Hilal Asyraf's Blog, page 26
August 6, 2016
Sedikit Sekali Sahabat Yang Boleh Diharap
“Sesungguhnya Al-Asy’ariyyin itu,” sabda Nabi s.a.w., “… jika makanan mereka habis dalam peperangan atau sedikit makanan untuk keluarga mereka di Madinah…”
“…mereka mengumpulkan semua makanan yang ada pada mereka di dalam satu helai kain, kemudian mereka membahagikan dengan sama rata di antara mereka dalam satu bekas.”
Sungguh menarik jika kita merenung hadith ini. Dari kisah pendek dalam hadith ini, Nabi s.a.w. berkomentar :
“Fahum minni wa ana minhum.”
“Mereka itu adalah dari diriku dan aku adalah dari mereka.”
Siapakah Al-Asyariyyun itu dan bagaimana Nabi s.a.w. boleh berkomentar sedemikian? Adakah mereka adalah ahli keluarga Nabi s.a.w.?
Mereka itu bukanlah dari keluarga Nabi s.a.w. Mereka itu adalah ahli Yaman, dari susur galur Al-Asy’ari, demikian seorang sahabat bernama Abu Musa disebut sebagai Abu Musa Al-Asy’ari kerana datang dari susur galur itu. Mereka bukanlah dari darah keturunan Nabi s.a.w., namun tindakan mereka sesama mereka itu menggambarkan ketingian nilai ukhuwah yang ada pada mereka itu di sisi Nabi s.a.w. Nilai ukhuwah yang boleh diharap, nilai ukhuwah yang mementingkan tanggungjawab dalam berukhuwah.
Bukan ukhuwah yang sweet di mulut semata-mata, tetapi tidak komit dengan tanggungjawab ukhuwah.
Bukan ukhuwah yang terlafaz ketika senang, ketika berada dalam keadaan tenang, namun mengabaikan sesama ketika tanggungjawab dan tuntutan ukhuwah memanggil.
Bukan sedemikian maksud ukhuwah.
Manusia Seperti Unta Seratus
Sungguh menarik mengingatkan Nabi s.a.w. pernah mengucapkan :
تَجِدُونَ النَّاسَ كَإِبِلٍ مِائَةٍ، لَا يَجِدُ الرَّجُلُ فِيهَا رَاحِلَةً
“Kamu akan mendapati manusia itu seperti unta yang seratus ekor, tidaklah ditemukan ar-rahilah.”
Di dalam riwayat yang lain, menyebutkan, “seakan-akan tidak kau dapat temui ar-rahilah.”
Apa itu ar-rahilah?
Ar-Rahilah itu adalah unta yang bagus, yang sesuai dijadikan tunggangan untuk perjalanan yang jauh.
Perjalanan yang jauh itu susah, penuh cabaran dan liku-liku. Kadangkala jatuh, kadangkala kita dapat berjalan elok. Namun, dengan adanya unta yang bagus, kita dapat sampai ke destinasi dengan selamat meskipun ada sekali-sekala jatuh dan bangun.
Demikianlah para ulama’ mengibaratkan unta jenis ar-rahilah di sini sebagai sahabat yang baik dan boleh dijadikan tempat bersandar.
Disebutkan dalam Mirqatil Mafatih Syarah kepada Misykat Al-Masobih oleh Syeikh Ali bin Sulton Muhammad Al-Qori, berkata :
فكذلك لا تجد في مائة من الناس من يصلح للصحبة ، وحمل المودة وركوب المحبة ، فيعاون صاحبه ويلين له جانبه
“Begitulah juga kamu akan dapati dalam kalangan 100 manusia, susah ditemui mereka yang selayaknya dijadikan sahabat, untuk dijadikan tempat mencurahkan kasih dan cinta, untuk saling membantu sesama sahabatnya dan bersikap lunak dengannya.”
Begitu juga, ketika mensyarahkan hadith ini,Al-Hafizh Ibn Hajar membawakan 2 pendapat yang mana An-Nawawi dan Al-Qurtubi serta beberapa ulama’ lain bersetuju dengan pendapat bahawa kebanyakan manusia adalah orang yang memiliki banyak kekurangan (ahlunnaqs) , adapun orang yang punya sifat kemuliaan, kebaikan (ahlufadhl) berbanding manusia lain, sukarlah amat ditemukan serta sedikit bilangan mereka. Begitulah, hanya sedikit ini yang boleh diharap dan dijadikan sebagai sahabat.
Al-Ukhuwah Mas’uliyyah, Laisal Ukhuwah Huwa Manfaah
Ukhuwah adalah sebuah tanggungjawab. Bukanlah ia sebuah advantage untuk kita ambil kesempatan.
Demikian sepatutnya hubungan seorang mukmin dengan mukmin yang lain.
Dinamakan ukhuwah yang berasal dari perkataan ‘akh’ yang bermaksud saudara kerana ia menjangkaui hubungan darah daging dan keturunan. Seseorang yang bukan dari ahli keluarga kita sendiri, bukan adik-beradik kita sendiri boleh saja menjadi lebih akrab dengan kita, lebih tahu masalah kita berbanding ahli keluarga kita sendiri.
Justeru, hubungan sedemikian itu dianggap sebagai sebuah persaudaraan di dalam Islam.
Ada banyak orang yang mengambil kesempatan atas persaudaraan. Ia tidak melunaskan sisi tanggungjawab sebuah persaudaraan Islam, malah membiarkan dan mengambil kesempatan pula atas kebaikan saudaranya.
Sungguh menarik ketika baginda Rasul s.a.w. menggambarkan tentang makna kebertanggungjawaban dalam ukhuwah itu adalah umpama jihad di jalan Allah. Nabi s.a.w. pernah menyebutkan :
السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلِةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin adalah umpama jihad di jalan Allah.” [HR Muslim]
Perkataan as-saie’ (yang berusaha membantu) itu cukup menggambarkan betapa orang yang membantu itu bukan sekali pergi bantu dan kemudian tinggalkan, tetapi as-saie’ itu dalam Bahasa Arab berdiri sebagai kata nama (al-ismu) yang mana al-ismu ini tidak terikat dengan masa dan sifat itu adalah sifat yang lazim dengan pelakunya. Secara mudahnya, ia adalah orang yang selalu pergi membantu ataupun berulang kali melakukannya.
Begitulah kita sepatutnya dengan saudara kita. Kita mencari ruang untuk membantu apa yang dapat kita bantu dengan segala kelebihan yang ada pada diri kita.
Bukan kita mencari kesempatan atas dirinya, ataupun membiarkannya, ataupun kita bersangka buruk dan mencercanya pula.
Masihkah kita ingat bagaimana teladannya Muaz bin Jabal ketika Rasul s.a.w. menyedari ketiadaan Kaab bin Malik di medan Tabuk, lalu baginda bertanya : Apakah yang dilakukan oleh Kaab?
Ya, pertanyaan seperti itu pasti akan timbul kerana baginda barangkali ingin mengetahui apa yang menghalang orang semacam Kaab itu dari menyertai perang Tabuk kali ini. Lalu ada seorang lelaki dari Bani Salamah yang menjawab bahawa Kaab sedang disibukkan oleh kain-kainnya (yakni hartanya). Jawapan semacam ini pantas dijawab semula oleh Muaz bin Jabal :
“Sungguh jelek apa yang kau katakan itu. Demi Allah, wahai Rasul s.a.w., tidaklah kami ketahui ke atas diri Kaab itu melainkan kebaikan.” [HR Bukhari Muslim]
Kaab tidak berada di situ pun, apalagi mengetahui dan meminta Muaz berhujah untuk dirinya. Tetapi itulah kesejatian dalam persaudaraan. Kalau ia tidak mampu memberikan kebaikan kepada saudaranya, sekurang-kurangnya ia tidak memberi kemudharatan kepada saudaranya. Muaz telah mengambil tanggungjawabnya dalam berukhuwah, iaitulah memelihara aib saudaranya ketika dia tidak berada bersamanya.
Itulah serendah-rendah tanggungjawab dalam ukhuwah, salamatus sodr iaitulah bersangka baik.
Kita pasti mendapati bahawa tanggungjawab ukhuwah sesama sahabat Rasul s.a.w. itu tidak hanya berhenti di titik salamatus sodr. Namun, mereka telah mencapai peringkat al-itsar, iaitulah melebihkan sahabat mereka atas diri mereka pada apa yang mereka miliki.
Penutup : Menjadi Sebenar-benar Sahabat
Ada banyak sebab untuk kita berteman dan bersahabat dengan seseorang. Namun, jadilah sebenar-benar sahabat, sebenar-benar al-akh dan al-ukht (saudara) di atas jalan Allah, yang bersedia mencurahkan bantuan apabila diperlukan walaupun tak diberitahu, yang tidak mengambil kesempatan atas saudaranya, yang tidak juga membiarkan saudaranya dalam kelaparan atau kesusahan, yang tidak meninggalkan dan membiarkan saudaranya ketika saudaranya bermasalah.
Ambillah tanggungjawab kita dalam bersaudara, dalam berukhuwah.
Tidak ada maknanya ukhuwah yang dilafazkan hanya ketika senang-senang bersama. Di waktu kesusahan atau memerlukan bantuan, di waktu kritikal, kita akan tahu dan sedar siapa sebenarnya diri kita terhadap saudara kita dan siapa pula saudara kita terhadap kita.
—————————————-
HR Bukhari Muslim
HR Muslim
The post Sedikit Sekali Sahabat Yang Boleh Diharap appeared first on Langit Ilahi.
August 5, 2016
Novel Pemburu: Prolog – Malam Berdarah
Darah. Tubuhnya lencun dengan cecair itu. Keluar daripada lengan kiri dan peha kanan. Nafas turun naik. Namun dia masih cuba mengawal diri. Mata sebentar lekat pada jasad sang isteri. Terbujur kaku tidak bernyawa, bermandi darah dengan mata masih terbuka. Pedih. Bukan pada luka yang sedang dialami, tetapi pada jiwa. Lantas dia memejamkan mata, sebentar, cuba mengumpul kekuatan dan menarik kembali fokus.
“Tidak guna menentang, Mus.” Suara mengetuk gegendang telinga. Mata kembali terbuka.
“Hari ini engkau dan keluarga akan dilenyapkan seakan-akan tidak pernah wujud sebelum ini di dunia.” Suara itu mengancam.
Bang! Bang!
Terus dia berguling ke bawah meja makan. Dua peluru melencong dari belakang dinding, hinggap pada tempat dia berlindung sebentar tadi. Tidak membazirkan masa, tangan kanan yang memegang sepucuk pistol, dihayun dan tembakan dilepaskan. Sebutir peluru melayang ke arah gerbang dapur, sebelum melencong di tengah udara.
“Hahaha.” Gelak tawa sang pembunuh menandakan tembakan tadi tidak kena pada sasaran yang dikehendaki.
“Engkau terlalu memandang tinggi kebolehan yang ada pada diri kau.”
Suasana senyap seketika, sebelum dicemari kembali dengan suara Sang Pembunuh. “Mungkin sebab itu engkau sangka, engkau mampu menumbangkan kami semua?”
Bang! Bang!
Dia segera menumbangkan meja makan. Dua peluru seperti tadi melayang dari hadapan, melencong di tengah udara, sebelum dihentikan perabot tersebut.
Bibir diketap. Dia semakin tersepit. Telinganya dapat menangkap pergerakan di luar rumah yang sedang berkumpul untuk menyerangnya daripada belakang.
“Menyerah sahajalah. Mudahkan kerja aku, Mus. Engkau tahu ini semua bakal berlaku apabila engkau membuat pilihan.”
Dia memandang kepada senjatanya. Magazin dikeluarkan. Peluru tinggal dua butir sahaja lagi. Dan dia amat yakin bahawa musuhnya tahu akan hal tersebut. Kerana dia amat mengenali pembunuh isterinya ini, yang merupakan seorang pemburu profesional. Antara yang terbaik di dunia.
Sekarang dia terkepung. Ruang hadapan dikawal oleh pemburu tersebut, manakala bahagian belakang rumahnya sudah dipenuhi pemburu-pemburu yang lain.
Dia menumbuk lantai. “Allah!” Air mata mula bergenang.
Biasanya dia tidak sebegini. Tetapi kematian isteri tercinta sangat meruntuhkan ketenangan jiwa. Dia masih tidak dapat menghilangkan bayangan akan bagaimana peluru melayang menembusi tengkorak kepala perempuan yang dicintainya. Darah tersembur, memercik membasahi wajah. Ketika itu dia tahu, bahawa pilihan yang dibuatnya satu masa dahulu, kini berjaya memburunya semula.
“Ayah?” Satu suara yang halus, menyapa.
Tiba-tiba gambaran ngeri kematian isteri, bertukar dengan wajah anaknya yang sedang bersembunyi di bawah sinki.
Anak yang masih tidak mengerti apa-apa. Wajah suci tanpa memahami situasi. Berjaya dia sambar dan bawa bersembunyi ke bahagian dapur, sebelum Sang Pembunuh memecah masuk.
Air mata yang mula mengalir membasahi pipi diseka.
Kekuatan dihimpun semula.
“Mari sini sayang.” Dia bersuara perlahan, lembut. Isyarat tangan membuatkan anaknya segera bergerak ke arahnya.
“Ummi mana?”
“Ummi tengah berehat sayang.”
“Bakri nak ikut Ummi.”
Didakap anaknya itu dengan erat. Kepala anak kecil itu diusap dengan penuh kasih. “Mungkin, kalau Allah bagi kita ikut Ummi malam ini, kita ikut ya? Tapi kalau tak, Ummi suruh kita teruskan perjuangan.”
“Perjuangan?”
“Ya sayang. Mari sini.” Anaknya diangkat ke belakang tubuh. Alas meja yang sudah tersadai di atas lantai diambil. Segera diikat anaknya pada tubuh. Kedua-dua tangan dapat dilepaskan, dan anaknya kejap tidak terjatuh.
“Selesa sayang?”
“Hem.” Anak kecil itu mengangguk lemah.
“Bakri tutup mata ya.”
“Kenapa?”
“Sebab Ayah nak kalahkan orang jahat. Mereka jahat. Bakri budak baik. Belum masanya lagi Bakri tengok orang-orang jahat ni.”
Anak yang lurus itu diam sahaja. Perlahan-lahan matanya dipejam erat.
Dia mengumpul nafas. Ketenangan dijemput. Matanya tajam memandang pintu dapur. Kemudian dia memejamkan matanya sebentar. Kedua-dua tangan rapat di atas lantai.
“Satu, dua, tiga, empat, lima. Enam campur yang di hadapan.” Perlahan dia bertutur.
“Ya Allah, permudahkanlah, jangan Engkau susahkan. Permudahkanlah, jangan Engkau susahkan.” Terkumat-kamit bibirnya mengungkap harapan.
Senjatanya diambil semula.
“Hei Jaeger.”
“Hahaha. Bagaimna? Hendak menyerah kalah?”
“Kirim salam maut aku kepada ketua.” Terus tangan kanannya dihayun. Satu tembakan dilepaskan. Peluru mula menuju ke gerbang yang menyambung antara ruang tamu dan dapur. Pada masa yang sama, dia memecut ke pintu belakang.
Pintu ditendang kuat. Tercampak.
Dua orang lelaki berada di balik dinding, sedang terjeda melihat pintu melayang, ruang peluang yang diambil segera. Pistol pada tangan kanan mendarat ke wajah yang paling hampir, pada masa yang sama tangan kiri hinggap pada pistol seorang lagi. Tangan kanan kembali ke wajah yang sama, kali ini buntut pistol menjadi santapan. Pemilik wajah terundur beberapa langkah, ruang yang diambil untuk menyelinap ke belakang individu kedua, sebelum pemilik tubuh itu dihujani peluru tiga rakannya yang lain.
Kaki kanan tangkas diangkat, menghentak tangan individu yang sedang terundur, membuatkan senjatanya terlepas. Pistol itu dicapai dengan tangan kiri, tubuh diputarkan bergerak turun merapati bumi sambil tembakan dilepaskan daripada senjata pada tangan kanan dan kiri.
Individu yang terundur tadi kini terus tumbang tidak bernyawa, dan begitulah salah seorang daripada tiga penyerang yang lain. Dua lagi berjaya mengelak. Kini sedang meniarap di atas tanah.
Salah seorang daripada mereka, perempuan, berguling dan tidak membazirkan masa menyerang balas. Peluru melayang di udara, namun ditampan dengan pistol yang dicampakkan olehnya. Pistol pada tangan kiri kini bergalih ke tangan kanan.
“Jangan berhenti tembak!” Seorang lagi penyerang sudah bangkit, kedua-dua tangannya memegang pistol, melepaskan tembakan lurus. Namun dia tangkas, membalas tembakan dan peluru-peluru saling berhentakan di udara. Pada masa yang sama, dia mendekatkan jarak antara dirinya dan penyerang-penyerang.
Pistol dibaling keras pada penyerang perempuan, menganggu sebentar pergerakannya. Manakala tangan kiri menangkap pistol pemburu di hadapannya. Tangan kanan terus melayang ke wajah penyerang itu. Sebelum tubuh berputar dan kaki kanan hinggap pada wajah yang sama. Jatuh menyembah bumi. Masa tidak dibazirkan, kaki kiri terus menghentak wajah tersebut dalam keadaan dia melangkah mendekati penyerang perempuan.
Tembakan dilepaskan bertubi-tubi, namun dia sudah siap-siap keluar daripada landasan serangan. Tangan perempuan itu ditangkap, laras senjata dihalakan kepada temannya yang sedang terbaring lemah. Dia memaksa perempuan tersebut melepaskan tembakan, menamatkan nyawa temannya itu, sebelum dia sendiri melepaskan beberapa tumbukan keras pada perut dan leher perempuan tersebut.
Perempuan itu terundur beberapa tapak ke belakang, sambil terseksa mencari nafas.
Senjata perempuan tersebut dirampas, sebelum digunakan untuk meragut nyawa tuannya.
“Celaka!”
Dia kenal suara yang sedang berteriak itu. Pada masa yang sama, dia tahu bahawa peluru pada pistol di tangannya tinggal tiga butir sahaja lagi. Sebelum wajah pembunuh isterinya muncul, dia sudah melepaskan tembakan sambil menghayunkan tangannya. Tiga tembakan.
Semuanya melayang di udara, melencong pada pintu belakang dapur, dan dia tidak menanti peluru-peluru itu melandas. Segera dia membuka langkah, berlari meninggalkan kawasan rumahnya. Menghilangkan diri ke dalam hutan berdekatan.
“Bakri dah boleh buka mata, ayah?”
“Boleh sayang, boleh.” Dia bersuara perlahan. Ketika ini, barulah dirasakan kesakitan daripada luka-lukanya. Namun dia kekal cekal dan tabah. Diharungi hutan itu. Kegelapan malam membantunya untuk menyembunyikan jejak. Ketiadaan bulan dan bintang pada malam ini membuatkan kerjanya untuk menghilangkan diri jadi lebih mudah.
“Kenapa ayah masuk dalam hutan ni?”
“Supaya orang jahat tak boleh kejar kita sayang.”
“Ummi tak ikut?”
Ketika ini air matanya mengalir kembali. Terbayang wajah Si Isteri. Namun langkahannya sedikit pun tidak terhenti. Dia pantas berlari, melepasi akar-akar pokok yang menghiasi bumi, menyelinap semakin lama semakin dalam ke dalam hutan.
“Ummi dah pergi berehat dengan Allah, sayang.”
“Kenapa Ummi tak bawa Bakri?”
“Ummi mahu Bakri teman ayah. Boleh?” Hatinya hiba melayan soalan-soalan anaknya. Pun begitu, tetap dijawab satu persatu soalan si cilik itu.
“Boleh. Bakri sayang ayah. Bakri pun sayang ummi.”
“Soleh Bakri. Ayah sayang Bakri dan Ummi.” Suaranya mula sebak.
Hari ini memang tragedi.
Jaeger kata, dia memilih akibat ini. Ya, dia tahu lambat laun, hal sebegini akan berlaku. Dan dia telah buat yang terbaik untuk menjauhkan diri dan keluarganya daripada kejadian hari ini. Namun tetap sejarah lamanya mengejar. Dia membayar dengan harga yang mahal.
Dia sedar kini bahawa dia tidak boleh sekadar melarikan diri, dan berharap orang lain menyelesaikan kerjanya.
Dia faham, bahawa dia ada misi yang besar kini. Dia yang perlu melakukannya.
“Bakri tidur dulu ya sayang. Kita masih nak kena bergerak jauh.”
“Baik ayah.” Sekurang-kurangnya suara itu memujuk jiwanya yang kini lara.
Dia menetapkan matlamat.
Kesatuan Pemburu akan dia tumbangkan dengan tangannya sendiri.
Dia terus pantas bergerak. Semakin lama semakin jauh.
******
Jaeger bangun. Mujur dia sempat meniarap dan berguling pada saat-saat akhir. Sekiranya dia hanya meniarap sahaja sebentar tadi, peluru ketiga akan hinggap pada kepalanya.
Mustafa, atau kod namanya ialah Muse, ternyata telah membuat kiraan pantas, sebelum melepaskan tembakan akhir tadi.
“Atau, sebelum dia memecahkan pintu belakang, dia sudah buat semua kira-kira untuk strategi melarikan diri ini? Celaka dia. Walau selepas 5 tahun meninggalkan ini semua, dia masih handal dan tidak boleh dipandang rendah.” Jaeger membersihkan pakaiannya dengan menepuk-nepuk tubuh. Senjatanya dimasukkan kembali ke dalam sarungnya, yang tergantung pada pinggang.
Melangkah keluar, pandangannya disajikan dengan anak-anak buahnya yang bergelimpangan.
Dia mengetap bibir.
“Celaka, celaka, celaka.” Tangannya mengepal penumbuk. Geram.
Kemarahannya kemudian diganggu dengan bunyi getaran, datang daripada alat komunikasi miliknya. Segera Jaeger menjawab panggilan.
“Bagaimana?” Suara dari sebelah sana kedengaran.
“Negatif. Dia berjaya melarikan diri.”
Diam.
Kemudian panggilan itu tiba-tiba terputus.
Jaeger melepaskan nafas panjang. Dadanya bergetar dek kerana terlalu marah.
“Celaka!” Dia menyepak beberapa kali mayat anak buahnya yang hampir dengan pintu dapur.
Dia benar-benar rasa terhina malam ini.
Bukan sahaja dia gagal melupuskan target, tetapi reputasinya sekaligus rosak.
******
“Jaeger gagal.”
“Untuk setiap sesuatu, ada waktu untuk pertama kali.”
“Heh. Bagaimana sekarang?”
“Mungkin, berbanding kita habiskan aset kita mencari Muse, sebaiknya kita teruskan gerak kerja seperti biasa.”
“Tidakkah ini akan menganggu kita kelak?”
“Ketika itu, kita tamatkan dia.”
“Engkau memandang rendah terhadap dia. Engkau lupakah bahawa dia antara pemburu terhandal yang kita ada? Strategis terhebat yang pernah kita jumpa? Masa adalah senjatanya. Kini kita akan benar-benar menjadi sasarannya.”
“Apakah engkau tidak yakin dengan institusi ini?”
Diam.
“Kita dibina atas keberanian untuk mencorakkan arus dunia ini. Kita mengawal semuanya. Jangan rasa tergugat dengan sedikit gangguan. Sudah berapa banyak cabaran yang kita lalui selama ini dan lihatlah di mana para pencabar kita, di mana pula kita hari ini?”
“Jangan terlalu yakin. Lihat apa yang berlaku hari ini.”
“Heh, hanya sebuah anomali.”
“Aku sekadar mengingatkan.”
“Kita tunggu dan lihat. Kekalkan ketenangan. Fokus dengan gerak kerja yang lebih besar. Sudah, apabila dia muncul kembali kelak, kita akan uruskan dia. Buat masa ini, teruskan aktiviti-aktiviti seperti biasa.”
Alat komunikasi dimatikan.
The post Novel Pemburu: Prolog – Malam Berdarah appeared first on Langit Ilahi.
August 2, 2016
Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Kepenatan & Kekecewaan.
Kita semua tidak tahu bila kematian akan datang menyambar kita, membawa kita keluar daripada kehidupan di dunia ini, untuk pulang bertemu dengan Allah SWT. Ketiadaan pengetahuan yang jelas akan bila tarikh kematian kita mempunyai perasaan yang bercampur baur. Antara merasai bahawa perjalanan kita di atas dunia ini panjang, atau pun pendek.
Jika kita berfikir dengan mendalam, bersama-sama fokus akan impak sebuah kematian kepada seorang manusia, pasti kita akan terasa betapa pendeknya kehidupan ini. Namun, dunia itu tercipta dengan 1001 godaan di dalamnya, 1001 perkara yang mampu membuatkan kita terlupa akan pengakhiran kita, lantas tidak sedikit juga yang akhirnya merasakan bahawa perjalanannya di atas dunia ini merupakan sebuah perjalanan yang panjang.
Sebagaimana orang yang melalui sebuah perjalanan yang panjang, dia akan terasa lelah dan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika apa yang diusahakan sepanjang perjalanan itu ialah perkara yang sama.
Begitulah jua orang yang berusaha sepanjang kehidupannya untuk melawan godaan syaitan, menjauhi maksiat dan keingkaran, dan apabila terjatuh, sering berusaha untuk naik kembali, berkali-kali di dalam kehidupannya.
Kepenatan dan kelelahan akan menyapanya.
Kekecewaan akan menjadi temannya.
Putus asa akan menjadi petunjuk arahnya.
Penat & Kecewa Itu Lumrah
Rakan-rakan, satu perkara yang perlu kita terima ialah, rasa penat dan kecewa itu ialah perasaan-perasaan lumrah bagi seorang manusia. Sebagai manusia penuh kekurangan dan kelemahan, semestinya wujud perasaan penat dan letih, kecewa dan putus asa, lebih-lebih lagi bagi kita yang setelah berulang kali berusaha, masih tidak kunjung nampak perubahan hasil usaha kita.
Namun jangan biarkan kepenatan dan kekecewaan itu menunggang kita. Sehingga perasaan-perasaan itu menjadi petunjuk arah bagi perjalanan kita yang seterusnya.
Perasaan-perasaan itu perlu kita lawan.
Mulakan dengan memujuk diri kita, bahawasanya Allah SWT itu Maha Tahu akan kelemahan dan kekurangan kita. Lantas antara seruan Allah SWT kepada hamba-hambaNya adalah jangan berputus asa dengan rahmatNya.
Ya, jangan berputus asa.
“Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.” Surah Az-Zumar ayat 53.
Dan perasaan putus asa itu sendiri, yang membuatkan kita hingga tidak mahu bangkit semula, ialah perbezaan antara orang yang masih ada keimanan di dalam dirinya, dan yang telah tiada keimanan di dalam dirinya.
“Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat.” Surah Al-Hijr ayat 56.
Resmi orang yang penat, maka dia berehat untuk mengumpul tenaga. Maka tidak salah, kita berehat sebentar, cuba melihat pada sisi yang lain, mungkin kita keluar daripada suasana yang kita sedang berada, bertemu dengan orang-orang yang soleh meminta nasihat, jika ada kemampuan kita pergi menunaikan umrah atau haji, mungkin menonton rancangan-rancangan atau membaca buku-buku yang boleh memberikan kita semangat untuk bergerak kembali.
Yang penting, jangan berputus asa.
Dosa Itu Ialah Ujian Kepada Kita, Dan Kita Akan Diuji Sebelum Diberikan Syurga
Sesungguhnya rakan-rakan, kehidupan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini adalah kehidupan yang teruji. Kita akan diuji dengan pelbagai ujian. Dan ramai yang menyangka bahawa ujian itu sekadar dalam bentuk bencana, kemalangan, kekurangan harta dan sebagainya.
Namun hakikatnya, dosa itu juga ialah ujian. Syaitan dan nafsu itu menjadi ujian kepada kita, lantas, dosa-dosa yang kita lakukan itu juga ialah ujian kepada diri kita.
Ujian untuk melihat sejauh mana kita berusaha untuk membersihkan diri dan bergerak kembali kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Firman Allah SWT lagi: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
Sesungguhnya Allah SWT itu memberikan ujian untuk kita sendiri menyedari akan tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Dengan teruji, barulah kita menyedari hakikat keimanan kita. Kuatkah? Lemahkah? Ada yang perlu diperbaiki kah?
Tanpa ujian, kita akan selesa, lalai dan alpa. Diuji akan menyebabkan kita dapat melihat, apakah diri kita berada dalam kalangan mereka yang peka hatinya, atau yang tidak kisah langsung dengan apa yang dilarang oleh Allah SWT.
Sekiranya ditanya apakah kita mahu masuk ke syurga atau neraka, sudah pasti jawapan kita ialah mahu masuk ke syurga. Maka jalan ke syurga itu ditaburi dengan ujian-ujian, godaan-godaan, kerana syurga itu penuh dengan kenikmatan dan kekal abadi kita di dalamnya. Hanya yang layak mendapat rahmat Allah SWT sahaja akan memperolehinya.
Bagaimana kita hendak mendapatkan rahmat Allah SWT?
Dengan menunjukkan kesungguhan kita. Melepasi ujian-ujian yang datang. Mengatasi putus asa. Lagi dan lagi. Lagi dan lagi. Sesungguhnya Allah memerhati.
Muhasabah Kesementaraan Hidup
Ubatilah juga penat dan lelah kita dengan bermuhasabah akan kesementaraan hidup.
Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan, apakah kita sedar betapa sementaranya hidup? Pernahkah kita cuba membuat ukuran? Mari bersama-sama dengan saya, kita cuba membayangkan bersama-sama kesementaraan hidup.
Allah SWT berfiman bahawa orang yang masuk ke dalam syurga dan neraka itu akan kekal abadi di dalamnya.
Firman Allah SWT: “Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.” Surah At-Taubah ayat 21-22.
Firman Allah SWT: “Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah ayat 39.
Selama-lamanya ini atau kekal, bermaksud masa kita berada di dalam syurga dan neraka itu tidak akan habis. Akan berterusan. Hingga bila-bila. Jadi, bayangkan selama-lamanya ini sebagai pembaris yang tidak akan berhenti memanjang.
Bayangkan pula kehidupan kita. Waktunya terhad. Hentinya ketika mati. Katalah kita akan mati pada umur 60 tahun. Bayangkan kehidupan kita dalam bentuk pembaris yang tidak akan memanjang.
Ukuri kedua-duanya. Letak sebelah menyebelah di dalam minda kita.
Pembaris yang tidak berhenti memanjang itu akan terus memanjang dan memanjang. Apa akan terjadi kepada pembaris yang satu lagi? Secara perbandingan, pembaris yang satu lagi, yang mewakili kehidupan kita itu akan semakin mengecil dan mengecil.
Namun pembaris yang mewakili selama-lamanya tadi itu akan terus memanjang dan memanjang. Pembaris mewakili kehidupan kita akan kelihatan semakin mengecil dan mengecil, kerana kepanjangannya tidak berubah semenjak awal tadi.
Bayangkan lagi, jangan berhenti, pembaris yang memanjang tadi terus memanjang. Apa akan jadi akhirnya pada pembaris yang mewakili kehidupan kita? Akan jadi terlalu kecil, semakin mengecil, dan kemudian lenyap.
Begitulah sementaranya kehidupan kita di dunia, hendak dibandingkan dengan kehidupan kekal abadi di akhirat sana. Sungguh sementara. Namun kesementaraan yang teramat sementara itu, yang menjadi asbab kepada kebahagiaan atau kesengsaraan kita selama-lamanya di akhirat kelak.
Maka apalah sangat keleitihan dan kepenatan kita di dunia ini?
Ya, tidak salah letih dan penat, itu lumrah. Namun jangan sampai ianya menyebabkan kita terhenti. Sungguh rugi.
Bila kita memahami perkara ini, fahamlah kita mengapa Allah SWT menekankan perihal masa, dan mengaitkannya dengan kerugian manusia.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
Kerana masa kita di atas muka bumi ini sangat sedikit, namun sangat berharga kerana ia bakal menjadi asbab kepada kita sama ada mendapat rahmat Allah SWT atau bukan, kemudian seterusnya menjadi asbab kepada kemasukan kita ke syurga, atau ke neraka.
Dan masa yang teramat pendek inilah yang perlu kita hargai, yang perlu kita usahakan bersungguh-sungguh.
Sebentar sahaja.
Sebentar kita berpenat lelah berbuat kebaikan, berusaha untuk membawa perubahan kepada diri, berkali-kali bangkit kembali, Allah SWT membalas dengan syurga yang selama-lamanya. Berbaloi sangat-sangat.
Sebentar yang teramat kita habiskan dengan kelalain dan kesenangan dalam kemaksiatan dan keingkaran, balasannya ialah neraka yang menyeksakan, kekal abadi kita di dalamnya, na’udzuhibillahi min dzalik. Sangat-sangat tidak berbaloi.
Setiap Kesusahan Itu Diiringi Kesenangan
Allah SWT berfirman:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Asy-Syarh ayat 5 & 6.
Ramai yang membaca ayat ini dan menterjemahkannya sebagai ‘setiap kesukaran itu selepasnya ada kesenangan’. Namun terjemahan sebenar ialah ‘setiapm kesukaran itu disertai kemudahan’.
Bermakna, Allah SWT apabila Dia turunkan kepada kita ujian-ujian, hakikatnya di celah-celah ujian itu, semasa kita sedang gigih mengharungi ujian itu, di sana ada kemanisan-kemanisannya, kemudahan-kemudahannya, yang tidak akan dapat kita rasai melainkan dengan melalui ujian tersebut.
Sukar hendak saya ceritakan di sini apa yang saya maksudkan.
Namun, saya yakin sekiranya rakan-rakan pembaca meneliti perjalanan masing-masing dalam mengharungi ujian dan cabaran, pasti ada kenangan-kenangan manis, yang terselit di celah-celahnya.
Begitulah kita dalam mengharungi cabaran untuk membawa perubahan kepada diri, untuk kembali kepada Allah SWT. Sememangnya kepenatan, kekecewaan, akan hadir. Tetapi sekiranya kita renungi kembali perjalanan kita, pasti kita lihat ada banyak kebaikan yang telah berlaku dan apakah kita hendak meninggalkan jalan ini hanya kerana kita penat dan letih?
Contohnya, seorang hamba Allah SWT yang berusaha hendak meninggalkan perbuatan melancap dan menonton video lucah. Selepas 30 hari berjaya meninggalkannya, dek tergoda dengan hawa nafsu, dia melakukan perbuatan-perbuatan itu semula. Lantas rasa penat dan kecewa hinggap pada dirinya. Namun sekiranya dia mengambil masa sebentar, dan melihat ke belakang, 30 hari yang telah dia lalui itu, dia akan bertemu dengan kegembiraan-kegembiraan.
Gembiranya dia saban hari dapat meninggalkan perbuatan tersebut, hatinya terasa lebih lapang dan tubuhnya terasa lebih ringan untuk berbuat kebaikan. Mungkin mindanya menjadi lebih bersih selepas menjauhi perkara-perkara tersebut lantas fokusnya berubah kepada perkara-perkara yang lebih membahagiakan dan menggembirakan jiwa. Mungkin dalam usahanya meninggalkan perkara tersebut, dia berjaya berkenalan dengan orang-orang yang baik, yang membuatkan dirinya rasa selesa dan tenang.
Melihat semula semua ini, sepatutnya seseorang itu tidak akan jadi untuk berputus asa.
Dia akan melawan kepenatannya. Akan melawan kesukarannya.
Dia akan bangkit semula!
Begitulah juga sepatutnya kita.
Jangan berputus asa rakan-rakan.
Apa yang selalu kita kata dan ulang-ulangkan?
Kalaulah kita tidak berjaya hidup dalam keadaan berjaya berubah, biarlah kita mati dalam keadaan kita sedang bersungguh-sungguh melakukan perubahan.
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Memerhati, lagi Adil PenilaianNya.
Muhasabah.
*Ini ialah artikel terakhir daripada siri Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan yang disiarkan secara online di LangitIlahi.Com. InsyaAllah versi buku, dengan banyak bab tambahan lagi, akan diterbitkan oleh PTS tidak lama lagi. Jika anda berminat mendapatkannya, nantikan ia muncul di pasaran kelak insyaAllah. Terima kasih atas sokongan dan doa. Semoga artikel-artikel ini memberikan manfaat dan impak kepada kehidupan kita semua.
The post Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Kepenatan & Kekecewaan. appeared first on Langit Ilahi.
July 31, 2016
Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Ibrah Daripada Sejarah.
Manusia yang tidak berlajar daripada sejarah, tidak akan mampu membawa peningkatan untuk masa hadapan. Kerana sebelum kita telah berlalu manusia-manusia, yang juga diuji oleh Allah SWT. Ada di kalangan mereka yang berjaya, ada di kalangan mereka yang akhirnya kecundang. Maka untuk memberikan diri kita kekuatan yang lebih, tidak dapat tidak, hendaklah kita belajar daripada mereka, agar kita dapat lakukan apa yang orang-orang berjaya lakukan, dan agar dapat kita jauhi apa yang orang-orang gagal laksanakan.
Rakan-rakan yang dimuliakan, sebelum saya mengorak langkah lebih jauh di dalam bab ini, suka saya ingin menyatakan bahawa, perkongsian-perkongsian di dalam bab ini saya ambil terus daripada Al-Quran dan hadith. Menandakan bahawa, semua peringatan ini, diberikan terus oleh Allah SWT dan RasulNya, tanda kasih sayangNya kepada kita.
Dia telah memberikan kita peringatan dengan memberikan kita kisah-kisah untuk kita ambil pengajaran daripadanya. Disematkan di dalam Al-Quran, disampaikan melalui hadith Rasulullah SAW, supaya kita menjadi ummat yang belajar, ummat yang mengambil iktibar dan pengajaran. Betapa kasihnya Allah SWT. Tidaklah Dia terus menghukum kita dalam keadaan kita jahil. Telah Dia sampaikan kepada kita peringatan dan pengajaran terlebih dahulu.
Maka apakah masih patut ada di kalangan kita berfikir, bahawa tidak adil untuk Allah SWT memberikan seksaan dan azab, selepas Dia menunjukkan kasih sayangNya yang teramat luas sebegini?
Sesuatu untuk kita ambil iktibar.
Ayuh, kita cuba perhatikan beberapa kisah untuk menjadi pengajaran.
Keangkuhan Anak Nuh & Tiada Yang Dapat Menyelamatkannya
Di dalam Al-Quran, Nuh AS dinyatakan oleh Allah SWT sebagai Rasul yang telah berdakwah selama 950 tahun.
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah dia dalam kalangan mereka selama 1000 tahun kecuali 50 tahun(bermakna, 950 tahun).” Surah Al-Ankabut ayat 14.
Dalam perjuangan dan dakwah baginda sekian lama itu, tetap tidak ramai yang beriman. Kaumnya kekal ingkar, bahkan mencabar-cabar agar diturunkan azab. Dan antara yang membelakangi baginda ialah anak baginda sendiri.
Apabila tiba masanya, setelah lama Allah SWT memberikan peluang dan mempamerkan kasih sayangNya kepada kaum Nuh, maka sampailah waktu pembalasan. Nuh AS diarah membina kapal, dan tindakan itu menjadikan kaumnya lebih galak menghina baginda, kerana dikatakan itu perbuatan orang gila – membina kapal di atas daratan, jauh daripada lautan.
Namun apabila sampai harinya, Allah SWT mengarahkan langit dan bumi agar mengeluarkan air yang banyak, sehingga terjadinya bah terbesar dalam sejarah kehidupan insan.
Dalam keadaan huru hara itu, Nuh dan sebilangan kecil kaumnya yang beriman, selamat di atas bahtera yang dibinanya. Ketika kaumnya tenggelam, Nuh dan orang-orang yang beriman terapung selamat.
Ketika ini, Nuh AS dapat melihat anaknya terkapai-kapai. Maka diseru anaknya supaya naik bersamanya.
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.” Surah Hud ayat 42.
Tetapi anak baginda degil. Walau dalam keadaan sedemikian, egonya menggunung tinggi. Maka dijawab seruan ayahandanya itu:
“Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Surah Hud ayat 43.
Jawapan angkuh itu dibalas oleh Nabi Nuh AS:
“Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” Surah Hud ayat 43.
Binasalah kaum Nuh ketika itu, termasuk anaknya sendiri. Terseksa di penghujung hayat mereka dek kerana menentang Allah SWT, degil dan tidak mahu menyambut kasih sayangNya, dan bakal terseksa pula di akhirat kelak, kerana mati dalam keadaan derhaka.
Hatta Nabi Nuh tidak mampu menyelamatkan anaknya sendiri daripada kemurkaan Allah SWT.
“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.” Surah Hud ayat 45-46.
Dan lihatlah apa tindakan seorang Rasul ketika itu, walaupun kesalahannya nampak tidak sebesar mana – berdoa untuk orang-orang yang telah mati di dalam kekufuran – terus baginda pantas memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT.
“Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi.” Surah Hud ayat 47.
Berbeza sungguh bagaimana sikap orang-orang yang beriman, dengan sikap mereka yang bukan. Kaum Nuh, 950 tahun mendapat dakwah dan seruan, diberikan masa dan peringatan, kekal mengabaikan kasih sayang Allah SWT kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Nabi Nuh AS, yang kesalahannya hanya dek kerana kesedihan baginda sebagai seorang bapa, tidak sedikit pun berlengah untuk memohon ampun kepadaNya.
Rugilah Anak Nuh dan kaumnya, beruntunglah orang-orang yang menyambut kasih sayang daripadaNya.
Yunus AS & Taubat Baginda Serta Kaumnya
Rakan-rakan yang saya muliakan, kita bergerak pula kepada Nabi Yunus AS. Baginda adalah seorang nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk sebuah kaum di tempat bernama Ninawa.
Setelah berdakwah buat sekian waktu, kaum baginda tetap tidak mahu menerima seruan. Nabi Yunus AS mengancam mereka dengan azab Allah SWT. Tetap mereka tidak bergerak daripada pendirian mereka.
Namun sebelum Allah SWT mengarahkan Nabi Yunus AS meninggalkan kaumnya untuk diazab, Nabi Yunus AS terlebih dahulu telah keluar meninggalkan mereka, dek kerana perasaan marah yang memenangi jiwanya.
Ini adalah satu kesalahan untuk baginda di sisi Allah SWT, kerana telah meninggalkan kaumnya sebelum diarahkan.
Maka apabila Nabi Yunus naik ke kapal, Allah SWT mengaturkan yang kapal tersebut terumbang-ambing di lautan, dan perlu dikurangkan muatannya. Lantas berlaku undian untuk membuang salah seorang penumpang. Nama Nabi Yunus naik buat beberapa kali.
Pada saat ini, Nabi Yunus telah perasan akan kesalahan yang dilakukan, dan memahami bahawa apa yang sedang berlaku ialah hukuman Allah SWT kepada baginda.
Apabila baginda terjun ke laut, terus tubuhnya disambar Ikan Nun(ikan yang besar), dan duduklah baginda di dalam perut ikan tersebut.
Baginda mengambil peluang berada di dalam perut ikan tersebut untuk bersegera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT, sebagaimana yang direkodkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.
Kisah yang masyhur tersebar di kalangan masyarakat kita ialah Nabi Yunus terperangkap di dalam perut ikan paus itu selama 40 hari atau lebih. Namun, sekiranya kita lihat daripada sudut ilmu sains dan struktur perut ikan paus, kita memahami bahawa tiada manusia yang akan mampu hidup selama itu di dalamnya. Kerana tiada oksigen yang cukup di dalam perut Ikan Paus untuk seorang manusia hidup di dalamnya buat sekian lama, tambah-tambah asid di dalam perut binatang tersebut untuk mencerna makanannya, tersangat kuat sehingga memustahilkan keadaan tersebut berlaku.
Maka apa yang saya percaya ialah, Nabi Yunus tidak duduk di dalam perut ikan paus itu terlalu lama. Apabila dia memohon keampunan daripada Allah SWT, Allah SWT tidak lewat menyelamatkan baginda. Lantas terus Allah SWT menyelamatkannya.
Ini dirasakan lebih tepat bagi saya, tambah-tambah selepas ayat 87 tadi, Allah terus membicarakan perihal pengampunanNya kepada Nabi Yunus pada ayat 88, menunjukkan kepantasan situasi ini berlaku.
“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” Surah Al-Anbiya’ ayat 88.
Kisah ini sering saya ulangi untuk menggambarkan akan bagaimana pantasnya Allah SWT dalam memperbaiki keadaan seseorang apabila seseorang itu berusaha mengubah keadaan dirinya, daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik.
Dan tambahan untuk kisah Nabi Yunus ini, apabila baginda pulang kepada kaumnya, baginda melihat kaum baginda telah beriman, kerana apabila azab Allah SWT semakin hampir jatuh ke atas mereka, kaum Nabi Yunus telah memilih untuk bertaubat dan menyesal.
“Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).” Surah Saaffat ayat 147-148.
Daripada kaum yang derhaka, mereka menjadi kaum yang beriman. Bertaubat dan melakukan perubahan. Maka Allah kurniakan kaum tersebut kesenangan.
Bahkan, Kaum Nabi Yunus AS ini dipuji oleh Allah SWT kerana perubahan yang mereka lakukan ini.
“Maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).” Surah Yunus ayat 98.
Ya, daripada kaum yang derhaka, Allah SWT angkat sebagai kaum yang menjadi contoh kepada semua, sebagai saranan kepada orang ramai agar bertaubat sebelum diazab oleh Allah SWT.
Pengajaran daripada peristiwa ini juga antaranya ialah, apabila kita mula bertaubat dan membersihkan diri, melakukan perubahan, maka di sana ada janji Allah SWT untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik daripada yang sebelumnya.
Maha Kasih Allah SWT yang berkongsikan kisah ini kepada kita.
Antara Musa & Firaun: Perbezaan Ketara
Musa AS adalah antara Nabi & Rasul yang masyhur. Kisahnya disebut banyak di dalam Al-Quran, sebagai pengajaran dan iktibar kepada Rasulullah SAW dalam menggerakkan perjuangan dan dakwah baginda. Begitulah juga sepatutnya, perjalanan Nabi Musa AS menjadi tauladan buat kita.
Sebelum itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Syaari Rahman, daripada Ibrah Paradigm, seorang guru, seorang sahabat dan seorang abang, yang banyak membantu saya mengumpulkan bahan-bahan yang saya kongsikan di dalam bab ini.
Beliau telah dijemput memberikan penyampaian bertajuk: “Ibrah Daripada Mereka Yang Bertaubat & Mereka Yang Enggan” di Seminar Untuk Kita Pendosa 2016, anjuran Langit Ilahi. Daripada bahan-bahan penyampaian beliau, saya dapat mengarang bab ini dengan baik.
Kita sambung perihal Nabi Musa AS.
Antara yang menarik bagi kisah Nabi Musa AS ialah, baginda pernah membunuh. Hal ini direkodkan di dalam Al-Quran.
“Dan masuklah dia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya)” Surah Al-Qasas ayat 15.
Dan perhatikan tindakan Nabi Musa AS selepas itu:
“Dia merayu (dengan sesalnya): Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku. (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dia merayu lagi: Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah.” Surah Al-Qasas ayat 16-17.
Begitulah seorang yang ada keimanan. Hatinya peka dengan kesalahan. Bukannya seperti terbius, tidak rasa bersalah.
Apakah yang berlaku kepada Nabi Musa AS selepas itu? Diaturkan oleh Allah SWT baginda sekali lagi berhadapan dengan situasi yang sama, namun akhirnya tidak melakukannya semula. Dan kali ini pegawai-pegawai Firaun ingin menangkapnya, dan baginda lari. Aturan Allah SWT, untuk baginda akhirnya bertemu dengan Nabi Syuaib di Madyan, dan kemudian diangkat menjadi Nabi untuk menentang ayah angkatnya – Firaun.
Maka bagaimana pula dengan Firaun?
Firaun telah membuat kemungkaran yang terlalu banyak. Dia telah membunuh banyak nyawa tidak berdosa.
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” Surah Al-Qasas ayat 4.
Nabi Musa yang membunuh satu nyawa, merasai penyesalan yang teramat. Manakala bapa angkatnya telah membunuh terlalu banyak nyawa tidak berdosa, bahkan menzalimi pula kebanyakan rakyatnya, tetap tidak mempunyai perasaan apa-apa.
Apabila Nabi Musa AS menjadi Nabi dan pulang untuk menyeru Firaun ke arah kebenaran, Firaun tetap degil dan bersikap angkuh.
“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia diseru oleh Tuhannya di ‘Wadi Tuwa’ yang suci. (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya). Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar. Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah). Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.” Surah An-Nazi’at ayat 15-24.
Ya, bukan sahaja Firaun tidak menerima dakwah Nabi Musa, bahkan dia mengakui bahawa dirinya ialah Tuhan yang paling tinggi.
Begitulah Firaun dengan keegoannya, bahkan selepas Nabi Musa menunjukkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda, Firaun tetap tidak mahu beriman dan percaya.
“Kami berfirman kepadanya: Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan. Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada. (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa. Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal.” Surah Toha ayat 68-71.
Setelah pertembungan antara Nabi Musa dan Firaun berjalan buat sekian waktu, Firaun mengambil keputusan untuk menghapuskan Nabi Musa dan para pengikut baginda. Maka Nabi Musa AS membawa kaumnya lari, tetapi Allah mengaturkan mereka tersesat di hadapan Laut Merah.
Apabila Firaun semakin hampir, Allah mengarahkan Nabi Musa memukul laut merah itu, lantas ianya terbelah membentuk jalan. Nabi Musa dan kaumnya pergi menyeberang. Sambil dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya.
Apabila selesai sahaja Nabi Musa dan kaumnya menyeberang, laut terus terkatup semula, mengkambus Firaun dan bala tenteranya di tengah lautan.
Ketika sedang bersabung nyawa, Firaun pun menyatakan penyesalannya dan memohon ampun. Namun malang 1001 kali malang, Allah SWT tidak menerima taubat orang-orang yang sedang sakarat.
Lihatlah peristiwa ini direkodkan Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai pedoman buat kita semua:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah). (Allah berfirman): Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan? Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” Surah Yunus ayat 90-92.
Ya, begitulah pengakhiran seorang Firaun.
Mati dalam keadaan hina sekali. Bahkan Allah SWT membiarkan jasad Firaun kekal hingga ke hari ini untuk ditatap orang, agar semua mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap dirinya.
“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” Surah Ali-Imran ayat 137.
Semoga kita mengambil iktibar dan pengajaran.
Yusuf AS & Bilik Yang Terkunci: Tiada Alasan Buat Kita
Kisah yang menarik ini memang tidak pernah saya tidak kongsikan, apabila berbicara berkenaan taubat dan keampunan. Kisah Nabi Yusuf AS, yang juga terkenal sebagai manusia paling tampan. Akan bagaimana baginda digoda oleh ibu angkat baginda sendiri, yang disebut di dalam Al-Quran sebagai mar’ah Al-Aziz(perempuan Al-Aziz), atau popular di kalangan masyarakat kita dan israiliyyat sebagai Zulaikha.
Apa yang menarik sangat berkenaan kisah ini ya rakan-rakan?
Ikuti firman Allah SWT berikut:
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” Surah Yusuf ayat 23.
Imra’ah Aziz ini tidak tertahan lagi nafsunya, hingga dia memanggil Yusuf masuk ke biliknya, dalam keadaan dirinya berhias dengan hiasan yang menggoda, kemudian dikuncinya bilik itu, lantas cuba untuk menjerumuskan Yusuf AS ke kancah maksiat.
Dengan bilik yang telah terkunci, dan tiada tempat untuk Yusuf AS dapat melarikan dirinya, di hadapannya pula perempuan yang sudah berhias cantik lagi menggoda, apakah tindakan Yusuf AS?
Apakah dia berkata: “Nak buat macam mana, bilik pun sudah terkunci. Rezekilah ni.”
Tidak. Dia tidak berkata begitu.
Yusuf AS pantas menyebut: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”
Dan apakah Yusuf AS sekadar menyebut begitu sahaja?
Sebagaimana kadang ada antara remaja yang nakal, apabila melihat sesuatu yang tidak syara’, mulutnya menyebut astaghfirullah, tetapi matanya tetap terus melihat?
Yusuf AS bukan begitu.
Allah SWT berfirman lagi:
“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu.” Surah Yusuf ayat 25.
Allah SWT mencatatkan bahawa, walaupun Yusuf AS tahu yang pintu di dalam bilik itu telah tertutup, Yusuf AS tetap berlari ke arah pintu tersebut untuk mengelakkan dirinya dari diterkam oleh Imra’ah Aziz. Yusuf AS mengelak terkaman itu agar dirinya tidak tewas dengan hawa nafsunya.
Dilawan hawa nafsu itu sekuat mungkin, sesungguh mungkin, dengan berlari menjauhi Imra’ah Aziz, walaupun dia tahu bahawa pintu telah tertutup dan terkunci.
Inilah tindakan seorang hamba yang takutkan Allah SWT, mengatasi keseronokan untuk mengisi hawa nafsunya sendiri.
Allah SWT menyatakan bahawa Yusuf AS sedar yang dirinya bernafsu juga kepada Imra’ah Aziz, dek kerana Imra’ah Aziz sudah berhias dengan perhiasan yang menggoda. Firman Allah SWT:
“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” Surah Yusuf ayat 24.
Namun nafsunya itu dilawan, pertama dengan sebutannya pada ayat 23 tadi, dan kedua dengan tindakannya yang berlari ke arah pintu sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 25 Surah Yusuf.
Ini benar-benar patut menjadi pengajaran buat kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba dan godaan untuk menderhakaiNya.
Kadangkala memang, suasana nampak tidak menyebelahi kita, orang-orang sekeliling nampak bukan sahaja tidak membantu bahkan seperti makin mahu menjahanamkan kita, tetapi itu bukan alasan.
Usaha hingga ke akhirnya.
Usaha sehingga tidak ada ruang lagi untuk berusaha.
InsyaAllah, yakinlah, di hujung sana ada bantuanNya. Jika tidak di dunia ini kita berjaya, paling kurang kelak bila kita pulang bertemu dengan Allah SWT, kita pulang dengan usaha-usaha kita yang sangat bersungguh-sungguh itu.
Bayang-bayangkan antara Nabi Yusuf AS di dalam bilik terkunci, dengan keadaan kita yang sedang bertarung dengan syaitan masing-masing.
Usaha sehingga ke akhirnya rakan-rakan.
Jangan berputus asa.
Jangan beralasan.
Lawan!
Pembunuh Yang Telah Membunuh 100 Orang
Kisah terakhir yang saya mahu bawakan ini adalah kisah yang sering saya bawa dalam pelbagai penyampaian saya berkenaan taubat dan usaha untuk melaksanakan perubahan. Ianya adalah kisah yang diceritakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW, sampai kepada kita untuk dijadikan pengajaran.
Daripada Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Dulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang membunuh sembilan puluh sembilan orang, hingga dia bertanya tentang orang yang alim di kalangan penduduk bumi. Mereka menunjuk kepada seorang abid (ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatanginya dan berkata bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Abid tadi berkata: Tidak. Orang itu lantas membunuhnya, sehingga genap menjadi seratus orang. Kemudian dia bertanya lagi tentang penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia berkata kepadanya bahwa dia telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: Ya! Dan siapa yang boleh menghalang antara kamu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, karena di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah. Beribadahlah bersama mereka, dan jangan kembali ke negerimu karena negerimu adalah negeri yang jelek. Kemudian orang itu pergi tapi di tengah-tengah perjalanan ia meninggal. Sehingga malaikat rahmat dan malaikat azab saling berselisih tentangnya. Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah. Malaikat azab berkata: Dia belum beramal soleh sama sekali. Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam wujud manusia. Mereka (kedua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: Ukurlah antara dua negeri tersebut. Mana yang lebih dekat (jaraknya dengan kedua negeri itu) maka itulah lebih berhak. Mereka kemudian mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahawa dia (orang yang mati itu) lebih dekat ke negeri yang baik. Maka malaikat rahmat mengambilnya.” Hadits riwayat Bukhari dan Muslim.
Beberapa pengajaran daripada kisah ini, antara yang kita boleh ambil ialah:
Usaha seorang pendosa yang bersungguh-sungguh hendak mencari jalan pulang. Walaupun dia sendiri tahu, dosanya terlalu banyak(dosa membunuh bukan kecil), bahkan apabila dia dapat bertemu Si Abid, dia dinafikan peluangnya untuk bertaubat dan telah membunuh Abid tersebut, dia tetap tidak berputus asa kemudiannya. Dia teruskan lagi perjalanan mencari jalan pulang.
Apabila dia dapat bertemu Si Alim pula, dia bukan disuruh terus bertaubat, bahkan dicadangkan agar pergi ke sebuah daerah yang lain. Yakni dia perlu berjalan jauh lagi. Apakah dia mengeluh? Apakah dia akhirnya berputus asa dan malas? Tidak. Dia bergerak, keluar dari kampung asalnya untuk ke daerah tersebut, semata-mata untuk bertaubat.
Walaupun kita perhatikan, bahawa masuknya hamba Allah ini ke dalam syurga adalah seperti semata-mata kerana nasib, yakni kerana dia mati hampir dengan daerah kebaikan, tetapi kita perlu perhatikan satu perkara yang besar. Siapakah yang mematikan beliau pada jarak tersebut, sebelum malaikat berselisih pendapat pun? Ya, Allah SWT yang telah mematikan pembunuh ini pada jarak yang lebih hampir dengan daerah tersebut. Bermakna, sebelum malaikat membuat penilaian lagi pun, Allah SWT telah menerima taubat hamba ini, dan hendak memasukkannya ke dalam syurga.
Dua perkara inilah yang sebenarnya saya cuba bawakan di dalam Buku Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan ini rakan-rakan. Kerana memang, ada situasi di mana seorang hamba itu merasakan bahawa perjalannnya menuju Tuhan itu sama sahaja seperti perjalanannya menuju ke neraka, dek kerana rasa dirinya sudah tidak punya harapan, dosanya sudah terlalu besar dan berat, dan kerana apabila dia berusaha melakukan perubahan, asyik gagal di pertengahan jalan.
Tetapi sepatutnya, hadith ini memberikan harapan kepada kita rakan-rakan. Harapan untuk tidak berputus asa, kerana tidak berputus asa itu antara syarat diterimanya taubat kita. Lihatlah pembunuh itu, bagaimana sikapnya. Sikap itu yang patut kita contohi.
Tidak berputus asa, walaupun ada yang cuba menafikan rahmat Allah kepadaNya, walaupun dosanya bertambah, walaupun dia perlu menambah jarak perjalanannya, dia tidak berputus asa. Dia bergerak. Dia berusaha. Semata-mata untuk mendapatkan keampunan Tuhannya.
Ternyata, walaupun dia tidak sempat beramal soleh, tidak sempat benar-benar melakukan perubahan yang jelas, Allah SWT telah menerima usahanya yang bersungguh-sungguh itu.
Begitulah juga harapnya kita, rakan-rakan.
Apakah yang saya selalu ulang-ulangkan?
Sama ada kita berjaya hidup sebagai orang yang berjaya lakukan perubahan, atau kita mati dalam keadaan kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perubahan.
Dan sesungguhnya Allah itu tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya.
Yakinlah!
Moga-moga semua kisah ini memberikan impak ke dalam jiwa kita, menunjukkan kita jalan, memberikan kita amaran dan peringatan.
Sebagai bekal buat perjalanan kita, pulang menuju Tuhan.
Muhasabah!
The post Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Ibrah Daripada Sejarah. appeared first on Langit Ilahi.
Luruskanlah Dirimu Dengan Tuhanmu Dahulu !
Ada sebuah kisah menarik diceritakan oleh Syeikh Said Al-Kamali dalam siri pengajiannya. Waktu itu, beliau sedang memberi teguran tentang orang yang meninggalkan solat.
Kisahnya adalah berkaitan dengan seorang soleh terdahulu bernama Al-Junaid rahimahullah.
Ketika keberadaannya di Baghdad, beliau telah ditolak untuk menjadi imam dalam satu solat di masjid. Beliau menolak untuk menjadi imam pada asalnya, tetapi penduduk di situ tetap mahukan beliau menjadi imam.
Lalu, beliau tidak dapat menolak lagi dan majulah ke ruang imam untuk menjadi imam.
Seketika mahu memulakan tugasnya sebagai imam, lalu beliau pun mengucapkan sebagaimana biasanya para imam mengingatkan makmumnya :
“Istawuu rahimakumullah.”
“Luruskanlah semoga kamu dirahmati oleh Allah s.w.t.”
Usai mengucapkan itu, beliau pengsan.
Lalu, orang lain terpaksa menggantikan posisinya sebagai imam.
Luruskanlah Dirimu Dahulu !
Barangkali kerana memiliki kehalusan jiwa dan keikhlasan yang sejati kepada Allah s.w.t., para soleh terdahulu semisal Al-Junaid ini memiliki kekuatan iman dari dalam dirinya yang sentiasa menjadi ‘alarm’ dan pengingat untuk dirinya.
Apa yang berlaku kepada Al-Junaid? Kenapa beliau pengsan?
Para makmum yang selepas siap menunaikan solat itu, lalu ada yang berkerumun di sekitar Al-Junaid dan menyedarkannya. Apabila beliau telah terjaga, mereka pun bertanya, “Apa yang membuatkan engkau pengsan?”
Mungkin juga datang telahan di minda kita bahawa dia pengsan kerana tidak cukup makan, atau sakit atau tidak cukup rehat.
Tetapi, rupanya, beliau bercerita, “Ketika aku usai mengingatkan kalian, ‘Istawuuu rahimakumullah !’
“Luruskanlah semoga kamu dirahmati oleh Allah s.w.t.”
Aku seakan-akan terdengar ada yang berkata kepadaku : “Luruskanlah dirimu dengan Tuhanmu dahulu sebelum engkau menyuruh orang lain !”
Sekualiti dan Sesensitif Apakah Iman Mereka Itu?
Allah s.w.t. mengingatkan di dalam Al-Quran :
“Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [As-Saf : 2-3]
Sungguh dahsyat dan keras ingatan Allah s.w.t. dalam ayat ini. Ayat ini bukan dituju kepada orang kafir musyrik atau orang munafik. Ia adalah ayat untuk orang yang beriman kepada Allah s.w.t.
Melihat para solehin terdahulu mengambil manfaat dari Al-Quran, kita akan tahu bahawa ketika saja datang ayat memulakan dengan ‘Ya Ayyuhallazina amanu’, atau maksudnya ‘wahai orang-orang beriman’, mereka lantas menyediakan telinga mereka, mempersiapkan jiwa dan diri mereka untuk melaksanakan arahan di balik ayat itu dengan segera.
Kerana selain Allah s.w.t. memuliakan orang beriman dengan memanggil mereka sesuai dengan martabat mereka, itu juga adalah satu ‘tanbih’ atau penggera untuk mereka beri perhatian yang serius terhadap ayat yang diturunkan itu.
Sebagaimana kita tahu ketika ayat menyerukan orang beriman menjauhi arak pada peringkat akhir itu turun, maka dikatakan sahabat-sahabat radhiallahu ‘anhum tanpa tangguh lagi memecahkan segala tempayan. Tidak ada lagi perasaan kasih kepada arak itu, rasa nak reserve sedikit. Tidak ada. Allah lebih utama dari kehendak diri mereka.
Barangkali, wallahu a’lam, barangkali kualiti ini juga yang dimiliki oleh Al-Junaid.
Beliau hanya menyuruh orang meluruskan saf. Ya, kalau dibahas-bahas, ‘istawuu’ dalam Bahasa Arab itu tidak mesti hanya bermaksud luruskan saf, tetapi ia juga boleh membawa maksud luruskan diri, luruskan niat kalian sebagai persiapan menuju Allah dalam solat.
Hanya itu saja pun, sudah membuatkan dia seakan-akan mendengar satu kata teguran yang menyuruh dia agar membetulkan dirinya dahulu dengan Allah s.w.t. Ya, seakan-akan kefahaman dari ayat Al-Quran surah As-Saf itu begitu mendalam penghayatannya dalam jiwa Al-Junaid. Bagaimanalah pula kita yang banyak sekali mengarahkan dan menyuruh orang dengan itu ini, namun, sedikit sekali melihat keaiban diri dan mahu membetulkan diri sendiri.
Hal ini tidaklah harus menghentikan usaha kita dalam amar ma’ruf dan nahi mungkar, namun, haruslah dengan bermula dari memperbaiki keaiban dalam diri kita.
Penutup : Di Manakah Kita Di Sisi Allah?
Para solehin terdahulu boleh pengsan hanya kerana takutkan Allah s.w.t., risaukan diri mereka kelak di hari pembalasan. Kita seharusnya lebih menjiwai perasaan sedemikian kerana di zaman kita, lebih banyak kelalaian dan kealpaan.
Ibn Atho’illah As-Sakandari, yang menulis kitab Hikam pernah mencatatkan :
“Sekiranya kamu mahu mengetahui nilai kamu di sisi-Nya, maka lihatlah pada hal apa Dia posisikan kamu.”
Kita boleh menilainya sendiri dengan melihat, adakah Allah s.w.t. memposisikan kita dalam kedudukan yang sentiasa mengingati-Nya, atau sebaliknya?
Kalau kita benar-benar mencintai Allah s.w.t., mahu merasai kelazatan mendekati Allah s.w.t., maka cinta tidak cukup sekadar lafaz. Kita mesti bermula dengan meluruskan jiwa kita, luruskan hati kita terhadap Allah s.w.t.
Banyak beracah-acah dengan Allah s.w.t., acah nak solat, acah nak taubat, acah nak kembali, acah nak buat baik, acah nak buat Islam, melambangkan kelurusan hati kita ada masalah. Kita rasa kita dapat menipu Allah s.w.t., padahal kita tidak. Luruskanlah hati kita.
“Tidaklah seseorang hamba itu memperbaiki urusannya dengan Allah s.w.t. melainkan Allah s.w.t. akan memperbaiki urusannya sesama hamba.” [Abu Hazim]
The post Luruskanlah Dirimu Dengan Tuhanmu Dahulu ! appeared first on Langit Ilahi.
July 29, 2016
Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Menutup Aib Diri & Orang Lain
Rakan-rakan yang saya muliakan, sampai kita kepada bab yang seterusnya. Sesungguhnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang membantu kita untuk meneruskan pembacaan, memanjangkan hayat kita untuk berusaha menjadi manusia yang baik. Kepada Allah SWT segala pujian dan pujaan. Moga-moga dikurniakan kepada kita hati-hati yang lembut, untuk benar-benar rasa tersentuh dengan penyampaian-penyampaian bermanfaat.
Rakan-rakan yang saya muliakan, sering saya ulang dalam penyampaian saya di seminar atau di dalam buku-buku saya, bahawa dosa itu mestilah kita pandang ibarat najis.
Ya, najis.
Apa reaksi kita kepada najis?
Kotor, jijik.
Jika terdapat najis pada pakaian kita, apa yang kita lakukan?
Cuci.
Sekiranya kita ternampak najis pada tubuh orang lain, apa yang sepatutnya kita lakukan?
Memberitahu kepadanya, dan jika mampu, membantunya membersihkan najis tersebut.
Ya, demikianlah juga sepatutnya kita memandang dosa. Sesuatu yang kotor dan jijik. Sesuatu yang mesti dicuci. Sekiranya kita melihatnya pada orang lain, tindakan yang sepatutnya kita lakukan adalah membantu dia untuk membersihkannya, bermula dengan memberitahunya akan kewujudan najis tersebut.
Apakah kita suka untuk mengwar-warkan kepada sekalian alam, bahawa pada baju kita ada najis? “Hoi sekalian manusia, pada baju aku ni ada najis.”
Tidak, sepatutnya kita rasa malu. Kerana kita tahu, najis itu jijik dan kotor. Maka mengapa kita hendak memberitahu kepada orang lain?
Apakah juga merupakan tindakan yang baik, sekiranya kita mengwar-warkan kepada orang ramai bahawa pada baju fulan/fulanah ada najis? “Wei korang, meh tengok ni, baju dia ni ada najis.”
Tidak juga.
Demikianlah kita dalam berurusan dengan dosa.
Dosa & Kemungkaran Tidak Perlu Dikongsi
Rakan-rakan yang saya muliakan, dosa itu menjemput kemurkaan Allah SWT. Ternyata ia sesuatu yang besar. Maka selayaknya dosa itu menjadi salah satu aib yang kita perlu sembunyikan. Bukan satu kebanggaan. Bukan satu piala untuk kita tayang. Bukan satu memori indah untuk kita kongsikan.
Apakah kita berbangga baju kita tercalit najis? Apakah kita ingin berkongsi baju tersebut dengan orang lain? Sepatutnya tidak.
Maka demikianlah juga dosa. Sepatutnya tidak kita rasa berbangga apabila melakukannya. Apatah lagi dikongsi, ditayang kepada manusia yang lainnya. Begitulah apabila kita melihat orang lain melakukan dosa, tidak pantas untuk kita menyebarkan keaibannya.
Seorang mukmin tidak akan memandang enteng dengan dosa. Dosa itu ibarat gunung yang bakal menghempapnya. Maka sepatutnya, ketakutan dirinya kepada Allah SWT di atas dosa yang telah dia lakukan, menyebabkan dirinya malu untuk mendedahkan dosa-dosanya.
Rakan-rakan yang saya muliakan, masalah utama yang perlu kita selesaikan ialah, menghilangkan rasa ‘okay’ dengan dosa. Rasa tidak mengapa. Rasa ‘alah itu hanya perkara kecil’. Kita perlu hilangkan perasaan-perasaan sedemikian di dalam jiwa kita.
Sekiranya kita ada dosa yang masih tidak mampu kita tinggalkan, tindakan kita ialah sekurang-kurangnya, tidak berkongsi akan dosa tersebut bersama orang lain. Tidak juga mengajak orang lain untuk bersama kita melakukannya.
Amat malang sekiranya kita sudahlah melakukan dosa dan keingkaran, tetapi tidak pula malu untuk menyembunyikannya, bahkan lebih buruk, kita menghasut pula orang lain, melibatkan orang lain, untuk melakukannya. Daripada satu dosa, yakni dosa si pembuat dosa, kita tambah dengan dosa melibatkan orang lain sama, dosa penghasut.
Rakan-rakan, semua ini hanya akan berlaku sekiranya kita merasakan bahawa dosa itu ialah urusan enteng, dan bukanlah perkara untuk dibesar-besarkan. Apa salahnya tunjuk pada orang? Kita kata. Aku bukan hipokrit, kita kata.
Ini bukan perbahasan mengenai hipokrit atau tidak. Ini adalah perbahasan bahawa kita ada rasa malu dan rasa bersalah dengan dosa yang kita lakukan. Hanya orang yang rasa dirinya tidak bersalah sahaja, sudi untuk mempamerkan perbuatannya. Orang kata, berani kerana benar. Maka apakah kita berani mempamerkan dosa kita, mengajak orang lain melakukan dosa bersama kita, kerana kita yakin kita benar?
Adakah itu mesej yang kita ingin sampaikan kepada Allah SWT? Atau bagaimana?
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Tahu bahawa hamba-hambaNya itu melalui jalan yang mencabar untuk menjadi hambaNya yang baik. Allah SWT Maha Tahu ujian yang Dia letakkan kepada hamba-hambaNya di dalam kehidupan ini. Maka apabila kita berbuat dosa, melakukan keingkaran, Allah Maha Tahu kelemahan dan kekurangan kita. Sepatutnya kita usahakan apa yang termampu, beristighfar, dan paling kurang, menyedari bahawa apa yang kita lakukan itu ialah kesalahan, lantas kita menyembunyikannya dari pandangan ramai. Moga-moga dengan tindakan kita yang sedemikian, tandanya ada iman di dalam jiwa, moga-moga Allah SWT sudi memberikan kita kekuatan dan mengampunkan dosa-dosa yang kita lakukan itu. Kita berharap Allah SWT sudi memberikan belas ihsanNya kepada kita.
Menyembunyikan keaiban ini adalah tanda jiwa kita masih ada taqwa.
Tanda kita mengakui bahawa apa yang kita lakukan itu ialah satu kesalahan, satu perkara yang mesti diperbetulkan. Bukan satu perkara biasa, satu perkara remeh, yang patut kita biarkan sahaja.
Hayati firman Allah SWT berikut:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nur ayat 21.
Jika Sudah Bertaubat, Jangan Diungkit-ungkit Lagi
Rakan-rakan yang dikasihi, menutup keaiban ini juga bukan hanya patut berlaku pada ketika kita masih melakukan dosa dan keingkaran.
Selepas kita bertaubat, berazam untuk meninggalkannya, berusaha untuk melakukan perubahan diri, dan mungkin, insyaAllah, berjaya meninggalkannya, kita tidak patut mengungkit-ungkitnya lagi.
Tidak perlu kita kongsikan kepada orang lain, kononnya sebagai pengajaran, sebagai tauladan kepada orang ramai. Dirisaukan kita terjerumus ke dalam perasaan berbangga-bangga pula bahawa kita pernah melakukan dosa-dosa sedemikian rupa, dan berbangga-bangga pula bahawa kita berjaya meninggalkannya sedangkan orang lain masih terkial-kial dengannya.
Saya memahami di kalangan masyarakat kita, popular dengan penghijrahan selebriti, artis, atau individu tertentu, yang kemudiannya dibawa ke sana ke mari untuk memberikan penyampaian, perkongsian berkenaan kehidupan lalu mereka, dan bagaimana mereka boleh berubah. Pada hemat saya, untuk manusia yang memang sudah makruf akan kekurangan dan kesilapannya yang lepas, tidak mengapa untuk dia berkongsi bagaimana dia berjaya melakukan perubahan. Kerana dia telah melakukan dosanya secara terbuka sebelum ini, hingga pada kadar yang terlalu luas(contohnya, dosanya tersebar luas di televisyen), maka adalah baik bagi masyarakat untuk melihat keinsafannya, dan mengetahui bagaimana proses perubahannya, agar mereka yang sebelum ini menikmati keingkaran yang ditayangkan individu tersebut, turut sama tergerak untuk insaf.
Apa yang saya tekankan di sini adalah untuk individu-individu yang langsung tiada keperluan untuk membangkitkan dosa-dosanya yang lalu. Dia tidak ditanya berkenaan dosanya, tidak ditanya berkenaan apa yang dia lakukan. Mungkin dia hanya dijemput untuk memberikan penyampaian atau perkongsian berkenaan dosa dan taubat, tetapi tiba-tiba dia berkongsi “Saya pun dulu pernah berzina juga”, “Saya pun dulu kaki disko.” Ternyata sedemikian tidak perlu bahkan tidak baik.
Allah SWT sudah membantu kita meninggalkan semua itu, maka mengapa kita perlu membangkitkannya semula tanpa keperluan yang munasabah.
Bahkan, ada ganjaran sebenarnya bagi mereka yang berusaha menutup aibnya sendiri ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya (pada hari kiamat) Allah akan mendekatkan seorang mukmin, lalu Allah meletakkan tabir dan menutupinya. Lalu Allah berfirman: Apakah kamu mengetahui dosa ini? Apakah engkau tahu dosa itu? Dia menjawab: Ya, betul saya tahu wahai Rabbku. Hingga ketika Allah telah membuat dia mengakui semua dosanya dan dia mengira dirinya sudah akan binasa, Allah berfirman kepadanya: Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia, maka pada hari ini Aku mengampuni dosa-dosamu itu. Lalu diberikanlah padanya catatan kebaikan-kebaikannya.” Hadith Riwayat Bukhari.
Hadith ini menerangkan akan bagaimana orang yang menyembunyikan dosa-dosanya itu, diampunkan oleh Allah SWT. Walaupun yang menyebut “Aku telah menutupi dosa-dosa ini di dunia” ialah Allah SWT, tetapi ternyata itu ialah hasil yang Allah kurniakan, bermula dengan tindakan si pembuat dosa yang berusaha menutup aibnya sendiri.
Ya, ada ganjaran, dan ganjarannya tidak kecil. Pengampunan daripada dosa.
Mengapa?
Inilah yang saya cuba jelaskan pada subtopik yang lepas. Yakni kita mengharap belas kasihan Allah SWT dengan kita menyembuyikan dosa-dosa kita. Ada manusia, dia telah bersungguh-sungguh berusaha berubah, tetapi tidak mampu. Apa yang paling mampu dia usahakan hanyalah menyembunyikan dosa-dosanya daripada pandangan ramai. Orang tidak tahu dia melakukan keingkaran kepada Allah SWT. Maka kita berharap, dengan tindakan kita yang sedikit itu(menyembunyikan dosa-dosa kita), Allah SWT sudi mengampunkan kita.
Dan ini bukan mustahil. Perhatikan hadith berikut:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” Hadith Riwayat Bukhari.
Ya, kebaikan memberi minum anjing yang kehausan, hasil kasih sayang Allah SWT, menghapuskan dosa seorang pelacur.
Maka kita berharap belas ihsan Allah SWT, apabila kita menutupi keaiban diri, tidak mendedahkan dosa kita kepada orang lain, tidak mengajak orang lain terlibat sama. Kita akui apa yang kita lakukan itu satu kesalahan, satu dosa, satun keingkaran. Kita tidak katakan ianya okay, ianya remeh, kita tidak kata “Ala esok boleh taubat” atau “ala, Allah kan Maha Pengampun.” Kita nak bertaubat, tetapi mungkin tidak berjaya, asyik kembali jatuh dan jatuh. Jadi antara usaha kita yang lain ialah menyembunyikannya, tidak berbangga dengannya, tidak berkongsi akannya.
Moga-moga Allah SWT mengasihani kita dan mengampunkan kita.
Tutup Aib Orang Lain, Usaha Bawa Ke Jalan Kebenaran Bukan Didedahkan
Begitulah juga rakan-rakan, dalam kita berurusan dengan orang lain. Kadangkala apabila kita rapat dengan seseorang, semakin rapat, semakin terbukalah aib dan kekurangannya. Dan mungkin sahaja kita akan menemui mereka dalam keadaan sedang melakukan keingkaran kepada Allah SWT.
Biasa sahaja kedengaran cerita ‘rakan yang baik kantoi sedang menonton video lucah di dalam bilik berseorangan’. Biasa kedengaran cerita sebegini?
Rakan-rakan yang saya muliakan, apakah tindakan yang sepatutnya?
Tidak sedikit yang bertindak menyuarakan kekecewaan, berkongsi kejadian tadi dengan orang lain sambil berkata: “Tak sangka aku, ingatkan dia orang ikut usrah, kuat berdakwah, rupanya dalam bilik dia tengok cerita lucah.” Begitulah yang biasa kita dengar.
Rakan-rakan, itu adalah sikap yang tidak sepatutnya kita lakukan.
Dia telah berusaha menyembunyikan aibnya di dalam bilik, berseorangan. Maka mengapa kita sebarkan kepada orang lain? Dia di luar, di hadapan orang lain, telah berusaha mempersembahkan kebaikan, mengajak orang lain melakukan kebaikan, tidak menunjukkan contoh yang buruk, maka mengapa apabila kita mengetahui kekurangan dirinya yang cuba disembunyikan, kita rosakkan imej baik dirinya? Sekaligus sebenarnya kita telah merosakkan kebaikan-kebaikannya, dan boleh membuatkan orang ramai membenci pula kebaikan-kebaikan, dan tidak mempercayai orang-orang yang baik.
Menutup aib orang lain ini juga digesa di dalam Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yang sangat dari kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” Hadith Riwayat Muslim.
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hatinya. Janganlah kalian mengghibah kaum muslimin dan jangan mencari-cari/mengintai aurat mereka. Karena orang yang suka mencari-cari aurat kaum muslimin, Allah akan mencari-cari auratnya. Dan siapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah, niscaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Dawud.
“Tidaklah Allah menutup aib seorang hamba di dunia melainkan nanti di hari kiamat Allah juga akan menutup aibnya.” Hadith Riwayat Muslim.
Ya, digesa beserta ancaman. Sekiranya kita mencari-cari atau membuka aib orang lain, Allah SWT akan membuka keaiban kita pula. Na’udzubillah.
Membuka keaiban orang lain ada implikasi yang besar. Kita tidak tahu apakah pertarungan jiwa yang dihadapi seseorang. Setiap orang ada syaitan untuk ditewaskan. Maka apabila ianya tersembunyi daripada pandangan manusia, buat apa kita sebarkan. Kerana boleh jadi apabila kita menyebarkan aibnya, menyebabkan dia mengalami kekecewaan dan keputus asaan daripada usaha untuk melakukan kebaikan. Apakah kita yang akan bertanggungjawab kemudian?
Tindakan yang sepatutnya apabila terjumpa dengan aib seseorang ialah (1) Menyembunyikannya, (2) Jika mampu, bantu dia untuk meninggalkannya. Itu tindakan yang selayaknya.
Dan jangan salah faham pula konsep menutup aib ini, hingga menyamakannya dengan berdiam diri terhadap jenayah. Apa yang dikatakan sebagai menutup aib ini, terhad kepada dosa dan keingkaran berbentuk peribadi, yang tidak melibatkan orang lain, tidak melibatkan harta awam.
Sekiranya seorang menteri contohnya, dipalitkan dengan skandal menggelapkan harta awam, menyalah guna harta rakyat, tidak ada buatnya konsep penutupan aib. Bahkan orang yang tahu, mesti mendedahkannya supaya tindakan pihak tersebut dapat diadili dengan sebaik mungkin, dan hak-hak orang lain yang telah diambil dapat dipulangkan pada yang berhak.
Contoh lain, kita melihat pembunuhan. Tidak patut kita rahsiakan, perlu untuk kita laporkan kepada polis. Supaya yang terbunuh mendapat keadilan, keluarganya mendapat hak yang selayaknya.
Contoh lain, kita melihat kecurian atau rompakan, dan berjaya mengenal pasti wajah pencuri atau berjaya mendapat nombor plat kenderaannya, wajib untuk kita sebarkan, agar pihak berkuasa dapat mencari Si Pencuri, memberikan pembalasan dan mengembalikan hak orang-orang yang teraniaya.
Semoga Allah SWT sudi menutup keaiban kita semua.
Sesungguhnya jikalah sekalian manusia tahu akan kesemua aib kita, nescaya tidak akan ada seorang pun akan sudi mendekati.
Sesungguhnya kita manusia yang banyak kekurangan. Kita harap orang memahami. Begitulah juga orang lain, mereka juga manusia sama macam kita. Semoga kita ada sikap untuk saling memahami, dan sama-sama lengkap melengkapi, bantu membantu, dalam usaha kita untuk pulang menuju Allah SWT, dalam keadaan berjaya.
Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” Surah Al-Maidah ayat 2.
The post Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Menutup Aib Diri & Orang Lain appeared first on Langit Ilahi.
July 28, 2016
Apabila Cinta Dunia Melekat Dalam Hati
Tercatat dalam Siyar A’lam An-Nubala, kisah seorang tabiin, yang terkenal dengan namanya Abu Hazim. Sentiasa kata-kata yang keluar dari lisannya penuh hikmah.
Diriwayatkan oleh Yahya bin Muhammad Al-Madini dari Abd Rahman bin Zaid bin Aslam, dia berkata kepada Abu Hazim pada satu hari :
“Aku dapati ada satu hal yang mendukacitakanku.”
Abd Rahman seakan-akan mahu mengadukan sesuatu yang berat telah menimpa dirinya. Lalu Abu Hazim pun bertanya kepadanya :
“Apakah hal itu wahai anak saudaraku?”
Kalau dibanding-banding keadaan kita hari ini, barangkali yang paling menyedihkan itu adalah kekasih lari atau putus cinta, tak berjaya dalam peperiksaan, tak dapat kerja dan sebagainya. Tidaklah salah. Namun setiap hal itu ada nilaiannya di sisi Allah.
Pastilah yang membezakan soal nilai perasaan kita dalam hal kesedihan, kegembiraan, keresahan mahupun kedukacitaan adalah pada hal apa kita tuangkan perasaan kita itu, bukan?
Apakah yang dijawab oleh Abd Rahman? Jawabnya : “Yang membuatku dukacita itu adalah kecintaan yang telah melekat dalam diriku terhadap dunia ini.”
Jawapan semacam apakah yang keluar dari lisan Abd Rahman ini dan bagaimana mungkin hal itu boleh sangat mengganggunya?
Berhati-hati Dengan Al-Wahn
Pernah sekali baginda s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya : “Dibimbangi kaum-kaum manusia akan mengerumuni kamu sebagai orang yang makan mengerumuni makanannya.”
Para sahabat memahami bahawa itu adalah khabar kurang enak untuk mereka. Lalu mereka pun bertanya baginda,
“Apakah kami sedikit pada ketika itu?”
“Bahkan kamu ramai. Tetapi kamu umpama buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah mencabut rasa takut kepada kamu dari hati-hati musuhmu dan menjadikan dalam diri kamu al-wahn.”
Sahabat bertanya : “Apakah al-wahn itu wahai Rasul s.a.w.?”
“Cintakan dunia dan takutkan mati.” [HR Ahmad]
Barangkali inilah yang sentiasa menjadi kerisauan para salafus soleh. Mereka yang pernah hidup dan mendampingi para sahabat baginda s.a.w., lalu pastilah terasa begitu terkesan sekali dengan didikan yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. kepada mereka melalui tangan para sahabatnya.
Di saat bilangan ummat Islam sekarang mencapai kedudukan di antara jumlah penganut agama yang terbesar di dunia, wajar sekali untuk kita sentiasa bermuhasabah. Kalau saja para salaf yang kuat iman mereka itu, yang hidup bersama dengan baginda Rasul s.a.w. itu, yang mana di antara mereka ada yang dijanjikan syurga, yang mana di kalangan mereka itu ada ahli Badar yang telah dijanjikan redha Allah, pun menangis dan sangat merisaukan diri mereka di saat baginda s.a.w. menuturkan segala peringatan tentang dunia ini, maka kita yang sudahlah jauh dari generasi Rasul s.a.w., lemah ibadah dan banyak kelalaian, lebihlah sepatutnya kita merasa risau dan takut dengan keadaan diri kita sendiri.
Belajar Dari Aduan Dan Keluhan Salaf Yang Menimbulkan Kekuatan
Kita bertemu banyak orang. Kita pernah mendengar banyak keluhan. Tetapi kadangkala keluhan dan aduan banyak berkaitan material dan keduniaan.
Lihatlah keluhan dan aduan para salaf sesama mereka. Aduan dan keluhan mereka, apabila kita telusuri dan teliti, menimbulkan kekuatan dan rasa malu dalam diri kita.
Allahu akbar. Bagaimana tidak malu. Para salaf mengadukan tentang sedikitnya kelalaian mereka dengan dunia, sedangkan kita berhari-hari lamanya lalai, tetapi tidak sedikit pun itu membuatkan jiwa kita sensitif.
Aduan mereka sesama mereka membuatkan jiwa kita tersentak, membangunkan rasa beramal dan mengingatkan kita betapa jauhnya jejak kita dari jejak mereka di atas jalan menuju syurga. Pun begitu, mereka sangat begitu terasa dengan sedikitnya kelalaian yang telah mereka lakukan.
Abu Hazim : Cinta Dunia Yang Tidak Merosakkan
Para salaf tidaklah menolak bahagian dan habuan di dunia. Namun, mereka menimbangnya dengan neraca iman. Mereka tidak mengambilnya dengan penuh tamak haloba, bernafsu dan melupakan Allah s.w.t. Mereka mengambil pada kadar yang sewajarnya.
Mereka tidak tunduk kepada dunia, lalu Allah menjadikan dunia ini tunduk di tangan mereka. Tetapi apabila kita tunduk kepada dunia, maka dunia ini pun menjadi tuan kita, lalu jadilah kita hamba mengejarnya tiada berkesudahan.
Apa jawapan Abu Hazim kepada Abd Rahman tadi?
“Ketahuilah, bahawa ini adalah termasuk hal yang aku tidak akan cela diriku kerana Allah mencampakkan rasa cinta ke dalam diriku kepada sebahagian hal, kerana Allah telah mencampakkan rasa cinta kepada dunia dalam diri kita.
Tetapi hendaklah celaan ke atas diri kita dilakukan pada hal selain ini (selain dari yang telah Allah ciptakan rasa cinta terhadapnya) iaitulah :
Hendaklah cinta kita terhadap dunia ini tidak membawa kita mengambil sesuatu daripadanya yang dibenci oleh Allah s.w.t. Dan janganlah kita menghalang sesuatu dari apa yang Allah s.w.t. cintakannya.
Sekiranya kita melakukan hal ini (melayan rasa cinta terhadap dunia begini), maka cinta kita terhadap dunia ini tidaklah memudharatkan kita.”
Inilah nasihat yang sederhana dan menenangkan dari Abu Hazim. Kita tidak berlebihan dalam mengambil manfaat dunia, pun begitu kita tidak juga menolaknya terus.
———————————————
Az-Zahabi, Siyar A’lam An-Nubala’, Tobaqoh Ar-Rabi’ah
The post Apabila Cinta Dunia Melekat Dalam Hati appeared first on Langit Ilahi.
July 26, 2016
Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Pengkhianatan Dalam Bertaubat
Biasa kedengaran orang berkata: “Alah, Allah kan Maha Pengampun?” atau “Lepas buat dosa ni, aku taubatlah.”
Mereka mempersoalkan bahawa, sekiranya Allah SWT itu Maha Luas AmpunanNya, maka apalah sangat dosa yang bakal mereka lakukan. Tidakkah Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya? Maka mengapa perlu takut berbuat dosa? Nanti kita bertaubatlah. Demikian logik mereka.
Dan tidak sedikit yang terpengaruh. Kerana itu masyhur kita mendengar orang muda beralasan – nanti bila sudah tua aku beribadah lah, atau nanti bila dah dewasa aku tinggalkanlah perbuatan ini, atau nanti bila sampai Ramadhan aku bertaubatlah. Macam-macam.
Semuanya menunjukkan sikap memandang entang dan remeh terhadap keingkaran yang dilakukan, dan sambil lewa terhadap peluang keampunan yang Allah SWT buka luas kepadanya.
Pada saya, sikap sebegini ialah satu pengkhianatan di dalam bertaubat.
Salah Faham Terhadap Keluasan Ampunan Allah SWT
Rakan-rakan yang saya muliakan, Allah SWT itu memang Maha Pengampun. Ruang pengampunanNya juga sangat luas. Bahkan, jika kita perhatikan, Allah SWT sangat banyak memberikan peluang kepada kita untuk kembali taat kepadaNya.
Tetapi sekiranya kita mengenali Allah SWT dengan lebih mendalam, kita tahu bahawa Allah SWT itu bukan sahaja Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Tetapi Allah SWT itu juga antara namanya ialah Al-Qabid(Yang Maha Menyempitkan), Al-Khafid(Yang Maha Merendahkan), Al-Mudzil(Yang Maha Memberikan Kehinaan), Al-Muntaqim(Yang Maha Menyeksa) dan Al-Dar(Yang Maha Memberikan Derita).
Keampunan Allah SWT itu luas, melebihi kemarahanNya, tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah SWT itu boleh murka dan menurunkan azab serta memberikan seksa.
Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah berkongsi kepada kita akan kisah-kisah penderhaka, seperti Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Kaum Nabi Nuh, Kaum Nabi Lut, Kaum Nabi Salleh dan banyak lagi, yang telah Allah SWT murka terhadap mereka, dan menurunkan azab seksa yang dasyat terhadap mereka.
KeampunanNya luas, sangat luas, tetapi sekiranya keampunanNya yang sangat luas itu tidak kita manfaatkan, maka akan tibalah masanya Allah SWT murka dan memberikan balasan atas dosa dan keingkaran kita.
Maka jangan salah faham. Keluasan ampunan Allah SWT itu adalah tanda kasih sayang Dia kepada manusia. Dia memahami manusia ini lemah, akan terjatuh, maka Dia memberikan peluang yang banyak lagi besar.
Contoh mudah, kepada Firaun, Allah SWT hantarkan Nabi Musa. Selain dakwah Nabi Musa, Allah SWT tunjukkan juga kehebatanNya melalui mukjizat yang diberikanNya kepada Nabi Musa, dan beberapa bencana kecil yang berlaku di Mesir untuk membuka mata Firaun. Belum kita kira, yang Firaun itu hidup bertahun-tahun lamanya, tidak pula disambar petir atau dimatikan semasa tidurnya. Tanda Allah SWT memberikan peluang yang sangat banyak, untuk Firaun bertaubat dan berubah.
Namun semua diabaikan oleh Firaun. Maka berakhirlah hayatnya lemas di dalam Laut Merah semasa mengejar Nabi Musa dan kaumnya, dan terseksalah juga dia di akhirat sana kerana mati di dalam kekufuran.
Begitulah juga apabila kita renungi Kaum Nuh. Mereka telah tersesat menyembah berhala. Allah tidak terus mengazab mereka. Allah menghantarkan kepada mereka orang yang tidak asing buat mereka, Nuh AS, dari kalangan mereka sendiri. Dan dakwah Nabi Nuh AS adalah antara dakwah terpanjang di antara para Nabi, kerana ianya berjalan selama 950 tahun. Namun terlalu sedikit yang akhirnya mahu beriman.
Mereka mengabaikan semua peluang yang Allah SWT telah bentangkan kepada mereka. Maka apabila sampai masanya, berakhirlah mereka diazab dengan bah besar, yang menenggelamkan semua hatta gunung ganang. Di akhirat pula terseksa di neraka kerana matinya mereka di dalam kekufuran.
Kita melihat pula kepada Rasulullah SAW, dan bagaimana baginda berhadapan dengan karakter-karakter seperti Abu Lahab dan Abu Jahal. Yang mana kedua-duanya itu hidup di dalam kekufuran dan kejahilan. Penuh dengan maksiat dan keingkaran. Tetapi Allah SWT hantarkan Rasulullah SAW kepada mereka. Bahkan memberikan mereka banyak peluang dan situasi untuk berubah.
Mereka mengabaikannya. Bahkan mencabar. Bahkan memerangi Rasulullah SAW. Maka apabila tiba masanya, Abu Lahab diazab dengan penyakit dan mati kegeringan, manakala Abu Jahal pula tewas di medan perang, ditumbangkan oleh kanak-kanak.
Sambil Lewa Terhadap Peluang Yang Diberikan
Rakan-rakan yang saya muliakan. Saya ulang, dan akan sentiasa saya ulang, sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun. Maha Pengasih. Maha Penyayang. Saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk sejenak memerhatikan peluang-peluang yang bertaburan sepanjang perjalanan hidup kita.
Setiap malam kita tidur, dan alhamdulillah kita bangun keesokan harinya. Allah SWT masih sudi memberikan kepada kita hari yang baru, walaupun semalamnya kita belum bertaubat atas dosa-dosa yang kita lakukan, walaupun kita belum berubah.
Kadangkala, tanpa kita cari pun, nasihat dan pesanan sampai kepada kita. Melalui rakan, melalui televisyen, melalui radio, melalui internet, melalui buku dan sebagainya. Adakalanya dalam bentuk peristiwa-peristiwa, mungkin dalam bentuk ujian-ujian. Semuanya mengetuk jiwa kita untuk kembali kepada Allah SWT. Pasti ada momen-momen tersebut bukan?
Walaupun kita belum berubah, Allah SWT masih sudi membiarkan kita menggunakan nikmat pancaindera, memberikan kita rezeki, memberikan kita kehidupan. Semua ini adalah peluang sebenarnya.
Tinggalnya, bagaimana pula sikap kita?
Apa yang telah kita lakukan untuk menghargai peluang demi peluang yang Allah SWT telah berikan sepanjang kehidupan kita?
Fikirkan lagi, berapa umur kita sekarang? Contohnya saya, ketika saya mengarang buku ini, umur saya 27 tahun. Saya telah hidup selama 27 tahun, bukan jangka masa yang sebentar. Setahun ada 365 hari. Saya telah hidup selama 9,855 hari lebih kurang. Jika kita fokus dan cuba detailkan segala nikmat dan kasih sayang yang Allah SWT telah curahkan kepada kita, sepanjang 9,885 hari itu, dan termasuk juga kita di dalam rahim Ibu, apakah dapat kita hitung?
Pastinya tidak mampu. Namun perhatikan firman Allah SWT berikut:
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah An-Nahl ayat 18.
Di dalam Tafsir Jalalain, apabila membahaskan maksud ayat ini, disebut: “Jika kalian tidak mampu menghitungnya, lebih-lebih untuk mensyukuri semuanya. Namun kekurangan dan kedurhakaan kalian masih Allah maafkan (bagi yang mau bertaubat), Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Di dalam kitab tafsirnya, Ibnu Kathir menjelaskan: “Allah benar-benar memaafkan kalian. Jika kalian dituntut unutk mensyukuri semua nikmat yang Allah beri, tentu kalian tidak mampu mensyukurinya. Jika kalian diperintah untuk mensyukuri seluruh nikmat tersebut, tentu kalian tidak mampu dan bahkan enggan untuk bersyukur. Jika Allah mau menyiksa, tentu boleh sahaja dan itu bukan tanda Allah itu zalim. Akan tetapi, Allah masih mengampuni dan mengasihi kalian. Allah mengampuni kesalahan yang banyak lagi memaafkan bentuk syukur kalian yang sedikit.”
Begitu sekali. Banyak nikmatNya, tidak terhitung, dan sudah pasti tidak termampu untuk kita mensyukuri setiap satu nikmat Allah SWT kepada kita. Manakala Allah SWT pula tidak memberatkan kepada kita akan hal tersebut(yakni keperluan mensyukuri setiap satu nikmat Allah SWT berikan kepada kita, kerana takkan tercapai dek kudrat manusia).
Pun begitu Allah SWT masih menambah: “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Bermaksud, Allah SWT bersedia mengampunkan kita sekiranya kita kembali kepadaNya, bertaubat, hendak berubah, walaupun pada diri kita ada banyak kekurangan dan kelemahan, walaupun kita tak mampu mensyukuri setiap nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
Kasihnya Allah SWT.
Rakan-rakan, maka mengapa kita bersambil lewa?
Mengapa kita mesti bersikap biadap kepada Allah SWT, dengan memandang enteng keluasan ampunanNya ini? Dan menggunakan pula keluasan ampunanNya sebagai alasan untuk terus menerus menderhakaiNya?
“Ala, Allah kan Maha Pengampun!” Bukankah itu sikap yang biadap dan kurang ajar?
Allah SWT sudah cukup baik memberikan kepada kita segala nikmat, ditambah pula dengan peluang untuk bertaubat yang sangat terbuka luas, tetapi kita pula mencampakkan semua nikmat tersebut jauh, tidak memanfaatkannya, tidak menghargainya.
Kita melewat-lewatkan taubat kita, kita sengaja melengah-lengahkan langkahan kita untuk memohon keampunan. Kita sengaja menjauhkan diri kita daripada kebaikan-kebaikan, dan menyibukkan diri kita kepada kejahatan-kejahatan.
Rakan-rakan yang saya muliakan, mengapa?
Sampai bila?
Tidakkah hati dan jiwa kita terbuka apabila merenung kembali betapa banyaknya nikmat dan peluang yang telah Allah SWT berikan kepada kita?
Sambar Peluang Dengan Segera, Hargai Apa Yang Telah Ditawarkan olehNya
Rakan-rakan yang saya muliakan, Allah SWT berfirman:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.
Sama-samalah kita renung kembali diri kita. Berapa serius sebenarnya kita hendak berubah. Bila kita hendak berubah? Sampai bila kita masih hendak bergelumang dengan dosa dan keingkaran terhadap Allah SWT?
Jika kita telah berusaha untuk berubah dan tersungkur, bila kita mahu bangkit kembali? Sampai bila mahu berputus asa dan rasa diri tidak punya harapan lagi?
Rakan-rakan, masa berjalan, dan ia tidak akan kembali. Kehidupan kita ada limitnya, dan usia kita ada pengakhirannya. Sekarang adalah masannya untuk kita berubah. Sekarang adalah masanya untuk kita bangkit.
Dibangkitkan pada hari yang baru, itulah dia hari yang perlu kita sambar. Hari baru tanda Allah SWT masih sudi menyambung kehidupan kita, tanda Allah SWT masih sudi hendak mengampunkan kita, tanda Allah SWT masih memberikan kita peluang untuk beramal dan menambah kebaikan-kebaikan, tanda Allah SWT masih memberikan kita peluang untuk membuang keburukan-keburukan.
Maka tunggu apa lagi?
Atau kita akan bazirkannya lagi?
Jangan teman-teman.
Jangan.
Jangan kita tangguh-tangguh, kerana risau keluasan ampunan Allah SWT itu, akan terkatup apabila maut datang menyergah, dan sesungguhnya kita tidak sesekali tahu bila Malaikat Maut mahu datang kepada kita untuk melunaskan tanggungjawabnya.
Muhasabah.
The post Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Pengkhianatan Dalam Bertaubat appeared first on Langit Ilahi.
July 24, 2016
Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Taubat & Pembersihan Diri.
Rakan-rakan yang dimuliakan, alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang memberikan kita kekuatan untuk meneruskan pembacaan, dan kepada saya untuk meneruskan penulisan, agar sama-sama kita dapat melakukan muhasabah kepada diri, dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.
Sesungguhnya jika kita renungi, dan benar-benar cuba mengenang kembali semua salah dan silap kita di sepanjang perjalanan hidup ini, sudah pasti akan terasa sesaknya jiwa dan sempitnya hati, melihat betapa banyaknya dosa dan kesilapan yang pernah kita lakukan.
Lebih-lebih lagi sekiranya hingga sekarang, kita masih belum dapat meninggalkan perkara yang Allah SWT larang. Lebih-lebih lagi apabila apa yang Allah murkai itu, masih menjadi sebahagian daripada rutinan kehidupan kita.
Buat kita terasa seperti mahu berputus harap, dan tidak kurang juga kedengaran godaan syaitan membisik ke dalam sukma supaya kita menganggap bahawa Allah tidak mahu memandang lagi kepada kita. Na’udzubillah.
Tetapi Allah SWT tidak sedemikian. Ya, ada masanya, Allah SWT akan murka dan marah. Tetapi rahmatNya melebihi kemarahanNya. Maka pada bab ini sama-sama kita cuba melihat jalan keluar yang diberikan oleh Pencipta kita, yang ternyata sangat kasih dan cinta kepada hamba-hambaNya.
Taubat Sebagai Jalan Keluar & Pembersihan Diri
Sebagai pencipta kepada manusia, Allah SWT itu Maha Tahu akan bagaimana keadaan manusia itu. Allah SWT itu bukanlah bodoh, dan sesungguhnya tiada yang akan terselindung daripada pengetahuan dan kebijaksanaanNya.
Tatkala hendak menciptakan manusia, Malaikat telah membangkitkan perihal sikap buruk yang terdapat di dalam diri manusia.
“Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Namun Allah SWT masih menciptakan manusia. Terciptalah Adam. Dan daripada Adam, manusia membiak. Kemudian sampailah kepada kita. Daripada jutaan sperma, kita yang dipilih untuk mendapat nikmat kehidupan. Menjejak ke bumi dengan keadaan masing-masing. Mungkin ada yang kelihatan lebih bernasib baik, mungkin ada yang kehidupannya lebih mencabar. Namun akhirnya masing-masing bergerak menuju ke arah yang sama – yakni pulang semula kepada Allah SWT.
Dan dalam perjalanan pulang itu, antara ujian yang dilalui oleh semua manusia, ialah ujian untuk menjadi hambaNya yang baik. Manusia teruji dengan fitrahnya, yang bila tidak dikawal, akan menjadi liar sehingga melanggari batas.
Untuk mengimbangi kelemahan yang ada pada diri manusia ini, Allah SWT dengan penuh kasih sayang, mengurniakan kepada kita taubat.
Taubat di dalam bahasa arab berasal dari perkataan tawaba, yang bermaksud ‘kembali’. Seseorang itu dianggap telah bertaubat apabila dia telah merasa sesal, meninggalkan dosa dan kembali dari perbuatan yang dimurkai Allah SWT itu. Dalam erti kata lain, kembali mentaati Allah SWT.
Sekiranya kita fikir secara mendalam, kita akan melihat bahawa taubat itu wujud untuk orang-orang yang melakukan dosa. Bermakna, walaupun kita ini orang yang hidupnya mengingkari Allah SWT, melanggari perintahNya, mungkin tidak pernah ingat kepadaNya, tetapi Allah SWT tetap menyediakan jalan keluar untuk orang yang hidupnya sedemikian rupa.
Jika Allah SWT mahu, Dia boleh sahaja mengabaikan para pendosa. Tetapi tidak, di sinilah kita melihat bagaimana rahmatNya melebihi kemarahanNya.
Bahkan Allah SWT menyeru bukan sekali, di dalam Al-Quran, agar hamba-hambaNya bertaubat dan membersihkan diri.
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.
“Dan mereka (orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).” Surah Ali-Imran ayat 135.
“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” Surah Az-Zumar ayat 53-54.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” Surah At-Tahrim ayat 8.
Sebagai hamba Allah SWT, yang menyedari bahawa pada dirinya ada 1001 kekurangan dan kelemahan, sepatutnya kita menjadi lebih menghargai akan kasih sayang yang Allah SWT tunjukkan kepada kita.
Ayat-ayat ini sepatutnya menjadi penguat kepada diri, pemangkin semangat untuk kita keluar dan meninggalkan sikap buruk serta perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Kasih sayang Allah SWT itu nyata teramat luas untuk kita abaikan begitu sahaja, atau untuk kita menyalahkan takdir atas segala kesilapan yang kita lakukan.
Kerana jalan taubat itu terbentang luas, tanpa penghalang dan tiada orang tengah.
Mengapa tidak kita menyahut seruan cinta dan kasih sayang ini?
Jalan-jalan Taubat
Rakan-rakan, apabila kita membicarakan perihal jalan-jalan taubat, ketahuilah bahawa ianya bukanlah jalan yang terkunci rapat. Bahkan, ianya adalah jalan yang terbentang luas tanpa pengawal.
Sekiranya ada agama lain yang membuatkan penganutnya perlu membayar seseorang, perlu bertemu seseorang, perlu menyediakan ‘pengeras’ kepada seseorang, dalam proses untuk membersihkan diri, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Islam bukan sedemikian.
Ketahuilah bahawa tiada perantara antara kita dengan Allah SWT, termasuklah di dalam urusan bertaubat.
Jalan untuk bertaubat itu boleh kita tempuhi tanpa memerlukan kita berada di tempat yang spesifik. Tidak pula memerlukan kita bertemu dengan orang tertentu. Tidak juga memerlukan kita masa yang tertentu.
Begitulah luasnya jalan taubat.
Kunci utama dalam bertaubat ialah rasa penyesalan dan memohon ampun kepada Allah SWT, seterusnya berusaha meninggalkan perbuatan yang mendatangkan dosa tadi.
Ya, nampak mudah bukan? Tiada solat tertentu, tiada doa tertentu, yang wajib kita baca sebagai syarat menjadikan taubat kita diterima.
Namun di sana ada beberapa usaha yang boleh kita lakukan, sebagai penambah kekuatan kepada diri dalam melakukan taubat.
Antaranya:
Memperbanyakkan amalan kebaikan.
Allah SWT berfirman: “Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” Surah Hud ayat 114.
“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan-keburukan yang kamu lakukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan yang kamu lakukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” Hadith Riwayat Tirmidzi.
Memperbanyakkan doa memohon bantuan pertolongan Allah SWT.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku itu dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.
Rasulullah SAW bersabda: “Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Lalu Dia berkata: Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Hingga terbit fajar.” Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.
Melazimi istifghfar.
Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih dari tujuh puluh kali.” Hadith Riwayat Bukhari.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari seratus kali.” Hadith Riwayat Muslim.
Berusaha meletakkan diri dalam suasana yang baik.
Diriwayatkan di dalam hadith yang panjang, berkenaan kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 100 orang. Apabila dia bertemu dengan alim yang menyatakan bahawa dia masih punya harapan untuk diampunkan oleh Allah SWT, alim tersebut telah menasihatkan agar dia pergi ke kampung orang yang soleh untuk bertaubat.
Hadith ini adalah hadith yang sohih dan boleh didapati di dalam Sohih Bukhari & Muslim, juga di dalam Kitab Riyadhus Solihin. Hadith yang selalu saya ulangi, dan insyaAllah ada juga saya sentuh kembali di dalam buku ini.
Pesanan Sang Alim tersebut kepada Si Pembunuh yang mahu bertaubat itu ada hikmah yang perlu kita ambil. Suasana membentuk manusia. Maka sekiranya kita mahu berubah dan meninggalkan kesalahan lalu, adalah baik untuk kita meletakkan diri kita dalam suasana yang membantu perubahan tersebut.
Sama ada kita menukar kawan-kawan kita, yakni mula bergaul dengan orang-orang yang baik, menukar jadual hidup agar lebih terarah kepada perkara-perkara baik berbanding buruk, atau mula membiasakan diri kita ke masjid atau majlis-majlis ilmu, atau mungkin jika lebih berkemampuan, berpindah dari tempat kita banyak melakukan kesalahan itu ke tempat yang baru.
Jika kita benar-benar bersungguh untuk bertaubat, semestinya kita akan mula melakukan perubahan kepada rutin kehidupan kita. Sudah pasti ada perkara perlu kita tinggalkan, dan ada perkara perlu kita tambah, supaya kita benar-benar dapat kembali menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT.
Dan sesungguhnya jalan ini terbuka luas, menanti kita untuk bergerak di atasnya.
Sehinggalah matahari terbit dari barat, atau ajal menyergah kita secara tiba-tiba.
Sangka Baik Kepada Allah SWT
Rakan-rakan yang saya muliakan, sudah pasti proses taubat itu bukanlah satu proses yang pendek. Kerana matlamat utama daripada taubat ialah mengembalikan diri kita kepada ketaatan. Itu semua pastinya tidak akan tiba-tiba tercapai dengan seminit dua.
Maka di dalam proses yang panjang itu, syaitan tidak akan sesekali berputus asa untuk menggoda kita agar meninggalkannya. Mengajak kita untuk berputus asa. Menipu kita untuk tersungkur. Dan sebagai manusia biasa, sudah pasti ada yang tersungkur.
Persoalan besar yang timbul apabila kita telah berusaha hendak berubah, kemudian masih mengulangi dosa dan keingkaran kita kepada Allah SWT, ialah apakah Allah SWT tidak lagi mahu menerima kita? Ketahuilah rakan-rakan bahawa bisikan sebegini ialah bisikan syaitan yang durjana. Syaitan yang mahu memutuskan hubungan kita dengan Allah SWT, melalui sangka buruk lagi nista.
Maka untuk menenangkan jiwa dan membersihkan sangkaan kita kepada Allah SWT, dalamilah hadith berikut dan hayati:
Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dalam keadaan yang cepat.” Hadith Riwayat Bukhari.
Ya, Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik buat kita. Masakan Dia mahu meninggalkan kita, sekiranya kita sedang dalam perjalanan kembali kepadaNya? Terjatuh? Naik kembali. Bersangka baik kepada Allah SWT. Lawan perasaan busuk yang cuba disuntik oleh syaitan kepada kita. Abaikan sahaja apa kata-kata orang lain kepada kita, untuk memberikan kita rasa putus asa dan kecewa, rasa tidak boleh berubah, abaikan!
Bangkit. Walau berkali-kali!
Jangan pernah bosan dan rasa berputus asa. Jika ada perasaan sedemikian, lawan!
Terjatuh lagi? Bangkit lagi. Demikianlah kita berjuang untuk menjadi yang lebih baik. Dan demikian jugalah kita akan berterusan berusaha sehinggalah sama ada kita berjaya melakukan perubahan yang sepenuhnya, atau kita mati dalam keadaan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk berubah. Kedua-duanya ialah kemenangan, dan sesungguhnya Allah SWT itu tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hambaNya. Dia Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui.
Taubat Berulang-ulang – Allah Bukan Bodoh Dan Tidak Pula Akan Berjaya Ditipu
Rakan-rakan yang saya muliakan, saya sering memberikan pesan kepada diri saya dan rakan-rakan, agar kita tidak berputus asa dalam bertaubat. Maka, seperti pada subtopik sebelum ini, saya menegaskan agar kita bangkit berkali-kali. Bermakna, bertaubat berkali-kali. Bertaubat, jika tersungkur lagi, bertaubat lagi, jika tersungkur lagi, bertaubat lagi, dan begitulah berterusan hingga sama ada kita benar-benar berjaya berubah, atau kita mati dalam keadaan berusaha untuk berubah.
Maka tidak sedikit yang mendatangi saya lantas berkata:
“Mana boleh begitu? Itu taubat main-main!” Kata mereka.
Mereka berpendapat bahawa, sekiranya kita benar-benar menyesal dan insaf, maka selepas bertaubat, kita akan meninggalkan dosa-dosa dan tidak mengulanginya lagi. Sekiranya kita berulang kali mengulanginya, bertaubat dan mengulanginya, bertaubat dan mengulanginya buat kesekian kalinya, maka itu adalah petanda bahawa kita tidak serius dalam taubat kita.
Masakan boleh sedemikian! Sangka mereka.
Pada pegangan saya pula ialah, sekiranya seorang manusia itu ada kekuatan untuk bertaubat berkali-kali, itu bermakna dia ada kebaikan di dalam dirinya. Sesungguhnya setiap manusia itu dicipta dengan latar belakang dan suasana yang berbeza. Masing-masing ada cabaran masing-masing. Apa yang penting ialah, semua mahu melepasi cabaran tersebut. Semua mahu kembali kepada Allah SWT. Maka jika seorang hamba Allah SWT itu, setiap kali melakukan dosa dan dia menyesalinya dengan penuh penyesalan, bertaubat dan memohon ampun penuh kesungguhan, berusaha yang terbaik untuk meninggalkan perbuatan buruknya, tetapi kemudian tersungkur jatuh semula dan kembali mengulangi proses sebegini berulang kali, ianya bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dibuat-buat!
Siapa kita untuk menjadi Tuhan dan menilai orang lain? Menentukan sama ada taubat mereka diterima atau tidak? Menentukan sama ada mereka serius atau tidak?
Sejak bila Allah SWT memerlukan kita untuk membantuNya menilai manusia lain?
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah Al-Baqarah ayat 255.
Allah SWT bukanlah bodoh, dan Maha Suci Allah SWT daripada kelalaian dan kealpaan. Allah SWT tahu siapa yang ikhlas bertaubat dan siapa yang tidak.
Maka bukan urusan kita hendak menilai orang lain, sama ada taubatnya diterima atau tidak, sama ada dia serius bertaubat atau bukan. Serahkan semua itu kepada Allah SWT.
Apakah tugasan dan tanggungjawab kita?
The post Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan – Taubat & Pembersihan Diri. appeared first on Langit Ilahi.
June 21, 2016
Cinta Di Hari Badar
“Pergilah kamu bersama Tuhanmu berperang, kami akan bersama-sama kamu turut berperang !”
Tidak banyak yang dikatakan oleh Al-Miqdad, salah seorang wakil Muhajirin itu. Sekelumit kata penuh cinta, yang memberikan kekuatan pada meneruskan momentum perjuangan di hari Badar.
Tidak mudah hari Badar itu. Ia menguji keimanan, keyakinan dan rasa cinta sesama mereka.
Tidak mudah kerana bukan itu yang mereka mahukan ketika mereka mula keluar dari Madinah. Hanya mahu mendapatkan semula barang milik mereka dari kafilah Quraisy yang telah memperdagangkannya saat mereka berhijrah beramai-ramai ke Madinah kerana ingin menyelamatkan iman.
Namun, teruji lagi iman mereka saat ini.
Cinta Ansar Memperkuatkan Saf
Hanya tinggal mendapat kata putus dari Ansar sahaja sekarang. Muhajirin telah pun memberikan lampu hijau untuk meneruskan perjuangan bersama Rasul.
Saat ini, teruji cinta para Ansar kepada Rasul s.a.w. Bagaimana tidak, mereka telah berbai’ah sebelum ini di Aqabah hanya untuk melindungi Rasul s.a.w. sekiranya baginda berada di Madinah.
“Wahai Rasulullah, kami berlepas diri dari melindungimu sehinggalah kamu sampai ke perkampungan kami. Sekiranya engkau telah tiba pada kami, maka engkau berada dalam perlindungan kami. Kami akan menghalang engkau dari apa-apa (serangan) sebagaimana kami menghalangnya dari anak-anak dan isteri-isteri kami.”
Itu bai’ah saat masih berada di Aqabah. Bai’ah hanya untuk melindungi ketika baginda berada di Madinah.
Sekarang sudah berada di Badar yang kira-kira 80 batu jauhnya dari Madinah. Mahu lagikah mereka bersama melindungi dan meneruskan perjuangan bersama Rasul s.a.w.? Ditambah lagi dengan risiko kehilangan nyawa yang akan mereka hadapi, apakah mereka sanggup?
“Asyiru alayya ayuhannas !” Rasulullah s.a.w. memberikan isyarat ringkas. Dalam kata lain, maksudnya, “Berilah nasihat padaku wahai sekalian manusia !”
Tidak langsung baginda menyebutkan nama Ansar kerana bimbang mereka tidak bersedia menyahut panggilan juang di luar Madinah. Namun, barangkali didikan Islam telah membuatkan jiwa mereka terpanggil dan cepat memahami.
“Demi Allah, seakan-akan kau memaksudkan kami, wahai Pesuruh Allah.” balas Saad bin Muaz, salah seorang wakil Ansar.
“Ya.” jawab baginda.
Belum pernah baginda menghadapi suasana segetir ini bersama Ansar. Kalau bersama Muhajirin itu, telah banyak kali mereka pernah lalui bersama ketika di Makkah.
Entah apakah yang akan diucapkan oleh wakil Ansar ini. Risau.
Saad bin Muaz bangun lalu berkata, “Kami telah beriman denganmu, membenarkan kamu serta menyaksikan bahawa apa yang telah engkau bawa adalah kebenaran. Dan kami berikan kepadamu seluruh kepercayaan kami untuk taat dan patuh kepadamu. Teruskanlah wahai Rasulullah dengan apa yang engkau mahu lakukan, kami akan tetap bersamamu.
Demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran, sekiranya dibentangkan di hadapan kami lautan yang luas, dan engkau menyuruh kami menyeberanginya, nescaya kami akan menyeberangi lautan itu bersama-samamu dan tidak akan berpaling daripada kami walau seorang pun.”
Kata-kata itu melegakan dan menggembirakan hati baginda s.a.w. Seakan-akan hilang seketika kerisauan ke atas peperangan pertama yang akan mereka hadapi ini dalam sejarah Islam.
Cinta telah menyebabkan mereka lulus ujian di hari Badar.
Cinta telah menaut hati mereka untuk tetap kekal setia di atas jalan juang meski akan teruji segala apa yang dimiliki oleh mereka, baik nyawa mereka, baik harta mereka.
Cinta telah menumbuhkan kekuatan dalam jiwa mereka menghadapi hari-hari genting yang mereka tidak mereka tahu bagaimana akhirnya, yang mereka sendiri sedar betapa kerdilnya persediaan mereka, namun cinta membuatkan mereka tak rela melihat saudara-saudara seiman mereka pergi berjuang dan bekerja keras sementara mereka hanya menikmati kerehatan dan keenakan dunia.
Tapisan Cinta
Masih tulus lagikah cinta kita pada saf-saf perjuangan kita untuk Islam seandainya ujian menerpa sebegini rupa? Dalam keadaan kita merasa kita masih punya banyak kekurangan, dibataskan pula oleh pengalaman-pengalaman yang tidak seberapa, kemudian dibayangi dengan kekuatan musuh yang serba lengkap dan bilangan yang lebih ramai, mahu lagikah kita terus setia memberikan cinta?
Cinta itu nampak harmoni pada kata, tetapi teruji pada maknanya.
Bila dakwah menghadapi halangan demi halangan, cabaran demi cabaran, tapisan cinta akan berlaku.
Sehinggalah tinggal mereka yang benar-benar kukuh keyakinan, yang meyakini bahawa kekuatan dan kemenangan tidaklah dinilai pada ukuran-ukuran fizikal yang kelihatan di mata semata-mata, tetapi juga pada ukuran-ukuran dasar tersembunyi di antara hati manusia dengan Tuhan yang selalu diabaikan.
Demikianlah pesanan Tuhan yang telah menganugerahkan kejayaan di hari Badar.
“Wahai orang-orang beriman, sekiranya kamu bertemu pasukan (lawan), maka berteguhlah hati dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, semoga kamu mendapat kejayaan.” [Al-Anfal : 45]
Ketika dakwah dan kebenaran terus-menerus diuji, apakah masih tulus cinta di hati?
Penutup : Hari-hari Badar
Hari-hari Badar yang pernah muncul dalam hidup kita, masih terpasak kuatkah iman kita ketika itu?
Hari di mana ujian datang menguji kita apa yang tidak pernah kita jangka, hari di mana ujian datang menerpa saf kerja dakwah kita yang kita rasakan masih banyak kekurangan dan kelemahan masih ada dan tak tertanggung untuk melayan ujian yang tiba, hari di mana ujian datang menjenguk kita dalam keadaan pengalaman kita yang sikit menghadapinya.
Dan kita pula mempunyai banyak peluang-peluang untuk berlepas diri dari perjuangan sekiranya kita mahu.
Namun, keimanan dan keyakinan kita kepada Allah akan mengatasi segalanya.
Pada hari itu, teruji kejujuran cinta kita di atas tinta perjuangan, masih mampukah untuk kita terus mengungkapkan, “Pergilah kamu bersama Tuhanmu menghadapi ujian, kami akan bersama-sama kamu turut menghadapinya !”
The post Cinta Di Hari Badar appeared first on Langit Ilahi.


