Web Sutera's Blog, page 16

July 14, 2012

Rihlah Ibnu Battuta: Terjemahan gagal

Sedang baca dua buah buku ini, selain buku-buku rujukan penulisan novel Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad. Buku berjudul Rihlah Ibnu Battuta oleh Dr. Muhammad Hanafis, Penerbitan Seribu Dinar. Siapa penulis budiman ini? Saya cuba Google, namun tidak berjumpa rujukan terperinci berkaitan penulis. Kalau ia diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh orang lain, ternyata gagal.

Saya mula baca sebelum Subuh 15 Julai 2012 bermula Bab 1: Perjalanan Ke Tangier, kemudian melompat ke Bab 7: Perjalanan Ke Anatolia. Bab pertama sudah pening kepala dengan susunan ayat yang gagal menterjemahkan keindahan perjalanan Ibnu Battuta. Bab 7 agak okey justeru saya mengetahui kebanyakan nama-nama lokasi Linkdi Anatolia daripada penulisan novel Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain dan Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad.

Namun masih gagal untuk menarik pembaca lain, saya kira. Andai pembaca itu tidak minat sejarah, pasti di bab pertama lagi akan berhenti mencicipnya. Susunan perenggan dan ayat-ayat terlalu panjang, sehingga tidak tahu di mana harus berhenti. Naratif yang tidak disusun mengikut kaedah penulisan bahasa Melayu, pekat Arab atau Inggeris.

Jauh lebih mudah saya faham novel Angels & Demons dalam bahasa Inggeris oleh Dan Brawn berbanding Rihlah Ibnu Battuta dalam bahasa ibunda.

Geram betul! Mahu sahaja saya olah kembali. Ada sesiapa yang boleh nasihatkan saya berkenaan hakcipta karya ini? Boleh saya olah kembali dan terbitkan secara online?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 14, 2012 17:32

July 9, 2012

Misi kehidupan: Konstantinopel, katering, novel dan Macedonia: Alexander Agung

Pada 8 Julai 2012, saya ada katering perkahwinan di AU5 Keramat, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, dengan tekad dan usaha gigih Chef Lusiana Adnin serta ditebat dengan tawakal kepada Allah, sekali lagi Lusiana Catering berjaya. Justeru sehari selepas itu saya cuba sambung penulisan. Walaupun berat minda untuk bekerja, saya terbitkan beberapa bait ayat untuk teman-teman.

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad
Daulah Abbasiyah Era Khalifah al-Mahdi, 782 Masihi

Misi seterusnya dirancang. Khalifah al-Mahdi memberi keputusan taktikal setelah mendapat nasihat serta pandangan para panglima perang Islam.

“Kita tidak boleh membiarkan wilayah-wilayah kerajaan Islam terus digempur oleh pihak Byzantine yang berpusat di Konstantinopel. Tindakan provokatif mereka perlu ditangani sebaiknya. Pada hemat saya, kekuatan Islam perlu ditunjukkan kepada pihak musuh supaya mereka tidak meremehkan usaha pentadbiran ini dalam meninggikan syiar dan menyebarluaskan ajaran Ilahi,” Khalifah al-Mahdi berkata di akhir sesi mesyuarat keselamatan negara.

“Ayahanda Khalifah al-Mahdi, saya bersedia sekali lagi mengetuai misi penting ini,” akur Harun al-Rasyid.

Khalifah al-Mahdi menguntum senyum, kemudian berkata, “Memang itulah hasrat ayahanda, wahai anakanda Harun.” Khalifah memandang semua yang hadir dalam dewan mesyuarat. Semua memberikan anggukan bersetuju.

Kemudian beliau menyambung kata-katanya, “Pelantikan anakanda saya sebagai panglima utama angkatan Islam sudah memperoleh persetujuan semua pihak dalam majlis perang hari ini. Justeru itu, para pentadbir dan pemberani Islam, saya kira jumlah 100 ribu tentera mencukupi untuk mengajar Byzantine bahawa kita bersungguh-sungguh. Mati bukan ketakutan kita, justeru mati itulah matlamat para mujahid Islam.”

Jeda sebentar sebelum Khalifah al-Mahdi menutup sesi mesyuarat dengan berkata, “Untuk mengatur strategi terperinci, saya serahkan kepada kebijaksanaan anakanda Harun dan rakan-rakan komander dalam angkatan tentera kita, insya-Allah. Tuan-tuan berbincanglah dan paling akhir bertawakal. Tiada kekuatan sejati melainkan milik Allah jua.”

** Saat ini saya belum noktahkan plot di medan perang sehingga ke Laut Marmara, di sisinya berdiri megah kota Konstantinopel.

@@@@@@@@@@@

Komen ringkas bagi antologi Jiwa Kacau yang di dalamnya memuatkan kisah Menari Dalam Duka.

Saya beli novel ini justeru ada nukilan seorang teman - Tuan AttOkz Dikulgai. Tambahan pula ia sebuah antologi thriller. Habis dicicip semasa sesi katering di Batu Caves pada 1 Julai lalu. Plot-plot pendek yang mesti dikembangkan, perkisahan sarat aksi dan narasi dunia gelap yang sering mempalit lendir busuk kepada anak bangsa. Penulis menyelami dunia busuk itu.

Ada pesanan dan pengajaran dalam Menari Dalam Duka. Saya suka. Pesan saya padamu teman, "Jadikan sebuah manuskrip novel penuh."

@@@@@@@@@@@

Ini pula testimoni terkini terhadap novel saya Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain dari pembaca bernama Cikpuan Suhailah Onn.
“Tamat sudah pengembaraan bersama Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Tn. Web Sutera, tahniah. Saya tahu kenapa ada seorang hamba Allah komen tuan sebegitu. Bukan salah menggunakan Bahasa Melayu Tinggi tetapi sebab beliau tidak sudahkan pembacaannya.

“Ada sesuatu yang menarik di dalamnya. Tepat ulasan Tn. Ramlee Awang Murshid, karya ini seperti sebuah filem yang kaya dengan seni. Saya tambah sedikit lagi, anda yang membaca harus bijak memainkan ia dilayar minda sendiri. Muka surat 221, terlalu sukar untuk saya tinggalkan, walaupun bacaan telah menuju ke helaian yang lain. Hati saya dipanggil-panggil kembali menatap di sana. Kenapa?”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 09, 2012 20:03

July 5, 2012

Sebuah lagenda - Catatan papirus 1

Teman, sahabat dan pembaca Macedonia: Alexander Agung, terima kasih kerana menghayati nukilan daku. Sekalung penghargaan daku persembahkan atas komentar dan testimoni yang kalian berikan. Ketahuilah teman, malam dan pagi tadi sewaktu daku meneruskan pengembaraan bersama Laksamana Sunan, idea tercetus.

Ini khas untuk kalian, sebuah permulaan, insya-Allah.

Catatan Papirus 1

Jasadmu masih hangat di ketika kami bertekak siapakah pengganti dikau dan ia berlangsung bertahun-tahun lamanya. Kami bersahabat dan bertelingkah. Dikau sudah tiada bersama kami dengan menerbangkan impian yang menjadi pengikat selama berpuluh-puluh tahun bersama mengharungi susah payah kehidupan dan pengembaraan.

Sahabat, ramai orang-orang yang hampir dengan daku dan dikau sudah tiada. Onar jahat menyelubungi Yunani beberapa lama setelah dikau menemui Tuhan Yang Esa. Ah, biarlah daku ceritakan kemudian.

Permaisuri Roxana terus hidup dengan membawa amanahmu di dalam rahimnya. Sahabat kita Perdicass mengahwini adikmu Cleopatra, akhirnya. Namun begitu, dialah sahabat pertama yang gugur dalam usaha menyatukan kembali empayar yang kita bina bersama. Dia gugur dalam peperangan melawan tentera-tentera daku. Memang kasihan Perdiccas, daku sudah jenuh menghalangnya.

Dari satu sudut, sesungguhnya ia satu keajaipan. Walaupun kami bertelingkah teruk, membentuk pakatan dan kemudian memecahkannya kembali, kami tidak pernah membenci satu sama lain. Satu perkara yang daku dan para sahabatmu mengakui ialah kami kekal bersahabat, dalam erti kata tersendiri. Ada sekali setelah bertahun-tahun dikau pergi meninggalkan kami, Babylon menjadi lokasi pertemuan bagi merungkai beberapa kemelut yang melanda wilayah-wilayah yang kita bangunkan bersama. Namun malang sekali, pertemuan tersebut berakhir dengan pertengkaran hebat.

Akhirnya Eumenes muncul dari sebalik sebuah pintu dan melontarkan jubah dan pedang diraja ke atas takhta yang tiada siapa pun berani mendudukinya. Tidak semena-mena pertengkaran kami terhenti serta-merta, ibarat suatu magis turun dari langit. Suara kami menurun, malah terkesima dengan kejadian itu. Daku melihat semua sahabat tertunduk, termenung dan seolah-olah bertafakur. Daku juga tidak terkecuali.

Duhai sahabat daku yang dikasihi, saat itu seolah-olah dikau berada di hadapan kami. Kembali bersama kami. Berdiri di antara kami. Suasana seakan-akan dikau menjelma bersama jubah dan pedangmu yang banyak jasa itu.

Kami sekalian sahabatmu bukan sesiapa tanpamu. Justeru itu kami sentiasa cuba meniru pelakuan, tingkah laku dan gaya serta lagakmu. Sehinggakan kami menyisir rambut membayangi gaya rambutmu.

Ironinya, kebanyakan daripada kami tidak sanggup menyelamatkan anggota keluarga diraja Macedonia yang diperangi justeru kepercayaaan dikau terhadap Tuhan Yang Esa. Daku, sahabatmu yang sangat mengasihimu, berusaha sehabis daya dan dengan susah payah menyelamatkan Permaisuri Roxana. Itu salah satu upaya yang daku titipkan untukmu, sahabat.

Seleucus, untuk beberapa ketika ‘menjelma’ sebagai Alexander baharu dan dia hampir berjaya meniupkan nafas menautkan kembali kelangsungan di dalam empayar dikau. Saat ini dia juga sudah dimamah usia seperti daku. Sungguh, daku kurang maklum akan keberadaan sahabat kita itu sekarang. Kami berdua pernah berperang bersama-sama menggempur perbatasan Celesyria yang kerap melanggar perjanjian damai. Rindu memang membarah di dalam jiwaku.

Keadaan daku sekarang ini dalam perehatan dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada puteraku Ptolemy II. Sahabat sejati, ketahuilah daku memelihara satu-satunya leluhurmu yang dititipkan oleh Permaisuri Roxana. Sekandar membesar bersama-sama puteraku itu. Daku mengasuh kedua-duanya bagaikan menatang minyak yang penuh. Namun ajaran Tuhan Yang Esa menyarungi jiwa kami, dengan izin-Nya.

Perkara yang amat daku banggakan ialah membawa jasadmu ke sini. Kota Alexandria yang dikau impikan menjadi sebuah bandar tercantik dan penuh kemakmuran sudah menjadi kenyataan. Doa dan harapanmu dimakbul Tuhan Yang Esa. Alangkah molek andai dikau dapat menyaksikan sebuah bandar kota yang gemilang ini. Ah, sahabat. Maafkan daku mengharapkan sebuah ilusi yang tidak kesampaian.

Anakmu Sekandar sudah dan sedang bermusafir, sahabat. Jauh ke Timur, mungkin meneruskan impianmu yang berhasrat menerokai keajaipan dunia Timur nun jauh di hujung dunia. Daku sudah bekalinya dengan ilmu mengenal Tuhan Yang Esa, dan ilmu pelayaran seorang penakluk dan pembebas penyembahan berhala.

Dikau daku rindui, sahabatku Alexander.

** Hakcipta Terpelihara 2012 Web Sutera . Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 05, 2012 23:33

July 1, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad

Gunung Ledang, Melaka, tahun 1445 – 1456 Masihi

Sebuah perkampungan, satu komuniti. Terhijab ditakdirkan oleh yang Maha Kuasa. Namun sebuah dunia di sebalik relung masa dan dimensi Pencipta buana tetap hidup sehingga waktu yang dijanjikan. Suatu kebenaran oleh yang Maha Hidup. Dua dunia, mungkin. Ciptaan Allah yang Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.

Dua beranak itu sedang berjalan-jalan. Ketika itu suasana berkabus dan sejuk sekali. Si ayah dan si anak itu berjalan perlahan-lahan menghala ke suatu arah walaupun kabus masih tebal dalam cuaca sejuk. Tidak semena-mena kabus semakin berkurangan, dan dalam masa yang singkat diri mereka berada di sebuah taman yang penuh dengan bunga orkid yang indah dan tersusun rapi.

“Sutan Gunung, kita berehat di sini,” Abdul Kudus berkata kepada anaknya sambil memerhati bunga orkid yang berwarna-warni di sekitarnya.

Si anak tiada bersuara. Deria pandangannya menyorot galak bunga-bunga yang menghiasi suatu lokasi di Gunung Ledang itu.

“Cantik bunga-bunga ini, ayah,” luah Sutan Gunung.

“Ya. Ini semua ciptaan Allah yang Maha Agung.”

Mereka berdua duduk di atas seketul batu rata. Diam. Tiupan angin turut memeriahkan suasana. Damai dalam kedinginan. Sutan Gunung masih melegari matanya ke segenap ceruk kawasan itu.

“Ayah, banyak sudah yang ayah ceritakan kepada saya. Di mana atuk sebenarnya?”

Abdul Kudus mengelus-ngelus kepala anaknya dengan lembut. Dia menguntum senyum.

Kemudian si ayah bertanya, “Engkau masih ingat cerita ayah berkenaan atuk yang berkelana jauh mencari Narashangsa, iaitu manusia Yang Terpuji pilihan Allah?”

Sutan Gunung mengangguk.

“Atuk engkau Maulana, pergi ke tanah Arab. Dalam tempoh beberapa lama, muncullah manusia bernama Muhammad bin Abdullah. Ajaran agama wahyu dari langit tersebar luas, sehingga ke era Utsmaniah kini dan di Melaka juga.

“Anakku, engkau mengetahui era fitnah di mana dua kumpulan umat Islam bersengketa sehingga berlakunya peperangan. Perang Siffin dan Perang Jamal turut melibatkan puluhan ribu kaum kita.

“Dua kumpulan kaum kita membentuk angkatan tentera besar, satu di pihak Islam dan satu lagi di pihak kafir. Hajat angkatan kafir untuk membantu salah satu kelompok umat manusia Islam yang berperang tidak kesampaian. Justeru di alam kita ini, di padang pasir panas, angkatan kaum Islam kita memecahkan kesatuan kafir itu. Tanpa dapat ditembusi oleh pandangan mata manusia, kaum kita juga berjihad menumpaskan kelompok kafir yang ingin menambah kecamuk dalam dua kancah perang itu.”

Abdul Kudus terdiam sebentar, kemudian menyambung agak lirih, “Atuk engkau mati syahid di sana, Sutan Gunung.”

“Semoga roh atuk berada di kalangan makhluk Allah yang diberkati, ayah.” Sutan Gunung berkata selagi gus berdoa untuk kesejahteraan datuknya Maulana.

Si ayah mengangguk perlahan-lahan. Dia berkata, “Nabi Muhammad bin Abdullah menceritakan akan sekumpulan rombongan kaum kita datang mendengar bacaan al-Quran oleh baginda.

“Engkau tahu, Sutan Gunung, salah satu ahli itu ialah atuk engkau. Kumpulan besar kaum kita itu berebut-rebut sehinggakan memanjat badan masing-masing supaya berada paling hampir dengan Rasulullah, manusia Yang Terpuji itu.”

Abdul Kudus tersenyum. Manakala anaknya ketawa terkekeh-kekeh.

“Sehingga begitu sekali, ayah?” Tanya Sutan Gunung.

Si ayah hanya mengangguk, kemudian menyambung ceritanya.

“Sebaik sahaja rombongan itu kembali ke kediaman mereka, segera diberitakan perihal pengajaran dari ayat-ayat al-Quran itu. Mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami telah mendengar sebuah Kitab Suci yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

‘Ketahuilah wahai kaum sekalian, bahawa sesungguhnya tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak. Adalah amat salah perbuatan beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan kita, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan salah satu golongan kita bertambah sombong dan jahat.’

“Wahai anakku Sutan Gunung, salah satu contoh manusia meminta pertolongan dari kaum kita ialah semasa usaha pengepungan Panglima Maslamah bin Abdul Malik ke atas Konstantinopel.

“Sekumpulan penganut agama Kristian Koptik terpedaya dengan hasutan golongan jahat kaum kita dengan berkhianat terhadap janji. Terpedaya dengan hasutan itu, mereka membocorkan rahsia kekuatan dan kedudukan tentera Islam kepada Leo III, maharaja Byzantine.”

Abdul Kudus berpaling kepada anaknya, lalu berkata, “Kita makhluk ciptaan Allah yang banyak kekurangan. Manusia pula adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna. Engkau mesti memahaminya itu. Ingat.”

Perkisahan dan pengakuan dari makhluk Allah dipahatkan kepada pemahaman anaknya.

“Takutlah olehmu akan manusia mulia yang berdoa, ‘Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang Dia ciptakan, dari kejahatan apa yang turun dari langit, dari kejahatan yang naik kepadanya, dari kejahatan fitnah siang dan malam, dan dari setiap kejahatan yang datang di malam hari kecuali yang datang dengan membawa kebaikan, wahai Yang Maha Rahman.’

“Engkau mesti jauhi dan jangan terlibat dalam kumpulan empat Raja Jin Ifrit, iaitu jin yang paling jahat, yang mempunyai kerajaan besar. Mereka dahulu menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman, iaitu Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal.”

Si anak menyeluruhi wajah tua ayahnya. Kemudian dia mengangguk dengan dahi sedikit berkerut.

“Ingat titipan ayah ini, anakku.”

Sebelumnya: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad | Kota Baghdad, Daulah Abbasiyah Era Khalifah al-Mahdi, 775–785 Masihi

Menjelang penghujung tahun 158 Hijrah / 775 Masihi, Khalifah al-Mansur berangkat untuk menunaikan ibadah haji ke tanah suci Mekah, disertai oleh puteranya al-Mahdi. Semasa menghampiri kota Kufah, beliau jatuh sakit. Namun perjalanan diteruskan sehingga tiba di tempat bernama Bir Maimun. Beliau meninggal dunia di situ pada usia 63 tahun.

Kemudian jenazahnya dibawa ke kota Baghdad dan acara pengebumian disempurnakan. Puteranya al-Mahdi dilantik sebagai khalifah Daulah Abbasiyyah yang baharu pada usia 31 tahun.

** Fokus plot: Misi serangan ke atas Empayar Byzantine yang sebelum itu menakluk beberapa wilayah Islam. Tentera Islam mencapai kemenangan sehingga memasuki Laut Marmara dan mengancam kota Konstantinopel. Maharani Irene memohon perdamaian dengan bayaran ufti 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam.

** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera . Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 01, 2012 16:29

June 27, 2012

Testimoni: Seolah-olah watak tersebut bernafas semula - Tun Mohd. Helmi

"Membaca novel sejarah tuan membuatkan hati saya lega dan minda saya ceria. Pengolahan yang ringan sedikit (berbanding buku sejarah), seolah-olah watak tersebut bernafas semula dan terbayang-bayang saya berada bersama mereka. Tuan juga berjaya membawa minda saya bersama menyelaminya.

"Saya memang sejak kecil erat bersama arwah atok. Selalu dia bercerita mengenai sejarah, lebih-lebih lagi mengenai bangsa Melayu. Itu menjadikan saya lebih mudah memahaminya. Buku tuan ini juga mudah untuk saya terjemahkan dalam bentuk ilusi saya. Memang tenggelam (bersama watak dan peristiwa).

"Novel tuan banyak tersiratnya. Gaya penulisan tuan juga mudah untuk sesiapa saja dan memudahkan pembaca menjiwai sejarah.

"Kini bertambah lagi seorang penulis yang saya minati. Tuan sudah masuk dalam senarai saya selepas Abdul Latip Talip dan RAM (Ramlee Awang Murshid)." (Komen Tuan Tun Mohd Hilmi)

@@@@@@@@@@@@

Para pentaksub buku, sila datang ke Pesta Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Ia berlansung dari 29 Jun sehingga 9 Julai 2012 (sila lihat poster). Jangan berfikir panjang. Saya yakin banyak diskaun untuk pembelian buku-buku sepanjang pesta buku berlangsung.

Jom kita raikan buku dan majlis ilmu. Insya-Allah, saya bakal berada di sini pada masa-masa yang tertera di bawah. Terlebih dahulu ingin saya nyatakan bahawa saya berbesar hati menemui tuan dan cikpuan. Datang ke gerai Galeri Ilmu bernombor P12 dan N44. Dapatkan tandatangan saya bagi novel yang membawa kelainan ini, insya-Allah.

- Sabtu, 30 Jun
- Selasa, 2 Julai
- Rabu, 4 Julai
- Khamis, 5 Julai
- Sabtu, 7 Julai
- Isnin, 9 Julai

Maklumat perasmian seperti berikut:

Tarikh: 30 Jun 2012 (Sabtu)

Masa: 9.00 pagi

Tempat: Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam

Majlis Perasmian disempurnakan oleh: Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor

Sekiranya tuan dan cikpuan tiada kesempatan datang, Novel Macedonia: Alexander Agung ini juga boleh dibeli secara online di laman web ini: AR RAZI NETWORK. Istimewanya ialah novel ini akan ditandatangi oleh saya, insya-Allah. Itu janji operator bisnes online ini.

Berkaitan: Macedonia: Alexander Agung - Kaya sejarah yang menarik dan hebat
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 mempesonakan
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

Terbongkar!
Mahu menangis menghabiskan pengembaraan bersama Alexander Agung
Beberapa testimoni bagi Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2012 19:08

June 25, 2012

Lima tahun RAMFC: 'Siapa budak ini?’ – Eyman Hykal

Saya bersama sekumpulan rakan pembaca tegar karya novelis Tuan Ramlee Awang Murshid pada petang Sabtu, 23 Jun 2012 di suatu lokasi di Wangsa Maju. Majlis santai sambutan ulang tahun penubuhan RAMFC ke-5 diraikan meriah dalam tautan ukhuwah.

Kesempatan juga diambil mempromosi novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Terima kasih, geng pentaksub tegar karya novelis thriller terbaik kita. Kek cawan berjumlah 48 unit khas dihasilkan oleh Chef Lusiana Adnin dari Lusiana Catering. Sokongan saya tidak berbelah bahagi, insya-Allah.

Terima kasih atas komen-komen terhadap kek cawan (cupcakes) yang disediakan oleh Chef Lusiana Adnin. Kalian memang brutal, namun senang berbicara.

Di bawah saya terbitkan nukilan rasa Cikpuan Pengasas, Elle Syeila, yang berani menjemput beberapa orang pembaca tegar novelis ini menubuhkan sebuah kelab yang bernama Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid atau RAMFC. Memang beliau seorang srikandi, insya-Allah.
Tahniah saya ucapkan kepada AJK Projek Lepasan Kelara: Ekspresi Kembara Setengah Dekad dan MT RAMFC 2012/13 atas kejayaan acara semalam. Kepada rakan-rakan rapat saya dalam RAMians, saya takkan lupa segala telah kita lalui bersama selama 5 tahun ini.

Ada sudah menjadi lawan (dalam sesetengah isu), ada menjadi kawan baik dan ada menjadi penulis pula (seperti Web Sutera dan Attokz Dikulgai). Tahniah, anda semua berhak atas kejayaan kelab sepanjang tempoh 5 tahun ini. Saya hanya menebas semak, anda jugalah banyak meratakan jalan.

Sepanjang 5 tahun ini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Grup Buku Karangkraf kerana menerima kemunculan kelab ini dalam arus perkembangan semasa arena buku di Malaysia. Saya harap kalau ada salah dan silap, kemaafan jua dipinta. Ia hanya kerana saya hanya manusia biasa.

Kini kami boleh katakan telah mempopularkan trend kelab buku di Malaysia. Terima kasih juga sokongan padu rakan-rakan Gerakan Bawah Tanah. Sokongan padu media yang pernah membuat liputan acara kami dan juga rakan-rakan blogger.

Terima kasih kepada Tuan RAM (Ramlee Awang Murshid) sebab tidak pernah boikot kami. Malah beliau selalu merestui segala apa yang kami lakukan dan menghargainya pula dengan caranya yang tersendiri. Terima kasih kepada Puan Dayang dan Aizuddin sebab sanggup kongsi masa suami dan ayah ini dengan kami.

Kepada pembenci (dan pihak yang memandang sinis), kami adalah RAMians, kami adalah penyokong tegar karya Ramlee Awang Murshid. Anda boleh panggil kami apa saja. Tapi kami telah berpendirian, karya yang baik seharusnya diangkat dan dimartabatkan dan bukan diperlekeh dengan otak cetek dalam dunia pembacaan.

Sokongan ramai memanglah sangat dihargai. Secara terus terang, RAMFC telah serba sedikit berjaya mengubah trend pembacaan popular di Malaysia. Harap tidak berbunyi angkuh. Hanya ingin menekankan, kami bukan hanya bersuka-suka, kami sememang ingin meraikan karya yang baik.

Kepada sesiapa yang rasa kami nampak sentiasa mengawal benteng, tetapi kami juga sebenar sangat kritikal. Kami tahu had dan batas kami.

Saya akhiri ucapan bertulis tidak rasmi saya ini kepada RAMIans yang berhubung melalui Grup Facebook, Fanpages Fancebook, Twitter mahupun dilaman sesawang rasmi kami di www.kelabram.com.
Photobucket
Photobucket
Ini pula komen seorang bos dan rakan RAMFC. Sila hayati.
Saya ingin kongsi rahsia dengan semua. Rahsia ketika saya menerajui Alaf 21.

Terus terang, Elle Syeila, bila Elle telefon saya dulu kerana hendak wujudkan kelab RAM, saya ragu-ragu sekali. Maklumlah, ketika itu ada banyak fanclub penyanyi yang begitu protektif dan buat perangai hinggakan penyanyi sendiri tak tahan dengan kerenah mereka.

'Siapa budak ini? Apakah dia ini hendak ambil kesempatan di atas populariti RAM?' kata hati curiga saya. Saya layari YahooGroup dan blog kelab RAM untuk teliti ahli-ahlinya. Makin lama ahli-ahlinya semakin ramai dan kejujuran RAMians sendiri meluntur dan menghancurkan prasangka itu menjadi debu.

Saya ucapkan tahniah kepada Elle kerana berpandangan jauh. Sebenarnya, andalah pengukir ilham kelab RAM dan dengan ahli-ahli yang lain telah memotivasikan abang RAM sendiri. Ahli-ahli baru kelab RAM jangan lupakan sejarah ini.

Rasa terima kasih abang RAM kepada Elle dan RAMians selalu sangat dia ucapkan kepada saya.

All the best.
Eyman Hykal, juga RAMian!
Selamat menyambut ulang tahun ke-5 penubuhan RAMFC. Saya dan Lusiana Catering tetap bersama dan menyokong kalian.

Cerita pulut kuning: Juadah dan ukhuwah di pertemuan Mengbongkar Rahsia Perindu, RAMFC di Putrajaya
Saya dan novelis Ramlee Awang Murshid: Klik di sini.

Photobucket
Photobucket
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 25, 2012 06:40

June 18, 2012

Macedonia: Alexander Agung - Kaya sejarah yang menarik dan hebat

Satu lagi testimoni pembaca terhadap novel Macedonia: Alexander Agung.

"Alhamdulillah karya kedua yang sempat dibaca bulan ini ialah MACEDONIA: ALEXANDER AGUNG - HIJAB RAJA ZULQARNAIN garapan Web Sutera.

"Ini salah satu novel sejarah yang boleh dikatakan sebagai kaya sejarah yang menarik dan hebat kerana di dalam cerita ini sebenarnya tersimpan 1001 pengajaran dan tauladan yang baik khususnya dalam aspek kepimpinan.

"Bukan mudah untuk menghasilkan karya sejarah. Justeru saya berharap kawan-kawan dapat cari novel ini dan baca serta alami sendiri pengembaraan seorang pemimpin terulung di samping mencari sendiri maklumat yang kadangkala kita tak sangka boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Pada hemat saya novel ini baik dibaca oleh budak-budak sekolah kerana kepimpinan melalui teladan banyak diceritakan di dalam novel ini.

"Saya harap saudara dapat hasilkan karya sebegini dengan lebih banyak sebab sememangnya kita perlukan novel pembangunan rohani seperti karya saudara ini. Syabas, Web Sutera! Karya ini tidak mengecewakan. Selamat membaca." (Dari Tuan Shahrol Nizam Zulkifli)

Berkaitan: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 mempesonakan
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Terbongkar!

Beberapa testimoni bagi Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain
Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain

Mahu menangis menghabiskan pengembaraan bersama Alexander Agung

Info: Novel Macedonia: Alexander Agung dapat dibeli online di sini, insya-Allah.

Andai mahu membaca beberapa fragmen novel ini, sila klik di sini.

@@@@@@@@@@@@@@@@

Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad

Tunggu karya saya ini berjudul Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad, insya-Allah.

Mei – Julai 1908 Masihi, Kota Konstantinopel / Istanbul, Turki

Itulah laporan yang sudah diteliti oleh Grisham Gale sebelum dia bersandar di dinding pelabuhan ini, yang terletak berhampiran satu jambatan merentasi Tanduk Emas yang dikenali sebagai Jambatan Mahmud.

Walaupun sedikit mengelamun, dia menyedari bahawa tiada mata-mata pengintip yang mengikutinya ke sini. Pemantauan teliti sudah dibuat semenjak dia keluar dari rumah menuju ke sini. Pengalaman dan naluri menjadi senjata utama di kota Konstantinopel.

Grisham Gale menyedari anasir menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II kian giat berjalan. Kelibat Mustafa Kamal Pasya terbayang di tubir mata, menari-nari bersama perempuan dengan gelas-gelas arak di tangan.

Gerakan Turki Muda yang berpusat di Salonika, iaitu pusat komuniti Yahudi Dunamah dan juaranya ialah Mustafa Kamal Pasya, memulakan jarum-jarum kejahatan. Khalifah Islam didesak dan diasak oleh gerembolan Turki Muda, dengan menggunakan elemen kejahatan hasil keputusan Persidangan Berlin itu.

Dia memahami situasi berada di luar kuasa dan kawalannya. Dia pasrah akan nasib Konstantinopel yang indah ini.

Berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2012 00:24

June 15, 2012

Madah dalam menggapai awan cinta ....

Daku cuba mengisi waktu dengan puisi ini:

Dalam kepayahan kupasrah
Dalam gundah kumenyerah
Kugapai Cinta Agung
Dalam mengisi dimensi waktu.

Di bawah pula rangkap-rangkap pantun. Kalau indah, katakan indah. Kalau buruk, nyatakan demikian.

Indah sungguh berhelah madah,
Berhelah sarat jiwa bergetar;
Mengapa demikian berpatah lidah,
Bukankah balasan sudah dihantar?

Ombak beralun tidak menghempas,
Sambil berdayung ke Kuala Kedah;
Surat dinda sudah dibalas,
Mengapa cuba berpatah lidah?

Dayang Bunting warisan ibunda,
Keliling lautan ciptaan Yang Esa;
Apa dihairan suatu petanda,
Itulah hebat Yang Maha Kuasa.

Grafik: Api Greek atau Api Yunani yang menjadi senjata utama mengalahkan kepungan ke atas kota Konstantinopel oleh Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian dan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

Mungkin berkaitan: Perang Konstantinopel: Pendahuluan
Perang Konstantinopel (1)
Perang Konstantinopel (2)
Perang Konstantinopel (3)
Perang Konstantinopel (4)
Perang Konstantinopel (5)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 15, 2012 05:13

June 11, 2012

Mahu menangis menghabiskan pengembaraan bersama Alexander Agung

Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu-Akhbar! Terima kasih atas perkongsian rasa ini.

Abang Web Sutera, kagum boleh tulis buku (novel) sejarah hebat macam itu!” (Tuan Razif Radzi)

Setelah membaca, beliau menyatakan, “Tuan, mahu menangis aku menghabiskan pengembaraanku bersama Alexander Agung kerana betapa terharunya terbuka juga hijab itu. Aku mengembara sehingga hari terakhir Alexander di dunia ini. Tahniah, Tuan. Hijab dirungkaikan, keimanan bertambah."

Lanjutan dari komen di atas, seorang pembaca lain menyatakan, “Setuju sangat dengan saudara Razif. Terungkai sudah hijab yang menyelubungi. Puas membaca setiap ayat-ayat dalam novel Encik Web Sutera ini. Menanti buah tangan yang seterusnya dari Encik Web Sutera.

Tuan Ewal Din pula berkata, “Web Sutera, tahniah di atas keberhasilan menerbitkan sebuah novel semi-fiksyen yang menarik dan memberikan suatu sudut pandangan ilmiah yang luar biasa nilainya.”

Tuan Inderaa Saifullah Al-Fath menulis dalam Facebooknya, “Mahu kongsi beritahu genre novel yang aku minat. Aku cadangkan kau beli Hijab Raja Zulqarnain. Best bagi aku, perang dia dan sejarah dia yang agak lain kita dengar. (Sebuah) karya Web Sutera.

Satu pertanyaan dari Tuan Diniel Qarim Sakk berkenaan novel Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain, “Buku Alexander adalah Zulqarnain saya sudah habis membacanya. Mahu bertanya, selain dari merujuk pada buku itu, apa rujukan lain yang Encik Web Sutera gunakan bagi merealisasikan buku (novel) ini?”

Sebaik sahaja saya menjawab pertanyaan itu, beliau berkata, “Okey, terima kasih. Semasa membaca pada bab permulaan, saya dapat rasakan kesungguhan penulis. Berharap selepas ini ada lagi buku / novel seperti ini diterbitkan.

Berkaitan: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Testimoni Macedonia: Alexander Agung - Teruja, kagum, belas, geram sepanjang tempoh pembacaan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 mempesonakan
Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Terbongkar!

Beberapa testimoni bagi Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain
Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain

Info: Novel Macedonia: Alexander Agung dapat dibeli online di sini, insya-Allah.

Andai mahu membaca beberapa fragmen novel ini, sila klik di sini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 11, 2012 16:19

May 21, 2012

Allah, Kebebasan dan Cinta dikaji JAKIM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengenakan perintah larangan ke atas buku penulisan atau penerbitan Irshad Manji sekiranya isi kandungannya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran KDN, Abd Aziz Md. Nor berkata buku bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta', tulisan Irshad, yang dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dikaji dan diteliti.

"Tindakan ini diambil memandangkan kandungan buku tersebut dipercayai mengandungi unsur-unsur yang boleh memesongkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai peradaban semasa dan mencabar aliran pemikiran dalam Islam tanpa merujuk kepada sumber-sumber sahih.

"Selain itu, penerbitan ini juga dikhuatiri boleh mengelirukan pandangan masyarakat tentang kaitan antara agama dan budaya di kalangan penganut Islam dan mengandungi unsur penghinaan terhadap Islam," kata Abd Aziz dalam kenyataan hari ini.

Irshad ialah seorang wanita berfahaman Islam liberal yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transeksual.

Pada 30 Julai 2009, sebuah buku Irshad bertajuk 'The Trouble With Islam Today' diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana kandungannya mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah.

- Bernama
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 21, 2012 20:03