Hilal Asyraf's Blog, page 90
October 21, 2013
Poster: Cinta
Poster: Cinta
“Cinta tak akan bertahan jika dibina atas sebab luaran semata…”
“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu karena sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.” (59:14)
“…tapi ia akan kekal jika hati bersatu atas jalan yang lurus.”
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (3:103)
Himmah : Terima Kasih, Ya !
~Pic by finerminds.com
Berapa ramai orang yang ringan mulutnya mahu menyebut dua patah perkataan mudah ini kepada orang di sekitarnya.
Jangankan mahu berterima kasih, mahu mengucapkan ‘terima kasih’ saja sudah menjadi berat di mulut kita !
Berterima kasih itu dengan hati dan tindakan, sedangkan mengucapkan terima kasih itu cuma dengan mulut.
Sebab itu Nabi ajar untuk kita bersyukur, bukan semata-mata mengucapkan syukur !
“Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah barangsiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia.” [HR Abu Daud & Tirmizi]
Sekurang-kurangnya Ucapkan Terima Kasih
Kita hidup di dunia tidak dapat lari daripada keperluan hidup bermasyarakat. Tidaklah mampu untuk kita hidup berseorangan, memenuhi hajat kita bersendirian tanpa pertolongan orang lain.
Sebab itu, sangatlah tempang hidup kita jika kita tidak tahu berterima kasih. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, belajarlah berterima kasih kepada Allah, kepada orang di sekitarmu, kepada ahli keluargamu dan masyarakatmu.
Orang yang tidak tahu berterima kasih adalah orang yang tidak tahu menghargai kebaikan dan budi orang. Tahu meminta, tetapi tidak mahu menghargai. Mahu menerima, tetapi tidak pandai menghargai budi pemberi.
Paling kurang kalau kita tidak dapat membalas semula apa yang telah diberikan atau pertolongan yang dihulurkan, ucapkanlah terima kasih !
Terima kasih ya Allah yang telah memberikan pelbagai nikmat kepadaku di dunia. Dalam keadaan diriku masih terus bermaksiat, melakukan pelbagai dosa dan lalai pula terhadap-Mu, namun Engkau masih tak putus-putus mengalirkan nikmat-Mu kepadaku. Terima kasih ya Allah kerana telah menunjukkan jalan hidayah dan memberikan kemampuan kepadaku untuk mengenal jalan pulang menuju-Mu.
Terima kasih ibu ayah, yang telah membesarkanku, yang menjagaku, yang bertungkus-lumus berjaga malam ketika aku merengek di buaian sewaktu kecil, yang memberi makan padaku, yang keluar pagi petang mencari nafkah buat sesuap nasi untuk hidupku, yang telah mendidikku, yang mengajarkan padaku erti kehidupan, yang mengenalkan aku pada Tuhan dan jalan pulang, yang tiada meminta balasan akan semua pengorbanan yang telah pernah kalian lakukan, terima kasih sekali lagi.
Terima kasih kepada adik-beradikku, saudara-maraku, sahabat-sahabatku, yang telah menjadi teman perjalanan dalam kehidupan. Yang telah pernah memberikan teguran kepadaku sehingga aku tersentak untuk berubah, yang pernah berkongsi makan minumnya denganku, yang pernah berkongsi rasa hatinya denganku, yang pernah menyenangkan dan membahagiakanku, yang pernah memberikan pelbagai perkara yang kiranya aku tidaklah dapat membalas yang setimpal dengan apa yang pernah kalian berikan, terima kasih. Terima kasih kerana menjadi saudara dan sahabatku.
Terima kasih kepada guru-guruku yang telah menunjukkan jalan hidupku, yang telah membimbingku sehingga aku mengenal apa itu makna ilmu, sehingga aku dapat membaca, menulis dengan baik, sehinggalah aku dapat membezakan antara yang benar dan salah. Terima kasih kerana bersabar terhadap karenahku sepanjang mendidik aku.
Terima kasih kepada kalian semua para pembaca yang sering mengikuti tulisan-tulisan yang dipenuhi kelemahan ini, terima kasih kerana banyak mendoakan diriku, kerana terus-terusan memberi sokongan dan dokongan yang menjadi inspirasi buat dakwah ini terus berjalan.
Terima kasih kepada semua yang aku tidak sempat berterima kasih.
Tahu Berterima Kasih Adalah Tanda Dari Kekayaan Jiwa
“Bukanlah kaya itu…” kata Nabi s.a.w., “…orang yang kaya harta, tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa.” [HR Bukhari Muslim]
Kaya jiwa itu merasa cukup dengan apa yang ada pada dirinya. Walaupun dia tidak kaya harta, namun kekayaan budi dan peribadinya membuatkan dia sentiasa merasa cukup dengan apa yang Allah berikan padanya.
Orang yang kaya budi dan peribadi itu adalah orang yang kaya dengan adab dan akhlak.
Bagi sesetengah orang yang mungkin menganggap ‘terima kasih’ itu sebagai suatu yang remeh cuma, tetapi bagi orang yang kaya jiwa, tidak tahu berterima kasih itu adalah lantaran dari kemiskinan jiwa.
Miskin jiwa yang disebabkan kontangnya nilai akhlak dan adab dalam diri, tidak tahu dan tidak mahu menghargai usaha dan susah payah orang lain walaupun sedikit. Pendek katanya, ego.
Terlupa berterima kasih mungkin boleh dimaafkan.
Tetapi sengaja buat-buat lupa untuk berterima kasih walaupun sudah terlintas di fikiran adalah sebahagian tanda ego dalam diri kita.
Penutup : Berterima Kasih Menimbulkan Rasa Qanaah Dalam Jiwa
Kerdilnya kita sentiasa berhajatkan kepada pertolongan dan bantuan dari orang lain.
Setiap kali kita dibantu, berterima kasihlah. Setiap kali kita dihadiahkan sesuatu pemberian, berterima kasihlah.
Untuk berterima kasih, tidak perlu tunggu sebab. Kerana kita sentiasa punya sebab untuk berterima kasih terutama kepada Tuhan !
Berterima kasih itu menerbitkan rasa qanaah, rasa cukup dalam jiwa dengan nikmat yang ada. Kalau ditambah, dihargai. Kalau dikurangkan, tidaklah dikesali.
Berterima kasih kerana menerima sesuatu yang bukan hak kita pada asalnya, tetapi sudi pula mahu dihadiahkan kepada kita. Sesuatu yang bukan hak kita, kalau diberi, Alhamdulillah, kalau tidak diberi, tak ada perlunya berkeluh-kesah !
Orang yang tahu bersyukur, maka Allah tambahkan nikmat-Nya. Tetapi orang yang tiada mahu bersyukur, maka sesungguhnya azab Allah itu sangat pedih.
Ucapkanlah terima kasih.
Berterima kasih lambang kemajuan tamadun insan.
Tidak mundur sesuatu tamadun melainkan telah merosot nilai adab di dalamnya.
Komik: Bukti Cinta
“Janganlah menunjukkan kegembiraan di atas penderitaan saudara Muslim,
kerana nanti Allah akan menyelamatkannya,
dan menimpakan musibah itu terhadap kamu pula..”
[Hadith Riwayat At-Tirmidzi]
Tiada cinta.
Tanpa bukti.
Walau tanpa kata-kata.
Ia akan dlafaz dengan kata hati.
Walau tanpa gerak geri,
Ia akan terlihat dengan redup mata.
Walau tanpa sogokan harta,
Ia akan terzahir dengan budi pekerti.
Kerna itu saudaraku,
Mari sama-sama.
Kita gencarkan doa.
Kita tembakkan semangat.
Palestin. Syria. Mesir.
Dan saudara lain yg dianiaya.
Agar mereka yang disana tetap utuh,
tetap teguh tidak terjatuh.
Dek kerana rakusnya senjata yg menumbangkan keluarga mereka.
Dek kerana tekanan hilangnya harta benda.
Agar satu hari nanti.
Kita bisa membela diri.
DihadapanNya.
Allah, kuatkan kami dengan Islam.
Allah, kuatkan Islam dengan kami.
Mari menjadi hamba!
October 20, 2013
Kehidupan: Disebalik Senyuman Seorang Guru
Gambar oleh sprocketholes.
Walaupun alam persekolahan telah lama ditinggalkan, hubungan saya dengan guru-guru saya tidak luput. Saya kembali untuk menziarahi mereka yang masih berbakti dan duduk bersembang dengan mereka – hati ke hati.
Mungkin kerana saya sudah besar panjang dan bukan lagi budak hingusan di bangku sekolah, guru-guru saya rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan mereka kepada saya.
Garis-garis di wajah mereka sudah cukup untuk menceritakan penat lelah dalam bidang kerja yang mereka pilih dengan rela hati. Barang kali inilah kerja yang mereka impikan selama ini, untuk mendidik anak-anak bangsa.
Ironinya ialah, impian mereka untuk mendidik tidak dapat dipenuhi dengan bekerja sebagai seorang guru.
Berikut merupakan senario ringkas yang saya adaptasikan berdasarkan luahan beberapa orang guru:
Pentadbiran: Baiklah cikgu semua, sekarang bulan Januari. Cikgu diberi masa sehingga September untuk habiskan silibus kita. Tolong bentangkan pelan pengajaran cikgu untuk tahun ini.
Cikgu: Ini dia pelan kami. Dengan pelan ini, kami dapat habiskan silibus dalam masa yang diberikan. Dengan pelan ini juga, kami boleh mengajar dengan kelajuan yang sederhana. Tidak terlalu laju untuk anak-anak murid.
Pentadbiran: Bagus! Kami punyai satu pengumuman: kita akan menyambut satu acara tidak lama lagi. Semua pelajar wajib hadir.
Cikgu: Oh, jika begitu, pelan pengajaran kami akan tergendala. Bagaimana?
Pentadbiran: Boleh cikgu tolak ke hadapan pelan tersebut untuk memberi ruang kepada acara ini?
Cikgu: Baiklah.
Pentadbiran: Bagus! Jangan lupa, beberapa minggu selepas itu kita akan adakan majlis besar di sini. Semua pelajar wajib hadir juga. Kita akan berikan cenderahati kepada yang hadir.
Cikgu: Oh ye ke? Terpaksalah kami buat kelas tambahan untuk keep up dengan pelan kami. Kami terpaksa mengajar dengan lebih laju.
Pentadbiran: Hebat! Oh, tak lama lagi ada VIP yang ingin melawat kita. Dia ingin memantau progress kita camna.
VIP datang.
VIP: Hmm…belum menepati standard.
VIP balik.
Pentadbiran: Selepas lawatan VIP, dia tekankan kepada kita supaya kita tingkatkan performance kita. Kita ketinggalan skit dengan silibus kita. Keje umah pun tak cukup.
Cikgu: Baiklah. Nampaknya kami terpaksa buat lebih banyak kelas tambahan dan bagi lebih banyak homework. Kami akan ajar dengan lebih laju.
Pentadbiran: Awesome! Untuk pengetahuan cikgu, ada seorang lagi VIP yang akan lawat sekolah kita. Kita akan adakan majlis besar untuk menyambutnya. Semua murid dan guru diwajibkan hadir ye.
Cikgu: Tapi…kami sudah kesuntukan masa.
Pentadbiran: Beliau merupakan tetamu kehormat.
Cikgu: Baiklah. Kami akan adjust pelan kami sekali lagi.
Pentadbiran: Terbaik! Oh, sekarang ni dah bulan September so harap-harap silibus kita akan dapat dihabiskan by the end of this month. Apa progress kita sekarang?
Cikgu: Umm…kami baru cover 60% silibus. Itu pun cover laju-laju.
Pentadbiran: Say what?! Belum cukup bagus ni. Final exam dah hampir. Lepas silibus tamat, kita kena buat latih tubi lagi.
Cikgu angguk sahaja.
Cikgu: Kalau macam tu, kami akan go turbo. Kami akan banyakkan keje umah dan kelas tambahan.
Di dalam kelas…
Cikgu: Tolong buat latihan daripada bab 5 sampai 10. Hantar kepada saya minggu depan.
Pelajar: Cikgu, banyaknya keje! Ni belum masuk subjek-subjek lain lagi ni.
Di dalam pejabat guru…
Ibu Bapa: Kenapa cikgu bagi banyak sangat keje umah ni?! Kesian anak saya.
Cikgu: Maaf. Kami kena habiskan silibus. Sudah kesuntukan masa.
Ibu Bapa: Macam mana boleh tergesa-gesa time last minute ni? Takkan takda pelan pengajaran kot?
Cikgu: Ada. Tapi atas beberapa sebab di luar kawalan kami, kami kena tangguh banyak benda dan kena cover balik apa yang tertangguh tu.
Final exam menghampiri.
Pentadbiran: Hello cikgu semua, kita ada acara besar coming up. Suma pelajar wajib hadir ye. Tolong push ke depan skit pelan pengajaran anda. Oh ye, jangan lupa untuk habiskan silibus ek?
Cikgu: …
Walaupun senario di atas merupakan sebuah dramatisasi hasil imaginasi saya sahaja, sentimen yang ingin saya sampaikan merupakan refleksi realiti kehidupan seorang guru.
Mana mungkin para pendidik ini mendidik anak-anak murid jika usaha-usaha mereka kerap kali dihalang?
Mungkin realiti ini tidak dikongsi oleh semua guru di semua tempat. Saya tidak berniat untuk mewarnai semua keadaan dengan satu warna sahaja. Niat saya hanya untuk memberikan pencerahan tentang pengorbanan beberapa orang guru yang saya kenali.
Saya pasti ada banyak lagi kisah pengorbanan seorang guru. Tetapi dalam banyak-banyak kisah tersebut, berapa banyak yang diluahkan? Berapa banyak pula yang dibisukan begitu sahaja, disebalik senyuman seorang guru?
Aiman Azlan
21 Oktober 2013
Mississauga, Canada
Fotografi: Pasca Adha
| Bayt Bujang Beriman | Irbid, Jordan |
( Sony Alpha Nex-5N | f4 | 1/60 | ISO500 )
Melapah dan memotong daging pastinya tidak dapat dipisahkan sempena setiap tahun menyambut Aidil Adha.
Susah senang sama dirasa.
Pasca Adha,
Moga terhadam makna pengorbanan.
Salam Adha 2013.
October 14, 2013
Poster: Salam Aidiladha 1434H
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah
tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berbuat baik.”
(22:37)
Kullu ’aam wa antum aqrabu illallah!
Komik: Diari Seekor Lembu
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan”
[Hadith Riwayat Hakim, Ibnu Majah & Tirmizi]
Binatang korban.
Kadang kita layan tanpa ehsan.
Kita tarik, kita seret.
Kita bentak, kita henyak.
Pisau tumpul.
Bunuh berdekatan.
Mana pergi hak mereka?
Sedangkan.
Dialah kenderaan kita.
Menuju Pencipta yg Esa.
Mari.
Kali ini.
Kita latih diri.
Contohi peribadi baginda nabi.
Berbuat ehsan kepada binatang.
Salam aidilAdha.
Moga kita semua berada dalam redhaNya.
Allah, kuatkan kami dengan Islam.
Allah, kuatkan Islam dengan kami.
Mari menjadi hamba.
October 11, 2013
Poster: Golongan yang Sedikit
“Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: ‘Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya.’ (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): ‘Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.’ Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah:
‘Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.’”
(2:249)
October 10, 2013
Komik: Cinta & Pengorbanan
Cinta dusta.
Bila melanggar syariatNya.
Bila lidah kelu bila berjumpa,
Bila hati bergelora saat berdua.
Lelaki.
Perempuan.
Berjumpa.
Berdua.
Tanpa ikatan yg sah,
segalanya boleh menjurus kpd dosa.
Cinta.
Ramai kata;
dari mata jatuh ke hati.
Saat sahabat melakukan dosa.
Saat sahabat dilanda bahaya dan fitnah dunia.
Sentuh hatinya.
tiada tempat lain yg lebih berkuasa.
Hati.
Bagaimana mahu menyentuh hati?
Doa kepada pemiliknya.
Selain itu?
Allah, kuatkan kami dengan Islam.
Allah, kuatkan Islam dengan kami.
Mari menjadi hamba!
Kehidupan: Cinta Ayah Ibuku
Gambar oleh Karl Baron.
Setiap tahun, selalunya keluarga saya akan pulang ke kampung kami di Kelantan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kami sekeluarga akan bermusafir dari rumah kami di Perlis ke Kelantan, dengan menaiki van. Ayah saya memandu dan ibu saya di sebelahnya.
Sebagai penumpang di belakang, kadang kala saya memerhati tingkah laku ayah dan ibu saya di hadapan. Seorang anak akan kerap kali memerhati ayah ibunya dan belajar melalui pemerhatian. Sebagai ayah ibu, harus diingati bahawa mereka itu guru anak-anak mereka sepanjang masa.
Perjalanan dari Perlis ke Kelantan tidak singkat dan tidak mudah. Jalan yang dilalui tidak lurus dari mula sampai akhir. Ada ketika, jalannya berliku-liku dan berbukit-bukit. Sudah tentu perjalanan seperti itu akan memerah kudrat si pemandu – ayah saya.
Sebagai pemandu kedua di sebelahnya, ibu saya akan cuba untuk memastikan ayah saya kekal focus dan bertenaga sepanjang perjalanan supaya kami sekeluarga akan tiba di destinasi dengan selamat. Jadi, peranannya sebagai pemandu kedua tidak kurang pentingnya.
Kadang kala ibu saya akan menyuap ayah saya dengan makanan ringan dan minuman. Kadang kala ibu saya akan mengurut-urut lehernya. Kadang kala bergurau senda seperti budak-budak dan kadang kala bertengkar seketika.
Yang pasti, ibu saya tidak akan membiarkan ayah saya memandu keseorangan tanpa teman. Jarang sekali ibu saya tidur ketika ayah saya sedang memandu kerana dia tidak mahu tinggalkan ayah saya tanpa teman.
Apabila ayah saya terlalu letih, maka ibu saya akan memandu. Apabila kedua-dua tidak mampu memandu, maka kami akan berhenti seketika di R&R berdekatan untuk berehat. Itu dahulu. Sekarang, anak-anak sudah cukup matang untuk memandu maka kami menyumbangkan tenaga.
Apabila difikirkan kembali masa-masa lalu, sebagai seorang penumpang (anak) yang memerhati pemandu-pemandunya (ayah dan ibu), secara tidak langsung saya telah mendapat satu pengajaran yang begitu bermakna.
Ayah dan ibu saya telah mengajar saya erti perkahwinan yang sebenar.
Memandu seorang diri itu tidak mustahil, tetapi ia sukar. Tetapi dengan adanya teman disisi, perjalanan yang sukar menjadi kurang sukar. Dengan adanya pasangan yang halal yang sentiasa di sisi, dia dapat membantu kita tempuhi kehidupan yang sukar.
Perjalanan ini jauh, meletihkan, dan mencabar. Mujurlah kita ada seseorang di sisi untuk mengingatkan kita dan untuk memastikan kita kekal fokus ketika memandu. Kadang kala kita tersesat jalan. Maka sama-sama membantu untuk kembali ke jalan yang asal. Seorang memandu, dan seorang lagi rujuk peta. Kadang kala kereta rosak. Maka harus minta bantuan mekanik.
Itulah kehidupan. Kadang-kadang senang, tetapi kebanyakannya susah, lebih-lebih lagi kehidupan selepas perkahwinan. Penuh dengan cabaran. Cabaran yang diharungi bersama. Kalau inginkan kehidupan yang hanya senang-lenang di dunia ini, maka kita tersilap alam. Kehidupan seperti itu hanya wujud di syurga.
Jangan lupa, kita ada penumpang-penumpang di belakang. Anak-anak kita. Kalau tidak tahu memandu, beranikah kita untuk membawa orang lain bersama? Sudah tentu kita perlukan lesen dan latihan sebelum boleh membawa penumpang.
Bagaimana kita hendak berkahwin jika membimbing anak pun tidak mampu? Sanggupkah kita melihat anak-anak kita terbabas? Sudah semestinya tidak. Sumbangan terbesar kita dalam memastikan mereka tidak terbabas ialah dengan memastikan diri kita sendiri ialah pemandu yang cekap. Pemandu yang cekap akan mendidik penumpang-penumpangnya untuk menjadi pemandu-pemandu masa depan yang juga cekap.
Insha Allah.
Dalam sesuatu perjalanan, kita akan cuba sedaya upaya untuk sampai ke destinasi dengan selamat. Perjalanan yang jauh dan memenatkan akan dirasakan berbaloi setelah kita sampai ke destinasi dan boleh berehat dengan secukupnya. Malah, kita akan lupakan kepenatan kita.
Perjalanan kehidupan ini juga jauh dan memenatkan, dan kita cuba sedaya upaya untuk sampai ke destinasi akhir dengan selamat. Persoalannya ialah, apakah destinasi akhir kita itu? Tempat untuk kita berehat selama-lamanya?
Aiman Azlan
10 Oktober 2013
Toronto, Canada