Hilal Asyraf's Blog, page 80
January 21, 2014
Allah S.W.T. Ingin Berikan Yang Lebih Baik
~Pic by www.creakypoints.org
Suatu hari, Rasul s.a.w. berjalan lalu bertemu dengan seorang wanita sedang menangis di sisi kubur, maka baginda menyampaikan pesan ringkas.
“Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah !”
Barangkali kerana terlalu pedih menanggung derita musibah kehilangan orang tersayang , maka dibalasnya kepada Nabi, “Pergilah kau dari diriku. Kau tidak merasai apa yang dtimpakan ke atasku !”
Baginda pun berlalu dari situ. Lalu seorang lelaki di situ dan mengkhabarkan kepada wanita itu bahawa susuk tubuh tadi adalah baginda Rasul s.a.w.
Terkejut wanita itu lalu terus berkejar ke pintu rumah Rasul s.a.w. Dalam keadaan kerisauan, dia berkata kepada baginda, “Ya Rasulullah, saya tidak mengenali dirimu.”
“Sesungguhnya kesabaran itu adalah pukulan pertama.”
Ketika Kita Ditimpa Musibah
Ketika kita ditimpa musibah, apakah perkara paling awal terlintas pada diri kita?
Biasanya, tidak mudah untuk kebanyakan kita bersabar. Selalu bila diri kita dihentak dengan musibah, jiwa kita akan merasa sesak dan susah sehingga kadangkala menyebabkan perkara paling awal timbul dalam benak fikiran sesetengah orang, kenapa dia yang ditimpakan musibah itu, kenapa tidak orang lain.
Tidak mudah, tetapi pasti ada hikmahnya di balik setiap musibah.
Allah s.w.t. mahu memberikan yang lebih baik.
Ya, yakin dengan itu, dan kita akan terus positif bergerak dalam hidup.
Gantian Allah Yang Lebih Baik Menantimu
Untuk bersabar di kala musibah bagaikan menelan sesuatu yang pahit. Terasa susah mahu dihadam, terasa payah mahu ditelan.
Namun, tetaplah bersabar walau sepahit apapun ujian yang menimpa dirimu.
Bukan sengaja Allah mahu menyusahkan kamu. Bukan sengaja Allah mahu membebankan kamu.
Yakinlah bahawa ketika Allah menguji dirimu dengan musibah, Dia sedang menilai kepercayaan dirimu terhadap-Nya. Kalau kamu terus percaya kepada-Nya, maka kamu lulus ujian.
Yakinlah bahawa ketika Allah menghantar musibah menemui dirimu, Dia hanya mahu agar kamu terus sedar dan tidak lalai, kembali rapat kepada-Nya.
Yakinlah bahawa ketika Allah mengujimu dengan sesuatu yang kamu rasakan berat dan susah menanggungnya, Allah s.w.t. mungkin sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik dan lebih menyenangkan dirimu di masa depan.
“Tidaklah ada hamba yang diuji dengan musibah maka dia berkata :
Sesungguhnya kita ini untuk Allah dan kepada-Nya jugalah kita akan kembali. Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku atas musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah untukku yang lebih baik darinya (apa yang telah hilang dari diriku ketika musibah menimpa)
Melainkan Allah akan memberikan ganjaran kepada musibah yang menimpanya dan menggantikan sesuatu yang lebih baik darinya (apa yang dia telah kehilangan).
Maka, Ummu Salamah berkata : Setelah Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata seperti mana yang diajarkan oleh Rasul s.a.w. maka Allah benar-benar menggantikan aku dengan sesuatu yang lebih baik darinya (kehilangan suami lama) iaitu Rasul s.a.w.
Yakinkah Kita ?
Bukankah apa yang menimpa Rasul s.a.w. dan para sahabat ketika diseksa dan ditindas di kota tempat kelahiran mereka sendiri sehingga membuatkan mereka harus terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah itu adalah satu musibah? Lalu, tidakkah kita melihat apakah yang telah Allah gantikan untuk mereka di masa depan mereka? Allah berikan hadiah yang lebih baik melalui kekuatan solidariti yang lebih kuat untuk Islam, kekuatan masyarakat dan pembinaan negara dan pelbagai lagi hadiah-hadiah besar lain.
Mereka itu sudah tentulah menyayangi tempat asal dan kelahiran mereka, tetapi kerana mereka yakin dengan Allah s.w.t., bersabar dan terus positif, maka musibah itu dilalui dengan penuh kekuatan jiwa sehingga banyak kebaikan yang berganda datang kepada mereka selepas itu.
Ingatkah kita pada apa yang pernah menimpa Yusuf a.s. ketika baginda dikhianati oleh adik-beradiknya sendiri, dicampak ke dalam telaga sehingga dikutip oleh saudagar yang menyebabkan baginda terpisah jauh terus daripada ayahnya, Yaakub a.s. selama beberapa tahun lamanya. Namun, musibah itu tidak menghilangkan keyakinan Yusuf terhadap Tuhannya, terus-menerus baginda berjalan dan berjuang dalam hidupnya sehingga Allah menghadiahkan kepada baginda sesuatu yang lebih baik di masa depannya.
Siapa yang sangka seorang anak kecil yang dikutip dari telaga dalam, terpisah jauh dari ayahnya, tidak kenal susur galurnya, tetapi telah menjadi seorang yang berwatak penting dalam pentadbiran Mesir.
Percayakah kita akan janji-janji Allah?
Yakinkah kita dengan Allah?
Letakkanlah percaya kita kepada-Nya, bersabar, positifkan minda dan teruskan berjalan. Musibah yang kita rasa berat pada hari ini mungkin saja boleh bertukar menjadi ringan pada esok hari jika Allah bersama kita.
Kekuasaan Allah mengatasi kemampuan dan daya kita.
Untuk berdepan dengan musibah itu dalam keadaan kita berseorangan, kita memang akan terasa susah dan sesak dada mendepaninya. Namun, bila Allah ada bersama dengan kita, maka segala urusan menjadi ringan dan terasa mudah menempuhinya.
Penutup : Positif Terus Pada Allah
Allah s.w.t. ingin berikan sesuatu yang lebih baik kepadamu ketika Dia mengujimu dengan musibah.
Namun, Dia mahu melihat sejauh mana kamu percaya pada-Nya, benar-benar yakin pada-Nya.
Mungkinlah sesuatu yang lebih baik itu tidaklah semestinya kita dapatkan di dunia, mungkin kita dapatkannya di akhirat. Namun, Allah s.w.t. pasti tidak akan mensia-siakan kita atas apa yang telah diujinya terhadap kita.
Positif terus pada Allah. Bersabar kala diuji. Tempuhilah ia dengan jiwa yang besar dan hati yang kuat.
Ada kemanisan yang tersembunyi di celah-celah kesusahan.
Ada juga kemanisan yang didapatkan di hujung kejayaan kita menempah kesusahan.
Semoga kita tetap terus optimis, bahawa dengan Allah, masa depan kita tetap kan terus bahagia !
HR Bukhari
HR Muslim
The post Allah S.W.T. Ingin Berikan Yang Lebih Baik appeared first on Langit Ilahi.
January 20, 2014
Fotografi: Musafir
| Highway to Amman | Jordan |
Sony Alpha Nex-5N | f8 | 1/200 | ISO100
Musafir mendidik kita mengenal erti hamba dan hina.
“Berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang terdahulu. Kebanyakan mereka itu adalah orang yang mempersekutukan (Allah).”
( Ar-Rum: 42 )
“Berjalanlah kamu di serata muka bumi ini, maka perhatikanlah bagaimana Allah mencipta manusia daripada permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
( Al-Ankabut: 20 )
Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Ada tiga doa mustajab (dikabulkan) yang tidak ada keraguan di dalamnya, iaitu: doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa orang tua kepada anaknya.
( Riwayat At-Tirmizi )
Berdoalah sebanyak-banyaknya akan kebaikan. Selamat bermusafir.
The post Fotografi: Musafir appeared first on Langit Ilahi.
January 19, 2014
Bukti Cinta? 2

ADA BANYAK CARA UNTUK KITA MENYINTAI
RASULULLAH SAW. ANTARANYA SELAWAT PADA RASULULLAH SAW.
Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan kecintaan kita ini kepada Rasulullah SAW. Antaranya dengan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW.
“ Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya selawat pada Nabi. Hai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya”
(Surah al-Ahzab :: 56)
The post Bukti Cinta? 2 appeared first on Langit Ilahi.
January 17, 2014
Ya Rasulullah!!

Ingat pada Nabi Muhammad S.A.W. bukan hanya pada maulid sahaja, bahkan kita digalakkan untuk berselawat kepadanya setiap hari. Ayuh banyakkan selawat ke atas nabi!!
The post Ya Rasulullah!! appeared first on Langit Ilahi.
January 16, 2014
Fotografi: Liqa’ cinta Rasul
[image error]Dari kiri: Afdholul Rahman, Saleem Wahab, Uzair Izham, Qawiem Khairi, Ulwan Mokhtar, Koje Mita of Langitilahi
| Liqa’ cinta Rasul | Mat’am Hadramaut | Irbid, Jordan |
Sony Alpha Nex-5N | f4 |1/30 | ISO3200
Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam berpesan dalam khutbahnya di Arafah semasa peristiwa Hujjatul Wada’ kepada 100 ribu para sahabat yang mengerjakan haji ketika itu dengan berkata:
“أيها الناس إن دماءكم وأموالكم وأعراضكم حرام عليكم إلى أن تلقوا ربكم كحرمة يومكم هذا في شهركم هذا في بلدكم هذا”
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya darah-darah kamu dan harta-harta kamu dan maruah-maruah kamu haram ke atas kamu (haram darahnya untuk saling berbunuhan), sehinggalah kamu bertemu dengan Tuhan kamu sepertimana haramnya (sucinya) pada hari ini dan pada bulan ini dan pada negara ini”.
Haram muslim menzalimi muslim.
Haram muslim mencuri harta muslim.
Haram muslim menghina dan mengumpat muslim.
Ingatlah pesan nabi ini.
اللهم صلي على سيدنا محمد وعلى ال محمد
The post Fotografi: Liqa’ cinta Rasul appeared first on Langit Ilahi.
Resepi Membina Masyarakat
Membina masyarakat itu adalah satu keperluan di mana-mana tempat dan zaman sekalipun. Pastilah bila kita berbicara tentang membina masyarakat, ia adalah pada membincangkan tiang-tiang asas untuk membawa masyarakat ke arah yang lebih baik.
Untuk membina sebuah masyarakat ke arah yang lebih baik, tidak dapat tidak ia mesti dimulai dari membentuk individu-individu, orang perseorangan. Individu-individu inilah yang merupakan unit-unit kecil untuk membentuk sebuah masyarakat yang lebih besar.
Pastinya susah untuk membentuk sebuah masyarakat yang baik sekiranya unit-unit kecil ini banyak masalahnya.
Rasul s.a.w., kekasih yang kita cintai juga telah menunjukkan contohnya dalam membentuk sebuah masyarakat. Ia bahkan bukan hanya masyarakat seperti mana masyarakat-masyarakat yang biasa ada sebelum itu, bahkan kata Muhammad Al-Ghazali, ia adalah ‘masyarakat baru’.
Asas Masyarakat Baru
Masyarakat yang dibentuk oleh Rasul s.a.w. adalah masyarakat yang memang belum wujud semisalnya pada zaman itu, bahkan mungkin zaman sebelumnya juga.
Betapalah masyarakat baru itu masyarakat yang sangat hebat sehingga diiktiraf oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :
“Kalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan ke dalam kalangan manusia, kamu menyeru kepada maaruf, mencegah dari yang mungkar dan kamu pula beriman kepada Allah.” [Al-Imran : 110]
Kata Muhammad Al-Ghazali, ada 3 asas penting untuk membina sebuah masyarakat baru.
1) Hubungan ummat dengan Allah
2) Hubungan ummat di antara satu dengan yang lain
3) Hubungan ummat dengan yang tidak seagama dengan mereka
Ketiga-tiga asas ini dibentuk oleh Rasul s.a.w. melalui masyarakat baru di Madinah pasca hijrah baginda ke sana.
Bagaimanakah Rasul s.a.w. mendirikan dan mendidik ketiga-tiga asas ini?
Hubungan Ummat Dengan Allah S.W.T.
Simbolik paling utama dalam menyatakan kepentingan hubungan dengan Allah s.w.t. adalah pembinaan masjid seawal ketibaan baginda di Madinah.
Masjid adalah sebahagian simbolik kepada pentingnya pengasasan sebuah masyarakat atau tamadun itu atas hubungan dengan Tuhan. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya perubahan dalam masyarakat digerakkan dengan mengubah diri kita dan membersihkan kotoran yang ada dalam hati kita.
Tamadun yang dibina dengan menjauhkan Tuhan, tidaklah ada nilainya. Ia bergerak tanpa asas yang kukuh.
Tetapi, mengapakah Rasul s.a.w. melakukan pembinaan masjid dahulu? Sedangkan seluruh bumi ini boleh menjadi tempat bersujud kepada Allah bagi muslim sebagaimana hadis Nabi s.a.w. :
“…dan dijadikan bagiku bumi ini tempat bersujud dan suci…” [HR Bukhari, Muslim]
Maka, pembinaan masjid ini bukanlah satu tindakan kosong Nabi tanpa ada manfaat melainkan antara tujuannya adalah menekankan kepada ummat akan kepentingan hubungan dengan Allah sebagai asas kepada kejayaan pembentukan sebuah masyarakat baru yang lebih baik.
Namun, tidaklah hanya semata-mata untuk itu Rasul s.a.w. melakukan pembinaan masjid. Syeikh Mustofa As-Sibaie’ menyebutkan bahawa masjid selain sebagai tempat beribadah, ia memainkan juga peranan sebagai institusi masyarakat dan pusat pendidikan.
Barangkali ini boleh menjadi satu muhasabah untuk kita sempena Maulidur Rasul dan sambutan-sambutan kecintaan kita terhadap Rasul tentang di manakah tahap masjid kita berfungsi? Adakah masjid kita hanya menjadi tempat berkumpul untuk solat semata-mata? Adakah masjid kita telah dapat berperanan sebagai pusat penting dalam membangunkan dan membantu menggerakkan masyarakat? Wang-wang yang terkumpul melalui sedekah dan infaq masyarakat, ke manakah mengalirnya wang-wang tersebut?
Penting untuk kita meneliti semula peranan masjid dalam menjadi pusat penting pembangunan insan dan masyarakat.
Hubungan Ummat Di Antara Satu Dengan Yang Lain
Melalui penyatuan dan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, Rasul s.a.w. telah memecahkan sifat keakuan (ananiah) yang menebal dalam kalangan masyarakat sekaligus memberi isyarat bahawa perlunya individu itu untuk hidup dalam suasana berkumpulan atau kolektif.
Sifat keakuan menebal ini adalah antara akar yang telah menyebabkan lahirnya masyarakat kapitalis, yang hidup senang atas kesusahan orang lain, pentingkan diri dan selalu memikirkan keuntungan perut sendiri.
Melalui ukhuwah yang terbina dalam proses persaudaraan ini, Rasul s.a.w. telah memecahkan dan menghancurkan assobiyah (semangat kepuakan) jahiliyah. Tidak ada lagi pecahan-pecahan mengikut nasab, warna ataupun negara. Semuanya gugur dan hubungan mereka yang utama berdiri atas asas iman dan Islam.
Betapa hebatnya tautan ukhuwah yang terbina antara mereka sehingga diriwayatkan bahawa harta warisan (faraid) pun boleh diwarisi sesama mereka, sedangkan kita sedia maklum bahawa harta warisan hanyalah untuk mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan.
Pewarisan harta itu berlaku sehinggalah sampai ke peristiwa Perang Badar, Allah menurunkan ayat yang menyatakan bahawa harta warisan itu lebih utama untuk diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan berbanding mereka yang tidak punya apa-apa hubungan keluarga. Walau sekasih apapun Ansar kepada Muhajirin, namun hukum Allah tetap menjadi keutamaan mereka.
Sejak itu, tidak ada lagi pewarisan harta berlaku antara Muhajirin dan Ansar.
Sebab itulah, untuk suasana ukhuwah berkembang subur baik, ia perlukan kepada suasana dan sikap individu yang baik juga. Ia tidak akan mampu berkembang sehingga ke tahap itsar (mengutamakan sahabat lebih dari diri mereka) seperti mana para sahabat sekiranya suasana yang meliputinya adalah suasana yang buruk seperti jahil, tipu, bakhil dan tamak.
Hubungan Ummat Dengan Yang Tidak Seagama Dengan Mereka
Ketika baginda s.a.w. datang ke Madinah, telah ada masyarakat Yahudi dan musyrikin ketika itu. Dan baginda tidaklah menghalau ataupun menimbulkan apa-apa bentuk pertentangan dengan mereka, tetapi sedia mengiktiraf kewujudan mereka di situ.
Bahkan, perlembagaan Madinah yang telah dibentuk merupakan proses kesepakatan antara Rasul s.a.w., orang beriman dan penduduk Yahudi yang menetap di Madinah.
Melalui teks-teks dalam perlembagaan Madinah ini, Al-Qaradawi telah menyimpulkan 4 makna besar iaitu :
1) Signifikan dari sudut iqtiqadi (keyakinan)
2) Signifikan dari sudut siasi (politik)
3) Signifikan dari sudut geografi
4) Signifikan dari sudut ijtimaie’ (hubungan kemasyarakatan)
Dari sudut iqtiqadi (keyakinan),ia adalah sebahagian bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat itu berdiri di atas asas agama. Contoh yang disebutkan di dalam nas perlembagaan itu seperti “Orang beriman, sebahagian mereka adalah pelindung kepada sebahagian yang lain.” [Klausa 15]
Dari sudut siasi (politik) pula, ia mengangkat nilai ummat yang tidak diasaskan oleh penduduk muslim sahaja, bahkan ummat yang terdiri dari pelbagai latar belakang agama yang hidup di dalam satu sosiopolitik yang sama. Contoh nas perlembagaan itu seperti, “Yahudi Bani Auf adalah ummat bersama orang beriman, bagi Yahudi agama mereka, bagi muslimin, agama mereka.” [Klausa 25]
Al-Qaradawi memberikan komentar kenapa Rasul s.a.w. menggunakan perkataan ‘ مع’ yang membawa maksud ‘bersama’, kenapa tidak digunakan perkataan ‘من’ yang membawa maksud ‘daripada’.
‘Bersama’ membawa erti, biarpun mereka berbeza agama, tetapi dari sudut siasi mereka adalah sama taraf. Berbeza kalau menggunakan ‘daripada’, ia akan membawa maksud seakan-akan Yahudi itu berada di bawah kekuasaan orang beriman dari sudut siasi.
Ini adalah sebahagian daripada dua signifikan termeterainya nas perlembagaan Madinah ini.
Ada beberapa pengajaran besar dari perlembagaan ini menurut Muhammad Al-Ghazali, yang menunjukkan beberapa perkara kepada kita seperti :
1) Kebebasan beragama
2) Perjanjian ini adalah perjanjian untuk membantu orang yang dizalimi, menjaga hubungan kejiranan, memelihara hak individu dan awam.
3) Ini adalah kesepakatan untuk melindungi Yathrib (Madinah) sekiranya musuh datang menyerang
4) Mengiktiraf kebebasan keluar dari Madinah
Sebagaimana ramai orang berbicara tentang mendirikan daulah Islam, maka ini adalah sebahagian asasnya, bahkan, kata Syeikh Mustafa As-Sibaie’, daulah Islam itu berdiri atas asas ‘adalah ijtimaiah (keadilan masyarakat).
Penutup : Mengukuhkan Dan Memperbaiki Resepi Ini
Asas yang pertama sangatlah perlu diperkukuhkan, iaitu hubungan kita dengan Allah. Sehebat apapun perkara-perkara teknikaliti yang membina sesebuah masyarakat, tetapi ia akan kering daripada roh sekiranya jauh dari Allah s.w.t.
Allahlah yang berkuasa ke atas segala perkara yang berlaku dalam masyarakat, Dia memberikan kesejahteraan dan keberkatan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia juga berhak menariknya semula dari kita.
Hubungan yang baik sesama kita tidaklah dapat diwujudkan kalau kita sendiri mempunyai hubungan yang bermasalah dengan Allah s.w.t.
Pada asas yang ketiga iaitu hubungan dengan masyarakat bukan muslim, banyak perkara masih boleh dibincangkan dalam konteks masyarakat kita hari ini. Tidaklah mudah untuk kita memutuskan apa yang sepatutnya dilakukan oleh masyarakat muslim dalam konteks hubungan dengan bukan muslim kerana semuanya perlu dipertimbangkan menurut perubahan tempat dan zaman.
Apapun, misi kedatangan Rasul s.a.w. membawa Islam sebagai agama rahmat tercermin melalui perjanjian bersama orang-orang Yahudi itu.
Kita kukuhkan dan perbaiki resepi ini dengan memulakannya dari diri kita.
Mulakan dengan memperbaiki hubungan kita dengan Allah, menambah ilmu dan kefahaman kita tentang Islam, melibatkan diri dalam dialog dan diskusi serta melibatkan diri secara aktif dalam perubahan masyarakat.
Semoga kita sama-sama dapat membentuk masyarakat yang lebih baik.
Fiqh Sirah, Muhammad Al-Ghazali
Sirah Nabawiyah, Durus Wa Ibr, Mustofa As-Sibaie’
Zadul Maad, Ibn Qoyyim Al-Jauziyah, Jilid 3/57
Al-Waton Wal Muwatona Fi Dhoui Usul Aqdiah Wal Maqasid As-Syar’iyyah, Yusuf Al-Qaradawi, m/s 30
The post Resepi Membina Masyarakat appeared first on Langit Ilahi.
January 15, 2014
Fotografi: Sirah Madinah
| Masjid Nuh Al Qudoh (Masjid Jamiah Yarmouk) | Universiti Yarmouk | Irbid, Jordan |
Sony Alpha Nex-5N | f11 | 1/250 | ISO400
Ketika Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam tiba di kota Madinah bersama kaum Muhajirin dalam peristiwa Hijrahnya, perkara pertama yang dilakukan beliau ialah membina masjid (Masjid Qubak). Nabi sebagai pemimpin ummat ketika itu bersama-sama membina rumah Allah dengan para sahabat sehinggakan para sahabat berkata :
لئن قَعَدْنا والنبي يَعْمَل ** لذاك مِنَّا العَمَلُ المُضَلَّل
Ketika mana kami duduk, nabi bekerja
Pada waktu itu daripada kami amalan yang sia-sia
Muhammad Al Ghazali di dalam kitabnya Feqh As Sunnah menyebutkan 3 peranan utama masjid di zaman Rasulullah iaitu:
1. Lapangan untuk beribadat
2. Pusat keilmuan
3. Pusat pentarbiyahan adab
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan di dalam Sahihnya :
عَنْ عُثْمَانِ بْنَ عَفَّانَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ مِثْلَهُ
Dari Utsman bin Affan Radhiyallahu’anhu beliau berkata; Aku mendengar Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang membangun masjid ikhlas kerana Allah maka Allah akan membangunkan baginya yang serupa dengannya di surga.”
Lalu bagaimana kita membangun institusi masjid kita pada hari ini?
Tepuk dada tanyalah iman.
Bersama menghayati sirah Baginda.
Salam Maulidur Rasul 1425H.
The post Fotografi: Sirah Madinah appeared first on Langit Ilahi.
25 Tahun
16hb Januari 2014
Alhamdulillah, dengan segala puji dan syukur kepada Allah SWT, saya telah berumur 25 tahun. Syukur kerana dipanjangkan lagi umur, sedang diri ini banyak cacat celanya, kekurangan dan dosanya. Maha kasih Allah SWT yang memanjangkan umur ini, moga diri ini menghargainya dengan bersungguh memperbaiki diri.
Satu masa dahulu, saya amat merasakan bahawa umur 25 tahun adalah umur yang sangat penting, memandangkan amat masyhur dikatakan bahawa Rasulullah SAW bernikah pada usia baginda 25 tahun. Maka angka 25 pada umur nyata menjadi angka yang sangat penting pada saya. Walaupun sebenarnya angka ialah angka.
Angka Bukan Ukuran
Angka tidak menjadi ukuran kehebatan dan kematangan seseorang. Boleh jadi seseorang itu berusia, namun tidak matang. Boleh jadi seseorang itu berusia, namun tidak berilmu. Boleh jadi. Itu semua dapat kita sedari dengan memperdalamkan ilmu, meluaskan pengalaman,
Dahulu, saya memandang manusia yang jauh lebih berusia daripada saya, sebagai ‘orang besar’, ‘manusia matang’, ‘jauh lebih hebat’ dan sebagainya. Apatah lagi apabila dibiasakan dengan kisah-kisah manusia agung seperti Usamah Bin Zaid RA yang menjadi jeneral pada usia 18 tahun dan di belakangnya para sahabat Rasulullah yang jauh lebih berusia, seperti Muhammad Al-Fatih RA yang menakhluki Konstantinopel pada usia 21 tahun. Menyebabkan saya rasa peningkatan umur merupakan sesuatu yang mengujakan. “Apakah aku akan menjadi seperti mereka?”
Saban hari berlalu dan diri mendekati peningkatan umur, saya pasti akan mengira-ngira semula keadaan diri.
Kini, 25 Tahun
Kini saya sudah 25 tahun, sudah beristeri, mempunyai seorang anak, bakal dapat seorang lagi anak tahun ini insyaAllah, sudah bekerja sendiri, jauh meninggalkan zaman bujang, zaman makan duit ummi abah, zaman tanggungjawab sangat kurang, zaman masa banyak lapang dan sebagainya. Membuatkan diri ini semakin banyak berfikir, semakin banyak ‘menyebat’ dirinya dengan peringatan-peringatan.
Di mana saya sekarang?
Sebelum ini saya berada di mana?
Dan bagaimana pula umur yang baru meningkat ini, akan digunakan untuk ke mana?
Semua pertanyaan itu sering menjadi pengisian saya saban meningkatnya umur. Kali ini umur saya menjengah 25 tahun. Bukan lagi satu umur yang boleh dikatakan ‘muda’. Bukan lagi satu umur yang boleh bersembunyi di balik alasan ‘masih budak’. Sekurang-kurangnya saya rasakan begitu.
Maka pastinya saya berazam untuk mempertingkatkan lagi diri saya, dari keadaan sekarang, kepada keadaan yang jauh lebih baik lagi. Memperbaiki kekurangan-kekurangan lalu, dan berusaha bersungguh-sungguh menambah kebaikan sebagai bekalan untuk bertemuNya. Pada masa yang sama, berusaha keras memperkasakan diri agar mampu memikul tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi. Kerana akhirnya kita sedar bahawa kita bertarung dengan masa. Meningkatnya umur, menandakan semakin pendek masa yang ada buat kita. Kita bertarung dengan kesingkatan itu untuk menjadikan hidup ini bermakna, agar pulang kepada Allah SWT nanti, kita dapat pulang dengan hati yang sejahtera.
Semoga saya tidak menjadi manusia yang merugikan umurnya.
Terima Kasih
Di kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada Ummi dan Abah, Ummi yang telah melahirkan saya dan Abah yang bersungguh-sungguh mendidik saya pelbagai perkara. Pancuran kasih sayang mereka tanpa henti sepanjang waktu ini nyata merupakan antara kekuatan yang Allah kurniakan kepada saya.
Terima kasih juga kepada zawjah saya, yang telah menjadi penyeri hidup saya semenjak telah berkahwin, pelengkap kehidupan yang nyata membahagiakan. Zawjah saya nyata adalah antara hadiah terbesar Allah SWT kepada saya. Alhamdulillah.
Terima kasih juga kepada adik beradik, guru-guru, sahabat akrab, dan semua yang follow page ini, yang beli karya saya, yang menyokong LangitIlahi selama ini, yang telah menjadi sebahagian dari kehidupan saya, yang sentiasa memberikan teguran dan nasihat, yang melancarkan doa dan menyuntik kekuatan, agar saya terus maju dan maju dalam kehidupan saya.
Penutup: Mohon Doakan Saya
Mohon doakan saya agar umur ini panjangnya dalam keimanan,
diluaskan pintu rezekinya dalam ruang yang halal dan toyyiban,
dipermudahkan segala urusan dan diringankan segala bebanan,
diberikan rezeki ilmu yang luas, bermanfaat dan memanfaatkan,
diberikan karunia istiqomah agar perjuangan dapat berterusan,
dan jikalah pada umur ini saya mati, moga matinya dalam keimanan.
Doa-doakan saya dan famili.
Moga meningkatnya umur ini,
meningkatlah juga kematangan,
kesabaran,
ketaatan,
kecintaan,
saya kepada Allah SWT.
Mari Menjadi Hamba!
The post 25 Tahun appeared first on Langit Ilahi.
Benarkan Cintamu
Benarkan cintamu…
~Picture by awsum-wallpapers.blogspot.com
Buku sirah ditutup seketika. Kelopak mata terasa bergenang. Tidak sedar air mata membasahi pipi.
Allahu Akbar. Perjalanan hidup nabi begitu terkesan di hati. Ia sebuah kisah pengembaran agung penuh suka, duka dan luka.
Buku sirah dibuka semula. Anekdot hidup baginda diselak satu persatu. Membacanya berkali-kali tidak terasa jemu. Ia sentiasa segar dan mengasyikkan.
Rugi siapa yang tidak mengkajinya. Malah saya katakan teramat rugi.
Segalanya hampir
Menjejaki bumi Madinah dan menetap di dalamnya adalah sebuah anugerah yang tidak ternilai. Alhamdulillah. Tiada lafaz yang mampu menghuraikan kesyukuran di hati. Ia sebuah pemberian Allah yang tidak pernah terlintas dihati.
Semuanya begitu dekat. Masjid Nabawi, Masjid Quba, medan Uhud, parit Khandak dan tempat-tempat bersejarah ini dijejaki berkali-kali. Bahkan setiap hari.
Duduk, bertafakur, dan bersolat di Masjid Nabawi sangat menenangkan. Kadangkala berpeluang menghayati waktu-waktu bernilai di dalam Raudhah. Jiwa dan perasaan terasa begitu dekat dengan rasul.
Saya selalu membayangkan suasana nabi dan para sahabat. Bagaimana suasana mereka duduk bersama nabi dan tekun mendengar setiap kata baginda yang dituturkan. Bagaimana agaknya mereka hadir bersolat bersama-sama nabi. Subhanalllah.
Parit khandak pula terletak di laluan daripada Universiti Islam Madinah ke Masjid Nabawi. Kawasan yang dahulunya parit sudah dijadikan jalan raya. 7 buah masjid-masjid kecil disatukan berhampiran jalan raya tersebut. Ia dinamakan Masjid Tujuh.
Terkenang-kenang kisah masyhur bagaimana baginda dan para sahabat bersusah-payah menggali parit menghadapi peperangan yang besar. Perang ahzab. Orang-orang mushrikin dan yahudi bersatu untuk mengalahkan islam. Jumlah mereka yang terlalu ramai menghadirkan kebimbangan yang luar biasa pada kaum muslimin. Lantas, cadangan Salman al-Farisi untuk menggali parit sekeliling Madinah dipersetujui.
Saya melihat dengan mata sendiri. Kawasan parit yang digali terdiri daripada batuan besar dan keras. Menggalinya sudah tentu memaksa kudrat yang luar biasa.
Sebahagian sahabat sudah tidak lagi terdaya menahan keperitan. Perut mereka diikat batu kerana terlalu lapar. Datang seorang wakil berjumpa Rasullulah. Pada sangkaannya, mereka sudah terlalu terseksa.
Baginda mengangkat pakaiannya menampakkan perut baginda. Ikatan batu pada perut baginda lebih banyak daripada mereka. Rupa-rupanya baginda lebih menderita.
Begitu juga medan Uhud. Disinilah terakam kisah peperangan dasyat yang memilukan. Allah memberi pengajaran bahawa menyanggahi perintah rasul memberi akibat yang besar. Telah tumpahnya darah baginda yang mulia.
Dimedan ini juga menyaksikan syahidnya tujuh puluh orang sahabat termasuk bapa saudara kesayangan nabi Hamzah bin Abu Thalib dan sahabat kesayangan baginda Mus’ab bin Umair.
Semuanya di sekeliling kami yang hidup disini. Terpulang pada diri sendiri. Jika melihat dengan mata hati, ia nyata memberi kesan pada diri.
Benarkah cinta?
Saya sering bertanya pada diri. Benarkah saya mencintai nabi?
Atau ianya sekadar lafaz kosong tidak berisi. Atau cuma kalam indah madah puisi?
Selawat pada baginda jarang-jarang. Sirahnya tidak diulang ulang.
Sunnah baginda, berapa sangat yang berjalan dalam kehidupan?
Hakikatnya, cinta itu berhajat kepada bukti.
Jika seseorang mencintai pasangannya, buktinya dengan bersungguh-sungguh melakukan perkara yang disukai pasangannya. Apa yang tidak disukai, sedaya upaya ditinggalkannya.
Begitulah petanda cinta.
Kalau benar Rasulullah itu kekasihhati, ia juga mesti begitu.
Apa yang disuruh baginda dilaksanakan sepenuh hati. Apa yang baginda benci, ditinggalkan semampu mungkin.
Cukup-cukuplah mengaku cinta. Mari buktikan dengan bersungguh-sungguh mengamalkan sunnahnya dalam kehidupan.
The post Benarkan Cintamu appeared first on Langit Ilahi.
Mestikah cinta dengan berpandangan mata?
“I have left amongst you two things which, if you hold fast to them, you will never stray: the Book of Allah, and my Sunnah.”
Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (yaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.
Apabila disebut tentang cinta seringkali terlintas dalam benak fikiran kita cinta muda-mudi berlainan jantina. Tidak kurang yang terusik dengan cinta pandang pertama. Namun, mestikah cinta itu perlu saling berpandangan? Adakah perkara yang dicintai perlu zahir pada mata untuk cinta itu hadir? Atau cukup sekadar kesan yang ditinggalkan?
Hari lahir kekasih umat
Telah berlalu satu tarikh yang gemilang.. 12 Rabi’ul Awal. Lahir seorang insan yang terbilang. Muhammad s.a.w yang dijulang. Suasana cinta yang baginda s.a.w cipta bukan cinta biasa tetapi yang lahir dari dalam jiwa atas keutuhan taqwa.
Lihat bagaimana seorang sahabat baginda s.a.w yang bernama Zaid Bin Datsinah. Ketikamana dia ditangkap oleh pemimpin Quraisy dan dibawa menghadap Abu Sufyan(belum Islam). Abu Sufyan bertanya[i]:
“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu.” Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku.” Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.”
Begitulah kasihnya mereka kepada baginda. Banyak lagi kisah mengenai kecintaan para sahabat kepada Rasulullah, tetapi suka saya ingin membawa satu contoh bukan dalam kalangan sahabat walhal beliau hidup pada zaman nabi s.a.w. Dek kerana beliau tidak sempat bertemu nabi maka beliau tergolong dalam kalangan tabiin. Beliau ialah Uwais al-Qarny.
Bukan cinta biasa
Uwais Al-Qarny merupakan seorang yang taat kepada agama dan juga ibunya. Cita-cita beliau adalah ingin berjumpa Rasulullah kerana cinta yang mendalam kepada baginda. Namun apakan daya, oleh kerana ibunya yang uzur, beliau memilih untuk menjaga ibunya terlebih dahulu. Berlalu masa, kerinduan makin terasa. Akhirnya beliau meminta izin ibunya untuk bertemu Rasulullah. Ibunya membenarkan. Tiada lagi kegembiraan lebih nyata yang terpancar pada wajah Uwais setelah mendapat keizinannya.
Setibanya di Madinah, beliau ingin bertemu Rasulullah s.a.w. Takdir tidak menemukan mereka. Uwais mengirim salam kepada baginda seraya pulang kerana khuatir akan keadaan ibunya. Zaman berpergian hingga sampai ketika Umar r.a menjadi pemerintah ketika datang rombongan dari Yaman beliau bertanya:
Adakah dalam kalangan kalian seorang yang berasal dari Qaran? Lalu orang itu menghadap Umar r.a. Kemudian Umar r.a berkata lagi; Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang kepada kamu seorang lelaki dari Yaman. Dia tinggal bersama ibunya di sana. Dahulu pada kulitnya ada penyakit belang berwarna putih. Lalu beliau berdoa kepada Allah untuk disembuhkan dari penyakit tersebut dan dikabulkan kecuali tinggal kesan (penyakit) sebesar wang dinar atau dirham sahaja. Barang siapa yang menemuinya maka mintalah beliau memohon keampunan kepada beliau. (HR Muslim: no. 4612)
Dimensi Hadis
Hadis ini dapat dilihat dari banyak sisi pandang. Pertamanya lihat bagaimana seorang yang tidak pernah berjumpa dengan nabi s.a.w, namun atas dasar cinta mendalam kepada baginda, beliau diberi pengiktirafan yang begitu tinggi hingga para sahabat nabi disuruh untuk memohon Uwais meminta Allah ampunkan dosa mereka sedangkan jika mengikut darjat para sahabat nabi lebih utama berbanding golongan kemudiannya.
Jika dilihat semula tidakkah Rasulullah menjamin kepada kita sesuatu perkara? Meski kita tidaklah mencapai darjat para sahabat, tetapi kita sebenarnya kita boleh tergolong dalam kalangan mereka. Bagaimana?
Allah berfirman:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) [Al-Imran:110]
Ramai manusia mungkin terlupa, mungkin juga alpa dan leka. Namun, itulah janji Allah yang disampaikan melalui nabi s.a.w kepada umatnya dengan syarat kita berusaha untuk menyebarluaskan kebaikan mengikut kemampuan dengan apa jua jalan yang dibenarkan serta berusaha menghalang keburukan dari terus membarah bermula pada diri sendiri seterusnya dalam jiwa masyarakat keseluruhannya.
Selain itu, berdasarkan kisah Uwais ini, dapat kita ambil iktibar bahawa cintanya terhadap baginda bukan semata kata-kata. Bukan juga mesti dengan pandangan mata. Abu Jahal sahaja berjumpa nabi berkali-kali tetapi tetap tidak beriman. Adapun kecintaan kepada nabi s.a.w adalah lahir dari dalam hati yang dibuktikan dengan amalan.
Lihatlah bagaimana Uwais seorang anak muda yang semestinya ada keinginan remajanya. Namun, beliau berkorban kesenangan untuk menjaga ibunya yang uzur sesuai dengan saranan Rasulullah s.a.w supaya kita berterusan berbuat baik kepada kedua ibubapa selagi batas syara’ masih dijaga.
Mengapa perlu cinta kepada baginda s.a.w?
Perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam kehidupan kita adalah agama. Dan agama yang diterima Allah ialah Islam. Kita tiada kemampuan untuk mempelajarinya secara terus. Justeru, Allah utuskan rasul untuk menyampaikan segala suruhan dan tegahan-Nya.
Oleh kerana baginda telahpun melaksanakan tugasan menyampaikan risalah dakwah kepada ummah, maka amatlah patut bagi kita untuk mencintai baginda kerana apa yang Rasulullah bawa dapat membimbing kita ke syurga.
Bukankah cinta itu hendak bersama hingga ke syurga?
Nabi s.a.w ada bersabda:
“Tidak beriman seseorang kamu, hinggalah Aku(nabi) ini lebih dicintai oleh manusia daripada ibubapa, anak-anaknya dan manusia seluruhnya.” (HR Bukhari no.14, HR Muslim no.55)
Berdasarkan hadis ini dapat kita simpulkan bahawa cinta kepada nabi yang membawa maksud berusaha memahami, melaksana dan menyerbarkan apa yang baginda bawa adalah suatu perkara yang dominan kerana berkait rapat dengan soal keimanan. Hal ini disebabkan kecintaan kepada nabi membawa manusia cinta kepada Yang Maha Esa.
Pamerkan cinta anda
Seperti yang saya sebutkan diatas, kecintaan kepada nabi bukan mainan bibir semata-mata. Tetapi lahir dalam hati yang suci dan jiwa yang murni ditambah dengan usaha dalam rangka cuba mengamalkan sunnah baginda sehabis daya.
Bagaimanapun cara mempamerkan itu perlu dalam suasana untuk kita ingat semula pengorbanan dan perjuangan baginda dan para sahabat yang mana jika tidak kerana air mata dan darah mereka mungkin islam hari ini tidak sampai pada tangan kita.
Walaubagaimanapun cara terbaik meluahkan rasa cinta adalah kita mengamalkan sunnah baginda. Bermula dari sekecil-kecil sunnah seperti membersih diri hingga kepada sunnah yang terbesar iaitu dakwah. Oleh itu, jangan pula kita bertelagah dalam menyatakan sesuatu perkara itu dikira sunnah atau tidak hingga kita lupa sunnah baginda yang utama.
Adapun baginda s.a.w ada menjanjikan kepada kita perkara jika berpegang teguh kepada sunnah baginda iaitu:
Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana jika berpegang teguh kepada keduanya tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah. (HR Imam Malik dalam Muatha’ no.1678)
Kesimpulan
Bersempena dengan tarikh kelahiran baginda pada tahun ini, saya mengajak diri saya dan anda semua untuk kita lupakan kisah lama. Tidak menjadikan hari bersejarah ini hanya sebagai hari biasa dan disambut seperti sebelumnya tetapi dijadikan sebagai hari untuk sama-sama untuk mengamalkan sunnah nabi dalam kehidupan sehari-hari terutama sunnah teragung baginda dalam rangka membawa manusia kembali bertuhankan Allah yang Esa hingga ke akhir hayat kita meski telah berlalu hari tersebut.
Akhir sekali ingin saya nukil sebuah syair daripada Imam Ibn Qayyim Al-Jauzi[ii]:
Dia layak menerima penutup nubuwah,
Bercahaya dan dipersaksikan Allah sebagai kepercayaan,
Asma nabi dipertautkan dengan asma Ilah,
Tatkalan mua’dzin menyeru azan lima kali berkumandang,
Asmanya diambil dari asma-Nya yang terhormat,
Penguasa Arasy yang terpuji dan ini adalah Muhammad.
The post Mestikah cinta dengan berpandangan mata? appeared first on Langit Ilahi.