawab berat ini.

Jika selama ini jemaah masjid kerap disinonimkan dengan golongan 'tak berada muda' - ada yang menyebutnya sebagai KRU (kumpulan rambut umban) atau RTM (rehat tunggu mati) - kepimpinan baharu sangat-sangat diharapkan dapat menarik minat golongan muda yang sekarang ini dari sehari ke sehari terlalu taksub dengan gajet masing-masing sehingga ada kalanya ketika solat berjemaah terdengar nada irama telefon. Sungguh menjengkelkan!

Tidak lama dulu penulis menghadiri ceramah seorang motivator yang bercakap berapi-api mengenai kepentingan 'meremajakan' masjid dan tanggungjawab diamanahkan kepada kepimpinannya. 

Beliau yang berceramah di sebuah masjid, bercakap berterus terang: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."

Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"

Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak. Derma daripada tabung harian dan mingguan (Jumaat) masjid perlu dimanfaat sepenuhnya.

"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.

Beliau membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.

Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.

“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya. Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.

Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.

Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.

Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?

Selain kelemahan pengurusan, mereka yang mentadbir masjid dan surau juga perlu memperhalusi kaedah mendapatkan derma daripada orang ramai. Ini agar pendapatan yang diperolehi, walaupun daripada derma orang ramai, hendaklah bersih sebersihnya, jauh daripada unsur syubahat.

Seorang ustaz dalam kuliahnya mengingatkan akan hukum mengedarkan  tabung infak beroda ketika khutbah Jumaat malah di sesetengah masjid ada petugas berjalan mengutip derma seperti yang lazimnya dilakukan di masjid-masjid di tanah air.

Katanya, situasi terbaik ketika imam menyampaikan khutbah Jumaat adalah jemaah diam dan mendengarkan dengan saksama. Tidak boleh melakukan hal-hal yang dapat memalingkan konsentrasi daripada mendengarkan khutbah agar jemaah dapat mengambil manfaat daripada khutbah. Jangan dia berbicara kepada kawannya atau melakukan perbuatan yang boleh mengganggu daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah. 

Realiti berbeza sering ditemukan di kebanyakan masjid, tabung atau peti amal diedarkan ketika imam naik mimbar dan khutbah sedang berlangsung. Ini adalah kesalahan besar, kerana mengganggu kekhusyukan dalam mendengarkan khutbah.

Di sebagian masjid, tabung amal diedarkan oleh petugas. Dia berdiri ketika khutbah untuk menjalankan kotak amal kepada jemaah saf demi saf. Maka dia telah melakukan kesalahan besar, tapi merasa telah berbuat kebaikan. 

Dalam hal ini, kesalahan bukan hanya dilakukan oleh petugas tadi. Orang yang berinfak juga melakukan kesalahan, kerana melakukan kegiatan yang menyibukkan daripada memperhatikan khutbah. Dia memasukkan tangannya ke saku, mengeluarkan wang, dan memasukkannya ke tabung amal. Ini adalah perbuatan sia-sia yang dilarang pada ketika imam berkhutbah.

Barangsiapa yang ingin berinfak, hendaknya melakukannya sebelum dimulainya khutbah Jumaat atau sesudah pelaksanaan solat. Imam Muslim meriwayatkan dalam shahihnya, dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, bermaksud: "Barangsiapa mengusap-usap kerikil (mata tasbih), maka ia telah melakukan yang sia-sia."

Jika sekadar mengusap-ngusap kerikil atau permaidani saja dinilai sia-sia, lalu bagaimana dengan orang yang berdiri mengedarkan tabung infak atau sibuk memindahkan atau menjalankannya ke sampingnya?

Lalu bagaimana juga dengan situasi orang yang sibuk mengambil wang di sakunya, mengeluarkannya, lalu memasukkan ke tabung amal? Tentu jauh lebih dianggap sia-sia. (Syaikh Wahid Abdul Salam Bali dalam Al Kalimaat al Naafi'ah fi Akhtha' al Sya-i'ah - diterjemahkan dengan 474 Kesalahan Umum dalam akidah dan ibadah beserta koreksinya - halaman 349)

Jadi, mengedar tabung derma pada saat solat Jumaat pada ketika imam berkhutbah hukumnya tidak boleh, kerana mengganggu seseorang daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah. Akibatnya, orang yang melakukan kesalahan ini akan kehilangan keutamaan solat Jumaat. Ibadah Jumaatnya seperti melaksanakan solat Zuhur. 

Sebagai gantinya, peti derma boleh diletakkan dekat setiap pintu sehingga setiap orang yang ingin bersedekah boleh memanfaatkannya, baik sebelum khutbah dimulai atau sesudah solat.

Demikianlah wang sedekah pun perlu diperolehi sebersih-bersihnya agar masjid dapat sentiasa dimakmurkan. Wang masjid adalah untuk digunakan untuk kepentingan umum termasuk 'meremajakan' masjid, bukan dihimpun dalam bank! 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 16, 2020 16:40

September 15, 2020

Muharam 28, 1442: Hari Malaysia; negara berjaya jika pemimpin, rakyat bertakwa (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


MENGENAI pemerintahan, saya teringat antara ungkapan terbaik seorang sarjana Islam, Abul A'Ala Maududi bahawa tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.   


Maududi berkata kuasa mutlak hak Allah...kita jangan cuba sesekali lari daripada hakikat ini. Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah. 


Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. 


Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan. 


Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. 


Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. 


Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin. 


Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut. 


Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya. 


Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah). 


Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah. 


Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran. 


Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri. 


Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah. 


Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini. 


Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam. 


Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat. 


Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. 


Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. 


Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. 


Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. 


Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. 


Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. 


Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. 


Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. 


Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. 


Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. 


Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. 


Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. 


Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. 


Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. 


Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. 


Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. 


Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 15, 2020 23:23

Muharam 27, 1442: Sempena Hari Malaysia, semarak semangat Ali, Ah Kau, Muthu (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


ESOK (16 September) Hari Malaysia. Tidak lama dahulu, saya sekeluarga pergi bercuti; alhamdulillah kami dapat menginap di sebuah rumah inap (homestay) di Sekinchan, Selangor. Kediaman ini terletak di lokasi 'lain daripada biasa' iaitu di tengah-tengah sawah; jadi banyaklah pengalaman termasuk yang mencuit hati dapat dirakam dan dicatatkan.


Suatu awal pagi selepas solat subuh, saya berjalan bersendirian berkilometer jauhnya...menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa terutama sang mentari yang mula menyinar. Pemandangan sawah padi yang luas terbentang dengan barisan rimpunan pokok padi sedang 'membunting' dan ada yang 'menerbitkan hasil', begitu mempersonakan.


Penanaman padi di Sekinchan ini begitu sistematik sekali - saya perhatikan ada papan tanda nama pada sejumlah petak padi termasuk disertakan nama petani, jenis padi dan tarikh padi mula ditanam. Hampir semua nama petani adalah orang Tionghua manakala bakinya adalah syarikat-syarikat.


Ya, hebat petani Cina Sekinchan menanam padi. Kesungguhan mereka dapat dirasai apabila saya melihat ada tali air (terusan) yang turut ditanam pohon padi. Kelihatan barisan panjang pohon padi sejajar dengan tebing terusan. Pendeknya petani memanfaatkan sepenuhnya kawasan bagi mendapatkan hasil yang banyak dan terbaik. Syabas petani-petani Cina Sekinchan!


Terfikir di benak saya, alangkah bagus jika bangsa-bangsa yang ada di tanah air kita dapat memanfaatkan (berkongsi) pengetahuan dan pengalaman...di sini pesawah Melayu mungkin dapat belajar sesuatu daripada petani Cina di Sekinchan iaitu bagaimana menghasilkan padi bermutu tinggi dan banyak pula secara sistematik. Saya tidak bermaksud pesawah Melayu 'tidak bagus' (di Kedah sawah petani Melayu adalah lebih besar saiznya) tetapi, ya tak salahkan  untuk saling belajar dan mengajar...


Demikianlah...dengan wujudnya pelbagai bangsa di tanah air kita apatah lagi pada era mencabar sekarang ini, setiap kaum perlu membuka hati dan minda untuk menghebat atau menyemarakkan lagi semangat 'kekitaan kita' sebagai rakyat Malaysia. Alangkah indahnya jika Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain dapat saling tolong menolong dalam memajukan negara.


Berkenaan perkara ini, teringat saya akan buku-buku teks sekolah saya pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kerap memaparkan watak Ali, Ah Kau dan Muthu sebagai lambang perpaduan kaum. Kini  'semangat' Ali, Ah Kau dan Muthu boleh di-'upgrade'-kan ke peringkat lebih hebat agar Malaysia menjadi negara yang rakyatnya dikagumi di persada antarabangsa.


Saya juga teringat akan novel Melayu pertama ditulis oleh orang Tionghua. Ya novel 'Hidup Antara Duri' yang ditulis oleh Chong Chee Seong pada 1969 adalah lambang kerukunan hidup orang Melayu-Cina


Watak-watak utama dalam novel ini menujukkan kerukunan kehidupan Melayu dan Cina, sekali gus mengangkat karya ini ke depan sekalipun dihasilkan 50 tahun lalu.


Ketika menulis novel ini, Chong adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Bahasa Kebangsaan Malaysia. Kerana cintanya terhadap bahasa Malaysia, Chong bersusah payah menulis novel dalam bahasa Melayu ini. Chong yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Straits Times, turut menyumbangkan rencana di Berita Harian dan menurut beliau, pengarang berpengaruh Kumpulan New Straits Times, A Samad Ismail banyak membantu beliau dalam menyiapkan novel ini.


'Hidup Antara Duri' mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Melalui novel ini, Chong cuba menggambarkan bagaimana golongan nelayan pelbagai kaum saling bantu membantu dalam menjalani kehidupan. Semangat kerjasama antara mereka terbukti apabila mereka menghadapi ancaman lanun di perairan berhampiran perkampungan mereka.


Mengikut cerita watak utama, Ang Chow dijadikan tebusan oleh lanun. Mereka meminta tebusan $3,000 (ketika itu RM belum dipakai) yang mesti diserahkan dalam masa seminggu daripada rakan Ang Chow, seorang nelayan Melayu bernama Hitam. Nelayan kampung yang diketuai oleh Penghulu Samad melancarkan derma kilat dan berjaya mengumpul wang sebanyak yang dikehendaki itu.


Selepas dibebaskan, Ang Chow bekerjasama dengan polis untuk menghancurkan kegiatan lanun-lanun itu. Novel ini cuba membuktikan bahawa masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat hidup dengan aman jika mereka saling faham memahami antara satu sama lain. Antara contohnya, Penghulu Samad mengadakan majlis kesyukuran selepas Ang Chow diselamatkan. Semua keluarga nelayan daripada pelbagai kaum di kampung itu menghadirinya.


Demikianlah Chong telah melihat ke depan akan pentingnya kerukunan hidup semua bangsa yang hasilnya sedang dan insya-Allah akan dinikmati dan tuai dengan lebih baik lagi pada masa depan. Hari ini Malaysia memerlukan seramai mungkin Ang Chow, Hitam dan Pak Samad (Ali, Ah Kau dan Muthu) bergandingan tangan bagi melonjakkan negara ke tahap tertinggi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 15, 2020 00:44

September 14, 2020

Muharam 26, 1442: Carilah 'Rahmah' pada usia senja...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


KISAH ini berlaku puluhan tahun lalu. Saya tinggal berjiran dengan seorang tok guru. Pada usia tua, isteri tok guru meninggal dunia. Tok guru kemudian berkahwin dengan seorang janda yang ada beberapa anak dan tinggal bersama-sama anaknya.


Selepas kahwin, isteri tok guru lebih suka duduk di rumah lamanya daripada rumah suami. Maka terpaksalah tok guru berulang ke rumah si isteri; kadang-kadang isterinya mengikuti beliau balik, selalunya tidak.


Sebagai jiran, kadang-kadang saya membawa tok guru ke rumah isterinya dengan kereta saya. Suatu ketika, tok guru membebel kepada saya: " Kalau macam ni lebih baik mufarakah saja." Masa itu saya 'muda benar' - saya tak berapa faham perkataan 'mufarakah' itu.


Tetapi apabila tok guru menyambung bebelannya, "tapi sebagai orang tua, kita jangan buat 'benda-benda' macam ini. Buat malu kepada anak cucu saja. Kita mesti tunjuk contoh baik", barulah saya faham bahawa jangan mudah nak bercerai...mungkin maksudnya teruskan ikatan perkahwinan sehingga ke akhir hayat. Ya, tok guru kekal dalam perkahwinannya sehingga beliau meninggal dunia.


Adat dunia, orang muda mahu berumah tangga manakala orang 'lama', tak kiralah siapa pun termasuk tok guru dan pemimpin apatah lagi artis, cabarannya adalah mengekalkan rumah tangga. Sekarang ini, terlalu kerap kedengaran kes cerai-berai, rekod JAKIM menunjukkan berlaku satu perceraian setiap 15 minit!


Sebagai insan biasa, kita juga cemaskan rumah tangga kita, berdoalah agar perkahwinan kita berkekalan hingga ke akhir hayat; bukan hingga ke anak cucu seperti diungkapkan sesetengah orang. Ini kerana ada juga pasangan veteran yang sudah beranak cucu terbabit dalam perceraian. Ertinya perkahwinan mereka berakhir selepas mereka mendapat anak cucu. 


Apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat? Seorang ustaz berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu? 


Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." 


Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah. 


Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lelaki paling 'handsome'.


Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah. 


Namun manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang 'solid' tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buang tabiat ke?"


Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal  sekali pun kau sudah 'kondem' (tak boleh pakai), aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.


Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda. 


Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? Jelaslah iman yang dapat menyelamatkan sesebuah rumah tangga.


Jadi bagi pasangan suami isteri berusahalah untuk mendapatkan kasih sayang rahmah itu. Ini kerana makin lama sesebuah perkahwinan itu, makin hilanglah mawaddahnya (sebagai contoh keinginan seks semakin lama semakin menurun). 


Bagi si isterilah tambatlah suami anda dengan ciri-ciri hebat anda seperti melayan makan minum dan menyediakan pakaiannya manakala bagi si suami tunjukkan keprihatinan anda seperti merawatnya ketika dia sakit. 


Masakan sesuatu pasangan itu ada rahmah jika si isteri tidak mempedulikan makan minum dan rumah tangga kerana kerap berada di luar melayani kepentingan kerjayanya atau asyik bermain 'handset' manakala si suami asyik-asyik mengugut nak kahwin satu lagi kerana si isteri selalu sakit. 


Fikir-fikirkanlah, marilah kita (termasuk saya) mencari rahmah (bukan gadis bernama Rahmah) selepas era mawaddah berakhir akibat ketuaan diri. Semua orang akan tua kerana tua tidak diminta tetapi ia datang sendiri!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 14, 2020 00:35

September 12, 2020

Muharam 25, 1442: Memindahkan wang orang ke poket kita...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


BARU-BARU ini saya berkesempatan ke pejabat ;lama. Kawan-kawan ajak minum, sambil menikmati hidangan perbualan semakin lama semakin rancak terutama dalam membicarakan kesukaran rakyat menghadapi kehidupan sekarang ini.


Dalam perbualan itu, saya 'berloyar buruk' dengan menyatakan duit sebenarnya banyak, cuma ia tidak banyak dalam poket atau dompet kita tetapi banyak dalam 'tangan' orang lain. Persoalannya sekarang bagaimana usaha kita bagi memindahkan wang itu ke dalam poket kita...oh ya, semestinya secara halal bukan haram!


Saya berkata demikian berdasarkan pandangan seorang pakar motivasi yang juga seorang ahli perniagaan berjaya. Beliau mengungkapkan: "Ada banyak duit di kawasan sekitar kita - dalam poket orang, dalam dompet mereka, dalam bank, dalam laci pekedai dan juga bawah bantal tilam dan bantal sesetengah orang - persoalannya sekarang bagaimana mahu memancing wang itu masuk ke poket kita?"


Kata pakar itu ada dua cara melakukannya - satu secara haram, dan keduanya secara halal. Contoh perkara haram adalah seperti mencuri, merompak, makan rasuah dan makan riba manakala cara halal adalah seperti berniaga.


"Dengan melakukan kerja ini, duit akan dipindahkan dari poket mereka ke poket kita. Kalau kita pilih kaedah halal seperti berniaga, secara umumnya jika kita bekerja keras termasuk memenangi hati pelanggan, lebih banyaklah wang mereka akan masuk ke poket kita!"


Puluhan tahun lalu saya cuba praktikkan apa disyorkan pakar motivasi ini. Saya cuba berniaga termasuk terbabit dalam 'direct selling' (menjual produk seperti cecair pembersih secara langsung). 


Terbukti saya tidak pandai berniaga - duit orang terlalu sukar untuk masuk ke dalam poket saya. Akhirnya saya 'give up' (berhenti). Banyak lagi usaha saya buat seperti berniaga ABC dan cendol, tetapi nampaknya 'tidak menjadi'. Dalam bab berniaga ini ternyata saya 'tiada seni' dalam melakukannya. Apabila 'gagal, tidak banyaklah wang orang masuk ke dalam poket saya!


Itu cerita dulu, tetapi pada masa 'tua' sekarang ini selepas menghadiri ratusan jika tidak ribuan 'tazkirah' termasuk di masjid dan melalui media massa seperti siaran televisyen dan radio, mengertilah saya bahawa ada cara lain untuk 'melebatkan' poket atau kantung kita. Ya, ada cara untuk 'menarik' rezeki yang perlu diluaskan pengertiannya bukan semata-mata kepada wang ringgit.


Seorang ulama dipetik sebagai berkata, tidaklah seseorang yang telah mati menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya. Sehubungan itu hendaklah kita perbanyakkan sedekah kerana seseorang mukmin itu akan berada di bawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat.


Demikianlah, ada beberapa rahsia untuk menjadi kaya tanpa kita duga, salah satu daripadanya ada banyakkan bersedekah. Ini kerana antara lain, sedekah menjadi sebab Allah SWT membukakan pintu rezekinya.


Sedekah mengundang rahmat Allah SWT; Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ada di Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni daripada Anas r.a.)


Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah termasuk kaya jiwa, ada keberkatan dan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. 


Hadis diriwayatkan Ibnu Majah menyatakan, “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepada-Nya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.”


Selain bersedekah, ada sejumlah lagi amalan akan mendapat kurnia Allah SWT termasuk menarik rezeki, misalnya berzikir dan berselawat. Amalan berzikir seperti 'La Ilaha Ilallah Al Malikul Haqqul Mubin' dan 'La hawla Wala Quwwata Illa billah' adalah pembuka rezeki (pembawa keuntungan) dunia dan akhirat.


Demikianlah, setelah 'tua' barulah saya tahu 'sikit-sikit' rahsia kehidupan. Yakinilah kerana formula ini terbukti berjaya untuk menarik rezeki yang melimpah ruah, kebahagiaan hati, kekayaan harta dan jiwa, serta keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Ya, kita tidak perlu wang dalam poket orang untuk ditarik ke poket kita!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 12, 2020 23:49

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.