Hilal Asyraf's Blog, page 95
September 7, 2013
Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain – Pengalaman Bermalam Di Rumahnya.
Semasa saya berada di Marhalah Khassah jugalah, saya mendapat peluang bermalam di rumah Al-Fadhil Ustaz Dahlan, dan menjaga beliau selama beberapa hari. Ketika itu, Ummi Halimaton jatuh sakit, dan dimasukkan ke dalam hospital. Ada masalah dengan mata atau tangan beliau, saya sudah tidak berapa ingat. Tetapi Ummi Halimaton tidak ada di rumah beberapa hari kerana masuk ke hospital, diwadkan.
Maka saya antara yang diamanahkan menjaga Al-Fadhil Ustaz Dahlan, bersama beberapa orang rakan saya.
Pada hari pertama saya datang untuk menjaga beliau, ketika itu sudah malam. Al-Fadhil bertanya kepada saya, “Hilal, enta pandai masak tak?”
Dengan yakinnya saya menjawab, “Pandai.” Di dalam hati saya berkata, masak cincai pandailah Ustaz. Saya memang semenjak kecil dibawa oleh Abah untuk berkhemah di dalam hutan. Jadi, masak yang biasa-biasa itu, bukanlah satu kesukaran buat saya.
Al-Fadhil pun berkata, “Ha, di belakang tu ada banyak bahan, enta masaklah apa yang enta pandai.” Maka saya pun bergerak ke dapur.
Sedang saya leka berfikir menyusun bahan yang hendak dimasak, tiba-tiba Al-Fadhil Ustaz Dahlan sudah berada di belakang saya. Mungkin hendak menjenguk keadaan saya di dapur.
“Enta nak masak apa ni?” tanya Ustaz Dahlan ketika itu.
“Tengoklah boleh masak apa,” jawab saya. Sebenarnya saya belum tahu lagi hendak masak apa. Sebab masih tidak biasa dengan dapur rumah Al-Fadhil, buat saya agak ‘blur’ sedikit dengan tempat letak bahan-bahan di dapur tersebut.
“Biar ana tolong basuh sayur,” Ustaz Dahlan mempelawa diri.
Apabila Mudir mula pegang sayur, dia tidak berhenti setakat membasuh sahaja. Bahkan Al-Fadhil memotongnya sekali. Dia tidak berkata apa-apa. Menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerja yang sedang dilakukan. Dia kemudian memasukkan sayur yang siap dipotong ke dalam kuali.
“Tolong ambilkan garam, gula dengan sos tiram,” Mudir bersuara. Saya angkat kening. Dalam hati sudah terfikir: Ini aku jaga ustaz ke, atau ustaz jaga aku?
Tetapi saya tidak banyak cakap, terus bergerak ke almari. Sampai di almari, saya membukanya tetapi tidak menemui barang-barang yang dicari.
“Di mana, ustaz?” Mendengar pertanyaan saya, Ustaz Dahlan terus bergerak ke almari lagi satu dan mengambil barang-barang tanpa berkata apa-apa. Saya seperti mahu menampar kepala saya kerana menyusahkan Al-Fadhil Ustaz. Apa fasallah saya tidak cari di almari satu lagi.
Ustaz Dahlan terus khusyuk memasak. Dia senyap saja. Saya pun senyap juga. Menemani Al-Fadhil di dapur, sambil hati tidak berhenti bercampur antara rasa bersalah dan kagum dengan sikap Ustaz. Juga agak takjub dengan kepandaian Ustaz memasak. Pertama kali saya saksikan ketika itu.
Bila semuanya sudah siap, saya bantu Al-Fadhil angkat lauk ke meja makan, kemudian Ustaz Dahlan bersuara:“Ha, makanlah. Tafaddhal.”
Di meja makan ketika itu, Ustaz Dahlan bercerita yang dia memang ‘kaki masak’. Cuma apabila sudah berkahwin, dia bagi peluang kepada Ummi masak. Tetapi katanya, kalau dia rasa Ummi masak kurang sedap atau tidak kena dengan seleranya, dia akan memasak.
Begitu juga apabila Ummi tiada di rumah dan Mudir pula sihat, maka Ustaz Dahlan yang akan memasak. Masakan Mudir memang sedap malam itu. Sayur campur, ada udang di dalamnya, kemudian lauk ikan masak lemak, tambah hati bakar, semuanya sedap.
Saya belajar banyak benda dalam satu malam itu. Rasa bertuah sangat dapat meluang masa dengan Ustaz Dahlan dan melihat sendiri sikapnya, akhlaknya, secara lebih dekat. Memberikan inspirasi dan semangat kepada jiwa.
Pada satu hari yang lain, saya dan kawan-kawan bangun lewat ketika bermalam di rumah Ustaz Dahlan. Al-Fadhil lah yang mengejutkan kami. Kala kami bangun awal, nak kejutkan Ustaz Dahlan, Ustaz Dahlan sudah tersedia bangun sendiri lebih awal lagi. Ini menyuntik rasa kagum dan hormat kami. Sedangkan Ustaz Dahlan adalah seorang tua yang sering diserang sakit. Namun begitu sekali mujahadah dan disiplin beliau.
Pada satu pagi yang lain, ketika kami bermalam di rumah Ustaz Dahlan, Ustaz bertanya, kami mahu sarapan apa. Kami hanya menggeleng. Hari itu hari minggu, jadi kami fikir kami boleh keluar dengan kereta yang ditinggalkan oleh Ummi Halimaton sahaja untuk mencari sarapan kami sendiri.
Apabila melihat kami menolak, Ustaz Dahlan terus keluar dari rumah. Sebentar kemudian, Ustaz Dahlan kembali semula ke rumah, membawa bersama beberapa bungkusan.
“Ha, makan ni. Ana ada beli nasi lemak untuk antum.” Allahuakbar. Kami sangka Ustaz keluar kerana ada urusan dengan rakan-rakannya dan sebagainya. Tetapi rupa-rupanya Al-Fadhil membelikan sarapan buat kami.
Memang dalam hati saya ketika itu, saya rasa malu sungguh. Ini sudah macam Ustaz jaga kami, bukan kami jaga ustaz.
Tetapi ada satu perkara yang buat rasa serba salah itu terubat. Itulah dia bab mengurut Ustaz Dahlan. Antara agenda wajib kala bermalam dengan Ustaz Dahlan adalah mengurut beliau. Ustaz Dahlan suka diurut, itu mengurangkan kesakitan yang ditanggungi beliau.
Biasanya, yang mengurut Ustaz Dahlan adalah rakan-rakan saya yang lain. Saya tidak berani mengurut Ustaz, kerana takut Ustaz tersalah urat dan sebagainya. Maka saya menjadi teman sembang Ustaz kala Ustaz sedang diurut.
Saya akan mengambil peluang itu melontarkan pelbagai pertanyaan, dan memohon nasihat serta perkongsian daripada Al-Fadhil Ustaz Dahlan.
Ketika itulah Ustaz berkongsi bermacam-macam perkara, perihal hidupnya dengan Ummi Halimaton, perihal zaman sekolahnya, cabaran saat dia menuntut ilmu, kisah-kisah di Iraq, perjuangannya apabila pulang di Malaysia dan hendak memulakan dakwah, perihal MATRI, dan pelbagai lagi.
Itulah antara momen mahal saya, rakan-rakan seangkatan saya, dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan. Melihat betapa batang tubuh yang kurus kering itu, melayani tetamunya dengan baik dan penuh penghormatan. Melihat betapa batang tubuh itu berusaha sehabis baik memberikan perkongsian yang menghidupkan, menyuntik inspirasi dan memberikan semangat.
Itu semua nyata menghidupkan jiwa-jiwa yang duduk bersamanya.
———————————
Baca sepenuhnya dengan mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain. Cetakan terhad!
Harga: RM50.00 seunit
Terbitan: LangitIman Resources.
Karangan: Hilal Asyraf.
Anda ingin mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain di kawasan anda? Boleh hubungi mereka -
KUALA LUMPUR/SELANGOR
LangitIman Resources
Encik Abdul Muhaimin bin Misran
0135041501
PERLIS
Koperasi Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis
Cikgu Azmi Bahari
019-4744343
PERAK
Kelab Belia HALUAN Ipoh.
Tuan Fadhli Bin Razali
012-5075677
TERENGGANU
Koperasi Mesra-Net Terengganu
Tuan Walid – 0199874332
Tuan Fazari Ghazali – 0129671271
KEDAH
Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN)
Tuan Yusof Hussin
019-4780895
PULAU PINANG
Koperasi Pulau Pinang
Tuan Razif
019-4700101
PAHANG
Koperasi Bimbingan Insan Berhad (KOBI)
Sr.Sabarudin-0199308111
Puan Zaharah 0199512111
KELANTAN
Hannah Bookstore
Facebook: https://www.facebook.com/hannahsbookstore
Tuan Muaz-0196651234
Puan Shah Aznie-0126443715
September 6, 2013
Agama: Pemuda Al-Kahfi – Peribadi Mahasiswa yang dicari
Bulan September sering dikaitkan dengan bulan pengambilan pelajar-pelajar yang baru ke mana-mana Universiti atau Kolej dalam pelbagai bidang disamping berbagai tahap-tahap pengajian. Saban tahun, banyak university dan kolej ini melahirkan ribuan graduan, namun hari ini melihat semula kepada para remaja adakah kita boleh berasa selesa dengan angka yang mahu terlibat menyebarkan kefahaman islam tidak kira melalui jalan yang mana sekalipun berbanding mereka yang hanya memikirkan untuk memenuhi rutin kehidupan manusia biasa sahaja iaitu bekerja dan berkeluarga?
Belum lagi dinilai melalui status jenayah dan keparahan masalah social yang semakin menular dalam masyarakat kita hari ini, adakah kita bisa yakin bahawa generasi muda yang sedia ada kini boleh mencorak kehidupan lapisan generasi akan datang dengan ciri-ciri islam yang sempurna? Di sini, tergambar kepentingan golongan muda terutama yang bergelar mahasiswa untuk meningkatkan diri dengan tidak hanya dalam akademik tetapi mengcakupi aspek keluhuran peribadi.
Demikian, apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?
Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?
Pemuda-pemuda pemelihara iman
Mungkin sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Namun amat malang jika kita cuba mendekati al-Quran dengan lebih mendalam dengan berusaha membaca kisah-kisah yang terdapat dalamnya terutama kisah pemuda-pemuda al-Kahfi yang teruji iman mereka. Pun begitu mereka tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa.
Allah s.w.t berfirman:
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]
Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentan Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.
Mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?
Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?
Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul.
Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati tiga aspek di atas.Mereka tidak lari dari reality kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi support yang baik kepadanya.
Oleh sebab itu, dicelah kerosakan yang mana tidak sesuai di dalamnya penyebaran dakwah ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling sejurus memutuskan rantai keimanan generasi tersebut kepada Allah.
Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna.Namun, berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara itu perlu dilakukan pada nilaian setiap aspek yang betul itu perlu diambil pengajaran agar usaha kita tidak hanya sekerat cuma tetapi bisa memberi impak yang maksima kepada masyarakat.
Pemuda-pemuda pilihan
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]
Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu.Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini bertepatan dengan bantuan yang dihulurkan.
Tetapi tidak bermakna ia suci dari dosa. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda mewah dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping memelihara kesinambungan perkara positif genarasi terdahulu.
Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama.Mungkin disebab itu, mereka sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.
Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhrinya bertawakkal dalam penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya tambahan tawakkal supaya segala usaha mendapat petunjuk.
Menariknya juga, kaedah meminta bantuan Allah yang ditunjuk oleh pemuda-pemuda ini adalah disempurnakan ketentuan yang Dia telah tetapkan bukan apa yang mereka impikan. Lebih baik demikian bagi manusia dalam meminta bantuan kepada-Nya iaitu meminta dipenuhi kehendak kita tetapi bersandarkan apa yang Allah tentukan terbaik buat kita bukan apa yang kita rasa baik.
Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi
Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]
Memilih untuk beriman
Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan.Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.
Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.
Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan static tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan tetapi kesudahan mereka Allah yang tentukan. Justeru itu, perlu kita focus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan.
2. Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah
Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah perubahan perlu dihubungkan dengan Allah. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan dan peperiksaan tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.
Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.
Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat sejarah baginda di Taif.Di halau dengan hina dan perbuatan yang menyeksakan tetapi tetap sahaja bergantung kepada Allah diberi petunjuk keluar dari masalah. Dengan kesabaran baginda, hari ini kita dapat merasai nikmat yang utama islam dan iman.
3. Membulatkan tekad
Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan dengan azab seksaan.
Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.
Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.
Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan
Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:
Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh
Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.
Mulakan langkah perubahan!
rujukan:
1. Tafsir ibn kathir
2. Jadilah Pemuda Al-Kahfi, Dr A’id Qarny
3. Tidurnya Mereka 309 tahun, Abdul Fatah Zakaria
4. Sehingga Pemuda Mengerti, Dr Abdullah Naseer Uluwan
September 5, 2013
Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain – Menyantuni Staf-stafnya.
Satu perkara berkenaan Al-Fadhil Ustaz Dahlan yang saya sendiri perhatikan semenjak saya belajar di MATRI adalah, beliau seorang yang amat menyantuni staf-stafnya.
Antara perkara yang saya lihat sendiri adalah, saban kali sarapan pagi, Ustaz Dahlan akan mengajak sekali Pak Man, Tukang Kebun MATRI, untuk naik kereta bersamanya dan rakan-rakan guru veteran yang lain, pergi bersarapan bersama.
Ustaz Dahlan tidak kekok walaupun Pak Man biasanya ketika itu sudah lencun dengan peluh. Ustaz tidak merasakan Pak Man lebih rendah daripadanya. Tetapi Ustaz Dahlan memandang Pak Man sebagai sahabatnya.
Saya masih ingat, ketika saya merapati Pak Man, dan bertanya:
“Pak Man, kenapa Pak Man masih jadi Tukang Kebun di MATRI ini? Kenapa Pak Man tidak rehat sahaja di rumah? Kan penat jadi tukang kebun kena cuci longkang, sapu sana sini?”
Saya masih ingat Pak Man menjawab ketika itu:
“Sebab MATRI ada tarbiyah Islamiyyah.”
Seorang tukang kebun, memberikan jawapan yang begitu mahal harganya. Saya yakin, semuanya dek kerana contoh, didikan, tunjuk ajar, yang diberikan oleh Al-Fadhil Ustaz Dahlan dalam segenap langkahan dan kehidupannya.
Pak Wan Farid, Kerani MATRI – menceritakan betapa Ustaz Dahlan bin Mohd Zain merupakan satu susuk tubuh yang amat meraikan manusia lain, walaupun pada benda yang tidak dilakukan olehnya, selagi mana perkara itu tidak melanggar syara’.
Kongsi Pak Wan Farid:
“Ustaz Dahlan Mohd Zain seorang yang tidak minum kopi. Tetapi satu hari, Ustaz datang menziarahi Pak Wan di rumah. Pak Wan ketika itu jamu Ustaz kopi. Ustaz tak sebut : Minta maaf, saya tidak minum kopi. Orang lain biasa dia sebut begitu. Tetapi Ustaz ambil cawan berisi kopi itu lalu diletakkan pada mulut dia seperti meminumnya, kemudian ustaz letak semula cawan. Lama lepas itu baru Pak Wan tahu, Ustaz jenis tak minum kopi.” Sampai begitu sekali santunnya Ustaz Dahlan kepada rakan-rakannya. Sampai begitu sekali dia meraikan staf-stafnya.
Sir Mohd Abdoh pula ada berkongsi dengan saya, berkenaan bagaimana Ustaz Dahlan sering menyembunyikan kesakitan beliau untuk tidak meresahkan dan menganggu orang lain. Begitu juga Abang Hairey Hamzah, yang merupakan lepasan MATRI, berkongsikan perkara yang sama. Benda ini juga disaksikan oleh saya sendiri, tatkala Al-Fadhil Ustaz Dahlan menziarahi rumah sewa saya di Jordan, beliau sedikit pun tidak merungut akan bilik air kami yang bukannya bilik air yang mempunyai mangkuk tandas duduk, sedangkan beliau ada sakit lutut yang kronik. Tidak juga beliau mengadu sakit, atau kelihatan sakit.
Begitu sekali Al-Fadhil Ustaz dalam menyantuni orang ramai, juga staf-stafnya.
Ustaz juga terkenal sebagai yang murah senyuman, sering bertanya khabar, dan tidak lokek memberikan pujian jika orang tersebut layak mendapatkannya. Ustaz juga memberikan teguran dalam keadaan tidak mengaibkan orang yang ditegurnya.
Rata-rata guru yang ditemu ramah, semuanya menyatakan betapa mereka tidak ada terasa hati dengan Ustaz Dahlan, kerana santunnya beliau dalam melayani mereka. Ustaz Dahlan juga, mengikut wawancara yang saya dan teman-teman jalankan, diceritakan sebagai seorang yang amat sabar dalam mendidik staf-stafnya. Tidak cepat menyatakan sesuatu itu tidak boleh, haram dan sebagainya. Dia suka mengambil masa sebagai ubat, dan berterusan mendidik melalui penyampaian, perjumpaan guru-guru, dan sebagainya. Santunnya Al-Fadhil, dia tidak cepat dalam menegur. Dia suka memerhati terlebih dahulu, dan menyentuh pada waktu serta keadaan yang tepat. Banyaknya secara tidak langsung.
Ustaz Dahlan sendiri dinyatakan sebagai suka menziarahi staf-stafnya. Dan daripada wawancara kami serta pemerhatian saya, staf-staf MATRI sendiri rajin menziarahi Al-Fadhil Ustaz Dahlan untuk mendapatkan pengalaman dan nasihat. Suasana yang jelas menunjukkan betapa Ustaz Dahlan mempunyai sebuah peribadi yang sangat cantik, terhadap rakan-rakan sekerjanya.
Saya masih ingat kala saya bermalam di rumah Ustaz Dahlan pada tahun 2010, sekitar dua-tiga bulan sebelum kematian Ustaz, malam itu kami telah mendapat berita bahawa guru MATRI, Sir Yahya bin Ismail, meninggal dunia di Tanah Suci Makkah.
Ustaz Dahlan tidak tidur lena malam itu, dan awal pagi lagi sudah bangkit. Saya masih ingat Al-Fadhil Ustaz Dahlan bergerak ke MATRI esoknya, walaupun beliau sebenarnya sedang bercuti kerana sakitnya semakin kronik. Tubuh beliau ketika itu amat kurus. Namun beliau gagahi diri jua ke MATRI, menaiki anak tangga-anak tangga Musolla, dan bertemu para pelajar, menyampaikan sepatah dua kata serta ucapan takziahnya berkenaan pemergian Sir Yahya.
Ustaz juga mengumumkan hari itu segala aktiviti sekolah dibatalkan, bagi memberikan ruang guru-guru untuk menziarahi keluarga Sir Yahya, dan pelajar-pelajar bermuhasabah akan kehidupan.
Begitulah Al-Fadhil. Santunnya dia kepada orang sekeliling.
Terasa benar betapa beliau sensitif, peka, terhadap apa yang berlaku, terhadap keadaan, terhadap ‘style’ dan ‘sikap’ orang-orang di sekeliling beliau.
———————————
Baca sepenuhnya dengan mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain. Cetakan terhad!
Harga: RM50.00 seunit
Terbitan: LangitIman Resources.
Karangan: Hilal Asyraf.
Anda ingin mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain di kawasan anda? Boleh hubungi mereka -
KUALA LUMPUR/SELANGOR
LangitIman Resources
Encik Abdul Muhaimin bin Misran
0135041501
PERLIS
Koperasi Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis
Cikgu Azmi Bahari
019-4744343
PERAK
Kelab Belia HALUAN Ipoh.
Tuan Fadhli Bin Razali
012-5075677
TERENGGANU
Koperasi Mesra-Net Terengganu
Tuan Walid – 0199874332
Tuan Fazari Ghazali – 0129671271
KEDAH
Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN)
Tuan Yusof Hussin
019-4780895
PULAU PINANG
Koperasi Pulau Pinang
Tuan Razif
019-4700101
PAHANG
Koperasi Bimbingan Insan Berhad (KOBI)
Sr.Sabarudin-0199308111
Puan Zaharah 0199512111
KELANTAN
Hannah Bookstore
Facebook: https://www.facebook.com/hannahsbookstore
Tuan Muaz-0196651234
Puan Shah Aznie-0126443715
Kehidupan: Mahasiswa dan Masa Hadapan
Mahasiswa, mahasiswi. Walaupun biasanya merujuk kepada yang masih belajar di universiti, selalunya pelajar Master dan PhD tidak termasuk dalam sebutan ini. Biasa yang dilihat ialah pelajar ijazah. Yang rata-ratanya berada di awal 20-an, menyebabkan biasanya Mahasiswa adalah golongan yang dipandang sebagai ‘budak’.
Walaupun sepatutnya Mahasiswa/mahasiswi tidak perlu tunduk pada stereotaip pandangan masyarakat yang negatif sedemekian, masih ramai sebenarnya mahasiswa/mahasiswi yang benar-benar merasakan mereka masih budak. Masih muda. Tidak penting. Merasakan masa mereka menjadi mahasiswa/mahasiswi hanyalah untuk mendapat skor peperiksaan, mendapatkan kerja yang berprestij.
Ini membuatkan ramai yang tenggelam dalam penyakit bernama ‘ignorance’, ‘hednonisme’, dan seterusnya terjebak dengan pelbagai masalah, sekaligus menjadi liabiliti kepada negara, bukannya sebagai sebuah harapan masa hadapan.
Rasa Masih Muda?
Saya sangat berterima kasih kepada bapa saya, Hj Abd Razak bin Kaprawi, kerana membesarkan saya dengan sirah-siarah Nabawiyah, sirah orang terdahulu dan para sahabat Radhiallahu ‘anhum ajma’in. Ada kalangan kisah-kisah ini, wujud cerita yang dekat dengan kepemudaan.
Contohnya kisah Ashabul Ukhdud, yang watak utamanya merupakan seorang budak, mempelajari sihir, tetapi kemudian mendapat hidayah Allah, seterusnya berusaha membawa hidayah itu kepada kaumnya.
Nabi Ibrahim sendiri, dalam kisahnya memecahkan berhala-berhala sembahan kaumnya, dia juga masih belia ketika itu.
Contoh yang lain ialah kisah Ashabul Kahfi, yakni segolongan pemuda yang menyelamatkan iman mereka dari pemerintah yang zalim, lantas ditidurkan di dalam gua sekitar 300 tahun lamanya.
Contoh daripada para sahabat Nabi juga tidak kurang banyaknya. Antaranya kisah Mu’adz dan Mu’awwidz yang baru berumur belasan tahun, menumbangkan Abu Jahal di medan Badar. Kisah Abdullah Ibn Umar yang telah duduk di majlis Nabi ketika masih berusia tersangat muda. Kisah Ali bin Abi Talib yang beriman kala masih budak, dan keberaniannya menggantikan tempat tidur Nabi. Begitu juga kisah Usamah Bin Zaid yang menjadi jeneral menentang Rom pada usia 19 tahun.
Kisah lain yang dibiasakan dalam kehidupan saya adalah seperti kisah Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun.
Semua ini membuatkan saya rasa bahawa kala kita menjadi Mahasiswa, berumur awal 20-an, itu bukanlah umur seorang ‘kanak-kanak’ atau budak.
Kita lebih daripada itu, maka sepatutnya kita mengejar untuk menjadi lebih daripada itu.
Meneliti sirah-sirah tadi, kita dapat melihat mereka berkongsi satu perkara yang sama. Itulah dia perjuangan di atas medan tauhid. Mereka hendak menegakkan agama Allah SWT, kepada diri mereka dan masyarakat.
Ini membuatkan mereka tidak membazirkan usia muda yang mereka ada, lantas mengisinya dengan perkara yang membina intelek, jasad, dan kekuatan rohani mereka. Hingga pada usia yang masih belia, mereka mampu memberikan impak yang besar kepada masyarakat, apatah lagi kala mereka membesar menjadi dewasa.
Namun majoriti mahasiswa/mahasiswi kita merasakan usia mudanya, menyebabkan dia belum lagi perlu berfikir untuk masa hadapan ummah. Ini adalah mentaliti yang sangat silap.
Intelek Seorang Mahasiswa
Berada di universiti dan menghadiri kuliah-kuliah, bukanlah semata-mata untuk menggapai skor yang tertinggi di dalam peperiksaan. Mahasiswa perlu memandang ke hadapan melihat betapa masyarakat akan menjadi lebih bertamadun apabila pancaran ilmu menyentuh mereka.
Justeru mahasiswa sendiri perlu mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu yang pelbagai, selain daripada bidang yang diambil sebagai pengkhususan. Paling kurang, dia melihat bahawa dia perlu menjadi seorang yang amat pakar di dalam bidang pengajian yang diceburi, agar dia mampu menjadikannya bermanfaat kepada orang lain, dalam pelbagai bentuk.
Mahasiswa tidak patut terperangkap dengan perkara yang tidak mengembangkan mindanya, juga tidak memberikan manfaat untuk masa hadapannya. Setiap detik yang berjalan, semua itu tidak akan dapat dikembalikan oleh kita, maka setiap masa yang ada perlu dihargai untuk masa akan datang nanti.
Membaca adalah perkara yang paling penting dalam pengembangan minda seorang mahasiswa. Mengembara, dan bergaul dengan orang yang pelbagai, juga bercampur dengan orang yang lebih dewasa, menjadikan pandangan seorang mahasiswa lebih berkembang dan seimbang. Sering berusaha menghadiri pelbagai wacana ilmiah, juga mengikuti perdebatan-perdebatan ilmiah yang wujud baik di alam realiti atau di ruang maya(youtube), itu semua akan membuatkan diri mahasiswa/mahasiswi lebih bersedia untuk menjadi seorang yang bermanfaat untuk ummah.
Jangan kita terperangkap hanya di dalam bilik-bilik kuliah kita, juga di dalam bulatan usrah yang kita ikuti.
Tanpa ilmu yang luas, kita tidak akan mampu menjadi seorang yang sedar, jauh sekali hendak memberikan manfaat yang luas kepada ummah.
Mengapa Perlu Fikir Masa Hadapan?
Mengapa perlu?
Kerana kita adalah masa hadapan. Pemimpin hari ini, adalah satu masa dahulu merupakan mahasiswa/mahasiswi. Mereka dahulu juga budak. Hari ini memimpin kita.
Jangan salahkan orang lain yang memimpin dengan buruk, kala kita sendiri tidak pernah berusaha menjadi seorang yang mampu memberikan pimpinan yang baik kepada masyarakat. Kemalasan kita membuatkan ummat ini sentiasa ditindas, dan pemimpin yang zalim sentiasa berada di atas.
Masyarakat di masa akan datang juga adalah asalnya budak-budak pada hari ini. Tanpa kita berusaha keras memperbaiki diri semenjak hari ini, masyarakat di masa akan datang sekadar akan mengulangi ‘kitaran’ yang telah berlaku kepada masyarakat kita selama ini. Bahkan mungkin menjadi lebih teruk, dengan prestasi dan kualiti yang merudum jatuh.
Kita perlu sedar bahawa masa hadapan masih terbuka buat kita, dengan syarat kita menghargai hari ini yang masih ada.
Sama ada kita memilih untuk melakukan sesuatu, atau kita memilih untuk buat tidak tahu.
Penutup: Jangan Sekadar Menjadi Robot.
Ramai berfikiran mudah.
Habis belajar universiti, kerja makan gaji.
Tiada masalah kerja makan gaji. Tetapi setiap kita perlukan identiti, dan mestilah menjadi faktor kepada pembangunan masyarakat. Semua kebaikan yang berlaku pada satu-satu masyarakat, ianya bermula dengan perubahan diri masyarakat itu sendiri.
Maka jangan menjadi orang yang hanya tahu hendak mendapatkan kerja dan makan gaji. Jadilah manusia yang mampu memberikan inspirasi kepada manusia lain. Jadilah orang yang mampu menjadi contoh yang baik, qudwah hassanah kepada rakan sekerja. Jadilah manusia yang mampu membina keluarganya menjadi keluarga yang diredhai oleh Allah SWT.
Yang mampu pergi lebih jauh, menceburi medan-medan yang kurang diceburi oleh orang-orang kita, pergi ke sana. Bangunkan apa yang perlu dibangunkan.
Kita perlu rasa, kita semua ada tugasan.
Namun ini semua tidak akan mampu kita sahut, tanggung, sekiranya semasa menjadi mahasiswa, kita hanyalah seorang yang tidak ambil berat akan masa hadapan.
Sepatutnya kita sentiasa bertanya kepada diri kita, 5 tahun lagi kita ini siapa? 10 tahun lagi kita ini siapa?
Apakah kita ada cita-cita besar untuk ummah ini?
Kemudian apakah kita ada perancangan untuk menggapai cita-cita itu?
Kita patut muhasabah semula.
Fotografi: Bacalah!
| Bayt Ad Dandis | Irbid, Jordan |
( Sony Alpha Nex-5N | f4.5 | 1/80 | ISO2000 )
Di sini kita bermula…
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
Dia menciptakan manusia dari segumpal darah,
Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia,
Yang mengajar manusia melalui pena,
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Al-’Alaq 96: 1-5)
Membaca jambatan ilmu.
Ayuh mahasiswa,
Sepuluh langkah kita kehadapan !
Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain – Dia dan Isterinya.
Di dalam keluarga Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain, saya paling rapat dengan arwah Ummi Halimaton binti Hussein, isteri pertama Ustaz Dahlan. Ummi adalah guru Bahasa Melayu di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, dan oleh kerana saya aktif di dalam bidang syarahan serta ucapan awam, Ummi Halimaton rapat dengan saya semenjak saya berada di tingkatan dua lagi. Ummi Halimaton menjadi guru Bahasa Melayu saya ketika saya tingkatan tiga dan lima.
Namun hubungan baik saya dengan ahli keluarga Ustaz Dahlan yang lain tetap ada, terutama dengan Abang Akram, Kak Amani dan Abang Ali Karimi. Mereka teman Facebook saya, dan banyak membantu dalam pembikinan buku ini, terutama Kak Amani yang banyak kali mempelawa saya tidur di rumah Al-Fadhil Ustaz Dahlan, dan berkongsi gambar-gambar serta maklumat penting berkenaan Al-Fadhil.
Saya bukanlah orang yang sentiasa berada di rumah Al-Fadhil Ustaz Dahlan, justeru banyak maklumat di dalam bab ini hakikatnya datang daripada wawancara saya dengan ahli keluarga beliau.
Saya bertanyakan soalan-soalan seperti:
“Apakah pengalaman manis bersama Al-Fadhil Ustaz Dahlan?”
“Selain sebagai seorang bapa, bagaimanakah anda memandang seorang Ustaz Dahlan?”
Selain serba sedikit pertanyaan berkenaan biodata mereka.
Pengalaman saya sendiri juga ada, berdasarkan sembang-sembang saya dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan dan arwah Ummi Halimaton sendiri.
Sejenak Duduk-Duduk Dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan dan Ummi
Sepanjang pemerhatian saya, Ustaz Dahlan dan isterinya, Ummi Halimaton, sememangnya adalah loving couple. Ustaz Dahlan amat mengasihi Ummi, dan Ummi amat mengasihi Ustaz Dahlan.
Saya sempat merasai beberapa momen manis antara Ustaz Dahlan dan Ummi Halimaton.
Antaranya adalah kala saya dan rakan-rakan menziarahi beliau semasa saya berada di tingkatan lima. Masih saya ingat kami bergurau ketika itu dengan pertanyaan:
“Ustaz, siapa yang jatuh cinta pada siapa dulu ni? Ustaz jatuh cinta pada Ummi ke, Ummi yang jatuh cinta pada ustaz?”
Ustaz tertawa kecil kemudian menjawab seloroh: “Ummi la jatuh cinta pada ana.”
Ummi dari dapur terus ke ruang tamu: “Siapa kata Ummi yang jatuh cinta dulu? Ustaz yang mai kat Ummi.”
Gurauan tersebut saya ulang juga kala saya, Ustaz Dahlan dan Ummi berada di rumah bersama-sama, tanpa rakan-rakan saya yang lain. Suka melihat keletah Ummi dan tawa ringkas seorang Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain.
Ustaz Dahlan juga tidak pernah segan berkongsi akan kehidupannya bersama Ummi Halimaton. Pernah Al-Fadhil kala saya duduk di rumahnya, berkongsi bahawa Ummi Halimaton dahulu tidak pandai memasak, dan Al-Fadhil Ustaz Dahlanlah yang mengajar Ummi Halimaton memasak. Ini disahihkan oleh anak-anak beliau, yang menceritakan perkara yang sama kepada saya.
Semasa saya hampir dengan masa pertunangan, Al-Fadhil Ustaz Dahlan ada bertanya siapakah pilihan hati saya. Bila saya nyatakan Tengku Masyitah (isteri saya sekarang ini), Al-Fadhil menjawab bahawa dia mengenali bakal ayah mertua saya ketika itu (sekarang sudah jadi ayah mertua saya). Terus Al-Fadhil bertanya, macam mana saya akan berhubungan dengan tunang saya, memandangkan Ustaz Dahlan tahu saya belajar di Jordan ketika itu.
“Ana email ustaz.”
Ustaz tersenyum dan berkata: “Ana dulu utus surat dari Iraq. Utus untuk Ibu ana sekali dan Ummi juga. Sebab Ibu ana buta huruf. Ummi la tolong baca untuk Ibu ana. Masa itu belum kahwin lagi.”
Ustaz Dahlan Pada Mata Isterinya.
Ummi juga tidak segan berkongsi berkenan Ustaz Dahlan. Bahkan sepanjang saya merapati arwah Ummi Halimaton, Ummi adalah seorang yang mengagumi Ustaz Dahlan Mohd Zain.
“Entapa (gaya orang perlis cakap Antum, asal dari loghat ‘hangpa’) pernah tengok Ustaz Dahlan cakap dalam keadaan serabut? Tidak pernah kan? Ustaz itu orangnya tersusun dan kemas. Bahasa Melayu yang digunakannya juga amat baik sekali.” Puji Ummi pada satu hari. Benda yang tidak dapat disangkal. Ustaz Dahlan memang berbicara dengan kemas, walaupun suaranya perlahan, tetapi penyampaiannya jelas. Bahkan bila sampai pada point penting, Ustaz Dahlan akan mengulang 2-3 kali point tersebut.
Ummi juga mengambil Al-Fadhil Ustaz Dahlan sebagai contoh dalam kehidupannya. Ini terbukti apabila saya pernah berseloroh dengan Ummi kala Ummi baru usai rawatan matanya dan keluar dari hospital:
“Ummi, rehatlah. Kesian Ummi, dah sakit, nak melayan kerenah pelajar lagi.”
Ummi menjawab dengan tegas: “Rehat? Suruh Ustaz Dahlan rehat dahulu, baru Ummi rehat. Ustaz yang dah tua dan lagi banyak sakit pun tak rehat, macam mana Ummi boleh rehat? Suruh Ustaz rehat dulu, baru Ummi suka nak rehat.”
Begitu sekali Ummi menyerap kekuatan dan semangat suaminya, Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain.
Sepanjang saya mengenali ramai pasangan, saya tahu betapa sukarnya kita nak menjadi contoh kepada ahli keluarga sendiri berbanding orang luar. Hal ini kerana ahli keluarga kita adalah yang melihat kita dengan lebih dekat, dan berada di sisi kita lebih lama. Keluargalah yang memegang banyak keaiban dan kelemahan kita.
Tetapi daripada Ummi Halimaton, jelas terpapar bagaimana Ustaz Dahlan benar-benar merupakan sebuah peribadi yang mampu memberikan contoh terbaik kepada orang di sekelilingnya.
Tarbiyah Yang Berjalan
Daripada perkongsian guru-guru dan rakan-rakan seangkatan Al-Fadhil Ustaz Dahlan, saya dapat mengetahui yang Ummi pada asalnya bukanlah seorang yang bertudung, apatah lagi bertudung labuh. Bahkan semasa di awal rumahtangga Ustaz Dahlan dan Ummi Halimaton, Ummi masih lagi tidak biasa bertudung.
Namun hasil tarbiyah dan kesabaran Al-Fadhil memberikan didikan, Ummi Halimaton adalah seorang yang istiqomah menjaga auratnya, dan paling senang bertudung labuh dalam kehidupannya.
Jika ada yang mengenali Ummi pada usia tuanya seperti saya, pasti tidak pernah menyangka bahawa Ummi Halimaton asalnya bukan orang yang istiqomah dengan penutupan aurat.
Tidak hairanlah mengapa Al-Fadhil Ustaz Dahlan bukan sahaja dipandang sebagai salah seorang ahli keluarga berpangkat suami atau bapa, tetapi juga dipandang sebagai murabbi, pendidik dan pembawa qudwah yang baik oleh segenap ahli keluarganya.
———————————
Baca sepenuhnya dengan mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain. Cetakan terhad!
Harga: RM50.00 seunit
Terbitan: LangitIman Resources.
Karangan: Hilal Asyraf.
Anda ingin mendapatkan Buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain di kawasan anda? Boleh hubungi mereka -
KUALA LUMPUR/SELANGOR
LangitIman Resources
Encik Abdul Muhaimin bin Misran
0135041501
PERLIS
Koperasi Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis
Cikgu Azmi Bahari
019-4744343
PERAK
Kelab Belia HALUAN Ipoh.
Tuan Fadhli Bin Razali
012-5075677
TERENGGANU
Koperasi Mesra-Net Terengganu
Tuan Walid – 0199874332
Tuan Fazari Ghazali – 0129671271
KEDAH
Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad (KOINSAN)
Tuan Yusof Hussin
019-4780895
PULAU PINANG
Koperasi Pulau Pinang
Tuan Razif
019-4700101
PAHANG
Koperasi Bimbingan Insan Berhad (KOBI)
Sr.Sabarudin-0199308111
Puan Zaharah 0199512111
KELANTAN
Hannah Bookstore
Facebook: https://www.facebook.com/hannahsbookstore
Tuan Muaz-0196651234
Puan Shah Aznie-0126443715
September 4, 2013
Kehidupan: Negara Dan Tanggungjawab Kita
Sebagai warganegara, selain kita perlu menuntut hak kita sebagai rakyat, kita juga perlu sedar akan tanggungjawab kita kepadanya.
Memang Islam tidak mengetengahkan sentimen kenegaraan yang melampau, namun cinta kepada tanah air adalah perkara yang syara’. Ini dibuktikan dengan sirah nabawiyah, apabila Rasulullah SAW hendak meninggalkan Kota Makkah dalam peristiwa hijrah, baginda memandang ke arah kota itu dan menyatakan bahawa baginda sangat mencintainya. Jikalah bukan kerana kaumnya menghalau baginda, baginda tidak akan berganjak daripadanya.
Abdullah bin `Adi bin Al-Hamra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, maksudnya: “Demi Allah! Kamu (wahai Makkah) adalah tanah Allah yang terbaik dan yang sangat dicintai oleh-Nya. Andai kata aku tidak diusir dari kamu, aku tak akan berpisah (daripada kamu).” Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmidhi.
Ibn `Abbas pula berkata: Rasulullah bersabda: “Betapa tempat yang indahnya kamu! Kamu adalah tempat yang paling aku cintai! Sekiranya orangku tidak mengusirku daripadamu, aku tak akan berpisah (dari sini)untuk hidup di satu tempat yang lain.”
Justeru kita mencintai sesuatu, pasti ada tandanya. Mencintai Malaysia, maka pasti ada tanggungjawab kita kepadanya, yang perlu kita tunaikan.
Warganegara Berjiwa Islah
Antara tugas utama seorang mukmin ialah memperbaiki dirinya, seterusnya mengajak orang lain bersama-sama pulang ke jalan Allah SWT.
Adalah sepatutnya sebagai salah seorang anak watan di Malaysia, negara yang mengiktiraf dirinya sebagai ‘negara Islam’, berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki dirinya, dan mengajak orang lain untuk mengenali sekaligus merapati agama Allah SWT ini.
Tanpa akhlak yang baik, perjuangan untuk menawan hati orang ramai agar kembali kepada agama Allah SWT yang mulia ini akan menjadi sia-sia. Maka saban hari kita bangun dari tidur, sepatutnya sudah kita set minda kita, untuk melaksanakan tugasan pengislahan diri kita dan masyarakat.
Menjadi warganegara yang lebih berakhlak, disiplin, tidak culas, bukan pembohong dan kaki maksiat, tidak mendekati korupsi dan jenayah, sekaligus berani dalam menegakkan kebenaran, serta suka menyebarkan kebaikan.
Allah SWT berfirman akan syarat sesebuah negara untuk diberkatiNya, adalah dengan mempunyai penduduk/rakyat yang bertaqwa.
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Surah Al-A’raf ayat 96.
Jelas di sini, antara faktor utama kemakmuran sesebuah negara, ialah bermula dengan penduduknya yang mempunyai iman dan taqwa.
Menjadi tugas kita untuk berusaha ke arah itu, bermula dengan diri kita sendiri.
Menjadi Warganegara Yang Cakna Dengan Isu Semasa
Sebagai warganegara, kita juga perlu berusaha untuk sensitif dengan isu semasa. Kita juga mestilah sedar bahawa kita tidak boleh percaya semata-mata pada cerita/penerangan/pembentangan sebelah pihak semata-mata.
Didiklah diri kita untuk kuat membaca dari pelbagai sumber, dan sering melakukan pembandingan. Jangan sesekali terperangkap dalam kisah-kisah fitnah dan rekayasa yang menyebabkan kita tersalah hukum pihak yang tidak bersalah.
Kita juga bukan sahaja perlu cakna isu politik, tetapi juga cakna terhadap taraf hidup rakyat. Masalah yang dihadapi di negara ini sepatutnya terasa dekat dengan diri kita. Masalah kemiskinan contohnya, masalah harga barang naik contohnya, itu semua perlu kita ambil peduli, walaupun mungkin kita anak orang berharta.
Dengan menjadi cakna dan sensitif sebegini, kita akan rasa untuk ambil berat dan tergerak untuk membantu, melakukan sesuatu, dalam menggerakkan negara ini ke arah yang lebih baik. Walaupun mungkin kita sekarang hanyalah seorang remaja/pemuda/pemudi yang kelihatan tidak signifikan, kita hakikatnya adalah yang bakal menggantikan generasi tua hari ini untuk menjadi gelombang baru di masa akan datang.
Dengan menjadi sensitif dengan isu yang berputar di negara kita, sebagai generasi baru, kita akan lebih terpelajar dengan pelbagai kesilapan yang telah berlaku, sekaligus membawa masa hadapan yang mampu mengelakkan situasi yang sama dari terjadi.
Namun sekiranya semenjak muda kita menjadi manusia yang tidak peduli, pastinya kita tidak akan rasa ‘tertolak’ untuk melakukan sesuatu yang baik buat negara ini.
Jelas Rasulullah SAW banyak bersabda mengingatkan kita untuk menjadi seorang muslim yang cakna dengan keadaan sekeliling. Ada hadith mengingatkan kita untuk cakna permasalahan ummah, ada hadith mengingatkan kita untuk memuliakan tetamu, ada hadith yang mengingatkan kita untuk memuliakan jiran, dan di dalam Sirah jelas kita melihat bagaimana kaum Ansar di Madinah ringan tulang membantu Kaum Muhajirin dari Makkah ketika peristiwa Hijrah. Jika mereka bukan manusia yang cakna dengan isu semasa, pastinya mereka tidak terpanggil untuk menawarkan rumah mereka menjadi tumpangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW dari Makkah.
Ambil berat isu semasa juga akan membuatkan kita lebih sedar akan kondisi sebenar negara kita.
Benarkah negara kita masih aman? Contohnya. Jika kita tidak cakna dengan isu jenayah yang semakin meningkat di negara kita, mungkin kita masih tidak berbuat apa-apa untuk menghalang jenayah yang semakin meningkat ini.
Penutup: Warganegara Yang Memandang Masa Hadapan
Hari ini kita mungkin hanya seorang remaja, pemuda-pemudi yang kelihatan tidak mempunyai apa-apa. Tetapi sebagai seorang warganegara, kita perlu menjadi penggerak kepada kemakmuran dan kemajuan negara kita.
Hari ini mungkin, sebagai seorang budak, kita tidak rasa diri kita penting.
Namun hakikatnya, setiap seorang rakyat di negara ini penting untuk masa hadapan nanti.
Justeru jangan sesekali merasakan akan ada ‘orang lain’ untuk memakmurkan negara, pada masa yang sama kita alpa, lalai dan leka. Jangan ambil mudah kelebihan yang kita kecapi hari ini. Negara ini akan runtuh sekiranya diisi dengan rakyat yang tidak bertanggungjawab, tidak berilmu, dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkannya.
Kerja kita pada masa yang masih muda ini ialah mengaut ilmu sebanyak mungkin, seterusnya memperkemaskan diri untuk menjadi contoh yang baik buat yang lain. Mungkin kita bukan perdana menteri, bukan menteri apa-apa, bukan juga orang-orang penting negara. Tetapi kita boleh menggerakkan projek-projek penambah baikan sedari bawah, melalui arah kita sebagai rakyat marhaen.
Namun jika ilmu tiada, disiplin tiada, akhlak yang baik tiada, maka apakah agaknya warna masa hadapan negara kita?
September 3, 2013
Poster: Knowledge
Knowledge: The Learned Are The Heirs of The Prophets.
مَنْ سَلَكَ طَرِيقاً يَطْلُبُ فِيهِ عِلْماً سَلَكَ بِهِ طَرِيقاً إلَى الجَنَّةِ. وَإنَّ المَلائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رَضاً بِهِ. وَإنَّهُ يَسْتَغْفِرُ لِطَالِبِ العِلْمِ مَنْ فِي السَّماءِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ حَتّى الحُوتِ فِي البَحْرِ. وَفَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ عَلَى سَائِرِ النُّجُومِ لَيْلَةَ البَدْرِ. وَإنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ. إنَّ الأَنْبِيَاءَ لِمْ يُوَرِّثُوا دِينَاراً وَلا دِرْهَماً، وَلَكِنْ وَرِثُوا العِلْمَ. فَمَنْ أَخَذَ مِنْهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.
The Messenger of Allah (S) said, “One who proceeds on a path in the pursuit of knowledge, God makes him proceed therewith on a path to the Garden (Paradise). And, verily, the angels spread their wings for the seekers of knowledge out of delight. Verily, every creature of the heaven and the earth asks forgiveness for the seeker of knowledge, even the fish in the sea. The merit of the ‘alim (the learned) over the ‘abid (the devout) is like the merit of the moon over the stars on a full-moon night. The learned are the heirs of the prophets, for the prophets did not leave behind a legacy of wealth but that of knowledge. So whoever partakes of it derives a plenteous benefit.”
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, nescaya Allah SWT menyediakan jalan untuknya menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya kerana redha pada orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya penuntut ilmu dimintakan ampun oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi hatta ikan di laut (turut meminta ampun untuknya). Keutamaan seorang alim atas seorang abid adalah seperti keutamaan bulan atas segala bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh dia telah mengambil keberuntungan yang banyak.”
(HR Abu Dawud)
September 2, 2013
Himmah : Mahasiswa, Mahu Ke Mana?
Selamat datang kepada mahasiswa yang sudah menjejakkan kaki ke universiti-universiti baik di Malaysia mahupun di luar Malaysia.
Saya pasti kedatangan mahasiswa baru ke universiti ini dengan tekad dan azam yang tinggi, mahu belajar dan menjadi hebat agar dapat merubah nasib ummat.
Bukanlah masuk universiti itu yang meninggikan kedudukan kita di dalam masyarakat kerana sahabat Nabi s.a.w. tidak pernah masuk universiti pun, tetapi kehebatan mereka itu terkesan di dalam masyarakat sampai sekarang.
Ibn Abbas tak pernah masuk U pun tetapi menjadi pakar tafsir. Abu Hurairah tak pernah masuk U pun tetapi telah mengetahui dan menghafal ribuan hadis. Aisyah r.anha tak pernah masuk U pun tetapi memahami permasalahan fiqh dengan baik.
Tetapi, itu bukanlah justifikasinya untuk kita melakukan seperti mereka kerana kita dan mereka berbeza latar suasana, tempat dan masa.
Namun, untuk menjadi seorang perubah nasib ummat, wajarlah mahasiswa sekalian bertanya, mahu ke manakah kita dengan azam dan kedudukan kita sekarang?
Mencapai Target Ilmu Sehingga Menjadi Pakar
Benar, berada di universiti itu belum meletakkan kita dalam kemuliaan atau apa-apa taraf yang hebat. Kita boleh berbangga dapat masuk ke universiti itu ini, universiti luar negara dan sebagainya, tetapi belum tentu kita akan dapat tamatkan pelajaran kita dengan baik dari universiti itu.
Sebab itu, untuk berbangga dengan universiti saja tidaklah ada apa-apa yang bernilai pun. Yang meletakkan kita dalam satu nilai yang tinggi di dalam masyarakat adalah ilmu kita.
Ilmulah yang akan meletakkan kita dalam kemuliaan, bukan universiti.
Itulah yang telah Allah sebutkan di dalam Al-Quran :
“Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat.” [Al-Mujadalah : 11]
Darjat yang dimaksudkan di dalam ayat ini ditafsirkan oleh Imam Al-Qurtubi sebagai “pahala di akhirat serta kemuliaan di dunia.”
Imam As-Syaukani pula menyebut dalam Fathul Qadir :
“Makna ayat ini adalah Allah mengangkat darjat orang beriman ke atas orang yang tidak beriman, mengangkat darjat orang berilmu ke atas orang beriman, barangsiapa yang terkumpul padanya iman dan ilmu, maka Allah akan mengangkat kedudukannya dengan imannya itu beberapa darjat, dan kedudukannya dengan ilmunya itu beberapa darjat.”
Rebutlah peluang berada di universiti ini untuk menyuburkan wacana dan diskusi ilmu. Bina diri dengan ilmu. Letakkan target untuk menjadi pakar di bidang masing-masing.
Jangan hanya belajar sebatas mahu menyudahkan segulung sijil sahaja. Bak kata orang ‘bagi cukup syarat’ je. Jangan. Rugilah kita jika kita belajar hanya untuk segulung sijil.
Mukmin belajar untuk mendapatkan redha Allah, untuk meninggikan kalimah Allah. Maka bila dia belajar, dia tidak merasa cukup dengan hanya sebatas pelajaran di dalam kelasnya sahaja. Untuk mencapai targetnya bagi meninggikan kalimah Allah, bagi menjadi wakil ummat di bidangnya, maka ia merasa kegentingan untuk belajar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Di luar kelas, diusahakannya lagi agar dapat ditambah ilmu-ilmu baru dari pelbagai cabang ilmu yang lain.
Jangan lelah mencari ilmu. Ilmu tidak akan pernah habis, tidak akan pernah penat dikejar kita sehinggalah kita yang penat mengejarnya.
Mahu Pergi Ke Mana Selepas Ini?
Selain target ilmu, sudah tentu yang penting sekali adalah untuk mahasiswa bertanya pada dirinya, mahu ke manakah dirinya selepas ini?
Mungkin ada yang merasakan 4 tahun di universiti itu suatu tempoh yang panjang, tetapi hakikatnya ia satu tempoh masa yang sangat pendek bagi sesiapa yang benar-benar memanfaatkannya dengan baik.
4 tahun pejam celik, pejam celik, kita akan keluar dari dunia Degree bagi yang mengambil degree. Selepas itu apa? Sambung master? Selepas sambung master, apa pula? PhD? Selepas itu?
Bertanyalah soalan ini sehinggalah ketika kita sudah tua nanti, kita perlu bertanya, selepas itu apa?
Kita akan mati. Selepas kita mati, apa pula?
Sudah tentu mengharapkan syurga dan redha Allah s.w.t. Pada hari yang sijil-sijil akademik dan pengiktirafan dunia sudah tidak berguna lagi untuk kita, sudah tentulah yang paling kita harapkan adalah rahmat dan pertolongan Allah s.w.t.
Ya, itulah pengakhiran kita. Kita perlu sentiasa bertanya, apa perancangan kita dalam hidup ini dengan sentiasa bertanya pada diri kita, selepas ini apa? Selepas ini nak ke mana?
Orang yang sentiasa melihat hari esoknya akan merancang hari ininya dengan baik.
Dia tidak akan mensia-siakan hari ininya dengan perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Orang lain bercouple kerana menikmati kelazatan hari ini, tetapi dia melihat keburukan kesan couple itu di hari esok, maka ia berusaha meninggalkannya.
Orang lain mahu berhibur, berfoya-foya berlebihan sehingga mengabaikan pelajaran dan tuntutan ilmu, tetapi dia tahu akan kesan buruk di sebalik sikap sedemikian pada masa depannya kelak, maka ia berusaha menjauhinya.
Begitulah orang yang sentiasa memerhatikan masa depannya. Ia merancang dan memilih yang terbaik untuk dirinya agar kelak bukan saja dia memperoleh masa depan yang baik di dunia, tetapi ia beroleh juga masa depan yang baik di akhirat kelak di hadapan Allah s.w.t.
Penutup : Kita Mahu Jadi Apa?
Hari ini, kita menjejakkan kaki di universiti belumlah lagi dikira sebagai satu tanda kejayaan yang besar.
Ada orang yang tidak lulus universiti pun.
Ada orang lulus cukup makan je pun.
Ada orang bahkan terperangkap dalam budaya hidup hedonism akhirnya tidak menamatkan pelajarannya dan berhenti di pertengahan jalan.
Bukan masuk universiti itu menjadi penentu kita berjaya atau tidak dalam hidup. Tetapi diri kitalah yang akan mencorakkan apa yang kita mahu jadi dalam kehidupan kita.
Ada orang yang lulus universiti hari ini, tetapi masa depannya belum tentu. Ada yang kehidupannya terumbang-ambing, akhiratnya bersimpang-siur. Dia berjaya dengan sekeping sijil akademik, tetapi tidak memiliki kehidupan yang bahagia. Hatinya selalu tidak tenang walaupun kerja dan gelaran pangkatnya hebat-hebat. Keluarga pun berpecah-belah dan hidup liar.
Kitalah yang menjadi pencorak kepada apa yang kita mahu jadi di masa hadapan.
Bertanyalah pada diri kita, dengan azam kita seawal kita masuk ke universiti dan kedudukan kita sekarang, mahu ke manakah kita dalam hidup?
September 1, 2013
Fotografi: Pasca Merdeka
| Perkarangan luar Dataran Lang | Pulau Langkawi |
( Sony Alpha Nex-5N | f4 | 1/60 | ISO3200 )
Telah kita leka menyelusuri hari-hari merdeka ini
Bersama minda,
Akal,
Hati,
Jiwa,
Yang masih terkunci merdekanya.
Kita pasakkan tinggi kibar bendera
Yang megah beralun di ruang udara
Biar setinggi itu cita dibawa
Panji agama tidak sesekali dilupa.
Pasca merdeka, di mana posisi merdeka kita?