Hilal Asyraf's Blog, page 79

January 25, 2014

Pencorak Dunia.

34372_140789132601655_100000117083771_394516_3332719_n


 


Pemuda pemudi. Mereka merupakan golongan yang punya potensi yang tinggi, peluang yang luas, tenaga yang banyak, dek kemudaan yang ada pada  diri. Mereka dilihat sebagai pencorak masa hadapan, bakal pemimpin, dan dunia ini mahu atau tidak, akan diwariskan kepada mereka.


Pernah saya, ketika hendak menganjurkan program remaja, disuruh untuk meminta tajaan daripada ahli politik. Alasannya adalah: “Pada mata ahli politik, remaja hari ini, adalah pengundi di masa hadapan. Mereka mesti nak lobi dari sekarang. Kita pula gunakan peluang.” Saya tersenyum. Hingga begitu sekali.


Persoalannya, bagaimana pemuda-pemudi memandang diri mereka pula?


 


Gejala Sosial


Menyebut perihal pemuda-pemudi, pasti akan ada yang mengaitkannya dengan isu gejala sosial. Seakan pemuda-pemudi dengan gejala sosial hari ini tidak dapat dipisahkan. Namun hendak menyalahkan stereotaip tersebut pun agak sukar sebenarnya, apabila golongan pemuda-pemudi sendiri memang lumrahnya kini mudah lalai dan alpa, hanyut dengan kemudaan mereka, melakukan pelbagai perkara yang sia-sia, bahkan ada yang menggelapkan masa hadapan mereka.


Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun.  Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 81,000 anak luar nikah didaftarkan setakat ini. Manakala kajian sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mendapati 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas serta 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan tersebut langsung tidak menyesal, malu atau takut malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan. Statistik Polis Diraja Malaysia pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara 2000 sehingga 2006 ialah 580 orang, majoriti sebanyak 92 peratus adalah bayi baru dilahirkan, manakala 8 peratus adalah janin. Di Lembah Klang saja hasil laporan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 mendedahkan seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari.


Semua ini menimbulkan rasa resah dan gelisah kita terhadap masa hadapan. Kerana pemuda-pemudi inilah yang akan menjadi penggerak dunia pada masa akan datang.


Bagaiamana mahu melorongkan dunia ini kepada jalan yang baik, jika diri pencoraknya sendiri terumbang-ambing?


 


Masa Muda Bukan Masa Berfoya


Pemuda-pemudi  perlu menyedari akan tanggungjawab yang bakal mereka galas pada masa akan datang. Mereka perlu menyelam ke dalam diri mereka, melihat betapa besarnya harga mereka buat sebuah masa hadapan. Justeru mereka perlu segera bangkit dari lena dan mula siaga, mempersiapkan diri. Mempunyai matlamat yang jelas, dan membina perancangan untuk sampai kepadanya.


Masa muda hanya sekali cuma. Tiada kerugian yang lebih besar selain membazirkannya pada perkara yang sia-sia.


Allah SWT berfirman:


“Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan kepada kesabaran.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.


Masa muda bukan masa berfoya. Ianya adalah masa untuk menimba pengalaman berharga, mengorek mutiara ilmu dan membina kerangka fikir yang kukuh, menelusur potensi diri dan mengembangkannya, medan cuba-cuba untuk membina sesuatu yang besar buat masa hadapan diri dan masyarakat sekaliannya.


 


Islam Mendidik Kita Menghargai Kepemudaan


Islam mengajak kita kepada penggunaan masa muda yang bermakna. Hingga Rasulullah SAW pernah bersabda agar kita mengejar masa muda sebelum masa tua. Islam juga sangat menghargai kepemudaan, hingga diselitkan di dalam Al-Quran kisah para pemuda kahfi, di dalam Surah Al-Kahfi.


Pemuda Kahfi adalah sekumpulan pemuda berani yang berjuang mengorbankan kesenangan hidup untuk menyelamatkan keimanan diri. Allah SWT memuji mereka di dalam firmanNya:


“Sesungguhnya merekalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” Surah Al-Kahfi ayat 13.


Penghargaan Rasulullah SAW pada anak muda pula jelas apabila di dalam sirah, baginda membenarkan anak-anak muda berperang bersama-sama baginda seperti Mu’adz dan Mu’awwidz, baginda membenarkan anak-anak muda duduk di dalam majlis ilmu baginda seperti Abdullah ibn Umar, baginda sendiri pernah bersantai menaiki tunggangan dengan anak muda seperti Ibn Abbas, dan baginda hingga pernah melantik jeneral tentera ke Rom dari kalangan anak muda belasan tahun, itulah dia Usamah bin Zaid RA.


Maka bagaimanakah kita menghargai kepemudaan kita?


Saya suka memetik kisah berkait Mu’adz dan Mu’awwidz. Kisah ini diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Auf RA, ketika  perang badar, beliau telah didatangi dua anak muda. Kedua-dua anak muda bertanya kepada Abdurrahman bin Auf RA: “Pakcik, di manakah Abu Jahal?”


Kehairanan, lantas Abdurrahman bin Auf RA bertanya: “Mengapa kamu berdua mencarinya?”


Mereka berdua menjawab: “Kami mendengar bahawa Abu Jahal telah menghina dan menyakiti Rasulullah SAW. Hari ini kami akan tumbangkannya.”


Abdurrahman bin Auf RA kemudian menunjuk kepada Abu Jahal yang sedang dilindungi pengawal-pengawalnya di tengah medan peperangan. Kedua-dua pemuda itu pantas pergi ke sana, menebas musuh yang menghadang, dan kedua-dua mereka berjaya menumbangkan Abu Jahal.


Saya mahu kita semua memerhatikan dengan teliti.


Pertama: Apakah logik untuk dua orang pemuda yang lembik, lemah, untuk menyertai peperangan Badar, dan kemudiannya mampu mengharungi para musuh dan menumbangkan pula Abu Jahal yang perkasa itu? Pastinya tidak.


Ini bermakna, Mu’adz dan Mu’awwidz bukanlah pemuda yang membazirkan masa di rumah dengan perkara yang sia-sia. Mereka nyata telah mempersiapkan diri mereka, agar benar-benar ‘fit’ untuk berjuang bersama-sama Rasulullah SAW.


Kedua: Ketika ditanya mengapa mereka mencari Abu Jahal, mereka menjawab – “Kami mendengar bahawa Abu Jahal telah menghina dan menyakiti Rasulullah SAW. Hari ini kami akan tumbangkannya.”


Jelas bermakna Mu’adz dan Mu’awwidz bukan remaja/pemuda yang tidak cakna dengan isu semasa. Mereka tidak rasa itu hanyalah urusan orang tua. Jelas mereka peka dan sensitif, ambil tahu, menyebabkan lahir rasa tanggungjawab yang memacu mereka ke medan perang, menegakkan keadilan untuk Rasulullah SAW.


Bagaimana kita?


 


Pemuda-pemudi, lakarkan masa hadapanmu!


Apakah cita-cita kita wahai pemuda-pemudi?


Apabila saya dijemput ke universiti-universiti, saya sering mengajukan soalan: “Siapakah anda lima tahun akan datang?” kepada para pelajar yang hadir.


Rata-rata akan menjawab berkenaan kerjaya mereka. Jika sekarang mereka belajar perubatan, mereka kata lima tahun lagi mereka ialah doktor. Jika sekarang mereka belajar ekonmi, mereka kata lima tahun lagi mereka ialah akauntan atau pegawai bank.


Tidak. Saya tak tanya “Anda akan kerja apa lima tahun akan datang?”


Saya tanya: “Siapakah anda lima tahun akan datang?”


Jika anda hendak jadi doktor, doktor yang bagaimana di tengah masyarakat nanti? Jika anda hendak menjadi arkitek, arkitek yang bagaimana untuk agama nanti? Jika anda hendak menjadi penulis, penulis yang bagaimana impaknya kepada ummah nanti?


Ya. Itu yang saya tanya.


Tiada? Maka hendaklah mula mempunyai cita-cita!


Jika ada, apa perancangannya? Di mana strategi untuk mencapainya?


Tiada? Jika tiada, susunlah sekarang. Cita-cita hanya menjadi anganan jika tidak punya perancangan!


Kemudian laksanakan dengan sabar dan istiqomah.


Sesungguhnya masa hadapan yang cerah berada di tangan pemuda-pemudi hari ini. Seorang menteri juga dahulu seorang budak. Seorang chef terkenal juga dahulu seorang budak. Seorang pegawai juga dahulu seorang budak. Persoalannya, kita mahu jadi ‘budak’ yang bagaimana?


Lakarlah masa hadapan. Isilah masa muda. Islam memerlukan ummatnya untuk tidak menjadi buih yang sia-sia. Islam memerlukan ummatnya untuk bergerak menjadi mutiara-mutiara yang berharga, menjadi Al-Quran yang berjalan,. Menjadi cerminan kepada akhlak Rasulullah SAW, cemerlang duniawi dan ukhrawi, menyempurnakan tugasan sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di atas muka bumi ini.


 


Penutup: Kamu Berperanan Mencorakkan Dunia


Semasa muda, bersungguhlah membina diri. Memperdalam ilmu. Memperkasa jiwa. Selami dan fahami keadaan masyarakat. Supaya kita ada peribadi yang mantap.


Biar kerja apa pun kita, apa pun karier kita, kita menjadi ummat Islam yang signifikan, bukan sekadar angka kosong semata-mata.


Hargai masa muda dengan mengisinya dengan perkara yang menguntungkan ummah di masa hadapan. Ummah memerlukan pemuda-pemudi hari ini untuk tidak hanyut dan dirosakkan. Kerana semuanya berharga sebagai saham masa hadapan, pencorak dunia akan datang.


Ya. Penting. Diri pemuda-pemudi sangat penting.


Tanamkan itu.


Dan mulalah bergerak menghargainya.


Lakar cita-cita.


Esok coraklah dunia mengikut apa yang diredhaiNya.


The post Pencorak Dunia. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2014 05:26

January 24, 2014

TIME is not a rhyme

 



“Time is more than money”

Picture by Tax Credits of flickr.com

Image link 


 


Time is sure a funny being. No one has seen time, but yet it can fly, it can lie, it can run out, and be up. It can be spent, killed, and passed.


In this world where schedules are always tight, assignments are always in sight and headaches are always there to attack, sometimes we feel that we have no time.


“Sorry I’m busy”


“I have no time”


“Too many assignments to be done”


These are normal sayings, or I would say excuses, we hear and say in our daily lives. But the question has to be asked “Are we really busy, busy and busy?”


Are we so busy until we have no time at all for other things?


Let us ponder together.


Everybody is busy


We are all busy. Because of we are always full with this and that. We can give excuses of “Don’t have enough time.”


But something makes me wonder, even though everyone is busy, but why many people can manage time but many others cannot?


If we say we are busy and “Don’t have time”, let’s have Dr. Yusof Al-Qaradawi as an example. He is a host for a program broadcast on Al Jazeera, (“Shariah and Life”), he is a founder of IslamOnline (a popular website), he is this and that (you can check it on Wikipedia en.wikipedia.org/wiki/Yusuf_al-Qaradawi)


Although he is a “busy” man, he has produced more than 120 books in his life as an 85 year old man. He is not a full-time writer who is tucked nicely in his room spending all his life writing without going out from his room. He is a really “busy” man I would say but then again, he seems to be not a busy man.


If he were to give excuses, he would come out with “better excuses” than we do.


“I have books to write”


“I want to prepare for my speech tonight”


If we are really busy, how many books have we written then?


So don’t be silly, silly! Of course we have time! Lack of time is just another excuse to run away. No matter how busy we are, how much we work or socialize or devote our time to other important projects in our life, we always still have some time left over that we might have been currently wasting!



Kill the time killers


The easiest way to save more time is to eliminate meaningless activities from our life. Limit time and fully utilize that limited time with commitment.


It is pointless seeing people waiting while refreshing their Facebook page after they have posted a new status on their wall. If they want to see people hitting the “Like” button or giving any comments, why not just wait after one hour?


The part that needs improvement is our Nafs which results in attitudinal problems. If we can manage to tame our Nafs, our attitude will not be a problem.


But that needs commitment. Can we not do it?


The art of juggling time


The best word to prescribe managing between tasks is not balancing one task to the other. But the word “juggle” is a better word. This is because, when a juggler is juggling several balls, the same amount of attention and force needs to be applied. If not, the ball will lose its balance and fall.


The best of us are those who are best with time. We should never misuse time.


“Abu Huraira reported Allah’s Messenger (may peace be upon him) as saying: None of you should abuse Time for it is Allah Who is the Time, and none of you should call ‘Inab (grape) as al-karm, for karm is a Muslim person.”[1]

Because we are always busy, we need proper time management. If we work without proper management, we might get worn out quickly. We don’t realize that:


“أن الواجبات أكثر من الأوقات”


“Obligations in life are far greater than the time we have to complete them”[2]

In our busy life, we need to allocate also time to rest. A body that is worked continuously will experience fatigue; this will give impact on the heart of someone to be unmotivated from continuing the work.


Saiyidina Ali Abi Thalib said:


”روحوا القلوب ساعة بعد ساعة فإن القلب إذا أكره عمي”


“Relax your heart after sometime it has been used, verily the heart will be blind when it hates something”


It is not encouraged for a Muslim to make efforts out of his capability even though in things related to ibadah. We cannot make sunnah Ibadah until we neglect our other more important responsibilities such as fulfilling our family needs.


Narrated ‘Aisha:


Once the Prophet came while a woman was sitting with me. He said, “Who is she?” I replied, “She is so and so,” and told him about her (excessive) praying. He said disapprovingly, “Do (good) deeds which is within your capacity (without being overtaxed) as Allah does not get tired (of giving rewards) but (surely) you will get tired and the best deed (act of Worship) in the sight of Allah is that which is done regularly.”[3]

We need also to learn how to say “No” to people asking for help because of our limitations. We are the person who knows our strength and weaknesses. It is not that we are reluctant to help people, but we have other things to do. If we say “Yes”, we will suffer the consequences of not finishing our assignments or etc. In dealing with this, I personally remind me this quotation “If we can’t say No, our Yes means nothing.”


Conclusion: Time is not a rhyme


T.I.M.E is only four letters and easy to be said but difficult to be done. It takes all our Time, Independence, Maturity and Energy in fully utilizing T.I.M.E.


Talking about time, I’m not the best person to discuss it. I’ll leave this to you. Your time may not be my time but when the time comes, I want to be with you all the Time I heaven!


TIME is not a rhyme


by: Ameen Misran


What do we say every day?


That makes us all far away,


standing all alone and parting ways.


We claim that we do not have time,


we kept on saying that from time to time,


making it hear like a rhyme.


We say that we are too busy,


too busy and even no time other than study,


as if we are getting ready.


 We complain that “Do not bother me!”


“I am a busy man as you can see!”


“Who are you to come to me?”


But what have we done actually?


Please answer me sincerely!


Have we used it effectively?


 When you say that time is too rigid,


sounds to me that it is stupid,


as stupid as CUPID,


declaring love to man more than ALLAH like it is so significant.


 Why do you say that you do not have time?


When I say all the time is mine?!


MANAGE YOUR TIME and stop your whine.


 Stop claiming that same old claim,


if you do that you will sound lame,


like people searching for fame.


 What do they get?


Is it all that they affirm to get?


They get nothing but only regret.


 Nothing in time will ever be repeated,


GOING BACK AGAINST TIME is definitely an impossible method,


so that is why we have to CAPTURE the moment.


Hear carefully this rhyme,


remember this until the end of time,


TIME WILL NEVER BE A RHYME.


 


[1] Muslim :: Book 27 : Hadith 5585
[2] “Pengurusan Masa Menurut Islam” (“Time Management according to Islam”) by Dr. Yusof Al-Qaradawi pg. 40
[3] Bukhari :: Book 1 :: Volume 2 :: Hadith 41

The post TIME is not a rhyme appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2014 17:44

Allah jauh?

Picture taken from: http://www.deviantart.com/art/99-NAME...


 


Kenapa kita sering melakukan dosa dan maksiat? Berulang kali pula tu. Tanpa segan, tanpa silu.


Kita tahu bahawa maksiat dan kemungkaran itu salah, tapi kenapa kita melengah-lengahkan taubat kita?


Mungkin kerana kita rasa Allah SWT itu jauh. Lambat hendak dicapai. Dan mungkin kerana rasa jauh itu, kita rasa Allah tak nampak? Entah.


Kenapa kita, jarang berdoa dan menggantungkan harapannya kepada Allah dengan bersungguh-sungguh?


Mungkin kerana kita merasakan Allah SWT itu jauh. Kita tidak nampak Allah, membuatkan di dalam diri kita, seakan wujud perasaan kurang yakin denganNya. Seakan-akan Allah itu sangat jauh dan mungkin lambat sampai untuk membantu kita, memakbulkan impian dan harapan kita.


Kenapa kita, dalam mengharungi kehidupan ini, tidak mampu hendak mengaitkan seluruh kehidupan kita dengan Allah?


Mungkin kerana kita rasa Allah SWT itu jauh. Jadi kita fikir, tiada makna mengaitkan urusan hidup dengan sesuatu yang jauh. Sesuatu yang tidak kita nampak dan lihat. Yang entah gembira atau tidak dengan kejayaan kita. Yang entah sedih atau tidak dengan kebencanaan yang menimpa kita. Yang entah hendak memberi ganjaran atau tidak dengan kebaikan kita.


Kerana kita rasa Allah SWT itu jauh, maka bila kita gundah atau resah, maka kita berlama-lamaan di dalam perasaan yang menyempitkan itu.


Namun, apakah benar Allah SWT itu jauh?



Jawapan Allah SWT sendiri


Ini masalah hubungan antara kita dengan Allah SWT. Kita di pihak yang mengharap, dan pemberinya adalah Allah. Maka saya kira, layaklah jika saya gunakan jawapan Allah SWT sendiri untuk hal ini. Sebagai jawapan terhadap perasaan-perasaan kita tadi.


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentangKu, maka sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al Baqarah ayat 186.


“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya.” Surah Qaaf ayat 16.


“Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kami. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang (dengan berbagai cobaan). Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, bilakah akan datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.


Mungkin akan ada yang membahaskan, apakah rapat Allah SWT ini bermaksud memang Allah itu benar-benar di sebelah kita, atau hanya ilmu Allah SWT sahaja yang rapat dengan kita?


Untuk saya, saya tidak suka membahaskan hal itu. Sudah cukup pada saya, saya menerima bahawa Allah SWT itu amat dekat dengan saya. Saya tidak peduli sama ada benar-benar Allah yang berada dekat dengan saya, atau yang dekat dengan saya ini hanyalah ilmu-Nya. Kerana jika saya berada dalam salah satu keadaan itu, tiada apa pun kekurangan untuk saya.


Yang penting, Allah kata  kepada kita – Sesungguhnya Aku amat dekat…


Dan Allah SWT itu tidak pernah memungkiri kata dan janji-Nya.


Pada saya, habis setakat itu. Allah nak dekat dengan saya macam mana, itu urusan Dia.


 


Masalah iman sebenarnya


Allah telah menguar-uarkan bahawa Dia amat dekat. Dia juga berkata bahawa, Dia tidak akan memungkiri janji dan kata-Nya.






“Padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya.” Surah Al-Hajj ayat 47.




Justeru, hendak merasa keberadaan Allah SWT itu dekat atau jauh, terpulang kepada keimanan kita. Hendak yakin atau tidak Allah itu dekat, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Menngetahui, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, itu semua terpulang kepada kita.


Tiada paksaan dalam hendak mengimani semua ini. Tiada paksaan di dalam melaksanakan tuntutan Allah. Tapi, kebenaran itu tetap tidak akan berubah dengan pilihan kita. Kalau kita memilih untuk tidak percaya sekalipun, kebenaran bahawa Allah SWT itu amat dekat tidak akan terubah.


Hatta, kalau satu dunia ini tidak beriman akan kewujudan Allah, Allah itu tetap wujud. Yang beriman tetap akan masuk syurga walau seluruh dunia menyeksanya. Yang tidak beriman tetap akan masuk neraka walau seluruh dunia menyayanginya.


Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.


Namun tanda kewujudan Allah, keberdekatannya dengan hamba-Nya, sudah terbukti sebenarnya. Kan? Saya yakin ramai orang pernah merasa.


Sekarang pilihan dibuka. Siapa hendak beriman dengan keimanan yang sebenarnya?


Allah itu dekat. Dia tidak jauh.


Keimanan inilah yang membantu kita dalam langkah seterusnya. Bila yakin bahawa Allah itu bukan sekadar ada, malah dekat, sentiasa memerhati, mendengar dan memberikan sokongan, maka dunia ini akan mampu kita lalui dengan baik, segala perintah-Nya mampu kita jalankan dengan kemas.


Siapa yang susah bila dia berdua? Tambahan bila yang bersamanya itu adalah Yang Tidak Terkalahkan Oleh Sesiapa?


Sebab itu, kalau kita sorot kembali dakwah Rasulullah SAW, masalah keimanan ini adalah yang baginda selesaikan terlebih dahulu.


Nah, bagaimana keimanan kita?


 


Bila sudah yakin


Bila kita sudah yakin bahawa Allah SWT itu amat dekat, maka hilanglah segala resah gelisah. Susah senang dalam hidup ini kita akan harungi dengan tabah. Bila sedih kita ada tempat mengadu, bila gembira kita ada tempat bersyukur. Bila susah kita ada tempat nak minta tolong, bila senang kita ada tempat untuk luahkan kesenangan kita.


Kita juga akan rasa malu untuk membuat kerosakan dan kemungkaran. Ya, bayangkan anda mencuri di hadapan orang ramai. Adakah anda meneruskan pencurian anda dalam keadaan dilihat? Begitulah apabila kita yakin Allah itu dekat. Tidak segan kah anda berbuat maksiat dengan pemerhatian-Nya?


Kalau kita terbuat juga salah, dosa, maksiat, mungkin teralpa, terlalai atau jatuh dalam kecuaian, maka kita dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat, akan segera kembali kepada-Nya, segera meminta keampunan daripada-Nya. Terasa malunya diri, bermaksiat di hadapan-Nya, dalam pemerhatian-Nya.


Sebab itu Ibrahim Adham pernah berkata kepada seorang lelaki yang ingin bermaksiat:


“Kamu boleh bermaksiat, dengan syarat kamu cari satu tempat untuk berlindung dari pandangan Allah SWT”


Di manakah kita hendak cari tempat itu? Semuanya yang ada dalam kehidupan ini, hatta sempadan dunia ini sekali pun, semuanya di dalam liputan kekuasaan pemerhatian Allah SWT. Allah SWT itu, berkuasa atas segala-galanya.


“Dia meliputi segala sesuatu.” Surah Fushilat ayat 54.


Kalau kita gundah, jangan segan menangis di hadapan-Nya. Dia amat dekat, pertolongannya sentiasa ada. Bila susah, segera mengadu kepada-Nya. Dia lebih dekat dengan kita daripada sesiapa yang dekat dengan kita.


Bila sudah yakin, semua ini anda akan rasa kenikmatannya.


 


Saya dah buat, tapi tak dapat bantuan pun


Ya. Kadangkala, ada situasi, Allah SWT melambatkan bantuan-Nya. Itu adalah ujian. Ujian menguji keimanan kita. Kadangkala, Allah SWT tidak memberikan kita apa yang kita mahu. Namun siapakah kita hendak demand dengan Allah? Kita sendiri tidak tahu apa yang buruk dan baik sebenarnya untuk kita. Allah SWT itu lebih mengetahui.


Sebab itu saya bangkitkan masalah keimanan terlebih dahulu. Yakin kah kita bahawa segala apa yang Allah atur, beri kepada kita adalah yang terbaik?


Jangan risaukan natijah. Yang kita perlu risaukan adalah usaha. InsyaAllah, selepas usaha, segala natijah yang Allah beri adalah yang terbaik. Yakin dengan itu, semua kesusahan, kegundahan, keresahan, akan selesai.


Cuma mungkin, kita hendak rasa apa yang Allah atur itu terbaik, lambat sedikit. Kita tiada pengetahuan seperti Allah SWT. Mungkin kita hanya akan tahu perkara itu baik kepada kita, 10 tahun akan datang. Namun saya yakin, kita akan menyedari.


 


Penutup: Maka jangan lengah merapati-Nya


Maka, apakah masih pantas untuk kita berlengah-lengahan terhadap Allah SWT?


Allah amat kasih dan cinta dengan kita. Sangat dekat. Kenapa kita tidak boleh membuat permulaan, walaupun dengan langkahan kecil untuk mendekati-Nya? Kedekutnya, bakhilnya, tidak malunya kita berlagak sedemikian rupa. Sedangkan Allah SWT yang memiliki segalanya merapati kita. Kenapa kita yang memerlukan Allah SWT tidak bergerak mendekati-Nya?


Kita hanya perlu bergerak selangkah, Allah mendekati kita seribu langkah. Kita hanya perlu berjalan merapati Allah, Allah akan mendekati kita dalam keadaan pantas.


Ya Allah, apakah ada lagi yang sebaik Engkau dalam dunia ini?


“Cukuplah bagi kami Allah, dan Dia adalah sebaik-baik wakil(pengurus)” Surah Ali-Imran ayat 173.


Jangan lengah. Nanti kalau peluang benar-benar hilang(mati, kiamat) baru hendak tergadah.


Mari kita rasa Allah dekat dengan kita. Hidup benar-benar dengan perasaan bersama-Nya. Percayalah cakap saya, orang yang punya perasaan ini, dia sentiasa akan berjaya.


The post Allah jauh? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2014 03:26

January 23, 2014

Mahalkan Dirimu. Jangan Mudah Jatuh Cinta.

Comp 5_00062-horz


 


Jatuh cinta. Memang hangat. Saya akui kerana saya pernah lalui. Kadangkala sukar untuk kita berfikiran waras ketika mengharunginya. Kita lebih suka mengikut jiwa dan perasaan, berbanding akal yang dikurniakan olehNya.


Namun alhamdulillah, satu perkara yang saya syukuri dalam kehidupan saya adalah proses dakwah dan tarbiyah yang berjalan. Proses ini memberikan kesedaran, membuatkan saya faham bahawa cinta itu bukan yang utama di dalam kehidupan. Ada yang lebih utama.


Hari ini, begitu juga dengan hari-hari semalam, dan tidak saya terkejut jika hari-hari ke hadapan, remaja dan pemuda-pemudi teruja dengan cinta. Asyik.  Mainan perasaan menjadikan diri ketagih akan perhatian insan yang didambakan. Kadangkala sibuk kita dengan 1001 ciri perempuan lelaki idaman, buat diri sibuk bertanya: “Diakah jodoh aku? Diakah jodoh aku?” Hingga segala kebetulan seakabn-akan merupakan ‘petanda daripada Tuhan’.


Ini melemahkan.


Dan saya menyeru pemuda dan pemudi, dari lohong ini, diri itu dikeluarkan.


 


Cinta Perlu Difahami Sedari Awal.


Saya amat menegaskan betapa cinta dan kefahaman akannya perlulah dididik di dalam jiwa remaja semenjak awal. Bukan untuk menyuruh mereka kahwin awal, tetapi adalah supaya mereka tidak mengambil definisi cinta, cara-cara bercinta, daripada sumber yang rosak, yang wujud di kiri dan kanan mereka kala proses pendewasaan.


Hari ini, definisi cinta dan cara bercinta, diambil secara tidak langsung tanpa disedari, daripada filem-filem, drama-drama, novel-novel pop dan sebagainya. Membuatkan secara tidak langsungnya, apabila disebut cinta, atau apabila jiwa diserang perasaan cinta, automatik mereka akan melaksanakan sebagaimana yang mereka tahu dan faham melalui sumber-sumber yang sedemikian.


Justeru saya menegaskan agar kita punya silibus berkenaan cinta, perkahwinan dan rumahtangga semenjak tingkatan satu lagi, agar remaja kita tidak membesar dengan definisi cinta yang tidak syara’, lantas mengimplimentasikannya dengan cara yang tidak benar.


Cinta yang silap inilah yang membuatkan manusia apabila bercinta, menjadi tidak keruan. Kerana disangkanya cara untuk menyampaikan rasa cinta kepada orang yang dicintai mestilah dengan ayat-ayat asmara yang berbunga-bunga, dengan perkataan cinta dan sayang. Cinta mestilah keluar bersama-sama, berdua-duaan, berpegangan tangan, bersentuhan. Bahkan, wujud tafsiran cinta pada hari ini mestilah dibuktikan dengan seks, dan dikatakan itulah kemuncak cinta.


Tidak hairanlah remaja kita, apabila disambar dengan halilintar cinta, diri jadi entah apa-apa. Tambah zaman laman sosial hari ini. Hingga ada yang tanpa segan silu update gambar dirinya dan kekasihnya, berpelukan, berciuman, walau belum lagi berkahwin. Bahkan, lebih dari itu, berani pula mengharap ‘keredhaan’ orang ramai atas hubungan yang melanggar batasan syara’.


Bagi yang ‘Islamik’ sedikit, walaupun mungkin tidak keluar bersama, ramai yang terjebak dengan SMS, email, chatting, poster-poster ‘cantik’ berkenaan cinta, puisi-puisi jiwang, dan pelbagai lagi. Kemudian masa banyak dihabiskan dengan isu bakal makmum dan bakal imam. Belum dikira dengan sibuknya kita nak menilai beberapa perkara seperti ‘mimpi’, ‘kebetulan-kebetulan’, yang kita rasa, merupakan petunjuk daripada Allah SWT.


Ini melemahkan.


 


Memahalkan Diri.


Manusia ini kalau tidak punya apa-apa, tidak berhargalah ia.


Maka sepatutnya, pada usia masih muda ini, kita sibukkan diri dengan mencari ‘apa-apa’ untuk dimasukkan ke dalam diri kita agar kita menjadi berharga. Mahal. Semestinya ‘apa-apa’ itu adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan berharga juga. Kalau diisi dengan sampah, maka sampahlah kita.


Berapa banyak buku telah kita telaah?


Berapa banyak program pemantapan minda dan peribadi yang telah kita hadiri?


Dalam lautan ilmu itu pula, setelah mendapat kefahaman akannya, berapa banyak pula yang kita implemenkan dalam kehidupan kita?


Apakah kita ini cakna isu semasa?


Pandaikah kita menguruskan wang?


Bijakkah kita dalam meneruskan survival hidup?


Sudahkah kita memulakan perjalanan untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak nanti?


Sudakah kita memulakan usaha membina diri agar mampu menjadi suami dan isteri yang baik kepada pasangan kita nanti?


Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda kita. Menjadikan diri kita mahal. Bukan sibuk dengan – Apakah dia jodoh aku? Apakah dia jodoh aku? Inikah petandanya dia jodoh aku? Apakah mimpi aku semalam merupakan satu petunjuk? Apakah dia bakal imamku? Apakah dia bakal makmumku? Macam mana hendak melamar? Macam mana nak hadapi lamaran seseorang? –  terlebih dahulu.


Kita di dalam pengajian akademik kita, kita punya tahapan. Maka begitulah kita dalam proses percintaan. Dalam hendak mendirikan rumahtangga. Kita bukan terus skip kepada “Bagaimana hendak melamar dan menerima lamaran.”


Kerana itu, saya bersetuju dengan pendapat Ustaz Hasrizal di dalam salah sebuah status Facebook beliau apabila beliau berkata bahawa beliau lebih senang jika kita berikan peluang diri kita ‘membesar’. Mengembara melihat dunia, menambah ilmu dan mematangkan jiwa, sebelum kita sibukkan diri dalam kancah cinta.


Ini tidak. Semenjak sekolah menengah sudah mula sibuk dengan cinta. Sibuk dengan frasa bakal imamku, bakal makmumku. Kala berusia mahasiswa yang sepatutnya kita teguk pengalaman untuk menjadi pemimpin dan membina ummah, mempersiapkan diri untuk menjadi yang bermakna buat masyarakat, kita sibuk dengan asmara dan fantasi rumahtangga. Persediaan entah ke mana.


Kemudian kata hendak berumahtangga, hendak membawa pasangan ke syurga?


Bagaimana hendak ke syurga kalau diri itu tidak punya apa-apa persediaan ke arahnya?


 


Duduk, Dan Timbalah Pengalaman.


Tenangkanlah jiwa. Bebaskanlah  diri dari segala filem, drama dan novel-novel cinta yang membuatkan kita sibuk untuk menjadi sepertinya. Lihat semula diri, dan tanya apa matlamat untuk berada di atas muka bumi. Lihat sebentar kepada rumahtangga, dan selami realitinya. Rumahtangga itu bukannya syurga secara muktamadnya. Rumahtangga hanya akan menjadi syurga, jika kita bergerak mempersiapkan diri kita. Jika tidak, rumahtangga boleh menjadi neraka buat kita.


Rumahtangga punya 1001 tanggungjawab. Rumahtangga bukan hanya kisah dua orang berkasih sayang menjalin hubungan asmara. Rumahtangga adalah asas kepada ummah!


Dan Allah telah copkan tanggungjawab yang besar di dalamnya:


“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.


Maka mengapa tergesa-gesa dengan perasaan. Hidupkan minda kita. Imbangi perasaan itu. Bergerak persiapkan diri.


Duduklah sebentar, menimba pengalaman. Daripada sekeliling, daripada orang-orang yang telah mendahului kita, daripada orang-orang yang lebih tua, daripada kitab-kitab agama dan penyampaian-penyampaian berkenaan rumahtangga.


Bukan kita terjah dahulu alam cinta, kemudian baru mencari itu semua.


Kita ada matlamat hidup yang lebih besar daripada cinta.


 


Penutup: Mahalkanlah dirimu. Jangan Mudah Jatuh Cinta.


Jadilah manusia yang mempunyai kesedaran. Yang bukan sibuk dengan mainan perasaan.


Kadangkala bila kita sibuk dengan mainan perasaan, maka ‘disakat’ sedikit, jiwa sudah gelabah. ‘Diuji’ sedikit, kita telah rebah. Sedangkan ummah memerlukan kita untuk kuat dan gagah. Agar kita mampu menggerakkan ummah ini ke hadapan, bukan ke belakang.


Kita perlu ingat, selepas berumahtangga, akan masih ada kerja-kerja. Bukannya terus mati dan masuk ke syurga. Bukan.


Maka kita perlukan susuk tubuh yang kuat untuk menompang tanggungjawab ini.


Dan itu tidak akan kita perolehi dengan sibuk berperasaan semata-mata.


Bukalah mata, bangkitkanlah kesedaran jiwa.


Cinta itu mungkin, sedang mati itu pasti menjemput kita.


Allah tidak bertanya kita berjaya berkahwin dengan orang kita cinta atau tidak, tetapi Allah akan bertanya bahawa umur kita, di mana telah kita usahakan atasnya.


Marilah, mahalkan diri kita.


Jadilah hambaNya yang berguna.


—————


Full


The post Mahalkan Dirimu. Jangan Mudah Jatuh Cinta. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 23, 2014 07:24

January 22, 2014

Fitnah-Fitnah Akhir Zaman

broken_time_by_youman-d4dkyn6


Usia manusia semakin lama semakin tua. Begitu juga dunia. Kerna setiap yang hidup itu ada matinya. Setiap permulaan ada penghujungnya. Sebelum mencapai kepada pengakhiran kebiasannya terpampar pada manusia tanda-tandanya. Dunia yang kita berpijak di atasnya ini tidak terkecuali. Semakin hampir kepada penghujung usianya (dunia) terdapat tanda-tanda yang boleh kita renung semula. Apakah ia?


 


Hadis Fitan


Abu Hurairah merekodkan daripada Nabi sallahu alaihi wasalam(s.a.w) bersabda:


Masa terasa pendek, amal soleh berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah (maksiat) berleluasa, dan banyaknya kekecohan. Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah kekecohan tersebut? Nabi s.a.w menjawab: “Pembunuhan-pembunuhan”.


(HR Bukhari no. 6659[i] / HR Muslim no.4805[ii])


 


Penerangan Hadis


 


1.  Masa terasa pendek


Dalam menerangkan tentang frasa ini terdapat beberapa pendapat ulama’:


Imam Al-Khatabi: Ia adalah kelazatan dalam kehidupan yang membawa maksud berlaku ketikamana manusia keluar daripada rahim ibunya dan dipertanggungjawabkan kepadanya amanah di muka bumi. Dengan itu, manusia itu berlaku adil dan dia merasa keseronokan dalam kehidupan, tetapi masanya singkat. Hingga sekarang, kebanyakan manusia merasa pendek pada saat manis dalam kehidupan walaupun sebenarnya ia panjang, sebaliknya merasa panjang waktu-waktu yang dibenci meski ia pendek.


Al-Hafizh Ibn Hajar [M 852H]mengambil kata-kata Al-Karmani dalam memberi komen terhadap pandangan Imam Al-Khatabi, bahawa ianya kurang tepat dek kerana ia tidak bersesuaian dengan tersebar luasnya fitnah-fitnah yang lain yang telah disebutkan dalam hadis yang sama selepas itu. Namun, pendapat beliau (al-Khatabi) bersesuaian dengan zaman beliau yang masih terjaga dari pelbagai sudut dalam hal kebaikan[iii].


Justeru, beliau (Ibn Hajar) mengambil pendapat Imam Nawawi [M 676H]yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan masa terasa pendek itu adalah dekatnya manusia kepada hari kiamat[iv]. Selain itu, ia juga boleh menggambarkan bahawa masa yang manusia punya, tidak membawa keberkatan dalam kehidupan.


Jika kita renung semula kehidupan kita sehari-hari, masa yang berlalu terlalu pantas. Kita seakan-akan tidak mampu untuk menjangkau sesuatu amalan kebaikan melebihi rutin harian. Bekerja atau belajar. Tiada tambahan ibadah melainkan yang diwajibkan Allah. Hal ini, terjadi kerana kita gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Banyak perkara sia-sia yang bermain dalam minda dek kerana kita selalu ingin berasa selesa. Kita janggal untuk meninggalkan kebiasaan hidup kerna kita tahu mencari kebenaran itu perlu pengorbanan.


Oleh yang demikian, keselesaan itu sebenarnya membunuh kehidupan. Umat yang terdahulu berjaya bukan kerana mereka sekadar hidup bersama nabi s.a.w bahkan berjuang menitis air mata dan darah dalam perjuangan mengangkat panji islam. Mungkin kita tidak sehebat mereka. Tidak pula perlu mengangkat senjata. Namun, dalam bidang yang kita ceburi pastikan ada manfaat untuk agama Ilahi.


 


2. Berkurangnya Amal


Berkurang amal di sini  membawa dua maksud sama ada amal manusia di dunia atau amal kebaikan manusia di akhirat kelak disebabkan kurangnya manusia keberkatan masa seperti yang disebutkan di atas, maka manusia itu kurang mampu untuk beramal soleh natijah dari masa yang seakan-akan terhad.


Dari pandangan lain, berkurangnya amal boleh juga digambarkan kerana mungkin manusia itu beramal soleh namun terdapat kecacatan padanya dek kerana salah laku niat atau cara disamping  berlaku banyak pengkianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sama ada pemimpin merobek khazanah rakyat, yang berkuasa berterusan menindas yang kurang upaya, ahli ilmu tiada amanah dalam menyampaikan dan sebagainya.


Terdapat juga dalam riwayat yang lain direkodkan bahawa berkurangnya ilmu ganti kepada berkurangnya amal. Boleh jadi makna berkurangnya ilmu adalah kita mudah lupa akan apa yang kita pelajari. Hal ini seringkali terjadi. Mungkin kerana kekurangan kesungguhan kita dalam mendalami sesuatu ilmu dan juga berpunca daripada sistem pendidikan yang kurang memberikan kesan terhadap budaya dan cara fikir manusia.


Selain itu, berkurangnya ilmu juga boleh berlaku dengan cara Allah mencabut nyawa ahlinya(ulama’) dan tidak ada pengganti yang secocok sepertinya. Dalam hadis yang lain nabi sallahu alaihi wasalam menyebutkan dari Abdullah ibn ‘Amr ibn ‘As:


 


“Sesungguh Allah tidak mencabut ilmu itu dengan mengambilnya daripada dada-dada manusia, tetapi dengan mematikan ulama’-ulama’. Maka tinggallah dunia ini mengambil orang-orang yang jahil sebagai ketua atau tempat rujukan mereka. Bila ditanyakan kepada mereka maka mereka akan menjawab dan memberi saranan tetapi dalam keadaan yang tiada ilmu tentangnya, maka terhumban manusia dalam kesesatan yang berpanjangan.”(HR Bukhari no.98[v]/ HR Muslim no.4806[vi])


 


Perkara ini benar-benar berlaku kini. Kita lihat umat era ini tidak kurangnya dari sudut sumber ilmu. Bahkan apa yang tercatat-catat dalam lembaran buku-buku muktabar tidak bisa dinafikan kesahihannya dan tidak punya saringan. Namun, realiti yang berlaku sesetengah umat ini khususnya dalam bidang agama dan amnya kepada semua mungkin semakin bijak dalam pengetahuan masing-masing, malangnya ilmu itu digunakan bukan pada tempatnya. Maka terjadilah banyak perbalahan yang tidak berkesudahan dalam perkara-perkara cabang yang sebenarnya telah lama diperbincangkan.


Berkaitan dengan ulama’-ulama’ yang telah dipanggil semula mengadap-Nya juga menjadi buah telinga kita pada hari ini. Semakin ramai pula dalam kalangan mereka dijemput menghadap Allah. Bahkan hari ini sukar untuk umat dibimbing oleh imam-imam besar dalam bidang hadis mahupun fiqh seperti umat dahulu. Malah kematian para ahli ilmu dewasa ini semakin bertambah kian hari. Natijahnya, manusia diambang dalam kesesatan.


 


3. Kebakhilan Bermaharajalela


Intisari daripada frasa ini adalah manusia zaman ini bersikap tamak bahkan lebih buruk lokek (kedekut) pula untuk berkongsi kepada manusia yang lain. Pelbagai sudut yang boleh dimaksudkan kebakhilan yang melanda umat ini:


i-  Orang yang berilmu kedekut dengan ilmunya maka dia meninggalkan untuk mengajarkan manusia dan mengeluarkan fatwa yang membantu manusia.


* Perkara ini ternyata berlaku. Dari sudut lain, boleh juga kita tengok bahawa ramai orang mengajar sesuatu ilmu tetapi bukan memberi manfaat kepada manusia bahkan menambahkan lagi kecelaruan dek kerana ilmu yang tulen tidak lagi disebarkan dengan adil


ii-  Orang yang mempunyai kelebihan dalam apa jua bidang meninggalkan untuk mengembangkan kelebihan kepada orang yang lain kerana bimbang disaingi.


iii-  Orang yang kaya bakhil dengan hartanya hingga orang-orang miskin terbinasa.


* Dalam sistem kapitalis yang ada sekarang ini, perkara ini menjadi barah berlarutan. Si kaya bertambah kaya. Yang miskin kekal miskin. Dari satu sudut mungkin terzahir orang yang kaya atau pimpinan ini memberi bantuan kepada goloangan miskin yang memerlukan. Hakikatnya mereka merompak kekayaan yang ada dan menindas golongan marhaen.


 


4.  Fitnah (maksiat) berleluasa.


Melihat pada era globalisasi kini, kita lihat maksiat begitu mudah menjalar masuk dalam jiwa manusia. Jika bukan manusia itu yang mencari asbab-asbab yang nyata kepada maksiat, namun kejahatan itu juga bisa turut menusuk melalui niat baik kita. Sebagai contoh dalam pada penggunaan facebook atau twitter atau selainnya, kadang-kadang kita tidak terlepas daripada terpandang iklan-iklan yang termampar yang mana sudah tentu banyak keburukan dari sudut etika.


Belum lagi bicara tentang gadjet yang serba canggih yang mana hari ini menjadi suatu perkara yang asing jika anak muda tidak membawanya. Penggunaan gadjet-gadjet tersebut juga tidak terlepas daripada dosa-dosa kering. Bagaimana pula dengan  perlakuan serta hubungan muda-mudi kita sekarang?


Maksiat dan dosa itu dipandang enteng, dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Hatta orang lain yang terdiri dari ibupa kadang-kadang dan juga masyarakat yang lain tidak bisa menegur perlakuan buruk yang dilakukan. Justeru, atas sebab-sebab ini kita melihat fitnah maksiat itu semakin berleluasa dan menjadi barah yang semakin parah.


Bukan niat saya menghalang untuk menggunakan segala bentuk kemudahan yang ada. Adapun jika ianya diguna ke arah kebaikan maka ia lebih membawa manusia itu dekat dengan tuhan. Bukan juga untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi berbalik kepada menyalahkan diri sendiri yang tidak berusaha untuk mengubah masyarakat kepada lebih baik. Jika tiada kemampuan maka berusahalah menjadi masyarakat yang baik sudah memadai.


 


5.  Banyaknya kekecohan


Berdasarkan riwayat dalam hadis yang disebutkan di atas kekecohan yang banyak berlaku adalah pembunuhan. Tidak dinafikan lagi, akhir zaman ini banyak berlaku pembunuhan akibat daripada peperangan sesama manusia kerana tamakkan harta, kuasa atau bertitik tolak atas kebencian terhadap sesuatu agama. Melihat contoh yang berlegar disekeliling kita seperti yang berlaku di Syria, Palestin dan lain-lain negara.


Dalam riwayat yang lain disebutkan maksud kekecohan itu belaku disebabkan ‘pembunuhan’ dengan lisan. Tidak perlu terbang jauh untuk mengukir contoh. Dalam negara kita sendiri banyak perpecahan dan kekecohan atas sikap tidak amanah ahli ilmu dalam pelbagai bidang dalam pada menyampaikan ilmu lebih lagi dalam melaksanakannya dalam urusan berkaitan dengan manusia yang lain pula.


 


Dunia semakin tenat 


Tanda-tanda di atas tidak terhenti sekadar itu. Bahkan umat hari ini lebih berani seperti seakan-akan menentang kekuasaan Allah s.w.t dengan ‘mengambil tempat’ dalam menentukan sesuatu hukum yang berkaitan. Sebagai contoh dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi ‘Amir Al-Asyaari, Rasulullah s.a.w bersabda:


Akan terjadi dalam kalangan umatku yang mana ada sekelompok manusia yang menghalalkan zina dan sutera.  (HR Abu Dawud)[vii]


Hadis ini menunjukkan contoh bahawa antara perkara yang semakin menular dalam masyarakat kita berkaitan zina. Mungkin secara zatnya perbuatan zina itu ditentang, tetapi bagaimanapula dengan jalan-jalan yang menuju ke arahnya berupa filem yang merosakkan, lagu-lagu yang mengkhayalkan dan pelbagai aktiviti bercampuran jantina yang berleluasa?


Dalam pada itu, hadis ini juga menjukkan bahawa pemakaian sutera juga tidak dibenarkan. Tetapi hari ini melihat bukan sekadar bahan pakaian itu yang menjadikan ianya haram, bahkan fesyen-fesyen yang melampau yang mendedahkan aurat semakin giat diteroka. Bahkan lebih buruk ia disokong oleh orang-orang yang berautoriti dalam negara.


 


 


Kesimpulan


Sudah tentu fitnah-fitnah yang berlaku atau menjadi tanda-tanda kecil bahawa kiamat itu sudah hampir dengan kita. Adapun, apa yang disebutkan dalam hadis ini merupakan ‘ibu’ kepada fitnah-fitnah yang lainnya. Bukan ketakutan yang cuba saya gambarkan dalam artikel saya ini. Tetapi hanya mahu meninggalkan persoalan apa usaha yang kita cuba lakukan untuk membaiki diri sendiri dan masyarakat kita hari ini daripada terselamat daripada fitnah-fitnah ini?


Ayuh muhasabahlah semula wahai manusia dan panjatkan doa agar kita dan semua kaum muslimin terselamat daripada fitnah-fitnah ini.


 






[i]  Sahih Bukhari, Kitab Fitan, Bab Zuhur al-Fitan




[ii] Sahih Muslim, Kitab ‘Ilm, Bab Zuhur al-fitan Fi Akhiri Zamani




[iii] Fathul Bari, Syarah Sahih Albukhari 13/20 Dar Al-Hadith




[iv] Sahih Muslim, Syarah An-nawawi 7/378, Dar Al-Hadith




[v] Sahih Bukhari Kitab ‘Ilm, Bab Kaifa Yuqbidul ‘Ilm




[vi] Sahih Muslim Bab Raf’il Ilm Wa Qabdih




[vii] Sublus Salam Syarah Bulughul Maram, As-san’ani [M 1182H]


The post Fitnah-Fitnah Akhir Zaman appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2014 06:01

Poster – Sindrom ‘LIKE’

Bila kebahagiaan bergantung pada angka like di facebook, rosaklah hidup..
 
Bila kebahagiaan bergantung pada angka like di facebook, rosaklah hidup..

The post Poster – Sindrom ‘LIKE’ appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2014 02:17

January 21, 2014

Poster: Dusta

earmouth

Poster: Dusta


كَفَى بالمَرْءِ كَذِباً أنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ ما سَمِعَ


“Cukuplah seseorang dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yg didengari olehnya.”


(HR Muslim)


The post Poster: Dusta appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2014 20:54

Public Shaming Di Internet. Bukan Benda Kecil.

 


o-PUBLIC-HUMILIATION-facebook

Picture taken from http://www.huffingtonpost.com/


Kelebihan dunia tanpa sempadan dek penangan internet ialah, maklumat tersebar dengan pantas. Maka orang yang memberikan alasan rapuh untuk sekadar menjadi katak di bawah tempurung, sememangnya akan menjadi terbawah di kalangan masyarakat. Kemudahan sudah ada.


Namun kontranya terhadap kelebihan itu ialah untuk manusia yang baru kenal dunia, kesilapan, kebodohan dan keaiban mereka akan lebih mudah terpapar, lebih buruk ianya disebarkan ke serata tempat.


 


Sifat Manusia – Memang Akan Buat Silap


Manusia buat silap ini biasa sebenarnya.


Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat.” Hadith Riwayat Tirmidzi.


Nama pun manusia, tiada yang sempurna. Namun era di mana semua benda kita suka upload di alam maya(baik di medan Facebook, atau medan Youtube, Instragram, Tumblr, blog dan sebagainya), manusia yang mungkin belum bertemu hakikat kebenaran akan tindakannya(dia rasa yang dia buat tu okay, tak ada masalah), akan turut memuat naik perbuatannya.


 


Dunia Bukan Dihuni Oleh Kita Seorang


Dunia bukan dihuni oleh kita sahaja, dan orang-orang yang berpandangan seperti kita, orang-orang yang befikiran seperti kita sahaja.


Bila dimuat naik, tersebarlah kepada seantero warga alam maya, dan akhirnya akan mendapat respon yang pelbagai. Dan sekiranya tindakan itu dikira sebagai memalukan di sisi agama, di sisi masyarakat, maka beramai-ramailah orang akan menyerangnya.


Niat si pemuat naik mungkin bukanlah untuk berbangga dengan perbuatan dosanya atau kesilapan faktanya atau kesalahannya, cuma keadaan dirinya, mindanya, kefahamannya ketika itu ialah dia rasa benda tu okay, betul, benar, tak ada masalah, tak salah. Dia memuat naik kerana dia merasakan dia bukan somebody yang perlu jaga apa orang lain nak rasa atau mungkin dia memang rasa ‘kebenaran’ itu perlu disampaikan dan macam-macam. Mungkin ada yang rasa dia bukan orang penting, maka dia rasa takkan benda yang dia upload itu akan jadi viral.


Tetapi biasanya, benda yang menyalahi norma masyarakat setempat, agama, dan sebagainya, memang akan mudah menjadi viral, seterusnya menjadi sasaran kutukan. Apatah lagi sekarang zaman wujudnya Page-page Facebook yang suka share video entah dari mana-mana. Nak korek di alam internet ni, memang semua benda boleh kita jumpa. Maka ada Page-page Facebook yang suka menarik like banyak dengan memuat naik video-video kontroversi, kelakar, sensasi dan sebagainya.


 


Nasihat Pertama – Kepada Yang Upload


Maka sampailah pada nasihat saya yang pertama, kepada pengguna internet. Sebaiknya fikir 10 kali sebelum upload apa-apa. Sebaiknya kita fikir kalau kita muat naik benda ni, dapat pahala ke? Allah redha ke? Benar ke apa kita sebut/sampaikan itu? Apa faktanya? Di mana dalilnya? Jangan fikir apa kita suka aja. Jangan biasakan diri bercakap tanpa guna otak, bertindak tanpa berfikir. Banyak-banyak muhasabah. Hatta status Facebook/twitter pun. Nampak ringan kan? Tapi impak besar sebenarnya.


Dulu orang Melayu kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa. Mulut tu bolehlah kita kiaskan sebagai ‘tindakan’ atau ‘percakapan’.


Justeru kita perlulah menjadi pengguna internet yang bijak. Pastikan apa yang kita ungkapkan untuk sebaran itu ada nasnya, ada kajiannya, ada pegangannya yang utuh. Pastikan apa yang kita nak persembahkan, tayangkan kepada netizen(masyarakat internet) itu adalah benda yang benar, sedap mata memandang, bermanfaat dan sebagainya. Jika ada benda yang kita tak pasti betul atau tidak, elakkan dari berkata berkenaannya, elakkan dari berkongsi tentangnya. Jika kita tahu apa yang kita buat ini bakal menyalahi kesantunan adab, melanggari batas agama, perkara yang sia-sia dan tidak bermakna, usahlah ditayang-tayang. Buat apa?


Marilah bermuhasabah. Saya pengguna internet juga. Sama-sama kita periksa diri kita.


 


Nasihat Kedua – Kepada Yang Melakukan Public Shaming


Seterusnnya teguran saya yang kedua, kepada orang ramai yang buat public shaming.


Satu benda yang saya tak nafikan, benar, orang dah buat salah. Menyalahi norma agama, masyarakat, sebar fakta yang salah dan sebagainya.


Tetapi berpada-padalah. Buat apa disebar-sebar. Ramai akan bagi dalil: “Dah dia cari fasal upload kat tempat semua orang boleh tengok, apa hal?”


Tapi itulah dia realiti zaman sekarang. Orang sekarang nak makan pun tangkap gambar, upload. Zaman dulu(sekarang pun ada), ada yang ‘couple’ kat tasik, taman dan sebagainya. Pun terang-terangan. Tapi tak appropriate kan kita pergi dekat dengan dia, kemudian kita jerit: “Wahai orang-orang yang ada kat tasik, dua orang ni bukan mahram pun. Berdosa besar.” Kemudian kita tepuk bahu mereka dan kata: “Moga korang diazab Allah!” depan-depan mereka.


Agak-agak mereka makin dekat dengan Islam? Mereka akan terus insaf dan nak bertaubat? Apakah mereka akan sudi nak betulkan kesilapan mereka? Atau mereka akan tension, benci orang-orang bawa agama ni, atau mereka akan bertumbuk dengan anda? Mana posibiliti paling tinggi peratusnya untuk terjadi? Fikirlah.


Macam itulah tak appropriatenya kita memalukan orang yang dah terlanjur buat benda yang kita kategorikan sebagai ‘bodoh’ di internet ini.


Bagaimana kalau si fulan/fulanah yang buat perkara tersebut, dek kerana kena public shaming dengan kita semua, dia bunuh diri? Tak mustahil.


Betapa besarnya dosa orang ramai yang telah memberikan tekanan dasyat kepadanya. Jangan nafikan yang possibility tersebut boleh berlaku. Bukan benda asing pada masyarakat hari ini, tension bunuh diri. Gagal UPSR pun ada yang bunuh diri.


Apa-apa perkara yang nak ditegur secara public, perlulah benda tersebut melibatkan hak dan keselamatan masyarakat.


Contoh: Isu orang songlap duit rakyat, orang yang menghina Islam terang-terangan dalam bentuk yang provokatif dan membahayakan, perompak yang rompak bank, pembunuh bersiri dan sebagainya.


Kalau benda peribadi, orangnya pun bukan orang penting(cth: public figure yang tindakannya boleh bagi influence – macam jadi dalil la – untuk halalkan tindakan tersebut pada masyarakat awam), maka tak perlulah nak sebar-sebar, dan tak perlulah nak public shaming sangat. Kalau nak tegur, tegur dengan elok di tempat yang fulan/fulanah tu upload perkara tersebut. Tengok respon dia dahulu. Mana tahu dia rupanya boleh menerima teguran dengan baik.


Ini tidak, belum apa-apa, kita dah melompat maki dia, canang seluruh dunia kesalahan dia, kongsi dengan rakan-rakan sebarkan kesilapan dia, kemudian kawan-kawan kita pun join maki sama, kawan kepada kawan-kawan kita pun join dan begitulah seterusnya. Selepas reda isu tersebut, kita bergalih pula kepada isu lain, dan begitulah kita, seterusnya dan seterusnya. Apa jadi dengan orang kita kenakan public shaming itu? Entah. Kita pun tak peduli apa jadi.


Bukan saya kata semua yang kena public shaming akan hancur hidupnya. Ada yang selamat, bahkan ada yang menjadikan public shaming terhadap dirinya sebagai stepping stone(batu loncatan) untuk memajukan dirinya. Namun semua begitukah?


Tiada jaminan.


 


Kita Semua Buat Salah


Kita semua takkan terlepas buat benda bodoh. Era sekarang yang semua benda nak upload ni, tak mustahil kita pun akan upload benda yang bodoh. Adakah ketika itu, kita rela dimalukan seantero alam maya?


Sepatutnya kita membuka pintu rahmat seluas-luasnya. Tegur bukan tak boleh tegur. Tapi tak perlu sampai public shaming teruk-teruk.


Ini sampai keluar doa-doa yang tak senonoh, ayat-ayat maki hamun, mengata macam-macam, apa kejadahnya dakwah, nasihat macam itu?


Saya pernah kena public shaming. Saya faham bagaimana teruknya perasaan orang yang kena public shaming. Sedangkan benda asalnya kecil, kadang salah faham aja pun, boleh selesai cara baik, namun akibat orang menyebar-nyebarkannya, ia menjadi isu besar. Saya mujur mempunyai sahabat-sahabat baik yang memberikan sokongan dan dorongan ketika itu. Tetapi saya faham, bukan semua orang ada sahabat yang boleh bantu dia. Bagaimana orang-orang ini melalui public shaming?


Kita sepatutnya merasa simpati dan kasihan. Benda yang sama boleh sahaja terjadi kepada kita. Tinggal kita ini Allah tutup aib kita. Kalaulah aib kita pun dibuka, disebar-sebar, sama sahaja. Kita pun masa tu berharap orang faham keadaan kita.


 


Penutup: Marilah Kita Jauhi Trend Public Shaming Ini


Saya menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan, marilah kita jauhi sikap melakukan public shaming ini. Kita jagalah aib orang, moga Allah jaga aib kita. Kita simpatilah dengan orang, moga Allah simpati dengan kita. Kita tegurlah orang dengan baik dan betul, moga nanti saat kita tersilap, terbuat benda bodoh, akan Allah hantar pada kita teguran dan nasihat yang baik juga kepada kita.


Jauhi public shaming. Mari bina suasana yang baik dan indah.


Rasulullah SAW, orang kencing dalam masjid pun baginda tak benarkan sahabat tebas kepalanya, tak pula orang kencing dalam masjid itu diheret ke tengah para sahabat yang lain dan diberitahu namanya, ditunjuk dirinya, konon sebagai pengajaran buat orang lain. Tiada. Bahkan hingga ke hari ini, tidak ramai yang tahu siapakah yang kencing di dalam masjid itu. Kerana Rasulullah SAW tahu, tindakan itu datang dari kurangnya ilmu. Selepas dia selesai kencing, Rasulullah SAW ajarkan dia benda yang betul, dengan baik, beradab sopan dan tertib. Mendalamlah lagi cintanya kepada Nabi Muhammad SAW.


Bagaimana kita?


Jangan buat pada orang, benda yang kita tak suka orang buat pada kita.


Muhasabah.


Saya sertakan di sini bahan bacaan tambahan:


http://www.huffingtonpost.com/nile-cappello/public-humiliation-is-the-same-as-bullying_b_4045962.html

Semoga Allah rahmati kita.


Mari Membina Komuniti Berjiwa Hamba!


The post Public Shaming Di Internet. Bukan Benda Kecil. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2014 20:38

Mempunyai Matlamat Hidup – Sebuah Kekuatan.

[image error]

Saya bersembang dengan pelajar di Taylor’s University Lakeside College


 


Pada 21hb Januari 2014, saya menemani Ameen Misran sebagai panel forum Purpose of Life di Taylor’s University Lakeside College. Usai forum, kami dijamu oleh penganjur. Alhamdulillah, semasa makan, saya dianugerahkan peluang bersembang dengan beberapa pelajar berkenaan tajuk forum malam itu. Purpose of Life. Matlamat hidup.


Saya paling suka berbicara dengan anak muda. Saya kira generasi muda adalah generasi paling bertuah kerana pada mereka terkumpul beberapa kekuatan dan kelebihan. Seperti masa, kreativiti, tenaga, dan peluang untuk membuat kesilapan kemudian belajar daripadanya.


 


Kepentingan Matlamat Hidup


Saya berkongsi berkenaan pentingnya matlamat yang besar dalam kehidupan. Matlamat yang besar tidak semestinya akan kita dapat capai. Namun mengejar matlamat yang besar, akan membuatkan kita sentiasa lebih baik dari sebelumnya. Sebab itu ada yang berkata, menjadi mukmin yang sempurna itu mustahil, benar, tetapi bila kita bergerak ke arah menjadi mukmin yang sempurna, bukankah kita bergerak ke arah yang lebih baik?


Kehadiran matlamat yang besar akan membuatkan kehidupan kita sentiasa terisi dan bermakna. Saya berikan contoh.


Anda ingin membina sebuah hospital tarbawi. Hospital yang mana bila orang pergi ke sana untuk merawat luka, bukan sahaja luka zahirnya sahaja terawat, namun luka di jiwanya juga terubat. Yang mana bila orang Islam masuk ke dalam hospital itu, automatik dirinya bermuhasabah akan keIslamannya, tanggungjawabnya sebagai Muslim, mengingatkannya kembali kepada Allah SWT, seterusnya dia keluar dalam keadaan  lebih baik dari sebelum dia masuk ke hospital itu, zahirnya dan batinnya. Hospital yang bila non-muslim masuk, mereka akan tertarik dengan Islam, kalau tidak pun mereka memeluk Islam, mereka akan keluar dari hospital itu sebagai manusia yang positif dengan Islam. Katalah anda mempunyai matlamat sedemikian, hendak membina hospital sedemikian rupa.


Maka apakah anda, akan menjadi mahasiswa yang malas? Apakah anda akan membazirkan kehidupan anda dengan maraton berpuluh movie, atau berpuluh episod drama? Apakah anda akan tenggelam dalam kesibukan bermain game? Apakah anda sudi untuk membazirkan masa berjam-jam melepak dengan kawan, bersembang benda yang kosong?


Atau dek kerana mempunyai cita-cita yang besar tadi, maka anda akan fokus, mengatur perancangan, memilih aktiviti yang bermanfaat, sentiasa melakukan muhasabah diri dan progress, berusaha keras menambah ilmu, mempunyai jadual dan disiplin, agar tiada masa yang terbazir sia-sia, menjauhi perkara yang boleh merosakkan peribadi, membina sikap yang mampu untuk menguruskan cita-cita yang besar tadi, dan macam-macam lagi perkara positif?


Ya, anda lihat kan? Pastinya anda akan sibuk untuk memperkasakan diri, tidak membazirkan masa, jika benar anda serius untuk menggapai matlamat anda.


Bagaimana jika tiada matlamat?


Pastinya hidup kita kosong, dan kita buat apa sahaja sesuka hati kita, seterusnya membawa kepada pembaziran masa, dan tidak efisyen, berakhir dengan tiadanya peningkatan kemudian kita tidak ke mana-mana.


[image error]

Ameen Misran of LangitIlahi menerima cenderamata daripada pihak penganjur selepas usai Forum Purpose of Life.


Tuhan Mendidik Kita Bermatlamat


Menariknya di dalam Islam, ummat Islam dididik untuk hidup dengan bermatlamat. Allah SWT meletakkan beberapa matlamat untuk ummat Islam.


1 – Kehidupan adalah pengabdian kepadaNya.


“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.


2 – Manusia dicipta untuk menjadi khalifah di atas muka bumi.


“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin ciptakan untuk bumi ini khalifah(pentadbir).” Surah Al-Baqarah ayat 30.


3 – Akhirat.


Di dalam Al-Quran dan hadith, kita mempunyai banyak dalil, nas, yang membentangkan berkenaan akhirat. Yakni hari di mana manusia dihisab, dan kemudian dihantar ke syurga atau dilempar ke neraka. Di dalam rukun Iman, salah satunya ialah Beriman Kepada  Akhirat.


Dan Allah SWT tidak mendidik kita untuk mengejar akhirat sahaja, tidak juga untuk mengejar dunia sahaja. Allah SWT meletakkan matlamat untuk ummat Islam dalam kedua-duanya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah:


“Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.“ Surah Al-Baqarah ayat 200-202.


Perhatikan. Ummat Islam sepatutnya hidup bermatlamat. Allah SWT meletakkan matlamat untuk kita membina diri kita dengan memandang bahawa seluruh kehidupan kita adalah sebuah pengabdian kepadaNya. Allah SWT meletakkan juga matlamat untuk kita membina dunia ini, tidak meninggalkannya rosak, memberikan kepada dunia ini kebaikan, yakni mentadbirnya dengan baik. Allah SWT juga meletakkan wawasan tertinggi lagi terakhir untuk manusia berjaya di akhirat,  yakni selepas kematian. Ini bermakna, Ummat Islam ini hidupnya tidak lekang dengan matlamat dan wawasan. Sepatutnya ummat Islam, sepanjang hidupnya mempunyai agenda, dan kerja untuk menyempurnakan matlamat-matlamat tersebut. Maka adalah sepatutnya ummat Islam tidak membazirkan masanya dengan perkara yang sia-sia, dan sepatutnya dia sudah jelas apakah matlamatnya dalam kehidupan ini.


Jika kita memahami perkara ini, meletakkan matlamat di dalam kehidupan, dan berusaha keras mengejarnya, kita akan menjadi manusia yang terbaik. Contoh yang bagus. Dan kehidupan kita sendiri tidak kosong.


 


Penutup: Mengeluarkan Diri Dari Kitaran Kosong


Keluarkan diri dari kitaran kosong. Sekadar hidup dengan sistem yang telah dipatrikan ke minda kita oleh pihak-pihak tertentu, yang suka untuk kita menjadi robot bagi tidak memecahkan cengkaman mereka ke atas dunia ini. Mereka hanya mahu kita belajar menurut kehendak mereka, kemudian kerja menjadi pekerja mereka, makan gaji dan membesarkan gaji, berkahwin dan mempunyai rumah, kereta, kemudian anak-anak, seterusnya anak-anak pula mengikuti kitaran yang sama, pada masa yang sama kita semakin tua dan tua, dan mati. Tiada signifikan untuk muka bumi ini. Jangan.


Letakkan matlamat. Tanya pada diri. Apa aku nak capai  dalam hidup ini? Apa aku nak buat dalam kehidupan ini?


Apa yang aku nak bawa pulang untuk bertemu dengan Allah SWT nanti?


Tanya, muhasabah, kemudian rancang kehidupan kita.


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan peluang bersembang dengan pelajar-pelajar tersebut. Semoga ianya sembang yang bermanfaat dan memberikan kebaikan kepada mereka, dan moga ianya menjadi muhasabah penting bagi diri saya yang menginjak tua ini.


Mari Menjadi Hamba!


The post Mempunyai Matlamat Hidup – Sebuah Kekuatan. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2014 19:31