Web Sutera's Blog, page 2
August 22, 2016
Menulis Itu Sia-sia?

Menulis kerana tiada kerja lain? Menulis sebab saja nak syok-syok? Menulis lantaran habiskan masa? Menulis kerana saja gatal-gatal tangan? Itu yang tuan dan cikpuan fikirkan tentang menulis ini?
Saya bukan dilahirkan menjadi penulis, mungkin. Saya bukan bekas pelajar sastera, bukan motivator yang ngetop, bahkan bukan ustaz pun. Dan bukan mudah untuk menulis. Izinkan saya berkisah sedikit.
Ia bermula dari suka membaca, membaca, membaca, dan membaca. Untuk menjadi penulis yang baik, wajib rajin membaca, menelaah dan memerhati. Kemudian mentaakul setiap ilmu yang diperoleh itu. Taakul dengan semangat untuk mengambil pengajaran, untuk berkongsi. Konsep ini lebih kepada amalan belajar sepanjang hayat, selari dengan anjuran Nabi Muhammad (SAW).
Jangan sombong dengan ilmu, kefahaman dan ilham, justeru ia milik Allah. Oleh kerana milik Allah, buat apa kita sombong, kelak Allah boleh sahaja menarik balik ilham dan pemahaman ilmu itu. Justeru saya ingin berkongsi, bukan memandai tup-tup jadi penulis.
Baca, taakul dan tulis. Buat adaptasi di mana perlu, kemudian persembahkan kepada khalayak. Ikhlaskan niat, insya-Allah, ilmu itu bakal beroleh manfaat untuk diri sendiri dan orang lain yang membacanya. Penulis wajib ikhlas berfikir dan menulis.
Menurut hemat saya, berkembangnya bidang penulisan dan banyaknya buku justeru cerdik pandai Islam wajib menulis untuk mengimbangi bahan-bahan bacaan yang buruk dan tidak benar. Peranan para pecinta ilmu di akhir zaman menjadi penting agar tohmahan dan propaganda perang saraf kaum kuffar dapat dipintas, agar umat Islam dan manusia dapat melihat Islam dari sudut yang sah bersumberkan al-Quran, hadis dan kesepakatan ulama.
Justeru para pemuda-pemudi dan orang dewasa perlu rajin membaca, menelaah dan mengisih bahan bacaan yang baik dan dapat dijadikan panduan. Insya-Allah, selama mana ilmu atau tulisan itu berdasarkan fakta-fakta tafsiran al-Quran dan hadis, ianya benar.
Mengapa para ulama menulis? Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, “Rasulullah berkhutbah, dan menyebut satu kisah yang panjang. Pada akhir hadis itu disebutkan bahawa Abu Syah berkata kepada Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah! Tolong tuliskan untuk saya isi khutbah tuan tadi.’ Maka Rasulullah berkata, ‘Tolong tuliskan untuk Abu Syah’.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Namun, "Reading is not easy. Unless you have cultivated the habit, you will not read." (SN A. Samad Said)
** Foto atas: Cikpuan ini sudi untuk mencicip buku Berfikir Gaya Champion . Insya-Allah saya mengajak diri ini dan para pembaca untuk cuba berubah. Ada kisah dan cerita, catatan motivasi, sajak dan cerpen. Sebuah buku diterbitkan oleh GaleriIlmu .
** Saya WEB SUTERA, novelis dan penulis yang sudah menghasilkan lebih 15 karya berbentuk buku.
Published on August 22, 2016 19:53
August 17, 2016
Berkawan dan berukhuwah dalam bisnes

Dalam mengendalikan bisnes katering, katerer mungkin akan berhadapan dengan kehendak tetamu yang pelbagai. Misalnya dalam satu majlis yang kehadiran tetamu dalam lingkungan 800 atau 1,000 orang, mustahil katerer dapat memenuhi selera secara 100 peratus. Sedikit sebanyak mungkin ada rungutan, walaupun mungkin kecil kalau hendak dinisbahkan secara total dari segi perkhidmatan dan mutu sajian yang disediakan.
Apa yang hendak saya sorot di sini ialah rungutan atau pertanyaan itu mungkin diajukan terus kepada tuan punya bisnes katering tersebut. Jika berlaku, saudara sebagai pengendali katering jangan bermasam muka dengan tetamu tersebut. Maniskan muka dan bercakap secara mesra. Jangan pula disebabkan jawapan saudara, tetamu menjadi semakin tidak puas hati.
Selalu bersangka baik atas apa pun teguran, kerana ia akan lebih mematangkan kita dalam urusan bisnes, insyaallah. Tidak salah untuk mengaku kesilapan jika benar ada. Juga tidak mengapa jika tetamu atau klien itu kelihatan sedikit ‘lebih’ dalam mengajukan persoalan, tetapi saudara mengukir senyum.
Saudara juga jangan pulangkan paku buah keras kepada klien atau tetamu seandainya memang si penanya itu tersilap jangka. Berbaik sangka dan hadiahkan senyuman manis. Insya-Allah, saudara akan selamat dan tetamu atau klien akan berpuas hati.
***Hari Isnin lalu - 15 Ogos 2016 - saya berbincang dengan tenaga kerja Buku Puris . Antara agenda ialah siri ketiga thriller-sejarah/fantasi Trilogi Armagedon akan diterbitkan di bawah penerbit ini. Mereka bersetuju dengan beberapa cadangan menarik. Insya-Allah, bakal lahir menjelang PBAKL 2017.

Juga untuk re-branding novel Macedonia: Alexander Agung yang habis licin dalam pasaran. Apa kata tuan dan cikpuan tentang hal ini? Ada yang kekal sudi untuk dapatkan versi terbaharu novel thriller-sejarah ini?
** Saya WEB SUTERA, novelis dan penulis yang sudah menghasilkan lebih 15 karya berbentuk buku. ** Selain menulis, saya juga pengusaha servis katering untuk kawasan KL/Selangor dan Negeri Sembilan.
Published on August 17, 2016 18:01
August 16, 2016
Dunia Perbukuan Sama Dengan Politik?

Dari pemerhatian saya, dunia penerbitan persis sama dengan dunia politik. Kat depan cakap manis-manis saja antara pemain dunia perbukuan. Tapi di belakang, macam-macam terma dan syarat dikenakan kepada penulis.
Kata nak medan permainan sama lapang dan sama berkongsi. Tapi kat belakang, minda disempitkan dengan pelbagai syarat yang menjerut penulis. Kat depan kata ‘kita tak pilih bulu’. Kat belakang lain pula. Aduhai!
Walaupun bukan semua begitu. Masih ada yang ikhlas.
** Foto: Saya (tengah) bersama seorang peminat novel dengan memegang PERANG ARMAGEDON, sebuah thriller-sejarah dan sains fiksyen. Di sebelah kiri ialah Tuan Haji Zakaria Sungib, Pengarah bahagian buku Galeri Ilmu. Penerbit ini kotakan apa yang dikata, yakni tidak menyekat penulis dalam berkarya untuk rumah penerbitan lain.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
Published on August 16, 2016 02:35
August 14, 2016
Sains Fiksyen Kena Selari dengan Al-Quran?

Saya suka sains dan sejarah, juga teknologi. Justeru ini maksud tekno-thriller: “Techno-thrillers are a hybrid literary genre, drawing subject matter generally from science fiction, thrillers, spy fiction, action and war novels.” Ini juga bacaan saya sama ada untuk karya kreatif atau non-fiksyen, juga filem. Ia termasuk genre sai-fai dan fantasi.
Untuk sai-fai dan fantasi, saya suka mengkaji sebelum menulis. Kajian mendalam atau mungkin juga kajian secara sepintas lalu agar saya faham. Kemajuan dan teori/hipotesis sains banyak, tahun demi tahun. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan kepandaian manusia.
Bukankah manusia itu ciptaan terbaik Allah Taala? Justeru... saya suka kaitkan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah, sedapat mungkin. Saya percaya, semakin kita maju dalam bidang sains dan teknologi, banyak sejarah mengajar kita. Sejarah kalau digali sedalam-dalamnya, insya-Allah, kita akan menemui banyak perkara yang sudah terjadi, dan ia semakin terlihat di masa ini dan masa mendatang.
Saya ulang sekali lagi – manusia adalah ciptaan terbaik Allah untuk alam. Jadinya sebijak manapun entiti atau makhluk lain dalam cekerawala, mereka tak akan dapat tandingi kebijaksanaan manusia. Juga setangkas dan sekuat manapun makhluk, dia tak boleh jadi dewa yang memilik sifat-sifat Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mencipta.
Dalam senyum
ada tangis yang sunyi
menghiba sendirian
ketika membawa redha Ilahi
meraih ayat-ayat cinta-Nya. * Foto atas: Saya membaca puisi di pentas Pesta Buku Selangor 2016, SACC, Shah Alam

Published on August 14, 2016 19:29
August 10, 2016
Konspirasi Alam Bawah - Sebuah Ceritera

“Ya... kau panglima itu. Panglima dengan bala tentera yang menyelamatkan kota kara ini dari dihancurkan oleh tentera Vlad Drakul dengan legion Vampire-nya. Aku tetap ingat dengan kebaikan yang kau orang berikan,” jawab Al-Hin Guntur sebelum matanya memandang susuk Dr. Hizam Al-Fateh. “Dia manusia?”
“Ya... aku manusia. Nama aku Hizam Al-Fateh,” jawab si empunya diri.
“Kau dari Nusantara, kan? Anak didik Tuan Guru Syeikh?”
Hanya anggukan dari Dr. Hizam Al-Fateh. Para pengawal di sekeiling yang sedikit menjauh saling berbisik-bisik. Ada kagum terpamer di mata mereka.
“Nama Tuan Guru Syeikh cukup terkenal di Nusantara, dan aku tahu kesaktian orang itu. Hebat dalam dua alam!” Al-Hin Guntur berkata. “Baik, Panglima. Maksud kedatangan kalian berdua?”
“Aku mencari pintu – gapura untuk ke seberang dengan pantas. Aku ada misi demi kebaikan makhluk sejagat. Ada perancangan buruk lagi besar dari Lucifer dan kalangan kerajaan dunia kegelapan. Aku mengerti yang kau orang tak suka dengan kejahatan mereka itu.”
“Boleh aku tahu apakah maksud kalian nak ke sana?”
“Itu urusan rahsia. Kau tak perlu tahu. Yang aku tahu kau mengetahui arah ke sana, ke kota lama itu.”
“Baik. Aku boleh tunjukkan jalan ke sana. Tapi aku dan kumpulan aku tak ada kekuatan untuk memasukinya. Aku yakin... hanya manusia seperti sahabat kau itu yang boleh.”
Persetujuan dicapai.
Laluan ke bawah... ke alam bawah lapisan bumi.
BACA LAGI>>>
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
Published on August 10, 2016 19:45
July 23, 2016
Mudahkah menulis?
Menulis ini bukan mudah, tuan dan cikpuan. Lagi-lagi menulis novel. Buat masa ini saya sedang bertukang menyusun batu-bata aksara untuk diturap menjadi cerita untuk dua buah novel.
Entah mengapa mood lari agak jauh dan batu-bata itu terasa berat. Walaupun begitu, bacaan dan kajian diteruskan dalam malas (syaitan?) yang menganggu jiwa.
Allah belaka.

Published on July 23, 2016 02:47
June 2, 2016
Melankolik Jiwa

Pada 29 Mei 2016 lalu, saya berada di acara Bookfest #BigBookWork, Kompleks PKNS Bangi, Selangor. Ia adalah tarikh ulangtahun kelahiran (bukan harijadi) saya. Sehari sebelum itu, saya layan koleksi Top 20 Melancholic Melodic Death Metal. Maka terlahirlah bait-bait rasa ini untuk dibacakan di sesi bicara buku di Bangi itu. Saya kongsikan.
Tunggu dulu, kawanusah tinggalkan daku keseorangandi pentas inikerana daku takut bersendirianterkadang waktu.
Tunggu dulu, temanmasih ada bicarayang mahu dilontarkanlewat bait-bait rasa.
Nanti dulu, wahai ikhwan... tetapi apa adanya daku inisekadar meneroka makna imansedang dosa dibawa berjalan.
Justeru... andai daku terpatah lidahtersalah bicaraterusik jiwamaafkan daku, sahabat.
Mohon berikan laluan iniuntuk daku bicara lagidalam mencari ertibahawa kita anak dunia pertiwisama-sama mencarisebuah jalan pulangyang ABADI.
Saat dan tika melankolik inidaku ingin bermelodiirama kasih dalam bermadahmengalun muzik buana bersepsitatkala melihat dari sudut bersisi.
Maaf, temanmaaf, kawanmaaf, sahabatmutakhir ini daku cepat terasapenulis marhaein yang tiada gelarhanya BERKELANAuntuk kembali.

** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
Published on June 02, 2016 02:42
March 4, 2016
KONSPIRASI MAHARAJA - Catatan hati Prof. Dr. Adnan Gul

Namun pertempuran untuk hancurkan Islam dan nilai-nilai kemanusiaan Islam gagal. Sejarah yang berakhir (ditahan sebentar) atau legasi gemilang itu hidup kembali. Perasaan dan fikiran kembali ke dalam hati iman yang pernah menjadi takhta kebejatan hasil tusukan dunia asing yang langsung tidak natural.
Barat memandang dengan cemas, kerana peradaban besar ini mulai meningkat. Justeru mereka cuba untuk kesekian kalinya membedil dunia dengan racun yang menyatakan tempur ini ialah demi hati dan pemikiran mereka, demi untuk kekalkan supremasi liberal, juga doktrin kesamaan dan kebebasan tiada tara yang palsu.
Namun sel-sel penjara Bagram, ketidakadilan Guantanamo, kekejaman Fallujah dan dalam banyak penjara rahsia di seluruh dunia, ternyata gagal. Gagal dengan pesawat dan teknologi dron serta gerembolan militeri upahan berupa geng-geng ala-Mafia dan ala-Yakuza.
Bercakap tentang kebebasan dan kesaksamaan? Walhal... apa Barat buat untuk pelarian perang yang mereka juga mulakan! Kesaksamaan konon, sedangkan ekspresi politik Islam di Mesir dihalang. Maknanya ialah apa sahaja dibuat untuk menghalang Islam dari diamalkan di mana-mana jua. Ia pelan ribuan tahun, bahkan mungkin jutaan tahun?
** Sudikan baca di sini.

Published on March 04, 2016 17:38
February 28, 2016
Akan aku perjuangkan!

Web Sutera atau nama sebenar Hizamnuddin bin Awang pernah menjadi Editor bagi subjek matematik di salah sebuah syarikat penerbitan. Selepas itu selama 11 tahun bekerja di MIMOS Berhad dan JARING Communications Sdn. Bhd. sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugas kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT/Internet dan branding.
Setakat ini saya sudah hasilkan 5 buah novel – 4 bersama Galeri Ilmu dan sebuah bersama Must Read. Senarai seperti di bawah.
1) Macedonia: Alexander Agung (Hijab Raja Zulqarnain), 470 muka surat, tahun 2012.2) Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH, 885 muka surat, tahun 2013.3) Perang Armagedon, 480 muka surat, tahun 2014.4) Nakhoda Agung, 231 muka surat, tahun 2014.5) Baitulmaqdis: Perang Armagedon, 427 muka surat, tahun 2015 (bersama Tuan Khairy Tajudin).
Insya-Allah, sedikit masa lagi sebuah novel bersama Jootawan Book akan diterbitkan, yakni Gua Cinta: Travelog Mujahidin, 415 muka surat.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
Published on February 28, 2016 03:04
February 26, 2016
NAKHODA AGUNG - Di mana Paran?

Beratus-ratus tahun kemudian, Tarsus, Empayar Rom
Penghuni gua tidak menyedari apa yang terjadi. Begitu jua orang-orang di luar, sama ada dekat atau jauh, sama ada berfikir akan peristiwa itu atau tidak. Sedangkan pelbagai peristiwa buruk dan baik berjalan seperti tindakan manusia, dalam peraturan dan takdir Allah Taala.
Nyenyak para pemuda di dalam gua bagaikan mati, tetapi tidak mati. Roh-roh mereka berada dalam genggaman Allah yang Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah dengan Maha Kuasa-Nya menjaga mereka secara tertib manusia biasa. Ilmu itu milik Allah selamanya.
Walaupun telinga para pemuda itu ditutup oleh Allah, tetapi demi cinta-Nya, Allah tetap membuatkan mata mereka terbuka sehingga tidak rosak. Udara mudah memasuki saraf-saraf mata. Sedangkan dari masa ke semasa untuk suatu tempoh, badan mereka beralih ke kiri dan ke kanan siling berganti.
Sementara itu si Qitmir tetap berada di posisinya, tidak berubah, setia dengan janji bersama tuannya. Duduknya si Qitmir di luar pintu gua bagi membenarkan para malaikat memasuki ke tempat pembaringan hama-hamba Allah yang taat. Anjing itu turut menerima berkah dan manfaat Allah kerana bertemankan manusia yang baik.
Seorang alim sedang memberi khutbah akan keagungan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ramai penganut agama tauhid hadir.
“Amat benar sekali, wahai warga Tarsus! Sekiranya Allah memberi hidayahnya, tiada siapapun yang dapat menghalang. Barangsiapa yang disesatkan-Nya, justeru perbuatan jahat sendiri, nescaya tiada ada satu makhluk pun yang mampu menghindarnya.
“Para pemuda gua itu, dilindungi Allah Taala. Pandangan mata kasar ke arah gua itu tidak dibenarkan oleh Allah, melainkan pastinya mereka yang lalu di situ akan melarikan diri. Sungguh, para pemuda dan anjing itu diselimuti fenomena yang menyeramkan ... sehingga batas waktu yang bakal ditentukan Allah.”

Kemudian orang alim itu membacakan isi Kitab Injil:
“Dan dia akan menghidupkan benteng-benteng kota nenek moyang kita dahulu sebahagian dengan sebahagiannya. Maka, manakala disaksikan orang hancurnya penyembahan patung-patung dari muka bumi ini diketahui oleh orang ramai, bahawa sesungguhnya aku ini seperti manusia lain juga. Maka kebenaran aku katakan kepadamu, sesungguhnya di kala itu Nabi Allah akan datang.” (Injil Barnabas 72:23-24)
“Di manakah tempat Nabi akhir zaman itu, wahai pendita?” seorang lelaki bertanya.
“Paran. Itulah nama tempat yang dijanjikan Allah untuk umat manusia.”
“Di mana ... di mana?” kedengaran suara orang ramai.
** Petikan dari novel NAKHODA AGUNG. ** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
Published on February 26, 2016 16:49