Hilal Asyraf's Blog, page 71
March 16, 2014
(GYA) – Jom ‘Gempur ke Youth Ace’!
March 15, 2014
Pembomohan tanda putus asa dengan tuhan
Baru-baru ini Malaysia bagaikan artis popular seketika. Bukan sekadar disebabkan isu kehilangan pesawat MH 370 sahaja, tapi pengamalan yang tidak berlandaskan syara’ (pembomohan) juga mendapat liputan media secara meluas bahkan ini lebih memalukan kerana kebanyakan media membuat liputan terhadap peristiwa ini dalam nada sarcasm dek kerana Malaysia adalah negara Islam tetapi tidak membenarkan pegangan tersebut dalam setiap urusannya.
Aktiviti pembomohan atau mempercayai dukun ini adalah terlarang sebagai mana yang disebutkan oleh baginda s.a.w:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun lalu dia bertanya kepadanya tentang suatu hal, maka shalatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (HR. Muslim no. 2230)[i]
Dalam hadis yang lain baginda s.a.w menyebutkan:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun atau peramal kemudian membenarkan apa yang dia katakan, atau mendatangi isterinya dalam keadaan haid atau dari arah belakang (dubur) maka dia telah kafir terhadap apa (Al-Qur`an) yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Hadis sahih dalam kitab Sahih al-Jami’ oleh al-Bani)[ii]
Larangan-larangan dalam dua hadis ini ditambah dengan disebutkan akibat terhadap mengamalkannya menjadi sebab perbuatan ini ditolak. Justeru itu pengamalan ini perlulah dijauhi dalam segenap lapisan masyarakat supaya ia tidak dianggap biasa meskipun ia diwarisi oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita.
Dalam kes yang berlaku di tanah air kita, kes ini menjadi lebih berat kerana bukan sekadar cara yang bercanggah dengan syara’ bahkan menjadi fitnah terhadap islam itu sendiri. Masyarakat bukan muslim diluar negara hatta dalam negara sendiri akan memandang sinis kerana beranggapan ia bukan cara yang betul bahkan menampak islam itu lemah. Justeru, fitnah ini lebih besar kerana ia menjauhkan ramai manusia dari cahaya hidayah.
Selain itu, kalimah Allah yang digunakan boleh mengelirukan hatta kepada orang islam sendiri jika ia tidak berlandaskan kaedah yang betul, bahkan lafaz yang agung itu seolah menjadi permainan dan hilang kehebatannya. Lebih binasa apabila orang bukan islam terfitnah dengan kalimah tersebut kerana digunakan dalam situasi (ritual) yang bercanggahan dengan kebenaran Islam itu sendiri.
Beza jampi serapah dan ruqyah syar’iyah
Kata Imam Hassan Al-Banna[iii]:
Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang),al-raml (pasir atau bahan jampian), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang datang dari baginda s.a.w.
Kemungkinan ramai yang terkeliru akan perbezaan jampi serapah dan juga ruqyah syar’iyah (yang berlandaskan syara’) kerana kadang-kadang jampi-jampi ini juga menggunakan ayat-ayat al-quran. Justeru itu, ulama’ meletakkan kaedah asas bagi jampi itu adalah mempunyai sandaran daripada al-Quran dan hadis yang sahih di samping perlulah dibaca dalam bacaan yang jelas bukan sekadar kumat-kamit di bibir.
Selain itu, ia juga bukanlah jampi yang menggunakan bahan-bahan jampian seperti kemenyan dan sebagainya atau alat-alat tertentu seperti tangkal dan lain-lain kecuali air kerana ia terdapat dalam hadis bahawa nabi s.a.w pernah berbuat demikian. Ia juga bukanlah pemberitahuan tentang sesuatu yang ghaib atau ramalan tentang peristiwa akan datang. Sedangkan baginda s.a.w sendiri tidak mengetahui sesuatu yang ghaib kecuali yang dikhabarkan kepada baginda. Allah s.w.t berfirman:
Katakanlah (Muhammad s.a.w) Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). [An-Naml: 65]
Hidup soal percaya
Kehidupan ini soal percaya. Sebagaimana perhubungan antara rakan-rakan, perhubungan antara suami dan isteri, perhubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat menuntut kepercayaan daripada semua pihak, lebih lagi perkara yang melibatkan seorang hamba dan tuhannya kerana Allah lebih mengetahui apa yang hamba-Nya perlukan dan terbaik untuk kita dan tidak pernah menzalimi sesiapa.
Dalam hadis qudsi, Allah s.w.t menyebutkan melalui kalam baginda s.a.w daripada Sahl bin Saad[iv]:
Aku dalam sangkaan hamba-Ku terhadap Aku sama ada sangkaan yang baik atau buruk. [Sahih Ibn Hibban]
Kehidupan yang tidak lari daripada ujian ini menuntut kepercayaan total terhadap Allah s.w.t. Jika kita beranggapan ujian yang datang sebagai suatu bentuk bebanan hingga kita bersangka buruk kepada Allah, maka kita sendiri yang rugi walhal tiada kekurangan bagi kerajaan Allah. Oleh itu , senantiasalah meluruskan sangkaan kita terhadap Allah s.w.t kerana manfaatnya adalah kepada kita.
Selain itu, Dia juga telah menghamparkan kepada manusia segala bentuk kenikmatan dan cara untuk kita melepasi segala ujian. Jika manusia itu, tidak menjumpainya tidak lain dan tidak bukan Dia berkehendakkan agar setiap insan itu kembali mengingatinya kerana apa jua langkah yang adalah hanyalah penyebab tetapi Allah s.w.t yang mengizinkannya.
Justeru itu, jika seseorang itu mencari penyelesaian selain kembali kepada Allah s.w.t, setelah berusaha dengan sebab-sebab yang ada tidakkah ia menunjukkan putus asa dia dengan Allah?
Seseolah ada jalan lain lebih baik daripada mengharap kepada Allah?
Atau lebih bahaya seakan mempercayai ada kuasa yang lebih hebat dari-Nya?
Bahkan tidak ada sesuatupun yang bisa menyamainya. Dengan sebab itu, mereka yang meletakkan setinggi-tinggi pengharapan dan kepercayaan kepada Allah tanpa menafikan usaha adalah mereka yang menuju jalan kejayaan kerana manusia itu sampai kepada suatu tahap maka kudratnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Kesimpulan: Malu?
Tidak dinafikan perbuatan ini memalukan ramai pihak dan memberi impak negatif bagi orang bukan Islam terhadap keaslian Islam itu sendiri dalam rangka mereka ingin mengenal islam. Justeru, pihak berwajib perlu segera dalam menangani isu ini.
Cuma perlu juga kita sama-sama koreksi diri kita. Kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang berkaitan adalah tetap salah dan perlu dibaiki. Bagusnya kesalahan itu nampak secara zahir dan bisa dicegah. Tetapi kesalahan diri kita sendiri kadang-kadang menyebabkan orang lain memandang Islam itu sebagai mundur dengan tidak bersungguh dalam ibadah, tidak menjaga akhlak dan tingkah laku kita yang juga menyebabkan Islam itu difitnah pula bagaimana?
Perbaiki diri dan seru orang lain!
Makluman lanjut sila rujuk: https://www.facebook.com/photo.php?fb...
[i] Sahih Muslim disyarahkan oleh Imam Nawawi, jilid 7/484
[iii] Al-Fikr Islami al-wasit oleh Dr Mustafa Thohan, m/s 36.
The post Pembomohan tanda putus asa dengan tuhan appeared first on Langit Ilahi.
Coretan Hati Sang Perantau | YouthACE 2014
Assalamualaikum semua! Muhamad Ulwan Bin Mokhtar Mohed, dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur namun dibesarkan daripada tadika hingga peringat sekolah menengah semuanya di Johor Bahru, Johor namun kampung saya di pantai timur Rantau Panjang, Kelantan. Daripada selatan hingga pantai timur, kini kembali kepada pertengahan Malaysia iaitu Putrajaya, kediaman rumah saya sekarang. Melalui ketiga-tiga negeri ini sudah tentu persekitaran dan budaya berbeza-beza. Sejak kecil lagi didedahkan sedemikian rupa sehinggakan kalau ada perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Johor saya boleh jadi pening, tidak tahu pasukan mana yang patut saya sokong? Bingung dan terus bingung, itulah kehidupan saya.
Bongsu
Saya merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik. Apabila bercakap mengenai bongsu orang ramai mesti beranggapan bahawasanya bongsu ini sangat-sangat manja, pemalas dan selalu mendapat apa-apa sahaja daripada ibu bapa tercinta. Ya. Memang betul tanggapan ini tetapi tidak bagi saya kerana setiap kali saya berbuat demikian ibu bapa saya sentiasa menolak kehendak saya. Seperti contoh ketika saya berumur 10 tahun saya meminta bapa (arwah) saya Mokhtar Mohed bin Abdul Latif dan juga ibu saya Wan Zarini Binti Wan Ahmed untuk membelikan kami satu keluarga komputer baru dengan alasan komputer lama sudah pun lembab dan sukar untuk kami bermain game. Ajakan itu tidak diendahkan langsung daripada ibu bapa saya namun selepas lebih kurang sebulan mereka memberi respon “Ulwan kalau nak komputer baru boleh tetapi Ulwan mesti dapat jadi pelajar no 1 dalam kelas Ulwan”.
“Dikurniakan empat adik-beradik, 2 perempuan satu lelaki. Daripada kiri abang saya Munauwar, kakak pertama Mursyidah, kakak kedua Muhsinah dan saya anak bongsu”
“Kecil, tembam, seluar tiga suku, suka makan aiskrim batang, tengok movie, main game, suka makanan, suka kereta, suka benda simple, suka lawan cakap umi abah. Itulah insan bernama Ulwan Mokhtar”
Mendengar respon mereka sangatlah gembira tetapi menyeramkan juga kerana saya tidak pernah dapat no 1 dalam kelas kerana sayatidaklah sepandai kawan-kawan saya di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Aminah kelas 5 Berlian. Namun sejak daripada respon mereka saya semakin rajin dalam menuntut ilmu di sekolah gara-gara hendakkan komputer baru itu namun apabila menjawab peperiksaaan terakhir, saya mula tidak yakin kerana soalan agak sukar. Oleh sebab itu saya berhenti berharap tetapi langsung tidak merungut kepada ibu bapa saya kerana itulah syarat yang diberikan oleh mereka dan saya tidak ada kuasa untuk mempengaruhi mereka. Saya bukanlah bongsu biasa yang sanggup nangis tergolek-golek meminta sesuatu daripada ibu bapa. Namun Allah telah mentakdirkan saya mendapat nombor 1 dalam kelas! Tidak lama kemudian ibu bapa saya mengotakan janji mereka dan sampailah sebuah komputer pemproses Celeron D 2.25ghz, RAM 512mb dan harddisk berkapasiti 40gb (majulah ketika itu). Alhamdulillah. Ini semuanya datang daripada Allah dan juga daripada usaha saya sendiri.
“Suka ambil gambar apa-apa sahaja, suka kepada fotografi sejak kecil lagi. Namun bezanya saya dengan orang lain adalah saya belajar fotografi melalui smartfon sahaja. Gambar ini adalah ketika tahun 2011 ketika saya menggunakan Nokia N8 sahaja untuk menangkap gambar batch sekolah saya SMK Agama Johor Bahru dan ramai kawan-kawan saya tidak percaya akan kebolehan saya walaupun kekurangan alat”
Tujuan Hidup
Namun saya gunakan komputer tersebut sekadar untuk bermain game, menonton video-video yang tidak berfaedah di Youtube sama sekali tidak ada sifat ingin mengenali agama Islam dengan lebih rapi. Seringkali berfoya-foya bukan di luar rumah tetapi di dalam rumah sahaja dengan melayani game yang terhangat di pasaran sampaikan saya sanggup untuk membeli beberapa keping DVD apabila ibu bapa singgah ke pasaraya ataupun kedai-kedai yang menjual game (kadang-kadang sanggup menipu untuk sampai ke kedai sana!). Pandang kiri saya akan nampak game, kanan pun begitu juga. Tidak cukup dengan itu, saya adalah penggemar tegar filem Inggeris bertaraf antarabangsa dan filem kesukaan saya adalah siri Terminator. Teruk, kan? Namun lama kelamaan saya rasa tidak begitu gembira dengan apa yang saya telah lakukan kerana hari demi hari keputusan peperiksaan saya kian menjunam tanpa ada peningkatan sedikit pun dan saya pula sudah tidak menjaga perihal ibadah saya kepada Allah. Namun begitu, saya terus mencari ‘kebahagiaan’ melalui game dan juga filem walaupun saya sudah tahu kedua-dua aspek ini tidak membina iman dan saham akhirat saya (kecuali penguasaan minda dan bahasa Inggeris).
“Tujuan hidup? Main game, makan, minum, tidur, keluar tidak beritahu umi abah, beli dvd game atau filem, belajar malas, tolong umi abah malas, itu sahaja ’skop kerja’ saya”
Pemergian Abah
“Umat Islam meratapi tarikh kejatuhan khilafah 3 Mac 1924 namun kami satu keluarga kehilangan seorang abah pada 3 Mac 2009. Ketiadaan beliau betul-betul memberikan impak besar kepada keluarga kami. Semoga Allah merahmati Mokhtar Mohed bin Abdul Latif”
Ketika usia saya 13 tahun (2007), bapa saya disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap 3 hampir-hampir ke 4. Ketika itu saya sedang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru, Johor dan menetap di asrama mingguan. Perasaan seorang anak apabila mendapat tahu ayahnya akan pergi tidak lama lagi tidak dapat saya gambarkan. Saya mula risau apakah saya boleh hidup tanpa bapa di sisi? Apakah ini adalah kafarah dosa saya yang lepas? Apakah Allah tidak sayang kepada aku lagi? Apakah takdir ini bakal menginsafkanku? Selepas disahkan, saya mengambil keputusan untuk tidak menetap lagi di asrama untuk menjaga arwah bapa saya dan saya terpaksa berulang-alik ke sekolah sejauh 26 kilometer pergi dan balik! Namun kerana rasa cinta saya kepada arwah abah, saya sanggup biarlah berjauhan asalkan selepas balik sekolah saya dapat meratapi wajahnya. Namun pada tanggal 3 Mac 2009, abah saya telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ketika itu kami semua ingin menghantarnya ke kampung kami di Rantau Panjang, kelantan namun beliau meninggal ketika singgah di rumah kakaknya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, juga merupakan ‘rumah’nya ketika beliau menuntut ilmu di Universiti Malaya suatu ketika dahulu.
“Kini saya dibesarkan oleh ibu dan adik-beradik saya. Tidaklah kami sedih dan merana tanpa arwah abah kerana itu adalah sunnatullah, ketetapan Allah. Kita yang masih hidup ini walaupun susah kita mesti maju kehadapan. Ini gambar bersama ibu saya yang cukup gagah meneruskan kehidupan tanpa seorang ayah. Saya kira umilah yang paling tabah dalam famili kerana kami masih lagi berada pelajar dan belum ada kudrat untuk menjana pendapatan sendiri.”
Teruskan kehidupan
Pemergian arwah abah sangat memberi kesan kepada seluruh famili. Saya tidak dapat menahan air mata apabila saat dia meninggal kerana mengenang apakah nasibku selepas ini. Selama ini segala urusan kehidupan saya diuruskan oleh beliau sehinggalah menjemur kain pun dia yang laksanakan inikan pula urusan seperti membayar bil dan mengurus rumah. Namun sedikit demi sedikit, saya mula belajar untuk berdikari. Saya mula menguruskan kehidupan dengan meminimakan bantuan daripada orang lain. Walaupun berat usaha ini, ia membuktikan saya boleh berdiri sendiri walaupun arwah telahpun meninggalkan kami.
“Kini saya mampu memandu kereta dan membawa famili ke kampung saya di Rantau Panjang, Kelantan. Suatu perbuatan yang saya impikan sejak kecil lagi cumanya tidak berpeluang untuk membawa abah pergi ke kampung.”
Saya kini mampu membayar bil, mampu memandu kereta (pada usia 15 tahun, adik-beradik pun tidak semahir saya) dan juga mampu bergerak ke destinasi luar tanpa perlunya ibu dan adik-beradik di sisi. Saya semakin kebal dan tidak takut dengan dunia luar. Saya mula matang dan rajin membaca buku-buku ilmiah lebih lagi aspek pendidikan dan politik. Alhamdulillah, saya mendapat 10A 1B dalam peperiksaan SPM saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru. Ini semuanya datang daripada Allah dan juga tarbiah arwah abah walaupun beliau tidak bercakap banyak pun dengan saya. Alhamdulillah thumma alhamdulillah!
“Bersama ahli kelas saya 5 Al-Khawarizmi (SMK Agama Johor Bahru), ketika ini kurus. Saya pernah kuruslah tolong percaya ya >.
“Saya ditaklifkan sebagai ketua Pusat Sumber Sekolah, boleh dikatakan banyak yang saya dapat belajar melalui kepimpinan ini. Dulu saya seorang pemalu. Ya. Pemalu. Terima kasih kepada Pn Siti Salwa atas nasihat dan juga membimbing saya menjadi seorang yang cakna kepada persekitaran.”
“Suka duka bersama kita di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru. Sekolah tarbiah, sekolah berkepimpinan, sekolah yang mengajar erti persahabatan, sekolah yang saya cintai. Banyak yang telah merubah saya menerusi cikgu-cikgu yang hebat, yang memahami perasaan saya selaku pelajar yang sangat lemah, peperiksaan biasanya saya hanya dapat 1A sahaja tetapi SPM menggarap keputusan 10A. Alhamdulillah. Allah Maha Kuasa. Allah beri rezeki kepada sesiapa yang betul-betul berusaha untuk memperbaiki dirinya sendiri. Oleh itu, terima kasih cikgu-cikgu dan kawan-kawan seperjuangan saya!”
Alam Universiti
Saya dapat melanjutkan pelajaran saya dalam bidang shariah di pusat asasi Akademi Pengajian Islam Nilam Puri, Kelantan selama 3 bulan dan tidak lama selepas itu pula melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan sehinggalah sekarang. Saya agak terkejut juga apabila berada di negara Arab yang ‘mulia’ ini kerana persepsi yang tinggi kepada tanah air tersebut.
“Bersama kelas saya di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Kelantan. Pada mulanya saya ketua kelas namun sebelum saya berangkat ke Jordan saya telah digantikan oleh Amirul Amree, kawan saya yang menetap di Selangor. Kelas saya ini sangat sempoi, semuanya ceria selalu dan saya tidak akan lupakan kenangan sepanjang berada bersama dengan mereka!”
“Hari terakhir saya bersama rakan-rakan saya di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri, Kelantan. Negeri tarbiah. Negeri serambi Mekah. Macam-macam ilmu agama saya dapat hanya dalam masa 3 bulan, selepas daripada itu saya melanjutkan pelajaran saya ke bumi Jordan pula”
Namun apabila saat tibanya di airport Queen Alia, bau rokok yang terlampau kuat mula dirasai oleh saya dan rakan-rakan bersama cuaca yang sejuk dan kering. Saya mulalah pening dan keliru dengan ‘negara Islam’ dan berhasrat untuk mencari apakah masalah disebalik gejala ini. Saban hari saya semakin meluat dengan sikap Arab yang gemar membuang sampah merata-rata, mencuri barang daripada mahasiwa-mahasiswi Malaysia dan penipuan dalam perniagaan. Pernah sekali saya dirompak oleh seorang Arab ini namun alhamdulillah kes itu selesai kerana berjaya memberkasnya 2 hari berikutnya. Pengalaman ngeri ini adalah pengalaman pertama dalam hidup saya sekaligus membuatkan diri saya sudah trauma dengan orang Islam yang berperilakuan sedemian! Kini hikayat Arab yang sering diceritakan oleh umi saya tidak lagi menjadi pegangan hidupku. Hatiku hancur sehancur-hancurnya kepada penduduk negara Syam ini namun kuliah dan usrahlah yang menghidupkan hati saya kembali kepada menyayangi bumi para nabi ini. Saya banyak belajar daripada usrah dan juga persatuan mahasiswa Melayu di sana (Majlis Mahasiswa Yarmouk, Unit Zakat dan Sedekah, Krew Revolusi Multimedia Jordan) seterusnya mengasah bakat saya dalam bidang fotografi dan videografi. “Bersama rakan sekolah saya Harith Hazim yang melanjutkan pelajaran di Jordan tetapi di Jordan University of Science and Technology (JUST) dan saya pula diYarmouk University. Gambar ini ketika Minggu Haluan Siswa di mana kami pelajar tahun satu diperkenalkan kepada kepimpinan persatuan mahasiswa Melayu di Irbid, Jordan”
“Saya dan rakan-rakan berada di Jerash, Jordan”
“Sejuk. Tak perlu kata apa-apa sejuk, tak perlu kata apa-apa (nyanyi dalam kegigilan)”
“Bersama tim KREM (Krew Revolusi Multimedia Se-Jordan), ditaklifkan selaku guru penyunting video”
“Bersama kepimpinan Majlis Mahasiswa Yarmouk (MMY), saya selaku AJK Multimedia bahagian video”
A
lam
Vlog
Selepas lebih kurang setahun berada di Jordan, saya kembali ke tanah air pada bulan Mei 2013. Ketika itu saya tidak ada apa-apa perancangan sepanjangan pulang 3 bulan ke rumah hanya sekadar jalan-jalan, melepak, menolong umi uruskan keluarga dan rumah. Itu sahaja skop saya balik ke rumah. Kosong. Tiada penyisian. Sehinggakanlah pada suatu malam saya teringin untuk mencuba membuat sebuah vlog (video-blog) dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘UL1 – Starting Something’, diinspirasi oleh abang Aiman Azlan dan berjaya mendapat 600 views. Ketika itu niat hanya ingin mencuba sekali sahaja tetapi apabila mendapat respon yang baik daripada semua pihak termasuk umi dan keluarga saya sendiri, saya teruskan vlog ke-2 saya ’UL2 – Ramadan itu Raya?’ dan alhamdulillah video tersebut adalah pencapaian terbaik saya sehingga mencecah 4000 views dlm masa 2 minggu sahaja! Sejak itu, saya mula bersemangat dan bercita-cita tinggi untuk menguasai bidang vlog tidak kira daripada segi percakapan, penyuntingan video dan juga mengenali vlogger tanah air serta meminta khidmat nasihat mereka.
“Tak tahulah main buat je vlog pertama. Tetapi alhamdulillah abang Aiman Azlan, Aisyah Shakirah dan kawan-kawan dahpun tengok vlog saya dan menyuruh saya untuk membuat lagi vlog seperti ini cuma kurangkan pergerakan dan penarian yang merepek ahaaa baik boss!”
“Sehinggalah vlog saya yang ke-5. Mengalami kejatuhan viewers dan idea. Bermula tidak semangat, bermula tidak mahu lagi bervlog. Mahu menjalankan kehidupan seperti biasa. Tiada lagi harapan untuk saya terkehadapan seperti dahulu. hmm….”
Langit Ilahi
Selepas bervlog lebih kurang 6 bulan sehingga vlog ke-5, saya kian merundum dan kehilangan idea dalam bervlog. Mungkin kerana faktor sakit ataupun faktor malas kerana tiada ‘boss’ yang ingin memantau vlog saya. Maklumlah, kerja sendiri. Kalau rajin dapat habuan, kalau malas tanggung hutangan. Tak lama lepas itu, saya terperasan abang Hilal Asyraf ada membuka keahlian baru untuk kolumnis di Langit Ilahi dan saya terus cuba untuk ‘uji bakat’ tersebut. Tidak lama selepas itu, alhamdulillah saya diterima masuk oleh pihak Langit Ilahi. Terlompat-lompat jugalah apabila dapat menyertai Langit Ilahi kerana akhirnya saya sudah ada penasihat yang terdiri daripada kalangan orang yang hebat-hebat seperti Hilal Asyraf, Qawiem Khairi, Afdholul Rahman, Uzair Izham, Koje Mita dan lain-lain.
“Antara sedutan vlog ke-4 saya di Langit Ilahi. Sebuah shortfilm berjudul Aku Pemuda Tua telah pun mencecah views sebanyak 4 ribu hasil daripada pembaikan vlog saya sebelum ini melalui teguran daripada pihak Langit Ilahi dan juga rakan-rakan saya sendiri”
Melalui Langit Ilahilah saya belajar berbagai-bagai benda baru lebih-lebih lagi dalam aspek istiqamah. Abang Hilal seringkali menasihati kami supaya beristiqamah kerana usaha yang hebat akan mati apabila tidak dilakukan secara berterusan dan setiap berjaya menghasilkan karya masing-masing wajib ke atas kita semua untuk muhasabah apakah ini hasil terbaik dan juga apakah niat kita betul-betul ikhlas kepada Allah. Subhanallah, saya dikurniakan tim yang terbaik dalam mengajak masyarakat dan diri sendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bersyukur terhadap Allah!
“Bersama tim Langit Ilahi di Masjid Jamiah, Irbid, Jordan. Qawiem Khairi merupakan vlogger pertama Langit Ilahi dan Koje Mita merupakan photographer, dua-dua figure ini adalah sumber inspirasi saya untuk terus maju ke hadapan khusus kepada bidang vlog dan penyunting video”
YouthACE 2014
Saya pernah mengikuti program TeenACE 2013 anjuran Langit Ilahi pada tahun lepas. Pada mulanya saya hanya mengikut program tersebut atas dasar hendak berjumpa rakan-rakan yang belajar di Jordan bersama saya. Namun apabila sampai kepada forum bersama youtuber Malaysia Anwar Hadi, Adibah Awang, Aisyah Syakirah dan IM Asyraf, saya berkenan untuk memberi pendapat saya berkenaan dakwah di alam maya. ketika itu mikrofon agak jauh dengan mereka yang berada di atas stage. Apa yang saya buat adalah meminta izin untuk mendekatkan mikrofon tersebut kedepan menyebabkan orang ramai terkejut dengan perbuatan saya. Mungkin juga keterlaluan namun bagi saya itu adalah simbol pemuda yang hendak melalukan perubahan dan mereka mampu. Tengok sahaja saya alihkan mikrofon pun orang ramai sudah kagum apatah lagi pemuda yang mampu mengubah dunia ini? Mesti lebih syok!
“Kepada sesiapa yang hadir program TeenACE 2013 akan tahu apa yang berlaku ketika sesi soal jawab forum ini >.
Oleh itu, untuk tahun ini, Langit Ilahi akan anjurkan program yang sama cumanya dinamakan semula kepada YouthACE kerana istilah ‘Teen’ ini lebih kepada remaja bawah 18 tahun namun istilah ‘Youth’ lebih meluas 18 tahun ke atas ataupun ke bawah. Program bertemakan pemuda dan harapan dan menampilkan figure-figure tanah air seperti USTAZ SYAARI RAHMAN, PROF AGUS YUSOFF, DR MASZLEE MALIK, DR ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN, ABU RIDHWAN, HILAL ASYRAF, AMEEN MISRAN, AIMAN AZLAN, AISYAHSYAKIRAH, ANWAR HADI, QAWIEM KHAIRI dan akhir sekali ULWAN MOKHTAR masing-masing akan memainkan peranan yang berbeza dan insyaAllah saya selaku promoter dan juga juri kepada pertandingan shortfilm. Lupa pula untuk saya sebut YouthACE kali ini menganjurkan juga pertandingan yang menarik untuk anda sertai jangan lupa untuk melayari laman web http://youthace.langitilahi.com/ untuk maklumat lanjut!
Harapan
Apa yang saya harapkan daripada manusia sekalian adalah mari kembali kepada Allah kerana dengan kehadiran akhir zaman ini semakin ramai yang tidak mengenal siapa Allah. Kalau kenal pun tersalah kenal sehinggakan membawa kepada salah penafsiran Allah. Dengan apa-apa latar belakang sekalipun kita boleh mendekatkan diri kepada Allah khususnya kepada pemuda yang masih lagi bersih daripada dosa dan bersemangat tinggi dalam mengubah masyarakat setempat. Masa muda inilah masa untuk berbakti penuh kepada masyarakat sementara tenaga masih lagi penuh pada jasad. Masa kita tua nanti manalah tenaga seperti dahulu, hanya mampu pergi ke masjid tidak mampu lagi untuk menaruh bakti kepada masyarakat. Hanya mampu memberi nasihat “Jangan jadi seperti pakcik masa muda, tak bagus”. Dengan adanya program-program rohani seperti YouthACE 2014 anjuran Langit Ilahi inilah kita sama-sama membina dan memperkukuh iman kita. Tiada gunanya kita menyalahkan persekitaran penyebab kita tidak boleh berubah tetapi carilah persekitaran yang bersih. Persekitaran tidak membentuk kita tetapi usaha kita yang membentuk siapa kita atas muka bumi ini! Dan saya jamin, sesiapa yang mencari Allah, Allah akan mempermudahkan jalan mengenaliNya dengan mudah. Cuma soalnya sekarang, anda mahu mencari Allah atau tidak?
“Pertemuan saya dan tim Langit Ilahi di PICC, Putrajaya, beberapa hari sebelum TeenACE 2013. Tak tersangka saya sekali lagi dipertemukan dengan menjadi kolumnis rasmi Langit Ilahi. Sungguh, pertemuan ini adalah susunan Allah dan insyaAllah saya akan berusaha untuk sama-sama mengajak kita semua kembali menjadi hamba Allah!”
The post Coretan Hati Sang Perantau | YouthACE 2014 appeared first on Langit Ilahi.
March 14, 2014
Corat-Coret Hati: Pemuda & Perubahan
Pemuda adalah aset yang amat penting. Kepemudaan merupakan saat waktu yang penuh dengan peluang, potensi dan tenaga. Muda juga fitrahnya menandakan bahawa masa bersamanya. Golongan muda-mudi kini jelas merupakan sesuatu yang sangat penting, dalam penentuan jatuh bangun sesebuah organisasi, masyarakat, negara, bahkan dunia di masa akan datang.
Sirah juga tidak lekang dengan contoh-contoh muda-mudi berwibawa. Antaranya yang menumbangkan Abu Jahal, siapa lagi jika bukan Mu’adz dan Mu’awwidz, remaja belasan tahun. Antara yang faqih dan menjadi rujukan para sahabat, siapa lagi kalau bukan Aisyah RA yang masih lagi belasan tahun kala kewafatan Rasulullah SAW. Lihatlah Usamah bin Zaid RA, diangkat menjadi panglima perang menentang Rom, sebuah kerajaan setaraf Amerika Syarikat hari ini, pada usianya 18 tahun. Dan sejarah tidak lekang dengan manusia sebegini, apabila ianya diteruskan dengan kehadiran orang-orang muda yang merombak dunia seperti Imam Asy-Syafi’i, Imam Al-Bukhari, Muhammad Al-Fateh(pembuka Kota Konstantinopel), Imam Hassan Al-Banna, Zainab Al-Ghazali dan ramai lagi.
Begitu sekali pemuda-pemudi muncul mencorakkan dunia.
Betapa benar sekali ‘perubahan’ itu, dipadankan dengan golongan belia.
Kekuatan Terpendam Para Belia
Pengiktirafan pada kekuatan belia ini wujud di dalam hadith Rasulullah SAW yang masyhur:
Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara; masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati.” Hadith riwayat Imam Ahmad.
Rasulullah SAW sendiri suruh kita merebut masa muda sebelum tua. Menandakan bahawa pada masa muda ini, ada kelebihan-kelebihan besar yang tidak terwujud di kala masa tua.
Antara yang mampu saya kesani dan teliti ialah:
1 – Orang muda mempunyai masa.
Secara lumrahnya, yang tua semakin hampir dengan kematian. Walaupun waktu muda juga kematian boleh datang, tetapi secara lumrahnya, orang tua mempunyai masa yang sedikit berbanding anak-anak muda. Bukan semata-mata kerana masa yang semakin mendekati ajal, tetapi juga kerana tanggungjawab yang sudah bercambah-cambah, dengan anak-anak dan isteri, dengan pekerjaan dan bebanan yang telah terbina semasa muda.
Maka hendak memulakan sesuatu yang baru, masih hendak cuba ‘try and error’, hendak meneroka medan/peluang yang terkini, pastinya sudah tidak semampu orang-orang muda.
Orang-orang muda belum punya tanggungjawab yang banyak. Mereka punya masa lapang yang kalau bukan diisi dengan perkara bermanfaat, akan diisi dengan perkara yang melalaikan.
Justeru pada orang muda itu punya masa yang tidak wujud pada orang-orang tua.
2 – Orang muda lebih tinggi kreativiti.
Anak-anak muda biasanya lebih tinggi kreativitinya berbanding orang-orang yang telah berusia. Mereka mempunyai fantasi dan imiginasi yang tinggi, lebih-lebih lagi sebelum ditunjuk ajar itu dan ini, dilarang begitu dan begini. Minda mereka masih segar bugar dengan pelbagai idea dan pandangan.
Pada kreativiti inilah mereka akan mempunyai sikap inovatif, sekaligus melahirkan pelbagai alternatif di dalam perjuangan untuk mencapai matlamat.
3 – Orang muda punya tenaga.
Orang-orang muda mempunyai tenaga yang lebih berbanding mereka yang lebih berusia, secara lumrahnya. Orang-orang muda punya tulang rangka yang masih kuat, stamina yang lebih tinggi bahkan mempunyai peluang untuk mempertingkatkannya lagi dari masa ke semasa untuk kekal sihat di hari tua.
4 – Orang muda punya peluang.
Orang-orang muda mempunyai peluang yang lebih banyak berbanding orang-orang yang telah berusia. Peluang belajar terutamanya. Mereka berpeluang belajar lebih banyak, dengan meneliti kesilapan dan kejayaan orang-orang berusia. Di sana mereka berpeluang untuk mencuba perkara baru yang mungkin belum dicuba oleh orang-orang sebelum mereka, dan berpeluang mengelak akibat-akibat buruk yang pernah dihadapi oleh orang-orang sebelum mereka.
Mereka juga mempunyai peluang untuk membuat kesilapan-kesilapan yang baru, dan belajar daripadanya. Mereka mempunyai peluang untuk merangka strategi baru dan mencubanya.
Muhjahid Fathi Yakan dalam bukunya yang bertajuk Syabab wa Taghyir(Pemuda & Perubahan) ada menyebut: “Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus.”
Pemuda Sebagai Ejen Perubah
Maka golongan belia memang merupakan generasi yang cocok untuk menjadi ejen perubahan. Masa yang masih banyak, kreativiti yang tinggi, tenaga yang masih tidak terganggu, peluang yang masih tidak terkira, semuanya terkumpul pada mereka.
Adalah rugi serugi-ruginya apabila golongan ini rosak dengan pembaziran masa, maksiat dan kemungkaran, hiburan yang menghancurkan, jati diri yang rapuh, kefahaman yang celaru, ilmu yang cetek dan sebagainya.
Bayangkan, masa muda dihabiskan dengan menonton drama-drama secara maraton puluhan jam. Bayangkan, masa muda dihabiskan dengan ketagihan permainan video dan komputer. Bayangkan anak-anak muda yang kerjanya melepak kosong dengan perkara yang sia-sia. Bayangkan generasi yang habis dengan perkara maksiat dan merosakkan diri. Bayangkan masa hadapan ummat apabila generasi ini membesar nanti?
Mereka akan tetap menjadi ejen perubah. Mereka akan jadi ejen perubah suasana ini menjadi lebih buruk lagi daripada sekarang.
Ya.
Hari ini kita menangisi keadaan ummat. Kita bertanya-tanya mengapa ummat kita lemah. Mengapa ummat kita terhina. Mengapa ummat kita hanya dianiaya. Tetapi pernahkah kita melihat keadaan diri kita?
Ya. Kita tidak menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan, maka bagaimana ummat ini hendak berubah menjadi baik? Generasi remaja, belia ini tidak kita pimpin, tidak kita arahkan kepada kebaikan, bagaimana masa hadapan nanti hendak terbentuk dengan acuan kebaikan juga?
Maka generasi ini perlu dipersiapkan. Perlu diisi. Perlu dipandu. Perlu dibentuk.
Mujahid Fathi Yakan ada menyatakan bahawa generasi muda perlu dipersiapkan di tiga bahagian, di dalam kitabnya, Syabab wa Taghyir:
1 – Persediaan Dari Segi Pemikiran.
2 – Persediaan Dari Segi Hati.
3 – Persediaan Dalam Bentuk Organisasi.
Mujahid Fathi Yakan menegaskan peri pentingnya membentuk generasi ini dengan fikiran Islam, dan bagaimana pemikiran Islam itu perlu diiringi dengan pengetahuan am. Agar generasi muda ini merupakan generasi yang jelas fikrahnya, yang mendalam kefahamannya, seterusnya cakna dengan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat umum, sekaligus akan mampu memberikan jalan keluar mengikut kerangka yang diredhai Allah SWT.
Mujahid Fathi Yakan juga mengingatkan bahawa, persediaan hati adalah untuk mengikat generasi ini dengan Allah SWT. Agar generasi ini tidak mudah disesatkan, serta pemikiran mereka berada di atas panduan keimanan kepada Allah SWT. Supaya generasi ini tidak membesar dengan hawa nafsu yang tidak dikawal. Hati yang bersih dan hidup adalah apa yang akan membuatkan akal segar dan mampu fokus mengikuti neraca Allah SWT.
Akhir sekali Mujahid Fathi Yakan mengingatkan akan pentingnya untuk generasi muda dididik dengan keorganisasian. Beliau menegaskan bahawa generasi ini perlu dididik untuk meneliti organisasi Islam, kesilapan dan kejayaannya, dan juga organisasi jahiliyyah. Juga perlu dilatih penelitian terhadap suasana masyarakat sekeliling, suasana ekonomi dan politik, agar mempunyai kefahaman jelas akan medan perubahan yang ingin dibawa.
Kerja Lebih Banyak Dari Masa
Kader dakwah yang sebenar tidak akan bongkak menyatakan bahawa kejayaan akan tiba pada generasinya. Semua pejuang Islam dididik bahawa mereka hanyalah mata rantai daripada mata rantai-mata rantai perjuangan. Kemenangan belum pasti akan tiba pada umurnya.
Kerana itu pentingnya mendidik generasi muda.
Pertama – Agar generasi muda dapat menyambung perjuangan ini.
Kedua – Agar generasi muda tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh generasi sebelumnya. Jika hendak melakukan kesilapan pun, biarlah kesilapan yang baru agar ianya mampu dikaji dan dijadikan pengajaran buat generasi selepasnya.
Ketiga – Agar generasi muda ini mampu meneruskan perubahan ke arah kebaikan ini dalam keadaan lebih baik, lebih kreatif, lebih berkesan, hingga mampu mencapai tangga-tangga baru di dalam perjuangan, atau harapannya, memenangi perjuangan membawa perubahan ke arah kebaikan ini.
Kerja pastinya lebih banyak dari masa. Kerana itu perjuangan ini belum berakhir hingga kini. Dan perjuangan ini memerlukan tenaga untuk menggerakkannya. Tenaga mana yang lebih baik daripada tenaga anak-anak muda.
Justeru anak-anak muda perlu sedar akan kuasa yang berada di tangan mereka.
Mereka bukan generasi budak hingusan. Mereka adalah generasi berpotensi untuk melaksanakan perubahan.
Cumanya pilihan di tangan anak-anak muda sendiri. Sama ada sekadar mahu meneruskan kitaran hidup yang telah diset oleh sistem agar merencatkan jalan perubahan ke arah kebaikan ini, atau memecahkan kitaran ini dan mula bergerak menentang arus, menjadi ejen-ejen perubahan.
Penutup: Pemuda Berkuasa
Golongan belia bukan golongan budak-budak. Golongan belia adalah golongan harapan. Yang mempunyai potensi besar untuk melaksanakan perubahan.
Adalah amat rugi jika golongan ini terus lena dengan hedonism, sibuk dengan perbincangan kosong, dan hanya tahu melakukan lawak bodoh. Hiburan, maksiat, berada di sekeliling merosakkan semua orang dan terutamanya generasi muda.
Generasi ini perlu diselamatkan untuk masa hadapan yang lebih cerah.
Hanya dengan terselamatnya generasi ini, maka perubahan ke arah kebaikan itu akan mampu dilaksanakan.
Maka ayuh bangun pemuda-pemudi. Sedarlah akan pentingnya diri kalian semua.
Bangunlah dari lena dan marilah bersama rombongan perjuangan semenjak muda lagi. Masa muda bukan masa bermain-main. Masa muda masa bekerja. Rehat kita hanya di syurga sana.
Ayuh bangkit, dan sedarlah!
The post Corat-Coret Hati: Pemuda & Perubahan appeared first on Langit Ilahi.
March 13, 2014
YouthACE – Menggerakkan Para Pemuda Secara Kolektif
Dalam bacaan sejarah, seringkali kita menemui beberapa ikon muda diangkat-angkat dalam masyarakatnya kerana mungkin beberapa kelebihan yang ada pada dirinya sehingga dapat memimpin arus perubahan.
Namun, bacaan ini kadangkala mendorong kita sampai di tahap meletakkan para ikon demikian seakan-akan tokoh yang sakral, yakni segala hasil dari perjuangan itu dilihat terjadi kerana kehebatannya sendirian sehingga kita mengabaikan bahawa di sebalik kehebatan tokoh itu, ada para pejuang bersama yang bangun dengannya secara kolektif menggerakkan perubahan.Benar, ada beberapa sudut kelebihan ikon yang diangkat itu tanpa menafikan juga kekuatan yang berdiri bersamanya.
Mereka yang jatuh bangun bersama ini mungkin tidak begitu dikenali namanya dalam catatan sejarah, bahkan mungkin pun ada yang tercicir dari catatan sejarah, namun jasa mereka sangat besar dalam menggerakkan arus perubahan masyarakat.
Ketika Al-Fatih Diberi Gelar Al-Fatih
Ada yang menarik kalau kita telusuri sejarah Al-Fatih itu ketika dia berkerah tenaga dan fikiran mahu membuka Kota Konstantinopel.
Barangkali, di mata sesetengah orang melihat Al-Fatih itu hanyalah merujuk kepada si Sultan Muhammad yang mengetuai gerakan membuka kota itu.
Namun, analisis dari pakar sejarah membuktikan bahawa di saat Sultan Muhammad mengetuai gerakan kepahlawanan itu, tenteranya berada dalam keadaan yang sangat baik. Bahkan, suasana pendidikan rakyatnya pun disebut berjalan dengan baik. Suasana-suasana ini telah melahirkan bukan sahaja orang sehebat Sultan Muhammad, bahkan juga orang-orang sehebat tenteranya.
Sebab itu, Al-Fatih itu tidak hanya merujuk kepada Sultan Muhammad saja, Al-Fatih itu sebenarnya dirujuk juga kepada tenteranya itu.
Di dalam sejarah yang selalu diangkat-angkat, individu-individu dalam tentera Al-Fatih mungkin tidak begitu dikenali, namun mereka punya jasa besar kerana terlibat secara kolektif dalam menggerakkan perubahan yang telah ditunggu selama 800 tahun itu.
Lebih menarik lagi, gerakan kolektif ini tidak hanya berlaku ketika Sultan Muhammad menjadi sultan, bahkan ia telah bermula sejak 800 tahun sebelum itu lagi ketika Abu Ayyub Al-Ansari menjejakkan langkah perjuangannya sehingga dikebumikan jasadnya di situ. Itulah silsilah ataupun rantaian dari sebuah gerakan kolektif menuju pembebasan Kota Konstantinopel.
Di dalam hadis Nabi s.a.w. sendiri pun, tidak hanya amir(ketua)nya sahaja diangkat, tetapi tenteranya juga disebut sekaligus membuktikan bahawa tidak mungkin seorang amir bisa melakukan kerja besar tersebut tanpa gandingan orang-orang yang bersamanya.
Orang-orang sebelumnya pun bahkan berjasa besar. Kerana meskipun kota itu tidak dibuka di zaman mereka berjuang, namun mereka telah memberikan inspirasi perjuangan yang sangat tinggi melalui cubaan demi cubaan yang dilakukan oleh mereka sehingga inspirasi itu mengalir dalam roh generasi yang seterusnya.
Kejayaan Al-Ayyubi Membebaskan Al-Aqsa
Begitu juga kisahnya Salahuddin Al-Ayyubi. Kita mengenali namanya seorang sebagai ketua yang mengetuai misi pembebasan Al-Quds itu.
Namun, jauh sebelum dirinya itu, ada tokoh juga yang memimpin gerakan pembebasan serta pengislahan masyarakat.
Perang Salib 1 yang dihadapi oleh muslim telah memperlihatkan akibat daripada perpecahan di kalangan mereka pada ketika itu. Mereka menghadapi kekalahan yang menyakitkan.
Hanya beberapa tahun setelah itu, usaha membangunkan dan membaiki masyarakat mula digerakkan secara serius yang dipimpin oleh Nuruddin Mahmud Zanki, tokoh yang mendahului Salahuddin. Sebelum itu, ayahnya Imaddudin Zanki.
Ketika Nurudiin melakukan proses pengislahan, tidak hanya dia seorang. Sudah pasti.
Ada banyak gerakan dakwah yang bangun membantu menggerakkan kesedaran sosial, tangan-tangan para ulama’ yang mendidik, ada banyak tokoh yang beriringan dalam rantaian perjuangan sehingga dapat menghantar Salahuddin memenangi Perang Hittin dan merebut kembali Al-Quds.
Nampak seakan-akan permainan seorang, tetapi Salahuddin tidak akan berjaya melakukannya tanpa usaha orang yang mendahuluinya.
Gerakan kolektif.
Lalu, Ada Apa Dengan YouthACE?
YouthACE adalah sebuah program untuk mengumpulkan, mendidik dan mencetuskan inspirasi dalam kalangan anak muda agar kita bangun bersama sebagai sebuah gerakan kolektif dalam mengubah masa depan ummat dan negara.
Saya tidaklah mahu memanjangkan kalam saya tentang YouthACE ini kerana ia telah diterangkan dengan detail oleh sahabat saya, Hilal Asyraf dalam artikelnya ini (YouthACE – Mengapa Dianjurkan?).
Hanya saja saya meletakkan cita-cita dan harapan agar kita dapat membentuk lebih ramai pemuda yang memiliki semangat Islam, kefahaman yang benar diiringi dengan cita-cita setinggi akhirat.
Sebagaimana contoh yang telah saya bawakan dari Al-Fatih dan Al-Ayyubi itu, begitulah sedikit sebanyak kita mahu contoh-contoh itu mengesani diri kita melalui ketinggian cita, ketelitian perancangan hidup untuk diri dan ummat didasarkan oleh kefahaman yang benar dan keyakinan yang kuat di hati terhadap Allah.
Satu dua orang bekerja tidak akan memberi kesan besar.
Kita telah lihat sejarah Al-Fatih, telah pernah mendengar kisah Al-Ayyubi. Hasil besar mereka tercapai kerana gerakan kolektif terutama dalam kalangan anak muda itu berlaku.
Ikon, tokoh semata-mata tidaklah akan berjaya dan memberi impak besar dalam perubahan. Berapa ramai sudah ikon kita perhatikan bergerak di pentas masyarakat, namun sejauh manakah kesan jika kita bandingkan dengan bayangan sekelompok anak muda yang bergerak bersama atas dasar kefahaman Islam yang benar kemudian membumikan pula kefahaman itu secara seimbang di dalam kehidupannya.
Islam pasti dapat dizahirkan dengan lebih harmoni. Ramai orang lebih selesa melihat wajah Islam. Kemudian kita memiliki jiwa-jiwa muda muslim yang bukan sahaja berketrampilan dalam dakwah dan seni hidupnya, tetapi juga memiliki wibawa dalam idea dan aktivisme bermasyarakat.
Besar harapan melihat YouthACE mampu menjadi antara akademi anak muda tempat mendidik dan membentuk lebih ramai jiwa yang mahu berkhidmat untuk ummat.
Penutup : Mari Mendaftar Untuk YouthACE !
YouthACE pastinya tidak menjanjikan para pesertanya untuk jadi sehebat Al-Fatih atau Al-Ayyubi pasca graduasinya. Tidak mungkin kerana proses melahirkan orang sehebat Al-Fatih atau Al-Ayyubi itu pun memakan beberapa tahun lamanya.
Hanya saja, di saat beberapa tahun yang lama itu, ada waktu-waktu kemuncak yang menjadi momentum kebangkitan diri mereka.
Maka, begitulah kami harapkan, agar dapat menyediakan ruang semisal itu yang menjadi medan mencetuskan kebangkitan dan perubahan diri yang seterusnya akan menyulur pula semangat itu ke dalam perubahan masyarakat.
Mari Mendaftar untuk YouthACE.
Detail program ada di http://youthace.langitilahi.com/
Pendaftaran juga boleh dilakukan di sana.
Ikuti juga maklumat lanjut di FB kami. https://www.facebook.com/langitilahi
Pemuda cintakan perubahan !
The post YouthACE – Menggerakkan Para Pemuda Secara Kolektif appeared first on Langit Ilahi.
March 12, 2014
YouthACE – Pertandingan Daftar Peserta Teramai.
[Pertandingan Daftar Peserta Teramai YouthACE2014]
Kehangatan #YouthACE2014 semakin terasa.
Semakin ramai yang mendaftar untuk menyertai YouthACE2014. Alhamdulillah. Bahkan ada yang mendaftar secara beramai-ramai. Kami di pihak penganjur sangat terharu atas sambutan dan sokongan ini.
Terima kasih kami ucapkan.
Bagi menghargai sambutan hangat ini, kami melancarkan sebuah pertandingan – Pertandingan Daftar Peserta Teramai YouthACE2014.
Hadiah Daftar Paling Ramai – RM1000
Hadiah Daftar Kedua Paling Ramai – RM700
Hadiah Daftar Ketiga Paling Ramai – RM400
[Sila Baca Arahan Berikut Dengan SANGAT TELITI]
1 – Perlu menjadi peserta YouthACE(berdaftar sekali)
2 – Penyertaan dikira dengan sekali pendaftaran sahaja.
3 – Pendaftaran diemailkan terus kepada youthace@langitilahi.com beserta bukti pembayaran yuran. Hanya tukang pendaftar sahaja yang perlu berikan nama, nombor ic, email dan nombor telefon, dan di dalam email tersebut perlulah dinyatakan mahu makanan atau tidak(PERINGATAN. Jikalau anda ingin makanan disediakan, anda perlu tambah RM15 untuk setiap orang peserta yang hajatkan makanan.)
4 – Yuran adalah kadar harga yang ditetapkan mengikut keadaan semasa. Jika ada harga promosi, ikut harga promosi. Jika harga promosi ada perubahan, ikut harga promosi yang terkini. Jika harga kembali kepada asal(tempoh harga promosi tamat), ikut harga asal. Alert dengan update harga di Page YouthACE dan Page Langit Ilahi.
5 – Bagi peserta yang telah mendaftar sebelum ini, anda juga boleh menyertai pertandingan ini dengan cara ‘menambah’ orang yang berdaftar di bawah anda. Laksanakan step nombor 3.
6 – Semua hanya boleh menyertai pertandingan ini sekali sahaja.
7 – Untuk peserta yang dah sedia daftar ramai, kami akan kira juga bilangan peserta anda. Jika mahu tambah lagi, macam yang telah dinyatakan, sekali cubaan sahaja dibenarkan.
8 – Tarikh Tutup: 9hb Mei 2014 atau apabila penyertaan sudah full house.
9 – Sebarang kemusykilan, sila hubungi email youthace@langitilahi.com
Pemenang akan diumumkan semasa malam anugerah YouthACE 2014, 10hb Mei 2014.
————————————
PERINGATAN BERKENAAN KADAR YURAN MENGIKUT TARIKH:
Harga Yuran #YouthACE2014
==========
Harga asal:
==========
Daftar seorang – RM80
Daftar 3 orang atau lebih – RM75(seorang).
==========
PROMOSI
==========
Daftar pada 15hb Feb – 15hb Mac:
Daftar seorang – RM55
Daftar 3 orang atau lebih – RM50(seorang).
Daftar pada 16hb Mac – 16hb April:
Daftar seorang – RM60
Daftar 3 orang atau lebih – RM55(seorang).
Daftar pada 17hb April – 30hb April:
Daftar seorang – RM70
Daftar 3 orang atau lebih – RM65(seorang).
Daftar pada 1hb Mei – 10hb Mei(walk in):
Pulang ke harga asal.
===================
Daftar lebih awal, yuran lebih murah!
*Namun ada kemungkinan juga, atas budi bicara pihak penganjur, akan ada perubahan dari segi tarikh-tarikh yang dinyatakan. Sekali lagi, sila alert dengan update harga di PageYouth ACE dan Page Langit Ilahi juga page Hilal Asyraf(Official).
===================
Jom ajak lebih ramai lagi untuk menyertai YouthACE2014!
http://youthace.langitilahi.com/
The post YouthACE – Pertandingan Daftar Peserta Teramai. appeared first on Langit Ilahi.
#PRAY FOR MH370
#PRAY FOR MH370
Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk saudara-saudara kita.
Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Bersangka baiklah kita kepada Pencipta kita.
Walaupun kita tidak mampu menolong dengan usaha yang besar, cukup lah dengan kita mendoakan yang terbaik buat mereka.
“ Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi”
(Hadis Riwayat Hakim)
Marilah kita kembali bermuhasabah diri kita. Bertaubat dengan dosa-dosa yang telah dilakukan.
InsyaAllah, semua yang akan baik-baik belaka. \(^_^)/
Mari menjadi Hamba!
~Muhammad Syahir
Jom sertai #YouthACE2014
Detail program & pendaftaran di:
http://youthace.langitilahi.com/
The post #PRAY FOR MH370 appeared first on Langit Ilahi.
March 11, 2014
Ujian membawa kepercayaan hidup bertuhan

~Keep Praying for MH370~
Sebagai muslim menjadi kewajipan kepada kita untuk membenarkan rukun iman yang menjadi tunjang utama dalam agama tanpa meninggalkan satupun darinya. Jika pelajaran metematik enam ditolak satu menjadi lima tetapi tidak dalam rukun islam yakni jika salah satu tidak dipercayai maka tertolak aqidah seseorang itu.
Menariknya dalam kebanyakan rukun iman yang sering disebut bersama dalam satu ayat dalam al-Quran tidak disertakan dengan beriman kepada qada’ dan qadar. Seperti firman Allah s.w.t:
semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. [Al-Baqarah:285]
Adakah ini bermaksud beriman dengan qada’ dan qadar bukan utama?
Mengapa tidak disertakan dalam ayat yang sama?
Beriman dengan qada’ dan qadar bukan suatu perkara yang mudah dari sudut praktikal. Teori secara asas seorang muslim itu perlu percaya bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuanNya malahan beriman dengan rukun keenam ini merupakan implikasi keimanan yang kukuh terhadap Allah s.w.t.
Kita mempercayai bahawa setiap perbuatan dan perlakuan manusia adalah pilihan dari manusia itu sendiri namun masih atas kekuasaan Allah s.w.t. Adapun dalam kehidupan manusia, wujud juga perkara yang tiada pilihan tentangnya. Antaranya adalah ujian dalam kehidupan. Tiada manusia yang suka akan derita atau ditimpa musibah. Justeru, terkadang manusia mudah rebah saat ujian menjengah. Pun begitu, ia sebenarnya merupakan antara tujuan manusia ini diciptakan. Allah s.w.t berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)
Ujian merupakan lumrah dalam kehidupan. Jika kita menghendaki sesuatu yang kita sukai perlu kita berusaha menggapainya. Dalam pada itu, kesempitan, kesukaran dan berbagai rintangan perlu ditempuhi untuk memenuhi cita-cita kita itu. Lebih-lebih lagi apabila kita mengharap redha Allah yang tiada tandingan jika hendak dibandingkan dengan apa jua bentuk kenikmatan. Namun, ujian di dunia sebenarnya bersifat sementara dan hanya untuk menilai tahap kesabaran manusia.
Hakikat dalam ujian adalah menentukan darjat seseorang insan di sisi Tuhan. Sama ada baik atau buruk semua terpulang kepada diri manusia itu sendiri. Tambahan pula, jika kita rujuk semula sejarah manusia-manusia yang berjaya yang telah dulu beriman sebelum kita sudah tentu dalam kehidupannya tidak pernah sunyi daripada menghadapi ujian.
Kembali semula meneroka sejarah hidup baginda s.a.w, Penahkah kita bilang berapa kali baginda dicaci maki? Berapa kali batang tubuh baginda disakiti? Berapa kali baginda digelar itu dan ini? Bukankah baginda seorang nabi?
Justeru, adakah patut bagi diri insan yang hina tidak semula nabi yakin mendapat reda-Nya jika tidak teruji? Sedangkan baginda menghabiskan seluruh kehidupannya dengan menyebarkan kebaikan walhal kita sering hidup dengan penuh kepura-puraan.
Oleh itu, sedarlah wahai insan, kita diuji bukan bermakna Allah menjauhkan kita dengan-Nya. Bahkan manusia yang teguh dan sabar dalam menempuhi ujian ini hakikatnya dia lebih dekat dengan Allah s.w.t. Di samping itu, apabila manusia diuji sebenarnya Allah sedang berbicara dengannya kerana Allah mahu kebaikan tersemat dalam jiwa hamba. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki akan memperoleh kebaikan maka Allah akan timpakan kepadanya musibah padanya baik yang mengenai tubuhnya atau hartanya atau apa-apa yang menjadi kekasihnya”.( HR Bukhari )
Ujian membawa kepada kepercayaan hidup bertuhan
Dalam kaedah memahami aqidah (qawaid aqai’d) ada disebutkan bahawa percaya akan kewujudan tuhan yang Esa dan berkuasa ats segalanya itu adalah fitrah manusia bahkan seluruh makhluk di atas muka bumi ada firasat yang sama.
Teringat akan suatu kisah yang diceritakan oleh Dr. Alaa’ Hilat (pensyarah jabatan aqidah University Yarmouk) yang mengisahkan akan wujud fitrah ketuhanan dalam diri insan.
Majalah Reader’s Digest pernah menyiarkan tentang suatu peristiwa yang pernah berlaku pada zaman perang dunia kedua tentang kaedah ini. Kisah ini berlaku kepada seorang tentera Jerman. Dia merupakan seorang atheis dan tidak pernah mengenali sebarang jenis agama sepanjang kehidupannya. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak pernah menyebut tentang agama. Malah, dia juga belajar di sekolah yang tidak menitikberat soal agama.
Negara Jerman merupakan negara pertama dalam sejarah peperangan yang melakukan strategi menghantar tentera dari udara melalui payung udara terhadap Poland pada ketika itu yang menjadi pertempuran pertama dalam perang dunia kedua. Ketika tiba hari peperangan tersebut, tentera tersebut merupakan orang pertama yang diarahkan untuk melakukan terjunan.
Dalam perasaan gundah, dia terjun dari ketinggian yang melebihi 1000 kaki. Oleh kerana terlalu melayani perasaan takut, dia menjadi sukar untuk membuka payung udaranya hingga suatu ketika dia tersebut perkataan “Ya Allah” secara tidak sengaja. Akhirnya dia berjaya mendarat dengan selamat tetapi dia terdiam selama beberapa minit. Dia bermonolog kepada dirinya “mengapa aku menyebut perkataan itu? Bagaimana aku boleh menyebut sebegitu”. Setelah beberapa tahun, dia telah mempercayai tentang kewujudan tuhan rentetan daripada peristiwa tersebut. Namun, agama yang dipilihnya ialah Kristian.
Fitrah manusia diciptakan mempercayai kewujudan tuhan. Terutama saat ditimpa musibah dan ujian. Ketika mana alatan canggih tidak dapat menyelamatkan manusia dari bencana, ketika kepakaran manusia tidak dapat menyelesaikan misi hingga berjaya, maka tiadalah pengharapan yang lebih utama oleh seseorang biarpun bukan muslim akan satu kuasa yang tiada tandingannya.
Namun beruntung bagi orang beriman, ujian tidak datang dan pergi begitu sahaja tetapi datang menguatkan dasar percaya bahawa tiada yang berkuasa menghalang jika Allah menghendaki sesuatu peristiwa terjadi mesti dilihat ajaib pada pandangan manusia, dan tidak ada yang bisa melakukan sesuatu kesulitan terhadap pihak yang lain jika Allah menghalangnya.
platform peringatan
Terkadang manusia ini hidup yang dipenuhi dengan perkara gembira dan senang semata-mata hingga melalaikan ramai manusia dari pencipta-Nya. Ingatan kita kepada adanya kehidupan akhirat yang kekal selamanya seolah pudar tak berwarna. Bukan menafikan adanya kehidupan setelah dibangkitkan, tidak pula percaya dunia ini berkekalan, tetapi kerana sifat berlebihan cintakan dunia yang menjadi asuhan menjadikan manusia alpa tujuan sebenar manusia dicipta. Allah s.w.t berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Adz-Zariyat:56]
Oleh itu, manusia yang bijak sentiasa kembali kepada mengingati hakikat penciptaan dirinya. Mereka ini yang akan berjalan di atas bumi dalam keadaan penuh ketenangan walaupun derita datang menghimpit diri, atau nikmat datang menguji masih tetap teguh atas landasan keimanan.
Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya. Dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.[HR Muslim]
sekadar kemampuan insan
“Allah tidak membebani manusia melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah:286)
Begitu bunyi ayat Allah menggambarkan kepada manusia sebenarnya Dia tidak memberatkan manusia dengan apa yang tidak mampu untuk dilakukan. Namun, mengapa masih ada manusia seakan-akan tidak dapat menerima ujian dari-Nya?
Maha suci Allah daripada tidak tahu tahap keupayaan manusia. Hakikatnya, tahap keupayaan seseorang insan itu ditentukan oleh dirinya sendiri. Sejauh mana dia ingin membawa diri jika ditimpa kesusahan atau sekuat mana dia mampu mendepani segala permasalahan dalam kehidupan semuanya bergantung pada kekentalan jiwa insan yang dibina dengan keimanan dan sangka baik kepada Allah.
Allah menguji seseorang dengan kemampuannya. Disebalik itu, Dia menyediakan balasan setimpal dengan ujian yang telah ditetapkan dengan syarat perlu terbit dalam jiwa manusia itu rasa redha dengan ketentuan-Nya. Nabi s.a.w ada bersabda daripada Abu Hurairah r.a:
“Tidak ada balasan bagi seseorang hambaku yang mu’min di sisiKu di waktu aku mengambil kekasihnya dari ahli dunia, kemudian ia mengharapkan keredhaan Allah melainkan orang itu memperoleh syurga.”(HR Bukhari)
Proses peningkatan iman
Iman manusia meningkat dan menurun. Meningkat apabila dilimpahi dengan ibadat, menurun apabila melakukan maksiat. Ujian dalam kehidupan merupakan elemen yang Allah tetapkan untuk menilai tahap keimanan seseorang sama ada tertingkat atau sebaliknya. Allah berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut:2)
Begitulah hakikat keimanan. Ia bukanlah angan-angan atau mimpi. Tetapi ia adalah apa yang tersemat kukuh di dalam jiwa insan dan terzahir dengan amalan yang menjadi bukti. Keberjayaan ujian pada setiap manusia dinilai dengan tahap kesabarannya menempuhi segala cabaran kerana orang-orang bersabar ada bersama-sama mereka naungan Allah s.w.t.
Kondisi Sabar
Sabar boleh dibahagikan kepada beberapa kondisi dalam kehidupan manusia seperti yang digariskan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam bukunya ‘Kaedah dalam Bersabar’ antaranya:
1. Sabar dalam ketaatan hingga dia melakukannya
Dalam melakukan perkara kebaikan, kesabaran amat diperlukan. Hal ini kerana dalam jiwa manusia sentiasa ada musuh yang menghasut untuk membuat kejahatan. Di tambah pula dengan realiti hidup manusia sekarang ini di mana orang yang melakukan sesuatu kebaikan dianggap sebagai sesuatu yang ganjil. Justeru, dalam melakukan kebaikan tidak dapat tidak perlu seiring dengan kesabaran.
2. Sabar dalam kemaksiatan hingga dia meninggalkannya
Kata ulama’ salaf Sahl bin Abdullah:
Bukanlah orang membuat kebaikan itu digelar kekasih Allah, tetapi orang yang meinggalkan larangannya kerana tidak seorang itu meninggalkan maksiatnya kecuali dia benar dekat dengan Allah, walhal kebaikan boleh dilakukan oleh orang yang baik atau sebaliknya tetapi meninggalkan maksiat hanya bagi orang yang benar.
Sabar ini bukanlah bermaksud apabila kita ingin membuat keburukan perlu ada kesabaran. Namun, ia adalah sejauh mana kita dapat menahan diri kita untuk tidak melakukan maksiat berkenaan. Tambahan pula, dalam perkara yang melibatkan kemaksiatan, banyak faktor-faktor yang melorong manusia kea rah berkenaan. Natijahnya, kesabaran dalam kemaksiatan adalah suatu tuntutan.
3. Sabar dalam ujian
Seperti yang saya sebutkan tentang persoalan yang diajukan kepada saya di atas juga dalam apa bentuk ujian dalam kehidupan manusia, sabar amatlah dituntut kerana tanpa kesabaran manusia akan hilang arah. Mula dia menyalahkan Allah atas segala musibah. Jadi, kesabaran dalam situasi ini amat penting supaya manusia sekurang-kurangnya bersangka baik dengan Allah atas segala masalah.
Musibah ada dua:
i- Perkara yang tiada pilihan bagi makhluk tentangnya
Sakit dan ujian
Mudah untuk bersabar kerana manusia dapat melihat padanya adalah qadaa’ dan ujian darinya, sabar secara keterpaksaan atau pilihan. Sesungguhnya Allah akan membuka bagi mereka yang menerima musibah ini kepada memperbanyakkan bersyukur dan redha dengan keadaannya. Namun, perasaan syukur ini bergantung kepada kekuatan jiwa dan hubungan seseorang itu kepada Allah s.w.t.
ii- Musibah yang terjadi kepada manusia disebabkan perbuatan manusia yang lain dari sudut hartanya, keturunannya, atau dirinya sendiri
Sukar untuk sabar kerana jiwa merasa terseksa akan perbuatan tersebut dan membencinya dan selalunya merasa dendam dan ingin membalasnya semula perbuatan yang serupa bagi si pembuat, dan kesabaran ini biasanya dapat dilakukan oleh para nabi dan rasul dan orang-orang yang benar.
Doa nabi apabila disakiti:
Moga Allah rahmati Musa a.s kerana sesungguhnya dia telah disakiti lebih dari ini dan dia bersabar. [HR Bukhari]
Manfaat yang manusia dapat doa nabi s.a.w ini untuk memupuk sifat sabar adalah dengan tiga perbuatan utama yakni:
Memaafkan mereka
Memohon ampun buat mereka
Kesimpulan: Jalan penghapus dosa
Kesabaran dalam ujian itu adalah satu perkara yang sukar kerana ia melibatkan pelbagai bentuk pengorbanan. Adapun mereka yang berusaha mencapainya dengan bacaan tentang sejarah orang-orang yang sabar dan ganjaran bagi mereka serta bersyukur dengan kenikmatan yang diberikan pasti akan memperoleh kejayaan kalau bukan di dunia pasti di akhirat sana. Teliti hadis baginda s.a.w ini sebagai pemangkin semangat dalam diri kita untuk sama-sama tanamkan sifat sabar dalam jiwa:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang lain dan derita sehingga sebatang duri menikamnya kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosanya”. (HR Bukhari)
Akhir sekali, pembaca mungkin sedia maklum akan tragedi kehilangan pesawat MH370 ini. Nasihat saya jauhi daripada teori-teori yang karut bahkan yang boleh sampai ke tahap syirik. Nilai berita dengan baik. Jauhi daripada bersangka-sangka kepada mana-mana pihak. Jangan menjadikan isu bahan jenaka kerana ia adalah peringatan khusus bagi mereka yang mungkin berada di dalamnya juga peringatan umum kepada semua manusia sejauh mana pergantungan kita terhadap-Nya dalam kehidupan kita.
Teruskan Berdoa!
The post Ujian membawa kepercayaan hidup bertuhan appeared first on Langit Ilahi.
Pemuda Al-Kahfi?

Zaman muda adalah zaman yang indah, banyak perkara yang dipelajari. Namun janganlah kita leka dengan melakukan perkara yang sia-sia, sebaliknya gunalah masa muda ini dengan menambah amal ibadat kita sebelum tiba masa tua nanti.
The post Pemuda Al-Kahfi? appeared first on Langit Ilahi.
March 9, 2014
Rapuhnya Cita Pemuda
Saya pernah mengikuti kursus kejurulatihan yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan. Haluan. Ia diadakan di Tapah, Perak. Seingat saya, sudah lebih 3 tahun program itu berlalu. Agak saya, hampir kesemua peserta berpuas hati dengan program 3 hari 2 malam tersebut. Manfaatnya terlalu banyak.
Ada perkara yang sentiasa segar dalam ingatan saya sehingga kini. Dua orang syeikh daripada Mesir dijemput untuk berkongsi rasa hati dan nasihat. Seorang syeikh menyebut tentang perihal pemuda. Sangat menarik. Sebuah kisah dibawakan kepada kami.
Begini.
Seorang pengintip pernah dihantar ke beberapa buah negara untuk mengikuti perkembangan pemuda-pemuda islam suatu ketika dahulu. Suatu hari dia terlihat seorang pemuda menangis teresak-esak. Dia menghampiri lalu bertanya.
“Kenapa teruk sekali engkau menangis wahai anak muda?”
“Aku sangat kecewa dengan diriku. Setiap hari aku berlatih memanah burung. Biasanya dua ekor burung akan tumpas pada setiap satu panahku. Hari ini satu panah cuma satu burung yang berhasil. Bagaimana aku mahu menumpaskan musuh islam dengan begitu hebat nanti.”
Pengintip tersebut terdiam dan berlalu. Dia pulang ke negaranya dengan khabar menakutkan.
“Jangan menyerang umat islam sekarang. Mereka terlalu kuat. Pemuda-pemuda mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan islam. Cita-cita mereka hebat dan menggerunkan. Jika kita serang mereka ketika ini tentu kita akan kalah teruk!”
Tahun demi tahun berlalu. Serangan pemikiran dilancarkan. Budaya kehidupan yang jauh daripada islam diperkenalkan. Ia begitu mendapat sambutan. Akhirnya pengintip tersebut dihantar untuk kali kedua.
Apa yang pernah terjadi sebelum ini berulang lagi. Namun ia agak berbeza.
Seorang pemuda sedang menangis dengan teruk. Pengintip tersebut menghampiri lalu bertanya soalan yang sama ditanya beberapa tahun terdahulu.
“Apakah yang menyebabkan engkau menangis teruk begini?”
“Aku sedang putus cinta. Aku tidak tahu apakah silapku yang menyebabkan perempuan tersebut meninggalkan aku lalu pergi mengikuti lelaki lain. Aku sudah tidak rela meneruskan hidup.”
Jawapan pemuda kali ini membuatkan pengintip tersenyum. Dia lekas pulang membawa khabar gembira.
“Masanya sudah tiba. Ummat islam sedang lemah. Pemuda mereka sudah tidak bercita-cita seperti dahulu. Mereka kini ibarat kijang yang ketakutan. Kita serang mereka sekarang, nescaya kita akan menang!”
Lalu angkatan tentera kafir meruntuhkan satu demi satu negara-negara islam. Pemudanya ditebas leher mereka. Sebuah tamadun islam tersungkur kerana kekuatan pemudanya luntur.
Allahu Allah. Kisah yang dibawakan syeikh memberi gambaran dasyat tentang keadaan ummat kini. Betapa bila-bila masa kita akan jatuh ditangan musuh-musuh. Pemuda kita lemah. Akhlaknya musnah. Kita sendiri sangat tahu akan hal tersebut.
Rapuhnya cita-cita
Saya orang muda. Ya. Saya juga bersahabat dengan orang-orang muda. Tentulah saya boleh melihat kerangka hidup seorang remaja secara jelas. Saya sedang melaluinya.
Cita-cita pemuda hari ini apa sebenarnya? Cuba tanyakan kepada diri. Lihat sendiri pada realiti.
Kalau saya, saya mahu cemerlang dalam pelajaran. Saya mahu mempunyai kerjaya yang baik kelak. Setidaknya saya tidak bermasalah dengan ekonomi negara yang semakin tenat. Saya mahu berkahwin. Memiliki rumah, kenderaan dan hidup bahagia dengan anak-anak. Lalu apa? Mati?
Ah, betapa ruginya. Benar. Begitulah cita-cita kebanyakan pemuda kini. Ia tidak boleh terhenti disitu.
Kita orang muda. Kita ada perjuangan yang perlu diselesaikan. Kita mahu menegakkan islam dalam diri, keluarga, masyarakat, dan ummat. Biar kita jadi pemuda yang bermaruah. Bermaruah kerana memiliki cita-cita.
Bukan sekadar hidup santai, seronok dan glamour. Sibuk dengan cinta-cinta murahan yang langsung tidak membina karakter. Menghabiskan sebahagian besar daripada umur pemuda dengan games, movie dan novel semata-mata. Kita tidak akan ke mana-mana. Kepada siapa harapan kebangkitan ummat ini kalau bukan orang-orang muda?
Sahabat-sahabatku orang muda. Marilah bersama kita kukuhkan cita-cita.
Kita mahu mengejar akhirat.
Kita mahu bermanfaat kepada ummat.
Siapa lagi kalau bukan kita? Ya. Kita.
The post Rapuhnya Cita Pemuda appeared first on Langit Ilahi.