Kehidupan: Merdeka – Mari Menjadi Hamba!
Photo by Matti Mattila.
Sekilas pandang tajuk artikel ini, mungkin ada yang melihat kontradiksi: mana mungkin kita boleh menjadi merdeka dan dalam masa yang sama menjadi seorang hamba?
Sebelum saya menjelaskan bagaimana kontradiksi tersebut bukanlah satu kontradiksi, kita harus fahami bahawa tiada antara kita yang bebas secara mutlak. Setiap daripada kita akan menyerahkan diri kita kepada sesuatu/sesiapa, dan akan menuruti setiap kehendaknya.
Ada individu yang berserah kepada duit, ada yang berserah kepada kerajaan, ada yang berserah kepada sains, ada yang berserah kepada sesuatu ideologi, ada yang berserah kepada seseorang manusia, dan lain-lain. Malah, ada juga yang berserah kepada diri sendiri dan menuruti setiap kehendak akal dan nafsunya.
Jika kita berfikir begitu, kita dapati bahawa setiap daripada kita adalah hamba kepada sesuatu/seseorang. Maka persoalannya bukanlah sama ada kita hamba atau tidak, tetapi persoalannya ialah siapakah tuan kita?
Kita tidak bebas daripada perhambaan, tetapi kita bebas memilih tuan (master) kita.
Kita hanya boleh memilih tuan yang kita percayai wujud. Kewujudan itu terdiri daripada dua jenis: kewujudan yang diciptakan dan kewujudan yang tidak diciptakan.
Contoh kewujudan yang diciptakan ialah duit, kereta, rumah, bulan, bintang, akal, nafsu, syaitan, jin, malaikat, syurga, dan lain-lain. Kewujudan yang tidak diciptakan hanyalah Satu iaitu Allah/Tuhan/God kerana Allah tiada penciptanya (rujuk Surah al-Ikhlas). Mana mungkin Tuhan yang Maha Kuasa ada penciptanya sendiri? Jika begitu, maka dia bukanlah Tuhan kerana ada yang lebih berkuasa daripadanya.
Berdasarkan konsep kewujudan ini, saya fikir ada dua jenis perhambaan dalam kehidupan kita: perhambaan kepada yang diciptakan dan perhambaan kepada yang tidak diciptakan.
Perhambaan jenis pertama ialah perhambaan kepada apa atau siapa sahaja yang diciptakan. Hamba-hamba jenis pertama memilih ciptaan sebagai tuan mereka dan memilih untuk menuruti segala kehendak tuan mereka itu.
Perhambaan jenis kedua pula merujuk kepada perhambaan kepada Dia yang tidak diciptakan iaitu Allah/Tuhan/God. Hamba-hamba jenis kedua memilih Allah sebagai Tuan mereka dan memilih untuk mematuhi segala perintah-Nya.
Persoalannya sekarang ialah: apakah kriteria kita untuk memilih satu antara dua jenis perhambaan ini?
Jika ditanyakan kepada seseorang individu tentang matlamat hidupnya, barangkali dia akan menjawab matlamat hidupnya ialah untuk menjadi insan yang gembira. Dalam banyak-banyak perkara, kegembiraan ialah satu-satunya perkara yang menjadi matlamat seseorang manusia dan bukanlah satu pengantara kepada matlamat. Contohnya, menjadi kaya itu bukanlah satu matlamat tetapi satu pengantara kepada matlamat. Matlamat menjadi kaya ialah untuk menjadi gembira.
Maka, kita boleh ambil “kegembiraan” sebagai kriteria kita untuk memilih satu antara dua jenis perhambaan ini. Bukan itu sahaja, kita inginkan kegembiraan yang hakiki, dan bukan kegembiraan yang palsu dan sementara.
Jika dibandingkan antara dua jenis perhambaan ini, mana satukah yang memberikan kegembiraan yang hakiki? Anda jawablah soalan ini untuk diri anda sendiri.
Dengan memilih untuk menghambakan diri kepada yang dapat memberikan kita kegembiraan yang hakiki, maka kita telah berjaya untuk menjadi insan yang benar-benar merdeka.
Selamat menyambut hari kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia.
Aiman Azlan
24 Ogos 2013
Mississauga, Canada