Hilal Asyraf's Blog, page 72

March 9, 2014

Corat-Coret Hati: Zun-nun Dan Kita.

Humpback_stellwagen_edit_zps20e3c60a


 


Kita semua ibarat Zun-nun yang berada di dalam perut ikan paus.


Perut ikan paus dikatakan mempunyai sistem pencernaan yang 6 kali lebih kuat dari manusia. Maka di dalamnya mempunyai asid yang boleh mencerna apa-apa yang berada di dalam tubuhnya dengan pantas.


Kita semua ibarat Zun-nun, yang berada di dalam suasana itu. Kita terperangkap di dalam perut ikan paus. Yang menghakis dan ‘mencerna’ kita. Seperti Zun-nun juga, kita berada di dalam perut paus itu kerana kesilapan kita.


Bagaimana kita mahu keluar?


Seperti Zun-nun juga, kita hanya mampu keluar dengan melihat kembali diri, bermuhasabah dan memperbaiki keadaan diri sendiri.


Zun-nun apabila undian di kapal memutuskan dia perlu dibuang ke laut walau selepas berkali-kali undian diulang, dia sudah mengetahui betapa Allah sedang hendak memberikan teguran atas sikapnya yang tergesa-gesa meninggalkan ummatnya. Lantas Zun-nun tidak menyalahkan orang-orang kapal yang mencampaknya. Zun-nun juga tidak menyalahkan Ikan Paus yang memakannya. Pada saat di dalam ikan paus, kala Zun-nun mendapat peluang untuk bersuara, yang diungkapkan ialah:


“Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.


Dan lihatlah bagaimana pantasnya Allah SWT mengeluarkan Zun-nun selepas itu. Pada ayat 88, Allah sudah menyatakan bahawa Zun-nun diselamatkan.


“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman.” Surah Al-Anbiya’ ayat 88.


Di dalam Surah Ash-Shaffat, Allah SWT menceritakan bagaimana jika Zun-nun tidak mengambil sikap menyedari kesilapan diri, maka Allah akan membiarkan Zun-nun di dalam perut ikan paus tersebut.


“Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak(dengan ujian yang lebih berat). Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.” Surah Ash-Shaffat ayat 142-144.


Maka kita hari ini, yang juga terperangkap di dalam perut ikan paus, dihakis untuk dicerna menjadi bahan makanan sistem caca merba hari ini, hanya akan mampu keluar sebagaimana Zun-nun dikeluarkan.


Iaitu kala kita berhenti menyalahkan musuh-musuh dan mula menyalahkan diri sendiri. Menyedari kesilapan diri, dan mula menyusun untuk melakukan peningkatan. Mula buat kerja. Mula tinggalkan retorik-retorik yang selama ini ibarat menanam tebu di tepi bibir untuk halwa telinga diri sendiri dan orang ramai.


Kala itu Allah akan mengeluarkan kita daripada perut ikan paus hari ini.

Dan memberikan kita kemenangan.


Jika tidak, terus tinggal lah kita dalam kekalahan dan ketewasan.


“Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.” Surah Ash-Shaffat ayat 143-144.


 


The post Corat-Coret Hati: Zun-nun Dan Kita. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2014 11:20

YouthACE – Mengapa Dianjurkan?

1606967_10203057323455336_1227306510_n


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,


Segala puji bagi Allah SWT, yang memiliki segala-galaNya, yang memberikan kekuatan dan mengampuni segala kesalahan, yang sering memberikan peluang untuk hamba-hambaNya menambah kebaikan serta paling pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, dan para sahabat yang berjuang bersama-sama baginda. Atas usaha mereka, bersama lelehan darah dan keringat, iman dan Islam sampai kepada kita, memberikan kita tujuan kehidupan yang lebih jelas dan sebab utama untuk membina peribadi diri, agar kehidupan ini tidak semata-mata kosong sekadar menanti mati.


Alhamdulillah, sebagaimana yang telah sebahagian besar pelawat lihat, baik di LangitIlahi.Com atau di FB Page LangitIlahi, kini Tim LangitIlahi sedang giat menjalankan promosi untuk Program YouthACE(Awards, Convention and Exhibition) 2014, yang bakal berlangsung pada 10hb Mei 2014 ini di Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang.


YouthACE hakikatnya adalah penjenamaan semula kepada sebuah program yang LangitIlahi anjurkan pada tahun 2013, bernama TeenACE. Ditukarkan kepada YouthACE, kerana melihat kepada potensi program ini yang besar pada golongan belia, bukan sahaja kepada remaja. Perkataan ‘Youth’ sendiri kelihatan lebih luas capaiannya, berbanding Teen yang kelihatan hanya untuk remaja belasan tahun. YouthACE meletakkan sasaran pesertanya dari kalangan mereka yang berumur 17-30 tahun. Kami di LangitIlahi bercadang untuk menjadikan YouthACE sebagai acara tahunan LangitIlahi, dan bakal dipertingkatkan lagi kualitinya dari masa ke semasa. Kami berhajat hingga satu masa, YouthACE mampu menjadi sebuah karnival untuk belia, dengan pengisian yang ilmiah, mengisi ruhi, dan membangkitkan potensi terpendam buat generasi anak muda.


[image error]


Mengapa Dianjurkan?


YouthACE, atau asalnya TeenACE ini, hakikatnya adalah diinspirasikan oleh bekas tim LangitIlahi – Nu’man Saadan – yang kini menyambung pengajian ke luar negara. Saya menerima idea program ini, kerana melihat potensinya yang besar, dan sanggup mengambil risiko untuk melihat program ini berjaya. LangitIlahi bukan syarikat besar, dan bukanlah ‘player’ dalam bidang event management. Namun alhamdulillah, TeenACE 2013 telah berjaya menarik 1000 orang peserta, dari pelbagai lapisan umur, di Dewan Kristal, Menara TM, pada 30hb Jun 2013. Respon yang diperolehi pula majoritinya adalah amat positif, dan rata-rata peserta berhajat untuk datang kembali ke program ini.


Usai program, saya mula menilai semula program ini dan berhajat menjadikannya sesuatu yang serius. Jika kita perasan, suasana masyarakat hari ini penuh dengan pelbagai perkara yang melarutkan generasi belia kepada perkara yang tidak baik dan melanggari perintah Allah SWT. Serangan untuk meruntuhkan generasi muda kita, dan membawa mereka ke arah kehidupan yang bermakna datang dari pelbagai penjuru. Lebih lagi apabila dunia tanpa sempadan kini semudah di hujung jari dengan teknologi yang tinggi.


Saya secara peribadi rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu. Sehingga bila kita hanya boleh duduk dan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu atas kerosakan ummat hari ini. Kitalah yang mesti melakukan sesuatu. Generasi muda pula adalah ‘cream of society’, merekalah taruhan masa hadapan, harapan buat kita semua untuk suasana yang lebih baik pada waktu mendatang. Maka hendaklah mula kita mengusahakan sesuatu untuk membina peribadi generasi muda, membina akal dan minda mereka, memberikan makanan kepada rohani mereka, serta mula mencungkil bakat dan potensi mereka, agar kita mempunyai angka-angka yang bermakna untuk masa mendatang. Bukan lagi angka-angka kosong yang banyak berteriak di medan sosial semata-mata. Kita mahu angka-angka yang bernilai, yang melaksanakan kerja-kerja, memberikan impak positif kepada dunia ini, mengangkat imej baik Islam dan mempertingkatkan kekuatan ummah, insyaAllah.


Maka saya jenamakan semula TeenACE menjadi YouthACE, dan YouthACE adalah wasilah yang saya pilih untuk melaksanakan tanggungjawab membina generasi ini. Sekurang-kurangnya saya mahu pulang bertemu dengan Allah SWT menyatakan bahawa saya telah mengusahakan sesuatu untuk ummat ini.


[image error]


Pemuda dan Perubahan


Tema YouthACE2014 ialah Pemuda & Perubahan. Di dalam bahasa arabnya, ialah Syabab Wa Taghyir. “Syabab Wa Taghyir” ini diinspirasikan oleh almarhum mujahid Fathi Yakan, yang telah mengarang buku dengan tajuk yang sama. Saya mempunyai seorang guru, bernama Sir Mohd Abdoh, yang sering juga mengulang-ulang tajuk “Syabab Wa Taghyir.” Maka saya fikir dan saya kira, YouthACE2014 perlu mengambil Pemuda dan Perubahan sebagai tema. Untuk menyuntik rasa bahawa pemuda-pemudi hari ini bukanlah budak-budak kecil yang tidak penting dan tidak bermakna. Tetapi merupakan aset dan taruhan masa hadapan, penuh dengan potensi dan kelebihan, yang sepatutnya dioptimumkan penggunaannya semenjak awal usianya.


Fathi Yakan ada menukilkan di dalam bukunya itu, akan mengapa pemuda menjadi fokus apabila membicarakan perihal perubahan.


“Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:


“Ambillah peluang dalam lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.” Hadith Riwayat Al-Baihaqi.”


Fathi Yakan ada menyatakan bahawa, usia manusia di atas muka bumi ini terhad, oleh kerana itu pemuda-pemudi perlu dipersiapkan agar kerja-kerja untuk pembangunan ummah ini dapat dilaksanakan dengan baik, kerana masa muda adalah masa yang paling utama untuk bekerja atas falktor-faktor yang dinyatakan dalam nukilan tadi.


IMG_0561


Kita Telah Ketinggalan


Hari ini kita telah jauh ketinggalan oleh sistem jahiliyyah. Hampir seluruh kehidupan kita kini telah didominasi oleh mereka yang tidak memawa aspirasi Islam dan patuh syariat. Media massa dikuasai oleh orang-orang yang tidak mahu mendekatkan manusia dengan Allah SWT. Teknologi dikuasai oleh mereka yang tidak mahu taat kepada Allah SWT.


Orang-orang muda mampu merubah suasana ini sekiranya mereka dapat disedarkan bahawa tujuan kehidupan ini adalah pengabdian kepada Allah SWT(Surah Adz-Dzariyat ayat 56) dan bahawa mereka bertanggungjawab untuk mentadbir dunia ini(Surah Al-Baqarah ayat 30). Orang-orang muda perlu semenjak muda, disuntik dengan semangat untuk menjadi pakar dalam potensi masing-masing, mengembangkan bakat yang sedia ada, untuk memberikannya kepada Islam, bukan semata-mata untuk kepuasan diri dan poket sendiri sahaja.


Kita ada ramai remaja yang suka buat video, suka komputer, suka melukis, menulis, suka muzik dan macam-macam lagi. Ada yang pandai dalam pengajian, ada pula yang suka berbisnes dan pelbagai lagi bakat, potensi dan minat. Semuanya ini jikalah disatukan untuk membawa matlamat yang sama – yakni pembangunan ummah, membina kekuatan untuk Islam – Allahuakbar, kita akan menjadi lebih perkasa, kuat dan bermaruah.


Bukan lagi sekadar melontarkan retorik-retorik kosong, sekadar menukilkan beberapa ayat Al-Quran dan hadith, sekadar menyatakan bahawa Islam adalah penyelesaian, dan memetik beberapa petikan daripada buku-buku fikrah. Bukan. Tetapi benar-benar fokus dan melaksanakan kerja, mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.


Ini yang mahu kita cetuskan di dalam YouthACE. Ini yang mahu kita inspirasikan kepada generasi muda hari ini. Mereka perlu sedar bahawa mereka mempunyai kekuatan dan peluang untuk mengubah masa hadapan. Lantas mula memahat cita-cita dan meletakkan target. Hidup dengan memanfaatkan usia muda mereka untuk melakukan sesuatu buat ummah. Mula serius memanfaatkan masa muda untuk membina karakter, peribadi sekaligus memikul amanah perubahan masa hadapan.


_MG_6588


Kita Perlu Melakukan Reformasi Ke Atas Generasi Belia


Memetik penyampaian Sheikh Khalid Yasin, seorang pendakwah di eropah masa kini, dalam penyampaiannya “Muslim, We Must Reform Ourself”, bahawa kita tidak boleh menuding jari kepada Amerika Syarikat, Zionis, Yahudi, Freemason dan sebagainya. Kerana empat jari tertuding semula kepada diri kita sendiri. Kita yang mesti melakukan perubahan terhadap diri kita terlebih dahulu.


Sheikh Khalid Yasin ada menyatakan berkenaan kisah Nabi Yunus yang ditelan Ikan Paus. Dia menyatakan bahawa, Nabi Yunus tidak menyalahkan orang-orang yang mencampak beliau ke dalam laut, Nabi Yunus tidak menyalahkan Ikan Paus menelannya, Nabi Yunus tidak menyalahkan Allah SWT kerana meletakkannya dalam situasi tersebut. Yang disalahkan adalah diri sendiri, dan dia mengakuinya serta meminta ampun kepada Allah SWT.


“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun(Nabi Yunus), ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.


Allah membalas doa itu dengan segera, dan mengeluarkan Nabi Yunus daripada perut ikan paus tersebut. Nabi Yunus pulang untuk menyambung dakwahnya, dan dilihat orang-orang kampungnya telah beriman kepada Allah SWT.


[image error]


Sheikh Khalid Yasin memberikan komentar, bahawa kita sekarang berada di dalam perut ikan paus itu. Diibaratkan segala sistem jahiliyyah, cara hidup jahiliyyah, yang sedang menguasai dunia hari ini ibarat ikan paus yang menelan Nabi Yunus AS. Sheikh Khalif Yasin berkata bahawa, kita hanya akan mampu keluar, apabila kita sedar akan keadaan diri kita sendiri dan melakukan perubahan.


Maka untuk ummat ini bangkit, menjadikan Islam sebagai yang tertinggi, tidak cukup sekadar berkata-kata. Kita perlu bangkitkan anak-anak muda untuk hidup dengan kehidupan yang lebih bermanfaat. Kita perlu bangunkan generasi anak-anak muda dan memberikan pemerhatian yang serius terhadap mereka. Inilah yang akan mampu menjamin peningkatan kepada kekuatan ummah, dan kelangsungan kerja-kerja untuk menegakkan agama Allah SWT di dalam kehidupan hari ini.


1907555_647683828631524_1034929176_n


Penutup: YouthACE, Usaha Yang Diusahakan.


LangitIlahi bukanlah sebuah syarikat yang besar. Kami baru sahaja bermula. Namun kami serius hendak melaksanakan program ini. Kami memandang, ini adalah apa yang mampu memberikan impak kepada masyarakat. Bahkan kami berhajat hendak mengembangkan lagi YouthACE di masa akan datang. Kami serius melihat bagaimana hedonisme dijadikan makanan utama bagi generasi sekarang, maka kami memberikan alternatif. Bukanlah tidak boleh langsung berhibur, bahkan di dalam YouthACE pun ada hiburannya. Namun kami mahu memberikan sesuatu yang seimbang, dan bermanfaat buat generasi muda hari ini.


Masa bermain-main pada kami sudah berakhir. Bahkan kita patut bangkit lebih awal. Tidak guna kita marah-marah kepada musuh yang melaksanakan kerja-kerja, dalam masa yang sama kita sendiri tidak melakukan apa-apa.


InsyaAllah tahun 2014 ini, YouthACE akan diadakan pada 10hb Mei 2014, di Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang. Program bermula 7.00 pagi dan berakhir pada 10.45 malam. Antara panel yang didatangkan kali ini ialah Dr Maszlee Malik, Ustaz Syaari Rahman, Prof Agus Yusoff, Ustaz Dr Zaharuddin Ab Rahman, Aiman Azlan dan warga LangitIlahi seperti saya, Abu Ridhwan dan Ameen Misran. Wujud juga persembahan istimewa daripada Mr Bie dan Mirwana. Detail program ada di http://youthace.langitilahi.com. Pendaftaran juga boleh dilakukan di sana.


Poster pertandingan


YouthACE 2014 juga menyediakan pertandingan-pertandingan menarik, bagi peserta-pesertanya yang berminat untuk menunjukkan bakat. Boleh rujuk link berikut untuk detail: http://langitilahi.com/consultancy/youthace/pertandingan/


Kami mensasarkan kehadiran 1500 peserta, dan tempat duduk terhad untuk angka tersebut sahaja.


Kami memohon sokongan dan doa daripada semua pembaca, pelawat LangitIlahi.Com ini. Kami mengharapkan agar anda datang sebagai peserta, atau jika tidak dapat hadir, menguar-uarkan akan program ini kepada rakan-rakan, kenalan-kenalan, sahabat handai dan sebagainya. Jika anda ada cara untuk membantu kami mempromosikan program ini, sila hubungi kami di email youthace@langitilahi.com


Sokongan, dokongan dan doa anda semua sangat kami hargai.


Inilah usaha yang diusahakan.


Mari Menjadi Hamba!


 


~ seorang hamba,


YouthACE panel 17


Muhammad Hilal Asyraf


pengasas LangitIlahi.Com


CEO LangitIman Resources


Penulis Novel Islamik dan Buku Motivasi.


 


The post YouthACE – Mengapa Dianjurkan? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2014 10:21

March 8, 2014

YouthACE 2014 – Jom Mendaftar!

[image error]

YouthACE(Youth Awards, Convention and Exhibition) 2014, adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. Ia merupakan program besar yang menjadi tempat para pemuda-pemudi, belia, untuk berhimpun mendapatkan input bermakna, mencungkil potensi dan menambah jaringan untuk manfaat masa hadapan.


Tema tahun ini: Pemuda dan Perubahan.

Tempat: Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang.

Masa: 07.00am-10.45pm

Tarikh: 10hb Mei 2014

Yuran asal: RM80 seorang, RM75(seorang) jika mendaftar tiga orang atau lebih bersama-sama.


Yuran Promosi:

Valid hingga 15hb Mac 2014 – RM55 seorang, RM50(seorang) jika mendaftar tiga orang atau lebih bersama-sama.


Pendaftaran telah dibuka.

Daftar segera di: http://youthace.langitilahi.com/


Seat terhad untuk 1500 orang sahaja.


IMG_0558

Detail Program:


YouthACE terbahagi kepada tiga komponen – Awards(anugerah), Convention(konvensyen) dan Exhibition(pameran).


Berikut ialah apa yang mengisi YouthACE 2014

==========

Convention:

==========


“Pemuda dan Perubahan”

oleh Hilal Asyraf.


“Semangat Al-Fatih: Membuka Kemenangan Hari Ini”

oleh Ustaz Syaari Rahman.


“Pemuda dan Aktivisme”

oleh Dr Baharuddin Suri.


“Forum Pemuda Intelek – Taruhan Masa Hadapan.”

Moderator: Aiman Azlan.

Panel: Dr Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin dan Prof Agus Yusoff.


“Bual Bicara: Aku Pernah Muda”

oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan dan Sister Rusni Tajari.


“Pidato Pemuda dan Masa Hadapannya.”

oleh Tuan Razali Maarof.


“Pidato YouthACE”

oleh Aiman Azlan.


Kemunculan Khas di YouthACE 2014


Ulwan Mokhtar

Aisyah Syakirah.

Qawiem Khairi.

Anwar Hadi.


1907555_647683828631524_1034929176_n

============

Awards yang dipertandingkan:

============


- Vlogger Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Penasyid Terbaik – Hadiah: RM1000 + Piala

- Short Filem Terbaik – Hadiah: RM1500 + Piala

- Penulisan Artikel Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Penulisan Cerpen Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Rekaan Poster Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Fotografer Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Komik Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- The Best Essay – Hadiah: RM700 + Piala

- The Best Poetry – Hadiah: RM1000 + Piala


*Peserta YouthACE 2014 tidak wajib menyertai pertandingan-pertandingan ini, namun peserta pertandingan-pertandingan ini wajib menjadi peserta YouthACE 2014.

*pertandingan-pertandingan ini akan bermula selepas 15hb Februari 2014. Syarat-syarat pertandingan boleh dirujuk di bahagian ‘pertandingan’ pada link http://youthace.langitilahi.com/


==============

Exhibition:

==============


Pameran pendidikan.

Pameran Misi Kemanusiaan.

Pameran Pemuda Dalam Lipatan Sejarah.


Bonus: Persembahan Nasyid daripada Mr Bie dan Kumpulan Mirwana!


[image error]

———————–


Jika berminat, daftarlah segera.


Sebar-sebarkan juga kepada rakan-rakan, sanak-saudara, adik-beradik!


Pemuda dan Perubahan.

Mari Menjadi Hamba!


The post YouthACE 2014 – Jom Mendaftar! appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2014 18:02

Sepayah Apakah Thaifmu?



hotweather www.patheos.com


Seringkali para pendakwah merasa lemah kerana merasakan ujian yang mereka tanggung di pertengahan jalan perjuangan adalah terlalu berat dan tak terdaya memikulnya.


Kerana jalan dakwah selalu menuntut pengorbanan dan kesungguhan, maka ia menuntut jiwa yang besar bagi sesiapa yang mahu mendokongnya.


Di sela-sela perjalanan dakwah, perasaan lemah adalah biasa kerana kita manusia kerdil cuma, namun yang membeza-bezakan darjat iman kita adalah bagaimana kita menempuh rasa lemah itu. Membiarkan rasa lemah menguasai diri adalah jenayah dalam dakwah sebaliknya menguasai rasa lemah dengan terus bergerak akan menguatkan pula daya juang dalam jiwa.  


Rasa lemah yang menjangkiti para penggerak dakwah boleh jadi disebabkan susahnya halangan dan cabaran yang dihadapi dalam medan dakwah. Tak jarang juga rasa lemah sebenarnya lebih mudah menjangkiti mereka yang berada dalam medan dakwah tetapi diam tidak bergerak !


Namun, selemah apapun perasaan yang kita rasai, sesusah apapun cabaran yang kita perlu tempuhi dalam jalan dakwah, pastinya belum tertanding sesusah apa lagi yang telah ditempuhi oleh baginda Nabi s.a.w.


 


Ketika Nabi Mengembangkan Dakwahnya Ke Thaif


Sewaktu dakwah Nabi s.a.w mahu dikembangkan marhalahnya (tahap) kepada marhalah baru, baginda telah memilih untuk mula mengembangkannya ke bumi Thaif.


“Tidaklah pemilihan bumi Thaif itu pemilihan yang dilakukan secara rawak, tetapi ia adalah pemilihan yang dilakukan berdasarkan kajian. Nabi adalah seorang ahli politik yang cerdas, seorang ketua yang berpengalaman dan baginda mengkaji setiap langkahnya dengan teliti.” kata pakar sejarah Islam, Dr Raghib As-Sirjani.


Walaupun bumi Thaif pada ketika itu digambarkan akan dapat memberi kelebihan yang banyak kepada dakwah Nabi s.a.w. jika mereka menerimanya, namun begitulah harga sesuatu yang mahal, bayarannya pun mahal semisal nilainya.


Rupanya, dakwah Nabi s.a.w. tidaklah mudah untuk menembus ruang-ruang hati mereka.


Kita boleh bayangkan saja bagaimana rawannya hati sang Nabi yang telah kehilangan dua orang tercintanya pada ‘Aam Al-Huzn (tahun kesedihan), kemudian di saat baginda bersusah payah untuk dakwahnya di Thaif, baginda kemudian ditolak pula dengan tolakan yang keras sehingga luka berdarah pula dirinya.


Kita bisa membayangkan kalau kita yang berada di situasi sedemikian, barangkali kita sudah berada di persimpangan jalan sama ada mahu memenuhi permintaan malaikat untuk menghempap penduduk Thaif dengan Akhshabain (dua bukit) atau terus saja meninggalkan dakwah.


Derita. Terlalu derita.


Bagaimana mungkin tidak, bila baginda sendiri yang memilih untuk berjalan ke tempat yang jaraknya hampir 90-100 km jauhnya dari kota Makkah. Bukan satu perjalanan yang dekat. Ditambah lagi apabila diriwayatkan baginda memilih untuk berjalan ke sana. Bukan dengan kuda atau unta, apalagi dengan kenderaan berair-cond !


Sejauh 90-10 km, berjalan kaki?


Tidak hanya itu, disebutkan juga oleh Dr Raghib bahawa perjalanan itu berlaku dalam bulan Jun, bulan yang menyaksikan bumi Arab seperti Makkah itu sedang menempuh musim panas. Jika kita pernah merasai pengalaman menjejakkan kaki ke Makkah, pasti kita akan mengetahui bagaimanakah panasnya bumi Makkah itu, meskipun di luar musim panas.


Logik keinginan nafsu pastilah akan menolak untuk meneruskan perjuangan dalam keadaan sebegitu, tetapi seorang Nabi, jiwanya yang penuh terisi dengan kecintaan kepada ummat membuatkan baginda tidak pernah kalah dengan soal-soal remeh seperti jauh, panas dibandingkan dengan kenikmatan menyaksikan ummat mendapat hidayah Allah.


Namun, setelah apa yang baginda tempuhi itu, jarak perjalanan yang jauh, cuaca yang panas, harus terpaksa berjalan kaki, dengan senafas tanpa bicara, penduduk Thaif menolak dakwah baginda bahkan bersikap keras pula terhadapnya dengan mengumpulkan anak-anak kecil melontar batu-batu terhadapnya di jalanan.


Itulah Thaif Nabi, sesusah apa pulakah Thaifmu? Sederita apakah pula Thaifmu sehingga kita memilih untuk beralasan jauh sebelum kita memulakan kerja dan pengorbanan kita?


 


Sabar Masih


“Sabar itu adalah kata akhlak terbanyak disebutkan di dalam Al-Quran.” demikian diungkap ulama’ besar yang kita hormati abad ini, Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya As-Sabr Fil Quran.


Kerana tidak mudah untuk sabar, maka barangkali itu yang membuatkan pesanan itu berulang kali disebut di dalam Al-Quran. Mudah berbicara tentang sabar, tetapi tidak mudah untuk sabar.


Namun, baginda s.a.w. telah mencontohkan kepada kita satu teladan agung dalam menjadi seorang manusia yang sabar ketika merespon semula kepada apa yang telah dilakukan oleh penduduk Thaif terhadapnya.


Suatu saat, Aisyah pernah bertanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, apakah pernah datang padamu hari yang lebih dahsyat dari Uhud?”


Soalan Aisyah itu sendiri memadai untuk membuktikan bahawa apa yang telah ditempuhi oleh Rasul s.a.w. dalam perang Uhud itu pun sudah terlalu dahsyat. Namun, peristiwa Thaif ternyata lebih dahsyat.


Baginda kemudiannya menceritakan apa yang ditempuhinya di Thaif sehingga malaikat Jibril datang memberi khabar bahawa malaikat gunung bersedia untuk diperintahkan apa saja oleh baginda untuk menghempap penduduk Thaif atas apa yang telah mereka lakukan terhadap baginda.


Tetapi jiwa Nabi sangat besar. Kecintaannya terhadap ummat sangat dalam. Meski luka di kakinya belum sembuh kerana berdarah dilontar batu, namun tidak berbekas kebencian dan rasa kecewa di dalam hatinya.


Nabi menjawab penuh kasih di hatinya, “Tidak, bahkan aku mengharapkan akan lahir dari sulbi-sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya.” [HR Bukhari Muslim]


Baginda mungkin merasa sedikit lemah, tetapi tidak membiarkan kelemahan itu menguasai dirinya.


Dengan harapan, baginda melawan rasa lemah itu dengan penuh kekuatan iman.


 


Penutup : Sepayah Apakah Thaifmu?


Sejauh apakah pula Thaifmu yang kau harus tempuhi untuk melaksanakan tugasan dakwahmu? Sepanas apa pula iklim Thaifmu untuk kau laksanakan tugasan dakwahmu sehingga rasa lemah pantas menghinggap dirimu sebelum kerja bermula?


Terpandangkah engkau yang menyerukan dakwah bila engkau mudah sekali menyerah sebelum pentas amal menarikan segala teori dari tulisan dan percakapanmu?


Terpandangkah dirimu menyertai gerabak dakwah jika Thaifmu yang sebatas meninggalkan katil untuk Subuh pun masih gagal engkau tunaikan?


Rasa lemah apakah yang telah menjangkiti dirimu? Rasa lemah disebabkan engkau telah bergerak lalu engkau menempuh halangan demi halangan ataupun kerana engkau diam tidak bergerak, lalu engkau tersekat di sela keseronokan nikmat dunia yang melalaikan?


Thaifmu tidaklah sederita apa yang telah ditempuh oleh Nabi.


Engkau masih punya ahli keluarga kesayangan saat engkau bergerak di medan Thaifmu, tetapi baginda telah kehilangan ahli keluarga kesayangannya saat dakwah Thaif bermula. Engkau masih punya orang mahu diadukan segala kepayahan, masih punya orang dekat untuk diletakkan kepala di bahunya bila keletihan, namun siapakah anggota keluarga dekat yang masih Nabi miliki lagi saat baginda menderita di Thaif?


Jangan diratapi rasa lemah terlalu lama sehingga menguasai diri kita. Jangan terlalu cepat merasa lemah kerana kita ummat yang berjuang, ummat yang berjuang, perlukan jiwa yang kukuh, jiwa yang sanggup menahan ujian yang mendatang dan tidak mudah dijangkiti oleh rasa lemah.





http://islamstory.com/



The post Sepayah Apakah Thaifmu? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2014 15:44

Komik: #PrayforMH370

Mac 1


Nothing much to say..

Just #keepprayingforMH370.


Allah tahu apa yg terbaik.

Yakin, setiap kejadian ada hikmah.

Jangan putus berdoa kepadaNya.


Sahabat2ku, mari kita kembali bermuhasabah.

Moga taubat kita hari ini mmbuka jalan keluar buat mereka.

dan… semoga takdir mereka adalah yg terbaik!


Allah, kuatkan kami dengan Islam.

Allah, kuatkan Islam dengan kami.


Mari menjadi hamba!


The post Komik: #PrayforMH370 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2014 15:22

March 7, 2014

Fotografi: Pemuda Beriman

| Asar | Umm Qais | Irbid, Jordan |

( Sony Alpha Nex-5N | 1/50 | f5.6 | ISO100 )




Masa muda adalah antara fitnah besar dalam kehidupan manusia.


Ramai orang muda terperangkap dalam keseronokan zaman muda sehingga melupakan dan melalaikan Allah.


Sebab itu, carilah medan-medan tarbiyah yang dilingkungi oleh sahabat soleh untuk kamu dapat membersihkan dirimu,

sentiasa mengingatkan dirimu kepada jalan pulangmu dan mendorong dirimu untuk sentiasa memperbaiki diri.


Kita tidak tahu waktu pulang kita bila.

Belum tentu sempat tua pun kita ini.

Lalu, janganlah diabaikan masa muda ini untuk hanya menikmati keseronokan dunia.


Carilah sesuatu yang bernilai untuk akhirat kita untuk diisi dalam waktu muda kita ini.



Quote from Afdholul Rahman CA (Official)



“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar;

sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka

dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah dan petunjuk.”


( Al Kahfi: 13 )



Road to YouthACE 2014: http://langitilahi.com/consultancy/youthace/


The post Fotografi: Pemuda Beriman appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2014 16:58

March 6, 2014

Gelisah

image


orang yang tidak solat akan merasakan dirinya tidak tenang. Tidak tenang itu menandakan Allah masih sayang akan hambanya. Dan solat di awal waktu itu adalah lebih baik.


The post Gelisah appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2014 21:14

March 4, 2014

Islam, Harapan Perubahan Menuju Kejayaan

 


599431_470039649673570_1039063685_n


 


Dewasa ini bumi menjadi saksi bahawa proses keruntuhan akhlak semakin berleluasa secara perlahan tetapi berbisa terutama dalam kalangan remaja. Masyarakat seringkali disajikan dengan hiburan yang tidak semena-mena meski bayaran yang dikenakan tidak kurang dari angka ratusan.  Maka kita akan lihat masyarakat menuju ke arah segala macam bentuk kemusnahan.


Musnah jiwa yang sensitive terhadap isu semasa yang berkait dengan agama atau sensitivity masyarakat.


Musnah taruhan orang tua terhadap golongan belia yang bakal menerajui negara.


Semua ini dek kerana hidangan ‘istimewa’ yang rakus menjamah keprihatinan manusia. Artis sebagai idola bukan lagi nabi jauh sekali ulama’. Muzik pengisi jiwa yang lara bukan lagi Al-Quran yang mengandungi nasihat dari-Nya.


Namun masihkah ada harapan untuk mereka yang mahu melihat kegelapan ini disinari semula dengan cahaya Rabbnya?


Sudah tentu ada! Hal ini disebabkan, kemenangan Islam itu adalah janji dari Dia yang semestinya ditepati. Tetapi harus bagaimana sifat perubahan yang sepatutnya agar ia mendatangkan kesan?


 


Islam Manhaj Perubahan  


Islam tidak pernah menghalangkan perubahan dan perkembangan. Bahkan amat  digalakkan jika ia mendatangkan keuntungan. Terdapat perkara yang tidak berubah walaupun zaman berubah dalam agama seperti larangan terhadap perkara yang jelas pengharamannya dan sebagainya. Adapun ia hanyalah  bersifat minoriti.


Dalam Islam, pintu perubahan terbuka untuk membuka minda dan jiwa manusia supaya memandang sesuatu perkara dalam situasi semasa. Namun, sudah semestinya perubahan tersebut mempunyai had yang tertentu. Juga sifat perubahan dalam Islam adalah bertindakbalas yakni dengan merawat semula kelompongan yang ada.


Malahan, satu daripada ciri-ciri islam itu sendiri adalah bersifat merubah secara total. Bahkan kaedah ini lebih didahulukan berbanding sekadar menempel atau memperbaiki suatu perkara yang didatangkan dari musuh islam kerana kaedah umumnya sesuatu yang baik yang mana punyai kesamaan dari sudut cirinya dengan islam maka ia disebut sebagai hikmah yang hilang dari umat islam. Ia juga tidak membawa perubahan separuh jalan. Allah s.w.t berfirman:


Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. [Al-Baqarah:193]


Perubahan dalam Islam dapat disimpulkan dalam satu kata-kata yang amat masyhur dalam sejarah ketamadunan Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Ribi’ bin Amir ketika berhadapan dengan Rostum panglima tentera Parsi dalam peperangan Qadisiyyah:


“Kami ini telah diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan segala sesuatu (keburukan kepada kebenaran) daripada penyembahan sesama hamba kepada penyembahan Allah yang Esa, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat” 


 


Daripada kata-kata hikmah ini dapat kita rungkai beberapa aspek perubahan yang mana saya yakin jika adanya usaha yang dilakukan ke arah pembaikan selari pula dengan lorong yang Islam datangkan maka hasil yang bakal ditemui adalah kejayaan . Antaranya:


 


1.  Bertepatan acuan tauhid dan akhlak



Melihat kepada tanggungjawab para nabi terdahulu, kita akan dapati Islam datang membawa tauhid yang satu iaitu mengajak manusia untuk tunduk menyembah Allah s.w.t. Bermula daripada zaman a.s berdakwah kepada keluarga seterusnya Nabi Nuh a.s yang mula-mula berdakwah kepada kaumnya hingga lah kepada rasul terakhir Muhammad s.a.w. Menelusuri sirah nabi s.a.w, kita akan dapat melihat gambaran tauhid yang disemat dalam jiwa para sahabatnya hingga mereka yakin tiadalah pengharapan dan pergantungan mereka selain Allah.


Sebagai contoh sahabat nabi s.a.w bernama Khabab bin Arath yang merupakan seorang hamba di Makkah. Apabila dia mengikut seruan perubahan Rasulullah s.a.w dan diketahui oleh majikannya maka diseksa Khabab dengan  besi panas yang terbakar dan diletakkan ke atas kepalanya.  Pun begitu beliau masih teguh dengan pendirian mengambil islam sebagai manhaj kehidupan.


Bagaimana kita? Islam yang kita terima benarkah menjadi kita teguh dan yakin akan janji-Nya? Tergugatkah kita dengan ujian kecil bahkan tak setandingan ujian mereka yang telah pun beriman sebelum kita?


Justeru, tauhid ini bukan sekadar dua kalimah syahadah. Tetapi ia adalah satu tuntutan terhadap perkara yang berkait dengan syahadah tersebut dari sudut perlaksanaan rukun Iman dan Islam juga penyebaran dakwah kepada ummah.


 


2.  Lingkungan kerangka nilai dan adab


Islam datang kepada manusia sebagai rahmat ketika mana agama lain melakukan timbang tara mengikut taraf kedudukan sesama manusia. Kita dapat lihat pada zaman jahiliyyah dahulu, para hamba diseksa,kaum wanita dihina dan sebagainya. Namun, islam membawa cahaya dengan mengangkat martabat manusia dan menghapuskan elemen kezaliman kepada nilai keadilan.


Bilal bin Rabah. Dia hanya seorang hamba biasa. Tetapi islam bukan pandang pada kedudukan pada mata manusia tetapi sisi taqwa itu yang lebih utama. Justeru,  selepas islam berdiri megah, maka Bilal dinaikkan kedudukannya sudah pasti bukan lagi yang terhina sebagai seorang hamba sahaya malah menjadi penyeru sekalian manusia agar berkumpul menyembah Tuhannya.


 


3.  Bersifat menyeluruh


Manusia yang melihat hidupnya sekadar di dunia adalah manusia yang rugi kerana kehidupan sebenar manusia bermula selepas manusia itu mati. Justeru, perubahan yang dilakukan oleh insan haruslah merupakan perkara yang mengcakupi ruang lingkup kehidupan manusia sejagat yang membolehkan mereka menuai hasilnya di akhirat.


Kita akan melihat mereka yang hidup bermatlamatkan dunia, akan memandang dalam skop kepuasan dunianya semata-mata. Manakala orang yang melihat menjangkau masa hadapan yakni kehidupan selepas dibangkitkan maka mereka inilah golongan yang menuju kegemilangan.


Maka pandanglah dunia menerusi jendela akhirat nescaya kita akan terselamat!


 


Kaedah perubahan dalam Islam


Kita telah melihat bagaimana sebenarnya islam itu datang membawa perubahan positif dalam kehidupan manusia. Namun dalam pada manusia ingin melakukan perubahan yang positif perlu ada kaedah yang memandu manusia agar tidak tergelincir daripada jalan yang digariskan oleh agama.


Antara kaedah yang merupakan dasar dalam perubahan adalah:


1.  Menjaga kepentingan semasa (maslahah umum)

Dalam noktah ini, Islam menggariskan pula perihal kepentingan semasa yang perlu dijaga oleh manusia:


i-                    Memelihara agama


ii-                   Memelihara nyawa


iii-                 Memelihara harta


iv-                 Memelihara jiwa


v-                  Memelihara maruah


Demikian adalah dasar-dasar utama dalam perubahan mengikut acuan Islam. Dasar-dasar ini dinilai dalam konteks semasa mengikut turutan yang mana mengutamakan agama dalam banyak hal berbanding lainnya kecuali dalam hal-hal tertentu yang membabitkan nyawa yang terancam maka ada kelonggaran untuk mendahulukan nyawa namun tidak menilaikan aspek agama seperti kisah Amr’ bin Yassir.


Dia merupakan anak kepada mujahidah pertama dalam sejarah islam yakni Sumayyah. Ketika dua ibu bapa nya telah pun dibunuh, maka dia turut diancam untuk dibunuh jika tidak mahu murtad dari islam. Oleh kerana khuatir dibunuh beliau menurut perintah tuannya dan akhirnya dibebaskan. Setelah bertemu dengan Rasullullah s.a.w dan menceritakan perkara tersebut maka dia masih lagi sebagai muslim kerana membenarkan islam dalam hati tetapi mengambil keringanan kerana berlakunya ancaman.


 


2.  Mengambil yang paling ringan keburukannya

Dalam situasi tertentu, kita akan melihat pertembungan dengan sesuatu perkara yang ada keburukannya namun mungkin berbeza dari segi tahapnya. Sebagai contoh isu kepimpinan yang mesti diterajui oleh golongan Islam dalam negara kita kerana dikatakan selari dengan negara Islam hendaknya.


Namun, berdasarkan kaedah ini, Islam menyingkap jaring perpisahan sesama agama dalam pemerintahan dengan meletakkan asas kepada kepimpinan itu yang utama iaitu orang yang mampu dan mempunyai sifat amanah seperti firman Allah s.w.t:


“sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” [al-Qasas: 26]


Jika kedua sifat ini dimiliki oleh golongan bukan Islam maka selayaknya kepimpinan diterajui oleh golongan ini. Namun, dalam hal kepimpinan tertinggi dan yang melibatkan hal ehwal umat Islam maka perlu diberi takhtanya kepada umatnya sendiri.


 


3.  Berperingkat-peringkat (tadarruj)

Perubahan yang   bersifat keseluruhan dari sudut isi perubahan tetapi tidak pada langkah-langkahnya bahkan perlu kepada pemeringkatan yang tersusun supaya tidak berlaku kejutan budaya. Akhirnya masyarakat tidak mampu menerima apa yang ingin dibawa bahkan lebih buruk menolak terus proses perubahan tersebut.


Sedangkan konsep Islam itu cukup murni dengan tidak melaksanakan syariat tanpa memandang keadaan sesebuah masyarakat (uruf). Pensyariatan solat, puasa,  jihad  dan pengharaman arak contohnya tidak berlaku melainkan dengan pemeringkatan demi meraikan naluri manusia ketika itu yang  sukar menerima sesuatu yang baru melainkan bagi yang kuat imannya.


Bukanlah maksud pemeringkatan yang ingin dijalankan dengan meletakkan ‘akan datang’ dilaksanakan dan ‘menangguhkan pelaksanaan’  itu sebagai caranya. Kalimah Tadarruj itu jangan disalahertikan dengan melengah-lengahkan pensyariatan hukum Allah bahkan bermaksud meletakkan matlamat, wasilah dan tadarruj secara terperinci dan teratur.


Khalifah Umar Abdul  Aziz  ketika ditanya anak beliau,  Abdul Malik mengapa beliau tidak melaksanakan hukuman terhadap golongan zalim yang  wujud pada zaman tersebut dengan kekuasaan beliau sebagai khalifah ketika itu beliau menjawab:


“Jangan terlalu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah s. w. t mencela arak itu dua kali di dalam Al- Quran dan mengharamkannya pada kali  ketiga.  Sesungguhnya aku bimbang melaksanakan kebenaran sekaligus terhadap manusia kerana mereka akan mendakwa aku secara sekaligus” 


 


Cabaran dan gambaran kekeliruan


Kadangkala ada antara manusia keliru dengan proses perubahan kerana bilamana seorang insan itu berusaha melakukan perubahan menjadi lebih baik ada sahaja cabaran yang menggangu perubahan itu hingga semakin sukar melalui ujian-ujian yang menyebabkan rebah di separuh jalan. Mengapa?


Pertama hakikat kehidupan itu sendiri adalah ujian. Firman Allah s.w.t:


Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. [Al-Mulk: 2]


Ujian datang dalam banyak bentuk. Sabar atau syukur. Kedua-duanya ujian. Oleh sebab itu, hanya mereka yang berusaha kepada islam yang sebenar bisa berjaya dan kuat meletakkan segala bentuk ujian pada taraf yang menyenangkan di samping beranggapan ia merupakan lumrah kehidupan. Rasulullah s.a.w bersabda:


Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin.  Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya.  Dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.[HR Muslim 5295]

 


Kesimpulan


Isu –isu keruntuhan moral  yang melanda bagaikan tsunami ini di serata pelusuk bumi ini perlu dirawat dengan segera agar ia tidak menjadi barah yang parah yang akhirnya merugikan kita dan lebih besar merugikan Islam.


Justeru, semua pihak bermula daripada individu hingga ke tampuk pemerintahan perlu peka dengan permasalahan ini agar kita berjaya membina semula kekuatan umat islam seperti generasi terdahulu  di atas ‘robohan’ kebatilan dengan kembali untuk mengambil Islam secara keseluruhan dan menjadikan ia tunjang dalam kehidupan.


Ayuh mengorakkan langkahan PERUBAHAN!


 


The post Islam, Harapan Perubahan Menuju Kejayaan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 04, 2014 07:19

March 2, 2014

Poster: Mencegah Kemungkaran

mungkar


“Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya; sekiranya dia tidak mampu maka dengan lisannya; sekiranya dia tidak mampu makan dengan hatinya; dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)


The post Poster: Mencegah Kemungkaran appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2014 20:35

February 27, 2014

Keredhaan dalam bercinta

Yang salah bukan cinta, tetapi cara menzahirkannya.

Yang salah bukan cinta, tetapi cara menzahirkannya.


The post Keredhaan dalam bercinta appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2014 19:28