Hilal Asyraf's Blog, page 77
February 2, 2014
Umum: Makluman Awal YouthACE 2014

logo rasmi YouthACE 2014
YouthACE (Youth Awards, Convention and Exhibition) 2014 adalah program anjuran LangitIlahi. Tahun lepas, ianya dinamakan sebagai TeenACE. Namun memandang kepada potensinya yang lebih luas, tahun ini kami menjenamakan semula program ini sebagai YouthACE. Youth bermaksud kepemudaan. Dan ianya menjangkau juga golongan remaja, sekaligus menyentuh para belia.
YouthACE 2014 akan berlangsung pada 10hb Mei 2014, Sabtu, bermula 7.30pg-10.30mlm.
Program ini terbuka kepada semua, dengan sasaran utamanya ialah remaja, pemuda-pemudi dan belia berumur 13-40 tahun.
Target bilangan peserta yang LangitIlahi tetapkan ialah seramai 2500 orang.
Objektif
Kami di LangitIlahi menyenaraikan beberapa objektif untuk YouthACE 2014:
1 – Memberikan rasa peka dan sensitif terhadap potensi yang wujud pada diri para belia.
2 – Membuka peluang para belia membina hubungan silaturrahim sesama mereka.
3 – Mendedahkan kepada para belia ruang dan peluang untuk menjadikan kehidupan mereka bermakna.
4 – Mengetengahkan ikon-ikon yang boleh dijadikan contoh yang baik kepada para belia.
5 – Memberikan kesan positif di dalam minda dan jiwa para belia, sekaligus membuatkan mereka hendak memanfaatkan kemudaan mereka.
Kami ingin menjadikan YouthACE sebagai program tahunan, tempat para pemuda-pemudi berkumpul secara sihat, diisi dengan agenda yang membuahkan kesedaran dan membangkitkan potensi yang terpendam di dalam diri mereka. Kita semua faham dan percaya bahawa generasi muda adalah generasi yang akan mencorakkan masa hadapan negara.
Kita mahu membentuk generasi ini. Memberikan alternatif yang bermanfaat buat mereka, pada saat hari ini dunia dipenuhi dengan pelbagai anasir yang merosakkan mereka. LangitIlahi, yang rata-ratanya juga digerakkan oleh para belia, rasa bertanggungjawab untuk memberikan alternatif ini, medan ini, agar kekuatan dan potensi para belia itu terarah kepada sesuatu yang boleh memberikan kekuatan kepada diri mereka, agama dan negara.
Tema
Tema tahun ini ialah: Pemuda dan Perubahan!
Yuran
Yuran asal: RM80
Mendaftar bersama 3 orang rakan: RM75 seorang.
————-
HARGA YURAN PROMOSI!
Yuran bagi yang mendaftar 15hb Februari – 15hb Mac: RM55
Mendaftar bersama 3 rakan dalam masa ini: RM50 seorang.
Yuran bagi yang mendaftar 16hb Mac – 16hb April: RM60
Mendaftar bersama 3 rakan dalam masa ini: RM55 seorang.
Yuran bagi yang mendaftar 17hb April – 30hb April: RM70
Mendaftar bersama 3 rakan dalam masa ini: RM65 seorang.
————-
Yuran bagi yang mendaftar 1hb Mei – 10hb Mei(walk in): yuran akan kembali kepada harga asal.
Tempat
Tempatnya belum confirm, namun akan dilaksanakan di Wilayah Tengah atau Selangor.
Kami sekarang sedang berusaha mendapatkan CAC Hall, UIA, Gombak.
Pengisian YouthACE 2014
YouthACE terbahagi kepada tiga komponen – Awards(anugerah), Convention(konvensyen) dan Exhibition(pameran).
Berikut ialah apa yang mengisi YouthACE 2014
==========
Convention:
==========
“Pemuda dan Perubahan”
oleh Hilal Asyraf.
“Semangat Al-Fatih: Membuka Kemenangan Hari Ini”
oleh Ustaz Syaari Rahman.
“Pemuda dan Aktivisme”
oleh Dr Baharuddin Suri.
“Forum Pemuda Intelek – Taruhan Masa Hadapan.”
Moderator: Aiman Azlan.
Panel: Dr Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin dan Prof Agus Yusoff.
“Bual Bicara: Aku Pernah Muda”
oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan dan Sister Rusni Tajari.
“Pidato Pemuda dan Masa Hadapannya.”
oleh Tuan Razali Maarof.
“Pidato YouthACE”
oleh Aiman Azlan.
Kemunculan Khas di YouthACE 2014
Ulwan Mokhtar
Aisyah Syakirah.
Qawiem Khairi.
Anwar Hadi.
============
Awards yang dipertandingkan:
============
1 – Vlogger Terbaik
2 – Penasyid Terbaik
3 – Short filem Terbaik
4 – Penulisan Artikel Terbaik
5 – Penulisan Cerpen Terbaik
6 – Rekaan Poster Terbaik
7 – Fotografer Terbaik
8 – Komik Terbaik
9 – Essay In English
10 – Spoken Words Poetry
*pertandingan-pertandingan ini akan bermula selepas 15hb Februari 2014. Antara syarat utamanya ialah – peserta pertandingan mestilah merupakan Peserta YouthACE 2014.
*Tema semua bahagian ialah – Pemuda dan Perubahan!
==============
Exhibition yang akan ada:
==============
Pameran pendidikan.
Pameran Misi Kemanusiaan.
Pameran Pemuda Dalam Lipatan Sejarah.
Bonus: Persembahan Nasyid daripada Mr Bie dan Kumpulan Mirwana!

Mereka yang bakal diketengahkan di YouthACE 2014
Penutup: Bersedia Untuk Mendaftar!
Jika berminat, bersedialah untuk mendaftar pada 15hb Februari 2014 ini!
Sebar-sebarkan juga kepada rakan-rakan, sanak-saudara, adik-beradik!
Pemuda dan Perubahan.
Mari Menjadi Hamba!
The post Umum: Makluman Awal YouthACE 2014 appeared first on Langit Ilahi.
Poster: Sungai Di Halaman
“Bagaimanakah pendapatmu andaikata di halaman rumah salah seorang daripada kamu ada sebuah sungai mengalir dan dia mandi di situ lima kali sehari; masihkah tersisa kotoran di badannya?” kata Rasulullah SAW.
“Tidak akan ada sedikit pun kotoran yang tersisa di badannya,” jawab mereka.
Lalu Rasulullah SAW pun bersabda, “Sesungguhnya solat itu menghapus dosa sebagaimana air menghapus kotoran.”
(HR Tirmizi, dimuatkan dalam Riyadhus Salihin)
The post Poster: Sungai Di Halaman appeared first on Langit Ilahi.
February 1, 2014
Corat-Coret Hati: Mendirikan Makruf Al-Akbar, Menumbangkan Mungkar Al-Akbar
Assalamu’alaikum rakan pembaca. Terima kasih kerana terus menyelak coretan yang do’if ini. Melayari artikel demi artikel, saya kira kita seakan berada dalam sebuah pengembaraan. Pengembaraan untuk lebih memahami kehidupan kita ini sebagai seorang muslim.
Kita tidak menjadi seorang muslim hanya untuk bersahaja. Muslim bukanlah satu perkara bertujuan yang sia-sia. Menjadi muslim ada tanggungjawabnya. Kerana Muslim membawa maksud – ‘Orang Islam’. Dan ‘Islam’ antara maksudnya adalah ‘penyerahan’. Yakni menyerah diri sepenuhnya dalam peraturan Allah SWT.
Maka pastinya penyerahan itu ada maknanya yang besar. Ada tujuannya yang tinggi. Pastinya orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah SWT ini berbeza jauh dengan orang-orang yang tidak.
Justeru di dalam artikel ini saya ingin membawa diri saya dan rakan-rakan pembaca untuk memerhati salah satu dari tanggungjawab kita dalam penyerahan tersebut, dan ianya juga merupakan tanggungjawab kita yang terbesar.
Itulah dia mendirikan makruf al-akbar, menumbangkan mungkar al-akbar.
Apakah itu Makruf Al-Akbar dan Mungkar Al-Akbar?
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Makruf kita semua maklum akan definisinya. Itulah dia kebaikan. Akbar pula di dalam bahasa arab membawa maksud ‘paling besar’. Bila disebut Makruf Al-Akbar, bermakna kita hendak memperkatakan berkenaan ‘kebaikan yang paling besar’. Pendek kata, yang paling penting.
Di dalam Islam, kunci utama adalah pengakuan bahawa kita menerima akan Allah SWT itu adalah Tuhan dan tiada Tuhan melainkan Allah SWT. Kita juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT. Tanpa syahadah ini, kesaksian ini, perjanjian ini, maka kita tidak menjadi Muslim. Kesaksian ini jugalah yang akan mengikat kita untuk tunduk dan patuh, menyerah diri kepada perintah dan larangan Allah SWT. Maka inilah dia Makruf Al-Akbar.
Mungkar pula bermaksud penderhakaan. Yakni satu tindakan membelakangi perintah/peraturan sesuatu. Di dalam konteks artikel ini, mungkar bermaksud penderhakaan kepada Allah SWT. Maka bila disebut Mungkar Al-Akbar, ianya bermakna penderhakaan terbesar kepada Allah SWT. Penderhakaan terbesar ini ialah ibu kepada segala kemungkaran. Ia benar-benar merupakan lawan kepada makruf al-akbar. Jika Makruf Al-Akbar bermaksud penyaksian kepada keesaan Allah SWT dan keyakinan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusanNya, mungkar Al-Akbar adalah penafian terhadap penyaksian tersebut.
Apabila diri tidak terikat dengan syahadah, maka diri akan bebas menerawang buat apa yang dirinya mahu, ikut suka, tidak mempunyai batas yang jelas berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak, serta tidak mempunyai tuntutan untuk memberikan komitmen terhadap penyaksian tersebut.
Penafian kesaksian akan mudah memberikan penentangan terhadap tuntutan yang datang dengan kesaksian tersebut.
Di sini, Mungkar Al-Akbar dan Makruf Al-Akbar akan sentiasa bertarung.
Satu hendak membawa manusia dan seluruh dunia tunduk kepada Allah SWT, satu lagi hendak menentang dan menjauhiNya.
Peranan Sebagai Khalifah
Saya yakin rakan-rakan pembaca makruf dengan ayat 30 Surah Al-Baqarah, yang menerangkan berkenaan tanggungjawab kita sebagai khalifah.
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Hendak buat apa dengan menjadi khalifah(pentadbir) muka bumi ini? Nak tadbir ke mana?
Persoalan itu akan terjawab dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.
Rasulullah SAW membawa rahmat kepda sekalian alam, itulah dia ‘Islam’, yang bertujuan membina peribadi manusia agar hidup dengan rasa keterikatan kepada Allah SWT. Yang kemudiannya dek kerana kepatuhannya kepada Allah, rasa muraqabatullahnya akan mendorong dirinya untuk tidak melakukan perkara-perkara yang menzalimi dirinya dan menzalimi yang lain. Dia akan menjaga kebersihan, alam sekitar, tidak menzalimi yang lemah, tidak melakukan korupsi dan keganasan, juga akan sentiasa berusaha memberikan manusia hak mereka.
Ini yang perlu diusahakan oleh seorang ‘khalifah’. Kita semua berperanan untuk merealisasikan perkara tersebut. Secara automatik, kita bertanggungjawab menentang mungkar al-akbar, yang boleh membuahkan korupsi, kezaliman, pembelakangan terhadap hukum Allah, penafian terhadap hak-hak dan sebagainya.
Hari ini kita melihat betapa sistem yang memimpin dunia bukanlah sebuah sistem yang bertitik tolak dari makruf al-akbar tadi. Ia membawa kepada ketidak stabilan dan kerosakan, baik dari kepimpinan, pengurusan, hinggalah kepada moral masyarakat. Semuanya runtuh, terumbang ambing, hingga manusia hilang rasa selamat, terperangkap di dalam sistem ibarat robot, seterusnya hidup menjadi tercangkuk dengan bebanan sepanjang hayat. Belum dikira bagaimana
Sebagai muslim yang mempunyai tanggungjawab menjadi khalifah, kita semua berperanan untuk membasmi kerosakan ini, mengambil tugas Rasulullah SAW, menjadi penyambung kepada tanggungjawab penyebaran rahmat Islam kepada seluruh alam.
Ya, mungkin ada dari kalangan kita yang terfikir, bagaimana? Kita bukan ada jawatan. Bukan ada kuasa.
Benar. Bukan semua kita ada jawatan. Namun ketahuilah bahawasanya kita semua ada kuasa. Kuasa ke atas diri sendiri. Ya, paling kurang, kita adalah pemimpin terhadap diri kita sendiri.
Membina peribadi yang baik, yang bagus, yang mantap, adalah contoh kita memainkan peranan menegakkan makruf al-akbar, dan mencegah mungkar al-akbar tadi. Ya, kita menegakkan makruf al-akbar dalam bentuk tindakan, bermula diri kita. Kita mencegah mungkar al-akbar juga dengan tindakan, bermula dengan diri kita.
Paling kurang, itu peranan kita.
Jika Allah izin kita mempunyai kepakaran di dalam bidang tertentu seperti penulisan, politik, kewangan, pendidikan dan sebagainya, adalah menjadi sebuah kewajipan kepada kita untuk membawa penegakan makruf al-akbar dan pencegahan kepada mungkar al-akbar ini kepada peringkat yang lebih tinggi, wajar dengan kelebihan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Semua memainkan peranan.
Penegakan Ini Bukan Satu Tindakan Paksaan
Adalah mesti diingatkan ya rakan-rakan, bahawa penegakan Makruf Al-Akbar ini bukan bermakna kita memaksa orang lain mengucap syahadah. Bukan juga penentangan terhadap Mungkar Al-Akbar itu membawa maksud bahawa kita mesti berlaku kasar, menzalimi, menganiayai non-muslim.
Keimanan bukan satu perkara yang boleh dipaksa. Keimanan adalah kepercayaan, dan kepercayaan itu sesuatu perkara yang perlu dibina.
Kerana itu saya mengajak diri saya dan rakan-rakan memberikan penekanan yang lebih terhadap diri kita, dan apa yang ada di dalam bidang kemampuan kita, untuk urusan penegakan Makruf Al-Akbar dan pencegahan mungkar Al-Akbar.
Tanpa pembuktian amalan dan tindakan terhadap syahadah yang menjadi makruf al-akbar tadi, maka ianya tiada makna. Kita perlu ‘walk the talk’, barulah pencegahan terhadap mungkar al-akbar akan berjalan secara natural.
Kita perlu bijak dalam menegakkan makruf al-akbar dan mencegah mungkar al-akbar ini. Jangan hingga kita menjadi fitnah pula, dan menyebabkan Islam atau dakwah diwarnakan dengan warna yang sangat kotor dan busuk dek kerana kesilapan kita.
Kita nak bawa manusia merasai rahmat, bukan azab. Maka perlu kita usahakan agar diri kita mampu membawa rahmat tersebut. Menyambungkan manusia kepada kasih sayang Allah SWT kepada keindahan Islam. Memberikan manusia keadilan dan hak, bukannya kezaliman dan penindasan.
InsyaAllah dengan strategi yang betul dan benar, dengan kreativiti yang menarik dan mantap, dengan kesungguhan dan istiqomah, makruf Al-Akbar ini akan tertegak, bukan semata pada mulut, tetapi juga pada seluruh sudut kehidupan.
Era Baru Dalam Penegakan Makruf Al-Akbar
Rakan-rakan yang saya kasihi, kita telah sampai ke satu era baru, di mana sempadan negara hanyalah ilusi, dan pembatasan terhadap tindakan seseorang itu semakin berkurangan. Dengan wujudnya internet dan pelbagai teknologi hari ini, potensi sebaran ilmu dan kefahaman menjadi tiada limit.
Sebagai manusia yang bertanggungjawab menegakkan Makruf Al-Akbar di dalam kehidupannya dan masyarakat, hendaklah kita menggunakan potensi yang ada di sekeliling kita hari ini.
Berusaha mengakkan makruf Al-Akbar kepada diri, seterusnya berusaha menegakkannya juga kepada orang lain, dengan menggunakan teknologi-teknologi yang ada seperti laman sosial Facebook, Twitter, Tumblr, Blogger, Website, Podcast, eBook, YouTube dan sebagainya. Sebarannya lebih meluas, dan sekiranya kita semua melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, dunia netizen(masyarakat internet) akan dipenuhi dengan perkara-perkara yang mengembalikan mereka kepada makruf Al-Akbar ini tadi.
Yang non-muslim rasa tertarik, yang muslim tetapi telah larut akan terpanggil untuk kembali.
Hari ini juga penerbitan buku menjadi mudah, kita ada pula televisyen dan radio, dan jika kita disekat oleh sistem, kita masih boleh menerbitkan buku atau makalah secara kecil-kecilan, kita masih boleh usaha di YouTube sebagai alternatif kepada televisyen dan radio. Maka bagi kita yang berpotensi dalam bidang penulisan, lukisan, design, filem pendek, nyanyian, dan pelbagai potensi lain, maka kita usahakan agar potensi-potensi ini dilorongkan ke arah penegakan Makruf Al-Akbar ini tadi. Kita buat apa yang kita bagus, dan sumbangkannya kepada Islam.
Di dalam era langit terbuka hari ini, akses kepada maksiat dan kecelaruan fahaman menjadi mudah dengan internet. Namun pro-nya, akses kepada kebaikan juga menjadi sama mudah. Persoalannya apakah kuasa kebaikan akan bersungguh-sungguh menggunakan kemudahan ini untuk menegakkan perjuangannya? Atau sekadar membiarkan kuasa kejahatan yang membolot segala peluang menjahanamkan manusia pada zaman langit terbuka ini?
Ya, jangan salahkan mereka yang menjadi konco-konco jahiliyyah. Itu memang tugas mereka.
Kita yang Allah izin diberikan kefahaman Islam, diberikan kesedaran Islam, faham tanggungjawab sebagai muslim, memahami tanggungjawab dakwah ini, apa yang kita buat? Apa yang kita usahakan? Apakah kita bersungguh-sungguh?
Itu yang kita perlu tanya.
Pada masa yang sama, tugas kita di alam realiti, menjadi muslim yang ‘walk the talk’, jangan sesekali ditinggalkan dan dipandang enteng. Tidak boleh kita ada syakhsiah ‘mengkarung’, yang baik di alam maya, yang hancur di alam realiti. Itu akan menjadi fitnah kepada urusan penegakan makruf al-akbar ini.
Penutup: Kita Semua Berperanan Menegakkan Makruf Al-Akbar
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpin.”
Kita semua wajib berperanan, tidak kira apa pun posisi kita di dalam kehidupan ini, untuk menegakkan makruf Al-Akbar, membuatkan manusia sedar bahawa syahadah kita bukanlah hanya bicara kosong. Tetapi ia benar-benar kunci kepada rahmat yang besar.
Apa pun posisi dan jawatan kita, siapa pun kita, kita semua berperanan untuk menumbangkan mungkar al-akbar, terutama di dalam diri kita sendiri.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan mulutnya. Jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu ialah selemah-lemah iman.” Hadith Riwayat Muslim.
Perhatikan kehidupan kita. Lihat sekeliling.
Dan tanya.
“Apa aku boleh sumbangkan untuk penegakan makruf Al-Akbar, dan menumbangkan Mungkar Al-Akbar?”
Laksanakan peranan kita!
The post Corat-Coret Hati: Mendirikan Makruf Al-Akbar, Menumbangkan Mungkar Al-Akbar appeared first on Langit Ilahi.
Sebelum Aku Bernikah – Memahami Penyakit Cinta Masyarakat.
Menjengah alam kembara ke rumah tangga ini, saya menjadi banyak memerhati. Bersembang dengan para veteran dalam kehidupan, saya juga bersembang dengan mereka yang seangkatan dengan saya berkenaan cinta dan pernikahan. Saya juga mula meneliti konsep cinta yang dijadikan ‘perlembagaan’ oleh masyarakat.
Saya melihat betapa cinta yang hari ini diguna pakai oleh masyarakat, bukanlah cinta yang sebenarnya. Dari satu sisi, digelar itu semua cinta adalah kerana terletak di dalamnya ‘kasih dan sayang’. Namun, saya mempunyai definisi tersendiri terhadap cinta. Bukanlah pada coretan kali ini mahu saya kongsikannya.
Cukuplah kali ini saya mencoret, bagaimanakah ‘cinta’ itu dilihat oleh masyarakat hari ini.
Couple.
Satu perkara yang saya lihat, cinta semestinya dikaitkan dengan couple. Bila perkataan cinta disebut, maka ‘couple’, atau berpasangan bebas antara lelaki dan perempuan seakan-akan mengiringi lafaz tersebut.
Hingga manusia menjadi skeptik dengan cinta. Sebab itu saya tidak hairan dengan sindiran-sindiran para veteran apabila disebut berkenaan cinta. “Hish, kau jangan nak gatal sangat. Anak orang tu. Jangan rosakkan!” Sebab di dalam mindanya, terbayang couple bebas tidak punya batas itu.
Tidak kurang juga manusia-manusia yang ‘ahli agama’, bila dibicarakan cinta, terus diharamkan. “Cinta sebelum nikah, haram!” Kerana di dalam benaknya, sudah mempunyai satu ‘equation’ di mana cinta itu mestinya akan ada couple di dalamnya.
Ya. Begitulah stereotaip rata-rata manusia berkenaan cinta. Mesti dikaitkan dengan berpasangan tanpa batas dan pergaulan yang melanggar syariat.
Dengan pandangan sebegini, cinta menjadi sempit dan kelihatan terlalu buruk untuk wujud di dalam jiwa mereka yang belum bernikah. Kerana belum apa-apa, cinta sudah disekalikan dengan couple.
Tidak boleh hendak disalahkan mereka yang stereotaip ini juga. Memandangkan memang begitulah cinta diwarnakan oleh dunia. Bila cinta, diwarnakan dengan pegangan tangan antara bukan mahram, berdua-duaan, keluar bersama tanpa temanan mahram, dan berhabisan kredit serta wang untuk pembuktian cinta. Bahkan, ada yang menggadaikan maruah, semuanya di atas nama cinta.
Ya. Bagaimanalah cinta tidak terperangkap di dalam pandangan negatif orang?
Begitulah ‘warna’ cinta hari ini.
Terlalu Islamik.
Memandangkan sudah begitu buruk cinta dipandang, maka dalam kembara saya ke rumah tangga ini, saya menjumpai pula golongan yang terlalu islamik.
Terlalu Islamik ini hinggakan timbul kepercayaan yang pelik-pelik. Saya berikan satu contoh mudah terlalu Islamik sampai timbul kepercayaan pelik-pelik ini.
“Saya menanti dia yang telah tertulis untuk saya di lauh mahfudz sana.”
Ya. Ayat ini kelihatan Islamik kerana ada perkataan ‘menanti’ dan ‘lauh mahfudz’. Tetapi di hadapan saya, saya melihat ini adalah nyata satu ayat yang sangat silap dari ajaran agama.
Pertamanya, siapa yang tahu jodohnya siapa? Jadi bagaimana mahu menanti? Alangkan yang berkahwin pun bercerai. Yang berkahwin pun mati, dan yang hidup kahwin lain. Jadi benda ini terlalu besar untuk kita yakin bahawa seseorang itu adalah ‘jodoh saya’. Lebih menguatkan lagi pendapat saya ini adalah, dari manakah kita mahu tahu bahawa ‘dia itu jodoh saya?’. Nyata tiada jawapan konklusif untuk itu, bukan? Kerana jelas, jodoh itu urusan Allah SWT.
Keduanya, bagaimana ‘menanti’ ini boleh dijustifikasikan, sekiranya Allah SWT sendiri memberikan isyarat agar kita ‘memilih’? Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” Surah Al-Baqarah ayat 221.
Jelas jika semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfudz sana, buat apa ada arahan untuk kita pilih antara yang musyrik dan yang beriman? Mungkin kita boleh nyatakan telah tertulis di Lauh Mahfudz. Tetapi kita tahukah siapa? Tidakkah kita mengetahui bahawa Allah SWT sendiri mengarahkan manusia agar berusaha? Dalam bab cari makan, kita tahu pergi cari. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh pilih untuk menanti? Dalam bab kecemerlangan peperiksaan, kita tahu mahu studi. Mengapa dalam bab jodoh, kita boleh berdiam diri?
Itu satu contoh terlalu islamik.
Banyak lagi. Sehingga keluar cerita Fatimah dan Ali yang sama-sama memendam perasaan, kemudian berkahwin juga akhirnya walau tidak pernah meluahkan perasaan masing-masing. Satu kisah yang ‘sempurna’, tetapi jelas tidak punya tanda kesohihannya dari segi periwayatan dan sebagainya. Hanya satu kisah gula-gula, bagi memuaskan hati mereka yang ‘terlalu Islamik’ ini.
Akhirnya, di atas golongan ini juga, cinta menjadi sempit. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Begitu tidak kena. Begini tidak kena. Kononnya hendak menjaga. Tetapi akhirnya urusan kahwin menjadi terlalu susah, dan seakan-akan berada dalam kisah fantasi sahaja.
Jangan terkejut jika saya ceritakan, dek kerana ‘terlalu Islamik’ ini, hingga ada tunang yang tidak mahu bercakap telefon dengan tunangnya dalam urusan perkahwinannya sendiri! Akhirnya, disebabkan hanya berhubung melalui teks SMS dan email sahaja, mereka salah faham dan hubungan menjadi retak.
Ya. Ideologi ‘terlalu Islamik’ ini nyata tidak berpijak di bumi yang nyata.
Sedangkan perkara ini sepatutnya tidak sekompleks itu.
Ibu Bapa Yang Silap.
Kembara saya ke arah rumah tangga membuatkan saya banyak bergaul dan memerhatikan dengan mereka yang bertaraf Ibu Bapa.
Satu stereotaip Ibu Bapa yang saya lihat di dalam urusan cinta anak-anak mereka adalah ‘kenegatifan mereka yang tinggi’ terhadap perasaan cinta anak-anak mereka.
“Jangan dok gatal sangat la eh.” Antara ayat biasa yang didengari sekiranya anak-anak memberitahu bahawa mereka jatuh hati kepada seseorang ketika usia mereka masih muda.
“Hang nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” Satu lagi ayat yang biasa keluar.
Saya, minta maaf sebut di sini, merasakan tindakan dan layanan sebegini adalah tidak sepatutnya berlaku. Pada saya, ibu bapa yang anaknya luahkan perasaan cintanya kepada mereka, sepatutnya merasa bersyukur mempunyai anak yang sedemikian. Sekurang-kurangnya, Ibu Bapa masih dirujuk.
Maka sepatutnya, Ibu Bapa membuka ruang kepada perbincangan yang matang. Didik anak-anak agar melihat pro dan kontra terhadap percintaan mereka di usia muda. Inspirasikan anak-anak untuk bercinta dengan lebih matang, dengan mempunyai pendapatan sendiri, memahamkan mereka betapa rumah tangga adalah urusan pembinaan ummah yang tidak mungkin digerakkan dengan hanya perasaan semata-mata.
Kerana akhirnya, kenegatifan terhadap cinta ini membuatkan anak-anak yang ‘dibius’ cinta, merasakan ibu bapanya sedang menentang mereka dan akhirnya penentangan ini akan dibalas dengan ‘pemberontakan’ daripada pihak anak-anak.
‘Drama’ sebegini, akhirnya mewarnakan ‘cinta’ dalam hidup masyarakat.
Cinta+Anak Muda = Tidak matang.
Begitu akhirnya cinta dipandang.
Suasana Yang Tidak Membina.
Bagaimanakah cinta ditunjukkan di layar televisyen dan pawagam?
Jika kita perasan, sama ada daripada Hollywood atau MalayWood, masing-masing menunjukkan cinta yang tidak membina masyarakat. Cinta diwarnakan dengan amalan-amalan yang melanggar syariat. Ini membina stereotaip cinta.
Maka apabila kalimah ‘cinta’ disebut, terus manusia yang mendengarnya akan terbayangkan ‘adegan-adegan’ atau ‘aksi-aksi’ yang ditunjukkan pada layar televisyen dan pawagam.
Jangan terkejut sekiranya hari ini, ayat ‘lets make love’ di barat adalah bermaksud ‘lets have sex’.
Ya, begitu akhirnya cinta diwarnakan.
Hari ini pula, kita disibukkan dengan cinta-cinta Islamik, yang tidak pula membantu masyarakat menjernihkan fahaman mereka terhadap agung dan bersihnya cinta di sisi Islam. Jelas, yang ditunjukkan tetap hubungan lelaki dan perempuan, dengan hubungan yang masih tunggang terbalik batas syariatnya. Bezanya, hanyalah pakaian yang lebih Islamik dan ayat yang terlebih berbunga-bunga kononnya sopan.
Maka tidak hairanlah mereka yang ingin bercinta, mencontohi contoh-contoh ini, sekaligus sekali lagi menyumbang kepada stereotaip pandangan terhadap cinta.
Akhirnya cinta nampak rendah. Memalukan. Taboo bila disebut oleh anak muda.
Penutup: Begitulah Penyakit Cinta Masyarakat yang saya nampak.
Begitulah cinta dicalarkan. Begitulah cinta dipalitkan dengan arang kekotoran.
Hingga akhirnya tidak kelihatan wajah yang indah di dalam cinta. Keindahan di dalam cinta bahkan dipenjarakan dengan kalimah-kalimah seperti ‘angau’, ‘kemaruk’, ‘fantasi’ dan sebagainya. Hal ini kerana, setiap kali keindahan cinta mahu ditunjukkan oleh tangan-tangan yang tidak memahaminya, mereka akan mengiringinya dengan keadaan ‘lalai’ dan ‘alpa’.
Kalau cerita itu Islamik sedikit, akan ditambah ‘astaghfirullah’. Ini semua memberikan fitnah kepada cinta.
Ya. Di dalam perjalanan saya ke arah rumah tangga, saya bertemu dengan penyakit-penyakit ini di dalam masyarakat. Betapa cinta telah disempitkan, dan diperusukkan ke satu sudut yang kotor lagi menjijikkan.
Hingga cinta kelihatan seperti satu dosa..
Dan dikelaskan sebagai salah satu perkara yang ‘membawa kepada zina’.
Hingga saya melakar cita-cita, untuk membersihkan cinta ini, dan memberikan warna yang selayaknya buatnya.
Antara sebab mengapa saya menulis “Sebelum Aku Bernikah Ini”.
The post Sebelum Aku Bernikah – Memahami Penyakit Cinta Masyarakat. appeared first on Langit Ilahi.
Cinta Di Hari Badar
“Pergilah kamu bersama Tuhanmu berperang, kami akan bersama-sama kamu turut berperang !”
Tidak banyak yang dikatakan oleh Al-Miqdad, salah seorang wakil Muhajirin itu. Sekelumit kata penuh cinta, yang memberikan kekuatan pada meneruskan momentum perjuangan di hari Badar.
Tidak mudah hari Badar itu. Ia menguji keimanan, keyakinan dan rasa cinta sesama mereka.
Tidak mudah kerana bukan itu yang mereka mahukan ketika mereka mula keluar dari Madinah. Hanya mahu mendapatkan semula barang milik mereka dari kafilah Quraisy yang telah memperdagangkannya saat mereka berhijrah beramai-ramai ke Madinah kerana ingin menyelamatkan iman.
Namun, teruji lagi iman mereka saat ini.
Cinta Ansar Memperkuatkan Saf
Hanya tinggal mendapat kata putus dari Ansar sahaja sekarang. Muhajirin telah pun memberikan lampu hijau untuk meneruskan perjuangan bersama Rasul.
Saat ini, teruji cinta para Ansar kepada Rasul s.a.w. Bagaimana tidak, mereka telah berbai’ah sebelum ini di Aqabah hanya untuk melindungi Rasul s.a.w. sekiranya baginda berada di Madinah.
“Wahai Rasulullah, kami berlepas diri dari melindungimu sehinggalah kamu sampai ke perkampungan kami. Sekiranya engkau telah tiba pada kami, maka engkau berada dalam perlindungan kami. Kami akan menghalang engkau dari apa-apa (serangan) sebagaimana kami menghalangnya dari anak-anak dan isteri-isteri kami.”
Itu bai’ah saat masih berada di Aqabah. Bai’ah hanya untuk melindungi ketika baginda berada di Madinah.
Sekarang sudah berada di Badar yang kira-kira 80 batu jauhnya dari Madinah. Mahu lagikah mereka bersama melindungi dan meneruskan perjuangan bersama Rasul s.a.w.? Ditambah lagi dengan risiko kehilangan nyawa yang akan mereka hadapi, apakah mereka sanggup?
“Asyiru alayya ayuhannas !” Rasulullah s.a.w. memberikan isyarat ringkas. Dalam kata lain, maksudnya, “Berilah nasihat padaku wahai sekalian manusia !”
Tidak langsung baginda menyebutkan nama Ansar kerana bimbang mereka tidak bersedia menyahut panggilan juang di luar Madinah. Namun, barangkali didikan Islam telah membuatkan jiwa mereka terpanggil dan cepat memahami.
“Demi Allah, seakan-akan kau memaksudkan kami, wahai Pesuruh Allah.” balas Saad bin Muaz, salah seorang wakil Ansar.
“Ya.” jawab baginda.
Belum pernah baginda menghadapi suasana segetir ini bersama Ansar. Kalau bersama Muhajirin itu, telah banyak kali mereka pernah lalui bersama ketika di Makkah.
Entah apakah yang akan diucapkan oleh wakil Ansar ini. Risau.
Saad bin Muaz bangun lalu berkata, “Kami telah beriman denganmu, membenarkan kamu serta menyaksikan bahawa apa yang telah engkau bawa adalah kebenaran. Dan kami berikan kepadamu seluruh kepercayaan kami untuk taat dan patuh kepadamu. Teruskanlah wahai Rasulullah dengan apa yang engkau mahu lakukan, kami akan tetap bersamamu.
Demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran, sekiranya dibentangkan di hadapan kami lautan yang luas, dan engkau menyuruh kami menyeberanginya, nescaya kami akan menyeberangi lautan itu bersama-samamu dan tidak akan berpaling daripada kami walau seorang pun.”
Kata-kata itu melegakan dan menggembirakan hati baginda s.a.w. Seakan-akan hilang seketika kerisauan ke atas peperangan pertama yang akan mereka hadapi ini dalam sejarah Islam.
Cinta telah menyebabkan mereka lulus ujian di hari Badar.
Cinta telah menaut hati mereka untuk tetap kekal setia di atas jalan juang meski akan teruji segala apa yang dimiliki oleh mereka, baik nyawa mereka, baik harta mereka.
Cinta telah menumbuhkan kekuatan dalam jiwa mereka menghadapi hari-hari genting yang mereka tidak mereka tahu bagaimana akhirnya, yang mereka sendiri sedar betapa kerdilnya persediaan mereka, namun cinta membuatkan mereka tak rela melihat saudara-saudara seiman mereka pergi berjuang dan bekerja keras sementara mereka hanya menikmati kerehatan dan keenakan dunia.
Tapisan Cinta
Masih tulus lagikah cinta kita pada saf-saf perjuangan kita untuk Islam seandainya ujian menerpa sebegini rupa? Dalam keadaan kita merasa kita masih punya banyak kekurangan, dibataskan pula oleh pengalaman-pengalaman yang tidak seberapa, kemudian dibayangi dengan kekuatan musuh yang serba lengkap dan bilangan yang lebih ramai, mahu lagikah kita terus setia memberikan cinta?
Cinta itu nampak harmoni pada kata, tetapi teruji pada maknanya.
Bila dakwah menghadapi halangan demi halangan, cabaran demi cabaran, tapisan cinta akan berlaku.
Sehinggalah tinggal mereka yang benar-benar kukuh keyakinan, yang meyakini bahawa kekuatan dan kemenangan tidaklah dinilai pada ukuran-ukuran fizikal yang kelihatan di mata semata-mata, tetapi juga pada ukuran-ukuran dasar tersembunyi di antara hati manusia dengan Tuhan yang selalu diabaikan.
Demikianlah pesanan Tuhan yang telah menganugerahkan kejayaan di hari Badar.
“Wahai orang-orang beriman, sekiranya kamu bertemu pasukan (lawan), maka berteguhlah hati dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, semoga kamu mendapat kejayaan.” [Al-Anfal : 45]
Ketika dakwah dan kebenaran terus-menerus diuji, apakah masih tulus cinta di hati?
Penutup : Hari-hari Badar
Hari-hari Badar yang pernah muncul dalam hidup kita, masih terpasak kuatkah iman kita ketika itu?
Hari di mana ujian datang menguji kita apa yang tidak pernah kita jangka, hari di mana ujian datang menerpa saf kerja dakwah kita yang kita rasakan masih banyak kekurangan dan kelemahan masih ada dan tak tertanggung untuk melayan ujian yang tiba, hari di mana ujian datang menjenguk kita dalam keadaan pengalaman kita yang sikit menghadapinya.
Dan kita pula mempunyai banyak peluang-peluang untuk berlepas diri dari perjuangan sekiranya kita mahu.
Namun, keimanan dan keyakinan kita kepada Allah akan mengatasi segalanya.
Pada hari itu, teruji kejujuran cinta kita di atas tinta perjuangan, masih mampukah untuk kita terus mengungkapkan, “Pergilah kamu bersama Tuhanmu menghadapi ujian, kami akan bersama-sama kamu turut menghadapinya !”
The post Cinta Di Hari Badar appeared first on Langit Ilahi.
January 31, 2014
Irkam Ma’ana: Kami Adalah Yang Beriman Kepada Allah SWT
Kita masih berada di dalam bahtera yang menuju ke destinasi tertinggi. Itulah dia keredhaan dan syurga Ilahi. Sesungguhnya adalah terletak kepada diri untuk memilih berada di dalam bahtera ini atau tidak mahu bersamanya. Tiada paksaan.
Tetapi mengetahui bahawa ‘banjir besar’ yang berlaku dalam kehidupan masyarakat, kita pastinya terfikir apakah kita sekadar ingin meneruskan kehidupan sebagai ‘perenang’ di dalam kerosakan ini, atau kita ingin melakukan perubahan dan menaiki bahtera yang menyelamatkan kita? Pasti pengakhiran untuk kedua-dua pilihan adalah sesekali tidak sama.
Menaiki bahtera ini, adalah ditawarkan kebahagiaan dan kelapangan jiwa, keselamatan dan ketenangan hati, yang pastinya takkan mampu dicari di mana-mana selain di dalam bahtera ini.
Antara ciri-ciri penumpang bahtera ini adalah, Kami beriman kepada Allah SWT.
Itu motivasi tertinggi kami.
Mengapa Keimanan Kepada Allah Adalah Motivasi?
Persoalan utama. Mengapa keimanan kepada Allah menyelamatkan kehidupan, dan memberikan motivasi untuk kita menongkah segala cabaran serta menyelamatkan diri daripada kerosakan?
Jawapannya mudah.
Kerana keimanan kepada Allah adalah yang memberikan diri rasa ‘kebersamaan’.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,” Surah Qaaf ayat 16.
Maka bagaimanakah sekiranya kita bersama dengan seorang sultan? Tidakkah kita merasa selamat? Ya. Maka bagaimana pula jika kita percaya dan merasai bahawa kita sentiasa bersama, bahkan amat dekat pula dengan Sultan Yang Menguasai Seluruh Alam?
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.” Surah Az-Zukhruf ayat 9.
Pastinya rasa selamat yang tidak terhingga. Pastinya rasa termotivasi untuk melakukan gerak kerja. Dan semestinya, kita akan merasa malu dan segan untuk melakukan kejahatan. Kerana kita merasai, bahawa Dia bersama. Sebab itu, yang beriman kepadaNya dengan keimanan yang sempurna, akan menjauhi perkara yang tidak diredhaiNya.
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia hendak meminum arak itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia hendak berzina itu dia beriman.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Nah. Bagaimana keimanan kepada Allah tidak mampu menjadi ‘penyelamat’?
Kerana itu, yang menaiki bahtera ini, adalah yang beriman kepadaNya. Semua berusaha menyelamatkan diri dari kerosakan yang menjemput murkaNya.
Mustahil kepada Tuhan tidak kami tundukkan diri
Kita melihat dunia. Sempurna sistemnya. Amat indah ciptaannya. Penuh dengan pelbagai peraturan, dan tidak pula berlanggaran. Hanya sekiranya diganggu oleh tangan nista sang manusia, barulah berlaku pelbagai kerosakan.
Perhatikanlah awan di langit, perhatikanlah pula air di sungai dan lautan, perhatikan haiwan-haiwan bagaimana mereka hidup, perhatikan pula tumbuh-tumbuhan bagaimana mereka membiak dan memberikan manfaat, dan mikrokan pandangan kita dengan memerhati plankton-plankton, zarah-zarah, sel-sel yang wujud, kita besarkan pula pandangan kita memandang Galaksi Bima Sakti dan memerhati bagaimana Matahari, planet-planet, bintang-bintang, komet-komet, semuanya bergerak dengan baik, teratur, kemas.
Apakah semua itu tiada yang menyusunnya? Mustahil.
Pastinya ada.
Siapa?
“Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” Surah Ar-Ra’d ayat 2.
“Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).” Surah Al-Baqarah ayat 22.
Maka bagaimanakah kepada Yang Menguasai Dan Menciptakan Seluruh Alam ini, kami tidak menundukkan diri? Dia adalah Tuhan. Bukti bahawa Allah adalah Tuhan, dapat dijelaskan dengan kesempurnaan Al-Quran. Al-Quran, sehingga hari ini, langsung tidak diketemui cacat celanya, bahkan telah diakui mukjizatnya yang pelbagai. Maka jelas, bahawa Tuan Punya Al-Quran adalah Tuan Punya Dunia.
Mustahil kami penumpang bahtera menafikan.
Tuhan Itu Mendidik Agar Kami Hidup Dengan Baik
Beriman kepada Allah SWT bermakna kami perlu tunduk dan patuh kepadaNya. ArahanNya adalah yang utama perlu dilaksana. LaranganNya adalah yang pertama perlu ditinggal sejauhnya. Neraca penumpang bahtera adalah: “Baik itu adalah apa yang Allah katakan baik, buruk itu adalah apa yang Allah katakan buruk.”
Kerana itu penumpang bahtera menjauhi apa-apa sahaja yang dilarangiNya.
Mematuhi arahanNya untuk hidup dengan kehidupan yang baik mengikut acuanNya.
Maka kami meninggalkan sebarang kemungkaran, sebarang kerosakan, sebarang perkara yang Allah SWT tidak memberikan kami kebenaran untuk melakukan.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” Surah Al-Israa’ ayat 32.
“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Surah Al-Israa’ ayat 26-27.
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 42.
“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.” Surah An-Nisa’ ayat 2.
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.” Surah Al-Ma’idah ayat 3.
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 30-31.
Kalau diperhatikan, semua laranganNya adalah perkara-perkara yang memang membawa kerosakan di dalam kehidupan manusia. Semua arahanNya adalah yang membawa kebaikan kepada kehidupan kita. Dia mendidik kami agar menjalani kehidupan ini dengan baik.
Kerana itu, penumpang bahtera penyelamat ini adalah yang beriman kepadaNya, mempercayaiNya, meyakiniNya, tanpa ragu-ragu mahupun berburuk sangka.
Dialah tempat berlindung dan berpaut.
Daripada Abu Hurairah r.a.d. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah s.w.t. berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu didalam hatinya maka Aku mengingati dia didalam hatiKu, dan jika dian mengingatiKu dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat yang maksum dan suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari.” Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.
Itulah Dia Allah SWT. Yang penumpang bahtera beriman kepadaNya. Dia sentiasa bersama. Sentiasa mengasihi. Sentiasa menyayangi hamba-hambaNya. Kerana itu, kami penumpang bahtera tidak gundah dan tidak gusar. Tetap kami bergerak menongkah kehidupan mentaatiNya walau sesukar mana.
Kerana kami penumpang bahtera bahagia. Jiwa kami merdeka, apabila kami beriman dan mempercayaiNya.
Sehingga Rasulullah SAW bersabda:
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.
Ajaib itu adalah kerana kami beriman kepadaNya.
Kerana Dia adalah motivasi kami semua.
Penutup: Kerana itu kami penumpang bahtera sentiasa bahagia.
Kami membina dunia di atas pencarian keredhaanNya. Kami tidak menjadi anak-anak dunia, bahkan kami adalah anak-anak akhirat yang berusaha menggapai kasihNya.
Dan Allah sentiasa memberikan kami semangat dan sokongan, agar kami benar-benar berjaya.
“Janganlah kamu berasa lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang tinggi, sekiranya kamu beriman.” Surah Ali Imran ayat 139.
Maka tiada yang mampu menjaga kami melainkan Ilahi.
Tiada yang mampu menunjukkan kami kehidupan yang baik melainkan Allah SWT.
Tiada yang mampu menguatkan kami, selain Dia.
Maka Allah adalah asas, bagi segala perkara dalam kehidupan penumpang bahtera.
Kerana itu kami bahagia, kuat, dan tidak tergugur dengan apa-apa duga.
The post Irkam Ma’ana: Kami Adalah Yang Beriman Kepada Allah SWT appeared first on Langit Ilahi.
Sebelum Aku Bernikah – Bermulanya Satu Kesedaran.
Sepanjang saya mampu mengingat, saya punya memori tentang ‘pernikahan’ yang pertama adalah ketika saya berumur sekitar 5 tahun. Main ‘masak-masak’ dengan rakan perempuan di nurseri tempat saya dijaga. Saya jadi ayah, dan ada seorang pelajar perempuan itu menjadi ibu. Itu ingatan pertama saya berkenaan kahwin, nikah, rumah tangga. Cuma mungkin ketika itu, saya tidak pernah mengetahui istilah-istilah tersebut.
Namun bukanlah itu yang menjadi ‘trigger’ kepada kesedaran saya dalam isu ini.
Yang ‘menolak’ saya untuk memulakan satu kembara yang panjang, menyelam dalam isu cinta dan pembinaan rumah tangga ini adalah apabila satu hari, saya mendengar guru saya berbicara di koperasi sekolah berkenaan seorang pelajar perempuan.
“Untung siapa dapat dia ni. Rajin pergi usrah. Excellent dalam pengajian. Bahkan dia telah bercita-cita untuk menyumbang tenaganya untuk Islam.”
Masa itu saya terfikir, mengapa mesti keuntungan seseorang, diikat dengan ciri-ciri seperti tadi? Selain itu, tidak untungkah?
Di situ kembara saya bermula.
Sembang dengan orang yang lebih tua.
Hari ini, dunia menjumpai satu teknologi bernama laman sosial. Laman sosial zaman saya punya kesedaran itu, hanyalah friendster. Tidak semeriah dan sehebat Facebook hari ini. Zaman itu, ledakan blog pun belum terjadi. Ketika itu saya baru mencecah tingkatan 4. Tahun 2005.
Hari ini, bila orang nak mencari ‘kefahaman’ berkenaan urusan sebegini, Facebook adalah ulama’nya. Blog para ‘doktor cinta’ menjadi terjahanannya.
Namun saya pada ketika itu, tidak bergerak ke alam-alam maya ini. Memandangkan saya sendiri ketika itu adalah pelajar asrama. Akses kepada internet tidak semudah hari ini.
Apa yang saya lakukan apabila ‘wujud persoalan akan rumah tangga?’
Saya pergi kepada mereka yang lebih tua.
Saya masih ingat bagaimana saya suka mendengar bicara guru-guru saya seperti Sir Rosdi Baharom, Cikgu Azmi Bahari, berkenaan baitul muslim, berkenaan pernikahan dan percintaan. Terutama kepada Sir Rosdi yang merangkap mentor kepada usrah saya di MATRI ketika itu, saya sering bertanya kepadanya akan ciri-ciri rumah tangga yang baik, ciri-ciri isteri yang patut dicari dan sebagainya.
Dan Sir Rosdi akan berkongsikan pengalamannya. Begitulah juga Cikgu Azmi. Mereka berkongsi pengalaman rumah tangga mereka. Dari situ saya belajar dan memahami.
Faham Sebelum Cinta.
Berlainan dengan ramai remaja hari ini yang bercinta dahulu sebelum memahami, saya Allah aturkan untuk mendapat kefahaman dahulu sebelum mencintai. Saya kira, semua orang sepatutnya begitu. Menjemput kefahaman terlebih dahulu, berbanding menerjah ke alam itu secara melulu.
Sepanjang umur saya 16 dan 17 tahun, saya sering mengkaji persoalan berkenaan:
“Cinta itu apa?”
“Bagaimana patut bercinta?”
“Mengapa perlu mencari pasangan yang ciri-cirinya sedemikian?”
“Mengapa penting membentuk diri sebelum pernikahan?”
“Anak-anak nanti, perlu diacu bagaimana? Dan apa kaitannya dengan keadaan diri kita?”
“Apakah hubungan rumahtangga yang kita bina, dengan Islam dan ummat?”
Itu antara persoalan-persoalan yang saya cuba selesaikan pada umur saya belasan tahun sebelum mencecah 20-an. Tidak cukup dengan beberapa orang veteran, saya mula mencari lebih ramai veteran lain. Hatta mudir sekolah saya ketika itu, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, tidak saya segan silu merapatinya dan bertanya pendapatnya akan hal-hal ini.
Saya mula memberanikan diri bertanya dan bersembang dengan Abah dan Ummi saya sendiri. Kadangkala sengaja saya menembak soalan seperti: “Abah, macam mana boleh terkahwin dengan Ummi?”
Semua itu adalah untuk saya memahami, bagaimana dan mengapa, dalam isu percintaan dan rumah tangga.
Memahami cinta, dalam rupanya yang sebenar. Realistik.
Bukan dalam bentuknya yang diindah-indahkan seperti di dalam novel, atau kata-kata ‘sempurna’ yang biasa didengari. Kerana saya pada umur itu menyedari bahawa, saya hidup di atas dunia, bukan di dalam syurga.
Akhirnya Menyedari Betapa Besarnya Perkara Ini.
Akhirnya, dalam kembara mencari kesedaran ini, saya mula melihat betapa besarnya perkara ini. Pada umur saya sekitar 19 tahun, saya memahami bahawa perkara ini, yakni cinta, pernikahan dan rumahtangga ini, tidak boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Tidak boleh dilalui dengan sambil lewa.
Hal ini kerana, ketika itu saya mula melihat bahawa hubungan dua manusia, lelaki dan perempuan yang ingin bersatu menjadi keluarga, adalah asas kepada pembinaan ummah itu sendiri.
Saya pada umur itu memandang, sekiranya saya merosakkan perjalanan cinta saya, mengisinya dengan perkara yang Allah larang, membinanya dengan sambil lewa tanpa kesungguhan, maka saya sebenarnya telah menyumbang kepada kerapuhan ummah!
Ya. Saya pada umur itu melihat sedemikian rupa.
Maka dengan kesedaran sedemikian, saya mula merancang masa hadapan saya.
Perjalanan cinta saya.
Rumahtangga saya.
Penutup: Kesedaran Itu Penting.
Sedar bermaksud, sebelum ini kita lena. Lalai. Alpa.
Maka kita ‘tersedar’. Terjaga. Mula ‘aware’. Mula sensitif dan peka.
Kerana itu, kesedaran adalah amat penting.
Namun apakah kita hari ini menyedari?
Ramai yang sekadar seronok dan teruja dalam menerjah cinta, pernikahan dan rumah tangga. Sibuknya hanyalah dalam isu hubungan lelaki dan perempuan, bagaimana cinta sebelum kahwin halal atau tidak, istikharah macam mana, bagaimana perhubungan antara tunang dengan tunang, dan sebagainya.
Tetapi tiada yang menyedari bahawa perkara ini hakikatnya lebih besar daripada semua itu.
Pembinaan ummah!
Apakah yang lebih besar daripadanya?
Bagi yang tidak menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang kecil. Bagi yang menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang besar.
The post Sebelum Aku Bernikah – Bermulanya Satu Kesedaran. appeared first on Langit Ilahi.
Poster : Pelik kan?
Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.
At-Taubah : ayat 18.
The post Poster : Pelik kan? appeared first on Langit Ilahi.
Mengetuk Pintu Rezeki dengan Taubat
Deviantart.com
Baginda s.a.w bersabda:
Daripada Al-Aghari bin Yassar AL-Muzani r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia bertaubatlah kepada Allah s.w.t dan mohonlah keampunan (istighfar) kepadanya, sesungguhnya aku bertaubat seratus kali dalam masa sehari” (Muslim no.2702/43)
Manfaat Hadis[i]
Hadis ini adalah dorongan buat umat manusia sekaliannya supaya bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya. Sedangkan baginda s.a.w yang maksum dan juga sebaik-baik penciptaan pun memohon keampunan atas dosanya yang telah lalu dan yang akan datang sebanyak seratus kali sebagai contoh buat ummatnya, inikan pula manusia yang sentiasa berlumuran dosa yang lebih perlu untuk berbuat demikian.
Taubat dan memohon keampunan yang berterusan ini bukan sahaja boleh menghapuskan dosa yang tampak zahir pada mata bahkan dosa-dosa yang tidak disedari kewujudannya seperti rasa hasad,riya’ dan sebagainya. Oleh itu insan yang mengharapkan kurniaan nikmat daripada Allah sepatutnya rasa malu dengan dosanya terlebih dahulu kemudian bertaubat, seterusnya barulah memohon kepada Allah ditunaikan hajat. Adapun bilangan istigfar yang disebutkan dalam hadis tidak menggambarkan bilangan secara khusus untuk diikuti oleh ummat ini tetapi menunjukkan kepada insan untuk sentiasa melaziminya.
Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah s.w.t, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Ia adalah perbuatan membuang dan mengosongkan diri daripada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat juga menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allahs.w.t sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah s.w.t maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.
Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripada makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.
Selain itu hadis ini juga menyarankan kita untuk senantiasa berusaha bertaubat walaupun dengan istighfar kerna manusia hakikatnya tidak tahu bila kematian datang menjemput. Justeru, wajar bagi seorang mukmin yang mengharapkan pengakhiran yang baik iaitu memperoleh syurga daripada Allah melazimi taubat.
Cara- cara bertaubat
Ulama’ bersepakat bahawa taubat adalah wajib bagi setiap dosa tidak terkecuali dosa kecil apatah lagi besar. Manakala cara pembersihan dosa manusia dibahagikan kepada dua iaitu:
Dosa antara hamba dan Allah
i- Berusaha bersungguh tinggalkan maksiat yang dilakukan
ii- Rasa penuh penyesalan atas dosa yang dilakukan
iii- Menanam keazaman tidak akan mengulanginya lagi
Dosa antara insan dengan insan
i- Berusaha bersungguh tinggalkan maksiat yang dilakukan
ii- Rasa penuh penyesalan atas dosa yang dilakukan
iii- Menanam keazaman tidak akan mengulanginya lagi
iv- Memohon maaf terhadap orang berkaitan atas kesalahan
Kelebihan istighfar
Manusia mungkin hanya melihat istighfar ia merupakan lafaz yang mengandungi elemen memohon keampunan semata-mata, walhal kelebihan istighfar menjangkaui apa yang manusia sangka. Allah s.w.t berfirman menggambarkan kelebihannya:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾
“Sehingga aku(Nuh a.s) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
Nabi Nuh a.s merupakan antara tokoh yang terkenal dalam bidang dakwah selain nabi Muhammad s.a.w disebabkan usaha baginda yang begitu gigih menyampaikan risalah Allah dalam tempoh yang begitu lama iaitu Sembilan ratus lima puluh tahun. Demikian pengikut baginda begitu sedikit. Bukanlah bilangan itu menjadi ukuran berjaya sesuatu dakwah tetapi kerana natijah manusia menerima hidayah hanya dengan kehendak Allah, tetapi bahtera dakwah yang baginda kelola telah mencapai tahap yang Allah perintahkan.
Adapun kaum nabi Nuh a.s terkenal dengan sifat keras hatinya. Siang malam. Secara terbuka, secara tertutup dan secara terbuka dan tertutup diseru supaya menyembah Allah yang Esa, tetapi masih berdegil dengan kepercayaan mereka. Berbagai cara dan pelbagai waktu diajak, mereka bukan sahaja tidak mahu menerima bahkan mengguris hati Nuh a.s dengan memekakkan telinga mereka dari mendengar ajakan dan melitupi pandangan mereka daripada baginda untuk menunjukkan perasaan benci mereka terhadap peringatan yang dibawa.
Tetapi kesabaran Nuh a.s tidak dapat disangkal. Baginda masih tetap menyeru kaumnya untuk memohon ampun kepada Allah s.w.t dan pada-Nya sahaja layak disembah. Tidak cukup sekadar itu, bersama keampunan yang diseru itu, ada janji-janji Allah yang boleh diambil iktibar pada insan terkemudian sebagai galakan untuk berbuat demikian.
Dr. Wahbah Zuhaili ada menyebutkan dalam tafsirnya, Al-Munir dalam menerangkan ayat-ayat berkaitan janji-janji Allah ini terhadap mereka yang memohon keampunan kepada lima perkara yang utama:
1. Nikmat rezeki berupa bekalan makanan dan zuriat
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ﴿١٢﴾
“(Sekiranya kamu berbuat demikian yakni memohon keampunan), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.[11]
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).[12]
2. Nikmat kehidupan dan penciptaan yang sempurna
مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّـهِ وَقَارًا ﴿١٣﴾ وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا ﴿١٤﴾
“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya)[13]
“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?[14]
3. Nikmat cahaya dan masa
أَلَمْ تَرَوْا كَيْفَ خَلَقَ اللَّـهُ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ﴿١٥﴾ وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا ﴿١٦﴾
“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat.[15]
“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang) [16]
4. Nikmat tanaman yang subur
وَاللَّـهُ أَنبَتَكُم مِّنَ الْأَرْضِ نَبَاتًا ﴿١٧﴾ ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا ﴿١٨﴾
“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna. [17]
“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya.[18]
5. Nikmat dipermudahkan urusan dunia
وَاللَّـهُ جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ بِسَاطًا ﴿١٩﴾ لِّتَسْلُكُوا مِنْهَا سُبُلًا فِجَاجًا﴿٢٠﴾
“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan”[19]
“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”[20]
Jika kaum Nuh a.s memohon keampunan dan bertaubat atas dosa-dosa mereka maka Allah akan berikan rezeki berupa hujan yang berterusan yang akan menghidupkan dan menyuburkan tanaman seterusnya menjadi bekalan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan yang mana sebelumnya disekat disebabkan kekufuran mereka.
Tidak cukup sekadar itu, Allah juga menjanjikan kepada mereka akan memperoleh zuriat dari kalangan mereka yang mana ia merupakan satu kurniaan yang besar kerana pada hakikatnya anak-anak merupakan rezeki yang amat dibanggakan oleh sekalian manusia secara fitrahnya kerana ia melambangkan penerusan generasi bagi sesuatu kaum.
Manusia era kini, kadang-kadang mencari-cari cara untuk memperoleh rezeki hinggakan ada yang terdesak sampai ke tahap melakukan maksiat kepada Allah. Tetapi jika insan memerhatikan janji-janji Allah nescaya akan menyedari bahawa ada jalan keluar yang disediakan tanpa dinafikan perlunya berusaha untuk mencari rezeki.
Ia sebenarnya sebagai nilai tambah kerana secara logiknya apabila manusia senantiasa memohon keampunan kepada Allah, maka dia akan lebih dekat hubungannya kepada Penciptanya. Dengan itu, lebih mudah untuk manusia memohon diperkenankan permintaan kerana sesungguhnya Allah yang bersifat Pemurah sangat menyukai hamba yang memohon kepada-Nya.
Pun begitu, perlu diingatkan bahawa ia bukan perkara yang mudah kerana kebendaan dan zuriat seperti yang dijanjikan merupakan fitnah yang besar dalam kehidupan insan terutama setelah memperolehnya. Oleh sebab itu, manusia digalakkan untuk melazimi taubat. Allah s.w.t berfirman:
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّـهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿١٥﴾
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. [At-Taghabun:15]
Kesimpulan
Dalam pada kita memohon keampunan kepada Allah s.w.t, usaha kita jangan dilupa kerana ia merupakan kunci buat kita untuk mencapai kejayaan. Adapun taubat ini diibaratkan ‘ketukan’ kita terhadap pintu rezeki yang mana kesemua kuncinya ada pada Allah. Moga jalan rezeki kita akan lebih dipermudahkan.
wallahualam.
[i] Nuzhatul Muttaqin syarah Riyadhussalihin
The post Mengetuk Pintu Rezeki dengan Taubat appeared first on Langit Ilahi.
Setiap kesulitan ada kemudahan

Siapa yang tidak pernah merasa putus asa, apabila sesuatu yang diusahakan tidak menjadi seperti yang dirancang? bersabarlah ketika menghadapi kesulitan, kerana sesungguhnya itu juga adalah sebahagian ujian daripada Allah. Berdoalah kepadanya, kerana Allah mampu mengubah sesuatu yang sulit itu kepada yang lebih mudah.
The post Setiap kesulitan ada kemudahan appeared first on Langit Ilahi.