Hilal Asyraf's Blog, page 98
August 8, 2013
Himmah : Menyambut Syawal Tanpa Menanggalkan Peribadi Rabbani
Berakhir sudah bulan pesta ibadah bagi orang-orang beriman.
Kata sesetengah orang, puasa dah sebulan, raya mestilah sebulan juga.
Betulkah begitu?
Sebetulnya, raya Eidulfitri hanya sehari saja iaitu pada 1 Syawal. Selebihnya hari-hari dalam Syawal tidaklah dikira sebagai hari perayaan yang diiktiraf di dalam hadis Rasul s.a.w. Tinggal lagi, adat kita orang-orang Melayu yang biasa meneruskan ziarah dan berkunjung ke rumah saudara-mara di hari-hari dalam Syawal. Maka, seakan-akan ada yang beranggapan raya adalah sebulan juga.
Adat yang baik ini tidak ada masalah untuk diteruskan selama mana tidak dilakukan apa-apa yang bercanggahan dengan syariat Islam. Tinggal lagi, ia tetap adalah bukan perayaan di dalam Islam.
Memelihara Peribadi Rabbani Di Syawal
Berkunjung, berziarah dan memberikan hadiah di Syawal ini adalah suatu amalan yang baik. Namun, amalan ini akan bertukar menjadi tidak baik bila dicemari dengan dosa dan maksiat.
Sebab itu, Eidulfitri dan Syawal ini hendaklah disambut tanpa ditanggalkan peribadi Rabbani, peribadi yang takutkan Allah dan merasakan Allah sedang melihat tindakannya.
Janganlah kita cemarkan Eidulfitri dan Syawal yang mulia ini dengan mencari kemurkaan Allah.
Kita telah berusaha selama sebulan di dalam Ramadhan untuk mengejar keampunan dan rahmat Allah, maka apakah dengan mudah-mudah kita mahu mengundang murka-Nya pula setelah sehari beraya?
Tidak ada masalah untuk kita berhibur dan bergembira di Syawal ini, tetapi hendaklah dalam keadaan memelihara batas-batas suruhan dan larangan Allah.
Kita telah diciptakan oleh Allah, diberikan segala nikmat oleh Allah, maka kita adalah hamba-Nya. Mustahil untuk kita memilih waktu yang mahu untuk kita menjadi hamba-Nya. Kita adalah hamba Allah full time, tanpa musim, 24 jam sehari. Maka untuk itu, mari kita tetap menjadi hamba yang sejati, beribadah terus tanpa memilih bulan atau hari agar beroleh makna bahagia hakiki di sisi Ilahi nanti.
Oleh itu, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut agar kita tidak terlanjur melanggar syariat Allah :
1) Jaga waktu solat. Di kesibukan bersama saudara mara dan menghadiri jamuan makan, jangan abaikan tuntutan solat fardhu.
2) Berpakaian menutup aurat dengan baik bagi wanita. Elakkan berpakaian ketat atau terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh.
3) Perayaan bukan tanda kita bebas untuk melakukan apa saja termasuk berhubung dan bersentuhan sesuka hati dengan bukan mahram. Oleh itu, elakkan pergaulan bebas, membonceng motosikal, menaiki kenderaan dengan bukan mahram.
4) Menjaga kesihatan. Tidak ada masalah untuk makan minum dan menghadiri jamuan, tetapi berusahalah memberikan perhatian kepada keadaan kesihatan kita agar kita tidak diserang oleh penyakit-penyakit yang berbahaya seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Usahakan sekiranya berkemampuan untuk melakukan exercise atau jogging di musim perayaan ini.
5) Jangan memberat-beratkan sahabat-sahabat atau saudara-mara kita yang mungkin tidak begitu berkemampuan untuk menyediakan hidangan atau memberi duit raya di bulan Syawal ini. Bawalah hadiah ke rumah mereka sekiranya kita pergi menziarahi mereka. Eidulfitri ini kita mahu eratkan silaturahim sesama insan, maka janganlah sampai mereka merasa terbeban pula dengan kedatangan kita.
Ada banyak lagi perkara lain yang mungkin tidak sempat disentuh di sini. Tetapi dengan sensitiviti iman serta mengetahui perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah, maka kita sepatutnya tahu bagaimana memelihara diri kita di musim perayaan ini.
Agar Iman Tidak Terkorban, Agar Taqwa Terus Utuh Di Jiwa
Ramadhan yang kita lalui telah kita usaha bersungguh-sungguh di dalamnya untuk kita bina keimanan, bina rasa dekatnya jiwa kita dengan Allah, membersihkan diri kita dari segala dosa.
Maka, jangan dikorbankan segala usaha ini dengan sambutan perayaan yang penuh kemaksiatan.
Ramadhan adalah kilang yang membekalkan senjata dan kelengkapan kekuatan untuk 11 bulan yang akan datang.
Kalau di stesyen Syawal saja kita sudah kehilangan hampir separuh bekalan kita, bagaimana mungkin kita bisa bertahan dengan baik di bulan-bulan akan datang.
Justeru, Syawal ini biarlah kita sambut dalam keadaan ia menjadi ibadah di sisi Allah s.w.t.
Bersilaturahim, menceriakan mereka yang dalam kesusahan, ziarah-menziarahi, memberi hadiah dan buah tangan serta sebagainya lagi, biarlah semua itu menjadi sesuatu yang bernilai ibadah di sisi Allah.
Agar ia tak jadi rutin tahunan semata-mata, tetapi memberikan impak kekuatan kepada jiwa kita untuk terus istiqamah dalam mentaati Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.
Maka, diriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w. yang telah mengingatkan kita akan salah satu stesyen langsung untuk membantu memelihara momentum ibadah kita di dalam Ramadhan iaitu puasa enam.
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” [Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll].
Puasa enam adalah salah satu penerusan yang baik setelah Ramadhan agar kita tidak terus melupakan apa yang telah kita lalui sepanjang Ramadhan. Sempatkanlah diri kita untuk melakukannya sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa keuzuran.
Penutup : Kita Berhibur Dan Bersukaria Tetapi Dengan Menghormati Limitasinya
Kita berhak berhibur dan bersukaria di dalam Syawal ini, tetapi biarlah dalam keadaan kita menghormati limitasi yang telah Allah gariskan.
Dihadiahkan oleh Allah dengan Eidulfitri ini pun adalah suatu hadiah yang sudah dikira besar.
Hiburan dan kegembiraan sebenar bagi mukmin adalah ketika kita bertemu Allah s.w.t. nanti, di mana saat itu sang mukmin telah meredhai Allah sebagai Rabbnya dan Allah pun telah redha kepada hamba-Nya itu, lalu dimasukkannya ke dalam syurga.
Apakah kegembiraan yang lebih besar daripada itu?
Maka, di dunia ini, kita bekalkan diri kita dengan keimanan dan ketaqwaan, mempersiapkan jiwa kita dengan ketaatan dan ketundukan kepada-Nya supaya di akhirat nanti kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan perayaan yang lebih indah, berkali ganda indahnya daripada apa yang sedang kita nikmati hari ini.
Itulah dia perayaan mukmin yang berjaya !
Berjaya kerana mentaati Tuhannya ketika di dunia.
Berjaya kerana bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya sebagai hamba Allah.
Berjaya kerana telah membekalkan dirinya sebaik-baik bekal iaitu taqwa.
Ketika itu, berhiburlah dan bersukarialah sesuka hati kita. Tidak ada halangan dan limitasi apa lagi.
August 7, 2013
Umum: Perutusan Aidilfitri 1434H Daripada Pengasas LangitIlahi.Com
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Yang Maha Besar, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, yang telah memanjangkan umur kita hambaNya hingga ke hari ini, yang telah memberikan peluang untuk kita melalui sepenuhnya tarbiyah Ramadhan, hanya kepadaNya kita tunduk dan menyembah. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, yang telah berkorban, memerah peluh dan darah, untuk membawakan nikmat Iman dan Islam kepada kita hari ini, hingga kita dapat merasai manisnya tarbiyah Ramadhan dan indahnya Eidul fitri.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.
Telah berlalu Ramadhan daripada kita. Jika umur panjang, tahun depan akan bertemu lagi. Namun rahsia umur bukan dipegang oleh manusia. Allah jualah yang mengetahui bila tarikh kematian kita. Maka ada kemungkinan Ramadhan yang berlalu semalam itulah yang terakhir. Semoga Allah mengampuni kita.
Sesungguhnya sesiapa yang bertuhankan Ramadhan, maka Ramadhan telah pergi dan tidak kekal sepanjang masa. Namun barangsiapa yang tuhannya ialah Allah, Allah itu kekal dan tidakkan akan tiada. Maka kepada manusia yang ingin kembali kepada Allah SWT, jangan sesekali berputus asa. Kepada yang berbuat kebaikan, jangan terhenti kebaikannya. Teruskan berusaha. Sesungguhnya Allah SWT itu tidak mati, tidak tidur, tidak juga Dia lupa.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.
Tahun ini, merupakan tahun keenam LangitIlahi bergerak. Alhamdulillah. Kami terus mengharapkan doa dan sokongan daripada pembaca sekalian. Sesungguhnya perjalanan hendak menggapai syurga Allah SWT itu panjang. Pertamanya hendaklah kita memperbaiki diri. Dan memperbaiki diri itulah perjuangan yang sukar. Namun sebagai hamba Allah SWT yang mengharapkan redhaNya, kasih sayangNya, maka kita berusaha, berusaha dan berusaha.
Mari Menjadi Hamba terus menjadi tema LangitIlahi, baik di LangitIlahi.Com, LangitIlahi Store, juga di LangitIlahi Consultancy. Kerana itu yang hendak digapai. Seterusnya dimanifestasikan dengan tema ‘Membina Komuniti Berjiwa Hamba’ di LangitIlahi Community. Alhamdulillah, atas sokongan dan doa rakan-rakan pembaca, juga dengan izin Allah SWT, LangitIlahi terus berkembang dan berkembang.
Maka pada saat ini, di Eid Al-Fitr yang mulia ini, kami menyeru rakan-rakan untuk terus melakukan kebaikan, tidak berputus asa memperbaiki diri, dan istiqomah dalam melaksanakannya.
Pada masa yang sama, kami, seluruh Team LangitIlahi, dengan saya sebagai pengasas mewakili kami semua, memohon ampun dan maaf andai sepanjang pergerakan kami ini, ada jiwa-jiwa yang terguris dan terasa, ada sikap buruk kami yang tidak sempat kami perbetulkan hingga melukakan yang lainnya, maka harap diampunkan. Semoga Allah SWT mengampunkan kami, dan kalian insyaAllah.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.
Bergembiralah. Eidul Fitr adalah masanya bergembira, bahkan bergembira itu menjadi sunat di dalamnya. Tetapi bergembiralah dalam batasan yang syara’. Sama-samalah menghargai tarbiyah Ramadhan yang telah dilalui, dan memanifestasikannya dalam kehidupan insyaAllah.
Semoga Allah redha.
Teruslah kita saling lengkap melengkapi, doa mendoakan, dan terus memperbaiki diri.
Kullu ‘am, wa entum bi kheir insyaAllah.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Muhammad Hilal Asyraf
Pengasas LangitIlahi.Com
CEO LangitIman Resources
Komik: ‘Eidul Fitri yang sebenar..
Kehidupan: Aidilfitri – Menang atau Kalah?
Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Eid Mubarak kepada semua pembaca Langit Ilahi. Tahniah kerana berjaya menyempurnakan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Semoga Allah berikan kita semua peluang untuk bertemu Ramadhan sekali lagi. Ameen.
Dalam kita menyambut keriangan dalam bulan Syawal, saya harap kita akan sentiasa mengingati bulan Ramadhan yang baru sahaja pergi. Harapan kita ialah kita dianugerahkan Taqwa daripada Allah setelah kita melalui bulan Ramadhan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, dengan harapan kamu akan memperolehi Taqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Istilah Taqwa itu datang daripada kata akar yang bermaksud “perisai”. Perisai itu fungsinya ialah untuk melindungi diri kita. Jika kita kaitkan konsep perisai dengan Taqwa, kita dapat fahami bahawa kita inginkan Taqwa supaya kita dapat melindungi diri kita. Tapi, lindungi diri kita daripada apa?
Kita lindungi diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang Allah tidak sukai. Kerana kita cintakan Allah bukan? Maka, apakah mungkin kita akan lakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah yang kita cintai? Kita sudah semestinya tidak akan lakukan perkara-perkara yang suami/isteri kita tidak sukai, inikan pula Allah.
Itulah Taqwa.
Taqwa itu di dalam hati manusia. Maka kita harus sentiasa berhati-hati dengan hati kita, terutamanya selepas bulan Ramadhan. Pada masa itulah Taqwa kita akan diuji kerana Syaitan sudah tidak terkurung lagi.
Musuh utama kita sudah bebas, jangan pula kita rasa terpenjara dengan tipu dayanya.
Sebenarnya kan, syaitan ni bajet kuat je. Nampak je tough, tapi dia tiada kuasa ke atas kita. Dia sendiri pun mengaku.
“…dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri…” (Surah Ibrahim: 22)
Kerja syaitan hanyalah membisik dan mengajak kita untuk mengikutinya. Allah hanya izinkan syaitan untuk memasuki dada kita, bukan hati kita.
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya dalam dada manusia.” (Surah an-Nas: 5)
Jadi, syaitan hanya mampu mengetuk pintu hati kita sahaja dengan was-wasnya. Dia tidak ada kuasa untuk memecah pintu itu. Dia hanya ketuk dan ketuk sahaja.
Kitalah yang mempunyai kuasa untuk membuka pintu tersebut, dan menjemput syaitan masuk. Ada antara kita yang berjaya halau dia keluar dan ada pula antara kita yang membenarkan dia tinggal dalam hati kita, tanpa membayar sewa.
Saya harap, dengan didikan Ramadhan, kita akan mempunyai kekuatan untuk menepis rayuan, pujukan, dan janji-janji manis syaitan.
Saya harap, dengan didikan Ramadhan, kita tidak akan kalah dalam Syawal, lebih-lebih lagi di Aidilfitri – hari kemenangan kita.
Poster: Salam Aidilfitri 1434H
Sempena Syawal ini, kami Team LangitIlahi ingin mengucapkan “kullu ’aam wa antum bikhair.”
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.
Semoga kita terus menjadi hamba Ilahi yang diredhai!
August 6, 2013
Agama: Perkara-perkara sunat dan larangan ketika Aidilifitri
Gambar hiasan dipetik dari flickr.com
Hari Raya boleh diibaratkan seperti R&R atau tempat persinggahan kepada manusia dalam bermusafir menjalani jalan-jalan kehidupan. Ia juga boleh diibaratkan oasis ditengah-tengah kekeringan padang pasir yang menjadi harapan pedagang meneguk air menghilangkan kehausan. Oleh itu, dalam lembaran sejarah kita melihat tidak mengira agama atau bangsa sudah tentu mempunyai hari perayaan tertentu untuk menzahirkan rasa gembira dan bersuka ria.
Islam tidak terkecuali. Zaman jahiliyyah dahulu, seperti yang diceritakan oleh Anas r.a, kaum ansar mempunyai dua hari yang mereka sambut dan rayakan bersama. Namun, baginda telah berkata kepada beliau bahawasanya Allah telah menggantikan perayaan tersebut dengan dua hari yang lebih baik dari keduanya iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Hari raya dalam islam mempunyai perkaitan besar dengan ibadah yang telah disyariatkan. Aidilfitri seperti sedia maklum berkait rapat dengan ibadah puasa bahkan dianggap sebagai hari kemenangan kepada umat islam. Disebabkan itu manusia dituntut untuk bergembira menyambut hadiah istimewa tersebut daripada Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersabda:
Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, gembira ketikamana dia berbuka, dan ketika dia pulang bertemu Allah s.w.t dia gembira dengan puasanya (amal kebaikan). [Muttafaq ‘Alaih]
Bergembira ketika berbuka di sini membawa dua maksud iaitu gembira ketika berbuka pada setiap hari dalam bulan Ramadhan setelah azan berkumandang, maka dia meraikan kejayaannya berpuasa pada hari tersebut. Maksud yang kedua pula adalah gembira setelah tamatnya bulan Ramadhan dalam erti kata berjaya berusaha untuk taat kepada Allah dalam menjalani perintah-Nya selama sebulan bukan bebas menuruti hawa nafsu kerana sungguh Ramadhan membawa seribu kebaikan.
Hakikat berhari raya
Rata-rata umat Islam hari ini bergembira dengan syawal yang saban tahun menjelma. Tetapi kekeliruan dalam meraikan masih pada tahap yang sama. Maka tidak hairanlah pada tanggal 1 Syawal sahaja ramai dalam kalangan orang Islam yang menyambutnya dalam keadaan dicemari dengan maksiat seperti keseronokan melampau hingga tidak menjaga batas pergaulan, pertuturan dan sebagainya.
Hari raya hakikatnya mempunyai maknanya yang tersendiri yang perlu dititikberatkan iaitu makna Rabbani dan makna Insani. Makna rabbani bermaksud manusia itu tidak lupakan tuhannya meski dalam kegembiraan berhari raya. Ia bukan membawa erti keseronokan hari raya itu membenarkan kita meletakkan hawa nafsu sebagai panduan atau pembebasan dari ibadah dan ketaatan. Bahkan hari raya itu perlu diisikan dengan amalan kebaikan dan lebih baik dituruti dengan perkara sunat.
Ia bukan sekadar perbuatan tambahan bagi kita dalam ibadah (sunat), tetapi ia menggambarkan wajah ibadah kita dalam ramadhan dek kerinduan dan rasa cinta kita beribadah bersungguh-sungguh dalam bulan yang mulia tersebut hingga terbawa-bawa pada bulan luar selain darinya. Maka di sini matlamat menjadi hamba yang rabbani itu tercapai bukan hamba ramadhani.
Makna insani pula boleh diertikan kepada dua iaitu melengkapi fitrah seorang manusia yang perlu hidup bergembira pada beberapa ketika di atas kejayaan (berpuasa) yang dikecapi juga sebagai hadiah yang teragung. Selain itu, ia membawa maksud memberi kegembiraan kepada manusia yang lain juga melalui sedekah yang disumbangkan dan zakat fitrah yang wajib dilaksanakan.
Perkara-perkara sunat dan larangan Aidilfitri
Malam hari raya
i- Menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid
Perkara ini disebutkan di akhir ayat setelah penerangan tentang berpuasa seperti dalam ayat yang selalu dibaca:
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah:185]
Takbir mempunyai dua bahagian iaitu mutlak dan muqayyad. Takbir mutlak adalah takbir yang berterusan yakni tiada had masa yang dikhususkan. Bagi Aidilfitri maka ia bermula pada malam akhir ramadhan hingga sebelum solat sunat hari raya. Dalam tempoh ini kita disunatkan bertakbir tidak kira samada di masjid, di rumah dan sebagainya.
Takbir muqayyad ataupun yang bersangkutan padanya itu dengan sesuatu yang lain hanya pada aidiladha kerana takbir itu dilakukan setelah usai kita bersolat fardu. Bahkan sebahagian ulama’ menetapkan ia bisa dilakukan setelah solat berjemaah.
Mengenai lafaz takbir tiada hadis yang sahih yang menetapkan bacaan tertentu kecuali dalam suatu riwayat yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud dan diguna pakai oleh Imam Ahmad iaitu dengan lafaz:
“الله أكبر.. الله أكبر.. لا إله إلا الله .. والله أكبر .. ولله الحمد“
Adapun penambahan lafaz yang lain seperti salawat dan sebagainya tidak disebutkan dengan jelas. Namun demikian, lafaz-lafaz yang lain yang mengandungi puji-pujian ke atas baginda bukan beerti salah untuk diamalkan tetapi tidak dikhususkan pada takbir hari raya sahaja.
ii- memperbanyakkan doa
Dalam sebuah hadis yang berstatus lemah disebutkan bahawa terdapat 5 malam yang mana tidak akan tertolak doa seseorang itu dan diantaranya adalah pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha. Walaupun begitu, Imam Syafie ada menyebutkan bahawa berdoa pada malam-malam tersebut tidak menjadi kesalahan bahkan amat disukai tetapi menetapkan ia sebagai kefarduan merupakan suatu kesalahan.
iii- bergembira tetapi batasan terjaga
Kesedihan pemergian ramadhan bukan bermakna menjadi penghalang untuk kita bergembira pada malam hari raya kerna ia pergi meninggalkan kita hanya bersama kelebihan yang ada padanya. Adapun Allah tuan kepada ramadhan dan juga kita masih ada dan tetap mendengar rintihan hamba dan tidak pernah berhenti mengurniakan rahmat-Nya.
Justeru, sepatutnya kita perlu terus meminta untuk diistiqamahkan segala kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan ramadhan ke dalam bulan yang lainnya. Dr Yusuf Qardawi pernah berkata dalam khutbahnya:
Barangsiapa yang menyembah ramadhan maka ia telah pergi, barangsiapa yang menyembah Allah maka Dia tetap ada mendengar doa-doa kita.
Adapun bergembira perlu kena batasannya. Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita terutamanya perlu dijaga. Jangan mulakan hari kita, setelah melangkah keluar dari bulan mulia dengan maksiat. Bergembira dengan bermain mercun sebaiknya cuba elakkan. Selain membawa kepada pembaziran ia juga boleh memudaratkan. Jika sampai kepada tahap ini maka ia adalah ditegahkan untuk dilakukan.
2- Amalan di pagi hari raya
i- mandi sunat aidilfitri
Perbuatan ini disebutkan oleh Imam Malik daripada athar Saidina Umar yang berbuat demikian sebelum beliau keluar untuk menunaikan sola sunat. Tambahan, mandi sunat ini digalakkan untuk semua kelompok manusia lelaki sama ada dewasa atau kanak-kanak juga wanita hatta dalam keadaan berhadas tetapi niat mandi sunat aidilfitri bukan mandi wajib. Dari sudut waktu, kita lebih digalakkan untuk mandi setelah solat subuh.
ii- Memperindahkan hiasan diri
Umumnya bagi semua lapisan manusia pemakaian yang indah amat digalakkan pada hari tersebut. Tidak semestinya baru tetapi ia pakaian terbaik yang kita ada. Jika mampu menyediakan yang baru lebih baik dengan syarat tidak membazir. Bagi lelaki sunat untuk memakai wangi-wangian tidak bagi wanita sekadar keperluan sahaja di samping tidak memakai pakaian yang menarik perhatian jauh sekali yang tidak menutup aurat juga tidak berlebihan dalam bersolek.
Adapun perhiasan yang melampau bahkan salah di sisi agama tidak sama sekali dibenarkan hingga mungkin kepada tahap ingin mengubah ciptaan Allah. Sungguh pada setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya dan Dia Maha Sempurna begitu juga ciptaan-Nya. Larangan mengubah ciptaan ini ada disebutkan dalam al-Quran bahkan ditegaskan bahawa ia adalah ikutan daripada syaitan:
Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”. (Surah al-Nisa’:119)
Antara perkara-perkara yang ditegah untuk dilakukan seperti yang diriwayatkan dalam hadis dari Abdullah ibn Mas’ud:
Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencukur kening, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah. [Muslim:3945]
Hari ini, terutama dalam perihal mencukur kening seolah menjadi kebiasaan walhal ia adalah perkara yang dilarang dalam islam. Tambahan membuat pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan adalah dilarang. Namun demikian, berlaku pengecualian jika ia memudaratkan tubuh badan atau dengan hadaf perubatan maka ia dibenarkan.
iii- Makan sebelum bersolat sunat hari raya
Biasanya sewaktu ramadhan kita akan berhenti makan tatkala azan subuh kedengaran. Justeru, bagi membezakan hari ramadhan dan hari raya aidilfitiri disunatkan kepada kita untuk makan sedikit seperti pernah dilakukan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Anas r.a:
“Nabi s.a.w. tidak keluar untuk menunaikan solat sunat pada pagi hari Aidulfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu.”[Bukhari:899]
Dalam riwayat yanglain menyebutkan bahawa baginda memakan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.
Adapun berpuasa pada hari ini (1 Syawal) adalah haram hukumnya. Namun, kita masih disunatkan bahkan amat dituntut untuk melakukan puasa sebanyak 6 hari dalam bulan syawal yang mana ganjarannya cukup besar. Daripada Abu Ayub Al-Ansari:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Muslim:1976)
Orang yang bertaqwa pasti merindui ramadhan. Bahkan para sahabat baginda s.a.w menangisi pemergiannya hatta ada yang mengharap sepanjang tahun itu adalah ramadhan. Demikian Allah kurniakan ganjaran yang sama dengan berpuasa sepanjang tahun. Maka rugilah mereka yang tidak berusaha merebut peluang keemasan ini. Cuma perlu diingatkan, janganlah kita terlalu banyak makan hingga kita lupakan akan kesihatan kita. Berwaspada.
iv- Keluar beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat
Demi menzahirkan rasa kegembiraan manusia terhadap hari raya maka disuruh para wanita yang dalam keadaan haid sekalipun untuk turut serta tapi bukan bersolat sekadar mendengar khutbah dan meraikan kemeriahan. Ummu A’tiyah ada berkata:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada aidilfitri dan aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (HR Bukhari).
Tambahan lagi kita lebih digalakkan untuk berjalan kaki sekiranya berkemampuan juga tidak mendatangkan mudharat yang lain kerana dengan itu kita lebih dapat banyak peluang dengan ramai orang seperti saranan baginda pada pagi hari raya.
v- Solat sunat aidilfitri
Waktu solat ‘eid ini dilakukan pada waktu pagi namun tidak digalakkan untuk dilakukan terlalu awal kerana memberi peluang kepada umat islam untuk menyempurnakan tuntutan zakat juga memberi ruang untuk bertakbir dan bertahmid kerana aidilfitri masa untuk ibadat keduanya sebentar cuma. Tamabahan lagi solat sunat sebelum melaksanakan solat ‘eid tidak disyariatkan seperti hadis nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a:
Sesungguhnya nabi s.a.w keluar untuk bersolat hari raya ‘eid sebanyak dua rakaat tetapi tidak menunaikan solat sunat sebelum atau selepasnya dan bersama-sama baginda adalah Bilal.[Bukhari:934]
Tambahan lagi, solat sunat eid ini tidak perlu kepada azan dan juga khutbahnya adalah selepas solat bukan seperti solat Jumaat iqamah seperti sabda baginda s.a.w:
Sesungguhnya tidak ada azan untuk solat aidilfitri dan aidiladha, dan sesungguhnya khutbah itu selepas usai solat(sunat hari raya) [Bukhari:905]
Cara-cara solat sunat hari raya
1) Bahawa nabi s.a.w bersolat (sunat ‘eid) sebanyak dua belaskali takbir, tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. [HR Ahmad]
2) ‘Umar bin Al Khattab pernah menanyakan pada Waqid Al Laitsiy mengenai surah apa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika solat ‘AidilAdha dan ‘AidulFitri.D ia menjawab,
“Nabi s.aw. biasa membaca “ Qaaf, wal qur’anil majiid ” (surah Qaaf) dan “ Iqtarobatis saa’atu wan syaqqol qomar ” (surah Al Qamar).” [Muslim:1469]
3) Daripada Nu’man bin Basyir, “Rasulullah s.a.w biasa membaca dalam solat ‘eid mahupun solat Jum’at “Sabbihisma robbikal a’la” (surah Al A’laa) dan “Hal ataka haditsul ghosiyah” (surah Al Ghasyiyah).”[Muslim:1444]
Daripada hadis-hadis di atas bisa disimpulkan dalam bentuk yang mudah.
Rakaat pertama:
a) Takbiratul ihram dan tujuh kali takbir beserta tasbih, tahmid, dan takbir
b) Bacaan al-Fatihah dan surah digalakkan surah Qaf atau al-‘Alaa
c) ruku’ dan sujud seperti biasa
Rakaat Kedua:
a) takbir lima kali beserta tasbih, tahmid dan takbir
b) Bacaan al-fatihah dan surah digalakkan surah al-Qamar atau Al-Ghasyiyah
c) ruku’ dan sujud seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Adapun hukum untuk solat hari raya berbeza pendapat ulama’ akannya. Imam Malik dan Imam Syafie menetapkan sebagai sunat yang amat dituntut. Manakala Imam Ahmad Ibn Hanbal menyatakan ia sebagai fardu kifayah sementara imam Hanafi sebagai wajib.
Khutbah ‘Eid
Solat hari raya mungkin berbeza pendapat para ulama’ mengenainya. Adapun khutbah ‘eid hukumnya adalah sunat kerana thabit dari hadis baginda s.a.w daripada Abdullah bin As-Saib berkata:
“Aku saat ini akan berkhutbah. Siapa yang mau tetap duduk untuk mendengarkan khutbah, silakan ia duduk. Siapa yang ingin pergi, silakan ia pergi. [HR An-Nasai, Ibn Majah dan Abu Daud]
Beza khutbah ini selain dari segi hukum ia juga dilaksanakan setelah usai solat seperti hadis yang disebutkan sebelum ini. Adapun tuntutan mendengar peringatan amat dititikberatkan terutama bagi wanita kerana pada kesempatan ini bukan sekadar yang dibenarkan solat sahaja bahkan mereka yang dalam keadaan uzur juga digalakkan duduk mendengar nasihat kerana sungguh nasihat itu amat bermakna. Selain itu juga, hikmahnya adalah kita bisa berjumpa dengan ramai orang dan memberi ucapan tahniah.
vi- Disunatkan pergi dan pulang dari solat melalui jalan yang berbeza.
Setelah usai bersolat, hendak pulang daripada solat ‘Eid kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berbeza seperti perbuatan nabi yang dirawayat oleh Jabir r.a:
“Nabi s.a.w jika bersolat `Eid, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” (HR Bukhari)
Kemungkinan hikmah perbuatan baginda adalah supaya kita dapat berjumpa dengan manusia bagi mengeratkan hubungan sesama kita. Adapun perkataan yang digalakkan untuk disebutkan ketika bertemu adalah yang baik dan menggambarkan suasana yang gembira. Bagi para sahabat mereka sering mengucapkan:
“TaqabbalaLlah minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)”
vii- Saling menziarahi dan menziarahi kubur
Dituntut juga kita saling menziarahi sesama saudara dan sahabat handai untuk mengeratkan sillaturahim. Cuma perihal bersalaman antara bukan mahram perlu dititik beratkan supaya tidak hilang keberkatan aidilfitri yang merupakan hadiah agung daripada Allah. Bersama ini saya lampirkan artikel berkenaan hukum salam dengan yang bukan mahram.
Ketika berziarah pula adab-adab dan nilai murni perlu dijaga. Tidak terlalu lama. Menjaga batasan pandangan. Adapun jika dihidangkan makanan walhal kita sedang berpuasa, maka sunat untuk kita berbuka bagi meraikan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makanan seperti perbuatan nabi s.a.w yang disebutkan dalam hadis.
Dalam bab menziarahi kubur tidak disyariatkan untuk berziarah ketika pagi hari raya. Tetapi mengambil alasan bahawa pada ketika inilah kebanyakan dalam kalangan manusia pulang ke kampong halaman. Maka ini adalah kesempatan mereka untuk berziarah. Tiada masalah. Cuma yang salah dari sudut pemikiran adalah waktu pagi ini sahaja yang mesti berziarah bagi mereka yang berdekatan.
Konklusi: Istiqamah
Ramadhan merupakan bulan perniagaan kita dengan Allah s.w.t yang mana segala modal dikeluarkan oleh Allah bermula daripada kudrat kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lainnya hinggalah kepada fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam bulan ramadhan.
Tetapi baiknya Allah segala keuntungan kita perolehi. Bahkan tidak membawa untung apapun pada Allah jika kita ambil atau tinggal. Kita hanya ibarat peniaga yang hanya berusaha menggunakan modal untuk keuntungan kita semata-mata dan pasti jika kita merebutnya maka tiada sebarang kerugian yang ditanggung.
Adapun setelah berlalu ramadhan ini, maka promosi-promosi yang disediakan pada mulia tersebut tidak lagi dapat kita kecapi. Pun begitu rahmat Allah senantiasa terbuka untuk kita meminta doa. Paling penting adalah kita berdoa moga Allah kuatkan kita untuk istiqamah dengan kebaikan yang dilaksanakan pada bulan ramadhan dapat kita praktikkan pada bulan yang lain.
Melihat tarbiyah ramadhan berkesan bukan pada ketika kita berada di dalamnya, tetapi bagaimana kesannya pada kehidupan sebelas bulan mendatang dari sudut ibadah dan juga akhlak kita.
~Wallahualam~
Pada kesempatan ini saya Muhammad Uzair Izham (Muiz) menyusun jari memohon kemaafan daripada pembaca yang membaca artikel-artikel saya jikalau terdapat kata-kata yang mengguris hati atau terdapat kecacatan dan kesilapan harap dibetulkan. Moga Allah redha dengan kita dan kuat kita.
Rujukan:
1) Qaradawi.net
2) Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq (terjemahan)
Komik: Meniti hari-hari terakhir
Sehari.
Biar walau hanya sehari semalam.
Teruslah utuh dalam memohon rahmat keampunanNya.
‘Celakalah seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah‘.
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Biar Ramadhan sedang meniti hari-hari terakhir,
ingat kasih sayang dan rahmat Allah tiada tempoh masa.
Jangan sampai kita menyesal.
Mungkin bukan didunia, tetapi disana.
Waktu itu, walau sehari yg diminta,
akan tinggal penyesalan yg tak berguna.
as-Sajadah;12-13
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”
“Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)“.
“Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbul ‘afwa fa’fuanna..“
Agama : Adab-adab Menyambut Eidul Fitri Dan Hukum Fiqh Berkaitan
Kita sudah menghampiri gerbang penghujung Ramadhan. Sebagai seorang mukmin, kerinduan dan kecintaan kita sangat mendalam terhadap Ramadhan kerana ia memberikan kita momen bersama Tuhan yang penuh kemanisan.
Semoga kita beroleh taqwa daripada Ramadhan kali ini.
Menghampiri penghujung Ramadhan bermaksud kita juga mendekati awal Syawal, yang tidak asing lagi bagi kita iaitu sambutan Eidul Fitri.
Maka, di sini, dikongsikan beberapa adab menyambut Aidilfitri. Semoga dapat menjadi panduan serba sedikit untuk kita menyambutnya dalam keadaan tetap taat kepada Allah s.w.t.
1) Mandi, memperelokkan diri dan memakai pakaian yang terbaik
Disunatkan untuk lelaki dan wanita memakai pakaian terbaik yang ada pada mereka, tidak kiralah sama ada pakaian itu adalah pakaian baru atau lama, putih atau selain putih.
Ibn Qoyyim telah berkata : Rasulullah s.a.w. telah memakai pakaian terbaiknya untuk kedua-dua hari itu (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan baginda mempunyai pakaian tersendiri yang dipakainya untuk hari raya dan hari Jumaat.
2) Makan sebelum keluar menunaikan solat raya
Anas berkata : “Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar, dan baginda telah makan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari, Ahmad]
Buraidah berkata : “Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan, dan tidak makan di hari Eidul Adha sehinggalah baginda pulang.” [HR Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad]
3) Disunatkan wanita-wanita muslimah keluar di hari raya untuk bersama di dalam perhimpunan hari raya dan mendengarkan nasihat dari khutbah
Daripada Ummu Atiyyah, katanya : “Kami disuruh (oleh Rasul s.a.w.) untuk mengeluarkan (semua wanita) sama ada anak dara dan juga wanita haid pada kedua-dua hari raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) untuk menyaksikan kebaikan dan dakwah (nasihat) orang-orang Islam dan diasingkan wanita haid daripada tempat solat.”
Tetapi para wanita hendaklah mengambil berat tentang adab-adab semasa mereka berada di luar seperti tidak mengenakan perhiasan melampau, bersolek dan mengenakan wangian untuk memelihara dirinya daripada fitnah sekiranya mereka bersama dengan lelaki ajnabi. Sekiranya mereka hanya berada di rumah atau di kalangan wanita sahaja, maka tidak ada masalah untuk mengenakan perhiasan yang cantik atau wangian.
4) Disunatkan melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat
Daripada Jabir r.a. dia berkata : “Nabi s.a.w. pada hari raya membezakan jalan (pergi jalan yang lain, pulang jalan yang lain).” [HR Bukhari]
Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata : “Nabi s.a.w. sekiranya keluar untuk hari raya baginda akan pulang mengikuti jalan lain dari jalan yang (telah digunakannya) untuk pergi tadi.” [HR Muslim, Ahmad, Tirmizi]
5) Bertakbir di hari raya
Bertakbir di hari raya adalah sunnah yang agung. Berdasarkan firman Allah s.w.t.:
“Dan cukupkanlah bilangannya dan bertakbirlah (mengagungkan) Allah ke atas petunjuk yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.” [Al-Baqarah : 185]
Waktu bertakbir adalah bermula dari malam raya iaitu ketika terbenam matahari akhir Ramadhan sehinggalah bermulanya solat raya.
6) Mengucapkan tahniah di hari raya serta menunjukkan wajah yang ceria dan penuh senyuman kepada saudara-saudara muslim
Daripada Jabir bin Nafir, dia berkata : “Para sahabat Nabi s.a.w. apabila bertemu pada hari raya mereka akan berkata sesama mereka ‘Taqabbal minna wa minka- Semoga Allah menerima (amal) dari kami dan dari kamu.’ Al-Hafiz berkata : Sanad ini adalah hasan.
Syeikh Salman Audah telah memberi komentar :
“Tidak diragukan lagi bahawa ucapan tahniah ini adalah dari tanda kemuliaan akhlak, dan manifestasi kepada hubungan kemasyarakatan dalam kalangan muslim, dan ia mempunyai kesan-kesan yang baik dalam menguatkan ikatan dan hubungan, menyuburkan kecintaan sesama muslim …” [Ahkam Al-E’idin]
7) Menunaikan solat sunat hari raya
a) Hukum solat hari raya
Ulama’ berbeza pendapat tentang hukum solat sunat hari raya. As-Syafiiah dan Al-Malikiah berpendapat ia adalah sunat muakkad. Sementara Al-Hanafiah berpendapat ia adalah wajib bagi sesiapa yang wajib ke atasnya solat Jumaat, hanya saja ada pengecualian pada kewajipan mendengarkan khutbah dan bilangan makmum. Al-Hanabilah pula berpendapat bahawa ia adalah fardhu kifayah bagi sesiapa yang mempunyai keterikatan dengan solat Jumaat.
b) Kaifiah Solat Sunat Hari Raya
- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah
- Ditunaikan selepas waktu larangan (selepas terbit matahari), di dalam mazhab Syafie disebutkan setelah matahari naik sepenggalah [Ruj : Fiqh Ala Mazahib Arba’ah]
- Bilangan rakaat hanya sebanyak 2 rakaat
- Niat dan rakaat pertama bermula dengan 7 kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram.
- Setiap kali takbir diselangi dengan tasbih, tahmid dan takbir. Diriwayatkan bahawa tidaklah ada zikir tertentu daripada Nabi s.a.w. ketika selang di antara takbir ini, tetapi disebutkan oleh Ibn Mas’ud, “Di setiap antara dua takbir, bertahmidlah kepada Allah, dan pujilah Allah s.w.t.” [Majmu’ Fatawa]
- Selepas 7 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan Imam untuk membaca surah (Qaf) atau surah (Al-A’la).
- Kemudian rukuk dan sujud seperti biasa.
- Memulakan rakaat kedua dengan takbir. Kemudian diikuti dengan 5 takbir selepas itu. Diselangi setiap takbir dengan tasbih, tahmid dan takbir.
- Selepas 5 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan membaca surah (Al-Qamar) atau surah (Al-Ghashiyah)
- Surah-surah yang disunatkan membaca ini tsabit dalam hadis riwayat Muslim.
- Imam mengakhiri solat sunat seperti biasa (rukuk, sujud, tahiyyat, beri salam).
c) Khutbah disampaikan selepas solat sunat hari raya Eidul Fitri
Khutbah selepas solat sunat hari raya adalah sunat dan mendengarnya pun adalah sunat.
Daripada Abdullah bin Saib dia berkata : “Aku menyertai Rasulullah s.a.w. dalam solat Eid, ketika selesai menunaikan solat, baginda bersabda : “Kami akan berkhutbah, barangsiapa yang mahu duduk (mendengar) khutbah, maka duduklah dan barangsiapa yang mahu pergi, maka pergilah.” [HR An-Nasai’, Abu Dawud dan Ibn Majah]
Sebaik-baiknya adalah kita duduk seketika mendengarkan nasihat-nasihat dari khutbah serta mengambil peluang bersalam-salaman selepas tamat khutbah dan saling mengucapkan tahniah.
8) Berhibur, makan-makan dan bernyanyi-nyanyian di hari raya
Tidak ada masalah untuk berhibur, makan-makan atau bernyanyian selama mana hiburan, makan-makan dan nyanyian itu adalah yang baik dan tidak melanggar batas-batas syariat.
Hari ini, ramai yang bila berhibur di hari raya terus melupakan batas-batas syariat Islam.
Pergaulannya tidak terjaga, auratnya didedahkan sesuka hati, berpakaian terlalu ketat atau terlalu nipis, bernyanyi dengan nyanyian yang melalaikan, berhibur sehingga mengabaikan solat dan seruan Allah yang fardhu, membazir dalam berbelanja dan menyediakan jamuan makan.
Wajar diperhatikan dan dihindarkan hal ini agar hari raya tidaklah menjadi sebab kita mendapatkan kemurkaan Allah setelah sebulan Ramadhan kita berusaha mengejar rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.
Penutup : Ramadhan Pergi, Syawal Mengiringi, Mari Terus Menjadi Hamba Rabbani
Beberapa catatan adab dan hukum fiqh berkaitan Eidul Fitri ini diharapkan dapat menjadi panduan serba sedikit dalam kita menghidupkan suasana ibadah di hari raya ini.
Eidul fitri adalah anugerah dari Allah s.w.t. untuk hamba-hambaNya.
Orang yang benar-benar memanfaatkan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah, maka Eidul Fitri adalah hari yang sangat besar erti bagi dirinya dalam konteks hubungannya dengan Allah.
Tetapi bagi orang yang menjalani Ramadhan dengan ala kadar, tidak menghayati roh ubudiah kepada Allah di dalam Ramadhan, maka Eidul Fitri ini tidaklah ada makna besar apa bagi dirinya melainkan faedah materialisme dan duniawi semata-mata.
Semoga Ramadhan yang pergi, Syawal yang mengganti tidak menyebabkan kita kembali bermaksiat dan berdosa kepada Ilahi. Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya, marilah kita terus menjadi hamba Rabbani, yang terus tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.
Rujukan :
1) Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq
2) Fiqh Ala Mazahib Arba’ah, Syeikh Abd Rahman Al-Jaziri
3) Sohih Fiqh Sunnah, Abu Malik Kamal Sayyid Salim
Komik: Tetamu Istimewa?
August 4, 2013
Kehidupan: Aidilfitri, Apakah Kita Layak Untuknya?
Apabila Aidilfitri sudah semakin hampir. Bagaimanakah keadaan kita? Ya, pastinya ramai yang bergembira, pastinya ramai yang bersukaria. Kadangkala, hingga kita terlupa bahawa Ramadhan hadiah Allah itu sudah hendak pergi meninggalkan kita. Kadangkala, hingga kita memberhentikan segala ibadah dan amalan kerana kononnya hendak fokus kepada Aidilfitri yang menjelang.
Saya melihat kepada diri saya sendiri. Satu soalan yang beberapa tahun kebelakangan ini saya tanya pada diri.
“Apakah saya adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?”
Persoalan itu timbul di dalam diri saya.
Oh ya, sebelum kita pergi jauh kepada persoalan yang ditimbulkan oleh saya itu, saya ingin membuka satu lagi persoalan: “Apakah kita ini tahu sebenarnya Aidilfitri itu untuk siapa?”
Tahukah?
Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?
Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya?
Makna Aidilfitri dan hakikatnya
Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: ‘idulfitr. Perkataan ‘id + al-fitr.
Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?
Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?
Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.
Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.
Itulah maknanya Aidilfitri.
Persoalannya, apakah kita…?
Persoalannya, apakah kita telah mengisi Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?
Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?
Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita?
Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan?
Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan dalam keadaan sudah hampir hendak pergi meninggalkan kita, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan?
Saya ada rasa sedikit malu pada diri saya. Sebab saya kira, Aidilfitri bukan untuk saya.
Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka.
Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tidak banyakkan pun sedekah. Kita tidak rancang apa-apa pun amal untuk Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan ‘keimanan dan berkira-kira’. Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya.
Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Saya rasa malu.
Perayaan Aidilfitri yang hakiki
Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa.
Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.
Tetapi lihatlah, pada 2hb Syawal, kita sudah boleh mula berpuasa enam. Tandanya, 2hb Syawal bukanlah hari besar ummat Islam. Jika di Jordan, suasana ini saya rasai. Pada hari ke-2, sudah berakhir segala promosi raya. Yang ada mungkin hanya ziarah menziarahi sepanjang cuti. Biasanya Kerajaan Jordan akan memberikan cuti sekitar lima hari.
Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari.
Tulisan saya ini, bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah. Tujuan artikel ini ditulis, adalah untuk menunjukkan, di mana hakikatnya kita perlu meletakkan kegembiraan kita yang sebenarnya.
Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih.
Saya lihat, sheikh-sheikh saya yang berdiri lama mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan, yang masuk ‘hard mode’ dalam Ramadhan dalam beribadah dan menyebarkan kebaikan, cukup bersederhana meraikan Aidilfitri sehari cuma.
Saya jujurnya, malu pada diri saya sendiri.
Sebab itu, puisi itu muncul
Rentetan hal ini, saya ada menulis sebuah puisi beberapa tahun yang lalu:
Aidilfitri belum tiba lagi,
Tidak perlu ucapkan Selamat Hari Raya untukku tika ini,
Sedang Ramadhan kekasihku cintaku hendak bergerak pergi,
aku tidak berkenan merayakan apa-apa kini
waktu ini waktuku untuk waktunya sahaja.
Sekarang ini, aku hanya peduli Ramadhan dan Tuannya sahaja.
Aidilfitri belum tiba lagi, dan belum tentu aku layak merayakannya nanti
Kerna Aidilfitri,
Hanyalah perayaan bagi mereka yang berjaya mengisi Ramadhan sesempurna hati
~Hilal Asyraf~
050910
1005AM
Rumah, Johor
Malaysia
Puisi ini bukanlah hakikatnya untuk menghalang diri kita dari menyebut selamat hari raya. Tetapi adalah untuk kita rasa tersindir dengan sikap kita yang sebenarnya tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun, namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk dia.
Saya amat terkesan dengan sahabat merangkap senior saya: Abang Ali Irfan bin Jamaluddin.
Saya berkata kepadanya beberapa tahun lepas ketika beberapa hari sebelum tamat Ramadhan: “Selamat Hari Raya Abang Ali.” Terus dengan pantas dia membalas: “Ish, Ramadhan belum habis lagi.”
Ya. Saya malu. Saya jadi malu. Saya telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan saya. Sepatutnya, saya dakap Ramadhan erat-erat sebelum dia meninggalkan saya. Sepatutnya, saya ‘terpaksa’ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me’rela’kan perpisahan saya dengannya.
Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia.
Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik.
Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya.
Penutup: Kita patut lihat diri kita semula. Muhasabah agar kita adalah yang layak untuk Aidilfitri.
Kita hakikatnya masih ada waktu lagi untuk kita memasukkan diri kita dalam kalangan mereka yang layak merayakan Aidilfitri. Kita masih ada waktu. Kita masih ada peluang. Ramadhan yang berjalan ini tidak patut kita sia-siakan.
Kita sepatutnya melihat semula diri kita. Hari-hari yang telah berlalu, apakah yang telah kita lakukan.
Kemudian perhatikan, apakah kita ini hakikatnya layak merayakan Aidilfitri?
Sama-samalah kita muhasabah.
Waktu masih ada.
Jangan jadi hamba yang tidak bersyukur, kemudian celaka.
Sedang Ramadhan ini Allah berikan sebagai hadiah yang besar buat kita para pendosa.
Apakah tergamak kita membuang Ramadhan ini begitu sahaja?