Web Sutera's Blog, page 10

July 24, 2013

Menulis dan terus menulis

Buntu? Minta pandangan dari orang-orang atau sahabat yang boleh dipercayai. Kongsi, debat dan lestarikan. Saya ulang, ikhlaskan niat kerana Allah.

Buntu lagi? Amalkan doa-doa mustajab, atau minta dengan Allah secara terus dalam bahasa dan gaya sendiri. Solat sunat agar Allah mudahkan segala usaha.

Beliau terus menulis dan menulis. Baca penuh dari blog editor Galeri Ilmu.

Tambahan dari saya. Insya-Allah, ini bukan tip dari belajar secara rasmi, ia adalah amalan sang penulis ini. Bukan penulis mapan, namun saya terus lestarikan ilham dari Allah itu.

@@@@@@@
Tidak berapa lama kemudian, Syeikh Bayram mengangkat kepalanya. Beliau memandang wajah Sultan di hadapannya dengan tersenyum manis, lalu berkata, “Allahu-Akhbar! Menurut firasat saya, bukan Tuanku yang dapat menakluk kota itu, tetapi putera Tuanku.”

“Ya Allah! Saya tiada anak lelaki lagi. Bagaimana?” Wajah Sultan Murad II penuh tanda tanya.

“Insya-Allah, Sultan, Tuanku akan dikurniakan seorang putera yang baik, beriman dan gagah.”

“Isteri saya hamil?”

Syeikh Bayram mengangguk.

** Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH .
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 24, 2013 09:06

July 18, 2013

Usaha menulis diteruskan, insya-Allah

Terkena pada saya. Namun, ada baiknya ialah terbejat untuk satu buku, boleh mula tulis buku lain. Sama-sama bermuhasabah. Terima kasih, Tuan Resha Hamzah atas perkongsian ini. Molek. Apa dia? Ayuh baca tip penulisan dari editor novel / fiksyen penerbit Galeri Ilmu Media Grup, Tuan Amir bin Abdul Hamid, dipetik dari blognya .

Banyak penulis yang sudah menyiapkan separuh daripada karyanya namun hilang momentum penulisan secara tiba-tiba. Faktornya? Ada banyak.

Contohnya, bagi penulis lelaki momentum penulisan terhenti apabila kerja terlalu banyak di pejabat, masalah anak, masalah itu ini. Sudahnya terlupa menyambung karyanya yang 'gantung tidak bertali'.

Bagi wanita pula, faktor lain yang boleh mengganggu adalah kerana mahu bersalin. Jadi tumpuan sudah lari 360 darjah.

Untuk mengekalkan momentum penulisan:

1. Betulkan niat dan sentiasa berdialog dengan Allah. Sebagai contoh, "Ya Allah mudahkanlah tanganku ini untuk menulis ayat-ayat yang Engkau redha supaya terus lancar dan mudah difahami pembaca." Allah Maha Mendengar, jadi berdoalah.

2. Sentiasa menulis nota pada buku matlamat. Sebagai contoh tulis begini, "Saya perlu siapkan karya bertajuk, 'Nampak Sampah, Kutip!' pada hujung bulan ini.

3. Sentiasa berhubung dengan editor untuk diberikan dorongan. Kongsi masalah dengan editor.

4. Bergaul dengan penulis yang produktif supaya semangat menulis kekal segar.

** Foto atas: Saya (tengah) dan Tuan Amir bin Abdul Hamid (kiri) semasa bersiaran di radio IKIM pada suatu ketika untuk novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain.

** Dalam usaha menulis sekuel kepada buku motivasi Berfikir Gaya Champion berjudul Champion Gaya AL-FATEH, insya-Allah.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 18, 2013 08:42

July 10, 2013

Champion Gaya AL-FATEH: Sahabat-sahabat Parit Pertahan Iman

Sering kita dengar orang tua dahulu lahirkan pepatah: ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Sebelum itu harus diambil juga pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Orang-orang Melayu dahulu melihat alam dalam membentuk kata-kata nasihat dari tamsil ibarat. Indah, insya-Allah.

Dalam usaha melentur itu, peranan ulama atau cerdik pandai menjadi penting. Lahirnya generasi penerus pejuang Islam demi kebaikan manusia sejagat dibentur oleh mereka yang ikhlas kerana Allah dan demi kelangsungan hidup sebelum mati.
Para pemuda yang ikhlas berjuang tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi murahan. Mereka mentaakul dengan nasihat ulama yang setia bersama perjuangan Islam. Mereka bergerak dengan niat kerana Allah, demi tegakkan Islam yang janjikan pahala jihad yang suci di sisi Allah.
Kisah ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi kerana ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah hatta dipertaruhkan nyawa sekalipun justeru menyedari yang nyawa adalah pinjaman Allah. Ilmu yang benar akan memimpin kita kepada Allah, dan ini yang diajarkan oleh ahli ibadat sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli sihir istana adalah batil semata-mata.
Tawakal dan berserahnya pemuda itu kepada Allah menyebabkan bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat negeri itu mendapat hidayah dan beriman kepada Tuhan Yang Esa. Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini tertera dalam surah al-Buruj dan diterangkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad (SAW) dalam hadis Baginda. Shuhaib bin Simaan Armi mengatakan bahawa Rasulullah (SAW) bercerita seperti di bawah dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Nasa’i.
Pada suatu masa dahulu ada seorang raja bangsa Yahudi yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila sudah tua, pada suatu ketika ahli sihir itu berkata kepada raja, “Kini saya mencapai usia tua dan mungkin telah dekat ajal saya. Justeru pohon tuanku kirim kepada saya seorang pemuda yang dapat saya ajarkan kepadanya ilmu sihir.”
Maka raja berusaha mencari seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu, dan menemuinya. Pemuda itu diarahkan agar belajar dengan ahli sihir diraja.
Di tengah jalan di antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu ada tempat seorang pendita (ahli ibadah) yang mengajar agama. Pada suatu masa pemuda itu singgah di tempat pendita untuk mendengar pengajiannya. Pemuda itu tertarik dengan ajaran pendita itu sehingga jika dia terlambat datang kepada ahli sihir, maka dia akan dipukul, dan bila terlambat kembali ke rumahnya juga dia dipukul oleh ahli keluarganya. Justeru dia mengadu tentang kejadian itu kepada pendita.
Maka diajar oleh pendita, andai terlambat datang kepada ahli sihir, katakan, “Saya ditahan oleh ibu saya”, dan bila terlambat kembali ke rumah katakan, “Saya ditahan oleh ahli sihir.”
Beberapa lama kemudian, pada suatu hari ketika pemuda itu hendak pergi ke rumah pendita untuk belajar agama, secara mendadak di tengah jalan ada seekor binatang buas sehingga orang ramai tidak berani berjalan di tempat itu. Pemuda itu berkata, “Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih baik di sisi Allah, apakah ajaran pendita atau ajaran ahli sihir.”
Lalu dia mengambil sebutir batu dan berdoa, "Ya Allah! Andainya ajaran pendita itu lebih baik di sisi-Mu maka bunuhlah binatang itu supaya orang-orang dapat lalu lalang di tempat ini.”
Lalu dilemparkan batu itu, dan langsung terbunuh binatang yang menjadi penghalang. Orang ramai gembira kerana telah dapat melalui kembali jalan itu.
Justeru dia memberitahu kejadian itu kepada pendita. Pendita itu berkata, “Kamu kini memperoleh pesan dari saya, dan kamu akan diuji. Jika diuji jangan sampai menyebut nama saya.”
Takdir tentukan yang kemudiannya pemuda itu dapat menyembuhkan orang buta dan sopak, dan berbagai macam penyakit yang berat-berat pada semua orang. Namanya terkenal.
Ada seorang pembesar dalam majlis diraja raja Yahudi, dan dia buta kerana sakit mata. Ketika dia mendengar berita ada seorang pemuda dapat menyembuhkan pelbagai macam penyakit, maka dia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak.
Pembesar istana itu berkata, “Sembuhkan saya, dan saya sanggup berikan kepadamu apa saja yang kamu suka.”
Pemuda itu menjawab, “Saya tidak dapat menyembuhkan seseorang pun sedang yang menyembuhkan hanya Allah Azza wa Jalla. Sekiranya tuan mahu beriman kepada Allah, maka saya akan berdoa semoga Allah sembuhkan sakit tuan.”
Pada masa itu juga pembesar itu beriman kepada Allah dan didoakan oleh pemuda itu. Seketika itu juga pembesar itu sembuh dengan izin Allah. Kemudian pembesar itu kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya.
Raja bertanya, "Hai Fulan! Siapakah yang menyembuhkan mata kamu?”
Pembesar itu menjawab, "Rabb, Tuhan saya."
“Beta?”
"Bukan! Tuhan saya dan Tuhan tuanku, yakni Allah.”
Raja Yahudi itu menjadi marah dan bertanya garang, "Apakah kamu mempunyai Tuhan selain beta?”
Dengan berani pembesar itu menjawab, "Benar, tuanku! Tuhan saya dan Tuhan tuanku ialah Allah.”
Maka diseksa oleh raja seberat-beratnya sehingga terpaksa pembesar itu memberitahu raja akan pemuda yang mendoakannya agar sembuh.
Sebaik mendengar khabar itu, raja segera memanggil pemuda itu menghadapnya di istana. Raja berkata, "Duhai anak muda! Sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta, sopak dan berbagai macam penyakit!”
Pemuda itu menjawab, “Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Hanya semata-mata Allah Azza wa Jalla.”
"Adakah beta?”
“Tidak!”
"Adakah kamu ada Tuhan lain selain beta?"
"Ya, Tuhan saya dan Tuhan tuanku hanya Allah.”
Maka pemuda itu ditangkap dan diseksa dengan seksaan yang berat. Kemudian akibat tidak tertahan dan dipaksa secara kejam, pemuda itu memberitahu raja perihal pendita yang mengajar agama Tuhan Yang Esa, yang turut didengarnya.
Tidak berapa lama kemudian tentera raja menangkap orang alim itu dan dibawa ke istana. Dia dipaksa untuk meninggalkan agama tauhid Tuhan Yang Esa, tetapi pendita tetap bertahan dan tidak mahu beralih agama. Akibatnya sang algojo, dengan arahan raja, mengergaji pendita dari kepala sehingga terbelah dua badannya. Maka dia pun syahid dalam imannya kepada Allah.
Kemudian raja masih menyuruh pemuda itu tinggalkan agama tauhid yang dianutinya, namun dia tetap enggan. Raja sangat murka, justeru keluar perintah agar dia diheret ke puncak gunung. Ketika berada di puncak gunung itu, arahan raja dibaca, yakni kata dua sama ada masih tetap dalam agama Allah atau dilempar ke bawah. Pemuda berani itu tetap teguh dengan imannya, tidak mahu mengikut titah perintah raja zalim itu.
Pemuda itu berdoa, “Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta (Ya Allah! Selesaikanlah urusan mereka ini dengan aku mengikut kehendak-Mu).”
Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka yang berada di situ jatuh dari atas gunung dan mati semuanya. Pemuda itu selamat, dan bersegera kembali menemui raja di istana.
Melihat kehadiran pemuda itu tanpa orang-orang atau tentera suruhannya, raja bertanya, “Manakah orang-orang yang membawa kamu?”
Pemuda itu menjawab, "Allah yang menyelesaikan urusan mereka.”
Lalu pemuda itu diperintah untuk dibawa ke laut dan kemudian menaiki perahu. Apabila sampai di tengah laut ditanyakan padanya jika dia mahu mengubah kepercayaannya. Sekiranya masih berdegil, dia akan dilemparkan ke dalam laut.
Pemuda itu berdoa, "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta.”
Sejurus itu juga, semua tentera yang membawanya ke tengah laut mati tenggelam. Pemuda itu segera kembali menghadap raja Israel (Yahudi) itu.
Sang raja hairan justeru pemuda itu masih hidup. Dia bertanya, “Bagaimana keadaan orang-orang yang membawa kamu?"
Pemuda itu menjawab sekali lagi, "Allah yang menyelesaikan mereka.” Kemudian dia menyambung, “Tuanku tidak akan dapat membunuh saya, kecuali jika tuanku menurut apa yang saya beritahu.”
“Apakah perintah kamu?”
“Tuanku kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu tuanku gantung saya di atas tiang. Kemudian tuanku ambil anak panah milik saya ini dan letakkan di busurnya, kemudian bacalah ‘Bismillahi Rabbil ghulam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini). Selepas itu tuanku lepaskan anak panah itu, maka dengan itu tuanku dapat membunuh saya.”
Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja. Ketika anak panah mengenai pelipis pemuda itu, tatkala darah mengalir laju, dia mengusap dengan tangannya dan meninggal dunia.
Semua orang atau rakyat yang melihatnya berkata, “Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu.”
Sesudah itu datang orang memberitahu raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhan pemuda itu, yakni Allah. Sang raja semakin kecewa dan murkanya semakin menggelegak.
Justeru sang raja memerintah tentera agar di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api. Raja bertitah, “Siapa yang tidak mahu keluar dari keyakinannya, bakarlah hidup-hidup dalam parit itu.”
Justeru berbaris-baris rakyat dan mereka didorong secara paksa masuk ke dalam parit berapi itu. Mereka tetap teguh percaya kepada agama Allah yang dianuti oleh pemuda itu.

Tentera sang raja tanpa belas kasihan terus melaksanakan arahan raja itu. Sampai akhirnya diseretlah seorang wanita yang sedang menggendong bayinya. Imannya teguh dan sanggup mati, tetapi wanita itu mundur  sebaik melihat api yang bernyala-nyala justeru kasihan dengan anak kecil yang digendongnya.

Alih-alih bayi itu berkata kepada ibunya, Wahai bonda! Bersabarlah, kerana sesungguhnya bonda di atas al-haq.”
“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.
“Celakalah kaum yang menggali parit, api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.
“Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
“Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).(Al-Buruj 85: 1 – 10)
Teguhnya iman pemuda itu akhirnya diserap oleh semua rakyat negeri sang raja Bani Israel yang kejam itu. Mereka sanggup mati dalam pertahankan kepercayaan kepada keEsaan Allah, biarpun dibakar di dalam parit berapi.
Ada maklumat yang mengatakan jumlah rakyat raja Israel yang dibakar itu sekitar 20 ribu orang. Ashabul ukhdud ini adalah kisah kumpulan Muslim penganut agama Tuhan Yang Esa yang dibawa oleh Nabi Isa sebelum era Nabi Muhammad (SAW) di Najran, rajanya ialah Dzu Nuwas dari dinasti Himyar di Yaman sekitar abad kelima Masihi.

Sahabat Rasulullah (SAW), Ibnu Abbas berkata, “Kisah ini terjadi 70 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad."
Pemuda dan ulama saling memerlukan.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 10, 2013 16:53

July 7, 2013

Ibrah kisah Nabi Musa lawan Firaun

Bahasa Indonesia yang baik. Sebuah teori konspirasi era Bush bapa dan anak lawan Osama bin Laden dan gerakan militer Islam di seluruh dunia, juga bayangan masa depan, insya-Allah. Saya suka metod penulisannya. Khatam buku Musa vs. Fir'aun ini.Bacaan tambahan, sebuah buku lain ialah  Sins of the Father: The Life & Crimes of George Bush, Sr .I strongly recommended this book to those who want to know in depth on how this George Herbert Walker Bush, the forty-first President of the United States came to power. Full of conspiracy; walks like conspiracy, talks like conspiracy, and acts like conspiracy. (Klik di sini, insya-Allah)Siapa teroris?Berkaitan: The Hunt For Bin Laden.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 07, 2013 19:36

June 18, 2013

Erti cinta Al-Fateh dalam misi Kombat Armagedon

Insya-Allah, saya tidak gila. Ini juga bukan lorong karat yang menjual buku-buku lama dan baharu, tapi situasi terkini meja kerja saya. Dalam mengejar tarikh akhir 1 Oktober 2013, ia semakin bertambah. Ini sebahagian sahaja, ada lagi dalam bilik beradu.

Semasa bekerja di siang hari, saya sering kali membuka pintu. Kalau ada orang melihat, pasti nampak kepala saya sahaja.
Sebelum itu sudah beberapa kali terdengar, “Abang! Bila mahu kemas meja itu? Kalau tidak, Si akan kemaskan.”
Saya menjawab, “Jangan! Jangan kemas! Nanti abang payah mencari buku-buku yang dikehendaki.”
Ketika membaca dan menulis:
1) Kadang kala mahu sunyi, sunyi sangat;
2) Kadang-kadang dengar lagu metal!;
3) Kadang "Hai budak-budak ini. Bising betul!";
4) Sesekali dengar muzik perang;
5) Sesekali "Mana budak-budak ini? Sunyi betul!";
6) Acap kali dengar mengaji Al-Quran.
Bukan aku mengemis simpati sesiapa
Buat penawar duka amat lara;
Aku sedari diri umpama kaca
Sekadar memohon kenal erti cinta.


Erti cinta hanya pada Allah, justeru sedar diri umpama kaca, bisa berkecai tidak berpeta. Itu cinta AL-FATEH dalam fikir diri ini siapa.
** Terus menekuni penulisan fiksyen Kombat Armagedon .
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2013 16:42

June 13, 2013

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami, 2 hari 1 malam di De Palma Hotel, Shah Alam

Peluang untuk mereka yang benar-benar berminat menghasilkan karya kreatif sebagai medium dakwah telah muncul!

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami selama 2 hari 1 malam ini dianjurkan oleh LangitIlahi Consultancy dan Galeri Ilmu Media Grup, untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin menceburkan diri ke medan penulisan, atau mahu mengasah lagi mata pena agar mampu meningkatkan lagi kualiti penulisan anda yang sedia ada.
Dengan barisan penyampai seperti Ummu Hani Abu Hassan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, disertai barisan editor Galeri Ilmu Media Grup seperti Haji Zakaria Sungib, Tuan Nasri Nasir, dan Tuan Amir Abdul Hamid, ini nyatanya sebuah bengkel intensif yang dinanti-nanti ramai, insya-Allah.
Selain penyampaian panel, para peserta juga diberi peluang membentangkan sinopsis novel mereka kepada para editor untuk dinilai. Jika berjaya, maka usai sahaja bengkel intensif ini, anda akan terpilih menjadi penulis untuk syarikat Galeri Ilmu.
Peserta mestilah membawa sinopsis karya mereka (sinopsis penuh, bab demi bab) ke bengkel. Jika sinopsis tidak penuh, bakal penulis boleh membawanya sewaktu bengkel dan akan dibantu oleh editor serta trainer yang berkenaan.
Bengkel ini akan diadakan pada 22 -23 Jun 2013, di De Palma Hotel, Shah Alam. Yuran hanya RM750, sekali dengan makan dan penginapan (diwajibkan bermalam). Pendaftaran boleh dilakukan dengan menghubungi Cik Suriyati di talian 03- 6142 1614.
Tempat terhad hanya untuk 30 peserta sahaja. Jangan lepaskan peluang!
TENTATIF
Hari Pertama, 22 Jun 2013
8.00 – 8.45 am: Pendaftaran peserta.
8.45 - 9.00 am: Majlis pembukaan.
9.00 - 10.15 am: Slot 1 - Niat dan Disiplin, Kuasa Penulisan - Tuan Hilal Asyraf.
10.15 - 10.30 am: Minum pagi.
10.30 – 11.15 am: Slot 2 - LDK: Merangka Sinopsis Novel Secara Berkumpulan - Editor Galeri Ilmu.
11.15 – 11.45 am: Slot 3 - Mind Your Language - Editor Galeri Ilmu.
11.45 am – 1.00 pm: Slot 4 - Menajamkan Pena Seorang Da'ie - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
1.00 – 2.00 pm: Solat Zuhur dan makan tengah hari.
2.00 – 3.15 pm: Slot 5 - Interaksi di Medan Siber - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil & Tuan Hilal Asyraf.
3.15 – 4.30 pm: Slot 6 - Proses Berkarya: Dari Sinopsis Kepada Manuskrip - Puan Ummu Hani Binti Abu Hassan.
4.30 – 5.00 pm: Solat Asar dan minum petang.
7.00 – 8.00 pm: Makan malam, solat Maghrib, tazkirah ringkas.
8.15 – 9.15 pm: Slot 7 - Karya Yang Diterima Editor - Tuan Amir Abdul Hamid (Editor Novel Galeri Ilmu.)
9.30 pm – 12.00 am: Slot 8 - Pembentangan Sinopsis (1) - Editor-editor Galeri Ilmu.
Hari Kedua, 23 Jun 2013
6.00 am: Solat Subuh berjemaah, Pengurusan Diri.
7.00 – 8.00 am: Slot 9 - Karya Yang Menarik Pembaca - Tuan Hilal Asyraf.
8.00 – 8.30 am: Sarapan.
8.30 – 10.00 am: Slot 10 - Pembentangan Sinopsis (2) - Editor-editor Galeri Ilmu.
10.00 – 11.00 am: Slot 11 - Mengatasi 10 Halangan Penulis - Tuan Zakaria Sungib (Ketua Editor Galeri Ilmu).
11.00 – 11.30 am: Minum pagi.
11.30 am – 12.30 pm: Slot 12 - Teknik Menulis Bab Pertama - Cikgu Wan Zayuhisham.
12.30 – 1.00 pm: Slot 13 - Latihan Menulis Bab Pertama.
1.00 – 2.00 pm: Makan tengah hari dan solat Zuhur.
2.00 – 3.00 pm: Sesi penilaian dan pemilihan sinopsis oleh Editor.
3.00 – 4.00 pm: Majlis penutup dan minum petang, bersurai.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2013 16:56

June 10, 2013

Testimoni Konstantinopel: Rating 5 bintang tidak cukup

"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya adalah sebaik-baik pasukan" – Hadis Rasulullah (SAW)

Hadis di atas sangat mengesankan malah jika menceritakan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel pasti hadis ini dijadikan sebagai kapsyen utama.
Novel sejarah yang terlalu banyak ilmu di dalamnya. Perkisahannya juga panjang bermula dari tatkala Nabi (SAW) dengan mukjizat baginda semasa peperangan Khandak sehingga percubaan sahabat-sahabat Rasul (SAW) yang berusaha menakluki kota ini, sehinggalah seorang anak muda yang hanya berusia 21 tahun tika merealisasikan sabda junjungan.
Selain itu penjelasan terhadap fitnah ke atas Saiyidina Muawiyah juga memberi pemahaman yang berbeza setelah banyak versi riwayat yang pernah saya baca sebelum ini. Kisah Abu Ayub Al-Ansari yang mahu dikebumikan di depan pintu gerbang kota membuatkan saya sangat kagumi sehingga mengalirkan airmata.
Secara ringkas ada 3 kumpulan yang saling bercerita mengenai cubaan dari pihak tentera Islam untuk menakluk Konstantinopel dalam sela masa yang berlainan;
(1) Muhammad Nabil seorang anak remaja yang bijak berusia 15 tahun bagi saya adalah refleksi Sultan Muhammad Al-Fateh yang berfikiran cerdas tika muda remaja – pada masa sekarang..
(2) Abdul Kudus dan Sutan Gunung (mereka ini dari kelompok jin) yang berdiskusi mengenai Konstantinopel – suatu masa sebelum kelahiran Sultan Muhammad dan selepasnya.
(3) Grisham Gale, Mavi dan Sarah Mirza – pada penghujung daulah Turki Uthmaniah. Pembacaan tidak akan keliru kerana terdapat masa, tahun pada setiap bab yang bercerita. Dialog-dialog para pencerita juga mudah untuk difahami, jadi tidaklah terfokus sahaja dengan fakta-fakta yang diberikan.
Percubaan demi percubaan dari pihak Islam untuk menawan Konstantinopel, silih berganti empayar kerajaan Islam, namun misi jihad ini terus menerus sehingga kota itu dapat ditawan. Pada tika kelahiran Sultan Muhammad Al-Fateh semakin bertambah keterujaan untuk bersama beliau membuka Kota Konstantinopel seperti yang disabda Rasul (SAW). Didikan awal yang bermula dari kanak-kanak menjadikan Sultan Muhammad seorang pemimpin yang menepati seperti yang di sabda Rasul (SAW).
Saya menelusuri KPPAF pada 29 Mei 2013 bersempena dengan ulang tahun ke 360 tahun pembukaan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Mengambil masa 5 hari untuk menghadam novel sejarah setebal 885 mukasurat ini. Nilai sejarah yang terdapat didalamnya tidak ternilai, dan rating 5 bintang juga tidak mencukupi untuk saya mengkelaskan ilmu di dalamnya…terlalu bernilai.
Saya sangat kagumi penulis dengan ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat menulis dan memberi ilmu kepada pembaca. Tahniah kepada penulis, Tuan Web Sutera!
Tajuk: Konstantinopel: Kibaran Panji-panji Al-Fateh
Penulis: Web Sutera
Terbitan: Galeri Ilmu

** Oleh Secondhand Novel di grup BukuTigaLima.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 10, 2013 16:11

June 5, 2013

Mulakan Langkah Champion (3): Pelatih dan Juru Perunding

Kami syorkan tahap-tahap laluan kerjaya, dengan izin Allah. Antara laluan yang mampu dirintis oleh setiap orang yang melangkah dari dunia belajar ke alam kerjaya, dan akhirnya bersara mengikut peranan atau jawatan adalah seperti yang tertera dalam aturan tujuh tahap di bawah:

Pelajar --> Pelatih -->Pekerja --> Pegawai --> Pengurus --> Usahawan --> Juru Perunding

(1) Pelajar – Menimba ilmu mengikut sistem pendidikan negara, seperti sekolah kebangsaan, menengah dan melangkah ke IPTA / IPTS atau universiti di luar negara. Atau mengikut sekolah agama dan universiti di dalam atau luar negara seperti di Al-Azhar, Mesir, Jordan, Madinah dan lain-lain negara

(2) Pelatih – Semasa di universiti, pelajar mendapatkan tempat sebagai pelatih di syarikat, badan berkanun, agensi kerajaan atau institusi yang memberikan tempat untuk para pelajar mendapatkan latihan industri. Semasa menjadi pelatih, pelajar mendapat pendedahan dunia kerjaya dan suasana sebuah syarikat korporat atau agensi kerajaan yang terbabit.

(3) Pekerja – Para siswa atau siswi lepasan universiti atau kolej mendapat pekerjaan di sektor awam atau swasta, iaitu di jabatan kerajaan, badan berkanun, agensi kerajaan atau syarikat swasta.

(4) Pegawai – Sesudah melalui beberapa bulan atau tahun, pekerja mendapat kenaikan pangkat dan meningkat dalam kerjaya.

(5) Pengurus – Apabila memegang jawatan pekerja dan pegawai, seseorang penjawat awam atau swasta dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus atau penyelia. Peningkatan seterusnya dalam kerjaya setelah pengalaman bertambah dan prestasi memuaskan pihak jabatan atau syarikat. Pemegang jawatan mungkin memegang jawatan itu sehingga hari dia bersara atau mungkin dia mendapat kenaikan pangkat lagi ke jawatan yang lebih tinggi.

(6) Usahawan – Pekerja yang sudah meningkat dalam kerjaya meletak jawatan demi mengejar impian untuk membuka perniagaan sendiri, yakni menjadi usahawan. Dia menceburi bidang perniagaan sebagai kontraktor, pembekal, penjual produk, malah tidak kurang juga yang bergiat dalam bidang latihan. Malah ada juga apabila bergiat dalam bidang latihan, dia membekalkan produk latihan kepada bekas majikannya atau pihak yang dikenalinya semasa bekerja di sektor awam atau swasta itu.

(7) Juru Perunding – Pada peringkat ini seseorang usahawan itu sudah menceburi bidang kemahirannya selama lebih daripada lima belas hingga dua puluh tahun. Oleh yang demikian kemahirannya itu sudah memungkinkan dia menjadi pakar rujuk serta pakar yang diminta nasihatnya dalam bidang yang diceburinya. Pada tahap ini juga, pihak yang perlukan khidmat kepakaran beliau sanggup membayar harga yang tinggi semata-mata demi mendapatkan khidmat nasihat. Pada ketika ini dia layak digelar sebagai juru perunding atau konsultan.

Sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi, semua laluan ini bermula ketika seseorang itu berumur 7 tahun iaitu Peringkat 1, dan Peringkat 7 dicapai ketika dia berumur 58 tahun atau mungkin lebih awal, bergantung pada perancangan dan pelaksanaan perancangan seseorang itu.

Adakah kamu menganggap seseorang yang berumur 58 tahun sebagai seorang yang sudah lanjut usia dan sebaik-baiknya dia bersara atau lebih layak menghabiskan masanya di masjid atau surau?

Sebelum kita menjawab ‘ya’ kepada soalan di atas, mari kita berhenti sejenak dan meneliti kisah perjalanan hidup Nabi Muhammad (SAW). Ya, Rasulullah (SAW).

Baginda mula bertugas sebagai penggembala kambing biri-biri pada umur awal remaja lagi. Semasa remaja Baginda mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib menyertai rombongan dagang ke Yaman dan negeri Syam (Syria). Ketika berumur 25 tahun Nabi Muhammad (SAW) berkhidmat memperdagangkan barangan pemodal Khadijah binti Khuwailid.

Semasa berumur 40 tahun Baginda dilantik oleh Tuhan menjadi Rasul. Tiga belas tahun Nabi Muhammad (SAW) menyebarkan agama Islam di Makkah, manakala sepuluh tahun berikutnya di Madinah.

Perang Badar, yakni peperangan pertama yang dihadapi oleh orang Islam pimpinan Nabi Muhammad (SAW) berlaku pada tahun kedua Hijrah. Pada masa ini Nabi Muhammad (SAW) berusia sekitar 55 tahun! Zaman sekarang, pada usia ini seseorang pekerja swasta sudah mencapai waktu dia bersara daripada bertugas. Sedangkan Nabi Muhammad (SAW) baru sahaja menghadapi peperangan yang pertama.

Cuba bandingkan dengan cadangan pakar suatu bidang yang kita bincangkan di atas. Tahap perunding ini semasa berumur 58 tahun. Pada tahap ini pekerja sektor awam sudah mencapai umur bersara dari khidmat sektor awam.

Pada usia 58 tahun, kita sudah menceburi bidang kemahiran kita selama lebih kurang 34 tahun. Cuba bayangkan betapa lamanya masa yang kita habiskan bertugas di bidang tertentu itu. Pelbagai pengalaman yang kita telah lalui dan betapa bernilainya ilmu pengetahuan yang kita pelajari. Tentu kita mempunyai jaringan sahabat dan rakan serta kenalan yang ramai sejak dari mulai bertugas pada usia 24 atau 25 tahun. Tentunya ramai rakan sebaya kita yang telah menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.

Jadi tidak hairan kita menjadi seorang perunding atau konsultan yang menjadi tempat rujukan pelbagai pihak dalam industri atau bidang kita. Bukan sahaja mereka mahu mendengar nasihat kita dan menjadikannya  panduan, malah mereka sanggup membayar kita dengan upah atau yuran perunding atau fi konsultan yang lumayan. Malah bukan mereka yang tetapkan harga, tetapi terpulang kepada kita untuk menetapkannya. Sebut sahaja berapa harganya, mereka yang mendapatkan khidmat kita itu sanggup membayarnya tanpa banyak soal. Tiada pun yang mahu meminta diskaun. Malah semakin tinggi fi konsultan yang dikenakan semakin tinggi pula prestij yang dirasakan oleh pelanggan kita.

Adakah semua ini sesuatu yang mustahil serta tidak masuk akal? Bagaimana caranya untuk kita mencapai tahap itu?

** Insya-Allah, ini siri ujana kerjaya sebagai langkah champion. Penulis kongsikan untuk kebaikan bersama. Andai ada penerbit yang sudi, penulis sedia ketengahkan tulisan ini ke dalam buku.

Sebelumnya: Mulakan langkah Champion (1)
Mulakan Langkah Champion (2): Hakikat Kerjaya
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 05, 2013 16:13

May 30, 2013

Novel sejarah bersumber epik, Taurat, Bible dan Al-Quran

Allah berungkap dalam Al-Quran, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu”. (Surah Al-Naml, ayat 69)

Banyak kali dalam Al-Quran Allah menyebut dan menyuruh hamba-Nya agar mengembara. Menurut pakar tafsir, terdapat dua belas kali ungkapan serupa atau sama erti ditemui dalam kitab suci umat Islam itu. Dalam pada itu, sebahagian besar kandungan Al-Quran adalah kisah dan ceritera. Perkisahan sejarah makhluk dan manusia.
Sejarah? “Bosanlah subjek sejarah!”, “Malas aku dengan sejarah. Asyik kena hafal tarikh, nama dan peristiwa sahaja!”, “Aku tak suka sejarah! Payah mahu menghafal!”
Itulah ungkapan yang sering kita dengar, atau kita yang berkata demikian, terutamanya semasa di bangku sekolah. Sahabat Rasulullah (SAW), Abdullah bin Mas’ud berkata, “Jika kalian menginginkan ilmu, maka telaahlah Al-Quran kerana di dalamnya terdapat ilmu generasi manusia pertama dan terakhir (atau ilmu umat dahulu dan mendatang).”
Orientasi peperiksaan yang perlukan pelajar menghafal menjadikan subjek sejarah atau tawarikh menjadi bosan, terasa tidak penting dan bahkan timbul pertanyaan, “Buat apa belajar sejarah?”
Pada hemat saya sang fakir ini, apa yang perlu bukannya ‘menghafal’ secara harafiah, tapi yang terlebih utama ialah memahami sejarah tertentu, terutama sejarah Islam dan bangsa sendiri. Dalam pada itu dalam menelaah sejarah bangsa sendiri, jangan pula bertujuan untuk rendahkan bangsa-bangsa lain tanpa sebab yang munasabah.
Ya, memahami dan mentaakul apakah yang ditulis oleh sejarawan, terutamanya yang ikhlas menulis, bukannya berdasarkan tujuan jahat lagi busuk. Kalau setakat menghafal, burung kakak tua pun boleh. Burung gembala kerbau pun boleh!
Suruhan Allah itu bukan setakat berjalan di atas hamparan muka bumi ini, bahkan mengelilingi dunia demi meraih banyak bukti konkrit akan peristiwa yang telah terjadi. Maknanya lebih luas dan bermanfaat sekiranya sejarawan, dan kita sebagai majoriti umat manusia menelaah apa kejadian alam ini. Apa ibrah atau pengajaran daripada umat-umat yang pernah berbuat onar jahat di atas muka bumi, yang telah musnah atau hilang itu.
Dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Allah tidak berikan ilmu-Nya hanya untuk orang-orang Islam sahaja. Seperti juga rezeki, Allah berikan kepada semua hamba-Nya yang berusaha. Justeru sejak lama dahulu, ramai cerdik pandai bukan Islam meneroka kisah-kisah manusia yang pupus, dan kemudian mereka dokumenkan. Kita boleh ambil hasil kajian mereka itu, insya-Allah. Harus dimaklumi, majoriti daripada kita tidak berupaya mengembara apatah lagi menjalankan kajian arkeologi terhadap tinggalan manusia silam.
Mengapa Al-Quran mengandungi ceritera dan mengapa Allah secara khusus menyuruh hamba-Nya berjalan? Insya-Allah, ia justeru kerana sejarah bakal berulang, seperti mana kata-kata Abdullah bin Mas’ud di atas.
Berjalan atau membaca catatan sejarah bererti membaca masa lalu untuk memahami masa sekarang dan mentafsir masa hadapan. Walaupun masa depan masih tetap dalam ilmu Allah yang Maha Agung, namun dengan izin-Nya juga kita dapat belajar sesuatu. Itu pasti.
Sungguh alam tidak tempang, justeru alam juga makhluk Allah yang sentiasa dan tetap kekal benar dalam tindakannya. Hanya kita - jin dan manusia serta makhluk lain - yang selalu berlaku tidak adil terhadap amanah yang diberikan oleh Allah. Justeru alam buana ini hanya menurut titah perintah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Membalas.

Dalam menulis novel sejarah ini, sekiranya wujud elemen-elemen samar (dan selalunya begitu) saya merujuk kepada tiga sumber utama; (1) Sastera, catatan atau lagenda / epik orang terdahulu, (2) Taurat (Perjanjian Lama) dan Bible (Perjanjian Baru) yang sudah diubah, dan akhirnya dibetulkan dengan sumber paling ampuh - (3) Kitab Al-Quran dan hadis Rasulullah.
Dari sebuah buku, dicatatkan bahawa:
“Para sejarawan membahagi catatan sejarah kepada dua kategori utama. Pertamanya sejarah khusus yang menurut kebiasaannya sesuai dengan hasrat penulis atau senario penguasa di suatu ketika, atau boleh juga disebut sebagai pandangan etnosentris setempat.” Jelas yang kategori ini boleh sahaja rentan (bahagian yang lemah atau berbeza dari fakta sebenar), dan bakal wujud di sana-sini penyimpangan serta pandangan yang tidak adil. Justeru akibatnya ialah ketidakbenaran dan keikhlasan sangat diragui.
“Kategori kedua ialah apa yang disebut sebagai sejarah umum. Kategori ini berasas di atas kebenaran dan fakta yang tidak berdolak-dalih. Ia terungkap di atas peristiwa benar dengan ungkapan bersih daripada tohmahan jahat. Jenis sejarah ini berorientasi kepada usaha membahas pelbagai peristiwa masa lalu dengan tujuan mengambil sudut positifnya.” Tambahan dari saya ialah mengambil ibrah mana yang baik dan belajar agar bahagian yang busuk dihindarkan. Maka akhirnya catatan sejarah kategori ini boleh dijadikan rujukan tuntas untuk manfaat seluruh manusia.
Justeru, dalam menulis beberapa novel sejarah, saya merujuk epik sesuatu bangsa, Perjanjian Lama (Taurat), Perjanjian Baru (Bible), dan Al-Quran yang turut merangkumi tafsir para ulama silam dan kontemporari. Seterusnya penemuan dunia Barat dan Islam di era moden. Akhirnya lakukan rujuk silang dengan tafsir Al-Quran. Saya seimbangkan teks antara ayat-ayat naratif dan dialog (terutamanya dialog dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah akan diambil terus).
Di tempat / sub-plot tertentu mungkin elok gunakan Teknik Suraf Yusuf yang dianjurkan oleh Puan Ainon Mohamad, guru saya yang mencungkil bakat sang penulis ini. Contohnya adakan watak tambahan, seperti dialog di bawah untuk sifat-sifat sesuatu peristiwa:
Seorang lelaki bertanya kepada temannya yang berada di sisinya, "Kau nampak bagaimana Nabi Nuh mengajak anak dan isterinya naik ke bahtera ini?"  
Temannya menjawab, "Ya, aku nampak. Kasihan aku lihat Nabi Nuh. Keadaan semakin gawat, ombak bertambah besar dan hujan semakin lebat.” 
"Mengapa anak dan isterinya degil sangat?" 
Teman lelaki itu berkata sambil menunjuk ke arah isteri dan anak Nabi Nuh, "Aku pun kurang pasti. Kasihan Nabi Nuh kerana isteri dan anaknya hanyut dibawa arus deras.” 
“Apa boleh buat.”
Ambilan sumber Barat dari Taurat dan Bible serta epik tidaklah sesuatu yang tidak boleh sama sekali. Justeru epik juga adalah catatan peristiwa di suatu tempat bagi suatu bangsa atau negara atau kaum. Mungkin yang wajib diteliti adalah elemen-elemen tokok tambah yang tidak benar, yang seharusnya diisih sebaik mungkin.

Semasa sesi Sanggar Penulis Bersama Web Sutera di hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013) yang lalu, seorang pelajar IPTA bertanya, “Adakah novel sejarah boleh diambil rujukan sebagai bahan utama pembelajaran sejarah?”
Jawapan saya secara ringkas, “Harus difahami novel sejarah antara lain terisi persepsi atau sudut pandang penulis terhadap latar suatu peristiwa. Walaupun demikian, penulis yang ikhlas dan benar-benar mengkaji subjek yang ditulis wajib menintakan apa yang benar, walaupun pahit. Ia masih tetap sebuah novel dengan dialog-dialog bayangan, namun ia berakar dari ayat naratif catatan sejarawan.
“Bukannya tidak boleh dijadikan rujukan utama untuk subjek sejarah di sekolah dan pusat pengajian tinggi, tapi kena berhati-hati. Boleh diambil maklumat, dan kemudian sebaiknya membuat rujuk silang bersama nota-nota atau kajian ilmiah atau buku teks.”
Ringkasnya begitulah jawapan saya. Sebagai peminat domain sejarah dan penulis novel sejarah, saya cuba sedaya upaya kekal di landasan disiplin pengkajian sejarah. Paling utama disiplin tafsir Al-Quran dan kajian hadis Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW) dikekalkan, tidak melangkau yang tidak boleh, apatah lagi yang melanggar hukum Islam. Di sini saya yang bukan seorang ustaz atau lulusan bidang agama, amat bergantung harap kepada ilmuan Islam dalam merujuk.
Oleh sebab itu, gerakan penulisan novel sejarah yang mengebu-gebu di Malaysia ini seharusnya diterima baik semua pihak. Teguran, nasihat malah melurus mana yang agak bengkok seharusnya disalurkan secara berhemah dan secara disiplin keilmuan. Bukan tohmahan semata-mata, sekadar mencari salah pihak tertentu.
Antara matlamat sang penulis fakir ini ialah, seperti juga novelis sejarah mapan negara Pak Latib, agar subjek sejarah yang dikata bosan itu dimudahkan melalui novel. Namun harus diingat selalu, kekalkan disiplin kajian ilmiah dalam bidang ini, walaupun dari sumber sekunder. Sekali lagi, apa yang amat perlu ialah memahami sejarah, bukannya menghafal tanpa melihat sisi pengajarannya.
Al-Quran bercerita, alim ulama mengkaji, manusia Islam dan kafir meneroka. Kebesaran Allah dan ilmu-Nya akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki.
Dengan nama Allah yang Maha Berilmu, saya persembahkan novel sejarah untuk anak bangsa yang dicintai. Insya-Allah, demi redha Dia yang Maha Gagah.
“Kutip, isih, tulis, baca, telaaah, sebar dan amalkan. Itulah suruhan Al-Quran. Sungguh, hikmah itu milik Mukmin yang tercicir,” tulus alam berbicara.

Akhirnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 30, 2013 18:01

May 26, 2013

Testimoni Konstantinopel: Unggul! Karya Web Sutera yang terbaharu

"Ayuh kita ajar si Muslimah itu. Aku sudah lama berdendam dengan orang Islam.Biar dia minta tolong. Kita tengok siapa yang akan datang membantunya."
Kedua-dua lelaki itu mengukir senyuman yang sarat kejahatan. Anak-anak Iblis berpesta meraikan kejayaan mereka tatkala kedua-dua lelaki itu menghampiri Muslimah tersebut. Apabila cukup dekat, salah seorang daripada mereka menyergah.
"Hoi perempuan Islam! Buat apa kau di sini?"
Herdikan kuat itu menyentak jantung Muslimah tersebut, membuat langkahnya terpasung. Dia mahu berpaling menghadap orang yang menyergah. Namun, belum sempat berbuat demikian, kedua-dua belah tangannya ditangkap seseorang. Jilbabnya disentap. Malah, jubah yang dipakainya turut terkoyak di bahagian leher. Maka, terdedahlah auratnya yang selama ini dijaga kemas daripada pandangan durjana.
Dia menangis sambil meminta belas, seraya cuba menutup semula aurat yang terdedah. Namun, usahanya tidak berhasil. Tiada kudratnya untuk melawan dua orang lelaki durjana itu. Lebih menyedihkan lagi, jeritan dan rayuannya tidak dihiraukan oleh mereka yang berada di pasar itu, kerana lelaki-lelaki yang mengasarinya ialah tentera Bizantin, Mungkin ada yang bersimpati, namun tidak berani membantu.
"Mana Tuhanmu? Mana Rasulmu? Hahaha!"
Lelaki-lelaki durjana itu terus mempermainkan Muslimah tersebut yang kian tidak berdaya. Dia semakin lemah. Pandangannya mulai kelam. Ketika itu, hanya doa yang menjadi pendinding. Sebelum rebah, dia sempat menjeritkan sesuatu.
"Waa Mu'tasimah! Waa Mu'tasimah!"
Dari kejauhan, seorang pemuda yang sedari tadi memerhati kejadian itu segera mendapatkan kudanya. Ada amarah pada wajahnya. Dia tangkas menaiki pelana kuda dan memacu laju meninggalkan pasar itu.
-- Adakah petikan di atas tidak cukup untuk membuatkan anda teruja untuk mengetahui cerita penuh di dalam novel ini?
Dalam debar, ada pengharapan. Dalam amarah, ada rasa tanggungjawab. Sememangnya novel ini merupakan karya terunggul Web Sutera yang menarik untuk dihayati. Dapatkannya segera di pasaran sekarang juga!
@@@@@@@
Konstantinopel merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan. Sebuah kota bersejarah yang dibina kembali daripada puing-puing tinggalan koloni Greek yang membinanya dalam abad ke-7 Sebelum Masihi.
Kemegahan kota Konstantinopel dicemburui pelbagai pihak, termasuk daripada pihak di Rom, Itali, dan kerajaan-kerajaan Eropah, kerana lokasinya yang strategik sebagai laluan perdagangan dan pelabuhan kapal-kapal dagangan bagi negara-negara besar dunia.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut berkenaan kota ini.
"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin, dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.”
Misi menawan kota Konstantinopel mempunyai rentetan kisah perjuangan yang tidak kurang menarik untuk direnungi.
Kepada para pembaca yang berminat mengetahui cerita penuh berkenaan kisah  Konstantinopel  ini, boleh dapatkannya di kedai-kedai buku besar berhampiran kawasan anda, atau boleh pesan secara online melalui laman web kami di www.galeriilmu.com.my.
Anda juga boleh beramah mesra bersama penulis Web Sutera melalui laman sosial facebooknya di sini.
** Komentar asal dari Buku Kita Harta Kita. ** Boleh dibeli online di sini.
Berkaitan:  Konstantinopel: Jihad AL-FATEH adalah politik Maafkan daku, duhai pembaca budiman

Beberapa catatan PBAKL 2013 di PRU ke-13 (foto)
Catatan kedua di PBAKL 2013 minggu PRU ke-13
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 26, 2013 03:40