Hilal Asyraf's Blog, page 32

September 13, 2015

Meluruskan Sikap Bersangka-sangka

bigstock-Positive-And-Negative-Written-63564073-583x353


~Pic by skpprichard.com


 


Pernah satu hari saya keluar bersama seorang sahabat baik saya. Sewaktu kami berada dalam kereta sedang memandu, kami ternampak seorang perempuan membonceng motor di belakang seorang lelaki di sebelah kereta kami.


Saya pun terus dengan nada mengeluh sikit, “Apalah nak jadi. Tengok diorang ni couple.”


Sahabat saya di sebelah terdengar keluhan saya itu terus menegur saya. “Nta mana tahu diorang ni couple. Mana tahu diorang ni adik-beradik. Tak baik sangka terus macam tu.”


Saya terdiam sendiri ketika itu. Saya rasa terpukul dengan teguran itu.


 


Bersangka Baik Terhadap Saudara


Teringatkan peristiwa ini, saya suka bawa bagaimana Nabi s.a.w. mengajar kita bersangka baik dengan saudara kita walaupun kita melihatnya memang seakan-akan sudah berada dalam lubang maksiat.


Ada seorang lelaki di zaman Rasulullah s.a.w., diberi gelaran Himar (keldai). Dia dihukum sebat oleh Nabi kerana perbuatannya meminum arak. Sehingga ada seorang lelaki lain berkata, mendoakan laknat untuk lelaki peminum arak ini : ‘Ya Allah, laknatilah dia.’


Tetapi apa jawab Nabi? “Jangan kalian laknatnya. Demi Allah, tidak aku ketahui kalau mungkin dia itu mencintai Allah dan Rasul-Nya.”[1]


Seorang peminum arak, kalau kita lihat zahirnya, di mana wujudnya perasaan cintakan Allah kalau saja perbuatannya seakan-akan menggambarkan sebaliknya? Tetapi itulah sangka baik Nabi terhadapnya, kerana kita hanya tahu apa yang terlihat di mata kita, tetapi apa yang terselindung di dalam hati, tidaklah kita mengetahuinya.


Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman mengingatkan kita :


“Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan kerana pada sebahagian sangkaan itu ada dosa.” [Al-Hujurat:


Nabi s.a.w. juga berpesan mengingatkan kita :


“Berhati-hatilah kalian dengan sangkaan. Sesungguhnya sangkaan itu adalah bicara paling dusta.”[2]


 


Kisah Hatib bin Abi Balta’ah


Kadangkala, apa yang kita nampak di hadapan mata kita tidak semuanya sebagaimana yang kita sangkakan.


Kita sangkakan seseorang yang mencuri itu jahat, tetapi barangkali dia mencuri kerana dia terlalu susah hidupnya, lapar, tiada makanan hendak dimakan, atau kerana memikirkan anak-anaknya di rumah. Ya, perbuatan mencuri itu memang jahat, tetapi dia itu sendiri bukanlah hendak jadi jahat, tetapi kerana desakan hidup menyebabkan dia bertindak demikian.


Kita sangkakan seseorang yang sedang berjalan berdua-duaan lelaki dan perempuan itu couple, rupa-rupanya mereka adalah pasangan suami isteri yang telah berkahwin atau mungkin juga adik-beradik.


Kita sangkakan seseorang itu sombong kerana tidak mahu bercakap dengan kita, tetapi barangkali dia sedang dibelenggu masalah ketika kita datang padanya.


Pernah sekali seorang sahabat Nabi s.a.w., bukan calang-calang orang. Merupakan ahli Badar yang diiktiraf mereka itu oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran.


Hatib bin Abi Balta’ah.


Hampir-hampir beliau itu dihukum kerana kesalahannya mendedahkan rahsia negara Islam.


Umar juga sudah begitu marah dengannya pada ketika itu.


Apa yang dilakukannya?


Tidak kecil juga kesalahannya itu kerana melibatkan maruah dan keselamatan negara Islam. Kesalahan itu sudah masuk ke garisan kekufuran.


Beliau telah mengutuskan satu surat melalui seorang perempuan untuk disampaikan kepada orang di Makkah yang menjaga keluarga dan kerabatnya di sana (ketika itu umat Islam berada di Madinah) untuk memberitahu kedatangan Rasulullah s.a.w. dan ummat Islam ke sana. Dia risau akan terjadi apa-apa kepada keluarganya.


Sehingga Rasulullah s.a.w mengutuskan Ali, Zubair dan Miqdad Al-Aswad untuk mengejar perempuan itu dan mendapatkan surat itu sebelum sempat sampai ke Makkah. Surat itu berjaya diperolehi dan dibawa kepada Rasul s.a.w.


Apabila dibacakan surat itu yang mengandungi beberapa perancangan Rasul s.a.w., maka baginda pun terus bertanya Hatib, “Wahai Hatib, apakah ini?”


Meski demikian jelas kesalahan itu, namun baginda memberikan ruang untuk Hatib menjawab.


“Wahai Rasulullah, jangan terburu-buru dulu atasku,” Hatib pun memulakan penjelasannya, “…aku adalah satu orang yang cuma ada keterikatan dengan mereka (bukan asal dari kalangan mereka), dan aku juga bukan dari kalangan mereka. Dan orang-orang yang bersama engkau dari kalangan Muhajirin mereka itu punya kerabat di Makkah yang menjaga keluarga dan harta mereka. Aku mahu mencari pertolongan orang yang boleh menjaga kerabatku kerana aku tak punya nasab keturunan dari kalangan mereka. Tidaklah aku mahu melakukan kekufuran atau kemurtadan, apalagi redha dengan kekufuran setelah Islam.”


“Dia telah berkata benar.” Kata Rasul s.a.w.


Umar yang terkenal dengan ketegasannya itu dalam permasalahan iman dan akidah, hampir saja mahu memukul Hatib. “Wahai Rasulullah, biarkan aku memukul saja si munafik ini!”


“Dia telah menyertai Badar. Engkau tidak tahu yang Allah telah mengetahui keadaan ahli Badar lalu mengatakan: Buatlah apa yang kalian kehendaki, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kalian.”[3]


Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. memberikan ruang untuk Hatib menjelaskan keadaannya. Tidak terus dihukum walaupun zahirnya, baginda s.a.w. dan para sahabat telah melihatnya jelas sebagai satu kesalahan besar, tetapi tetap diberikan ruang untuk dia menjelaskan tujuan sebenar perbuatannya itu.


 


Kita Pun Tidak Mengambil Kesempatan


Namun, jangan sampai kita mengambil kesempatan atas sangka baik saudara kita terhadap kita.


Kita lebih mengetahui dan mengenali keadaan diri kita.


Barangkali di saat saudara-saudara kita bersangka baik atas kelemahan, kekurangan dan kesilapan diri kita, kita lebih tahu bagaimana keadaan diri kita ketika melakukan kesilapan itu. Kita tahu kita sengaja atau tidak. Kita tahu diri kita dalam keadaan jahil atau sedar kita sedang melakukan kesilapan itu.


Sebab itu dikatakan Abu Bakar as-siddiq pernah berdoa ketika dilantik menjadi khalifah : “Ya Allah jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.”


Kadangkala, orang bersangka baik ke atas kita, padahal kita dalam keadaan tahu yang kita sedang melakukan dosa maksiat. Maka sebaik mana pun sangkaan orang pada kita dan mungkin orang lain tidak benar-benar mengetahui keadaan kita, tetapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala tindakan kita.


Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi pada mata manusia. Dia mengetahui apa yang terselindung dari mata manusia lain sehingga mereka hanya mampu bersangka baik ketika kita melakukan kesilapan. Dia mengetahui segala-galanya.


Kalau sekalipun kita berjaya menyembunyikan hakikat perbuatan kita itu dari pengetahuan manusia, kita sekali-kali tidak mampu menyembunyikannya dari Allah azza wajalla.


 


Penutup : Sangka Baik Meluaskan Dan Memudahkan


Bersangka baik menutup pintu-pintu menuju an-namimah (adu domba) dan al-ghibah (umpatan).


Apabila kita mudah sangat bersangka buruk kepada saudara kita, ia membawa kita kepada mudah untuk melakukan gosip, mengumpat, kerenggangan silaturahim dan sebagainya.


Hanya saja, kita perlu mengetahui ada perbezaan antara sangka baik dan lurus bendul. Perbezaan antara sangka buruk dan waspada.


Pada perkara maksiat yang kita boleh mencegahnya dan menghalangnya apabila nampak di depan mata kita, maka segerakanlah menegahnya. Kemudian baru menyiasat tindakan maksiat itu. Janganlah sampai kalau orang jelas-jelas melakukan rasuah, rompakan besar-besaran berkali-kali, kita masih bersangka baik padanya dan tidak mencegahnya.


Itu pun satu hal juga. Bersangka baik, dalam masa yang sama tidak menafikan tindakan untuk menegah perbuatan maksiat itu sekiranya jelas perbuatan itu maksiat. Yang kita sangka baiknya adalah pada tujuan dan sebab dia melakukan hal itu.


Belajar bersangka baik melapangkan jiwa, meluaskan akal fikiran dan menyebabkan kita rasa tenang.


Bersangka baik adalah pintu kepada terjaganya rantai ukhuwah antara saudara.


Marilah belajar meluruskan sangkaan kita supaya tidak terjatuh ke dalam dosa !






[1] HR Bukhari, no. 6780




[2] HR Bukhari, no. 5143




[3] HR Bukhari, no. 3007




The post Meluruskan Sikap Bersangka-sangka appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2015 21:33

September 4, 2015

5 Kaedah Pembentukan Jiwa Merdeka (II)

this_heart___by_chrystalblueisboo


Senantiasa bersihkan jiwa agar ia kekal merdeka


Asal setiap kita adalah daripada tanah yang sekian lama kita berpijak di atasnya. Selalu kita beranggapan tanah lambang kerendahan berbanding langit dan lain-lain, walhal darinya juga kita dicipta. Dari segi ukuran pula, tidak terbanding saiz kita yang amat kerdil jika digandingkan bersama alam semesta yang dikelilingi pula dengan bintang-bintang yang lebih besar. Begitulah kelemahan diri seorang manusia jika benar kita sedari.


Justeru, mengenal hakikat diri manusia ini amatlah penting dek kerana hadafnya adalah menimbulkan keyakinan terhadap kelemahan kita, ketidakberdayaan, kejahilan dan kebergantungan kita pada sesuatu yang boleh membangunkan dan memperbaiki diri kita. Apabila kita menyedari kelemahan-kelemahan ini, maka nyatalah keperluan kita terhadap kekuasaan Allah s.w.t yang mampu melakukan segalanya. Bahkan, sekiranya Allah membiarkan diri kita diurus sendiri walau sekedip mata, nescaya terbinasalah manusia pada waktu itu juga.


Mengenali hakikat diri beerti kita berjaya menyingkap watak peribadi yang sukakan kemaksiatan, kelalaian dan ketinggian posisi. Hal ini disebabkan, jika diri ini dibiarkan begitu saja, sungguh ia tidak akan pernah menyuruh kepada ketaatan, sekali gus sukar untuk meninggalkan kemaksiatan. Apabila watak diri sedemikian dikenali, maka kita akan sentiasa berhati-hati terhadap kehendak diri agar ia tidak sentiasa diikuti melainkan bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki.


Mengenal hakikat diri dengan pembersihan hati

Tidak dapat tidak, cara untuk mengenal hakikat diri adalah dengan pembersihan hati. Hal ini disebabkan hati adalah sumber segala kekuatan dan juga kelemahan. Kuat dalam usaha untuk taat pada Allah. Lemah menurut hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Antara proses-proses pembersihan hati yang penting bagi setiap kita ialah:


       1.   Jagalah dirimu daripada perkara yang haram, menjadikan kamu hamba Allah yang terbaik


Menjauhi perkara yang haram tidak hanya dalam perbuatan maksiat tetapi juga dalam percakapan seperti mengumpat, mengadu domba, menfitnah dan lain-lain. Selain itu, hati manusia juga perlu dihindari dari yang haram seperti hasad, riya’, ujub, takabbur dan pelbagai lagi. Hal ini disebabkan perkara-perkara haram inilah menjadi penghalang kepada doa dikabulkan, keluasan rezeki dan merendahkan kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.


Adapun jalan terbaik mendidik diri supaya menjauhi perkara yang haram adalah dengan takut dan sabar. Takut kepada Allah akan dahsyatnya azab-Nya. Sabar dalam meninggalkan semua perkara yang haram serta sabar dalam melakukan ketaatan mengikut kemampuan. Nabi s.a.w bersabda:


“Apabila dilarang ke atas kamu akan sesuatu perkara maka jauhilah ia, dan apabila disuruh kepada kamu akan sesuatu perbuatan maka lakukanlah ia semampu kamu”. [HR Muslim]


Manfaat daripada hadith ini jelas menunjukkan kepada kita, menjadi hamba Allah itu adalah berbuat kebaikan sedaya boleh, tetapi perlu tinggalkan semua bentuk larangan kerana jalan menuju Allah itu satu dengan taat walhal jalan menuju maksiat tidak terhad.


       2.   Redhalah dengan pemberian Allah, nescaya menjadikan kamu kaya


Kekayaan yang mutlak hanyalah milik Allah kerna Dia tidak berhajat kepada sesiapa. Hatta, jika seluruh kehidupan ini tidak beriman pada-Nya, maka tidak pernah lemah kerajaan Allah. Bahkan mereka yang rugi dek kerana terhalang daripada rahmat dan kasih sayang Allah. Bagi diri manusia, yang paling kaya dari kalangan kita bukanlah semestinya denga banyak harta tetapi mereka yang lebih banyak pergantungan hidupnya kepada Allah berbanding manusia.


Hal ini kerana Allah Maha Kaya. Tidak akan miskin jika kita meminta sebanyaknya. Oleh itu, menjadi hamba-Nya membuatkan kita kaya disebabkan Allah akan sentiasa ada untuk berikan kepada kita keperluan. Adapun menjadi hamba dunia, sebenarnya membuatkan kita papa kerana ia akan binasa.


Pun begitu, pemberian Allah s.w.t tidak semestinya atas kemahuan kita, tetapi apa yang Dia lihat baik untuk diri kita. Yang baik disisi kita belum tentu baik dalam pandangan Allah, begitulah sebaliknya. Namun demikian, kita diajar untuk bersungguh-sungguh dalam meminta daripada Allah. Sejauh mana usaha kita memohon doa dan kekuatan daripada Allah, maka sejauh itu malah lebih Dia akan kabulkan permintaan kita.


Lihat kisah yang disebutkan dalam hadith nabi yang sahih berkenaan tiga orang yang terperangkap di dalam gua akibat terhalang dengan batu yang besar. Kesungguhan, kekhusyukan, serta kerendahan hati mereka dalam meminta kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah membolehkan mereka keluar dari gua tersebut. Juga barakah daripada hasil ketaatan mereka kepada Allah, dan sedaya upaya usaha mereka menjauhi maksiat sebelum ditimpa musibah berkenaan.


       3.   Berbuat baiklah dengan tetanggamu, melengkap kamu seorang mukmin


Pembersihan hati tidak hanya tertumpu pada hubungan manusia dengan pencipta bahkan hubungan sesama makhluk juga perlu dititiberatkan. Hal ini disebabkan, proses menuju ketaatan kepada Allah juga memerlukan suasana kehidupan yang baik kerana ia mempunyai pengaruh terhadap perilaku seseorang.


Oleh yang demikian, berbuat baik dengan jiran tetangga bukan sahaja dengan menjaga hubungan yang baik, bertegur sapa, tetapi ia turut melibatkan keselamatannya, hartanya, maruahnya juga dituntut dalam islam. Dengan itu, suasana aman akan terbentuk dengan saling menghormati dan berkasih sayang.


Selain itu, penting juga bagi setiap kita untuk cuba mewujudkan suasana ketaatan kepada Allah dengan memberi contoh sikap yang baik dan mengajak melakukan kebaikan. Maka bukan setakat suasana aman yang terbentuk bahkan suasana keimanan. Justeru itu, ia amat penting bahkan menjadi pelengkap bagi orang beriman sebagaimana ditegaskan di dalam hadith:


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangalah dia menyakiti jirannya”[Muttafaq ‘alaih]


       4.   Cintailah manusia yang lain seperti kamu mencintai diri sendiri, melambangkan peribadi muslim


Iman kita tidak dianggap sempurna apabila kita tidak mencintai manusia yang lain sperti diri kita sendiri. Kecintaan yang dimaksudkan adalah tidak mahu seseorang itu disakiti disebabkan kita baik terhadap dirinya mahupun agamanya. Adapun lambang kecintaan seseorang terhadap yang lain adalah dengan tidak melakukan perkara yang tidak disukainya. Justeru itu, dalam banyak hadith nabi s.a.w, baginda banyak menekankan akan hal ini sebagaimana sabdanya:


“Muslim itu adalah seseorang yang memelihara lidahnya dan tangannya terhadap muslim yang lain” [HR Bukhari]


Lidah dan tangan merupakan punca banyak kemaksiatan dan pergaduhan. Oleh itu, seorang itu dianggap muslim hanya apabila terselamat lidahnya dari cacian, mengadu domba, fitnah dan lain-lain terhadap saudara semuslimnya. Di samping itu, tangannya atau merujuk perbuatannya juga tidak menyakiti orang lain.


       5.   Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya ia mematikan hati.


Gembira dalam islam adalah dibenarkan bahkan ia sesuai dengan fitrah sebagai seorang manusia. Walau bagaimanapun, Islam meletakkan garis panduan dalam menzahirkan kegembiraan dan keseronokkan. Sebagai contoh menzahirkan dengan senyuman dan ketawa. Pun begitu, keduanya tidaklah selalunya menggambarkan kegembiraan tetapi lazimnya ia adalah respons pantas bagi keseronokkan.


Cantiknya Islam meletakkan ketawa juga ada hadnya supaya tidak menjatuhkan ‘haibah’ atau keluhurun peribadi seseorang itu. Ketawa nabi s.a.w hanyalah hingga menampakkan gusi baginda. Mungkin agak sukar bagi kita, tetapi cukuplah kita meletakkan panduan ketawa itu tidak sampai berdekah-dekah dan terlalu kuat hingga menarik perhatian orang lain.


Hal ini disebabkan banyak dan besarnya ketawa itu boleh mematikan hati. Bagaimana? Dengan melupakan kita kepada akhirat akibat leka dengan dunia dan keseronokkannya sahaja. Bahkan dalam al-Quran juga menyarankan supaya kurangkan ketawa di dunia agar kita tidak banyak menangis di akhirat sana. Firman Allah s.w.t dalam menggambarkan kaum munafik yang banyak ketawa keseronokkan meninggalkan peperangan:


(Peringatan) Maka ketawalah sedikit (di dunia ini) kerana mereka(munafik) akan menangis banyak (di akhirat kelak). [At-Taubah:82]


 


Segalanya Berkenaan Hati

Mungkin terfikir di minda kita, mengapa penting sangat pembersihan hati?


Kerana kesemuanya berkaitan hati.


Hubungan kita denga Allah baik, disebabkan hati kita baik.


Hubungan kita dengan manusia baik, kerana hati kita baik.


Seluruh anggota kita baik juga kerana hati yang baik.


Hati yang baik adalah hati yang merdeka! Merdeka dari kekangan nafsu. Merdeka kerana menurut perintah yang Maha Berkuasa.


 


Rujuk juga artikel jiwa merdeka (I): 5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I)


The post 5 Kaedah Pembentukan Jiwa Merdeka (II) appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2015 21:38

Taubat Merdekakan Diri Dosa

u-turn-sign-on-road


Berapa banyak silap yang kita lakukan kepada Allah saban hari, tetapi Allah s.w.t., tetap terus-menerus mengurniakan nikmat-Nya kepada kita?


Kalau sekali kita melakukan dosa dengan-Nya, dicabutnya satu nikmat kita. Buat lagi dosa, dicabut lagi satu nikmat yang lain, nescaya mungkin tak tinggal satu apapun kenikmatan-Nya yang layak berada pada diri kita kerana betapa banyaknya masa kita lalai dengan-Nya.


Kita biarkan waktu hidup kita dibelenggu dengan dosa. Kita selesa dengannya. Kita malas keluar darinya. Kita tidak berjuang untuk bersihkan diri kita darinya.


Kemudian, dalam keadaan itu, kita meminta pelbagai macam hajat pula dari Allah s.w.t. Apakah kita tidak malu?


 


Keluar Dari Penjara Dosa !


Sufyan As-Sauri pun seketika pernah berkata kepada ibnul Hassan dalam nasihatnya yang panjang: “…Sesungguhnya meninggalkan dosa lebih mudah terhadapmu dari engkau meminta ampun…”[1]


Untuk keluar dari penjara dosa adalah dengan memiliki ilmu dan rasa sensitif terhadap dosa.


Ada orang yang tahu bahawa dia sedang melakukan dosa, tetapi kerana tidak ada sensitiviti iman dalam jiwanya terhadap dosa, maka tahunya itu tidak membawa apa-apa manfaat amal padanya.


Ada orang yang melakukan dosa memang dalam keadaan dia tidak menyedari atau tidak tahu bahawa itu adalah dosa. Justeru, dia harus belajar dan memiliki ilmu. Jangan sampai setelah berulang kali melakukannya, masih tidak mahu menambah ilmu dan membiarkan diri dalam kejahilan.


Lihatlah Maiz bin Malik, dengan penuh sensitiviti iman yang tinggi dalam dirinya, datang kepada Rasululllah s.a.w. mengakui dosanya dan berharap Rasul membersihkannya.


“Wahai Rasulullah, bersihkan aku !”


“Pergilah engkau. Pulang, beristighfarlah dan bertaubat kepada-Nya !” kata baginda s.a.w.


Dia berjalan pulang, tidak berapa jauh, dia berpatah semula kepada Rasul s.a.w. “Wahai Rasulullah, bersihkan aku !”


Baginda Rasul menjawab yang sama menyuruhnya pulang. Baginda memahami maksud Maiz itu yang menghendaki hudud dijalankan ke atasnya, tetapi baginda cuba mengelak melakukannya dengan menyuruh Maiz beristighfar dan bertaubatlah kepada Allah.


Akhirnya setelah empat kali sedemikian, Rasulullah pun bertanya kepadanya : “Mahu aku bersihkan engkau dari apa?”


“Dari zina”


Rasulullah s.a.w. cuba mencari sebab untuk tidak menghukum Maiz dengan bertanya adakah dia gila, adakah dia minum arak sehinggalah akhirnya Maiz sendiri meminta dirinya dihukum, maka hukuman pun dijalankanlah.


Namun, apa kata baginda Rasul terhadap taubat Maiz? “Dia telah bertaubat dengan taubat yang kalau dibahagi-bahagikan kalangan ummat ini, nescaya mencukupi mereka.”[2]


Maksudnya betapa hebatnya nilai kesedaran taubat Maiz dan keinginannya yang tinggi keluar dari kotoran dosanya, sehingga diiktiraf sedemikian rupa taubatnya.


 


Melazimi Diri Dengan Istighfar Setiap Hari


Zaid bin Aslam berpesan : “Siapa yang memuliakan Allah azza wajalla dengan taat kepada-Nya, nescaya Allah muliakan dirinya dengan syurga-Nya. Siapa yang memuliakan Allah azza wajalla dengan meninggalkan bermaksiat kepada-Nya, nescaya Allah memuliakan dirinya dengan tidak memasukkannya ke dalam neraka.”[3]


“Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi disediakan untuk orang-orang bertaqwa.”[Al-Imran : 133]


Janganlah tangguhkan lagi taubat kita.


Di kesempatan masa, di kelapangan masa, rajinkanlah lidah kita untuk selalu beristighfar.


Duduk saja, beristighfarlah.


Betapa banyaknya dosa kita, tetapi kita kadangkala merasakan seakan-akan tidak apa-apa.


“Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali sehari.”[4] Pesan baginda s.a.w. kepada kita semua.


Demikian seorang Nabi, seorang Rasul, berjuang saban hari, mengorbankan dirinya, darah dan masanya, namun istighfar dan taubatnya tak pernah kalah dalam sehari. Kita ini, bagaimana pula?


Beristighfarlah meminta ampun dari Allah s.w.t. kerana ia adalah antara syarat diangkat azab Allah dari diri kita.


“..Tidaklah Allah mengazab mereka selagi mereka itu beristighfar.” [Al-Anfal : 33]


Beristighfarlah meminta ampun, membersihkan diri kita dari dosa dan maksiat kerana dengan kekotoran jiwa kita, telah menjadi penghadang keberkahan dan rezeki yang baik sampai kepada kita.


“Aku (Nuh) berkata (kepada mereka) : Kalian mintalah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya ia adalah Maha Pengampun. Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan, serta anak-pinak. Dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.” [Nuh : 10-12]


 


Penutup : Merdekakan Diri Kita Dari Belenggu Dosa


Kita masih berada dalam belenggu dosa selagi kita merasa tidak apa-apa berada di dalamnya. Merasa tidak bersalah, tidak merasa ugensi untuk melakukan taubat, merasa selesa berada dalam jerangkap dosa.


Merdekakan diri kita dari belenggu dosa dengan memasang sensitiviti yang tinggi dalam diri kita terhadap hal-hal dosa dan perkara yang melalaikan kita dari Allah.


Bersih dari dosa, keluar dari belenggunya adalah antara syarat ummat ini menemui kejayaannya.


Kalau masih selesa dalam kepompong dosa, kita tidak akan menemukan semula kegemilangan ummat ini.


Merdekakanlah diri kita dari belenggu dosa !






[1] Hilyatul Auliya’, Jilid 7, hal 61




[2] HR Muslim, no. 1695




[3] Hilyatul Auliya’, Jilid 3, hal 221




[4] HR Muslim, no. 2702




The post Taubat Merdekakan Diri Dosa appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2015 07:15

August 30, 2015

Umum : Perutusan Sambutan Kemerdekaan Ke-58 LangitIlahi

6cb12e7ed9c9a3f92fd242520da28170


Merdeka, mengandung pelbagai makna penting di dalamnya. Ia bukan lagi manifestasi kepada sebuah kebebasan dari penjajahan bangsa asing semata-mata. Bahkan, hal itu telah berlalu lama. Kita mungkin tidak terjajah lagi secara fizikalnya, tetapi apakah jiwa kita, dhomir kita, nurani kita sudah benar bebas merdeka?


Kami di LangitIlahi ingin mengajak para pembaca untuk memberikan nafas baru kepada makna merdeka dalam jiwa kita.


Makna merdeka itu bukanlah lagi letaknya pada bendera-bendera yang kita kibarkan, bukan lagi pada lagu-lagu berunsurkan patriotik yang kita nyanyikan itu. Itu hanya bahagian kecil.


Merdeka yang sebenar adalah kita membebaskan jiwa kita, dhomir kita, nurani kita dari segala ketakutan selain ketakutan kepada Allah.


Apabila keimanan dan ketakutan kepada Allah menjadi keutamaan dalam jiwa kita, maka nilai-nilai baik yang lain mudah menemui paksinya. Di atas ketakutan kepada Allah, tumbuhnya sikap berlaku adil, di atas ketakutan kepada Allah, timbulnya rasa tolak ansur, hormat dan berbuat baik sesama. Di atas ketakutan kepada Allah juga, timbulnya rasa amanah terhadap hak rakyat dan negara.


Perasaan inilah yang akan menjadikan jiwa kita bebas merdeka. Bebas merdeka dari cengkaman hawa nafsu dan kejahatan. Bebas merdeka dari menzalimi dan dizalimi orang. Bebas merdeka dari meletakkan untung rugi nasib diri di bawah tangan manusia sedangkan rezeki segalanya dari Allah. Bebas merdeka menyatakan buah pendapat dan fikiran selama mana tidak melanggar garis syara’.


Sebagaimana Rib’ie bin Amir ketikamana menegaskan kemerdekaannya di atas paksi ini di depan Panglima Rom dengan penuh keberanian tanpa rasa takut :


“Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah. Dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”


Kemerdekaan yang ditanamkan oleh Nabi s.a.w., dididik dalam diri para sahabat inilah yang telah melahirkan orang setabah Bilal, seorang hamba yang tidak dapat dibeli imannya meski betapa teruk seksa menimpanya, melahirkan orang semisal Abu Bakar as-siddiq, yang banyak hartanya tidak dapat menukar ganti imannya kepada Allah dan Rasul sehingga semua harta diinfaqnya langsung untuk jalan Allah, melahirkan orang seumpama Kaab bin Malik yang jujur merelakan dirinya dihukum atas salahnya tidak bersama dalam perang bersama Allah dan Rasul-Nya.


Jiwa mereka telah bebas merdeka dengan api tauhid, terkibar bendera iman dalam jiwa mereka penuh gah.


Apabila iman telah menguasai jiwa mereka, mereka tidak lagi tunduk kepada nafsu, harta atau apa jua kebendaan dalam diri mereka, bahkan semua itulah yang telah tunduk kepada mereka.


Manusia menjadi hamba kepada harta, kepada nafsunya apabila dia membiarkan semua itu mengawal dirinya. Apabila dia dikawal semua itu, maka rosaklah dirinya dan masa depannya.


Jiwanya mula dijangkiti penyakit. Penyakit merasa hebat, penyakit merasa tuan, sedangkan jiwanya sedang terhakis dan rosak sedikit demi sedikit.


Sedikit demi sedikit, jika tidak segera dibersihkan dan dirawat, perasaan bongkak, sombong, selesa dengan kejahatan sendiri dan tidak lagi merasa bersalah menguasai dirinya.


Ketika itu, fikirannya tidak lagi merdeka. Jiwanya tidak lagi merdeka. Bahkan segala-galanya dikawal oleh kejahatan yang menyeliputi jiwanya itu. Jiwanya dan fikirannya tidak bersih dan bebas merdeka lagi untuk dapat berfikir dan melakukan yang baik-baik.


Justeru, mari bersihkan iman dalam jiwa kita. Apakah bendera tauhid sudah mekar berkibar di dalam jiwa kita sebagaimana mekarnya bendera yang kita kibar di tangan-tangan dan kenderaan kita?


Semoga kita merdeka, menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.


Membersihkan diri kita dari kotoran dan belenggu jiwa.


Membersihkan diri kita dari sikap-sikap zalim, tidak amanah dan khianat.


Sehati sejiwa kita bersama meneliti semula makna merdeka.


InsyaAllah, dengan membaiki makna menjadi manusia dan beragama, kita dapat lebih memelihara negara kita !


Salam merdeka dari kami !


The post Umum : Perutusan Sambutan Kemerdekaan Ke-58 LangitIlahi appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 30, 2015 08:06

August 29, 2015

Kemerdekaan Menyatakan Fikiran Menurut HAMKA

kebebasan


 


1) Kemerdekaan adalah kebebasan manusia menuruti fitrahnya. Manusia dilahirkan merdeka, merdeka dalam segala anugerah Allah sejak dia lahir tanpa menganggu kemerdekaan orang lain atau ketenteraman masyarakat ramai.


2) Antara kemerdekaan seorang manusia adalah kemerdekaan menyatakan fikiran


3) Suatu pemikiran yang telah matang difikirkan dan diyakini, maka dinyatakan ke hadapan umum dengan perasaan merdeka. Kelak dengan perasaan yang sama, orang lain merdeka pula membantah fikiran itu.


4) Hendaklah yang merdeka menyatakan fikiran itu, menjaga beberapa undang-undang, yang tidak keluar dari garis keadilan dan peraturan dan tidak pula menganggu kemerdekaan orang lain. Oleh sebab itu, menghasut orang lain mengerjakan suatu kejahatan atau membangkitkan umum supaya memberontak tidaklah merdeka manusia mengerjakannya, sebab kemerdekaan sendiri telah dipergunakan untuk merosakkan kemerdekaan orang dan membinasakan ketenteraman umum.


5) Pertukaran fikiran mencari yang benar, menyingkir yang salah, menyelidiki mana yang lebih benar dan mana yang tidak benar, itu adalah prinsip masyarakat demokrasi.


6) Pintu kebebasan menyatakan fikiran itu luas dalam Islam, iaitulah pintu ijtihad. Kemajuan ilmu Usul Fiqh, Fiqh, Tafsir, dan lain-lain berkembang berpangkal melalui pintu ijtihad. Ulama’-ulama’ besar mazhab, yang telah mendirikan 4 mazhab berpangkal juga dari ruang kebebasan berijtihad. Sumber ijtihad berpaksi pada Al-Quran dan As-Sunnah.


7) Salah satu sebab terbesar kemunduran fikiran dalam Islam sehingga terjadi fahaman jumud dan statik ialah setelah timbul pendapat pada abad ke-7 H bahawa pintu ijtihad telah tertutup dan lebih baik taqlid saja, padahal perkembangan selanjutnya menunjukkan bahawa tidak mungkin bertaqlid sahaja.


8) Kemerdekaan menyatakan fikiran itu ada syarat-syaratnya, iaitu jangan keluar dari garis adab dan sopan, walaupun hal yang benar yang akan diterangkan. Dia sanggup mempertahankan keyakinan dan hujahnya, luas pandangannya, serta mengetahui hakikat perkara yang ditulisnya. Jangan menulis sembarangan.  Tiap-tiap tulisan yang dusta, menipu, tidak berdasar kebenaran, walaupun mula-mula ditelan orang, namun zaman kelak akan memuntahkan ‘kebenaran celupan’ itu dari perut orang yang terlanjur menelannya.


9) Surat khabar cermin kemajuan suatu bangsa.Di negeri demokrasi, diberi kebebasan surat-surat khabar menyatakan pendirian supaya pemerintah dapat koreksi dirinya ketika membacanya. Tetapi di negeri diktaktor, tidak ada kemerdekaan akhbar dan media. Media dikongkong, dihalang bersuara, dia hanya mengaminkan sahaja kepada pemerintah.


Rujukan : Falsafah Hidup


The post Kemerdekaan Menyatakan Fikiran Menurut HAMKA appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2015 20:27

August 26, 2015

Kebebasan Yang Kita Impikan

prison_0Setiap manusia mengimpikan sebuah kebebasan. Tiada siapa suka dikongkong atau dihalang daripada melakukan apa yang dia suka atau mahukan.  Andai diletakkan haiwan sekalipun di dalam kurungan, jika dibuka pintu pasti ia akan pantas berlari pergi. Kerana hakikatnya kebebasan itu fitrah. Malah Allah SWT ada menyatakan firmanNya di dalam al-Quran berkaitan dengan kebebasan antaranya termasuklah kebebasan untuk bergerak di atas muka bumi dan menikmati rezeki kurniaanNya seperti mana yang dicatatkan di dalam surah al-Mulk ayat ke-15:


“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)”


Allah SWT juga telah menunjukkan dua jalan kehidupan buat manusia, iaitu jalan kebaikan dan kebenaran yang sepatutnya mereka lalui serta jalan keburukan dan kebatilan yang seharusnya mereka hindari, namun manusia bebas memilih jalan yang mereka lalui.


“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi).”

-Surah al-Balad: 10


Kebebasan ini punya limitasi dan had-had yang patut manusia patuhi berlandaskan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Kerana kita manusia adalah hamba kepada Tuhannya, dan terikat pada peraturan-peraturan yang ditetapkanNya. Tetapi setiap manusia itu telah pun diberi pilihan antara dua, untuk beriman dan taat kepada perintah Allah SWT atau untuk ingkar dan melanggar arahanNya. Nyata, di akhir nanti pilihan-pilihan inilah yang menentukan pengakhiran syurga atau neraka.


Kebebasan Untuk Beriman dan Patuh kepada Allah SWT


Mereka yang memilih untuk patuh kepada perintah Allah merasa bebas untuk beriman kepadaNya tanpa ada apa pun yang dapat menghalang keimanan mereka. Kuatnya keimanan kepada Allah dan meyakini pembalasanNya melahirkan manusia yang memiliki prinsip taqwa yang utuh dan mapan sehinggakan hati serta jiwa mereka tidak dapat ditembusi, dipengaruhi, atau dijajahi oleh mana-mana anasir jahiliyah yang cuba untuk merosakkan iman.


Sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini, betapa umat Islam diancam dan dihina oleh musuh-musuhnya.  Saudara-saudara kita di Syria, Palestin, diancam disiksa saban hari. Daulah mereka dijajah dan dihancurkan satu persatu, namun adakah itu menjadi asbab kepada mereka untuk meninggalkan keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT dan tunduk kepada pihak musuh? Tidak sama sekali, bahkan mereka bebas melaksanakan suruhanNya, malah lebih hebat dari kita yang bergelar warga negara yang kononnya merdeka dan aman ini. Mereka ini Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran sebagai orang-orang yang mengorbankan diri mereka demi mencari keredhaan Allah SWT dan sungguh Allah SWT sedikit pun tidak akan mensia-siakan apa yang telah mereka kerjakan.


“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

-Surah al-Baqarah: 207


Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana terhadap musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak pula yang besar dan tidak melintasi suatu lembah melainkan ditulis bagi mereka amal soleh juga, kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

-Surah At-Taubah: 120-121


Kebebasan Untuk Ingkar Kepada Perintah Allah


Sungguh dunia ini adalah medannya. Tidak semua keingkaran yang kita lakukan di atas muka bumi mendapat serta merta balasan dan hukuman daripadaNya. Kerana itulah terlalu banyak manusia yang dengan sewenang-wenangnya bebas melakukan segala yang Allah larang tanpa ada rasa sedikit pun kekesalan dan rasa takut kepadaNya.


Bukan sedikit manusia telah mengaku bersyahadah mengaku beriman kepada Allah tetapi tidak ramai yang benar-benar melaksanakan perintahnya malah mengikut jejak langkah syaitan dan hawa nafsu dalam mengingkari, mengungkit, serta mempertikaikan apa yang telah Allah larang dan melakukan kerosakan di atas muka bumi tanpa segan silu. Lebih para lagi apabila diri merasa bebas melakukan keingkaran, tidak merasakan Allah itu Maha Memerhati, Maha Mengadili dan Maha Memberi Balasan.


Kita lihat saja apa yang ada di hadapan mata kita pada hari ini. Pemimpin Islam yang pecah amanah dengan suka hatinya menyalahgunakan kuasa yang Allah SWT taklifkan buatnya, institusi-institusi dan badan-badan agama yang seharusnya menasihati pemimpin terpaksa pula menjadi kambing hitam dan tali barut. Itu baharu di peringkat atasan. Bagaimana pula dengan realiti masyarakat marhaen kita pada hari ini? Saban hari keimanan kita diuji dengan maksiat yang dihidangkan hatta di dalam rumah sendiri menerusi kaca televisyen dan corong-corong radio. Perkara yang haram menjadi hiburan, perkara yang halal diperlekehkan.


Sungguh, inilah kebebasan yang akhirnya akan membinasakan. Orang yang bebas untuk tidak taat dan ingkar kepada Allah SWT hanya bebas jasadnya tetapi tidak jiwanya. Ia menjadi hamba kepada iblis, syaitan, hawa nafsu dan kemungkaran. Ia akan merasakan kegelisahan kerana terpenjara dengan dunia. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW yang bersabda:


“Dunia ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir.” (HR Muslim)


Bahkan di akhirat kelak ia akan menjadi orang yang kerugian dan ditimpa penyesalan,


“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

-Surah al-Mu’minun:99-100


Penutup: Tiada Kebebasan Tanpa Ketenangan, Tiada Ketenangan Tanpa Iman


Kita memilih jalan kebebasan yang kita mahukan. Adakala kita sangka kita sudah bebas tetapi sebenarnya tidak kerana tiada kebebasan tanpa ketenangan, ketenangan tidak akan hadir tanpa iman, dan tidak akan bererti iman jika tidak mentaati perintah Allah dan berusaha untuk meninggalkan apa yang Dia tidak sukai.


Berkata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam nukilannya Iman dan Kehidupan,

“…bahawa ketenangan jiwa itu hanya satu sumbernya, dan tidak ada duanya iaitu iman kepada Allah dan hari akhirat dengan keimanan yang benar dan mendalam, tidak dicampuri ragu-ragu dan kepalsuan.”


Akhir kata, kita punya pilihan untuk bebas dalam ketaatan, atas bebas dalam kedegilan daripada menurut perintahnya.

Kita bukannya tidak diperingatkan supaya membuat pilihan yang benar iaitu untuk taat kepadaNya dan menjauhi laranganNya, malah Allah telah membuktikan akibat daripada kegagalan kita membuat pilihan yang tepat adalah benar-benar belaka. Namun segalanya terletak pada diri kita dan hati kita sendiri, untuk memilih kebebasan yang kita impikan.


The post Kebebasan Yang Kita Impikan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 26, 2015 05:11

August 24, 2015

5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I)

heart_by_addicted2love


Merdekakan jiwa dari penjara nafsu


Tiada siapa dalam kehidupan ini yang tidak memerlukan Allah s.w.t dalam kehidupannya. Baik manusia dan haiwan atau hidupan selain keduanya. Tidak kira juga setinggi mana darjatnya dalam kalangan manusia hatta para rasul dan anbiya’ juga memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.


Dalam survival hidup sebagai seorang manusia sahaja, kita memerlukan Allah untuk memberikan kita nyawa, inikan pula untuk kelangsungan kita sebagai hambaNya. Pengabdian tidak selain-Nya juga permohonan bantuan hanya pada-Nya. Itulah ikrar yang saban hari melirik di bibir kita ketika menunaikan tanggungjawab seorang hamba.


Allah mengurniakan manusia jantung hati yang menjadi asas panduan dalam menjiwai erti sebenar pengabdian. Oleh yang demikian, sejauh mana jantung hati ini tersasar dari jalan Allah, maka tetaplah memohon untuk dikembalikan rasa kehambaan kerana benar hati itu ada pada kita, tetapi ia tetap milik Allah.


Dengan pengiktirafan jantung hati sebagai milik Allah, maka seharusnya ia dibentuk sebagaimana kehendak pemiliknya. Sebaliknya jika tidak, maka ia masih terkongkong dalam kesesatan yang akan terus menjauhkannya dengan Allah. Justeru itu, jika kita mempunyai jantung hati yang taat kepada Allah, itulah tanda jiwa yang merdeka.


Tanda-Tanda Jiwa Yang Merdeka


Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas dari dorongan nafsu durjana. Manakala antara tanda-tandanya ialah:-


1.   Apabila disebutkan nama Allah gementar hati mereka


Mengingati Allah mempunyai dua keadaan. Ingat Allah disebabkan mendapat nikmat dari-Nya dan mengingati Allah disebabkan takut dan harap kepada-Nya. Dalam ayat al-Quran banyak menyebutkan manfaat zikir atau orang yang selalu mengingati Allah ini. Antaranya adalah Allah turut mengingatinya. Firman Allah s.w.t:


“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku mengingatimu (membalas kamu dengan kebaikan)” [al-Baqarah:152]


Kata Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini ialah jika seorang hamba itu mengingati Allah dengan ketaatan kepada-Nya, maka Allah mengingatinya dengan memberinya ganjaran dan keampunan.


Selain itu juga, orang yang banyak mengingati Allah inilah orang yang sebenar-benarnya berjaya. Allah s.w.t berfirman:


“Ingatlah akan Allah dengan sebanyaknya (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” [Al-Jumu’ah:10]


Adapun dalam perkara yang kedua yakni takut dan harap kepada Allah ketika mengingati-Nya merupakan tanda keimanan seseorang itu sentiasa sedar kerana mengingatkan akan balasan buruk jika tidak melakukan amalan kebajikan.


2.   Jika dibacakan ayat Allah maka bertambah keimanan mereka


Bertambah keimanan apabila dibacakan ayat al-Quran beerti bergandanya keinginan untuk beramal. Tidak hanya sekadar ilmu atau hikmah yang diperoleh dari tadabbur. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan para sahabat yang mempunyai iman yang terbaik sepanjang zaman.


Lihat kepada sepasang suami isteri yang soleh dari kalangan sahabat iaitu Abi Darda’ dan Ummu Darda’. Ketika keduanya membaca ayat dari kitab Allah yang berbunyi:


“Tangkaplah (malaikat) orang yang berdosa itu serta belenggulah dia”[30], “Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahim”[31], “Selain dari itu, masukkanlah dia dalam  rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta”[32], “Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar”[33], Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan kepada orang miskin”[34]. [al-Haaqah:30-34]


Berkata Abu Darda’ kepada Ummu Darda’: “Sesungguhnya Allah membelenggu orang yang berdosa (kerana tidak beriman) itu dengan jahannam, dan kamu telah melepasi separuh hal itu (dengan beriman kepada Allah), maka bebaskan separuh lagi dirimu dari neraka dengan memberi makan kepada orang miskin.


Iman mereka bukan sekadar kata-kata tetapi rasukan kepada jiwa yang merdeka yang terus-menerus ‘memaksa’ diri mereka untuk beramal. Inilah nilai ketinggian iman yang sama-sama kita pupuk dalam diri setiap kita.


3.   Sentiasa bertawakkal pada Allah dalam semua hal


Tawakkal beerti berserah kepada Allah s.w.t dalam menentukan hal kita di samping tidak dinafikan perlunya usaha dan amal. Hal ini disebabkan tawakkal tanpa amal adalah jahil dan beramal tanpa tawakkal adalah sifat orang yang fasiq dan sombong. Manakala hakikat tawakkal hanyalah kepada Allah s.w.t.


Adapun menyebut berkenaan kelebihan tawakkal maka begitu banyak sekali. Hal ini disebutkan dalam firman Allah s.w.t:


Sesiapa yang berserah diri hanya kepada Allah (tawakkal), maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan memudahkannya) [At-Talaq:3]


Kata Syeikh Fadhl Hassan ‘Abbas bahawa ayat ini tidak mengkhususkan kepada rezeki sahaja tetapi dalam segenap hal dalam kehidupan manusia yang lebih umum.


Indahnya tawakkal adalah kita tidak akan sesekali merasa keseorangan ketika menghadapi sebarang ujian kerana Allah sentiasa ada sebagai tempat pergantungan. Begitu juga ketika memperoleh nikmat, pada Allah segala pujian agar ia (nikmat) tidak menjadikan kita sesat.


4.   Melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk


Solat tidak bermaksud ibadah anggota semata-mata tetapi ia juga ibadah akal fikiran dan juga ruh. Ketika anggota melaksanakan rukun solat, akal fikiran menafsirkan perbuatan dan bacaan dengan tadabbur, manakala ruh pula menjiwai solat dengan penuh rasa khusyuk. Oleh yang demikian kesan solat terhadap kehidupan itu tidak hanya pada anggota zahir tetapi juga membersihkan hati yang menjadi jalan penghubung hamba dengan pencipta. Firman Allah s.w.t:


“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)”. [al-‘Ankabut:45]


Pun begitu, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawasanya solat bukan ibadah anggota sahaja bahkan hati, maka Allah s.w.t menempelak orang yang bersolat tetapi lalai dari solat mereka atau berniat menunjuk-nunjuk amal kebaikan mereka.


“Mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”[5], orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat)[6]. [Al-Maa’un:5-6]


Oleh sebab itu, khusyuk atau menghadirkan hati ketika solat adalah penting. Meskipun sukar tetap kita perlu usaha sehabis mampu. Adapun jalan terbaik untuk khusyuk dalam solat adalah meninggalkan maksiat pancaindera dan hati di luar solat.


5.   Suka memberi dari limpahan rezeki yang diterima


Orang yang suka bersedekah dengan harta yang diterimanya adalah orang yang kuat hubungannya dengan Allah. Hal ini disebabkan, dia tidak merasai segala nikmat yang diperoleh adalah usahanya semata-mata tanpa pertolongan Allah dan tidak pula merasa kurang dari hartanya dengan bersedekah disebabkan yakin Allah yang memberi rezeki. Ayuh teladani kisah sahabat Uthman bin Affan r.a. dalam bersedekah dan keyakinannya terhadap perbuatannya itu.


Suatu ketika pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a, Madinah diuji dengan kemarau yang berpanjangan yang memberi kesusahan kepada penduduknya. Mereka kelaparan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan pula banyak yang mati. Pada masa kesukaran itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan. Rupa-rupanya barang dagangan itu milik Uthman bin Affan.


Para peniaga Madinah berebut-rebut ingin membelinya dengan maksud dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga yang berlipat ganda . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya. Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Uthman bin Affan dengan berkata:


“Maafkan saya, barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!”


Semestinya para peniaga itu kehairanan. Siapakah orang yang berani membeli dengan harga yang lebih tinggi daripada tawaran mereka lalu bertanya: “Wahai Uthman, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”


Uthman pun menjawab singkat  ;  “Allah!”.


Dengan kehairanan mereka bertanya lagi ; “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu?”


Jawab Uthman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” Lalu Uthman membacakan firman Allah s.w.t:


“Perumpamaan  (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” [Al-Baqarah 2:261]


Penutup: Berbahagialah dengan ketinggian darjat, keampunan dan rezeki yang mulia


Ketiga-tiga ganjaran yang dijanjikan Allah kepada orang yang beriman yang memiliki tanda-tandanya di atas adalah berupa ketinggian darjat iaitu disebabkan kesucian jiwanya dalam meletakkan Allah sebagai ilah. Menjadi tempat memohon bantuan dan juga tempat menzahirkan rasa syukur.


Manaka ganjaran kedua adalah keampunan sesuai dengan perlaksanaan ibadah mereka dengan khusyuk sekali gus ibadah tersebut menghalang mereka daripada membuat perkara mungkar. Maka selayaknya mereka memperoleh ganjaran sedemikian.


Akhir sekali adalah rezeki yang mulia di atas kesudian mereka menginfaqkan harta untuk bersedekah pada jalan Allah termasuklah kepada mereka yang memerlukan. Rezeki yang mulia membawa erti mencukupi. Bukan semesti memperoleh banyak harta. Tetapi dengan harta yang ada bertambah syukur pula kepada Allah taala.


Kesimpulannya, marilah kita mendidik jiwa ini agar ia terus merdeka daripada jajahan nafsu yang akan membuatkan kita sesat dalam kelalaian dunia hingga melupakan akhirat.


 


The post 5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I) appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2015 23:07

Iklan vs Realiti

image


The post Iklan vs Realiti appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2015 23:02

Komik: Belum Sampaikah Masanya?

solat_sisFaeez2


Jika dalam solat pun tak mampu beri tumpuan sepenuhnya pada Dia,

Apatah lagi diluar solat?


Cuba tanya diri,

“..ءَاِلٰـهٌ مَّعَ اللّٰهِ”

Apakah disamping Allah ada Tuhan yang lain? [An Naml: 60]

The post Komik: Belum Sampaikah Masanya? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2015 15:00

Cerpen: Anak-anak Syurga, Anak-anak Merdeka

13Sumber foto: Google


Dari kejauhan kelihatan kelibat dua orang kanak-kanak berebut-rebut keluar dari perut kereta. Seorang wanita pertengahan usia 30-an sudah menunggu di hadapan pintu sambil tersenyum melihat gelagat mereka sambil menggeleng kepala. Si bapa membontoti mereka dari belakang. Baru pulang dari kelas KAFA petang anak-anak ini.


“Tanggal 31 bulan 8….,” rancak si abang sulung menyanyikan lagu patriotik itu sambil berlari anak. Maklumlah, Hari Kemerdekaan semakin hampir.

“Along, suara Along tak sedap laaa” ngomel si kakak dengan tangannya menutup telinga.

“Kalau ye pun susun laa kasut tu elok-elok kat rak. Sepah nanti,” tegur bapa pula.

Tangan ibu disambut mesra, seorang demi seorang mencium tangan ibu lalu masuk ke dalam rumah. Tanpa perlu disuruh, mereka tahu ke mana hendak pergi dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Kemudian giliran ibu mengucup tangan suaminya itu seraya mengambil beg kerja yang dibimbit suami.

“Abang lapar? Saya dah masak. Nasi pun dah siap. Kalau nak makan dulu, saya hidangkan,” tuturnya lembut.

“Lapar tapi takpe, nanti kita makan sama-sama dengan anak-anak lepas Maghrib nanti. Awak pergilah bersiap, kejap lagi nak masuk waktu dah,” balasnya sambil mempamerkan senyuman ikhlas walaupun penat.


Selesai solat Maghrib dan membaca doa, anak-anak merapati ibu, berebut-rebut mahu ceritakan apa yang mereka belajar di sekolah pada hari itu. Si bongsu yang baru empat tahun pun mahu turut serta.

“Ibu.. kat sekolah kan, semua dah sibuk nak sambut Merdeka. Cikgu kata, kita kena bersyukur sebab negara kita dah lama merdeka dari penjajah, sebab tu kita sambut Hari Kemerdekaan.” Petah kakak melontarkan kata-katanya.

“Tapi ibu, ustazah Along cakap sebenarnya kita belum merdeka. Walaupun negara kita merdeka, tapi pemikiran kita masih dijajah jahiliyah dan nafsu. Along macam tak berapa nak faham.” Abang yang sudah masuk Tahun Enam pula bersuara.

“Ha’ah la.. kejap merdeka, kejap tak merdeka. Mana satu yang betul ni ibu?” keliru sudah anak-anak yang baru mengenal dunia ini.


Ibu ketawa kecil.

“Mari ibu nak cerita. Kakak tak tahu kenapa nama kakak Sumayyah? dan Along tahu tak kenapa nama along Bilal?” Tanya ibu semula kepada mereka.

“Alah, Along tahu kenapa ibu dengan baba bagi nama Along Bilal. Sebab tu kan nama sahabat Rasulullah.. betul kan ibu??” Celah si abang tahun enam, hendak menang.

“Sibuk laa along ni..” kakak menarik muka.


“Alahai anak-anak ibu ini..” pintas ibu lantas memeluk anak-anaknya.

“Anak-anak ibu semua ada nama baik-baik. Along Bilal, kakak Sumayyah, adik Asiah. Pemilik asal nama-nama ni semua hebat-hebat.”

“Yeke ibu?? cerita laa..” ujar kakak penuh rasa ingin tahu dengan kepalanya disandarkan pada bahu ibu. Bapa memandang dari jauh sambil membaca al-Quran.


Ibu senyum lagi.

“Bilal, Sumayyah, Asiah… tiga orang insan hebat dalam sejarah Islam. Mereka ini adalah orang-orang yang sangat kuat keimanannya. Tak macam kita sekarang, dahulu masa mula-mula Islam sampai ke Tanah Arab, semua orang kafir bencikan Islam, malah mereka mengancam untuk menyiksa dan membunuh siapa sahaja yang memeluk Islam atau bersama orang-orang Islam. Jadi, semua yang memeluk Islam kena rahsiakan keislaman atau bersembunyi, ”


Bulat mata anak-anak ini mendengar ibu mereka bercerita.


“Saidina Bilal atau nama asalnya Bilal bin Rabah adalah salah seorang sahabat yang paling kuat diuji. Dia merupakan hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Hamba ni bermaksud orang suruhan. Dia tak dilayan dengan baik, malah sering dianiayai. Dan semakin teruk bila suatu hari Umayyah dapat tahu yang Saidina Bilal dah masuk Islam. Umayyah siksa beliau dengan sangat dahsyat. Beliau dipukul dengan cemeti di tengah padang pasir yang panas, diheret di tengah-tengah kota, kemudian diletakkan batu yang sangat berat dan besar di atas dada di tengah panas terik yang sangat dahsyat,” sambung ibu.


“Ya Allah.. takutnya ibu.. kesian Saidina Bilal…” luah kakak dengan matanya yang berkaca.


“Kan.. kalau kita, memang rasa kasihan. Tapi masyallah Saidina Bilal sangat kuat iman, walaupun kaum kafir Quraisy suruh Bilal tinggalkan Islam, suruh tinggalkan Nabi Muhammad, Saidina Bilal tetap kata, Allah itu Esa. Ulang-ulang kali. Sikit pun dia tak takut. Akhirnya beliau dibebaskan setelah ditebus bayaran oleh Saidina Abu Bakar. Along, kakak, cuba bayangkan kalau kita berada di tempat Saidina Bilal, agak-agak kita sekuat tu tak?”


Masing-masing terdiam.


“Sumayyah juga seorang wanita yang sangat hebat. Walaupun beliau dah tua, tapi macam Saidina Bilal, beliau juga disiksa dengan kejam sekali hanya kerana beliau beriman pada Allah. Dan macam Saidina Bilal, Sumayyah juga adalah seorang hamba. Sumayyah dan suaminya Yassir memeluk Islam selepas anaknya Ammar memeluk Islam. Kemudian apabila kaum Quraisy tahu mereka sekeluarga memeluk Islam, mereka disiksa dengan diikat di padang pasir dan dibaring menghadap mentari, dahsyat sangat. Kemudian Abu Jahal berkata pada Sumayyah, pilih lah antara dua Islam atau kembali kepada agama asal. Sumayyah tetap melaungkan Allah itu Esa, tiada Tuhan selain Allah sampai satu tahap Abu Jahal menjadi geram lalu Sumayyah pun mati syahid dibunuh.”


“Ibu… kita tak kuat macam dia orang kan ibu.. hmm..” si abang yang sedikit matang itu bersuara.

“Betul tu along.. kakak.. Kita memang tak kuat macam Sumayyah dan Saidina Bilal. Tapi sebenarnya mereka adalah orang yang merdeka di sisi Allah. Walaupun jasad dan tubuh diperhamba, tapi jiwanya merdeka daripada menjadi hamba manusia, merdeka untuk beriman dan mencintai Allah, mereka taat pada perintah Allah tanpa membantah sedikit pun. Dan itulah kemerdekaan yang sebenar,” Jelas ibu.


Ibu menyambung lagi,

“Yang dimaksudkan oleh ustazah Along tu, kita pada hari ini merdeka tetapi hati dan pemikiran kita dijajah, masih belum merdeka. Okay sebagai contoh, bila ibu cakap pada Along waktu solat Asar dah masuk Along kata sekejap, sikit lagi nak habis game ni. Lama-lama dah nak habis waktu baru Along solat. Itu maksudnya hati dan pemikiran Along dah dijajah dengan hiburan game tu,” Along sengih saja. Terkena batang hidungnya.


“Sebagai contoh lagi, bila ibu hendak belikan baju untuk Kakak sengaja ibu carikan yang longgar-longgar sikit, labuh-labuh sikit. Sebab ibu nak anak ibu ikut perintah Allah supaya menutup aurat tapi hari tu kakak taknak, kakak nak baju princess macam dalam cerita Frozen tu sebab kawan-kawan kakak ramai ada baju macam tu. Itu pun maksudnya pemikiran Kakak dah dijajah pengaruh cerita, trend, sampai terikut kawan-kawan. Itu semua boleh jadi contoh.” Kakak pula tersengih malu.


“Pengaruh dunia terlalu kuat sehinggakan kita lupa tanggungjawab kita pada Allah, kita lupa perintah dan suruhan Allah. Sebab hati dan fikiran kita hanya memikirkan dunia. Sebab itu kita selalu langgar perintah Dia. Yang Allah tak suka, kita buat, yang Allah perintah, kita tinggalkan atau lengahkan. Semua ini suatu bentuk penjajahan pemikiran oleh jahiliyah, cintakan dunia dan hawa nafsu kita. Sekarang Along dan Kakak faham?”


“Jadi kita ni merdeka badan jelaa ibu ye? Tapi hati dan fikiran kita tak merdeka. Itu maksud ustazah Along rupanya.. baru Along faham..” angguk-angguk si abang. Kakak juga menganggukkan kepala tanda faham.

“Alhamdulillah anak-anak ibu faham.. Ibu nak sangat anak-anak ibu jadi anak-anak syurga, anak-anak merdeka. Merdeka hati dan jiwa dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan iman, supaya nanti bila anak-anak ibu dah besar, anak-anak ibu terselamat dari kejahatan dunia, dan supaya nanti kita dapat masuk syurga sama-sama” Walaupun mereka baru berusia 12 dan 10 tahun, hasil didikan sejak lahir, banyak perkara yang tidak difahami anak-anak sebaya mereka, mampu mereka fahami. Penting untuk mendidik anak-anak dengan acuan Islam, supaya suatu hari nanti mereka membesar menjadi orang yang faham.


“Sebab tu lah ibu selalu tegur atau marah bila Along dan kakak tak dengar perintah Allah..kan ibu? Terima kasih ibu. Kakak nak jadi anak solehah. Kakak nak merdeka,kata nak masuk syurga” kata kakak sambil memaut lengan ibunya. Ibu memandang si bapa yang sudah habis membaca al-Quran.

“Along pun sama…” tambah along pula.


Bapa sudah membuat isyarat tangannya menyapu-nyapu perut tanda lapar dengan mimik muka meminta belas kasihan.

“Opps baba dah lapar la.. Jom kita solat Isyak dulu lepas tu makan sama-sama ye..” kata ibu sambil tergelak kecil.

“Tapi ibu belum cerita tentang Asiah,” ujar Along.

“Haaa itu nanti ibu cerita. Menangis baba nanti sebab lapar.” seloroh ibu disambut ketawa bapa.


Mendidik erti kemerdekaan yang sebenar, bukanlah pada bebasnya jasad bergerak ke sini sana, atau pada bebasnya lidah berkata-kata, tetapi pada hati dan fikiran yang tidak dipengaruhi apa-apa selain ketaatan dan kepatuhan pada Allah Taala. Di dunia manusia mungkin terjajah jasadnya tetapi merdeka jiwanya sepertimana yang pernah berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah SAW, dan boleh jadi juga kita ini bebas jasadnya, tidak terpenjara namun hati dan pemikiran tidak merdeka dikuasai nafsu dan dunia. Lalu di manakah letaknya kemerdekaan yang hakiki?


Ia ada di akhirat sana. Jika tercatat syurga milik kita, maka merdeka sudahlah jasad dan jiwa kedua-duanya.


The post Cerpen: Anak-anak Syurga, Anak-anak Merdeka appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2015 00:00