Hilal Asyraf's Blog, page 96
August 30, 2013
Himmah : Maafkan Daku, Ya?
~Pic by ambusycommenting.blogspot.com/
Sejak dari kecil hinggalah besar, kalau dihitung kesalahan kita nescaya akan tidak terkiralah banyaknya.
Manusia manakah yang maksum dari kesalahan selain dari para Nabi dan Rasul?
Hatta seorang agamawan yang hebat dan dikenali ramai pun pernah melakukan kesalahan. Tidak maksum dari kesalahan.
Seorang ketua negara yang pernah melakukan kesalahan terhadap rakyatnya, bila ia berlaku jujur menyesali salah silapnya, meminta maaf kepada rakyatnya dan berusaha membaikinya, maka apakah rakyat menjadi semakin benci atau sayang kepadanya?
Seorang ayah atau ibu yang pernah menyalahi janji kepada anak-anak mereka, bila ia meminta maaf kerana tidak dapat menunaikan janjinya atas sebab-sebab keuzuran tertentu, apakah si anak semakin benci atau semakin sayang? Atau yang membuat anak semakin benci adalah kerana ibu ayah berjanji tetapi tidak menunaikannya malahan mendiamkan terus janji itu?
Seorang penjual yang mendiamkan diri dari meminta maaf kepada pelanggannya kerana telah terjual barang-barang yang rosak, apakah pelanggan itu masih akan tetap terus setia untuk mendapatkan barang dari penjual itu?
Minta Maaflah Kerana Maaf Itu Tidak Menghinakanmu
Sudah berapa banyak kesalahan kita lakukan dalam hidup ini, kita pun sudah tidak terhitung banyaknya, bahkan ada sebahagiannya yang ketika telah berlalu waktu, kita pun pantas melupakan kesalahan kita ke atas orang lain itu, malah semakin mengingati pula kesalahan orang kepada kita !
Maakan aku ya Allah atas salah silapku, selalu lalai dan alpa akan tanggungjawabku, selalu membuat-Mu murka. Hamba-Mu yang lalai, yang malas, yang kering hatinya ini selalu jauh dari-Mu, ampunkan daku wahai Tuhanku !
Maafkan aku wahai ibu ayahku, datuk nenekku dan adik-beradikku kerana ketika bersama kalian, mungkin ada hak yang tidak sempat aku tunaikan, ada peluang yang aku tidak manfaatkan, ada kata dan tindakan yang melukakan, ada hajat yang tidak sempat aku lunaskan, maafkan aku. Maafkan aku kerana aku mungkin tidak mampu menjadi anak yang baik, cucu yang membantu, dan saudara yang prihatin. Maafkan aku kerana banyaknya jasa kalian hanya mampu aku balas dengan ucapan ‘terima kasih’.
Maafkan aku wahai sahabat, teman lelaki dan perempuan yang pernah bersama dalam kehidupanku ketikamana waktu singkat pertemuan kita mungkin telah mendedahkan kalian kepada keburukanku yang banyak terhadap diri kalian. Maafkan aku tidak sempat menjadi sahabat dan teman yang baik untuk mengingatkan kalian tentang perkara-perkara kebaikan, maafkan aku kepada yang pernah berharap sesuatu tetapi tidak sempat aku tunaikan haknya, maafkan aku.
Maafkan aku adik-adik, para junior yang seketika dahulu pernah bersamaku tetapi aku mengabaikan atau menzalimi haknya sehingga kerana kesalahanku, engkau telah menjadi tawar hati terhadap Islam dan kebaikan. Maafkan aku.
Maafkan aku para aktivis Islam, kader dakwah yang telah bertungkus-lumus dan penat bekerja membangunkan ummah saban hari, namun aku hanya tersandar di satu sudut dan cuma pandai mengkritik sahaja. Maafkan aku kerana bukanlah niatku untuk membantutkan daya juangmu. Semoga kritikanku menjadikan aku semakin rapat denganmu agar kerja membangunkan ummat tidak terhenti kerana salah caraku.
Maafkan aku ummat kerana sikapku dan kelalaianku bertahun lamanya akan tanggungjawabku terhadapmu !
Pastilah Maaf Saja Tidak Akan Cukup
Untuk memenuhi hak kesalahan kita terhadap orang lain dengan hanya satu kata iaitu ‘maaf’ saja, sudah pastilah tidak akan cukup.
Telah berapa banyak hajat orang yang telah kita abaikan, telah berapa banyak hati yang kita lukakan, telah berapa banyak kata kita menyebabkan orang menjauhi kita.
Kalau kita mengetahui bahawa hari esok adalah hari terakhir kita di dunia, pastilah kita mahu menemui seorang demi seorang yang pernah kita lakukan kesalahan terhadapnya. Kita akan memeluknya, meminta maaf bersungguh-sungguh, minta ia mendoakan kita, minta ia lepaskan kita dari apa yang pernah kita lakukan terhadapnya.
Namun, manusia selalu tidak beringat.
Tidak beringat kerana menyangka hari akhirnya masih jauh. Sedangkan hari akhirnya boleh jadi hari ini, boleh jadi esok, boleh jadi beberapa hari saja lagi.
Apakah ia menyangka masih punya banyak kesempatan kalau saja mati itu tidak bertanda bila dan di mana?
Semoga kita tidak lokek dan rasa kedekut untuk meminta maaf dari manusia.
Meminta maaf tidak menghinakanmu, tidak juga merendahkan martabatmu.
Meminta maaf malah mungkin mendekatkan lagi orang denganmu.
Mintalah maaf pada saudaramu yang pernah kamu zaliminya baik pada kata dan tindakanmu. Jangan kamu bakar api persaudaraan dengan sikap ego. Tidak ada keuntungan apa-apa malah merugikan lagi.
Penutup : Sekali Lagi, Maafkan Aku
Maaf tidak akan bermakna tanpa tindakan.
Maaf juga akan menjadi kurang bermakna bila dilafazkan hanya sebagai rutinan atau adat seperti di hari raya.
Maaf yang lahir dari hati yang ikhlas disertai dengan tindakan untuk membersihkan semula kesalahannya yang lama, itulah yang bermakna.
Tidak akan hina pemerintah yang pernah silap mengakui akan kesalahannya lalu meminta maaf dari rakyatnya serta dia berusaha pula membaiki salah silapnya itu.
Tidak akan hina seorang anak yang kaya-raya meminta maaf dari ibu ayahnya yang telah tua dan hidup di pondok buruk cuma.
Tidak akan hina.
Minta maaflah dari jiwamu kerana meminta maaf itu adalah sebahagian dari tanda kerendahan hatimu.
Sekali lagi, maafkan aku !
August 29, 2013
Komik: Di mana letaknya prioriti kita?
Agama: Islam yang Sempurna Membina Jiwa Merdeka
Jiwa Merdeka Pencetus Bahagia
Beberapa hari lagi Malaysia seperti kebiasaan saban tahun yang lalu akan menyambut Hari Merdeka. Mengenang jasa perwira-perwira yang terdahulu amatlah baik kerana ia salah satu lambang cintakan tanah air yang mana kita dituntut untuk turut merasakannya. Tetapi sekian tahun berlalu, berita mengenai sambutan merdeka seringkali membisik ke telinga kita tentang perkara-perkara negative seperti pergaulan bebas, pembaziran dan berbagai lagi.
Mungkin ramai manusia tersalah sangka, mereka sering beranggapan merdeka itu adalah mereka bebas dari penjajah semata, atau mereka bebas melakukan apa sahaja kemahuan yang akhirnya menular pelbagai gejala social yang lain. Manusia sering mengisi waktu mereka dengan pengumpulan yang ada dalamnya maksiat kerana ia turut mengisi nafsu syahwat.
Adakah ini erti sebenar merdeka?
Sudah tentu tidak!
Justeru, apakah definisi yang cocok untuk merungkai makna merdeka?
Kesyumulan islam
Mengenang jasa perwira yang terdahulu tidak menjadi salah tetapi cara menyambut itu yang bermasalah. Mungkin juga sebahagian kita jauh terlupa jasa nabi kita Muhammad s.a .w. yang mana orang yang awal memerdekakan umat terkemudian dengan membebaskan manusia daripada kemelut jahiliyah seterusnya membawa natijah berbuah redha Allah.
Dalam mendefinisi erti konkrit merdeka, molek dinukilkan kata-kata seorang pahlawan iaitu Rubi’ bin Amir ketika dalam peperangan Qadisiyah ketika mana ditanya oleh musuh iaitu Rustam tentang tujuan orang islam datang dan bersungguh menyebarkan agama islam, beliau berkata:
“Kami telah diutuskan untuk mengeluarkan segala sesuatu, daripada penyembahan hamba kepada hamba kepada penyembahan mutlak kepada Allah yang satu, daripada kekejaman agama-agama terdahulu kepada keadilan islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Definisi ini akan dikupas selanjutnya. Namun secara umum, kata-kata ini menggambarkan bahawa islam yang dipikul panjinya oleh rasulullah dan para sahabat yang sampai kepada kita hari ini adalah islam yang amat efisen kerana ia merupakan risalah untuk semua zaman hatta zaman sebelum kedatangan bagindas.a.w. Bahkan jika nabi dan umat terdahulu masih wujud ketika ini, semuanya akan mengikut ajaran Allah melalui Rasulullah ini.
Dalam menyifatkan Islam yang datang ini sesuai pada setiap zaman, maka tidak terlepas juga bahawa ia bersifat sejagat. Terbuka kepada semua lapisan manusia, semua jenis bangsa dan peringkat umur manusia.Ia tidak bersifat ideal pada golongan tertentu, tetapi sebaliknya golongan tertentu menjadi ideal bilamana mereka mengambil islam secara sempurna.
Menerusi sirah, kita melihat islam yang diturunkan dalam bahasa arab tidak hanya untuk bangsa penuturnya sahaja. Dalam lembaran sejarah berapa ramai sahabat yang bukan dari kaum arab yang melakar nama dalam pesada orang-orang yang dekat dengan Allah bahkan menjadi penolong baginda dalam menyampaikan dakwah. Mengambil contoh Salma Al-Farisi yang mana kisah hijrahnya mencari hidayah dan idea bernas beliau berkenaan pembinaan parit ketika perang Khandak mengangkat martabat beliau disebabkan Islam yang dipegang bukan bangsanya yang dijulang.
Selain itu, kesyumulan islam juga menusuk keseluruh pintu fasa kehidupan manusia daripada semua aspek. Baik dari segi akidah iaitu bukan sekadar dengan lafaz syahadah atau percaya kewujudan Allah, tetapi kesan keduanya dalam reality kehidupan yang membuka penjara minda manusia daripada segala jenis kekusutan jerat hawa nafsu kepada cahaya dinding keimanan yang jitu.
Tambahan lagi, islam itu melengkapi setiap sudut kehidupan manusia dengan menjadikan ia sebagai ibadah. Selalu manusia membayangkan ibadah adalah yang khusus sahaja termasuk solat, puasa, zakat dan haji. Namun, sebenarnya konsep ibadah itu lebih luas merangkumi setiap gerak-geri manusia kerana hakikat manusia dihidupkan di atas dunia ini adalah pengabdian kepada Yang Esa dengan syarat ia perlu perkara yang tidak keluar dari legar yang Allah redha.
Seterusnya, lengkap islam itu dinilai dari suatu sisi yang amat halus iaitu akhlak. Merujuk kepada banyak sirah menggambarkan ketelusan akhlak baginda dalam menyebarkan risalah bahkan banyak aya al-Quran menyifatkan akhlak itu adalah perkara yang termasuk dalam urusan iman.Baik iman maka baik akhlak dan sebaliknya.Baik akhlak pula, bukan pada kelompok tertentu tetapi kepada alam sejagat meliputi manusia, haiwan, bernyawa atau tidak dan lain-lain.
3 Konsep Merdeka
Melalui kata-kata Rubi’ bin Amir dapat kita klasifikasikan beberapa bentuk rangka kemerdekaan yang akan memahat makna merdeka dalam konteks yang lebih luas. Antaranya adalah:
1. Merdeka Jiwa
Sebagaimana seorang insan sedia maklum, jiwa atau hati manusia yang menjadi raja bagi dirinya adalah asset utama dalam pembentukan peribadi seseorang.Manakala hati itu pula bahkan seluruh anggota manusia merupakan hamba bagi satu Tuan yang agung. Justeru, manusia yang tidak mengendahkan pengabdian kepada tuan kepada hati sebenarnya tidak memiliki jiwa yang merdeka.
Demikian frasa kata yang dinukilkan bahawa islam itu mengeluarkan manusia daripada penghambaan kepada sesama hamba kepada pengabdian mutlak kepada Allah. Jika dahulu zaman jahiliyah, manusianya menyembah berhala, namun tidak lagi ketika ini. Pun begitu, ‘berhala’ yang sama turut wujud dalam diri manusia melalui media social, hiburan dan pelbagai medium yang melekakan yang menyebabkan rasa cinta pada semua ini mengatasi kecintaan manusia kepada Allah.
Penekanan turut diberikan dengan mencoretkan bahawa hanya Allah yang Satu yang layak disembah. Hari ini manusia asyik memberi tumpuan penuh terhadap perkara yang berkaitan ibadah serta hal-hal yang membatalkannya yang mana jika tidak sempurna ibadah menyebabkan ia terbatal tetapi masih boleh diganti semula. Berlainan pula berkaitan dengan aqidah, jika terbatal ia boleh menyebabkan bukan sahaja ibadah tetapi segala jenis perlakuan kita tidak diterima Allah.
Justeru itu, penelitian terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan terbatal aqidah melalui kata-kata seperti jampi yang tiada panduan wahyu, perbuatan penyembahan kepada yang lain juga tidak terlepas perkara yang sering berlegar dalam masyarakat kita dewasa kini berupa alatan seperti tangkal, gelang(tujuan jampi) dan sebagainya.
2. Merdeka Pemikiran
Islam pada mata Barat sebenarnya amat hebat. Berlainan pada mata umatnya sendiri kerana mereka (Barat) berusaha mengaburkan mata umat islam dengan pelbagai hiburan yang menyebabkan jiwa orang islam terdidik dengan rasa selesa dan selalu ingin memuaskan hawa nafsu semata. Islam dianggap pengganas.Kolot.Mundur.Pelbagai tohmahan yang dilemparkan. Malangnya peredaran zaman sekarang ini tidak seiring peredaran fahaman masyarakat terhadap islam.
Tidak menafikan pertolongan Allah kepada umat islam dalam menegakkan agamanya. Tidak pula mengecilkan usaha pelbagai pihak dalam usaha penyebaran islam yang sebenar, tetapi hadir perasaan kecewa kerana tohmahan yang ditujukan kepada islam itu tidak hanya dilakukan oleh golongan barat yang sememangnya memusuhi islam, tetapi hari ini orang islam sendiri memberi sindiran terhadap golongan yang berusaha menyebarkan kefahaman islam.
Bukan memberi konklusi segala yang datang dari barat itu adalah salah. Dalam soal yang berkaitan wahyu sama ada yang disuruh atau ditegah maka campur tangan ideology barat perlu diteliti dengan jelas. Jika konsep yang dikemukakan ada unsur keislaman maka ketahuilah ia sebenarnya hak orang islam kerana hakikatnya segala bentuk kebenaran dan kebaikan adalah milik orang islam yang mana hikmahnya telah hilang dari genggaman mereka.
Hakikat Islam itu bersifat adil jika dilihat dalam setiap ruang lingkup kehidupan seorang muslim bukan dari beberapa segi sahaja. Islam itu adil kerana Allah itu adil. Tidak seperti agama-agama yang lain samada yang telah direka cipta atau diselewengkan. Islam bersifat insaniyyah yang mengambil berat akan perihal hidup seorang insan.
Pada zahirnya seperti ada percanggahan dengan konsep pertama yang lebih menerangkan konsep rabbaniyah iaitu penafian ada unsur yang sama dengannya. Namun insaniyyah adalah elemen yang membawa ia hidup dalam kalangan manusia sebagai contoh diutuskan nabi Muhammad s.a.w seorang rasul dalam masa yang sama seorang manusia untuk membuktikan bahawa risalah yang disampaikan adalah menepati sifat-sifat keinsanan bukan suatu bentuk khayalan. Adapun rabbaniyah adalah sumber asas atau tonggok utama unsur insaniyyah itu tercapai.
Adilnya islam itu berbanding agama yang lain juga, merungkai ciri islam yang bersifat sederhana. Hakikatnya manusia ini lemah untuk membina suatu system yang seimbang. Sebaik manapun ia dikaji atau dirancang pasti ada kecacatan dan tidak bersifat universal yang meliputi semua aspek. Kesederhanaan islam merangkumi setiap aspek sama ada dalam ibadah dengan tidak mengenepikan soal siyasah atau selainnya dengan tumpuan ibadah (khusus) semata-mata. Ia juga meliputi aspek akhlak yang tidak terlalu terbuka dalam semua perkara dan tidak pula tertutup dalam kondisi yang sama.
Pada sisi lain keadilan islam yang juga merupakan agama yang sesuai semua zaman adalah pada sifat kombinasi antara keseimbangan atau tegar (constancy) dan perkembangan atau keanjalan (flexibility).Aspek ketegaran adalah bersumberkan wahyu yang telah ditetapkan ke atas sesuatu perkara manakan aspek keanjalan adalah bagaimana perkara itu dilaksanakan mengikut suasana dan waktu yang kondusif.
Lantaran itu, perkembangan dalam islam adalah positif. Sejauh mana maju dunia hari ini dengan teknologi dan media, pasti ada islam di sana. Cuma penelitian lebih halus dalam setiap perkara perlu diperbahas oleh yang mereka yang ahli tentangnya. Sekaligus, hal ini membuktikan islam itu tidak bersifat sempit atau closed-minded seperti yang dicanangkan oleh musuh-musuh islam.
3. Merdeka Perbuatan
Suatu unsur kemerdekaan yang mungkin ramai manusia terlepas pandang adalah merdeka perbuatan.Merdeka perbuatan bermaksud manusia itu bebas melakukan apa sahaja tetapi dikecilkan skop dalam ruang yang menepati syara’. Jika syara’ (islam) kata ia adalah baik maka baiklah ia begitulah sebaliknya. Malangnya, pengamatan konsep ini sering disalah erti.Manusia lebih suka guna konsep kebebasan mutlak tanpa ada pengkhususan skop tertentu.
Maka terjadilah apa yang terjadi hari ini. Sambutan kemerdekaan bukan lagi untuk mengenang jasa perwira tetapi malam pesta bagi anak muda-mudi kita. Disebabkan salah faham konsep ini juga, manusia terlalu cintakan dunia dan hanya beranggapan segala urusan terhenti di sana tanpa ada timbang-tara semula baik buruknya, tanpa ada pembalasan yang sejajar dengan amalan yang dilakukan.
Hakikat merdeka dari sudut perbuatan adalah melakukan sesuatu perbuatan tetapi tidak hanya bermatlamat dunia tetapi jauh mengimpikan kesenangan akhirat.Jika perkara maksiat yang dimpikan maka dia nampak balasan azab yang tersedia. Jika perkara kebaikan yang diidakam maka kesungguhan melakukannya luar biasa kerana tidak sabar menanti ganjaran indah yang terbentang luas berdasarkan apa yang dia percaya.
Begitulah islam memerdeka manusia dari sudut perbuatannya. Tidak melihat islam dalam skop dunia sahaja, tetapi melalui kaca mata akhirat.
Kesimpulan: Ayuh, bangunkan jiwa Merdeka!
Pengamatan terhadap konsep merdeka tidak pernah berakhir selagi nyawa dikandung badan, selagi jasad tidak terkafan, selagi liang lahat bukan tempat persinggahan kerana merdeka yang sebenar adalah kejayaan kita menjadi adi wira Allah s.w.t dalam menegakkan agamanya dan peroleh syurga di akhirat sana.
Itulah kemerdekaan yang hakiki dan abadi.
Flexiblity Islam Dr Yusuf Qardawi
Komik: Merdekakah kita?
Percaya atau tidak, kebanyakan anak-anak kecil dan belia remaja hari ini tidak memahami erti kemerdekaan sebenar. Bahkan golongan tua sekali pun hanya merasakan bahawa kemerdekaan ini hanyalah sekadar pembebasan sesebuah negara daripada ancaman penjajah dan kuasa luar. Ironinya, bukan itu harga sebuah kemerdekaan. Lihatlah ke luar jendela; masalah kebejatan akhlak dan gejala sosial kian meruncing. Remaja Malaysia hari ini tidak dipersiapkan untuk mnjadi modal insan yg sebenar.
Merdeka. Cukupkah sekadar ungkapan;
“Syukurlah, Malaysia masih aman” ??
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”
(az-Zariyat: 56)
Erti kemerdekaan sebenar?
Tepuk dada, tanya iman.
Mari menjadi hamba!
August 27, 2013
Poster: Freedom
Freedom is slavery, to Allah alone.
Tiada tuhan, melainkan Allah!
Erti kemerdekaan sebenar ialah membebaskan jiwa kita daripada semua ilah (sembahan)
dan memperhambakan diri kita hanya kepada Allah.
Kerana hakikatnya, betapa hebat pun percubaan manusia untuk membebaskan diri daripada Allah,
dia tidak akan sesekali terlepas daripada genggaman-Nya.
Maka sesiapa yang enggan menjadi hamba kepada Allah,
sebenarnya dia telah menjadi hamba kepada nafsunya,
dan nafsu tidak mampu memberi syurga sebagai pengakhirannya,
sedang Allah berkuasa mencampaknya ke neraka.
Bodohlah manusia yang lari menghambakan diri kepada selain Tuhan,
sedangkan hakikatnya dia tak mungkin lari daripada menjadi hamba Tuhan.
“Indeed, those who have said, ‘Our Lord is Allah’ and then remained on a right course – the angels will descend upon them, [saying], ‘Do not fear and do not grieve but receive good tidings of Paradise, which you were promised.’” (Fussilat, 30)
Komik: InsyaAllah sempat!
Terdapat dua pendapat berhubung puasa ganti dan puasa enam Syawal.
Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )
Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.
Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.
“Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu.” [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/392]
Semoga kita semua masih sempat meraih pahala berganda ini!
Jangan putus asa sekarang, insyaAllah sempat! ^^
August 26, 2013
“English Column: UTAM; the Young Hope for Malaysia”
“Still you refer to us as children, no wonder our success is mount. You consistently underestimate us”
- Aquaman, Young Justice, Season 2 Episode 19
Picture courtesy of Coolpapae.com
(Link here)
Earlier this year, I was invited to deliver a talk at University Malaya (UM). It wasn’t a political talk. It was a rather motivational talk discussing on the topic of Islamic activism among university students. A talk for “Islamists”, some might call.
What astonished me was, during my talk, when I mentioned politically related issues; I noticed that some students ‘escaped’ the hall. At first I thought it was just my perception but one of the organizers said (after the talk has finished) the very same thing: students leaving the hall.
What did I say that ‘offended’ them? Was it too condensed with political ideologies?
I only said this “The most profitable business in the world is taking money from the rakyat.”
Too political? But this simple quote maybe angered one fifth of the audiences and made them resort to leaving the hall. Those who stayed laughed. It was a joke after all. No names were mentioned. I would never apply the cheap character assassination in my talks. It was just a joke.
I don’t know why they withdrew themselves. They might be either politically disheartened with the current polemics in politics or they subscribe to the confusion of “Politics don’t mix with religion.”
I can see, from this incident, on a larger scale, maybe there are more out there like those who left. There are more who can’t bear the word ‘politics’ or anything related to it. Who are politically exhausted.
Yes, it is true, many Malaysians are politically depressed judging from the silent protest of the changing Facebook profile pictures to the “Blackout 505” or “Black 505” implying that “Democracy is Dead” post-GE 13.
As a participant of the “Simposium Anak Muda UTAM” last Sunday, the depression, the confusion, will gradually change seeing the shining young hope of young intellectuals sparkling from within the initiative brought forward by UTAM.
A ‘New Wave’ in Politics
I once asked my mentor at NSTP, Mr. Balan about his opinion on the current younger generation. He said that “The younger generation is more liberal in a sense.”
“Liberal” as what he said is not the negative connotation of “Islamic Liberal.” Do not misunderstand. Liberal here means that the younger generation is adaptable in accepting dissimilarities.
There’s a reason why, despite the commotion propagated in the ruling government, iconic figures such as YB Khairy Jamaluddin is close to the hearts of young people across parties.
YB KJ pointed out five points in his opening speech at the symposium:
1- The future of the country’s politics must be free from bigotry. Bigotry is an obstruction from understanding the truth.
2- Intellectualism should be bred in the society from a thinking convention
3- The principle must be clear. Consistency in upholding the principle of each other must be present
4- Evaluation must be based on reality not based on perception. Built on facts and not rhetoric
5- Enlightenment must be across partisanship, it should be non-partisan
If yesterday, Malaysians support a particular political party based on blind fanaticism, tomorrow they will have to try and accept others as comrades not enemies and dissent with dignity.
If yesterday, whenever each coalition presents their respective economic models, tomorrow, instead of belittling each other saying “Yours will bankrupt the country”, “Ours will secure the country’s future” provide analyses why such claims were made.
If yesterday, criticism of an issue will lead to blind rage and rejection. Tomorrow criticism with intellectualism will be the culture of Malaysians.
“I am not opposed to dissent. I myself am a person who likes to be critical of issues. We have to differentiate being critical to the government and love for the country. Someone who criticizes the government doesn’t mean he is not patriotic” – YB KJ.
To quote a colleague of mine in “The M Project”, Dr. Syed Muhammad Khairuddin Aljunied, an Assistant Professor at the Faculty of Arts and Social Science of the National University of Singapore said “Let us begin to convey and not condemn, to share and less to shred, to say points with depth and not just breath, points to develop and not to dangle, points for social responsibility and not endless ranting.”
“I am a graduate of UTAM”
My first impression of UTAM the first time I came across this non-profit entity last year was:
“Is there really a university by the name of University Terbuka Anak Muda in Malaysia?”
Well certainly no.
Now, if there is one, I would be glad to announce that “I am graduated of UTAM.”
*I really hope that UTAM will start discussions in English as an alternative other than Malay.
August 24, 2013
Kehidupan: Merdeka – Mari Menjadi Hamba!
Photo by Matti Mattila.
Sekilas pandang tajuk artikel ini, mungkin ada yang melihat kontradiksi: mana mungkin kita boleh menjadi merdeka dan dalam masa yang sama menjadi seorang hamba?
Sebelum saya menjelaskan bagaimana kontradiksi tersebut bukanlah satu kontradiksi, kita harus fahami bahawa tiada antara kita yang bebas secara mutlak. Setiap daripada kita akan menyerahkan diri kita kepada sesuatu/sesiapa, dan akan menuruti setiap kehendaknya.
Ada individu yang berserah kepada duit, ada yang berserah kepada kerajaan, ada yang berserah kepada sains, ada yang berserah kepada sesuatu ideologi, ada yang berserah kepada seseorang manusia, dan lain-lain. Malah, ada juga yang berserah kepada diri sendiri dan menuruti setiap kehendak akal dan nafsunya.
Jika kita berfikir begitu, kita dapati bahawa setiap daripada kita adalah hamba kepada sesuatu/seseorang. Maka persoalannya bukanlah sama ada kita hamba atau tidak, tetapi persoalannya ialah siapakah tuan kita?
Kita tidak bebas daripada perhambaan, tetapi kita bebas memilih tuan (master) kita.
Kita hanya boleh memilih tuan yang kita percayai wujud. Kewujudan itu terdiri daripada dua jenis: kewujudan yang diciptakan dan kewujudan yang tidak diciptakan.
Contoh kewujudan yang diciptakan ialah duit, kereta, rumah, bulan, bintang, akal, nafsu, syaitan, jin, malaikat, syurga, dan lain-lain. Kewujudan yang tidak diciptakan hanyalah Satu iaitu Allah/Tuhan/God kerana Allah tiada penciptanya (rujuk Surah al-Ikhlas). Mana mungkin Tuhan yang Maha Kuasa ada penciptanya sendiri? Jika begitu, maka dia bukanlah Tuhan kerana ada yang lebih berkuasa daripadanya.
Berdasarkan konsep kewujudan ini, saya fikir ada dua jenis perhambaan dalam kehidupan kita: perhambaan kepada yang diciptakan dan perhambaan kepada yang tidak diciptakan.
Perhambaan jenis pertama ialah perhambaan kepada apa atau siapa sahaja yang diciptakan. Hamba-hamba jenis pertama memilih ciptaan sebagai tuan mereka dan memilih untuk menuruti segala kehendak tuan mereka itu.
Perhambaan jenis kedua pula merujuk kepada perhambaan kepada Dia yang tidak diciptakan iaitu Allah/Tuhan/God. Hamba-hamba jenis kedua memilih Allah sebagai Tuan mereka dan memilih untuk mematuhi segala perintah-Nya.
Persoalannya sekarang ialah: apakah kriteria kita untuk memilih satu antara dua jenis perhambaan ini?
Jika ditanyakan kepada seseorang individu tentang matlamat hidupnya, barangkali dia akan menjawab matlamat hidupnya ialah untuk menjadi insan yang gembira. Dalam banyak-banyak perkara, kegembiraan ialah satu-satunya perkara yang menjadi matlamat seseorang manusia dan bukanlah satu pengantara kepada matlamat. Contohnya, menjadi kaya itu bukanlah satu matlamat tetapi satu pengantara kepada matlamat. Matlamat menjadi kaya ialah untuk menjadi gembira.
Maka, kita boleh ambil “kegembiraan” sebagai kriteria kita untuk memilih satu antara dua jenis perhambaan ini. Bukan itu sahaja, kita inginkan kegembiraan yang hakiki, dan bukan kegembiraan yang palsu dan sementara.
Jika dibandingkan antara dua jenis perhambaan ini, mana satukah yang memberikan kegembiraan yang hakiki? Anda jawablah soalan ini untuk diri anda sendiri.
Dengan memilih untuk menghambakan diri kepada yang dapat memberikan kita kegembiraan yang hakiki, maka kita telah berjaya untuk menjadi insan yang benar-benar merdeka.
Selamat menyambut hari kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia.
Aiman Azlan
24 Ogos 2013
Mississauga, Canada
August 22, 2013
Fotografi: Suatu Senja
| Hentian R&R Penanti | Kubang Semang, Pulau Pinang |
( Sony Alpha Nex-5N | f11 | 1/13 | ISO400 )
Senja di kaki langit
Mengingatkan kita
Bahawa masa terus berlalu
Meninggalkan kita di perjalanan
Yang sibuk dengan dunia
atau yang bersungguh menuju Tuhannya.
Lalu kita nilai
Di mana harga jiwa merdeka?
August 21, 2013
Himmah : Merdeka dan Pembinaan Generasi
Merdekakah generasi baru kita?
~Pic by elitedaily.com
Saban tahun kita menyambut hari Kemerdekaan, kita perlu jujur bertanya, apakah perubahan yang sedang dialami oleh generasi baru kita? Sudah lebih dari 5 dekad kita menikmati kemerdekaan daripada tangan penjajah, namun apakah jiwa generasi baru kita juga telah merdeka dari ikatan jahiliah?
Jujurlah pada diri kita.
Berita couple dan pasangan ditangkap berpesta maksiat pada malam sambutan kemerdekaan adalah sesuatu yang merisaukan masa depan kita. Apakah kita redha di kala nikmat kemajuan yang semakin mencengkam kehidupan kita ini, segelintir generasi muda kita pula hanyut dan semakin merudum prestasi iman dan akhlak mereka?
Apa ada pada kemerdekaan yang dikecapi di tengah-tengah kemajuan ini kalau aspek akhlak dan nilai moral semakin corot?
Erti Kemerdekaan Sebenar Dari Rib’ie bin Amir
Sewaktu pengutusan Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, dia telah mengucapkan kata-kata yang ringkas tapi padat menggambarkan akan erti kemerdekaan sebenar yang diperjuangkan oleh Islam :
“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Inilah erti sebenar kemerdekaan yang telah membangunkan generasi awal Islam.
Keimanan mereka yang benar hanya kepada Allah telah membuatkan generasi ini bebas merdeka dari pengaruh jahiliah yang pekat sebagaimana kehidupan bangsa mereka sebelum Islam.
Iman telah memandu mereka untuk menjauhi dosa dan maksiat yang dibenci oleh Allah s.w.t.
Iman juga telah membersihkan perasaan mereka dari keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.
Lantas membuatkan pertimbangan hidup mereka sentiasa bergerak di atas landasan Allah s.w.t.
Ramai di kalangan mereka yang telah memeluk Islam di awal dakwah Rasul s.a.w. adalah daripada kalangan hamba dan orang susah yang tertindas. Dakwah Rasul s.a.w. telah memerdekakan ramai di kalangan mereka. Rasul s.a.w. telah membawa satu perjuangan yang telah memberikan hak yang adil kepada semua manusia sama ada dia itu hamba atau majikan, sama ada dia itu ketua negara atau rakyat biasa, sama ada dia itu bangsawan atau orang jalanan, sama ada dia itu lelaki atau wanita.
Semua yang memeluk Islam telah menikmati harga kemerdekaan diri mereka. Namun, mereka tidak melampau batasan kemerdekaan itu sehingga melanggar sempadan-sempadan Allah.
Merdeka mereka, semakin memuliakan mereka di depan dua tamadun besar yang pernah menakluk mereka dahulu, iaitu Rom dan Parsi.
Merdeka mereka, semakin membangunkan generasi yang cemerlang.
Merdeka mereka, semakin meluas daerah Islam di serata dunia.
Kita, di saat bangsa kita menyambut hari merdeka kita dengan upacara kawad kaki, tarian dan kibaran bendera, apakah ummat yang tenat ini semakin terubat? Apakah semakin ada pembaikan di dalam ummat ini?
Kebebasan Telah Ada, Apakah Yang Menghalang Kita Melakukan Pembinaan Generasi?
Negara ini telah mencapai kemerdekaannya, rakyat telah menikmati kebebasan hasil proses demokrasi yang dilaksanakan di negara ini.
Di celah kebebasan ini, sepatutnya kita menggunakannya dengan serius untuk melakukan pembinaan generasi baru.
Pembinaan generasi baru ini tidak cukup diasaskan atas semangat cintakan negara semata-mata. Cintakan negara adalah satu keperluan, tetapi untuk menanam asas dan nilai baik dalam diri insan, maka tidak ada rujukan lain untuk manusia menghubungkan dirinya melainkan kepada Tuhan.
Semangat cintakan negara adalah spirit yang tidak kental dan tidak tahan lama. Negara itu didirikan di atas sekeping tanah yang tidak hidup, bagaimana mungkin ia mampu mengalirkan spirit dan momentum perjuangan melakukan kebaikan yang berkekalan kepada jiwa manusia yang hidup ini?
Itulah asas yang telah ditanam oleh Rasul s.a.w. kepada para sahabatnya. Kalau mencintai Kota Makkah itu dijadikan asas dakwah baginda, sudah pasti dakwah baginda tidak akan kekal lama dan para sahabat pun tidaklah akan mempunyai keimanan sehebat sirah yang telah kita dengari.
Tetapi kerana baginda telah menanam asas iman kepada para sahabatnya, maka nilai itulah yang telah menjadi titik tolak dalam kehidupan para sahabat Nabi s.a.w. Nilai itu telah membentuk satu pertimbangan dan prinsip yang kukuh dalam jiwa para sahabat Nabi s.a.w. sehingga membentuk sebaik-baik generasi manusia yang dianggotai oleh orang-orang seperti Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Khattab, Khalid Al-Walid, Uthman Affan, Ali Abi Talib, Abu Ubaidah, Bilal dan lain-lain.
Baginda s.a.w. telah berusaha menanam asas ini dalam keadaan menghadapi tentangan dan tohmahan daripada masyarakat Quraisy sendiri. Tidak bebas, tidak merdeka. Banyak usaha disekat. Banyak usaha yang dibalas dengan kejahatan.
Namun, kerana tingginya nilai keimanan ini, membuatkan Rasul s.a.w. dan para sahabat tidak pernah mundur dari perjuangan mereka.
Wajar kita bertanya kepada diri kita sendiri, di saat kebebasan telah kita nikmati, bahkan kecanggihan yang ada hari ini menyebabkan dunia itu umpama di hujung jari, apakah yang menghalang kita untuk bersungguh-sungguh melakukan pembinaan diri kita dan generasi ini ke arah kebaikan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasul s.a.w.?
Kita ada lebih banyak ruang dan kemudahan untuk dimanfaatkan.
Namun, dengan kesenangan yang dinikmati ini membuatkan kita selalu leka dan lalai.
Benarlah firman Allah s.w.t. :
“Tidaklah dunia itu melainkan kesenangan yang menipu.” [Al-Imran : 185]
Kesenangan dan keselesaan telah membunuh perasaan berjuang serta kesanggupan untuk meniti kesusahan dan kepayahan dalam kehidupan. Kesenangan dan keselesaan telah memerangkap kita di dalam tipu daya maksiat dan dosa.
Masa muda segelintir kita dirosakkan oleh tipu daya nafsu dan iblis yang telah memenjarakan jiwa kita dalam keseronokan suasana senang yang telah kita nikmati. Kita menyangka kita bebas merdeka dengan kemudahan untuk melakukan apa saja yang kita mahukan.
Tetapi, bebas merdekakah kita sebenarnya?
Hakikatnya kita tidak lagi bebas merdeka, tetapi terpenjara dan terperangkap dalam tipu daya kesenangan dunia.
Dosa memang tidak pernah gagal membuatkan manusia merasa enak dan lazat dengan dunia sehingga melupakan tempat kembalinya di akhirat nanti.
Penutup : Tanggungjawab Kita Untuk Merdekakan Diri Kita Dan Masyarakat Kita
Penjara pertama yang perlu kita buka adalah penjara yang telah memerangkap jiwa kita.
Itu adalah halangan pertama yang selalu menghalang perubahan besar dalam masyarakat.
Ramai orang bercakap tentang perubahan-perubahan dalam skala yang besar, tetapi mereka terlupa untuk memulakan perubahan kecil pada diri mereka.
Apakah ertinya para pemimpin yang melaungkan kalimah merdeka kalau mereka sendiri terperangkap dalam sikap tidak amanah dan rasuah dalam pentadbiran mereka? Apakah laungan dan kata-kata yang kosong dari contoh teladan itu mampu memberikan kesan terhadap pembinaan generasi baru yang lebih baik ?
Sesungguhnya Rasul s.a.w. adalah sebaik-baik pembina generasi dan tidaklah terbina generasi didikannya itu melainkan kebanyakannya terkesan dengan contoh teladan baginda s.a.w.
Apakah manfaat dari nikmat keamanan dan kemerdekaan kalau ia telah memenjarakan para muda-mudi kita dalam sikap individualisme dan pentingkan diri, yang tidak mempedulikan masyarakatnya, tidak mempedulikan kesan tindakannya terhadap masyarakatnya, apakah ada manfaat?
Kita tidaklah ingin kembali kepada zaman penjajahan. Jangan disalahtafsir.
Tetapi kemerdekaan yang kita laung-laungkan selama ini sebenarnya cacat perjalanannya kalau kita mengabaikan aspek kemerdekaan jiwa kita daripada unsur-unsur jahiliah.
Tidak selamat kita daripada azab Tuhan kalau kita menyambut kemerdekaan dalam keadaan kita bersetuju dan bersekongkol membiarkan anak-anak generasi kita bermandikan maksiat di malam-malam sambutan kemerdekaan.
Tidak selamat kita daripada azab Tuhan kalau kita adalah generasi muda merasakan dirinya bebas merdeka untuk melakukan apa saja termasuk melanggar arahan Tuhan di malam sambutan kemerdekaan.
Saban tahun sambutan diraikan, wajar dipersoalkan, apakah masyarakat kita semakin menuju ke arah kebaikan? Apakah semakin bertambah rasa bertanggungjawab kita terhadap generasi kita?
Merdeka dan pembinaan generasi berpisah tiada.
Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang sentiasa bersandar pada Tuhannya, cintakan masyarakat dan negaranya, dan sentiasa memikirkan masa depan masyarakatnya.
Sudah benar-benar merdekakah jiwa kita?