5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I)
Merdekakan jiwa dari penjara nafsu
Tiada siapa dalam kehidupan ini yang tidak memerlukan Allah s.w.t dalam kehidupannya. Baik manusia dan haiwan atau hidupan selain keduanya. Tidak kira juga setinggi mana darjatnya dalam kalangan manusia hatta para rasul dan anbiya’ juga memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.
Dalam survival hidup sebagai seorang manusia sahaja, kita memerlukan Allah untuk memberikan kita nyawa, inikan pula untuk kelangsungan kita sebagai hambaNya. Pengabdian tidak selain-Nya juga permohonan bantuan hanya pada-Nya. Itulah ikrar yang saban hari melirik di bibir kita ketika menunaikan tanggungjawab seorang hamba.
Allah mengurniakan manusia jantung hati yang menjadi asas panduan dalam menjiwai erti sebenar pengabdian. Oleh yang demikian, sejauh mana jantung hati ini tersasar dari jalan Allah, maka tetaplah memohon untuk dikembalikan rasa kehambaan kerana benar hati itu ada pada kita, tetapi ia tetap milik Allah.
Dengan pengiktirafan jantung hati sebagai milik Allah, maka seharusnya ia dibentuk sebagaimana kehendak pemiliknya. Sebaliknya jika tidak, maka ia masih terkongkong dalam kesesatan yang akan terus menjauhkannya dengan Allah. Justeru itu, jika kita mempunyai jantung hati yang taat kepada Allah, itulah tanda jiwa yang merdeka.
Tanda-Tanda Jiwa Yang Merdeka
Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas dari dorongan nafsu durjana. Manakala antara tanda-tandanya ialah:-
1. Apabila disebutkan nama Allah gementar hati mereka
Mengingati Allah mempunyai dua keadaan. Ingat Allah disebabkan mendapat nikmat dari-Nya dan mengingati Allah disebabkan takut dan harap kepada-Nya. Dalam ayat al-Quran banyak menyebutkan manfaat zikir atau orang yang selalu mengingati Allah ini. Antaranya adalah Allah turut mengingatinya. Firman Allah s.w.t:
“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku mengingatimu (membalas kamu dengan kebaikan)” [al-Baqarah:152]
Kata Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini ialah jika seorang hamba itu mengingati Allah dengan ketaatan kepada-Nya, maka Allah mengingatinya dengan memberinya ganjaran dan keampunan.
Selain itu juga, orang yang banyak mengingati Allah inilah orang yang sebenar-benarnya berjaya. Allah s.w.t berfirman:
“Ingatlah akan Allah dengan sebanyaknya (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” [Al-Jumu’ah:10]
Adapun dalam perkara yang kedua yakni takut dan harap kepada Allah ketika mengingati-Nya merupakan tanda keimanan seseorang itu sentiasa sedar kerana mengingatkan akan balasan buruk jika tidak melakukan amalan kebajikan.
2. Jika dibacakan ayat Allah maka bertambah keimanan mereka
Bertambah keimanan apabila dibacakan ayat al-Quran beerti bergandanya keinginan untuk beramal. Tidak hanya sekadar ilmu atau hikmah yang diperoleh dari tadabbur. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan para sahabat yang mempunyai iman yang terbaik sepanjang zaman.
Lihat kepada sepasang suami isteri yang soleh dari kalangan sahabat iaitu Abi Darda’ dan Ummu Darda’. Ketika keduanya membaca ayat dari kitab Allah yang berbunyi:
“Tangkaplah (malaikat) orang yang berdosa itu serta belenggulah dia”[30], “Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahim”[31], “Selain dari itu, masukkanlah dia dalam rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta”[32], “Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar”[33], Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan kepada orang miskin”[34]. [al-Haaqah:30-34]
Berkata Abu Darda’ kepada Ummu Darda’: “Sesungguhnya Allah membelenggu orang yang berdosa (kerana tidak beriman) itu dengan jahannam, dan kamu telah melepasi separuh hal itu (dengan beriman kepada Allah), maka bebaskan separuh lagi dirimu dari neraka dengan memberi makan kepada orang miskin.
Iman mereka bukan sekadar kata-kata tetapi rasukan kepada jiwa yang merdeka yang terus-menerus ‘memaksa’ diri mereka untuk beramal. Inilah nilai ketinggian iman yang sama-sama kita pupuk dalam diri setiap kita.
3. Sentiasa bertawakkal pada Allah dalam semua hal
Tawakkal beerti berserah kepada Allah s.w.t dalam menentukan hal kita di samping tidak dinafikan perlunya usaha dan amal. Hal ini disebabkan tawakkal tanpa amal adalah jahil dan beramal tanpa tawakkal adalah sifat orang yang fasiq dan sombong. Manakala hakikat tawakkal hanyalah kepada Allah s.w.t.
Adapun menyebut berkenaan kelebihan tawakkal maka begitu banyak sekali. Hal ini disebutkan dalam firman Allah s.w.t:
Sesiapa yang berserah diri hanya kepada Allah (tawakkal), maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan memudahkannya) [At-Talaq:3]
Kata Syeikh Fadhl Hassan ‘Abbas bahawa ayat ini tidak mengkhususkan kepada rezeki sahaja tetapi dalam segenap hal dalam kehidupan manusia yang lebih umum.
Indahnya tawakkal adalah kita tidak akan sesekali merasa keseorangan ketika menghadapi sebarang ujian kerana Allah sentiasa ada sebagai tempat pergantungan. Begitu juga ketika memperoleh nikmat, pada Allah segala pujian agar ia (nikmat) tidak menjadikan kita sesat.
4. Melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk
Solat tidak bermaksud ibadah anggota semata-mata tetapi ia juga ibadah akal fikiran dan juga ruh. Ketika anggota melaksanakan rukun solat, akal fikiran menafsirkan perbuatan dan bacaan dengan tadabbur, manakala ruh pula menjiwai solat dengan penuh rasa khusyuk. Oleh yang demikian kesan solat terhadap kehidupan itu tidak hanya pada anggota zahir tetapi juga membersihkan hati yang menjadi jalan penghubung hamba dengan pencipta. Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)”. [al-‘Ankabut:45]
Pun begitu, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawasanya solat bukan ibadah anggota sahaja bahkan hati, maka Allah s.w.t menempelak orang yang bersolat tetapi lalai dari solat mereka atau berniat menunjuk-nunjuk amal kebaikan mereka.
“Mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”[5], orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat)[6]. [Al-Maa’un:5-6]
Oleh sebab itu, khusyuk atau menghadirkan hati ketika solat adalah penting. Meskipun sukar tetap kita perlu usaha sehabis mampu. Adapun jalan terbaik untuk khusyuk dalam solat adalah meninggalkan maksiat pancaindera dan hati di luar solat.
5. Suka memberi dari limpahan rezeki yang diterima
Orang yang suka bersedekah dengan harta yang diterimanya adalah orang yang kuat hubungannya dengan Allah. Hal ini disebabkan, dia tidak merasai segala nikmat yang diperoleh adalah usahanya semata-mata tanpa pertolongan Allah dan tidak pula merasa kurang dari hartanya dengan bersedekah disebabkan yakin Allah yang memberi rezeki. Ayuh teladani kisah sahabat Uthman bin Affan r.a. dalam bersedekah dan keyakinannya terhadap perbuatannya itu.
Suatu ketika pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a, Madinah diuji dengan kemarau yang berpanjangan yang memberi kesusahan kepada penduduknya. Mereka kelaparan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan pula banyak yang mati. Pada masa kesukaran itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan. Rupa-rupanya barang dagangan itu milik Uthman bin Affan.
Para peniaga Madinah berebut-rebut ingin membelinya dengan maksud dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga yang berlipat ganda . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya. Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Uthman bin Affan dengan berkata:
“Maafkan saya, barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!”
Semestinya para peniaga itu kehairanan. Siapakah orang yang berani membeli dengan harga yang lebih tinggi daripada tawaran mereka lalu bertanya: “Wahai Uthman, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”
Uthman pun menjawab singkat ; “Allah!”.
Dengan kehairanan mereka bertanya lagi ; “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu?”
Jawab Uthman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” Lalu Uthman membacakan firman Allah s.w.t:
“Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” [Al-Baqarah 2:261]
Penutup: Berbahagialah dengan ketinggian darjat, keampunan dan rezeki yang mulia
Ketiga-tiga ganjaran yang dijanjikan Allah kepada orang yang beriman yang memiliki tanda-tandanya di atas adalah berupa ketinggian darjat iaitu disebabkan kesucian jiwanya dalam meletakkan Allah sebagai ilah. Menjadi tempat memohon bantuan dan juga tempat menzahirkan rasa syukur.
Manaka ganjaran kedua adalah keampunan sesuai dengan perlaksanaan ibadah mereka dengan khusyuk sekali gus ibadah tersebut menghalang mereka daripada membuat perkara mungkar. Maka selayaknya mereka memperoleh ganjaran sedemikian.
Akhir sekali adalah rezeki yang mulia di atas kesudian mereka menginfaqkan harta untuk bersedekah pada jalan Allah termasuklah kepada mereka yang memerlukan. Rezeki yang mulia membawa erti mencukupi. Bukan semesti memperoleh banyak harta. Tetapi dengan harta yang ada bertambah syukur pula kepada Allah taala.
Kesimpulannya, marilah kita mendidik jiwa ini agar ia terus merdeka daripada jajahan nafsu yang akan membuatkan kita sesat dalam kelalaian dunia hingga melupakan akhirat.
The post 5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I) appeared first on Langit Ilahi.