Menjemput (Makna) Kematian Ke Dalam Hati
Sebahagian salaf berkata : “Berwaspadalah (persiapkan diri) kamu dengan kematian di dunia ini sebelum kamu berpindah ke satu tempat di mana kamu berharap adanya kematian, tetapi kamu tidak akan memperolehinya lagi.”
Kalau kita menganggap kehidupan adalah sebuah kenikmatan, maka kematian juga sebenarnya adalah sebuah kenikmatan.
Dengan kematian, kita belajar sesuatu untuk diri kita. Kita belajar menghargai hidup, mempersiapkan masa depan, mempersiapkan akhirat kita dan yang lebih penting kita belajar menyediakan hidup yang terbaik di dunia.
Orang yang inginkan kematian yang terbaik buat dirinya pastilah akan mempersiapkan kehidupan yang terbaik juga ketika berada di dunia.
Kematian Adalah Motivasi Untuk Hati
Lantas, kita teringat yang baginda Rasul s.a.w. sering berpesan kepada kita : “Perbanyakkanlah mengingat penghancur kelazatan.” [HR Ibn Majah, no. 4258]
Kematian. Itulah penghancur kelazatan.
Ketika badan tidak mampu lagi bergerak, mata tak mampu lagi melihat, tangan dan kaki tak mampu diangkat, lidah tak dapat lagi merasa, hidung tak dapat lagi mencium bau-bauan, telinga tak dapat lagi mendengar, maka di saat itu, segala kelazatan dahulu yang enak dinikmati hilang dan lenyap begitu sahaja.
Dulu kita mungkin makan makanan paling sedap, paling mahal, di restoran yang mahal, tetapi hari ini tidak ada lagi restoran, tidak ada lagi makanan sedap, minuman yang hebat menunggu kita di dalam kubur.
Dulu kita mungkin tidur di atas katil empuk, tilam yang mahal dan bagus, di bawah air-cond yang sejuk, tetapi hari ini yang ada hanyalah tanah biasa, yang kita akan ditinggalkan berseorangan, gelap dan tiada berteman.
Dulu kita mungkin mendengar muzik-muzik indah, menonton movie, video dan sebagainya yang menarik-menarik belaka ketika di dunia, tetapi hari ini yang ada hanyalah kegelapan, soal jawab munkar nakir. Tidak ada lagi movie, tidak ada lagi artis-artis yang menjadi tontotan dan kegemaran kita dahulu untuk menyelamatkan, membantu atau menemani kita dalam kegelapan kubur itu.
Sehinggakan Nabi s.a.w suatu ketika pernah duduk di tepi kubur ketika sedang ada proses pengembumian jenazah, lalu menangis. Di dalam riwayat hadith ini dikatakan sehingga basah tanah itu. Kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada para sahabatnya, “Wahai saudara-saudaraku, persiapkanlah diri kalian untuk yang semisal ini (yakni kematian).” [Ibn Majah, 4195, dihukum Hasan oleh Al-albani)
Persiapkan Kematian, Lalu Kita Persiapkan Kehidupan
Apabila kita merancang untuk kematian yang terbaik, maka kita sedang menyiapkan satu design, satu pelan hidup yang baik.
Orang yang tidak ingat kepada kematian, melalaikannya, tidak mempersiapkannya, maka dia hidup di dunia ini seakan-akan dunia adalah segala-galanya untuk dirinya sedangkan dunia hanyalah tempat persinggahan sementara menguji insan.
Akhirnya dia tidaklah memanfaatkan dunianya untuk hidup akhiratnya, tetapi dirinya pula dipergunakan oleh dunia.
Abu ‘Ali Ad-Daqaq menasihatkan kita dengan mutiara nasihatnya :
“Siapa yang banyak mengingati mati, maka dia dimuliakan dengan 3 perkara.
1) Dia dimuliakan dengan kesegeraan dirinya untuk bertaubat,
2) Bersungguh-sungguh dalam ibadah dan
3) Sifat qanaah (rasa cukup) dalam hati…”
Sambungnya lagi, “…siapa yang melupakan kematian, nescaya dia dihukum dengan 3 perkara, iaitulah :
1) Bertangguh dalam bertaubat
2) Malas dalam melakukan ibadah
3) Dan tidak ada qanaah (rasa cukup) dalam diri.”
Penutup : Menjemput Kematian
Menjemput kematian bukanlah bermaksud kita pergi mencari kematian. Kematian tidak perlukan kita untuk carinya kerana dialah yang akan mencari kita.
Hanya saja, kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati.
Menjemput kematian adalah menghadirkan gambarannya dalam mata hati kita supaya kita menjadi orang yang lekas sedar diri, celik imannya, dan segera bangun melaksanakan tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini sebagai hamba-Nya.
Rasul s.a.w. berpesan :
“Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit gelaktawa dan banyak menangis.” [HR Bukhari , no. 6485]
Ada orang menziarah orang mati, tetapi tidak mengizinkan hatinya mengambil iktibar dan pelajaran dari kematian itu.
Jemputlah pelajaran kematian masuk ke dalam hati, supaya hati kita terus subur hidup dan tidak mati.
Ingat mati bukan kerana kita mahu lari dan mengabaikan tanggungjawab dunia.
Ingat mati kerana itu adalah penghujung dunia menuju alam abadi yang kita akan hadapi lalu kita mahu hadapinya dalam keadaan Allah redhai.
Ingat mati supaya kita lebih tawadhuk, tidak sombong diri dan sederhana hidup.
Ingat mati supaya hati kita terus hidup.
Bahkan mengingati mati adalah supaya kita lebih kuat dan bersungguh dalam beramal di dunia, mempersiapkan bekalan menuju akhirat.
The post Menjemput (Makna) Kematian Ke Dalam Hati appeared first on Langit Ilahi.