Hilal Asyraf's Blog, page 94

September 12, 2013

Kehidupan: Mahasiswa dan Masa Lapang

j559


 


“Demi Masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” Surah Al-’Asr ayat 1-3.


Masa adalah perkara yang takkan mampu ditukar ganti, tidak pula kita memperolehi masa dengan jual beli. Sehebat mana pun kita, masa yang berlaku takkan mampu kita gapai kembali.


Ramai yang sekadar membiarkan masa pergi tanpa berfikir apakah masa itu bernilai di sisi Ilahi. Orang yang tidak menghargai masa jelas rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana.


Ada yang dianugerahkan Allah SWT dengan sempat menjejak ke usia tua, dan mula menyesali akan masa muda yang dibazirkan. Persoalan ‘ke manakah masa mudaku selama ini’ mula menjengah, dan ia mengetuk diri untuk melakukan perubahan. Alhamdulillah.


Tetapi tidak sedikit manusia yang tidak sempat menjengah waktu tua, dan tidak juga sedikit orang-orang tua yang terus tenggelam dalam alpa.



Mahasiswa dan Masa


Apabila Allah SWT menciptakan sehari itu mempunyai 24 jam di dalamnya, saya percaya bahawa 24 jam itu cukup untuk manusia. Tinggal terpulang kepada manusia itu sendiri untuk menguruskan masanya, kerjanya, agar cukup dengan kuota yang telah Allah SWT berikan.


Biasanya, kepentingan masa ini lebih dirasai apabila diri semakin berusia. Itupun sekiranya diri ada rasa keterikatan dengan makhluk bernama ‘kematian’. Kita rasa nak buat sesuatu yang bermakna, selagi masa masih ada.


Namun kala masih muda, masa banyak dilayan sambil lewa oleh orang ramai. Makanya masa banyak berlalu dengan perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat kepada masa hadapan dan gerakan mencapai matlamatnya.


Semasa saya masih seorang mahasiswa, tidak sedikit rakan-rakan yang banyak menghabiskan masa berbaring di atas katil marathon drama, menonton puluhan movie, bermain game berjam-jam, dan lepak di kedai lama-lama.


Masa lapang habis begitu sahaja, bahkan kadang pada masa yang tidak lapang pun, disempatkan juga dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat ini.


Ini menyebabkan, di kalangan mereka apabila graduasi, tidak lebih hanya seperti tin kosong sahaja. Bunyi bising, tetapi isi tiada. Mereka hanya bergantung kepada ijazah, yang mungkin hanya cukup-cukup makan sahaja kelulusannya, yang sebahagian besar pengajiannya entah ingat entah lupa, untuk menempuh dunia yang pelbagai cabarannya.


Ini nyata merugikan.


Maka apakah anda, sekiranya anda yang membaca ini merupakan seorang mahasiswa, mahasiswi, pemuda, pemudi, yang masih mempunyai banyak masa, ingin memilih untuk membazirkannya?


 


Rancang Kehidupan Anda!


Pembaziran masa berlaku adalah kerana kita tidak bijak meletakkan prioriti.


Saya sering mengulang kisah seorang professor dengan kelasnya. Analogi yang saya kira terbaik dalam bab pengurusan masa.


Professor itu mengisi batu-batu besar ke dalam sebuah balang, kemudian bertanya kepada kelasnya: “Apakah balang ini telah penuh?” Seisi kelasnya menjawab: “Sudah.”


Professor itu menjawab semula: “Belum.”


Kemudian dia mengisi balang tadi itu  dengan batu-batu yang sederhana besar. Batu itu masuk di celah-celah batu besar. Kemudian dia bertanya lagi soalan yang sama, seisi kelasnya pun menjawab: “Sudah.” Namun professor itu masih menjawab: “Belum.”


Dia kemudiannya mengisi pula balang itu dengan pasir yang sangat halus. Pasir itu masuk menerobos ke ruang-ruang paling kecil di celah-celah batu yang telah ada, memenuhi balang itu sehingga pasir tertumpah keluar.


Belum sempat professor bertanya, kelasnya berkata: “Kali ini gerenti penuh!”


Professor itu menggeleng. “Belum.” Kemudian dia mengisi air, hingga pasir tadi mendap, dan air mula bertakung memenuhi balang hingga melimpah.


“Sekarang barulah balang ini penuh.”


 


Apa yang kita boleh belajar dari cerita ini adalah prioriti kita terhadap sesuatu perkara.


Batu besar: Perkara yang penting dan segera.


Batu sederhana besar: Perkara yang segera tetapi tidak penting.


Pasir halus: Perkara yang penting tetapi tidak segera.


Air: Perkara yang tidak segera dan tidak penting.


Maka untuk memastikan kehidupan kita ‘penuh’ dalam bentuk yang bermanfaat, kita perlulah menguasai teknik penyusunan prioriti ini, dan mula menjadi manusia yang berjadual. Kita tahu apa yang penting, apa yang tak penting, apa yang segera, dan apa yang sia-sia. Di sana kita memilih dan menilai: “Apakah betul aku nak habiskan masa aku dengan benda ini?”


Masalah orang ramai adalah mereka terus memenuhkan ‘balang kehidupan’ mereka dengan ‘air’. Awal-awal telah diisi dengan air, hingga balang itu penuh. Awal-awal sudah kita sibukkan diri dengan movie, game, drama, lepak, gosip, dan sebagainya yang jelas-jelas tidak bermanfaat langsung untuk masa hadapan kita. Pastinya sudah tidak ada lagi ruang untuk ‘batu besar’, ‘batu sederhana besar’ dan ‘pasir’.


Maka kita perlu bertanya, apakah sebenarnya perkara yang penting dan segera(yang perlu berlumba dengan masa) dalam kehidupan kita?


 


Penutup: Jangan Rasa Diri Banyak Masa


Kehidupan mahasiswa hakikatnya adalah kehidupan syurga ilmu.


Kehidupan seorang mahasiswa sebenarnya amat rapat dengan pelbagai ilmu dan pengalaman. Namun ramai yang mengambil kehidupan mahasiswa ini dengan sambil lewa. Masa banyak dihabiskan ke tempat yang tidak sepatutnya.


Kita sebenarnya tidak banyak masa. Kerja banyak perlu dilakukan. Banyak perkara perlu kita persiapkan. Allah SWT hakikatnya telah menyediakan masa yang cukup buat kita mempersiapkan diri ini, namun kitalah yang sebenarnya suka mempersia-siakannya.


Marilah kita mencontoh Abdullah ibn Umar RA, yang kala mudanya telah berusaha duduk di majlis Nabi SAW. Kita lihat Mu’adz dan Mu’awwidz RA, kala usia muda mereka sudah sibuk mempersiapkan diri dan menyertai peperangan. Lihat Usamah bin Zaid RA, kala berusia 19 tahun sudah menggepalai tentera menggegarkan Rom.


Mereka tidak berkata: “Kami masih muda, masa masih panjang.” Mereka segera mempersiapkan diri, kerana tahu bahawa diri mereka perlu menjadi manfaat buat ummah.


Kita bagaimana?


Pada usia 19, 20, 21, apa yang kita usahakan? Masa kita diisi bagaimana?


Kadang kita sibuk menyalahkan musuh yang memijak kita, tetapi kita yang sebenarnya tidak memperkasakan diri hingga mereka mampu memijak kita.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 12, 2013 21:15

September 11, 2013

Kehidupan: Mengapa Universiti?

mengapa_universiti

Gambar oleh the-birds-are-spies


Sejak sekolah rendah sehinggalah universiti, saya kira saya sudah berada dalam institusi pendidikan selama 16 tahun. Kalau belajar itu ibarat satu pekerjaan, saya mungkin layak untuk menjadi pelajar professional.


16 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Ada yang menghabiskan masa lebih lama daripada itu.


Aneh. Selama ini saya tidak pernah terfikir tentang masa yang saya habiskan di sekolah (termasuklah universiti). 16 tahun pergi begitu sahaja. Masa yang berlalu tanpa refleksi ialah satu kerugian bagi saya.


Berapa ramai yang berhenti sebentar dan berfikir: mengapa aku buat semua ini?


Selama ini, saya tidak pernah tanya soalan itu. Saya menjadi Pak Turut. Saya lihat trend semasa dan ikut sahaja. Orang lain masuk sekolah, saya pun masuk sekolah. Orang lain berebut-rebut untuk dapat A, saya pun berebut-rebut untuk dapat A.


Mungkin pada waktu saya di sekolah rendah dan awal sekolah menengah, saya tidak mampu untuk berfikir sendiri. Maka, saya hanya ikut kata-kata ibu bapa tanpa banyak bertanya dan berfikir.


Bagaimana pula ketika di peringkat akhir sekolah menengah dan universiti? Takkan saya masih lagi angguk-angguk sahaja?


Berfikir sendiri tidak bermaksud menderhakai kata-kata orang tua. Berfikir sendiri bermaksud kita mampu untuk berfikir secara mendalam dan meluas tentang sesuatu perkara. Dalam masa yang sama, kita akui bahawa kita perlukan bimbingan orang tua kita.


Katakanlah anda sekarang bakal memasuki universiti ataupun anda sedang berada dalam universiti. Universiti merupakan fasa hidup yang amat penting. Pada masa inilah kita akan explore dan discover tentang pelbagai hakikat kehidupan, bermula dengan diri kita sendiri.


Saya fikir waktu universiti ialah waktu di mana kita sedang figure things out.


Maka, waktu ini tidak harus berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang refleksi. Tanpa refleksi, perbuatan kita tidak bermakna. Kita menjadi ibarat robot.


Apabila ditanya mengapa, jawabnya tidak tahu. Buat sahaja apa yang orang lain buat. Itu bukanlah motivasi hidup yang utuh. Elakkan daripada menjadi Pak Turut.


Sekarang, masa untuk berfikir sendiri. Hidupkan Ulul Albab dalam diri kita:


1. Apakah prioriti no. 1 aku?

2. Apakah prinsip hidup aku?

3. Apakah matlamat hidup aku?

4. Apakah matlamat itu selari dengan prinsip hidup aku?

5. Mengapa aku ke universiti?

6. Apakah universiti satu keperluan untuk mencapai matlamat aku?


Soalan no. 5 dan no. 6 mungkin aneh bagi sesetengah orang. Mungkin kerana selama ini tiada yang berani untuk bertanya. Pergi ke universiti ibarat satu perkara yang wajib bagi setiap manusia. Jika tidak pergi, maka seseorang itu tidak berjaya.


Benarkah?


Saya tidak menghalang sesiapa pun untuk ke universiti, malah saya galakkan. Tetapi biarlah sesuatu perbuatan kita itu jelas niatnya dan jelas matlamatnya. Jangan jadi robot – tekan butang sahaja dan ia terus berjalan.


Aiman Azlan

11 September 2013

Mississauga, Canada

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 11, 2013 11:06

Agama: Bagaimana menjadikan Masa Muda Bermakna?

clock_by_fairycat60s-d3j63m7


Muda memang sekali, tetapi bukan alasan ingkar arahan ilahi


Masa adalah suatu bentuk penciptaan Allah yang ajaib.Ia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Setiap insan pasti pernah lalui masa lampau dan bakal menjalani masa depan. Tetapi masa tidak berkait dengan Allah kerana ia juga makhluk. Sebab itu wujudnya Allah itu tiada permulaan dan pengakhiran kerana semuanya dibawah kuasa Allah.


Masa sebenarnya menjerat manusia jika ia dibiarkan berlalu sia-sia. Masa lalu tidak bisa diputar kembali walau sebanyak mana harta yang kita punya untuk dijadikan sebagai ganti. Namun begitu, ia bukan suatu perkara yang perlu disesali kerna apa yang penting masa hadapan yang bakal kita tempuhi bagaimana cara terbaik untuk kita kemudi?


Dalam al-Quran sering Allah bersumpah dengan masa bahkan secara jelas disebutkan pada setiap waktu itu, sama ada pagi, petang atau malamnya. Yang pasti, manusia itu pasti dalam kerugian pada setiap detik yang berlalu itu seperti yang disebutkan oleh Allah. Pun begitu, mereka yang berusaha memanfaatkan masa dengan sebaiknya, maka mereka inilah tergolong dalam golongan yang beruntung baik pada dunianya mahupun akhirat.


Masa itu kehidupan.Pepatah yang sering dikait bila disebut mengenai masa. Dan kehidupan manusia yang paling utama adalah ketika mana dalam usia mudanya baik untuk manfaat dunia lebih lagi manfaat akhirat. Bagaimana?


Jika seseorang berhajatkan dunia semata, masa muda menjadi waktu yang utama.Sewaktu kecil mungkin tanggungjawab ibubapa untuk menjaga mereka. Bila usia kian dewasa, mereka perlu berusaha belajar, bekerja bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita tersendiri. Kereta mewah?Rumah besar?Dan pelbagai impian yang sering menjadi idaman setiap insan.


Lebih lagi seseorang yang berhajatkan dunia dan akhirat.Dunianya sahaja tidak boleh ditinggalkan.Perlu tetap berusaha untuk mengecapi semuanya.Cuma, perlu tambahan usaha untuk bekalan hari kemudian berbentuk amalan.Apa yang penting di sini adalah setinggi atau sejauh mana cita-cita seorang manusia, walau apa jua matlamatnya, masa muda menjadi asset utama penentunya.


Amat rugilah mereka menggunakan masa muda hanya bermatlamatkan dunianya sahaja kerana pada usia yang sepatutnya menjadi usia emas inilah segala-galanya mereka punya. Kekuatan fizikal.Kecerdasan mental.Keberanian dan kesungguhan semuanya menjadi pakaian.Tetapi bukankah pada Allah kita bakal dikembalikan?Justeru itu, seharusnya bagaimana mungkin kita menjadikan masa muda kita ini bermakna?


 


Selagi Masih Muda


Bagi sebuah bangsa, pemuda disebut sebagai agent of change bagi setiap generasi yang wujud.Sebuah perjuangan, tidak mengira ideology apapun yang menjadi taruhan, hampir mustahil sukses tanpa campur tangan orang muda. Sejarah membuktikan hal demikian seperti yang dilaksanakan oleh baginda s.a.w  menawan hati kaum muda pada awal dakwahnya.


Sayang, kini ramai pemuda Islam terutamanya menjadi mangsa sembelihan jahilliyah.Mereka terkepung oleh 1001 media dan sarana yang memuaskan kehendak nafsu.Mereka terjebak menggunakan masa dengan aktiviti yang tidak bernilai ibadah, merosakkan diri sendiri dan menghancurkan potensi.Mereka kemudian terhempas menjadi generasi yang tidak memiliki jati diri dan pegangan hidup.


Sayang, sungguh sayang! Walhal masa muda adalah waktu bunga potensi diri tumbuh mengembang. Tetapi kesalahan memanfaatkan akan membawa pemuda ke gerbang kegagalan. Hakikatnya, masa muda seorang manusia tidak hanya terikat dengan urusan dunia kerna sebagai muslim setiap amalan yang dilakukan pasti ada balasan. Dengan itu, sebenarnya tiada perkara hanya untuk dunia sahaja.


 


Begini seharusnya waktu muda


Ada beberapa perkara yang disebutkan oleh Dr ‘Aid Abdullah al-Qarny yang bagus untuk kita sebagai pemilik jiwa yang muda jadikan semakan bersama sebagai langkah kita membumikan masa muda dengan lebih bermanfaat. Antaranya:



Memerhatikan amalan fardu

Bagi mereka yang kurang pengetahuan dalam amalan fardu, sebaiknya ia dipelajari kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim. Mereka yang selangkah dihadapan yang sudah mengetahuinya pula, perlu buat semakan semula kesempurnaannya kerana dengan kondisi amalan yang sempurna akan membuahkan kesan dalam kehidupan manusia.


Sebagai contoh, bagi mahasiswa terutamanya yang tinggal bersendirian jauh dari keluarga, tidak kira jelas pengetahuan agama atau terkurang darinya sering kelewatan dalam menunaikan solat terutama pada dini hari (subuh).Sedangkan, sebahagian daripada kesempurnaan solat itu juga dikerjakan di awal waktu kecuali dengan keuzuran.Maka seharusnya,diari harian kita perlu diisi dengan muhasabah kendiri supaya kita boleh memperbaiki kelemahan diri.


Dalam lembaran sejarah nabi s.a.w memfokuskan terlebih dahulu soal hal-hal yang wajib pada awal usia dakwah baginda. Sebuah hadis yang disepakati akannya ada menceritakan sabda baginda s.a.w yang mana Allah berfirman:


“Tidak ada usaha hamba-Ku untuk mendapat redha-Ku yang lebih Kucintai daripada melaksanakan hal-hal yang Ku-wajibkan kepadanya.Hamba-Ku senantiasa berusaha mendapatkan keredhaan-Ku hingga Aku mencintainya.”(HR Bukhari)


Amalan fardu menjadi petanda hubungan kita dengan Allah kerna ia adalah perintah wajib yang diarahkan. Jika baik amalan fardu maka seharusnya baiklah hubungan kita dengan Allah. Bahkan ia menjadi suatu bentuk kecintaan Allah pada hamba-Nya kerna patuh akan suruhan-Nya. Justeru itu, mengambil berat akan kesempurnaan amal fardu amat penting terutama pada usia muda kerna dalam usia ini manusia mudah belajar jika terdapat kesilapan dalam amalan berbanding mereka yang sudah berusia terbiasa dengan perbuatan yang sudah terbiasa.


 


2.     Memaknakan cinta dan ukhuwah


Fitrah pada usia muda adalah perasaan cinta. Tetapi memaknakan cinta bukan dengan merosakkan kesuciannya. Cinta yang sebenar adalah yang mendorong membuat kebaikan, jika mengajak kepada kemungkaran ketahuilah ia cinta palsu.Seringkali diusia muda, remaja terkalah dengan perasaan cinta.Tetapi cinta yang hakiki yang membawa manusia itu lebih dekat dengan redha ilahi.


Cinta juga luas definisinya.Tidak hanya terikat dengan cinta pasangan lelaki dan perempuan. Tetapi cinta membuah ukhuwah sesama islam. Banyak orang berdiri gah di atas podium membicara tentang ukhuwah.Malangnya turun ke bawah berinteraksi dengan masyarakat dengan tongkat dan cemeti. Segalanya dilihat jelek, jika ada saudara melakukan kesalahan, bukan memandang dengan pandangan rahmat bahawa ia perlu diselamatkan. Lebih parah ada berani bertindak menghukum.


Sewaktu muda biasa manusia punyai banyak kenalan atas beberapa faktor seperti belajar bersama, satu tempat bekerja dan sebagainya. Tetapi hubungan ini merugikan jika ia tidak dimaknakan. Jika berlainan jantina perlu ada batasan.Manakala jantina yang serupa seharusnya meletakkan hubungan persahabatan itu tidak sekadar keluar makan bersama, belajar dan bekerja bersama tetapi ingin taat kepada Allah juga bersama.


Amat rugi mereka yang berukhuwah hanya untuk kepentingan dunia semata.Kerna dua orang yang saling mencintai kerana-Nya adalah merupakan salah satu golongan yang mendapat naungan Allah kelak.Tanggalkan ego siapa lebih berusia.Buangkan rasa siapa lebih berilmu.Simpan sebentar perbezaan fahaman kita selagimana ianya benar.Ikatlah ukhuwah itu kerana-Nya dan untuk-Nya.


Seperkara lagi, ukhuwah atau rasa cinta tidak semestinya kita bersama dalam waktu yang lama.Tetapi ingatan yang ikhlas terutama dalam berdoa.Antara perkara kerugian orang muda ialah jauh dari orang-orang berilmu dan para ulama’ kerana pada mereka terdapat hikmah di samping tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan.


 


3.     Tanam ketinggian cita-cita dan memanfaatkan potensi


Banyak di antara pemuda merasakan dirinya berada di ‘luar peta’, tiada siapa yang melihatnya dan bebanan tugas pada bahu orang lain. Jika ditanya mengapa tidak kamu menjadi seperti sekian-sekian orang yang bermanfaat buat ummat melalui pelbagai ilmunya atau usahanya? Tentu sekali dia akan mengatakan sudah ada mereka yang mengisi kekosongannya.Mengapa perlu bersusah-payah segala?


Tetapi mengapakah tidak pemuda berusaha menjadi sebahagian darinya?Moga dengan itu keberadaan kita di dunia tidak hanya menambah bilangan angka kosong tetapi mempunyai peranan tersendiri. Juga menjadi tiket perlepasan kita apabila disoal tanggungjawab kita di hadapan Allah kelak seperti firman-Nya:


Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri{14}. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).{15} [Al-Qiyamah: 14-15]


Tambahan lagi, cita-cita yang tinggi itu bukanlah menjadi orang yang berharta, ataupun yang ternama.Tetapi makna cita-cita yang tinggi itu adalah hidup dalam keadaan mulia dan mati dalam keaadan beriman dengan mengikuti jalan baginda s.a.w dan menyebarkannya. Itulah cita-cita teragung yang sepatutnya menjadi impian setiap jiwa terutama pemuda kerana pada usia emas ini mereka punya segalanya.


Di samping itu, mengenal potensi diri dan langkah pembinaannya amat penting kerana setiap manusia pasti memilikinya tinggal lagi berbeza-beza.Cuma mungkin ada tersalah menggunakannya atau mungkin tersilap memilihnya.Sebab itu tiada istilah cemburu dalam potensi.Yang ada adalah daya saing. Bagaimana potensi itu dibina dan di mana ia berfungsi?


Nabi s.a.w ada bersabda dalam hadis:


Setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan ia diciptakan. (HR Muslim)


 


4.     Waktu terbuang kerana lebihan hiburan dan menunda pekerjaan


Berhibur yang syara’ tiada salahnya. Bahkan ia juga makanan pada jiwa. Tetapi berlebihan dengannya menjadikan ia sakit, rosak bahkan boleh mematikan. Sebaiknya setiap detik yang berlalu itu disusun perancangannya agar tidak berlalu dengan sia-sia.Definisi kepada hiburan itu sendiri luas dan berbeda mengikut individu. Apapun mereka yang beranggapan perkara kebaikan itu suatu hiburan akan terbebas dari belenggu pembuangan masa dengan sia-sia.


Beralih kepada sikap menunda, hari ini ia seakan menjadi suatu tradisi. Tetapi ia bukanlah suatu perkara yang baik kerna ia bisa ‘membunuh’ kita seperti pujangga orang bijaksana:


Barangsiapa yang menanam benih ‘nanti’ akan tumbuh sebuah taman bernama ‘mudah-mudahan’, yang memiliki buah namanya ‘seandainya’, yang rasanya adalah ‘kegagalan’ dan ‘penyesalan’.


Kata-kata ini sejajar dengan firman Allah s.w.t:


Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka). [Al-Hijr:3]


Kehidupan manusia mempunyai banyak tanggungjawab yang mana melebihi masa yang ada.Maka sikap bertangguh dan menunda ini sebenarnya membuatkan kita lalai seterusnya segala tuntutan ke atas kita terabai.Demikian, sikap negative ini sepatutnya dinyahkan daripada bersarang dalam perbuatan kita.


 


Kesimpulan: Masa muda amat berharga


Sesungguhnya pertolongan tidak akan datang dengan hanya berangan, redha dengan keadaan sekarang, berterusan untuk berehat, mengutamakan keselamatan (takut berjuang). Bahkan ianya hanya akan datang dengan mempesembahkan pasukan-pasukan korban, gerombolan syuhada’ merentasi pertarungan berdarah, dan jihad yang pahit.


Untuk itu persediaan untuk menghadapi kesemua itu perlu kesabaran dan perancangan bahkan dalam tempoh yang lama. Jika usia muda tersia maka kemenangan itu juga akan tiba dalam tempoh yang lama. Justeru anak muda, persiapkan dirimu dengan ‘senjata’ bukan barangan di medan juang semata, tetapi ilmu, kesedaran dan kekuatan hubungan dengan-Nya.


Sebuah syair tertulis;


Biarkan daku menggapai ketinggian yang tidak mampu dicapai insan,

Kemuliaan yang tersukar pasti jiwa akan tercabar,

yang mudah pasti hanya untuk orang yang lemah,

Engkau mahu mencapai ketinggian dengan harga murah,

Sedangkan untuk mendapat madu mestilah disengat lebah.


 


Selagi Masih Muda, Dr ‘Aid Qarny


Sehingga Pemuda Mengerti, Abdullah Nasih Uluwan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 11, 2013 01:02

September 10, 2013

Poster: Impactor

impactor


The best people is the most beneficial to others.


أحب الناس إلى الله أنفعهم، وأحب الأعمال إلى الله عز وجل سرور تدخله على مسلم، أو تكشف عنه كربة، أوتقضي عنه ديناً، أوتطرد عنه جوعاً، ولأن أمشي مع أخي المسلم في حاجة أحب إلي من أن أعتكف في المسجد شهراً، ومن كف غضبه ستر الله عورته، ومن كظم غيظاً، ولو شاء أن يمضيه أمضاه، ملأ الله قلبه رضى يوم القيامة، ومن مشى مع أخيه المسلم في حاجته حتى يثبتها له، أثبت الله تعالى قدمه يوم تزل الأقدام، وإن سوء الخلق ليفسد العمل، كما يفسد الخل العسل.


“The most beloved of people according to Allah is he who brings most benefit, and the most beloved of deeds according to Allah the Almighty, the Magnificent, is that you bring happiness to a fellow Muslim, or relieve him of distress, or pay off his debt or stave away hunger from him. It is more beloved to me that I walk with my brother Muslim in his time of need than I stay secluded in the mosque for a month. Whoever holds back his anger, Allah will cover his faults and whoever suppresses his fury while being able to execute it, Allah will fill his heart with satisfaction on the Day of Standing. Whoever walks with his brother Muslim in need until he establishes that for him, Allah will establish his feet firmly on the day when all feet shall slip. Indeed, bad character ruins deeds just as vinegar ruins honey.”


“Orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bermanfaat; amal yang paling dicintai Allah Azza Wajalla adalah engkau menggembirakan seorang Muslim, atau melegakan kerisauannya, atau melangsaikan hutangnya, atau menghilangkan laparnya. Aku lebih suka berjalan bersama saudara Muslimku di saat dia memerlukan berbanding iktikaf selama sebulan di masjid. Barangsiapa menahan marahnya, Allah akan memelihara aibnya; dan barangsiapa menahan dirinya daripada mengamuk, sedangkan jika dia hendak boleh saja dia melepaskannya, Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat. Barangsiapa yang berjalan bersama saudara Muslimnya yang memerlukannya hingga selesai urusannya, Allah akan menetapkan kakinya pada hari semua kaki akan tergelincir. Sesungguhnya akhlak yang buruk itu merosakkan amal, sepertimana cuka merosakkan madu.”


(HR Thabrani)

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 10, 2013 19:15

September 9, 2013

Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain – Pada Mata Anak-Anak dan Para Menantu.

1265885_409906845788120_2002740116_o


Apabila saya lontarkan soalan:


“Selain sebagai seorang bapa, bagaimanakah anda memandang seorang Ustaz Dahlan?” Rata-rata anak dan menantu Ustaz Dahlan memandang Al-Fadhil sebagai seorang murabbi.


Pendidik. Bukanlah pendidik itu dalam erti kata Ustaz Dahlanlah yang mengajar mereka ABC, 123 atau Alif Ba Ta. Tetapi pendidik kepada syakhsiah mereka, yang menunjukkan mereka contoh yang baik, yang membesarkan mereka dengan neraca iman dan Islam, yang membawa mereka mengenali Allah SWT dan membumikan Islam dalam kehidupan.


Ustaz Dahlan digambarkan oleh anak-anak beliau sebagai seorang yang tidak banyak berbicara melainkan perkara yang penting. Ustaz Dahlan seorang yang jika berbicara, suka berbicara dalam perkongsian pengalaman dan nasihat-nasihat yang baik. Ustaz Dahlan adalah orang yang  tegas dengan anak-anak terutama anak lelaki, dalam mendidik mereka agar faham akan makna kehidupan dalam ketaatan kepada Allah SWT.


Abang Ali Karimi ada berkongsi dengan saya:


“Ana (saya) ni kategori anak yang agak nakal dan agak degil. Ustaz Dahlan pula adalah jenis jika perbuatan itu salah, memang akan menerima hukuman yang setimpal. Tetapi bila perkara yang baik, Ustaz akan sokong habis-habisan. Contoh: Ana pernah terlibat dengan masalah disiplin di asrama MATRI, analah orang pertama Ustaz Dahlan arahkan untuk dibuang asrama. Manakala dalam situasi lain, ana pernah dipilih antara yang akan ikut pertandingan syarahan bahasa arab, maka Ustaz Dahlan masa itu sanggup ambil masa untuk melatih ana dari sudut lontaran bahasa dengan betul dan baik. Ustaz sendiri sampai sanggup meminta Sheikh Ibrahim (guru Bahasa Arab di MATRI) untuk membantu ana.”


Begitulah Al-Fadhil dalam mendidik. Tidak terlalu memanjakan, tetapi tidak pula lupa untuk ‘encourage’ kebaikan-kebaikan, potensi-potensi yang wujud pada diri anak-anak beliau.


Ustaz Dahlan juga dipandang tinggi oleh para menantu, dilihat seperti ayah sendiri, dan dikasihi. Ustaz bijak mengambil hati keluarganya dengan menunjukkan contoh yang terbaik.


Abang Zaini, suami kepada Kak Amani, satu-satunya menantu lelaki Al-Fadhil Ustaz berkongsi dengan saya bahawa Al-Fadhil Ustaz Dahlan adalah penjahit yang baik. Ketika anak mereka lahir, Ustaz Dahlan menjahitkan sendiri barut dan cawat untuk kegunaan cucu yang akan lahir itu. Bahkan ustaz menjahit banyak, pelbagai saiz, hingga boleh digunakan pada umur enam bulan ke satu tahun. Apa yang ustaz jahitkan itulah digunakan oleh Abang Zaini dan Kak Amani pada ramia anak mereka.


Isteri Abang Ali Karimi – Kak Nor Aishah – ada berkongsi, yang dia pada awalnya segan dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan. Namun dek kerana kemesraan yang dipersembahkan oleh Al-Fadhil, Kak Nor Aishah berkata bahawa setiap kali pulang ke kampung, beliaulah yang banyak bersembang dengan Al-Fadhil Ustaz, berbanding suaminya sendiri yang merupakan anak kandung Al-Fadhil. Kak Aishah sendiri menyatakan bahawa Al-Fadhil memuji masakan Kak Nor Aishah, dan setiap kali dia pulang ke rumah Al-Fadhil, pasti Al-Fadhil meminta Kak Nor Aishah untuk memasakkannya.


Apabila ditanyakan kepada anak-anak Al-Fadhil berkenaan apakah yang manis dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain? Mereka kebanyakannya akan menyentuh perihal Al-Fadhil yang suka memasak bersama Ummi Halimaton. Al-Fadhil dikatakan lebih pandai memasak daripada Ummi Halimaton. Ini juga yang dikongsikan sendiri oleh Al-Fadhil kala saya bermalam dan makan bersamanya. Al-Fadhil Ustaz Dahlan cakap pada saya: “Kalau ana rasa Ummi masak ada tak kena, ana akan tambah dan usahakan agar bagi jadi sedap sendiri.”


Ustaz Dahlan sendiri dikatakan sebagai bapa yang sering menghantar anak-anaknya ke sekolah. Maksudnya, Al-Fadhil Ustaz sendiri hantar mereka. Al-Fadhil juga diceritakan sebagai seorang yang suka meraikan kesukaan anak-anak, selagi mana kesukaan itu sesuatu yang syar’ie.


Ini disentuh oleh Abang Ali Karimi dalam perkongsian beliau kepada saya dengan menceritakan betapa Abang Ali suka memancing dan aktiviti-aktiviti berkait dengan ikan. Pada satu hari, apabila Abang Ali pulang ke rumah, dia melihat serkap ikan yang cantik, ada di rumah. Ustaz Dahlan ketika itu menyatakan bahawa serkap ikan itu Al-Fadhil Ustaz Dahlan belikan untuk Abang Ali Karimi.


Saya secara peribadi melihat, contoh, qudwah hasanah yang Al-Fadhil persembahkan dalam kehidupan ini membuatkan ahli keluarga beliau melihat Al-Fadhil lebih daripada sekadar bapa, tetapi sebagai seorang murabbi kepada anak-anak, yang penuh dengan kemesraan dan cinta, kasih dan sayang, kerana itu semua dipersembahkan bersemi dalam segenap kehidupan Al-Fadhil.


Al-Fadhil juga amat mesra dengan cucu-cucunya, mengasihi mereka dengan penuh kasih dan cinta. Al-Fadhil walau kesakitan, tetap melayan cucunya, mesra bersama mereka, dan jika ada bersama kala Al-Fadhil melayan cucu-cucunya, kita akan dapat melihat betapa harmoninya wajah Al-Fadhil dengan senyuman yang mesra.


Al-Fadhil yang sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah, juga sibuk menguruskan Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, maka banyaknya urusan rumahtangga adalah pada bahu Ummi Halimaton. Namun Al-Fadhil bijak mengimbangi kesibukannya, dengan berusaha memenuhi hak-hak ahli keluarganya, memenuhi tanggungjawabnya sendiri. Sesuai dengan penyampaian Al-Fadhil yang sering beliau tekankan – Tawazun (keseimbangan).


Sokongan dan hormat kepada peribadi Al-Fadhil Ustaz Dahlan membuatkan kita melihat betapa beliau adalah insan  yang benar-benar mempraktikkan bicaranya di luar rumah. Perjuangannya, bukan pada orang yang tidak tinggal bersamanya, tetapi juga meliputi ahli keluarganya. Beliau dapatlah kita lihat sebagai seorang manusia yang berjaya di hadapan dan di belakang manusia.


Seorang yang benar-benar hidup dengan prinsip dan pegangan yang jelas.


 


———————————


Baca sepenuhnya dengan mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain. Cetakan terhad!


1234336_567868906582254_1560368921_n


 


Harga: RM50.00 seunit

Terbitan: LangitIman Resources.

Karangan: Hilal Asyraf.


Anda ingin mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain di kawasan anda? Boleh hubungi mereka -


KUALA LUMPUR/SELANGOR

LangitIman Resources

Encik Abdul Muhaimin bin Misran

0135041501


PERLIS

Koperasi Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis

Cikgu Azmi Bahari

019-4744343


PERAK

Kelab Belia HALUAN Ipoh.

Tuan Fadhli Bin Razali

012-5075677


TERENGGANU

Koperasi Mesra-Net Terengganu

Tuan Walid – 0199874332

Tuan Fazari Ghazali – 0129671271


KEDAH

Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN)

Tuan Yusof Hussin

019-4780895


PULAU PINANG

Koperasi Pulau Pinang

Tuan Razif

019-4700101


PAHANG

Koperasi Bimbingan Insan Berhad (KOBI)

Sr.Sabarudin-0199308111

Puan Zaharah 0199512111


KELANTAN

Hannah Bookstore

Facebook: https://www.facebook.com/hannahsbookstore

Tuan Muaz-0196651234

Puan Shah Aznie-0126443715


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 09, 2013 21:43

Himmah : Pedoman Anbiya’ – Adab Berdakwah Dengan Ayah Yang Tidak Beriman Atau Belum Memahami Islam

abi


 


Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. telah menukilkan banyak kisah berkaitan Nabi Ibrahim a.s. Kisah Nabi Ibrahim dengan dirinya, kisahnya dengan ayahnya, dengan anak dan isterinya, dengan raja Namrud dan pelbagai lagi kisah perjalanan hidupnya.


Kisah-kisah ini bukanlah untuk didengar sebagai halwa telinga semata-mata, tetapi perlu diambil contoh dan diterapkan dalam hidup kita.


Kajilah kisah-kisah ini daripada lafaz-lafaz yang berada di dalam Al-Quran, pasti kita akan temui kemanisan dan teladan yang tinggi dalam kisah ini.


Episod kali ini kita bawakan teladan Nabi Ibrahim a.s. daripada ayat 41 hingga 47 surah Maryam.


Kisah dalam ayat ini menjadi inspirasi kepada kita bagaimana sepatutnya kita menyikapi seorang ayah yang belum beriman. Juga dalam realiti kita hari ini, aplikasi yang sama dapat kita terapkan dalam interaksi dengan ibu ayah yang mungkin belum memahami Islam dengan baik. Bagaimana interaksi kita dengannya dan bagaimana selayaknya dakwah disampaikan kepadanya.


 


Banyak Sekali Orang Tidak Sabar


Kebiasaannya, bila kita melakukan dakwah, orang yang paling mudah kita hilang sabar adalah anggota keluarga kita. Ayah kita, ibu kita, adik-beradik kita. Hilang sabar mungkin kerana kita mahu mereka cepat berubah.


Kalau belum Islam, agar segera menjadi Islam. Kalau belum baik, agar segera menjadi baik. Kalau belum memahami Islam, agar segera memahami Islam.


Kerana sifat kurang sabar itu menyebabkan kadangkala kita menggunakan kaedah-kaedah dakwah yang keras dan memaksa mereka sehingga mereka mula merasa jauh dari kita. Bahasa kita dengan mereka adalah bahasa yang keras. Kalau mereka menegur perubahan-perubahan yang ada pada diri kita, kadangkala kita balas dengan nada yang kasar dan tinggi suara. Perkataan kita tidak hikmah kerana kita inginkan perubahan segera pada diri mereka. Kita mula memperkatakan perkara-perkara yang betul tetapi dengan cara yang salah.


Di dalam surah Maryam, Allah s.w.t. telah meninggalkan kepada kita teladan Ibrahim a.s. dalam berdakwah kepada ayahnya sendiri, seorang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. Seorang yang tergolong dalam kalangan mereka yang menyembah berhala. Dia tahu anaknya itu membawa ajaran baru yang menyuruh mereka menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan berhala-berhala mereka, tetapi dia tidak mengimaninya malah menentang pula dengan ugutan untuk merejam Nabi Ibrahim a.s.


Namun, mari kita lihat teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. melalui lafaz yang dinukilkan dalam Al-Quran.


 


Walaupun Kita Telah Lebih Dahulu Mendapat Kefahaman Islam, Adab Dengan Ibu Ayah Itu Tetap Perlu Dijaga


Banyak sekali kisah dalam masyarakat kita, anak-anak mendapat kefahaman Islam lebih dahulu daripada ibu ayah mereka. Begitu juga bagi masyarakat yang bukan Islam, ada anak-anak yang kadangkala mendapat hidayah Islam lebih dahulu berbanding mereka.


Namun, itu bukan alasan untuk kita bercakap kepada mereka dengan nada dan percakapan yang tidak baik, dengan menggunakan kalimah-kalimah yang keras dengan gaya yang biadab.


Lihat bagaimana Ibrahim a.s. mengajar kita :


“(Ingatlah) ketika (Ibrahim) berkata kepada ayahnya, ‘Wahai ayahku, mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, melihat dan tidak dapat menolongmu sedikitpun?” [Maryam : 42]


Ibn Asyur menukilkan bahawa panggilan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu (dalam bahasa Arab berbunyi ‘ya abati’ yang bermaksud ‘wahai ayahku’) adalah ucapan yang penuh kelembutan dan memanggil dengan panggilan pangkat yang sesuai. [Ruj : Tahrir Wa Tanwir]


Sekali imbas, mungkin kita akan merasakan perkara ini sebagai suatu keadaan yang biasa sahaja. Tetapi psikologi bagi orang berdakwah kepada ahli keluarganya, kadangkala inilah yang susah hendak dilakukan.


Kita merasakan diri kita telah berada di pihak yang benar, maka orang lain tak dapat tidak perlulah mengikuti jalan ini juga. Kadangkala, kita tidak pedulikan cara dan sikap kita ketika menyampaikannya. Yang penting kita menyampaikannya sehingga kadangkala kita mengabaikan hak keluarga kita, hak ayah ibu kita sebagai orang tua kita.


Sehingga kadangkala ada yang tidak lagi menghormati ibu ayahnya dengan mungkin memanggil ayahnya ‘si kafir’, ‘si jahil’ dan panggilan lain yang tidak selayaknya. Ini patut dihindari dan teladanilah sikap Nabi Ibrahim yang tetap memberikan ayahnya hak sebagaimana yang dia patut perolehi.


Tidak dipanggil ayahnya itu, ‘Hei, si kafir’, tetapi dipanggil ‘Wahai ayahku’ dengan tetap menghormati kedudukan ayahnya itu dengan dirinya.


Inilah antara pengajaran awal daripada ayat ini yang kita akan dapati juga dalam ayat-ayat yang seterusnya, Nabi Ibrahim berulang kali memanggil ayahnya dengan panggilan hormat dan penuh kelembutan ini.


Bila kita ingin menyampaikan dakwah kepada keluarga kita, hormatilah kedudukan ahli keluarga kita dengan diri kita, ayah ibu kita, adik abang kakak kita, saudara mara kita, panggillah mereka dengan panggilan selayaknya yang membuatkan mereka rasa perubahan kita ke arah Islam ini, ke arah kebaikan ini, wajar dicontohi oleh mereka pula, bukannya dijauhi oleh mereka.


 


Memilih Perkataan Terbaik


Az-Zamakhsyari telah memberikan komentar terhadap kata-kata Ibrahim a.s. ini dengan katanya : “Lihatlah ketika ia ingin menasihatkan ayahnya dan menyedarkannya dari kesalahan besar yang dia telah terlibat, serta kesilapan buruk yang telah menafikan urusan akalnya (yakni penyembahan berhala), serta melakukannya dengan cara yang berbeza, bagaimana dia menyusun kata-katanya dengan konsistensi yang terbaik, dan wacana yang digunakannya adalah sehalus-halus wacana, dengan penggunaan budi bahasa, kelembutan, kehalusan, kesopanan, adab yang cantik dan akhlak yang baik.”


Pemilihan bahasa dan perkataan terbaik ini tidak hanya berlaku di permulaan percakapannya sahaja, bahkan baginda konsisten dalam isi percakapannya juga.


Lihatlah firman Allah s.w.t. dalam ayat seterusnya :


“Wahai ayahku, sungguh telah sampai kepadaku sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepadamu. Kerana itu, ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan jalan yang lurus.” [Maryam : 43]


Kata Ibn Asyur, setelah soalan Ibrahim kepada ayahnya yang menyatakan berhala itu tidak dapat mendengar, melihat dan membantu apapun, yang kalau ditanya pun apa sebabnya menyembah berhala itu, tidaklah ada jawapan yang dapat diberi diberi, maka seruan Nabi Ibrahim dalam ayat seterusnya ini kepada ayahnya adalah kelebihan buat Nabi Ibrahim yang membuktikan bahawa dia diberi sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepada ayahnya.


Pun begitu, kata Ibn Asyur, tidaklah pula baginda menyifatkan ayahnya itu sebagai si jahil kerana kelebihan ilmu yang dimilikinya itu. [Ruj : Tahrir Wa Tanwir]


Inilah contoh yang patut kita teladani dalam kehidupan kita.


Bila kita sebagai anak memiliki ilmu lebih sedikit daripada ibu ayah kita, sewajarnya kita berbahasa dengan bahasa terbaik dalam menyampaikan apa yang kita miliki itu.


Bukanlah kelebihan ilmu itu jadi lesen untuk kita menggelar atau memarahi ibu ayah kita kerana kejahilan atau tidak tahunya mereka.


Jangan kita menggelar ibu ayah kita dengan gelaran si jahil hanya kerana mentang-mentang kita mempunyai kelebihan dari sudut sebahagian ilmu seperti ilmu agama, dari sudut ilmu teknologi dan lain-lain.


Hari ini, anak-anak mudah hilang sabar dengan ibu ayah bila mereka bercakap sesuatu tetapi tidak dapat difahami oleh ibu ayah mereka sehingga mereka perlu membuat penerangan berulang kali. Umpama iklan burung murai di tv3 yang biasa kita lihat pernah ditayangkan pada musim-musim perayaan yang lepas. Sehingga dijerkah ayah ibunya akhirnya kerana dirasakan mereka itu terlalu lambat dan menyusahkan dirinya.


Jangan, janganlah mempunyai perasaan sedemikian.


Bersabarlah sebagaimana Ibrahim a.s. sabar menyampaikan dakwah kepada ayahnya dalam nada dan bahasa yang terbaik pula.


Tidak dicela ayahnya atas kejahilan ayahnya. Tidak dimaki pula ayahnya. Bahkan usaha dakwah terus disampaikannya dengan perkataan dan cara yang terbaik.


 


Penutup : Tetaplah Berbuat Baik Kepada Ibu Ayah Selama Mana Mereka Tidak Menyuruh Kepada Maksiat


Seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s. ini walaupun telah dilakukan dengan sehabis lembut bahasa dan sehikmah cara, namun masih tetap diugut oleh ayahnya untuk merejam dirinya.


Namun, jawapan balas Nabi Ibrahim pada ayat 47 surah Maryam ini masih mengekalkan konsistensi kasih dan kelembutannya dalam dakwah.


“Dia (Ibrahim) berkata : ‘Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memohonkan ampunan bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.” [Maryam : 47]


Barangkali, banyak ujiannya bagi mereka yang lahir di dalam keluarga bukan muslim. Menjadi muslim di dalam sebuah keluarga muslim bukanlah satu yang mudah apalagi untuk berdakwah kepada ayah ibunya sendiri. Ada yang bahkan pernah disisih, pernah dicaci maki. Hendak melaksanakan Islam pun harus sembunyi-sembunyi.


Namun, tetaplah terus berbuat baik kepada mereka meskipun mereka belum menerima Islam.


Itu mungkin bagi keluarga bukan muslim. Kalau saja dengan ibu ayah yang bukan muslim, kita disuruh berbuat baik, maka apatah lagi dengan ibu ayah yang sudah muslim dan baik pula mereka itu. Lebih-lebih lagilah patut kita berbuat baik kepada mereka.


“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya dan pergauliah keduanya di dunia dengan baik…” [Luqman : 15]


Allah tetap menyuruh kita berlaku baik kepada mereka. Abaikan sekiranya mereka menyuruh kita melakukan sesuatu yang menderhakai Allah s.w.t. namun tetaplah terus berlaku baik, bercakap yang baik, mentaati dan menghormati hak mereka sebagai orang tua kita.


Mari belajar dari Nabi Ibrahim a.s.


Teladan dakwah dalam rumah yang praktikal.


Belajar mengertikan dakwah di luar dan di dalam rumah.


Jangan menjadi hero di luar, tetapi di dalam rumah tanggungjawab kita pun terabai.


Pilih jalan yang benar, maka sampaikanlah pula dengan cara yang benar.


Biar jalan yang benar tidak terfitnah dengan cara dan sikap kita sendiri yang bermasalah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 09, 2013 20:07

September 8, 2013

Himmah : Bila Kali Terakhir Dekat Dengan Allah?

images (6)


 


Mungkin saja ada di kalangan kita yang begitu akrab hubungannya dengan Allah. Namun, dalam dunia yang serba mencabar keimanan kita pada hari ini, telah berapa ramai yang tewas dalam memelihara kelangsungan hubungannya dengan Allah azza wajalla.


Sedari kecil sebahagian besar kita telah dididik mengenal Allah, dididik dengan solat, dengan kalimah-kalimah dan bacaan untuk mentaati Allah, sehinggalah besar dan masuk ke sekolah, masih diberi penekanan yang sama, namun bila dilepaskan menerjah ke dunia luar bersendirian, insan lebih tahu kadar kekuatan hubungannya dengan Allah.


Cerita cintanya dengan Allah saat bersekolah dan berusrah dahulu, saat-saat kegentingan di musim peperiksaan dahulu tinggal menjadi kenangan yang dilupakan.


Barangkali Allah yang telah dia kenali di dalam solatnya dahulu tidak lagi dia kenali di dalam kehidupannya sekarang.


Allah yang dia kenali dalam doanya sewaktu ingin mendapatkan kecemerlangan dalam peperiksaan itu tidak lagi dia kenali bila dia telah bergaji besar, berkedudukan hebat dalam hidupnya.


Wajar ditanya pada hati kita, bilakah kali terakhir kita dekat dengan Allah?


 


Insan Bila Dalam Kesusahan, Baru Mula Kembali Mencari Tuhan


Mungkin semalam.


Mungkin 5 tahun yang lepas.


Mungkin 10 tahun yang lepas.


Atau mungkin zaman SPM dahulu?


Masih ada lagikah Allah dalam kamus hidup kita?


Ramai yang mengetahui Allah itu adalah Tuhan, tetapi berapa ramaikah yang merasakan dirinya adalah hamba kepada Tuhan itu?


Orang yang tidak merasai dirinya adalah hamba tidak akan tunduk dan taat kepada Allah dalam kehidupannya meskipun dia tahu Allah itu adalah Tuhan.


Saban hari, kita disibukkan dengan kerja dan kehidupan kita. Kita keluar siang dan pulang malam mencari hasil hidup untuk dunia kita. Kita sibukkan diri kita melakukan itu ini untuk mencapai cita-cita kita di dunia. Namun, adakah sesibuk itu pula kita mempersiapkan diri kita dengan Allah sebagai bekalan untuk kita pulang dan dihisab di akhirat sana nanti?


Persiapan pulang kita menuju ke negeri akhirat itu tidak kita rasakan begitu penting kerana ia tidak berada di depan mata kita. Kita tidak dapat melihatnya, justeru kita menganggapnya tidak penting.


Sebab itu, manusia selalu meninggalkan dan mengabaikan Allah.


Bila ia berada di dalam kesusahan, berada dalam kesempitan yang tidak lagi dapat dirinya hadapi bersendirian, maka ketika itulah baru ia mencari Tuhan untuk membantunya keluar dari kesempitan itu.


Bila ia berdepan dengan himpitan-himpitan yang tidak ia dapat tanggung dengan kudrat jasadnya yang kecil, maka ketika itu barulah ia mula berharap kepada pertolongan Tuhan.


Bila jiwa telah kering dan merasa kekosonga, barulah terasa memerlukan Tuhan.


Hakikatnya, insan tidak pernah dapat menghadapi segala ujian di atas dunia ini bersendirian.


Allah yang Maha Pengasihlah yang sentiasa membuka jalan dan memberikan kelapangan kepada insan meskipun insan itu tidak pernah meminta, meskipun insan itu selalu alpa dan ingkar terhadap-Nya.


Adakala dihantar-Nya ujian untuk menyentak jiwa insan itu agar segera lekas kembali kepada-Nya, maka ketika itulah insan  mula mencari Tuhan memohon bantuan. Namun, yang bernama insan itu memang nisyan (lupa). Bila telah selamat dan keluar dari ujian, lantas dilupakan dan diabaikan Tuhan.


 


Jujurlah Kepada Tuhan


Kalau benar kita jujur kepada Tuhan, bilakah kali terakhir kita berdoa bersungguh-sungguh kepada Tuhan, memohon ampun dan pelbagai bantuan?


Sesetengah orang jarang sekali berdoa. Kalau berdoa pun, sekadar mencukupkan syarat menadahkan tangan. Tidak difahami makna doa yang diaminkannya, tidak mengetahui apa yang didoakannya, khayal dalam berdoa. Ada sesetengahnya yang mulut terkumat-kamit mengulang lafaz doa yang dihafaznya, tetapi hatinya jarang sekali mahu merasakan kerendahan dirinya di depan Allah saat ia berdoa.


Belum dilihat lagi solatnya. Sesetengah orang solat umpama patukan ular. Ingin cepat siap, lantas bacaan dan gerakan pun menjadi tunggang-langgang dan tidak didalami dengan baik. Alangkah ruginya solat begitu.


Jujurlah kepada Tuhan, kepada Allah yang telah menciptakan kita, yang telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita.


Bersyukurlah Allah memilih kita untuk mengenali-Nya, mengetahui ajaran-Nya, janganlah kita pula melarikan diri dari hidayah-Nya setelah Dia memberikan kita kebaikan untuk memahami dan mengenali Islam.


Carilah Allah baik di masa senang mahupun susah.


Ketika kita mendekati-Nya di masa senang, pasti Dia akan ingat kepada kita di masa susah. Bila kita mendekati-Nya di masa susah, pasti Dia akan ingat pula kepada kita di masa senang.


Allah tidak pernah lupakan hamba-Nya, hanya hamba-Nya yang selalu berlari jauh dan meninggalkan-Nya.


Bila kita susah, baru hendak cari Allah.


Bila kita senang, kita sibuk dan lalai dengan manusia. Kenapa tidak kita kongsikan kegembiraan kita dengan Allah, sujud syukur kerana Dia telah menghadiahkan kepada kita rasa senang, rasa bahagia yang tidak semua orang merasainya hari ini?


Alangkah pilih kasihnya kita. Allah tidak pernah pilih kasih kepada kita. Diberikan-Nya nikmat kepada kita siang dan malam, taat atau ingkarnya kita, dekat atau jauhnya kita dengan Dia. Sentiasalah Allah itu tidak putus-putus kasih-Nya sehingga kita sendiri yang memutuskan kasih kita kepada-Nya, akhirnya menyebabkan kita jatuh dalam kebinasaan hidup dan kerosakan.


 


Penutup : Menyibukkan Diri Kita Dengan Menjadi Pekerja Allah


Cara terbaik untuk sentiasa dekat dengan Allah adalah dengan kita menjadi pekerja Allah.


Bagaimanakah menjadi pekerja Allah s.w.t. itu?


Ya, selain dari arahan perhambaan dalam surah Adz-Zariyat ayat 56 itu, maka Allah juga menyeru kita agar berdakwah kepada-Nya.


Itulah salah satu cara menjadi pekerja Allah s.w.t.


“Dan barangsiapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah?”


Ini adalah medan terbaik untuk mengingatkan diri kita kepada keperluan untuk sentiasa dekat dengan Allah s.w.t. Kerana bila kita mengajak manusia dekat dengan Allah s.w.t., tidak dapat tidak, diri kita juga memerlukan bekalan untuk tetap berhubung dengan Allah s.w.t.


Seseorang tidak mungkin dapat mengajak manusia ingat kepada Allah, mengajak manusia kembali kepada Allah kalau sahaja dirinya itu jauh dari Allah s.w.t.


Jangan selesa bila kita jauh dari Allah kerana jauh dari Allah itu adalah kebinasaan.


Jangan pernah selesa bila arahan-arahan Allah mula kita longgar-longgarkan kerana itu adalah jalan menuju kerosakan.


Hubungkan semula kisah cinta lama kita seandainya ia pernah terputus lama.


Kita kecewa dan putus asa kalau putus cinta dengan manusia, maka apakah kita merasa selesa dan berdiam diri sahaja kala cinta kita dengan Allah telah terputus lama?


Jangan biarkan, kembalilah kepada Dia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 08, 2013 22:36

Novel VT2: AvantGarde – Gelombang 2 – Hati Yang Hilang

Novel VTCover Novel VT yang pertama.


Novel VT2: AvantGarde adalah sambungan Novel VT yang pertama. Telah lari sedikit dari waktu yang dijadualkan siap. Allah izin saya baru berjaya siapkan sekitar 10 bab.


Ada sekitar 10-15 bab lagi(mengikut perkembangan cerita, saya tak pasti nak buat berapa bab) untuk saya siapkan.


Saya jangka Novel VT2: AvantGarde akan siap 20hb September 2013 ini. Tetapi pun tidak dapat janji apa-apa.


Apa-apa hal, enjoy dulu apa yang ada.


Saya akan post online sedikit demi sedikit.


yang ni bab 1: http://langitilahi.com/13363



Pejabat Muslim’Sport sederhana sahaja. Tidak segah syarikat-syarikat korporat yang lain. Mereka baru bermula, hendak menerajui bidang sukan dengan membawa syiar Islam. Sukan jarang dilihat selari dengan Islam, memandangkan etika pemakaian dan biasanya penganjuran pertandingan sering melanggari batasan yang syariat tetapkan.


Di Malaysia yang bergelar ‘negara Islam’ ini pun, perkara tersebut masih tidak dijaga dengan baik. Jangan dicerita bagaimana di peringkat antarabangsa.


Maka Muslim’Sport bercita-cita besar untuk mewarnai wajah sukan di negara ini dengan syiar Islam dan patuh syariah. Sukan Bola Tampar adalah sukan yang menjadi fokus utama di awal pergerakan mereka, agar mereka tidak dilihat terlalu drastik dalam melakukan perubahan.


VNRC merupakan batu loncatan yang besar untuk mereka memberikan ‘gegaran’ kepada masyarakat. Mereka mahu membawa sebuah gelombang baru, yang besar, merubah suasana sukan di negara ini.


Saiful berdiri di hadapan misi dan visi syarikat. Semua yang bermain di benaknya tadi ialah gambaran terhadap misi dan visi Muslim’Sport yang dibangunkan oleh Encik Abdul Majid. Walaupun lebih berusia, Encik Abdul Majid amat rapat dengan Faiz Abdul Aziz. Dan Saiful juga baru tahu bahawa dahulu Encik Abdul Majid merupakan salah seorang dari yang terawal mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain, mudir di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah tempat dia dan Faiz belajar dahulu.


“Assalamu’alaikum.” Sapaan mesra penuh barokah itu diiringi dengan tepukan pada bahunya, membuatkan Saiful sedikit terkejut. Namun dia pantas menjawab lontaran salam itu semula, sambil menoleh.


Faiz Abdul Aziz. Sahabatnya semenjak tingkatan satu, kini sedang berdiri dengan wajah yang bersinar. Faiz seorang yang sama tinggi dengannya, berkulit agak gelap namun tidak sehingga hitam manis, rambutnya tersisir rapi belah tengah, Faiz di hadapannya kini bersut lengkap persis seorang korporat.


“Terkejut?” Faiz angkat kening sebelah. Saiful tersengih. “Sikit.”


Kemudian mereka berdua bergerak seiringan ke pejabat Faiz. “Pakcik tak masuk pejabat hari ini?”


Faiz menggeleng. “Dia jarang ada di pejabat. Sibuk mencari ruang di medan lain. Dengarnya nak cuba mencari peluang dalam sukan badminton.”


“Hem, menarik.”


Mereka sampai ke pintu pejabat, Faiz membukanya, dan Saiful mengikuti.


“Itulah dia, Pakcik Abdul Majid kita, orangnya sudah menjengah hampir separuh abad, tetapi semangatnya ibarat orang muda. Teringat aku pada Sir Abdoh.” Faiz terus duduk di kerusinya.


Saiful terus tergelak kecil sambil duduk di kerusi bertentangan dengan Faiz, di hadapan meja pejabat.


“Sir Abdoh mana kenal tua.”


“Dia selalu ulang Surah Al-Kahfi ayat 13.” Faiz mengenang.


“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Saiful menyambung dengan membaca ayat tersebut.


“Kemudian dia selalu sebut, siapa kalah dengan sir, dia lagi tua daripada Sir.”


Saiful terus tertawa. Sir Mohd Abdoh, Penolong Kanan di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah. Seorang yang gagah dan bersemangat. Amat berdisiplin dan penuh dengan hikmah. Sangat memberikan sokongan kepada apa yang diusahakan oleh anak-anak muridnya. Juga amat menitik beratkan perihal riadhah dan kesihatan.


Semangat.


“Selalu dia ulang, Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.” Saiful mengimbau ingatan.


Faiz mengangguk. “Dan itulah dia yang kita lakukan di sini. Semoga hikmah mereka para veteran, berasimilasi dengan semangat kita orang muda.”


“Muda yang tak berapa dah nak muda dah, Faiz.” Saiful tersengih. Faiz membalas dengan senyuman. Benar, usia mereka sudah melepasi 30-an.


Mereka berdua senyap seketika usai itu semua. Faiz seperti berfikir sebentar, manakala Saiful menghela nafas. Tidak lama kemudian, Faiz perlahan-lahan mengangkat wajahnya, memandang sahabatnya itu.


“Bagaimana pasukan kita?”


Saiful menjuihkan bibirnya. Kelihatan kecewa. “Empat daripada bekas pemain MATRI yang kita rekrut, tidak menghadirkan diri. Masing-masing ada masalah. Enam pemain kita dari Amerika pula, nampaknya tidak sebulu dengan dua lagi pemain MATRI yang ada.”


Saiful membuang pandangannya ke sekeliling pejabat Faiz. Pejabat sederhana, tetapi kemas dengan fail tersusun rapi di almarinya, bersama bunga yang menjadi penghias jendelanya.


“Tarbiyah takkan selesai selagi kita masih hidup, Saiful. Dan Allah SWT tidak pernah memberikan kemenangan mudah kepada manusia yang hendak mengangkat deenNya. Ingat firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 214: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.


Saiful tersenyum. Mengangguk. Namun kemudian dia melepaskan keluhan. “Yalah, tetapi siapa sangka, bukannya kedua-dua pasukan itu tidak pernah melalui tarbiyah.”


“Berapa ramai rakan-rakan kita di MATRI yang melalui tarbiyah juga Saiful, berapa ramai rakan-rakan di dalam jemaah kita yang melalui tarbiyah seperti kita juga Saiful, namun berapa ramai antara mereka yang Allah izin untuk kekal di atas jalan ini?” Faiz menghela nafas akhirnya. Sebentar dia terkenang beberapa nama yang telah tidak bersama mereka.


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.


Saiful tiba-tiba teringat akan ayat tersebut kala Faiz mengungkit persoalannya. Benar. Allah menguji.


“Jadi bagaimana Faiz? Empat yang tiada itu, apakah kita perlu menggantikannya dengan yang lain, atau…”


“Kau rasa bagaimana?” Faiz menongkat dagu dengan kedua belah tangannya. Matanya tepat menentang pandangan Saiful.


“Aku mahu terus percaya.”


Faiz menghadiahkan senyuman. “Maka percayalah yang engkau mampu membawa mereka kembali, menyatukan kumpulan ini, seterusnya menyempurnakan misi kita.”


Saiful akhirnya turut tersenyum sama.


“Inilah pentingnya ukhuwwah kerana Allah SWT. Sahabat yang baik ialah yang akan sering mengingatkan kita kepadaNya. Terima kasih Faiz.”


“Naa, engkau sahabat aku yang baik juga Saiful. Sama-sama kita saling lengkap melengkapi insyaAllah.”


“InsyaAllah.” Saiful bangun.


“Aku mahu pergi memulakan latihan dengan lapan pemain yang ada.”


“Selamat.” Faiz tidak berdiri, namun mendongak dan mengangkat tangan.


“Selamat.” Saiful berpaling dan mengangkat tangannya juga.


Faiz melepaskan Saiful dengan senyuman penuh makna.


 


******


 


Suasana di pejabat Pengerusi Eksekutif Youngstar Berhad kelihatan berselerak.  Bunyi derap langkah telapak kaki yang pantas kedengaran memenuhi ruang. Alat penghawa dingin menyumbang kesejukan, namun suasana di dalam pejabat itu seakan panas.


“Ya ya, tetapi kena segera la siapkan. Tarikh akhir sudah semakin rapat dengan kita.”


“Tak boleh macam itu. Cuba bekerja tu jangan bertangguh.”


“Saya kata jangan tu jangan la. Fahamlah keadaan.”


“Kita sama ada rugi besar kali ini, atau untung besar. Awak pilih!”


Kemudian ganggang telefon pejabat itu diletakkan.


Ihsan Rosli, kini bertubuh agak tegap namun sedikit gempal, tinggi  dan bercermin mata, sedang memegang rambutnya yang serabai dengan kedua-dua belah tangannya.


“Hish, sekarang ni tak ada sesiapa boleh diharap. Huh!” Dia mendengus bengang.


Terus dia menghenyakkan punggungnya ke kerusi. Kakinya terus diangkat ke atas meja.


“Letih sungguh bekerja. Badan letih, minda pun letih. Apa boleh buat, inilah dia cari rezeki.” Dia memandang siling. Lampu kalimantang menghiasi.


Youngstar Berhad ialah syarikat warisan ayahnya. Ayahnya mengembangkan perniagaan di sektor lain, dan meninggalkan Youngstar Berhad kepadanya. Youngstar Berhad merupakan syarikat IT yang baru meningkat naik di Negara ini. Semenjak tamat universiti, dia mengambil alih perniagaan ini dan mengusahakannya. Kini sudah masuk tahun ketiga. Pendapatannya juga agak lumayan, walau tidaklah mencapai taraf puluh ribuan ringgit sebulan. Namun cukuplah untuk hidup lebih mewah dari rakan-rakan lain yang bekerja di sektor kerajaan.


Perlahan-lahan dia melihat cek yang banyak di atas mejanya. Semuanya merupakan pendapatannya, dan belum ditunaikan.


Ya, dia senang sekarang.


“Antum serius mahu menyertai projek ini? Ana tak paksa tau.”


                Hari itu, Coach Saiful Rahman pulang menziarahi mereka. Ziarahnya yang pertama, juga yang terakhir, semenjak usai Pertandingan Bola Tampar Peringkat Negeri Perlis. Tidak terlalu lama selepas kejohanan itu berakhir. Katanya sebelum dia nak ke Thailand untuk menguruskan pasukan di sana pula.


Semua yang ada gembira dengan kehadirannya. Mahu pula ketika itu sudah hampir dengan peperiksaan akhir tahun. Perpisahan akan berlaku sesama mereka. Ramai Famili VT tahun itu yang akan meninggalkan sekolah.


Asyraf akan tamat pengajiannya di tingkatan enam, manakala Ridhwan, Meor, Qahar, Zulkarnain, Wafiy, Omar, Najmi, dan Yasin semuanya akan meninggalkan sekolah usai SPM tidak lama lagi. Tinggal Farhan, Ramadhan, dan dia sahaja untuk meneruskan kegemilangan yang berjaya mereka capai tahun ini.


                Selain memberikan kata-kata semangat, Coach Saiful menyatakan bahawa dia mempunyai sebuah projek jangka panjang, berkait dengan bola tampar. Hanya yang benar-benar serius untuk menjadikan bola tampar sebagai karier hidup sahaja diminta untuk mendaftar.


                Yang mendaftar ketika itu ialah Asyraf, Farhan, Ridhwan, Zulkarnain, Omar, Malik dan dirinya sendiri. Yang lain, mempunyai cita-cita masing-masing.


                “Tak mengapa coach. Saya memang suka bola tampar sangat-sangat.” Riang dia menjawab.


                Coach Saiful sekadar tersenyum.


                “Antum perlu ke universiti, belajar, dapatkan segulung ijazah, kemudian kerja dahulu cari pengalaman di tengah masyarakat, seterusnya nantikan panggilan daripada Syarikat Muslim’Sport ini.” Coach Saiful mengagihkan kad kepada lima orang yang mendaftar.


                “Coach, kena ambil ijazah Sains Sukan ke?” Asyraf bertanya. Ihsan tahu Asyraf mahu ke Jordan, ambil Usuluddin.


                Coach Saiful Rahman menggeleng. “Tak, ambil apa sahaja kamu suka. Itu ilmu. Tetapi ini kontrak dan janji kita, untuk menggegarkan Malaysia ini dengan syiar Islam, melalui wasilah bola tampar. Bagus juga di dalam pasukan kita nanti ada pelbagai ilmu yang berbeza, boleh dikongsi sesama kita. Meriah bukan?”


                “Macam aiskrim paddle pop yang warna-warni tu Coach. Sedap.” Omar mencelah. Tak habis-habis dengan jenaka dia. Membuatkan semua tertawa.


                Semangat sungguh suasana ketika itu.


Tetapi semangat yang sama tidak ada pada dirinya hari ini. Ihsan mengeluh. Kenangan lama membuatkan dia rasa serba salah. Perlahan-lahan dia mengangkat kedua-dua belah tangannya. Memandang.


Lama sudah dia tidak berlatih bola tampar.


Awalnya selepas tahun kejohanan mereka itu, dia bersungguh-sungguh meneruskan kemenangan mereka pada tahun seterusnya, ketika dia berada di tingkatan lima. Ketika dia memasuki tahun pertama di universiti, dia serius memegang cita-cita yang dijanjikan bersama coach Saiful Rahman. Tetapi apabila dia meningkat ke tahun kedua, dia lemah semangat.


Dia merasakan bahawa adalah lebih baik untuk dia fokus dalam bidang IT yang diceburi. Kejayaan Mark Zuckerberg membuat Facebook, seterusnya menjadi jutawan, menjadi inspirasinya. Lantas dia membuat keputusan meninggalkan bola tampar.


“Apa salahnya. Ahli famili VT yang lain pun, ramai yang tidak buat kontrak dengan Coach. Sekurang-kurangnya aku dah berusaha.” Ihsan menyedapkan hatinya.


Abangnya, Ikhwan Rosli, antara famili VT yang awal, kini di Akademi Polis, bercita-cita menjadi Komisioner. Tidak meneruskan karier bola tamparnya juga. Jadi mengapa dia kena rasa bersalah tidak menyahut panggilan Coach Saiful Rahman?


Ya, dia tidak perlu rasa bersalah.


Ihsan meyakinkan dirinya. Perlahan-lahan dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Kelihatan ‘missed call’ yang banyak. Semuanya daripada Malik dan Omar. Masanya telah tiba, yakni panggilan Coach Saiful Rahman untuk mereka yang telah bersetuju untuk menyertai projek ini.


Tetapi…


Ihsan memandang cek-cek yang bertaburan di atas mejanya, yang menanti untuk ditunaikan.


“Ah, biarlah.” Ihsan bangun, menyusun cek-cek tersebut, kemudian memasukkannya ke dalam beg kecil, dan bergerak keluar dari pejabatnya. Seiring dengan itu, dia mengeluarkan kembali telefon bimbitnya, dan menekan ‘clear all’, memadamkan semua ‘notifications’ yang menunjukkan deretan panggilan yang tidak dia angkat.


 


******


 


Peluh bergayut pada dagunya yang tajam. Kemudian menitik jatuh membasahi gelanggang. Bercantum dengan peluhnya yang telah berguguran, juga bersebati dengan peluh rakan-rakannya yang lain.


“Allah, penatnya!” Akram meninggikan suara.


“Cuba jangan bazirkan tenaga dengan suara engkau tu. Sekarang baru tengahari. Coach kata latihan kita hari ini sampai malam.” Abhiraj menepuk bahu Akram.


“What?” Leon mengerutkan dahi. Sudah tahu, tetapi bila mendengarnya dalam keadaan penat sebegini, seakan-akan menampar wajahnya berkali-kali.


“Tak sentuh bola pun.” Fatih menyeka dahinya yang penuh dengan peluh.


“Sabar itu ciri orang beriman.” Fei Hung buat anti-klimaks. Semua rakannya memandang. Fei Hung angkat kedua-dua keningnya yang dibasahi keringat. “Apa? Betul la aku cakap.”


Dzakir menggeleng aja. Semenjak pukul 8.30 pagi, mereka berlatih. Langsung tidak menyentuh bola tampar. Mereka hanya berlari, bumping, buat push up, angkat berat, kemudian berlari semula, naik anak tangga, dan macam-macam  lagi. Mereka hanya berehat ketika Solat Zuhur sahaja.


“Gerak, gerak.” Malik melepasi mereka berenam.


“Mengelat.” Omar yang membuntuti Malik turut bersuara.


Enam sekawan memandang Malik dan Omar yang semakin menjauhi mereka.


“Gelabah.” Fatih menjelirkan lidah. Bengang.


“Riya’” Fei Hung menambah.


“Rehat lima saat aja! Bergerak, bergerak!” Suara Saiful merenjat mereka. Automatik enam sekawan berdiri dan kembali berlari. Mereka perlu menamatkan 100 pusingan dewan tempat latihan mereka ini, sebelum mereka dibenarkan rehat. Jangka masa rehat pula bergantung kepada berapa awal mereka boleh menghabiskan larian ini. Awal habis, lamalah masa rehat mereka. Lewat habis, sedikitlah masa rehat mereka. Kerana selepas ini mereka akan meneruskan lagi dengan latihan yang lain pula.


“Feh, aku dah letih ni Malik.” Omar bersuara perlahan. Tidak mahu rintihannya didengari enam sekawan.


“Sabar Omar, sabar. Bertahan.”


“Selama ini aku konsisten berlatih. Tetapi latihan coach ini sangat berat.”


“Dia punya semangat hitler datang.” Malik cuba bergurau.


Omar tertawa kecil. “Ai, aku ingat aku aja yang suka buat lawak.”


Malik kemudiannya tertawa sama. Mereka tetap istiqomah meneruskan larian walau perlahan.


“Coach, dulu coach buat begini sebab masa itu tengah buat pemilihan. Sekarang pilih apa?” Dzakir melaung sambil meneruskan lariannya.


Saiful Rahman sedang berdiri di tengah dewan. Tidak bergerak. Langsung tidak duduk. Setia dengan menyilang tangan pada dadanya.


“Sekadar mahu tengok, siapa yang akan pengsan dahulu.” Saiful menjawab, selamba.


Mata Dzakir membesar. “Aiseh, malu kalau diri ini yang paling awal pengsan. Stamina, come on!” Dzakir fokus meneruskan lariannya.


Malik menoleh sebentar ke belakang melihat Dzakir, kemudian memandang kepada Omar. “Kau aku rasa ada saudara di belakang sana. Perangai lawak macam engkau juga.”


“Hah. Saudara seIslam memang la. Tapi saudara nak buat kawan, sorry. Tangan letak atas bahu, mata pandang atas.” Omar menggayakan apa yang dicakapkannya.


Malik tergelak. “Tengok, betul aku cakap.”


Saiful Rahman memandang semua itu. Sengaja dia membuat latihan berat sedemikian rupa. Menguji stamina pemain-pemain yang telah lama tidak dijumpainya. Dia mahu pemain-pemain ini tidak merasakan bahawa latihan bersamanya akan menjadi ringan. Dia tidak mahu ada sedetik pun dalam minda pemain ini bahawa dia akan memberikan celahan untuk mereka merasakan apa yang sedang Muslim’Sport usahakan ini merupakan perkara yang remeh.


Kemudian, ini juga adalah untuk mengelakkan percakaran yang berlaku antara Team MATRI, dan Team Amerika.


Walaupun Saiful masih belum bertemu dengan perkara yang dapat menyatukan ukhuwwah kedua-dua blok dalam pasukannya tersebut, namun dia yakin dia akan mendapat ideanya nanti.


Asalnya, dia ingin terus melakukan latihan strategi yang intensif. Kerana sangkaannya, pasukan yang dikumpulakn akan lengkap, dan mudah bekerjasama.


“Allah nak tunjuk pada aku, bahawa Dia jugalah yang berkuasa atas segala-galanya. Aku merancang, Allah merancang, dan perancangan Allah adalah yang terbaik, kerana Dia ialah sebaik-baik perancang.”


Saiful mempositifkan dirinya.


Kini otaknya diperah untuk menyatukan kedua-dua blok di dalam pasukannya dengan cara yang paling halus. Mereka sudah besar, hendak diceramah, sudah banyak kata-kata dilontarkan.


Dia perlu menggerakkan sesuatu untuk menyatukan pasukannya ini.


Jika tidak, harapan untuk membawa syiar Islam dalam arena sukan di negara ini akan menjadi pudar.


 


******


 


“Tuan, Muslim’Sport tetap berkeras hendak meneruskan agenda mereka.” Suara milik seorang lelaki berbadan tegap melaporkan kepada ketuanya yang bersut serba putih, kini sedang duduk di kerusi utama pejabatnya.


Curut pada bibirnya disedut, membuatkannya menyala lebih terang membakar.


Kemudian jari telunjuk dan jari hantunya menyepit curut tersebut, seterusnya melarikannya dari bibir, dan terhembus asap berkepul-kepul dari mulutnya.


“Abdul Majid memang degil orangnya. Dia sangka, dengan Faiz Abdul Aziz itu ada di sisinya, dia akan mampun berhadapan dengan kita?” Suaranya garang.


Lelaki yang melaporkan tadi sekadar berdiam diri sahaja.


Ketuanya yang berpakaian serba putih berdiri.


“Kita akan ajar mereka. Tidak berjaya ajaran pertama, kita akan berikan ajaran kedua. Tidak berjaya ajaran kedua, kita akan berikan ajaran ketiga. Sehingga mereka belajar.” Ketuanya itu mematikan api pada curutnya, dan membiarkan puntung curut itu pada asbak rokok di atas meja utama pejabatnya.


Ketuanya itu bergerak melepaskan pandangan ke arah cermin lutsinar, yang mempersembahkan Kuala Lumpur yang terang benderang melawan kegelapan malam.


“Heh. Abdul Majid dan RING tidak akan sesekali berjaya.”

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 08, 2013 21:16

Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain – Perkongsian Dr Maszlee Malik.

1265885_409906845788120_2002740116_o


 


Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barokatuh,


Segala puji kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam, dan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW dan para sahabat, semoga kita semua berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT.


Terima kasih diucapkan kepada penulis(Hilal Asyraf) atas kesudian memberikan peluang kepada saya untuk mencoret barang sepatah dua berkenaan peribadi Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain.


Saya bukanlah seorang yang layak untuk membicarakan mengenai Ustaz Dahlan. Pertamanya saya tidak pernah berguru secara langsung, mahupun berkenal rapat dengan beliau. Keduanya tempoh pertemuan saya dengan beliau amat terhad, samada hanya ketika menziarahi beliau di rumah, di sekolah mahupun lewat urusan-urusan rasmi sewaktu kami sama-sama menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perlis (2006-2007).


Sungguhpun demikian, di dalam pertemuan-pertemuan singkat itu, gambaran dan pengetahuan saya mengenai Ustaz Dahlan dari pembacaan dan apa yang saya dengari dari mereka yang rapat, ataupun sering berurusan dengan Ustaz Dahlan jelas banyak konsistensinya dan tidak lebih dan tidak kurang.


Di awal zaman persekolahan menengah, ketika didedahkan dengan kelompok usrah, tarbiyah dan dakwah, murabbi-murabbi saya sering menceritakan tentang kewujudan sekelompok pendakwah yang mempunyai manhaj dan gerakerja seperti yang kami lalui. Pada waktu itu saya menyertai sebuah jamaah yang hanya dikenali sebagai jamaah, dan pada tahun 1990 mereka mula dikenali setelah didaftarkan sebagai Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ataupun JIM. Sebagai anak sekolah yang terdedah dengan tarbiyah oleh para pensyarah di UTM, para professional dan juga para penuntut UTM di Johor Baharu, banyak yang telah dapat saya pelajari di luar ruang bilik darjah dan bangunan sekolah.


Sedari awal itu saya diperkenalkan dengan glosari-glosari harakah (gerakan) dakwah seperti usrah, tamren, daurah, katibah, naqib, manhaj, qiyadah, sirr, jahar, tanzim, mad’u dan lain-lain lagi yang menjadi mainan lidah para pendokong gerakan dakwah suatu waktu dahulu. Kini mungkin sesetengah terminology tersebut masih lagi digunakan, namun kebanyakannya telah melalui proses metamorfasi istilah dan bentuk. Inilah keindahan dinamika dakwah dan tarbiyah.


Saya juga pada ketika itu sering mendengar senior-senior ‘ikhwah’ mengatakan ada sekumpulan pendakwah yang mirip seperti jamaah kami, tetapi mempunyai pendekatan yang agak berlainan. Mereka dikatakan lebih berdisiplin, lebih seragam, lebih kuat berahsia dan mempunyai tatasusila yang tinggi di dalam bergaul dengan golongan yang lebih senior, terutamanya dengan para murabbi mereka. Golongan ini kadangkala mempunyai program bersama dengan kami, terutamanya ketika beriadah dan bersukan. Kebiasaannya bagi jamaah yang saya ikuti, padang UTM merupakan tempat untuk para ‘ikhwah’ bertemu. Di padang itu juga kami kadangkala beriadah bersama kumpulan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Sahabat’, ataupun ‘Sahabat Utara’, merujuk kepada tempat kelahiran gerakan mereka. Kumpulan ini juga sinonim dengan gelaran ‘Kumpulan Ustaz Dahlan’. Akhirnya setelah saya mula memasuki menara gading, barulah saya tahu bahawa kumpulan tersebut merupakan anak didik-anak didik Arwah Ustaz Dahlan, samada di Sekolah Matri mahupun mereka yang sering mengikuti kuliah-kuliah dan juga program tarbiyah Ustaz Dahlan.


Bermula dari detik itu banyak yang saya dengan mengenai kehebatan Ustaz Dahlan dan juga iltizam serta istikamah beliau di dalam menjalankan dakwah. Walaupun beliau berpusat di Perlis, di Matri, namun jangkauan dakwahnya melebar ke seluruh pelusuk negara. Kebiasaannya para ‘Sahabat’ yang kami kenali ini terkneal dengan wajah mereka yang sentiasa ternsenyum, kata-kata mereka yang sopan santun, misai dicukur dan janggut sejemput. Mereka juga kebiasaannya dikenali dengan baju Melayu berbutang yang pada waktu itu lebih dikenali sebagai ‘Baju Melayu Anwar Ibrahim’ ataupun ‘Baju Bank Islam’. Kebanyakan mereka tidak memaki baju kemeja yang dimasukkan ke dalam seluar (Tug in). Itulah identiti kumpulan ini. Apa yang penting, perbualan di antara kami menyebutkan, tahap disiplin kelompok ini di dalam melakukan usaha dakwah dan tarbiyah begitu tinggi.


Pada tahun 1996, ketika pulang bercuti musim panas dari Jordan, saya telah berkesempatan untuk pergi ke utara tanah air buat pertama kali dalam hidup. Memang saya tidak pernah menyangka bahawa satu hari nanti saya juga akan berkampung di sebelah utara tanah air.


Pada waktu itu, saya berpeluang untuk menziarahi manusia hebat yang sering kagumi melalui cerita-cerita para ikhwah, itulah Ustaz Dahlan. Kesempatan bertemu beliau di pejabatnya di MATRI begitu bermakna. Muka beliau tersenyum penuh berseri. Tutur kata beliau begitu tersusun. Kebanyakan kalimah-kalimah yang keluar dari mulutnya dipenuhi dengan hikmah dan kata-kata yang mempunyai nilai dakwah dan tarbiyah. Itulah Ustaz Dahlan!


Di dalam pertemuan singkat itu, beliau menunjukkan kepad asaya surat tulisan tangan yang beliau terima dari orang penting Universiti al-Iman di Yaman pada waktu itu, Dr Abdul Karim Zaidan, pengarang tersohor kitab ‘Usul al-Dakwah’. Menurut Ustaz Dahlan, Dr Abdul Karim Zaidan merupakan di antara guru beliau sewaktu mengaji di Iraq pada tahun 60’an dahulu. Mereka masih terus berhubung walaupun tinggal beribu batu jauhnya. Surat itu merupakan pelawaan Dr Abdul Karim Zaidan kepada Ustaz Dahlan untuk menghantarkan anak-anak muridnya keluaran Matri untuk menyambung pelajaran di Universiti al-Iman di Yaman. Saya dimaklumkan oleh Ustaz Dahlan bahawa mereka telah menghantar beberapa orang pelajar ke sana dan akan terus menghantar untuk ditarbiyah dan dibentuk menjadi ‘mujtahid’ sepertimana objektif Universiti tersebut.


Pertemuan kali pertama itu sudah cukup untuk membuatkan saya terus mengkagumi insan murabbi ini. ‘Haibah’ (kehebatan) beliau jelas terserlah walaupun tingkah laku beliau begitu twaduk, bersahaja dan sederhana. Semenjak pertemuan kali pertama itu saya tidak dapat lagi bertemu dengan beliau di dalam keadaan rasmi mahupun tidak rasmi sehinggalah saya dilantik menjadi ahli majlis fatwa negeri Perlis pada tahun 2006. Saya hanya mengikuti perkembangan beliau dan anak-anak didiknya dari kejauhan dan juga dua-tiga orang ‘sahabat’ yang mendokong aspirasi dakwah beliau.


Walaupun Ustaz Dahlan bukanlah susuk politik mahupun selebriti terkenal di peringkat nasional, namun nama beliau amat dikenali oleh ramai tokoh-tokoh dakwah dan gerakan Islam di peringkat antarabangsa. Kesempatan saya menjadi wakil Malaysia di dalam persidangan-persidangan ‘Muassasah al-Quds’ (Yayasan al-Quds) samada di Lubnan, Yaman dan negara-negara lain telah menemukan saya dengan ramai aktivis gerakan Islam antarabangsa yang akan bertanyakan saya khabar (Ustaz) ‘Dahlan’ di Malaysia. Beberapa ulama gerakan Islam dari Iraq dan Mesir juga sering bertanyakan khabar beliau apabila bertemu dengan mereka. Begitulah hebatnya insan yang memilih untuk hidup di Perlis demi mengembangkan idealisme dakwah yang beliau yakini.


Kenangan semasa bersama di mesyuarat-mesyuarat Majlis Fatwa Negeri Perlis juga tidak kurang manisnya. Ustaz Dahlan bukanlah seorang yang banyak berbicara, namun butir kata yang keluar dari mulutnya adalah mutiara. Soalan yang ditanyakan, ide yang diajukan, malah hujah yang dibawakan jelas menunjukkan beliau seorang pencari kebenaran. Iltizam beliau kepada sunnah sepertimana para ulama dan ustaz-ustaz sezamannya di Perlis tidak diragui. Selain dari MATRI, anak-anak didiknya, Ustaz Dahlan juga amat berjasa di dalam negeri Perlis di dalam menyambung kesinambungan pengamalan sunnah di negeri tersebut.


Ustaz Dahlan adalah murabbi, seorang da’i dan juga seorang aktivis yang mempunyai fikrah yang jelas dan tahu apa yang ingin dicapainya. Kedudukan ini tidak sedikit pun mengurangkan kehebatan beliau. Beliau adalah jaguh di dalam arenanya. Arena beliau ialah dakwah, tarbiyah dan juga harakah.


 


Ustaz Dahlan, Murabbi, dai dan Murshid.


 


 


Akhukum fillah,


Dr Maszlee Malik,


Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu,


Universiti Islam Antarabangsa,


Gombak.


 


———————————


Baca sepenuhnya dengan mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain. Cetakan terhad!


1234336_567868906582254_1560368921_n


 


Harga: RM50.00 seunit

Terbitan: LangitIman Resources.

Karangan: Hilal Asyraf.


Anda ingin mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain di kawasan anda? Boleh hubungi mereka -


KUALA LUMPUR/SELANGOR

LangitIman Resources

Encik Abdul Muhaimin bin Misran

0135041501


PERLIS

Koperasi Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis

Cikgu Azmi Bahari

019-4744343


PERAK

Kelab Belia HALUAN Ipoh.

Tuan Fadhli Bin Razali

012-5075677


TERENGGANU

Koperasi Mesra-Net Terengganu

Tuan Walid – 0199874332

Tuan Fazari Ghazali – 0129671271


KEDAH

Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN)

Tuan Yusof Hussin

019-4780895


PULAU PINANG

Koperasi Pulau Pinang

Tuan Razif

019-4700101


PAHANG

Koperasi Bimbingan Insan Berhad (KOBI)

Sr.Sabarudin-0199308111

Puan Zaharah 0199512111


KELANTAN

Hannah Bookstore

Facebook: https://www.facebook.com/hannahsbookstore

Tuan Muaz-0196651234

Puan Shah Aznie-0126443715

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 08, 2013 19:19

September 7, 2013

Kehidupan: Pendidikan – Antara Objektif dan Metodologi

4354858309_8afd751b07_b

Gambar oleh Dave Fayram.


Pendidikan Untuk Semua


Setiap individu, lelaki atau perempuan, berhak dan bertanggungjawab untuk menuntut ilmu. Daripada kefahaman ilmu, amal yang soleh dapat dipupuk. Ilmu, faham, dan amal ialah tiga peringkat dalam pendidikan.


Objektif pendidikan ialah melahirkan individu-individu yang akarnya satu dan kuat (berpendirian), tetapi cabangnya banyak dan pelbagai (versatil). Mereka yang berpendidikan mempunyai identiti yang jelas dan, dalam masa yang sama, mereka berupaya untuk membawa diri dalam pelbagai situasi.


Ibarat pokok yang dapat berdiri teguh dalam cuaca yang berubah-ubah.


Antara Objektif dan Metodologi


Persoalan yang saya ingin lontarkan sekarang ialah: bagaimana untuk kita menjadi individu-individu yang berpendidikan?


Saya tertanya-tanya, berapa ramai antara kita yang akan menjawab soalan tersebut dengan jawapan yang sama: pergi ke sekolah. Itulah institusi yang paling tidak asing bagi kita. Memang benar, pendidikan boleh dicapai dengan pergi ke sekolah, tetapi tidak semestinya.


Tujuan artikel ini ialah untuk membezakan antara objektif dan metodologi untuk mencapai objektif tersebut. Pendidikan ialah satu objektif, manakala sekolah ialah satu metodologi.


Pendidikan wujud sebelum sekolah wujud. Sejak berabad-abad lamanya, manusia memperolehi pendidikan tanpa sekolah. Mereka tidak pergi ke sekolah, tetapi mereka tidak bodoh. Mereka celik akal. Para sahabat tidak pergi ke sekolah seperti kita, tetapi mereka adalah golongan yang berpendidikan (mungkin lebih terdidik daripada kita yang bersekolah).


Keperluan Kepada Kepelbagaian


Saya lihat ramai antara kita yang fikir bahawa tanpa sekolah, maka kita tidak boleh memperoleh pendidikan. Sekolah ialah salah satu metodologi untuk memperoleh pendidikan tetapi ia bukanlah satu-satunya metodologi untuk memperoleh pendidikan.


Hakikatnya, sistem persekolahan yang konvensional tidak inclusive. Ramai yang tidak sebati dengan metodologi ini, bukan kerana mereka tidak pandai tetapi kerana ia tidak sesuai dengan diri mereka.


Itu normal. Lain orang, lain caranya.


Ada yang boleh pergi jauh dengan sekolah kerana mereka dapat suaikan diri dengan metodologi ini. Tetapi, ada yang tidak dapat sebatikan diri dengan sekolah bagaikan air dan minyak. Bagaimana untuk kita bantu mereka? Yang pasti, paksa mereka untuk datang ke sekolah bukanlah solusinya.


Oleh sebab itu, kita perlu kreatif untuk menyediakan pelbagai metodologi alternatif supaya kita tidak asingkan sesiapa pun kerana semua individu berhak untuk memperoleh pendidikan. Mungkin kita perlu ubahsuai metodologi persekolahan yang sedia ada, ataupun mungkin kita perlu cari metodologi yang lain.


Saya bukan anti-sekolah. Tetapi, saya anti kepada pemikiran yang sempit. Saya anti kepada pemikiran bahawa kita semua boleh muat dalam satu kotak. Dunia ini luas dan dipenuhi dengan manusia yang pelbagai. Maka, metodologi kita juga harus pelbagai.


Jika sesuatu metodologi itu tidak membuahkan hasil (tidak mencapai objektif), maka tidak rasional untuk kita teruskan dengan metodologi tersebut. Kita patut ubah dan kita patut berani untuk ubah.


Kita perlu bezakan antara orang yang bersekolah dengan orang yang berpendidikan kerana dua golongan ini tidak semestinya sama.


Semua orang perlukan pendidikan, tetapi tidak semua orang perlukan sekolah.


Aiman Azlan

8 September 2013

Mississauga, Canada

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 07, 2013 23:01