Hilal Asyraf's Blog, page 76
February 9, 2014
Fotografi: Hardship
[image error]| Rock stairs at Petra | Petra, Jordan |
( Sony Alpha Nex-5N | f5 | 1/100 | ISO100 )
Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau mahukan).
For indeed, with hardship (will be) ease.
Indeed, with hardship (will be) ease.
So when you have finished (your duties), then stand up (for worship).
And to your Lord direct (your) longing.
( As Sharh 94: 5-8)
The post Fotografi: Hardship appeared first on Langit Ilahi.
Sebelum Aku Bernikah – Rumahtangga Sebagai Asas Pembangunan Ummah.
Sementara kita terus melayari lembaran-lembaran Sebelum Aku Bernikah ini, hendaklah pembaca lembaran ini mengetahui betapa saya memberikan tajuk buku ini “Sebelum Aku Bernikah” bukanlah kerana saya telah berkahwin, dan menceritakan pengalaman saya sebelum saya bernikah. Tetapi memang saya sedang menulis buku ini, lembaran-lembaran ini, dalam keadaan saya belum lagi bernikah.
Maka segala pendapat di dalam lembaran-lembaran ini, ada kemungkinan benar jika bersesuaian dengan dalil-dalil yang mungkin saya sendiri belum menjumpainya, dan ada kemungkinan boleh ditolak bersesuaian dengan dalil-dalil yang mungkin saya sendiri belum menjumpainya. Tiada masalah. Yang penting, saya tulis ini sekadar pendapat dan pandangan saya, daripada apa yang saya telah belajar, dan apa yang sedang serta telah lalui ketika menulis perkara ini.
Lembaran kali ini membicarakan rumahtangga sebagai asas pembangunan ummah.
Ya. Seorang pakcik bernama Rosdi Bin Baharom, sebagaimana yang saya nyatakan dalam lembaran-lembaran sebelum ini, bahawa beliau adalah antara yang mendidik saya akan hal rumah tangga, beliau sering berpesan:
“Perkahwinan itu hanyalah gerbang, sedang rumahtangga adalah alamnya.”
Di dalam rantaian itu, rumahtangga antara terawal.
Bila dilihat semula, ya. Perkahwinan hanyalah sehari.
Sedang rumahtangga, kemungkinan sampai mati.
Sekiranya kita tidak bercerai.
Dan bila dilihat semula, diri adalah asas kepada rumahtangga, rumahtangga adalah asas kepada masyarakat, masyarakat adalah asas kepada negara, dan negara adalah asas kepada dunia.
Jelas betapa rumahtangga, dalam rantaian itu, adalah antara asas dalam pembangunan ummah.
Nyata, sekiranya kita hendak membina bangunan tinggi yang kukuh, kita perlu membina dasar yang lebih dalam serta kuat dan ampuh bagi menampung bangunan yang tinggi itu.
Maka, ummah yang baik, adalah yang dibina dari rumahtangga-rumahtangga yang berkualiti. Kerana jelas, rumahtangga-rumahtangga inilah yang akan menghasilkan manusia, yang akhirnya menjadi masyarakat, mencorakkan ummah.
Justeru, jelas di sini betapa rumahtangga kita juga, adalah salah satu daripadanya.
Banyak rumahtangga yang baik, maka semakin ampuhlah ummah.
Banyak rumahtangga yang tidak baik, maka semakin rapuhlah ummah.
Persoalannya, kita mahu menjadi yang mengampuhkan ummah, atau yang merapuhkannya?
Nampak Seronok, Tetapi Ini Tanggungjawab.
Ramai teruja dengan perkahwinan kerana di’sasau’kan oleh perasaan. Cinta bila disalah tafsir, bila diambil dengan tafsiran keduniaan, tafsiran Hollywood dan sebagainya, memang akan kelihatan perkara yang hanya melibatkan perasaan, keasyikan hati dan keindahan jiwa sahaja, hingga menjemput lalai dan alpa.
Tetapi cinta yang sebenar, lebih daripada itu.
Maka mereka yang memahami betapa besarnya peranan rumahtangga, tidak akan sesekali sambil lewa dalam bercinta. Kerana rumahtangga adalah barisan utama ummah untuk membangun sebagai ummah yang kuat. Justeru, suami berperanan sebagai pendidik kepada isteri dan anak-anak, agar menjadi ummah yang soleh dan solehah. Begitulah juga isteri, berperanan sebagai pendamping suami, yang mengukuhkannya, yang sentiasa mengingatkannya kepada Allah SWT, dan mendidik anak agar membesar menjadi hamba yang memahami Islam serta taat kepada Allah.
Bukanlah pengurusan rumahtangga ini, semata-mata kewangan.
Ramai orang mudah menyelesaikan masalah kewangan. Minta bantuan Ibu Ayah contohnya, maka masalah kewangan selesai. Tetapi, masalah menjadikan diri kita sebagai pemimpin rumah tangga, yang memimpin ahlinya agar bukan sekadar mengejar akhirat, tetapi memenuhi perintah Allah SWT sebagai pentadbir dunia, sebagai khalifah, bukanlah sesuatu perkara yang Ibu Ayah kita boleh tolong lakukan.
Kita yang perlu bina diri kita sendiri. Kita yang perlu berusaha. Kita yang perlu menimba ilmu dan menguatkan keimanan kita.
Inilah dia antara tanggungjawab yang besar, tetapi sering dilupakan, dan tidak pula ditekankan dalam mana-mana sahaja kursus cinta dan perkahwinan.
Justeru, bagi yang memahami, tidak akan tergesa-gesa.
Guru saya, Cikgu Azmi Bahari pernah berkata betapa sebenarnya hal cinta, perkahwinan dan rumahtangga ini sepatutnya diterapkan semenjak dari tingkatan satu, sebagai salah satu silibus yang mesti ditekankan kepada pelajar-pelajar.
Semasa orang memahami cadangannya itu sebagai untuk ‘galakan kahwin awal mengelak zina’, saya pula memandang betapa cadangannya itu adalah kerana Cikgu Azmi Bahari, guru saya itu, memahami sebagaimana kefahaman saya.
Bukan kahwin awal yang hendak digalakkan. Tetapi kefahaman betapa besarnya peranan rumahtangga itu yang mahu ditekankan. Agar, pelajar-pelajar, semenjak tingkatan satu lagi, tidak akan mudah-mudah hendak menjebakkan diri ke alam percintaan. Tetapi akan berusaha memfokuskan diri terhadap pembinaan peribadi, jiwa, dan keimanan.
Ramai memandang enteng alam rumah tangga. Dari satu segi, urusan kewangan, urusan emosi, urusan rumah dan sebagainya, itu sahaja sudah banyak, dan sukar. Lebih berat, urusan hubungan keluarga terhadap Allah SWT, dan manfaat keluarga kita kepada ummah, juga sepatutnya berada dalam kalkulasi kita yang ingin berumah tangga.
Kahwin memang mudah. Kita boleh kahwin dengan bajet serendah RM2000 jika mahu. Bahkan lebih rendah daripada itu.
Tetapi rumahtangga yang bermanfaat untuk ummah, bukan sesuatu yang mudah.
Justeru, bagi yang memahami perkara ini, cinta bukanlah satu perkara yang ‘asyik’ baginya.
Saya apabila menyebut ‘cinta’, beginilah besarnya makna saya. Berhelai-helai kertas saya karang untuk menjelaskan kefahaman definisi cinta, kemudian rumah tangga pula. Ya. Inilah dia cinta yang saya sering sebutkan.
Bila cinta, mesti mahu bersama ke syurga.
Apakah jaminan yang lebih baik untuk ke syurga, melainkan menjadikan diri bermanfaat kepada Allah SWT?
Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Saff ayat 10-13.
Itulah dia jalan untuk mengelak azab Allah SWT, dan mencapai syurgaNya. Maka, jika benar mahu membawa orang yang kita cinta ke syurga, menjadikan diri bermanfaat kepada pembangunan ummah yang merupakan salah satu perjuangan Islam, adalah caranya.
Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluarga kamu, dari api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Penutup: Maka Cinta Yang Melalaikan Itu, Akan Hilang Ditelan Keseriusan Kita.
Orang kata, bercinta mesti angau. Mesti lalai. Mesti alpa. Mesti zina hati.
Cinta yang ditafsirkan dunia, mungkin benar.
Cinta yang sekadar seronok nak kahwin, mungkin benar.
Tetapi bagi pencinta yang memahami betapa besarnya tanggungjawab sebuah rumahtangga kepada ummah, dan betapa perlunya dia membina peribadinya untuk memikul tanggungjawab ini, maka cinta yang melalaikan itu akan hilang ditelan keseriusan cintanya. Kerana cintanya adalah ingin membawa orang yang dicintainya ke syurga.
Mustahil ke syurga dengan berlenggang sahaja!
Inilah yang sepatutnya ditekankan kepada masyarakat.
Tetapi yang kita sibukkan apa? Kita sibukkan dengan keindahan-keindahan cinta, keasyikannya, warnanya yang berwarna-warni, perasaannya yang mengapung ke langit.
Kita sepatutnya menyibukkan diri kita, dan orang lain, akan tanggungjawab sebuah rumah tangga ini.
Kita bukan kahwin sehari dua kemudian sudah mahu bercerai. Kita bukan hanya mahu melempiaskan nafsu sahaja. Kita sebagai pengejar syurga, kita adalah luar biasa. Kita lebih daripada itu.
Pada saya, inilah dia cinta. Dia akan menilai rumahtangga sama.
Bukan seronok hanya dengan rasa-rasa di dalam jiwanya semata-mata.
Semasa saya berumur 18 tahun, beginilah saya fikir, dan dari pemikiran inilah saya bergerak dalam kembara cinta saya.
The post Sebelum Aku Bernikah – Rumahtangga Sebagai Asas Pembangunan Ummah. appeared first on Langit Ilahi.
Poster: Kehidupan Dunia
“Kehidupan Dunia”
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, dan bermegah-megahan antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan dan anak; seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(57:20)
The post Poster: Kehidupan Dunia appeared first on Langit Ilahi.
February 8, 2014
Sebelum Aku Bernikah – Bila Saya Jatuh Cinta.
Ketika penghujung usia saya 18 tahun, yakni penghujung tahun 2007, saya keluar mengembara bersama junior-junior saya. Dalam kembara itu, salah seorang junior saya yang merangkap adik usrah saya, meminjam laptop saya untuk ‘transfer’ gambar familinya dari ‘hard disk’ kepada ‘pen drive’.
Allah izin, ketika itu saya ternampak gambar dua orang perempuan bertudung labuh, berpakaian serba biru. Walaupun hanya sebentar saya ternampak gambar tersebut, salah seorang daripada dua perempuan itu seperti melekat di dalam jiwa saya. Walaupun ketika itu, tidak saya tahu siapa namanya.
“Kakak enta?” Saya bertanya adik usrah saya.
“Ha? Ah, ha’ah.”
Baru saya teringat yang dia ada kakak. Saya tahu semasa saya berta’aruf dengannya dua tahun sebelum itu. Tetapi selama ini saya tidak pernah ambil tahu siapa kakanya, wajahnya bagaimana, dan sebagainya. Antara cara saya menghormati persahabatan adalah, sekiranya sahabat saya ada adik perempuan, saya tidak akan bersembang atau menyentuh akannya.
Saya diam panjang selepas itu hari itu. Sebab saya benar-benar rasa ada satu perasaan aneh berlari-lari dalam jiwa saya selepas melihat gambar itu.
“Jatuh cinta? Sebab tengok gambar sahaja? Gila.”
Saya masih ingat, betapa saya marah kepada diri saya.
Memberikan Diri Masa.
Selepas diri ini mengikuti penyampaian demi penyampaian berkenaan rumah tangga, cinta dan perkahwinan, saya amat arif akan tipu daya syaitan dalam urusan ini. Perasaan-perasaan yang membuatkan manusia akhirnya buta, lalu mengejar sesuatu yang tidak pasti seperti orang gila, bermain-main dengan perasaannya.
Berbanding sibuk kemaruk dengan perasaan itu, atau rasa ‘syok’ mempunyai perasaan cinta yang berbunga, saya telah memberikan diri saya masa.
Penghujung tahun 2007, sekitar bulan November, perasaan itu tumbuh dalam diri saya. Semenjak hari itu, sehinggalah pertengahan tahun 2008 sekitar bulan Mei atau Jun, saya mempersoalkan perasaan saya itu.
“Tengok gambar sudah jatuh cinta? Gila.” Itu saya ulang entah berapa kali.
“Kenalkah? Tidak. Tahu dia bagaimana? Tidak. Pernah jumpa? Tidak pernah. Bagaimana boleh nak cintakan dia? Nama pun kita tidak tahu!” Antara soalan saya pada diri saya setiap hari.
Pernah juga diri saya ‘mengajak’ untuk saya berkenalan dengannya. Jadi, saya pergi ambil Buku MATRI yang menyimpan gambar pelajar-pelajar MATRI, dan mula mencari. Kakak junior saya itu ada dua, saya hanya tahu nama, tetapi tidak tahu siapa pemilik namanya. Saya mencari nama tersebut, dan menjumpainya di dalam satu kelas. Ketika itu baru saya kenal, pemilik wajah ini bernama ini, dan pemilik wajah itu bernama itu.
Rupanya saya jatuh hati kepada yang bernama sekian.
Namun itu masih tidak menenangkan saya.
“Dia adik dan kakak kepada sahabat kita. Risau ini akan rosakkan hubungan kita dengan sahabat-sahabat kita.” Antara alasan untuk saya ketepikan perasaan itu, memandangkan adik dan abangnya adalah sahabat saya.
Begitulah saya mempersoalkan perasaan itu. Memang tujuan saya adalah untuk menimbulkan keraguan di dalam diri saya, agar perasaan itu tersisih dan hilang pergi. Kerana saya tidak mahu diri saya terjebak dengan perasaan yang palsu. Saya tidak mahu dipermainkan syaitan yang sering menipu.
Lama saya fikir. Amat takut jika ini hanya perasaan main-main sahaja.
Kata mahu bercinta secara luar biasa!
Maka mustahil dengan sekadar rasa-rasa, terus menganggap itulah dia cinta yang sebenarnya!
Ya, Aku Telah Jatuh Cinta.
Saya tidak berani mahu menyatakan ‘Allah hendak saya bertemu dengannya’, kerana saya tidak tahu apa yang Allah mahukan sebenarnya. Tetapi telah berlaku dalam sejarah hidup saya, saat saya bertalu-talu berusaha menyisihkan perasaan yang ada dengan memberikan pelbagai keraguan agar saya membuangnya, keyakinan datang membuatkan saya menjadi tetap dengan perasaan yang ada.
Dari November 2007, hingga sekitar bulan Mei atau Jun 2008, saya bertarung dengan perasaan itu dan ingin menyisihkannya, kerana tidak berasas. Namun pada sekitar bulan Mei atau Jun 2008 itu, saya telah dipilih oleh arwah Ummi Halimaton, guru Bahasa Malaysia di MATRI, untuk menjadi pengerusi kepada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemelarngan MATRI. Sedangkan, tugas itu sepatutnya dilaksanakan oleh mereka yang bertaraf guru juga. Saya, memandangkan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ummi Halimaton, menerimanya tanpa banyak bicara.
Apa yang menakjubkan ketika itu adalah, salah seorang yang menerima hadiah adalah perempuan yang saya jatuh hati kepadanya itu. Saya sendiri tidak perasan, melainkan ketika sesi rehearsal penyampaian hadiah. Ketika sesi rehearsal majlis penyampaian hadiah, dia pula tidak hadir. Tetapi kala majlis yang sebenar berjalan, ketika itulah saatnya saya mendapat yakin.
Saya memberanikan diri mengangkat mata saya untuk melihatnya.
Saya masih ingat perasaan ketika itu. Tidak sampai sesaat saya memandangnya, saya terasa seperti dibakar dengan kelembutan wajahnya, senyumannya saat menerima hadiah, dan dengan cepat saya mengalihkan pandangan saya semula.
Di situ, perasaan saya jadi semakin kuat. Hingga terdetik di dalam hati saya ketika itu: “Allah susunkan perkara ini kerana mungkin dia memang jodoh aku!” Walaupun kini, saya kurang bersetuju dengan kenyataan sedemikian rupa. Kita tidak pernah tahu Allah susunkan apa untuk kita, dan kita tidak pernah akan mampu pastikan, apakah satu-satu peristiwa itu menandakan si dia atau si dia sebagai jodoh kita. Kita tidak akan mampu. Ini saya akan bicarakan lagi secara detail di lembaran lain.
Selepas peristiwa itu, walaupun perasaan menjadi ‘besar’ dan ‘kuat’, saya tidak pantas pergi kepada perempuan yang saya suka. Saya tidak pantas menghubunginya. Kerana jelas, saya ada definisi cinta saya. Saya masih mengambil langkah yang berhati-hati.
Cinta bukan kerana wajah. Cinta bukan kerana harta. Cinta bukan kerana dunia. Cinta ini mestilah membawa ke syurgaNya. Cinta ini mestilah memberikan manfaat kepada agamaNya.
Maka, saya bermula dengan ingin mengetahui diri dia yang sebenarnya. Pada saya, jatuh cinta hanya kerana keindahannya, bukanlah satu alasan yang cukup untuk sebuah cinta yang luar biasa. Kembara saya bermula.
Saya pergi kepada guru demi guru di MATRI dan bertanya akan perempuan yang saya suka itu. Bertanya akan akhlaknya, sikapnya, peribadinya. Saya pernah juga, secara tidak langsung, bertanya kepada abangnya dan adiknya. Untuk benar-benar mengetahui, bagaimanakah dirinya. Kemudian saya bertanya juga kepada beberapa kakak senior akan dirinya.
Itupun pada saya masih tidak mencukupi. Berkahwin dengan seseorang, bererti berkahwin dengan keluarganya. Maka bagaimana keadaan keluarganya? Ibu Bapanya? Saya pernah pergi ke rumahnya sebelum itu, atas dasar menziarahi rumah sahabat dan junior saya. Ketika itu, seluruh keluarga mereka ada di rumah. Jadi saya lebih banyak bersama dengan sahabat saya, berbanding bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Jadi, peluang tidak banyak buat saya ketika itu.
Maka saya mengambil keputusan untuk mengembara lagi ke rumah itu, kali ini sekadar untuk bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Kebetulan saya ada Kursus Pelajar Ke Luar Negara berdekatan dengan rumahnya, maka saya berjaya mendapat peluang untuk menziarahi Sang Ayah dan Sang Ibu, kala anak-anak mereka tiada. Di sana, saya meneliti Ayah dan Ibu perempuan yang saya cintai.
Sederhana.
Sejenak saya bandingkan keluarga itu dengan keluarga saya, saya terasa seakan satu ‘kelengkapan’ dalam kehidupan sekiranya saya mendapat mertua sedemikian rupa.
Ketika itu saya putuskan di dalam diri saya,
Ya, aku telah jatuh cinta.
Bukan kerana wajahnya yang menawan. Tetapi kerana mengetahui betapa sederhananya dia dan keluarganya. Selepas memastikan akhlak, memastikan keadaan famili, barulah saya semat di dalam jiwa, bahawa saya cinta kepadanya, dan ingin dia, menjadi isteri kepada saya.
Tidak Terus Meluahkan Kepadanya.
Saya tidak pula terus meluahkan kepada perempuan yang saya cintai itu akan hajat saya. Akan perasaan saya. Tidak.
Bahkan kala bertemu dengan Ibu dan Ayahnya, saya tidak berkata apa-apa pun fasal perempuan itu. Saya menziarahi, hanya dengan menggunakan lesen bahawa saya adalah sahabat kepada anak-anak lelaki mereka. Sekadar untuk memerhatikan Ayah dan Ibunya dengan lebih dekat.
Saya ketika itu seringkali berpesan kepada diri saya agar berhati-hati dalam urusan ini, agar kalaulah saya tidak dapat pun menjadikan perempuan yang saya cintai itu sebagai isteri saya, saya berharap hubungan baik saya dengan keluarga mereka tidak terjejas.
Walaupun saya tidak meluahkan kepada perempuan yang saya cintai, mahupun keluarganya, saya tetap meluahkannya kepada Ummi dan Abah saya. Saya memandang bahawa jika kita serius mencintai seseorang, maka kita hendak masuk ke syurga bersamanya. Hendak masuk ke syurga, semestinya dengan mengambil jalan yang baik. Maka antara hendak memastikan bahawa kita berada di atas jalan yang baik, adalah dengan berbincang dengan orang yang lebih tua, contohnya Ibu Bapa kita.
Ketika saya memberitahukan perkara itu, Abah berkata:
“Muda lagi ni. Berikan masa.”
Ummi pula berkata: “Kahwin sekarang dah mahal. Kurang-kurang mahu RM20,000.”
Saya tidak memilih untuk memberontak dan mempersoalkan kata-kata mereka. Tetapi saya pada ketika itu, memilih untuk mengambil kata-kata mereka sebagai satu pandangan lain bagi mengimbangi keinginan saya. Benar, saya masih muda, perlukan masa untuk menggapai kematangan biar keluarga yang saya bina nanti ampuh dalam perjalanan menggapai redha Tuhan. Benar, saya perlukan kekuatan agar mampu menyara kehidupan.
Maka tidak lama kemudian, saya menghasilkan perancangan kehidupan saya, dan membentangkannya depan Ummi dan Abah. Bagaimana saya mahu mendapatkan wang, bagaimana saya mahu belajar di Universiti, berapa tahun, bila saya rancang untuk berkahwin, dan bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan. Ya. Pada saya, itulah tanda keseriusan saya.
Sebelum saya menyambung pengajian di Jordan pada September 2008, saya memilih untuk meberitahu abang kepada perempuan yang saya cintai akan perasaan dan hajat saya. Abangnya adalah antara sahabat saya yang terakrab, jadi saya kira dia patut mengetahuinya. Sang Abang sekadar menyatakan bahawa dia tidak punya kuasa apa-apa dalam hal itu, walaupun dia mampu menerima dengan senang hati jika saya benar ingin menjadikan adindanya sebagai isteri saya.
Justeru, saya terbang ke Jordan dengan wawasan.
Wawasan untuk membina peribadi, agar menjadi yang lebih baik lagi. Membina juga kekuatan ilmu, kewangan, dan kekuatan agar mampu memimpin serta membina sebuah keluarga yang diredhai Ilahi. Begitulah, baru saya yakin untuk melamar seorang bidadari yang menyentuh jiwa saya. Pada saya dia mahal, maka saya juga perlu menjadi ‘mahal’ untuk melamarnya.
Dengan wawasan itu, saya corakkan kehidupan universiti saya.
Patutkah Kita Meluahkannya?
Apa yang saya sampaikan tadi, adalah situasi saya.
Mungkin ada yang akan bertanya, patutkah kita meluahkan perasaan cinta kita kepada orang yang kita cintai?
Ada kata-kata ‘Islamik’ yang berbunyi: “Kalau suka, jangan luah. Kalau luah, Allah akan kurangkan kemanisan dalam cinta kita. Tetapi berdoalah kepada Allah, agar Dia memberikan yang terbaik.”
Ayat ini kelihatan Islamik. Tetapi saya tidak bersetuju dengannya. Kalau suka, jangan luah. Hem. Bagaimana kalau nak buka laci, jangan buka laci. Pelik kan jadinya? Islam bukan agama ajaib sedemikian. Islam agama realistik.
Saya berpendapat bahawa, kalau suka, kenalah ada perancangan untuk meluahkannya. Mahu tidak mahu, perasaan itu mesti diluahkan. Luah itu adalah usaha kita untuk mendapatkan orang yang kita cintai, yang kita rasa baik kepadanya.
Namun, luahkanlah dalam keadaan yang mantap, bersedia, punya wawasan dan kematangan, dengan cara yang syar’ie, dan punya perancangan masa hadapan yang baik. Sebaiknya, luahkan kepada kedua-dua ibu bapanya. Sebelum meluahkan, bincang dengan Ibu Bapa kita sendiri terlebih dahulu, dengan penjaga kita, dengan ustaz-ustazah yang rapat dengan kita. Agar luahan kita itu bukan satu perkara yang bermain-main.
Jadi sebelum luahkan itu, fikir masak-masak. Bincang betul-betul dengan famili. Berdoa mohon kemantapan dan keyakinan daripada Allah SWT. Kemudian yakinlah, dan luahlah.
Janganlah diri itu belum mampu untuk bercinta, sibuk nak meluah-luahkannya.
Tetapi di sini, pada saya, “Kalau suka, jangan luah. Kalau luah, Allah akan kurangkan kemanisan dalam cinta kita.” Adalah satu statement yang jumud. Islam bukan sedemikian.
Binalah diri, binalah peribadi. Binalah perancangan untuk meluahkan rasa cinta.
Jangan luahkannya dalam keadaan ‘berbogel’, tanpa diri punya apa-apa.
Penutup: Masa dan Perancangan.
Pada saya, cinta yang buta adalah yang hanya dipandu perasaan. Manakala cinta yang celik adalah yang dipandu keimanan. Bila dipandu keimanan, maka matlamat cinta bukanlah semata-mata perkahwinan. Bahkan, matlamatnya adalah rumah tangga yang dihiasi keredhaan Tuhan.
Kerana cinta yang sebenar adalah yang membawa ke syurga.
Kerana itu, jika benar cinta, maka pastikan kita memberikan kepada diri kita masa, dan mempersiapkan diri kita dengan perancangan.
Jangan sesekali kita terburu-buru dan tergesa-gesa. Semuanya perlu dipertimbangkan. Agar kita tidak tertipu dengan perasaan kita.
Cinta itu pada saya bukan sekadar rasa-rasa. Mustahil jika hendak ke syruga, cukup dengan sekadar rasa-rasa!
Masa itu penting. Jangan berang apabila ada yang memberikan teguran bahawa kita ini masih muda. Walaupun mungkin nasihat itu bukan setiap masa relevan, tetapi kita sendiri perlu bijak menilai diri. “Apakah aku telah memberikan diri ini satu jangka masa untuk berusaha mencapai matang?”
Perancangan itu perlu ada. Kalau benar cinta itu hendak ke syurga, semestinya bukan semeberono sahaja!
Maka apakah namanya cinta jika kita dilalaikan dengan perasaan? Apakah namanya cinta jika sibuk dengan makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena dan sebagainya? Apa namanya jika kemaruk sampai melanggar perintah Allah SWT? Apa namanya cinta, jika terburu-buru hendak melangsungkan perkahwinan, tanpa wujudnya perancangan membina ‘kemampuan’ untuk menggerakkan sebuah keluarga? Itu semuanya murah!
Pada saya, memahami perkara ini, bertenang dalam menghadapi cinta ini, adalah hanya selepas kita memahami bahawa cinta itu adalah hendak bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya. Kerana itu, saya tekankan pembetulan kepada definisi cinta!
Ya, cerita saya mungkin sedikit tergantung di atas ini. Fokus saya dalam lembaran kali ini sekadar mahu menunjukkan situasi saya ketika saya ‘disapa’ oleh makhluk bernama ‘cinta’. Bagaimana saya berhadapan dengannya.
Kita akan sambung cerita di atas ini, dalam lembaran-lembaran yang mendatang.
The post Sebelum Aku Bernikah – Bila Saya Jatuh Cinta. appeared first on Langit Ilahi.
Poster : Paradoks mereka yang ‘papa’
Berpijaklah pada realiti dan lihat sekeliling kita.
Siapa yang ‘papa’ sebenarnya? Tanya diri kita..
The post Poster : Paradoks mereka yang ‘papa’ appeared first on Langit Ilahi.
February 7, 2014
Corat-Coret Hati: Rasulullah SAW Contoh Buat Kita Semua

Picture by http://lubalubumba.deviantart.com/
Assalamu’alaikum rakan pembaca, semoga kalian terus dipancurkan dengan rahmat dan kasih sayang daripadaNya. Terima kasih kerana sudi terus menyelak artikel di dalam corat-coret do’if ini. Sama-sama kita muhasabah diri, ingat memperingati, lengkap melengkapi insyaAllah. Coretan kali ini berkenaan Rasulullah SAW sebagai qudwah hassanah buat kita.
Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Baginda menggalas tanggungjawab yang besar dalam membentuk bukan sahaja individu, tetapi juga masyarakat dan negara. Di dalam Islam, Rasulullah SAW dilihat sebagai contoh yang terbaik buat kita semua, baik dalam pembinaan karakter individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Baginda diberikan tugas yang sangat besar, iaitu membawa rahmat kepada sekalian alam.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.
Membuktikan bahawa Islam adalah rahmat kepada sekalian alam, bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan dengan mudah. Rasulullah SAW mengambil masa 23 tahun, mengalami pelbagai dugaan dan cabaran, untuk menyempurnakan tugasannya. Meninggalkan sebuah contoh ulung untuk ummat baginda mencontohi apa yang baginda lakukan.
Rasulullah SAW contoh terbaik
Allah SWT telah menegaskan di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya untuk kamu pada Rasulullah itu contoh yang terbaik, yakni bagi mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kejayaan) hari akhirat, dan mereka yang mengingati Allah dengan banyak.”
Maka Rasulullah SAW itu menjadi contoh untuk mereka yang mengharapkan keredhaan Allah SWT dan kejayaan di akhirat kelak.
Ramai yang tertumpu ‘mencontohi Rasulullah SAW’ ini dari faktor luaran seperti baginda pakai apa, baginda makan apa, dan sebagainya. Berlumba-lumba orang mengikuti faktor luaran ini, hinggakan ada yang memperniagakannya sebagai ‘ubat sunnah’, ‘pakaian sunnah’, ‘makanan sunnah’ dan macam-macam lagi.
Namun ramai antara kita seakan terlupa sunnah Rasulullah SAW yang amat besar dan penting. Itulah dia melaksanakan dakwah(seruan) dan tarbiyah(didikan).
Kala ramai berlumba-lumba hendak pakaian sunnah, selipar sunnah, makanan sunnah, minuman sunnah, tidak ramai yang hendak berlumba-lumba menggerakkan dakwah dan tarbiyah, yang sebenarnya juga adalah sunnah Rasulullah SAW, bahkan ianya adalah tanggungjawab kepada kita semua.
Jika Rasulullah SAW kita anggap sebagai contoh ikutan yang terbaik, maka hendaklah dakwah dan tarbiyah turut menjadi agenda seharian kita. Kerana Rasulullah SAW menggerakkannya sepanjang hayat baginda.
Bagaimana kita rakan-rakan dalam urusan dakwah dan tarbiyah ini?
Memikul Tanggungjawab Dakwah Yang Diwariskan
Urusan dakwah dan tarbiyah tidak berhenti selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ini terbukti apabila pada zaman Abu Bakr RA, Umar RA, Uthman Affan RA, Ali RA, Muawiyyah RA, dan semua kepimpinan Islam selepas mereka, menggerakkan urusan ini. Terus-terusan proses dakwah dan tarbiyah ini berjalan, dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Tidak terhenti.
Hingga sekarang, jika tiadalah usaha dakwah dan tarbiyah ini, tidak akan sampai Islam ke Tanah Melayu, dan tidak akan sampai Islam itu kepada kita.
Allah SWT sendiri sebenarnya di dalam Al-Quran telah menjadikan urusan dakwah sebagai urusan yang wajib buat semua yang beriman kepadaNya.
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan, dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan jalan yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu itu, Dialah jua yang paling mengetahui siapakah yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang paling mengetahui siapakah mereka yang mendapat petunjuk.” Surah An-Nahl ayat 125.
Maka usaha dan kerja dakwah tarbiyah ini sepatutnya menjadi agenda kita sebagai muslim. Meneruskan kerja-kerja Rasul, menyampaikan kebenaran dan membasmi toghut, dengan kebijaksanaan, pengajaran yang bagus, serta jika terpaksa berdebat, kita akan berdebat dengan cara yang terbaik.
Allah SWT berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” Surah An-Nahl ayat 36.
Di manakah kita dalam mencontohi Rasulullah SAW pada bahagian sunnah yang ini?
Menelusuri Kehidupan Rasulullah SAW – Rasul Dakwah dan Rasul Tarbiyah
Dakwah dan tarbiyah adalah urusan Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda, tanpa ada rehat. Di luar rumah baginda menggerakkan urusan ini ke atas masyarakat, manakala di dalam rumah baginda menggerakkan urusan ini ke atas keluarga baginda.
Semuanya diajak kepada Islam dan dididik untuk menjadi muslim yang sejati. Semuanya diajak membasmi kesesatan di dalam diri dan meninggalkan perkara-perkara yang buruk dari kehidupan masing-masing.
Semuanya diajak tunduk dan menyerah diri kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bukan sahaja menyampaikan Islam dan mengajak orang menerimanya, tetapi Rasulullah SAW juga mendidik mereka agar benar-benar menjadi manusia luar biasa, yang mampu menjadi contoh terbaik kepada manusia yang lainnya.
Lihatlah Mus’ab RA. Mus’ab asalnya seorang anak bangsawan, kegilaan perempuan-perempuan di Makkah. Suka memakai pakaian yang mahal-mahal, dan minyak wanginya dikatakan mampu dibau dari kejauhan, menandakan mahalnya minyak wangi yang digunakan.
Namun Mus’ab RA yang sama, kala memeluk Islam, menjadi manusia yang hebat peribadinya, bukan lembik dan hanya mahukan kesenangan. Mus’ab RA itulah yang dihantar oleh Rasulullah SAW sebagai wakil baginda ke Madinah sebelum peristiwa hijrah, untuk melaksanakan pula usaha dakwah dan tarbiyah di sana, mempersiapkan Madinah untuk menerima kehadiran Rasulullah SAW dan para sahabat yang lainnya nanti.
Dikatakan tiada pintu di Madinah yang tidak diketuk oleh Mus’ab RA, dan kebanyakan orang termasuk ketua kaum di sana, telah memeluk Islam di tangan Mus’ab RA. Lantas Madinah menjadi tempat yang sangat kondusif untuk Rasulullah SAW dan para sahabat meneruskan usaha dakwah dan tarbiyah pada fasa negara pula, selepas peristiwa Hijrah.
Mus’ab RA itu jugalah yang menjadi antara pemegang bendera ketika peperangan Uhud, menjaga bendera Islam dengan penuh dedikasi. Dikatakan tangan beliau dipotong, lantas dipegangnya panji tersebut dengan sebelah tangan lagi, kemudian tangan tersebut juga dipotong, maka beliau memegang dengan kedua pangkal lengannya, dan akhirnya tumbang dek tujahan panah ke dada.
Begitu sekali peribadi Mus’ab RA, yang menjalani transformasi hasil dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW.
Perkara ini bukan berlaku kepada Mus’ab RA sahaja. Lihatlah Umar Al-Khattab RA, seorang yang bengis dan sangat memerangi Islam, hasil dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW, Umar Al-Khattab akhirnya menjadi khalifah yang kedua selepas Abu Bakr RA, dan di zaman Umar lah terdapat banyak kejayaan yang besar untuk ummat Islam, antaranya ialah membuka Baitul Maqdis. Umar mati sebagai syuhada’, dan dikenang sebagai pemimpin yang sangat adil.
Sepanjang hayat Rasulullah SAW, kerja ini yang baginda usahakan. Dan ianya tidak terhad dengan manusia di sekeliling baginda sahaja. Baginda juga menulis surat kepada pemimpin-pemimpin negara lain, mengajak mereka kepada Islam. Begitu bersungguh sekali usaha baginda. Di akhir hayat, baginda masih lagi mengusahakan urusan dakwah ini, dengan menghantar wakil-wakil baginda ke tempat yang jauh untuk menyebarkan agama Allah SWT yang suci ini. Antaranya Muaz ibn Jabal RA yang dihantar ke Yaman. Begitulah juga Usamah bin Zaid RA yang diangkat menjadi jeneral untuk menguruskan Rom yang ingin memerangi Madinah, semuanya untuk menjaga maslahat dakwah dan tarbiyah.
Rasulullah SAW benar-benar mengusahakan urusan ini, dengan penuh dedikasi, fokus dan berstrategi.
Penutup: Kita Kehilangan Contoh Agung Ini
Pada zaman ini, kita kehilangan contoh agung ini dalam bentuk dirinya yang boleh berinteraksi dengan kita. Kini hanya kita sahaja yang mampu berinteraksi dengan Rasulullah SAW melalui hadith-hadith yang diriwayatkan, dan kita hanya mampu menginterprestasinya mengikut pandangan dan perspektif kita, hasil dari tafsiran para ulama’ yang terdahulu juga mengikut keadaan semasa.
Namun itu tidak patut menjadi alasan untuk kita meninggalkan apa yang Rasulullah SAW usahakan dan tunjukkan sepanjang hayat baginda. Kita perlu berusaha keras menyambung mata rantai perjuangan baginda. Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Ali-Imran ayat 31.
Kehilangan jasad Rasulullah SAW bukanlah bermakna terputus terus kita dengan baginda. Kita masih ada kitab-kitab hadith, juga kitab-kitab sirah nabawiyah untuk kita telaah dan kaji. Di sana kita akan dapat meneguk banyak ibrah dan pengajaran daripada kehidupan dan tindakan Rasulullah SAW.
Kita perlu menghidupkan semula kekuatan untuk mencontohi Rasulullah SAW sebagaimana generasi awal yang bersama baginda.
Kita melihat akhirnya para sahabat hidup dengan menyambung perjuangan Rasulullah SAW. Mereka berjaya melihat bahawa Islam bukan turun untuk kita menyembah manusia bernama Muhammad bin Abdullah. Tetapi Islam turun sebagai rahmat kepada sekalian alam, dan Rasulullah SAW adalah contoh buat kita untuk hal itu. Rasulullah SAW membina para sahabat baginda bukan untuk sujud kepada baginda, tetapi untuk sujud kepada Allah dan mengajak manusia lain untuk sujud kepada Allah SWT juga.
Kerana itulah apabila Rasulullah SAW wafat, Abu Bakr RA dengan yakin mengulang ayat Allah SWT:
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” Surah Ali-Imran ayat 144.
Maka kita ada tugas hari ini.
Mencontohi Rasulullah SAW. Menggerakkan dakwah dan tarbiyah dalam seluruh kehidupan kita. Bermula dengan diri kita sendiri.
The post Corat-Coret Hati: Rasulullah SAW Contoh Buat Kita Semua appeared first on Langit Ilahi.
bakhil yang sebenar

Janganlah kita menjadi bakhil, baik selawat mahupun menderma. Jom banyakkan berselawat sambil menderma!! dua-dua dapat pahala..
The post bakhil yang sebenar appeared first on Langit Ilahi.
February 6, 2014
Komik: Kekasih Aku, Kekasih Kamu
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali 'Imran: 31]
The post Komik: Kekasih Aku, Kekasih Kamu appeared first on Langit Ilahi.
February 5, 2014
Warisan Rasulullah
February 2, 2014
Corat-Coret Hati: Siaga, Sensitiviti dan Belia.
Assalamu’alaikum rakan-rakan pembaca yang saya cinta. Semoga Allah SWT merahmati kalian, terutama tatkala kalian menyelak satu demi satu artikel yang terwujud di sini.
Rakan-rakan, kali ini saya ingin berkongsi.
Sesungguhnya saya sering teruja apabila membaca hadith berkait dua orang Mu’adz. Bahkan saya tidak bosan mengulangi hadith tersebut, dan bercerita berkenaannya.
Hadith Riwayat Bukhari
Kisah berkenaan mereka ini boleh dilihat di dalam hadith riwayat Bukhari, yang mana kisah ini diceritakan oleh Abdurrahman bin Auf RA. Ketika Abdurrahman bin Auf RA berada di tengah peperangan Badar, dia didekati oleh dua orang anak muda.
Dua anak muda ini bertanya kepada Abdurrahman bin Auf RA, akan di manakah Abu Jahal. Abdurrahman bin Auf RA bertanya semula kepada mereka berdua, mengapa hendak mencari Abu Jahal?
Mereka berdua menjawab bahawa mereka telah mendengar yang orang bergelar Abu Jahal ini telah menghina Rasulullah SAW, menjadikan mereka ingin menumbangkan lelaki ini. Di dalam riwayat lain, mereka menyatakan bahawa apabila mereka mendengar bahawa Abu Jahal suka menghina Rasulullah SAW, mereka telah menjadikan urusan itu urusan mereka.
Abdurrahman bin Auf RA pun menunjukkan ke arah Abu Jahal, yang dikawal oleh tentera Quraisy Makkah. Terus dua pemuda di sisinya tadi bergerak ke arah Abu Jahal dengan pantas. Kedua-dua mereka berjaya menumbangkan Abu Jahal dan membenamkan pedang mereka pada lelaki itu.
Selepas itu mereka berlari menghadap Rasulullah SAW untuk menyampaikan berita tersebut.
Teksnya adalah seperti berikut:
Narrated ‘Abdur-Rahman bin ‘Auf: While I was standing in the row on the day (of the battle) of Badr, I looked to my right and my left and saw two young Ansari boys, and I wished I had been stronger than they. One of them called my attention saying, “O Uncle! Do you know Abu Jahl?” I said, “Yes, What do you want from him, O my nephew?” He said, “I have been informed that he abuses Allah’s Apostle. By Him in Whose Hands my life is, if I should see him, then my body will not leave his body till either of us meet his fate.” I was astonished at that talk. Then the other boy called my attention saying the same as the other had said. After a while I saw Abu Jahl walking amongst the people. I said (to the boys), “Look! This is the man you asked me about.” So, both of them attacked him with their swords and struck him to death (One of the boy’s hand was slain, the hand was dangling so he used his feet to step on the dangling hand and he forcefully removed the hand so that it won’t cause him problem in killing Abu Jahl) and returned to Allah’s Apostle to inform him of that. Allah’s Apostle asked, “Which of you has killed him?” Each of them said, “I Have killed him.” Allah’s Apostle asked, “Have you cleaned your swords?” They said, “No.” He then looked at their swords and said, “No doubt, you both have killed him and the spoils of the deceased will be given to Muadh bin Amr bin Al-Jamuh.” The two boys were Mu’adh bin ‘Afra and Mu’adh bin ‘Amr bin Al-Jamuh.
Sahih Bukhari 4.369, Sahih Bukhari 5.324, Sahih Bukhari 5.298, Sahih Bukhari 5.300, Sahih Bukhari 5.301, Sahih Bukhari 5.355
Apa yang menariknya?
Apa ya yang menariknya daripada cerita ini?
Pertama – Mereka orang yang cakna walaupun masih muda. Mereka berkata bahawa mereka telah mendengar Abu Jahal itu menghina Rasulullah SAW, dan menjadikan urusan menguruskan Abu Jahal itu urusan mereka. Sedangkan mereka masih muda. Boleh sahaja mereka kata: “Jangan masuk campur urusan orang tua.”, “Kita masih budak lagi.”, “Biar Umar Al-Khattab la urus, kita muda lagi.” dan sebagainya.
Tetapi tidak. Mereka peka, sensitif dan merasakan urusan itu adalah urusan mereka, yakni punya rasa bertanggungjawab.
Kedua – Mereka berdua berada di tengah medan Badar. Bermakna, mereka terpilih untuk menyertai tentera Rasulullah SAW. Dan pastinya Rasulullah SAW tidak memilih mereka yang tidak memenuhi ciri untuk menjadi tentera. Tandanya dua orang Mu’adz ini, pada usia muda, telah ‘fit’ untuk menjadi tentera. Hendak menjadi fit pula, bukan boleh memakan masa yang sebentar dan hidup sebagai pemalas. Ini jelas menunjukkan bagaimana dua orang Mu’adz ini hidup mereka diisi dengan persiapan.
Kedua-dua perkara ini adalah merupakan kualiti yang amat penting dalam pembentukan peribadi seseorang.
Kepekaan, sensitiviti dan rasa bertanggungjawab biasanya melahirkan manusia yang bermatlamat, mempunyai tujuan yang jelas, sekaligus menghasilkan peribadi yang siap siaga, berdisiplin, mantap, dan mampu ‘pergi jauh’, sekaligus meninggalkan apa yang sia-sia dan tidak bermanfaat buat perjalanannya menuju kepada matlamatnya tadi.
Adakah kita sensitif dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang, contohnya?
Adakah kita peka dengan apa yang berlaku ke atas ummat Islam di seluruh dunia, contohnya?
Jika ya, apa tindakan kita? Apa perancangan kita? Bagaimana kita mengisikan kehidupan kita sebagai bukti terhadap kepekaan dan sensitiviti tadi? Bagaimana kita membentuk diri kita hasil daripada kepekaan dan sensitiviti tadi?
Penutup: Muhasabah
Muhasabah buat para belia,
para remaja,
pemudi dan pemuda,
yang mungkin masih rasa diri ‘terlalu muda’,
‘tidak penting’,
‘bukan sesiapa’.
Tiada siapa yang bukan sesiapa.
Setiap orang yang beriman kepada Allah SWT itu berperanan.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang (bangun) berpagi-pagi sementara dia tidak memikirkan (mempedulikan) urusan kaum Muslim, maka ia tidak termasuk ke dalam golongan mereka.” Hadith Riwayat Hakim.
“Barangsiapa yang bangun pagi tetapi dia tidak memikirkan kepentingan umat Islam maka dia bukan umatku ( umat Nabi Muhammad ).” Hadith riwayat Muslim.
“Barangsiapa ( dari umatku ) yang ketika bangun pagi tidak memikirkan nasib umat, maka dia bukan umatku ( umat Nabi Muhammad Saw )”. Hadith riwayat Ahmad.
“Barang siapa yang bangun di pagi hari tanpa memikirkan nasib saudaranya sesama muslim,sungguh dia bukan dari golong umatku.” Hadith Riwayat Baihaqi.
Muhasabah.
The post Corat-Coret Hati: Siaga, Sensitiviti dan Belia. appeared first on Langit Ilahi.