Hilal Asyraf's Blog, page 97
August 21, 2013
Poster: Momentum
August 20, 2013
English Column: “But you know what? We don’t care”
“But you know what? We don’t care”
Picture courtesy of TodayOnline.com
(Source: here)
As I scroll down the Mesir Kini Facebook page and other news portals, sadness follows me, arousing my lacrimal glands to secrete tears. The death poll is rising by the minute. As if there is no end to this madness.
What is happening in Egypt, for my personal opinion, is an extreme “Ikhwanophobia” (Fear of the Muslim Brotherhood) where Sisi and gang are grabbing this chance to exterminate all Brotherhood-related living Egyptians.
But the price in return is severe. When the massacre took place killing 800 plus protestors, they aren’t killing only the Brotherhood activists but everyone including innocent children.
Looking this tragedy, as if the killers pulling the triggers are saying “We know we are wrong. We know we aren’t civilized. We know and we know. But you know what, we don’t care.”
The anti-Morsi/anti-democracy/pro-Sisi has to accept the truth that, judging from the Egypt’s election 2012, they do not have the majority voice of the people. They don’t have the numbers. This is the proof that most Egyptians are against the coup.
It is true that, as a Malaysian, writing, condemning the coup d’état and ‘ethnic cleansing’ in Egypt will not reduce the rising shootings in Malaysia, it will not result in free education, it will not aid in the lessening or cancelation of high taxes, but it will affect the solidarity as a human being.
Recep Tayyib Erdogan bravely said “Let me say very clearly, the United Nations Security Council no longer has the right to look at itself in the mirror, it’s so ashamed, because it couldn’t condemn what’s happening in Egypt” (Source: here).
Reflecting on that, if we aren’t called to condemn the fallacy in Egypt, if we are chickened to criticize the retarded coup, do we dare look ourselves in the mirror and call ourselves human beings?
Still, the only leader ‘man enough’ to criticize, to condemn the misjudgment currently cleaning the streets of Egypt is the Turkish prime minister. Other leaders are either blatantly supporting the coup or keep on playing safe by being silent.
If the Malaysian government has condemned the occupation in Palestine, I believe many Malaysians are waiting for their government to do the same for Egypt, to recognize the status quo in Egypt is a coup and fight against it.
It would be ‘a dream come true’ if the Malaysian government goes hand in hand with the Turkish government to provide military support.
Right now, only Malaysian NGOs are voicing out their voiceless voices.
Supporting the anti-coup is a must not because we are fanatics of Morsi or the Brotherhood, but because it is undemocratic to topple a democratically elected leader.
August 19, 2013
Komik: Janji Allah itu pasti!
August 18, 2013
Himmah : Jangan Merasa Lemah, Janganlah Berdukacita !
~Pic by FB Mesirkini
Bagi sesiapa yang pernah menyelak helaian buku Ma’alim Fit Toriq ataupun dalam bahasa Melayunya, Petunjuk Sepanjang Jalan karya As-Syahid Sayyid Qutb, pasti akan menemui ayat Al-Quran berkaitan dengan tema perbincangan kita ini di dalam tajuk yang dinukilkan dalam bukunya itu, iaitu Keagungan Iman.
Ayat Al-Quran yang dimaksudkan adalah firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Imran, ayat 139 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah (pula) bersedih hati. Dan kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu orang-orang beriman.” [Al-Imran : 139]
Ayat ini berkait rapat dengan peristiwa Uhud, ketikamana tentera Islam mula alpa dan leka di saat mereka sudah mula mendapatkan kemenangan, maka tentera kuffar ketika itu mengambil peluang untuk menyerang balas semula mereka sehingga ramai di kalangan mereka mengalami kecederaan termasuklah Rasul s.a.w. yang mengalami kecederaan yang teruk.
Ayat ini menjadi pemujuk dan sumber kekuatan agar orang-orang beriman tidak berundur dari perjuangan mereka meskipun mereka mengalami banyak kerugian dan ramai yang mati syahid.
Perjuangan Sentiasa Ada Pahit Getirnya, Tidak Ada Perjuangan Yang Mudah
Perjuangan untuk menegakkan kebenaran tidak akan sentiasa mudah. Jalannya tidak dibentang karpet merah apalagi dihidang dengan anggur dan buah-buahan enak bagaikan para pembesar di istana. Bahkan, jalannya sentiasa akan dicabar dan diuji dengan pelbagai macam mehnah dan kesusahan.
Para Nabi, para sahabat, salafussoleh serta para pendakwah yang telah lebih awal mendahului kita, mereka telah menempuh kesusahan dan kepayahan itu. Barangkali ada yang syahid di pertengahan perjuangan, tidak sempat menyaksikan hasil akhir perjuangan, namun itu tidak pernah menjadi penyebab untuk mereka yang masih hidup berputus asa dan tidak meneruskan lagi perjuangan.
Nabi s.a.w. yang menjadi kecintaan para sahabatnya pun meninggalkan para sahabatnya sehingga para sahabat menangis kesedihan, sehingga Umar pun hilang pertimbangan untuk seketika kerana terlalu sedih, namun perjuangan Islam, dakwah Islam tetap diteruskan selepas itu. Tidak berhenti. Mereka tidak berhenti dan berputus asa meski Nabi tiada lagi di sisi.
Ketika mereka berjuang bersama-sama Nabi s.a.w., membawa risalah Islam di dalam masyarakat Makkah, bukan mereka tidak tahu yang mereka pasti akan menghadapi cabaran dan rintangan daripada masyarakat mereka. Namun, kerana cinta mereka kepada Allah dan Nabi-Nya mengatasi segalanya, maka tidak ada yang dapat menghalang mereka bersama dalam gerabak perjuangan Nabi s.a.w. untuk memahamkan manusia tentang Islam.
Ketika mereka berjuang juga, tidaklah mereka itu dapat mengagak yang satu hari nanti mereka akan dapat membuka dan membersihkan semula Kota Makkah, mereka juga tidak pernah diberitahu oleh Tuhan atau Nabi seawal mereka masuk Islam, bahawa kalau mereka ini bersama dengan perjuangan Islam, nescaya Allah akan memenangkan mereka di dalam Perang Badar dan banyak lagi peperangan yang lain. Natijah perjuangan itu mereka letakkan pada Allah dan mereka berusaha sekuat daya sehinggalah mereka mati di atas jalan perjuangan itu.
Tidak mudah untuk memiliki kekuatan jiwa sedemikian. Untuk tetap terus bertahan dan bersabar di medan perjuangan kala ujian, cabaran, tohmahan dan fitnah menghujani kita, ia perlukan lebih dari sekadar kekuatan tubuh fizikal.
Jangan Sampai Kelemahan Dan Kesedihan Membantutkan Perjuangan
Manusia bukan robot. Sekali-sekala berada dalam perjuangan sedemikian, ia pasti diuji dengan rasa lemah dan sedih.
Rasa lemah kerana kehilangan orang tersayang. Sedih kerana keluarga kesayangan telah syahid dalam perjuangan. Rasa lemah kerana diri cepat betul lalai ketika berseorangan. Rasa sedih kerana orang-orang yang lemah dan tidak bersalah terus-menerus dizalimi. Rasa lemah kerana memikirkan keterbatasan dan kemampuan diri. Rasa sedih kerana dunia muslim yang bergolak dan ramai pula muslim yang murah maruah dirinya.
Rasa lemah kerana usaha dakwah kita dikritik dan dihentam oleh orang. Rasa sedih kerana dakwah tidak bersambut.
Lantas, apakah dengan rasa sedih dan rasa lemah ini kita akan berhenti daripada meneruskan jejak perjuangan kita selama ini? Apakah rasa sedih dan lemah kerana ujian yang kita hadapi ini akan membunuh semangat dan kesungguhan kita dalam berjuang?
Maka, ayat 139 daripada surah Al-Imran yang telah disebutkan di awal tadi sangat signifikan sebagai pemujuk kala kita merasa lemah dan sedih.
Sayyid Qutb menyebutkan dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran berkaitan dengan ayat ini yang bermaksud :
“Sekiranya kamu adalah orang yang benar-benar beriman, maka janganlah merasa lemah dan merasa sedih. Adalah menjadi sunnatullah kita akan diuji dan teruji, dan bagi kamu itu ada kerehatan selepas jihad (bersusah-payah), ujian dan tapisan sebagaimana firman Allah :
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka maka mereka pun (pada perang badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membedakan antara orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kami dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim. Dan kerana hendak membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang kafir.” [Al-Imran : 140-141]
Penutup : Tetaplah Terus Mara Ke Depan !
Bila kita melibatkan diri dalam perjuangan Islam, bukanlah kita ingin mengutip habuan atau kepentingan untuk diri kita semata-mata.
Tetapi, kita melibatkan diri dalam perjuangan Islam adalah kerana kita ingin memenangkan Islam.
Kita tidak akan pernah tahu apakah hasil di hujung perjuangan itu. Kita memang mengharapkan kemenangan akhir adalah milik Islam, tetapi kita tidak akan pernah tahu apakah ketika kemenangan akhir itu dicapai, ia berlaku di zaman kita atau di zaman-zaman selepas kita.
Sebab itu, janganlah merasa lemah dan dukacita andai perjuangan kita sekarang tidak menampakkan hasil kemenangan yang besar. Kerana perjuangan Islam ini bersifat nafas panjang, maka kalau pun kemenangan itu tidak dicapai di masa kita, sekurang-kurangnya kita menjadi salah satu penyebab ke arah kemenangan itu yang mungkin berlaku pada zaman selepas kita.
Tetaplah terus mara ke depan.
Walau diuji, jatuh berkali-kali, jangan lelah untuk terus bangkit dan meneruskan jejak perjuangan.
Di kala kita menghadapi kesulitan di jalan perjuangan, pasti ada kemanisan dan kebahagiaan yang Allah hadiahkan.
Jangan lelah untuk terus mara ke depan !
August 17, 2013
Kehidupan: Merdekakah Kita?
Ogos sangat sinonim dengan kemerdekaan bagi rakyat Malaysia. 31hb Ogos ialah tarikh keramat buat kita semua, tarikh di mana kita melaungkan kemerdekaan negara kita dari cengkaman penjajah.
Saban tahun bila tiba musim kemerdekaan, akan ada wawancara daripada media bertanya kepada rakyat akan erti kemerdekaan. Ada yang menjawab ianya ialah kebebasan, ada yang menjawab ianya ialah tidak lagi perlu ikut telunjuk orang lain dan sebagainya.
Namun dalam keghairahan kita menyambut kemerdekaan negara ini, apakah kita pernah berhenti sebentar dan melihat diri, kemudian bertanya – merdekakah kita?
Kemerdekaan Yang Menyeluruh
Benar, penjajah telah tiada. Mereka telah pulang ke negara mereka. Hari ini negara kita diperintah oleh kita sendiri, anak watannya. Namun itu secara fizikal, secara luarannya.
Walaupun telah merdeka dari segi fizikal, kita dapat melihat bahawa minda dan jiwa kebanyakan rakyat Malaysia masih belum berjaya dibebaskan.
kita masih dicengkam oleh budaya yang tidak sihat, sama ada datangnya dari sikap turun temurun orang kita, atau datangnya daripada anasir luar. Kita seakan ‘terjajah’ dengan pelbagai trend hedonisme seperti KPop, dedah aurat, pergaulan bebas, style-style yang kita ambil bulat-bulat daripada anasir luar yang tidak sihat(gangsterisma contohnya)dan sebagainya.
Itu belum dikira penjajahan syaitan ke atas diri kita, dengan pelbagai perbuatan luar batas syara’ yang telah menjadi darah daging kita.
Maka, kita tanya diri kita semula, apakah kita telah merdeka sebenarnya?
Hamba, Tetapi Merdeka
Kita melihat hubungan kita dengan Allah SWT, sebagai sebuah hubungan yang terikat. Kita mempunyai batasan yang tidak boleh dilanggar. Kita hidup berperaturan apabila kita menjadikan Allah SWT sebagai Tuhan. Ada benda boleh dibuat, ada benda tidak boleh dibuat. Kerana kita ialah hambaNya.
Namun perhambaan kita kepada Allah SWT, ketundukan kita kepadaNya, menjadikan kita seorang yang merdeka. Kuat. Bebas. Berani. Tidak takut kepada yang lain selainNya.
Dapat kita lihat kekuatan ini pada Rib’i bin Amir, hanya seorang prebet, bukanlah seorang jeneral, dalam tentera Saad bin Abi Waqqas RA, saat Rib’i ini dihantar menghadap Rustum, seorang panglima bagi kerajaan Kaisar. Langsung tidak dia rasa terikat dengan kemegahan Rustum, lantas tidak dia menghina dirinya di hadapan Rustum dengan ketakutan. Tetapi dia berdiri megah, dengan rasa izzah(bangga) terhadap deennya, merdeka hingga kemegahan Rustum tidak mampu menundukkannya.
Dengan berani Rib’i bin Amir menyatakan kepada Rustum, kala Rustum bertanya apa yang sebenarnya bangsa Arab mahu: “Kami ini datang adalah untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan manusia terhadap Tuhan kepada manusia, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam,”
Merdeka.
Berani. Benar-benar dirasakan betapa Rustum langsung tidak punya kuasa ke atasnya, yang hanya berkuasa ke atasnya hanyalah Allah SWT semata-mata. Hamba kepada Allah SWT, tetapi hidup dengan jiwa yang sangat merdeka, hingga dia berani, mampu bersuara, mampu bertindak, dengan tindakan pilihannya yang diyakini dalam batas keredhaan Allah SWT.
Namun bagaimana kita?
Apakah kita telah memerdekakan diri kita? Atau suara kita masih perlu mengikut telunjuk kuasa lain, selain kuasa Allah SWT? Cara hidup kita, apakah masih ditentukan oleh selain Allah SWT? Merdekakah kita?
Memerdekakan Diri
Maka hendaklah kita berusaha memerdekakan diri, dengan tunduk kepada Ilahi. Bermula dengan memerdekakan minda dan jiwa kita, dengan menjadi generasi Iqra’, yakni generasi yang bergerak dengan kefahaman, bukan semata-mata emosional. Generasi yang digerakkan oleh iman, bukan semata-mata dengan nafsu dan perasaan. Maka di sana kita akan melihat sebuah kelapangan hidup, yang mampu menjemput senyuman pada bibir kita walau menghadapi kesukaran dan cabaran.
Lihatlah saudara-saudari kita di Mesir. Walau pembunuhan terhadap rakan-rakan berlaku, tidak pula mereka berganjak, bahkan lebih ramai yang turun untuk memberikan sokongan. Syahid menjadi satu benda yang realiti buat mereka, bukan sekadar status Facebook yang tidak memberi apa-apa makna. Kerana jiwa mereka merdeka. Mereka tahu jika mereka mati, Allah menerima mereka, maka apakah yang lebih cantik daripada itu? Lantas peluru pun tidak lagi dapat membendung mereka.
Merdeka sebenar-benar merdeka. Namun yang mampu menggerakkan ini, hanyalah jiwa yang benar-benar yakin, diproses dengan proses iman, yang faham akan tuntutan deen dan batas-batas syara’. Lantas diri mampu membuat pilihan yang tepat dan kena dengan tuntutan Allah SWT. Takut hanya takut kepadaNya. Taat hanya taat kepadaNya. Lantas, ugutan, ancaman, menjadi kecil buat mereka.
Maka hendaklah kita berusaha kuat mendidik diri dengan kefahaman, melatih tubuh kita dengan kekuatan, agar kita mampu menggapai kemerdekaan yang sebenar ini. Agar kita berjaya memerdekakan diri dari apa jua bentuk penjajahan, yang menghalang kita dari menjadi hamba Ilahi yang sejati.
Penutup: Lepaskan Ummat Dari Cengkaman, Bermula Dengan Diri Sendiri
Maka kita kembali kepada diri kita. Hendak memperbaiki ummah ini, tangga pertamanya yang perlu ditempuhi ialah diri kita sendiri. Maka kepada diri kita, kita melihat.
Gari-gari penjajahan apa lagi yang masih memasung kehidupan kita? Karat-karat jahiliyyah yang mana lagi yang masih menjadi darah daging kita? Justeru perlu kita putus dan kikiskannya. Dengan kemerdekaan inilah kita akan menjadi berani. Bukan sekadar saban tahun melaung merdeka, tetapi hakikatnya diri masih terbelenggu. Hidup dalam ketakutan. Hidup di bawah telunjuk manusia lain. Sekadar menjadi ayam daging yang tunggu untuk disembelih.
Baca, baca, baca, baca, baca!
Bermula dengan pembebasan minda, kita akan membebaskan jiwa dan diri kita, lantas membebaskan manusia yang lain pula.
Orang malas mudah duduk di bawah orang lain, manusia yang rajin pula bakal menjadi pemimpin.
Mari Menjadi Hamba yang merdeka!
August 16, 2013
Agama: Memahami permasalahan Qada’ dan Qadar.
Hari ini ramai yang tersalah dalam memahami erti qada’ dan qadar.Segala ketentuan telah ditetapkan, justeru mengapa perlu kita berusaha? Segala kesusahan telah diaturkan, jika kita tidak mampu bukankah ia suatu kezaliman? Mengapa kita ditentukan hidup susah sedangkan mereka yang lain bisa menikmati kesenangan?
Persoalan-persoalan begini biasa bermain di benak pemikiran kita.Soalan-soalan lazim di atas berlegar dalam penjara minda kita.Natijah, kita menjadi buntu. Mereka yang berusaha kembali semula kepada Allah, insyaAllah Dia akan tunjukkan jalan. Malangnya bagi mereka yang terpedaya dengan perasaan terjerat dengan segala perkara ditentukan akhirnya menyebabkan jiwa yang lemah mudah menyalahkan takdir atas perkara yang menimpa.
Demikian, bagaimana mungkin mengurai kekusutan yang bersarang dalam kotak pemikiran yang membungkam?
i- Segala perkara telah tertulis pada Allah
Setiap perkara yang berlaku di atas dunia telah diketahui dan di tulis dan menjadi rahsia Allah s.w.t. Ini adalah suatu perkara yang jelas yang perlu kita fahami jika tidak kita akan menyifatkan kekurangan pada Allah s.w.t kerana tidak mengetahui apa yang bakal terjadi (ghaib) sama ada rezeki manusia, ajal maut, dosa pahala dan juga pengakhiran manusia.
Apa sahaja yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah. Tatkala ditimpa musibah, diberi kenikmatan, semuanya dibawah kekuasaan Allah. Juga meski dalam keadaan apa sekalipun, gelap, cerah, samar-samar atau suasana yang aman, huru-hara ia akan berbalik kepada pengetahuan Allah. Allah berfirman dalam beberapa ayat dalam al-Quran:
Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.[Yunus:61]
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. [Al-An’am:59]
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. [Al-Hadid:22]
ii- Segala perhitungan yang ditetapkan adalah atas pilihan juga tidak menafikan asbab.
Sesungguhnya Allah menentukan mukadimah bagi suatu perkara sebelum Allah beri natijah.Allah tentukan sebab-sebab sebelum ditentukan sesuatu kejadian tetapi bergantung kepada pilihan manusia atas kesungguhan usaha. Allah tidaklah menentukan bagi orang-orang yang ingin berjaya perlu melalui sekian-sekian cara untuk mencapai apa yang dicita, tetapi Allah tentukan bahawa orang yang berusaha bersungguh, dan sabar akan berjaya. Inilah ketetapan Allah yang sebenar.
Ketentuan ini adalah pilihan yang mana natijah baik dan buruk adalah berbalik kepada diri kita sendiri.Sebagai contoh dalam lembaran sejarah ketika wabak penyakit berleluasa di Syam, Umar Al-Khattab telah bermesyuarat bersama para sahabatnya untuk tidak memasuki Syam ketika itu dan kembali bersama orang-orang islam. Umar ditanya: “adakah engkau melarikan diri daripada qadar Allah wahai Amirul Mukminin? Beliau menjawab: “ Ya kita lari daripada qadar Allah kepada qadar Allah yang lain. Apa pendapat kamu ketika berada di atas dua jenis tanah iaitu yang subur dan kering. Bukankah kamu akan usahakan yang subur atas qadar Allah dan jika kamu usahakan yang kering juga atas qadar Allah?
Dalam situasi ini kita melihat meski dua perkara yang mana manusia itu sebenarnya diberi pilihan dan akan dipertanggujawabkan ke atas pilihannya. Saya kira apa yang berlaku di Mesir hari ini, kita boleh beranggap jika sebahagian rakyatnya tidak menjatuhkan presiden mereka, Mursi, mungkin keganasan tidak berlaku.Adapun sudut keganasan tentera perlu kita kutuk sekeras-kerasnya kerana membunuh mereka yang tidak berdosa.
Tetapi jangan kita melihat suatu peristiwa dengan pandangan manusia, tetapi lihat dengan hikmah Allah. Mungkin Allah ingin menguji sahabat-sahabat kita di sana dan Allah mahu ganjarkan mereka syurga atau mungkin juga Allah ingin jatuhkan saki-baki kebusukan hati puak tentera apabila rakyat Mesir menang nanti dengan izin-Nya. InsyaAllah terus panjatkan doa kepada mereka.
Sebab itu, ujian seberat manapun, diuji dengan peperangan, kemalangan, kematian, kemiskinan dan sebagainya tidak boleh dinilai dari hati yang emosional atau sekadar pemikiran yang rasional (logic).Ia perlu pada kita cuba menyingkap hikmah daripada ujian yang diberikan dengan harapan ada ganjaran atau perkara yang lebih baik yang menanti di hadapan.
iii- Qadar Allah tersembunyi
Suatu perkara yang perlu kita jelas adalah ketentuan Allah tersemat rapi dalam pengetahuan-Nya daripada sesiapa sahaja makhluk. Kita tidak tahu apa-apa yang ditentukan oleh Allah kecuali selepas ia berlaku. Selagi belum berlaku, kita diminta untuk mengikut sunnah Allah (berusaha) dan pengarahan syarak supaya memperoleh kebaikan dunia dan akhirat.
Sunnah Allah pada alam ini mewajibkan kita mengambil sebab-sebab sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah.Baginda bersikap waspada dalam menyiapkan angkatan tentera, serta pengintip, pemakaian alatan perang, meletakkan pasukan pemanah di bahagain hadapan, menggali parit sekeliling Madinah dan beberapa perkara lagi untuk memastikan setiap perjalanan bergerak lancar.
Baginda juga meletakkan strategi-strategi yang tertentu bagi setiap posisi sebagai langkah atau usaha.Jika kita menilai mertabat baginda pada sisi Allah, bukankah lebih mudah Allah tentukan kesemuanya dengan kemenangan tanpa ada perancangan. Tetapi hebatnya Allah dan rasul-Nya mendidik manusia untuk sentiasa merancang dalam apa jua urusan dan mengikut sunatullah yang lain.
Seseorang pernah bertanya kepada baginda s.a.w:
“adakah perlu ditambat unta atau dibiarkan dan bertawakkal? Baginda menjawab: “Tambatlah kemudian bertawakkal.
Jika kita rujuk semula sejarah Isra’ dan Mi’raj mengapa perlu baginda menambat buraq (binatang tunggangan baginda) ketika baginda singgah solat di Baitul Maqdis?Tidakkah buraq itu yang datang menjemput baginda untuk bertemu Allah? Justeru adakah perlu menambat kerana mungkinkah ia akan lari meninggalkan nabi?
Di sini kita lihat, betapa penting mengikut sunatullah dalam kita memahami dan mempercayai konsep qada’dan qadar dengan sebaiknya. Tambahan, mungkin ibrah yang lain baginda mengajar kita supaya menjaga harta benda kita terutama ketika kita dalam keadaan bermusafir.
iv- Iman dengan qada’ qadar tidak menafikan amal
Sebagaimana yang telas dijelaskan amal manusia dalam mencapai cita-cita adalah suatu proses ketentuan Allah. Ia amat penting kerana ia menafikan alasan kepada manusia yang berlengah-lengah dan malas meletakkan segala kesempitan, bebanan, kesalahan dan kesilapan kepada qadar Allah. Sekiranya ia tidak berjaya menggapai apa dihajati, maka ia disebabkan sifatnya itu dan lari kepada tanggungjawabnya.
Dr Iqbal (rahimahullah) telah berkata:
Muslim yang lemah akan berhujah dengan qadar Allah dan qada’Nya dalam banyak perkara terutama keburukan yang menimpa dirinya. Tetapi muslim yang kuat pula meyakini bahawa perkara yang berlaku itulah qada’dan qadar-Nya yang tidak dapat ditolak. Inilah pegangan generasi muslim yang pertama.
Sebab itu antara zikir yang diajarkan oleh nabi s.a.w supaya kita benar-benar meyakini segala ketentuan Allah ialah:
Ya Allah! Tidak ada penghalang jika engkau ingin berikan sesuatu kepadaku, dan tidak ada pemberi jika menghalang sesuatu daripadaku.
Dalam sebuah sirah seorang lelaki telah kalah dalam suatu perbahasan di hadapan Rasulullah s.a.w . Lalu dia berkata: “Allah telah menentukan bahagianku.” Nabi s.a.w memarahinya kerana berkata demikian kerana kata-kata itu pada zahirnya menggambarkan iman tetapi batinnya menampakkan kelemahan. Sabda baginda s.a.w: “Allah membenci orang yang lemah, tetapi apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: “bahagian Aku ditentukan Allah.”
v- Berserah kepada Allah setelah mengambil sebab
Manusia hanya mampu berusaha. Berbagai cara. Semuanya adalah sebab bagi manusia peroleh kebaikan di dunia dan akhirat.Justeru, manusia perlu terus berusaha tanpa putus asa, mempunyai keazaman yang kukuh, keberanian ketika menghadapi bahaya dan sabar ketika berlaku pertembungan.Inilah lambang penyerahan yang sebenar. Bukan beerti penyerahan maka henti berusaha, tetapi gandakannya dengan pautan doa.
Kesimpulan: Allah tidak zalim
Jangan pernah sekali terlintas dalam pemikiran kita apabila kita ditimpa musibah dan melihat orang lain gembira dengan nikmat kita cepat salahkan bahawa Allah adalah zalim. Selain daripada salah ia menggambarkan iman kita lemah. Sungguh Allah tidak pernah zalim. Mungkin kita ditimpa derita tetapi disebaliknya ada bahagia tidak di dunia pastinya diakhirat sana.
Justeru, tidak patut seseorang itu berputus asa dengan qadar Allah, tetapi hendaklah dia berusaha dengan penuh kesungguhan dan setakat kemampuan dan setelah itu barulah berkata:
“inilah qada’ Allah.”
August 15, 2013
Kehidupan: Ramadhan Yang Dilupakan.
Ramadhan telah meninggalkan kita beberapa hari. Kita bergembira dengan Eidul Fitri, seterusnya resam orang melayu, rayanya hingga 30 hari, dan kadang lebih. Tidak salah, selagi mana cara beraya itu tidak melibatkan perkara yang melanggar syariat. Pada saya, ziarah menziarahi, rumah terbuka dan sebagainya memang satu perkara yang sepatutnya menjadi kebiasaan.
Namun apa yang ingin saya bangkitkan kepada kita di dalam artikel ini ialah berkenaan tarbiyah, didikan, proses, yang telah kita lalui sepanjang Ramadhan.
Apakah kita masih mempraktikkannya, atau kita telah melupakannya?
Ramadhan Yang Mendidik
Ramadhan telah mendidik kita bahawa bulan tersebut ialah bulan ibadah. Setiap saat dan detik yang berlalu pada bulan tersebut, ditawarkan dengan pahala yang berganda-ganda. Perbuatan sunat dipahalakan dengan pahala wajib, manakala perbuatan wajib digandakan dengan 70 pahala wajib.
Lantas, kala Ramadhan, kita berlumba-lumba menambah amal. Dari jarang sentuh Al-Quran, kepada selalu membacanya. Dari malas nak solat fardhu, sampai mampu bangun buat tarawih berakaat-rakaat. Dari tak pernah nak bersedekah, jadi rajin memberi.
Begitulah Ramadhan mengubah kita.
Kita juga dididik bahawa Ramadhan bukan hanya bulan berlapar dahaga. Puasa itu bukan semata-mata puasa perut. Tetapi juga puasa mulut dari berkata perkataan yang buruk, mengumpat keji dan maki, puasa telinga dari mendengar kata dan bicara yang tidak senonoh, puasa mata dari melihat benda yang Allah larang, puasa kaki dari pergi ke tempat maksiat, puasa tangan dari melakukan perkara yang dibenci Allah SWT. Atau jika tidak, maka puasa kita hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata.
Maka kita pun menjadi begitu peka dan sensitif. Saban hari saya melihat ramai orang merungut berkenaan bazar Ramadhan yang pastinya membuatkan mereka terlihat orang yang tidak menutup aurat. Sensitif!
Ramadhan Yang Dilupakan?
Namun apa yang berlaku selepas Ramadhan?
Bagaimanakah dengan amalan ibadah kita? Bagaimana kita dalam menjaga diri kita dari maksiat dan kemurkaanNya?
Persoalan-persoalan yang sepatutnya kita tanya kepada diri.
Jika kita tidak mengalami apa-apa peningkatan, perubahan, selepas melalui sebulan Ramadhan, maka nyatanya ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita. Tandanya, tarbiyah, didikan Ramadhan tidak memberikan kesan kepada jiwa kita.
Kita sebenarnya telah menyembah Ramadhan, bukannya menyembah Allah SWT.
Sepatutnya tidak begitu. Tuhan kita ialah Allah SWT. Ramadhan adalah hadiah daripadaNya. Kita sepatutnya menghargai hadiah itu, mempertingkatkan diri, seterusnya keluar dari Ramadhan dengan membawa beberapa peningkatan kepada diri.
Untuk apa?
Untuk terus mengharungi kehidupan ini!
Taqwa sebagai bekal, apakah kita telah mendapat bekalan itu?
Sebaik-baik bekal ialah taqwa.
“Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)” Surah Al-Baqarah ayat 197.
Ayat ini turun untuk mereka yang mengerjakan Haji. Awal ayat ini diterangkan arahan dan larangan Allah SWT terhadap mereka. Akhirnya ditutup dengan ayat di atas.
Ianya juga boleh diaplikasikan di dalam kehidupan kita, bahawa di dalam kehidupan ini jelas wujud perintah dan larangan daripada Allah SWT. Maka sebagai hambaNya, kita perlu memenuhi dan mematuhinya. Hanya dengan taqwa sahaja, kita akan mampu mengharungi kehidupan ini dengan diredhai Allah SWT. Kerana Taqwa itu tunduk dan patuh, takut, kepada Allah SWT.
Di dalam kehidupan kita, setahun sekali, Allah SWT memberikan kepada kita Ramadhan. Taqwa menjadi ijazahnya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.
Maka apakah kita telah mendapatkan taqwa ini sepanjang melalui Ramadhan? Jika benar, ianya akan terbukti dengan sikap dan tindakan kita sekarang, selepas berakhirnya Ramadhan.
Maka bagaimana kehidupan kita sekarang?
Penutup: Ramadhan Mungkin Tidak Datang Lagi.
Telah berlalu Ramadhan, pergi meninggalkan kita buat tahun ini. Tahun hadapan Ramadhan akan datang lagi, selagi belum kiamat. Tetapi kita belum tentu akan ada.
Mati itu tidak bertanda, ajal datang tidak bersama amaran.
Sebaiknya kita muhasabah semula Ramadhan yang telah meninggalkan kita. Apakah Ramadhan itu terbazir, atau kita berjaya membawa sesuatu keluar daripadanya?
Marilah sama-sama kita bermuhasabah. Jangan lupakan segala tarbiyah yang kita lalui. Jadikanlah Ramadhan sebagai muhasabah dan semangat mempertingkatkan diri kita hari ini. Kita berjaya melaksanakan kebaikan, menjauhi kejahatan di dalam bulan Ramadhan, insyaAllah kita akan berjaya melaksanakannya di luar Ramadhan.
Sama-sama kita menggerakkan ketaqwaan yang kita kumpul sepanjang melalui Ramadhan!
Jangan lupakan Ramadhan kita.
Mari Menjadi Hamba!
August 14, 2013
Umum : Mengutuk Tragedi 14 Ogos 2013 Di Mesir
1) Kita berdukacita dengan peristiwa tragis yang menimpa rakyat Mesir semalam, 14 Ogos 2013. Peristiwa yang telah menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat Mesir dan telah menyebabkan puluhan ribu kecederaan itu adalah antara peristiwa terburuk dalam sejarah kemanusiaan. Kami di LangitIlahi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan yang telah dilakukan oleh tentera Mesir di bawah pemimpin kudeta, Jeneral As-Sisi terhadap rakyat Mesir yang sepatutnya dilindungi oleh mereka.
2) Mesir sesungguhnya adalah bumi yang termaktub namanya di dalam Al-Quran. Di bumi ini, pernah dinukilkan kisah pemerintah yang baik sebaik Yusuf a.s. dan juga pemerintah yang zalim sezalim Firaun. Suatu ketika, Nabi Yusuf a.s. yang memegang tampuk pemerintahan di Mesir ketika itu pernah mengucapkan kepada keluarganya saat kedatangan keluarganya ke Mesir,
“Masuklah kamu ke negeri Mesir, InsyaAllah dalam keadaan aman.” [Yusuf : 99].
Pemerintah yang baik adalah pemerintah yang berusaha mewujudkan suasana aman di dalam hati rakyatnya dan di negaranya. Apa yang telah dilakukan oleh tentera dan kumpulan kudeta mereka pada hari ini di Mesir telah menyebabkan rakyat menderita dan kehilangan rasa aman. Firaun ketika mahu memperlakukan Mesir sesuka hatinya telah mengatakan dengan penuh rasa bongkak :
“Wahai kaumku ! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Apakah kamu tidak melihat?” [Az-Zukhruf : 51].
Walaupun di bawah pemerintahan Firaun, ramai orang tidak bersalah dibunuh, namun pengakhiran hayat Firaun telah menjadi bukti pembalasan Allah s.w.t. kepada orang yang zalim.
3) Dunia Islam mengutuk tindakan zalim yang dilakukan oleh regim Zionis terhadap penduduk di Palestin, namun menjadi suatu peristiwa yang mendukacitakan bilamana pemerintah yang berwajah Islam di negara Islam seperti Mesir dan Syria melakukan tindakan yang lebih tragis berbanding Zionis dengan membunuh rakyat mereka sendiri. Harus kita persoalkan tindakan pemimpin negara Arab yang lain seperti Arab Saudi dan UAE yang telah mengucapkan tahniah atas peristiwa kudeta pada 30 Jun lepas yang kini berdiam diri atas peristiwa pembunuhan tragis yang menimpa rakyat Mesir. Di manakah mereka yang telah mengucapkan tahniah kepada rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera Mesir hari ini? Apakah darah dan nyawa rakyat biasa yang berkumpul di Medan Rabaah dan An-Nahdah ini lebih murah nilainya berbanding nyawa tentera? Sesungguhnya tidak ada perbezaan nilai antara darah rakyat dan tentera melainkan kemuliaan darah itu pada siapa yang lebih adil dan lebih taqwanya di sisi Allah.
4) Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan zalim dengan menggunakan peluru hidup, rifel mahupun apa jua senjata ketenteraan dalam meleraikan penduduk Mesir di Medan Rabaah Adawiyah dan dataran-dataran yang lain kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan mungkin mengundang konflik yang lebih besar sebagaimana yang terjadi di Syria. Akan terjadi lebih banyak pembunuhan dan rakyat tidak akan semakin tunduk bila mereka dizalimi, bahkan mereka mungkin akan bangkit lagi. Pihak tentera yang melakukan kudeta ini sepatutnya bertanggungjawab atas rakyat selepas rampasan kuasa yang mereka sendiri lakukan, bukan dengan membunuh dan melukakan lebih ramai rakyat di bawah pimpinan haram mereka. Tindakan membunuh rakyat ini hanya menimbulkan lagi semangat dan perjuangan mereka untuk menuntut keadilan bagi sebuah proses demokrasi. Penyelesaian yang wajar adalah dengan mengembalikan semula mandat pemerintahan ini kepada hasil proses demokrasi yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
5) Kepada media-media perdana khususnya di Malaysia, berlaku adillah dalam menyebarkan berita tentang apa yang berlaku di Mesir. Dukacitanya jika pembunuhan yang telah berlaku secara kejam ini ditambah lagi pula dengan sikap berat sebelah media-media perdana dalam menyiarkan khabar tentang hal ini. Janganlah media-media perdana menambahkan lagi kelukaan yang ada dengan menyebar berita-berita palsu serta menyebelahi mereka yang melakukan kezaliman.
6) Kami berasa terkilan dengan golongan yang tidak konsisten dengan perjuangan demokrasi yang mereka sering canangkan. Sewaktu Morsi memerintah, golongan inilah yang menggalakkan demonstrasi menentang Morsi atas nama demokrasi, bahkan ditambah lagi dengan segelintir daripada mereka yang bertindak agresif dengan membakar pejabat Ikhwanul Muslimin dan membunuh rakyat tidak berdosa ketika itu. Namun, mereka bersikap sebaliknya pula apabila rakyat turun berdemonstasi, dalam keadaan AMAN pula, menentang kezaliman Jeneral As-Sisi dan pihak tentera yang merampas kuasa dan membunuh pula rakyat Mesir. Dalam keadaan Mesir yang begitu kritikal dari sudut ekonomi, iklim politik dan sosialnya, apakah golongan yang dinamakan sebagai tamarrod ini tidak dapat berfikir dengan wajar akan kesusahan untuk membaikpulih semula keadaan Mesir dalam tempoh tidak sampai setahun pemerintahan Morsi?
7) Akhirnya, kami merakamkan jutaan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan menjadi syuhada’ dalam peristiwa tragis di Mesir ini. Semoga Allah mengumpulkan mereka di syurga. Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama berdoa untuk saudara-saudara kita di Mesir. Bagi mereka yang berkesempatan, sertailah solat dan munajat perdana yang dianjurkan di tempat-tempat tertentu. Usahakan apa yang termampu untuk membantu mereka. Peristiwa Mesir adalah satu peringatan buat muslim di seluruh dunia agar kita tidak lalai untuk terus mempertingkatkan diri, membaiki hubungan kita dengan Allah serta meningkatkan persediaan kita dalam menuju kemenangan Islam.
Semoga Allah membantu dan menguatkan mereka.
Pic by FB Mesirkini.
~Afdholul Rahman CA~
[Ketua Bahagian LangitIlahi.com]
Kehidupan: Aidilfitri di Kanada
Tahun ini merupakan tahun pertama saya meraikan Aidilfitri di Kanada. Ini juga merupakan kali pertama saya beraya tanpa keluarga di sisi, sekadar beraya melalui Skype sahaja.
Tetapi Alhamdulillah, Aidilfitri tetap menjadi satu celebration. Perasaan sedih merindui keluarga diganti dengan perasaan gembira bersama rakan-rakan.
Hari Raya Bukan Hari Cuti Rasmi
Di Kanada, hari raya bukan hari cuti kebangsaan seperti di Malaysia. Jadi, jika hari raya jatuh pada hari minggu maka para Muslim di sini akan beraya di tempat kerja atau di dalam kelas. Akan tetapi, adalah menjadi hak rakyat untuk meminta cuti daripada majikan atas sebab agama maka ada antara mereka yang meminta cuti pada hari raya. Bagi para pelajar, hadir atau tidak ke kelas tidak akan diperiksa oleh professor jadi mereka boleh memilih sama ada untuk ponteng (sebab hari raya) ataupun tidak. Tetapi jika hari raya jatuh pada hari exam, maka pelajar boleh meminta religious accommodation daripada pihak universiti.
Hari raya tahun ini jatuh pada hari minggu dan jatuh pada hari di mana saya mempunyai tiga kelas. Nak ponteng kelas boleh, tapi kalau saya miss ketiga-tiga kelas ini (setiap satu kelas padat dengan informasi), saya rasa susah untuk saya catch up. Jadi, saya sambut hari raya pertama saya dalam kelas. Tetapi, saya tiba-tiba diserang dengan rasa pening yang berdenyut-denyut pada hari itu, sampaikan saya tidak mampu untuk duduk dengan aman dalam kelas pertama saya. Maka saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidur.
Mungkin Allah nak saya ambil cuti sempena raya. Alhamdulillah.
Solat Raya
Alhamdulillah, sebelum kelas pertama saya bermula (dan sebelum rasa pening kepala datang menyerang), saya berpeluang untuk solat raya dalam kampus yang diorganisasikan oleh Muslim Students’ Association di sini. Solat rayanya amatlah simple, dengan kehadiran kurang daripada 10 orang. Tetapi, pengisiannya padat dan membina.
Takbir Raya
Takbir raya di sini tidak seperti di Malaysia. Kalau di Malaysia, lenggang-lenggok suara orang yang mentakbir terasa seperti pertandingan nyanyian. Masha Allah! Tambah pula dengan alunan sayu yang seolah-olah sudah menjadi stereotype takbir raya Malaysia. Takbir raya di sini tidak seperti itu. Takbirnya straightforward tanpa alunan yang ditarik panjang-panjang. Takbirnya tidak sayu dan tidak juga bersemangat seperti ingin berperang – sedang-sedang sahaja. Saya masih ingat lagi seorang rakan saya mengatakan bahawa dia tidak mampu follow dengan takbir ala Malaysia kerana memerlukan nafas yang panjang.
Suasana
Dari segi suasana hari raya, Malaysia terasa lebih meriah. Di sini, suasana hari raya tidak ada bezanya dengan suasana hari-hari biasa. Tanpa kehadiran rakan-rakan Muslim, suasana hari raya mungkin tidak ada langsung bagi saya kerana untuk celebrate, paling kurang kena ada dua orang bukan? Maka saya bersyukur kerana saya punyai rakan-rakan untuk beraya bersama.
Tatkala berjumpa, kami akan berpelukan dan mengucapkan “Eid Mubarak!” kepada satu sama lain. Kami akan bersembang tentang Ramadhan yang telah berlalu dan tentang pelan hari raya masing-masing. Bagi yang mempunyai keluarga di sini, hari raya pertama akan diluangkan bersama keluarga. Selepas itu, barulah mereka akan luangkan masa bersama rakan-rakan.
Rumah Terbuka
Konsep rumah terbuka di sini tidak sama seperti di Malaysia. For one thing, istilah “open house” di sini memberi makna yang berbeza. Open house di sini bermaksud rumah yang dibuka untuk dijual. Saya discover trivia ini semasa berbual dengan rakan-rakan Kanada tentang open house di Malaysia ketika hari raya aidilfitri; mereka agak keliru dengan penggunaan istilah open house saya.
Pada hari raya ketiga, saya berpeluang untuk menghadiri rumah terbuka oleh dua buah keluarga Melayu di Kanada – satu keluarga berasal daripada Malaysia dan satu lagi berasal daripada Singapura. Saya lihat kepelbagaian dalam demografik mereka yang meraikan hari raya bersama-sama – Melayu, Cina, India, mat salleh, Nigerian, Muslim, dan bukan Muslim. Saya kagum kerana semua boleh berada di bawah bumbung yang sama dan meraikan hari raya bersama-sama.
Konklusi
Sambutan Aidilfitri di Kanada amat menarik walaupun tidak semeriah di Malaysia. Pengalaman ini membuatkan saya menghargai apa yang saya ada di tanah air saya sendiri. Of course, tanah air saya tidak sempurna. Ramai antara kita yang boleh mencari kelemahan dan kekurangan negara sendiri dengan begitu mudah, tetapi apabila ditanyakan apa yang baik tentang negara sendiri, harus berfikir sejenak. Dalam kita memberikan kritikan membina kepada negara sendiri, jangan kita lupa akan segala nikmat yang sedia ada. Mungkin ia begitu rutin sehinggakan kita tidak sedar.
Buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Allahua’lam.
p/s: Jangan lupa puasa enam dalam bulan Syawal!
Aiman Azlan
14 Ogos 2013
Mississauga, Canada
Poster: Shaken
Or do you think that you will enter Paradise while such (trial) has not yet come to you as came to those who passed on before you? They were touched by poverty and hardship and were shaken until the Messenger and those who believed with him said,“When is the help of Allah?” Unquestionably, the help of Allah is near.
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
(Al-Baqarah, 2: 214)
Terus doakan saudara-saudara kita di Mesir yang sedang diuji Allah dengan ujian yang sangat dahsyat!