Roslan Hamid's Blog, page 74
November 5, 2020
Rabiulawal 20, 1442: Dunia kian berjerebu, susah beza intan, kaca...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
TIDAK lama dahulu, saya sekeluarga melawat seorang anak di UIAM Kuantan. Kami solat di Masjid UIAM. Isteri saya bercerita selepas solat ada seorang lelaki tua berkopiah dan seorang kanak-kanak (mungkin anaknya) merayu ditolong, katanya dia kehabisan minyak kereta untuk balik ke Kemaman.
Isteri saya tanya jumlah duit diperlukan untuk isi minyak. Jawab 'pak haji' itu RM50. 'Punyalah baik' isteri saya, dia 'sedekahkan' RM50. Namun kemudian dia tidak sedap hati, jadi dia hendap 'pak haji' itu. Rupa-rupa 'pak haji' itu tak naik kereta pun. Dia 'berlepas' dari masjid itu bersama 'anaknya' dengan menunggang motosikal!
Demikianlah, dapat saya rasakan kehidupan sekarang lebih berjerebu (rumit) daripada sebelum ini. Semakin maju kita rasakan diri kita semakin payah pula hendak menentukan kesahihan sesuatu perkara itu. Kata bijak pandai, selain petunjuk daripada Allah SWT, hanya ilmu yang dapat 'mengkhabarkan' kepada kita kedudukan sesuatu perkara itu sama ada benar atau salah. Sama ada intan atau kaca.
Baru-baru ini saya menerima e-mel ini daripada Ibu Tija. Antara lain dia menulis: Syukur alhamdulillah saya ucapkan kepada Allah kerana atas kehendak-Nya melalui Mbah Rawa Gumpala saya sekarang sudah 'sukses', dapat buka perniagaan sendiri dan bahkan saya ada cadangan membangunkan hotel. Semua semua berkat bantuan Mbah Rawa Gumpala. Saya tidak pernah menyangka kalau saya sudah 'sukses' sebegini, bantuan Mbah Rawa Gumpala yang telah memberikan nombor selama tiga kali putaran dan alhamdulillah itu semuanya tembus (berjaya)..."
Kata Ibu Tija, kalau saya mahu 'sukses' saya boleh menghubungi Mbah Rawa Gumpala; dia memberikan nombor telefonnya.
Tidak lama dulu, saya menerima sejumlah surat daripada 'tok guru' Siam yang dimasukkan dalam peti surat rumah saya. Antara surat yang diterima adalah;
* Risalah daripada Wat Suwannaram. (Disertakan gambar beberapa gambar sami Siam, paparan nombor ramalan yang menang dan testimoni berikut): "Saya Abdul Rashid berterima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya. Sebelum mendapat pertolongan daripada tok guru, kehidupan saya sangat susah. Suatu hari, saya terima risalah daripada tok guru, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi tok guru dan saya ikut nasihat tok guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi tok guru telah mengubah nasib saya."
* Risalah daripada Wat Natawee. (Disertakan gambar sami Siam dan testimoni berikut): "Nama saya Hafizudin dari Selangor. Saya ingin mengucap terima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya membangunkan semula perniagaan. Dulu kebakaran telah berlaku pada kedai saya. Lagi pun kedai saya tidak mendapat sebarang pampasan daripada syarikat insurans. Sejak itu saya menghadapi masalah kewangan. Pada masa itu saya terima risalah daripada tok guru. Masa itu saya tidak percaya kepada nasib nombor ramalan tetapi sudah tiada cara lain lagi. Saya pun hubungi tok guru untuk meminta nasihat. Akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh tok guru telah mengubah nasib saya."
* Risalah daripada Wat Pailom. Testimoni seorang lelaki tertulis: "Saya Mohd Syahir. Ribuan terima kasih kepada tok guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya, sebelum dapat pertolongan daripada tok guru, kehidupan saya sangat susah, suatu hari saya terima risalah daripada ‘master’, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi tok guru dan saya ikut nasihat tok guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh tok guru telah mengubah nasib saya."
Demikianlah nama suci Allah dan syiar-Nya telah disalahkan untuk meraihkan keuntungan dunia. Demikian juga nama orang Islam seperti Abdul Rashid dan Mohd Syahir seperti surat di atas. Orang sekarang pandai cakap syukur alhamdulillah, berpakaian 'orang beragama' seperti berkopiah dan berserban dan menggunakan istilah 'tok guru' tetapi hakikatnya akidah dan perlakuan mereka menyimpang daripada kehendak agama.
Demikian juga mereka yang naik ke pentas dunia glamor (kerana menang sesuatu anugerah) dengan berpakaian 'tak cukup kain', penuh bangga mengucapkan 'Alhamdulillah dan sebagainya.
Ya, wahai pembaca dikasihi, berhati-hatilah kerana pada zaman 'berjerebu' ini sukar untuk membezakan mana satu intan, mana satu kaca. Namun insya-Allah ada jalan penyelesaiannya, salah satunya sentiasalah menuntut ilmu kerana bijak pandai ada menyatakan 'hanya jauhari mengenal manikam'!
November 4, 2020
Rabiulawal 19, 1442: Tidak tunai janji antara ciri munafik... (U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Tidak ada sesuatu pun haiwan melata di muka bumi ini melainkan rezekinya di tangan Allah." (Maksud ayat 6 Surah Hud)
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kita masih dipanjangkan usia, dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh soal tidak menunai janji atau lebih keras lagi berbohong sebagai salah satu petanda munafiknya seseorang.
Kita sangat bimbang kerana soal tidak memenuhi janji ini sudah bersarang di kalangan sesetengah pemimpin hatta di kalangan pemimpin tertinggi. Terpulanglah kepada rakyat untuk menghakiminya tetapi dengan berat hati kita memaklumkan bahawa kita kurang senang dengan beberapa perkembangan politik tanah air.
Apa yang kita bimbang pembohongan sudah berleluasa dalam masyarakat. Jika pemimpin pembohong atau tidak tunai janji, rakyat pun pembohong, natijahnya apa hendak jadi dengan masyarakat dan negara kita? Sebuah kajian di Barat menunjukkan setiap orang secara puratanya, berbohong sekali setiap lapan minit atau 200 kali sehari.
Satu kajian ke atas 200 orang yang dipasang dengan mikrofon di Southern California University, mendapati pembohong paling besar adalah mereka yang paling banyak melakukan hubungan sosial atau yang terpaksa membuat tuntutan terhadap orang lain, termasuk di kalangan pemimpin.
Pemimpin pembohong amat bahaya. Mereka yang kaki 'auta' dan kaki kelentong ini cakapnya berdegar-degar. Janji sana janji sini. Misalnya, minta rakyat berjimat cermatlah selepas kenaikan harga minyak, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara.
Minta rakyat beramanahlah, sedangkan mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni.
Jika kita merujuk kepada dunia Barat (masyarakat suka berkiblatkan Barat bagi membicarakan hal ketamadunan seperti demokrasi), pembohongan adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan. Dulu bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dihadapkan ke sebuah lembaga penyiasat untuk di'grill' (ditanya secara terperinci) mengenai pembabitkan askar Britain ke Iraq berdasarkan laporan perisikan negara kononnya Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah secara besar-besaran.
Jika Barat mementingan kebenaran dan tidak dapat menerima sama sekali pembohongan terutama pemimpin pembohong atau tidak menepati janji, bagaimana diri kita yang mengaku Islam?
Pemimpin tulen boleh dilihat daripada seiringnya cakap dan perbuatannya. Jika sudah menjanjikan sesuatu, dia tunaikannya. Jika dia mengesyorkan rakyat hidup sederhana, dia pun hidup secara sederhana. Tidak bolehlah seorang pemimpin meminta rakyat mengikat perut bagi menghadapi zaman inflasi sedangkan dia boros menghamburkan harta negara.
Amalan munafik pemimpin menjerumuskan negara ke lembah kehancuran. Apa yang ditonjolkan oleh pemimpin, menyerlahkan sikap munafik (seperti tidak menepati janji, bercakap bohong dan pecah amanah) akan menjadi ikutan rakyat negara ini. Apabila pemimpin zalim, rakyat pun zalim; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama.
Nabi Muhammad s.a.w. memandang serius pembohongan sebagai mana sebuah hadisnya sebagaimana dinukilan Abu Isa At-Tirmidzi (Imam Tirmidzi) yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi s.a.w., namanya Abdullah bin Umar r.a., katanya: Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya orang yang menyalahi janji itu didirikan baginya bendera pada hari kiamat di punggungnya.”
Maka bendera itu diangkat tinggi atas kadar menyalahi janjinya kerana memasyhur kepada alim akan tabiatnya di dunia. Maka yang lebih besar bendera ialah bendera raja yang menyalahi janji dan diberitahu pada sekalian bendera itu dengan kata: “Inilah penyalahi janji si anu.” Kata Abu Isa hadis ini hasan shahih.
Menyalahi janji itu haram, istimewa pula daripada orang yang mempunyai pemerintahan kerana menyalahi janjinya membawa kepada mudarat melampau kepada makhluk yang banyak. Dikhuatiri dia akan dihumbankan ke neraka. Nauzubillah.
November 3, 2020
Rabiulawal 18, 1442: Jurukempen kebaikan terlalu kurang...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah Ayat 11)
UNTUK berjaya dalam dakwah, kita perlukan jurukempen yang kuat dan ramai dengan usaha berterusan, kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya hadiri baru-baru ini.
Kita tidak perlu merujuk jauh, jenguk dan amat-amatilah iklan di televisyen; ada satu iklan berbunyi: "Minum....anda jadi sihat dan kuat."
Slogan jenama ini diulang-ulang, lagi kerap lagi bagus sehinggalah sekarang ini ia sudah sebati dalam masyarakat. Orang sudah tahu bahawa minum...jadi sihat...dan hampir 100 peratus yakin jika mengambil jenama ini dia akan sihat. Di sini kita tidak berhajat menyentuh kebenaran dakwaan pihak berkenaan tetapi ingin menegaskan apabila sesuatu perkara itu diledakkan dalam kepala seseorang secara berulang-ulang puluhan, ratusan, ribuan, puluhan ribuan atau jutaan kali, akhirnya orang yang dipropaganda itu akan mengaku kalah.
Inilah juga sebahagian ajaran Menteri Propaganda Jerman era Adolf Hitler, Joseph Goebbels, yang antara lain menyebut: 'a propaganda theme must be repeated' (tema propaganda mesti diulang-ulang).
Sejumlah pemimpin mengakui akan kaedah propaganda ini. Kata mereka sekarang ini walaupun sesuatu perkara kita yakini tidak betul pada mulanya tetapi akibat propaganda yang agresif, keyakinan kita mula terhakis dan lambat-laun kita mula percaya apa yang dipropagandakan itu.
Ambil contoh apabila pemimpin mencanangkan kita terbaik...terbaik...terbaik dan diulang ratusan dan ribuan kali pada setiap ruang dan peluang, maka hampir semua orang akan mengungkapnya kembali, terbaik...terbaik...terbaik. Maka mungkin tiada yang berkata ia tidak baik.
Orang yang pada mulanya berkata tidak baik, apabila diledakkan dalam otaknya hampir setiap masa manakala ungkapan itu dilihat dalam semua media, akhirnya dia juga akan mengaku kalah dan berkata, terbaik...terbaik...terbaik.
Berbalik kepada ustaz yang bertazkirah tadi, katanya, kempen ke arah kebaikan juga perlu dilakukan secara agresif; beliau memberikan contoh ini - Seorang ulama tersohor dijadualkan akan berceramah di masjid kita; jadi kita sebagai tukang kempen perlulah bekerja keras; misalnya kita mulalah mencetak dan mengedarkan 50,000 'flyer' (kertas edaran maklumat majlis) di kawasan berkenaan; barulah majlis kita mendapat sambutan. Itu pun jumlah yang hadir mungkin 5,000 atau 10,000 orang saja.
Jika dengan mengedarkan 50,000 'flyer' kepada orang ramai hanya 1/5 atau 1/10 daripada mereka saja yang datang, bayangkan jumlah hadirinnya kita tidak membuat kempen itu. "Mungkin yang datang adalah macam jumlah hadirin di majlis ini (20-30) orang saja," kata ustaz itu.
Demikianlah, dalam dakwah kepada masyarakat, jurukempennya (pendakwah) perlu ramai dan melakukannya secara berulang-ulang kali, kata ustaz itu. Misalnya, bercakap mengenai kebesaran Allah, kita terus menerus bercakap mengenai hal ini tanpa rasa jemu dan penat, insya-Allah lama kelamaan akan tertanam juga di hati sebahagian daripada anggota masyarakat akan apa kita nyatakan itu.
Apabila Allah SWT memberi hidayah, tidak ada apa yang dapat menghalangnya lagi, namun dalam masyarakat kita hari ini, tidak ramai rela berkorban menjadi jurukempen kebaikan.
Bagi yang sudah menjadi jurukempen kebaikan, teruslah istikamah berkempen tetapi jangan lupa untuk berdoa, memohon kejayaan kepada-Nya, kata ustaz itu.
November 2, 2020
Rabiulawal 17, 1442: Ketepikan kata orang, ikutlah kata Allah…(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
KESEMPATAN berbual-bual dengan seorang teman karib semasa kecil dulu tetapi sekarang sudah hanyut dalam dunianya sendiri seperti penyalahgunaan dadah, menginsafkan saya bahawa, "kita sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja kebajikan, sebaliknya kita banyak syok sendiri kononnya kita orang baik kerana orang yang hampir dengan diri kita seperti isteri, anak, saudara mara dan rakan pun kita tidak mampu mendakwah mereka. Malah untuk diri sendiri pun kita tidak mampu mendakwah nafsu dan kejahatan diri."
* Teman karib ini meninggal dunia baharu-baharu ini, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dirinya.
Hakikatnya, kita lemah dan jahil; kita sebenarnya tidak berdaya. Namun apabila kita akui kelemahan dan kejahilan itu sebagai sifat biasa manusia termasuk diri sendiri, insya-Allah kita dapat semangat bahawa kita boleh beriktihar dan berusaha (melakukan yang terbaik termasuk membuang ego diri); yang lain serahkan kepada Allah SWT, berjaya atau tidak itu bukan urusan dan kerja kita, itu kerja Allah SWT, mengapa kita mahu campur tangan urusan Allah SWT? Tidak malukah kita?
Untuk membuang ego bukan mudah, ia perlu mujahadah yang tinggi. Ya, bukan mudah untuk diri ini bertegur sapa dan bermesra dengan seorang penagih dadah. Nanti apa orang kata, "Aiyy, budak LanH tu dah berkawan dengan si penagih dadah. Agak-agaknya dia pun sudah jadi penagih agaknya."
Demikian kita terlalu memikirkan apa orang lain akan kata, namun jarang sekali kita memikirkan apa yang Allah SWT kata, apa yang Tuhan kita firmankan melalui al-Quran yang kita baca itu. Antaranya, ayat 6 Surah at-Tahrim yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka..."
Akhirnya saya bertegur sapa dengan teman itu. Selepas beberapa kali berjumpa, saya hadiahkannya senaskhah buku kompilasi fadilat zikir dan doa selepas solat yang kebetulan berada di tangan saya. Terkejut besar dia, lantas bertanya: "Ehh, ini bacaan selepas solat...aku sembahyang pun tak buat lagi!"
"Itulah kau kena sembahyang," kesempatan itu saya gunakan untuk berbicara. "Kau nampak tak pokok mangga tu? Sekarang sedang berbunga. Cantik bunganya. Selepas itu akan muncul buah. Daripada putik kemudian jadi buah yang ranum. Kita petik dan makan. Sedap. Perut kita pun kenyang. Siapa jadikan semua ini. Apabila makan buah mangga, siapa beri kita kenyang?"
“Allah," jawab teman itu.
"Jadi ucaplah terima kasih kepada Allah. Satu cara ucap terima kasih kepada Allah ialah dengan menyembah-Nya. Jadi solatlah," kata saya.
"Aku tahu,” katanya. “Bukan aku tak tahu. Aku bukan tak nak sembahyang, tapi tak ada kekuatan.”
“Kau perasan tak sesetengah buruh yang buat kerja kat masjid kampung kita? Angkat batu dia boleh, tapi bila orang bang (azan), nak angkat air sembahyang (wuduk) tidak mampu. Mana lebih berat, angkat batu ke atau angkat wuduk? Ya ramai orang boleh angkat batu tapi tak ramai yang boleh angkat wuduk.
“Ya sama seperti kekuatan untuk angkat wuduk, kau juga perlu kekuatan untuk solat. Sebenarnya, bukan kau saja, hampir semua orang malas untuk solat. Orang berjaya adalah mereka yang lawan sifat dan nafsu jahat itu. Itulah kau mesti lawan perasaan tak nak solat tu.”
“Nanti kalau aku solat, apa pula orang kata? Kawan aku akan kata, “ehh budak…kaki dadah itu dah solat, dah alim dah…”
“Engkau jangan peduli apa orang kata. Itu tak penting. Kau kena peduli apa Tuhan kata. Tuhan kata, kalau kau tak solat kau masuk neraka. Kau nak masuk neraka?”
“Aku sekarang dah dekat 50 tahun. Ada peluang untuk aku bertaubat?”
“Apa kau cakap ni, kau tentu tahu ada kisah seorang penjahat, dia sudah bunuh 100 orang tetapi Allah terima taubatnya sekali pun dia baru bergerak ke negeri orang baik-baik; demikian juga khalifah kedua Umar al-Khattab sebelum Islam dia samseng Makkah yang telah bunuh anak perempuannya sendiri, tetapi selepas Islam, Nabi pernah berkata jika ada seorang nabi selepas baginda, orang itu adalah Umar!
"...(nama sahabat itu) sekarang ni, kalau kau tak mampu buat baik, jangan buat jahat..."
"Maksud kau?"
"Kau sendiri pun tahu!"
"Kalau masih tak mampu solat, jangan hisap dadah?"
Demikianlah, dalam menjalani kehidupan, ramai berpandukan apa orang kata, sebaliknya hanya segelintir yang berpandukan apa yang Tuhan kata; berdoalah kita agar kita sentiasa mendengar dan mengikut kata Allah dan bukannya kata manusia!
November 1, 2020
Rabiulawal 16, 1442: Alhamdulillah jika orang mahu bersihkan kita...
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
PADA tazkirah setiap malam Rabu di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz yang mengajar merujuk kitab 'Bidayatul Hidayah' karangan Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali. Terkini ustaz membahaskan topik 'cara meninggalkan maksiat'...satu perkara menyentuh saya adalah 'isu bersih'.
Kata Imam Ghazali: "Seandainya engkau melihat dirimu bersih daripada dosa, baik zahir atau batin dan engkau melihat dirimu bersih daripada segala keaiban baik yang berkenaan dengan urusan agamamu ataupun duniamu, maka ketahuilah bahawa kejahilan terhadap dirimu sendiri adalah sejahat-jahat kejahilan.
"Tidak ada aib yang lebih besar daripada seseorang yang menganggap dirinya bersih daripada segala dosa dan kesalahan. Sebenarnya ketika itu Allah SWT tidak menghendaki kebaikan terhadap dirimu. Jikalau Dia menghendaki kebaikan pada dirimu tentu Dia menunjukkan kepadamu akan aib dirimu. Jadi ketika engkau melihat dirimu sebagai seorang yang bersih, maka itu adalah kesudahan daripada segala kejahilan."
Subhanallah, sebenarnya kita semua tak bersih. Hakikatnya tiada orang yang boleh mengaku dia bersih. Tiada seorang manusia pun kecuali nabi-nabi yang bersih daripada dosa (maksum). Kalau seseorang itu mengaku dia bersih, sahlah dia tak bersih. Bercakap mengenai bersih ini, Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum itu pun bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT; sesetengah riwayat menyatakan sebanyak 70 atau 100 kali sehari - jadi sudah pasti kita ini tidak bersih dan perlu sentiasa meminta maaf kepada manusia lain dan ampun kepada Yang Maha Kuasa.
Orang atau pihak yang tidak mahu ditunjuk dan dinasihatkan mengenai perkara tidak bersih mengenai dirinya adalah orang sombong dan takabur, menepati ciri-ciri iblis yang tidak akan duduk diam sehingga semua manusia masuk neraka bersama-samanya! Namun iblis tewas kepada orang ikhlas dan salah satu ciri orang ikhlas ada orang yang sedia menerima teguran dan nasihat.
Keburukan yang melanda diri hatta negara kita makin lama makin dahsyat (busuk). Masyarakat semakin 'konfius' (keliru antara perkara baik dan jahat). Ya, mereka terutama generasi baru tidak tahu lagi akan ketepatan istilah-istilah seperti 'derma', 'rasuah', 'politik wang' dan 'rasuah politik'. Mereka terkeliru apakah pemberian wang berbilion-bilion ringgit itu 'derma' sedangkan 'melarikan' seringgit dua daripada tabung masjid atau 'melesapkan' sepaket milo daripada pasar raya untuk diberi makan kepada anak isteri yang kelaparan adalah jenayah besar dan apabila tertangkap ada yang dipukul orang ramai sehingga separuh mati sebelum diserahkan kepada polis?
Ya, semua orang dan pihak perlu sentiasa membersihkan diri. Mengikut ajaran Islam, untuk melakukan ini kita perlu sentiasa belajar dan muhasabah (mengkoreksi) diri serta melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebaliknya menghindari daripada segala kejahatan seperti makan rasuah, berlaku zalim ke atas orang lain yang jika dilakukan akan menumbuhkan titik-titik hitam di hati kita.
Kalau kita istiqamah untuk membuat kebaikan dengan ikhlas, insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan membuka hijabnya sedikit demi sedikit, hati kita yang ditutupi terlalu banyak titik-titik hitam akan bersih secara beransur-ansur.
Insya-Allah, akan tiba suatu peringkat kita sendiri akan mengakui; "Ya Allah, rupanya aku ini tidak bersih, aku ini kotor, aku ini jahat, aku tak layak masuk ke dalam syurga-Mu, tapi aku tak tahan azab neraka-Mu. Jadi Kau ampunkan dosa hamba-Mu yang tidak bersih ini!"
Jadi siapakah diri kita untuk mengaku kita bersih dan tidak perlu sebarang nasihat atau penambahbaikan! Ya, akuilah kita sebenarnya TIDAK BERSIH, jadi jika ada orang mahu MEMBERSIHKAN kita, ucaplah terima kasih dan alhamdulillah!
October 30, 2020
Rabiulawal 14, 1442: Cuba hayati sekelumit perjuangan Rasulullah...(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
RASULULLAH s.a.w. adalah contoh ikutan dalam semua bidang kehidupan. Sebagai contoh baginda adalah ketua negara, ketua di masjid (imam), ketua pasukan perang dan dalam konteks bicara dalam ruangan ini baginda adalah ketua keluarga (rumah tangga).
Rasulullah s.a.w. berdakwah termasuklah ke Taif seperti dikisahkan sesetengah ustaz pada sambutan Maulidur Rasul, jadi penulis sejak 2004 cuba-cuba 'belajar berdakwah' dengan mengedarkan risalah cara pemakaian pakaian menutup aurat yang sempurna kepada wanita-wanita terutama yang dilihat bertudung tetapi tidak sempurna penutupan aurat mereka seperti memakai baju-T mendedahkan lengan atau berjeans dan blaus terlalu ketat.
Bagi saya, wanita-wanita bertudung sudah berada di permulaan landasan betul, cuma mereka perlu 'ditolong sikit lagi' dengan menerangkan kepada mereka bahawa menutup aurat itu bukan bermakna bertudung saja. Apa erti bertudung jika pakaiannya tersangat ketat, lengan terdedah atau mempamerkan akhlak yang kurang baik seperti membonceng serta memeluk erat pasangan lelaki ketika bermotosikal.
Wanita terutama anak-anak gadis ini adalah macam anak kita sendiri, jadi kita usahakan untuk mendakwah mereka agar mereka selamat dunia dan akhirat, insya-Allah. Sebahagian wanita yang menerima risalah mengenai aurat ini menyambutnya dengan baik terutama yang berjalan 'solo' tetapi jika mereka berkumpulan, lain pula jadinya.
Suatu ketika penulis terasa tamparan hebat apabila sekumpulan remaja perempuan ketawa besar ketika membaca risalah itu malah ada yang bergolek-golek di lantai - bergelak dan membuat aksi lucu sesama sendiri.
Pedih di muka sudah terasa, seluruh badan menggigil menahan malu dan marah. Terasa tersangat hina diperlukan sedemikian rupa...tetapi bagi menyabar dan melembutkan diri penulis cuba bayangkan serta cuba hayati sekelumit daripada apa dirasai Nabi Muhammad s.a.w. tatkala baginda diusir dan dibaling batu oleh kanak-kanak ketika berdakwah di Taif.
Ohhh, alangkah susah dan sukarnya laluan dakwah Nabi s.a.w. Subhanallah bagaimana Nabi s.a.w. menghadapinya...jika aku diuji dengan 'hal sikit itu' pun sudah rasa macam nak 'give up' (berputus asa) bagaimana Nabi s.a.w. ada kekuatan hati yang membolehkan baginda 'menyabarkan' malaikat yang mahu menghempap penduduk Taif dengan bongkah gunung.
Subhanallah, alangkah hebatnya engkau (Nabi s.a.w.) wahai kekasih Allah, aku tak mampu mengambil kekelumit pun daripada hehebatan keperibadianmu...yang hanya aku lakukan adalah cuba-cuba..moga-moga Allah SWT Yang Maha Berkuasa memperkenankan doaku ini untuk cuba-cuba dekat kepada-Mu dan kekasih-Mu, Rasulullah s.a.w.
Berdasarkan senario hari ini daripada wanita bertudung mendedahkan aurat atau 'berpakaian tetapi tidak berpakaian' dan pemuda yang berfoya-foya dan 'merempit', air mata Junjungan Nabi s.a.w. dibimbangi mengalir melihat gelagat umat akhir zaman ini.
Pengorbanan serta perjuangan Rasul tidak mengenal 'pencen', sehingga akhir hayat baginda masih bimbangkan nasib umatnya.Digambarkan kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya terutama yang berada pada akhir zaman sekarang ini. Demikianlah betapa agungnya cinta Rasul kepada kita semua sedangkan kita tidak bersemangat mengingati baginda apatah lagi mengikuti sepenuh jiwa ajaran baginda.
Dalam ceramah Maulidur Rasul, ada ustaz menyatakan jika Nabi s.a.w. hidup, baginda akan menangis melihat kelakuan umat hari ini; sekarang ini amalan hidup manusia bercampur-baur antara yang baik dan buruk.
Sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini ada ustaz. membuat kritikan yang baik. Katanya, perarakan Maulidur Rasul dibuat di mana peserta menjerit-jerit berselawat manakala pemimpin memberi nasihat penuh syahdu seperti ‘Ikutilah Rasul’, ‘Contohilah Rasul’ tetapi ada antara mereka tidak mengizinkan cara hidup Rasul dipraktikkan dalam kehidupan.
Ada syarikat berbesar hati mengarahkan pekerja mereka berarak tetapi ketika bekerja, petugas wanitanya dilarang memakai tudung. Ada pekerja lelaki pula diharamkan memakai serban dan kopiah sedangkan itu sunnah Nabi. Jadi bagaimana ini, cakap saja berdegar-degar ‘contohilah Nabi’, hakikatnya merekalah penentang ajaran Nabi paling kuat.
Kata ustaz berkenaan, salah seorang paling gembira menyambut kelahiran Nabi adalah bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab. Dia terlalu gembira sehingga berarak (menggelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali), tetapi ternyata apabila Nabi Muhammad mengisytiharkan kerasulannya 40 tahun kemudian, Abu Lahablah penentang Rasul paling keras sehingga kejahatannya dirakam dalam al-Quran melalui Surah Tabbat (al-Lahab).
Sempena sambutan Maulidur Rasul ini dibimbangi ramai Abu Lahab berkeliaran, mereka beriya-iya menyambutnya termasuk mengadakan perarakan besar-besaran tetapi apabila dihadapkan dengan menunaikan kewajipan dan mencegah kejahatan (maksiat), mereka berkata nanti dulu. Ada pula yang buat dua-dua sekali – kebaikan buat, kemungkaran pun mereka buat. Konsert mereka buat, majlis ilmu pun mereka buat.
Percantuman hak dan batil semakin mengelirukan. Masyarakat sudah tidak tahu mana satu betul mana satu salah. Ambil contoh mudah, pemakaian tudung. Adalah perkara biasa sekarang, ada wanita yang kejap bertudung dan kejap tidak bertudung. Artis pun pandai bertudung litup, tetapi apabila berada di pentas, tudung mereka entah ke mana.
Ada wanita yang bertudung tetapi ‘menelanjangkan’ anggota aurat lain seperti betis dan paha (berkain belah), lengan (berpakaian baju ‘baby’) malah dada (tudung singkat manakala baju ‘low cut’). Fikir-fikirkanlah, adakah Nabi menyuruh umatnya (wanita) menutup kepala (atau rambut saja), tetapi mendedahkan aurat lain? Berdasarkan senario ini, tidak menangiskah Nabi melihat keadaan umatnya pada akhir zaman ini. Atau adakah layak atau tidak malukah kita untuk mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.?
October 29, 2020
Rabiulawal 13, 1442: Mengaku cintai Rasul, tetapi dustai ajarannya (U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Q.S. Al-Anbiyak ayat 35)
BERSYUKUR ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia dan insya-Allah berkesempatan bersama-sama menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w pada tanggal 12 Rabiulawal (29 Oktober) ini.
Mengenang kelahiran, seterusnya mengimbau sirah baginda termasuk pahit getirnya menyerukan Islam, akan terasa betapa dekat diri ini padanya. Namun demikian itu hanya perasaan, hakikatnya kita semakin hari semakin jauh daripada kekasih Allah SWT itu. Apa tidaknya, kita cukup bimbang mulut kita saja berkomat-kamit menyebut nama Rasulullah dalam majlis-majlis seperti berzanji dan sambutan Maulidur Rasul sedangkan cara hidup kita tersasar daripada sunnah baginda.
Memang betul, pada majlis-majlis khas itu, kita begitu terbawa-bawa dalam memuji-muji Rasulullah, malangnya dalam banyak kes kehidupan, secara kita sedar atau tidak kita sebenarnya menghina Islam yang didakwahkan sepenuh jiwa oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya itu.
Semua peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang perlu diikuti oleh manusia sudah termaktub dalam kitab al-Quran dan hadis, tetapi apakah kita termasuk pemerintah, mengikuti atau berusaha bersungguh-sungguh melaksanakannya? Atau kita bermain-main terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., mengikuti apa yang kita fikirkan sesuai untuk diri dan menolak apa yang difikirkan tidak sesuai?
Dalam perkembangan semasa di negara kita, kita amat dukacita apabila kes seperti dakwaan liwat dibicarakan luar daripada konteks kehendak Islam. Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasululullah s.a.w. pada majlis-majlis khas seperti Maulidur Rasul? Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.
Dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.? Pada ketika kita begitu hebat melakukan maksiat dengan menghina ajaran Rasul yang pada anggapan kita tidak layak membicara kes seperti liwat ini, bagaimana mulut kita boleh berkomat-kamit menyebut dan memuji-muji Rasul?
Tanyalah diri kita secara jujur, apakah perbicaraan dalam kes liwat ini mengikut kehendak Rasul? Andainya Rasul hidup dan menyaksikan apa yang berlaku ini, apakah baginda akan bersenang hati mendengar puji-pujian kita pada majlis Maulidur Rasul sebaliknya apa yang diajarkan baginda tidak diamalkan dalam kehidupan umatnya? Apa kata Rasul jika diberitahu ada pemimpin mengaku Islam tidak mahu kes ini dibicarakan mengikut undang-undang Islam. Malah mereka menghalangnya daripada dibicarakan di mahkamah syariah.
Kemudian dalam kehidupan kita sendiri di mana kedudukan ajaran Rasul? Misalnya media massa, mengapakah diperincikan kejelekan seseorang yang belum pun didapati bersalah oleh mahkamah sekular. Apakah membuka keaiban seseorang, menelanjanginya itu ajaran Rasul?
Sebenarnya, kita adalah hipokrit paling besar; mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita cintakan Rasul.
Contohilah Rasul, jerit pemimpin tetapi merekalah yang ke depan memboloti harta negara, sedangkan Rasul jauh daripada kesenangan dunia. Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Hari baginda berlalu tanpa tidak berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta. Tidakkah jeritan pemimpin membayangkan kemunafikan mereka!
October 28, 2020
Rabiulawal 12, 1442: Teladani Rasul; henti jadi pemimpin 'perasmi' saja...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)
Bersyukur kita dilanjutkan usia maka dapatlah kita memuzakahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh hal kepimpinan semasa dan mengaitkannya dengan peribadi dan teladan ditunjuki Rasulullah s.a.w. sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebahagian kita meraikannya dengan begitu gah sekali.
Dalam Perang Ahzab, kota Madinah dikepung oleh gabungan tentera musuh. Seorang sahabat, Salman Al-Farisi mengesyorkan agar digali parit yang besar dan dalam di sekeliling kota Madinah. Maka orang Muhajirin dan Ansar pun bertungkus-lumus membina 'kubu pertahanan' yang belum pernah dipraktikkan orang Arab. Pemimpin mereka iaitu Nabi kita yang dikasihi, Muhammad s.a.w. pun bersama-sama menyertai mereka; menggali parit dalam perit sinar mentari dan ada kalanya dalam keadaan yang sungguh lapar dan kehausan.
Itu Nabi kita; tetapi bagaimana sikap dan tindakan pemimpin kita hari ini? Ya, mereka datang untuk merasmikan sesuatu majlis atau projek, selepas itu mereka dijamu sama ada perut atau mata dan telinga; selepas sejam dua mereka 'mengucapkan selamat jalan'. Sekalipun hanya 'menggayakan jentera pemecah tanah' atau 'meletakkan batu asas' sesuatu projek, hakikatnya mereka tidak sama-sama merasai derita rakyat, namun ironinya 'usaha mereka yang tidak seberapa itu' mendapat liputan meluas media massa, kononnya merekalah pemimpin berjiwa rakyat dan sebagainya.
Nabi kita, Muhammad s.a.w. telah menunjukkan suri teladan yang terbaik, baginda mengotakan segala apa diucapkannya. Ia bukan cakap-cakap saja seperti yang hampir menjadi amalan sebahagian besar pemimpin hari ini, tetapi mempraktikkannya. Dari segi amalan seperti yang digariskan dalam al-Quran seperti solat, puasa dan sedekah; Nabi yang kita kasihi, melakukannya lebih daripada umatnya. Jika seorang Muslim diwajibkan solat lima waktu sehari semalam, Nabi melakukannya sebanyak lapan kali demikian juga puasa melebihi umatnya yang hanya diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan.
Adalah biasa untuk rumah Nabi 'tidak berasap selama beberapa hari' (bermakna tiada makanan), dan tiada hari berlalu tanpa baginda tidak makan. Pakaian Nabi ada tampalan, rumahnya sederhana saja - diperbuat daripada bata lumpur, manakala katilnya daripada bahan kasar dan ada kalanya baginda tidur di atas hamparan kasar yang menyebabkan belakang tubuhnya berbekas.
Itulah Nabi kita; hari ini kita mahu bertanya bagaimana kehidupan dilalui pemimpin kita. Pemimpin kita ramai yang berani berkata (terutama ketika majlis sambutan Maulidur Rasul) kata-kata yang 'muluk-muluk' seperti 'Teladanilah Rasul', 'Hiduplah Secara Wasatiyah' dan 'Ikutilah Rasul', tetapi apakah mereka sudah amalkan apa yang ditunjuki Rasul yang kita kasihi?
Apakah pemimpin kita hanya 'berbakat' sebagai perasmi saja atau 'memperagakan' kemahiran 'menggoreng mi' atau 'menggacau bubur lambuk' atau 'pandai berkain pelikat menghirup kopi' ketika kempen pilihan raya, tetapi tidak turun bersungguh-sungguh menyelami pahit getir rakyat seperti yang ditunjukkan oleh Rasul kita? Berhentilah daripada menjadi pemimpin 'touch and go' sebaliknya selamilah betul-betul derita rakyat.
Kerana gagal menyelami derita rakyatlah, maka pemimpin 'tersasul' dalam menyebut hal-hal berkaitan rakyat marhain seperti 'sayur kangkung', ikan kembong, cencaru, gelama serta duri. Mungkin pemimpin tidak pernah tahu atau ambil tahu harga harga bahan makanan yang sinonim dengan golongan marhain ini sehingga mereka yang 'mahu tunjuk pandai' terperangkap dalam 'sandiwara' mereka sendiri.
Ingatlah ada satu 'permainan bahasa' berbunyi 'ikan senohong, ikan gelama, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri (asalnya pencuri)...
October 27, 2020
Rabiulawal 11, 1442: Solatlah di belakang imam sebelum kamu disolatkan di depannya (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai anak keturunan Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itu adalah yang paling baik." (Al'A'raf ayat 26)
PADA tahun 70-an penulis bersekolah di Perak dan ketika cuti, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Melaka kerap singgah di masjid untuk solat. Masih terbayang, kebanyakan pekarangan masjid terutama di Perak ketika itu terdapat papan tanda ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’.
Slogan ini masyhur dan sehingga kini masih ada pekarangan masjid diserikan papan tanda ini sedangkan papan tanda baru seperti mengenai kepentingan pemakaian topi keledar dan larangan merokok tidak berapa dihiraukan.
Amat menghairankan melihat papan tanda kempen memakai topi keledar di sesetengah masjid sudah rosak dan dibuang sebaliknya papan tanda ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’ masih utuh.
Tentu ada kelebihan slogan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’. Pengertian slogan ini sungguh mendalam, terbayang keikhlasan mereka yang terbabit sama ada pencipta slogan, pembuat papan tanda dan pemasangnya. Pembaca sendiri boleh merasakan keikhlasan itu berbanding slogan pemakaian topi keledar atau maklumat mengenai pengharaman merokok.
Penulis cuba-cuba mencari pencipta slogan itu tetapi gagal menemuinya. Namun pencarian di Goggle menunjukkan ada 16,000 entri mengenai ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’.
Apa yang menarik ada penyumbang mengubah suai slogan itu menjadi ‘Solatlah di belakang imam sebelum kamu disolatkan di depannya’. Maksudnya semasa hidup bersembahyanglah sebagai makmum sebelum kamu jadi mayat, diletakkan di depan imam untuk disolatkankan.
Sungguhpun slogan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyang’ menggunakan bahasa amat mudah tetapi ia tidak terlepas dari menjadi polemik. Berikut disiarkan tulisan Dr Ghani Ismail sebagaimana dipetik daripada http://www1.tganu.uitm.edu.my/upena/A...
“Ungkapan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi,’ atau ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’ sering kita lihat di sesetengah masjid atau surau di negara kita sebagai ingatan kepada umat Islam agar jangan mengabaikan atau meninggalkan solat yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas hamba-Nya.
Langkah menulis ungkapan tersebut sama ada pada papan tanda atau pada dinding masjid/surau adalah satu usaha murni sebagai salah satu cara berdakwah, iaitu sentiasa saling ingat-mengingati sesama kita ke arah melaksanakan perintah agama.
Persoalan yang timbul ialah penggunaan bahasa dalam ungkapan tersebut. Walaupun polemik terhadap penggunaan kata ‘disembahyangi’ atau ‘disembahyangkan’ telah lama berlalu, impaknya jelas bahawa masyarakat kita masih memberikan perhatian terhadap penggunaan bahasa yang betul.
Ini menunjukkan petanda yang baik bahawa penggunaan bahasa Melayu masih tidak diabaikan oleh masyarakat kita.
Berbalik kepada persoalan di atas, sekadar pengetahuan, penggunaan kata ‘disembahyangi’ dikatakan agak kurang tepat kerana pada kebiasaannya penggunaan imbuhan akhiran kata kerja pasif di –i memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi. Dalam konteks ungkapan di atas, secara mudahnya kata ‘disembahyangi’ mungkin membawa maksud orang yang telah mati menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk bersembahyang atau bersama-sama menunaikan sembahyang ke atas jenazahnya!.
Berbanding dengan penggunaan kata ‘disembahyangkan’ adalah lebih tepat kerana penggunaan imbuhan di–kan dalam konteks ungkapan tersebut jelas membawa maksud benefaktif, iaitu melakukan sesuatu untuk orang lain. Memang benarlah bahawa orang lain akan menyembahyangkan jenazahnya nanti. Itulah uniknya bahasa Melayu. Kesalahan menggunakan kata akan menyebabkan maksudnya menjadi kurang tepat.”
Sekalipun sembahyang perkara kedua dalam Rukun Islam, terlalu ramai umat Islam mengabaikannya. Penulis teringat seorang ustaz ketika menekankan bagaimana beratnya solat, merujuk kepada buruh yang mampu mengangkat batu-batan berat tetapi apabila tiba waktu solat tidak mampu menunaikannya; sesetengah tidur pada waktu solat zuhur.
“Ini menunjukkan solat itu amat berat, ada manusia boleh mengangkat batu tetapi tidak mampu menunaikan solat,” katanya.
Beliau juga mengingatkan akan 15 azab menunggu orang yang melalai apatah lagi meninggalkan sembahyang.
Katanya, enam perkara adalah azab di dunia iaitu; dihilangkan keberkatan umurnya, terhapus tanda-tanda orang soleh pada mukanya, segala amalannya tidak dikurniakan pahala, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah SWT, tiada doa daripada para solihin untuknya dan yang terakhir keluar roh daripada jasadnya tanpa iman.
Sementara itu azab ketika hampir mati; kematiannya penuh kehinaan, kematiannya di dalam kelaparan yang hebat dan kematiannya di dalam kehausan yang dahsyat.
Dia juga menerima azab di dalam kubur iaitu kubur menghimpitnya sehingga berselisih tulang rusuknya, dinyalakan api di dalam kuburnya lalu ia dibalik-balikkan di atas bara api itu manakala datang seekor ular bernama Syujja' Aqra, suaranya laksana petir, ia berkata, "Hai manusia! sesungguhnya aku diperintahkan
menyeksa kamu dari zuhur hingga asar kerana kamu meninggalkan fardu zuhur, dari asar hingga maghrib kerana meninggalkan fardu asar…” Begitulah seterusnya dan azab ini berkekalan sehingga hari kiamat.
Ada pun azab ketika bertemu Allah SWT; datang malaikat dengan rantai panjang 70 hasta lalu membelenggu lehernya dan disumbat ke dalam mulutnya kemudian disentap keluar rantai itu melalui duburnya, lalu diseret ke Neraka Saqar, tiada rahmat Allah dan tiada keampunan untuknya dan baginya azab amat pedih.
Ingatan untuk sembahyang selalu dipesan oleh ustaz tetapi cabaran melaksanakannya amatlah berat. Ada hadis menyatakan suruhlah anak kamu solat ketika berusia tujuh tahun dan rotannya mereka jika tidak menunaikannya apabila dia berusia 10 tahun. Ini menunjukkan betapa beratnya untuk istiqamah menunaikan solat; hatta seseorang mampu mengangkat batu yang amat berat tetapi untuk solat dia tidak mampu!
October 26, 2020
Rabiulawal 10, 1442: Melayu gagal dakwah orang Cina (U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, bermaksud: "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): "Ya Allah berilah keampunan kepada Hamba-Mu si fulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci."
FIRDAUS Wong daripada Perkim memukau hadirin pada sesi ceramahnya yang menekankan kewajipan seseorang Muslim untuk berdakwah, di sebuah masjid berdekatan rumah saya tidak lama dahulu.
Walaupun masa diperuntukkan adalah antara maghrib dan isyak, Firdaus ‘terbabas’ daripada tempoh ditetapkan. Seusai ceramahnya, Firdaus memberi peluang kepada hadirin bertanyakan soalan; saya tidak melepaskan kesempatan itu dengan menyoal kenapa orang Melayu gagal dalam ‘dakwah’ mereka kepada orang Cina kerana kata saya, kini ada hanya lebih kurang 60,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina di Malaysia.
Beliau membetulkan angka yang saya beri, katanya kini hanya adalah lebih kurang 40,000 Cina Muslim di kalangan 28 juta rakyat negara ini. Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti tidak langsung berdakwah kepada orang Cina? Dalam soalan saya kepada Firdaus, saya menekankan bahawa mengikut teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penduduk rantau ini diislamkan oleh pertamanya, saudagar Arab; keduanya saudagar India dan ketiganya oleh saudagar dan penjelajah Cina dengan contoh utamanya Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali belayar melalui laut kawasan ini untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.
Ya, dulu orang Cina terbabit mendakwah orang Melayu, maklumlah Islam dikatakan telah sampai ke negara China pada abad ke-7 sedangkan di Alam Melayu, rakyat kerajaan besarnya seperti Sriwijaya masih beragama Hindu dan Buddha. Jadi orang Melayu sebahagiannya diislamkan oleh orang Cina tetapi kenapa hari ini orang Melayu sebagai penduduk asal rantau ini tidak berjaya menarik jutaan orang Cina kepada Islam?
Firdaus menjelaskan sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa, menambat hati kaum lain tetapi malangnya beliau mengakui orang Melayu tidak membuat kerja-kerja dakwah; ramai yang mengemukakan alasan seperti tidak pandai (tiada ilmu) dan tiada masa. Beliau mengingatkan adalah penting untuk setiap Muslim mencari ilmu, memahaminya, mengamal dan seterusnya menyampaikannya (berdakwah).
Benarkah hal-hal berkaitan Islam tidak sampai kepada orang Cina? Dalam dunia moden apatah lagi pada era perkembangan teknologi komunikasi ini, perkara ini dirasakan mustahil tetapi sebagai manusia, ‘personal touch’ (jalinan peribadi) adalah amat perlu kerana situasi ini boleh menyentuh kalbu bagi membuka laluan seseorang itu mendapat hidayah Illahi. Pada pandangan saya, ketika seorang dua pemimpin parti politik Cina hebat menyerang Islam seperti memperlekehkan hukum hudud adalah amat penting untuk orang Islam yang cintakan agamanya berperanan untuk menerangkan Islam kepada rakan-rakan Cina mereka. Merekalah diharapkan untuk melakukan ‘personal touch’ , adalah amat merugikan jika sudah bertahun-tahun kita berkawan dengan orang bukan Islam tetapi tidak pernah menerangkan hal berkaitan Islam kepada mereka.
Bolehkah kita biarkan pemimpin bukan Islam yang jahil Islam (mungkin benci Islam) berleluasa memberi gambaran mengenai apa didakwanya sebagai keburukan ajaran Islam? Sesungguhnya pemimpin seperti ini tidak layak bercakap pasal Islam tetapi mengapa kita tidak lakukan sesuatu sebelum ‘percakapan mulut busuk mereka’ masuk ke dalam minda rakan-rakan bukan Islam kita? Adalah malang jika kita menganggap hal agama adalah soal ‘taboo’ yang tidak boleh dibicarakan sesama rakan. Menyampaikan adalah tugas kita, untuk memberi hidayah itu ‘kerja’ Allah SWT. Tetapi kalau tidak menyampaikan, kita sudah berlaku khianat; seorang sahabat pernah menceritakan betapa seorang pemuda Cina Malaysia yang ‘menemui’ Islam di Amerika ketika menuntut di sana begitu marah sekali kepada rakan Melayunya di Malaysia yang tidak pernah memberi penjelasan mengenai Islam kepadanya.
Firdaus tidak meminta kita (orang Melayu-Islam) melakukan tugas yang berat-berat dalam berdakwah; cukuplah kita bermula dengan menunjukkan akhlak dan contoh baik, mencetak dan mengedar risalah penerangan atau al-Quran terjemahan bahasa Cina dan kalau itu pun kita tidak mampu lakukan, berilah bantuan kewangan kepada pihak yang menjalankannya seperti Perkim!
Roslan Hamid's Blog
- Roslan Hamid's profile
- 2 followers

