Web Sutera's Blog, page 8

February 3, 2014

Berfikir untuk berjaya, kemudian maju!

Saya dan awak, sering diterpa perkara yang tidak disangka-sangka berdasarkan situasi semasa. Kita ingat begitu, walhal apa yang terjadi begini.

Melihat apa yang terjadi dari sudut pandang positif bukan mudah. Bak kata kita, “Alamak! Aku ingat okey sahaja, sepatutnya tak terjadi sebegini. Bagaimana mungkin? Bukankah si dia itu patut sudah begitu dan begini?”

Atau kita sering berkata untuk pulangkan paku buah keras kapada nasihat kawan, “Kau cakap mudahlah kerana kau tak kena. Cuma kau yang kena?”
Sultan Muhammad Al-Fateh turut diterpa situasi yang tidak dimahukan atau tidak dirancang begitu jadinya. Walaupun ia dalam suratan takdir Allah, namun baginda tidak berhenti untuk terus berfikir dan seterusnya mengambil langkah pembetulan, atau bersegera tegar berbincang dengan majlis pimpinan tentera.
Suatu kejadian besar tatkala mesin pengempur merapati tembok kota Konstantinopel. Mesin itu terbakar dan ramai pejuang yang syahid. Sebuah mesin gergasi yang tidak pernah dilihat oleh tentera Bizantin dan menjadi ketakutan mereka, tetapi ia tetap musnah dibakar oleh tentera musuh Islam itu. Baginda Sultan mengambil strategi lain, dan terus doa dipanjatkan ke hadrat Allah.
Kita hamba Allah, justeru usah berundur di medan juang, andai masih ada kudrat akal dan jasmani.
@@@@@@@
Di bawah ialah sebuah kisah sketsa kehidupan.
Pada suatu ketika dahulu di perhentian bas Jalan Perangin, Pulau Pinang. Abang polis menghampiri. Saya buat selamba. Sebaik tiba, abang polis bertanya, "Adik dari mana?"
Saya menjawab, "Saya tinggal sini, encik."
"Saya mahu tengok IC.”
Saya merenung mata abang polis itu. Angin juga. Namun saya buka dompet, lalu serahkan IC.

Abang polis melihat IC dan melihat wajah saya. "Oo.. hang orang Malaysia. Hang buat apa di Penang?"
“Saya pelajar USM, encik,” Lalu abang polis serahkan kembali IC dan berlalu pergi. Dalam hati saya bermonolog, "Ingat aku ini Mat Indon?"
Pada waktu itu saya sedang menunggu seorang rakan yang masih belum keluar dari tandas berdekatan. Rambut saya pula agak panjang, maklumlah era rock.
Di kemudian hari saya berfikir, itu kerja abang polis itu. Saya buang segala sangka buruk, insya-Allah.
@@@@@@@
Selalu saya berpesan untuk diri sendiri dan rakan-rakan yang mahu meraduk badai, begini: "Luka itu biasa. Sakit jatuh itu lumrah. Ujian Allah itu cinta-Nya. Mengalah? Jangan! Itu bisikan syaitan. Bangun! Bangun menyapu air mata. Bangun menyapu luka! Bangun, wahai aku!"
Hijrah Champion Gaya Rasulullah. Insya-Allah, sebahagian besar kandungan buku ini ialah perkisahan, cerita kontot dan cerpen. Justeru boleh dikatakan sebuah antologi cerpen secara tidak langsung. Andai sudi untuk menatapnya, mohon mesej peribadi kapada saya. ** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, Web Sutera.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 03, 2014 22:13

January 25, 2014

Berfikir Gaya AL-FATEH: Strategi Militer Terbaik

Adakah kamu menganggap seseorang yang berumur 58 tahun sebagai seorang yang sudah lanjut usia dan sebaik-baiknya dia bersara atau lebih layak menghabiskan masanya di masjid atau surau?

Sebelum kita menjawab ‘ya’ kepada soalan di atas, mari kita berhenti sejenak dan meneliti kisah perjalanan hidup Nabi Muhammad (SAW). Ya, Nabi Muhammad (SAW), Baginda Rasul kita.
Strategi militer yang dilestarikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh diambil ibrah dari sikap dan teladan Rasulullah SAW. Pada usia yang dikatakan perlu bersara itu, Baginda Nabi tegar memerangi musuh di medan jihad. Takut mati? Mati itu pasti. Tetapi daripada mati di atas katil, alangkah lebih baik mati tatkala di medan juang.
Para Sahabat Rasulullah (SAW), termasuk Panglima Khalid bin Walid tidak takut mati di medan juang. Ingat kisah panglima hebat itu? Beliau menangis kerana tidak syahid di medan jihad, sedangkan itulah niat beliau pada setiap kali turun. Namun Allah tidak izinkan, dengan hikmah tersendiri tentunya.
Medan juang dan jihad yang luas ini adalah ibadah juga, bahkan menurut pandangan ulama, jihad itu menjadi wajib dengan syarat-syarat tertentu. Ini juga hijrah secara besar, hijrah dari pemikiran cukup makan kepada mahu terus menyumbangkan sesuatu kepada umat dan agama yang dicintai.
Umur bersara yang dikatakan itu, ia adalah budaya Barat yang tidak islamik. Ia budaya agar hanya bermain-main di usia tua, hanya memintal kenangan menunggu mati. Begitu sahaja kita umat Islam?
Gaya Al-Fateh ialah berusaha dan berjuang tanpa mengira usia. Ikut kudrat dan kebolehan masing-masing. Umur hanyalah metafora.
@@@@@@@
Isnin lalu berkunjung ke ofis penerbit  Must Read . Bertemu dengan Tuan Roslan Isa dan editor Tuan Haeqal Zulqarnain. Sembang saya dengan Tuan Roslan menjadi panjang, sementara Tuan Haeqal sabar mengintai kami.
Tuan Roslan berkongsi beberapa strategi pemasaran dan jualan buku-buku terbitan penerbit ini. Usai dengan beliau, saya berbincang dengan editor mengenai manuskrip NAKHODA AGUNG. Banyak juga isu dan perkara. Bualan dan sesi perbincangan mencari titik pertemuan. Insya-Allah, saya sentiasa berlapang dada.
Semoga dimudahkan Allah segala usaha kita. Amin ya Rabb.

** Insya-Allah, ikhlas dari hamba Allah yang daif di sisi-Nya, WEB SUTERA.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2014 22:33

January 22, 2014

42 Kisah Hijrah yang Meruntun Hati

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Taala. Malam 23 Januari 2014 adalah malam ketiga saya membaca kandungan buku sendiri, Hijrah Champion Gaya Rasulullah yang diterbitkan oleh Must Read.

Buku ini tidak tebal, hanya 210 muka surat sahaja, tidak termasuk Dedikasi, Kata Pengantar Penerbit dan Prakata. Justeru pada hemat saya, para pembaca boleh habiskan hanya dalam beberapa jam sahaja. Saya mengambil masa selama tiga malam kerana membaca dalam sela-sela menulis sebuah mansukrip lain, urusan pentadbiran bisnes katering dan menelaah buku-buku lain.

Terima kasih dan tahniah khas untuk Puan Shakira bt. Khairudin kerana atas daya usahanya menjadikan kisah buku ini lebih baik daripada manuskrip asal yang dihantar. Terima kasih untuk Ketua Editor penerbit, Tuan Abdul Jalil Shukor, kerana memberi idea persembahan keseluruhan buku motivasi addin ini. Tahniah sekali lagi untuk juru rekaletak dan kulit Tuan Fadhlan Rahim kerana berjaya hasilkan rekaletak dan desain kulit yang menarik deria mata.

Insya-Allah, dalam membaca setiap bab buku ini, saya turut mengelamun beberapa saat di setiap akhir bab. Memang, demi Allah, hati saya meruntun, bahkan insaf di setiap kisah. Justeru tidak keterlaluan apa yang dicatat oleh penerbit di kulit hadapan: “42 Kisah Hijrah yang Meruntun Hati” .

Ia sebuah kesinambungan buku sebelumnya, 50 Sup Champion Resipi Rasulullah . Oleh sebab itu, desain buku ini hampir sama dengan buku sebelumnya. Ia juga dalam kategori yang sama, yakni motivasi addin.

Pihak penerbit mencatat dalam Kata Pengantar Penerbit, antara lain:
“Syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kami berjaya menerbitkan buku yang bertajuk Hijrah Champion Gaya Rasulullah. Apakah inti pati yang terkandung dalam buku ini? Ia mengajak kita agar: 
1) Berhijrah daripada yang kurang baik ke arah yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
2) Mencontohi sifat dan sikap seorang champion paling besar untuk dunia yang dititip dari langit, Nabi Muhammad dalam membentuk peribadi.
3) Hindari perkara atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. 
Antara keistimewaan buku ini ialah: 
i) Terdiri daripada kisah kehidupan sebenar (bukan rekaan semata-mata).
ii) Kisah hijrah digarap dengan diselangi bait firman Allah, sedutan hadis sahih dan puisi daripada penulis sendiri.”
Berpuluh tahun dahulu, saya suka menulis puisi yang termuat dalam sebuah buku catatan. Tetapi ia sudah lama hilang. Sejak menghadiri kelas penulisan puisi bersama Puan Ainon Mohd., saya mula kembali menggarap rasa dan pemerhatian dalam bentuk puisi.
Biasanya buku puisi orang tidak berapa gemar membelinya. Justeru puisi-puisi dimasukkan ke dalam tiga buah buku motivasi saya setakat ini. Terkini dalam buku Hijrah Champion Gaya Rasulullah ini.
Insya-Allah, saya kira kandungan 42 bab kisah hijrah sememangnya perkisahan dan ceritera. Ia bukan ayat-ayat naratif semata-mata, bahkan boleh juga dikategorikan sebagai cerpen, catatan kontot dan gambaran monolog hati. Justeru boleh dikatakan sebagai antologi cerpen.

Apabila membaca buku ini, saya berasa ingin hadiahkan kepada sanak saudara dan rakan-rakan terdekat. Namun apakan daya, keadaan saya yang masih kurang berupaya dalam beberapa segi kehidupan. Doakan saya, semoga satu hari nanti saya dapat hadiahkan buku ini kepada sahabat yang sudi menerimanya.
Semoga bermanfaat untuk anak bangsa Malaysia, umat Melayu dan sahabat se-Islam. Tiada daya upaya melainkan dari Allah belaka.
Judul: Hijrah Champion Gaya Rasulullah Penulis: Web Sutera ISBN: 978-967-0392-93-6 (kulit lembut) Penerbit: Must Read Sdn. Bhd. (Januari 2014)
Ketebalan dan harga: 210 muka surat dan RM19.90 (Sem. Malaysia) / 22.90 (Sabah & Sarawak)

Berkaitan: Hijrah Champion Gaya Rasulullah.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2014 15:35

January 12, 2014

Macedonia: Kenangan Alexander @ Raja Zulqarnain

Pada 15 Mei 2010, saya ada terbitkan satu artikel dalam blog mengenai masjid di Macedonia, bersumberkan laman web Era Muslim. Beritanya seperti di bawah.

Muslim Macedonia ajukan permintaan agar Masjid Burmali (foto) yang dihancurkan oleh Serbia pada tahun 1920-an dibangunkan kembali. Isu ini berbangkit kembali tatkala pihak gereja Ortodoks Macedonia mengumumkan bahawa mereka akan membangun sebuah gereja di alun-alun (lingkungan) yang sama.

Populasi penganut agama Islam di Macedonia datang beramai-ramai ke kawasan itu untuk membina semula Masjid Burmali, yang dibangun tahun 1495 pada masa pemerintahan Daulah Uthmaniah. Akhirnya ia menjadi demonstrasi besar di ibukota Skopje.
Selama demonstrasi besar itu, azan dikumandangkan di lokasi di mana Masjid Burmali pernah berdiri di sana setelah 85 tahun. Umat Muslim Macedonia membaca beberapa ayat Al-Quran dan berdoa bersama-sama hingga menangis menitiskan air mata. Mereka mendesak agar masjid ini dibangunkan kembali.
Penyelenggara demonstrasi memberitahu tindakan mereka sebagai “kesaksian untuk masjid Burmali”, dan berharap kehadiran mereka akan memberi tekanan kepada politikus di parlimen. Ribuan polis berkawal agar sesi demonstrasi tidak bertukar ganas. Sebagai Muslim yang akur dan baik, mereka tidak bertindak ganas, maka tiada rusuhan atau kekacauan yang menganggu-gugat keamanan negera. Akhirnya demonstrasi besar itu bersurai dengan aman.
Di sisi lain, dampaknya tidak mungkin untuk membangun kembali Masjid Burmali dalam waktu terdekat. Datuk bandar Skopje mengumumkan mereka tidak akan memberi izin untuk bangunan keagamaan di ibu kota.
Warga Albania, Turki dan Muslim Bosnia di Macedonia yang meminta untuk pembangunan kembali Masjid Burmali, menganggap dengan terbinanya masjid itu, ia sebagai balasan atas kesalahan memalukan di masa lalu, bukan permintaan membangun masjid baharu.

@@@@@@@
Lantas saya teringat penulisan novel berjudul Macedonia: Alexander Agung (Hijab Raja Zulqarnain) . Bagi saya, Islam di Macedonia adalah sebuah kesinambungan usaha jerih Raja Zulqarnain dalam menyebarkan anutan agama tauhid Tuhan Yang Maha Esa Allah.
Ia secara langsung juga adalah kesinambungan ajaran-ajaran wahyu Plato, Socrates dan Aristotle di Macedonia dan Greek pada zaman dahulu. Walaupun demikian, dicatat sejarah bahawa umat Islam di era selepas Raja Zulqarnain atau Alexander meninggal dunia, penganut agama Allah itu diburu dan dibunuh, termasuk ahli falsafah terkenal itu.
Namun, Allah tidak benarkan semua orang dibunuh oleh penganut pagan pelbagai tuhan di wilayah bersejarah itu. Salah seorang yang terselamat ialah panglima beliau, Ptolemy.
Dalam novel itu , saya mencatat satu kisah pada tahun 305 – 30 Sebelum Masihi, seperti berikut:
“Sahabat utama Alexander, Ptolemy, telah membina dinasti Ptolemaeus di Mesir selepas kematian Raja Macedonia itu. Beliau merupakan pengasas kerajaan yang menguasai Mesir selama lebih daripada tiga ratus tahun atau tiga abad. 
“Ptolemy juga menganuti agama yang diamalkan oleh Alexander. Dinasti Ptolemaeus yang mempercayai ajaran ketuhanan monoteisme bersikap agak liberal serta menggalakkan perkembangan bidang sastera dan sains. Beliau juga mengasaskan pembinaan sekian banyak perpustakaan dan muzium di Alexandria. Kelas-kelas pengajian termasuk kesusasteraan dan astronomi, berkembang subur di sini.”
Dalam satu catatan laman web, saya ambil dan terbitkan di sini.
You will spot the Murat Pasha mosque regardless of which side which you have entered or walked through the Old bazaar. It is situated at the very heart of the Bazaar and stands opposite the overwhelming Cifte amam and a number of new shops surrounding it.
Right next to the mosque is a water fountain and this could be another reason why this temple of Muslim religion becomes even more capturing to the eye of the visitor. Inside the courtyard of the Murat pasha mosque is a well preserved water fountain (used by believers for washing), which was built in 1937.
However, it is the remains of the old mosque cemetery that attract the greatest curiosity among visitors. In fact, these are three graveyard inscriptions that date back from 1741 and 1790, while it is not clear what the date of the third one is.
The Murat Pasha mosque has a fairly simple architectural style and elements typical for a Baroque style. On the right and side rises the minaret which, according to its style and construction belongs to a different, much older period, and is different from the present construction of the mosque.
At the entrance to the mosque lays the inscription on which, in Arabic is described that the mosque was built between 1802-1803, after it had been destroyed during the huge fires that devastated Skopje back in 1689. However, there is no exact data on the name or year of construction of this mosque, while the archeological research clearly shows that present day Murat Pasha mosque stretches over an older object. (Sumber: http://www.oldskopje.net)
Dalam novel sejarah Macedonia: Alexander Agung (Hijab Raja Zulqarnain) , saya juga menulis:
Demikianlah sebahagian daripada khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan). Kami  ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Antaranya ada yang masih wujud (kesannya) dan ada pula yang telah lenyap. 
“Kami tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun pada masa datangnya azab Tuhanmu dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian kepada mereka. 
“Demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu amatlah pedih, lagi keras.”  (Surah Hud 11: 100 – 102) 
“Maha Suci Allah, Zamri! Aku memahami apa yang kau maksudkan,” ujar Zainal sambil menyeka matanya yang berkaca. 
“Allah binasakan kerajaan Parsi dengan mengutus Raja Zulqarnain. Kemudiannya,  mengutuskan kerajaan Rom bagi memusnahkan onar orang-orang Yunani yang mendustakan agama tauhid yang dianuti Raja Zulqarnain. Tidak beberapa lama kemudian, kerajaan Rom pula dimusnahkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 12, 2014 16:24

January 8, 2014

Novel Baharu di PBAKL 2014

Syukur sebesar cekerawala yang merentas Bima Sakti pun masih tidak cukup untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah. Namun sebagai hamba daif di sisi-Nya, saya sungguh bersyukur justeru ilham ini akhirnya dapat disiapkan.

Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad, justeru kerana cinta Baginda selalu memberi ingat kepada umatnya bahawa fitnah Dajjal yang bersekongkol dengan Iblis – semoga Allah melaknat mereka sekeras-kerasnya – paling besar dan paling berat untuk dipikul. Namun Baginda memberi jalan-jalan Ilahi agar sentiasa waspada.

Insya-Allah, dua buah novel: (i) Kombat Armagedon (atau Perang Armagedon) dan (ii) Nakhoda Agung untuk PBAKL 2014.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2014 04:40

December 30, 2013

Hijrah Champion Gaya Rasulullah

Bicara nurani
Dalam gelita persepsiJiwa pernah bersaksiHanya Allah, terpatri citra IlahiHijrah menuju akal hakikiSemoga kekal begitu, abadi.
Kosa kata ‘hijrah’ mengandungi hikmah yang besar, bahkan amat besar. Rahsianya besar sehingga kita sukar untuk menggali dan mengupas keseluruhannya kemudian mengaplikasi dalam hidup sehari-hari. Walaupun demikian, kita diberi akal. Justeru sama-sama kita gunakan sebaiknya.
Kosa kata ini mula digunakan secara meluas semenjak berlakunya hijrah Nabi Muhammad (SAW) dari Makkah ke Madinah. Hijrah berasal daripada kata kerja hajara yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Perkataan bahasa Arab ini secara fizikalnya bermaksud meninggalkan suatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Hijrah Rasulullah (SAW) bersama Sahabat Abu Bakar as-Siddiq adalah suatu perintah agung Allah.
Makna hijrah seeloknya selalu hidup dalam diri kita. Peristiwa perjalanan Rasulullah (SAW) itu mesti dijadikan pengajaran dalam setiap usaha kita mentransformasikan setiap jejak, baik mengubah nasib atau menjadi lebih baik. Kita sebagai manusia, apatah lagi umat Islam, wajib melihat penghijrahan Nabi besar itu sebagai ibrah yang direnung dan diamalkan.
Perintah hijrah Rasulullah (SAW) dan para Sahabat sebelumnya ialah perintah Allah, bukan dibuat secara suka-suka. Dalam misi itu, Rasulullah (SAW) menerima banyak halangan. Andai Allah mahu, boleh sahaja Dia menerbangkan hamba-Nya itu ke Madinah atau memudahkannya. Namun tidak begitu. Allah mahu agar para Sahabat, Nabi Muhammad (SAW) dan Abu Bakar as-Siddiq berusaha gigih.
Rasulullah (SAW) berkata, “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Mekah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud hijrah dalam hadis di atas ialah berpindah dari Makkah ke Madinah dan bebasnya Makkah dari orang-orang Mursyik yang tidak beriman. Justeru peristiwa itu sudah berlaku, maka umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Dua-dua bandar itu sudah menjadi Islam. *** Insya-Allah, ikhlas dari hamba yang daif di sisi Allah, Web Sutera.


1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2013 02:26

December 26, 2013

Ibrah novel Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH – Kesamaan gender hanya retorik Yahudi

Seorang pembaca bernama Tuan Neo Mizzie dari Pulau Pinang memberi komen ringkas novel sejarah Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH seperti di bawah:
“Baru selesai menakluk Konstantin bersama Sultan Muhammad Al-Fateh ibnu Sultan Murad. Alhamdulillah. Namun kegiranganku tak lama selepas kembali ke awal 1900-an, sebab Sultan Abdul Hamid II digulingkan dan diusir. Betapa laknatnya orang yang bernama Mustafa Kemal Pasya!!!”
Setelah banyak komen susulan, seorang pembaca yang gunakan nama Cikpuan Secondhand Novel memberi komentar:
“Neo Mizzie, ada 3 kumpulan dari dimensi masa yang berlainan yang sedang berdiskusi tentang pembukaan Kontantinopel. Semasa baca novel ini, terkagum saya dengan penulis.”
Sementara pembaca Tuan Iwan Roslan bertinta:
“Sewaktu melayar kisah Al-Fateh ini, saya senaraikan semula kata-kata atau dialog yang bisa membakar semangat. Saya juga turut menyenaraikan kembali nama-nama panglima dan pahlawan (tentera) Islam mengikut kurun dan zaman yang dinyatakan, untuk saya ceritakan kepada anak-anak.”
Maka saya katakan yang persepsi pembaca lelaki dan wanita memang berbeza. Perbezaan itu memang fitrah kejadian kita yang diciptakan Allah. Dari sini sahaja sudah dapat dibuat kesimpulan, agenda kesamaan gender di antara dua jantina manusia ini yang dilaungkan oleh Barat mustahil dapat dicapai. Justeru kita sememangnya berbeza, baik daripada segi fizikal, persepsi mahupun tanggungjawab.
Kesamaan gender atau jantina adalah retorik agenda jahat Zionis Yahudi laknat!
Berbalik kepada novel ini, memang ia sebuah novel tebal. Misteri, ramalan, mitos dan lagenda berkenaan kota Konstantinopel sedia menjadi perdebatan hebat di kalangan ilmuan timur, barat dan dunia Islam.
Dalam penulisan novel panjang ini, saya menggunakan teknik bolak-balik, imbas kembali, dan merentas dimensi masa dan ruang kehidupan. Banyak watak sejarah dan bayangan yang termuat.
Menjawab satu pertanyaan, saya menulis, “Tuan Neo Mizzie dan sahabat, mudahnya begini. Ia bayangan (bahkan ada benarnya), bahawa hidup kita ini bukan setakat lingkungan dan persepsi manusia. Jin kafir dan Islam turut mainkan lakonan di pentas dunia ini. Semuanya bakal menerima pengadilan Allah di mahkamah akhirat.”
Walaupun demikian, antara asas kehidupan di dunia ialah isu pilihan. Berbeza dalam ruang ringkup tertib membuat pilihan. Seperti gambaran dalam novel ini melalui dialog salah seorang wataknya (seperti grafik), tanggungjawab memilih yang akan ditanggunghisab dalam mahkamah Allah Ta’ala yang Maha Adil.
Tatkala bincangkan kota Konstantinopel ini, saya turunkan hadis seperti berikut:
Abu Daud meriwayatkan hadis yang dilaporkan oleh Abdullah bin Bisyr bahawa Rasulullah (SAW) berkata, ‘Jarak antara pertempuran yang dahsyat dan penaklukan Konstantinopel tujuh tahun, lalu pada tahun ketujuh, Dajjal keluar.’

“Sahabat Muaz bin Jabal juga melaporkan sebuah hadis. Rasulullah (SAW) berkata, ‘Setelah Baitulmaqdis (Jerusalem) makmur, Yathrib (Madinah) hancur. Setelah Yathrib hancur, terjadilah al-Malhamah (perang besar). Setelah itu, Konstantinopel ditakluki. Kemudian muncullah Dajjal'."
Konstantinopel dan ramalan kenabian manusia besar Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW) adalah persoalan besar kehidupan, mahu diakui atau sengaja buat tidak faham.
Justeru, di akhir novel sejarah ini, sengaja saya gantungkan ceriteranya. Tambahan pula andai saya tidak gantung, pastinya novel ini menjadi jauh lebih tebal. Insya-Allah, dengan izin dari Allah jua, saya tulis kesinambungannya dalam novel berjudul Kombat Armagedon .Penghargaan kepada semua pembaca yang memberi komen, maklumbalas dan cadangan. Semua dari Allah belaka.
** Insya-Allah, ikhlas dari hamba daif di sisi Allah, Web Sutera.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2013 04:37

December 15, 2013

Penulisan novel - sebuah taakulan

Selama tiga hari saya membaca sekali lagi keseluruhan manuskrip fiksyen  Kombat Armagedon  yang sudah disunting oleh editor Cikpuan  Leanne Adam  (di samping kerja-kerja lain). Alhamdulillah, satu kepuasan dengan mutu suntingan dan olahan semula beliau. Plot-plot bergerak pantas, insya-Allah.

Terima kasih tidak terhingga khas untuk beliau yang bertungkus-lumus membetulkan mana yang patut.
Satu sahaja, mata ini tidak dapat bertahan dengan membaca di skrin laptop. Pedih dan berpinar di kala tertentu. Saya teringat kata-kata Puan Ainon Mohd., "Saya dan tuan sudah tua. Ebook untuk orang muda berumur 20 tahun ke bawah. Di masa hadapan, mereka akan menjadi pembaca ebook di skrin gajet."
Insya-Allah, khas untuk saya dan rakan-rakan pembaca novel saya sekarang dan akan datang. Informasi tentang hadis Rasulullah (SAW).
Hadis Mursal, menurut istilah adalah hadis yang gugur perawi dari sanadnya setelah tabi’in. Seperti bila seorang tabi’in mengatakan, "Rasulullah (SAW) bersabda begini atau berbuat begini.”
Imam Syafie berpendapat hadis-hadis mursal para tabi’in senior dapat diterima apabila terdapat hadis mursal dari jalur lain, atau dibantu dengan perkataan Sahabat. Manakala ahli hadis dan ahli fiqih berpendapat hadis mursal adalah tergolong dalam hadis daif (lemah).
Majoriti para sarjana hadis (jumhur ulama hadis) membolehkan untuk menyampaikan atau menyebut hadis daif tanpa mengatakan hadis itu daif. Namun dengan syarat hadis itu tidak berkaitan dengan perkara akidah atau hukum halal dan haram, atau hukum hakam syariat yang lain.
Justeru, dibolehkan menyebut atau mengutip riwayat hadis mursal dan daif yang berkaitan perkara targhib dan tarhib (galakan agar lakukan sesuatu amalan baik dan amaran tinggalkan suatu kejahatan). Juga dalam bab fadha’il (kelebihan amalan) serta kisah-kisah (cerita).
Wallahhua'lam.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 15, 2013 15:59

December 9, 2013

NAKHODA AGUNG: Elemen tafsir Taurat dalam kisah Nabi Nuh

Kucing dan tikus merupakan dua jenis haiwan yang saling berkaitan. Dalam perumpamaan dunia Melayu pun, dikatakan tikus lawannya kucing, atau tanpa tikus siapalah kucing. Sejarah kejadian kucing dan tikus ini merupakan kekuasaan Allah yang mungkin kita tidak ketahui. Justeru Allah Maha Pencipta segala sesuatu.Namun, ada beberapa orang penulis mengatakan kucing berasal daripada harimau / singa, manakala tikus dan babi pula berasal daripada gajah.Para penulis itu berperi tatkala Nabi Nuh dan pengikutnya berada dalam bahtera yang mengharungi banjir besar:
Nabi Nuh gusar. Najis haiwan dan manusia memenuhi bahtera sehingga menyebabkan timbul rasa kurang senang kepada pengikut-pengikutnya. Maka Nabi Nuh berdoa dan memohon kepada Allah. 
“Wahai Tuhanku! Bahtera ini dipenuhi dengan najis. Berilah petunjuk agar dapat aku menyelesaikan masalah ini.” 
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah gajah itu, nescaya keluar darinya haiwan yang akan membersihkan najis-najis ini.” 
Maka setelah dibelai, keluarlah babi-babi dari gajah berpusu-pusu dan segera membersihkan semua najis sehingga bersih tanpa tersisa sedikitpun. 
Si Iblis pula cemburu dengan mukjizat Nabi Nuh, maka dia pun turut mencuba membelai gajah. Dengan takdir Allah keluar darinya tikus yang banyak lalu merosakkan kapal Nabi Nuh. 
Tikus yang banyak itu kemudiannya merosakkan bahtera sehingga dikhuatiri ia akan tenggelam. Nabi Nuh berdoa dan meminta kepada Allah bagi menyelesaikan masalah ini. 
“Wahai Allah, bahtera ini telah dirosakkan oleh tikus. Aku takut kiranya bahtera ini akan karam. Berilah petunjuk kepadaku agar dapat diselesaikan masalah ini.” 
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah harimau (singa) itu, maka akan keluar darinya haiwan yang akan memusnahkan tikus-tikus itu.” 
Sebaik usai berbuat demikian, kucing keluar darinya dan memakan tikus-tikus itu sehingga habis semuanya.
Nuh bin Lamik bin Metusyalih bin (Nabi) Idris adalah Rasul Allah pertama yang diutus. Seawal itupun baginda bercerita mengenai Dajjal - sang Pembohong Besar - walaupun tidak muncul pada era itu kepada kaumnya.
Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda, “Sukakah aku ceritakan kepadamu tentang Dajjal, yang belum diberitakan oleh Nabi lain kepada kaumnya? Sungguh Dajjal itu buta mata sebelahnya dan ia akan datang membawa sesuatu yang menyerupai syurga dan neraka. Adapun yang dikatakan syurga, maka itu adalah neraka. Dan aku memperingatkan kalian sebagaimana Nabi Nuh memperingatkan kepada kaumnya." (Hadis riwayat Muslim) -- (Hadis ini panjang)
Apa yang dimaksudkan dengan sabda di atas ialah Dajjal akan menipu agar kita lalai dan terpesona dengan kerlipan neon, dengan syurga dunia iaitu kemewahan, pangkat, harta dan wanita yang sekali gus akan menyebabkan kita lupa diri dan hanyut dengan keduniaan semata-mata. Walhal itu hanyalah sementara dan bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kembali nikmat-nikmat yang dikecapi itu. Inilah juga yang diberitakan oleh Nabi Nuh kepada kaummya.
Saya – Web Sutera - bukan pengkarya agung. Karya Teragung tetap selamanya Al-Quran. Segala puji dan puja dikembalikan ke hadrat Allah Azza wa Jalla dengan ilham yang dimasukkan ke dalam ruang minda saya.
“Daku bermohon pada-Mu ya Allah, andai bengkok mohon luruskan daku. Andai tersalah, mohon sebatan cinta-Mu. Pastinya daku tetap hamba-Mu yang daif, justeru ampunkan daku.”
Dalam pembacaan dan kajian berkaitan Nabi Nuh dan bahtera, banyak polemik dan tafsiran ayat-ayat Al-Quran, sama ada melalui saling merujuk ayat-ayat lain atau melalui pengukuhan hadis-hadis Nabi Muhammad (SAW).
Malangnya, dalam masa yang sama, banyak tafsir ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang diambil oleh penulis tanpa kajian mendalam. Walhal dalam masa yang sama, kita sewajibnya menyedari bahawa Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru (Bible) sudah lama ditulis oleh manusia, bukan lagi sebagai wahyu Allah untuk para nabi. Seperti saya nyatakan terdahulu, selagi narasi dan rujukan bersumber Taurat, Injil dan epik bangsa tertentu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah (SAW), maka ia boleh digunapakai.
Dalam pada itu, sesetengah penulis Islam turut mengambil dari apa yang dikatakan ‘hadis’ Nabi Muhammad (SAW). Padahal itu adalah sumber hadis palsu yang diriwayatkan oleh penganut Syiah.
Sebagai contoh, dikatakan bahawa:
“Para sahabat Nabi Nuh bertanya, ‘Bagaimana haiwan-haiwan ternak boleh berasa tenang dengan hadirnya singa?’ 
Lantas Allah timpakan demam kepada singa, dan itulah penyakit pertama kali wujud di muka bumi. Namun dalam tempoh beberapa masa, penghuni bahtera risau akan keberadaan banyak tikus. Mereka berkata, ‘Tikus merosakkan makanan dan harta benda kami.’ 
Lalu Allah mengilhamkan kepada singa sehingga ia terbersin. Maka kucing keluar dari bersin itu. Seterusnya tikus bersembunyi dan tidak boleh berbuat kerosakan lagi.”
Dalam kisah lain yang dikatakan bersumber dari hadis:
“Setelah banyak kotoran najis bertumpuk, Allah wahyukan kepada Nabi Nuh supaya menyentuh ekor gajah, lalu keluarlah babi jantan dan betina. Kemudian sepasang babi itu memakan najis yang banyak itu. 
Kemudian dalam masa yang lain, Allah perintahkan agar Nabi Nuh menyentuh ekor babi, lalu wujudlah tikus jantan dan betina. Kemudian tikus-tikus itu menggigit tali-tali bahtera dan merosakkan makanan. Maka Allah menyuruh Nabi Nuh mengusap kening singa, lalu keluar sepasang kucing, lalu memakan tikus-tikus itu.”
Sekiranya benar kutipan-kutipan kisah di atas, kita yang mempunyai akal sihat tentu bertanya, “Apakah yang memakan kotoran atau najis babi? Apakah Nabi Nuh terhibur tatkala menyentuh babi yang kemudiannya mengeluarkan tikus jantan dan betina?”
Kemudian serangkaian pertanyaan timbul lagi, dan lagi. Nyata tiada jawapan pasti. Justeru para peminat akan kisah Nabi Nuh dan bahteranya tetap akan terkeliru dan berasa pelik.
Tafsiran yang dicedok di atas adalah pengaruh kisah dalam kitab Taurat atau nukilan ahli kitab atau dikenali sebagai Israiliyat. Sekiranya kita mempercayai tafsiran Taurat yang diselewengkan itu, maka Yahudi berjaya menanam doktrin jahat mereka dalam memalsukan kandungan Al-Quran. Walhal Al-Quran sudah dijamin Allah akan tetap terpelihara sehingga ke hari kiamat.
Lantaran itu, keyakinan dan pandangan pentafsir Taurat dan Bible diambil oleh para penulis Islam. Mereka berpegang kepada teori orientalis, maka semakin sulit untuk hasilkan hujah menentang pembohongan Yahudi.
Tafsir ayat-ayat Al-Quran, pada hemat saya, seharusnya selari dengan penemuan moden dalam bidang arkealogi. Seandainya dahulu kurang kajian bidang arkealogi, mutakhir di abad ke-21 Masihi ini, sudah banyak penemuan terkini, termasuk peristiwa banjir besar di era Nabi Nuh itu tidak merangkumi seluruh permukaan planet Bumi.
Doktrin semit yang dipalsukan Yahudi terus menjadi rujukan yang diambil oleh para pengkaji Muslim, secara sedar atau tidak. Ini termasuk kes pentafsir Taurat yang membutakan mata hati manusia dengan doktrin bangsa Yahudi sebagai bangsa terpilih. Justeru dikatakan ‘seluruh manusia yang ada sekarang ini’ ialah dari keturunan Nabi Nuh dengan anggapan baginda sebagai bapa manusia kedua selepas Nabi Adam.
Perkisahan banjir besar ini juga banyak terdapat dalam budaya masyarakat di seluruh dunia. Antaranya ialah kisah dari epik Sumeria, Babylon, India, Wales, Skandinavia, Lithuania, China dan mitos Yunani.
Semua lagenda ini menjadi bukti adanya banjir besar itu. Pada mulanya ia berkisar kepada peristiwa benar justeru diberitakan oleh para nabi Utusan Allah bagi setiap kaum atau bangsa. Mereka menerima mesej melalui wahyu suci. Namun lama kelamaan, kisah ini menjadi lagenda, kemudian mitos bangsa. Mengapa? Ia justeru kerana kaum-kaum itu sudah terpesong dari kebenaran ajaran para nabi.
Hanya Al-Quran yang kekal menjadi rujukan utama. Sekali lagi saya ingatkan, kisah, tafsir dan lagenda bangsa berkaitan bahtera Nabi Nuh selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis-hadis yang benar, maka ia boleh dijadikan panduan.
Kaedah periwayatan kisah para nabi dalam Al-Quran dan Taurat berbeza. Ada hikmah perbezaan itu. Al-Quran ada beriwayat sebahagian kecil daripada para nabi, dan dalam masa yang sama ramai lagi Utusan Allah tidak tercatat.
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu.”(Surah an-Nisaa', ayat 164)
Salah satu hikmahnya ialah kisah nabi dan rasul dalam Al-Quran demi untuk menguatkan dakwah Nabi Muhammad (SAW) dan sebagai hujah Baginda kepada golongan Yahudi dan Nasrani.
Perincian kisah para nabi juga kadangkala, termasuk kisah Nabi Nuh, dilihat tidak terperinci, malah berselerak. Apa sebabnya? Menurut hemat saya, sasaran kisah dalam Taurat ialah sejarah, manakala dalam Al-Quran lebih ditekankan kepada ibrah dan tauladan daripada sejarah itu.
Namun menjadi tugas para ulama mentafsir ceritera sejarah dalam Al-Quran untuk tatapan dan pemahaman manusia. Justeru adanya banyak tafsir Al-Quran yang sedia kita tatap mutakhir ini.
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)
Ia juga sebagai jalan wahyu Allah khusus untuk Nabi Muhammad (SAW), agar bersihkan segala tohmahan dalam banyak riwayat Taurat dan Bible. Salah satunya sebagai pentunjuk bahawa agama-agama sejak zaman Nabi Nuh sehingga ke Rasul Terakhir Nabi Muhammad (SAW) semua datang dari Allah. Semuanya orang Muslim yang ‘berserah diri’ terhadap wahyu Ilahi.
Orang-orang yang beriman kepada Utusan Allah / Rasul adalah ummah yang satu, dan mengakui Allah Yang Maha Esa. Cuma syariat yang berbeza mengikut suku bangsa dan lokasi manusia di muka bumi ini. Namun ketika Muhammad bin Abdullah diutus sebagai Rasul, maka syariat terdahulu terbatal.
“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya’.”(Surah asy-Syuura, ayat 13)
Wallahu’alam. Hanya Allah Yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui.
** Insya-Allah, sebuah lagi novel sejarah akan muncul di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 (PBAKL 2014), dengan judul cadangan NAKHODA AGUNG. Novel ini atas permintaan penerbit sendiri. Alhamdulillah.

** Insya-Allah, ikhlas dari penulis yang daif di sisi Allah, WEB SUTERA.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 09, 2013 04:29

December 3, 2013

Suntingan manuskrip novel KOMBAT ARMAGEDON selesai

Syukur sebesar cekerawala yang merentas Bima Sakti pun masih tidak cukup untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah. Namun sebagai hamba daif di sisi-Nya, saya sungguh bersyukur justeru ilham ini akhirnya dapat disiapkan.

Insya-Allah, suntingan novel KOMBAT ARMAGEDON selesai pada Ahad, 1 Disember 2013. Penulisan novel ini jauh lebih sukar daripada dua novel sejarah sebelumnya – Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain dan Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH . Namun, dengan usaha tanpa jemu, saya dan editor Cikpuan Liana binti Omar berkombat demi mantapkan sebuah usaha jihad di akhir zaman.
Semoga gerak kerja penerbit seterusnya berjalan lancar. Ceritera perang demi redha Allah semata-mata, bukan menghambat kemanusiaan. Ini kisah perang jihad melawan musuh Islam global - Iblis, Dajjal, Zionis-Yahudi, Israel dan pemerintah Amerika Syarikat.
Untuk berjihad, perlu kenal medannya, bukan main terjah sahaja. Perlu tahu hambatan dan penghalangnya. Sejak kewujudan Nabi Adam, anasir-anasir Iblis sudah menjalar di planet Bumi ini. Gerembolan musuh tidak pernah berhenti walau sedetik pun agar manusia menjadi sesat dan masuk neraka Allah bersama-sama mereka di akhirat kelak.
Sepanjang ‘menukang’ novel ini, beberapa fragmen pendek saya siarkan dalam blog dan dinding Facebook. Justeru sambutan para sahabat dan pembaca, ia memberi obor tambahan untuk saya dalam menyudahkan penulisan novel ini.

Untuk membaca beberapa fragmen mentah novel ini, sudikan klik di sini .

Insya-Allah, selepas ini saya akan meneruskan penulisan sebuah buku motivasi berjudul Berfikir Gaya AL-FATEH dan novel sejarah ketiga berjudul Nakhoda Agung. Dalam masa yang sama, saya akan perlahan-lahan menggarap sebuah lagi ilham dari Allah, sebuah novel dengan judul cadangan HIJAB BERMUDA .
@@@@@@@
Nabi Muhammad (SAW) bersabda, “Sungguh celaka! Tumit yang menyebabkan masuk ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama Iman Nawawi menulis, “Sabda Nabi ‘... .’, disediakan baginya api neraka disebabkan tidak membasuhnya. Sekiranya sudah cukup membasuhnya, maka orang yang tidak leka daripada mengenakan air ke kedua-dua tumitnya tidak diancam.”

Saya membaca hadis ini dalam waktu beberapa hari lalu. Pada mulanya saya tidak mahu menulis, namun semakin sehari ke sehari, terasa bagaikan ada benda yang tersekat. Ia sering terpacul dalam ruang minda. Jadi, saya menukilkan persepsi sang daif di sisi Allah ini, insya-Allah.

Sesuatu yang hukum asal adalah sunat, menjadi wajib seandainya ingin melakukan perkara wajib dalam Islam. Seumpama berwuduk sebelum mendirikan solat.

Dalam perihal tumit kaki yang terleka daripada terkena air tatkala berwuduk, Rasulullah (SAW) tidak akan menyebutnya andai kata kita umatnya tidak akan berbuat begitu. Sebagai Utusan Allah, Baginda melihat di masa hadapan demi cintanya pada kita, umat akhir zaman.

Jujurnya, saya berasa takut dan bimbang akan peringatan Baginda itu. Pada hemat saya, ia bukan sekadar soal berwuduk, bahkan yang terlintas di ruang minda saya ialah pengamalan kita umat Islam. Kita manusia yang mudah lupa. Namun keterlupaan itu diberi ingatan oleh Allah melalui Al-Quran dan hadis-hadis Baginda Rasululullah (SAW).

Saya juga teringat akan pesan ramai ustaz, yakni agar jangan tersilap dalam soal ibadah. Solat sunat atau zikir di masjid adalah sunat, tetapi yang wajib ialah mendengar tazkirah atau tidak lari dari kelas-kelas agama. Atau secara khusus ialah terus menerus belajar di hadapan para Murabbi, paling tidak pun membaca buku-buku yang baik.

** Insya-Allah, ikhlas dari hamba daif di sisi Allah, WEB SUTERA.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 03, 2013 01:49