Web Sutera's Blog, page 12

March 21, 2013

Mulakan langkah Champion (1)

Setiap tahun berpuluh ribu orang siswa dan siswi keluar dari IPTA / IPTS seluruh negara. Ada yang mencari kerja makan gaji dan ada pula yang bekerja sendiri, malah ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa pun, hakikatnya sebahagian besar daripada lepasan pengajian tinggi yang berbekalkan segulung ijazah sarjana muda atau diploma bakal menempuh alam dan pengalaman baharu.

Bagi mereka yang menjadi sebahagian daripada statistik pasaran tenaga kerja negara, catatan ini adalah untuk tatapan mereka. Kami cuba menyingkap tabir misteri dunia di luar kampus dan bilik kuliah. Bukan teori semata-mata, malah yang terlebih penting ialah pengalaman kami.

Bagi para siswa dan siswi, ini sebahagian daripada bahan rujukan bagi mulakan langkah champion. Doa kami sesungguhnya agar ia dapat membekalkan panduan bagi menempuh alam kerjaya dan industri pembangunan negara.

Cabaran hidup ini bukan alang kepalang. Walaupun demikian, langkah kerjaya harus bermula, sebagaimana hidup ini juga.

@@@@@@@
Memikir, merancang dan menulis resume bukannya tugas main-main. Begitu juga menulis sebuah cover letter yang berpengaruh, atau yang power, seperti istilah remaja masa kini. Kita mesti serius menyediakan resume kerana ia merupakan ‘Karya Agung’ bagi memastikan jawatan yang dipohon berada dalam genggaman.

Banyak kesilapan terjadi dalam menulis resume, terutamanya bagi calon yang baru ingin memulakan kerjaya. Kes ini benar untuk semua golongan, termasuk para graduan. Akibat tidak mengambil berat proses penyediaan resume secara terperinci, usaha kita menjadi sia-sia.

Pembentangan dalam catatan ini bukan sahaja merujuk banyak sumber, malah ia juga berdasarkan pengalaman penulis sendiri menjalani dunia kerjaya selama berpuluh tahun. Kami kompil, kumpul, isih dan nyatakan dalam ayat-ayat mudah supaya para pembaca boleh mengambil manfaat daripadanya.

Banyak faktor kegagalan memperoleh kerja yang diidamkan dan dalam bidang kemahiran masing-masing bukannya disebabkan kita tidak layak, tetapi persembahan resume serta cover letter tidak menarik minat pihak jabatan sumber manusia (HR). Andainya pintu pertama memasuki sesebuah syarikat, terutamanya syarikat blue chips, sudah gagal, bagaimana mungkin perjalanan kerjaya kita berjalan lancar.

Kami tidak mengatakan ujana ini apabila dibaca dan diamalkan, kita PASTI mendapat kerja yang dipohon. Kami memberi panduan dan maklumat berguna dari sumber-sumber berautoriti dan dari pengalaman sendiri. Kami mengakui bahawa kami pernah gagal dalam sesi interviu. Justeru itu kami senaraikan apakah sebab-sebab kegagalan tersebut supaya para pembaca tidak mengulanginya.

Harus diingat, kejayaan mendapatkan kerjaya idaman bukannya mudah, terutamanya di waktu dunia dan Malaysia sedang mengalami desakan ekonomi atau era inflasi. Banyak faktor yang menjadi penentu kejayaan mendapatkan kerja. Namun pada akhirnya selain dari kuasa Allah, kita mesti berusaha menjual diri secara tuntas. Jangan leka dan mudah mengalah dengan mengatakan, “Saya tidak pernah menulis resume atau cover letter.”

Ayuh mulakan gerak kerja champion! Dengan izin Allah, kandungannya boleh kita jadikan panduan, walaupun pada akhirnya kreativiti kita menjadi elemen penting, dan doa kepada-Nya.

Mulakan langkah jaguh! Selamat berusaha dan semoga berjaya.

@@@@@@@
Kita sudah menggenggam segulung dokumen kelulusan, tidak kira apa namanya: sijil, diploma, ijazah sarjana muda, masters atau falsafah kedoktoran (Ph. D.).

Kita juga sudah menghantar resume berserta sepucuk surat yang berjaya menawan hati penerimanya, lalu kita dipanggil menghadiri interviu.

Apa perasaan kita: gembira, gementar, atau bimbang? Gembira kerana akhirnya kita sudah semakin hampir dengan sebuah jawatan idaman? Gementar sebab kita merasa belum lagi bersedia untuk bersemuka dengan panel penemu duga yang mungkin ‘menyoal-siasat’ kita sehingga kita tidak mampu menjawab soalan? Atau bimbang kita mungkin melakukan kesilapan semasa interviu, lalu peluang kita mendapatkan jawatan yang dipinta itu pun hancur berkecai?

Walau apapun perasaan kita, bahagian ketiga ini memberikan panduan serta tip-tip yang berguna bagi calon menghadapi interviu untuk jawatan idaman itu. Kemahiran menghadapi interviu semakin meningkat apabila semakin banyak sesi interviu yang dilalui. Apapun, rasa percaya diri semakin meningkat apabila jawatan yang dipohon bersesuaian dengan kelulusan akademik dan pengalaman bekerja yang kita lalui.

Selamat maju jaya!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 21, 2013 18:29

March 10, 2013

KOMBAT ARMAGEDON (1)


Pangkalan Madinah, Tahun 2579 Masihi

“Komghazi,” Jeneral berkata sayu kepadanya, “kami sungguh bimbang dengan keadaan tuan. Majlis Syura bersedih seandainya kami kehilangan tuan." 

Komghazi Sulaiman Pasha menyahut, “Jeneral, terima kasih atas keprihatinan Majlis Syura. Saya sungguh terharu dan berbangga dengan tanggungjawab yang diamanahkan. Insya-Allah, andai bukan ajal saya, hidup lagi dalam meneruskan misi jihad ini.” Di akhir kata-kata, matanya sedikit bergerenyit menahan sakit.

Melihat keadaan Komghazi Sulaiman, Jeneral berkata, “Usah bergerak lagi, Komghazi. Tetap duduk di situ.” Lantas beliau bergerak pantas dan memaut bahu ketua jurutera itu sebagai topang untuk berdiri.

Jeneral menambah, “Kami tahu kesetiaan dan semangat Komghazi. Kami dimaklumkan akan tahap luka. Ia agak teruk, beberapa tulang rusuk patah disamping kecederaan kaki tuan. Saya cukup risau akan keadaan tuan."

“Bukan serius sangat pun, Jeneral.”

Beliau menyuruhnya diam lalu berkata, “Usah nafikan luka itu, Komghazi. Kita tetap manusia, berasa sakit. Tuan akan saya bawa ke panel doktor untuk rawatan segera dan terperinci. Tiada dalih lagi. Andai ingin terus berjuang, fizikal mesti dalam keadaan sihat.”

Komghazi Sulaiman Pasha hanya tersenyum. Sebentar cuma, senyuman itu sirna menahan sakit. “Sebelum itu, Jeneral,” dia menyeluk ke dalam baju perisainya dan mencapai satu cakra, “Ambil ini dan berikan kepada kumpulan saintis kita. Saya percaya maklumat yang dirakam sangat penting untuk misi kita.”

Cakra itu bertukar tangan, lantas diserahkan kepada Dr. Umar Dunayev. “Sila segera teliti isi kandungannya, Doktor. Beri laporan sebaik sahaja tahu apa di dalamnya."

“Baik, Jeneral. Insya-Allah,” Dr. Umar Dunayev segera berlalu dari bilik itu.

“Okey, Komghazi Sulaiman. Segera ke bilik perubatan. Kita sambung bual kemudian,” kata Jeneral sekali gus arahan. Beliau memeluk lembut Komghazi Sulaiman Pasha dan berbisik, “Mujur aku dapatkan akhi kembali, sahabat. Alhamdulillah.”

Jeneral berundur dan meminta pengawalnya memegang Komghazi Sulaiman Pasha, dan secara berhati-hati memapahnya ke sebuah kerusi roda. Dari situ, dia dibawa ke sayap perubatan kompleks pangkalan Madinah.

@@@@@@@
Kapal berbentuk lonjong bersayap kecil di kedua-dua sisi kiri dan kanan itu pernah diserang hebat oleh sekumpulan piring terbang di Segitiga Bermuda. Komander Ghazi Sulaiman Pasha dan beberapa orang krew hampir-hampir terkorban. Misi mengintai dan memantau di kawasan Dajjal itu membuahkan hasil lumayan. Banyak rahsia terkini teknologi kegelapan itu dapat diperoleh.
Jeneral pada mulanya ingin memusnahkan kapal itu, namun Komghazi Sulaiman Pasha mahu membaik pulih kapal kesayangannya itu. “Insya-Allah, Jeneral. Saya dan pasukan jurutera kita akan memberi wajah baharu kepada kapal ini. Doakan kami, Jeneral.” Itulah tekadnya.
Kebenaran diberikan oleh Majlis Syura pangkalan Madinah. Dengan kelolaan Komghazi Sulaiman, kapal lonjong itu ditukar dan dibaik pulih menjadi sesuatu yang baharu. Kerja-kerja dilestarikan menggunakan teknologi kejuruteraan termaju yang belum pernah diterokai oleh mana-mana negara.
Enjin kapal itu disusun semula dan direkabentuk dengan teknologi nuklear agar berkuasa tinggi. Apabila siap, kapal itu mampu bekerja dalam dua tahap. Senjata meriam laser dibuat perubahan dengan menggunakan kabel untuk bekerja dalam kaedah gelombang berkeliling osiloskop – dengan itu berupaya menembak sinar yang boleh memotong sebarang logam atau bebatuan.
Komghazi Sulaiman Pasha juga membentuk semula meriam proton dan bersedia memberi ‘impak tambahan’, seperti mana yang dia sebutkan. Kapal itu berupaya bergerak lebih laju melebihi kapal-kapal lain, mungkin menyamai piring terbang binaan kerajaan syaitan di Segitiga Bermuda. Ia juga lebih mudah dikemudikan.
Perisainya terbentuk dalam beberapa lapisan di sekeliling badan kapal dan beroperasi pada frekuensi berputar. Hasilnya, kapal itu tidak dapat ditembusi oleh sebarang senjata, baik peluru berpandu atau pancaran laser buatan terkini. Komghazi Sulaiman Pasha memberinya nama Ababil.

@@@@@@@
Tujuh tahun selepas 2579 Masihi
Dalam tempoh hampir tujuh tahun selepas pembinaan semula Ababil, banyak kali ia diguna pakai bagi operasi pengawasan dan intipan di sekitar Segitiga Bermuda dan dalam wilayah Timur Tengah, termasuk di sekitar negara haram Israel, Tebing Barat dan Gaza. Banyak maklumat rahsia dikumpul dan dianalisa, kemudian dibuat keputusan penting dalam Majllis Syura dan Sidang Komander Ghazi atau Komghazi.
Dalam satu operasi intipan, Ababil bergeral laju memintas tiga buah piring terbang di samudera rahsia di Bermuda. Kehadiran Ababil dapat dikesan oleh pihak keselamatan segitiga itu. Walaupun diserang secara berkala oleh tiga kapal musuh, Ababil dapat mengelak.
Sebaik ada kesempatan, ketiga-tiga piring terbang hitam yang sebelumnya mengejar Ababil, bertukar sebaliknya. Sasaran dikunci, dalam masa beberapa detik sinaran laser besar dilancarkan dari Ababil berwarna perak itu. Sinaran itu sangat terang sehinggakan tentera dalam Ababil terpaksa melindungi mata mereka. Apabila sinaran itu hilang dan pandangan mereka kembali, tiga buah kapal musuh tidak kelihatan lagi.
Berkecai tanpa kesan!

** Hakcipta Terpelihara 2013 WEB SUTERA.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 10, 2013 18:43

February 27, 2013

KOMBAT ARMAGEDON | Bermula sebuah misi

Ini antara buku rujukan bagi penulisan fiksyen Armagedon versi Islam, insya-Allah. Belum termasuk lagi beberapa rujukan berbahasa Inggeris lain dari pelbagai sumber. Saya tamatkan dengan munculnya Dajjal secara fizikal.

"Ya Allah, alirkan kekuatan-Mu untuk hamba yang daif ini.”

Masih meneroka maklumat awal dengan membaca buku Siapa Penghuni Bumi Sebelum Manusia. Hampir tamat. Sejarah akan berulang menjelang akhir zaman?

Makhluk seakan-akan 'manusia' (atau jin berupa manusia / makhluk bersayap) pernah maju dalam peradaban atlantis dan rama. Bahkan jauh sebelum 4000 Sebelum Masihi (tempoh beratus juta tahun?) makhluk di bumi itu pernah memasuki abad kelajuan cahaya dan teknologi nuklear.

Jin berbeza dengan malaikat. Kesemua malaikat beriman kepada Allah, sedangkan jin, ada yang beriman ada juga yang kafir seperti manusia. Sebahagian jin ada yang taat kepada Allah dan sebahagian yang ingkar.

Golongan jin seperti juga manusia, mereka memiliki pelbagai bangsa, puak dan keturunan, mempunyai sistem pentadbiran yang sama seperti manusia. Setiap puak itu mempunyai ketuanya selain raja. Dari sini terbentuk daerah pentadbiran seterusnya negeri, terakhir menjadi negara.

@@@@@@@@@@ 
Armageddon will be, according to the Book of Revelation, the site of a battle during the end times, variously interpreted as either a literal or symbolic location.

The term is also used in a generic sense to refer to any end of the world scenario. According to one premillennial Christian interpretation, the Messiah will return to earth and defeat the Antichrist (the "beast") and Satan the Devil in the Battle of Armageddon. (Sumber Kristian Barat)

Mula membaca, mengkaji, menelaah dan mentaakul suatu perkara penting dari sebuah bahan rujukan. Kemudian, insya-Allah, bakal diteruskan dengan mengkaji tafsiran hadis dan surah-surah al-Quran. Seterusnya bahan-bahan rujukan lainnya. Semua itu untuk sebuah projek novel besar yang akan dihantar proposalnya sebelum PBAKL 2013 nanti.

(1) Pharaoh Neco concerned at the increasing power of the neo-Babylonian empire, decides to go to the help of the king of Assyria on the Euphrates. For this purpose Neco must cross Canaan from end to end. The King Josiah of Jewish, who has no wish to come under the yoke of Egypt, attempts to halt Neco at Megiddo.

(2) Sekumpulan Yahudi berdebat dengan sahabat Rasulullah - berkenaan raja mereka yang akan muncul pada akhir zaman untuk kalahkan umat Islam.

Dalam membayangkan jenis senjata di masa hadapan, al-Quran memberi satu jalur sinar untuk saya, walaupun masih samar. Sudi fikirkan bersama?

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu. Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain." (Surah al-An’am, ayat 6)
 
@@@@@@@@@@
Mohenjo-daro was built in the 26th century BCE. It was one of the largest cities of the ancient Indus Valley Civilization, also known as the Harappan Civilization, which developed around 3000 BCE from the prehistoric Indus culture.

At its height, the Indus Civilization spanned much of what is now Pakistan and North India, extending westwards to the Iranian border, south to Gujarat in India and northwards to an outpost in Bactria, with major urban centers at Harappa, Mohenjo-daro, Lothal, Kalibangan, Dholavira and Rakhigarhi.

Mohenjo-daro was the most advanced city of its time, with remarkably sophisticated civil engineering and urban planning. When the Indus civilization went into sudden decline around 1900 BCE, Mohenjo-daro was abandoned. (Sumber: Wikipedia)

Malam kelmarin berjaya siapkan 10 muka surat fiksyen armagedon versi Islam ini untuk proposal kepada penerbit. Saya kongsikan sedikit.

Di sebuah perkampungan Yahudi 

Dia lelaki tinggi dan gemuk, berhidung persis paruh burung. Isterinya juga gemuk. Si lelaki berasal dari keturunan seorang dukun bangsa Yahudi bernama Syaqq, manakala si wanita daripada bangsa jin.

Wanita gemuk bangsa jin dan banyak daging itu hidup pada zaman Nabi Sulaiman, dan dia boleh berhubungan dengan makhluk-makhluk halus dari suku kaum jin yang lain. Oleh kerana kejahatannya, dia ditangkap oleh Nabi Sulaiman dan dikurung di dalam penjara.

Daripada perhubungan kedua-dua makhluk ini, lahirlah Dajjal yang ditangguhkan kematiannya oleh Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berilmu.

Rasulullah (SAW) ada mengatakan, “Seandainya Dajjal keluar dan aku masih berada di kalangan kamu, maka akulah yang berhadapan dengannya bagi mewakili setiap orang Islam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Majah juga meriwayatkan hadis lain. Rasulullah (SAW) berkata, “Dajjal itu pastinya akan keluar pada zaman kamu."

Masa berlalu sehingga ke suatu zaman nanti. Al-Masih Dajjal sedang menunggu masa yang ditentukan Allah untuk keluar menjelajah dan menjarah muka bumi. Tempat singgahnya ialah di sebelah timur, dengan menguasai teknologi kenderaan sepantas cahaya dan senjata pembinasa yang pernah digunakan dalam sengketa kaum jin.

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah seluruh umat Islam berperang dengan seluruh Yahudi. Umat Islam akan membunuh mereka sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar datanglah kamu ke sini dan bunuhlah orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok Gharqad, kerana ia adalah pokok Yahudi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Bermula sebuah misi, insya-Allah 

Sudah dapat citra penulisan fiksyen armagedon dari sisi pandang Islam. Plot utama sudah disusun. Malam ini akan bermula menulis bab-bab contoh dalam usaha menyediakan proposal. Insya-Allah, janji saya kepada editor Tuan Resha Hamzah dan bos bahagian buku Tuan Haji Zakaria Sungib akan diangkat Tuhan Yang Esa ke Arays-Nya yang Maha Tinggi.

"Ya Allah, mudahkanlah saudara kami Web Sutera dan berkatilah natijah usahanya." - Tuan Haji Zakaria Sungib
3 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2013 18:23

February 22, 2013

Bos mengelap lantai basah atau kotor, sambil mencangkung

Si cilik Aeisha Sumayyah bertanya sambil memeluk saya, "Kenapa abah kena kerja? Hari-hari kena kerja."

Saya cium ubun-ubun kepala dan pipinya, kemudian berkata, "Abah kena kerja cari rezeki pemberian Allah. Nanti dapat duit, abah belikan susu adik.”

Anak berusia dua tahun lebih itu memandang saya, terkebil-kebil.

Semasa mengangkat dan menyusun barang-barang di atas meja bufet, ada sahabat bertanya, "Kau tak malu?" dan "Mengapa tak minta aku tolong?"

Tiada istilah malu dalam urusan yang saya buat. Sapu lantai guna mop, lap meja guna tuala, bahkan saya gunakan kain tuala biasa semasa mengelap lantai basah atau kotor, sambil mencangkung.

Insya-Allah, saya mengikut gaya berniaga sahabat Rasulullah (SAW), Abdul Rahman bin Auf.

Dari satu sisi, biasakan buat kerja-kerja yang dikatakan ‘kelas bawah’ itu. Melaluinya, kita dapat rasai pahit atau peritnya kerja sebegitu. Bagi saya, asalkan kerja halal, insya-Allah, semua Allah akan berkati. 

Terkadang saya suka membebel. Mungkin banyak ketika menjadi pemerhati senyap. Namun begitu, dalam memerhati saya mengumpul maklumat. Isteri saya berkata, "Abang ini pandai menulis.”

Saya menjawab, "Abang memerhati dari sisi yang berbeza. Justeru minat ini abang kembangkan.”

@@@@@@@ 
Yee sang atau lou sang halal 

Yee sang atau lou sang adalah menu istimewa untuk Tahun Baru Cina. Sejak tahun 2011, pihak kami mula menerima pertanyaan bagi sediaan menu yee sang halal mengikut prosedur Islam. Justeru Cef Hana mengambil inisiatif untuk belajar sajian khas ini.

Versi atau kandungan yee sang atau lou sang ini banyak, mengikut kreativiti seseorang tukang masak atau cef yang menyediakannya.

Ketika satu sesi katering Tahun Baharu Cina 2013 (yang masih hangat berlangsung), seorang tetamu bertanya kepada sahabatnya, lebih kurang begini, “Kandungan sayur ini adakah?” Beliau menunjuk jenis sayur tersebut.

Rakannya itu menjawab, “Tidak kisah. Janji ia sayur. Ikut kreativiti masing-masing.”

Dari info yang saya peroleh, sajian ini dikatakan berasal dari negara China. Namun versi kontemporari dihasilkan dan dipopularkan pada era 1960-an di kalangan komuniti bangsa Cina di beberapa tempat. Paling menarik ialah hari perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia, Indonesia dan Singapura sering dikaitkan dengan menu istimewa ini.

Sepanjang pengalaman Lusiana Catering, pihak syarikat dan komuniti bangsa Cina di Kuala Lumpur dan Selangor tidak sah sekiranya sajian ini tidak disediakan di majlis sambutan Tahun Baharu Cina. Ia sebagai simbolik kemakmuran, justeru sajian ini juga disebut sebagai yee sang salmon kemakmuran (prosperity salmon yee sang).

Yusheng, yee sang atau lou sang atau memantulkan kemakmuran, adalah salad ikan mentah gaya Teochew. Ia biasanya terdiri daripada beberapa kepingan / cebisan ikan mentah (paling biasa salmon). Antara bahan-bahan lain, ia dicampur dengan sayur-sayuran yang dicincang dan pelbagai sos dan perasa."

Lusiana Catering berbangga dengan pesanan saban tahun, sejak 2011, terhadap sajian istimewa kaum Cina ini. Kami belajar dan mahu terus belajar, justeru makanan yang pelbagai ini adalah anugerah Allah untuk umat manusia.

@@@@@@@ 
Sepanjang bisnes katering yang memasuki tujuh tahun ini, pihak saya menerima sokongan dari banyak pihak. Bagi servis kanopi, kerusi meja dan pramusaji, Lusiana Catering banyak kali bekerjasama dengan Accer Event & Canopy dan Azlan Canopy (Tuan Mohd Azlan Satar).

Hubungan bisnes sungguh erat. Tuan punya Accer Event, Tuan Jazse Mohamed pernah berkata kepada saya, "Abang buat katering, saya buat kanopi. Kita kongsi sama-sama rezeki. Jangan tamak. 

Di suatu ketika, di Kolej PTPL Shah Alam. Lusiana Catering ada projek di sana. Bila tengok cop kerusi, hah Accer punya! Sebaik nampak kelibatTuan Jazse Mohamed sebaik kami sedang memunggah barang masuk ke dalam lori, saya berteriak, "Tidak ada orang lainkah?" 

Tuan Jazse Mohamed menjawab sambil tersenyum, "Pusing-pusing kita juga, bang!" 

@@@@@@@
Fakta Katering | Dalam satu majlis perkahwinan, saya dan Cef Lusiana Adnin membantu rakan di gerai BBQ kambing sebanyak 8 ekor. Sajian lain ialah coleslaw, kentang lenyet, jagung bakar dan roti bayang putih (garlic bread). Tetamu sekitar 1,000 orang.

Apa yang terjadi? Gerai BBQ kambing kena serbu! Langsai sajian itu, barulah mereka ke gerai nasi berani. Hasilnya, nasi tidak habis. Kalau ada kambing bakar / BBQ, memang kambing dahulu kena serbu.

@@@@@@@
Tarikh 21 Feb. 2013 Kuala Lumpur dan Selangor dianugerah oleh Allah dengan hujan lebat. Tunggu pramusaji di suatu lokasi. Tiada. Dia tunggu di tempat lain, saya teruskan pemanduan Jalan sesak teruk.

Tiba di Subang Jaya, cari lokasi premis bisnes klien, hujan masih lebat. Berpusing lima kali dalam lorong-lorong sempit dan sesak. Saya sedikit panik. Akhirnya, "Allahumma yassir wala tu`assir ya Kareem", yang menjadi tasbih sepanjang perjalanan menjadikan semua kemungkinan tidak baik sirna.
Allahu-Akhbar! Terima kasih, sahabat Zonan Villa kerana mengingatkan saya.

Tip Katering | Datuk Idris Haron pernah berkata kepada saya, “Dalam bisnes katering, sekiranya makanan sedap, perkhidmatannya orang tidak lihat sangat."

Walaupun begitu, seorang katerer yang baik harus melihat semua sisi servis yang disediakan. Makan adalah persepsi minda.

Satu lagi, dalam buku Buat Duit dengan Katering , saya tulis kisah konsep 'kita bos kita kuli.' Insya-Allah, saya buat apa yang ditulis. Bos atau tidak, setiap usaha kerja halal memperoleh berkat dari Allah.

Saya pernah ditegur oleh tuan rumah, ‘Lahawlawala! Bos pun basuh pinggan.”

Sebaik menoleh ke erahnya, sambil tersenyum saya membalas, “Sudah biasa, bang.” 

Allah Subhanahuwata’ala menegaskan dalam al-Quran, “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” (Surah Ibrahim, ayat 7).
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 22, 2013 17:02

February 12, 2013

Hijrah Champion: Bersama Kita Taubat

Ada seorang ulama bernama Muhammad bin Syihab Az-Zuhri. Beliau lebih dikenali sebagai Az-Zuhri, meninggal dunia pada tahun 123 Hijrah, seorang alim dan ahli fikah. Az-Zuhri tinggal di Ailah, sebuah desa antara Hijaz dan Syam. Reputasinya menyebar sehingga beliau menjadi tempat rujukan bagi para ulama Hijaz dan Syam. Beliau membukukan banyak hadis.

Az-Zuhri meriwayatkan hadis bersumber dari Abdullah bin Umar, Abdullah bin Ja’far, Sahal bin Sa’ad, Urwah bin az-Zubair dan Atha’ bin Abi Rabah. Beliau juga mempunyai riwayat-riwayat yang mursal dari Ubadah bin as-Shamit, Abu Hurairah, Rafi’ bin Khudaij, dan beberapa perawi lainnya.
Salah sebuah hadis yang dibukukan adalah kisah di bawah.
Umar bin Khattab menemui Nabi Muhammad (SAW) sambil menangis. Baginda bertanya, “Wahai Umar! Mengapa kamu menangis?”
Umar menjawab, “Ya Rasulullah! Di muka pintu ini ada seorang pemuda sedang menangis. Namun dalam masa yang sama dia telah membakar hatiku.”
Rasulullah (SAW) mengarahkan, “Bawakan dia kepadaku.”
Sebaik pemuda itu berada di hadapan Nabi Muhammad (SAW), masih lagi menangis, baginda bertanya, “Wahai pemuda! Apakah sebabnya kamu menangis?”
Pemuda itu menjawab, “Ya Rasulullah! Saya menangis justeru banyaknya dosa-dosa. Saya takut kemurkaan Allah yang Maha Perkasa.”
“Adakah kamu mempersekutukan Allah?”“Tidak, ya Rasulullah.”“Adakah kamu membunuh jiwa tanpa hak?”“Tidak.”“Maka Allah akan ampunkan dosa-dosa kamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta bukit-bukau.”
Kemudian Rasulullah (SAW) bertanya lagi, “Apakah dosamu lebih besar atau Al-Kursi?”Pemuda itu menjawab, “Dosa saya lebih besar.”“Dosamu lebih besar atau Arasy?”“Dosa saya lebih besar.”“Sesungguhnya dosa besar tidak dapat diampunkan kecuali oleh Allah yang Maha Besar, yang besar maaf dan ampunan-Nya. Duhai pemuda! Nyatakan kepadaku apakah dosamu itu?”“Saya sungguh malu padamu, ya Rasulullah.”
Rasulullah (SAW) bertanya sekali lagi, “Nyatakan kepada aku apakah dosamu itu?”
“Ya Rasulullah! Sejak tujuh tahun lalu sehingga sekarang, saya seorang penggali kubur. Pada suatu hari, saya menggali kubur seorang gadis Ansar. Saya membuka kain kafan, keseluruhannya. Kemudian saya tinggalkannya. Namun setelah saya berjalan pergi tidak berapa jauh, bangkit hawa nafsu saya. Maka saya kembali dan menyetubuhi jenazah gadis itu sehingga puas nafsu saya. Setelah itu saya tinggalkannya begitu sahaja.
“Sebelum jauh, tiba-tiba gadis itu bangkit dan berkata, ‘Celaka engkau, hai pemuda! Tidakkah engkau malu dengan Tuhan yang akan membalas pada hari pembalasan kelak, bila tiba masanya setiap orang zalim akan dituntut oleh yang teraniaya? Engkau biarkan aku telanjang, dan engkau hadapkan aku di hadapan Allah sebagai seorang jenabat (dalam hadas besar)!’”
Rasulullah (SAW) sungguh terperanjat, lalu bangkit bagaikan terdorong dari belakang. Baginda berkata, “Hai fasik! Alangkah selayaknya kamu masuk neraka. Sila keluar dari sini.”
Setelah dihalau oleh Nabi Muhammad (SAW), keluarlah pemuda itu dari tempat pertemuan. Dia bertaubat selama 40 hari. Pada hari ke-40, dia mendongak ke langit sambil berdoa, “Ya Tuhannya Nabi Muhammad, Nabi Adam dan Hawa. Andai Engkau telah ampunkan aku, maka beritakan kepada Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Jika tidak, turunkan api kepadaku dari langit dan bakarlah aku di dunia ini, dan selamatkan aku dari siksa akhirat.”
Allah memerintahkan malaikat Jibrail menemui Nabi Muhammad (SAW). Usai memberi salam, Jibrail berkata, “Ya Muhammad! Tuhanmu memberi salam kepadamu.”
Nabi Muhammad (SAW) menjawab, “Dialah As-Salam. Dari-Nya salam dan kepada-Nya segala kesejahteraan.”
“Allah bertanya, ‘Apakah engkau menjadikan makhluk?’”“Bahkan Allah menjadikan aku dan semua makhluk.”“Allah bertanya, ‘Adakah Engkau yang memberikan rezeki kepada mereka?’”“Pastinya Allah yang memberikan rezeki kepada aku dan mereka.”“Kemudian Allah bertanya lagi, ‘Apakah engkau yang memberi taubat kepada mereka?’”“Bahkan Allah memberi taubat kepadaku dan kepada mereka.”
Lalu malaikat Jibrail berkata, “Allah menegaskan, ‘Maafkanlah hamba-Ku itu, kerana Aku telah mengampunkannya.’”
Justeru Rasulullah (SAW) segera memanggil pemuda itu, dan memberitahu bahawa Allah telah menerima taubat dan memberi ampunan-Nya.
Allah berkata dalam al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan). Mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita), ‘Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’” (Surah at-Tahrim, ayat 8)
Sang bijak berkata, “Sifat orang yang mengenal Allah ada enam. Di saat teringat akan Allah, dia berbangga. Andai teringat akan diri sendiri, dia berasa rendah dan hina. Jika melihat ayat-ayat Allah (ciptaan-Nya), dia mengambil pengajaran. Manakala di ketika teringat akan dosa-dosa dan maksiat yang diperbuat, dia memohon ampun."
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2013 21:17

February 9, 2013

Konstantinopel: Teman, letih berjihad melawan Iblis

Teman, letih berjihad melawan Iblis dan konco-konconya, bukan? Andai mati, itu syahid.

Aku tetap aku
Engkau pastinya engkau
Aku tidak akan jadi engkau
Engkau mustahil jadi aku.

Aku masih ada petunjuk hikmat
Sedang engkau sah-sah dilaknat
Nyah engkau, Iblis!

Hijrah Champion

Jatuh cinta? Hati-hati ...
Bicara soal cinta
Usah mamai dalam sedar yang lena
Cuba berpaling ke belakang sejeda
Fikir bahawa ada sebuah cinta
Rasul Allah sudah berceritera
Bahawa syurga sebermula manusia.

Nyah engkau, Iblis laknat!

Penat lelah membaca, mentaakul, mengisih dan menterjemahkan kisah menjadi novel bakal dituai. Tuan dan cikpuan sabar menunggunya, insya-Allah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2013 18:12

February 5, 2013

Hijrah Champion: Berfikir dan Bertaakul

Saya berfikir dan bertaakul atas nasihat teman. Kadang-kala, bahkan sering, payah untuk bersedekah atau membantu keperluan orang lain lantaran terasa keperluan kita lebih mendesak.

Namun, andaikan kita 'terhilang' duit sekian banyak. Sangat baik ucapkan "Alhamdulillah" dan redha. Allah sudah beri jalan-Nya untuk kita bersedekah. Insya-Allah, redha pada campur tangan Allah menjadikan kita tenang. Itu sedekah.
Seorang sahabat menulis, “Lalu saya teringat bagaimana saya mempunyai seorang sahabat yang pernah membantu. Waktu itu tayar motor saya pancit, dan saya tidak mempunyai wang yang cukup.  Lantas sahabat saya itu membantu. Hingga kini saya terus mendoakan kejayaan untuk sahabat saya itu dunia sampai akhirat.”
Seperti novel-novel Tuan Bahruddin Bekri, saya juga cuba untuk menulis kisah seharian yang biasa-biasa agar menjadi luar biasa. Justeru buku motivasi / inspirasi Berfikir Gaya Champion dan 50 Sup Champion Resipi Rasulullah saya nukilkan. Alhamdulillah respons sangat baik.

Satu lagi cubaan saya ialah di Ilham Grup Buku dengan kisah Mat Katerer. Ilham itu anugerah Allah. Apa pun, ayuh lestarikannya. Paling utama ialah patuh syariah
Impian bisa digapai dengan cita-cita dan usaha, bukannya angan Mat Jenin semata-mata. Boleh berangan-angan, namun jadikan ia sebagai impian yang bakal dilestarikan. Justeru kita ada akal, bukan setakat otak seumpama sang haiwan.
Allah perintahkan agar kita hamba-Nya berdoa dan bertawakal, selepas usaha sehabis daya. Berkaitan dengan ini, ada sebuah nukilan rasa dan gerak kerja. Sebuah novela yang bukan setakat diari kecil, bahkan ditinta sebagai jalan-jalan menuju redha Allah. Sudikan ke sini .

Satu lagi misi juang demi Islam - Kesatria Samudera: Ledakan Patani .
@@@@@@@@@@
Hari Sabtu 2 Feb. 2013, adalah hari yang dikenang. Salah satunya ialah pelancaran enam judul terbaharu buku terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd, termasuk tarbiah motivasi Berfikir Gaya Champion oleh Ketua Pengarah JAKIM. Kehadiran ramai penggerak hebat penerbit menggugah jiwa bahawa saya perlu tulis banyak lagi buku.
Buku-buku terbaharu Galeri Ilmu dilancarkan oleh Dato' Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM. Sewaktu gimik serahan buku, sempat saya berbisik, "Dato', ini sebuah buku motivasi Islami." Beliau ucapkan tahniah beberapa kali untuk buku motivasi tarbiah Berfikir Gaya Champion ini.
 
Alhamdulillah. Tiba di rumah pada sebelah malamnya setelah hampir 20 minit berjalan kaki dari menghadiri Pesta Buku 1Malaysia itu. Majlis pelancaran enam judul buku terbaharu Galeri Ilmu Sdn Bhd, termasuk buku motivasi tarbiah Berfikir Gaya Champion berjalan lancar.

Berjalan kaki selama 20 minit dari stesen LRT Pandan Indah ke Kg. Pandan Dalam memang menyihatkan. Berpeluh juga dengan kasut tumit tinggi.
Bualan bersama rakan penulis dan pembaca di gerai Galeri Ilmu mencambah minda bahawa "penulis wajib ikhlas menulis". Saya ucapkan terima kasih kepada teman pembaca yang sudah miliki novel sejarah Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain dan buku panas Berfikir Gaya Champion.
Khas untuk sahabat 'pemberontak' Tuan Zonan Villa, terima kasih justeru terus memberi semangat untuk aku.

Sebelumnya, pada hari Khamis dan Jumaat yang banyak ilmu dan perkongsian. Khamis bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd, penulis yang hebat dan pengunjung Pesta Buku 1Malaysia.
Manakala Jumaat bersama di Karnival Karangkraf 2013, bersembang dan mengembang idea di sesi Ilham Grup Buku. Seronok berjimba dengan rakan, penulis dan staf Grup Buku Karangkraf. Berjumpa dengan petugas hebat - Dato' Hussamuddin, Tuan Syamil Fahim, Puan Sri Diah Shaharuddin, Puan Saadiah, Puan Firdaus, Tuan Eyman Hykal dan beberapa staf lain. Kenyang.

Grup pemberontak Buku Tiga Lima yang gila-gila mencipta sejarah tersendiri. Usia setahun jagung, tetapi riuhnya menggamit rasa di persada buku negara. Saya bersama mereka dengan baju-t merah.

Kalau benar umpama bicara 
Lestarikan ia agar berjaya 
Usah dirisau mehnah dunia 
Kelak fana di persada Maha Kuasa.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 05, 2013 21:10

January 28, 2013

Hijrah Champion Gaya Rasulullah – Hanya takut kepada Allah

Kita sering takut, termasuk saya. Macam-macam jenis takut, paling bimbang ialah fasal rezeki dan masa. Ayuh kita berubah daripada takut kepada makhluk kepada hanya takut terhadap Allah. Kita jemput rezeki masuk ke dalam kantung, bukannya menjadi hamba rezeki.

Ada jalan haram, ada jalan halal. Jemput rezeki secara guna 'bomoh' atau dengan kaedah doa dan tawakal setelah berusaha. Tarik rezeki secara tuntunan al-Quran. Tanya nurani, jangan ikut sang Taghut dan bala tenteranya.

Semasa sesi sembang buku di CyberSecurity, 23 Januari 2013, saya ada perikan hal berkaitan membaca dan mentaddbur al-Quran. Dalam buku tarbiah rohani Berfikir Gaya Champion, Bab 15, saya khususkan perihal pengukuhan mengaji al-Quran.

Saya beritahu yang saya bukan ustaz, malah ilmu agama cetek. Saya tetap bersyukur dengan apa yang ada. Ini bukan kisah duka lara, ini adalah kisah bagaimana seorang insan biasa – seperti saya, anda, kita semua – menjadi manusia Champion dalam menongkah arus kehidupan.

Saya katakan, ayuh kita baca dan tadabbur al-Quran. Paling malas ialah setengah halaman satu hari - baca, fahami dan tadabbur. Insya-Allah, bukan setakat hati berasa tenang, bahkan rezeki dan urusan menjadi mudah.

Seorang staf bertanya, "Tuan, bagaimana untuk beri nasihat kepada pasangan kita yang hilang semangat, supaya bangkit berfikir gaya champion?" 

Saya menjawab, "Insya-Allah, doa. Solat wajib jangan tinggal, buat solat sunat hajat dan taubat. Kita ada Allah, mengapa mengadu kepada orang lain? Saya pernah mengalami kekecewaan. Tapi saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rezeki Allah itu ada untuk setiap hamba-Nya yang berusaha, berdoa, bertawakal dan redha."

Moga bermanfaat.

@@@@@@@@@@ 
Semasa berbincang dengan tuan editor di Galeri Ilmu minggu lalu, sempat beliau lontarkan idea untuk buat adaptasi novel sejarah Macedonia: Alexander Agung -Hijab Raja Zulqarnain menjadi siri komik.

Setelah berbincang dengan seorang desainer, tuan editor pun berkata, "Cadangan ini akan diajukan kepada bos bahagian buku."

Cuma saya bertanya, "Berapa banyak siri yang boleh dibuat? Tebal juga novel ini.”

@@@@@@@@@@ 
KOMBAT ARMAGEDON

Usai asar pada suatu hari, saya pecut jumpa Tuan Resha Hamzah di Galeri Ilmu Sdn Bhd. Walaupun tahu beliau sibuk dan ada tugas khas, saya belasah berlabun juga. Antara isi berjimba ialah peranan editor dan penulis.

Saya berkata, "Editor yang baik bukan setakat betulkan salah ejaan sahaja." Tuan Resha bersetuju justeru beliau editor yang faham bidang tugasnya.

Akhirnya saya berkata, "Insya-Allah, tunggu sebelum PBAKL 2013, saya akan hantar cadangan novel berjudul KOMBAT ARMAGEDON. Sedang giat mengkaji."

Sepuluh buah buku, setakat ini. Belum kajian ebook lagi. Sebuah misi besar yang mulai terasa menumpuk di bahu patik. Maklumat berselirat wajib ditapis, diisih dan digabung jalin menjadi plot masa depan. Allah, mudahkan hamba-Mu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2013 16:02

January 24, 2013

Sembang dua judul buku di CyberSecurity Malaysia

Pada suatu ketika saya berborak dengan seorang rakan dari CyberSecurity Malaysia dalam Facebook. Selepas berjimba, beliau bertanya, “Kau mahu bercakap fasal buku di pejabat aku, di pusat maklumat?"

Saya pantas menjawab, “Semestinya mahu."

Lalu kami terus bersembang. Saya cadangkan dua buah buku untuk disembangkan – Novel sejarah Macedonia: Alexander Agung dan buku tarbiah rohani Berfikir Gaya Champion – yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu.

Sahabat itu bertanya, “Bila kau ada masa?" 

Saya menjawab, “Bermula bulan Februari aku sibuk sedikit dengan urusan Pesta Buku 1Malaysia dan katering. Kalau sebelum itu, insya-Allah, aku boleh.”

“Okey. Nanti aku tanya pihak pusat maklumat. Kau kenal (Puan) Zaleha?" 

“Apa tidak kenal pula. Kawan lama aku di MIMOS itu." 

“Okey. Mudah cerita." Jeda beberapa ketika. Kemudian sahabat saya itu menghubungi saya kembali. 

“Okey. Aku sudah dapat tarikh. Kau okey pada 23 hari bulan ini?”

“Insya-Allah, aku okey." Kami terus berbual beberapa perkara mengenai buku, sebelum ditamatkan dengan salam kesejahteraan. 

Pada 16 Januari, saya menerima e-mel ini. “Assalamualaikum. Apa khabar? Harap semuanya sihat sejahtera dan ceria selalu. I was informed by Redy Jeffri that you are interested to be our Book Chat sharer. Kami sangat mengalu-alukan niat Hizam itu.

“I reserve 23rd January, next Wednesday from 11.30 am – 12.30 pm (or 1.00pm) for you. Is that possible?" 

Saya menjawab e-mel itu. “Okey, insya-Allah. Terima kasih banyak dengan peluang yang diberikan. Saya akan bercakap dan berlabun berkenaan dua buah buku di bawah: 1) Novel sejarah | Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (2012)
Kategori:Novel Dewasa
Tebal: 470 muka surat
ISBN: 978-983-097-360-9
Harga: Sem. M'sia: RM20.00. Sabah/Sarawak: RM22.00 
Harga diskaun untuk staf Cyber Security: RM16.00 

2) Buku tarbiah rohani | Berfikir Gaya Champion
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (2013)
Tebal: 200 muka surat
ISBN: 978-983-097-342-5
Harga: Sem. M'sia: RM17.00. Sabah/Sarawak: RM19.00
Harga diskaun untuk staf Cyber Security: RM14.00

Sehari sebelum itu, yakni pada 22 Januari, saya bergegas ke pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara untuk dapatkan naskhah kedua-dua buku itu. Usai asar, saya pecut jumpa Tuan Amir. Sebelum itu saya sudah maklumkan akan maksud kedatangan saya untuk membeli buku bagi tujuan sembang buku.
Usai bertukar buku-buku dan duit, walaupun tahu beliau sibuk dan ada tugas khas, saya belasah berlabun juga. Antara isi berjimba ialah peranan editor dan penulis.
Saya berkata, "Editor yang baik bukan setakat betulkan salah ejaan sahaja." Tuan Amir bersetuju justeru beliau editor yang faham bidang tugasnya.
Akhirnya saya berkata, "Insya-Allah, tunggu sebelum PBAKL 2013, saya akan hantar cadangan novel berjudul KOMBAT ARMAGEDON. Sedang giat mengkaji."
Sembang buku dari 11.30am - 1.00pm; novel Macedonia: Alexander Agung dan buku motivasi tarbiah Berfikir Gaya Champion. Kesempatan juga diambil untuk menjual kedua-dua judul terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd ini. Alhamdulillah, laris.
Saya baru tahu yang perpustakaan khusus ini mengadakan sesi sembang buku pada setiap minggu. Saya teruja justeru pihak Knowledge Management Center (KMC), CyberSecurity Malaysia mengambil inisiatif ini.
Insya-Allah, saya juga turut kemukakan dua orang penulis prolifik - Tuan Ramlee Awang Murshd dan Tuan Abdul Latip- untuk dihubungi oleh pihak CyberSecurity Malaysia.

Photobucket
Laporan pelapor / wartawan CyberSecurity
KMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Web Sutera (nama sebenar Hizamnuddin Awang) di atas kesudian beliau berkongsi pengalamannya sebagai penulis dan editor.
Beliau pernah menjadi pengarang jemputan segmen mingguan ‘Sisipan Komputer’ di Berita Harian dan menulis pelbagai artikel berkaitan IT, bisnes, dan motivasi.  Setakat ini, beliau mempunyai 5 buah buku yang telah diterbitkan (tidak termasuk beberapa buah ebook). Terima kasih juga buat para hadirin yang meluangkan masa bersama kami pagi tadi.
Web Sutera memulakan sesi Book Chat kali ini dengan sedikit pengenalan tentang dirinya sendiri, bagaimana beliau mula menulis, dan apa pula yang mendorongnya untuk terus menulis.
Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain
Ini merupakan sebuah novel sejarah mengenai Alexander the Great (Alexander Agung) dari Macedonia. Web Sutera menggabungkan fakta sejarah dan unsur fantasi agar pembaca lebih berminat membaca naskhah ini.
Seperti yang dinyatakan oleh penulis novel ini sendiri, Hijab Raja Zulqarnain dihasilkan berdasarkan kepada sebuah buku yang bertajuk Alexander Adalah Zulqarnain hasil karangan Muhammad Alexander atau Wisnu Sasongko. Dari segi bahasa, bahasa Melayu yang digunakan adalah standard dan mudah untuk difahami. Bahkan, watak Alexander itu sendiri dimelayukan agar pembaca lebih mudah mengenali siapakah tokoh ternama ini.
Ada dua pendapat tentang Alexander the Great:
1) Golongan yang percaya bahawa Alexander bukan Iskandar Zulqarnain.2) Golongan yang percaya bahawa Alexander adalah Iskandar Zulqarnain. Berbekalkan fakta sejarah, kajian, temuramah dan rujukan, Web Sutera akhirnya berjaya menggarap sebuah novel yang santai tetapi padat dengan ilmu.  Tujuannya menulis buku ini adalah untuk memperbetulkan fakta, teori, dan menepis tohmahan yang dilemparkan kepada Alexander the Great (Yahudi melabel beliau sebagai pembunuh dan gay).  Buku ini cuba membersihkan kembali nama Alexander the Great, setidaknya itulah perkara yang boleh kita pelajari dari novel ini. Dan ternyata Alexander the Great dan Iskandar Zulkarnain adalah orang yang sama.

Photobucket  Berfikir Gaya Champion “Kita mungkin tidak boleh menulis buku motivasi jika kita sendiri tidak mengalaminya (kegagalan / kesukaran)”. – Web Sutera Buku yang masih hangat lagi – baru sahaja diterbitkan dan belum pun memasuki kedai-kedai buku. Buku ini dihasilkan atas kebangkitan penulis sendiri selepas melalui zaman getir.  Setelah nekad meninggalkan kerjaya, beliau berusaha gigih dalam memajukan perniagaan. Penulis tidak menafikan bahawa beliau pernah mengalami kekecewaan. Tapi beliau percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rezeki Allah itu ada untuk setiap hamba-Nya yang berusaha, berdoa, bertawakal dan redha. Ini bukan kisah duka dan lara, ini adalah kisah bagaimana seorang insan biasa – seperti saya, anda, kita semua – menjadi manusia Champion dalam menongkah arus kehidupan.

Ianya sebuah buku yang sarat dengan kisah inspirasi untuk membina semangat juang dalam diri setiap orang khasnya umat Islam, dan menjadikan Rasulullah (SAW) teladan Champion sepanjang zaman. Penulis mengajak pembaca bangkit untuk memperbaiki diri, kerjaya, dan seterusnya rezeki. Beliau mengajak pembaca berani mencuba.  Islam tidak menghalang umatnya mengejar kekayaan kerana dengan kekayaaan kita dapat bersedekah dan berjihad.  Cuma Islam mengajar kita berhati-hati dalam menguruskan kekayaan. Berfikir Gaya Champion ditulis dengan bahasa santai namun penuh tarbiah. Bagi anda yang ingin mendapatkan buku-buku karya Web Sutera ini, terdapat beberapa naskah untuk dijual di KMC. Sila dapatkan pada harga istimewa.

Photobucket   ** Kredit foto: KMC, CyberSecurity Malaysia.

Berkaitan: Berfikir Gaya Champion: Berani Tanggung Risiko dan Berani Gagal 
Champion: Allah bos kita, bukan manusia
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2013 16:39

January 20, 2013

BACA@LRT bersama Ramlee Awang Murshid meriah

Program BACA@LRT yang bermula di LRT stesen Gombak berakhir di Taman Jaya, Petaling Jaya pada 19 Januari 2013 meriah. Kumpulan massa ini kemudian berkumpul di tasik Taman Jaya, beramah mesra dengan novelis Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM), makan-makan dan bermain permainan. Insya-Allah, pulut kuning dan rendang ayam sediaan Chef Lusiana Adnin dari Lusiana Catering licin tiada berbekas.

Semasa berkumpul di sebuah gazebo tasik itu, ada beberapa pembaca membeli novel sejarah Macedonia: Alexander Agung - Hijab RajaZulqarnain dan buku motivasi Berfikir Gaya Champion , yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Jualan dibuat oleh Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC), dan saya juga autograf buku-buku itu. Moga Allah berikan keberkatan dan manfaat dari kedua-dua buku ini.

Selain juadah pulut kuning dan rendang ayam, geng yang berkumpul di tasik Taman Jaya turut dapat bersantap menu lain seperti bihun goreng, nasi lemak bungkus dan beberapa sajian lagi. Untuk menyokong RAMFC, Lusiana Catering turut sediakan menu cucur udang dan kek cawan coklat.Photobucket
Buat pertama kalinya Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid atau RAMFC mengetuai gerakan untuk program BACA@ LRT bersama Ramlee Awang Murshid (RAM). Acara ini sebagai salah satu platform untuk meraikan novel Aku Berceritayang berada di pasaran bermula Januari. BACA@LRT bersama RAM  ini juga mendapat kerjasama daripada salah seorang pengasas BACA@ iaitu Tuan Zamri bin Mohamad
Selain daripada meraikan karya terbaharu RAM yang ke-25, BACA@LRT ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Budaya membaca ini tidak terhad hanya dibaca di rumah atau perpustakaan bahkan boleh dibaca di mana-mana sahaja seperti di dalam LRT.
Istimewa BACA@ kali ini adalah pembaca digalakkan untuk membaca karya RAM, tidak kira apa pun jua tajuk yang dipilih selain daripada novel terbaharu beliau berjudul Aku Bercerita.
Program dijalankan secara bersahaja dengan mengunakan perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya dari stesen Gombak hingga stesen Kelana Jaya menuju ke Taman Jaya, Petaling Jaya. Dengan cara membaca dalam LRT ini ia dapat menimbulkan rasa kurang senang kepada penumpang yang tidak membaca. Ini jugalah  salah satu cara untuk menerapkan gaya hidup membaca dalam masyarakat.
RAMFC mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi hadir menjadi pengerak misi. Bagi meraikan pengerak-pengerak BACA@, sesi tandatangan bersama RAM diadakan di Taman Jaya sejurus selesai program.
Sambutan Jubli Perak – Novel ke-25 karya RAM
Ramlee Awang Murshid, penulis thriller no.1 Malaysia meraikan buku ke-25 beliau Januari ini bertajuk Aku Bercerita. Sejak berkarya hampir 20 tahun, beliau kini baru merasakan zaman kegemilangan dalam dunia penulisan.
Digilai kerana karya-karya yang penuh aksi suspen dan thriler, novel beliau sangat ditunggu-tunggu oleh hampir 30 ribu peminat setia beliau, bahkan oleh ratusan ribu yang lain. Karya paling mendapat sambutan adalah daripada siri Laksamana Sunan yang mencecah lebih 100 ribu naskah. Kegilaan terhadap watak Laksamana Sunan yang mencontohi tingkah laku Rasulullah (SAW) menyebabkan ada menyangka watak Laksamana ini benar-benar wujud dengan mengaitkannya dengan keturunan Wali Songo di Indonesia.
Ada juga peminat beliau mencari tempat kelahiran Laksamana ini di negeri Melaka dan berkongsi saat gembira itu bersama rakan di dalam kelab peminat penulis ini. Bukan calang-calang penulis, beliau antara yang berjaya memecahkan dominasi penulis novel-novel cinta dengan menduduki sekurang-kurang 10 tangga teratas carta buku di kedai-kedai buku utama sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Memetik kata-kata beliau semasa bercuti di Istanbul bersama keluarga berkenaan dengan buku ke-25, “25 novel bermakna 25 tahun. Alhamdulilah, saya mencapainya kurang dari tempoh tersebut. Angka 25 juga bermaksud jubli perak, sekali lagi, bahkan jutaan kali rasa syukur ke hadrat Ilahi atas kurnia ini. Justeru doa saya bersama doa kalian semua merupakan gabungan terbaik untuk terus merancang dan melaksanakannya. Untuk menghadapi semua itu maka cara terbaik adalah terus berjalan dengan tulus ikhlas dan tawakal.”

Photobucket Perancangan masa hadapan
Program akan datang RAMFC adalah berbentuk forum di Pesta Buku Antarabangsa di bawah Kota Buku pada 27 April 2013. Penyertaan RAMFC dalam program-program berkaitan dunia buku ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi  industri perbukuan di Malaysia khususnya terhadap buku bahasa Melayu.
Memetik kata-kata Pemerhati Berkecuali RAMFC iaitu Tuan Web Sutera, “Kami bukan gila, melainkan mencipta idea gila-gila. Kami bukan taksub, cuma hargai karya-karya novelis Ramlee Awang Murshid. Kami bukan sesiapa, kami ialah geng Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC)!”
Selain dapat makan-makan, autograf dari RAM dan bergambar kenangan, para peserta juga pulang dengan ole-ole berupa barang cendera hati dari Grup Buku Karangkraf dan penanda buku khas yang diberikan percuma. Selain dari itu, pembaca tegar karya novelis ini juga berpeluang membeli beberapa cendera hari yang disediakan oleh RAMFC seperti mug, baju-t dan butang khas yang merangkumi kata-kata dalam novel.
Teman dan sahabat, ini contoh ikatan ukhuwah demi memandaikan bangsa, insya-Allah.

PhotobucketPhotobucket ** Kredit foto: RAMFC dan sahabat lain.

Photobucket
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 20, 2013 15:45