Hilal Asyraf's Blog, page 35
July 13, 2015
Ringkas: 10 Doa Indah Di Penghujung Bulan Rahmat
Allah menjadikan malam-malam di bulan Ramadhan sebagai malam yang cukup menguntungkan. Dibuka bagi hamba pintu langit seluas-luasnya, diangkat doa-doa hamba yang ikhlas meminta kepadaNya. Apatah lagi pada 10 malam terakhir yang mulia ini. Firman Allah dalam surah Ghafir ayat ke 60 yang bermaksud:
“Berdoalah kepadaKu, Aku akan kabulkan doa kalian. Sungguh orang-orang yang menyombongkan diri kerana enggan beribadah kepada-Ku, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”
Fiman Allah SWT lagi dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi yang bermaksud:
“Wahai manusia, selagi engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, aku mengampuni dosamu dan tidak aku pedulikan lagi dosamu”
Manusia yang enggan dan malas berdoa adalah manusia yang sombong dengan Tuhannya, apatah lagi setelah diberi peluang pada bulan Ramadhan yang hadir cuma setahun sekali, penuh dengan kebaikan rahmat dan keampunan. Ibarat raja yang membuka pintu gedung istana dengan seluas-luasnya selama sebulan, rakyat dibenarkan masuk dan ambil apa sahaja yang ia mahu namun terdapat segelintir rakyat yang sudah pun berada di hadapan pintu tetapi berkata, “Ah malas lah aku, buat apa berebut-rebut..buang masa saja.. lagi pun aku sudah pun miliki apa yang aku mahukan,”. Rugi, teramatlah rugi. Tahun hadapan belum tentu ada lagi.
Bulan Ramadhan didatangkan sebagai rahmat buat mereka yang beriman. Allah memberi ganjaran yang hebat buat mereka yang berpuasa dan antaranya ialah dimakbulkan doa bagi mereka yang berdoa sebelum berbuka puasa, pada waktu sahur, selepas solat fardhu, disepertiga malam dan pada malam al-Qadr. Malam al-Qadr adalah malam yang cukup rahsia, hanya Allah dan para malaikatNya sahaja yang tahu bilakah ia, namun telah diberi petunjuk oleh Rasulullah SAW bahawasanya malam al-Qadr itu boleh berlaku pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Justeru, pada 10 malam akhir ini digalakkan kepada kita untuk berlumba-lumba memperbanyakkan doa dan meminta kepadaNya.
Suka untuk kita kongsikan di sini antara doa-doa indah yang boleh kita amalkan untuk memohon kebaikan hidup di dunia dan di akhirat yang mana doa-doa ini yang telah terlakar di dalam al-Quran, doa-doa para nabi dan rasul, juga doa yang telah diajar Rasulullah SAW buat umat baginda.
1.
‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang sebaiknya aku baca bila bertepatan dengan malam Lailatul Qadar?” Rasulullah bersabda: Bacalah (doa yang bermaksud):
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi ampunan dan menyukai orang yang memohon ampunan, maka ampunilah aku.”
-Hadis riwayat Imam Tirmidzi, Ahmad, dan Ibnu Majah
2.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah saw mengucapkan doa yang bermaksud:
” Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari empat perkara iaitu;
Dari ilmu yang tidak bermanfaat,
dari hati yang tidak khusyuk,
dari jiwa yang tidak kenyang (puas) dan ;
dari doa yang tidak dimakbulkan.”
-Hadis riwayat Muslim
3.
Daripada Ibn Umar R.A, di antara doa yang dibaca Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hilangnya nikmat-Mu, pindahnya kesejahteraan-Mu, datangnya murka-Mu dengan tiba-tiba dan semua murka-Mu”
-Hadis Riwayat Muslim
4.
“Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami) sesunguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang”
- Surah al-Baqarah ayat ke 128 dan 129.
5.
“Wahai Tuhanku, berikanlah aku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh;
Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang baik) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;
Dan jadikanlah aku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim.”
-Surah asy-Syu’araa ayat ke 83 hingga 85.
6.
“Wahai Rabb ku, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari sesuatu yang aku tidak ketahui hakikatnya.
Dan sekiranya Engkau tidak memberi keampunan kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku,
nescaya aku akan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.”
-Surah Hud ayat ke 47
7.
“Engkaulah yang memimpin kami, maka ampunilah kami
dan berilah kami rahmat dan Engkaulah sebaik-baik pemberi keampunan.
Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu.”
-Surah al-A’raaf ayat ke 155 dan 156
8.
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.
Wahai Tuhan kami, jangan Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sepertimana yang telah Engkau bebankan kepada umat yang terdahulu sebelum kami.
Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.
Maafkanlah kami, ampunkanlah kami dan rahmatilah kami.
Engkau lah penolong kami maka bantulah kami menghadapi kaum yang kafir”
-Surah al-Baqarah ayat ke 286.
9.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW sering membaca doa ini (yang bermaksud):
”Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kejahilanku, keterlampauanku dalam urusanku, dan apa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku.
Ya Allah, ampunilah diriku dalam kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku, kesengajaanku, semua itu berasal dari sisiku.
Ya Allah, ampunilah aku dari segala dosa yang telah aku lakukan dan yang belum aku lakukan, segala dosa yang aku sembunyikan
dan yang aku tampakkan,dan dosa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku,
Engkaulah Yang Maha Mendahulukan dan Yang mengakhirkan, dan Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
10.
Daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata Rasulullah SAW pernah bersabda:
Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku,
dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku, serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku.
Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan,
serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan.”
-Hadis Riwayat Muslim
Khatimah
Melihatkan betapa tingginya nilai doa dalam hidup seorang mukmin, Allah menjadikan petunjuk dan panduan untuk kita berdoa dan meminta yang terbaik daripadaNya, malah disediakan pula waktu-waktu yang khusus bagi hambaNya berdoa dengan harapan doanya itu dimakbulkan dan diperkenankan olehNya. Pada waktu itu malaikat turun ke bumi bagi mendengar rintihan-rintihan hamba-hamba Allah yang berdosa, mahu memberi peluang kedua untuk mereka kembali kepadaNya. Lalu seharusnya pantas bagi kita mengikut petunjuk dan panduan yang telah Allah berikan itu dengan penuh rasa malu, kerendahan hati, dan taqwa kepadaNya.. Ramadhan hampir tiba ke penghujungnya, berapa banyak doa kita yang telah sampai kepadaNya?
The post Ringkas: 10 Doa Indah Di Penghujung Bulan Rahmat appeared first on Langit Ilahi.
Komik: #Meriam
لا ضرر ولا ضرار
ضرر : Membahayakan diri sendiri
ضرار : Membahayakan diri orang lain
Dari Abu Sa’id, Sa’ad bin Sinan Al Khudri radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan, dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan cara yang salah”
(Hadits hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Daruqutni serta lainnya dengan cara musnad, juga diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwattha’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapaknya dari Rasulullah, dia tidak menyebutkan Abu Sa’id. Akan tetapi hadits ini memiliki jalan-jalan yang saling menguatkan).
The post Komik: #Meriam appeared first on Langit Ilahi.
7 Amalan Kecil memiliki Pahala Besar pada Malam al-Qadr
Sebagaimana yang diketahui oleh kebanyakan kita bahawa malam al-Qadr mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu yang disebutkan dalam al-Quran bahawa ianya lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Menjadi tanda tanya adalah apakah malam yang begitu mulia yang mempunyai ganjaran yang besar ini, dapat dimanfaatkan dengan ibadah-ibadah yang tertentu?
Hari ini kesibukan sesetengah pihak yang bukan atas kehendak diri sendiri, tapi atas asbab-asbab seperti memerlukan sumber kewangan yang mampu menyara keluarga sebagai contohnya membuatkan ramai antara mereka ini yang mungkin ketinggalan untuk beramal pada malam-malam akhir Ramadan yang dijanjikan salah satunya adalah al-qadr.
Kenapa terjadi?
Hal ini disebabkan mentaliti sebahagian kita melihat ibadah pada sudut yang tidak meluas dengan beranggapan hanya ibadah qiyam, I’tikaf semata-mata. Tidak dinafikan bahawa ia adalah merupakan sebaik-baik amalan bahkan itulah yang diajar oleh baginda s.a.w dalam sunnah beliau.
Pun begitu agak tidak adil untuk kita menghukum sebahagian kita yang tidak bernasib baik yang perlu bekerja lebih masa untuk mencari rezeki paling kurang untuk menggembirakan keluarga di pagi aidilfitri. Justeru, ibadah pada malam al-Qadr perlu dilihat oleh golongan yang kesempitan waktu ini dengan lebih luas dengan melaksanakan ibadah-ibadah yang nampak zahir kecil dari sudut perbuatan tetapi berat dari sudut timbangan. Hal ini disebabkan setiap amalan yang dilakukan diganjarkan 1000 bulan pahala. Antaranya adalah:
2 rakaat sebelum azan subuh (tahajjud)Mungkin hal ini nampak agak berat. Tetapi jika mereka yang terbiasa bangun untuk bersahur, maka peruntukkanlah masa meskipun hanya lima minit untuk bersolat sunat. Kurangkan bersembang dan segerakan makan untuk dapat peroleh waktu tersebut. Dengan solat sunat ini sekurang-kurang ianya dikira sebagai ibadah bangun malam sebelum terbit fajar yang mana termasuk dalam ganjaran al-qadr.
BersedekahHal ini mungkin agak mudah bagi peniaga. Bersedekah bukan semestinya kita memberi duit atau barangan kepada orang lain, mungkin lebih mudah bagi peniaga misalnya dengan mengurangkan harga barang dengan NIAT sedekah. Atau lebih afdalnya diperuntukkan sedikit masa untuk memberi makan kepada yang memerlukan yang tidur di kaki-kaki lima dan sebagainya.
Membaca al-Quran sekurang-kurangnya adalah tiga kali surah al-ikhlasDalam hadith yang sahih menyebut membaca al-ikhlas ibarat membaca satu-pertiga al-Quran. Justeru dengan membacanya sebanyak tiga kali, maka ganjarannya pula ibarat membaca keseluruhan al-Quran. Maka jangan membiarkan malam-malam akhir ini tanpa membaca al-Quran walaupun sedikit. Tambahan lagi, jika dapat membaca lebih banyak lagi lebih baik walaupun bukan keseluruhannya kerana setiap huruf bacaan diberikan 10 pahala dan diganda pula pada malam al-Qadr.
Berdoa dengan doaاللّهمّ إنّك عفوّ كريم تحبّ العفو فاعف عنّي“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.”[HR Tirmidzi]
Hadis ini dinilai daif oleh sebahagian ulama’ hadis muktabar. Pun begitu manfaat lafaz hadis ini boleh diamalkan dengan menjauhkan ia dinisbahkan kepada rasululllah s.a.w. Walaubagaimanapun merujuk lafaz di atas digunakan perkataan عفوّ tetapi tidak menggunakan perkataan غفور. Apakah perbezaan bagi keduanya?
عفوّ: Allah menghapuskan dosa-dosa kita secara serta merta dan memelihara kita daripada melakukan dosa
غفور: Allah hanya menutupi dosa-dosa yang telah dilakukan tetapi tidak mendedahkannya dan tidak pula menghukum atas dosa tersebut dan akan diampunkan pada hari akhirat kelak.
Berzikir dengan zikir“Subhanallahi wabihamdihi, subhanallah hil ‘azim”Zikir ini disebutkan dalam hadith Bukhari sebagai zikir yang ringan untuk lidah mengunkapkan tetapi berat dalam timbangan. Justeru, lazimi zikir yang mudah ini atau zikir-zikir yang lain.
Detikkan hati akan perkara kebaikan dan menginsafi diriPerkara ini mungkin boleh merujuk kepada doa. Pun begitu, supaya lebih khusus maka dalam keadaan bagaimanapun kita pada malam-malam akhir ini, cuba bertafakkur akan kesalahan dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Dalam keadaan tidak sedar sebenarnya kita berada dalam keadaan berdoa memohon keampunan. Selain itu, detikkan dalam diri untuk membuat suatu kebaikan tambahan setelah Ramadan agar ianya berbeza dari Ramadan sebelumnya kerana bisikkan hati yang ikhlas pada malam-malam ini mudah dimustajabkan (diperkenan serta merta) bukan dimakbulkan (diterima tetapi mungkin ditangguhkan)
Buatlah apa jua kebaikanJika ingin melihat secara umum lagi, maka buatlah kebaikan apa-pun pada malam-malam ini walaupun hanya membuang halangan dijalanan. Perkara-perkara yang kita anggap mudah dan kecil tetapi mempunyai kebaikan yang besar. Maka kebaikan itu pula akan digandakan. Adapun kebaikan yang utama adalah dengan meninggalkan maksiat dan dosa.
Penutup
Perkara yang ingin ditekankan di sini adalah, janganlah sekali-kali kita meninggalkan malam-malam akhir Ramadan ini begitu sahaja tanpa ada sedikit pun pengisian kerana setiap amalan kebaikan itu akan digandakan.
Biar pengisian itu kecil tetapi ianya mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah.
Biar pengisian itu kecil tetapi dengan keikhlasan melaksanakan, itulah amalan yang diterima oleh Allah s.w.t.
Kata para salafussaleh:
“Jika satu amalan aku itu diterima oleh Allah lebih aku suka daripada amalan yang banyak tetapi tiada nilai disisinya”.
The post 7 Amalan Kecil memiliki Pahala Besar pada Malam al-Qadr appeared first on Langit Ilahi.
Cerpen: Masih Ada Waktu, Tuhan Jangan Siakan Aku
Usai tarawikh di rumah kebajikan itu, pemuda itu duduk di tepi padang kecil sambil melihat langit. Kawasan bukit yang cukup damai, di sini dia mencari ketenangan. Dari hiruk pikuk kota, dari masalah dunia.Tiba-tiba seorang lelaki lebih separuh abad datang menyapa. Dengan bertongkat, terketar-ketar beliau melabuhkan punggung di sebelah anak muda itu.
“Eh, pak cik buat apa kat sini? Kenapa pak cik tak duduk kat dalam? Sejuk ni. Ish serba salah pula saya rasa, jom pak cik saya temankan pak cik kat dalam ya,” katanya sambil cuba untuk bangun untuk mempimpin orang tua itu namun tangannya ditahan supaya dia duduk semula.
“Tak ape.. pak cik pun biasa duduk sini malam-malam macam kamu.. sekali sekala apa salahnya kan..” balas beliau dengan senyuman tulus di wajah.
Sungguh pak cik ini kelihatan sangat tenang. Suaranya ramah, seakan tiada kesedihan yang disimpan. Rumah Bakti Darul Mahabbah, rumah jagaan orang tua yang terletak di pinggir ibu kota itu tempat biasa anak muda itu bertandang malah dia merupakan salah seorang sukarelawan di situ.
“Haa kamu ni Amru, pak cik nak tanya sikit.” tanya beliau.
“Tanya apa pak cik? alah pak cik ni macam tak biasa pula dengan saya…” seloroh Amru.
“Kamu ni, tak balik kampung ke? lagi 4 hari je lagi nak raya ni,” terus terang beliau bertanya.
“Hmmm.. pak cik Radin, saya raya sini je tahun ni. Mak ayah saya raya kat Mekah, abang-abang dan kakak saya pula beraya dengan mertua masing-masing kali ni, jadi tinggal lah saya seorang. Tak ape pak cik, saya nak raya sini je tahun ni, duduk dengan warga Darul Mahabbah. Semua kat sini pun dah macam keluarga saya sendiri..
Eh, pak cik pulak macam mana? Anak pak cik tak datang ambil bawa balik rumah ke?”
Pak cik Radin tersenyum lebar mendengar soalan itu. Terbayang di matanya wajah isteri, wajah anak-anak. Apa khabar agaknya mereka.
“Pak cik dah 5 tahun beraya kat sini saja Amru. Anak-anak pak cik pun dah lama tak menjenguk pak cik,” jelas warga tua itu. Amru terkedu sebentar. 5 tahun bukannya sekejap.
“Pak cik tak rasa apa-apa ke? saya tengok pak cik macam rileks je. Saya nak rasa sedih pun tak jadi sedih tengok pak cik cool macam ni..” Amru kagum melihat orang tua itu begitu kuat. Dia yang masih muda pun seringkali berasa kecewa, patah hati dan hampa dengan hidup ini malah hampir putus asa.
“Amru nak tahu kisah pak cik?” senyumannya masih lekang di bibir. Di sebalik usianya yang sudah lanjut, giginya masih cantik tersusun rapi.
“Kalau pak cik tak kisah, kongsi lah.” segera dia membalas.
“Baiklah kalau macam tu.. beginilah. Pak cik pernah ada seorang isteri kemudian Allah kurniakan pak cik 3 cahaya mata. ”
Amru mendengar dengan khusyuk sekali. Pak cik Radin menyambung kisah.
“Tetapi pak cik dan isteri pak cik berpisah kerana beberapa masalah. Anak-anak, pakcik yang jaga. Bagi pak cik, hidup pak cik adalah untuk mereka. Pak cik susah payah membesarkan mereka. Tapi iyalah manusia, lepas mereka sudah besar dan dewasa masing-masing berkahwin dan membina keluarga, di sini pak cik dihantar. Kata mereka tiada masa untuk menjaga ayahnya yang sudah tua, lebih baik hantar ayah mereka di sini saja, ada yang boleh menjaga. Pak cik tidak mahu susahkan anak-anak, jadi pak cik setuju saja.” tenang pak cik Radin bercerita..”.
Amru yang mendengar dari tadi merasa geram pula. Sampai hati anak-anak pak cik Radin buat begini.
“Pak cik, mana boleh macam ni. Mereka ada tanggungjawab mereka terhadap pak cik,” geram rasa hatinya.
“Amru…” pak cik Radin memegang bahunya.
“Amru, pak cik dah lama redha. Sejak isteri pak cik meninggalkan pak cik lagi, pak cik sudah redha. Sebab di dunia ini tiada yang kekal. Semuanya milik Allah. Allah meminjamkan isteri dan anak-anaknya pak cik untuk sekejap waktu saja. Tiada satu pun benda di dunia ini pak cik yang punya. Lagi pun pak cik tenang di sini. Pak cik ada kawan-kawan, pak cik boleh beribadah dengan baik dan selesa, orang di sini pun baik-baik semuanya. Pak cik yakin yang Allah menggantikan apa yang pak cik telah kehilangan dengan sesuatu yang lebih baik. Memang pada mulanya pak cik cukup kecewa dengan tindakan anak-anak pak cik, tetapi Allah memujuk hati pak cik bahawa Dia sentiasa ada saat semua orang yang kita cinta pergi meninggalkan kita. Kerana cintaNya lebih besar dari cinta manusia. Sedikit demi sedikit, pak cik jadi kuat. Pak cik percaya ada hikmahnya.” jelas pak cik memujuk hati Amru yang panas.
“Pak cik… Macam mana pak cik boleh jadi begitu kuat sekali nak hadapi semua ini? Maksud saya, pak cik sangat kuat.. Mula-mula isteri pak cik tinggalkan pak cik, kemudian anak-anak setelah dewasa mereka abaikan pak cik.. Kalau lah saya jadi pak cik, entahlah apa yang saya fikirkan. Dengan keadaan hidup saya yang sedia ada ini pun saya rasa sangat serabut dan tidak puas. Kerja saya dari pagi sampai malam. Bila pulang ke rumah, badan dah letih sangat-sangat. Ketika orang lain solat tarawikh berjemaah, saya masih terlekat di pejabat. Kadang-kadang kalau saya larat, saya akan solat sendiri di rumah. Kalau tidak, lepas tunaikan solat Isyak terus saya tidur. Saya cemburu melihat orang lain yang walaupun letih-letih, masih mampu bangun untuk bertemu Allah. Saya kecewa dengan diri sendiri. Saya rasa saya seperti semakin jauh dari Allah. Hmmm…” Amru meluahkan rasa kesal yang tersimpan sekian lama.
“Oooh sebab tu kamu termenung di sini ye… Amru.. Amru..” Pak cik Radin menggeleng-geleng kepala sambil mengusap belakang Amru.
“Nak.. Pak cik pun tidak kuat sebenarnya. Tipulah kalau tiada air mata yang tumpah. Tapi setiap hari pak cik pesan pada diri, pak cik ada Allah yang menjaga pak cik. Mula-mula selepas isteri pak cik tinggalkan pak cik, memang pak cik rasa seperti anak-anaklah segalanya. Tapi kemudian pak cik sedar, itu pun tak selamanya ada. Yang kekal hanyalah Allah. Apalah sangat ibadah pak cik jika nak dibandingkan dengan seluruh kurnia yang telah pak cik terima dariNya. Sebab itulah setiap kali datangnya Ramadhan, pak cik akan beribadah seolah-olah tiada lagi esok untuk pak cik. Bertahun-tahun Ramadhan pada zaman muda pak cik dilalaikan, pak cik perlu tebus semuanya. Jangan jadi hamba yang berkira. Itu yang membuatkan pak cik terus bertahan sampai sekarang.”
Amru termenung menguis-nguis rumput di hujung kaki.
“Amru.. Dunia ini hanya sementara. Ia ladang menuju akhirat. Kita bekerja kuat di dunia ini, demi akhirat. Ya memang Amru bekerja sangat kuat sehinggakan kurangnya kesempatan untuk beribadah sunat macam orang lain. Tetapi kalau kerja-kerja kita itu diniatkan kerana Allah, untuk mencari keredhaan Allah, dan kita berniat agar natijah kerja kita itu kelak dapat memberi manfaat dan memudahkan urusan manusia lain, ia juga dikira ibadah selagi tidak melanggar apa yang telah Allah bataskan. Jadi janganlah kamu merasa kecewa, Allah tahu di mana kemampuan kita. Pada masa yang sama kita pun kena berusaha untuk meluangkan sedikit masa untuk bersama Dia. Jangan berkira dengan Allah, tidak akan habis pun masa yang kita ada jika kita luangkan untuk Dia, malah Dia akan luaskan lagi masa yang kita perlukan untuk urusan-urusan kita.”
Ada genang pada mata anak muda itu.
“Tapi pak cik.. Sekarang tinggal lagi 3 malam je lagi sebelum Syawal. Sempat ke saya nak ganti balik 26 hari Ramadhan yang telah saya rugi sebelum ni..? Macam dah terlambat je…” dia bersuara perlahan.
“Belum terlambat lagi…” pintas orang tua itu. “Belum terlambat lagi anak muda.. Kalau kita bersungguh-sungguh, insyaAllah ada ganjaran dari Dia. Jangan kerana kita sudah ketinggalan, terus kita putus asa. Ingat kata pepatah Inggeris, ‘better late than never!’ kan? Ikhlas Amru. Ikhlas. Allah pasti akan memandang hati-hati yang ikhlas.”
Terasa diri yang jatuh kini bangun semula. Amru kembali tersenyum. Ya, dia masih belum terlambat. Ramadhan yang berbaki, masih ada masa. Allah masih sayangkan dia dan memberi peluang untuk dia berusaha dan menebus hari-hari yang telah pergi.
“Pak cik… Terima kasih..kalau lah saya boleh jadi kuat macam pakcik.. ” dia mengenggam kuat tangan orang tua itu.
“Pak cik dah tua.. pak cik akan pergi tak lama lagi.. masa-masa pak cik yang lalu lebih banyak terbazir dengan perkara-perkara yang lagha berbanding kamu. Kamu masih muda, masih punya peluang dan masa. Lagi 4 hari berbaki ni, kamu usahalah sebaik mungkin untuk mendapat perhatian Allah. Allah Maha Baik, Dia takkan sia-siakan kamu. Sudah-sudah, jom kita masuk. Lewat dah ni.. Nanti nak qiyam dan sahur pula kan.” Lelaki itu cuba berdiri sambil berpaut pada tongkat tuanya. Segera Amru bangun untuk memimpin orang tua itu.
“Maaflah pak cik..susahkan pak cik saja..” rasa bersalah pula kerana dia, orang tua itu berlama-lamaan di luar pula.
“Allah, apa susahnya pula.. Ingat Amru.. Masih belum terlambat.. Kamu jangan lah putus asa. Rahmat Allah itu Maha Luas, kalau kamu bersangka baik pada Allah maka Allah akan beri yang baik-baik buat kamu..” tutur pak cik Radin seraya berjalan masuk sambil dipimpin Amru.
Amru senyum lagi, “InsyaAllah pak cik.. InsyaAllah..”
“Tuhan, aku tahu aku hamba yang terlalu banyak lalai dan lagha, Ramadhan ini hampir berlalu namun aku masih aku yang dahulu. Di waktu yang berbaki ini aku memohon padaMu. usah Engkau siakan aku serta amalku. Di waktu yang berbaki ini, jadikanlah aku hamba yang semakin akrab denganMu. Di waktu yang berbaki ini, ampunkanlah segala dosaku serta kelalaianku. Berikanlah aku peluang, untuk terus hidup keranaMu. Agar kelak aku kembali padaMu dalam keadaan yang Engkau redha..”
The post Cerpen: Masih Ada Waktu, Tuhan Jangan Siakan Aku appeared first on Langit Ilahi.
July 12, 2015
Sebelum terlambat – Lailatul Qadar
Berpisah Dengan Ramadhan, Bukan Tuhan
Umar bin Abdul Aziz keluar di pagi hari raya, lalu berkata di dalam khutbahnya :
“Wahai manusia !
Kalian telah berpuasa selama 30 hari, dan kalian keluar pada hari ini berharap agar Allah menerima amal dari kalian. Sebahagian salaf tampak jelas kesedihan mereka di hari raya.”
Lalu dikatakan padanya : “Hari ini adalah hari bergembira dan bersuka.”
Maka beliau pun menjawab : “Kalian benar, tetapi aku adalah seorang hamba yang Tuanku perintahkanku untuk kerjakan untuknya satu pekerjaan, tidaklah aku ketahui apakah Dia menerimanya dariku atau tidak.”[1]
Menilai Taqwa Dan Akhlak
Semua pensyariatan ibadah utama di dalam Islam, terhubung kait tujuannya dengan taqwa. Solat diikat dengan tujuan taqwa, zakat diikat dengan tujuan taqwa, haji dan puasa juga lebih-lebih lagi.
Dan tujuan taqwa ini pula, akhirnya memberikan kesan kepada pembentukan akhlak dalam diri, yang mana Al-Quran sendiri mengangkat nilai akhlak yang terkesan daripada ibadah-ibadah utama ini.
Bukan setakat dalam urusan ibadat sahaja, bahkan dalam urusan muamalat yang melibatkan hak manusia sesama manusia, Al-Quran menyebutkan menekankan nilai taqwa sebagai mekanisme pembentukan akhlak dalam bermuamalat sesama.
Misalnya, Allah menyebutkan berkaitan memperbaiki hubungan sosial :
“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, maka perbaikilah di antara dua orang saudara kalian yang bertelagah, bertaqwalah kepada Allah, semoga kalian dirahmati.” [Al-Hujurat : 10]
Allah menyebutkan tentang interaksi dengan Nabi :
“Sesungguhnya mereka yang merendahkan suara mereka di sisi Rasul s.a.w. mereka itu Allah uji hati mereka dengan taqwa.” [Al-Hujurat : 3]
Allah menyebutkan tentang meninggalkan riba yang boleh merosakkan struktur ekonomi masyarakat :
“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba sekiranya kalian benar-benar beriman.” [Al-Baqarah : 278]
Allah menyebutkan tentang talaq :
“Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar), dan hitunglah waktu iddah itu serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu.” [Talaq : 1]
Allah menyebutkan dalam permasalahan harta rampasan perang :
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), katakanlah harta rampasan itu milik Allah dan Rasul-Nya. Bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesamamu.” [Al-Anfal : 1]
Kembali kepada persoalan berkaitan puasa, sesungguhnya antara kesan besar yang diharapkan dari puasa bukan sekadar pahala banyak, amal banyak, tetapi kita keluar darinya dengan akhlak dan peribadi mukmin yang lebih baik.
Kita keluar dengan akhlak Islam yang sebenar. Mulut kita menjauhi mencaci maki dan mengeji orang. Mata kita menjauhi melihat perkara-perkara dosa. Telinga kita sakit jika mendengar umpatan dan cakap-cakap carut marut serta tidak baik. Hati kita tidak senang kalau ada kemungkaran berlaku baik di dalam diri sendiri atau pada orang lain. Kita tidak menzalimi hak dan kepunyaan orang lain.
Kalau kita keluar dari Ramadhan, tetapi peribadi kita sama saja, orang terasa sakit dengan keberadaan kita, kita pun tak menjadi contoh kepada Islam itu sendiri, maka adakah kita berjaya mendapatkan taqwa dari madrasah Ramadhan ini?
Syurga Buat Orang Bertaqwa
Allah menyebutkan dalam banyak ayat Al-Quran bahawa syurga itu untuk orang-orang yang bertaqwa.
“Bersegeralah kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi disediakan untuk orang-orang bertaqwa.” [Al-Imran : 133]
“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” [Maryam : 63]
“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa …” [Muhammad : 15]
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai.” [Al-Qamar : 54]
“Sesungguhnya orang-orang yang bertawa berada dalam tempat yang aman. Iaitu di dalam taman-taman dan mata air-mata air.” [Ad-Dukhan : 51-52]
Persoalannya, adakah kita berjaya mencapai taqwa untuk melayakkan kita menjadi kalangan penghuni syurga ini?
Bekalan Untuk Terus Komited Dengan Islam
Inilah taqwa, bekalan untuk kita memberikan komitmen terus-menerus kita kepada Islam.
Komited dengan Islam adalah kita komited dengan akhlak-akhlaknya. Sabar, bertolak ansur, bercakap yang baik, kesungguhan, disiplin dan berpegang dengan janji.
Komited dengan Islam adalah kita komited dengan tuntutan dan arahan Allah s.w.t. Kita komited untuk melakukan perkara yang dicintai Allah s.w.t., komited untuk meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
Komited dengan Islam adalah kita memberikan komitmen hidup kita terus-menerus kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kita tidak mendahulukan pendapat-pendapat kita sebelum kita merujuk Al-Quran, As-Sunnah dan nasihat para ulama’. Kerana Al-Quran sebagai perlembagaan hidup bukan hanya sebuah syiar, tetapi Al-Quran itu sendiri sepatutnya menjadi kehidupan kita.
Taqwa yang Allah maknakan dalam segenap ibadat, kesannya tidak hanya berjalar pada diri kita saja, tetapi ia akhirnya memberikan kesan kepada hubungan kita sesama manusia, kepada masyarakat di sekitar kita.
Kalau taqwa tidak mampu menumbuhkan itu, kita bimbang seakan-akan kita keluar dari Ramadhan, tetapi tidak diampunkan. Keluar dari Ramadhan, rupanya saki-baki jahiliah tidak dibersihkan.
Menutupnya Dengan Istighfar
Maka, Saidina Umar Abd Aziz berpesan agar kita meninggalkan dan menutup Ramadhan dengan 2 perkara, iaitu istighfar dan zakat fitrah. Zakat fitrah adalah kewajipan. Istighfar adalah supaya kita mengucapkan salam perpisahan dengan Ramadhan dalam keadaan kita menunduk diri, rasa diri masih banyak dosa dan kekurangan, serta membersihkan segala kecacatan yang ada di dalam Ramadhan kita.
Istighfar menghapus kekotoran dan dosa. Istighfar juga membersihkan jiwa dari keinginan maksiat.
Semoga Ramadhan kita benar-benar memberikan kesan kepada pembentukan peribadi kita.
Kita berpisah dari Ramadhan, tetapi kita tidak pernah berpisah dengan Tuhan. Siapa yang setelah Ramadhan, dia langsung berpisah hidupnya dengan Tuhan, maka dia telah menjadi hamba Ramadhan.
Renungilah syair ini sebagai penutup :
Berlalunya bulan kesabaran, telah tamat ia dan pergi
Diutamakanlah kejayaan di dalam syurga-syurga bagi mereka yang telah berkhidmat sebaiknya
Bagi orang lalai yang tidak mengambil peluang itu mereka merasai kerugian
Celakanya, alangkah besarnya dengan apa yang telah dia diharamkan darinya
Siapa yang telah terlepas menyemai di waktu semaian
Tidaklah dia dapat melihat hasilnya melainkan hanya kesedihan dan penyesalan[2]
[1] Lathaiful Ma’arif, Ibn Rajab Al-Hanbali
[2] Lathaiful Ma’arif, Ibn Rajab Al-Hanbali
The post Berpisah Dengan Ramadhan, Bukan Tuhan appeared first on Langit Ilahi.
July 8, 2015
5 Tips Ibadah 10 Malam Terakhir Dalam Kesibukan Menjelang Raya
Terasa bagaikan semalam 1 Ramadhan menjelma tiba, sudah masuk dalam fasa 10 malam terakhir rupanya. Saat ini ada sebilangan daripada kita sudah mula bergerak ke kampung halaman, pelbagai persediaan menjelang Aidil Fitri perlu dilakukan. Namun kesibukan itu sebenarnya bukanlah alasan supaya ibadah-ibadah yang sebelum ini giat dilaksanakan terus dibekukan demi memberi laluan kepada Aidil Fitri yang bakal menjelma. Bukankah Ramadhan masih ada?
Berikut adalah antara 5 tips yang boleh diamalkan bagi menyemarakkan ibadah menjelang 10 malam terakhir dalam kesibukan raya :
1. Tadarus al-Quran sesama sanak saudara
Berkumpul bukan selalu, bila lagi mahu bertemu? Semasa pertemuan sanak-saudara inilah peluang harus diambil untuk sama-sama mengumpul pahala berganda sambil mengeratkan silaturrahim sesama sanak-saudara. Jika selama ini bertadarus cuma bersendirian, berdua atau bertiga, kali ini beramai-ramai pasti boleh sama-sama berkongsi manfaat dan pahala. Ajak mereka bersama-sama bertadarus bersama kita.
“Alamak, seganlah. Tak pernah-pernah buat pun.”
Tak mengapa, setiap perkara, mesti akan ada kali pertama. Mana tahu jika dimulakan pada tahun ini, tahun-tahun selepasnya dapat diteruskan pula. Jika majlis tahlil dan bacaan Yasin pun boleh dilakukan, bertadarus pun insya Allah boleh kalau diusahakan. Tak perlu lama, antara Maghrib dan Isya’ pun sudah memadai kerana mungkin selepas tarawikh ada kerja lain yang perlu diselesaikan. Kalau para dewasa tidak mahu turut serta, kita ajak yang anak-anak sahaja pun bagus juga.
2. Solat malam 2 rakaat sambil bergilir-gilir melakukan kerja
Jika kita mampu berjaga di tengah-tengah malam untuk menyiapkan kuih raya, ketupat, langsir raya, baju raya dan bermacam lagi persiapan raya, solat dua rakaat minima pun pasti boleh sahaja hendak dilaksanakan asalkan hati ada kemahuan. Apa kata jika kita bergilir-gilir berjaga melakukan kerja? Bila seorang jaga kuih sebagai contohnya, seorang lagi pula berhenti sebentar untuk menunaikan tahajud. Kerjasama bukan saja diperlukan dalam urusan dunia, malah dalam ibadah juga sama bahkan bertambah-tambah berkatnya
“Mak Uda nak solat malam tak? Sepuluh malam terakhir ni best kalau nak solat sunat. Takpe, kuih tart dalam oven tu biar saya yang tolong jagakan.”
“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada lailatul qadr kerana keimanan dan mengharap pahala, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah berlalu.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
3. Solat Fardu dan Tarawikh berjemaah di rumah
“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu”
Hadis Riwayat Abu Daud
Tiba sahaja 10 malam terakhir Ramadhan, saf tarawikh di masjid pun hanya tinggal sebaris dua baris tiga baris seperti mana solat jemaah pada hari-hari biasa. Perkara ini cukup sinonim terjadi dalam masyarakat kita. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan persiapan raya, atau pun sudah malas bertarawikh kerana beranggapan tak mengapa, Ramadhan pun sudah hendak habis.
Bagi yang sudah pulang ke kampung halaman atau sedang sibuk membuat persiapan di rumah, tidak salah kiranya kita solat tarawikh berjemaah bersama-sama ahli keluarga dan sanak saudara. Sudahlah pahala solat berjemaah itu berganda berbanding solat bersendirian, malah dilipatgandakan lagi pahala kerana ditunaikan pada bulan Ramadhan, bahkan bertambah-tambah pula ganjaran kerana mengajak saudara-saudara kita ke arah kebaikan. Tidaklah perlu dirikan 20 rakaat atau habiskan ayat al-Quran satu muka surat. 8 rakaat dengan surah-surah ringkas pun sudah memadai, asalkan kesungguhan untuk memanfaatkan sehabis mungkin 10 malam terakhir itu tetap ada seikhlasnya.
4. Memperbanyakkan zikir dan berbicara akan kebaikan
Apabila berkumpul beramai-ramai, pasti tidak akan terlepas borak bicara berkongsi cerita perkembangan terkini dan semasa. Semasa sibuk berborak inilah kadangkala kita terlepas pandang akan apa yang kita bicarakan. Adakala “termengumpat” orang itu dan orang ini, bercakap tentang si fulan itu si fulan ini, timbul gosip-gosip panas dan hangat dan bermacam-macam lagi. Paling tidak pun jika diajak berbual, maka berbual lah dengan perkara-perkara yang baik. Andai sudah termasuk bicara-bicara yang tidak enak, mungkin kita boleh ambil peranan dengan menukar topik perbualan atau kita sendiri yang membuka topik berunsur tazkirah dan peringatan. Jika tidak mampu, dalam situasi begini ada baiknya kita diam dan memperbanyakkan zikir di dalam hati. 10 malam terakhir adalah waktu untuk melipatgandakan amalan kebaikan, bukan mengurangkan.
5. Memperbanyakkan berdoa ketika sahur, berbuka, selepas solat
Berdoa adalah ibadah yang bebas. Semudah-mudah ibadah. Tetapi ramai di antara kita yang malas atau segan untuk berdoa. Pada waktu beginilah Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya, menjemput doa-doa kita untuk didengari dan diperkenanNya. Luangkanlah sedikit masa untuk berdoa di celah-celah kesibukan itu. Tidak dapat bangun menunaikan qiammulail tidak bermakna terlepas peluang untuk doa-doa kita dimakbulkan. Kita masih punya ruang di waktu-waktu sahur, sebelum makan untuk berbuka, selepas solat fardhu bersama-sama. Itu baru minima usaha. Doa itu luasnya menjangkaui alam semesta, ia tidak terbatas. Pintalah dengan penuh rasa cinta, takut, dan harap. Sungguh, Dia mendengar dan Dia memperkenan. Amatlah rugilah orang yang mensia-siakan Ramadhan dengan merasa malas untuk berdoa.
Oleh itu, Usaha!
Ramadhan adalah sebuah musafir, musafir hamba dalam hakikat hubungannya dengan Tuhan. Sejauh mana keakraban dirinya dengan Allah SWT dinilai dan diuji dengan bagaimana dia membawa dirinya di sepanjang Ramadhan. Ada manusia yang pada awalnya bersemangat namun terkandas di akhir jalan. Ada manusia yang pecutannya sedikit lambat namun di akhirnya dia menjadi graduan Ramadhan yang berjaya. Dan kita, masih belum terlambat untuk berusaha walaupun mungkin pada awal Ramadhan kita agak lalai dan lagha.
Ramadhan masih berbaki, teruskan usaha. Jika tidak mampu lakukan semua, jangan tinggal semua. agar kita dapat bersama-sama merasai indahnya Ramadhan, bukan sekadar menanti Aidil Fitri yang bakal menyusul selepas ini. Ajak saudara mara, sahabat handai kita, ambil peluang ini untuk kita bina sebuah keluarga yang bukan sahaja bertemu dan berkumpul di dunia, malah wajah-wajah yang sama juga yang akan bertemu dan berkumpul di syurga sana dengan izin dan rahmat dari Allah Taala. Jadikan hari raya ini hari kita benar-benar kembali kepada fitrah hamba. Bawa hati yang suci bertemu Syawal.
Ramadhan masih berbaki, ayuh rebut peluang ini semaksima mungkin!
“Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak”
The post 5 Tips Ibadah 10 Malam Terakhir Dalam Kesibukan Menjelang Raya appeared first on Langit Ilahi.
July 7, 2015
Al-Qadr ; Malam Keagungan dan Penentuan
Dari sudut bahasa al-Qadr disebutkan sebagai maksud bagi sesesuatu yang mulia atau penghormatan sepertimana firman Allah s.w.t:
Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan (Qadr) yang sewajibnya diberikan kepadaNya. [Az-Zumar: 67]
Al-qadr juga disebutkan sebagai sesuatu yang disempitkankan oleh Allah yakni membawa maksud sesuatu yang disembunyikan oleh Allah daripada pengetahuan manusia sebagai firman-Nya:
dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya. [At-Talaq:7]
Selain itu, ia juga membawa maksud penentuan Allah akan sesuatu sepert ayat yang telah disebutkan:
Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan [penentuan] Kami. [Ad-dukhan:5]
Kelebihan Umat Rasulullah
Umur umat akhir zaman ini lebih pendek jika hendak dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu. Allah maha Adil. Walaupun umur majoriti kita dewasa ini pendek, tetapi dengan sifat rahmat Allah, Allah mengurniakan tawaran-Nya kepada hamba-hamba. Tambahan lagi dalam bulan ramadhan di mana dikurniakan keluasan medium beramal dengan menawarkan malam yang disebut Al-Qadr seperti firman-Nya yang menjelaskan kelebihan malam ini:
“Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr;3)
1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Belum tentu lagi bagi umat ini untuk hidup selama tempoh ini. Namun, inilah kelebihan umat baginda. Ditentukan umur yang pendek, tetapi diganjarkan dengan kelebihan yang pelbagai dan berganda pula. Justeru itu, amat rugi mereka yang merugikan malam-malam akhir mereka ini dengan sekadar disibukkan persiapan berhari raya sedangkan amalan-amalan yang sering dilakukan di awal ramdhan itu ditinggalkan.
Penurunan Al-Quran
Berdasarkan ayat pertama surah Al-Qadr dikhabarkan kepada kita bahawa Al-Quran itu diturunkan pada malam yang agung itu secara terus dan sebab itu juga disebutkan bahawa ia mlam yang agung. Namun terdapat sedikit perbezaan kerana Al-Quran seperti mana yang kita ketahui turun secara beransur-ansur kepada nabi s.a.w.
Dalam perbahasan ini, sarjana ilmu Al-Quran menukilkan bahawa disebutkan turun secara terus pada satu malam itu adalah penurunan Al-Quran daripada Luh Mahfuz (tempat terkumpul ketentuan Allah) ke Baitul Izzah di langit dunia. Adapun turun beransur-ansur itu adalah pada dada rasulullah s.a.w. agar mudah difahami dan dilaksanakan oleh baginda dan para sahabatnya. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat” (Ad-Dukhan:3)
Oleh itu, semarakkan juga malam-malam akhir ramdhan ini dengan bacaan Al-Quran, juga tadabbur akan ayat-ayatNya sebagai tanda menyambut ‘kelahiran’ Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada kita.
Penentuan Perjalanan Hidup
Dinamakan malam Al-Qadr juga kerana pada malam yang mulia ini juga segala ketentuan dalam kita menjalani kehidupan akan dicatatkan. Seperti yang disebutkan Allah dalam firman-Nya:
“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” (Al-Qadr:4)
Justeru itu, adalah lebih baik untuk kita sebagai hamba memohon doa agar Allah menetapkan apa yang terbaik untuk kita jalani baik untuk diri sendiri, mahupun orang lain dan juga agama kerana hakikat manusia itu bisa mengatur segala jalan kehidupan masing-masing, namun hakikatnya dia lebih mengetahui segala yang terbaik dalam kehidupan manusia.
Bila Malam Al-Qadr?
Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan pendapat bila berlakunya malam al-Qadr tersebut bahkan terdapat juga perbezaan dalam menyatakan sama ada malam tersebut sememangnya berlaku setiap tahun ataupun ia hanya berlaku sekali pada zaman nabi s.a.w dan ummat kini hanya memperingati malam tersebut.
Jumhur ulama’ menyatakan bahawa lailatul qadr itu berlaku hinggalah ke hari kiamat berdasarkan hadis baginda s.a.w:
Barangsiapa yang mendirikan malam al-qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira diampunkan dosanya yang telah lalu. [HR Bukhari]
Hadis ini menunjukkan galakan nabi s.a.w kepada ummatnya untuk mendirikan malam tersebut yang menunjukkan bahawa ia sememangnya berlaku pada setiap tahun. Adapun Imam Ibn Hajar berpendapat ia hanya berlaku sekali ketika zaman Nabi s.a.w. Manakala yang disebutkan malam al-Qadr pada zaman kemudia itu adalah tanda memperingati malam tersebut sepertimana ibadah-ibadah yang lain yang banyak ditaklifkan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang lalu seperti korban, manasik haji dan lain-lain. Walaubagaimanapun fadhilat malam tersebut tidak dinafikan.
Menyebutkan tentang pendapat ulama’ dalam menentukan bila berlakunya malm tersebut. Disebutkan dalam dua hadis daripada Aisyah r.a:
“ carilah Lailatul qadr itu pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)
“ carilah lailatul qadr itu pada hari ganjil dari sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan. (HR Bukhari)
Berdasarkan hadis-hadis dia atas jumhur ulama’ menyatakan ia berlaku di antara salah satu malam berkenaan dan lebih kuat menyatakan pada malam ganjil dari bulan ramadhan. Ibn Abbas dan kebanyakan daripada sahabat menyebutkan bahawa ia adalah malam ke 27 Ramadhan. Manakala sebahagian mazhab Syafie berpendapat bahawa ia adalah malam ke-21 atau 23.
Penentuan tarikh bukan yang utama dalam perihal malam al-Qadr malahan bagi siapa yang menghidupkan setiap malam daripada bulan ramadhan terutama di akhirnya dengan izin Allah akan diganjari dengan ganjaran yang telah dijanjikan.
‘Iktikaf + Qiamullail
Malam itu seperti yang dijanjikan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru itu, seharusnya kita sebagai hamba pendosa yang mengharapkan rahmatNya, pengampunanNya dan pembebasan dariNya perlu merebut peluang ini dengan pelbagai amalan. Selain daripada bacaan Al-Quran dan berdoa, kita juga disunatkan untuk ber’iktikaf seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar:
“Rasulullah s.a.w selalu beri’tikaf pada sepuluh terakhir ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)
‘Iktikaf atau mendampingi masjid ini amat digalakkan kerana Rasulullah sendiri melaksanakannya. Bahkan cara baginda beri’ktikaf disebutkan oleh para sarjana, baginda memasuki masjid pada sepuluh hari sebelum akhir ramadhan dan keluar setelah ramadhan berlalu.
Namun salah faham sering berlaku kerana ada yang berpendapat tidak boleh keluar langsung sewaktu masa i’ktikaf. Pandangan ini harus dinilai semula kerana saidina Umar r.a juga keluar dari masjid atas urusan pentadbiran negara. Maka, beri’ktikaf di masjid bukan bermakna mengetepikan langsung urusan dunia tetapi meminimakannya dengan fokus kepada ibadah pada Yang Esa.
Dalam beri’ktikaf pula kita digalakkan untuk berqiamullail (bangun malam) dengan menunaikan solat-solat sunat yang lain seperti tasbih, taubat, hajat dan sebagainya. Adapun kelebihan melakukan solat pada malam hari ini disebutkan dalam hadis baginda:
“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan dan solatlah pada waktu malam ketika umat manusia sedang tidur panjang maka kamu akan masuh syurga dengan aman”. (HR Tirmidzi, hasan sahih)
Perbaiki diri dan ajak orang lain
Dalam kita berusaha untuk mempertingkatkan amal ibadah khusus kita pada saat getir ini, jangan pula kita lupa untuk mengajak orang lain untuk turut serta. Lebih-lebih lagi ahli keluarga dan juga sanak saudara kerana Allah memerintahkan kepada kita untuk kita menjaga dan memelihara ahli keluarga kita daripada melakukan dosa. Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala) (At-Tahrim:6)
Begitu juga dalam ibadah yang ingin dilakukan pada malam-malam akhir ramadhan seperti yang telah Rasulullah buat kepada ahli keluarga baginda. Aisyah r.a ada meriwayatkan hadis perihal perilaku rasulullah:
Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “apabila telah memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan menghidupkan malam dan membangunkan keluarganya, baginda bersungguh-sungguh dan menguatkan ikatan sarongnya. (Muttafaq ‘alaih)
Melihat kepada hadis ini selain baginda mengajak ahli keluarganya, tergambar juga kesungguhan baginda dalam melaksanakan ibadah dalam tempoh ini (akhir ramadhan) di mana baginda menguatkan ikatan sarongnya. Dalam menerangkan maksud ini ada ulama’ yang berpendapat bahawa Rasulullah tidak menggauli isterinya dan ada juga berpandangan baginda mengurangkan makanan. Adapun yang penting ia mempotretkan bahawa baginda mengerah keringatnya sehabis mungkin untuk tumpu beribadah kepada-Nya.
Manfaatkan Peluang Bertemu Al-Qadr
Jika kita berkunjung ke rumah sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu nescaya kita datang bersama buah tangan atau perkara yang dapat dijadikan ingatan. Begitu juga Al-Qadr yang seperti diketahui datang hanya sekali dalam setahun. Justeru ‘buah tangan’ yang paling sesuai untuk kita sertakan bersama kunjungan pada malam itu disebutkan dalam hadis daripada Aisyah r.a:
“Aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahulah saya sekiranya saya mendapati malam lailatul qadr itu apakah yang harus saya ucapkan di dalamnya? Baginda bersada”: Katakanlah:
اللّهمّ إنّك عفوّ كريم تحبّ العفو فاعف عنّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.”[HR Tirmidzi]
Hadis ini dinilai daif oleh sebahagian ulama’ hadis muktabar. Pun begitu manfaat lafaz hadis ini boleh diamalkan dengan menjauhkan ia dinisbahkan kepada rasululllah s.a.w. Walaubagaimanapun merujuk lafaz di atas digunakan perkataan عفوّ tetapi tidak menggunakan perkataan غفور. Apakah perbezaan bagi keduanya?
عفوّ: Allah menghapuskan dosa-dosa kita secara serta merta dan memelihara kita daripada melakukan dosa
غفور: Allah hanya menutupi dosa-dosa yang telah dilakukan tetapi tidak mendedahkannya dan tidak pula menghukum atas dosa tersebut dan akan diampunkan pada hari akhirat kelak.
Hadis sandaran atas hujah ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abdullah Ibnu Umar dalam hadis Qudsi:
“Sesungguhnya Aku (Allah) merahsiakannya (dosa-dosa) ke atas kamu di dunia dan mengampunkannya pada hari ini (saat memberi kitab amalan)”. (HR Bukhari)
Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa kedua-dua sifat yang mulia ini sebenarnya membawa maksud pengampunan. Bezanya diampun secara langusung atau ditangguhkan keampunan dengan memberi ruang untuk manusia bertaubat. Selain itu, sambungan hadis ini juga menyatakan bahawa Allah tidak mengampunkan orang yang munafiq dan orang yang lari dari medan jihad kecuali dengan sebenar-benar taubat.
Namun dalam menerangkan kepada kita kaedah berdoa di malam Al-Qadr, rasulullah menyebutkan perkataan عفوّ yang memberi isyarat kepada kita bahawa pengampunan Allah senantiasa menanti buat hamba-Nya yang berusaha meminta. Justeru, relevankah malam-malam akhir ramadhan ini dibiar berlalu pergi tanpa ada sebarang pengisian iman?
Ayuh gandakan amalan!
The post Al-Qadr ; Malam Keagungan dan Penentuan appeared first on Langit Ilahi.
5 Sikap Pemburu Malam Al-Qadr
Apabila Ramadhan sampai ke 10 hari yang terakhir, orang-orang yang beriman akan mula meningkatkan sensitiviti dan kepekaan mereka. Jika ini sebuah maraton, maka 10 malam terakhir adalah fasa di mana para pelari memecut sebagai pecutan terakhir.
Kerana pada 10 malam terakhir, ada satu perkara yang besar.
Itulah dia Malam Al-Qadr, atau Lailatul Qadr. Yang disebut oleh Allah SWT sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pastinya satu peluang yang tidak mahu dilepaskan oleh sesiapa.
Namun, bila waktu sebenarnya berlaku Malam Al-Qadr ini, dirahsiakan oleh Allah SWT. Perahsiaan ini banyak hikmahnya. Antara yang lain, supaya kita tidak merasa malas dan hanya ingin beribadah pada malam tersebut sahaja. Itu akan memusnahkan tujuan utama Ramadhan sebagai bulan memproses diri menjadi hamba yang bertaqwa.
Oleh kerana hari sebenar berlakunya Malam Al-Qadr dirahsiakan, orang yang berhajat akannya akan mula menjadi ‘pemburu’. 10 malam terakhir ialah lapangannya.
Maka artikel ini menyingkap 5 Sikap Pemburu Lailatul Qadr.
Sikap 1 – Meningkatkan Usaha Pada 10 Malam Terakhir
10 malam terakhir memang mencabar. Kerana jika di Malaysia, suasana Aidilfitri sudah dirasai. Corong radio dan televisyen sudah mula banyak iklan hari raya, promosi hari raya dan mendendangkan lagu-lagu hari raya. Seperti tidak sabar hendak menyah Ramadhan pergi. Seakan-akan Ramadhan ini hanya transit sebelum kita berhari raya.
Padahal, Aidilfitri itu untuk meraikan orang yang berjaya kembali kepada fitrah, hasil daripada kesungguhan seseorang menghargai Ramadhan.
Maka pada saat ini, Pemburu Malam Al-Qadr akan mula meningkatkan usahanya. Bukannya makin melemah. Dia akan melipat gandakan ibadahnya dan amal kebajikannya. Dia akan menambah lebih lagi dari apa yang dilakukan pada 20 hari sebelumnya.
Untuk memastikan dirinya tidak terlepas dari mendapat manfaat Malam Al-Qadr, apabila ianya tiba.
Sikap 2 – Dia Tidak Meneka-neka
Pemburu Malam Al-Qadr tidak akan memilih-milih hari dalam 10 malam terakhir. Dia tidak akan menjadi orang yang kerjanya ‘menembak’ tekan apakah malam itu malam Al-Qadr atau tidak. Jika dirasakan ya, baru dia hendak bergerak beribadah. Tidak dan tidak.
Pemburu Malam Al-Qadr yang sebenar akan ‘pulun’ pada 10 hari tersebut, tanpa mengira malam ganjil atau tidak. Kerana itulah dia kesungguhan, untuk mengecilkan kemungkinan dirinya terlepas dari malam yang sangat mulia tersebut.
Logiknya mudah. Jika setiap malam diusahakan dengan bersungguh-sungguh, mustahil terlepas bukan? Salah satunya sudah pasti ialah Malam Al-Qadr.
Maka bukankah sangat rugi menjadi orang yang meneka-neka. Belum tentu tekaan kita tepat.
Justeru pemburu sebenar tidak akan membiarkan dirinya terteka-teka. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan setiap malam terisi.
Sikap 3 – Tidak Riya’ & Terlebih Yakin
Pemburu Malam Al-Qadr yang sebenar juga tidak akan berbangga-bangga menyatakan bahawa ‘semalam ialah Lailatul Qadr’, seakan mengwar-warkan kepada orang ramai bahawa dialah orangnya yang mendapat malam Al-Qadr dengan begitu yakin sekali.
Pertama, kerana tiada siapa yang akan dapat 100% menjamin bahawa semalam ialah benar-benar Malam Al-Qadr.
Kedua, kerana itu akan membawa kepada perasaan riya’. Riya’ ialah penyakit yang akan memusnahkan amal.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan atas diri kamu adalah syirik kecil.”
Sahabat-sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?”
Baginda bersabda: “Ianya adalah riya’. Sesungguhnya Allah akan berfirman pada hari para hamba diberi balasan berdasarkan amal-amal mereka: Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu dahulu berbuat riya’ dengan amalan-amalan kamu di hadapan mereka ketika di dunia. Perhatikanlah, apakah kamu mendapatkan balasan di sisi mereka.” Hadith Riwayat Ahmad.
Sikap 4 – Bersangka Baik Kepada Allah & Tidak Berputus Asa
Pemburu Malam Al-Qadr juga akan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Dia akan sentiasa positif Allah SWT menerima amalannya, dan akan merezekikannya dengan Malam Al-Qadr. Justeru dia, dengan rasa positif itu, berusaha bersungguh-sungguh tanpa lelah mengejar Malam Al-Qadr.
Atas sangka baik yang sama juga, dia tidak akan berputus asa jika Allah izin dia tertidur atau terlepas dari beribadah pada salah satu malam atau beberapa malam di 10 malam terakhir. Dia tidak akan merasa bahawa Allah sengaja tidak mahu memberikannya Malam Al-Qadr, merasakan bahawa dirinya telah terlepas Malam Al-Qadr lantas kecewa nak beribadah. Tidak.
Dia bahkan tidak berputus asa, dan akan menghargai apa sahaja waktu yang masih berbaki untuk dia usahakan.
Sikap 5 – Dia Tahu Malam Al-Qadr Bukan Segala-galanya
Pemburu Al-Qadr yang sebenar hakikatnya ialah pemburu keredhaan Allah SWT. Dia tidak memburu Malam Al-Qadr kerana dia berTuhankan Lailatul Qadr. Tetapi dia memburunya kerana kelebihan yang Allah SWT sediakan di dalamnya, berdasarkan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” Surah Al-Qadr ayat 1-5.
Maka jika diizinkan Allah SWT mendapat malam Al-Qadr ini sekalipun, dia tidak akan lengah dalam mentaati Allah SWT pada waktu-waktu lain.
Bahkan, pemburu Malam Al-Qadr faham bahawa sebanyak mana pun pahala yang dikumpul, semuanya boleh bertukar menjadi debu sekiranya diri tidak istiqomah dengan kebaikan, dan terjebak dengan sikap-sikap mazmumah seperti memfitnah orang lain, menganiaya orang lain dan sebagainya sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam ummatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” Hadith sohih Riwayat Muslim.
Penutup: Pemburuan Malam Al-Qadr Membentuk Peribadi Dahaga
Untuk saya secara peribadi, kerahsiaan malam Al-Qadr banyak hikmahnya. Menjadikan kita tidak bermalasan menanti hari tertentu untuk beramal. Menyebabkan kita berusaha hendak memanfaatkan sebaiknya keseluruhan 10 hari terakhir Ramadhan.
Secara tidak langsung, proses ini membentuk diri.
Secara tidak sedar juga, ini menjadi simulasi kepada persediaan kita menghadapi kematian dan hari kiamat. Yang kedua-duanya kita tidak tahu bila akan berlaku di dalam hidup kita.
Justeru sepatutnya kita akan merasa terus dahaga untuk mendapatkan rahmat dan maghfirah Allah SWT. Sebagaimana kita tidak menanti ‘confirm Malam Al-Qadr baru nak beramal’, macam itu jugalah kita sepatutnya tidak menanti ‘confirm minggu depan mati atau hari kiamat baru nak beramal’.
Sepatutnya kita beramal hari-hari, memperkasakan diri saban waktu.
Kerana akhirnya, hakikat keseluruhan hidup ini ialah pengabdian kita kepada Yang Satu, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu.
Muhasabah.
The post 5 Sikap Pemburu Malam Al-Qadr appeared first on Langit Ilahi.