Hilal Asyraf's Blog, page 93

September 19, 2013

Kehidupan: Nilai Manusia Bukan Pada Nombor

Exam

Gambar oleh Alberto G.


Profesor saya pernah berpesan kepada semua pelajar, “Your grades do not determine your self-worth.” Keputusan peperiksaan anda tidak menentukan nilai anda sebagai seorang individu.


Kata-kata itu amat bermakna bagi pelajar-pelajar yang mendengarnya, lebih-lebih lagi apabila kata-kata itu datang daripada seorang professor daripada sebuah universiti (University of Toronto) yang begitu mengiklankan pencapaian akademik para pelajarnya.


Kata-kata itu sedikit sebanyak dapat menenangkan hati gelisah para pelajar dan mengubah fokus pelajar daripada nombor-nombor atas slip keputusan mereka kepada perkara yang lebih penting iaitu penghayatan ilmu.


Malangnya, itu bukanlah realiti kehidupan pelajar dalam sistem pendidikan yang begitu mementingkan nombor dan abjad. Hakikatnya ialah, sepertimana yang difahamkan daripada kata-kata profesor saya itu, ramai pelajar yang menganggap bahawa keputusan peperiksaan mereka itu adalah kayu ukur kepada nilai diri mereka sebagai manusia di atas muka bumi ini.


Ini adalah salah satu sebab mengapa begitu ramai pelajar yang tertekan sehingga ada yang clinically depressed apabila tidak mendapat keputusan yang diingini. Lebih menyedihkan lagi ialah ada yang tertekan sebelum mengambil peperiksaan lagi. Semuanya kerana mereka menganggap seluruh hidup mereka bergantung kepada nombor di atas kertas – keputusan peperiksaan.


Kita tidak boleh salahkan para pelajar kerana berfikir begitu kerana sistem yang sedang mereka lalui sekarang meletakkan keputusan peperiksaan sebagai kayu ukur kecemerlangan insan. Jika anda tidak mencapai standard, maka anda tidak cemerlang.


Apakah moral yang ingin diterapkan dalam diri para pelajar dengan budaya sebegini?


Obsesi kita dengan nombor ini bukan sahaja wujud dalam sistem pendidikan, tetapi ia wujud di mana-mana sahaja. Contohnya, dalam dunia laman sosial.


Di Facebook, kita berebut-rebut untuk mendapat “like” terbanyak. Lagi banyak “like”, lagi tinggi nilai diri. Di Twitter, kita berebut-rebut untuk mendapat “followers”. Lagi banyak “followers’, lagi tinggi nilai diri. Di Youtube, kita berebut-rebut untuk mendapat “views”. Lagi banyak “views”, lagi tinggi nilai diri.


Ada yang begitu obsess dengan nombor-nombor ini sehinggakan mereka sanggup bayar untuk meningkatkan nombor mereka. Baru-baru ini, Facebook menjual “likes” kepada admin-admin Facebook page supaya mereka dapat meningkatkan “likes” di Facebook page mereka.


Obsesi ini sudah menjadi satu kegilaan. Ia tidak jauh bezanya dengan kita berebut-rebut untuk mendapat A terbanyak, CGPA tertinggi, dan markah tertinggi. Ada yang begitu obses sehingga mereka tidak peduli sama ada cara untuk mendapat nombor tersebut sah ataupun tidak. Asalkan mereka dapat apa yang diingini, maka mereka gembira.


Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi ia tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Kalau anda tidak cekap dalam satu perkara, itu tidak bermakna anda tidak cekap dalam semua perkara.


Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan kepada manusia untuk obses kepada keputusan akhir. Islam tekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan tawakal kepada Allah.


Walau apapun keputusan akhirnya (sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak), seorang Muslim itu akan tetap bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung kepada keputusan akhir, tetapi ia bergantung kepada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.


(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”. [Surah al-Insan: 22]


Saya lihat kata-kata profesor saya itu ada unsur-unsur Islamiknya, walaupun beliau bukanlah seorang Muslim. Beliau faham bahawa keputusan peperiksaan tidak sepenting usaha dan penghayatan ilmu. Saya kagum dengan persepsinya yang tidak dicemari dengan obsesi nombor.


Your grades do not determine your self-worth.” ~ Professor Dax Urbszat, Psychology.


Aiman Azlan

20 September 2013

Mississauga, Canada

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2013 23:05

Komik: Mencari Cahaya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2013 18:31

Novel VT2: Avantgarde – Gelombang 4 – Semut Yang Ego.

Novel VT




Alhamdulillah, Novel VT2: Avantgarde sudah semakin hampir saya siapkan.


Tinggal beberapa bab lagi.


Mohon semua mendoakan.



Sementara menanti saya menyiapkannya, mohon enjoy dulu Gelombang 4 – Semut Yang Ego – ini.


Enjoy!


:-)



 


Fatih berpaut pada penghadang di luar dewan. Dewan Bola tampar terletak di tingkat tiga, manakala bangunan Syarikat Muslim’Sport adalah setinggi lima tingkat. Walaupun dari luar ia kelihatan seperti enam tingkat, kerana dua aras diambil menjadi tingkat tiga, memberi ruang udara yang selesa untuk permainan bola tampar. Seluruh aras tiga ialah dewan bola tampar tempat mereka berlatih selama hampir sebulan kini.


Dan selama hampir sebulan ini jugalah, mereka masih belum lagi menyentuh bola tampar.


“Lawa kan mataharin senja?” Abhiraj di sebelahnya memberikan komen. Suasana menjadi serba indah, dengan warna oren kekuningan menyaluti semua yang ada di hadapan mata mereka kini.


Sekarang waktu rehat sebelum Solat Maghrib. Fatih hanya tersengih dan mengangguk.


“Yep, indah. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tetapi tetap lebih baik negeri sendiri.” Fatih berbicara sambil melepaskan pandangannya pada matahari yang semakin hendak terbenam.


“Negeri sendiri tu Malaysia ke, Bosnia?” Akram menyakat.


Mereka berenam semuanya berada di tempat ini, menikmati pemandangan indah melepaskan lelah latihan yang berat.


“Aku mana pernah pergi Bosnia. Mak aku keturunan aja Bosnia. Tetapi dia orang Malaysia la.” Fatih menggeleng dengan sakatan Akram itu.


“Fatih rindu dengan bidadari di Amerika tu. Perempuan melayu terakhir ada di sana.” Dzakir masuk mencelah.


What was her name again? Rabiatul right?” Leon Xavier memandang rakan-rakannya.


Semua tertawa. Mungkin ada kenangan yang sedang sama-sama mengimbaunya.


“Perempuan melayu terakhir apanya. Malaysia berlambak lagi perempuan melayu.” Akram membalas untuk Fatih. Fatih hanya tersenyum sahaja.


“Lagha, lagha.” Fei Hung menggeleng sendiri, disambut dengan tawa rakan-rakan yang lain.Fei Hung memang begitu. Ayat yang keluar dari mulut dia mesti ada bau-bau tazkirah. Kadang kala berseloroh pun, tetap ayat yang sedemikian keluar.


“Apa cerita kita ni? Dah sebulan tetapi tak sentuh-sentuh bola lagi?” Dzakir memandang Fatih. Fatih dilihat sebagai ketua buat mereka. Memang selama ini Fatih memimpin usrah mereka di Amerika, dan menjadi ketua pasukan bola tampar mereka di sana.


“Entahlah. Tetapi coach bukan jenis yang buat benda tak tentu hala. Kita pun bukan sebulan dua duduk dengan dia sebelum ini. Setahun ada.” Fatih melepaskan keluhan.


Matahari semakin menghilang, kelihatan seperti dimamah bangunan-bangunan tinggi Kuala Lumpur.


“Eh, apa pandangan korang fasal empat orang budak MATRI tu ha? Kita tak pernah sembang fasal mereka.” Abhiraj membangkitkan topik hangat. Semua memandang kepadanya.


“Entah. Kita kenal pun tidak dengan mereka.” Leon buat muka meluat. “Bengang jugaklah bila coach macam concern sangat dengan empat orang itu. Silap haribulan kerana merekalah penyebab mengapa coach masih tidak betul-betul melatih kita lagi.”


“Tunggu mereka berempat itu tiba-tiba muncul agaknya.” Akram buat kesimpulan sendiri.


Fatih, Dzakir, dan Fei Hung hanya mendiamkan diri.


“Aku fahamlah orang mu’min itu bersaudara. Tetapi coach aku tengok macam agak lebihkan mereka la kan? Mungkin sebab coach dahulu pelajar MATRI juga. Ini bakal membuatkan projek yang coach sendiri usahakan, yakni memenangi VNRC ini, gagal.” Dzakir menambah.


Pelbagai persepsi.


“Huh.” Fatih melepaskan keluhan. Dia pun tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Tetapi tidak dinafikan yang dia ada rasa sedikit terkilan. Jurulatihnya itu dengan dirinya bukanlah tidak rapat. Mereka berkongsi pelbagai perkara sepanjang keberadaan Saiful di Amerika.


Tetapi pelik mengapa fokus jurulatihnya banyak kepada hendak mengembalikan empat orang tersebut ke kumpulan mereka.


“Mungkin kita nak kena cakap betul-betul dengan coach.” Fatih memberikan cadangan.


“Tak takut coach marah ke?” Akram menimbulkan persoalan yang dijangkanya akan terjadi.


“Terpaksalah.” Fatih angkat kedua-dua belah bahu, tanpa memandang Akram.


Matanya fokus pada matahari yang semakin malap, dan malam yang datang.


Kemudian Fatih berpaling menghadap dewan, dan memandang kesemua rakannya. “Tak mengapa, nanti kita cari masa yang sesuai untuk bercakap dengan Coach.”


“Jomlah, persiapkan diri. Maghrib dah ni. Malam ini ada tadarus dan usrah dengan coach.” Fei Hung mengajak, dan dia melangkah pergi terlebih dahulu.


“Baik ustaz Fei Hung. Wachha!” Dzakir buat tabik, tetapi kemudian menggayakan kungfu.


Semua yang ada tertawa. Dzakir memang penceria kumpulan mereka.


 


******


 


“Assalamu’alaikum Hannah.” Faiz melemparkan senyuman kepada setiausahanya. Meja setiausaha yang terletak tidak jauh dari bilik pejabatnya, membuatkan saban dia memasuki pejabatnya, dia akan melepasi Hannah terlebih dahulu.


“Waalaikumussalam Encik Faiz.”


Faiz berjalan mendekati pintu pejabatnya.


“Ah, Encik Faiz.” Suara Hannah menghentikan langkahannya. Segera Faiz berpaling.


“Ya?”


“Pagi ada email baru masuk. Jurulatih kumpulan Rurouni mahu datang melawat bersama pasukannya hari ini.”


Tersentak Faiz mendengar berita itu. Kumpulan Rurouni adalah pesaing utama yang selama ini dimaksudkan. Mereka dinaungi oleh Syarikat Kasai International. Apa yang tidak ramai tahu ialah, di belakang Syarikat Kasai International, mereka ini dinaungi oleh sebuah lagi organisasi…


“Bila mereka akan datang melawat?” Faiz berdehem cuba menenangkan diri.


Hannah kembali menatap monitor, membaca email, kemudian Faiz mendengar Hannah seperti terkejut.


“Kenapa Hannah?” Faiz merapati Hannah selangkah dua.


“Mereka kata mereka akan datang pukul 8.30 pagi.” Hannah seperti tergamam.


“Sekarang?” Faiz melihat jam.


“Tidak mengapa Hannah. Terima kasih.” Terus Faiz berpaling semula dan melangkah pantas ke pejabatnya.


Telefon bimbit dikeluarkan, dan segera dia menekan butang nombor 1 dalam keadaan yang sedikit lama. ‘Speed Dial’. Dia menghubungi Saiful Rahman.


“Assalamu’alaikum Saiful…”


“Ha, Faiz, Waalaikumussalam.”


“Kumpulan Rurouni…”


“Mereka sedang berada di dalam dewan.”


Langkahan Faiz terhenti.


 


*****


 


“Siapa mereka ni?” Omar memandang Malik, Malik mengangkat bahu. Tidak tahu.


Malik memandang Fatih dan lima rakannya yang lain. Kelihatan seperti mereka juga terpinga-pinga. Semua mereka fokus kepada Saiful Rahman yang berdiri di antara dua kumpulan mereka.


“Dewan tidak berkunci, maka kami masuk.” Seorang lelaki berambut putih, bertubuh tegap, tinggi, melangkah ke hadapan mendekati Saiful Rahman.


“Coach Mustofa. Apa khabar?” Saiful memaniskan muka, walau ada rasa sedikit tidak senang dengan kehadiran mereka. Kehadiran yang tidak beradab baginya.


“Khabar baik.” Mereka berjabat tangan. Saiful terasa betapa tangan Coach Mustofa sengaja mengcengkam jabatannya dengan keras. Tetapi Saiful berlagak seperti biasa.


“Kenalkan, pemain-pemain saya…” Coach Mustofa melepaskan jabatan tangan antara dia dan Saiful, kemudian berpaling. Perlahan-lahan enam pemainnya mara ke hadapan.


“Azzam,” Dia menunjuk kepada seorang pemain yang tidak terlalu tinggi. Berambut hitam ikal, berkulit agak gelap.


“Hazim,” Seorang pemuda yang tinggi lampai. Berambut kerinting, sedikit perang.


“Timothy Chong,” Sekali pandang sudah diketahui keturunan Cina. Bermata sepet, berambut lurus yang tidak terlalu hitam gelap. Orangnya kurus.


“Saudara kau tu Fei Hung.” Dzakir menyiku Fei Hung di sebelahnya. Fei Hung hanya tersengih.


“Jabez Shah,” Coach Mustofa meneruskan pengenalan, menunjuk kepada seorang pemuda yang sederhana tinggi, rambutnya hitam legam tersisir rapi, kulitnya hitam manis.


“Feh, macam Shah Rukh Khan la. Kalah Abhiraj kita.” Dzakir bersuara lagi.


“Hei, kau diam boleh tak Dzakir? Suasana tegang lagi nak melawak.” Abhiraj di kanan Dzakir meluku perlahan sahabatnya itu. Dzakir mengaduh manja sambil tertawa. Rakan-rakan lain tersenyum sahaja dengan telatah Dzakir.


Coach Mustofa menunjuk kepada pemain seterusnya, “Ini namanya Wirawan. Ketua kumpulan.” Seorang pemuda tinggi, tegap, wajahnya bersahaja, nampak tidak peduli dengan suasana, leka bersama headphones Beats By Dr Dre yang menutup telinganya.


“Dan yang terakhir, Wei Freddy.” Coach Mustofa menunjukkan pemainnya yang terakhir. Susuk tubuhnya seperti Timothy Chong, cuma dia berambut panjang, bertocang satu dan bercermin mata.


Saiful Rahman terangguk-angguk.


“Enam sahaja?” Saiful mengajukan soalan.


Coach Mustofa tersengih. “Team kau pula bagaimana? Berlapan sahaja?”


“Ah, lagi empat orang masih belum hadir. Mereka ada urusan masing-masing.” Saiful menjawab.


“Oh, dalam keadaan Kejohanan Pre-VNRC semakin hampir? Berani.” Coach Mustofa tertawa dan menepuk tangannya sendiri beberapa kali. Wajahnya jelas berbau perlian.


“Coach lagi berani, tampil dengan enam orang sahaja.” Saiful cuba mengembalikan soalan asal.


“Ah, kerana enam orang ini sudah cukup. Jabez, boleh tolong berikan seorang satu bola?” Coach Mustofa memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar.


Pemuda bernama Jabez itu bergerak mendapatkan karung yang berisi bola. Jelas terpampang pada karung itu logo Syarikat Kasai International, penaung mereka, menandakan bola-bola itu memang mereka bawa sendiri.


Jabez mengeluarkan bola dan memberikan kepada setiap satu rakannya sebiji bola.


“Tunjukkan pada mereka ini, siapa kita.”


“Biar wa dulu mula.” Timothy Chong mencampakkan bola itu ke udara. Tinggi. Bola itu pula bergerak ke hadapan sambil ke atas. Kini hampir melepasi net kala bola tersebut mula menjunam. Manakala Timothy masih di garisan servis.


Pada saat inilah Timothy memecut pantas. Bunyi telapak kasutnya menghentam lantai menggerunkan. Dan dari tengah, dia sudah melompat, melayang menuju ke arah bola yang menjunam.


“Hiargh!” Rejaman dilakukan, dan bola tidak bergerak ke hadapan, tetapi ke bawah. Betul-betul di hadapan net gelanggang sebelah.


Timothy mendarat.


Malik, Omar, Fatih, Fei Hung, Dzakir, Abhiraj, Akram dan Leon membeliakkan mata.


“Itu kalau block pun tak ada guna maa.” Abhiraj memberikan komentar.


Ini kerana bola yang direjam Timothy itu betul-betul jatuh menegak di hadapan net. Jika dipertahankan pun, bola hanya akan melantun keluar, dan ini akan memberikan mata kepada kumpulan Timothy.


Kelihatan Timothy kekal di hadapan net. Azzam melontar bola dari garisan servis kepada Timothy.


“Feh, dia tu setter ke rupanya?” Dzakir garu kepala. Parah kalau setter bolah melakukan rejaman seperti tadi. Itu kelebihan yang besar.


Saiful bertenang sahaja tanpa reaksi. Matanya melihat Timothy kini mengangkat bola tinggi, kembali ke tengah gelanggang, dan Azzam sudah mula berlari, melompat, melayang, dan anehnya kala Azzam berada di hadapan bola, waktu seakan terhenti seketika, dan kemudian rejaman dilakukan.


Bola meluncur dengan amat laju, sehingga anak didik Saiful hampir sahaja tidak dapat melihat ke mana bola itu pergi. Sedar-sedar bola itu melantun tinggi selepas betul-betul jatuh di atas garisan servis gelanggang sebelah.


“Allah, sudahlah rejamannya amat laju. Dia bolah sasarkan bola itu betul-betul atas garisan servis!” Omar macam tidak percaya. Malik sudah menggigit bibir. Geram.


Jabez pula melontar bola kepada Timothy. Sekali lagi bola diangkat cantik, kali ini ke kiri gelanggang, namun dalam keadaan betul-betul berada di atas net. Hanya tinggi seinci dari net. Dan sebelum bola itu turun, Jabez sudah merejamnya jatuh ke tengah gelanggang sebelah. Bola itu melantun melanggar dinding dewan selepas menghentam gelanggang. Dari bunyinya sahaja, sudah diketahui betapa dasyatnya rejaman itu. Pantas, tajam, kuat.


Fei Hung menggeleng kepala. Kumpulan Rurouni seakan berada di satu tahap lain berbanding mereka.


“Timothy!” Hazim menolak bola pantas kepada Timothy dalam keadaan mengejut. Namun Timothy tenang. Bagi yang menonton dari luar gelangang, mereka perasan yang tiba-tiba Hazim telah tiada di tempat dia berdiri tadi.


Timothy menyambut bola dengan baik sekali, namun kali ini dia tidak mengangkat bola itu ke hadapan atau ke atas, dia menghalakan bola itu ke belakang dirinya, yakni ke kanan gelanggang. Dan belum sempat bola itu jauh dari Timothy, Hazim sudah berada di atas paras bola, dan merejamnya sekuat hati.


Bola jatuh di bahagian kanan gelanggang sebelah. Bermakna rejaman yang berlaku tadi adalah rejaman serong.


“Lagi satu rejaman mereka yang tak guna kita block.” Akram menggeleng. Dasyat sungguh kumpulan Rurouni ini.


“Freddy?” Timothy memanggil sebangsanya. Freddy tersenyum. Dia membaling bola pantas seperti Hazim tadi. Cuma kali ini dia bergerak lurus, bola baru sampai ke tangan Timothy, dia sudah berada di udara, sebaik sahaja bola itu diangkat oleh Timothy, dia terus merejamnya. Dan bola itu jatuh menegak seperti rejaman Timothy tadi.


“Fast dia memang fast.” Fatih membeliakkan mata buat sekian kalinya.


“Sangat tajam pula tu. Ramai orang akan menunggu di tengah gelanggang, tetapi rejaman dia akan jatuh di hadapan net.” Malik memberikan komen. Takjub.


Apakah mereka mungkin akan menang bila menentang kumpulan ‘raksasa’ ini?


Sampai giliran Wirawan. Berbanding dengan yang lain, Wirawan nampak bersahaja. Dia langsung tidak menanggalkan headphonenya.


Timothy mengangkat kening, dan Wirawan menggeleng. Tanda Timothy tidak diperlukan. Wirawan berdiri tegak di garisan servis, kemudian melambung bola tegak ke atas. Dia ingin melakukan jumping spike seperti Timothy tadi. Sekurang-kurangnya itulah yang dijangkakan penonton semua.


Tetapi Wirawan kelihatan tidak melompat langsung. Apabila bola turun, dia sekadar memukulnya dengan kuat seperti servis biasa.


“La?” Dzakir seakan kecewa. Terkejut, seperti rakan-rakan yang lainnya.


Namun bola Wirawan itu bergerak dengan kelajuan yang tinggi, kemudian ianya sebentar di atas dan sebentar di bawah. Apabila tiba ke gelanggang sebelah, apabila hampir hendak jatuh ke tempat yang sepatutnya ia tuju, bola tersebut melencong ke kiri dan menghentam garisan tepi.


Dzakir diserang kagum yang teramat. Disangkanya Wirawan tidak menunjukkan aksi yang hebat. Tetapi servis Wirawan sahaja sudah amat dasyat. Dahulu mereka suka memanggil teknik itu sebagai ‘float’, namun tiada siapa mampu melakukannya selaju Wirawan, dan tidaklah selama ini dia pernah melihat bola melencong terlalu jauh dari trakjektori asal.


Saiful kekal seperti tadi. Tidak kelihatan teruja. Walaupun dia sebenarnya amat kagum dengan kehebatan pemain lawan. Dia memang berusaha mengawal riyak wajahnya agar tidak kelihatan lemah.


“Itu sahaja tujuan kedatangan kami.” Coach Mustofa berbicara, memecah sunyi usai persembahan yang menggerunkan tadi.


“Itu sahaja?” Kening sebelah Saiful terangkat automatik. Hairan.


Semua pemain Saiful memandang Coach Mustofa dan pemain-pemainnya bergerak meninggalkan dewan latihan mereka.


“Ya. Sekadar hendak memberitahu bahawa kalau pihak kamu berani menentang kami, maka kami tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan kamu dengan teruk sekali.” Coach Mustofa tersengih.


Saiful diam sahaja. Menghantar Pasukan Rurouni keluar dari dewan dengan pandangan mata sahaja.


Sebaik sahaja kumpulan tersebut hilang dari pandangan, dia menggelengkan kepala.


“Cooooach!” Dzakir menjerit. Saiful menoleh.


“Macam mana kita nak kalahkan mereka?” Dzakir seakan histeria. Memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan.


Saiful menghela nafas. Kedatangan Coach Mustofa selain sebagai amaran, ianya juga ialah untuk menganggu psikologi lawan. Coach Mustofa mahu moral lawannya jatuh sebelum pertandingan bermula. Maka mereka akan menang sebelum bertanding lagi.


“Tidak mengapa. Mereka manusia, kita manusia. Kita berusaha dan Allah SWT jugalah pemilik kemenangan yang sebenarnya.” Saiful Rahman menenangkan semua.


“Coach cool aja.” Omar tersenyum sambil memandang Malik.


“Kalau dia gelabah macam Si Dzakir tu, habis kita semua.” Malik membalas.


“Ya tak ya juga.” Omar menggaru kepala yang tidak gatal.


“Okay semua. Training kita bermula untuk hari ini. Mula dengan berlari selama sejam mengelilingi dewan.” Saiful Rahman menepuk-nepuk tangannya.


“Aduh, bila kita nak sentuh bolanya?” Akram merungut sendiri.


“Coach tak nampak ke kedasyatan mereka tadi?” Abhiraj berbisik kepada Fatih.


Fatih angkat bahu. Buat masa ini, dia malas hendak berbicara berkenaan hal itu. Kedasyatan kumpulan Rurouni tadi membuatkan dia seperti terpempan.


Takut?


Entah.


 


******


 


Zulkarnain Ahmad. Orangnya tinggi lampai. Kulitnya sedikit gelap. Kini dia sedang memandu pulang dari kerja, kembali ke rumahnya.


Masih bujang dan belum berkahwin, tinggal di Perlis, Zulkarnain bekerja sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Perlis(UniMAP).


“Abang balik, abang balik!” Suara adik beradiknya di perkarangan rumah menyambut kepulangannya. Sayu jiwanya melihat adik beradiknya.


Semuanya tidak bersekolah, kerana dia tidak mampu menampung mereka. Ini kerana dia menampung beban yang lebih besar, yang membuatkan segala gajinya sebagai pensyarah menjadi seakan tidak bermakna.


“Abang, kami lapar, kami lapar.” Adik perempuannya menarik seluar.


“Dari pagi tadi kami tak makan, bang.” Adik lelaki bongsunya bersuara.


Zulkarnain mengusap kepala kedua-dua adik beradiknya.


“Aisyah dan Zaid sabar ya. Abang masak ni.” Zulkarnain kemudian berpimpinan tangan dengan kedua-dua mereka, memasuki rumah.


“Abang nak jumpa Ibu dulu.” Zulkarnain bergerak masuk ke bilik bondanya.


Kelihatan seorang wanita yang amat uzur sekali. Rambut sudah gugur. Mukanya pucat dan tubuhnya lesu. Zulkarnain terus melutut di sisi katil dan menggapai tangan ibunya. Diusap-usap lembut tangan itu.


“Karnain…” Ibunya bersuara lemah.


“Ya Ibu, Karnain sini.”


“Dah makan?”


“Baru nak masak Ibu. Ibu jangan risau ya.”


“Ibu sakit Karnain.”


“Karnain faham Ibu. Ibu bersabar ya? Karnain tengah usahakan rawatan untuk Ibu.”


“Duit cukup ke? Ayah engkau dulu tiada simpanan. Kita keluarga miskin Karnain.”


Mata Zulkarnain mula bergenang.


“Biarlah ibu pergi Karnain. Jangan sampai susahkan kamu dan adik beradik.”


Terus air mata Karnain tumpah.


“Ibu, jangan cakap begitu. Tolong. Yakinlah, Allah SWT tak akan menzalimi kita Ibu.”


“Ibu kasihankan kamu.”


“Jangan begitu Ibu, Karnain, Aisyah dan Zayd sayangkan ibu sangat-sangat. Ibu rehat ya. Karnain akan masakkan sayur masak air untuk kita semua.”


Sayur masak air aja yang termampu. Paling ekonomi. Ayah Zulkarnain telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu kerana asma. Ibunya pula didapati menghidap kanser sekitar dua tahun yang lepas.


Kini Zulkarnain membanting tulang mencari rezeki untuk keluarganya. Sebahagian besar wangnya pergi kepada rawatan ibunya. Hidupnya pula semakin hari semakin terhimpit. Tanah dan harta benda banyak yang telah dijual.


Namun dia tidak sampai hati hendak berkongsi masalah ini kepada Malik dan Omar. Dia tahu masanya telah sampai untuk dia mengotakan janjinya kepada Coach Saiful. Dia perasan Malik dan Omar kerap cuba menghubunginya kebelakangan ini.


Tetapi dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Hatta guru-guru dan kenalan di MATRI pun tidak mengetahui, walaupun dia duduk tidak jauh dari mereka. Tambahan, kenalan-kenalan seangkatan dengannya semua telah pulang ke negeri masing-masing, menyambung pengajian, berkeluarga dan bekerja.


Maka dia membuat keputusan untuk tidak mengangkat langsung panggilan Omar dan Malik, kerana tidak mahu menyusahkan mereka dengan masalahnya.


Biarlah dia menanggung ini semua sendirian.


Walaupun dia amat suka dengan Bola Tampar, dia terpaksa melupakan sukan kegemarannya itu. Kini, ibu dan keluarganya lebih utama. Dia perlu fokus mencari wang buat mereka.


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2013 05:48

September 17, 2013

Kehidupan: Mahasiswa, Cinta Dan Rumahtangga.

Comp 1_00019


 


Antara perkara yang hangat dalam dunia mahasiswa mahasiswi ialah cinta dan perkahwinan.


Keluar menerjah satu kehidupan baru, bercampur dengan pelbagai golongan, dan mula banyak bekerja/bergaul dalam program, maka pendedahan terhadap berlainan jantina, juga manusia-manusia lain yang telah berumahtangga, membuatkan diri mahasiswa, mahasiswi rasa ‘terbakar’ untuk bercinta dan berumahtangga juga.


Bila terasa sedemikian, ramai yang teruja hendak ‘mempercepat’kan langkah untuk masuk ke alam rumahtangga.


Saya adalah antara yang pernah mempunyai pengalaman yang sama.



Mahasiswa – Masa Yang Takkan Kembali


Adalah perlu kita ingat bahawa zaman mahasiswa adalah zaman yang tidak akan kembali. Di dalamnya mempunyai 1001 manfaat, peluang dan ruang yang perlu diteguk sebaiknya bagi mengumpulkan ilmu dan pengalaman, untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar.


Bukan semata-mata untuk mendapatkan kerja agar kita boleh ada gaji saban bulan menyara diri, tetapi juga untuk memastikan diri kita menjadi mapan dan ampuh untuk menanggung beban tanggungjawab sebagai warganegara yang mampu membangunkan negara ini.


Di sinilah seorang mahasiswa dan mahasiswi perlu bijak melihat prioriti kehidupannya. Bila kita masuk dalam perbincangan cinta dan rumahtangga di alam mahasiswa, bukanlah kita hendak berkata bahawa percintaan di alam mahasiswa tidak bagus dan tidak baik.


Tetapi kita hendak menyatakan bahawa sebagai mahasiswa kita ada tanggungjawab yang besar yang perlu diisi. Jika kita hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga saat kita masih berada di alam mahasiswa, hendaklah kita tidak mengenepikan tanggungjawab tadi.


 


Rumahtangga Membina Ummah


Saya sentiasa percaya bahawa rumahtangga merupakan asas kepada pembinaan ummah. Di dalam dunia dakwah dan tarbiyah, maratib amal disusun seperti berikut:


Individu muslim – rumahtangga muslim – Kerajaan Islam – Daulah Islam – Ustaziatul Alam(Islam sebagai mahaguru alam).


Kita melihat sebelum menuju ke arah pembentukan Kerajaan Islam, Daulah Islam dan Islam menguasai dunia, tuntutan dimulakan dengan diri sendiri dan rumahtangga.


Rumahtangga boleh diibaratkan sebagai batu-bata yang akan membina Kerajaan Islam, Daulah Islam dan mencapai matlamat menjadikan Islam sebagai mahaguru alam tadi. Rumahtangga yang rapuh dan rosak, tidak akan berjaya menjadi kekuatan kepada cita-cita yang besar tadi.


Rumahtangga yang kuat, harmoni, tarbawi, diredhai Ilahi pula pastinya tidak akan mudah untuk dibina. Ianya sudah tentu tidak akan terjadi hanya dengan main-main dan sambil lewa. Maka kita melihat betapa besarnya tuntutan membina maratib amal yang pertama tadi – Individu Muslim – agar menjadi seorang yang ampuh, mampu membina sebuah baitul muslim yang baik.


Kembali kepada perbincangan kita – Mahasiswa, Cinta dan Rumahtangga – hendaklah kita sedar bahawa tanggungjawab kita sebagai mahasiswa yang besar tadi hakikatnya juga adalah sebuah pembentukan diri. Sebelum kita terburu-buru melemaskan diri di dalam aura percintaan, dan menyibukkan diri dengan tanggungjawab rumahtangga yang pelbagai, hendaklah kita melakukan persediaan.


 


Persediaan Membentuk Peribadi


Sebagai Mahasiswa, janganlah kita terjerat dengan masalah sosial dan pembaziran masa. Apabila sudah ada rasa hati hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga, hendaklah diri belajar membuat perancangan dan strategi.


Agar tidak terjadi kepada diri seperti mana pepatah melayu sering menyebut: “Apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.”


Maka susunlah perancangan.  Di mana pelajaran kita, di mana pemantapan syakhsiah kita, di mana peningkatan rasa bertanggungjawab kita, bagaimana kekuatan kewangan kita, seterusnya perancangan untuk majlis perkahwinan dan kehidupan selepas berumahtangga, lebih-lebih lagi jika berumahtangga kala sedang belajar. Hendaklah kita menyusun betul-betul jadual hidup, pembahagian masa dan prioriti kita.


Jangan mabuk hanya dengan perasaan semata-mata, yang seterusnya membazirkan masa, intelek dan harta kita. Jangan jual diri kita dengan angan-angan yang murah.


Sebagai mahasiswa kita perlu sedar tanggungjawab kita untuk masa hadapan ummah ini.


Cinta dan rumahtangga bukanlah benda untuk diseronok-seronokkan.


Ianya adalah sebuah komitmen dan tanggungjawab.


Sebagaimana amanah kita terhadap diri kita sebagai mahasiswa juga.


 


Penutup: Cinta Yang Dipandu, Bukan Cinta Yang Memandu


Maka mahasiswa perlu jelas. Apa sebenarnya yang hendak dia capai. Bukan tidak boleh bercinta ketika masih belajar, tetapi ‘to what extend’, ‘what is our plan’,  ‘how prepared are we’, itu semua merupakan soalan-soalan wajib yang perlu ditanya kepada diri.


Biarlah kita, sebagai mahasiswa/mahasiswi, yang mempunyai intelek, hidup di dalam lautan ilmu, memandu cinta dan bukannya cinta yang memandu kita.


Jangan nanti selepas sudah berumahtangga beberapa waktu, penyesalan dek kerana tidak menghargai zaman mahasiswa yang ada datang menjengah.


Ketika itu tanggungjawab pun telah bertambah, komitmen sudah banyak, dan diri terasa seperti menjadi orang tua yang penuh dengan penyesalan, kerana silap menguruskan masa mudanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2013 20:37

Poster: Prayer

prayer copy


Prayer: An isolated drop meets The Everlasting Spring



Solat adalah hubungan langsung antara manusia yang fana dan kekuatan yang abadi. Ia adalah waktu yang terpilih untuk pertemuan setitis air dengan mata air yang tak pernah kering. Ia adalah kunci perbendaharaan yang mencukupi, memuaskan, dan melimpah. Ia adalah pembebasan daripada batas-batas realiti bumi yang kecil menuju realiti alam raya. Ia adalah angin, embun, dan awan di siang hari yang terik. Ia adalah sentuhan yang lembut pada hati yang letih dan payah. Itulah sebabnya Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat…” (Sayyid Qutb, Fi Zilalil Quran, huraian ayat 153 Surah al-Baqarah)


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2013 19:46

Komik: Apa pun boleh!

september 2


Tak kira lapangan apa pilihan kita;

perbengkelan

penulisan

sukarelawan

perbahasan

permainan

dll


pastikan niat kita betul.

jaga Islam dari penjuru kita,

jangan jadi fitnah serta

tolong sebarkan keindahan Islam.


Masa lapang itu harus diisi,

agar tidak menjadi perkara yang ditangisi.


Allah, kuatkan kami dengan Islam

Allah, kuatkan Islam dengan kami


Mari menjadi hamba!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2013 09:54

September 15, 2013

Fotografi: Syair Abu Al Baqok Al Randi


| Pantai Tanjung Rhu | Pulau Langkawi |

( Sony Alpha Nex-5N | f13 | 1/60 | ISO100 )


 


لِـكُلِّ شَـيءٍ إِذا مـا تَمّ نُقصانُ 

فَـلا يُـغَرَّ بِـطيبِ العَيشِ إِنسانُ

هِـيَ الأُمُـورُ كَما شاهَدتُها دُوَلٌ 

مَـن سَـرّهُ زَمَـن سـاءَتهُ أَزمانُ


Bagi setiap perkara jika sudah cukup sempurna maka akan terasa kurangnya,

Maka usah ditipu dengan kebaikan hidup bergelar insan;

Ia adalah perkara yang aku lihat berputar silih berganti,

Siapa yang bersenang-lenang pada masa kini dia akan susah pada masanya yang panjang.


______________________________________________________________________________________________________


Ketika guru saya yang mulia membacakan syair yang masyhur tulisan Abu Al Baqok Al Randi Al Andalusi ini, saya terkedu. Zaman mahasiswa terlalu banyak dihabiskan dengan bermalas-malasan.


Kita belum cukup hebat untuk katakan sudah sempurna dan bersedia untuk melangkah keluar mendidik ummah. Jangan sampai menjadi seperti tin kosong, berbunyi nyaring, berisi tiada.


Rasulullah SAW bersabda: “Hampir-hampir bangsa-bangsa memperebutkan kalian (umat Islam), seperti memperebutkan makanan yang berada di mangkuk.” Seorang lelaki berkata: “Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?” Beliau menjawab: “Bahkan jumlah kalian pada waktu itu sangat banyak, namun kalian seperti buih di genangan air. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut kepada kalian, dan akan menanamkan ke dalam hati kalian al-wahn.” Seseorang lalu berkata: “Wahai Rasulullah, apa itu al-wahn?” beliau menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

(Sunan Abu Daud, Musnad Ahmad, Sahih disisi Al-Albani)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 15, 2013 21:46

Komik: Pengalaman – “Ittaqillaha Haitsu maa Kunta”

taqwa_sisFaeez



Sabda Rasululullah S.A.W.,


       “Ittaqillaha Haitsu maa Kunta”


Maksudnya, “Takutlah kepada Allah di mana saja kamu berada.” (Hadith Abu Dawud dan At Tarmizi)


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 15, 2013 00:37

September 13, 2013

Komik: Yang paling hebat?

september 1


Yang paling hebat itu,

bukan si dia yang dikenali penduduk bumi,

bukan si dia yang lantang berbicara,

bukan si dia yang pandai memanipulasi,

bukan juga yang petah berkata-kata.


mari kita menjadi;

bukan pelajar biasa, namun hamba istimewa.

walau tidak dikenali di bumi, namun tersohor di Langit tinggi.


dan segalanya

bermula dengan satu

NIAT

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2013 23:42

VT2: Avantgarde – Gelombang 3 – Sahabat Yang Tidak Meninggalkan

 




 Novel VT



Alhamdulillah, Novel VT2: Avantgarde sedang dalam progress yang baik untuk disiapkan hujung bulan ini.


Doa-doakan saya.


Buat masa ini, saya share dahulu Gelombang 3 VT2: Avantgarde.


Enjoy!


:-)



 


Hiruk pikuk kota jauh dari tempat ini. Walaupun tempat ini bukan hutan, tetapi ianya jauh lebih baik dari Kuala Lumpur, atau di tengah Johor Bahru. Taman Pulai Flora di daerah Kangkar Pulai ini memang tenang. Apatah lagi tingkap rumah yang didudukinya kini, bertentang dengan Gunung Pulai.


Sedikit sebanyak, dia cuba melupakan apa yang berlaku.


Perlahan dia memegang tangannya. Sehingga hari ini dia terkejut dengan apa yang terjadi, dan mempersoalkan bagaimana itu semua boleh menjadi sebahagian dari kehidupannya.


“Farhan,” Namanya disapa. Segera dia menjauhi jendela dan memandang ke muka pintu biliknya. Rafiq, rakan rumah sewanya sedang tersengih-sengih.


“Bagi la salam.” Farhan mencebik, seraya bergerak mendekati Rafiq.


“Assalamu’alaikum.” Rafiq terus dengan sengihannya.


Farhan menjawab salam, “Ha, ni nak apa? Kau ni kalau tak ada benda nak minta pada aku, mesti tak terpacak depan pintu bilik aku ni.”


“Aku nak minta kau tolong bawakan aku pergi Skudai Parade boleh?”


“Haish, bila la kau ni nak ada motor sendiri hah?” Farhan menggeleng. Rafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil senyum kambing.


“Ala, kau ni nak tolong aku ke tak?”


“Ya la, ya la. Mujur aku pun tengah lapar ni.” Farhan bergerak ke meja komputernya, menggapai kunci.


“Cantik. Aku belanja, as token of gratitude.” Rafiq gembira, menepuk-nepuk bahu rakannya itu.


“Ya la.” Farhan menjuihkan bibirnya. Malas layan. Terus dia dan Rafiq bergerak keluar, menghidupkan motor dan kemudian meninggalkan perkarangan rumahnya.


Motor yang ditunggangi Farhan dan Rafiq bergerak laju membelah jalan raya. Angin berderu kuat memukul tubuh mereka, terutama Farhan yang memandu di hadapan.


“Kapas, kau rasa kita boleh menang tak perlawanan kali ini?”


                “InsyaAllah boleh. Jangan risau, aku ada.” Dia menepuk-nepuk dadanya.


                Semua ahli pasukan bola tampar di universitinya tersenyum senang hati. Gelaran kapas sinonim dengan Farhan semenjak sekolah menengah lagi. Dia boleh melompat tinggi untuk melakukan rejaman. Dan setelah berjanji dengan  Coach Saiful untuk menjadi salah seorang tenaga dalam menjayakan projeknya untuk membawa syiar Islam di Malaysia melalui sukan Bola Tampar, Farhan telah berusaha dengan lebih giat untuk menajamkan skill bola tamparnya.


                “Semua pemain, masuk ke gelanggang.” Pengumuman kedengaran.


                “Okay semua, yakin boleh. Setter, kau angkat aja. Aku selesaikan. Rakan-rakan yang lain, pastikan ‘dig’ setel. Bola tak naik, setter takkan boleh angkat bola, aku takkan boleh nak ‘spike’.”


                “Okay!” Semua ahli pasukannya menjawab semangat.


                Mereka melangkah masuk ke gelanggang bersama-sama.


Dia dan Rafiq tiba di Skudai Parade.Selepas memarkir motor di luar, mereka bergerak masuk ke plaza yang sudah agak usang di daerah Skudai ini. Skudai Parade merupakan antara pusat membeli belah yang terawal berada di daerah Johor Bahru ini.


Namun apabila pelbagai lagi pusat membeli belah muncul, Skudai Parade tidak mampu bersaing. Kini plaza tersebut masih hidup lagi, namun bukan lagi menjadi tumpuan ramai. Ibarat hidup segan, mati tak mahu.


“Kau nak beli apa sebenarnya kat sini?”


“Barang komputer. Jom la teman kejap. Lepas itu kita pergilah makan.”


“Hem.” Farhan menurut sahaja.


“Kenapa tak beli di Taman Universiti aja?” Taman Universiti, letaknya di daerah Skudai, berdekatan dengan Universiti Teknologi Malaysia, terkenal dengan pelbagai kedai alat ganti komputer dan laptop.


“Tokey kedai komputer di Skudai Parade ni kenal dengan aku. Dapat murah.”


Mereka terus  bergerak menaiki eskelator untuk ke kedai yang dimaksudkan Rafiq. Farhan sekadar mengikut sahaja.


Bola diambil dengan baik oleh pemain nombor 6 di barisan belakang, melantun ke arah setter dengan gerakan yang cukup kemas sekali. Farhan tahu bola itu bola yang amat cantik untuk dia menyempurnakan rejamannya. Setter menaikkan bola tersebut ke udara dengan teknik ‘set’ yang amat sempurna.


                Bola terapung ke udara.


                “Rilek, rilek, spiker mereka tak ada!” Kedengaran pihak lawan bersuara yakin. Ini kerana Farhan adalah spiker utama, dan kini dia berada di barisan belakang.


                Dan itulah kesilapan paling besar yang pihak lawan lakukan. Farhan tersenyum. Tiada pihak lawan yang bersedia untuk menahan rejamannya. Terus dia berlari dengan langkahan untuk melakukan rejaman. Dia melompat dari tengah gelanggang, terbang melayang ke hadapan mendekati bola yang kini pada paras dadanya di udara.


                Waktu seakan bertukar menjadi perlahan, dan Farhan sempat melihat bagaimana pihak lawan terlopong melihat aksinya. Seterusnya dia merejam sekuat hati.


                Priiit!


                Satu mata untuk pasukannya. Farhan mendarat betul-betul di hadapan net, manakala bola yang direjamnya melantun tinggi semula ke udara, dalam keadaan semua pemain pihak lawan tergamam tidak mampu berkata apa-apa.


                Farhan tersengih, mengangkat kedua belah tangannya, dan dia dipeluk oleh rakan sepasukan yang lain sebagai tanda mengkagumi apa yang dia lakukan sebentar tadi.


Rafiq kini sedang berurusan dengan taukeh kedai komputer. Dia ingin membeli kad grafik. Mungkin untuk permainan komputer yang baru dibelinya. Zaman sekarang, teknologi sudah meningkat, begitu juga teknologi permainan komputer. Maka hendak bermain permainan komputer yang terkini, ‘hardware’ komputer perlu dinaik taraf. Walaupun Farhan bukan ‘gamers’, tetapi dia tahu benda itu semua kerana dia belajar sebagai ‘designers’ di universiti, dan kini bertugas sebagai pereka design untuk salah sebuah syarikat percetakan di Johor Bahru ini.


Sementara menunggu, mata Farhan melilau memandang sekeliling. Dia jarang ke Skudai Parade. Dia lebih suka ke Plaza Angsana atau Danga City Mall. Di sana pilihan lebih banyak, dan suasana kompleks membeli belahnya lebih kemas serta menyenangkan. Dia hanya ke Skudai Parade untuk bermain bowling sahaja, itupun jika diajak oleh rakan-rakan.


Tiba-tiba matanya terpaku pada satu sudut ruang Skudai Parade di aras tempat dia berada. Kedai Sukan. Dan dia melihat beberapa biji bola tampar di dalam karung, tergantung di hadapan kedai tersebut.


Dadanya automatik berdegup kencang. Matanya membesar.


“Kapas, bagi ‘kaw-kaw’ sikit kali ini. Biar mereka tahu siapa kita!”


                “Betul tu Farhan. ‘Spike’ gila-gila punya!”


                Dia tersengih sambil mengelap peluh dengan kain yang dibawanya. Kemudian dia mengangkat ibu jari. Tanda setuju. Tindakannya disambut dengan sorakan rakan-rakan sepasukan yang lain.


                Mereka masuk ke gelanggang semula selepas ‘time off’ yang diminta oleh jurulatih pihak lawan tamat.


                Mereka tinggal lagi 3 mata untuk menjadi johan dalam kejohanan antara fakulti di Universiti ini. Farhan kini di hadapan. Tempat ‘first spiker’. Servis dimulakan oleh rakan sepasukannya, bola bergerak ke gelanggang lawan. Pihak lawan sedikit gelabah, mengambilnya dengan huru-hara, namun bola tidak mati, melayang ke udara.


                “Clear, clear.” Ketua pasukan lawan memberikan arahan. Bola yang turun semula itu, terus ditolak oleh setter pasukan lawan ke gelanggang pasukan Farhan.


                “Bola mudah tu, bola mudah.” Farhan bersuara.


                Pemain nombor 2 di barisan belakang mengangkat bola tersebut dengan teknik dig yang cantik. Bola naik ke atas dalam keadaan yang amat lawa sekali. Setter hendak bersedia untuk menampan bola tersebut agar Farhan dapat merejamnya.


                Namun Farhan telah memberikan isyarat kepada setter, bahawa dia hendak terus merejam bola tersebut, sebagai kejutan kepada pasukan lawan, yang takkan menyangka rejaman akan berlaku pada julangan bola yang kedua. Kerana biasanya rejaman dilakukan selepas bola dilambung untuk kali yang ketiga.


                Farhan telah bersedia dengan meletakkan dirinya di belakang. Pasukan lawan tidak menyedari kerana fokus mereka hanya pada bola.


                Ketika ini Farhan berlari menderu, melakukan lompatan yang sangat tinggi, dan kala bola mula jatuh dari udara, Farhan sudah berada sama paras dengannya bersama tangan yang sudah tersedia untuk melakukan rejaman sepenuh tenaga.


                Pam!


                Bola meluncur dengan sangat laju, dalam keadaan pasukan lawan langsung tidak menyangkanya. Ketika ini salah seorang dari pasukan lawan sedang menoleh kepada rakannya untuk meminta rakannya itu bersedia. Namun bola yang direjam oleh Farhan tadi meluncur kuat menghentam pipi pemain tersebut yang sedang menoleh.


                Prak!


                Bunyi yang aneh kedengaran, seiring Farhan menjejakkan kaki semula ke gelanggang, ketika itu jugalah pemain tadi rebah.


                Farhan tersengih. Sedikit bangga dengan kebolehannya. Sampai boleh buat pemain lain terjatuh. Sebentar dia terlupa akan tarbiyah yang disisipkan oleh Coach Saiful Rahman, agar tidak sesekali bermain kasar dalam bola tampar.


                Rakan-rakan Farhan bersorak mengkagumi kehebatan Farhan. Namun suasana itu tidak lama, apabila semua seakan terpana dek riuh rendah pasukan lawan. Bila rakan-rakannya menguraikan pelukan mereka, baru Farhan dapat melihat yang mangsa rejamannya tadi masih tidak bangun.


                Beberapa orang petugas keselamatan mendapatkan pemain tersebut, dan memeriksanya. Kemudian kelihatan salah seorang daripada mereka yang memeriksa nadi pemain itu seperti terkejut. Petugas Keselamatan tersebut menjerit: “Telefon ambulan, segera!”


                “Apa yang dah berlaku?” Farhan terus menolak rakan-rakannya ke tepi, dan pergi ke gelanggang lawan.


                “Lehernya patah.”


                Mata Farhan membesar.


Nafasnya seakan tersekat. Dari berdiri menunggu Rafiq, dia melutut. Dia cuba untuk menjemput oksigen buat dirinya, tetapi gagal. Dia seakan berada di ruang vakum.


“Eh, kenapa dengan kawan lu tu?” Farhan dengar tidak dengar taukeh kedai komputer menjerit.


“Farhan!” Suara Rafiq menggegarkan gegendang.


Tekak Farhan rasa mual dan loya, dia terus muntah di situ juga. Dadanya terus berdegup kencang seperti hendak meletup, dia semakin sukar bernafas.


“Bawa dia ke klinik, bawa dia ke klinik!” Taukeh kedai komputer kini turut memapahnya.


Mereka membawa Farhan ke klinik dengan menaiki kereta taukeh kedai tadi. Farhan dibaringkan di tempat duduk belakang.


Dadanya masih berombak, tetapi sudah kurang sedikit dari tadi. Nafasnya masih tersekat-sekat, namun tidak seberat tadi.


Perlahan-lahan air matanya mengalir. Dia memejamkan matanya.


“Coach, macam mana saya mahu menyahut?” Perlahan dia menggumam bicara itu sendiri.


Semenjak tragedi tersebut, dia menjauhi bola tampar. Apa sahaja yang berkaitan dengan bola tampar, membuatkan dia diserang panik sedemikian rupa.


Sudah lama tidak berlaku, kerana dia sudah lama meninggalkan bola tampar.


Panggilan Malik dan Omar kebelakangan ini membuatkan memori lama itu kembali menghantui. Menyebabkan dia tidak pernah mengangkat panggilan rakan-rakannya itu.


Dia rasa bersalah, dan bola tampar telah menjadikannya seorang pembunuh.


 


******


 


Malik meletakkan telefon bimbitnya. Omar memandang kepadanya. Malik menggelengkan kepala seraya meletakkan telefon bimbit itu ke dalam beg kecil yang terletak di atas kerusi rehat. Omar melepaskan simpulan keluh yang tebal.


“Masih tidak dapat menghubungi mereka berempat?” Saiful Rahman menyapa.


Malik menggeleng. Saiful sekadar terangguk-angguk. Tangannya diangkat mengusap rambut Malik. Isyarat menyatakan agar terus tabah.


Sudah masuk pertengahan minggu ketiga mereka berlatih. Namun Saiful masih tidak membenarkan mana-mana pemainnya menyentuh bola tampar. Setiap hari mereka melakukan latihan stamina semata-mata. Pagi sampai malam, pagi sampai malam.


“Coach, bila nak sentuh bola sebenarnya ni?” Akram bersuara, dia duduk bersama lima rakannya yang lain tidak jauh dari tempat Malik, Omar dan Saiful berdiri.


“Akram, bumping 100 kali.”


“Hah?” Akram terkejut. Fatih, Leon, Dzakir, Abhiraj dan Fei Hung turut sama tersentak.


“Tambah dengan 50 pusingan dewan.”


“Coach, ken..” Akram cuba membantah tetapi Abhiraj yang berada di sebelahnya pantas menekup mulut.


Enough. Kau nak coach tambah lagi ke?” Abhiraj kemudian menepuk bahu Akram.


Akram mengerutkan dahinya, bengang. Kemudian terus melaksanakan denda yang dikenakan ke atasnya.


Dewan jadi sunyi seketika. Nyata Saiful tidak berlembut.


“Peraturan sudah dinyatakan. Tiada pertanyaan berkenaan bila pegang bola boleh diajukan. Dan tiada arahan ana yang akan antum lawan. Bertindak mengikut arahan.” Saiful mengulang tegas, sambil memandang kepada baki pemain yang lain.


“Baik coach.” Tujuh pemain yang lain menyahut. Suasana kemudian senyap untuk beberapa waktu, diisi dengan bunyi nafas yang berat daripada Akram yang sedang menjalani hukuman.


“Coach, macam mana dengan empat sahabat kita?” Omar memandang Saiful, memecah kesunyian dengan soalan.


Saiful mencekak pinggang dan memandang ke lantai. Selain sedang memerah mindanya untuk menyatukan dua blok pemain dalam pasukannya, dia juga berhempas pulas memikirkan apa yang boleh diusahakan untuk membantu keempat-empat pemain utamanya untuk keluar dari masalah masing-masing, dan kembali bersamanya.


Kemudian perlahan-lahan dia memandang kepada Omar dan Malik.


“Malik, apa pandangan?” Sengaja dia menyoal. Bukan kerana dia tiada idea. Dia banyak idea. Namun dia bukan orang yang rapat sangat dengan empat pemainnya yang bermasalah itu, dek kerana dia lama tidak menghubungi mereka. Satu penyesalan buat dirinya.


Malik mengalihkan wajahnya kepada Omar, Omar mengangkat bahu. Malik menarik nafas dalam, seakan mengumpul kekuatan untuk memberikan cadangan.


“Mungkin kita kena ziarah mereka?”


“Bila? Kita sibuk dengan latihan.” Omar mencelah.


“Takkanlah sebab empat orang itu, kita nak kena ganggu latihan kita!” Fatih sedikit melaung. Macam tidak puas hati.


“Masalah betul budak-budak MATRI ni. Hei.” Dzakir menambah minyak pada api.


“Korang ni apa fasal hah? Kalau itu geng korang, korang pun akan sibuk juga!” Malik berkerut seribu. Wajah cerahnya menjadi merah. Marah.


“Mestilah, orang mu’min tu bersaudara.” Fei Hung membalas.


“Habis, empat orang tu bukan sahabat kamu, Fei Hung?” Saiful Rahman memotong pertarungan bicara antara dua blok pemainnya.


Semua terdiam. Fatih memuncungkan bibir tidak puas hati. Dia tidak faham kenapa jurulatihnya beriya sangat nakkan empat pemain yang tiada itu untuk wujud di sini, bermain bersama mereka. Tetapi dia sekadar membiarkan persoalan itu di dalam hatinya, kerana dia tahu jika dia bertanya berkenaan perkara tersebut, dia akan didenda.


“Apa-apa hal pun, Malik, benar buat masa ini kita tidak banyak masa hendak menziarahi mereka. Mereka berempat pun bukannya duduk di Kuala Lumpur ini. Ridhwan di Kelantan, Ihsan di Penang, Zulkarnain di Perlis dan Farhan di Johor, bukan?” Saiful memandang Malik dan Omar.


Malik dan Omar mengangguk lemah.


“Tetapi sebagai sahabat, kita tidak akan meninggalkan mereka. InsyaAllah.” Saiful mengukir senyuman, menepuk bahu Omar dan Malik dengan kedua-dua belah tangannya.


Matanya menjanjikan solusi, walaupun bukan sekarang.


Malik mengangguk lagi. Mengiyakan.


Saiful Rahman kemudian menepuk kedua-dua belah telapak tangannya, menarik perhatian semua yang berada di dalam dewan. Kesemua pemainnya memandang kepadanya.


“Okay semua, waktu rehat tamat. Sekarang kamu akan lakukan  dalam masa 30 minit, naik turun tangga berulang kali. 3 set. Set pertama lari anak naik, lari anak turun. Set kedua lompat dengan kedua-dua belah kaki untuk naik. Selang 3 anak tangga setiap lompatan. Turun dengan lari anak. Set ketiga, lompat dengan sebelah kaki, selang 2 anak tangga setiap lompatan. Turun dengan lari anak.” Saiful mengeluarkan arahan.


Dzakir menepuk dahinya. Penatnya tidak terkira.


“Go go go!” Saiful menepuk-nepuk lagi tangannya.


Terus pemain-pemainnya bangkit menuju ke tangga di luar dewan. Meninggalkan dia dan Akram yang masih menjalani hukuman sahaja di dalam dewan.


Saiful memandang Akram yang kini sedang berlari mengelilingi dewan.


Wajah Akram meminta penjelasan, mengapa Saiful melatih mereka seperti awal-awal mereka bertemu dahulu di Amerika.


Saiful sekadar tersenyum, kemudian bergerak keluar untuk bersama pemain-pemain yang lain.


Akram menggeleng dan tersengih. “Coach, dari dulu sampai sekarang, penuh rahsia.”


Ya, bengang memang ada. Tetapi mengenali susuk peribadi Saiful Rahman, Akram tahu jurulatihnya itu tidak akan melakukan sesuatu tanpa sebabnya. Saiful seorang yang sabar, berstrategi, dan suka berahsia dengan apa yang dirancangnya. Hikmahnya akan diketahui selepas satu-satu peristiwa.


Cuma bezanya kini yang Akram dapat lihat ialah, jurulatihnya itu tidak menjangka beberapa perkara. Antaranya ketiadaan empat pemain dari MATRI.


“Buat apalah dengan empat orang itu? Kumpulan aku lebih dari cukup.”


Akram mendengus. Sambil meneruskan lariannya.


 


******


 


Pukul 11.00 malam.


Latihan Saiful pada para pemainnya tamat pada pukul 10.00 malam. Para pemain tidur di asrama yang disediakan oleh Muslim’Sport buat mereka.


Saiful juga akan berkampung di sini selama 5 bulan. Sekali sekala, dia akan diziarahi oleh Faiz Abdul Aziz. Seperti malam ini.


“Tak rindu zawjah?” Faiz membuka sembang santai mereka malam itu.


“Mestilah rindu. Tapi dia di Perlis sekarang, kerja dengan hospital.” Sengih. “Kau punya zawjah macam mana?”


“Alhamdulillah. Sihat bersama anak-anak.”


“Lama tak jumpa anak-anak kau.”


“Mereka pun rindu dengan Uncle Saiful mereka.” Faiz menatap Saiful, yang sedang menundukkan wajahnya ke lantai.  Mereka berdua duduk di pinggir katil.


“Engkau pun aku tak sempat ziarah, apatah lagi empat orang tu.” Saiful menggeleng lemah. Terasa akan kekurangan dirinya.


Kemudian perlahan dia mengangkat wajah. “Faiz, aku tak ada Facebook dan Twitter, macam mana engkau dengan aku kekal berhubung?”


“Telefon.” Faiz mengangkat telefon bimbitnya.


Saiful tertawa. “Kenapalah aku tak rajin ambil tahu perkembangan peribadi anak-anak buah aku. Haih.” Tawanya kelat.


Faiz menepuk belakang Saiful. “Bertenang. Kita bukannya mampu berada di semua tempat pada setiap masa, bukannya kita mampu nak menguruskan semua orang pada masa yang sama. Jangan ini semua membuatkan engkau menjadi resah dan tidak mampu maju ke hadapan.”


Suasana menjadi sepi seketika. Bilik yang sederhana besar itu, hanya memuatkan sebuah katil bujang, almari baju, dan tandas yang bergabung dengan bilik mandi. Bilik itu khas untuk Saiful sahaja, tidak bercampur dengan asrama pemain yang lain.


Selebihnya, bilik itu dipenuhi dengan alat latihan dalam rumah seperti ‘treadmill’, ‘dumbbell’, tali ‘skipping’ dan sebagainya. Nampaknya Saiful turut berlatih di dalam bilik ini, bukan membiarkan anak-anak buahnya sahaja yang berpenat lelah.


“Aku datang ni nak bagi engkau fail ini.” Faiz mengeluarkan sesuatu daripada ‘briefcase’nya.


Saiful menyambut dengan tangan kanan, dan terus membukanya.


“Huh, Kejohanan Pre-VNRC?”


“Ya. Persatuan Bola Tampar Malaysia melaksanakan satu inisiatif bagi menghangatkan lagi VNRC yang julung-julung kali di adakan ini. Ianya juga adalah sebagai motivasi kepada pasukan-pasukan yang tidak ditaja oleh syarikat-syarikat besar. Pertandingan ini akan dihadiri oleh ramai jutawan dan orang kenamaan, untuk melihat pasukan mana yang mereka suka untuk berikan tajaan.”


“Ini peluang yang baik. Muslim’Sport pun masih tidak mempunyai kewangan yang kukuh.”


“Benar. Selama ini kita banyak dibantu oleh rakan-rakan Pakcik Abdul Majid yang lain.” Faiz menambah.


Saiful terus melihat detail kejohanan tersebut. Dan tiba-tiba dia mendengus.


“Kenapa?”


“Pertandingan ini tiga minggu lagi.” Saiful sedikit durja.


Faiz tersenyum. “Ya. Itulah ujiannya.”


“Aku takkan cari pemain lain.”


“Tidak perlu. Bermain sahaja dengan lapan orang itu jika empat yang lain masih tidak menyahut panggilan kau.” Faiz, tenang sahaja.


“Tetapi ada kemungkinan kita tidak mendapat tajaan.” Saiful rasa serba salah.


“Kemungkinan memang ada. Tetapi kemungkinan untuk kita mendapat tajaan pun ada. Lagipun, ini peluang yang baik untuk melatih anak-anak buah kau itu akan makna sebenar kejohanan ini.”


Saiful diam sebentar. Cuba menghadam kata-kata Faiz.


“Kadangkala, kena campak orang masuk ke dalam air, baru tahu dia dapat atau tidak apa yang dia belajar fasal berenang selama ini.” Faiz menepuk-nepuk bahu Saiful.


Saiful tersenyum. “Menarik.”


Faiz bangun, seperti hendak pergi. Namun sebelum itu, dia bersuara:


“Oh ya, satu lagi. InsyaAllah pesaing utama kita pun akan menyertai pertandingan ini.”


Saiful mengangkat wajah, mendongak memandang Faiz. “Oh. Mereka bukankah sudah ditaja oleh syarikat besar?” Saiful sedikit hairan.


“Duit. Lagi banyak, lagi tidak cukup, untuk manusia yang merasakan dunia ini sebagai matlamatnya. Namun rasanya mereka masuk adalah kerana kita.”


“Huh?”


“Mereka ingin melihat sejauh mana kumpulan kita menjadi ancaman buat mereka.”


“Oh, jadi engkau nak sarankan apa kepada kami?”


Faiz tersenyum lebar. “Berikan tamparan keras kepada mereka, nyatakan bahawa kita tidak akan sesekali takut.”


Saiful tertawa.


“Pergi dahulu. Assalamu’alaikum.” Faiz mengangkat tangan, dan bergerak keluar dari bilik Saiful.


Tawa Saiful masih berbaki. Dia menjawab salam dalam tawanya, sambil matanya menghantar Faiz pergi.


Faiz, cool dari dulu sampai sekarang.


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2013 23:17