Web Sutera's Blog, page 15
October 23, 2012
Bercita-cita dan berusaha gaya Champion

Dalam minda sudah ada dua lagi idea novel - thriller dan fiksyen / fantasi sejarah - yang mahu dibuat proposal untuk penerbit.
Di sebelah malam 23 Okt. 2012, selepas Isyak, ada perbincangan dengan kustomer untuk katering. Usai berbincang urusan bisnes dan akad dibuat, isteri saya memberitahu tiga orang wakil syarikat itu, "Suami saya novelis."
Salah seorang membalas, "Oh! Memang ada rupa novelis," sambil menjeling novel yang saya bawa.
Pertama kali isteri saya mengakuinya. Muncul pertanyaan dalam benak, "Novelis ada rupa tertentukah?"
** Foto atas: Saya (kanan) sedang berbicara berkenaan novel sejarah Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain di kedai buku MPH Subang Parade pada 20 Okt. 2012. Kredit foto untuk Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
@@@@@@@@@@
Sahabat ingat Sup Herbal Champion? Dua hari lepas, editor hantar makluman. "Manuskrip sudah melalui proses penyuntingan peringkat pertama. Kini, sedang melalui proses penyuntingan peringkat kedua oleh penasihat syariah."
Moga Allah mudahkan usaha saya dan penerbit. Tunggu garapan idea baharu Warkah Champion atau Champion Gaya Muhammad, insya-Allah.
Manuskrip novel sejarah Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad pada subuh 24 Okt. 2012 berjumlah lebih 110,000 patah perkataan. Masih agak panjang untuk disiapkan. Deadline 31 Okt. 2012. PECUT untuk paling kurang 20 muka surat sehari, insya-Allah.
Tuan editor yang budiman memberi inspirasi dan motivasi, “Dalam berjuta rakyat Malaysia, Allah pilih tuan kerana tuan mampu. Yakinlah, niat dan cara pastikan betul setiap masa. Islam tidak tengok hasil, bestseller atau tidak, itu bukan ukuran. Paling penting usaha yang tidak langgar perintah Sang Pencipta. Selepas kesukaran, ada kesenangan. Selepas ujian, pasti dibukakan jalan. Syukur terus sabar."

Jauh kembaraku .. melayang
Rohku melayah ke semesta cinta-Mu.
--- Web Sutera
Terima kasih, Allah.
Selamat Hari Raya Aidiladha 1433 Hijrah untuk semua sahabat, pembaca dan umat Islam.
** Semua novel ini (kanan) menghampiri 1,000 muka surat. Fiksyen sejarah dan perang, persoalan kemanusiaan dan falsafah. Dua daripadanya sudah saya baca. Saya ambil masa lebih kurang 3 bulan setiap satunya untuk menelaah.
Inilah bentuk novel yang saya berhasrat untuk hasilkan dalam bahasa Melayu. Tuan dan cikpuan sanggup baca?
Published on October 23, 2012 19:39
October 16, 2012
Berfikir Gaya Champion: Fokus dan berdisiplin
“Champion fokus dan berdisiplin,” kata Jack Dempsey, peninju Amerika Syarikat yang memegang gelaran juara dunia kelas berat 1919-1926, “Champion adalah orang yang bangkit ketika dia tidak mampu."
Insya-Allah, buku Buat Duit dengan Katering (sebelah kiri) nanti akan ada pendampingnya. Pelengkap perkisahan dalam usaha dan melestarikan menjadi seorang Champion.Wisata kehidupan menemukan tarikh 16 Okt. 2012 yang agak misteri. Bertemu dengan seorang pembaca yang memiliki buku
Buat Duit dengan Katering
dan ingin menceburi bisnes ini. Dalam SMS beliau mencatat, "Saya sudah membaca dari muka surat 98 - 116. Amat terharu. Saya akan menemui tuan untuk menuntut ilmu satu persatu dari buku itu secara formal." Catatan lama seorang rakan: “Jejak usahawan, baca kisah pengalaman Tuan Hizamnuddin Awang, a.k.a. Tuan Web Sutera meninggalkan kerjaya untuk mengharungi dan begelumang dalam dunia bisnes katering. Nostalgia pahit manis yang memukau dan menawan hati. Pendedahan berani dan terus terang. Langkah demi langkah dalam membina perniagaan bidang penyediaan makan.” Seorang jiran yang kini berkecimbung dalam bisnes katering berkata, "Aku ada beli buku katering. Mulanya aku tak tahu. Bila aku teliti, eh, kau rupanya yang tulis. Bagus, kau jujur dalam menulis."Seorang hamba Allah pula yang sudah bosan bekerja di bank telefon saya minta info berkenaan buku
Buat Duit dengan Katering
kerana beliau mahu mulakan bisnes ini. Saya ceritakan secara ringkas apa isi kandungannya. Tip katering Salah satu daya penarik sajian makanan ialah penyediaan meja bufet yang melengkapi tema tertentu. Ia juga turut merangkumi jenis hidangan. Kita perlu kreatif dan bersedia memenuhi persepsi klien dan tetamu.Keinginan dan tanggapan setiap klien berbeza bagi acara tertentu. Justeru itu, katerer mesti bijak berbincang, menawarkan dan memberi khidmat nasihat yang bersesuaian. Jangan membuatkan kustomer berfikir banyak bagi menyediakan senarai menu yang diperlukan. Kita nasihati mereka.** Saya, Web Sutera, adalah seorang pengusaha bisnes Lusiana Catering sepenuh masa sejak tahun 2006. Selain daripada itu, saya juga hamba Allah yang suka mencatat. Buku Buat Duit dengan Katering dan novel sejarah Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain adalah dua buah buku pertama yang diterbitkan. Insya-Allah, saya akan terus lestarikan minat dan bakat menulis ini.

Published on October 16, 2012 01:00
October 13, 2012
Buku Buat Duit dengan Katering: Bagus, kau jujur dalam menulis

(2) Seorang hamba Allah yang sudah bosan bekerja di bank telefon saya minta info berkenaan buku Buat Duit dengan Katering kerana beliau mahu mulakan bisnes ini. Saya ceritakan secara ringkas apa isi kandungannya.
Dua info terkini yang menarik untuk di-highlight berkaitan buku ini. Buat Duit dengan Katering adalah panduan lengkap bagi menceburi bisnes katering secara kecilan dan berskala besar. Malah buku ini juga diisi dengan kisah-kisah benar dan diselitkan unsur-unsur motivasi bagi membina daya juang yang utuh, insya-Allah.
Published on October 13, 2012 03:03
October 8, 2012
Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad

Walaupun kedua-dua belah pihak beragama Kristian, hubungan antara Empayar Byzantine dan kerajaan Rom Barat tidak mesra, malah dendam pihak di Itali itu semakin membara. Perdebatan yang memunculkan dendam kesumat antara penganut Kristian Timur dan Barat tidak kunjung damai.
Apabila Pope Urban II mengobar semangat Perang Salib yang kononnya bagi membantu saudara seagama di Konstantinopel, ramai juga warga di sana tidak menyenanginya. Bagi sebahagian penduduk Konstantinopel, Tentera Salib adalah satu ancaman baharu yang tidak boleh disokong. Mereka berkata, “Mereka keras kepala dan berwatak kejam.”
Walhal penyokong doktrin Salib di Rom Barat berkata, “Konstantinopel terlalu sombong dengan kemewahan, curang dan murtad!”
Dendam dan permusuhan tidak dapat disekat lagi. Justeru pembunuhan Latin, yakni pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran penganut Roman Katolik atau penduduk Latin di Konstantinopel oleh warga Ortodoks Timur pada bulan Mei 1182 mempunyai kesan dramatik pada hubungan tegang antara gereja-gereja Kristian Barat dan Timur.
Pembunuhan beramai-ramai itu juga memburukkan lagi imej Byzantine di kalangan kuasa atau pemerintah Barat. Walaupun perjanjian urusan perdagangan dimeterai tidak lama selepas itu antara Byzantine dan negara-negara Latin atau Rom Barat, permusuhan yang berakar sejak sekian lama kekal dengan ramai suku kaum Barat menyimpan dendam berdarah.
@@@@@@@@@@
Sekarang, Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam, Selangor
Ustaz Zulqarnain bin Awang bercerita pada sesi kedua diskusi berkenaan usaha dan tanggungjawab Uthman bin Urtugrul.
“Bagi pengawal ghazi perbatasan Turki, titik akhir rintangan di Anatolia dalam wilayah kekuasaan Byzantine ialah Nicaea, dengan tembok kota yang sukar didaki dan garison kuat pertahanan. Mereka juga tidak melupakan yang kota Nicaea adalah sebuah kota Islam di era kesultanan Saljuk.
“Pengambilan semula Nicaea untuk daulah Islam bagi para ghazi ialah tugas wajib. Sebaik sahaja kematian Maharaja Manuel I Comnenus pada tahun 1180, perebutan kuasa dalaman meletus dalam Empayar Byzantine. Tatkala beliau mengepung kota itu di tahun 1183, terdapat sekumpulan tentera upahan Turki yang membentuk satu bahagian garison pertahanan kota. Justeru kota terus kukuh.
“Apabila Maharaja Andronicus Comnenus menawan Nicaea kemudiannya, beliau menyula semua tentera bangsa Turki itu. Selanjutnya pada tahun 1299, Uthman bin Urtughul berazam untuk mengambil kembali wilayah Islam di Nicaea dan kemudian Bithynia serta Bursa. Misi Uthman ke atas kota-kota utama ini mendapat tentangan hebat dari bala tentera Byzantine yang dihantar dari kota Konstantinopel.
“Penawanan dua bandar itu akhirnya berjaya. Dengan mendapat mandat sebahagian besar suku kaum Turki yang pelbagai, Uthman bin Urtughul mengukuhkan kesultanan Uthmani yang dirintis sejak tahun 1299 dengan rakyat mengangkat beliau sebagai Sultan Khalifah Uthmaniah pertama.
“Sejak itu beliau menggariskan visi kesultanan yang dinamakan Impian Uthman, iaitu pembebasan Konstantinopel.”
** Grafik: Perang Manzikert antara Byzantine dan Saljuk.
Fragmen-fragmen lain >>
** Hakcipta Terpelihara Web Sutera.
Published on October 08, 2012 03:59
August 29, 2012
Ebook Hudud - Nota Kecil Hudud kepada Non-Muslim

Cukup sesuai untuk dihadiahkan terutama sekali kepada rakan-rakan non-muslim berbangsa Cina kerana selain dalam bahasa Melayu, ia juga ada terjemahan dalam tulisan Mandarin.
Klik di sini untuk download, insya-Allah.
Untuk rakan-rakan Muslim, Hamba Allah mesti dengar dan taat. Ibadah puasa, solat dan zakat adalah wajib. Arak, judi dan membuka aurat adalah haram. Tidak usah buat kajian dari sudut apa pun.
Hukum hudud dan qisas, perintah Allah wajib ditunaikan. Masyarakat majmuk atau tidak. Tidak usah dikaji apa sebabnya. Itu perintah Allah. Buat dahulu, kemudian kalau mahu kaji dalam berjilid-jilid kitab pun, silakan. Manusia dan jin mesti dengar dan taat. Jangan menjadi seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang mendengar dan membaca kitab Taurat dan Injil, namun tidak taat.
Jangan halalkan apa yang diharamkan Allah dalam al-Quran. Dengar dan taat! Orang yang menolak al-Quran adalah hamba derhaka dan tiada otak
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisaa, ayat 65)
Published on August 29, 2012 22:15
August 21, 2012
Status FB Aidilfitri: Ramlee, Palestin dan solat

Buat teman-teman yang bertanya, saya dan Tuan RAM ibarat burung pipit dengan enggang, bak semut merah dengan gajah. Namun beliau dan saya senang berukhuwah, walaupun ada pandangan berbeza, tetapi setiakawan dan persefahaman itu yang menjadi ikatan.
Terima kasih kepada keluarga dan sahabat sekitar KL dan Selangor yang berkunjung ke rumah di Aidilfitri pertama semalam. Kata Tuan AttOkz Dikulgai, "Rasa mee soto Chef Hana (Lusiana Adnin) yang power, serta sambal lado mudo yang pedas berasap."
“Sajian yang memang first class! Masih teringat-ingat cendawan goreng dan sambal. Fuh! Makanan memang super sedap. Asyik makan yang terhidang depan mata sampai tak sempat makan soto (di belakang). Rasa rugi.” -- Puan Dayang Aminah, isteri Tuan RAM.

I do not hate people
Nor do I encroach
But if I become hungry
The usurper's flesh will be my food
Beware …
Beware …
Of my hunger
And my anger!
(Mahmoud Darwish)
Hari ketiga: Anak keempat, seorang putera bernama Rayyan Hisyam berumur 5 tahun bernyanyi, "Solat jangan lupa, tiang agama." Terima kasih, sayangku, justeru memberi tazkirah buat abahmu.
** Kredit foto: Puan Dayang Aminah.
Published on August 21, 2012 06:14
August 7, 2012
Buku Fixi: Popular tidak jual HILANG dan MURTAD

Menjawab pada segala persoalan berbangkit.
Setelah menerima naskhah contoh buku Fixi yang bertajuk "Murtad" dan "Hilang" dari Greakbudaya. Kita mula menelaah satu persatu dan kita dapati ada beberapa perkataan yang tidak sepatutnya dan tidak sesuai untuk dibaca oleh pembaca-pembaca remaja khususnya.
Sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang buyer, kita perlu tahu apakah isi kandungan setiap buku itu adakah ianya bermanfaat atau tidak untuk dipasarkan. Buyer juga perlu tahu isi kandungan buku tersebut bagi membuat keputusan sama buku tersebut sesuai dipasarkan di tempat-tempat tertentu atau tidak. Apa yang penting, seorang buyer itu perlu tahu, berapakah kuantiti yang perlu dipesan bagi setiap cawangan kerana permintaan bagi setiap cawangan adalah berbeza.
Oleh itu setelah dikaji, kita dapati beberapa perkataan kesat yang ada di dalam buku ini tidak sesuai untuk bacaan remaja mahupun dewasa. Antara perkataannya adalah seperti yang terkandung dalam muka surat:
Buku MURTAD:
a) M/S 9, perenggan 1, "Haram jadah, bangang juga si Adudu tu."
b) M/S 9, perenggan ke 3 "Herr celaka betoi".
c) M/S 11, perenggan ke 7 "Pergi Mampos la sial!."
d) M/S 12, perenggan ke 5 "Engkau, sama lelaki tua tu...Boleh pergi mampos"
e) M/S 82, perenggan 1 "Cilaka Boleh. Aku dah kata dah...aku dah kata dah.
f) M/S 85, perenggan 3 "Ini kalau abang aku tau yang teloq aku ada kat telinga, sahih dia gelak kaw-kaw punya kat aku. Nak haram betoi!"
Buku HILANG:
a) M/S 167, perenggan 7 "Kuat betul drug yang Ikhsan bagi aku semalam. Sekarang aku cakap ada ritma".
b) M/S 199, perenggan 4 "Kadang-kadang mulut kau ni macam celaka kan? Harap-harap ko dapat bini kaki pukul".
c) M/S 225, perenggan 5 "Payu dara dibiarkan tidak bertutup, lalu berayun-ayun bila dia berjalan menghampiri meja solek".
d) M/S 229, dialog "cipetlah kau" maki Jo sebelum dia memelapkan mata.
Seperti yang kita sedia maklum, walaupun dalam masyarakat kita hari ini ramai orang Melayu yang sudah berfikiran moden atau urban, namun saya percaya di luar sana masih ramai lagi memegang teguh pada ajaran agama Islam dan mempunyai nilai-nilai murni dan berakhlak mulia.
Hanya segelintir sahaja dari mereka yang sudah lupa atau tidak mahu mengikut ajaran agama Islam kerana mereka tidak benar-benar memahaminya. Tambahan pula ibu bapa di zaman ini sibuk bekerja, jadi tiada masa untuk mendidik anak-anak dengan baik. Kurang penerapan nilai-nilai murni di kalangan anak-anak dan oleh ibu bapa, hanya mengharap guru-guru yang mengajar disekolah.
Jika kita lihat dalam masyarakat kita kini, pelbagai kesalahan tingkah laku yang dilakukan oleh remaja-remaja kini sehingga, lahirnya anak luar nikah, gengsterisme, bulisme, mat rempit dan sebagainya. Ini kerana mereka ini tidak diajar dengan ilmu agama yang secukupnya dan kurangnya kasih sayang menyebabkan ramai remaja yang memberontak, jadi mereka mengambil jalan untuk lepak dengan rakan-rakan sehingga ada diantaranya melakukan perkara-perkara yang salah disisi agama dan undang-undang.
Selain dari itu faktor persekitaran yang kini semakin meruncing di mana jiran tetangga tidak lagi menghiraukan antara satu sama lain, yang menyebabkan anak-anak membesar mengikut persekitaran, jika persekitarannya baik maka anak-anak itu akan besar kemungkinan menjadi baik atau sebaliknya.
Oleh itu kita perlu menerapkan lebih banyak bahan bahan bacaan ilmiah yang boleh sedikit-sebanyak mempengaruhi pemikiran remaja pada zaman ini, agar mereka menjadi orang berguna.
Jadi sebagai insan yang bertanggungjawab kita perlu berkongsi ilmu-ilmu yang baik dengan semua orang. Salah satu cara untuk menyebarkan ilmu ada dengan menyediakan bahan-bahan bacaan yang bermutu dan berkualiti yang memberikan panduan kepada pembacanynya. Begitu juga dengan buku-buku agama yang perlu diperbanyakkan lagi di dalam pasaran kini, buku-buku ilmiah seperti buku agama Islam, akan dapat membentuk Muslim yang berhemah.
Memandangkan purata pelanggan di Popular kini adalah terdiri daripada keluarga, maka saya rasa buku-buku ini tidak sesuai untuk tetapan umum terutamanya untuk remaja kerana banyak bahasa kesat yang ada di dalam buku ini. Bak pepatah orang dahulu kala, melentur buloh biarlah dari rebungnya.
Saya tidak bermaksud untuk menuding jari terhadap buku-buku Fixi di atas apa yang berlaku pada masa kini. Seperti yang kita semua sedia maklum, sikap remaja pada zaman sekarang, mereka amat teruja untuk mengetahui serba serbi perjalanan kehidupan. Dengan sikap ingin tahu yang melonjak, ianya akan mendorong mereka untuk mencari pelbagai bahan, tidak kira bahan tersebut adalah buku atau melalui internet. Jika selama ini perkara-perkara sulit itu disimpan, tetapi hari ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk mereka diperolehi. Apabila terlalu banyak bahan bacaan seperti ini disogok kepada remaja, lama kelamaan keperibadian mereka akan sedikit terkesan.
Saya berharap agar pihak tuan, berlapang dada menerima penjelasan saya ini. Walau bagaimanapun kami bukanlah berniat untuk menghalang kemasukkan buku-buku Fixi, jika ianya bersesuaian dengan konsep kedai buku kami yang berkongsepkan kekeluargaan kami pasti akan memesannya juga.
Oleh itu kami akan cuba, menapis terlebih dahulu apa jua bahan bacaan yang bakal masuk ke kedai kami demi masa hadapan anak-anak kita nanti.
Hanya inginkan yang terbaik untuk semua.
Terima Kasih.
-- Azrina Binti Azmi, Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu.
7 Ogos 2012.
Published on August 07, 2012 08:04
August 3, 2012
Mazhab penulisan Teknik Surah Yusuf, sekadar contoh mudah

Durga menengking sambil menuding jari telunjuk ke arah Sunan. "Kau hendak melawan aku dengan hanya menggunakan sebilah pedang usang?"
Sunan tetap berdiri terpacak di atas sebongkah batu besar di tebing sungai itu, tanpa melarikan pandangan tajam ke wajah musuhnya, Durga.
@@@@@@@@@@
"Bonda, anakanda berhajat mahu ke baruh memancing. Pada hemat anakanda, sekarang ini ikan banyak," kata Sulan sambil memandang bondanya yang sedang membasuh kain di atas sekeping papan di tepi telaga.
Badariah, bonda Sulan, tekun membasuh kain-kain yang diamanahkan oleh seisi keluarganya. Matahari sudah agak tinggi di langit. Jalur-jalur cahaya menembusi daun-daun pokok rambutan yang menaungi sekitar telaga yang menjadi sumber utama air keluarga Badariah.
"Pergilah, tapi hati-hati berjalan atas batas kerana batas-batas di baruh licin, hujan malam tadi," ujar Badariah memberi nasihat kepada Sulan.
Sulan tersenyum dan menghampiri bondanya, selajur menyalami penuh tertib. "Terima kasih, bonda," kata Sulan sambil mengangkat batang buluh kecil yang dibuat joran di atas bahunya.
"Anakanda pergi dulu," bicara Sulan teradun kasih serta hormat semasa lalu di depan bondanyanya, sambil membongkok sedikit.
@@@@@@@@@@
Walaupun demikian, dalam penulisan novel Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad, saya selang selikan Teknik Surah Yusuf dengan teknik ayat naratif, juga teknik sendiri tanpa sebarang teori penulisan. Ia datang dari pengalaman membaca.
Salah satu bentuk penulisan kreatif Teknik Surah Yusuf dan teknik sendiri.
Bab 50, Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad | Kota Konstantinopel, Ogos 838 Masihi
Riuh perbualan dalam kota Konstantinopel. Di segenap ceruk kota orang memperkatakan akan kematian Maharaja Theophilos di medan perang Anzen.
“Kau ada dengar berita maharaja kita mati?” Tanya seorang tentera yang sedang berkawal di atas be
nteng kota.
“Betul atau sekadar cakap-cakap orang?” Rakan pengawal yang sedang memegang tombak panjang bertanya sebagai jawapan.
“Tidak akan pokok bergoyang sekiranya tiada tiupan angin, kawan. Ini bukan perkara main-main. Kalau Tuanku tidak terbunuh, masakan cerita itu sudah tersebar.”
“Emm, betul juga,” gumam pengawal yang memegang tombak itu.
“Sudah kecoh. Nasiblah kita nanti. Siapa pula yang menaiki takhta empayar ini?”
Khali. Langit petang dibumbungi awan hitam berarak perlahan-lahan
“Habis itu siapa pengganti baginda?” Tanya rakan ketiga yang sedang bersandar di dinding benteng. Dia baru sahaja selesai bertugas mengawal menara benteng.
“Entah!” jawab kedua-dua rakannya hampir serentak.
Setibanya di Konstantinopel, Maharaja Theophilos dikejutkan dengan berita yang tersebar itu. Plot untuk menggantikan maharaja baharu juga sedang berjalan.
Namun dengan ketibaan Maharaja Theophilos yang cedera parah menghentikan sekejap kekecohan dan perbincangan dengan banyak tokok tambah tersebut. Kini penghuni dan tentera Konstantinopel kecoh pula melihat kecederaan serius yang terkena ke batang tubuh maharaja mereka.
Dalam pada itu, kumpulan penyokong Byzantine dan penentang Khalifah Abbasiyyah, Khurramites, sudah berkumpul di sekitar Sinope yang terletak di pantai utara Laut Hitam. Mereka memberontak dan mengisytiharkan Jeneral Theophobos sebagai maharaja. Walaupun demikian, Theophobos tidak bergerak ke mana-mana, tetap di Sinope tanpa misi berhadapan dengan Maharaja Theophilos atau membantu angkatan Khalifah al-Mu’tasim.
Fragmen: Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad.
@@@@@@@@@@
Harus diambil perhatian, Teknik Surah Yusuf mengambil struktur al-Quran khususnya Surah Yusuf dalam mengembangkan plot-plot penceritaan karya kreatif. Biasanya pada ayat dialog ia dimulakan dengan, ‘Allah menyatakan’, Allah memberitahu’, ‘ Yusuf memberitahu’, sekadar beberapa contoh.
Pada asasnya ia berdasarkan prinsip cahaya dan bunyi; cahaya kilat nampak dahulu baru bunyinya sampai. -- Ustaz Zahiruddin Zabidi.
Walaupun demikian, saya (dan penulis PTS lain) ubah sendiri teknik ini. Itu sebab saya katakan teknik sendiri dari pembacaan.
Published on August 03, 2012 00:19
July 27, 2012
Rihlah Ibnu Awang 1: Jurnal

Katanya lagi sekiranya boleh, ibu meminta supaya saya menulis semula catatan tersebut memandangkan antara minat saya ialah bidang penulisan. Saya pun meneliti apa yang dicatat oleh ibu. Ianya merupakan sebuah jurnal ringkas dari sudut pandang seorang wanita dan ibu.
Saya memulakan proses adaptasi dari catatan ibu tersebut perlahan-lahan, kerana saya bimbang apa yang ibu mahu sampaikan tersasar. Dalam masa yang sama, saya sedaya upaya memodenkan bahasa dan kaedah penceritaan supaya ianya mudah difahami dan tidak mengelirukan. Dari pembacaan jurnal tersebut, saya menyedari ada bahagian-bahagian tertentu ibu pernah ceritakan kepada saya dan anak-anak beliau yang lain.
Saya mula mengukir kembali sudut pandang, rasa, curahan hati dan harapan ibu ini setelah ketiadaanya di dunia fana, menghadap Allah Yang Maha Esa. Namun buat beberapa ketika, jemari seni ini menjadi kaku, sukar benar untuk menari di atas papan kekunci laptop. Ia bukan disengajakan, hanya Allah yang Maha Tahu apa hikmahnya. Hasrat untuk menulis semula dan menyiapkan jurnal ibu dengan penambahan rihlah Ibnu Awang muncul tidak berapa lama kemudian.
Dalam proses nukilan dan adaptasi tersebut, saya memasukkan maklumat-maklumat tambahan yang saya ingati. Dalam penambahan tersebut, saya cuba menyelami sanubari seorang ibu. Walaupun saya seorang lelaki, tetapi hati budi, luahan rasa dan pandangan ibu dapat saya serap dengan baik, insya-Allah.
Saya mengolah semula keseluruhan gaya penceritaan ibu. Saya meraih kembali ingatan dan kenangan bersama ibu di sepanjang kehidupan. Saya membuat penambahan dan pemantapan di sana-sini. Saya penuhi lompang-lompang di mana perlu supaya rihlah (travelog) kehidupan ini boleh diambil manfaat oleh para pembaca.
Kerap juga saya melihat kembali foto-foto kenangan bersamanya. Mungkin dari situ saya beroleh sedikit sebanyak kekuatan mengolah dan mentafsir apa yang ibu ingin sampaikan.
Ibu adalah seorang wanita yang tabah meraduk riak dan gelombang kehidupan. Banyak cabaran berjaya ditempuhinya bersama ayah. Mereka berdua bersama-sama mendidik saya dan adik-adik menjadi insan yang tahu menilai baik dan buruk.
Walaupun pembelajaran ibu dan ayah tidak setinggi mana lantaran faktor kemiskinan, namun minda mereka tajam dan berwawasan. Mereka telah merancang masa depan dengan baik dalam ruang lingkup kesedaran bahawa penentu segala ialah Allah Yang Esa. Moto mereka mungkin menyamai moto saya, iaitu usaha, doa dan tawakal.
Ini ialah sebuah rihlah kehidupan. Harapan saya semoga ada kandungan yang merupakan catatan awal ibu dan sebarang penambahbaikan dari saya dapat memberi manfaat kepada pembaca. Sebarang manfaat walaupun sekelumit.
Kini kedua-dua orang tua saya sudah tiada. Ayah dahulu yang pergi meninggalkan saya dan adik-adik. Beberapa tahun kemudian ibu pula menyahut seruan Ilahi.
Terimalah rihlah kehidupan ini. Tidak merantau merentasi dunia fizikal sehingga ke seluruh benua, melainkan sebuah rihlah dalam ruang lingkup jiwa dan pemikiran yang tidak bertepi. Ia juga sebuah dimensi kehidupan demi hijrah.
Sebuah kisah penghijrahan keluarga Melayu dari Besut, Terengganu ke Jerantut, Pahang dari leluhur Jawa dan Patani. Sebuah cacatan perjalanan dan curahan pengalaman dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya.
Ia juga mengandungi rihlah seorang anak lelaki bernama Ibnu Awang, sang penulis yang hina dina di penglihatan Allah Taala andai tanpa cinta-Nya yang tidak bertepi, yang dimanifestasikan dalam setiap penciptaan dan rahmat-Nya yang Maha Agung.
--- Bersambung.
Published on July 27, 2012 17:22
July 19, 2012
Testimoni Hijab Raja Zulqarnain: Memberikan pilihan genre yang lebih meluas

Hijab Raja Zulqarnain dihasilkan berdasarkan kepada sebuah buku yang bertajuk Alexander Adalah Zulqarnain hasil karangan Muhammad Alexander atau Wisnu Sasongko. Justeru itu, novel ini bagus dibaca sama ada selepas membaca atau dibaca bersama-sama secara beriringan dengan buku mengenai Alexander Agung seperti yang dinyatakan di atas untuk memudahkan pemahaman pembacaan para pembaca.
Mengenai novel ini, penulis novel Web Sutera menggunakan pendekatan penceritaan yang agak unik dan tidak seperti lazimnya ditemui di dalam novel-novel sejarah yang lain. Penceritaan novel Hijab Raja Zulqarnain ini diceritakan melalui perspektif seorang watak yang bernama Zamri yang mengembara merentasi masa ketika berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dengan bantuan Tok Janggut, moyang Zamri, Zamri berubah watak menjadi Sangarius ketika berada sezaman dengan Alexander Agung. Di sana, dia bertugas sebagai jurucatat / jururekod sejarah rasmi untuk Alexander Agung. Walaupun demikian, gaya penulisan orang ketiga tetap dikekalkan dengan penulis sendiri bertindak sebagai pencerita utama.
Dari segi bahasa, bahasa Melayu yang digunakan adalah standard dan mudah untuk difahami. Terdapat beberapa perkataan dan istilah yang agak janggal, namun,penulis memberikan maksudnya di dalam ruangan glosari di bahagian akhir novel. Selain itu, peta dan gambar yang berkaitan juga turut disediakan untuk rujukan pembaca.
Pada masa yang sama, saya turut mendapati beberapa kekurangan yang wujud di dalam novel ini. Pertama,perkembangan dan pembangunan watak Alexander Agung yang kurang mantap dan teliti. Akibatnya,perasaan empati terhadap watak tersebut agak kurang.
Kedua, kekurangan unsur-unsur penarik minat pembaca seperti cinta, komedi, emosi, thriller dan lain-lain unsur penarik yang berkaitan. Kekurangan kedua ini boleh dikaitkan dengan kekurangan yang pertama. Akibat ketiadaan unsur-unsur seperti yang dinyatakan di atas, telah menyebabkan jalan cerita novel ini agak mendatar dan kering.

Walau bagaimanapun, di sebalik kekurangan-kekurangan ini. saya tetap beranggapan novel ini berjaya dihasilkan dengan baik dan tidak mengecewakan. Satu bonus tersembunyi novel ini adalah para pembaca dapat mengetahui sejarah misi pembebasan Alexander Agung secara santai dan mudah tanpa perlu merujuk kepada buku-buku lain yang membincangkan perkara yang sama tetapi dengan isi kandungan yang mungkin agak 'berat' untuk dihadam oleh sesetengah pembaca.
Malah, secara peribadi, saya mengalu-alukan kehadiran novel yang sebegini untuk menyerikan lagi industri perbukuan di negara kita. Keberadaan novel ini di pasaran juga umpama memberikan pilihan genre yang lebih meluas kepada para pembaca dan peminat buku di Malaysia, di mana industri buku kita dibanjiri dengan novel-novel cinta yang kadang-kala mutunya bertaraf novel picisan!
Saya mendoakan dan mengharapkan bahawa penulis novel ini, Web Sutera, akan terus menghasilkan buku-buku cereka atau bukan cereka pada masa hadapan.
-- Ulasan dan komentar Tuan Hilmi Isa dari Goodreads Malaysia.
** Alhamdulillah. Terima kasih atas komentar yang membuka horizon pandangan saya, insya-Allah. Dari 5 bintang, beliau berikan 4 bintang kepada novel ini.
Baca testimoni lain di sini.
Published on July 19, 2012 18:20