Hilal Asyraf's Blog, page 70
March 26, 2014
Al-Kahfi: Pembentukan Pemuda Menjauhi Budaya Hedonisme |YOUTHACE 2014|
Dewasa kini budaya hedonisme semakin berleluasa dalam masyarakat kita. Saat manusia lain ditimpa musibah dan kecelakaan, masih saja lagi sebahagian golongan yang bukan saja tidak mengambil erti dan iktibar bahkan berterusan dengan agenda kemaksiatan. Sememangnya sesuatu peristiwa yang berlaku itu kadang-kadang tiada kaitan langsung dengan kehidupan kita.
Tetapi bagi manusia yang mempunyai hati tambah lagi yang beriman akan beranggapan segala yang Allah beri berupa nikmat itu walaupun untuk orang lain adalah untuk kita bersyukur dan apa yang Dia beri berupa ujian dan musibah meskipun bukan pada diri kita adalah untuk kita ambil pengajaran dan renungan kerana mungkin itu suatu peringatan buat diri kita yang masih lagi diberi kesempatan nyawa dan masa.
Malangnya, sesetengah pihak masih tidakmengendahkan peringatan ini. Lebih mengecewakan ia terdiri daripada golongan pemuda yang mana disandarkan kepada mereka harapan untuk negara ini. Harapan untuk agama yang suci.
Justeru, bagaimanakah fenomena ini bisa diperbaiki?
Apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?
Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?
Pemuda-pemuda pemelihara iman
Mungkin sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Namun menjadi satu kerugian jika kita tidak cuba mendekati al-Quran dengan lebih mendalam dengan berusaha membaca kisah-kisah yang terdapat dalamnya terutama kisah pemuda-pemuda al-Kahfi yang teruji iman mereka. Pun begitu mereka tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa.
Allah s.w.t berfirman:
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]
Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentan Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.
Ayat ini juga sebenarnya memberi sindiran kepada manusia yang hanya beriman dengan keajaiban. Apabila sesuatu perkara yang berlaku diluar akal manusia, baru hendak memenuhi iman dalam dada. Walhal jika manusia melihat penciptaan langit dan bumi atau lihat pada diri kita sendiri sudah banyak bukti kekuasaan Allah s.w.t. Tapi tabiat manusia itu sememangnya begitu bahkan lebih dahsyat adalah mereka yang melihat keajaiban namun masih tidak mahu beriman. Seumpama yahudi yang melihat terbelahnya laut merah namun hanya beriman dalam tempoh seketika. Kemudian berbalik semula kepada kepercayaan asal mereka mensyirikkan Allah dengan berhala.
Berbalik kepada kisah pemuda-pemuda ini, mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?
Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?
Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul.
Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati tiga aspek di atas (suasana,tempat,masa).Mereka tidak lari dari realiti kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi sokongan yang baik atas usaha raja tersebut.
Oleh sebab itu, dicelah kerosakan yang mana tidak sesuai di dalamnya penyebaran dakwah ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling sejurus memutuskan rantai keimanan generasi tersebut kepada Allah.
Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna.Namun, berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara itu perlu dilakukan supaya konsep kerahsiaan yang jika diketahui umum lebih membahayakan. Pada nilaian setiap aspek yang betul itu perlu diambil pengajaran agar usaha kita tidak hanya sekerat Cuma akibat halangan dari mana-mana pihak tetapi bisa memberi impak yang terbaik kepada masyarakat.
Pemuda-pemuda pilihan
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]
Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu.Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini (pemuda) bertepatan dengan bantuan yang mereka hulurkan dari sudut harta, tenaga bahkan nyawa.
Tetapi tidak bermakna golongan pemuda ini tiada kesilapan bahkan mungkin lebih banyak disebabkan kurangnya pengalaman dan kurang berhati-hati dalam melaksanakan tugasan. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda kaya dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping dapat memelihara kesinambungan perkara positif yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.
Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama.Mungkin disebabkan itu, mereka (golongan pemerintah ketika itu) sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini (ashabul kahfi) dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.
Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhirnya meletakkan tawakkal sebagai penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya ditambah dengan bekal tawakkal yang memandu segala usaha itu beroleh petunjuk.
Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi
Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]
Memilih untuk beriman
Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan.Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.
Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.
Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan statik tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan dan akhirnya berserah kepada Allah untuk menentukan kesudahan. Justeru itu, perlu kita fokus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan jika berlaku gangguan atau kekurangan.
2. Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah
Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah pertama perubahan namun mesti terikat dalam kerangka yang Allah redha. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan, peperiksaan dan apa yang dekat dan memberi manfaat masa pendek kita sahaja, tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.
Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.
Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat ketika peperangan Badar. Saat baginda s.a.w dan para sahabat buat pertama kalinya akan menentang musuh dalam pertempuran yang besar sudah tentu ada secubit rasa gelisah dalam hati. Namun, dengan doa yang berterusan dan keyakinan yang kuat dengan janji Allah akhirnya mereka berjaya.
Iman dan hidayah mempunyai kaitan yang cukup kuat dan rapat. Orang yang beriman tidak mesti dia mendapat hidayah terus di atas kebenaran. Sebab itu, hari ini kita melihat ramai orang mengaku beriman tetapi belum tentu kehidupan sehariannya berpandukan keimanan yang jelas. Tetapi orang yang diberi hidayah dengan izin Allah, akan sentiasa menjaga keimanannya seperti mana contoh kebanyakan mereka yang baru kembali kepada fitrah islam (muallaf) yang sangat bersungguh dalam memahami agama bahkan yang paling aktif menyebarkannya.
3. Membulatkan tekad setelah jantung hati terikat
Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan dengan azab seksaan.
Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.
Pembulatan tekad setelah iman mengisi jiwa, hidayah memandu langkah manusia merupakan perkara yang sangat penting kerana belum tentu orang yang beriman dan mendapat hidayah itu Allah ikat hati-hati mereka untuk bukan sahaja melakukan kebaikan bahkan menyebarkan kerana ayat al-Quran [18: 19-20] selepas itu menjelaskan bahawa mereka bangkit untuk menegakkan kalimah Allah (kebenaran) tanpa rasa ragu dan gentar.
Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.
Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan
Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:
Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh
Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.
Mulakan langkah perubahan!
……………………………………………………………………………………………….
Justeru, itu saya mengajak para pemuda yang berkelapangan untuk sama-sama mendaftar bagi menghadiri program YOUTHACE 2014 yang membariskan para ilmuan dan juga ikon-ikon pemuda yang boleh menjadi contoh yang baik. Kita berusaha meletakkan diri kita dalam suasana yang baik supaya kita tidak terpengaruh dengan program-program yang merosakkan yang membawa kita jauh dengan Allah swt.
Kenapa perlu hadir?
Kerana anda adalah pemuda generasi harapan bangsa.. Justeru persiapkan diri ke arah yang lebih baik!
Untuk maklumat lanjut sila layari : http://langitilahi.com/consultancy/yo...
The post Al-Kahfi: Pembentukan Pemuda Menjauhi Budaya Hedonisme |YOUTHACE 2014| appeared first on Langit Ilahi.
March 25, 2014
#YouthACE2014
#YouthACE2014 Tinggal 400 seat sahaja lagi.
YouthACE2014 membawakan tema – Pemuda&Perubahan.
Tarikh: 10hb Mei 2014
Masa: 7.00am-10.45pm
Tempat: Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang.
Jika anda belum mendaftar, rebut segera!
Harga Promosi Gelombang Kedua*-
Daftar seorang: RM60
Daftar bertiga atau lebih: RM55(seorang)
*valid hingga 16hb April sahaja.
Detail berkait YouthACE2014 & Pendaftaran di:
http://youthace.langitilahi.com/
YouthACE2014 mengetengahkan tajuk-tajuk menarik seperti Pemuda&Perubahan, Semangat Al-Fateh, Pemuda & Aktivisme, Aku Pernah Muda dan Pemuda Intelek: Taruhan Masa Hadapan.
Antara yang akan memberikan penyampaian ialah – Dr Maszlee Malik, Ustaz Syaari Rahman, Dr Agus Yusoff, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Rusni Tajari, Aiman Azlan dan ramai lagi.
Mirwana & MrBie akan turut hadir membuat persembahan.
Ayuh bersama kami membina generasi!
“Pemuda&Perubahan”
http://youthace.langitilahi.com/
The post #YouthACE2014 appeared first on Langit Ilahi.
March 22, 2014
Komik: Bukti
Cakap memang senang,
Buat tu yg susah.
Merancang perlu rapi,
agar nanti tak rasa diuji..
Walau susah, walau payah,
harus usaha untuk syurga.
Kan?
Allah, kuatkan kami dengan Islam.
Allah, kuatkan Islam dengan kami.
Mari menjadi hamba!
The post Komik: Bukti appeared first on Langit Ilahi.
Komik: Yang Tinggal Hanya Sisa-sisa..
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang hendak mengetahui kedudukkannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hamba di sisiNya sebagaimana hamba meletakkanNya dalam dirinya.”
The post Komik: Yang Tinggal Hanya Sisa-sisa.. appeared first on Langit Ilahi.
Poster: Muslim way of thinking

Even though you are not gonna live long enough to see your effort, it will benefit other people someday..
Muslim will always think how the future can be benefited..this is the mind of the Muslims…
The post Poster: Muslim way of thinking appeared first on Langit Ilahi.
March 21, 2014
YouthACE – Saya Mengajak Anda Untuk Bermimpi
Dahulu, saya hanya seorang budak.
Saya pernah berumur belasan tahun. Pernah menjadi remaja. Pernah bujang.
Pernah belajar di sekolah menengah, pernah melalui alam Universiti.
Pernah studi di dalam negara, juga pernah diberikan kesempatan mengaji di luar negara.
Kini saya sudah berumur 25 tahun, sudah tamat universiti dengan ijazah Usuluddin dari Yarmouk University, Jordan.
Sudah mempunyai isteri dan seorang anak.
Sudah bekerja, dan bekerja sendiri di syarikat LangitIman Resources yang dibina sendiri.
Saya telah menghasilkan 24 buah buku dalam bentuk Buku Motivasi-Novel Islamik-Kumpulan Cerpen Tarbawi, dan sedang menghasilkan beberapa buah lagi untuk tahun ini.
Merupakan motivator di LangitIlahi Consultancy dan penulis tetap di website pembangunan rohani, LangitIlahi.Com yang kedua-duanya dibina sendiri. Saya juga merupakan penulis tetap di Majalah JOM!, Majalah HALUAN, pernah menjadi kolumnis Majalah ANIS dan Majalah Remaja, serta bakal menulis di beberapa Majalah yang lain.
Dahulu, semasa saya masih seorang budak, saya hanya mampu ‘bermimpi’. ‘Bermimpi’ mahu mejadi ‘seseorang’.
Sekarang, dengan Youth Awards, Convention and Exhibition(YouthACE) 2014, saya hendak mengajak para remaja, pemuda dan belia, untuk punya mimpi masing-masing juga.
YouthACE 2014 akan diadakan di Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang dengan yuran sebanyak RM50 akan berlangsung pada 10hb Mei 2014, dengan barisan panel yang berkaliber insyaAllah.
Budak Yang BerImpian
Semenjak kecil, Abah telah membiasakan saya dengan sirah-sirah Nabawiyah. Kisah para sahabat Nabi adalah apa yang menjadi kebiasaan saya ketika kecil. Kisah-kisah seperti ketokohan Usamah bin Zaid RA yang menjadi jeneral untuk menentang Rom pada usia 18 tahun, kehebatan Mu’adz dan Mu’awwidz yang menumbangkan Abu Jahal di medan Badar sedangkan usia mereka ketika itu hanya sekitar 15 tahun, Abdullah ibn Umar RA yang telah duduk satu majlis ilmu Rasulullah SAW dengan para sahabat yang jauh lebih tua, Muhammad Al-Fateh yang telah membuka Konstantinopel kala berumur 21 tahun, kisah Ummul Mukminin Aisyah RH yang telah menjadi amat faqih dan rujukan orang ramai pada usia yang masih muda.
Itu semua menginspirasikan saya untuk menjadi seorang yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Maka semenjak saya remaja, semenjak belasan tahun, saya sudah punya perasaan hendak menjadi ‘seseorang yang bermanfaat’ satu hari nanti. Bahkan, apabila saya hampir menginjak umur 18 tahun, umur 21 tahun, saya sering bertanya: “Aku dah buat apa? Lepas ini nak buat apa?”

Ketika Tingkatan 4
Maka, semenjak saya berumur belasan tahun, saya mula serius mengikuti pelbagai program pembinaan diri, bahkan menjadi antara fasilitatornya dan penggeraknya. Saya juga mula merapati golongan yang lebih berusia, dan banyak menimba pengalaman daripada mereka, berbincang dengan mereka, terutama dari kalangan guru-guru saya. Ini menjadi kebiasaan saya semenjak berusia 16 tahun hinggalah ke hari ini.

Saya ketika menjadi fasilitator dalam salah sebuah program sekolah. Dan di sisi saya ialah Cikgu Azmi Bahari, antara guru yang saya suka meneguk ilmu dan nasihat daripadanya.
“Arkitek Manusia.”
Ketika saya berusia 18 tahun, usai SPM, saya telah memilih untuk menimba pengalaman menjadi guru di sebuah sekolah agama swasta – Sekolah Rendah Agama Ghufran – di Simpang Renggam, Johor. Kini sekolah itu telah bertukar namanya menjadi Sekolah Rendah Islam As-Siddiq. Saya menjadi guru sambilan, di samping ditugaskan menjadi pembantu warden. Semuanya untuk lebih mendidik diri, dan menimba lebih ilmu untuk menjadi seorang yang lebih baik di masa hadapan.

Masa menjadi Cikgu sambilan di Sekolah Rendah Agama Ghufran(Sekarang – Sekolah Rendah Islam As-Siddiq) di Simpang Renggam
Senggang hujung minggu, kala cuti pelajar pulang ke rumah, saya akan pulang juga ke rumah. Salah satu daripada senggang itu, saya ada duduk-duduk dengan Abah saya, dan ketika itu saya disuntik satu inspirasi.
“Hilal nak jadi apa lepas ini?”
“Entahlah. Belum pasti lagi.”
“Jadilah arkitek manusia?”
“Huh?” Saya tidak faham. Arkitek manusia itu apa? Design tubuh manusia? Bukan Tuhan punya kerja ke tu?
“Jadilah macam Ustaz Dahlan, dia itu arkitek manusia.” Ujar Abah. Barulah saya memahami.

Abah sangat supportive. Ini adalah contohnya. Abah menemani saya di program yang saya menjadi fasilitatornya. Gambar kala saya berumur 19 tahun ini.
Ustaz Dahlan Mohd Zain, kini merupakan almarhum, meninggal pada 18hb September 2010(tarikh pertunangan saya), adalah merupakan mudir di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis, tempat saya belajar sekolah menengah. MATRI jugalah yang selepas itu saya pilih menjadi tempat ‘pertapaan’ saya sebelum pergi menyambung pengajian ke Jordan. Al-Fadhil Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain adalah seorang da’ie(pendakwah) ulung, mempunyai visi yang jauh dan misi yang besar. Beliau sudah melahirkan ramai pemuda-pemudi bersyakhsiah cantik, berjiwa kental, dan kini bertebaran di seluruh Malaysia menyebarkan kebaikan dan membentuk pula manusia-manusia lain. Pendek kata, Ustaz Dahlan Mohd Zain merupakan murabbi(pendidik) yang menggerakkan proses dakwah(seruan) dan tarbiyah(didikan) Islamiyyah yang telah melahirkan ramai orang lain sepertinya. Arkitek manusia!
Saya teruja. Dek kerana itu, saya memohon masuk kembali ke MATRI, menjadi pelajar tingkatan enam atas selama setahun setengah, untuk menimba pengalaman bersama Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain. Ustaz Dahlan Mohd Zain lah antara penyebabnya saya menyambung pengajian ke Jordan. Beliau yang mencadangkan saya, dan beberapa orang rakan, untuk menyambung pengajian ke Yarmouk University, di daerah Irbid, negara Jordan.

Saya dan Ustaz Dahlan. Gambar diambil kala saya Tingkatan 5.
Saya, selepas di’latih’ dan semakin disuntik pelbagai inspirasi sepanjang setahun setengah bersama Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain, sudah mula mengenal pasti potensi diri ketika itu – penulisan. Maka, sebelum saya ke Jordan lagi, sudah saya setkan bahawa saya akan me’maksima’kan potensi saya tersebut untuk Islam. Saya juga mahu menjadi ‘arkitek manusia’.
Lantas, jadual saya di Jordan bukan sekadar belajar, tetapi juga ‘bekerja’ sebagai penulis, mengasah bakat dan potensi, menyusun perancangan dan melaksanakannya.

Saya berpidato di salah sebuah program semasa di Jordan. Ketika ini saya masih Tahun 1 di Yarmouk University.
Saya masih ingat, awal-awal saya hendak mengorak langkah kala saya menjejakkan kaki di tingkatan enam atas, kala saya mulakan sebuah blog bernama ‘langitillahi.blogspot.com’, saya sematkan pada diri saya satu kata-kata:
“Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, ia akan menjadi pasti”
Saya sering kuatkan semangat saya. Memberanikan diri untuk mencuba, cekalkan diri untuk menghadapi gagal, tabahkan diri untuk bangkit semula, dan kentalkan diri untuk meneruskan perjalanan walau apa jua cabarannya!
Kini
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya berjaya berusaha dan mencapai beberapa target saya.
Pada tahun pertama saya berada di Jordan, Allah izin saya telah dilamar menjadi seorang penulis oleh syarikat buku pada penghujung tahun 2008. Maka pada April 2009, karya sulung saya berjaya diterbitkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur’09.
Pada tahun kedua saya berada di Jordan, blog saya – langitillahi.blogspot.com – telah berjaya dinaik taraf menjadi website – langitilahi.com dengan temanya kekal “Mari Menjadi Hamba”
Pada tahun ketiga saya berada di Jordan, saya tidak lagi menggerakkan LangitIlahi.Com secara berseorangan, tetapi saya sudah mempunyai ‘team’. Saya juga telah membina syarikat saya sendiri, bernama LangitIman Resources. Daripada itu semua, perjalanan telah berkembang dan kini di bawah LangitIman Resources sudah ada LangitIlahi Consultancy dan kedai online – LangitIlahi Store.
Saya berjaya menamatkan pengajian saya di Yarmouk University pada 27hb Mei 2012, dengan membawa pulang ijazah BA(hons) Usuluddin.
Saya berjaya mengahwini perempuan yang saya cintai, Tengku Masyitah binti Tengku Paris, pada 07hb Julai 2012. Kemudian pada 2hb April 2013, kami dikurniakan puteri sulung kami. Alhamdulillah. InsyaAllah pada hujung Jun atau awal Julai ini, kami bakal dikurniakan seoranng lagi anak. Doa-doakan kami.
Semenjak saya pulang ke Malaysia usai menjadi graduan Yarmouk University, saya telah menerima banyak jemputan. Alhamdulillah.
Antara sebahagian program yang saya dijemput mengendalikannya.
Page FB saya juga telah mencecah 136,000 followers, dan begitu juga Page FB Langit Ilahi yang jauh lebih baik – melebihi 200,000 followers
Pejam celik-pejam celik, juga, karya saya bilangannya sudah mencecah 23 buah karya sepanjang 2009-2013.
Dengan izin Allah SWT, pada tahun 2014, saya telah mendapat anugerah Top 5 Winners Best Malay Non-Fiction pada Anugerah MPH Best of 2013, melalui Buku Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada.
Saya juga tersenarai sebagai 10 penulis terbaik PTS.
Saya juga alhamdulillah, pernah tersenerai sebagai finalist dalam Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian anjuran POPULAR 2013 sebaris dengan nama-nama besar di negara kita.
Segala puji itu hanya pada Allah SWT. Allah SWT mengizinkan saya melangkah sejauh ini, memberikan peluang dan ruang. Semoga saya mampu menjadi hambaNya yang bersyukur. Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 – “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah terlebih dahulu apa yang ada pada diri mereka.”
Selain itu semua, saya terus menerus bergiat cergas bersama LangitIlahi dalam melahirkan ikon-ikon yang mampu memberikan qudwah kepada masyarakat, selain diri saya semata-mata. Ameen Misran – poet english dan eBook beliau, Reflection of Life, sedang diusahakan oleh PTS. Qawiem Khairi – vlogger yang kini semakin mendapat sambutan ramai. Afdholul Rahman of LangitIlahi sudah menerbitkan bukunya sendiri. Manakala para kartunis LangitIlahi – NorIhsan, MutiaraMohamad dan SisFaeez juga bakal mempunyai komik mereka diterbitkan oleh PTS. Pada masa yang sama, LangitIlahi terus konsisten mengambil kolumnis-kolumnis baru untuk dibentuk. Dan hajatnya LangitIlahi akan menjadi tempat untuk membina lebih ramai ikon yang boleh menjadi qudwah hassanah(contoh yang baik) buat masyarakat!
Kala di Pesta buku Antarabangsa Kuala Lumpur’13 tahun lepas, ramai yang telah datang bertemu dan mendapatkan karya-karya saya. Alhamdulillah.
Dan pada tahun 2013 juga, LangitIlahi Consultancy julung-julung kalinya menganjurkan sebuah Konvensyen!
Itulah dia TeenACE, yang merupakan idea asal kepada YouthACE tahun ini.
Selepas TeenACE 2013 berjaya, dengan dihadiri 1000 orang peserta, LangitIlahi telah mengorak langkah dengan menggerakkan beberapa seminar lagi secara kecil-kecilan. Seminar Bagaimana Menyentuh Hati, Seminar Untuk Kita Pendosa dan Seminar Pengurusan Cinta. Namun sambutan sentiasa hangat. Setiap seminar penuh!
Dan kali ini LangitIlahi hendak menganjurkan YouthACE 2014 pula. Target peserta kali ini ialah seramai 1500 orang. Dan sehingga artikel ini ditulis, peserta yang berdaftar telah seramai 1100 orang. Bermakna tinggal 400 seat sahaja lagi. YouthACE adalah penjenamaan semula buat TeenACE 2013. Kami berpandangan, ‘Youth’ nampak lebih bertepatan dengan kumpulan sasaran yang hendak kami usahakan – belia. YouthACE akan menjadi program tahunan LangitIlahi, bermula tahun ini.
YouthACE2014 bakal membariskan barisan panel yang hebat dan pastinya mampu untuk menjadi qudwah kepada para peserta, terutama buat generasi muda.
Antaranya ialah Ustaz Syaari Rahman, merupakan pemilik dan trainer Ibrah Paradigm. Beliau sering ke udara di IKIM.fm dalam slot Ibrah, dan beliau sering mendapat jemputan mengendalikan kursus dan bengkel. Modul beliau adalah seputar tokoh Muhammad Al-Fateh, dan beliau juga adalah penulis bestseller dengan bukunya Kuasa Kepimpinan Al-Fateh.
Yang akan ada bersama menghangatkan lagi YouthACE2014 ialah Prof Agus Yusoff, yang terkenal sebagai seorang penganalisis politik. Pandangan dan lontaran idea beliau sangat memberikan impak kepada cara masyarakat memandang sesuatu isu. Facebook beliau sering diikuti ramai yang mennati buah fikir dan idea beliau, juga beliau sering dijemput mengendalikan forum-forum bertemakan intelektual dan politik. Beliau juga pada masa yang sama merupakan pensyarah di UKM.
Di YouthACE2014 juga, akan hadir mengisi ruang ialah Dr Maszlee Malik. Seorang pensyarah Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Berkelulusan PhD dalam Sains Politik, dan ijazah beliau adalah Fiqh dari University Al-Ahl Bayt, Jordan. Beliau terkenal sebagai seorang yang kritikal dan juga seorang penganalisis politik, di samping banyak terlibat dengan konvensyen fiqh anjuran K-Fiqh. Berjiwa muda, bersemangat mega.
YouthACE2014 turut membawakan tokoh agamawan yang tidak asing lagi di Malaysia ini, iaitu Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, yang juga merupakan pensyarah di UIA, Gombak. Beliau juga merupakan Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID). Seorang yang cemerlang peribadi dan minda, serta antara tokoh yang terbaik untuk dijadikan contoh buat anak-anak muda.
YouthACE2014 juga tidak lupa membawakan tokoh-tokoh anak muda, antaranya Aiman Azlan, Ameen Misran, Rusni Tajari, dan Ustaz Azlan Shah Nabees Khan. Anwar Hadi, Aisyah Syakirah, Qawiem Khairi dan Ulwan Mokhtar juga akan membuat kemunculan istimewa. Bagaimana istimewa itu? Nantikan.
YouthACE 2014 akan membawakan juga kepada para pesertanya Kumpulan Mirwana dan Mr Bie, sebagai hiburan halwa telinga dan hati.
poster promosi YouthACE2014
Ya. Memang sengaja saya dan Tim LangitIlahi mengumpulkan manusia-manusia hebat ini di YouthACE2014.
Untuk apa?
Untuk mengajak para remaja, belia, pemudi dan pemuda, keluar dari kehidupan yang tidak bermanfaat dan mula memasang cita-cita. Cita-cita untuk menjadi seorang manusia yang berjaya, bukan semata-mata berjaya untuk diri sendiri, tetapi juga berjaya dalam menjadikan diri sendiri itu bermanfaat buat ummat.
YouthACE2014, inilah masanya.
Marilah bersama kami!
Penutup: Mahukah anda mula ‘bermimpi’?
Justeru ya teman-teman, rakan-rakan, yang sudi membaca celoteh ini,
mahukah anda juga mula ‘bermimpi’?
Saya bukan mengajak anda untuk bermimpi di dalam lena. Tetapi mimpi yang sebenar-benar mimpi.
Mimpi yang mengejutkan kita dari lena,
yang menuntut kita untuk bergerak bukan berbaring semata,
yang menjadikan kita celik bukan sekadar terpejam sahaja,
yang mengajak kita menjadi luar biasa, bukan sekadar biasa.
Jika anda adalah pemuda-pemudi, remaja yang suka hendak bermimpi bersama saya dan Tim LangitIlahi, block siap-siap date 10hb Mei 2014, untuk menyertai YouthACE2014 dan bertemu dengan kami.
Mari,
persiapkan diri untuk menjadi Usamah bin Zaid, Mu’adz dan Mu’awwidz, Muhammad Al-Fateh, Aisyah Ummul Mukminin zaman ini.
“Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, ia akan menjadi pasti.”
Jom sertai YouthACE2014!
The post YouthACE – Saya Mengajak Anda Untuk Bermimpi appeared first on Langit Ilahi.
Pemuda Ayam Daging
Saya buka catatan kali ini dengan memetik potongan ayat daripada surah Al-Baqarah. Berikut adalah terjemahan ayat yang ke 120.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
Saya yakin ramai khayalak pernah membaca dan mendengar ayat ini. Perhatikan ayat ini dengan teliti. Kata Allah, orang-orang Yahudi dan Nasrani sentiasa tidak senang dengan orang islam. Sampai bila-bila. Sehinggalah kita ikut mereka. Ikut akidah mereka, akhlak mereka dan cara hidup mereka.
Maknanya tujuan hidup orang kafir sudah diceritakan secara jelas oleh Allah dalam ayat-ayatnya. Mereka ingin merosakkan orang-orang islam. Maka kita orang-orang islam mesti tahu tentang hal ini. Mesti cakna. Barulah kita tidak terheret dan menjadi mangsa kepada matlamat jahat mereka.
Kalau kita ikut akhlak mereka, cara hidup mereka dan akidah mereka, musnahlah hidup kita. Mengapa? Kita orang islam hidup bermatlamatkan syurga Allah. Kita bersusah payah di dunia supaya dapat masuk syurga kelak.
Matlamat orang kafir mahu memesongkan kita dari tujuan itu. Tidak mahu kita masuk syurga. Mereka mahu orang-orang islam menyertai mereka ke neraka.
Hakikatnya sebahagian besar mereka sangat tahu agama yang mereka anuti itu adalah agama yang salah. Dan mereka memang sangat maklum bahawa islam adalah agama yang benar. Lalu mengapa mereka memusuhi islam dan masih tetap berada dalam agama terpesong mereka?
Mereka sebenarnya hasad. Mereka dengki dengan kebenaran yang dibawa islam. Ditambah bongkak dan rasa tidak mahu tunduk kepada peraturan Allah. Tidak mahu meninggalakan kehidupan senang lenang dengan dunia. Perasaan-perasaan ini telah membuatkan mereka bersungguh-sungguh mengatur perancangan yang sangat hebat untuk menjatuhkan orang-orang islam.
Sasaran utamanya adalah golongan muda. Mengapa pula ? Kerana generasi muda adalah tonggak kekuatan sesebuah ummat. Jika lemah pemudanya, lemahlah ummat tersebut. Jika pemuda-pemuda islam lembik, maka lemahlah islam.
Musuh-musuh islam tidak akan pernah berhenti. Macam-macam cara dicuba. Banyak yang berjaya!
Kita lihat bagaimana pemuda-pemudi hari ini diasuh dengan filem-filem, novel dan suasana yang mengajak kepada percintaan. Pemuda-pemudi diajar untuk bermatlamat dengan perkara-perkara remeh. Nak menangi hati perempuan. Nak dapat suami yang romatik. Nak jadi isteri yang sweet. Kemudian apa?
Dicuba pula dengan games. Pun berjaya! Berapa ramai anak-anak muda yang menghabiskan sebahagian besar masanya untuk bermain games? Dalam tidak sedar mereka merugikan begitu banyak masa muda yang terlalu berharga. Membaca tentulah kurang. Menghadiri majlis ilmu? Mempersiapkan diri dengan ilmu? Mengajak manusia kembali kepada islam yang sebenar? Bila semua itu?
Ia tidak akan berlaku jika matlamat pemuda-pemuda ini hanya untuk menang level games. Tidak. Ia tidak salah bermain tetapi hanya pada sisa-sisa waktu yang terluang. Saya juga bermain games. Tetapi bukan setiap masa. Orang muda itu banyak kerjanya. Kalau hanya bermain, bila kerjanya?
Apabila melihat keadaan anak-anak muda hari ini, kita dapati musuh-musuh islam hakikatnya telah berjaya. Pemuda pemudi telah dibentuk menjadi ayam daging.
Bagaimana?
Hidup ayam daging
Cuba perhatikan kehidupan ayam daging. Ayam yang diternak untuk diijual dagingnya. Ayam ini hidup di dalam sangkar kecil yang cuma muat-muat. Diletakkan padanya air dan makanan . Setiap hari itulah kerjanya. Makan minum tidur makan minum tidur. Kalau terjaga pukul 3 pagi pun makan minum. Sama setiap hari. Cukup sebulan kena sembelih.
Itulah perjuangan ayam daging. Menggemukkan diri, hidup santai kemudian siap untuk disembelih. Dia tidak ada cita cita untuk bangkit melepas diri. Jantungnya lemah. Kalau terdengar guruh berdentum dilangit terus mati. Hendak disembelih tidak lari. Terus menyerah diri.
Begitulah ayam daging. Kalau pemuda pemudi itu hidup sakadar untuk makan minum, santai, tidur, seronok, tiada bezalah dengan ayam daging. Sampai masanya siap disembelih oleh musuh-musuh islam.
Jiwanya lemah. Kalau susah cepat mengalah.Tidak mahu bangkit dan buat perubahan. Tidak mahu mencari tetapi sentiasa tunggu diberi.
Hidup bermatlamat yang rendah-rendah sahaja. Ingin popular, banyak wang, ada ramai peminat. Tidak ada langsung cita-cita nak bantu islam. Nak lawan musuh-musuh islam.
Ayam daging lebih baik
Pemuda yang mahu disayangi Allah tidak boleh mencontohi ayam daging. Kena berubah. Kena berbeza. Kena bekerja.
Matlamat hidup harus jelas. Akademik kena tip top. Ibadah pula mantop. Baru boleh jadi pemuda pemudi yang hebat.
Kalau tidak kita cuma jadi pemuda ayam daging. Malah lebih teruk! Ayam daging kalau disembelih boleh dijual. Boleh bagi pulangan yang sangat menguntungkan pada penternak.
Tetapi manusia kalau matlamat hidup cuma mahu santai, senang lenang, dan tidak mahu bersusah, tentulah langsung tidak bermanfaat. Hendak disembelih tidak boleh. Hendak dijual tidak ada yang mahu.
Malu pada ayam daging.
The post Pemuda Ayam Daging appeared first on Langit Ilahi.
March 20, 2014
YouthACE – Promosi Harga Terendah Tamat. Promosi Gelombang Kedua Bermula!
Assalamu’alaikum.
Alhamdulillah, waktu sudah melepasi 10.00pm 20hb Mac 2014. Maka promosi harga terendah – RM55(daftar seorang) & RM50 seorang(daftar bertiga atau lebih) – telah tamat.
Peserta pun telah mencecah 1100 orang peserta. Bermakna tinggal 400 seat sahaja lagi. Ya, 400 seat sahaja lagi.
Namun jangan bersedih, jangan kecewa. Kami belum lagi mahu menaikkan yuran ke harga asal. Bahkan kami akan lancarkan Promosi Gelombang Kedua pula sekarang!
Harga asal
seorang – RM80
bertiga atau lebih – RM75(seorang)
Promosi Gelombang Kedua – valid hingga 16hb April 2014.
seorang – RM60
bertiga atau lebih – RM55(seorang)
Ayuh bersama kami di YouthACE2014,
akan berlangsung 10hb Mei 2014 ini,
di Grand Ballroom, Flamingo Hotel, Ampang.
Daftar segera di: http://youthace.langitilahi.com/
Tema tahun ini – “Pemuda & Perubahan”
Tokoh-tokoh hebat yang akan bersama anda antaranya ialah Ustaz Syaari Rahman, Dr Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Prof Agus Yusoff, Rusni Tajari dan Aiman Azlan serta ramai lagi!
Antara tajuk yang akan dibentangkan ialah – Pemuda & Perubahan, Pemuda Intelek: Taruhan Masa Hadapan, Pemuda & Aktivisme, Semangat Al-Fateh: Membuka Kemenangan Hari Ini dan Aku Pernah Muda.
Anwar Hadi, Aisyah Syakirah, Qawiem Khairi dan Ulwan Mokhtar juga akan membuat kemunculan istimewa. Bagaimana istimewa itu? Nantikan!
Mirwana dan Mr Bie pula akan membuat persembahan khas semasa program!
Marilah bersama kami. Bersama-sama kita membina generasi hari ini, mencungkil potensi, menyuntik makanan minda & ruh, sekaligus mempersiapkan belia sebagai aset masa hadapan yang cerah buat ummah.
Daftar segera di: http://youthace.langitilahi.com/
The post YouthACE – Promosi Harga Terendah Tamat. Promosi Gelombang Kedua Bermula! appeared first on Langit Ilahi.
March 17, 2014
Poster: Islam itu mudah
Islam itu tidak akan menyusahkan penganutnya. Untuk meminta kepada Allah, tiada perantara..
Doa dan minta saja kepada-Nya. Tidak perlu teropong buluh, bubu atau kelapa.
The post Poster: Islam itu mudah appeared first on Langit Ilahi.
March 16, 2014
Corat-coret Hati: Pemuda, Bagaimanakah Kematianmu?
Muda dengan kematian memang kedengaran agak janggal. Lumrah kebiasaannya adalah orang-orang berusia yang dekat dengan kematian. Sebab itu ada peribahasa untuk orang-orang berusia yang berbunyi: “Rumah kata pergi, kubur kata mari,” menunjukkan betapa pendeknya masa yang tinggal buat mereka.
Namun hakikat yang sebenar-benarnya ialah, kematian boleh menimpa sesiapa sahaja. Bayi di dalam kandungan pun boleh menerima ajalnya dengan keguguran. Apatah lagi anak-anak muda, para belia. Pastinya mati boleh tiba kepada yang muda juga, dengan sebab yang pelbagai seperti kemalangan, bunuh diri, bencana, dan juga tanpa bersebab, yakni Allah memang hendak dia mati pada ketika itu.
Milik Allah SWT jugalah kematian, dan apabila kematian datang, tiada siapa akan dapat menghindarinya. Walaupun dia seorang pemuda yang gagah lagi perkasa.
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” Surah Al-A’raf ayat 34.
Mati Membuatkan Kita Siaga
Kematian yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja sepatutnya membuatkan kita siaga. Siap untuk tidak mempersia-siakan hidup. Mengapa?
Kerana selepas kematian akan berlakulah pertemuan kita dengan Allah SWT di akhirat kelak. Hari di mana setiap amalan kita semasa hidup akan dihitung dan dinilai. Penilaian Allah SWT pula sangat detail dan tidak akan ada apa yang terlepas daripada penilaianNya.
Firman Allah SWT:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Sungguh ketat perhitungan itu, hingga ada yang akan merayu minta dihidupkan semula agar mereka benar-benar dapat menghargai sebuah kehidupan.
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.
Maka siapakah yang waras akalnya untuk tidak benar-benar mengambil peluang semasa dia masih hidup untuk mengisi hidupnya dengan pengisian yang bermakna, buat bekalan dia berdiri di hadapan Allah SWT kelak?
Takkan Hidup Ini Ibadah Aja?
Mungkin timbul di benak anak-anak muda, bahawa mengisi kehidupan untuk pertemuan di hadapan Allah SWT adalah sebuah kehidupan yang bosan, kerana kita akan asyik beribadah sahaja.
“Takkan 24 jam atas sejadah?”
Ini sebuah anggapan yang silap. Termasuk juga dikira sebagai ibadah di dalam Islam ialah belajar supaya kita mendapat ilmu dan kemudian dapat menyumbang semula kepada masyarakat. Termasuk juga dikira ibadah di dalam Islam ialah bersukan agar tubuh badan sihat dan cergas. Termasuk di dalam ibadah ialah makan dan minum untuk kelangsungan hidup, juga tidur untuk merehatkan tubuh badan. Melaksanakan program-program yang bermanfaat, menggunakan potensi kita untuk menyumbang kepada agama Allah SWT, menguruskan ekonomi untuk kekuatan ummah, berpolitik untuk kemaslahatan masyarakat sejagat, semuanya dikira sebagai ibadah di dalam Islam.
Sebab itu, Allah SWT tidak berfirman kepada kita ayat 56 Surah Adz-Dzariyyat sahaja – “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri.” – tetapi disampaikan kepada kita juga akan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini di dalam ayat 30 Surah Al-Baqarah – “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan untuk bumi ini khalifah(pemimpin, pentadbir).”
Ianya sebagai petunjuk jelas bahawa Islam tidak terpenjara berkait hal-hal ritual keagamaan semata-mata. Ini disokong pula dengan rekod-rekod berkait kehidupan Rasulullah SAW. Lihatlah berapa banyak hadith yang menyatakan Rasulullah SAW juga bergurau senda, Rasulullah SAW juga menziarahi rakan-rakan, Rasulullah SAW juga berperang, menguruskan negara, bersahabat, berkeluarga. melaksanakan kebajikan-kebajikan, berhibur dengan hiburan yang syar’ie dan sebagainya.
Semua itu, hatta senyum pun, merupakan ibadah di dalam Islam, jika niat dan caranya baik.
Dan pastinya hendak bertemu dengan Allah SWT, kita juga perlu memenuhi tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Ya, menjadi khalifah(pemimpin) juga salah satunya yang wajib kita penuhi. Paling kurang, memimpin diri sendiri ke arah kebaikan, berakhlak soleh, berimej yang cantik agar orang yang melihat kita, melihat juga keindahan Islam dan tertarik dengannya, atau paling kurang, menghormatinya.
Bagaimana kita boleh merasakan bahawa pengisian hidup untuk bertemu dengan Allah adalah sesuatu yang membosankan? Bahkan ia adalah sesuatu yang membuatkan kita gembira, bahagia, dengan kehidupan yang punya matlamat, wawasan dan cita-cita.
Dua Ammar, Kematian Yang Menghidupkan
Di dalam hidup saya, ada dua orag anak muda yang meninggal dunia di awal usia kepemudaannya. Dan Allah izin, kedua-duanya bernama Ammar.
Yang pertama adalah senior saya, bernama Ammar Zulkifli. Rakan sekolah menengah saya. Dia meninggal dunia di tempat pengajiannya, yakni Mesir. Mati akibat kemalangan, dan dia yang duduk di tempat duduk belakang tercampak ke hadapan keluar dari kereta.
Ammar Zulkifli seorang yang hidupnya penuh dengan aktiviti kebaikan. Dia aktif berusrah dan selalu pergi ke program-program berkait dakwah dan ilmu. Seorang pelajar cemerlang, mengambil pengkhususan dalam bidang perubatan di Mesir. Rajin membaca dan akhlaknya juga baik, disenangi ramai. Pendek kata, untuk saya yang membesar dari tingkatan satu hingga pada hari kematiannya, Ammar mengisi masa mudanya dengan kepadatan perkara kebaikan.
Kematiannya, tiba-tiba mendapat liputan walaupun asalnya dia bukan sesiapa kepada masyarakat umum.
Apa yang lebih mengejutkan, kematian Ammar Zulkifli menghidupkan banyak hati yang selama ini alpa dan lalai. Saya kenal seorang ini, saya rahsiakan namanya, yang berubah menjadi seorang yang sangat baik, serta istiqomah pula dengan perubahannya. Hingga kini saya masih bersahabat dengannya. Dia pernah menyatakan bahawa, pertama kali dia rasa mendapat seruan perubahan adalah apabila membaca berkenaan kematian Ammar Zulkifli. Membaca kehidupan Ammar, dan melihat ketabahan keluarga Ammar yang redha dengan pemergian Ammar, membuatkan dia terdetik mencari keteguhan dan ketenangan itu, lantas melakukan perubahan.
Dan saya yakin ini bukan satu-satunya cerita yang sedemikian.
Ammar Zulkifli. Mati. Tetapi menghidupkan orang lain. Sehingga begitu sekali.
Tidak lama kemudian, selepas saya menjadi graduan Yarmouk University, Jordan dan pulang ke Malaysia, berlaku satu lagi kisah yang lebih kurang serupa. Cuma mungkin dengan ketinggian teknologi hari ini, maka ianya lebih sensasi dan mencapai lebih ramai orang.
Itulah dia kematian Ahmad Ammar Azam. Seorang pelajar Malaysia di Turki yang mendalami sejarah. Meninggal akibat kemalangan juga. Asalnya bukan sesiapa. Namun apabila dia meninggal dunia, dia diberikan penghormatan untuk disemadikan berdekatan dengan kubur sahabat Rasulullah SAW di Turki. Keluarga rakan-rakan dan mereka yang mengenalinya benar-benar menangisi pemergiannya, dan mulalah terbongkar akan bagaimana dia mengisi kehidupannya. Seorang yang benar-benar mengisi hidupnya dengan padat dengan pelbagai kebaikan dan perkara yang bermanfaat. Akhirnya betapa banyak hati yang tersentuh dengan kehidupan seorang Ammar, yang ketika itu telah pun tiada. Bahkan selepas kematiannya, dibukukan pula kisah-kisah menarik berkenaan peribadi Ammar yang cantik, buat tatapan lebih ramai orang lagi.
Allahuakbar. Betapa indahnya kematian yang sedemikian.
Mati yang menghidupkan!
Bagaimanakah Kematian Kita Wahai Generasi Belia?
Allah SWT berkuasa menarik nyawa kita bila-bila masa, dengan apa jua cara. Ada orang mati sementara menunggu lampu isyarat bertukar menjadi hijau, ada orang yang mati di dalam tidur. Ya, tiada siapa dapat tahu bila kematian bakal menjemput.
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah. Dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu yang celaka) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” Surah An-Nisa’ ayat 78.
Maka bagaimanakah kematian kita nanti wahai rakan-rakan?
Kita bukanlah hendak mengejar kematian yang disebut-sebut orang. Bukan. Itu biarlah Allah yang menguruskannya. Andai dapat kita anugerah seperti dua Ammar, dapatlah. Namun bukan tujuan kita hendak nama kita disebut-sebut.
Tetapi yang kita mahu dari kematian yang baik ialah kehidupan yang bermakna. Kehidupan yang memberikan manfaat kepada orang ramai. Kehidupan yang memberikan harapan kepada orang lain. Kehidupan yang mengajak orang ramai balik kepada Allah SWT.
Ya, aneh sungguh kita ini. Kita membincangkan berkenaan kematian, yang kesannya adalah penambah baikan kepada kehidupan kita. Begitulah cantiknya Islam, dan mengapa kematian bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi ianya adalah ibarat gerbang ke arah kehidupan yang satu lagi.
Benar rakan-rakan. Ramai antara kita yang masih muda berkata: “Hidup hanya sekali, biarlah kita enjoy sementara masih muda.”
Silap rakan-rakan. Hidup itu dua kali. Pertamanya sekarang, keduanya apabila kita dibangkitkan di hadapan Allah kelak yang seterusnya menentukan apakah kita akan hidup di syurga atau di neraka. Mati hanyalah gerbangnya sahaja. Peluang beramal dan melakukan kebaikan pula hanya wujud pada kehidupan yang pertama.
Maka membincangkan kematian, kita hakikatnya membincangkan kehidupan kita yang pertama. Kehidupan yang matlamatnya hendak mencari rahmat dan redha Allah SWT, agar dengan kasihNya Dia kepada kita, Dia memberikan kehidupan kedua kita di syurga sana.
Maka bila ditanya akan ‘bagaimanakah kematian kita?’
Hakikat yang ditanya ialah ‘bagaimanakah kita merancang untuk mengisi kehidupan kita yang pertama ini?’
Ya rakan-rakan. Bagaimanakah perancangan rakan-rakan?
Penutup: Kematian Yang Menghidupkan, Hidup Yang Bermakna.
Hidup ini sebentar sahaja rakan-rakan. Amat sebentar. Jika kita mati semasa muda, lebihlah sebentar. Dan hidup yang sebentar inilah yang menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. Mati adalah titik pemisah antara dua kehidupan ini.
Marilah kita sama-sama muhasabah. Apakah kita mahu mati dalam keadaan sedang ingkar kepada Allah SWT? Apakah kita mahu mati dalam keadaan sedang derhaka kepadaNya? Apakah kita mahu mati di tempat-tempat maksiat dan mungkar? Apakah kita mahu mati dalam keadaan kita tidak pernah menyumbang manfaat dan berbuat baik kepada orang lain? Apakah kita mahu mati dalam keadaan kita tidak pernah mengusahakan sesuatu untuk Islam?
Betapa kasihnya Allah SWT yang masih menghidupkan kita sehingga hari ini, agar kita mendapat peringatan. Betapa kasihnya Allah SWT yang tidak menarik nyawa kita semasa kita tidur semalam agar kita mendapat teguran dan berpeluang meminta ampun serta melakukan perubahan.
Rakan-rakan, apakah yang telah kita lakukan dengan kasih sayang Allah SWT itu?
Anak muda besar potensinya, tinggi tenaganya, luas kreativitinya, cepat pemikirannya, apakah kita akan sia-siakan semua itu, sia-siakan usia muda kita, dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah SWT? Jika kita dapat mencecah hari tua pun, apa yang kita mahu jadi nanti di hari tua dengan masa muda yang sedemikian rupa? Apakah kita dapat menjamin dengan kita merosakkan masa muda, kita punya masa tua yang cerah?
Marilah sama-sama kita muhasabah.
Mari menjadi anak muda yang melaksanakan kebaikan, memberikan sumbangan kepada agama dan masyarakat.
Mari jadikan kehidupan kita kehidupan yang bermakna. Moga kematian kita nanti juga kematian yang bermakna, dan moga-moga mati kita nanti menghidupkan pula yang lainnya.
=================================================
Assalamu’alaikum. Kami di LangitIlahi ada menganjurkan Program YouthACE(Youth Awards, Convention and Exhibition) 2014. YouthACE adalah program terbesar kami di LangitIlahi, dan bertujuan untuk membina generasi muda dengan menyuntik pengisian intelek, mencungkil bakat dan membangkitkan kesedaran mereka dalam menempuh hidup sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di atas muka bumi ini.
Kami bawakan tokoh-tokoh hebat di negara kita untuk bersama-sama generasi muda, seperti Dr Maszlee Malik, Prof Agus Yusoff, Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, En Razali Maarof, Aiman Azlan, dan ramai lagi. Kami juga membawakan Kumpulan Mirwana dan Mr Bie, sebagai penasyid untuk membuat persembahan.
Tema tahun ini ialah: Pemuda & Perubahan.
Harga asal -
Seorang: RM80
Bertiga atau lebih: RM75(seorang)
Promosi Harga Terendah(valid sehingga 20hb Mac 2014) -
Seorang: RM55
Bertiga atau lebih: RM50(seorang)
Sudah 800 peserta berdaftar. Tinggal 700 seat sahaja lagi.
Daftar segera di: http://youthace.langitilahi.com
Marilah bersama kami di YouthACE 2014 ini. Jika tidak dapat hadir, berilah sokongan dengan menyebarkan maklumat program ini kepada orang ramai, kepada anak-anak, adik-beradik, sahabat handai, kenalan, dan masyarakat sekeliling. Mari bersama kita bina generasi muda kita. Tidak cukup kita sekadar menuding jari dan menyalahkan sesiapa atas kerosakan generasi muda, apatah lagi apabila kita sendiri tidak mengusahakan apa-apa pengisian buat mereka.
Marilah bersama kami di YouthACE 2014.
Pemuda & Perubahan!
The post Corat-coret Hati: Pemuda, Bagaimanakah Kematianmu? appeared first on Langit Ilahi.