Web Sutera's Blog, page 17

May 16, 2012

Beberapa testimoni bagi Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain

Zulqarnain atau Raja Zulqarnain seorang pejuang, pemerintah adil yang dikisahkan dalam al-Quran sebelum kelahiran Nabi Muhammad bin Abdullah. Di era kegelapan para penyembah berhala dan tuhan-tuhan yang pelbagai, bangkit seorang perintis tuntunan Allah bagi membebaskan dua dunia; Timur dan Barat.

Komen seorang pembaca novel Macedonia: Alexander Agung dari Sabah. "Kepada sidang pembaca yang budiman, saya syorkan. Bacalah buku Hijab Raja Zulqarnain itu, tak rugi! Trust me. Kalau anda orang yang minat aksi perang, inilah bukunya.”

Seorang lagi memberikan komen dalam Facebook, “Saya suka metod di dalam novel yang ditulis itu. Dengan cara lain dapat memberi galakan kepada mahasiswa untuk mengkaji sejarah. Tapi secara peribadi saya melihat konteks dasar dalam buku ini menjelaskan bahawa Alexander adalah Zulqarnain qurani. Sebenarnya saya lebih bersetuju jika dinilai bahawa Zulqarnain itu adalah Cyrus the Great. Setelah melihat bibliografi rujukan novel ini saya yakin yang tuan telah menilai kedua-dua karya kritis yang dikarang oleh Wisnu Sasongko dan Dr. Afarez Abdul Razak. Apa-apa pun novel ini menarik. Tahniah."

Komen lain, "Sememangnya saya minat hal dibincangkan tuan. Terima kasih dan tahniah di atas usaha tuan yang bertungkus lumus untuk menghasilkan sebuah karya yang menarik ini.”

Satu komentar yang dimaklumkan oleh seorang pembaca berkenaan novel ini. "Namun, dari segi penceritaan Macedonia, dia tabik. Kalau demo sudah ada 4 - 5 buah novel sejarah lagi, perghhh....idola baru selepas Pak Latip. Amin."

Keterangan foto kanan - 7 Mei 2012: Saya bersama Penulis Maya Iris dan rakan-rakan di pejabat JARING. Mereka membeli novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain.

Bagi sesiapa yang tiada kesempatan datang ke PBAKL 2012 lalu, sila dapatkan novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain di rangkaian kedai buku POPULAR Bookstore di seluruh negara. Bagi pemegang kad Popular, ada diskaun 20% untuk Pilihan Popular Mei 2012. Tawaran diskaun ini akan berlangsung selama dua bulan; Mei dan Jun 2012.

Photobucket
Photobucket
Berkaitan: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 mempesonakan

Gebang bukan sebarang gebang
Bergebang dalam majlis ilmu
Datang bukan sebarang datang
Datang demi memeriahkan arena ilmu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 16, 2012 02:49

May 10, 2012

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 mempesonakan

Tamat sudah hari raya bagi dunia perbukuan Malaysia yang berlangsung dari 27 April sehingga 6 Mei 2012. Saya berada di kalangan pemain industri, penulis, editor, pembeli dan pentaksub buku di PBAKL 2012 sepenuhnya, kecuali dua hari. Bualan, tegur sapa, pelukan, gebang, nasihat, gamitan, lambaian, salaman, sindiran, anggukan dan senyuman tersimpan kemas dalam lipatan sanubari.

Terima kasih kepada semua yang mencintai buku dan dunia keilmuan. Pesta buku tahun ini membuka sebuah laluan yang cerah buat saya, insya-Allah, dengan sokongan serta bantuan semua.

Hari raya sudah tamat, buat sementara. Kerja-kerja penulisan bakal diteruskan. Saya tidak akan berundur walaupun beberapa manuskrip saya ditolak penerbit. Saya akur dengan keputusan demi menambah baik mutu penulisan saya.

Kesempatan bertemu dan berbual kali kedua dengan novelis sejarah no. 1 Malaysia, Tuan Abdul Latip pada suatu hari mengujakan saya. Beliau turut membeli novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Tuan Abdul Latip merupakan salah seorang Sifu saya dalam penulisan kreatif. Nama beliau saya sebutkan dalam Prakata novel sejarah sulung saya di bawah penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd. ini.

Pada hari terakhir pada 6 Mei saya menziarah gerai kepunyaan Ustaz Riduan Mohamad Nor, Jundi Resources. Sebanyak lebih kurang RM140 saya laburkan (sebelum diskaun) di gerai tersebut. Sembang dan bertukar pendapat bersama beliau mencerahkan ruang naluri. Cadangan dan cabaran dari insan budiman itu juga sedang saya fikirkan, insya-Allah.

Secara rambang info yang dikumpul seputar teman-teman pembaca dan pentaksub buku, mereka menghabiskan paling kurang pun RM200 sepanjang PBAKL 2012. Ada kalangan sahabat yang berbelanja RM500 dalam satu hari, ada juga yang 'terbeli' sebanyak RM800. Saya? Entah, tidak mahu dihitung.

Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya tahun ini. Walaupun demikian apabila tiba di rumah saya berkata, "Alamak! Buku itu belum saya beli!"

Foto ‘riak buku’ yang saya paparkan di sini adalah sebahagian hasil buruan di PBAKL 2012. Memang sebahagian daripada buruan. Dua bahagian lain ialah 30 naskhah novel sendiri dan hampir 20 buah buku kanak-kanak untuk tujuan khusus dan hadiah untuk anak saya.

Terima kasih kepada teman, sahabat dan penggemar novel / fiksyen sejarah yang sudah mendapatkan Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain. Insya-Allah, novel berunsurkan sejarah kedua bakal muncul di PBAKL 2013 tahun hadapan di bawah payung penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd. Sebuah kisah yang merentas masa dan dimensi cakerawala seribu tahun. Doakan saya.

Bagi sesiapa yang tiada kesempatan datang ke PBAKL 2012, sila dapatkan novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain di rangkaian kedai buku POPULAR Bookstore dan MPH di seluruh negara. Bagi pemegang kad Popular, ada diskaun 20% untuk Pilihan Popular Mei 2012.

Saya dan beberapa watak dalam Hardcore RAMFC berbual santai di tingkat 5 PWTC pada hari terakhir PBAKL 2012. Bersama kami ialah novelis thriller no. 1 Malaysia, Tuan Ramlee Awang Murshid. Beliau berkata, "Novel Macedonia: Alexander Agung ini bagus dan terbaik dari Web Sutera. Saya sendiri tidak dapat menukilkan novel sejarah sebegini justeru perlu merujuk banyak buku dan fakta sejarah. Saya lebih mudah membayangkan plot-plot fantasi dalam kepala dan terus menaip. Itu mudah bagi saya, sementara Web Sutera suka mengkaji."

Photobucket
Usai pesta buku, kelmarin 9 Mei 2012 yang indah bersama Tuan Rozlan Dafinka Ibnu Noor, editor berwawasan dari Utusan Publications & Distributors. Kemudian memecut ke pejabat Galeri Ilmu. Langkah kanan bukan sahaja bertemu dengan editor Tuan Resha Hamzah dan Cikgu Wan Zayuhisham Wan Yusoff, malah dapat makan pula. Juga ucapan tahniah dari Cikgu Abu Hassan Morad yang masih tidak lekang dari lubuk hati beliau. Bertemu dengan Puan Shamsiah Puad, Tuan Wan Azmin dan ramai lagi. Bagaikan sebuah keluarga, walhal saya baru sahaja 'berkahwin' dengan Galeri Ilmu. Mempesonakan, insya-Allah. Keletihan urusan katering sirna.

Terima kasih, Tuan Rozlan Dafinka Ibnu Noor kerana menyokong. Telaah dan fahami apa yang mahu saya sampaikan. Jangan bimbang andai tuan tidak tahu sejarah Alexander dan Raja Zulqarnain. Tuan Rozlan berkata, "Sebagai editor, kawe yakin novel ini boleh dijual. Seimbas lalu, kawe yakin."

Dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat penerbit Galeri Ilmu pada 9 Mei, saya sempat singgah di kedai buku Popular Ampang Point bagi meninjau dua buah buku saya. Di kesempatan itu juga, nafsu membeli buku masih membara. Hasilnya dua buah fiksyen klasik; Dracula oleh Bram Stoker dan The Phantom of the Opera oleh Gaston Leroux; turut dibeli.

Berkaitan: Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2012 03:30

May 4, 2012

Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan

Seharian berada di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan, pada 3 Mei 2012. Saya dan tim Lusiana Catering kepenatan. Majlis berakhir dengan makan malam BBQ di persekitaran kolam renang. Alhamdulillah, empat sajian katering berjalan lancar; sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam BBQ.

Sebaik membuka Facebook sekitar jam 11.00pm malam Jumaat, satu komen terkini / paling awal terhadap novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain oleh Tuan Azhar Mohd Ghazali terpapar, "Tahniah sahabat ana. Sudah separuh buku itu saya baca. Memang mudah faham dan saya seolah-olah berada dalam zaman tersebut. Memang hebat gaya pengolahan bahasa Web Sutera. Syabas!”

Hilang segala lelah dalam meniti hari yang panas dengan perlu berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi sajian yang lain di premis universiti swasta itu.

Seterusnya Tuan Azhar Mohd. Ghazali menyatakan, “Mohon Web Sutera menulis lagi buku yang berunsurkan pahlawan Islam tersohor. Kebanyakan buku-buku begini datangnya dari penulis Indonesia.”

Terima kasih kepada teman, sahabat dan penggemar novel / fiksyen sejarah yang sudah mendapatkan Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Justeru itu, saya ingin membuat pengumuman awal. Insya-Allah, novel berunsurkan sejarah kedua bakal muncul di PBAKL 2013 tahun hadapan di bawah payung penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd. Sebuah kisah yang merentas masa dan dimensi cakerawala seribu tahun. Doakan saya.

Komen ini juga datangnya dari seorang pembaca yang menekuni novel ini selama tiga jam tanpa henti, dari jam 10.30pm sehingga 1.30am. “Saya telah pun berjaya menghabiskan novel Macedonia : Alexander Agung. Terima kasih, Abang Web. (Ia) membuka minda dan mata saya melalui novel tersebut. Saya tidak puas (membacanya). Rasa terlalu sedikit yang saya dapat, dan saya juga mulai berminat untuk lebih mengetahui lagi. Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan saya.

“Alhamdullillah. Cepat-cepat keluarkan buku kedua. Dahulu saya tidak minat sejarah. Tetapi sekrang saya belajar untuk menyukainya. Terima kasih. Sangat bernilai.” -- Buanda Kayangan Puteh (Ezzy)

Secara peribadi memang saya pun terasa semacam ada yang tersangkut di tenggorok. Mungkin ada tujuan yang disengajakan. Insya-Allah, saya memang ada hajat untuk menukilkan sekuelnya yang penuh aksi. Terima kasih atas komen yang bagus dan memberikan semangat untuk saya terus menulis genre sebegini.

Lanjutan jawapan saya di atas, Cikpuan Ezzy berkata, “Betul. Di penghujungnya ada sesuatu yang tersangkut tanpa penamatnya. Pendapat saya sahaja. Saya mulakan bacaan pada jam 10.30pm dan tamatkan pada jam 1.30am. Tidak boleh berhenti.”

Terima kasih, rakan-rakan Hardcore RAMFC yang memeriahkan kelainan dalam karya-karya kreatif. Sokongan tuan, puan dan cikpuan sangat saya hargai. Baca dan kritik, insya-Allah.

Novelis kesayangan saya, Tuan Ramlee Awang Murshid dan rakan-rakan hardcore RAMFC turut menyokong karya saya ini. Terima kasih untuk semua.

Ucapan tahniah dan penghargaan khusus untuk saya dari bos Galeri Ilmu, Tn. Hj. Abu Hassan Morad mengharukan saya. Beliau memberikan galakan serius supaya terus berkarya pada hari pelancaran buku-buku terbaharu Galeri Ilmu pada 1 Mei 2012. Saya sangat menghormati penghargaan dari beliau bersama pelukan mesra dari seorang mantan cikgu. Alhamdulillah.

Photobucket

Photobucket

Berkaitan: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 04, 2012 06:38

April 9, 2012

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

"Dan mereka bertanya kepadamu, mengenai Zulqarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi mencapai tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya." (Al-Kahfi,18 :83-84)

Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu-Akhbar! Sesungguhnya kebenaran al-Quran itu ternyata tidak dapat dikaburi hijab walau segelap mana pun, insya-Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan boleh dapatkan buku bernuansa fantasi sejarah atau fiksyen sejarah ini semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (PBAKL 2012), dari 27 April hingga 6 Mei nanti di PWTC.

Novel ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. di bawah genre novel sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha editing dan penambahbaikkan yang diusahakan oleh pihak editorial yang ternyata mampu melihat apakah yang tersurat dan tersirat dalam usaha saya ini.

Ada yang tertanya-tanya, atau mungkin ramai yang ingin mengetahui apakah maksud 'fantasi sejarah'. Fantasi sejarah bermaksud elemen dan fakta sejarah yang digabungkan dengan unsur fantasi dan fiksyen. Ia adalah sebuah fiksyen atau novel. Fakta sejarah menjadi intipati utama. Bukan sebuah novel sejarah secara total, kerana saya memasukkan juga watak dan plot yang difantasikan dalam ruang minda. Harus difahami bahawa buku fiksyen dan non-fiksyen banyak genre dan kategori berlainan. Novel genre sebegini pula banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh penerbit Barat.

Di bawah ini saya terbitkan salah satu sub-plot yang disunting dan tidak dimasukkan dalam naskhah cetakan. Semoga bermanfaat.
“Kau tahu siapa menjadi dalang di sebalik pembunuhan Raja Philip?” tanya Brutus kepada seorang rakan bualannya ketika sedang bersarapan pagi di sebuah kedai makan.

“Entahlah. Sukar untuk memutuskannya. Aku dengar ada pihak yang menuduh itu angkara Permaisuri Olympias,” jawab kawan Brutus acuh tidak acuh sambil mengunyah laju makanannya.

“Siapa cakap?” Brutus membeliakkan matanya tanda terkejut dengan tuduhan liar tersebut.

“Aku ada dengar salah seorang pembesar Macedonia yang juga kerabat diraja bertegas mengatakan Permaisuri Olympias masih sakit hati kerana perkahwinan Raja Philip dengan Eurydice. Akibat dendam yang mendalam sejak lebih setahun lepas, maka Permaisuri Olympias mengupah pembunuh bagi menamatkan riwayat suaminya. Lagi pun isteri Raja Philip yang terakhir, Eurydice, sudah bersalin anak lelaki. Dikatakan anak lelaki itu bakal menaiki takhta raja Macedonia, bukannya anak Permaisuri Olympias, Alexander,” jelas rakan Brutus tanpa berlengah.

Rakan Brutus meneruskan lagi, “Tetapi dalam mesyuarat tergempar Dewan Parlimen Macedonia-Greek tiga hari lalu, Permaisuri Olympias menafikan sekeras-kerasnya. Malah beliau menuduh pembesar Macedonia itu yang merancang pembunuhan tersebut.”

Sedang mereka rancak berbual, lalu seorang pengawal pintu Dewan Parlimen, Cloythenes dalam perjalanan ke lokasi kerja. “Tuan Cloy, singgah sekejap. Saya mahu tanya tuan ” gamit Brutus dengan muka serius.

“Boleh juga. Lagi pun shif saya bermula dalam masa satu jam lagi. Saya pasti saudara berdua mahu bertanya apa yang terjadi dalam Dewan Parlimen, bukan?”

“Iya,” Brutus dan rakannya menjawab serentak. “Terutamanya penafian dari Permaisuri Olympias,” sambung Brutus.

“Permaisuri Olympias menjelaskan bahawa memang beliau sakit hati dan berkecil hati dengan sikap mendiang Tuanku Raja Philip, tetapi tidak pula sampai sanggup membunuhnya. Lagi pun apa guna membunuh Tuanku Raja Philip di khalayak ramai di suatu temasya perkahwinan. Semua orang akan syak seseorang yang berada di situ kala itu yang menjadi perancangnya. Permaisuri berkata beliau bukannya seorang wanita yang tidak berhati perut, malah selama ini pun beliau yang banyak mengalah. Banyak aduan berkenaan perilaku kurang sihat baginda Raja Philip didiamkan sahaja,” jelas Cloythenes lancar kerana masih dapat membayangkan drama yang terjadi di sebalik dinding kukuh Dewan Parlimen Greek.

“Saya dengar pengawal muda Raja Philip yang menikam baginda pun mati diserbu beberapa kelompok yang setia kepada baginda. Pengawal itu cuba memanjat tebing tembok, tetapi segera ditarik lalu tersembam ke tanah berbatu. Dia cuba melawan dan mahu membunuh lagi, namun tidak ke mana kerana ada seseorang menikamnya dengan tombak. Benarkah?” rakan Brutus berkata seraya mengajukan soalan kepada Cloythenes tanpa berkelip matanya.

“Kelihatannya, saya kira, kes ini bakal menemui jalan buntu,” simpul Brutus. Cloythenes dan rakan Brutus mengangguk bersetuju.
Siapakah penulis yang menggunakan nama pena Web Sutera? Sila kilik di sini untuk mengetahui sedikit latar belakang beliau.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 09, 2012 21:18

April 1, 2012

Testimoni Buat Duit dengan Katering: Maklumat yang diberikan berautoriti dan tepat

Buku kecil ini bukan sahaja diselitkan dengan panduan perniagaan katering malah, terdapat pelbagai tip dan kaedah yang disampaikan di samping memberikan kata-kata perangsang dan motivasi kepada pembaca agar bersedia menghadapi segala kesukaran dalam memulakan perniagaan katering secara kecil-kecilan hingga besar-besaran.

Buku ini diolah dengan susunan bahasa yang menarik serta mudah difahami oleh pembaca di samping gambar-gambar contoh berwarna yang menarik mata memandang. Buku ini sesuai untuk semua golongan tidak kira golongan professional mahupun tidak profesional. Memandangkan buku ini ditulis melalui pengalaman sebenar maka, maklumat yang diberikan berautoriti dan tepat.

Adalah diharap dengan adanya buku panduan ini, pembaca akan dapat merealisasikan hasrat untuk memulakan perniagaan katering dengan memanfaatkan maklumat, tip serta ulasan yang diberikan oleh penulis sebagai panduan. Buku ini juga sesuai dijadikan hadiah.

Judul: Buat Duit dengan Katering
Pengulas: Beghum Ulfhat Shehnaaz Amir Razli
Penolong Pengarah, Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia

Berkaitan: Biodata penulis buku Buat Duit dengan Katering
Buku Buat Duit dengan Katering: Berdasarkan pengalaman sebenar
Buku Buat Duit dengan Katering terjual 1,096 pada Mac 2011
Buku Buat Duit dengan Katering terlaris!
Testimoni buku Buat Duit dengan Katering: Mudah untuk dicerna minda dan bahasa mudah difahami
Testimoni Buat Duit dengan Katering: Terkandung pelbagai petua
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 01, 2012 20:48

March 30, 2012

Direkomendasikan oleh 72 orang pembaca!

Photobucket

Setakat ini buku Buat Duit dengan Katering sudah direkomenkan oleh 72 orang pembaca. Apa yang menarik di dalamnya? Sila dapatkan segera. Ada diskaun menarik di Bookcafe PTS.

Komen Tuan Wan Zayuhisham Wan Yusoff, "Satu hasil yang berguna untuk usahawan bumiputra menceburi bidang katering. Insya-Allah. Semoga usaha-usaha tuan berterusan."
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 30, 2012 23:16

Sebagai seorang manusia, daku sayang padamu

“Mama, antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad bin Abdullah ialah bergegarnya istana raja Parsi bernama Iwan Kisra. Kerajaan Parsi pada masa itu adalah sebuah empayar besar dan kuat, serta angkuh. Mama tahu, akibat gegaran tersebut, 14 anjung istana runtuh dan nyalaan api yang disembah oleh kaum agama Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam.”

Muhammad Nabil berhenti dan menarik nafas.

“Lagi?” Tanya mamanya ingin menduga anaknya.

“Gegaran itu juga menyebabkan Tasik Sawwah yang berada berhampiran Iwan Kisra tertimbus. Memang pelik dan hebat akibat daripada lahirnya manusia agung itu.” Senyuman puas hati terukir di wajah polosnya. Seorang anak yang rajin membaca sejak mengenali huruf semasa di tadika lagi.

BACA LAGI >>
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 30, 2012 02:20

March 20, 2012

Perang / Cinta Konstantinopel - Fragmen Novel

“Allahu Akhbar!” Baginda bertakbir, kemudian menyambung kata-katanya, “Telah dibuka kepada saya negeri Syam (Rom Timur). Demi Allah, saya dapat melihat istana-istananya yang berwarna merah.”

Melihat batu besar itu terbelah, kemudian Nabi Muhammad bin Abdullah membaca Bismillah dan memukul batu itu kali kedua. Sekali lagi percikan api memancar daripada belahan batu yang pecah sepertiga lagi.

“Allahu Akhbar!” Baginda bertakbir lantas lantas menyambung kata, “Telah dibuka kepada saya negara Parsi. Demi Allah, saya dapat melihat istana-istana Mada’in berwarna putih.”

Baginda mengulangi tindakan itu buat kali yang ketiga, dan batu itu pun berderai pecah.

Baginda berkata, “Allahu Akhbar! Saya sudah diberikan kunci negeri Yaman. Demi Allah, saya telah melihat dari sini pintu-pintu negeri Yaman itu.”

Orang-orang Munafik apabila mendengar kata-kata Rasulullah itu segera mengejek dengan mengatakan, “Tiada janji Allah kepada kami dan Rasul-Nya kecuali hanya tipuan belaka.

Sudikan membacanya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)

** Grafik: Gambaran kepungan Sultan Muhammad al-Fateh ke atas kota Konstantinopel.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 20, 2012 03:20

March 15, 2012

Saya tidak akan terlibat andai Salman Rushdie turut ada – Imran Khan

ISLAMABAD, Pakistan - Mantan pemain kriket Pakistan yang beralih menjadi politikus, Imran Khan, pada Rabu 14 Mac. 2012 tiba-tiba membatalkan kunjungannya ke India setelah muncul khabar bahawa penulis British yang anti-Islam, Salman Rushdie, juga akan berbicara pada persidangan yang sama.

Imran Khan (kanan) dijadualkan untuk menghadiri India Today Conclave di New Delhi pada Jumaat ini (16 Mac 2012) sebagai ahli panel utama.

Satu kenyataan dari partinya mengatakan, "Beliau tidak pernah mahu untuk melibatkan diri dalam setiap program yang turut mengundang Salman Rushdie, yang telah menggoreskan luka yang cukup besar bagi umat Islam di seluruh dunia".

Panitia mengumumkan pada Selasa 13 Mac, bahawa Salman Rushdie akan berbicara dalam persidangan tersebut, dua bulan setelah ancaman kematian memaksanya untuk menarik diri dari festival sastera terkemuka di India.

Novel Salman Rushdie "Ayat-ayat Syaitan" (The Satanic Verses) yang terbit pada tahun 1988 masih dilarang di India dan Pakistan kerana isinya yang menghina Islam.

Penulis berusia 64 tahun yang lahir di Mumbai, India itu menghabiskan satu dekad dalam persembunyian setelah Ayatullah Khomeini mengeluarkan fatwa tahun 1989 yang menyerukan kehalalan darahnya untuk dibunuh.

** Sumber asal dari Arrahmah.com.

Nota: Di kedai-kedai buku di Kuala Lumpur dan Selangor saya lihat banyak juga novel-novel karangan mamat Salman Rushdie ini. Namun bukan The Satanic Verses.

Foto Salman Rushdie (tengah) bersama Presiden Israel LAKNAT Shimon Peres (kanan) pada tahun 2008.

His fourth novel, The Satanic Verses (1988), was the centre of a major controversy, drawing protests from Muslims in several countries. Some of the protests were violent, in which death threats were issued to Salman Rushdie, including a fatwā against him by Ayatollah Ruhollah Khomeini, the Supreme Leader of Iran, on February 14, 1989.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2012 02:11

March 4, 2012

Travelog Kehidupan: Isteri sakit

Saya cukup terkesan dengan pengorbanan suami kepada Puan Molee Kamal, staf Alaf21 Sdn. Bhd. Puan Molee Kamal sedang menerima ujian Allah.

Di dinding FBnya beliau menyatakan:
“My 2nd anniversary. Tak tergambar bahagia antara kami berdua, walau dilanda pelbagai ujian terutama sakit yang sedang aku hadapi. Terima kasih kerana menjadi suami yang penyayang, sangat memahami. Walau ada kekurangan darinya, tapi dia cuba sedaya upaya menjadi sempurna untuk aku. Dari dapur, tangan memutar kerusi roda, di dalam bajunya ada baby carrot untuk aku di dalam bilik, dimulutnya pula membawa coklat. Bila aku kesejukan, dia bersusah payah menutup suis kipas, walaupun suis tersebut berdekatan dengan aku. Setiap malam dia akan memegang bahagian tubuhku yang sakit sambil membacakan ayat-ayat al-Quran supaya aku dapat tidur lena, dan sentiasa membisikkan padaku bahawa aku amat cantik dan sempurna untuknya, walaupun banyak perubahan pada diriku. Itulah Ahmad Daniel Shah.”
Dalam manuskrip travelog kehidupan yang saya serahkan kepada Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM: Dahulunya ITNM) untuk dinilai, saya ada perkisahkan satu ceritera kehidupan. Catatan itu seperti di bawah.

Seperti catatan travelog di bahagian pertama buku ini, saya juga menerima banyak ujian dari Allah. Salah satunya ujian isteri tersayang sakit selama beberapa ketika.

Pada peringkat awal, saya membawa isteri ke klinik berdekatan. Selepas diagnosis ringkas, doktor berkata tiada sebarang penyakit. Kemudian saya membawanya ke Hospital Ampang Puteri. Di sana ujian darah dilakukan. Keputusannya seperti biasa sahaja; tahap gula normal, kandungan kolestrol okey, kandungan darah merah dan putih stabil.

Isteri saya mengadu sakit berterusan. Sampai ketika paling teruk, dia tidak boleh bangun untuk berjalan, apatah lagi bekerja secara biasa. Mahu ke bilik air pun terpaksa dipapah. Kasihan saya melihatnya. Saya sentiasa menemaninya di katil. Bimbang dan takut melanda sanubari. Demi Allah, saya takut kehilangannya. Doa, munajat dan permohonan kepada Allah tidak putus-putus saya panjatkan.

Saya terus berusaha melalui kaedah pengubatan tradisional pula. Saya membawa isteri pulang ke kampung di Jerantut, Pahang. Seterusnya ke Rantau Panjang, Kelantan dan ke kampung kelahiran saya di Besut, Terengganu.

Pelbagai kaedah pengubatan tradisional, sehinggakan ada pengamal perubatan menatijahkan kepada perbuatan jin dan syaitan. Saya mulai cuak, sehinggakan saya dapat menelah apa kata seorang pengamal perubatan tersebut, iaitu “Abang pasti selepas ini tiga biji buah limau akan timbul" di hari ketiga. Sah, memang tiga biji buah limau timbul!

Situasi isteri saya tidak berubah secara drastik, hanya mengalami perubahan kecil sahaja. Saya mulai syak yang kaedah pengubatan tradisional yang saya hadiri tidak ke mana, malah banyak pula unsur-unsur kurang sihat. Saya meneruskan meminta bantuan dan ihsan dari Allah yang Maha Penyembuh.

Mungkin dengan ilham dari Allah, saya sekali lagi pergi ke Hospital Ampang Puteri. Kali ini saya dan isteri membuat temu janji dengan seorang doktor pakar. Berkat nasihat doktor pakar, penggunaan ubatan-ubatan yang mahal harganya, dan dengan cinta Allah yang agung, isteri saya sembuh. Dia sihat kembali seperti sebelumnya, malah macam tidak pernah sakit.

Alhamdulillah. Itulah secebis kisah di celah-celah travelog kehidupan. Usaha, doa dan tawakal membuahkan hasil. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang pasrah memohon limpah rahmat dan cinta-Nya terbiar terkapai-kapai sendirian.

** Keterangan foto: Isteri saya Cef Hana sedang menghias meja bufet di sesi katering Tahun Baharu Cina 2012 di rumah klien Cina di Ampang Permai, Selangor.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 04, 2012 16:08