Web Sutera's Blog, page 14

December 10, 2012

Hijrah Champion Gaya Rasulullah | Si Tompok yang Bijak

Selmi bersekolah dalam darjah empat. Pada suatu hari dia terjumpa seekor anak kucing yang kehilangan ibunya semasa perjalanan ke sekolah. Anak kucing itu berbunyi “miau, miau”. Kerana berasa kasihan dengan anak kucing itu, dia mengambil dan menyimpannya ke dalam beg sekolah. Sewaktu dalam kelas, anak gadis itu menyuruh anak kucing itu supaya berhenti berbunyi supaya tidak dimarahi cikgu. “Kucing, kamu jangan bising. Nanti cikgu marah kepada aku. Kamu jangan risau, aku akan membawamu pulang ke rumah nanti. Aku akan berikan kamu minum susu, okey?” pujuk Selmi secara berbisik.
Sebaik tiba di rumah, saya melihat anak gadis saya membawa pulang seekor anak kucing. Dia memegang dan mengosok-gosok badan anak kucing tersebut.
“Cantik anak kucing itu. Mana kamu jumpa?” soal Badariah sambil tersenyum kepadanya.
“Saya jumpanya semasa ke sekolah pagi tadi, mak. Saya ambil dan masukannya ke dalam beg saya. Mujur juga anak kucing ini tidak mengiau semasa berada dalam kelas. Baik pula dia apabila saya suruh dia jangan buat bising,” cerita anak Badariah itu gembira dan tersenyum riang.
“Boleh kita pelihara anak kucing ini, mak?” Selajur Selmi bertanya.
“Boleh. Jom kita beri dia minum susu. Kasihan mak tengok. Tentu dia lapar dan dahaga,” Badariah berkata sambil mengambil anak kucing itu dari dakapan Selmi.
“Mujur juga kucing ini tidak berak atau kencing dalam beg saya, mak. Kalau tidak tentu kotor buku-buku saya,” kata Selmi sambil berjalan mengekori ibunya.
Bulu kucing itu bertompok merah dan hitam. Bahagian bulunya yang lain berwarna putih. Memang cantik gabungan tiga warna tersebut. Badariah dan Selmi menuangkan susu yang dicampur air ke dalam sebuah mangkuk kecil. Apa lagi, anak kucing bertompok itu terus menjilatnya dengan laju.
“Memang sah lapar sangat dia. Tidak tahu berapa lama dia tidak makan,” Badariah berkata semasa mencangkung di sebelah anak gadisnya yang leka melihat anak kucing itu menjilat susu itu.
“Kita namakan kucing ini Tompok, ya mak?” Soal Selmi memberi cadangan.
“Ya, mak bersetuju. Sesuai dengan bulunya yang bertompok-tompok tiga warna,” akur Badariah tersenyum memandang silih berganti di antara anak sendiri dan kucing.
“Kamu minum dahulu, ya Tompok. Aku mahu pergi mandi,” kata anak Selmi sambil mengosok-gosok kepala si Tompok. Anak kucing itu seakan-akan memahami namanya lantas berbunyi “miau-miau”.
Beberapa minggu kemudian, anak kucing itu semakin membesar dan manja. Sudah pandai melompat-lompat dan bergurau senda. Setiap kali dipanggilnya, “Tompok, Tompok”, dia akan datang berlari-lari ke arah Selmi atau ibunya. Semakin hari semakin besar si Tompok, dan bertambah cantik dan sihat.
Tiap-tiap hari sebaik sahaja nampak kelibat Selmi pulang dari sekolah, berlarilah si Tompok mendapatkan tuannya. Tompok akan mengesel-gesel badannya ke kaki dan betis tuannya meminta dimanjakan. Selmi lantas mendukungnya.
Setiap selang tiga hari, Tompok akan dimandikan bersama sabun. Justeru badannya bersih, dan bulunya juga lembut dan bertambah cantik. Badariah tersenyum melihat betapa akrabnya seekor kucing dengan tuannya. Badariah pun tidak kisah akan adanya seekor kucing di rumah. Dia senang hati kerana anak gadisnya pandai menjaga dan membelai kucingnya.
@@@@@@@
Si Tompok adalah seekor kucing yang baik. Tidur juga bersama tuannya. Di waktu malam sekiranya dia mahu berak atau kencing, Tompok pandai mencari Badariah di bilik. Ia akan mengiau-giau di telinga bagi mengejutkannya. Badariah memahami yang itu tandanya ia mahu keluar berak atau kencing. Ibu penyayang itu pasti menuruti kehendaknya, lalu terus membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terbuka, Tompok meluru turun ke tanah.
“Hai, sungguh bertuah ada seekor kucing yang bijak dan baik. Pandai pula berak di luar rumah,” ulas Badariah sendirian.
Si Tompok jarang tidur di waktu malam. Dia menjadi pemburu tikus-tikus yang berkeliaran di dalam rumah. Tiap-tiap malam Tompok berjaya menangkap dan membunuh dua atau tiga ekor tikus. Justeru sang tikus sudah takut mahu berkeliaran di waktu malam dalam rumah. Kalau nampak kelibat musuh utama si Tompok itu, nescaya nyawa tikus-tikus itu dalam keadaan bahaya.
“Mahu lari ke mana sang tikus! Aku tahu segenap ceruk rumah tuanku ini.” Agaknya itulah kata-kata Tompok. “Kamu jangan cuba merosakkan dan mengotorkan rumahku dan tuanku ini. Aku akan buru kalian dengan cengkaman kuku dan gigiku yang tajam ini. Keluarlah sekiranya berani!”
@@@@@@@
Enam bulan berselang sejak si Tompok dipelihara. Si kucing cerdik ini sudah mengandung. Badariah dan Selmi menyediakan suatu kotak khas bagi Tompok bersalin. Tiba masanya, Tompok melahirkan lima ekor anak.
Sepanjang kehidupan Tompok, ia beranak sebanyak lapan kali. Pada kali kedua Tompok beranak sebanyak empat ekor. Ada satu ketika dia melahirkan anak dua kali dalam tempoh yang singkat. Jadi jumlah anaknya ialah sebanyak sembilan ekor. Kisahnya ialah sewaktu anaknya yang terdahulu berumur tiga bulan, Tompok beranak lagi. Justeru jumlah anak-anaknya yang masih kecil sembilan ekor. Memang banyak!
Badariah sediakan makanan bagi dua generasi anak-anak Tompok sebanyak dua pinggan. Di waktu inilah, kasih sayang dan kecerdikan si Tompok semakin menyerlah. Ia memandang sahaja anak-anaknya makan, membiarkan anak-anaknya kenyang terlebih dahulu. Apabila sembilan anak-anaknya sudah makan, maka si Tompok pula menyusuli makan saki baki makanan tadi.
“Sungguh cerdik si kucingku ini,” kata Badariah kepada Tompok sambil mengosok-gosok belakangya.
Tompok menoleh kepada Badariah sambil mengiau dan menyambung santapannya penuh santun.
@@@@@@@
Begitulah kasih sayang sang ibu. Kucing pun tahu menilai kasih sayang dan memberikan perhatian kepada anak-anak. Manusia pula ada yang membelasah anak-anak tanpa belas. Ada kes kematian pula. Itu belum termasuk ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang tega membuang anak di tempat-tempat tertentu.
Manusia kalau sudah mengikut hasutan syaitan durjana, begitulah jadinya. Binatang pun sayangkan anak. Kalau begitu, apa kategori yang harus diberikan kepada manusia yang menyeksa dan membuang anak? Lebih teruk dari binatang!
Tidakkah manusia mengetahui yang anak adalah anugerah Allah yang mesti dijagai sehingga besar? Anugerah yang diberikan adalah sebuah tanggungjawab. Takut rezeki kurang lantaran ada anak? Mana belajar mengenai tuduhan tersebut? Itu adalah budaya Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam
Ajaran dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW) mengandungi kasih sayang dan cinta sesama manusia dan binatang. Setiap anak yang lahir sudah ditentukan rezekinya.
Sekiranya alasan membuang anak ialah kerana hasil dari perhubungan luar nikah, mengapa anak pula yang dipersalahkan? Malu? Tahu pula perasaan malu, tetapi melakukan perhubungan yang diharamkan oleh budaya dan agama tidak pula malu. Itulah manusia yang tidak sedar diri. Sudahlah berdosa dengan sebuah perhubungan haram, anak pula dibuang. Dosa yang ditanggung pasti amat besar.
Aduhai manusia, sedarlah kita dengan amaran dan ugutan Tuhan! Perhatian kata-kata Allah dalam ayat berikut:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”  (Surah Al-An’am ayat 38)
Binatang juga adalah makluk Allah yang mesti diambil perhatian berat. Tidak boleh disakiti apa lagi dibunuh sewenang-wenangnya. Mereka juga berhak untuk hidup dan dipelihara sebaiknya. Ambil contoh pelakuan Nabi Muhammad (SAW) terhadap kucing dan binatang lainnya. Ambil iktibar akan kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka lantaran mengurung seekor kucing sehingga mati.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2012 20:04

December 4, 2012

Konstantinopel | Prelude to the final battle


27 – 29 Mei 1453 Masihi
Mesej dan arahan Sultan Muhammad al-Fateh sudah sampai ke telinga semua tentera Islam. Tarikh 29 Mei sudah ditetapkan. Siap siaga, formasi dan kelengkapan senjata dikumpul. Undur sudah sirna dari kamus bala tentera Uthmaniah. Semangat ghazi mengalir ke seluruh serat-serat pembuluh darah.
Pasukan artileri masih tetap menembak dan mengebom tembok Konstantinopel sebagai strategi supaya pasukan pertahanan musuh tidak boleh berehat. Sementara batalion dan kontijen tentera darat Uthmaniah dibiarkan berehat.
Di sebelah laut pula, armada perang Uthmaniah dipastikan oleh laksamana dan komander bertugas agar bersedia dan berwaspada.
Pada sebelah malamnya, semua khemah tentera Uthmaniah dinyalakan obor dan api. Sirah perang Rasulullah (SAW) semasa menakluk kota Mekah diperikan. Mereka bermunajat dan bertakbir lantang.
Sultan Muhammad al-Fateh dan Panglima Tharhan mengelilingi semua khemah di sebelah malam. Para ulama melawat tentera dan membaca ayat-ayat al-Quran, terutamanya surah al-Anfal yang mengisahkan perjuangan jihad.
Para ulama bersepakat untuk mengisahkan peranan dan keberanian Sahabat Rasulullah (SAW), Abu Ayub al-Ansari, di malam-malam terakhir sebelum gempuran besar-besaran dilancarkan.
“Tuan-tuan yang dimuliakan Allah, Rasulullah (SAW) berhenti di rumah Abu Ayub al-Ansari ketika hijrah ke Madinah. Di sini, di tembok kota ini, jenazah beliau disemadikan. Kita akan mencari kuburnya sebaik sahaja berjaya memasuki kota ini.”
Sepanjang malam ucapan “Laa ilaaha illaAllah, Muhammad Rasulullah” bergema menjulang langit, lalu dibawa angin memasuki kota Konstantinopel. Penat hilang serta merta.
Sementara itu hati-hati musuh Islam semakin kecut dan kecil.

Berkaitan: Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | Prelude to the final assault
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2012 17:38

December 2, 2012

Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | Prelude to the final assault

Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | 17 – 22 Mei 1453 Masihi

Dua belas orang menunggu. Tiada bantuan kunjung tiba. Di mana janji mereka itu? Apakah mereka takut dengan tentera Uthmaniah? Atau memang pengecut sifatnya? Dua belas anggota tentera berada di Laut Tengah, terkuntang-kanting sendirian. Hanya dua belas sahaja di situ.“Di mana mereka?”“Kita sudah ditipu dan dibohongi!”“Apa tindakan kita?”“Balik sahaja.”“Kembali?”“Ya, kembali ke Konstantinopel.”Kelesuan jelas terbayang di wajah-wajah mereka. Dengan kayuhan dayung dan tiupan angin, mereka beransur-ansur kembali ke Konstantinopel. Dalam benak, macam-macam perasaan saling berebut mengungguli satu sama lain.
Khabar dukacita itu segera disampaikan kepada pengetahuan Giovanni Giustiniani dan Maharaja Constantine XI.

Maharaja Byzantine itu berang, lalu berkata, “Sah! Memang Kristian Latin pengecut!”

Kemudian beliau terdiam, tunduk. Beberapa ketika kemudian kedengaran tangisannya.

Maharaja Constantine XI dilanda kecewa yang sungguh galau sehingga terluah kata-kata yang meruntun hati para penasihatnya, “Dunia sudah melupakan beta. Perpaduan agama ini hanyalah palsu belaka.”

Dalam esakan tangis, beliau berlalu memasuki kamar peraduan.

Tarikh 22 Mei, kepungan yang sudah berlangsung selama 47 hari itu memberi impak kepada kedua-dua kem tentera. Yang nyata, emosi Maharaja Constantine XI terganggu dan bekalan makanan semakin kritikal.

Sementara di pihak kem Uthmaniah, mereka terus menerus mengisi masa lapang dengan beramal ibadat, berzikir, bermunajat dan membaca al-Quran. Para ulama tidak putus-putus memacu semangat juang mereka.

Syeikh Aaq Syamsuddin al-Wali bertafakur. Sujud. Munajat dengan linangan air mata. Beliau menunggu sesuatu alamat.

“Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. Hancurkanlah mereka dan tolonglah kami untuk mengalahkan mereka. Campakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka. Sungguh, ya Rabb, kuasa-Mu Maha Agung.”

Berkaitan: Catatan sisi bagi Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 02, 2012 20:36

November 27, 2012

Catatan sisi bagi Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh

Catatan peribadi untuk tuan editor. Kini saya kongsikan untuk para pembaca blog ini, insya-Allah.
Assalamualaikum, Tuan Amir budiman.
Jam 5.10 am, Jumaat yang berkat. Saya masih bertukang, menyusun aksara membentuk cerita. Maaf dipohon justeru dateline yang diberikan agak tersasar. Semakin ke penghujung cerita, semakin sukar.
Berikan saya sedikit masa lagi dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sekarang di muka surat ke-683, insya-Allah. Untuk tatapan tuan.

@@@@@@@@@
Hasan Ulubate berada di dalam khemah tentera elit Sipahi Anatolia. Dia dilahirkan di sebuah kampung kecil Ulubat dalam wilayah Bursa, Anatolia. Tinggi orangnya dan pandai bermain pedang.
Dia mengagumi kekuatan dan kewarakan Sultan Muhammad al-Fateh sejak mula-mula mengenali beliau. Kenangan bertarung dengan Sultan muda itu di sekitar pancutan air masih bertakhta di dalam ruang mindanya. Titipan nasihat dan semangat dari Sultan sentiasa menjadi obor semangat dalam misi ini. Dia sudah bersumpah yang hayatnya hanya untuk Islam dan syahid itu cita-citanya yang abadi.
Restu tulus sudah dipohon daripada kedua-dua orang tuanya. Kemaafan juga sudah diminta agar segala salah dan silapnya dimaafkan oleh mereka.
Tanpa linangan air mata, si ibu berkata, “Pergilah, duhai anak kesayangan ibu. Ibu rela dan redha. Demi Islam dan cita-citamu, andai kamu syahid, tunggu ibu di syurga sana. Andai kamu selamat, kembalilah ke kampung halaman. Ibu dan ayahmu sedia menanti. Usah dirisau kami di sini. Insya-Allah, ibu dan ayah di bawah lindungan Allah. Doa ibu sentiasa dalam dakapan cinta, walau di mana sahaja kamu berada."
Hasan Ulubate sujud syukur. Di sebelah malamnya, dia bangun di sepertiga malam, bermunajat dan berdoa, lirih dalam berani.
Terima kasih kerana memahami. Tuan Amir, doakan saya dalam sujudmu.
Wassalam, --- Web Sutera
Saya katakan kepada isteri tersayang, “Lelah untuk menoktahkan novel ini, jauh lebih lelah berbanding dengan Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain . Kadangkala terfikir untuk tamatkan dengan cepat, namun bimbang menjadi anti-klimaks. Justeru itu, abang tetap menekuninya, bait demi bait yang panjang.”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 27, 2012 19:15

November 26, 2012

Rihlah Ibnu Awang 1: Memasuki Tanah Rancangan Felda

Selang beberapa tahun iaitu pada tahun 1977, ketika anak sulungku bersekolah dalam darjah tiga, aku dan suami dipanggil memasuki program tanah rancangan Felda. Kami sekeluarga dipanggil menetap di Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, Pahang, sebuah tanah rancangan kelapa sawit. Di sana suami dan aku akan mengusahakan tanaman kelapa sawit seluar 14 ekar.

Memang suamiku sudah beberapa lama mengisi borang permohonan memasuki tanah rancangan Felda. Pada mulanya aku dan suami berharap semoga kami dipilih untuk memasuki tanah rancangan yang berada di sekitar Terengganu, khususnya di Besut. Namun ke Jerantut, Pahang pula yang diberikan oleh pihak Felda. Pada permulaan penerimaan keputusan tersebut, kami berdua berbincang pro dan kontranya.

“Abang rasa kita terima sahajalah, Yah. Bukan jauh sangat antara Besut dan Jerantut. Apa-apa hal, kita masih boleh balik ke sini. Lagi pun inilah yang dikatakan hijrah. Proses hijrah Nabi Muhammad lagi perit dan memedihkan. Baginda tabah dan pasrah kepada ketentuan Allah. Sekiranya kita tidak melakukan penghijrahan ini, bila lagi? Insya-Allah, abang yakin Allah sudah tetapkan rezeki kita di sana. Yakinlah, Yah,” suamiku berkata memberi nasihat dan sekali gus keputusan.

Sebagai seorang isteri solehah, aku akur sahaja. Lagi pun tidak ada yang salah mengenai apa yang dikatakan oleh suami aku itu. Sebelum berangkat ke sana, dalam beberapa hari, aku dan suami menguruskan proses pertukaran sekolah anak sulung dan anak kedua. Kami berdua memaklumkan akan penghijrahan kami ke Pahang dan memulangkan semua buku pinjaman ke sekolah.

Kedua-dua anak lelaki aku nampak murung mukanya kerana terpaksa mengikut aku dan suami berhijrah. Maklumlah, mereka berdua rapat dengan kedua-dua kakak dan abang iparku. Mereka berpelukan sebelum memulakan perjalanan yang panjang ke Jerantut, Pahang. Kedua-dua anak lelaki aku menangis, begitu juga Mak Teh dan Pak Tehnya. Aku pun turut menahan rasa.

Seluruh warga kampung dan sanak saudara datang mengucapkan selamat jalan kepada aku sekeluarga. Saling mengucap selamat dan memohon maaf antara satu sama lain. Perjalanan aku sekeluarga menaiki sebuah lori.

Di samping aku, suami dan anak-anak yang berhijrah, ada sepasang suami-isteri lagi bersama seorang anak perempuannya. Mereka berdua ialah rakan suamiku dari sebuah kampung berhampiran.

Lori yang agak penuh dengan barang-barang keperluan utama kedua-dua keluarga memulakan perjalanan selepas waktu Isyak. Aku, anak-anak, isteri kawan dan anak perempuannya menggunakan ruang belakang lori yang diisi barang-barang sebagai tempat duduk dan tidur di sepanjang perjalanan yang aku kira mengambil masa lebih kurang 12 jam. Barang-barang diatur supaya tidak jatuh, dan mengadakan ruang duduk dan tidur dengan hamparan tilam dan tikar.

Kami tiba di waktu Subuh di perkampungan baru di tanah rancangan Felda Kota Gelanggi Satu.

Sebelumnya: Rihlah Ibnu Awang 1: Jurnal
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 26, 2012 19:05

November 19, 2012

Testimoni Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain: Rugilah sesiapa yang tak membaca karya ini

Pertama sekali saya sangat teruja bila dapat tahu Tuan Web Sutera akan membukukan cerita Alexander ini. Sejujurnya saya mengenali karya Tuan Web Sutera di penulisan2u, itu pun atas 'hasutan' Shimah Basri supaya saya membacanya. Bila sudah baca, saya memang tertunggu-tunggu novelnya, sebab mahu tahu kesudahan.Bila sudah keluar novelnya dan dibeli, banyak pula halangan hendak menghabiskan bacaan. Hari ini (19 November 2012) dengan rasminya saya menamatkan bacaan.Komen ikhlas dari saya buat Tuan Web Sutera:

1) Karya tuan berjaya membawa jiwa saya ke dunia Alexander, merasai keteguhan iman Alexander, ketulusan hatinya sebagai pemerintah berjiwa rakyat. Ia membuatkan saya terfikir, kalaulah di zaman ini wujud pemerintah berjiwa 'Alexander'.
2) Kaitan dengan ayat al-Quran memang telah membuka mata hati saya yang selama ini pun tertanya-tanya, adakah Alexander itu Zulqarnain? Dengan membaca karya tuan, sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada saya siapa Alexander dan kenapa Yahudi menyembunyikan kebenaran mengenai Alexander.
3) Bila hampir menamatkan bacaan, tiba-tiba disebut watak Laksamana Sunan, dan ia menyebabkan saya tersenyum.
4) Kesimpulannya, rugilah sesiapa yang tak membaca karya tuan.
Terima kasih kepada Shimah Basri yang memperkenalkan saya dengan karya Tuan Web Sutera.
Pesanan khas buat Tuan Web Sutera, “Saya menanti karya terbaru tuan. Tidak boleh komen lebih-lebih, bimbang tuan tidak lena tidur pula.”
** Testimoni dari Puan Iza Balqis Ahmad di grup Buku Tiga Lima.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 19, 2012 18:54

November 18, 2012

Novel by Douglas Chua, a must read

I read all this books by Douglas Chua. Indeed, very interesting to see Asian author in international market. Two of the books, The Missing Page and Ransom, have been restricted by KDN Johor Bahru, Johor. Want to know why, read his books.

The Missing Page (Prequel to the Crisis In The Straits) 
Singapore’s sovereignty is at stake. An ancient document pushes Malaysia and Singapore to the brink of war. Chua has been described as “Singapore's Jeffrey Archer”.
Crisis In The StraitsMalaysian ambassador in Singapore is gunned down, triggering a crisis which threatens to escalate into a full-scale war between the two countries. At the heart of the row is a secret document, code-named The Missing Page. If authentic, the document would undermine Singapore’s existence as a sovereign nation.
Special agent Alex Han, a decorated hero, is the only one who knows the whereabouts of The Missing Page. Accused of murdering the vicious killer Othello and fanatical diplomat Mustapha ambassador, Alex is torn between country and family as he confronts two men, who will stop at nothing to possess the document.
The tension mounts and Malaysia invades Singapore, bringing to a head the Crisis In The Straits.
Ransom
Something strange is happening to the water in Singapore. Kerosene is mysteriously found in water tanks, farm animals are dying drinking it and a mystery diver is spotted swimming in a reservoir under cover of darkness.
Special agent Alex Han is called out of retirement by the Prime Minister on another mission to save his country. When he agrees to negotiate with a terrorist who is holding the island nation to a US$100 billion ransom, Alex discovers there is more at stake than just money. A string of mysterious deaths occur around the island as Alex races against time to save Singapore and confront a faceless terrorist.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 18, 2012 18:43

November 9, 2012

Pesta Buku Jogja: Buku Menciptakan Masa Depan

Bandar atau daerah Yogyakarta sebagai kota pelajar dan mahasiswa tentunya tidak akan lepas dari buku. Meskipun sudah banyak buku elektronik, buku cetak tetap tidak boleh dilupakan.

Setiap tahun, rata-rata ada 3,000 judul buku baharu yang diterbitkan oleh sekitar 300 penerbit di Daerah Istimewa Yogyakarta. Data itu hanya buku baharu yang masuk ke perpustakaan daerah. Dengan kata lain, angka itu hanya separuh dari judul buku baharu yang diterbitkan penerbit di Yogyakarta.

Ini kerana tidak semua penerbit memberikan buku baharunya ke perpustakaan daerah. Setiap bulan, menurut data penjualan buku, ada 2,000 judul buku baharu secara nasional.

“Penerbit di Yogyakarta menyediakan 20 - 30 peratus judul buku baharu setiap bulan,” kata Agus Haryanto, Setiausaha Ikapi (Ikatan Penerbit Indonesia) Daerah Istimewa Yogyakarta, Selasa, 6 November 2012.Ikapi menganjurkan Pesta Buku Jogja kedua tahun ini dengan tema “Buku Menciptakan Masa Depan”. Pameran itu berlangsung di gedung Mandala Bhakti Wanitatama, Yogyakarta, mulai 7 November hingga 13 November 2012.

Sekitar 300 penerbit mempamerkan buku-buku baharu mahupun lama. Bahkan buku-buku yang sudah tidak beredar di toko buku juga akan disediakan. Tentu sahaja setiap ada pameran buku juga diiringi dengan adanya diskaun besar-besaran.

Menurut Agus Haryanto, para penerbit buku di Yogyakarta juga sudah ada yang menceburkan diri dalam penerbitan buku digital. Namun, itu belum merupakan bisnes utama kerana pembaca buku digital segmennya sangat terbatas.

“Saat ini buku cetak belum boleh digugat oleh buku digital,” katanya.

Menurut Apridian Purwantoro, Ketua Panitia Pesta Buku Jogja, pameran ini merupakan yang ke-27 yang diselenggarakan oleh Ikapi. Pameran buku merupakan acara pesta buku yang baik untuk mencari informasi judul mahupun pembelian.

“Selain itu, agar masyarakat terus gemar membaca,” kata Apridian Purwantoro.

Beliau menambah kata, di tengah perkembangan teknologi yang semakin canggih saat ini, semakin sedikit masyarakat yang meluangkan waktu untuk sekadar membuka lembaran buku. “Pesta Buku Jogja memberikan kesegaran baharu bagi masyarakat yang rindu terhadap buku berkualiti.” 

** Sumber: Tempo.co, 6 November 2012, diterbitkan kembali di laman web Buku Indonesia.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2012 01:38

October 31, 2012

Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain - Berjaya menawan hati, penuh pengembaraan

Testimoni dan pertanyaan dari pembaca bernama Cikpuan Hidayah Johan

Saya baru sahaja selesai membaca novel tulisan Tuan; Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain. Saya baru beli Rabu minggu lepas dan malam tadi saya selesai habiskan. Jujur dan ikhlas dari hati, saya ingin katakan saya kagum sangat dengan usaha tuan membersihkan nama Alexander The Great. Tahniah saya ucapkan kerana berjaya menawan hati saya supaya baca hingga ke halaman yang terakhir. 

Novel tuan ibarat sebuah pengembaraan dalam menyelami dan mentadabbur ayat al-Quran, (Surah al-Kahfi: 83 - 98). Sampai saya jatuh hati dengan watak insan yang bernama Raja Alexander ini. Apakah masih ada lagi insan seperti beliau pada zaman sekarang ini?

Tapi saya mahu tanya beberapa persoalan:

(1) Masa Alexander hendak bina balik bangunan yang telah runtuh itu, baginda juga hendak bina balik tempat ibadat kaum lain yang bukan menyembah Tuhan Yang Esa. Apakah dibenarkan jika kita sebagai seorang Muslim ingin membantu menegakkan agama yang menyekutukan-Nya?

(2) Bukankah orang-orang zaman dulu umur dia orang panjang sampai ada yang mencecah beratus-ratus tahun? Apakah kemangkatan Raja Alexander pada umur 33 tahun itu adalah suatu fakta? Atau ia hanya sekadar untuk cerita dalam novel ini?

(3) Apakah Socrates, Aristotle dan Ptolemy memang benar menyembah Tuhan Yang Esa? Sebab selama saya belajar sejarah, saya menggambarkan mereka seperti orang Rom yang bijaksana dalam berfalsafah tapi tiada agama. Namun saya pun tak tahu menahu tentang itu.

Dan buat yang terakhirnya, saya suka sangat dengan tulisan Tuan yang penuh dengan pengembaraan.

Respons dan jawapan saya 

Alhamdulillah. Terima kasih kerana membeli novel saya ini dan memberikan testimoni yang memberangsangkan. Untuk menjawab pertanyaan, pohon cikpuan kembali kepada dua kem sejarawan yang mengatakan: (1) Alexander adalah Raja Zulqarnain, (2) Alexander bukan Raja Zulqarnain.

(1) Pada hemat saya Alexander hanya membenarkan pembinaan kuil agama pagan itu, bukan beliau yang turut membinanya. Kaum Yahudi beriman juga tidak mahu turut serta, dan beliau memberi izin. Seperti ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) juga, dalam perang dan aman tidak boleh musnahkan tempat ibadat agama lain. Islam juga tidak melarang pembinaan rumah ibadat dan pengamalan agama lain di kalangan mereka, selagi mana mereka tidak menganggu-gugat Islam dan kesuciannya. 

(2) Alexander / Raja Zulqarnain memang meninggal dunia pada usia tersebut. Pastinya ada hikmat Allah mengapa beliau meninggal dunia pada usia muda. Itu fakta sejarah. Cikpuan boleh teliti dalam banyak buku-buku kajian sejarah, insya-Allah, termasuk buku-buku rujukan yang saya senaraikan di belakang novel.

(3) Socrates, Aristotle, Plato dan Ptolemy memang benar menyembah Tuhan Yang Esa, Mukmin yang menyembah Allah. Itu daripada kem sejarawan yang bersetuju bahawa Alexander the Great adalah Raja Zulqarnain seperti mana Allah sebutkan dalam al-Quran. Tahukah cikpuan ada kajian yang membuktikan Plato adalah Luqman Hakim seperti mana dalam Surah Luqman? Kontroversi? Tunggu buku dalam bahasa Melayu yang memperikan siapakah sebenarnya Plato itu, insya-Allah.

Dalam hal berkaitan, saya percaya yang Gautama Buddha dan Krishna adalah seorang nabi yang diutus Allah untuk era tertentu. Namun lama kelamaan, orang menyembahnya. Ingat tentang Nabi Isa atau Jesus? Siapa yang mula membuat patung Jesus?

Moga memperoleh pencerahan. Saya terbuka dengan wacana, insya-Allah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2012 17:42

October 27, 2012

Dari Nilai ke pancingan buku di Aidiladha 1433 Hijrah

Saya sekeluarga bergerak ke Nilai pada malam Hari Raya Aidiladha 1433H, Khamis 26 Okt. 2012. Tujuan saya ialah untuk berhari raya di rumah adik ipar dan biras di sebuah kawasan perumahan di Nilai. Kedua-dua ibu dan bapa mertua juga turut serta. Kami ke sana dengan memandu tiga buah kereta.

Sambutan Aidiladha 1433H yang sangat sederhana, sungguh. Walaupun demikian, destinasi saya dan keluarga yang hampir dengan Kuala Lumpur itu ditemani oleh enam buah buku rujukan. Justeru di sebelah malamnya saya meneruskan penulisan dan suntingan novel sejarah Konstantinopel: Menjulang Panji Jihadyang terasa semakin berat untuk ditamatkan.
Hari kedua Aidiladha saya ke KL Sentral dengan menaiki komuter dari stesen Batang Benar, Nilai, Negeri Sembilan. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 40 minit. Matlamat ialah menghadiri Ekspo Buku Islam 4, KL Sentral bagi meraikan sesi Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM), novelis thriller nombor wahid negara.
Sesi satu jam yang bermula jam 11.00am berakhir jam 12.00pm. Beberapa info penting dikongsi dan dibuka oleh Tuan RAM, termasuk makluman tiga buah novel yang akan beliau nukilkan. Memang dahsyat novelis yang satu ini. Cemburu saya menggebu-gebu.
Antara rahsia penulisan yang beliau kongsikan ialah tip bagi mengatasi blok penulis (writer’s block). Menurut Tuan RAM, andai buntu menjelma tatkala sedang menulis, segera baca Surah Ash-Syarh, surah ke-94. Terjemahannya seperti berikut: 
“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?
“Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),PhotobucketUsai sesi itu saya meninjau sekitar ekspo buku. Lengang dan hambar. Mungkin juga orang tidak ramai datang justeru ekspo bermula pada hari ke-2 Aidiladha. Pada hari pertama ini pula hanya dua sesi pengisian ilmu sahaja yang ada. Harap-harap hari berikutnya sehingga tamat pada 4 Nov. 2012 tidak seperti pada hari pertama ini.
Saya khuatir agenda ‘Santai Bersama 100 Penulis Terkenal’ hanya indah khabar dari rupa. Saya tidak berharap demikian, namun dilihat daripada jadual aktiviti yang terpampang di gapura ekspo dan laman web penganjur, saya kira tidak keterlaluan tanggapan ini. Entahlah.

Photobucket Sebelum saya naik ke foyer KL Sentral di mana ekspo buku berlangsung, sempat juga saya menjengah lokasi gerai jualan kedai buku MPH. Hasil pancingan ialah sebuah fiksyen sejarah berjudul The Embrace of Harlots oleh David T.K. Wong, terbitan Marshall Cavendish. Harga diskaun ialah 50%!
Sementara itu, pancingan di Ekspo Buku Islam 4 hanyalah:
(1) Penenang Jiwa: Pengubatan dan Rawatan oleh Imam Al-Ghazali (terjemahan kitab Mukashafah al-Qulub), terbitan Pustaka Al-Ehsan; RM24.00. Diskaun 10%,(2) Novel Yuda di Padang Maya oleh Xarine, terbitan Jemari Seni Publishing; harga RM20.00. Diskaun 30%.
Majoriti buku yang dijual di ekspo ini hanya diberikan diskaun 10% sahaja, kecuali sedikit judul lain yang kurang laku. Di beberapa status Facebook teman-teman pentaksub buku yang sempat berkunjung, komen biasa seperti berikut, salah satunya:
“Antara buku yang dihajati, masuk senarai adalah karya Web Sutera. Sudah pegang dan ambil, tetapi kena letak semula sebab diskaunnya tidak banyak.”
Saya dan seputar teman-teman berharap semoga pihak penganjur buka telinga perihal harga buku semasa pameran atau ekspo. Penganjur mahu atau tidak, seperti yang pernah saya katakan banyak kali, diskaun yang bisa menarik lonjakan membeli ialah paling kurang 20%.
Usai di ekspo, saya bersama Tuan Attokz ‘The Cool Guy’, isteri beliau dan dua orang anaknya bergerak menuju ke Amcorp Mall, Petaling Jaya. Dua lokasi – pasar lambak (flea market)  dan BookXcess – menjadi matlamat, selain untuk mengisi perut yang sudah mendendangkan lagu yang tiada irama.
Di pasar lambak saya dan Tuan Attokz dapat pancing buku Taj Us-Salatin, hasil karya Tuan Bukhari al-Jauhari, terbitan DBP. Harga RM8.00 sahaja!
Kemudian Tuan Attokz buat-buat bertanya, “Mahu ke BookXcess?”
Saya menjawab dengan selamba, “Kalau datang ke sini tidak pergi ke BookXcess, apa kelas!”
Hasil pancingan di BookXcess seperti di bawah (sambil melayan karenah anak dara sunti Tuan Attokz yang banyak celotehnya):(1) A Cup of Comfort for Writer – RM9.90 (Harga asal: RM32.90)(2) Marco Polo: From Venice to Xanadu – RM19.90 (Harga asal: RM72.90)(3) Classic Tales of Vampires and Shapeshifters– RM24.90 (Harga asal: RM49.90), dengan diskaun tambahan 20%.
Sepanjang berada dalam komuter dari stesen Bandar Tasik Selatan menuju ke Batang Benar, saya membaca A Cup of Comfort for Writer.
Itu sahaja buat kali ini. Moga ada manfaat dalam kritik brutal Web Sutera. Harap maaf.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 27, 2012 09:02