Hilal Asyraf's Blog, page 75

February 15, 2014

Umum: Pendaftaran untuk YouthACE 2014 dibuka!

[image error]


YouthACE(Youth Awards, Convention and Exhibition) 2014, adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. Ia merupakan program besar yang menjadi tempat para pemuda-pemudi, belia, untuk berhimpun mendapatkan input bermakna, mencungkil potensi dan menambah jaringan untuk manfaat masa hadapan.


Tema tahun ini: Pemuda dan Perubahan.


Tempat: masih belum dipastikan, tetapi di area KL/Selangor.

Masa: 07.00am-10.45pm

Tarikh: 10hb Mei 2014

Yuran asal: RM80 seorang, RM75(seorang) jika mendaftar tiga orang atau lebih bersama-sama.


Yuran Promosi:

Valid hingga 15hb Mac 2014 – RM55 seorang, RM50(seorang) jika mendaftar tiga orang atau lebih bersama-sama.


Pendaftaran telah dibuka.

Daftar segera di: http://youthace.langitilahi.com/


Detail Program:


YouthACE terbahagi kepada tiga komponen – Awards(anugerah), Convention(konvensyen) dan Exhibition(pameran).


Berikut ialah apa yang mengisi YouthACE 2014

==========

Convention:

==========


“Pemuda dan Perubahan”

oleh Hilal Asyraf.


“Semangat Al-Fatih: Membuka Kemenangan Hari Ini”

oleh Ustaz Syaari Rahman.


“Pemuda dan Aktivisme”

oleh Dr Baharuddin Suri.


“Forum Pemuda Intelek – Taruhan Masa Hadapan.”

Moderator: Aiman Azlan.

Panel: Dr Maszlee Malik, Ustaz Zaharuddin dan Prof Agus Yusoff.


“Bual Bicara: Aku Pernah Muda”

oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan dan Sister Rusni Tajari.


“Pidato Pemuda dan Masa Hadapannya.”

oleh Tuan Razali Maarof.


“Pidato YouthACE”

oleh Aiman Azlan.


Kemunculan Khas di YouthACE 2014


Ulwan Mokhtar

Aisyah Syakirah.

Qawiem Khairi.

Anwar Hadi.


YouthACE 14

============

Awards yang dipertandingkan:

============


- Vlogger Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Penasyid Terbaik – Hadiah: RM1000 + Piala

- Short Filem Terbaik – Hadiah: RM1500 + Piala

- Penulisan Artikel Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Penulisan Cerpen Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Rekaan Poster Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Fotografer Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- Komik Terbaik – Hadiah: RM700 + Piala

- The Best Essay – Hadiah: RM700 + Piala

- The Best Poetry – Hadiah: RM1000 + Piala


*Peserta YouthACE 2014 tidak wajib menyertai pertandingan-pertandingan ini, namun peserta pertandingan-pertandingan ini wajib menjadi peserta YouthACE 2014.

*Pertandingan-pertandingan ini akan bermula selepas 15hb Februari 2014. Syarat-syarat pertandingan boleh dirujuk di bahagian ‘pertandingan’ pada link http://youthace.langitilahi.com/


==============

Exhibition:

==============


Pameran pendidikan.

Pameran Misi Kemanusiaan.

Pameran Pemuda Dalam Lipatan Sejarah.


Bonus: Persembahan Nasyid daripada Mr Bie dan Kumpulan Mirwana!

———————–


1606967_10203057323455336_1227306510_n

Jika berminat, daftarlah segera.


Sebar-sebarkan juga kepada rakan-rakan, sanak-saudara, adik-beradik!


Pemuda dan Perubahan.

Mari Menjadi Hamba!


#YouthACE2014


The post Umum: Pendaftaran untuk YouthACE 2014 dibuka! appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2014 16:40

Antara Adab Islam 2 : Memberikan Salam



salam ~pic by shajanahmed.wordpress.com



Menyambung siri adab dalam Islam dari tulisan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Kali ini memasuki bab memberikan salam.


Sekiranya kamu memasuki rumah atau keluar darinya, maka berilah salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya sama ada wanita atau lelaki. Berilah salam dengan ucapan salam yang diajarkan oleh Islam :


“Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.”


Jangan engkau tukar ucapan selamat ini kepada selainnnya seperti ‘Sobahul khair (selamat pagi)’, ‘marhaban (selamat datang)’ atau yang seumpamanya.


Bila engkau menukarkan ucapan selamat itu kepada selain dari salam, maka engkau telah mematikan roh salam itu, sedangkan ia adalah syiar Islam dan petanda bagi orang-orang Islam yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri melalui percakapannya dan perbuatannya kepada mereka.


Baginda s.a.w. telah mengajarkan hal itu kepada khadamnya yang mulia, iaitu Anas. Anas r.a. telah berkata, Rasul s.a.w. pernah bersabda padaku :


“Wahai anakku, sekiranya kamu masuk ke dalam kalangan ahli keluarga kamu, maka berilah salam, nescaya akan diberkati dirimu dan ahli keluargamu.” [HR Tirmizi]


Qatadah, salah seorang tabiin agung yang terkenal berkata : Sekiranya kamu masuk ke dalam rumahmu dan memberi salam kepada ahli keluarga kamu, maka mereka itu lebih berhak ke atas salam yang diberikan oleh engkau.


Abu Hurairah r.a. berkata, Rasul s.a.w. pernah bersabda : “Sekiranya salah seorang daripada kamu telah selesai (urusannya) di dalam majlis, maka berilah salam (ketika mahu meninggalkan majlis). Sekiranya dia mahu bangun, maka berilah salam. Tidaklah dunia ini lebih berhak berbanding akhirat.” [HR Tirmizi]


 


Ulasan


Memberikan salam adalah jajaran adab yang sememangnya dituntut oleh Allah s.w.t. sendiri di dalam Al-Quran yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sehinggalah kamu meminta izin mereka dan memberi salam kepada ahli rumah itu…” [An-Nur : 27]


Memberikan salam adalah sebagais atu simbolik bahawa kita datang dalam keadaan mahu membawa kesejahteraan dan pulang pun dengan meninggalkan orang dalam keadaan yang sejahtera.


Dalam kata lain, salam mendidik kita agar tidak menjadi pengundang masalah atau pencetus keresahan dalam kehidupan orang.


Berilah salam, kerana salam itu ertinya mahu membuatkan orang merasa damai dengan keberadaan dan kehadiran kita.


Berilah salam, kerana salam itu tandanya kita menjaminkan keamanan dan kenyamanan orang lain dengan kedatangan kita.


Berilah salam beserta senyuman, kerana ia bukan sekadar satu sunnah ikutan, tetapi teladan memaknakan suasana bermasyarakat.


Jangan lokek untuk memberikan salam hatta kepada saudara-saudara kita yang kita berjumpa dengan mereka di tepi jalan sekalipun. Memberikan salam tidak pernah merugikan kita, bahkan memberikan salam itu membina hubungan insan, merapatkan jurang antara yang jauh, membuang rasa ananiah (sikap individualisme) yang menebal dalam diri kita.


Mari biasakan memberi salam. Namun jangan hanya sekadar menjadi rutinan harian.


Bila kita memberikan salam, ingatlah bahawa kita sedang memberikan jaminan kedamaian kepada saudara kita.


Berilah salam !


The post Antara Adab Islam 2 : Memberikan Salam appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2014 12:25

February 14, 2014

Bisnes LangitIlahi.

Tim LangitIlahi 2014

Barisan Tim LangitIlahi 2014


Semasa saya baru grad dari Yarmouk University, Jordan, saya menghadiri Program Sambutan Ulangtahun ke-15 SaifulIslam.Com, milik Ustaz Hasrizal Jamil. Saya masih ingat, program itu diadakan di KUIS, pada sekitar Jun 2012. Saya baru grad tidak lebih sebulan ketika itu.


Di dalam program tersebut, ada satu slot yang salah seorang penyampainya ialah Abang Ammar, pemilik Brotherhood Arts dan DeenPrints. Usai slot beliau, saya duduk di sebelahnya. Kami berkenalan dan bertukar idea. Saya masih ingat antara perkara yang ditanya oleh beliau kepada saya:


“Apa bisnes LangitIlahi?”


Kemudian saya menerangkan panjang lebar. Akhirnya Abang Ammar menyimpulkan:


“Kalau macam itu(macam mana saya terang panjang lebar itu), maknanya bisnes LangitIlahi ialah hendak mencetak manusia.”


Saya tersentak. Seakan itulah jawapan yang saya cari selama saya menggerakkan LangitIlahi.



Jatuh Bangun Membina Identiti


Seorang usahawan yang saya kenali pernah berkata kepada saya, bahawa 5 tahun pertama dalam perniagaan tidak mempunyai makna apa-apa. Sekiranya rugi besar pada ketika itu, ianya bukan bermakna kegagalan. Jika untung besar pada ketika itu, ianya bukan bermakna kejayaan. 5 tahun pertama adalah masa untuk mencuba-cuba dan mencari tapak, seterusnya merancang untuk konsisten selepas mendapat rentak.


Semenjak selepas grad dan pulang ke Malaysia pada 27hb Mei 2012 hingga 31hb Disember 2013, saya mengalami pelbagai perkara. Walaupun gagasan ‘mencetak manusia’ itu seakan telah jelas kepada saya, namun perjalanan untuk memanifestasikannya menggunakan platform LangitIlahi masih samar.


Antara faktor utama adalah kerana LangitIlahi tidak mempunyai full timer. Saya seorang sahaja yang full time.


Faktor kedua, bukan semua mereka yang bersama LangitIlahi itu, mahu menjadikan LangitIlahi sebagai projek utama kehidupan mereka. Part timer yang bermanfaat hanyalah part timer yang menjadikan part timenya sebagai prioriti nombor satu selepas apa yang dilaksanakannnya sebagai fulltime. Contoh, full time pelajar, tetapi part time Tim LangitIlahi. Namun ramainya adalah full time ‘something’, seterusnya part timenya selain LangitIlahi, dia ada komitmen dengan banyak perkara lain.


Jadi yang kurang hakikatnya adalah komitmen.


Memang sukar. Saya cuba mengusahakan pelbagai cara dan jalan agar apa yang saya bayangkan itu boleh menjadi. Namun gagal dan gagal. Ia tidak membumi. Tetapi saya tidak berputus asa. Apa yang mampu saya usahakan, saya usahakan. Apa yang mampu saya teruskan, saya teruskan.


LangitIlahi juga mengalami beberapa pengkhianatan, penipuan dan salah laku daripada pelbagai pihak. Namun saya tetap tidak mengalah. Hati saya kuat merasakan bahawa LangitIlahi adalah medan yang saya perlu usahakan. Saya kira, LangitIlahi ini akan menjadi satu perkara yang signifikan satu hari nanti. Maka saya tidak jemu merombak semula dan menyusun kembali perjalanan/konsep LangitIlahi.


Hinggalah akhirnya Allah SWT membuka jalan.


 


Pembumian Konsep ‘Mencetak Manusia’


Rata-rata program motivasi kelemahannya ialah mereka datang dan tinggal. Saya pernah pergi kepada seorang motivator yang sangat sangat sangat terkenal di Malaysia ini. Saya bertanya kepada beliau: “Berapa banyak dah peserta semua program?” Dia menjawab: “Mungkin dah cecah juta Hilal.” Kemudian saya bertanya: “Mereka semua ni, ada follow up ke?” Dia membalas: “Mana sempat Hilal, tak mampu. Ramai.”


Saya kira di sana ada kerugiannya. Walaupun memang sukar hendak melakukan follow up dengan bilangan peserta yang ramai, dan program yang banyak. Namun saya kira apa yang saya mahu usahakan ialah agar manusia-manusia itu tidak sekadar didatangi motivasi, tetapi juga diajak menjalani proses tarbiyah yang panjang, membentuk diri. Awal penawanan hati adalah dengan artikel di website, seminar, program motivasi, jualan baju dan buku atau button badge, dan semua itu mestilah diikuti dengan program-program yang dapat mengikat rabitah hati, membina peribadi, agar semua angka-angka ini menjadi angka yang bermakna untuk ummat.


Saya tidak mahu LangitIlahi ini jadi tempat kutip duit untuk kesenangan peribadi. Saya mahu ianya ‘melahirkan’ sesuatu yang memberikan impak kepada ummah. Saya tidak mahu LangitIlahi sekadar menjadi ‘candu’, namun saya mahu ianya menjadi sebuah seruan kebangkitan daripada lena.


Akhirnya saya mula dapat melihat ‘flow’ yang patut saya usahakan.


Semuanya apabila Allah SWT menguji saya dengan beberapa siri pengkhianatan dan penipuan. Saya seakan dipaksa terdorong ke satu bahagian hidup, yang tidak pernah saya jangkakan. Saya buat apa yang selama ini saya tak terfikir untuk buat. Dan jalan itu dipermudahkan Allah SWT. Semakin hari semakin berkembang dengan baik.


Menyebabkan saya fikir, mungkin beginilah yang patut saya usahakan. Saya tidak dapat hendak menceritakannya secara detail, kerana ianya masih bersifat eksperimentasi. Namun sudah ada beberapa output daripada apa yang telah diusahakan.


 


Hasil


Salah satu cabang LangitIlahi yang utama ialah LangitIlahi.Com


Sebelum ini, LangitIlahi.Com berperanan sekadar medan perkongsian penyampaian daripada saya dan rakan-rakan. Namun selepas saya mendapat idea dengan izin Allah SWT, LangitIlahi.Com kini dilihat sebagai medan untuk melatih potensi yang ada.


Antara contoh yang telah berjaya ialah Afdholul Rahman Che Ani. Dia asalnya menulis blog sendiri. Hanya ada sekumpulan orang sahaja mengikutinya, dan orang-orang itu hanyalah orang-orang yang memang hidup bersamanya. Namun apabila dia memasuki LangitIlahi.Com dan mula mengarang di sana, pembaca LangitIlahi.Com yang sebelum itu merupakan pembaca-pembaca karya saya mula membaca pula karya Afdholul Rahman.


Afdholul Rahmanx

Afdholul Rahman of LangitIlahi


 


Pada masa yang sama, dari masa ke semasa, dengan perbincangan dan penambahan ilmu sesama Tim LangitIlahi, skill penulisan Afdholul Rahman meningkat. Artikel beliau juga semakin banyak. Maka saya melihat sudah tiba masanya Afdholul Rahman ditonjolkan selangkah lebih lagi, dengan saya memperkenalkan karyanya kepada penerbit buku dengan awalnya mengajak Afdholul Rahman bergabung bersama dan beberapa penulis LangitIlahi yang lain menghasilkan sebuah buku. Itu menginspirasikan Afdholul Rahman, menyuntik semangat beliau, sekaligus membuatkan beliau terus melakukan peningkatan. Dan akhirnya beliau berjaya menyempurnakan pula sebuah lagi buku, berseorangan.


Buku Motivasi Keimanan Adalah Paksi Pimpin Aku


InsyaAllah, dalam tahun ini, Afdholul Rahman Che Ani akan ada buku hasil karyanya sendiri sepenuhnya.


Kini saya menggalakkan Afdholul Rahman untuk mula mengasah potensi berbicara beliau, dengan memberikan penyampaian di YouTube dalam siri Siyatul Qulub di Channel LangitIlahi.


Itu satu contoh. Contoh yang lain, adalah Tim Komik LangitIlahi – NorIhsan, SisFaeez dan MutiaraMohamad.


Tim Komik Senior

Dari kiri: NorIhsan, SisFaeez dan MutiaraMohamad


Mereka bertiga pun seperti Afdholul Rahman. Asalnya melukis di tempat masing-masing. Tidak ramai audiens. Maka LangitIlahi.Com memberikan audiens kepada mereka, di samping dengan bergerak secara berkumpulan, mereka ada teman berbincang, teman memberikan komentar, teman untuk menyuntik semangat bekerja. Alhamdulillah, dari hari ke hari, lukisan mereka bertambah kemas dan cantik, dan mendapat sambutan. Akhirnya saya sebagai pengasas LangitIlahi.Com memperkenalkan karya mereka kepada penerbit, dan alhamdulillah dengan izin Allah, penerbit berminat menerbitkannya.


1477394_677861675567639_1866910684_n

Tim Komik LangitIlahi bertemu para editor syarikat PTS.


InsyaAllah pada tahun ini mereka bertiga akan mempunyai komik hasil tangan mereka, dijual di merata tempat di Malaysia.


Qawiem Khairix

Qawiem Khairi


Begitulah juganya dengan Qawiem Khairi. Asalnya berVlog seorang diri. Audiensnya juga terhad. Akhirnya saya mengajak beliau bersama Tim LangitIlahi untuk mengasah lagi potensi beliau. Selain LangitIlahi.Com memberikan audiens kepada beliau, skill dan penyampaian beliau juga dinaik taraf dengan diskusi daripada Tim LangitIlahi. Semangat kerja Tim LangitIlahi dalam bidang masing-masing juga pastinya membakar semangat beliau untuk memberikan yang terbaik. Lantas hari ini jika diperhatikan, Qawiem Khairi mula meningkat naik sebagai vlogger muda Malaysia. Karya ‘Jemaah Gangster’nya melebihi 200,000 views dan page FB beliau sudah mencecah 9000 follower.


Ya. Mereka ini bukan dinaikkan dengan sistem rancangan realiti dan sebagainya. Namun naik secara natural, bersama bimbingan, perbincangan, kerjasama berpasukan, walaupun kelihatan berlainan potensi dan medan. Potensi mereka yang mungkin jika bukan diuruskan LangitIlahi, akan diuruskan oleh sistem atau ism jahiliyyah, diselamatkan dengan disalurkan kepada masyarakat.


Ini antara apa yang saya maksudkan sebagai ‘mencetak manusia’.  Daripada zero, kepada hero. Ini baru beberapa yang saya sebut. Di LangitIlahi ada ramai personal sedemikian ceritanya seperti Ameen Misran, Abu Ridhwan dan lain-lain.


Dan saya mula mendapat rentaknya. Macam saya nyatakan, apa yang saya nyatakan ini hanya sebahagian daripada perancangan yang sedang saya gerakkan atas nama LangitIlahi.


 


Penutup: Bisnes LangitIlahi


Kalau orang yang berniaga baju bila ditanya hasil bisnesnya akan menunjukkan baju/design yang dihasilkannya, saya akan menunjukkan Afdholul Rahman, Qawiem Khairi, Ameen Misran, NorIhsan, dan sebagainya. Kerana itulah ‘produk’ LangitIlahi. Itulah yang LangitIlahi hendak hasilkan. Itulah perniagaan LangitIlahi.


Itulah yang mahu saya usahakan. Sebenarnya apa yang saya bentangkan tadi barulah konsep ‘LangitIlahi.Com’. Sedang apa yang sedang saya cuba lakukan ini ialah gabungan seluruh rangkaian LangitIlahi – LangitIlahi Store, LangitIlahi Community, LangitIlahi Consultancy dan LangitIlahi.Com.


Antara agenda utama LangitIlahi yang lain ialah YouthACE. Namun pastinya perancangan saya terhadap projek besar ini tidak akan diwar-warkan, selain selepas ianya menunjukkan hasil. Untuk tahun ini, YouthACE 2014 akan berlangsung pada 10hb Mei 2014.


[image error]


Ianya sesuatu yang besar dan pastinya bukan mudah. Saya mengharapkan sokongan dan doa daripada semua pembaca LangitIlahi, yang membaca artikel ini. Sesungguhnya kalian adalah antara kekuatan kami.


Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan ini.


Mari Menjadi Hamba!


 


The post Bisnes LangitIlahi. appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2014 01:33

February 13, 2014

Antara Adab Islam 1 : Menutup Pintu Rumah



closed-door ~ Pic by daughterbydesign.wordpress.com



InsyaAllah, saya akan meluangkan sedikit masa di LangitIlahi ini menterjemahkan semula mutiara-mutiara dari tulisan Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah berkaitan dengan adab-adab di dalam Islam yang mungkin sebahagian kita telah meremehkannya.


Sebagaimana kata Syeikh dalam muqaddimah kutaib (buku kecil), “Aku melihat ramai saudara-saudaraku, orang-orang yang aku kasihi mengabaikan adab-adab ini dan salah memahaminya sama ada lelaki mahupun wanita.


Maka aku mahu mengumpulkan kumpulan adab-adab Islam ini sebagai peringatan buat mereka, dan tidaklah aku ini lebih baik dari mereka, tidaklah juga aku ini tidak perlu kepadanya berbanding mereka, tetapi ini hanyalah pesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.


Firman Allah s.w.t. :


“Dan ingatkanlah sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang beriman.”


Semoga bermanfaat.


 


Adab 1 : Menutup Pintu Rumah


Sekiranya kamu memasuki rumah kamu atau keluar darinya, maka janganlah kamu tutup pintu itu dengan cara tutup yang keras (sehingga menghasilkan bunyi yang kuat) atau meninggalkannya tertutup sendiri dengan keras dan kasar.


Sesungguhnya sikap ini menafikan kelembutan Islam yang dimuliakan kerana dikaitkan dengan sikap lembut itu. Bahkan hendaklah kamu menutup pintu itu dengan tangan kamu dengan cara tutup yang lembut.


Dan harapnya kamu pernah mendengar sebuah riwayat Sayyidah Aisyah r.anha. daripada sabda Nabi s.a.w. :


“Sesungguhnya ar-rifq (sikap lemah-lembut) tidaklah ada di dalam sesuatu melainkan ia menghiasinya , dan tidaklah ia dicabut daripada sesuatu melainkan akan memburukkan dirinya.” [HR Muslim]


 


Ulasan


Banyak terjadi terutamanya di kalangan orang muda yang kurang mengambil berat hal ini. Kegelinciran ini boleh berlaku sama ada di rumah, di kelas mahupun di tempat-tempat lain.


Kita perlu sama-sama mengambil berat hal ini, kerana menutup pintu dengan keras sudah pastinya akan mengganggu hati dan perasaan orang lain. Apatah lagi ketika orang lain sedang fokus dan tenang melakukan sesuatu, pastilah jiwanya akan terganggu dengan bunyi bising dentuman pintu yang ditutup dengan sekuat-kuatnya.


Justeru, kita harus memiliki kehalusan jiwa dalam hal ini, menjaga hak orang lain walaupun sekecil hak ketenangan dan ketenteraman jiwanya.


Semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita membaiki diri kita.


Ikuti siri adab-adab yang seterusnya di ruangan ini. Semoga bermanfaat.


The post Antara Adab Islam 1 : Menutup Pintu Rumah appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2014 12:59

Poster : Say NO to Valentines Day !

Poster : Say no to Valentine's Day..


Jika kita melemparkan diri kita dan orang yang kita cintai ke neraka, itu tidak akan sesekali jadi cinta yang sebenar. 


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim ayat 6.



The post Poster : Say NO to Valentines Day ! appeared first on Langit Ilahi.

2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2014 06:32

Umum: Valentine & Kita.

hilal & Masyitah 051


 


Setiap tahun, bila sampai kepada 14hb Februari, pastinya akan ada perbahasan, apakah haram atau halal menyambutnya.


Jawapan yang masyhur ialah haram. Dan saya sendiri antara yang merasakan ianya tidak patut diraikan. Kenapa rakan-rakan mahu meraikannya?


Bagaimana rakan-rakan meraikannya?


Bagaimana orang ramia meraikan Valentine’s Day?


Di sini kita melihat, seakan-akan ramai yang mempunyai krisis identiti. Mereka meraikan Valentine’s Day ini adalah kerana ianya merupakan ‘trend’. Ia dihangatkan media, dilakukan ramai orang, maka ianya kelihatan ‘cool’, ‘perdana’, ‘moden’, ‘sweet’ dan sebagainya hingga membuatkan kita mengikutinya. Orang tidak berfikir banyak akan mudarat dan kesannya.



Hari Membuktikan Cinta?


Saya ada beberapa rakan yang merupakan seorang doktor. Mereka sering berkata bahawa, biasanya 9 bulan selepas Valentine’s Day, bilangan kelahiran anak luar nikah akan meningkat naik. Baru-baru ini saya ada menonton di YouTube sebuah sketsa, yang menceritakan bahawa pasangan couple belum berkahwin, berhajat hendak meningkatkan ‘level’ perhubungan mereka. Terang-terangan lelaki itu digambarkan menganggap meningkatkan ‘level’ itu adalah dengan melakukan seks. Kita sendiri dapat melihat paten ini di dalam filem-filem barat yang menceritakan berkenaan Valentine’s Day. Menghilangkan dara seakan menjadi sebuah pencapaian yang dikejar-kejar, dan Valentine’s Day dilihat sebagai hari untuk melakukannya.


Apakah melakukan seks itu satu perkara yang dikira sebagai membuktikan cinta?


Saya faham bahawa di barat sekarang, lets make love sudah dimaknakan sebagai lets have sex. Cinta itu sudah disamakan dengan seks. Sedangkan seks dengan cinta itu bukan perkara yang sama. Anda boleh melakukan seks tanpa cinta. Macam para perogol. Lagipun cinta apa yang melemparkan orang yang dicintai ke dalam api? Pastinya bukan cinta yang hakiki. Cinta apa yang hendak diterjemahkan dengan kepuasan nafsu yang kekalnya hanya beberapa waktu itu? Pastinya bukan cinta yang sejati.


Allah SWT berfirman:


“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Surah Al-Isra’ ayat 32.


Begitu sekali Allah melarang zina, hingga ayat yang turun bukan menyatakan haramnya pada zina, bahkan pada menghampirinya. Dan amat tegas sekali Allah SWT akan perkara ini, hingga larangan mendekati zina ini diletakkan antara dua ayat yang membicarakan larangan berkait pembunuhan!


“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” Surah Al-Isra’ ayat 31.


“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” Surah Al-Israa’ ayat 33.


Dan kemudian kita kata, tindakan ini sebagai pembuktian cinta, seterusnya ianya adalah tanda hubungan kita dan pasangan kita meningkat satu level lagi?


Bagaimana. Bagaimana perkara yang menjemput kemurkaan Allah, boleh dilihat sebagai pembuktian cinta?


 


Cinta Yang Sebenar


Cinta yang sebenar ialah apabila kita berusaha membawa diri kita dan orang yang kita cintai kepada Allah SWT. Jika kita melemparkan diri kita dan orang yang kita cintai ke neraka, itu tidak akan sesekali jadi cinta yang sebenar. Ia boleh kita namakan cinta palsu, cinta buta, dan sebagainya yang tidak menggambarkan kebaikan.


Allah SWT menyatakan akan tanggungjawab kita dengan ahli keluarga kita:


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Surah At-Tahrim ayat 6.


Tanggungjawab kita ialah menjaga diri kita dan ahli keluarga kita dari siksa api neraka. Bukankah pasangan kita itu, adalah orang yang hendak kita jadikan sebagai ahli keluarga kita. Mengapa kita sedang mengajaknya ke neraka? Di mana kepatuhan kita terhadap syariat dalam perhubungan kita dengannya? Apakah dengan kita menyambut Valentine’s Day, meraikannya sebagaimana masyarakat yang lain, ianya memenuhi tuntutan agama kita? Membawanya ke syurga Allah SWT?


Kita tanya diri kita. Muslim dan Muslimah. Dalam keseronokan hendak meniru, mengikuti perayaan agama lain, hendak kelihatan sweet seperti di dalam filem dan arus terkini, kita tanya diri kita. Apa kaitannya Valentine & kita, seorang muslim/muslimah, sebenarnya?


 


Sweet Yang Paling Sweet


Sweet yang paling sweet bukanlah berpegangan dengan yang bukan mahram. Bukan menerima cokelat daripadanya. Bukan ungkapan I love you kepadanya atau daripadanya. Bukan bergayut telefon dengannya. Bukan dengan dating dengannya. Bukan dan bukan.


Sweet yang paling sweet adalah kesabaran kita untuk taat kepada Allah SWT. Untuk sibuk membina peribadi dan memperkasakan diri. Mencantikkan akhlak dan menambah ilmu. Agar diri kita menjadi diri yang utuh dan kukuh, sebagai nanti ketua keluarga/suri rumah, pendamping kepada pasangan kita, guru kepada anak-anak kita. Sweetnya adalah apabila semua kesabaran itu dibayar dengan tali perkahwinan, disambung dengan kehidupan berumahtangga yang bertujuan membina ummat, melihat anak-anak membesar dengan tarbiyah Islamiyyah dan mengenal Allah SWT, seterusnya melihat dia mengikuti jejak langkah kita untuk menyumbang kepada ummah ini. Sweet yang paling sweet adalah apabila Allah memberikan kemanisan dalam hidup kita dalam bentuk keberkatan rezeki, kelapangan hati, kebahagiaan jiwa sepanjang menelusuri hidup berumahtangga dan pancaroba dunia, dek kerana ketaatan kita selama ini.


Bersambung pula hingga ke akhirat, dimasukkan ke dalam syurga kerana hidup mendapat redhaNya, berkumpul semula bersama keluarga di sana dan bahagia abadi selama-lamanya.


Itulah sweet yang paling sweet. Ada perkara kita kena korbankan, pasti. Tetapi pengorbanan kita takkan sia-sia.


Mungkin kita takkan kelihatan sweet kerana tidak berdating macam orang lain. Mungkin kita nampak macam tak dapat buat pelbagai perkara yang kelihatan best macam orang lain. Tetapi ada ganjarannya yang lebih besar, dan keseronokan yang lebih abadi menanti kita.


 


Penutup: Valentine & Kita,


Kita tidak meraikannya. Kita tidak menjadikan hari itu punya apa-apa makna. Seronoknya hanya sementara. Coolnya sekejap cuma. Sweetnya tak kekal lama. Jikalah sampai ke jinjang pelamin pun, ianya sudah dinodai dosa-dosa. Bagaimana itu semua boleh diterjemahkan sebagai bahagia?


Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah. Cinta bukan hal kecil. Cinta hal besar. Daripada cinta kita hendak membina ummah. Generasi muda hari ini perlu sedar bahawa masa lalu akan sentiasa menghantui. Apatah lagi apabila apa yang kita lakukan pada masa muda, kesannya berleretan hingga ke tua. Contoh, hilang dara. Ianya takkan datang semula. Contoh, mengandung anak luar nikah, ianya takkan dapat dibetulkan semula. Ada yang kemaruk bercinta, sampai sanggup bazir duit, abai pelajaran, ada yang hingga bunuh diri, ini semua mempunyai kesan yang besar pada masa hadapan.


Sedangkan masa muda adalah masa pelaburan. Kita melabur dengan pelbagai usaha yang boleh memanfaatkan ummah, dan memberikan kita kelebihan pada usia tua nanti.


Hidup bukan sekali rakan-rakan. Hidup dua kali. Mati yang sekali. Hidup yang pertama tugasnya adalah persediaan untuk kematian itu. Hidup yang kedualah baru masanya berlibur.


Maka jangan sia-siakan peluang hidup ini dengan perkara yang tidak memberikan makna, dan memudaratkan kita.


The post Umum: Valentine & Kita. appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2014 06:07

February 12, 2014

Cinta Sahabat Akhirat



1781832_552987858142115_1142673580_o ~ Pic by Ahmad Nabil Nordin


Ada sahabat di dunia ini yang bila kita bersama dengannya, seringkali mengingatkan kita untuk lebih dekat dengan Tuhan. Mulutnya mungkin tidak pernah berbunyi pun atau berbicara tentang Allah di depan kita, namun amal dan akhlaknya menjadi bicara yang paling mengesani hati kita.


Melihat dirinya, membuatkan kita merasa perlu segera bertaubat dan mengubah diri kita.


Bergaul dengan dirinya membuatkan kita terasa perlu lebih membaiki sikap dan akhlak kita.


Ternampak dirinya melakukan kebaikan, sudah menyebabkan kita terdorong untuk ikut sama melakukannya.


Inilah ciri sahabat yang sebenar, yang mampu menjadi cerminan kepada sahabatnya yang lain, walaupun dengan jarang berbicara.


 


Sebaik-baik Orang Di Kalangan Kamu


“Mahukah aku khabarkan sebaik-baik orang dalam kalangan kamu?” baginda s.a.w. bertanya kepada para sahabat di depannya.


“(Sebaik-baik orang dalam kalangan kamu) adalah yang mengingatkan kamu kepada Allah bila kamu melihatnya.”


“Yang dapat menambah amal kamu bila ia berbicara. Yang mengingatkan kita kepada hari akhirat dengan amal-amalnya.”


Demikian direkod oleh Abi Dunya dalam kitabnya, Al-Awliya’, melalui riwayat Ibn Abbas.


 


Siapakah Kita Kepada Sahabat Kita?


Seringkali makna persahabatan yang besar itu menjadi kecil kerana kita salah mengisi ruang di dalam persahabatan itu.


Persahabatan atau persaudaraan itu mengandungi nilai dan makna yang besar sehingga Allah mengaitkannya dengan keimanan.


“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara …” [Al-Hujurat :10]


“Perumpamaan orang mukmin itu dalam berkasih sayang dan saling mencintai …” sabda baginda s.a.w., “ … adalah seperti batang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka anggota tubuh yang lain pun akan merasa sakit.”


Sedemikian besar nilai ukhuwah yang menjadi asas penting dalam kehidupan bermasyarakat, justeru menyebabkan ia mempunyai kaitan rapat dengan iman.


Orang yang bagus imannya, sepatutnya bagus juga hubungannya dengan sahabatnya.


Dia berusaha menjadi sahabat yang baik, memenuhi hak sebagai sahabat, menjaga aib dan maruah sahabatnya serta selalu pula mahu bersama berjuang di atas jalan kebenaran. Ketika dia bercakap dengan sahabatnya, dia berusaha bercakap dengan cara terbaik dan bahasa yang elok agar tidak menyakiti sahabatnya. Ketika dia bergaul, dia tidak mementingkan haknya semata-mata, tetapi mengambil berat juga akan keperluan sahabatnya.


Siapakah kita kepada sahabat kita?


Dan apakah yang kita isi dalam persahabatan kita?


Persahabatan yang berdiri atas asas keduniaan semata-mata, ia tidak akan kekal dan bertahan lama. Persahabatan atas dasar universiti, universiti akan ditinggalkan. Persahabatan atas keseronokan dan gelak tawa semata-mata, tidak akan membawa kita ke mana-mana. Persahabatan atas harta dan kedudukan hanya akan melahirkan lebih ramai orang yang mempunyai hasad dan busuk jiwanya. Hilang harta, maka hilanglah hubungan persahabatannya.


Sebab itu, kita perlu sentiasa melihat apakah yang kita isi di dalam persahabatan kita. Yang kita isi di dalam persahabatan kita itulah yang menentukan nilai persahabatan itu kecil atau besar.


 


Yang Menjadikan Persahabatan Itu Bernilai


Hubungan ukhuwah, persahabatan atau persaudaraan ini tidak akan menjadi sesuatu yang bernilai melainkan jika kita ikatnya di atas jalan iman kepada Allah.


Kerana asas lain selain iman tidak akan mampu menjadi pasak yang teguh untuk memelihara kesinambungan ukhuwah, kejujuran dalam bersahabat.


Sebab itu Allah s.w.t. berfirman :


“Teman-teman rapat pada hari itu sebahagian mereka menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” [Az-Zukhruf : 67]


Di jalan taqwa, kita berusaha menjadi sahabat terbaik kepada saudara-saudara kita. Menjadi sahabat terbaik adalah dengan mula memperbaiki diri dengan Allah, agar di saat kita bersahabat, kita tak terjerumus mempengaruhi orang lain ke arah yang Allah tidak sukai, bahkan mampu menjadi cerminan mithali pula kepada mereka.


Di jalan taqwa, kita dakap sahabat kita seeratnya bila bertemu dan berpisah dengannya, serta tulus melafazkan padanya, ‘aku cintakan engkau kerana Allah’. Cinta di atas jalan Allah mengingatkan kita bahawa ada hak-haknya yang perlu kita tunaikan, ada had dan batas dirinya yang menjadi sempadan.


Di jalan taqwa, kita harus saling mengingatkan dan memberi nasihat, kerana hubungan persahabatan yang berdiri atas semata-mata rasa mahu berhibur dan gelak tawa sahaja tidaklah bermakna apa. Memberi pesanan ke arah kebenaran dan dengan kesabaran, demikianlah Allah menggambarkan sifat orang mukmin yang tidak rugi.


 


Penutup :  Menginspirasi Dunia, Membaiki Akhirat


“Mengingatkan kamu kepada Allah ketika melihatnya,


Menambah amal kamu bila dia bercakap,


Mengingatkan kamu kepada hari akhirat bila dia beramal.”


Mari didik diri kita menjadi seorang mukmin sebagaimana hadis Nabi s.a.w. ini.


Agar keberadaan kita menjadi bermanfaat, kata-kata kita menjadi bernilai walau sesaat serta amal-amal kita mampu langsung menggerakkan manusia di sekeliling kita untuk kembali kepada Allah s.w.t.


Jangan sampai keberadaan kita mengundang celaka pada orang, kata-kata yang keluar dari mulut kita hanyalah memenuhi telinga dan nafsu semata-mata sehingga menyakitkan orang, serta amal kita pula terlalu lemah sehingga tak mampu menjadi contoh yang boleh menggerakkan manusia kembali kepada Allah.


Mari jadi peribadi yang menginspirasi dunia dalam masa yang sama membaiki masa depan akhirat !






Muttafaq Alaih




The post Cinta Sahabat Akhirat appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2014 01:33

February 11, 2014

VT2: Avantgarde – Gelombang 1

VT2 Cover


 


Dia duduk berteleku lama. Sambil itu mulutnya beralun selawat secara perlahan. Berdiam diri tidak bermakna membazir masa. Sambil tangan silang pada dadanya, dia duduk bersila di tengah gelanggang bola tampar, yang berada di dalam dewan milik syarikat tempat dia bekerja – Muslim’Sport.


Hampir 7 tahun telah berlalu semenjak dia menjadi jurulatih pasukan bola tampar di sekolah tempat dia belajar dahulu. Sehingga kini dengarnya sekolah tersebut kekal menjadi juara bertahan di negeri darul sunnah Malaysia itu.


Dia tersenyum. Terkenang beberapa momen bersama remaja-remaja di dalam pasukan tersebut. Pelbagai telatah, penuh dengan ragam masing-masing, namun akhirnya semua bersatu untuk menjadi duta-duta Islam, membawa nama Islam dengan wasilah bola tampar.


Walaupun dia bukan orang yang rapat dengan teknologi maklumat, dia tidak mempunyai Facebook atau Twitter, dia sering mendengar perkembangan pasukan sekolah itu dari masa ke semasa. Sambil itu, dia meneruskan kerja-kerjanya, yang memerlukan dia mengembara ke pelbagai tempat.


Tugasannya sama. Membina pasukan-pasukan bola tampar yang boleh membawa syiar Islam di tempat-tempat tersebut. Tidak semestinya menjadi johan. Cukup sekadar kehadiran mereka dirasai masyarakat, dan keperibadian mereka menjadi contoh tauladan buat semua. Itu kerjanya dia, semenjak bertugas di Muslim’Sport.


Namun kini tugasan tersebut telah diambil alih oleh ramai jurulatih yang lain. Muslim’Sport telah berkembang, dan mempunyai ramai pekerja. Kini dia tidak lagi ditugaskan untuk mengembara. Dia telah dipanggil pulang ke Kuala Lumpur untuk sebuah projek mega Muslim’Sport.


Iaitu mencipta ‘gelombang baru’ di arena sukan pada tahap nasional.


Sukan Bola Tampar tidak terkenal di Malaysia, berbanding bola sepak, hoki dan lain-lain. Tidak pasti mengapa, tetapi publisiti yang diterima tidak semegah sukan yang lainnya. Namun, atas inisiatif Persatuan Bola Tampar Malaysia, taraf sukan Bola Tampar telah dinaikkan ke tahap professional apabila mereka menganjurkan Volleyball National Royal Championship(VNRC).


VNRC ialah kejohanan bola tampar yang terbuka untuk sesiapa memasukinya, dan ahli pasukannya tidak terbatas pada satu-satu negeri sahaja. Tiada juga had umur, namun rata-rata yang menyertainya ialah remaja. VNRC mempunyai jalinan dengan acara bola tampar terbesar dunia – Volleyball International Royal Championship(VIRC), yakni pasukan yang menjuarai VNRC, selain mendapat hadiah yang dianugerahkan sendiri oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia, juga akan mewakili negara ke kejohanan VIRC.


Hadiah yang sangat lumayan, bersama dengan publisiti yang meningkat mendadak disebabkan penglibatan Yang DiPertuan Agong di dalam kejohanan VNRC ini, menyebabkan banyak pihak mula membina pasukan masing-masing.


Dan kali pertama VNRC akan diadakan ialah pada 5 bulan yang akan datang.


Justeru dia dipanggil pulang, untuk membina pasukan bagi mewakili Muslim’Sport. Dan dijangka dia akan kekal dengan tugasan ini, untuk tahun-tahun yang mendatang. Tujuan Muslim’Sport jelas, ingin membawa syiar Islam ke platform yang lebih tinggi. Misi yang terletak di pundaknya kini ialah hendak menjadikan pasukannya sebagai pasukan terbaik, agar mereka dapat  menjadi johan untuk VNRC kali pertama ini.


Sekaligus, dengan publisiti yang diberikan terhadap VNRC ini, diharapkan mereka mampu menjadi sebuah gelombang baru, merubah wajah ‘sukan’ di Malaysia ini ke arah yang lebih patuh syariah.


Itulah tugasnya. Besar. Tetapi dia tidak menyendiri.


Tap, tap, tap. Tiba-tiba bunyi derap langkah kasut bertemu lantai gelanggang kedengaran. Dia mengangkat wajah.


“Assalamu’alaikum coach Saiful.” Kelihatan 8 orang pemuda berdiri di hadapannya.


Dia tersenyum, “Waalaikumussalam,” lantas dia menguraikan silang tangannya, bangun dan mendakap mereka satu persatu.


“Rindu dengan kalian.”


Mereka juga membalas dakapannya erat. Usai semuanya, dia melihat mereka satu persatu. Dia baru perasan sesuatu. Bilangan mereka tidak cukup dua belas.


“Em, mana Ridhwan, Zulkarnain, Farhan dan Ihsan?” Dia bertanya kepada salah seorang dari 8 orang pemuda di hadapannya. Tinggi lampai, berkulit cerah, bersambut pendek seperti botak, Malik.


Malik menghela nafas. Kerut wajahnya menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena.


“Mereka kata, mereka tidak mahu menyertai.”


Mata Saiful membesar. Nama Tuhannya Yang Maha Esa melepasi bibir.


“Kenapa?” Dia cuba untuk memahami.


“Coach tak ada facebook, mungkin sebab itu coach tak berapa tahu.” Pemuda berkulit hitam manis, rambut panjang namun kemas tersisir seperti bawang, kurus dan sederhana tinggi, mencelah. Omar namanya.


“Apa yang dah berlaku Omar?” Dia mula rasa bersalah kerana tidak sempat untuk mengambil tahu setiap anak didiknya secara peribadi. Dia hanya mendengar khabar berkenaan pasukan sekolah sahaja. Tidak setiap mereka secara individu.


“Ridhwan, isterinya baru meninggal dunia dan dia seakan tidak boleh menerima kenyataan itu.” Malik menyambung.


“Allahuakbar. Innalillah.” Ibarat batu menghempap, begitulah perasaan Saiful ketika ini.


“Farhan, ada tragedi menimpanya beberapa tahun lepas. Semasa bermain bola tampar, rejamannya membuatkan salah seorang ahli pasukan lawan meninggal dunia.” Omar menambah.


Semua yang ada memandang Omar. Saiful pula hanya mampu menarik nafas yang agak dalam mendengar tragedi itu. Bagaimana sehingga boleh berlaku demikian?


“Ihsan pula sudah ada bisnesnya sendiri. Dia lama dah tak berlatih, dan dia juga rasa bola tampar bukan medannya lagi. Dia tidak mahu bersama kita.” Omar menyambung cerita berkenaan rakan-rakannya yang tiada.


Saiful mula menggeleng. Kita sudah berjanji bukan, Ihsan? Dia mula berbicara di dalam hatinya sendiri. Terbit sedikit rasa kecewa. Ihsan adalah antara ‘setter’ terbaik yang dia ketahui.


“Bagaimana dengan Zulkarnain?” Saiful bertanya berkenaan bekas pemainnya yang tinggi lampai, perejam yang sangat hebat.


Omar dan Malik saling memandang antara satu sama lain. Kemudian mereka berdua memandang Saiful.


“Zulkarnain, dia sekadar kata tidak dapat menyertai. Gaya macam ada masalah. Tetapi entahlah. Facebook dia pun lama dah tak update. Kami telefon tak angkat, SMS dan email pun dia tak balas.” Malik menjawab.


Saiful akhirnya menghela nafas. Terasa berat udara itu hendak melepasi rongganya. Empat yang tiada ibarat anak-anak kunci yang penting untuk membuka kemenangan. Ridhwan, Farhan dan Zulkarnain ialah perejam yang sangat berkaliber. Manakala Ihsan merupakan ‘setter’ yang amat handal. Ketiadaan mereka bermakna pasukan yang hendak dibinanya tidak lengkap, dan kekurangan.


Lebih menyedihkan dirinya, ialah mereka berempat seakan ‘hilang arah’, dan dia baru mengetahuinya. Sekiranya dia tahu lebih awal, pastinya dia akan mengusahakan sesuatu. Namun tiada yang memberitahu dirinya, dan dia juga tidak merapati laman-laman sosial yang boleh menghubungkan mereka.


Dia sibuk dengan kerjanya.


“Ala coach, janganlah sedih. Kami kan ada?” Satu suara mencelah lengang. Saiful mengangkat wajahnya dan memandang.


Fatih, kacukan Bosnia Malaysia, tinggi, berkulit putih, berambut sedikit perang, merupakan bekas ‘setter’ untuk pasukan didikannya di Amerika. Empat tahun lepas, dia membantu pasukan pelajar Malaysia di sana untuk memenangi kejohanan bola tampar peringkat universiti-universiti.


Saiful kemudian memandang rakan-rakan Fatih yang menyahut panggilannya untuk hadir ke mari.


Dzakir, asal Melaka, berkulit cerah, rambut panjang ke belakang mencecah bahu, sederhana tinggi. Perejam.


Leon Xavier. Anak orang Inggeris yang mendapat kerakyatan Malaysia. Namun ibu bapanya bekerja di Amerika, dan Leon tidak pernah lama menetap di Malaysia. Dia seorang yang tinggi lampai, berkulit putih, berambut perang pendek seperti tentera. Perejam.


Akram, orang Kuala Lumpur, tingginya sederhana, rambutnya ikal pendek. Tugasanya di gelangangg sebelum ini ialah sebagai ‘libero’.


Wong Fei Hung, Cina Muslim, asal Singapura tetapi keluarganya mendapat kerakyatan Malaysia, tidak terlalu tinggi, paling rendah dalam pasukan, rambutnya lurus tersisir kemas. Sebelum ini dia merupakan pemain simpanan, menggantikan pemain utama yang keletihan.


Abhiraj Khan, India Muslim, asal Johor. Seorang yang sederhana tinggi, berambut kerinting. Perejam.


Malik dan Omar memandang keenam-enam pemuda tersebut. Mereka bertembung kala hendak memasuki gelanggang tadi. Sekadar berbalas salam sahaja tanpa berkenalan pun.


“Malik, Omar, mereka berenam ini ialah pasukan di bawah didikan ana semasa di Amerika Syarikat. Kenalkan, Fatih, Dzakir, Leon, Akram, Fei Hung dan Abhiraj.” Saiful menunjuk satu persatu. Omar dan Malik terangguk-angguk.


“Fatih, walaupun kamu semua ada bersama pasukan ini, pasukan ini tetap memerlukan empat rakan kita yang tidak hadir hari ini.” Saiful menyambung bicara yang terhenti tadi.


Fatih mencebik. Malik perasan.


“Weh, kau tak puas hati apa hah?” Emosinya tercuit, maju dia berhadapan dengan Fatih.


What? Dah team kau tak datang sampai menyusahkan coach.”


“Mereka ada masalah lah. Kau tak faham ke?” Omar masuk campur.


“Mukmin yang kuat akan menganggap masalahnya kecil. Allah lebih besar dari masalah kita.” Dzakir menyebelahi Fatih.


Fei Hung, Abhiraj, Akram, dan Leon merapati Fatih sebagai tanda sokongan. Malik mengetap bibir manakala Omar mula mengepal penumbuk.


Saiful segera bergerak ke tengah antara mereka dan menolak lembut Fatih dan Malik yang hampir bersentuh muka.


“Berhenti. Sabar. Apa semua ini?” Saiful memandang kepada kedua-dua belah pihak.


Belum bermula lagi apa-apa, sudah terpercik api pepecahan. Dalam keadaan empat dari ahli pasukan yang hendak dibinanya tidak hadir. Hati Saiful sedikit terpukul.


“Fatih, cukup. Dzakir, benar mukmin yang kuat itu akan tabah. Tetapi iman manusia naik dan turun. Dan kala iman seseorang manusia itu turun, jangan kita mencelanya. Kita mungkin tidak diuji sedemikian rupa. Malik…” Saiful kemudian menoleh kepada Malik.


“Bumping 100 kali sebagai denda.”


Malik mendengus kencang. Tetapi tidak menyambung bicara. Terus dia melakukan bumping yang diarahkan. Dia tahu Saiful akan menambah dendanya jika dia melawan. Jiwanya kini diamuk bengang.


Omar menggeleng. Hendak berkumpulan dengan mereka? Apakah mungkin?


“Baik, duduk semua.” Saiful bersila sambil memberikan isyarat. Malik yang sedang melakukan denda yang diberikan turut memasang telinga.


“Ana mengumpulkan antum adalah untuk kita menyertai VNRC yang akan diadakan julung kalinya 5 bulan yang akan datang.”


Kemudian Saiful meneruskan taklimatnya.


Namun jauh di dalam hatinya, dia bersedih sebenarnya.


Sedih dengan ketiadaan dan masalah empat orang bekas pemainnya.


Juga sedih dengan pertengkaran yang berlaku tadi. Menyedarkan dia bahawa pasukan yang hendak dia bina ini, mempunyai jurang yang besar antara dua generasi. Generasi anak didiknya di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, dan Generasi anak didiknya di Amerika.


Terselit keinsafan di dalam dirinya, yang menyangka perjalanannya akan menjadi mudah apabila dua pasukan yang hebat digabung menjadi satu. Rupa-rupanya Allah SWT tidak akan meninggalkannya tanpa diuji. Mungkin ini untuk dia bermuhasabah.


Allah, aku khilaf. Bisik hatinya, sambil mulut meneruskan taklimat kepada pasukan barunya.


 


*****


 


Suasana di balkoni banglo tiga tingkat di Damansara itu indah. Bersama angin malam yang bertiup sepoi, seakan mengurut seluruh tubuh menjadi tenang.


Kelihatan dua orang lelaki bersut kemas sedang duduk bersama di tempat rehat balkoni tersebut..Salah seorang dari mereka berdua kelihatan lebih berusia dari seorang yang lain.


“Bagaimana dengan projek terkini kita, Faiz?” Yang lebih berusia berbicara.


“Alhamdulillah pakcik. Kita sedang mengusahakan Team untuk VNRC.”


“Saiful Rahman sudah pulang?” Teh panas yang tersedia di hadapannya, dihirup usai bertanya. Mata memaku kepada pemuda bernama Faiz di hadapannya.


“Sebulan yang lalu. Alhamdulillah. Dia yang akan menjadi jurulatih untuk Team tersebut.”


“Bagus. Saiful telah membuat kerja kita bertambah lancar. Perlis, Thailand, Singapura, Amerika, kita mempunyai proksi kita di tempat-tempat tersebut.”


“Alhamdulillah Pakcik Abdul Majid. Allah mempermudahkan.”


“Terima kasih juga kerana sudi bersama pakcik menguruskan Muslim’Sport ni, walaupun baru nak bergerak.” Lelaki berusia bernama Abdul Majid itu memanjangkan tangan, menepuk bahu Faiz.


Faiz tersenyum. Menggeleng. “Saya yang kena ucapkan terima kasih kerana pakcik memberikan peluang. Pakcik banyak membantu saya, terutama selepas saya diracun 13 tahun lepas.”


Abdul Majid sekadar tersengih. “Semuanya adalah atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kebetulan pakcik juga kronik ketika itu. Ketagihan rokok. Letaknya di sebelah kamu yang soleh. Yang kenalkan pakcik semula kepada Allah, dan mengembalikan pakcik pada jalan dakwah dan tarbiyah ini.”


“Kisah lama.” Faiz cepat-cepat memotong.


“Kisah lama.” Abdul Majid tersenyum.


Sepi mengisi ruang antara mereka. Angin terus bertiup lembut. Mereka berdua menghirup teh yang ada. Mungkin apa yang dibangkitkan oleh Faiz dan Abdul Majid, masing-masing membuatkan mereka mengimbau kenangan lama.


“Ah, kenapa sebenarnya pakcik mahu bertemu dengan saya malam ini? Pastinya bukan semata-mata kerana VNRC bukan?”


Abdul Majid menggeleng.


“Ada kait mengaitnya juga. Pesaing kita yang…” Abdul Majid mengangkat tangan, kedua-dua belah jari telunjuk dan jari hantu disatukan, kemudian dibengkokkan dua kali, “…’tidak sihat’…” kemudian tangan dijatuhkan, “…mereka juga akan menyertai VNRC. Mereka mahu kita tidak menganggu laluan mereka.”


Faiz terpana sebentar. Pesaing mereka yang ‘tidak sihat’ itu memang telah banyak menyukarkan mereka selama ini, dalam pelbagai medan yang diceburi. Hendak meng’islamisasi’kan sukan di negara ini amat sukar. Terlalu banyak sebenarnya ‘taikun-taikun’ yang cuba memonopoli keuntungan yang ada dari medan sukan di negara ini.


Namun apa yang lebih teruk dari pengejar-pengejar wang ialah, pihak yang hendak terus menjadikan sukan sebagai salah satu senjata ‘hedonisme’ yang merosakkan masyarakat. Dan itulah yang sedang dipelopori pesaing mereka yang ‘tidak sihat’ itu.


Memandangkan Muslim’Sport membawa wadah untuk membersihkan sukan dari anasir yang menjauhi syariat Allah SWT, maka pesaing mereka merasakan bahawa Muslim’Sport ialah ancaman buat kerja yang mereka usahakan.


“Hem. Jadi, apakah Pakcik mahu kita berhenti?”


Abdul Majid terus tertawa usai mendengar soalan Faiz itu. Kemudian mata mereka bertaut.


“Faiz, kita sudah kenal dan bekerjasama lebih 10 tahun. Takkan kau tidak mengetahui lagi apa yang pakcik akan lakukan?” Tawanya masih berbaki.


Faiz menggores senyuman yang manis pada bibirnya, kemudian melepaskan pandangan ke luar balkoni.


“Pakcik tidak akan berhenti.”


“Benar. Kita memikul amanah dakwah ini. Memang akan ada cabarannya. Ia menuntut daripada kita pengorbanan. Bermula dengan masa, harta, dan ke peringkat paling tinggi, nyawa. Maka bagi kita yang faham, tiada apa yang akan menghentikan kita. Kerana kita adalah manusia yang sanggup berkorban untuknya.”


Faiz terangguk-angguk. Hebat Pakcik Abdul Majid. Usianya hampir mencecah 50-an, tetapi semangatnya ibarat pemuda baru menginjak 20-an. Ideanya besar, usahanya keras, dedikasinya pada dakwah dan tarbiyah sangat tinggi. Dia pula bukan berseorangan. Bersamanya ada 9 lagi rakan yang mengusahakan pelbagai bidang. Walau kelihatan mereka mengusahakan bidang yang berbeza, masing-masing saling membantu rakan yang lain, semuanya untuk mencapai matlamat yang satu – membina Malaysia yang lebih kondusif untuk syariat Allah tumbuh melata dalam kehidupan rakyatnya.


“Maka kita akan teruskan. Apa sahaja yang saingan ‘tidak sihat’ itu usahakan, kita akan menghadapinya dengan baik insyaAllah.” Faiz membuat konklusi.


“Ya. Cumanya berhati-hati. Islam mahu guna kita lebih lama lagi, insyaAllah.” Abdul Majid menepuk lagi bahu Faiz.


Jelas, mungkin akan ada ancaman nyawa. Faiz bukan tidak kenal dengan pesaing mereka yang ditaja oleh kongsi gelap yang membuat porak peranda di Malaysia ini.


“Sama-samalah kita berusaha, sambil tidak meninggalkan tawakkal kita kepadaNya. Semoga Allah SWT membantu kita.” Abdul Majid menyempurnakan bicara.


“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Surah Ali-Imran ayat 159.


 


*****



Pagi. Kala semua orang bergerak pergi ke tempat kerja. Namun tidak untuk dia. Dia pula pergi ke tempat yang penghuninya tidak lagi bekerja apa-apa.


Kubur.


Langkahnya longlai usai keluar dari kenderaan. Entah telah berapa hari dia menghabiskan waktunya di tanah perkuburan ini. Bukan untuk muhasabah. Bukan untuk mengingati mati. Tetapi untuk menangis hiba mengingati si mati.


Sampai dia ke sebuah kubur, jelas tertulis pada nisannya nama Fatimah Yusra, dengan tarikh kematiannya sekitar 3 minggu yang lalu. Dia terjelepuk lagi di situ, dan air matanya mula turun tanpa henti.


Dia menangis hiba sekali.


Sungguh dia amat mencintai Fatimah Yusra ini. Itu ialah isterinya. Yang amat dikasihi dan disayanginya. Mereka berumahtangga pada usia muda dan telah dikurniakan seorang anak lelaki. Namun musibah menimpa, dia dan keluarganya ditimpa kemalangan.


Hanya dia dan anaknya sahaja terselamat.


Kesedihan menjerut jiwanya. Dia seakan tidak boleh hidup lagi tanpa isterinya. Anaknya ditinggalkan di tanah kelahirannya, Pulau Pinang, bersama ibu bapanya.


Dia? Tidak terurus semenjak itu. Kumisnya tidak pernah dipotong dan rambutnya serabut. Dirinya pun sudah mula berbau, akibat tidak pernah mandi. Dia hanya bermandikan air mata dan peluh, duduk di kubur dari pagi hingga tibanya senja.


Seakan mengharapkan isterinya hidup kembali secara tiba-tiba.


Dirinya jadi amat tidak terarah. Segala didikan agama, tarbiyah yang dilaluinya, seakan hilang serta merta dengan ujian yang menimpa.


Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi.  Tersentak, dia segera hendak menggapainya, untuk mematikannya. Namun dia tertekan punat mengangkat panggilan.


“Ridhwan, Ridhwan? Coach ni. Saiful Rahman.”


Dia terhenti sebentar mendengar suara yang telah lama tidak didengarinya. Air matanya bergayut pada dagu, dan kemudian menitik di atas telefon bimbitnya itu.


“Enta apa khabar? Enta ada tak ni?” Suara bekas jurulatihnya seakan berusaha menggapainya.


Perlahan dia menekan punat meletakkan panggilan.


Kemudian dia meneruskan tangisannya.


The post VT2: Avantgarde – Gelombang 1 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2014 19:27

Apabila Cintamu Dimurkai

Fire-Love-Wallpapers

                                                                                                                          Picture by ~ http://expedino.com/



“Bila nak kahwin?”


Itulah soalan yang sentiasa menjadi modal penyeri bersembang orang bujang. Bercakaplah tentang apa sekalipun, bab kahwinlah yang paling menarik. Ia tidak penah menjemukan.


Orang muda. Ketika umur begini, perkara yang paling teruk diuji adalah cinta. Lelaki minat kepada perempuan. Perempuan minat laki-laki.


Ya, banyak lagi ujian orang muda. Pelajaran, assighment, games, movie dan lain-lain. Tetapi cinta adalah ujian paling besar. Sebabnya ujian cinta itu sangat menyeronokkan.


Medium menghubungkan cinta lelaki perempuan zaman kini terlalu mudah. Facebook, whatsap, wechat, skype dan banyak lagi. Betapa begitu mudah anak-anak muda meraih cinta hanya melalui teknologi yang telah tersedia.


Media juga tidak kurang memutarkan kisah-kisah cinta yang sentiasa mendapat sambutan. Selepas satu cerita diganti pula cerita baru. Secara tidak sedar, anak-anak muda kini hanyut dalam arus cinta yang dicipta sendiri oleh masyarakat. Sedihnya, ianya bukan cinta yang diredhai Allah.


Rumahtangga dibina melalui jalan-jalan maksiat. Kelak, rumah tangga tersebut tidak dijaga Allah. Suami isteri bermasalah. Anak-anak bermasalah. Semuanya bermasalah.


Kita tidak mahu rumahtangga diuji begitu.


Saya tidak bercakap soal bercinta, berkahwin, ada anak kemudian mati. Ia tidak terhenti disitu. Sebaliknya, ia akan dipanjangkan ke akhirat. Bagaimana urus tadbir rumahtangga itu akan disoal secara teliti oleh Allah.


Tanda cintamu dimurkai


Seorang junior pernah bertemu saya menangis-nangis bercerita masalahnya. Apa lagi kalau bukan soal cinta. Saya katakan bahawa saya benar-benar tidak pandai memberi sebarang penyelesaian. Lebih-lebih lagi tentang permasalahan cinta remaja. Cinta sebelum kahwin.


Lalu saya mengajak beliau berjumpa dengan pasangan ustaz ustazah yang saya anggap seperti ibu bapa sendiri. Pada merekalah banyak saya luahkan masalah. Seringkali saya tidak pulang hampa. Pasti masalah itu dirungkaikan dengan begitu berhikmah.


“Ada beberapa tanda cinta kamu tidak diredhai Allah. Pertama, kamu takut kehilangan orang yang sedang kamu cintai sekarang. Seakan-akan kamu tidak yakin bahawa Allah telah tetapkan siapa jodoh yang terbaik dalam hidup kamu.”


Kata-kata ustazah menarik perhatian. Saya mula memberikan tumpuan. Junior saya ternanti-nanti ayat seterusnya.


“Kedua, kamu jadi kuat cemburu. Cemburu yang melampau-lampau.”


“Ketiga…”  Cawan teh diangkat. Perlahan-lahan dihirup. Masih panas.


“Ketiga, kamu rasa rindu yang membuak-buak kepada perempuan tersebut. Setiap masa asyik teringatkan dia. Kalau boleh, kamu nak dia sentiasa berhubung dengan kamu. Sentiasa SMS, sentiasa online, sentiasa boleh bersembanglah senang ceritanya”


Mata ustazah merenung tepat wajah junior saya. Dahi yang berkerut tadi bertukar kepada senyuman. Dia menganguk-nganguk. Airmukanya kelihatan sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut.


Giliran ustaz yang diam sejak tadi mengambil alih.


“Begitulah rasa-rasa hati orang bercinta. Semua itu adalah penyakit. Bila Allah tidak suka perkara yang kita buat itu, maka balasannya adalah azab. Yang ustazah sebutkan tadi adalah azab-azab yang kena pada orang bercinta. Bercinta yang tidak dihalalkan Allah.”


“Tenangkah hati? Bahagiakah perasaan begitu rupa?” Saya ikut menggeleng.


“Hati tenang bila kita ingat Allah. Hati resah bila kita jauh dari Allah. Bila berdosa, kita semakin menjauh dari Allah. Solat kita tidak khusyuk. Amalan kita berkurang. Fikiran serabut. Study tidak fokus. Pengurusan diri kelam kabut.”


“Tinggalkan maksiat. Meskipun susah. Percayalah…”


“Percayalah bahawa keseronokan menikmati yang halal itu jauh lebih terasa manisnya daripada keseronokan melayani perkara haram.”


Subhanallah. Kalam ustaz begitu menggetarkan rasa. Mata kami berdua tidak berkelip.


Saya melihat reaksi junior. Dia tunduk. Saya tahu akalnya sedang menghadam satu persatu apa yang baru sahaja didengari.


Perjumpaan hampir sejam itu terasa begitu bermakna. Banyak lagi perkara yang kami bualkan. Semuanya berkisar tentang cinta anak muda belum berkahwin.


Semasa perjalanan pulang, junior tersebut bersuara perlahan.


“Semua yang ustaz dan ustazah sebutkan tadi sangat betul. Saya memang tidak tenang. Nampak macam bahagia tetapi hakikatnya hati saya menderita. Cukuplah selama ini kami bermaksiat. InsyaAllah, saya nekad untuk berubah. Saya tidak mahu terus berhubungan dengan perempuan itu dalam keadaan yang tidak diredhai.”


Saya tahu dia bersungguh-sungguh. Lalu saya menepuk bahunya.


“Kalau betul enta sayangkan dia, usahakan supaya enta dengan dia berkahwin. Cinta enta pada dia tidak perlu dipadam, tetapi untuk dilukis dengan iman. Mintalah petunjuk dan pertolongan Allah. Jika kita memilih untuk taat kepada Allah, takkanlah Allah tidak membuka jalanNya untuk bantu kita.”


Kami tersenyum. Kalimat itu mengakhiri pertemuan.


Selepas setahun tanpa berita, akhirnya inbox facebook saya menghantar khabar gembira.


“Abang Salim, jemputlah ke kenduri kahwin ana. Alhamdulillah. Terima kasih atas segalanya. Jangan tak datang!”


Allahu Allah. Saya tersenyum bahagia.


 


The post Apabila Cintamu Dimurkai appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2014 03:19

February 10, 2014

Memaknakan cinta dengan menjaga pandangan mata

The_Eye_by_kobrakai51


Pandang pada hikmah penciptaannya bukan dengan dorongan nafsu tapi dengan pengetahuan ilmu


Pandangan mata merupakan cermin bagi hati manusia. Bagaimana dia menjaga pandangan, begitu jugalah hatinya berkedudukan. Seterusnya keadaan hati ini yang memandu setiap amalan insan sama ada ditembusi cahaya kebaikan atau bersawang dosa dan kemaksiatan. Oleh yang demikian, mata merupakan akar untuk menjaga segala dosa dan punca mendapatkan pahala.


Pandangan mata boleh melahirkan banyak rasa. Tidak seperti pendengaran. Dengannya bisa lahir rasa cinta ataupun benci sesama manusia. Kerana itu, manusia disuruh menjaga pandangan mata untuk tidak tidak jatuh ke lembah hina dengan terhanyut rasa cinta atau tidak membenci seseorang kerana ternampak keaibannya.


 


Pandangan Mata


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (An-Nur:30-31)


 


Dalam banyak perkara apabila Allah mensyariatkan hamba-hambaNya untuk melaksanakannya atau melarangnya, kebiasaan Allah akan menyatakan dalam ayat yang merangkumi keseluruhan muslim tanpa mengklafikasikan mengikut jantina. Namun, dalam perihal menjaga pandangan ini, Allah sebutkan dua kali yang mana berbeza dari sudut ayat dalam rangka pensyariatannya kepada berlainan jantina untuk menggambarkan kepentingan bagi setiap lelaki dan wanita itu menjaga pandangannya.


Hal ini disebabkan, menahan pandangan mata adalah dasar untuk menjaga kemaluan dan lain-lain kemaksiatan. Berkaitan itu juga pandangan mata disebutkan terlebih dahulu dalam ayat tersebut berbanding untuk menjaga kemaluan.


Dalam pada itu, pengharamannya bukanlah secara mutlak yang beerti ada dalam keadaan tertentu untuk kemaslahatan yang pasti, seperti urusan jual beli, perubatan dan perkara-perkara penting yang menuntut berlainan jantina berurusan. Demikian,  pandangan mata bukan diharamkan secara total sebaliknya menjaga kemaluan dituntut dalam apa jua keadaan kecuali pada yang dibenarkan.


Larangan dan pengingkaran terhadap pandangan mata juga disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w:


Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa boleh dimungkiri. Mata itu bisa berzina, dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu bisa berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu bisa berzina dan zinanya adalah ayuhan langkahan. Tangan itu bisa berzina dan zinanya adalah kekerasan. Hati itu bisa berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan kemaluan membenarkan perbuatan itu atau mendustakannya. (Bukhari & Muslim)


Merujuk pada hadis ini, dapat kita singkap bahawa pandangan mata disebutkan juga pada awalnya kerana boleh menjebak manusia kepada kemaksiatan lainnnya. Akhirnya, kemaluan menjadi pembukti kefasadan itu berlaku atau dicegah.


 


Punca Maksiat Mata


Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mata antara punca utama kemaksiatan seterusnya. Bahkan ia ibarat panahan beracun yang mana apabila sekali manusia terkena maka sukar menyembuhkannya semula. Jika boleh diubati pun masih berbekas kesan atau parut panahan. Nabi s.a.w bersabda:


“Pandangan mata itu laksana anak panah beracun daripada berbagai macam anak panah Iblis.” (HR Ahmad)


Selain itu, punca kemaksiatan pandangan mata yang utama adalah wanita. Walaubagaimanapun tidak dinafikan lelaki juga boleh menjadi asbab. Namun, para wanita lebih membawa impak yang besar kesan daripada tidak menjaga auratnya dengan baik. Disebutkan juga dalam surah An-Nur[i], Allah mendahulukan penzina-penzina wanita daripada lelaki kerana menjadi sumbangan utama ke arah maksiat zina.


Bahkan disebutkan juga dalam hadis baginda s.a.w:


“Aku tidak meninggalkan cubaan yang lebih membahayakan kepada lelaki selain daripada wanita. (HR Bukhari)”


Adapun punca kemaksiatan ini bukanlah bererti merendahkan martabat wanita. Melihat pada lipatan sejarah berapa banyak wanita yang memberi sumbangan kepada Islam secara terus seperti Asiah isteri Firaun atau memberi sumbangan dengan menjadi penguat kepada dakwah seperti yang dibuat oleh isteri-isteri nabi.


Tambahan, dalam perkara maksiat yang lain seperti pencurian, Allah mendahulukan golongan lelaki dalam menyebutkan tentang hukumannya dalam Al-Quran[ii]. Namun, dalam dosa yang melibatkan pandangan mata dan seterusnya membawa kepada zina amat berkait rapat dengan golongan wanita.


Oleh yang demikian, kepentingan wanita terutama dalam bab menjaga aurat amatlah penting kerana ia bukanlah berkaitan dosa kepada diri sendiri tetapi juga bersangkutan dengan orang disekitarnya. Cuba fikir adakah kita (para wanita) suka jika bapa, abang-abang dan adik-adik kita mendapat dosa dengan perbuatan seorang wanita yang lain? Begitu juga masyarakat kita yang lain tidak suka untuk perkara yang sama menimpa keluarga mereka.


 


Manfaat menjaga pandangan mata


Setiap larangan yang diperintahkan dalam bab ibadat secara umumnya perlu diterima oleh manusia tanpa persoalan disebabkan ia merupakan proses keabdian seorang insan kepada Tuhan. Namun, akal atau hujah manfaat bagi larangan tersebut bukanlah bererti dinafikan dan tidak boleh diterima. Begitu juga dalam bab menjaga pandangan ini ada beberapa kebaikan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauzi[iii]:


1.  Membersihkan hati dari derita dan penyesalan


Manusia yang suka mengumbar pandangan matanya, maka penyesalan yang dirasakan tiada henti-hentinya kerana dengan perbuatan tersebut jiwa menjadi gelisah akan perkara yang dilihatnya disamping tidak dapat mengawal hawa nafsunya.


Pandangan akan menyusup ke dalam hati seperti anak panah yang meluncur saat dibidik. Jika tidak membunuh, tentu ia akan merobek luka. Ia (pandangan) juga boleh diibarat seperti bara api yang dilemparkan pada dahan-dahan kering, jika tidak membakar semuanya, nescaya akan membakar sebagian antaranya.


Kata sebuah syair:


Segala peristiwa berawal dari pandangan mata,

Jilatan api bermula dari setitik bara,

berapa banyak pandangan yang membelah hati,

laksana anak panah yang melesat dari tali,

selagi manusia punya mata untuk memandang,

dia tidak lepas dari bahaya yang menghadang,

senang dipermulaan dan ada bahaya di kemudian hari,

tiada ucapan selamat datang dan ada bahaya saat kembali.


2.  Mendatangkan cahaya dan keceriaan serta kegembiraan di hati


Allah (pemberi) cahaya kepada langit dan bumi. (An-Nur:35)


Ayat ini disebutkan setelah Allah menyuruh lelaki dan perempuan menjaga pandangan dan kemaluannya. Kemudian datang ayat ini. Tidakkah kita juga sebahagian dari keduanya?


Kegembiraan yang menyelinap dalam jiwa manusia tidak lain tidak bukan kerana kemampuannya menahan nafsunya dari larangan Allah. Tatkala pembekuan nafsunya ini berjaya dilakukan, saat ini datangnya kegembiraan.


3.  Membuka pintu dan jalan ilmu serta memudahkan untuk mendapatkan asbab ilmu


Selalu manusia mempotretkan kebaikan adalah cahaya, keburukan adalah kegelapan, dan cahaya tidak akan masuk dalam kegelapan. Tp bukankah sifat cahaya menerangi kegelapan? Ya, tapi ia tidak pernah akan sama tempat bercahaya dan tempat diterangi cahaya. Yang mana lbh jelas?


Bilamana digambarkan ilmu adalah cahaya, dan ia tidak mudah memancar dalam jiwa bersawang dosa. Sekalipun ia terima cahaya nescaya lebih malap dari yang hati yang jernih. Hal ini terjadi ilmu itu bukan sekadar terpenjara pada akal manusia, tetapi ia menerobos dinding hati supaya subur darinya amal. Jika hati bersinar terang, maka akan muncul hakikat pengetahuan di dalamnya dan mudah terkuak, sehingga ilmu-ilmu itu bisa dihadam. Namun, bagi mereka yang bemudah-mudah dalam pandangan mata, maka hatinya akan menjerit kegelapan. Jalan ilmu terasa sempit, pintu ilmu seolah-olah tidak terbuka.


4.  Membebaskan hati dari syahwat yang memabukkan dan kelalaian yang melenakan


Melampiaskan pandangan mata pasti akan membuatkan pelakunya lalai terhadap Allah dan memikirkan hari akhirat sehingga menyebatkan dia terjerat dalam tawanan cinta. Firman Allah:


Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terumbang-ambing di dalam kemabukan(kesesatan). (Al-Hijr:72)


Pandangan mata adalah segelas arak dan cinta yang dapat memabukkan bila meminumnya. Mabuk cinta lebih parah daripada mabuk kerana arak. Orang yang mabuk kerana arak biasa segera kembali. Berlainan dengan orang mabuk cinta, hingga terkadang sukar untuk tersedar kecuali diambang mati.


5.  Menutup pintu maksiat seterusnya


Pandangan mata merupakan gerbang syahwat yan menuntut perlaksanaannya. Larangan Allah terhadap perkara ini merupakan tabir pemisah pelaku dan dosa. Siapa yang berani menceroboh tabir ini, maka tidak mustahil dia mudah terdorong untuk merosakkan penghadang seterusnya kerana ia tidak akan berhenti pada satu tujuan sahaja.


Jiwa manusia fitrahnya tidak upaya menentang tujuan yang sudah diperoleh, lalu keinginan untuk mendapat suatu yang baru semakin membuak-buak tambahan perkara itu tampak lebih indah melalui jendela pandangan pelaku. Justeru, menutup pintu utama itu amat penting supaya dapat menghalang kemaraan maksiat yang lain.


6.  Mendatangkan firasat yang kuat


Menahan pandangan bisa mendatangkan kekuatan firasat dalam kebaikan, kerana ia amat berkait dengan soal kekuatan hati. Jika hati kental, buah pandangannya tidak mudah tersasar. Hal ini disebabkan hati berkedudukan seperti cermin yang memperlihatkan kepada manusia seluruh apa yang ada dari pantulannya. Sedangkan pandangan ibarat hembusan nafas pada cermin yang mana semakin banyak hembusan semakin pudar kekuatan hati dan menyebabkan manusia mudah terkalah.


7.  Melangkah kepada kebaikan yang lebih mendekat diri dengan tuhan


Hawa nafsu manusia mudah terjaga apabila pandangan mata terpelihara. Dengan sebab itu, kebaikan yang lain mudah untuk manusia usaha untuk dilaksana. Melihat contoh dalam lembayung sirah, Allah mensyariatkan berpuasa terlebih dahulu pada tahun kedua hijrah sebelum memerintahkan nabi s.a.w dan para sahabat berjihad dalam perang badar pada tahun yang sama dalam bulan puasa pula. Apakah rahsianya?


Sudah tentu, supaya para sahabat dapat mendidik nafsu mereka dengan kesusahan, untuk mereka dapatkan kekentalan jiwa menghadapi musuh yang mendatang. Begitu juga dengan kita, jika kita bisa menawan hawa nafsu dari mara, maka ruang kebaikan yang lain akan terhampar pada pandangan mata.


Kesimpulan


Menjaga pandangan mata tidak terikat dengan pada keadaan persekitaran luaran yakni di ruangan awam seperti university, supermarket atau lain-lainnya sahaja. Tetapi ia juga turut menuntut manusia untuk cuba menahan pandangan tatkala bersendirian atau dihadapan gadjet-gadjet yag serba canggih kini.


Pandangan mata adalah punca bagi kebanyakan dosa terutama dalam bab zina. Bukan makna ertinya cinta jika tidak menjaga pandangan mata kerana dengannya akan terdorong manusia untuk keburukan yang lebih terhina.


Akhir sekali, sudah tentu kebaikan menjaga pandangan ini lebih banyak daripada apa yang cuba dikongsikan. Mungkin ini sekadar peringatan bersama kepada kita moga kita tidak mudah lupa saat kita menghadapi ujian tersebut dihadapan mata.





[i]  An-Nur:2


[ii]  Al-Maidah:38


[iii]  Cinta dan Rindu dalam Al-Quran, Ibn Qayyim


 


The post Memaknakan cinta dengan menjaga pandangan mata appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 10, 2014 06:07