Hilal Asyraf's Blog, page 29

November 28, 2015

Baik sama baik

image


The post Baik sama baik appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2015 00:32

November 12, 2015

Ayat Al-Quran Pilihan – Surah Ghafir Ayat 60

tumblr_m17sficywh1r0k06jo1_1280


 


Berdoa. Nampak seperti perkara yang remeh. Ungkapan permintaan kepada Tuhan.


“Alah, bila-bila boleh diusahakan.”


Benar. Di dalam Islam, untuk berdoa, untuk memohon kepada Tuhan, tidak mesti berada di dalam rumah ibadah, tidak mesti kena berada di atas sejadah, tidak perlu bayar apa-apa, dan tak mesti perlu korbankan binatang atau sesiapa. Terus sahaja berdoa, meminta kepada Allah SWT. Tidak ada hijab, tiada birokrasi, tiada orang tengah.


Namun, ibadah yang amat mudah ini sering dilayan dengan tidak sepatutnya. Dipandang enteng akan besarnya ia. Dan kadangkala, dilihat dari perspektif yang tidak benar. Lantas menimbulkan pelbagai kekeliruan.


Maka di dalam artikel ini kita cuba mentadabbur ayat ke-60 di dalam Surah Ghafir.


Allah SWT berfirman:


“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.



Ulasan Asy-Syahid Syed Qutb


Asy-Syahid dalam mengulas ayat ini, menulis:


“Bertawajjuh dan beribadat kepada Allah serta berdoa dan memohon kepadaNya merupakan amalan-amalan yang boleh menyembuhkan hati dari perasaan takbur yang berkecamuk di dalamnya, hingga mendorongnya menyangkal ayat-ayat Allah SWT tanpa hujah dan bukti.


                Allah SWT sentiasa membuka pintu-Nya supaya kita bertawajjuh dan berdoa kepadaNya. Dia telah mengisytiharkan kepada kita bahawa Dia mewajibkan ke atas diriNya memperkenankan doa siapa sahaja yang berdoa kepadaNya, dan Dia telah memberi amaran kehinaan dan azab neraka kepada orang-orang yang sombong dari mengerjakan ibadat kepadaNya:


                “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.


                Berdoa mempunyai adab caranya iaitu mengikhlaskan hati kepada Allah dan menaru sepenuh kepercayaan bahawa Allah akan memperkenankannya serta jangan mencadangkan kepada Allah satu bentuk perkenan yang tertentu, atau menentukan waktu atau tempat tertentu. Kerana mengaturkan cadangan-cadangan seperti ini bukanlah dari adab memohon kepada Allah.”


Kemudian Asy-Syahid Syed Qutb mengulas bahawa orang-orang yang sombong dari bertawajjuh kepada Allah, maka balasan mereka yang setimpal ialah mereka diheret ke dalam Neraka dalam keadaan yang hina dina. Asy-Syahid Syed Qutb menganggap bahawa itulah kesudahan bagi sikap takbur yang mengakar di dalam hati manusia, sedang mereka hidup di bumi yang kecil ini serta kehidupan dunia yang murah ini. Namun mereka telah larut di dalam kecil dan kemurahan itu hingga membuat mereka lupa kepada kebesaran penciptaan Allah di samping melupakan keagungan Allah serta melupakan akhirat yang tetap akan datang. Ini membuatkan mereka lupa bahawa sikap sedemikian sekadar menempah kedudukan yang hina dina di akhirat.


 


Kadang Kita Terlupa Berdoa


Ada masa, kita telah berusaha bersungguh-sungguh, sepenuh tenaga, memikirkan semua perancangan dan strategi, namun tidak juga berjaya. Resah dan gelisah kita, tertanya-tanya mengapa kita tidak dapat maju ke hadapan, sedang semua persediaan sudah amat rapi. Pada saya, kadang kita terlupa untuk berdoa.


Sebagai contoh, saya pernah melalui satu peristiwa di dalam hidup saya di mana ada rakan ingin berdakwah kepada seorang lagi rakan, yang nakal. Segala usaha telah dicuba, segala seni dakwah telah dipraktikkan, namun masih juga tidak menampakkan hasil. Ini membuatkan rakan itu kecewa dan tertekan. Saya kemudiannya berkata kepadanya: “Enta selalu tak doakan dia? Agar dapat dilembutkan hati, dan mendapat petunjuk daripada Allah SWT?”


Kawan saya, seorang yang berilmu, tetapi bila saya sarankan sedemikian, dia seperti baru tersedar akan perkara itu. “Ha’ah la, ya kan.”


Kadang kita terlupa untuk berdoa. Berdoa sebenarnya tidak menjamin kita mesti mendapat seperti apa yang kita doakan. Namun doa hakikatnya adalah terapi hati. Ianya bukan semata-mata bertujuan untuk kita mendapat apa yang kita doakan, tetapi lebih kepada menyedarkan diri kita bahawa kita ini hanyalah hamba yang kerdil dan lemah. Maka hamba yang lemah ini, sepatutnya menyandarkan dirinya kepada Yang Maha Kuat.


Setelah berusaha dan berdoa, rasa resah dan gelisah akan bertukar dengan rasa sangka baik kepada Yang Maha Kuat. Kita tahu, Dia berupaya memakbulkan doa kita, dan sesungguhnya Dia sangat tahu apa yang baik buat kita. Jikalah apa kita hajatkan tidak tercapai sekalipun, selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh, kita faham, itu bukanlah untuk kita. Kita bersangka baik dan yakin bahawa ada sesuatu yang lebih baik buat kita, sedang Allah SWT sediakan.


Ini kuasa doa.


Terlupa berdoa, membuatkan jiwa kita resah dan mudah dihambat kekecewaan. Mengapa? Kerana kita meletakkan 100% beban kepada usaha kita. Apabila gagal atau tidak tercapai, semestinya perasaan gagal itu diletakkan sepenuhnya ke atas diri kita. Kita akan asyik bertanya, kenapa? Di mana silap? Dan kita akan larut dengan persoalan itu hingga tidak berkesudahan.


Namun sekiranya kita seorang yang punya pergantungan kepada Allah SWT, sering merendah diri dengan mengiringi usaha-usaha kita bersama doa kepadaNya, kita takkan rasa terbeban sedemikian. Kita meletakkan pergantungan kita kepada Allah SWT. Allah Yang Maha Berkuasa, Allah Yang Maha Kaya, Allah SWT Tuhan Semesta Alam. Apakah Allah akan menzalimi kita?


Daripada Abu Dzar Al-Ghifari RA, Rasulullah SAW telah bersabda menyampaikan apa yang diriwayatkan daripada Tuhannya(yakni Allah SWT): “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain.” Hadith qudsi riwayat Muslim.


Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Surah Yunus ayat 44.


Justeru, jangan lupa berdoa, mengkerdilkan diri, minta dipermudahkan urusan, minta apa yang kita mahu, nyatakan, merintih kepada Allah, mengadu kepadaNya.


InsyaAllah, suasananya akan berbeza berbanding semata-mata berusaha dengan tenaga kita yang terbatas.


 


Doa Tanpa Usaha


Berdoa pula bukanlah kayu magik. Berdoa, kemudian terus tercapai apa yang dihajati. Kita telah membincangkan ayat ke-11 Surah Ar-Ra’d yang membawa kefahaman bahawa Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka.


Justeru doa perlu diiringi dengan usaha. Usaha pula ialah usaha yang terbaik. Usaha yang bersungguh-sungguh. Bukan usaha separuh daya, mahu tak mahu, sekadar melepaskan batok di tangga.


“Kalau macam itu, sebenarnya kitalah beri rezeki kepada diri kita sendiri. Bukannya Allah. Kalau kena usaha baru dapat hasil, apa gunanya doa? Buat apa berdoa?”


Ini mungkin terdetik di dalam diri kita. Logik akal tidaklah salah, namun kadang kita berfikir terlalu singkat, lantas logik yang kita bawa menjadi cacat.


Kita berusaha, itu tanggungjawab kita. Nak buka laci, apakah dengan saya berdoa tanpa bergerak membuka laci, laci itu akan terbuka dengan sendirinya? Sunnatullah yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak membenarkan perkara itu berlaku, melainkan Allah SWT benar-benar ingin menunjukkan keajaiban. Namun, sunnatullahnya, kebiasaan yang ditetapkanNya, tidak. Tetapi siapakah yang membenarkan laci itu terbuka apabila saya berusaha membuka laci itu? Itulah dia perkenan Allah SWT. Allah SWT boleh sahaja jadikan saya ditimpa kemalangan sebelum membuka laci, atau tiba-tiba membebankan saya dengan urusan kecemasan lain yang menghalang saya dari membuka laci, atau membuatkan laci itu bermasalah hingga tak mampu dibuka oleh saya.


Begitulah dengan rezeki. Kita berusaha mencari rezeki. Bersungguh-sungguh, dengan cara yang halal dan toyyiba. Namun akhirnya, yang nak memberi rezeki itu ialah Allah SWT.


Seorang usahawan berjaya, Tuan Hj Kapten Yunus namanya, antara pemilik syarikat perkapalan Preston Shipyard Sdn Bhd, dan pernah mendapat anugerah Geneva pada tahun 2014, berkongsi kepada saya:


“Usaha, kita usaha yang terbaik. Tetapi hubungan dengan Allah SWT jangan kita abaikan dan pandang enteng. Enta cuba bayangkan, kita promosi perniagaan kita, buat ‘marketing’, tetapi cuba enta fikir, apakah semata-mata kerana cara ‘marketing’ kita, orang terbuka hati datang nak beli barang kita? Siapa sebenarnya pemilik hati manusia sebenarnya, Hilal?”


Perbualan itu sangat membuka mata saya. Bukanlah mesejnya jangan buat marketing(usaha), dan semata-mata hanya berdoa kepada Allah SWT. Tetapi mesejnya ialah, berusaha, buat yang terbaik, tetapi pada masa yang sama, hubungan dengan Allah SWT juga perlu terbaik. Kerana akhirnya, Allah SWT pemilik segala-galanya.


Dia pemilik hati manusia, Dia pemilik rezeki, Dia pemilik kekayaan, Dia pemilik kemenangan, dan pada masa yang sama Dia juga pemilik ujian, Dia berupaya menjadikan orang miskin dan sakit serta sebagainya. Dia Maha Berkuasa. Maka kepadaNya kita meminta diberikan rezeki, dipermudahkan urusan, diberikan kejayaan, dihadiahkan penyelesaian daripada kemelut, dijauhkan dari kemiskinan dan dijauhi dari bala bencana.


Kerdilkan diri. Minta kepadaNya!


 


Hanya Orang-Orang Yang Tidak Beriman Akan Angkuh Dan Sombong.


Allah SWT dengan penuh kasih menyeru kepada manusia, agar meminta kepadaNya. Mintalah kepadaKu, nescaya akan Aku makbulkan. Allah SWT sendiri memanggil! Betapa besarnya kemuliaan berdoa, hingga Allah SWT menawarkannya.


Pada ayat yang lain, bertemakan doa juga, Allah SWT hingga menjawab bahawa Dia dekat, dan menjawab permintaan hamba-hambaNya.


Firman Allah SWT:


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.


Hanya orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT, yang tidak mahu mengakui kekuasaan Allah SWT, tidak mahu menjadi saksi bahawa seluruh alam semesta ini adalah milik Allah SWT, mereka sahajalah yang tidak akan selesa untuk bersimpuh, mengkerdilkan diri meminta kepada Allah SWT.


Ego dan bongkak dengan merasakan bahawa melalui usaha mereka, atau melalui usaha mereka dan sekumpulan manusia, mereka tetap akan mampu berjaya.


Ya, mungkin mereka berjaya. Tetapi limit kejayaan mereka sekadar terbatas di atas muka bumi. Kadang ada di kalangan manusia ini, Allah SWT uji pula dengan istidraj, yakni Allah tetap memberikan mereka nikmat di dunia ini walaupun mereka ingkar, untuk membuatkan mereka lebih jauh daripada Allah SWT. Kerana apabila mereka langsung tidak punya sekelumit berkenan kepada rahmat Allah SWT, maka Allah pun tidak berkenan terhadap mereka. Lantas kejayaan mereka menambah lagi ego dan sombong mereka, hingga tertutup jiwa mereka dari melihat kebenaran. Bagaimana di akhirat kelak? Apakah manusia boleh ‘berusaha’ lagi untuk mendapatkan apa-apa di sana?


Allah SWT berfirman:


Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.


Na’uzubillah, moga kita dijauhkan daripada keadaan tersebut.


Berdoa, meyakini doa akan dimakbulkan, bersangka baik terhadap keputusan yang Allah SWT beri(sama ada tercapai atau tidak tercapai apa yang kita hajati), hakikatnya memerlukan keimanan. Dan orang-orang yang tidak beriman, tidak mampu untuk melalui proses pembentukan hati ini. Mereka rasa rimas, dan tidak mampu untuk yakin. Yang berjaya, mungkin senang hatinya, tetapi bagaimana mereka yang gagal mencapai apa yang dihajati? Tidak sedikit kita mendengar orang yang menjadi gila, yang membunuh diri. Namun apakah orang yang benar-benar beriman kepada Allah, yang mengiringi usahanya dengan doa dan tawakkal, yang mempersiapkan dirinya dengan sangka baik terhadap kebijaksanaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu, akan bersikap sedemikian?


Saya yakin tidak.


 


Penutup: Berdoalah.


Maka berdoalah. Usaha, iringinya dengan tawakkal.


Alhamdulillah Tuhan kita ialah Allah SWT. Yang tidak memerlukan birokrasi. Bila kita resah, kita tidak perlu berjalan jauh pergi ke tempat-tempat tertentu untuk ‘berkomunikasi’ dengan Allah SWT. Tiada hari-hari tertentu yang kita tidak boleh berdoa. Tiada orang tengah, yang perlu menjadi penyambung doa kita kepada Allah SWT. Tiada bayaran yang perlu dibuat untuk berdoa. Tidak memerlukan bahasa tertentu untuk berdoa.


Mudahnya berdoa. Kasihnya Allah SWT kepada kita. Jelas terpancar cinta dan sayangnya Dia kepada kita.


Apakah kita menghargai? Apakah kita berdoa?


Ya Allah, jadikanlah kami ini hambaMu yang bersyukur. Ya Allah kami tahu kami lemah, banyak dosa dan banyak kekurangan, namun ampunkanlah kami dan selamatkanlah kami. Bantulah kami Ya Allah, dalam berusaha menjadi hambaMu yang soleh. Bantulah kami ya Allah untuk menjadi sebahagian dari golongan yang Engkau hadiahkan mereka syurga. Jadikanlah kami ini ya Allah orang-orang yang istiqomah, berterusan mencari redha dan cintaMu. Kasihanilah kami ya Allah, bantulah kami dalam memperbaiki diri kami. Rahmatilah kami ya Allah, sesungguhnya kami ini kerdil, hina dina, penuh kekurangan. Bantulah kami ya Allah, bantulah kami ya Allah. Maha Suci Engkau, sesungguhnya kami ini telah menzalimi diri kami, dan ingin keluar daripadanya.


Rakan-rakan pembaca, katakanlah “Amiin.”


Semoga Allah SWT merahmati kita semua, dan mempermudahkan urusan kita.


Muhasabah.


The post Ayat Al-Quran Pilihan – Surah Ghafir Ayat 60 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 12, 2015 09:04

November 9, 2015

Ayat Al-Quran Pilihan – Surah Ar-Ra’d ayat 28

7726626cc6491c666665e107e0de6f71


 


Kalau ditanya, mana nak dapatkan duit? Kita akan kata “Kena bekerjalah.” Kerana dengan bekerja, kita akan mendapat duit yang datangnya dari majikan kita. Bila nak keluarkan duit, orang akan kata: “Keluarkanlah di ATM Machine.” Kerana bila kita pergi ke ATM Machine, petik pin kod akaun bank kita, letak berapa bilangan kita nak keluarkan, barulah duit akan keluar dan boleh dipegang dengan tangan.


Itu antara contoh-contoh sahaja dari perbuatan harian kita.


Persoalan seterusnya, “Mana nak dapatkan ketenangan?” Jawapan yang pelbagai akan muncul. Ada yang kata: “Berkurung dalam bilik.” Akan ada yang kata: “Naiklah ke gunung.” Ada yang akan cadang: “Pergilah ke pantai.” Dan macam-macam. Namun ketenangan bukanlah seperti duit, kita ambil, guna, habis. Kita perlukan ketenangan sentiasa. Untuk menyelamatkan kita dari kegelisahan, dari keresahan. Kita bukan nak ‘guna’ ketenangan atau ‘makan’ ketenangan. Kita mahu ketenangan itu menjadi sebahagian daripada kita.


Jadi jawapan ringkas daripada saya ialah, “Pergilah kepada Tuan Punya Ketenangan.”


Yakni Allah SWT.


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.



Ulasan Asy-Syahid Syed Qutb Di Dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran


Asy-Syahid Syed Qutb menulis:


“Ayat yang berikut melukiskan gambaran hati orang-orang yang beriman yang amat halus, yang sentiasa berada di dalam suasana tenteram, mesra, senyum manis dan damai:


                ‘Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram kerana mengingati Allah.’


                Yakni mereka merasa tenteram kerana hubungan mereka yang rapat dengan Allah, merasa mesra berada di samping-Nya, dan merasa aman berada di bawah lindunganNya. Mereka merasa tenteram dari kegelisahan, keseorangan dan kebingungan di jalan kerana mereka memahami hikmah Allah meciptakan mereka, hikmah bermulanya hidup di dunia dan berakhirnya di akhirat. Mereka merasa aman tenteram dengan perlindungan Allah dari segala pencerobohan, segala kemudaratan dan segala kejahatan kecuali apa yang dikehendaki Allah, serta mereka bersikap redha menerima ujian Allah dan bersabar dalam menghadapi kesusahan. Mereka merasa tentera dengan rahmat Allah yang mengurniakan hidayah, rezeki dan perlindungan di dunia dan akhirat.


                ‘Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.’


                Ketenteraman dengan mengingati Allah yang wujud di dalam hati orang-orang yang beriman itu merupakan satu hakikat yang mendalam, yang diketahui oleh mereka yang menikmati kemanisan iman di dalam hati mereka dan membuat mereka sentiasa berhubung dengan Allah.”


 


Tenang Dinaungi Tuhan Pemilik Alam


Bagi mereka yang beriman kepada Allah SWT, kita beriman bahawa Allah adalah Tuhan kepada sekalian alam. Segala apa yang berada di dalam alam semesta ini, berada dalam kuasa dan pengetahuan Allah SWT. Kerana itu di dalam Al-Quran sering diulang ayat berikut:


“Sesungguhnya Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu.”  Ayat ini diulang terlalu banyak. Ianya wujud pada Surah Al-Baqarah ayat 20, Surah Ali-Imran ayat 165, Surah Al-Maidah ayat 17 dan banyak lagi.


Apabila kita menjadi seorang yang beriman kepada Allah SWT, kita tahu kita berada di bawah naunganNya. Berada di dalam perlindunganNya. Dia yang selama ini memberikan rezeki kepada kita semenjak kita berada dalam rahim. Dia yang telah menurunkan Rasul dan menyampaikan peringatan-peringatan kepada kita agar berada di atas jalan yang lurus. Dan kepada Dia semua akan dikembalikan.


Jika kita telaah Al-Quran, Allah SWT telah memberikan kepada hamba-hambaNya pelbagai janji. Dan janji bukan sekadar janji, di dalam Al-Quran juga terdapat kisah orang-orang yang telah menang dengan mempercayai janji-janji tersebut, juga mereka yang telah tewas kerana mengabaikan atau tidak mempercayai janji-janji itu.


Kita sebagai orang yang terkemudian, membaca Al-Quran dan membuat pilihan, dan untuk saya sudah pastinya saya memilih untuk mencontohi orang-orang yang menang. Menang di akhirat terutamanya. Jalan apa yang mereka ambil? Itulah dia jalan mempercayai Allah SWT.


Maka dengan mengingati Allah SWT, hati orang-orang beriman jadi tenteram.


Mereka rasa dijagai, dilindungi.


 


Apakah Akan Langsung Tidak Merasa Gundah Dan Gelisah?


Sebagai manusia yang mempunyai perasan, dan menghadapi situasi turun naik, sudah pastilah orang yang beriman pun akan diuji dengan kesedihan, kegundahan, kegelisahan. Rasa tersepit dan sukar. Dan kadangkala di ambang ketidak percayaan.


Pun begitu, jika keimanannya benar, maka ketenangan akan merasuknya semula. Memimpinnya untuk kembali tenang. Kerana akhirnya sangka baik kepada Allah SWT akan membawanya kepada bersabar, kepada untuk menjadi lebih kental. Sebarang cabaran, ujian, bencana, musibah, halangan yang mendatang akan dihadapinya dengan memahami bahawa Allah SWT itu tidak akan sesekali saja-saja menurunkan semua itu.


Pasti ada hikmahNya!


Kita telah menelaah ayat 214 Surah Al-Baqarah. Kita sudah melihat betapa Rasul dan orang-orang yang bersamanya pun ada masa tersepit hingga terpaksa bertanya bilakah akan sampainya pertolongan Allah SWT.


Namun Allah takkan membiarkan hamba-hambaNya begitu sahaja. Kita kembali memerhatikan ayat tersebut:


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.


Pertolongan Allah amat dekat!


Maka apabila hati-hati yang beriman ini kembali menyedari hakikat ini, mereka kembali tenang dan kuat. Kembali waras dan bersemangat untuk menempuh ujian.


Allah tidak meninggalkan mereka. Ini hanya ujian sahaja. Maka hendaklah ujian itu dilalui dengan kepercayaan yang tinggi. Bantuan Allah pasti akan tiba.


 


Malang Bagi Mereka Yang Tidak Mempunyai Hubungan Dengan Allah SWT


Orang yang tidak dapat melihat bahawa Allah SWT ialah sumber ketenangan yang paling utuh, adalah orang-orang yang malang. Dan mereka perlu dibantu untuk menyedari akan hakikat ini.


Tidak sedikit kita membaca kisah-kisah stress, orang-orang yang tertekan dengan kehidupan. Ramai yang akhirnya melakukan perkara-perkara bodoh untuk mencari ketenangan. Ada pula yang bertindak membunuh diri semata-mata untuk bebas dari tekanan.


Ada yang mendaki bukit mencari ketenangan, tetapi bukit takkan mampu dibawa bersamanya selepas itu. Ada yang ke pantai mencari ketenangan, tetapi pantai tak dapat dibawa pulang selepas itu. Ada yang pergi ke hotel mewah, kedai makan mewah, namun semua itu tidak dapat dibawa bersama sepanjang masa. Duit pula banyak dikeluarkan. Silap haribulan, tekanan bertambah!


Namun mendapatkan ketenangan daripada Allah SWT, tidak memerlukan bayaran. Tidak memerlukan perjalanan jauh. Dia sentiasa dekat dengan kita. Yang kita perlukan hanyalah kesedaran. Seterusnya berusaha untuk menjadi hamba yang patuh dan taat.


Allah ialah pemilik ketenangan. Kepada Dia kita meminta. Allah jugalah pemilik ujian, cabaran, tekanan. Kepada Dia kita meminta penyelesaiannya.


Asy-Syahid Syed Qutb mengulas:


“Tiada yang lebih malang di muka bumi dari orang-orang yang dinafikan dari nikmat ketenteraman melalui hubungan mesra dengan Allah. Tiada yang lebih derita dan celaka dari orang-orang yang hidup terputus hubungan di bumi ini dengan segala sesuatu yang wujud di sekelilingnya di alam buana ini. Kerana terputus dari tali keimanan yang kukuh yang menghubungkannya dengan segala sesuatu yang wujud di sekelilingnya, yang menghubungkan dengan Allah Pencipta Alam Buana ini. Tiada yang lebih derita dan celaka dari orang yang hidup yang tidak mengetahui mengapa dia datang ke dunia? Mengapa dia akan hilang(mati)? Mengapa dia mengalami berbagai-bagai penderitaan di dunia ini? Tiada yang lebih malang dan lebih celaka dari orang yang berjalan di bumi ini dan merasa takut kepada segala sesuatu akibat kerana tidak merasa adanya hubungan yang halus di antaranya dengan segala sesuatu di alam buana ini. Tiada yang lebih malang dan derita dari orang yang berjalan seorang diri dan sesat di padang belantara, di mana ia terpaksa berusaha dan berjuang seorang diri tanpa sebarang penolong, penunjuk jalan dan pembantu.


                Di sana ada detik-detik hidup yang tidak dapat dihadapi oleh seseorang melainkan apabila dia bergantung kepada Allah dan yakin kepada perlindunganNya, biarpun sebesar mana dia mempunyai kekuatan, ketabahan dan ketahanan. Di dalam hidup ini terdapat detik-detik yang dapat menghapuskan segala kekuatan dan ketabahan itu dan tiada siapa yang dapat menghadapinya kecuali orang-orang yang punya keimanan dan keyakinan teguh kepada Allah.”


Penutup: Hubungan Dengan Allah SWT Menjadikan Kita Ajaib


Rasulullah SAW bersabda:


“Ajaibnya urusan orang yang beriman, sesungguhnya setiap urusannya adalah baik-baik belaka. Hal itu tidak akan didapati melainkan daripada orang mukmin sahaja. Diberikan anugerah dia bersyukur, maka anugerah itu menjadi baik buatnya(tidak buat dia takabbur, bongkak dan riya’). Ditimpakan ke atasnya musibah dia bersabar, maka musibah itu menjadi baik buatnya(tidak jadi tertekan, putus asa, kecewa dan sebagainya).” Hadith riwayat Muslim.


Ketenangan dan kententeraman yang terhasil daripada kita mengingati Allah SWT, adalah berpunca dari hubungan yang rapat kita denganNya. Kerapatan hubungan itu pula datang daripada keimanan kita kepadaNya. Kita percaya kepadaNya, lantas menolak kita menjadi hambaNya yang taat. Melaksanakan perintahNya. Menjauhi laranganNya. Seterusnya menjadikan kita ini berbeza dengan mereka yang tidak mendekatiNya. Di sana bermulalah hubungan erat kita denganNya.


Hubungan erat itu menjadikan kita ajaib.


Bukanlah kita tidak teruji. Namun bila teruji, kita bersangka baik kepada Allah SWT. Kita bersabar. Mata kita tidak tertutup dari melihat nikmat-nikmat yang masih ada, segala anugerah yang telah diberikan selama ini. Justeru kita kekal positif. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa, ada terselit rasa duka bila teruji. Tetapi rasa duka itu akan terubat dengan keimanan tadi.


Perhatikanlah sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Teruji dan ujian menjadikan iman mereka bertambah.


“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab(seramai 10,000 orang sedang tentera Muslimin hanya seramai 3000 orang), berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” Surah Al-Ahzab ayat 22.


Bukankah itu satu keajaiban? Hati mereka dipujuk dengan keimanan, lantas menjadikan mereka waras dalam berhadapan dengan cabaran. Seterusnya mampu merangka strategi dan mencapai kemenangan. Akhirnya pakatan Al-Ahzab cerai berai di tangan kaum Muslim dalam peperangan Khandaq.


Indahnya berhubungan dengan Allah SWT. Kita juga boleh begitu sebenarnya.


Muhasabah!


The post Ayat Al-Quran Pilihan – Surah Ar-Ra’d ayat 28 appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2015 05:40

November 7, 2015

Berlindung Dari ‘Aku’ !

mirror-wallpaper1


 


“Akulah Tuhan yang Maha tinggi !” demikian ucap Firaun ketika mengingkari dakwah Musa dan segala keajaiban mukzijatnya ke atas dirinya.


Ia adalah ucapan penuh ketakabburan. Bermula dengan lafaz ‘aku’ lagi, kemudian ditambah lagi dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan.


Takabbur, kata Dr Salman Audah adalah bermula dengan kita mengatakan, ‘aku sekian-sekian’ dan biasanya berakhir dengan, ‘kau ni siapa?’.


Ia ucapan yang biasa dilafazkan iblis, ketika dia merasa dirinya lebih baik dari Adam ketika awal penciptaan Adam, mempertikaikan keperibadian Adam yang dirasakan lebih rendah darjat dari dirinya.


“Aku lebih baik daripadanya !” [Al-A’raf : 12]


Itulah yang telah menyebabkan iblis dikeluarkan dari syurga, dan dihukum dengan neraka.


“Takabbur adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” [HR Muslim, no. 147]


 


‘Aku’


Al-Quran beberapa kali mendidik kita berlindung dari ‘aku’. Pun begitu, tidaklah semua ‘aku’ itu tidak baik. Ada saja banyak ayat di dalam Al-Quran, menyebutkan ‘aku’ itu dalam bentuknya yang positif.


‘Aku’ yang negatif itu adalah ‘aku’ yang terpenjara dalam belenggu hawa nafsunya.


Yang merasa dirinya lebih baik, lebih berhak, lebih itu, lebih ini dari orang lain.


Semaklah surah Al-Kahfi, di dalam kisah pemilik 2 kebun, ketika dinasihati oleh rakannya supaya kembali mentaati Allah, bersyukur kepada Allah, ingat Allah, apa dijawabnya?


“Aku lebih banyak harta daripada engkau, aku lebih ramai pengikut.” [Al-Kahfi : 34]


‘Aku’ adalah unsur pemberdayaan dalam kapitalisme. Bentuk kewujudan ‘aku’ itu tak mesti dalam individu, boleh jadi kelompok manusia, boleh jadi satu syarikat, namun berdiri atas maksud ‘aku’. Tidak mengapa orang lain dizalimi, asalkan ‘aku’ itu mendapat kekuasaan, kekayaan dan segala kelebihan.


Ingatlah apa yang Qarun pernah sebutkan ketika mendapatkan segala harta kekayaannya :


“Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan ilmu yang ada padaku.” [Al-Qasas : 78]


Banyak bercakap tentang ‘aku’ dalam hidup kita adalah berbahaya terhadap jiwa kita. Ia adalah sebahagian tanda ketertipuan kita terhadap diri kita.


‘Aku’lah yang buat sekian-sekian.


‘Aku’lah yang betul. Fulan salah.


Apalah fulan sekian-sekian. Sepatutnya buat macam ‘aku’ cakap.


Ia bisa menimpa sesiapa saja tidak kira orang agama atau bukan, ustaz atau pelajar, orang biasa atau ulama’, bahkan para pendakwah sekalipun.  Lebih berbahaya jika ia berada dalam diri orang dengan ‘title’ agama pada dirinya, nescaya ada banyak dalil untuk mempertahankan perbuatannya itu.


 


Mujahadah An-Nafs


Sebab itu, Islam mengajarkan kepada kita untuk sentiasa berperang melawan diri kita sendiri. Ia adalah sebenarnya melawan hawa nafsu yang sentiasa menguasai segala kecenderungan kita.


Hawa nafsulah yang membawa kita untuk sentiasa mengangkat ‘aku’ dalam diri kita.


Mengangkat ‘aku’ untuk sentiasa merasa diri betul dan orang lain salah. Ia adalah titik mula untuk melakukan kezaliman terhadap orang lain.


Itulah yang diucapkan syaitan ketika diusir keluar dari syurga, tidak menyalahkan dirinya, sebaliknya meletakkan kesalahan itu pada Allah.


“Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan aku sesat.” [Al-Hijr : 39]


Sebaliknya, Allah mengajarkan kita sesuatu yang berbeda melalui Adam a.s. ketika mana Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga. Apa yang diucapkan mereka berdua? Apakah mereka meletakkan kesalahan pada Allah?


“Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri.” [Al-A’raf : 23]


Tidak, bahkan mereka menyedari bahawa itu adalah sebenarnya kesalahan mereka, lalu mereka mengakui diri mereka dengan penuh kerendahan hati, meminta ampun dari Allah dan membersihkan diri mereka.


‘Aku’ seringkali susah mahu mengakui kesalahan diri sendiri. Seboleh mungkin, kalau ada masalah tertimpa, sama ada dicari atau direka seribu satu alasan untuk tidak mengakui dirinya atau meletakkannya pada orang lain.


Sebab itu, pentingnya proses mujahadah an-nafs (berperang atas diri sendiri) supaya kita akhirnya yang menguasai nafsu yang ada dalam diri kita, bukan kita yang dikuasai nafsu dan segala ketakabburannya.


“Barangsiapa yang berjihad di jalan Kami, nescaya Kami hidayahkannya jalan-jalan Kami.” [Al-Ankabut : 69]


Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah memberi komentar terhadap ayat ini dalam Al-Fawaid, berkata :


“Allah menghubungkaitkan hidayah dengan jihad. Sesempurna hidayah pada seorang manusia itu adalah pada mereka yang paling besar jihadnya. Dan jihad yang paling fardhu adalah jihadun nafs (jihad atas diri sendiri), jihad al-hawa (melawan hawa), jihadus syaiton dan jihadud dunia.”


 


Penutup : Kepada ‘Aku’, Allahlah Yang Maha Agung


‘Aku’ tidak hebat mana pun ketika ‘aku’ merasa lebih daripada orang. Allahlah yang memiliki segala kurniaan dan kelebihan ketika kita merasa demikian.Wallahu zul fadhlil ‘azhim.


‘Aku’ ketika merasa lebih berhak terhadap sesuatu berbanding orang, lebih berhak terhadap ‘title’, lebih berhak dipuji, lebih berhak ke atas kedudukan, ingatlah bahawa semua itu milik Allah. Kalau kita memilikinya, kita harus bertanya dengan jujur kepada ‘aku’, apakah ia akan menjadikan kita semakin dapat berkhidmat kepada ubudiah kepada Allah, atau hanya akan semakin merosakkan diri kita?


‘Aku’ sebenarnya tiada apa-apa. ‘Aku’ sendiri adalah ciptaan Allah, segala pada ‘aku’ adalah kurniaan Allah. Allahlah yang Maha Agung. Allah Pemilik segalanya. Kita hanya meminjam sahaja.


Ingatlah Allah ketika kita merasa lebih sendiri. Ketika kita merasa ‘aku’.


Segala yang ‘aku’ miliki di dunia akan fana dan ‘aku’ akan dikembalikan ke akhirat bertemu Allah. Maka apakah ‘aku’ akan selamat ketika berhadapan dengan Rabb Yang Maha Agung, Maha Tinggi sekiranya di dunia kita merasa diri kita agung sendiri, kita merasa diri kita tinggi?


Berlindunglah dengan Allah dari ‘aku’ ! Mari menjadi hamba !


————————————————————


Salman Audah, Ana Wa Akhawatuha


Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah, Al-Fawaid, [J:1, hal59]

The post Berlindung Dari ‘Aku’ ! appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2015 01:03

November 4, 2015

Ayat Al-Quran Pilihan – Surah An-Naba’ ayat 40

_Hand_Of_Fate_by_eliXile


 


Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk beriman dengan Hari Akhirat. Hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan dari kematian, dan didirikan di hadapan Allah SWT untuk perhitungan dan pembalasan. Hari yang sering dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai hari yang sangat besar dan dasyat. Hari di mana Allah SWT telah menutup segala ruang dan peluang bagi para penderhaka bertaubat dan memohon keampunan.


Hari di mana manusia akan dihitung dengan hitungan yang sangat detail dan ketat, hingga tidak terlepas sedikit pun walau sebesar zarrah dari perbuatannya. Hari di mana manusia akan mendapat keputusan masing-masing, sama ada ke syurgakah dia, atau ke nerakakah dia.


Dan pada hari tersebut, orang-orang yang selama ini hidup di dunia tidak pernah ingin sedar dan kembali kepada Allah SWT, hidupnya lalai dan alpa serta penuh dengan penderhakaan dan keingkaran, akan terkejut serta merasa amat takut dengan apa yang dipersembahkan di hadapannya.


Firman Allah SWT yang ingin kita bincangkan di dalam artikel ini ialah ayat ke-40 Surah An-Naba’, menggambarkan situasi itu melalui perbicaraan orang-orang yang ketika di dunia, dia kafir kepada Allah SWT.


“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” Surah An-Naba’ ayat 40.



Komentar Asy-Syahid Syed Qutb Terhadap Ayat 40 Surah An-Naba’


Asy-Syahid Syed Qutb tidak membahas panjang apabila menyentuh ayat ini. Tetapi ulasan beliau yang ringkas itu, amatlah padat untuk direnungi.


Tulis beliau ketika mengulas ayat ini:


“Tidaklah orang berkata begini(alangkah baiknya aku menjadi tanah) melainkan dia berada dalam kesempitan dan kesedihan yang tersangat.


                Ini adalah kalimat yang memberikan bayang-bayang ketakutan dan penyesalan. Sehingga dia berangan-angan untuk tidak menjadi manusia, dan(mahu) menjadi unsur yang diabaikan dan disia-siakan(tak diperhitungkan). Dia melihat bahawa dengan demikian itu(menjadi tanah) adalah lebih ringan dari menghadapi keadaan yang menakutkan dan mengerikan. Ini satu sikap yang berlawanan dengan keadaan ketika mereka mempertanyakan dan meragukan berita besar tersebut(perihal wujudnya hari akhirat dan pembalasan).”


Akhirat Itu Ialah Perkara Yang Pasti


Kita tidak tahu bila akan berlakunya hari di mana seluruh muka bumi ini akan hancur musnah, dan seluruh yang bernyawa akan menemui ajalnya. Bahkan kita tidak tahu bila kita akan mati pun. Namun hari pembalasan, hari perhitungan, hari di mana kita bakal berdiri di hadapan Allah SWT adalah hari yang akan berlaku selepas kematian kita.


Tiada cara yang mudah untuk membuktikan dengan pembuktian yang sangat jelas sehingga mampu terlihat dek mata kasar, bahawa akhirat itu sesuatu perkara yang pasti. Kerana akhirat itu adalah sebahagian dari perkara yang ghaib, yang tersembunyi dari pandangan zahir kita dan ilmu kita terhadapnya sangatlah sedikit.


Namun bagaimana seorang Muslim mampu mempercayai kewujudan hari akhirat?


Dengan keimanan. Keimanan kepada Allah, keimanan kepada Rasul, keimanan kepada Al-Quran, adalah apa yang akan membawa kita kepada beriman terhadap perkara seperti hari akhirat.


Allah SWT yang menurunkan perkhabaran berkenaan kewujudan hari akhirat, maka di sana adalah menjadi satu tanggungjawab untuk kita sebagai Muslim, untuk turut mempercayai dan beriman kepada kewujudan hari tersebut. Dan kita berulang kali diperingatkan tentangnya.


Sekiranya kita fikirkan dengan akal yang waras, apakah selepas mati, kita akan sekadar hilang dan tiada? Adakah begitu lemah sekali tujuan penciptaan kita? Untuk akhirnya menjadi tanah dan debu?


Allah SWT bukan Tuhan yang suka dengan kesia-siaan. Dia tidak menciptakan kita hanya untuk suka-suka. Dia menciptakan manusia itu dengan tujuan, dan Dia menurunkan peraturan, kemudian Dia mengkhabarkan akan berlakunya penilaian, seterusnya di akhirnya akan wujud pembalasan.


“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” Surah Al-Mukminun ayat 115.


Tiada Yang Akan Terlepas Dari Pembalasan


Pembalasan di hari akhirat bukanlah pembalasan yang kita lihat di atas muka bumi ini. Bukanlah hakimnya seorang manusia, yang penuh kekurangan dan punya cacat cela. Bukanlah yang merekodkan amalan itu ialah yang boleh terlupa, yang boleh tersilap dan boleh terlepas pandang.


Yang akan menjadi hakim pada hari akhirat itu ialah Allah SWT. Segala amalan dan perbuatan kita sepanjang keberadaan kita di atas muka bumi, setiap detik dan saat, akan dibentangkan semula pada hari tersebut.


Tidak akan terlepas walau sedikit.


Dan terbentang pada hari itu hanya salah satu dari dua keputusan. Sama ada kita akan dimasukkan ke dalam syurga atau kita akan dilempar ke dalam neraka.


Bayangkan, kita seorang yang hidupnya lalai, derhaka kepada Allah SWT. Telah datang kepada kita peringatan demi peringatan, nasihat demi nasihat, pesanan demi pesanan, namun kita ego dari menyahutnya. Kita besar kepala dan mengabaikannya. Kita teruskan kehidupan kita dalam keadaan ingkar dan derhaka kepada Allah SWT, melalui pelbagai justifikasi yang kita ceritakan kepada diri kita sendiri.


Dan kemudian kita dibangkitkan dari kematian kita, didirikan di hadapan Allah SWT yang Maha Besar, Yang Maha Berkuasa. Dibentangkan segala amalan kita sepanjang kita berada di dunia. Dan dipersembahkan kepada kita azab siksa yang dasyat, yang sedang menanti kita.


Apakah keadaan kita pada hari tersebut?


Jika saya, sudah pasti saya takut. Takut yang teramat takut. Pertama, kerana sudah mengetahui apa keputusannya(kerana tahu bahawa diri memikul dosa yang teramat banyak, dan telah mengabaikan segala nasihat, serta membiarkan segala peluang bertaubat pergi begitu sahaja). Kedua, kerana saya tahu bahawa saya tidak akan boleh dihidupkan kembali untuk beramal soleh, saya tidak boleh lagi lari dari keputusan yang bakal diputuskan ke atas saya.


Sudah pasti akan terkeluar keluhan dari mulut para penderhaka.


“Alangkah baiknya kalau dahulu aku hanya menjadi tanah.”


Hingga begitu sekali Allah menghina orang-orang yang keras kepala. Hingga terpacul pada mulut mereka, bahawa mereka lebih rela menjadi tanah. Kerana takut dan menyesalnya mereka, tatkala dipersembahkan akan benarnya hari akhirat, serta segala azab seksa yang menanti mereka.


Padahal pada ketika di dunia, saat kita senang dan lalai, alpa dan leka, pasti tidak terfikir untuk kita berhajat menjadi tanah. Kerana apa nikmatnya menjadi tanah? Apa kelebihannya menjadi tanah?


Ya.


Dasyat sekali siksaan di hari akhirat itu.


Namun kita belum sampai lagi kepadanya.


 


Penutup: Kita Masih Hidup, Dan Berpeluang Melakukan Perubahan


Kita masih hidup. Alhamdulillah.


Dan nikmat itu bukan untuk dipersia-siakan. Kita belum mati, belum lagi didirikan di hadapan Allah SWT, dan belum lagi terpacul pada mulut kita akan hajat kita menjadi tanah, kerana melihat siksa dan azab yang telah ternanti di hadapan kita.


Kita masih punya peluang.


Peluang untuk melakukan perubahan, menambah kebaikan, mempergiat amal-amal yang diredhai Allah SWT. Peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan, menjadi manusia yang baik, yang disayangi serta dikasihi Allah SWT.


Menjadi orang yang tatkala didirikan tubuhnya di hadapan Allah SWT kelak, dia tidak akan berkata bahawa dia berhajat menjadi tanah. Bahkan dia akan berkata bahawa dia rasa bersyukur kerana diciptakan sebagai manusia, lantas berjaya mendapat syurga.


Realiti itu bukan mustahil buat kita.


Sekiranya kita mula menghargai kehidupan kita, bermula sekarang.


Ayat 40 Surah An-Naba’ hakikatnya adalah ayat yang sangat mendalam. Seakan-akan Allah SWT hendak berkata kepada kita yang masih hidup: “Engkau masih lagi hidup, jangan sampai menyesal seperti apa yang telah Aku khabarkan.”


Kiamat belum berlaku, hari pembalasan belum berlangsung. Namun kasihnya Allah SWT, Dia mengkhabarkan kepada kita apa akan berlaku pada hari tersebut, sekiranya kita mendurhakaiNya.


Kerana Dia sayang kepada kita.


Apakah tidak kita merasai kasih sayang tersebut?


Muhasabah.


The post Ayat Al-Quran Pilihan – Surah An-Naba’ ayat 40 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 04, 2015 08:06

November 3, 2015

Akankah Keperitan Hidup Menghentikan Kita?

sedih


~ pic by vesoe.blogspot.com


 


Hidup tanpa ada masalah adalah sesuatu yang tidak normal. Mana mungkin ada manusia yang hidupnya senada seirama saja di dunia ini.


Bermula sejak lahir sehinggalah dia mati, hidupnya sentiasa berada dalam kesenangan tanpa ada apa-apa ujian, tanpa ada apa-apa halangan. Mustahil sekali.


Hidup ini kembarnya ujian. Kalau tidak diuji, tidak adalah kehidupan itu sebenarnya.


Untuk apa lagi kehidupan di dunia kalau semuanya senang-senang dan mudah-mudah saja?


Tekanan, ujian dan cabaran inilah yang mewarna-warnikan perjalanan hidup kita. Namun, tak dapat dinafikan kadangkala ada yang tewas kala dirinya dijemput tekanan dan ujian, kala dirinya dijemput kesusahan dan kepayahan.


Tetapi, akankah semua keperitan ini menghentikan kita?


 


Tiadalah Ujian Ini Melainkan Hanya Seketika


Berapa ramai orang yang berada di dalam tempoh diuji, ketika ia diuji ia merasa begitu sedih dan tertekan sekali sehingga ia menyangka seakan-akan ia akan berada dalam keadaan itu buat selama-lamanya. Seakan-akan keperitan itu telah menjadi penutup pintu kebahagiaan untuk dirinya buat selama-lamanya.


Tetapi bila hari demi hari berlalu dan ujian itu pun diangkat sedikit demi sedikit dari dirinya, dia pun telah melupakan apa yang menimpa dirinya itu.


Tanyalah semula pada orang yang diuji itu, di hari dia telah berada di dalam kesenangan dan telah keluar dari ujian itu, apakah dia masih merasakan tekanan dan kesedihan? Apakah dia masih merasakan keresahan dan kedukaan?


Pastilah tidak ada.


Cuma seketika, bukanlah selama-lamanya. Ujian yang mendatangi, kesedihan yang bertamu pada diri, ia bukanlah bersifat abadi. Akan datang suatu masa nanti, kita akan keluar juga darinya.


Bukan selama-lamanya hidup kita berpanjangan di dalam kedukaan dan tekanan sebegitu.


Bukanlah kita ini diciptakan untuk itu, untuk disusahkan atau diberi tekanan. Tidak. Tidak sekali-kali. Tetapi semua itu adalah perencah dalam kehidupan untuk menjadikan kehidupan kita semakin baik.


Menerimanya dengan redha serta berusaha menyelesaikannya akan membuahkan kekuatan pada diri, tetapi mengeluh serta lari meninggalkannya tanpa berusaha menyelesaikannya pula hanya akan menyebabkan kelemahan semakin ketara pada diri.


 


Banyak Golongan Terdahulu Telah Diuji, Tetapi Mereka Tetap Di Atas Jalan Perjuangan


Ujian kita berat. Benar. Kadangkala sehingga membuatkan kita merasakan seakan-akan ingin berputus asa dan berhenti saja daripada meneruskan kehidupan ini.


Segalanya terasa seperti sia-sia, terasa hidup kita begitu gelap dan tidak punya apa-apa lagi.


Tetapi ummat-ummat soleh yang terdahulu,mereka itu yang telah berada di atas panji kebenaran, mereka bahkan diuji dengan ujian yang jauh lebih berat sehingga mengakibatkan keterpaksaan ke atas diri mereka untuk berada di antara dua pilihan, sama ada mahu meneruskan perjuangan di atas kebenaran ataupun berputus asa dan berhenti saja serta menuruti saja apa yang diinginkan oleh orang yang menentang mereka.


Pernah sekali salah seorang Nabi s.a.w., Khabbab bin Arat mengadu kepada baginda, setelah melihat dan mengalami penderitaan yang begitu teruk sekali akibat penindasan yang dilakukan oleh musyrikin Makkah terhadap orang-orang Islam yang masih sedikit ketika itu, dia pun berkata :


“Tidak mahukah engkau meminta pertolongan untuk kami? Tidak mahukah engkau berdoa untuk kami?”


“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang telah ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkannya dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini sehinggalah orang yang bermusafir dari San’a ke Hadramaut tidak takut melainkan kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh.” [HR Bukhari, no. 809]


Khabbab bin Arat, bukan kita tidak tahu, dia sendiri telah diuji dengan ujian yang teruk. Diletakkan besi panas ke atas belakang tubuhnya oleh tuannya setelah tuannya mengetahui akan keislamannya. Teruk sehingga begitu sekalipun, Rasul s.a.w. masih tetap memberikan isyarat agar mereka terus bersabar sehingga sampai masa untuk mereka memetik kejayaan nanti.


Kalau ikutkan ketidaksabaran Khabbab dan beratnya penderitaan yang dihadapinya, maka bila-bila masa saja boleh terdetik dalam hatinya untuk berhenti daripada meneruskan perjuangan bersama Islam. Tetapi tidak, Khabbab meskipun diuji sedemikian teruk, ia masih terus tetap berada di atas jalan Islam bersama Rasul s.a.w.


Inilah hikmah apabila kita terus positif di atas jalan kehidupan apatah lagi di atas jalan kebenaran. Berlapang dada, redha menerima dan berusaha pula menempuhinya dengan baik akan membuatkan kita menghargai erti kehidupan ini.


Bahawa kalau semuanya mudah-mudah saja untuk dikecapi dalam kehidupan ini, pastilah tidak ada kenikmatan dalam kehidupan. Tidak ada harga yang tinggi terhadap segala kenikmatan yang kita perolehi. Memperoleh kenikmatan pun tidak dirasakan sebagai satu yang bermakna, tetapi hanya sesuatu yang biasa.


 


Penutup : Adakah Keperitan Akan Menghentikan Kita?


Seharusnya keperitan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah, bukannya menyebabkan kita semakin jauh daripadanya.


Berapa ramai orang yang telah diuji dengan kesedihan, dirundung kedukaan, kesedihan dan kedukaan telah berjaya membawa dirinya semakin dekat dengan Allah. Berapa ramai pula orang yang telah diuji dengan kesedihan dan kedukaan, tetapi menyebabkan dia semakin jauh dan berputus asa pula dengan rahmat Allah.


Keperitan ini hanya seketika. Apakah padan dengan seketika dalam tempoh umur kita sekitar 60-70 tahun ini (sekiranya diizinkan Allah) menghalang kita daripada menikmati kebahagiaan berkali ganda di syurga Allah yang kekal selama-lamanya itu?


Sudah tentulah sangat tidak padan.


Maka, jangan biarkan keperitan hidup menghentikan diri kita. Kita ada Allah, tempat kembali kita. Kenapa tidak kita pergi kepada-Nya, mengadu kepada-Nya setiap kali kita merasakan kesusahan dan keperitan hidup?


Belajar redha, positif dan teruskanlah bergerak !


The post Akankah Keperitan Hidup Menghentikan Kita? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 03, 2015 08:34

November 1, 2015

Do you want or need a PhD?

12204417_1026443764042760_2146341752_o


“Happiness is seeing the person you love, happy”

~My wife & I~


Do you want or need a PhD?


Since I posted my Professional Editing Service recently, I have had the luxury to editor translate abstract articles from mostly postgraduate students.


As a mediocre bachelor’s degree holder, I am compelled to edit superior level academic manuscripts than my own; every second of editing is every second of inferiority.


Despite being intimidated by the academic inferiority, I began questioning why a person should further his or her studies?


Some students finish their Master’s degree the same length as a PhD candidate as long as 5 years. Some others, upon entering the second semester of PhD while doing a successful side business, decide to quit once and for all because “PhD isn’t paying enough.”


In a rare case, this person has been undergoing PhD for 8 years, and then made up his mind to walk out from claiming the “Doctor of Philosophy” title simply because “I don’t think I need it.”


These are several examples picked up from real life stories. Again, the question has to be asked, what is the reason for someone to further his/her studies to a higher/highest level? Is it a need or is it a desire?


A need or a desire?


Yesterday (1st November 2015) I accompanied my wife to attend her Master’s convocation day at UKM and witnessed hundreds of graduates being conferred their respective graduation scrolls. Some received outstanding awards while others only went on stage.


“What prompted them to further their studies?” I wonder.


If they wish to earn high salaries through post-graduate studies, the reality of thejob market today, employers are reluctant to employ post-graduates as they have less hands-on experience and on top of that, employers have to pay higher salaries compared to bachelor degree employees. Thus, in a non-academic world, entry level employees have better luck in employment.


The key to earning high monthly salaries is to be patient in climbing the corporate ladder and not post-graduate studies. One can have only a diploma but earn more than any bachelor’s degree graduates because of skills and experience.


If they wish to be famous, going through a head-cracking process of strict methodologies of series of qualitative/quantitative researches are not an enjoined way to be famous. Better be good at singing, enter comedy reality shows, go into acting, do ‘gedik’ instagram reviews, become hijabi models and other perky stuffs merit as a faster way to be famous.


So what is the really reason why many graduates out there, take the risk of study loans of thousands of dollars with the knowledge of they will work their whole life to pay back the study loan? What is the real reason?


Is it because of “I’m doing this for my parents. It has always their hope to see their child being awarded a distinguished certificate they never had during their time.”


The Doctor of Influence vs Intellectual Affluence


Dr Maszlee Malik in his latest book “Pemburu Kesepian di Bumi Geordy” wrote a sub-article discussing “Buat Apa Nak Belajar PhD?”. He shared a piece of advice by Dr. Muhsen Saleh, Director of Zaytouna Institute at Lubnan which says:


“A voice of a person with ‘Dr’ preceding his name shall be heard due to the ‘Dr’ status.”


However, Dr. Maszlee Malik respects but disagrees with the idea. He cites a renowned novel written by celebrated novelist Paulo Coelho; ‘The Alchemist’. The novel depicts a shepherd by the name of Santiago in his journey to pursue treasure in Egypt after having a recurring dream of finding it there.


What is interesting is not the story of the young boy, but his journey abundant with philosophical messages enlightening the readers to prompt new out-of-the-norm thinking dimensions.


One vital message of the novel is the price of experience in achieving a set goal. In the end Santiago succeeded in finding his dreamt treasure but that is of nil value. The experience of finding the treasure is more meaningful than the treasure itself.


For Dr Maszlee Malik, the lengthy journey of climbing the PhD mountain is what’s valuable than the ‘Dr’ title itself. The methodology of undergoing PhD is the gist of intellectual affluence. The mind is grinned to think in a critical, creative and innovative manner is what is important.


Not because of the “Dr.” title people shall listen to his views and respects him but what are the views that enlightens the minds, spirits and intellectual of the society should come from the “Dr.” Are the minds of PhD holders, are their scholarships worthy of the title “Dr.”?


For incumbent MA and PhD holders out there, this piece of advice is monumental!


What is it to you?


Well I don’t know about you but to me, my heart has always been with the academic world of reading books, of trying to decipher something new in life through reading, of critical discussions with fellow academics.


But the reality that I am going through isn’t on my side (yes I’m talking about marriage) to enable me further my studies to a higher level. Maybe I have to write another article “Marriage or PhD?” discussing thoroughly on making the best out of the two worlds.


For me, I agree with what Dr. Maszlee has to say. Post-graduate studies, Master’s degree and PhD are just a ticket for us to be greater in our thoughts, in our opinions.


There are many academics out there, but are they intellectuals? Are their ‘great’ researches being made available for the public? Are these fellow academics living with the public to nurture the intellect?


Or are they living comfortably at home, looking proud at their PhD convocation portrait they portray at their living room for display? And leave the public in dismay?


At the end of the day, it comes down to us. So ask yourself, “Do you need or want a PhD?”


The post Do you want or need a PhD? appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 01, 2015 08:29

October 25, 2015

Umum: Muhasabah di Sebalik Hari Jubah

hat tossing ceremony at graduation


Bersiar-siar di laman muka buku, terserempak ratusan gambar indah sempena hari jubah. Musimnya sudah tiba, masa untuk menuai hasil tanaman yang selama ini dibajai di taman ilmu. Senyuman menghiasi wajah masing-masing. Pelbagai gaya posing saat bergambar, jelas menunjukkan kegembiraan di hati pemilik segulung ijazah. Tahniah buat semua yang telah bergelar graduan walau di mana saja anda berada, kelas ke berapa pencapainanya dan bidang apa sekalipun yang anda ceburi.

Tahniah semuanya.


Di sebalik kegembiraan ini, usah kita lupa untuk merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi yang telah memberikan kita ruang dan peluang untuk meneguk setitik ilmu dari lautan ilmu-Nya yang Maha Luas. Usah lupa juga berterima kasih kepada semua manusia yang selama ini telah memberikan sokongan dan dorongan buat kita, baik dalam diam mahupun dalam nyata. Kadang-kadang kita tidak sedar, bukan usaha kita semata-mata yang membuat kita berjaya tetapi di sebalik itu, ada yang dalam sembunyi mendoakan yang terbaik untuk kita.


 


Nilai Sehelai Sijil Segulung Ijazah


Di dewan konvokesyen yang tersergam luas dibanjiri ribuan mahasiswa yang kini bergelar graduan, terpamer 1001 satu riak wajah kegembiraan saat kaki mendaki pentas meraih kehormatan. Pada wajah-wajah itu ada kisahnya tersendiri, perjalanan menuntut ilmu setiap daripada kita tiada serupanya. Ada suka, ada duka.


Ada yang beruntung kerana beroleh kemudahan sepanjang proses itu. Tiada masalah kewangan, tiada masalah pelajaran, punyai banyak kemudahan, dan setiap peluang itu membantunya untuk tiba ke menara gading. Namun ada yang melaluinya dengan sukar, terpaksa mengikat perut demi membayar yuran pengajian, tidaklah punyai kemampuan kewangan untuk membeli bahan-bahan rujukan yang mahal, sekadar menyalin nota atau meminjam buku dari kawan. Ada juga yang perlu menghadapi kesukaran menelaah pelajaran kerana daya memproses maklumatnya tidak secekap rakan-rakan lain lalu harus berusaha lebih sedikit supaya dapat memahami apa yang dipelajari.


Mungkin juga ada di antara kita yang pernah dimarahi pensyarah, ditolak assignment nya, diejek dan disisih rakan-rakan, gagal atau sangkut dalam mana-mana mata pelajaran, terpaksa ulang semester atau menangguh pelajaran, tertekan sehingga mengalami masalah kemurungan dan sebagainya. Tetapi kita tidak putus asa, setelah jatuh kita bangun semula. Maka bergembiralah, ucaplah tahniah kepada diri sendiri kerana tidak putus harapan, cepat atau lambat tetap beroleh kejayaan.

Ini semua rezeki masing-masing, kelebihan dan kekurangan yang membuatkan kita lebih mengerti erti sebuah kejayaan.


Walaupun di akhirnya kita berkumpul di bawah bumbung yang sama menaiki pentas yang serupa, namun hanya diri sendiri yang tahu setinggi mana nilai segulung sijil yang digenggam itu. Semakin sukar untuk kita memperolehi sesuatu itu, semakin tinggi nilainya.


 


Muhasabah Di Sebalik Hari Jubah


Orang mukmin yang berjaya adalah orang mukmin yang sentiasa bermuhasabah kembali setiap apa yang dilakukannya, adakah mengundang redha Tuhan atau sebaliknya. Oleh itu di sebalik Hari Jubah yang kita banggakan ini, amat baik untuk kita refleksi dan bertanya kepada diri sendiri, adakah sehelai sijil segulung ijazah ini benar-benar punyai nilai di sisi-Nya seandainya di sepanjang proses menuntut ilmu itu, kita ada melanggar amanah dan bersikap tidak jujur terhadap diri sendiri?


Antara sebahagian sikap tidak amanah dan tidak jujur kepada diri sendiri adalah, di saat orang lain bertungkus lumus menelaah pelajaran untuk menghadapi ujian dan peperiksaan, ada pula segelintir insan yang bertungkus lumus menyusun plan bagaimana untuk menyeludup masuk nota untuk ditiru di dalam peperiksaan. Bukan itu sahaja, di saat pensyarah memberikan tugasan untuk disiapkan, ada yang bersikap sambil lewa dengan melakukan segalanya asalkan siap sudah, tidak bersungguh-sungguh, main ‘copy paste’ sahaja bahkan lebih teruk lagi, tidak melakukan apa-apa dan mengharapkan rakan sekumpulan yang menyiapkannya.


Itu baru dari sudut akademik, bagaimana pula dengan akhlak dan adab sebagai penuntut ilmu?

Sikap culas dan suka ponteng kelas tanpa sebab yang ampuh, melawan pensyarah atau tidak menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka, mengumpat atau bercakap perkara yang tidak elok di belakang mereka walaupun ada sesuatu yang membuatkan kita tidak puas hati, bermain-main dan tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, tidak menghormati ilmu dengan mencampakkan buku serta nota di tempat yang tidak sepatutnya, serta banyak lagi perkara yang kita sendiri tahu di mana silapnya. Malah belum termasuk lagi dosa-dosa kita dengan Tuhan, dosa dengan ibu bapa, sikap kita terhadap rakan-rakan. Semuanya diambil kira.


Muhasabahlah.

Jika terlalu banyak perkara di atas yang telah kita lakukan tanpa sebarang penyesalan, di manakah agaknya nilai segulung ijazah yang berada di dalam genggaman. Di dalam ramai-ramai manusia yang meraikan kejayaan, adakah selayaknya kita bersama mereka yang telah benar-benar berusaha dengan sebaik-baik usaha atau mungkin kita sepatutnya malu dengan diri sendiri, malu dengan Tuhan, malu dengan ibu bapa yang selama ini menyangka kita menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan.


 


Penutup: Perjalanan masih jauh dan panjang


Perjalanan menuntut ilmu masih jauh dan panjang. Selamanya kita adalah penuntut. Kita belajar dari kehidupan, kita belajar dari kesilapan. Apa yang kita pelajari selama ini, hanya setitis dari seluas lautan ilmu Tuhan, siapalah kita untuk mendabik dada dengan secebis ijazah yang kita terima. Walau setinggi mana kita belajar, kita bukanlah manusia yang tahu semua perkara. Semakin banyak yang kita pelajari, semakin bodoh terasa kerana terlalu banyak perkara yang belum kita tahu. Jangan lupa, dengan ilmu itulah akan Allah hisab di akhirat kelak.


“Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

As-Saff: 2-3


Tak sungguh saya tak kata, bukan pada orang lain tetapi untuk diri sendiri jua.

Muhasabah.


 


 


The post Umum: Muhasabah di Sebalik Hari Jubah appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2015 08:12

October 22, 2015

Bila Bejana Cinta Kita Kehilangan Allah

Kata-Cinta1-648x360


Cinta adalah fitrah yang Allah ciptakan bersama dengan kelahiran insan. Kita tidak perlu mencari atau belajar untuk mendapatkan fitrah itu.


Hanya saja yang kita perlu belajar, kata Dr Salman Audah, ‘belajar bagaimana menguruskannya, bagaimana kita meluahkannya.’


Bejana cinta kita adalah hati. Hatilah yang menjadi tadahan cinta kita.


Kepada siapa kita cinta, bagaimana kita menguruskan cinta kita, apa yang kita isi dalam cinta kita, itu semua memberi kesan kepada tadahan atau bejana kita itu.


Jika jalan cinta itu baik, destinasinya baik, diisi dengan perkara-perkara yang baik, maka bejana hati kita akan terisi dengan kebaikan juga. Jika sebaliknya, maka terisilah bejana hati kita dengan kebinasaan dan kerosakan.


 


Yang Sering Kita Lupakan


Bukankah hati itu noktah permulaan kepada tumpahnya kesan yang ada di dalamnya kepada segala gerak kerja tubuh kita?


Kita menyangkakan cinta itu hanya soal perasaan. Soal romantika. Lebih rosak, adalah apabila kita menafsirkan bahawa cinta itu adalah soal lelaki perempuan.


Sedangkan kita terlupa bahawa cinta itu letakduduknya di dalam hati. Apa yang terlahir daripadanya, bagaimana cara kita menguruskannya, kesannya akhirnya membawa kepada hati kita.


Dan hati, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. : “Apabila baiknya (segumpal darah itu), maka baiklah seluruh anggota tubuh, apabila rosaknya ia, maka rosaklah seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah jantung hati (al-qalbu).” [HR Bukhari, no. 52]


Kalau kita cintakan kebaikan, cinta orang baik-baik, cinta cara hidup yang baik, maka kesannya kepada hati kita.


Kalau kita cintakan keburukan, cinta orang-orang yang tidak baik, cinta cara hidup yang liar, maka kesannya kepada hati kita.


 


Apabila Bejana Kita Kehilangan Allah


Namun, ada satu perkara penting kita perlu perhatikan. Iaitulah, apa yang telah sedia ada dalam bejana itu? Apa yang telah tersedia ada itulah yang akan menentukan bentuk kelahiran cinta itu.


Kalau yang ada dalam bejana itu memang sedia terisi dengan bekalan yang busuk, rosak dan keruh, maka kesannya kelahiran cinta itu pun begitu. Ia suka kepada yang tidak baik, ia suka kepada yang keruh dan busuk.


Inilah masalah yang kita hadapi pada hari ini.


Bejana hati kita kehilangan Allah. Bejana kita kehilangan sumber kebaikan sebenar dalam menentukan bentuk kelahiran cinta yang ada dalam hatinya.


Hati yang kehilangan Allah akhirnya mengundang bencana.


Bencana yang terhasil bukan sedikit dan kecil, tetapi kesannya sampai ke dalam masyarakat yang besar.


Bila kita berbicara soal cinta tetapi kita mengenepikan Allah, itu adalah bencana.


Ia membawa kepada mengabaikan neraca baik buruk menurut Allah s.w.t., lalu kita gunapakai neraca buruk baik manusia sebagai kayu ukur.


Ia menyebabkan zina dipandang biasa, couple lelaki perempuan adalah halal.


Ia menyebabkan kita memandang kemungkaran sebagai satu yang biasa, bahkan dipertahankan pula, dan kebaikan dipandang pelik dan ditinggalkan pula.


Kesannya tidak berhenti sekadar itu, ia akhirnya membawa kepada keruntuhan sistem sosial dalam masyarakat, bahkan mengundang banyak masalah keruntuhan akhlak dan moral.


Cinta yang kehilangan Allah, adalah bak kapal di lautan yang hilang layar dan sauhnya, terumbang-ambing dibawa arus, bila-bila saja boleh dimusnah ombak.


Hati yang kehilangan Allah, bejananya kontang, haus, tiada arah tuju. Akhirnya bentuk cinta begitulah yang terukir dari hati yang sedemikian.


Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah berkata dalam Raudhatul Muhibbin :


“Bagaimanalah benar bagi seseorang hamba yang mendakwa mencintai Allah, tetapi ia tidak endah apabila batasan Allah dilanggar, hak-hakNya apabila dilanggar. Seminimum sikap kepeduliannya adalah terhadap dirinya, dari pengaruh nafsunya, pengaruh syaitan sebagai tanda dia cemburu untuk menduakan kecintaannya (iaitulah Allah) dengan melanggar hak-Nya dan bermaksiat kepada-Nya.”


Penutup : Membersihkan Semula Bejana Kita


Kalau kita fikir cinta itu adalah soal keseronokan, belumlah tentu semua yang seronok itu cinta. Ada keseronokan yang merosakkan diri, namun ramai juga yang terjebak dalamnya kerana menganggap itu cinta.


Kalau kita fikir cinta itu adalah soal kemahuan, belumlah tentu semua kemahuan itu benar-benar adalah cinta kerana manusia itu berbolak-balik hatinya. Hari ini suka sesuatu, esok mungkin bertukar citarasanya.


Tetapi cinta itu adalah soal tanggungjawab.


Tanggungjawab kita dengan Allah s.w.t. Tanggungjawab kita sesama insan.


Cinta tiada makna tanpa tanggungjawab dan pembuktian. Bukan cinta sekiranya ia merosakkan diri dan tidak ada penanggungjawaban.


Kita hanya boleh jujur dengan cinta, kalau kita jujur dengan Allah.


Bersihkan semula bejana hati kita, tempat terbentuknya cinta kita. Isilah bejana hati kita dengan selalu mengingati dan kembali kepada Allah.


Supaya nanti, cinta teragung yang akan terisi di dalam bejana hati kita itu, satu-satunya adalah Allah. Yang akan menjadi neraca ukur hidup kita, yang akan sentiasa ada dalam segala pertimbangan hidup kita !


The post Bila Bejana Cinta Kita Kehilangan Allah appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 22, 2015 09:27

October 20, 2015

Menjemput (Makna) Kematian Ke Dalam Hati

end-of-the-road


Sebahagian salaf berkata : “Berwaspadalah (persiapkan diri) kamu dengan kematian di dunia ini sebelum kamu berpindah ke satu tempat di mana kamu berharap adanya kematian, tetapi kamu tidak akan memperolehinya lagi.”


Kalau kita menganggap kehidupan adalah sebuah kenikmatan, maka kematian juga sebenarnya adalah sebuah kenikmatan.


Dengan kematian, kita belajar sesuatu untuk diri kita. Kita belajar menghargai hidup, mempersiapkan masa depan, mempersiapkan akhirat kita dan yang lebih penting kita belajar menyediakan hidup yang terbaik di dunia.


Orang yang inginkan kematian yang terbaik buat dirinya pastilah akan mempersiapkan kehidupan yang terbaik juga ketika berada di dunia.


 


Kematian Adalah Motivasi Untuk Hati


Lantas, kita teringat yang baginda Rasul s.a.w. sering berpesan kepada kita : “Perbanyakkanlah mengingat penghancur kelazatan.” [HR Ibn Majah, no. 4258]


Kematian. Itulah penghancur kelazatan.


Ketika badan tidak mampu lagi bergerak, mata tak mampu lagi melihat, tangan dan kaki tak mampu diangkat, lidah tak dapat lagi merasa, hidung tak dapat lagi mencium bau-bauan, telinga tak dapat lagi mendengar, maka di saat itu, segala kelazatan dahulu yang enak dinikmati hilang dan lenyap begitu sahaja.


Dulu kita mungkin makan makanan paling sedap, paling mahal, di restoran yang mahal, tetapi hari ini tidak ada lagi restoran, tidak ada lagi makanan sedap, minuman yang hebat menunggu kita di dalam kubur.


Dulu kita mungkin tidur di atas katil empuk, tilam yang mahal dan bagus, di bawah air-cond yang sejuk, tetapi hari ini yang ada hanyalah tanah biasa, yang kita akan ditinggalkan berseorangan, gelap dan tiada berteman.


Dulu kita mungkin mendengar muzik-muzik indah, menonton movie, video dan sebagainya yang menarik-menarik belaka ketika di dunia, tetapi hari ini yang ada hanyalah kegelapan, soal jawab munkar nakir. Tidak ada lagi movie, tidak ada lagi artis-artis yang menjadi tontotan dan kegemaran kita dahulu untuk menyelamatkan, membantu atau menemani kita dalam kegelapan kubur itu.


Sehinggakan Nabi s.a.w suatu ketika pernah duduk di tepi kubur ketika sedang ada proses pengembumian jenazah, lalu menangis. Di dalam riwayat hadith ini dikatakan sehingga basah tanah itu. Kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada para sahabatnya, “Wahai saudara-saudaraku, persiapkanlah diri kalian untuk yang semisal ini (yakni kematian).” [Ibn Majah, 4195, dihukum Hasan oleh Al-albani)


 


Persiapkan Kematian, Lalu Kita Persiapkan Kehidupan


Apabila kita merancang untuk kematian yang terbaik, maka kita sedang menyiapkan satu design, satu pelan hidup yang baik.


Orang yang tidak ingat kepada kematian, melalaikannya, tidak mempersiapkannya, maka dia hidup di dunia ini seakan-akan dunia adalah segala-galanya untuk dirinya sedangkan dunia hanyalah tempat persinggahan sementara menguji insan.


Akhirnya dia tidaklah memanfaatkan dunianya untuk hidup akhiratnya, tetapi dirinya pula dipergunakan oleh dunia.


Abu ‘Ali Ad-Daqaq menasihatkan kita dengan mutiara nasihatnya :


“Siapa yang banyak mengingati mati, maka dia dimuliakan dengan 3 perkara.


1) Dia dimuliakan dengan kesegeraan dirinya untuk bertaubat,


2) Bersungguh-sungguh dalam ibadah dan


3) Sifat qanaah (rasa cukup) dalam hati…”


Sambungnya lagi, “…siapa yang melupakan kematian, nescaya dia dihukum dengan 3 perkara, iaitulah :


1) Bertangguh dalam bertaubat


2) Malas dalam melakukan ibadah


3) Dan tidak ada qanaah (rasa cukup) dalam diri.”


 


Penutup : Menjemput Kematian


Menjemput kematian bukanlah bermaksud kita pergi mencari kematian. Kematian tidak perlukan  kita untuk carinya kerana dialah yang akan mencari kita.


Hanya saja, kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati.


Menjemput kematian adalah menghadirkan gambarannya dalam mata hati kita supaya kita menjadi orang yang lekas sedar diri, celik imannya, dan segera bangun melaksanakan tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini sebagai hamba-Nya.


Rasul s.a.w. berpesan :


“Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit gelaktawa dan banyak menangis.” [HR Bukhari , no. 6485]


Ada orang menziarah orang mati, tetapi tidak mengizinkan hatinya mengambil iktibar dan pelajaran dari kematian itu.


Jemputlah pelajaran kematian masuk ke dalam hati, supaya hati kita terus subur hidup dan tidak mati.


Ingat mati bukan kerana kita mahu lari dan mengabaikan tanggungjawab dunia.


Ingat mati kerana itu adalah penghujung dunia menuju alam abadi yang kita akan hadapi lalu kita mahu hadapinya dalam keadaan Allah redhai.


Ingat mati supaya kita lebih tawadhuk, tidak sombong diri dan sederhana hidup.


Ingat mati supaya hati kita terus hidup.


Bahkan mengingati mati adalah supaya kita lebih kuat dan bersungguh dalam beramal di dunia, mempersiapkan bekalan menuju akhirat.


The post Menjemput (Makna) Kematian Ke Dalam Hati appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 20, 2015 07:01