Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 39
June 16, 2015
Ramadan Merawat Latah Pendakwah (dan Peminat Siasah)
“Saya rasa serban yang dipakai itu hanya mengongkong pemikiran. Jumud!” kata seorang lelaki.
“You’re Muslim, damn you must be the one from Osama Fan Club!”, lagak seorang ‘mat saleh’ penuh angkuh.
“Ooi bodoh! Berapa kali aku nak panggil engkau. Sini la!” jerit seorang pelajar yang senior setahun.
Mustahil telinga tidak berdesing mendengar komen-komen di atas. Rasa terhiris dan mudah sahaja untuk bertindak balas. Kita ada seribu satu sebab untuk mengiyakan tindak balas kita… sama ada dengan maki hamun semula, selinsing lengan atau kurangkan bercakap banyakkan tindakan, bagi sejibik… sebijik!
Tetapi secara khusus di bulan Ramadhan ini, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar sebaliknya.
Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)
Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.
Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.
Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.
Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.
Apa ini? Mengapa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar begini? Apakah Islam menyuruh kita untuk play victim? Mampukah yang bertahan, menjadi Muslim yang tidak jantan… dengan hanya berkata AKU BERPUASA?
JANTAN KITA
Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang pantang dicabar. Pada yang harimau tidur jangan diganggu. Itulah ukuran kejantanan kita.
Tapi hebat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza.
Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?
Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tiada sifat marah?
Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!
Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.
Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.
“Biar dia habiskan urusannya!” kata Baginda tenang.
Lantas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta air dan sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.
Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!
Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.
Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.
Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.
LATIHAN RAMADHAN
Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.
Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan” (Al-Hujurat : 6)
Bagaimana mahu menyiasat? Bagaimana mahu bertindak dengan tepat? Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.
Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah terangsang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan.
Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu…”
Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.
TELADAN HUDAIBIYAH
Lihat sahaja kerenah orang Mekah dalam perjanjian Hudaibiyah. Siapa yang tidak marah dengan permintaan mereka? Sewenang-wenangnya kelihatan seperti win-lose situation.
“Kalau orang Mekah lari ke Madinah, ia mesti dipulangkan ke Mekah semula. Jika orang Madinah datang ke Mekah, ia tidak perlu dipulangkan ke Madinah”… orang Mekah dengan sombong meminta. Panas telinga.
“Mana boleh tulis Rasulullah. Kalau tertulis Rasulullah, maknanya kami mengiktiraf kamu dan kenalah kami ikut kamu. Tulis Muhammad bin Abdullah, sudah!” ego orang Mekah di depan baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ada segala sebab untuk bersikap defensif. Gelaran Rasulullah bukan anugerah sultan atau mana-mana raja Arab. Ia kurniaan Allah. Tiada sebab untuk tidak bertegas mempertahankannya.
Letakkan diri kita di kasut sahabat yang hadir ke perjanjian itu… mahunya tidak marah?
Tetapi bijaksana dan gagahnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengawal diri dari marah, tersinggung dan rasa dihina, membolehkan baginda memandang jauh, penuh rasional dan akhirnya mampu memisahkan di antara kepentingan substance dan form. Perjanjian Hudaibiyah berjaya menawarkan apa yang paling penting bagi sebuah dakwah dan perjuangan iaitu gencatan senjata! Bersetuju menjaga keamanan.
Inilah yang diperlukan oleh dakwah. Keamanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam untuk berdakwah, bukan hanya di sekitar Mekah dan Madinah, malah utusan sampai ke seluruh empayar dan maharaja yang ada. Dakwah jadi efektif hasil keamanan. Keamanan dicapai hasil kebijaksanaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengutamakan substance dari form.
REMAJA ‘BIADAB’
Pernah sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.
Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Malah riwayat di atas menceritakan bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbuanak muda berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “mah, mah!”, iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin berzina dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Namun Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated.”, bersikaplah kepada orang lain sebagaimana apa yang kamu harapkan dari orang lain untuk bersikap demikian terhadap dirimu”.
Pemuda itu dibawa mendekati Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Wahai pemuda,” sapa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.
“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.
“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”
“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”
“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.
“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”
Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”
Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil daripadanya?
Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan, dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati, khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang maaruf.
Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit dari kejayaan menguruskan perkara yang amat basic, iaitu keupayaan mengawal diri, pro aktif dan tidak cepat melatah.
Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.
Tidak bersetuju itu harus dan lumrah. Caci mencaci itu keji.
Bahasa ceramah, bahasa akhbar, bahasa majalah, bahasa dakwah… Ramadhan mengajar kita agar menyampaikannya dengan penuh hemah dan terkawal.
عن أبي هريرة رضي الله عنه: ((سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أكثر ما يدخل الناس الجنة فقال: تقوى الله وحسن الخلق، وسئل عن أكثر ما يدخل الناس النار فقال: الفم والفرج))
Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasululllah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah ditanya, apakah perkara yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Syurga? Jawab baginda: TAQWA KEPADA ALLAH serta AKHLAQ YANG BAIK. Baginda ditanya lagi, apakah perkara yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Neraka? Baginda menjawab: MULUT DAN KEMALUAN [HR Al-Tirmidhi dan Ahmad]
Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa, dari yang disangka! Kawal diri, kamulah si gagah itu!
June 15, 2015
Mengapa Ramadan Kita Tidak Berkesan
“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.
Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan peringatan, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.
MASALAH INPUT
Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.
Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
MASALAH PROSES
Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.
Belajar tidak pernah habis.
Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.
Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.
Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.
Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?
21 jam!
Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.
Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.
Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.
Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?
Di tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansukhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Hindari perbuatan ini.
Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.
Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!
Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.
Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: setiap umatku masuk Syurga, kecuali yang tidak mahu. Mereka (para sahabat) bertanya: Siapa pula yang tidak mahu itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: siapa yang mendurhakai diriku, maka sesungguhnya dia itu yang tidak mahu (masuk Syurga) [HR al-Hakim]
Salam Ramadhan.
May 26, 2015
Menginsafi Gejala Menyalahgunakan Nas
“Man shazza, shazza ilannār! Siapa yang berseorangan (tidak bersama jemaah), berseoranganlah dia juga di Neraka” kita bersemangat menukil hadith ini.
“Solat, puasa, semua tak ada makna, kalau tidak bersama jamaah!” ada amilin menambah rencah.
Memetik hadith-hadith dalam lingkungan topik hak Jamā’ah al-Muslimīn di kalangan amilin gerakan Islam, adalah perkara yang pernah menjadi kebiasaan. Ia bukanlah sesuatu yang sihat, malah disedari akan tidak kenanya pemahaman sedemikian rupa, yang membenih sikap melampau. Tetapi di satu ketika, saya bersama rakan-rakan rasa, ia hanya masalah sesetengah ahli jemaah semasa menuntut di Jordan sekitar awal 1990’an yang lalu.
Dek fasih memetik nas, hadith keutamaan saf awal pun hendak ditakwil kepada keutamaan jemaah terawal. Sedangkan kelebihan-kelebihan yang ada pada kumpulan kita itu pun sudah cukup untuk menjadi sandaran kekuatan mengajak orang bersama dengan perjuangan. Tidak perlulah sampai memuktamadkan nas-nas itu seumpama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bercakap kepada para sahabat tentang jemaah kita.
Jemaah yang lain itu salah. Tidak Syar’i!
Justeru pada akhir tahun 1994, Ustaz Asri (kini Mufti Perlis) bersama rakan-rakan di dalam Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS) mengundang Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī ke sebuah majlis khusus untuk pelajar Malaysia di Jordan, bagi mengupas maksud istilah Jamā’ah al-Muslimīn di dalam hadith-hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. INPIS itu asalnya adalah sebuah study circle yang dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar Malaysia mengaji di bawah bimbingan tokoh-tokoh yang pengkhususannya adalah di dalam bidang yang diwakili setiap lajnah di dalam INPIS.
Jika lajnah Tafsir, pembimbingnya Sheikh Solāh sendiri.
Jika Hadith, pembimbingnya adalah Dr. Hammam Sa’īd.
Manakala lajnah Siasah Syar’iyyah, pembimbingnya adalah Dr. Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris.
Kami pekakkan sahaja telinga apabila rakan-rakan mentohmah INPIS sebagai ‘jemaah baru’. Ia tabiat membuang masa yang wujud di dalam budaya pelajar Malaysia. Asalnya bergosip-gosip, lama-lama berubah menjadi persepsi yang diterima sebagai kebenaran. INPIS jemaah baru!
Dan menubuhkan jemaah baru itu memang besar jenayahnya dalam lingkungan jemaah Islam.
Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī mengambil masa lebih dua jam mengupas istilah Jamā’ah al-Muslimīn itu dan ia berakhir dengan kesimpulan bahawa gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan, PAS dan yang seumpama dengannya, semua itu setiap satunya adalah Jamā’ah min al-Muslimīn dan bukannya Jamā’ah al-Muslimīn sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Maka menggunakan peruntukan di dalam nas berkaitan dengan Jamā’ah min al-Muslimīn untuk aplikasi di dalam sebuah gerakan Islam adalah ghuluw (melampau) lagi berbahaya.
Sesiapa yang berseorangan dan tidak menyertai jemaah kita, maka dia akan berseorangan di Neraka? Berapa ramaikah umat Islam yang di pandangan kita mereka itu bakal berseorangan di Neraka? Implikasinya kepada sikap di dalam dakwah, serta sikap terhadap psikologi diri sendiri amat besar. Di atas premis yang salah, kita membina sifat grandiose yang merosakkan.
Bagi kami yang hadir di dalam majlis ilmu bersama Sheikh Solāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī itu, penerangannya jelas. Kami yakin, dengan mengemaskini kefahaman kita terhadap nas dan hubung kaitnya dengan jemaah, ia adalah langkah yang sihat untuk jemaah. Ia tidak akan menjejaskan jemaah kerana berjuang secara berjemaah itu memang banyak kebaikannya. Tanpa perlu dinas-naskan di luar konteks. Tetapi untuk menjadikan mereka yang tidak bersama jemaah kita itu sebagai salah, sesat, ia mesti dibanteras. Ia adalah barah.
Malangnya…
Jawapan sebahagian ahli jemaah mendukacitakan.
Kata mereka, “Sheikh Solāh tidak faham waqi’ (realiti) Malaysia!”
Apa kena mengenanya realiti Malaysia, dengan maksud hadith berkenaan? Jika Sheikh memahami realiti kita di Malaysia, saya fikir mungkin Sheikh akan membuat kesimpulan yang lebih keras. Mungkin… mungkin Sheikh Solah akan bertegas mengharamkan perkaitan nas Jamā’ah al-Muslimīn dengan PAS.
Ia sungguh mengingatkan saya kepada peringatan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
فأصل خراب الدين والدنيا، إنما هو من التأويل الذي لم يرده الله ورسوله بكلامه
“Asal usul kepada binasanya agama dan dunia ialah hasil daripada takwil yang tidak dimaksudkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam kata-kata pentakwil itu…” [Petikan Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam dorar.net]
Pelbagai fitnah timbul sama ada yang besar mahu pun yang kecil, kesan daripada mentakwil nas dengan makna-makna yang sedemikian rupa. Sikap yang menjadi punca utama lahirnya kelompok-kelompok melampau di dalam sejarah Islam.
Semasa masih aktif di dalam perkaderan jemaah, hal ini kami usahakan agar ia diperbaiki. Jangan ajak orang kepada jemaah dengan penyalahgunaan nas. Jangan posisikan orang yang tidak memilih jemaah kita sebagai musuh. Cukuplah sekadar kita terangkan kelebihan-kelebihan yang kita ada, untuk mengajak orang bersama. Selama beberapa tahun di sekitar 2005 hingga 2008, paradigma yang lebih positif, inklusif dan mendekati maksud asal ‘jamaah’ sebagai tempat berhimpunnya manusia ini diterima secara baik dan meluas. Namun lama kelamaan, sikap-sikap lama yang sudah dibanteras dengan pelbagai cara itu dihidupkan kembali. Dan kini ia kembali mendominasi.
Sepatutnya kisah 1990’an di Jordan itu terkubur sebagai cacatan kerenah pelajar-pelajar di zaman kebudak-budakan dahulu. Namun dek penyakit yang tidak dirawat sepenuhnya, dan membiarkan ia hilang dibawa angin, angin lama itu akhirnya mendaratkan penyakit tersebut ke pesada semasa.
Menggunakan nas-nas al-Quran, al-Hadith, Sirah untuk menjustifikasikan hujah-hujah yang tidak masuk akal, mencipta istilah-istilah yang Allah haramkan di dalam surah al-Hujurat (menggelar sesama Muslim dan Mukmin dengan gelaran-gelaran buruk, selepas iman), menjadi permainan agamawan pada masa ini. Demi secebis political mileage yang mahu dicapai dalam agenda kecil, fitnah berleluasa merosakkan agama dan umat Islam.
Apa sahaja kecelaan lisan, sejelek mana pun ia di telinga orang ‘awam’, ada sahaja dalilnya, ketika pengungkapnya memakai gelaran ustaz, agamawan malah tuan-tuan guru.
Ketika kebejatan begitu berleluasa, saya tidak nampak bagaimana menukar pemimpin boleh mengubah nasib jemaah, ketika jemaah sudah kenyang menjamah kesalahan-kesalahan yang bersifat self destructive. Masalah kini bukan lagi berpaksikan isu, atau individu. Ia adalah budaya, pola pemikiran, yang mendarah daging dalam budaya impulsif media sosial.
Hakikatnya…
Kita tidak pernah putus asa dengan Islam.
Islam sentiasa segar, penuh solusi, relevan dan signifikan, kerana ia adalah apa yang Pencipta kita berikan kepada kita sebagai sistem hidup kita. Berfikir tentang Islam sentiasa menjadikan kita optimis. Yang bermasalah sentiasa sebab ia jauh dari Islam. Yang berpotensi sentiasa sebab ia dekat dengan Islam. Berbeza halnya dengan kumpulan Islam, jemaah Islam atau parti Islam. Kecewa dengan parti Islam bukan kecewa dengan Islam. Kecewa dengan parti Islam ialah apabila ia jauh daripada Islam. Sesungguhnya Allah berjanji memelihara Islam. Tetapi manusia Islam, parti Islam… ia bergantung kepada sejauh mana iltizamnya dengan Islam yang sebenar.
Islam maksum. Ada pun Muslim… tepuk dada, tanyalah sungguh-sungguh iman di dada.
Kasihan masyarakat.
SAIFULISLAM.COM
May 17, 2015
Sekolah Integrasi Yang Tidak Berintegrasi
Kini sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan.
Perkataan integrasi laku dalam pendidikan. Dalam pasaran persekolahan.
Integrasi akan membantu ibu bapa membayangkan anak-anak hanya pergi ke satu sekolah dan di sekolah itu semua sudah ada. Ada akademik, ada ilmu agama. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah. Anak-anak tidak perlu balik rumah di tengah hari, menukar baju, sebelum ke sekolah yang satu lagi. Makan minumnya sudah diuruskan sekolah, tiada keperluan untuk 4 trip bas sekolah, lebih selamat, dan akhirnya mungkin lebih murah.
Sekolah integrasi adalah sekolah yang memudahkan.
Cuma…
Kita mungkin tidak berlaku adil kepada makna integrasi. Integrasi pada kita hanya mengadakan dua benda di dalam satu sekolah, walaupun dua benda itu tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama di sisi akademik adalah appended, dan bukannya integrasi.
Kita mahu al-Quran wujud dalam subjek al-Quran sahaja.
Kita tidak berfikir betul-betul, sejauh mana perlunya al-Quran itu turut wujud dalam subjek selain al-Quran.
Al-Quran dalam matematik?
Al-Quran dalam sains?
Al-Quran dalam sejarah?
Al-Quran dalam geografi?
Al-Quran dalam ekonomi dan perakaunan?
Al-Quran dalam bahasa?
Al-Quran dalam seni?
Al-Quran dalam bukan sekadar apa yang diajar, tetapi al-Quran dalam bagaimana pelajaran diajar?
‘Quranik’kah cara guru mengajar?
‘Quranik’kah cara guru mengajar al-Quran itu sendiri?
Tanpa sedar, yang lahir daripada sebuah sekolah integrasi adalah seorang Muslim yang di dalam dirinya masih ada dua. Dua yang menumpang satu tubuh dan minda. Tetapi dua yang tidak berinteraksi, tidak berintegrasi. Agama dan akademiknya tiada kena mengena, kecuali pada ‘akhlaq’ yang mungkin sebenarnya bukan hasil interaksi ilmu agama dan ilmu non agamanya.
Justeru yang lahir daripada sekolah integrasi, masih seorang yang berminda sekular, sama ada dia menjadi dewasa yang berketayap, atau bertali leher.
Jurutera al-Hafiz sekular, sebab kejuruteraannya adalah kejuruteraan non Quranik. Manakala al-hafiznya dia, tidak mempengaruhi kejuruteraannya di peringkat falsafah ilmu dan seterusnya aplikasi.
Soalnya, penting sangatkah semua ini? Penting sangatkah disiasat matematik kita matematik berasaskan pandangan alam Islam, atau main belasah sahaja sebab kita percaya matematik ialah matematik. Tiada pertempuran teori dan ideologi di belakangnya?
“Entah, anak saya ok aje. Apa yang awak bisingkan?” tanya ibu, atau bapa.
Saya pun terdiam.
Jika ibu bapa hanya mahukan sekolah yang ada dua, tanpa keperluan dua itu berinteraksi menjadi satu, apa nilai perjuangan mengintegrasikan ilmu, dalam pasaran?
Sekolah integrasi tumbuh bagai cendawan, cendawan yang boleh dimakan, atau cendawan racun yang memudaratkan?
HASRIZAL
Saifulislam.Com
May 11, 2015
Muzik Kita Daripada Cat Stevens ke Yusuf Islam
Saya tergamam. Kaget dengan kata-kata Cat Stevens, “I know, I have to go away”.
Itu adalah bait-bait yang dialunkan olehnya di dalam lagu Father and Son, sebagai lagu perpisahan beliau kepada dunia muzik, selepas memeluk Islam pada tahun 1977. Konsert itu didedikasikan kepada peminatnya kerana Cat Stevens mahu pergi. Pergi setelah melafazkan syahadah semasa berada di puncak kegemilangannya sebagai seorang artis bertaraf antarabangsa.
Katanya hari itu, “we’ve only got one life, and we’ve got to do the best with it. And you’ve got to find the right path, and when you do, you know it. I pray that you find the right path. Insha Allah. GOOD BYE, ASSALAMUALAIKUM!”
Itulah titik perpisahan Cat Stevens dengan seluruh dunia muzik yang ditinggalkannya. Beliau kemudiannya menjadi YUSUF ISLAM.
SAYA DAN CAT STEVENS
Semasa kecil, hidup di akhir 70′an saya amat terdedah kepada muzik. Minat saya kepada muzik sangat mendalam. Pernah ketika di Darjah 2, saya memberitahu kepada cikgu, bahawa cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang penyanyi.
Salah satu daripada album yang saya miliki semasa di usia itu adalah Tea for the Tillerman, iaitu album Cat Stevens tahun 1970, yang memuatkan lagu favourite saya iaitu FATHER AND SON.
Lama saya mengenali Cat Stevens kerana minat saya kepada muzik, tanpa mengetahui yang ketika itu beliau sudah pun berhijrah ke dunia Yusuf Islam.
SAYA, MUZIK DAN PEMUZIK
Minat yang begitu mendalam kepada muzik, menjadikan subjek muzik sebagai subjek kegemaran saya semasa di sekolah rendah. Miss Cicellia yang menjadi guru muzik saya, adalah salah seorang guru yang paling saya sayangi, di samping Ustazah Halimah, guru agama saya ketika itu.
Semasa di Darjah 2, saya menyertai pasukan pancaragam sekolah dengan alat muzik flute selama setahun, tetapi ketika di Darjah 3, saya ditawarkan untuk mencuba trumpet. Saya jatuh cinta dengan trumpet dan mempelajarinya secara serius bersama Cikgu Khoo.
Mungkin bakat itu ada di situ, saya menguasai dengan baik alat muzik berkenaan sama ada dari segi teknik memainkannya, mahu pun penguasaan note dan berjinak-jinak dengan mencipta lagu. Tatkala masuk dua tahun saya menjadi pemain trumpet, saya dihadiahkan oleh pihak sekolah dengan trumpet berjenama YAMAHA berharga RM300 yang menjadi milik eksklusif saya hingga ke Darjah 6.
Vizzutti Trumpet- Yamaha
Maka setiap kali berlangsungnya sukan tahunan, dan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak, saya akan muncul sebagai pemain trumpet yang sering menarik perhatian ramai, dek bunyinya yang begitu kuat, hampir menenggelamkan bunyi alat muzik lain. Gelaran “budak trumpet” lekat bersama saya, bertahun-tahun lamanya.
HIJRAH SAYA
“Awak masa sekolah menengah nanti, janganlah sekolah jauh-jauh. Nanti senang kami nak panggil awak ke sekolah untuk ajar pelapis”, kata cikgu muzik saya semasa mengisi borang-borang tawaran ke sekolah menengah.
“Baik cikgu. Saya pasti rindukan trumpet saya satu hari nanti”, saya memeluk beg trumpet semasa menyerahkannya kepada sekolah. 3 tahun saya menggendong trumpet itu bersama beg sekolah, melepaskannya terasa bagai suatu kehilangan.
Ketentuan Allah, saya melanjutkan pelajaran ke sekolah agama.
Biar pun SMA Izzuddin Shah tidaklah jauh dari sekolah rendah saya, tetapi sekolah agama ini telah mengubah haluan hidup ini. Tidak perlu menunggu lama, seawal minggu orientasi di Tingkatan 1, saya tersungkur di hadapan sebuah penemuan.
Tazkirah Ustaz Muhammad, guru matematik saya, tentang tujuan dan maksud hidup telah meninggalkan saya basah tenggelam dengan air mata di surau selepas subuh itu. Saya tidak berdaya bangun kerana terasa seperti seorang bayi yang baru lahir.
Bermulalah zaman Islam, ‘alam jahiliah’ saya tinggalkan.
MUZIK DI ‘ERA ISLAM’ SAYA
Seperti artis pujaan saya, Cat Stevens, saya memilih untuk meninggalkan sepenuhnya minat saya kepada trumpet dan muzik. Suasana zaman itu memberi pilihan sekadar dua, iaitu sama ada muzik itu haram secara mutlak, atau kamu menerima sahaja muzik sebagai jahiliah diri.
Saya tinggalkan alat muzik dan lagu.
Tetapi saya tidak mampu meninggalkan muzik.
Dalam rancak saya menghafal al-Quran di usia awal belasan tahun, saya masih mencari irama untuk mengisi nota-nota muzik di dalam kepala.
Ketika itulah saya menjadi peminat kumpulan nasyid Nadamurni. Nasyidnya sunyi dari alat muzik tetapi irama, lirik dan roh yang menghidupkannya sungguh berbekas di jiwa. Kekosongan lagu tanpa alat muzik tidak terasa kekosongannya kerana lirik dan irama yang ‘bernyawa’. Tidak ada satu pun album kumpulan Nadamurni yang saya tidak miliki.
Malah ketika itu juga alunan nasyid dari kumpulan Aspirasi Seni, Usrah al-Wadi dari Mesir mula mengisi diri saya.
Nasyid adalah dunia saya. Muzik tidak lagi. Syukur juga era awal 90′an kesemua genre Rock di Malaysia diisi dengan lagu-lagu Rock Kapak yang langsung tidak mengujakan saya. Malah menambah rasa tidak suka dan memudahkan proses hijrah saya.
Terkenang semasa di Tingkatan 5, saya selaku Presiden BADAR telah membuat pemeriksaan mengejut di asrama Blok B. Semasa memeriksa locker seorang pelajar Tingkatan 3, saya sedikit teruja melihat begitu banyak kaset nasyid di dalamnya. Entah kenapa, terdetik pula hati mahu mencuba kaset tersebut.
Allahu Akbar! Saya amat terkejut.
Rupa-rupanya semua kaset itu berisi dengan lagu Rock. Tentu sahaja saya mengenali lagu-lagu itu kerana saya membesar dengan lagu When the Smoke is Going Down, Still Loving You dan Fly to the Rainbow dendangan Scorpions semenjak usia pra sekolah. Pengaruh abang-abang saya pun ya juga. Mereka yang fanatiknya. Saya mendapat tempias sama.
Saya tidaklah begitu marah hingga melenting kalau pelajar ini mendengar lagu Rock. Tetapi saya amat marah kerana dia menyembunyikan lagu-lagu rock itu dengan melakukan dubbing ke dalam kaset nasyid. Ini satu kemunafikan!
Panggg!!!
Pelempang saya melayang ke muka pelajar itu. Jika pelajar itu yang saya masih ingat namanya hingga ke hari ini membaca artikel ini, maafkan saya atas kekasaran di masa itu.
DIA JUGA BERHIJRAH
Semasa di Tingkatan 2 (1989), saya berjumpa dengan album Afghanistan of Islam dendangan Yusuf Islam.
“Hairan, suaranya seperti Cat Stevens!”, saya bermonolog sendirian di dalam bilik semasa mendengar lagu-lagu nasyid tanpa alat muzik dendangannya.
Allah! Saya tergamam.
Sungguh mengejutkan, dan betapa lewatnya kejutan saya itu, tatkala mengetahui yang Cat Stevens telah memeluk Islam. Yusuf Islam itu rupa-rupanya nama bekas artis yang menjadi minat saya. Justeru, lagu-lagu seperti Father and Son, Wild Wild World, Morning Has Broken dan lain-lain telah lama saya tinggalkan, kini ia berganti dengan nasyid seperti A Is For Allah di dalam kaset itu.
DI JORDAN
Minat kepada muzik masih terpendam di dalam diri.
Tetapi ia tidak pernah saya layan kerana pendirian yang berpegang dengan pandangan ulama yang mengharamkan muzik. Akan tetapi jujurnya, segala nota muzik yang saya mainkan semasa di sekolah rendah, masih mampu saya tulis kembali kerana ia sangat berbekas di dalam ingatan.
Malah tiga jari saya masih mampu menggerak-gerakkan diri mengikut nota itu, biar pun sudah hampir sedekad saya berhijrah.
Semasa di Jordan, saya terus membaca dan mengkaji pandangan Ulama tentang muzik. Selepas seminar pembentangan kertas kerja berkumpulan yang dibuat di Irbid, saya berpuas hati dengan kesimpulan kertas kerja Ustaz Wan Muhammad Wan Sulong bahawa muzik tidak haram secara mutlak dan literal, tetapi ia bersangkut paut dengan hal berkaitan uruf. Berkenaan dengan perkara-perkara cela yang dikaitkan dengan muzik seperti zina, arak, dan hal-hal yang seumpama dengannya.
Ada ruang untuk muzik.
Di dalam ruangan itulah saya mengisi kecenderungan diri dengan memanfaatkan Ilahiler dari Turki. Lagu-lagu yang dihasilkan oleh tokoh seperti Mehmet Emin Ay, Mustafa Demirci, Mesut Cakmak dan Ahmet Ozhan memberikan kepuasan kepada saya. Bukan sahaja lirik-liriknya indah (banyak menggunakan syair), malah sentuhan irama dan music arrangement yang dipersembahkan sangat harmoni dan membangkitkan semangat, emosi dan kekuatan dalaman diri.
Sentuhan muzik Turki dan cabang-cabangnya memang kaya. Bahkan itulah yang turut sama menyentuh Yusuf Islam tatkala beliau cuba melakukan sesuatu yang memberikan impak terhadap tragedi Bosnia Herzegovina di pertengahan 90′an.
“Sungguh mengejutkan. Pertemuan saya dengan komuniti Muslim Eropah telah membuka satu lembaran baru kepada diri saya”, kata Yusuf Islam.
Bakatnya di dalam seni, menyentuh dunia dengan kemunculan albumnya ketika itu iaitu I Have No Cannons That Roar.
Di samping al-Quran, inilah muzik yang mengiringi kehidupan saya.
Nasyid-nasyid ‘moden’ yang datang dari Malaysia semakin sukar untuk saya hayati. Terasa kering dan hambar, malah menyebut ‘Tuhan’ pun tidak mencetuskan ingatan kepada ‘Tuhan’. Terasa lagha mendengar nasyid!
Saya membenci lagu-lagu kosong, tetapi saya juga membenci nasyid yang kosong. Saya terus mencari muzik berisi yang dihasilkan oleh pemuzik sendiri.
DI ENGLAND
Selama bermastautin di London, muzik yang saya dengar masih lagi dalam lingkungan Ilahiler Mehmet Emin Ay dan Mustafa Demirci yang saya beli dari kedai-kedai buku milik orang Turki. Album Gülbeste, adalah keindahan yang banyak menghiasi hari-hari saya di kota London. Tentu sahaja rakan-rakan membasuh pinggan di Malaysia Hall, masih terngiang-ngiang dengan lagu Turki yang saya perdengarkan kepada mereka saban hari.
Peluang berada di London juga saya manfaatkan untuk melihat Yusuf Islam.
Syukur, saya berpeluang menghadiri circle ceramah beliau di Central Mosque London (Regent’s Mosque) yang diadakan pada hampir setiap hujung minggu. Biar pun tiada lagu atau petikan gitar darinya, saya terus mengagumi Yusuf Islam pada kesungguhannya mengembangkan potensi diri melakukan sesuatu yang memberikan impak kepada Muslim dan dunia secara umumnya.
Ada ketikanya, saya merayau-rayau di Leicester Square kerana mencari buku. Sesekali saya terkenangkan Cat Stevens yang lahir di kawasan sekitar London Soho itu. Maha Suci Engkau ya Allah, di tempat seperti itu lahirnya seorang insan hebat yang dulunya bernama Steven Georgiou, dan kini menjadi pejuang agama-Mu dengan nama Yusuf Islam!
DI IRELAND
Tatkala bermastatutin di Ireland, saya senang sekali mendengar lagu-lagu Cat Stevens dengan iringan hamparan permaidani hijau dan biri-biri Irish di kiri dan kanan jalan. Perjalanan ke Galway dan Letterkenny untuk bertemu isteri, sungguh damai terutamanya ketika saya mendengar aluran irama Morning Has Broken dendangan Cat Stevens.
Sungguh, biar pun beliau dikenali sebagai seorang Pop Star, kebanyakan lagu Cat Stevens, khususnya selepas beliau terselamat dari serangan TB, amat soulful dan memberikan kepuasan kepada jiwa yang mencari makna.
Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, seorang bapa meminta saya menulis surat sokongan anaknya yang mahu dimasukkan ke ISLAMIA SCHOOL, sekolah milik Yusuf Islam di England. Itulah kali pertama saya berhubung dengan Yusuf Islam dan ia menjadi suatu pengalaman yang akan saya kenang sepanjang hayat.
DIA KEMBALI
Pada tahun 2010, saya telah membeli sebuah DVD, bertajuk Yusuf’s Cafe Session. Ia merakamkan persembahan Yusuf Islam di Porchester Hall pada tahun 2007.
Ia adalah sebuah persembahan yang sangat menyentuh perasaan. Tambahan pula DVD ini disertakan dengan dokumentari perjalanan hidup beliau, komentar-komentar pelbagai pihak tentang ‘COMEBACK’ beliau ke industri muzik, termasuklah komen rakan lama Yusuf Islam iaitu Dolly Parton, Bob Geldof dan lain-lain.
Sedutan konsert di Porchester Hall tersebut
Sudah tentu, isi kandungan utama DVD ini adalah kompilasi persembahan Yusuf Islam dari album pertamanya setelah 28 tahun meninggalkan dunia muzik, iaitu An Other Cup.
Namun, apa yang menyebabkan saya begitu terkesan dengan DVD ini adalah kerana dokumentari yang dipaparkan membantu saya memahami apakah yang menarik Yusuf Islam keluar dari industri muzik, dan apakah yang membawanya pulang semula. Temuramah yang diselitkan dengan komen oleh Sheikh Hamzah Yusuf sangat menarik untuk ditonton.
Yusuf Islam mengambil masa yang lama untuk memproses pandangannya tentang muzik.
Saya tidak pasti apakah saya benar-benar telah memahami proses itu, namun hasil pengalaman berwacana dengan saudara-saudara baru di Ireland, saya pernah membuat kesimpulan bahawa itulah cabaran yang sering melanda saudara baru yang memeluk Islam di negara Barat. Perpindahannya dari alam jahiliah kepada Islam yang satu, menyulitkannya untuk melihat kepelbagaian yang ada di dalamnya. Bukan kepelbagaian Islam, tetapi kepelbagaian tafsiran tentang cabang-cabang Islam yang membuka dan menutup ruang ekspresi diri. Syahadah perpindahan dari kufur kepada iman, membentuk polarised thinking yang menjadikan segalanya hitam versus putih.
Atau mungkin sahaja era 80an itu terlalu terkesan dengan insiden-insiden besar. Revolusi Iran yang menamatkan era 70an, peperangan Afghanistan, menjadikan Muslim defensif dan sulit untuk berintegrasi dengan persekitarannya.
Saya terkesan dengannya.
Yusuf Islam nyata amat terkesan dengannya.
Hanya selepas engagement menjadi luas, Yusuf Islam sampai kepada konklusi:
“There’s certainly a change in the wind, and the way in which there is now a chance for a new understanding of the moderate middle path of Islam, because the extremes have been exposed”
Yusuf Islam sendiri pernah dikaitkan dengan keganasan semasa pengisytiharan fatwa oleh Khomeini terhadap Salman Rushdie, malah pelbagai insiden lain membabitkan Sheikh Omar Bakri Mohammed dan lain-lain. Namun Yusuf Islam tetap Yusuf Islam, kalimah yang menjelaskan apa agamanya dan siapa dirinya, ‘keamanan’ terus menjadi mesej utama beliau.
Biar apa sekali pun jenis muzik yang Yusuf Islam hasilkan, akan tetap ada orang yang menyebut, “muzik itu haram”. Tetapi bagi yang mengenali Yusuf Islam, sesungguhnya beliau tidak akan melakukan sesuatu yang nyatanya, bertentangan dengan Islam!
Beliau adalah contoh insan yang setia dengan kebenaran, dalam dunia yang berbeza daripada persekitaran kita.
“And that’s perhaps the best thing I can do right now because to express myself in music is much easier than for me to give a lecture. Because you can argue with a philosopher but not with a good song. And I think I have got a few good songs”
Naskhah terbaru beliau, Why I Still Carry A Guitar: The Spiritual Journey of Cat Stevens to Yusuf dilancarkan baru-baru ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. Saya tidak berkesempatan hadir. Namun dengan bantuan sahabat, saya memperolehi naskhah, bersama tandatangan Yusuf Islam!
Saya mengirim soalan, bertanya apakah pelajar di Islamia School, sekolah milik Yusuf Islam, berpeluang belajar muzik? Saya benar-benar mencari Islamic School yang ada subjek muzik. Beliau memberitahu bahawa buat masa ini kurikulum sekolah mengajar lagu dan muzik menggunakan duff dan alat muzik tradisi, belum mengajar percussion sepenuhnya, tetapi dirancang untuk menuju ke arah muzik sepenuhnya.
Saya akan secara spesifik mengikuti perkembangan ini Insha-Allah.
Daripada Cat Stevens kepada Yusuf Islam.
Dia kembali mengisi, saya kembali terisi.
HASRIZAL
Saifulislam.Com
May 6, 2015
Jenayah Pedophilia: Sudah Bersediakah Kita?
Ketika rakyat Malaysia bergembira dengan cuti hujung minggu yang panjang, kita dikejutkan dengan berita di United Kingdom International Business Times (www.ibtimes.co.uk). Seorang pelajar MARA jurusan Matematik di Imperial College, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Southwark Crown Court. Beliau mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan, dan mengedar 30 ribu imej dan video lucah kanak-kanak bawah umur, 601 daripadanya adalah imej dan video kategori A.
Kategori ini membabitkan foto dan video yang memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak, diungkap oleh pihak polis sebagai “... some of the most extreme images that have ever been seen by officers that work in this field,” kata Sara Keane, daripada Metropolitan Serious Crime Unit.
Semasa kediamannya di Bayswater diserbu, laptop beliau terbuka bersama patung seorang kanak-kanak lelaki bersaiz penuh di sisinya.
Berita itu pantas kemudiannya disiarkan di agensi berita tempatan dan segera tersebar di media sosial.
Tentu sahaja ia berita yang mengejutkan, memalukan, dan sekali gus menyedihkan kita semua, apatah lagi oleh keluarga beliau, serta kenalan juga guru-gurunya kerana nama sekolah menengah dan kolej persediaannya sebelum berlepas ke UK, disiarkan.
Tetapi, apa yang menyebabkan berita itu luar biasa adalah kerana keberhasilannya mengajak rakyat Malaysia bersuara memberikan pendapat masing-masing. Reaksi rakyat Malaysia itu, menjadikan kes ini lebih besar daripada kes seorang pesalah yang sudah pun ditentukan hukumannya. Reaksi rakyat Malaysia memperlihatkan jenayah dalam kategori Nur Fitri ini, sebagai sesuatu yang tidak difahami, justeru ramai yang menganggap hukuman itu terlalu berat, mengapa wajah dan namanya dipaparkan di media, dan kemuncaknya ialah apabila Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akhtar Hussin membuat kenyataan mengatakan bahawa MARA akan memberi peluang kedua kepada Nur Fitri untuk beliau menyambung pengajian di institusi milik MARA sekembalinya beliau ke tanah air nanti!
Itulah yang mendebarkan kita.
Komen kita bercampur aduk di antara pornografi dewasa, perkahwinan sejenis, menyimpan foto dan video namun tidak pernah melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak, serta soal peluang bertaubat, tidak tahu isi hati sebenar pesalah, malah ada juga yang mendakwa bahawa mungkin ada unsur menghina Islam yang dilakukan jika pelajar itu terus di sana!
Walaupun semuanya berkaitan dengan jenayah seksual, tetapi apabila yang dimangsakan itu adalah kanak-kanak, ia perlu berdiri dalam kategori khusus. Kanak-kanak adalah amanah dan tanggungjawab orang dewasa untuk melindungi mereka. Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual ini berada di dalam keadaan mereka tidak memahami apa yang sedang berlaku ke atas diri mereka, dan keduanya kepercayaan mereka kepada orang dewasa itu telah dimanipulasi. Ia menjadikan jenayah ke atas mereka itu salahnya berganda-ganda, dan sangat kejam.
Di UK, sudah ada banyak contoh kes yang membabitkan jenayah Paedophile, termasuk yang berprofil tinggi. Antara kes paling menggemparkan kita adalah pembongkaran kes jenayah paedophile Sir James Wilson Vincent atau lebih dikenali sebagai Jimmy Savile. Seorang tokoh media dan juara fundraising, seorang yang sangat dekat di hati masyarakat Britain, rupa-rupanya adalah syaitan bertopengkan manusia, memangsakan kanak-kanak untuk kepuasan seksualnya.Disebabkan oleh kedudukannya yang sangat ‘mulia’ di mata ramai, tuduhan-tuduhan yang timbul semasa hayatnya tidak diberi perhatian. Hanya selepas kematiannya, ratusan dakwaan keluar hingga membawa kepada penyiasatan dan pembongkaran yang menakutkan.
Dalam kes jenayah paedophile ini, janganlah dihujah seseorang itu baik, atau dalam konteks kita sebagai umat Islam, dia itu mat surau, imam dan sebagainya. Orang jahat ditakuti oleh kanak-kanak. Kebaikan orang baiknya yang menjadikan kanak-kanak percaya kepadanya dan kepercayaan itu dicabuli oleh jenayah kejam berkenaan.
Peter Watts, seorang bekas guru, memiliki lebih 21 ribu foto pornografi kanak-kanak. Beliau mempunyai akses yang banyak dengan kanak-kanak, termasuk melalui tugasannya sebagai jurulatih kriket. Dalam pembongkaran kes jenayahnya, Peter Watts gagal dalam usahanya menghalang BBC menamakan dirinya secara terbuka di dalam dokumentari The Hunt for Britain’s Paedophiles yang disiarkan di BBC2 pada tahun 2002. Dokumentari The Hunt for Britain’s Paedophiles ini menimbulkan banyak kontroversi dan kemarahan rakyat Britain disebabkan oleh pendedahan yang terlalu ‘terang’. Namun mungkin itulah caranya untuk memahamkan mereka yang memandang remeh realiti jenayah paedophile ini. Manusia jenis apa yang boleh terangsang melihat kanak-kanak dicabul? Kombinasi perlakuan jenayah dan sakit mental, menatijahkan kejadian yang amat menakutkan ini.
Mark Hanson yang turut dipaparkan di dalam siri ketiga dokumentari berkenaan, bekas mangsa jenayah paedophile semasa kecilnya, bertukar menjadi pemangsa yang berulang kali melakukan jenayah yang sama. Akhirnya, sehari selepas rakaman penggeledahan rumahnya oleh pihak polis, beliau nekad membunuh diri kerana tidak sanggup menjalani hukuman penjara atas pengulangan jenayah tersebut.
Paedophile tidak mudah melepaskan dirinya dari penyakit jiwa ini.
Malangnya ketegasan yang dilakukan oleh pihak berwajib di UK, menimbulkan kehairanan masyarakat kita.
LOMPONG UNDANG-UNDANG
Disebabkan oleh kuranganya pendedahan terhadap jenayah jenis ini, ramai anggota masyarakat kita tidak faham seteruk manakah kesannya kepada anak-anak kita. Berbeza dengan masyarakat di Barat, mereka telah menempuh pengalaman panjang dengan jenayah paderi di gereja Katholik yang mencabul kanak-kanak, dan hal ini mengubah persepsi mereka terhadap paedophiles untuk membentuk reaksi perundangan terhadapnya.
Undang-undang kanak-kanak di Malaysia masih mentah. Kita mempunyai kurang daripada 10 orang tenaga pakar di Universiti Awam yang membuat kajian di dalam undang-undang kanak-kanak. Kebanyakan mereka tertumpu kepada juvenile justice dan sebahagian yang lain pula tertumpu kepada hak kanak-kanak dan penganiayaan kanak-kanak, dan tidak spesifik kepada jenayah seksual paedophiles.
Akta Kanak-Kanak 2001 [rujukan] juga tidak secara jelas menyatakan sebarang peruntukan untuk melindungi kanak-kanak daripada paedophiles. Pindaan yang bakal dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi pun, mungkin tiada menyentuh hal ini secara khusus. Mungkin Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [rujukan] berguna untuk bertindak menangani jenayah pornografi, tetapi ia tidak mempunyai peruntukan yang dikhususkan terhadap jenayah paedophile. Sedangkan jenayah paedophile itu sendiri sudah bersifat multi-classified.
Untuk sebuah negara bernama Malaysia, belum ada peruntukan untuk campur tangan perundangan, pemantauan terhadap penjenayah paedophile, tiada pelan pemulihan (rehabilitasi) untuk pesalah serta tiada sistem sokongan dan perlindungan untuk kanak-kanak. Kita sangat-sangat jauh ketinggalan di belakang.
Saya berharap ada tenaga pakar di dalam PDRM pada menangani jenayah ini, biar pun buat masa ini kita tidak mempunyai kerangka tindakan perundangan terhadap peadophiles.
Ibu bapa, guru-guru dan anggota masyarakat perlu mendesak wakil rakyat kita membawa isu ini untuk diperdebatkan di Parlimen agar Akta Kanak-kanak 2001 boleh dipinda bagi memasukkan peruntukan ini. Kes Nur Fitri mesti menjadi pendesak kepada perubahan yang amat diperlukan ini.
IMPLIKASI PENGALAMAN SEKS KANAK-KANAK
Saya bukan pakar psikiatri.
Saya hanya anggota masyarakat yang prihatin. Melalui pembacaan dan pengalaman saya berinteraksi dengan beberapa orang anggota masyarakat yang meminta pendapat dalam hal berkaitan masalah rumahtangga mereka (mungkin kerana saya dilabel sebagai Ustaz Cinta ekoran buku Aku Terima Nikahnya), ada di antara mereka yang mengalami kecelaruan orientasi seks disebabkan oleh pengalaman seks pertama mereka semasa kanak-kanak. Mereka ini dicabul oleh lelaki-lelaki kepercayaan mereka (adik beradik, ahli keluarga terdekat, jiran, abang angkat, guru…) semasa mereka sendiri ketika itu tidak memahami apa yang sedang berlaku ke atas diri mereka.
Banyak kajian menunjukkan impak yang besar daripada pengalaman seks pertama, kepada orientasi seks seseorang itu sepanjang hayatnya. Bayangkanlah duhai pembaca, jika semasa anak-anak kita masih berusia muda, masih naif, masih belum sampai masa untuk difahamkan tentang seks kepada mereka, rupa-rupanya sudah pun menjadi mangsa. Pengalaman itu lekat di dalam jiwa mereka dan jumlah anggota masyarakat kita terutamanya lelaki, menjadi gay bagai tidak dapat dibendung-bendung lagi. Tambahan pula kebebasan internet, menjadikan segalanya bagai bencana agung yang menghancurkan generasi umat ini.
Asrama menjadi antara lokasi paling sial pada merosakkan seksualiti remaja. Jangan main-main dengan ‘main-main’ itu kerana bencananya besar.
Sebagai bapa, saya ajar anak saya untuk melindungi aurat mereka, bahagian mana yang tiada sesiapa boleh lihat apatah lagi sentuh, dan mereka mesti mempertahankan aurat mereka secara fizikal. Jika anak lemah bab ini, wajib kukuhkan. Dan sekiranya tak mampu, jangan sekali-kali duduk asrama (walaupun tidak duduk asrama pun belum tentu selamat).
Hal ini sangat serius. Tiada yang kelakarnya pada mengenang zaman asrama, berkaitan kes-kes sebegini.
SELAIN GEREJA KATOLIK
Sikap sambil lewa dan memandang remeh akan jenayah paedophile di kalangan masyarakat kita ekoran kes membabitkan Nur Fitri ini, menyebabkan saya teringat kepada perbincangan saya dan rakan-rakan berkenaan gambar muka depan buku Orientalism oleh Edward Said.
The Snake Charmer (1879) :Bahagian aurat budak lelaki itu telah saya gelapkan
Muka hadapan buku ini dihiasi dengan lukisan bertajuk The Snake Charmer, yang dilukis oleh pelukis Perancis Jean-Léon Gérôme sekitar tahun 1879. Ia ditandatangani dengan “J.L Gerome 1880″. Lukisan berkenaan memaparkan seorang budak lelaki yang bertelanjang berdiri di atas sebuah karpet kecil di tengah-tengah sebuah bilik yang berdindingkan jubin biru, memandang ke arah menjauhi penonton, sambil memegang seekor ular sawa yang melengkar di pinggangnya membawa ke bahu. Manakala seorang lelaki tua duduk di sebelah kanak budak itu sambil bermain seruling. Persembahan itu ditonton oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang pelbagai latar belakang mereka, daripada kabilah-kabilah yang berbeza, bersama pakaian dan senjata yang juga berbagai-bagai.
Walaupun budak penjinak ular itu membuat persembahan dalam keadaan bertelanjang kerana mahu memastikan tiada helah yang disembunyikannya semasa mengawal ular, lukisan J.L Gerome ini mendatangkan secara subliminal mesej homoeroticism. Lukisan ini adalah diinspirasikan daripada lawatan J.L Gerome ke Istanbul pada sekitar tahun 1875. Biar pun ada perdebatan panjang lebar tentang sejauh mana lukisan ini menggambarkan Timur, sebagaimana yang dibahaskan di bawah topik Orientalism berkenaan, ia mengingatkan saya kepada kajian intensif yang dilakukan oleh Profesor Dr. Khaled el-Ruayheb bertajuk Before Homosexuality in the Arab-Islamic World, 1500-1800.
Kajian ini meneliti sikap masyarakat terhadap homoseksualiti di zaman pra moden dunia Arab-Islam. Sikap umat Islam sering dilabel sebagai schizophrenic, kerana ia amat nyata dalam ekspresi masyarakat sepertinya ditoleransi, manakala di satu sudut pula, ia diharamkan oleh Islam. Kajian mendalam oleh Profesor Dr. Khaled el-Ruayheb ini mengemukakan satu asas yang penting untuk membetulkan kefahaman kita mengenai isu sensitif ini, bahawa di zaman berkenaan, budayanya tidak mempunyai konsep homoseksualiti, sebagaimana yang ada pada hari ini.
Keterikatan kepada nas menjadikan keingkaran hanya pada perbuatan liwat. Akan tetapi perbuatan bersedap-sedap dengan budak lelaki yang tidak mencapai tahap persetubuhan, menerima reaksi yang bercampur baur. Sebahagian melihatnya sebagai keji, sebahagian yang lain pula melihatnya sebagai tidak.
LATAR BELAKANG SAMBIL LEWA KITA
Kajian ini amat mengganggu fikiran saya kerana data-data yang dikemukakan menunjukkan aspek interaksi intim yang hari ini dianggap sebagai pencabulan seksual ke atas kanak-kanak, berada di daerah yang kabur di dalam sejarah umat Islam. Sekurang-kurangnya tiga kurun menjelang era moden, memperlihatkan umat Islam masuk ke zaman moden dengan kefahaman yang tidaklah bersifat hitam putih dalam menentukan batas halal dan haram dalam isu ini.
Jika Barat sudah membongkar salah laku gereja dalam mencabul kanak-kanak, bagaimana pula dengan kesediaan kita membongkar jenayah ini di dalam sejarah kita?
Apakah sambil lewa kita sudah berakar umbi di dalam sejarah? Sebab itu, apabila mangsa serta pemangsa dalam kes jenayah seksual seperti isu Nur Fitri ini, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya penyelesaian yang dimaksudkan sebagai rawatan Islam?
Saya harap lebih ramai agamawan yang berwibawa memberi reaksi kepada isu ini yang semakin meruncing!
Di sini saya kongsikan saranan penting oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, untuk perhatian kita sekeluarga, juga guru-guru dan masyarakat, dalam melaksanakan tanggungjawab kita melindungi kanak-kanak daripada mangsa jenayah paedophile.
Teringat kira-kira 10 tahun yang lalu, semasa baru sahaja kembali ke tanah air, saya pernah berbual dengan isteri, “tidak lama lagi Malaysia ini akan ada makin ramai penjenayah yang bermasalah mental dan jenayahnya memerlukan pihak berwajib mahir membuat profiling penjenayah sebegini”:
[PEDOFILIA: PERLUKAH KITA KISAH?]
Pedofilia adalah seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia telah lama terlepas bebas di negara kita.
Ingatkah lagi pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin sejak 8 tahun lalu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofilia tegar masih bebas. Pedofilia dalam kes ini memperolehi kepuasan dengan mendera anak kecil secara seksual dengan kejamnya. Pedofilia yang masih bebas itu mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah ‘friend’ Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan dia sudah pastinya saudara mara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan.
Dua hari lepas, kita digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofilia yang merupakan pelajar Malaysia di universiti terkemuka London. Pelajar ini menyimpan, menghasilkan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya adalah penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrim. Berapa ramai lagikah mereka ini di Malaysia?
Pada awal tahun 2015, ibubapa di UK dikejutkan dengan penemuan website pedofilia berpengkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin dari akaun media sosial milik peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke website tersebut yang mempunyai beratus-ratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan dari laporan, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.”
Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik ke situ.
Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia adalah yang belum baligh (prepubescent), lelaki dan perempuan. Di Malaysia, pada awal tahun ini, seorang bayi berusia 7 bulan dirogol suami pengasuh di Kepong. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Ada lagi yang telah dilaporkan. Beginilah betapa jahat dan sakitnya seorang pedofilia. Adakah kita tidak perlu kisah?
BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARI PEDOFILIA?
1. Sentiasa ‘connect’ dengan anak-anak dan bina kepercayaan supaya kita menjadi tempat bercerita dan mengadu.
2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.
3. Hentikan sifat malu dan segan untuk bercakap soal seksual dengan anak-anak. Setiap hari anak-anak kita terdedah kepada unsur seksual di media, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, di muka hadapan suratkhabar utama. Rancangan TV kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang mengandungi unsur seksual dan menggunakan bahasa yang berunsul seksual. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila perlu. Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami anak.
4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamirkan sebarang ketidak-selesaan atau kegelisahan. Ambil tahulah.
5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di media sosial dan internet secara umumnya. Kenalkah kita siapa ‘friend’ dan ‘follower’ kita? Gambar-gambar anak kita mungkin di antara 41 juta gambar di website pedofilia yang disebut di atas. Sekarang ini mungkin ada pedofilia yang sedang berfantasi seksual melihat gambar anak-anak kita.
6. Ajar anak kecil tentang “appropriate and inappropriate touch”. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh-badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.
7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya dan selalulah bertanyakan mereka dalam perbualan tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini anak penjaga yang membersihkan dirinya selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka mandi, anda perlu bertindak segera.
8. Ajar anak-anak teknik YELL RUN AND TELL (JERIT, LARI DAN CERITA) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka rasa tidak selesa seperti yang telah kita tunjukkan (di atas).
9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.
10. Pasanglah parental ‘control software’ dan perisian saringan di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya ‘chat’ dengan sesiapa sahaja yang dikenali di internet. Pedofilia sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga menggunakan identiti palsu supaya mudah dipercayai oleh kanak-kanak.
11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan dari membenarkan anak-anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar untuk dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.
12. Elakkan memberikan telefon pintar dengan keupayaan ber’chat’ kepada anak-anak kecil.
13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terlibat dengan anak-anak kita.
14. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pedofilia mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak geri anak kita. Mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.
15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak dari pedofilia.
BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARI PEDOFILIA?
1. Tidak memaparkan gambar pelajar di akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ guru-guru bukannya pedofilia? Jika ada ibubapa yg menjadi ‘friend’ guru, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika dibenarkan, bukannya seluruh kelas.
2. Paparan gambar di website dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan (consent) ibubapa terlebih dahulu.
3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh guru dan kakitangan sekolah. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya bukan kerana urusan rasmi.
4. Banyak negara mempunyai sistem daftar-rujukan yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.
5. Memantau kiranya ada kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak appropriate/lucah. Ini adalah salah satu indikasi gangguan jiwa.
6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk melihat ke dalam kelas.
7. Tiada urusan di lakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa dibuka.
8. ‘Educate’ guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi menunjukkan keseriusan masalah tersebut.
Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah.
Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai kanak-kanak.
Marilah juga kita sama-sama ‘connect’ dengan anak-anak remaja supaya mereka tidak menjadi seorang pedofilia. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah dari Allah swt.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Lindungi anak-anak kami ya Allah.
Pembunuh anakada Nurin Jazlin Jazimin masih bebas.
HASRIZAL
Saifulislam.Com
May 4, 2015
Apabila Gerakan Islam Tidak Lagi Bergerak-gerak
Salah satu kaedah yang digunakan untuk memahamkan prospek tentang mengapa mereka perlu bersama dengan gerakan Islam dan mendukung perjuangannya adalah dengan menggunakan sejarah. Kali pertama saya bertemu dengan modus operandi ini adalah semasa berada di United Kingdom. Semasa mendengar seorang pelajar kejuruteraan mengupas tentang sirah al-Khulafa’ al-Rashidin di dalam sebuah tamrin, saya tergamam.
“Ini Syiah!” secara spontan saya berkata.
Dan beliau akhirnya meninggalkan gerakan Islam untuk benar-benar menjadi Syiah, sehingga ke hari ini.
Pada masa itu saya tekad membantu memperbaiki hal berkenaan. Bermula daripada tahun 1998, penggunaan sejarah untuk membina fikrah ‘perlu bersama gerakan Islam’ dikemas kini dari segi fakta, pengolahan, sedaya yang saya mampu, sebagai ‘ustaz yatim piatu’ di tengah-tengah kota London. Bahan rujukan amat terbatas. Banyak berbekalkan apa yang sempat dipelajari, ditelaah semasa di Jordan. Dengan serba sedikit wang saku berbaki, saya beli beberapa buku rujukan dari kedai buku Arab sekitar London, dan meluangkan sedikit masa di perpustakaan Central Mosque London yang tunggang langgang ketika itu.
Jilid satu di sini, jilid dua di rak seberang sana.
Pengalaman di dalam kaderisasi, saya tahu yang kebanyakan prospek ‘malas’ hendak mendengar tentang kupasan sejarah Islam yang panjang lebar itu. Apa yang akhirnya mereka mahu tahu ialah “apa pandangan ustaz tentang berbilang jemaah” dan “nak pilih jemaah yang mana”. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebahagian prospek tidak sedar apa sebenarnya yang sedang saya dan rakan-rakan cuba usahakan ke atas minda mereka.
Apa yang ingin saya tekankan melalui pengolahan semula sejarah Islam ketika itu ialah, gerakan Islam bukan sebuah agenda spontan dan adhoc yang terbit daripada sebuah keputusan mesyuarat. Ia adalah kesinambungan proses yang panjang, sepanjang sejarah manusia itu sendiri. Sejarah yang dijahit dengan benang Tauhid, bahawa dengan kalimah La Ilaha Illallah, Bani Israel dan Arab, serta kaum-kaum lain adalah ummah yang satu. Tauhid menghimpunkan kita, Tauhid juga menjadi sebab mengapa anak dan bapa boleh hilang pertalian.
Ada beza antara sejarah Islam dengan sejarah Muslim.
Maka pembentangan bermula dengan satu bentuk penerangan yang bermotifkan anjakan paradigma. Mahu menerbitkan rasa kritis terhadap keislaman diri. Bahawa sudah lama kita hidup mengambil manfaat daripada Islam. Maka sudikah mempertimbangkan soal kita hidup untuk memberi manfaat kepada Islam?
Hidup untuk Islam.
Berdakwah bukan sebab terpaksa. Bukan sebab semua housemates pergi usrah dan kita keseorangan makan mi segera setiap Jumaat malam Sabtu. Tetapi berdakwah kerana kita disedarkan tentang nikmatnya semasa diri disentuh hidayah Allah. Bukankah fitrah manusia yang sayang menyayangi mahu berkongsi sesuatu yang manis dan enak dengan mereka yang disayanginya?
Dakwahnya pula dakwah apa?
ISLAH DAN TAJDID
Dakwahnya adalah dakwah Islah.
Selepas perjalanan masa, manusia terpesong dari agama. Allah utuskan Nuh alayhi al-Salam ajak manusia kembali beragama dengan agama Allah. Tajdid berlaku. Kemudian manusia terpesong semula, diutuskan lagi seorang Rasul. Dan demikianlah kitarannya, dengan kisah yang pelbagai, pengalaman yang berbeza, mukjizat yang berlainan, tetapi asasnya sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada saingan Allah, al-Quran menamakannya sebagai Taghut.
Dan kemuncaknya adalah perutusan Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.
Apabila baginda wafat, islah dan tajdid perlu terus berlangsung. Perlukan anjakan paradigma, bagaimana survival ummah pasca Nubuwwah? Tiada lagi jawapan dari Langit.
Maka kisah pada Rasul yang berakhir dengan kewafatan baginda Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam disambung pula dengan survival ummah di era al-Khulafa’ al-Rashidun, kemudian Bani Umayyah, kemudian Abbasiyyah dan seterusnya Uthmaniyyah. Kerajaan paralel seperti Islam di Andalus, Islam di Afrika, Islam di Alam Melayu dan kerajaan-kerajaan kecil sekitar Mediterranean dan Tanah Arab tidaklah disentuh. Satunya kerana ia bukan kursus intensif sejarah Islam. Keduanya kerana terbatas pengetahuan.
Perjalanan itu menempuh satu lagi era yang memerlukan anjakan paradigma. Ummah tanpa Daulah. Tanpa Khilafah. Kemunculan gerakan Islam, lahirnya Ikhwan di Mesir, demikian juga gerakan-gerakan Islam yang lain. Akhirnya selepas tidak kurang 8 jam pembentangan, sampailah kepada analisis gerakan Islam semasa. Kaedah mudahnya, senaraikan ciri-ciri gerakan Islam, tandakan √ pada karakter yang wujud pada batang tubuh sebuah jemaah, dan tandakan X pada yang tiada. Kumpulan mana yang bertanda √ pada semua kotak, gerakan itulah yang secara logik dan ’empirikal’ sepatutnya dipilih.
Ia adalah satu bentuk tamrin yang berat, memerlukan tenaga yang banyak, memerlukan pemikiran yang kritis, agar ia dinamik dan membantu mencapai objektif.
MATA RANTAI
Natijah akhirnya mudah sahaja: kita adalah satu mata rantai daripada mata-mata rantai perjuangan Islam semenjak awal hingga menuju Kiamat. Kita adalah penyambung, atau pemutus mata rantai itu?
Jika bersetuju untuk bersama mendukung perjuangan Islam, Alhamdulillah.
Jika tidak bersetuju, cara orang dulu, dia dianggap berdosa kerana enggan menyertai jemaah yang hukumnya wajib. Akibatnya, tamrin gerakan Islam, memberanakkan ramai musuh gerakan Islam. Sebab rumusan sejarah yang panjang dilakukan secara polarised hitam dan putih. Jika kamu tidak bersama kami, bererti kamu menentang kami!
Maka, golongan muda fikir, sudah-sudahlah mencipta musuh. Ia tidak cerdik. Jenguklah ke masyarakat. Berapa ramai yang bersama gerakan Islam dan berapa ramai yang tidak bersama gerakan Islam? Apakah yang tidak bersama gerakan Islam itu jahat, ahli maksiat, dan Allah tolak kebaikan mereka? Maka, perbaikilah rumusan, lunakkan kesimpulan. Jika bersama, Alhamdulillah. Jika tidak bersama, jangan lupa agar hidup untuk Islam, dengan cara yang kamu setuju.
Perubahan itu berlangsung berdekad lamanya.
TAQLID DAN TASSUB
Terkejut saya apabila saya dapati, selepas 10 tahun, ‘lawak’ saya di dalam ceramah yang dirakam pun dihafal, walaupun ia sudah tidak lawak! Masakan tidak, jika saya mengusik dengan ungkapan, “kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu!” atau “kamu ini macam Profesor Serba tahu!”, maka generasi kelahiran 1970’an mungkinlah faham. Tetapi yang lahir selepas Sudirman meninggal dunia, dan tidak lagi membaca majalah Gila-gila, memang terpinga-pingalah prospek gen Y atau Z ini dibuatnya.
Sedinamik mana sekali pun sebuah modul, apabila ia dihafal dan tiada disertakan pemikiran kritis serta proses kemas kini, ia akan mundur, mandul, beku dan menatijahkan impak terbalik.
Semakin ahli dan aktivis gerakan Islam malas berfikir, tidak membaca, dan memutar-mutar kaedah berhujah yang sudah berusia lanjut, hingga kita yang mendengar tidak dapat mengagak sama ada ceramah dan pengisian itu bertarikh 1992 atau 2015, semakin malaplah gerakan Islam untuk mendukung islah dan tajdid. Apa yang diulang adalah intima’, wala’ dan konsep-konsep indoktrinasi yang diberi solekan agama, asasnya ialah ikut, jangan banyak tanya.
Taqlid dan Taassub bukan hanya penyakit dalam mazhab Fiqh atau mazhab Aqidah. Kedua-duanya hal ehwal otak dan hati manusia. Jika menyertai gerakan Islam dengan Taqlid dan Taassub, sejarah yang digunakan untuk menjadikan alam berpihak kepada kita, sejarah yang sama sedang mentalakkan kita dari survival ummah.
Lambaikan perpisahan kepada gerakan Islam yang tidak bergerak-gerak, ia bukan lagi sebuah gerakan. Ia ‘biawak hidup’ yang membeban dan merumitkan ummah melangkah ke hadapan. Bernostalgia dengan kenangan silam, tidak sedikit pun membela ummah, agenda utama mengapa lahirnya ‘gerakan Islam’.
HASRIZAL
Saifulislam.Com.
April 27, 2015
Birgivi: Rendah Akhlaq Kerana Rendah Fikiran
Abad ke-16 adalah abad cemerlang untuk Dawlah Uthmaniyyah. Banyak aspek ketamadunan yang mencapai ketinggian, mencapainya pada abad itu. Sultannya Suleyman al-Qanuni (Suleyman the Magnificent). Sheikh al-Islam pula Ebussuud Efendi. Senibina pula, pakarnya ialah Mimar Sinan. Ilmu pengetahuannya adalah Taşküprülüzâde. Demikian jugalah perihalnya dengan Barbaros Hayrettin Paşa (Khairuddin Barbarossa) dan tokoh-tokoh yang lain.
Tetapi Imam Birgivi khuatir dengan kemerosotan akhlaq.
Akhlaq bukan sekadar hal peribadi.
Akhlaq, seperibadi mana pun ia, mempunyai hubungan unik dengan kondisi ummah. Benda kecil yang membentuk benda besar. Kalau tidak, masakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam mengaitkan bersahur lewat dan berbuka awal, dengan baiknya keadaan ummah. Maka, dari kacamata Islam, akhlaq bukan eksklusif hak peribadi.
Imam Birgivi memperuntukkan bab yang sangat besar pada membicarakan tentang taqwa. Dan meletakkan di bahagian-bahagian awal mengenai taqwa, perbahasan tentang akhlaq.
Katanya:
الخلق ملكة تصدر عنها الأفعال النفسانية بسهولة من غير رَوِيَّة. و يمكن تغييره , لورود الشرْع به, باتّفاق العقلاء , و التجربة, وتختلف الإستعدادات فيه بحسب الأمزجة
Akhlaq itu adalah satu kekuatan yang berakar tunjangdi dalam diri, terbit daripadanya perbuatan-perbuatan seseorang secara spontan dan mudah, tanpa memerlukan kepada fikiran dan pertimbangan (auto pilot). Ia adalah sesuatu yang boleh diubah-ubah, kerana adanya pembuktian Syara’ mengenai hal tersebut, malah turut disepakati oleh golongan pemikir serta eksperimen / pengalaman. Persediaan orang ramai dalam mengubah akhlaq itu berbeza-beza mengikut kekuatan dan kelemahan mereka (dalam aspek yang akan diutarakan selepas ini)
Definisi ini mirip definisi yang diberikan oleh Imam Ghazali. Akhlaq adalah sesuatu yang spontan terbit sebagai perbuatan, yang tidak memerlukan kepada fikir-fikir dahulu. Nampak sampah di tanah, kutip. Berselisih, senyum. Tersilap, minta maaf. Semuanya dilakukan secara auto pilot kerana ia adalah perbuatan yang diulang-ulang hingga jadi tabiat dan kebiasaan.
Imam Birgivi menambah, bahawa akhlaq ini boleh berubah, bukan sahaja dari perspektif Syara’, malah ia adalah satu kesefahaman universal berdasarkan kajian serta pengalaman manusia.
Imam Birgivi menjadikan kekuatan fikiran sebagai satu daripada tiga asas akhlaq yang baik
Keelokan fikiran selari dengan keelokan akhlaq. Akal fikiran yang menepati apa yang sepatutnya, adalah al-HIKMAH.
Akal fikiran yang melampau, mahu meneroka benda yang mustahil diteroka, atau mencetus idea yang memudaratkan orang lain (sains untuk sains dan bukan lagi untuk berkhidmat kepada kemanusiaan), semua ini adalah AL-JARBAZAH.
Akal fikiran yang rendah, yang lembab, tidak dapat membezakan baik dan buruk, adalah AL-BALADAH.
Akal fikiran banyak dibentuk semasa kita di usia remaja. Apabila hidup zaman remaja kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang merangsang akal, maka besarlah potensi remaja itu menjadi dewasa dengan akal yang sihat. Tambahan pula bahagian otak yang mendukung upaya hikmah itu, terbentuk di usia antara 14 ke 25 tahun, melalui pengalaman. Jika di usia sekolah menengah dan universiti, pengalaman anak muda hanya peperiksaan, tiada kejadian-kejadian di luar buku teks, persatuan tak aktif, badan dakwah cuma bentang sejadah di surau, tiada pena’kulan masalah ummah malah keinginan untuk bangkit, bersuara, mengkritik, melawan… justeru sukar sekali untuk orang sebegini membesar menjadi dewasa yang fikirannya bijaksana.
Demikian juga jika akalnya melampau, liar dan tidak terarah, mahu mencari jawapan muktamad tentang hal-hal mutasyabihat, mencetuskan idea-idea yang mengujakan walaupun ia melanggari etika dan mengancam kehidupan, manusia sebegini juga akalnya tidak sejahtera, cenderung kepada ekstrimisme.
Dan paling malang, apabila akal dilembabkan hingga suka dengan segala jenis kebodohan. Suka lawak bodok, drama bodoh, lagu bodoh, filem bodoh, mahu buat orang ketawa dengan senget-sengetkan mulut dan jalan macam pesakit polio, suka Halimah Jongah, ApangCapang, Mat Rengkat dan segala yang bodoh. Hingga jadi loyar buruk, tidak tahu bezanya serius dan gurau, dan kabur terpinga-pinga sepanjang masa, cenderunglah mereka ini kepada fikiran yang lemah, malas, dan pasif.
Akhlaq buruk itu natijah kepada salah satunya ialah fikiran yang buruk, dan fikiran yang buruk, didikan serta pendidikan kena muhasabah kembali.
Apabila hari ini, di media sosial kita berbahasa buruk hatta semasa bercakap tentang agama dan membela agama, aapakah semua ini merupakan petanda lemahnya akal fikiran kita?
[image error]
1990
“Apa maknanya perangai elok, sembahyang tonggang tonggek, tutup aurat, tapi menentang hukum Allah? Sekular tu!” kata seorang lelaki.
Penyokong parti Islam yang memperjuangkan Islam.
2015
“Apa yang penting ialah menyokong hukum Allah. Perangai lain kira! Macam kau baik sangat!” kata seorang lelaki lain.
Juga penyokong parti Islam yang memperjuangkan Islam.
Putaran masa berjalan, menjadikan 25 tahun seperti sekelip mata. Dulu-dulu saya selalu berfikir tentang tahun 2015 sebab pada tahun tersebut usia saya 40 tahun. Bagaimana rupanya kehidupan manusia di tahun 2015? Bing dan Bong dalam program bahasa Inggeris Televisyen Pendidikan RTM1 yang hitam putih pada masa itu menggambarkan manusia masa hadapan duduk di rumah bulat seperti UFO dan makan pil pelbagai perisa menggantikan makanan.
Apa yang pasti, demi Allah, saya tidak pernah membayangkan pada 2015, kita berdepan dengan krisis akhlaq seperti sekarang ini. Jika di tahun 1990, mereka yang memahami Islam biasa ‘memperlekeh’ nilai berakhlaq baik sebab berakhlaq baik itu perkara biasa, sedangkan Islam mengkehendaki kita menyokong perjuangan Islam. Melaksanakan hudud dan hukum Syariah yang lain. Mereka yang baik tetapi menolak hukum Allah disebut sekular.
Tetapi pada tahun 2015 ini, kita membela parti Islam dengan memaki hamun. Kita mempertahankan ulama dengan caci nista dan sindir gelaran. Kita memperjuangkan hudud dengan segala kelakuan haram yang Allah haramkan di dalam surah al-Hujurat. Dan kita masih ‘okay’ sebab kita menyokong perjuangan Islam, Ulama serta parti Islam!
Akhlaq?
“Macam kau baik sangat!” itu sahaja jawapannya.
Tidak sekularkah itu?
Memisahkan akhlaq daripada Islam dan perjuangannya?
HASRIZAL
Saifulislam.Com
March 31, 2015
Bertaqlid Buta Dalam Menyukai dan Membenci
Teringat saya kepada kekecohan di Jordan apabila kerajaan menaikkan harga roti ekoran kenaikan harga tepung gandum sedunia.
Rakyat sungguh marah.
Bukan setakat menjerit-jerit marah, mereka merusuh seluruh negara. Masih jelas di ingatan saya bagaimana pekan Karak dikelilingi kereta kebal untuk mengawal bangunan-bangunan strategik seperti bank, pejabat kerajaan dan balai polis.
Tetapi, yang tidak akan saya lupakan adalah temubual wartawan televisyen Jordan bersama perusuh di Qatranah. Ia adalah sebuah pekan kecil di selatan Mu’tah, lokasi kami belajar ketika itu. Entah mengapa, penduduk Qatranah ini sering dikaitkan dengan sifat clumsy yang sering menjadi bahan gurauan masyarakat.
“Mengapa kamu merusuh?” tanya wartawan.
“Tak tahu! Kami lihat penduduk Karak merusuh, kami pun merusuhlah!” kata lelaki berkenaan.
Saya dan rakan-rakan ketawa besar menonton berita berkenaan. Hendak keluar rumah tidak sedap hati. Menonton berita, mujarab dengan menggelikan hati.
Tidak cukup dengan bertaqlid buta dalam beribadah dan berilmu pengetahuan, penduduk Qatranah mempamerkan satu bentuk taqlid buta dalam membenci dan menyukai. Orang suka, kami suka, orang benci, kami benci. Apa sebabnya, itu kira kemudian.
Namun dalam lurus bendul penduduk Qatranah, strategi mereka merusuh ada kepandaian yang tiada diajar di mana-mana sekolah. Serangan mereka ke atas Bank al-Iskan dilakukan dengan begitu unik. Seekor ayam hidup telah dicelup ke dalam minyak tanah, ayam itu dibakar dan dicampakkan ke dalam bank!
Dek kepanasan terbakar, ayam itu bertempiaran lari lalu menyebarkan api dengan begitu pantas, sebelum segala-galanya musnah, demi memuaskan sebuah kemarahan.
Kisah lama, tiada kaitannya dengan apa-apa.
Sekadar ‘mengalu-alukan’ era GST untuk pengalaman kita yang seterusnya.
Carilah ilmu, agar menyukai dan membenci, bukan sekadar ikut-ikutan.

Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan berakal, tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka” [al-Mulk 67: 10]
HASRIZAL
43000 BSP
March 30, 2015
Virus Dungu Dalam Budaya Prank dan Shenanigan
Ilustrasi oleh Francis Barlow di dalam hikayat “The Boy who Cried Wolf”, yang beliau gelar sebagai DE PASTORIS PUERO ET AGRICOLIS, 1687 [wikipedia]
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu.
Orang kampung prihatin.
Bergegas mereka memanjat bukit.
Mahu menolong.
Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya.
“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.
Anak muda itu ketawa.
Bergurau katanya.
Menguji iman orang kampung.
Orang kampung geram. Tetapi habis-habis pun, mereka mengurut dada. Seorang dua menunding telunjuk. Budak-budak, memang budak-budak. Tetapi jangan perbudakkan orang tua.
DUA TIGA KALI BULAN MENGAMBANG
Selang dua tiga purnama, anak muda itu ketagih perhatian. Ingin mengulang keinginan.
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.
Orang kampung terkejut.
Serangan serigala bukan khayalan. Ia pernah berlaku. Tidak mustahil berlaku lagi. Tetapi si anak muda itu pernah membuat onar. Ada atau tidak serigala?
“Jangan main-main. Ini tanggungjawab kita” fikir pihak yang ramai.
Bergegas mereka memanjat bukit.
Mahu menolong.
Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya. Serigala lapar, buruk padahnya.
“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.
Anak muda itu ketawa lagi.
“Senang benar mereka ditipu!” kata hatinya.
Penduduk kampung geram. Baik hati mereka jadi permainan. Dipermain-mainkan.
“Siaplah engkau!” kata mereka.
Mengepal tangan.
Anak muda itu ketawa. Seperti ‘tengin’ tidak belajar apa-apa.
SELANG BEBERAPA PURNAMA
“Hmm, bosan sungguh meneman kambing meragut rumput. Aku pula terasa seperti kambing!” anak muda menguis-nguis daun kering di bawah pokok.
“Grrr!” terdengar dengusan penuh nafsu di balik busut.
Seekor serigala besar sedang memilih mangsa antara kambing gembalaanya.
Benar, ia serigala sebenar. Bukan khayalan. Bukan gurauan. Ia di depan mata. Sedang memilih mangsa.
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.
Orang kampung terkejut.
Kemudian mereka ketawa.
“Gembala kambing mahu memperbodohkan kita lagi, seperti kambingnya? Lantakkan dia. pedulikan!” ujar orang kampung.
Tidak pernah terlontar satu kejahatan, kecuali ia akan berpatah kembali kepada pelakunya. Anak muda penggembala kambing, menangis di bukit. Habis kambingnya diratah serigala.
Tangisan yang di luar peduli.
Tiada salah siapa, kecuali diri sendiri.
BUDAYA PRANK
Just for Laughs [sumber wikipedia]
Mengenakan orang dengan amaran-amaran palsu ini bukan perkara baru. Ia sudah lama diungkap di dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala ini merupakan salah satu daripada kisah Aesop’s Fables atau Aesopica merujuk kepada legasi Greece Purba antara tahun 620 and 560 BCE. Ia dikaitkan dengan ajaran Aristotle yang menegaskan bahawa orang yang berbohong mendapat habuan iaitu apabila mereka bercakap benar, mereka tidak akan dianggap benar (tidak dipercayai)” [THE LIVES AND OPINIONS OF EMINENT PHILOSOPHERS]
Budaya ini seiringian dengan mentaliti ‘loyar buruk’ yang semakin meraih keberanian untuk membesar. Ia bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan. Malah 1 April menjadi hari ‘ibadah’ untuk budaya prank ini.
Budaya-budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai suatu hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. Bergurau tidak kena tempat. Jika suatu ketika dahulu ia menjadi bahan ketawa seperti siri America’s Funniest People keluaran Amerika Syarikat sekitar 1990’an, juga Just for Laugh (Juste Pour Rire) terbitan Kanada. Tetapi lama kelamaan ia berubah menjadi versi yang agresif Jackass menjelang milenia baru.
Dengan jati diri yang rendah, apa sahaja yang datang ke sini dari sana, ditelan, diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya parody, kedua-duanya menjatuhkan harga diri kita.
Biar pun ‘Prank and Parody‘ itu kini menjadi begitu trending dan digilai ramai, tanpa rasa kolot, saya ingin meletakkan satu saranan iaitu pesanan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:
إن مما أدرك الناس من كلام النبوة : إذا لم تستحي فاصنع ما شئت
“Sesuatu yang telah diketahui oleh sekalian manusia sepanjang zaman sebagai sebahagian daripada pesanan-pesanan kenabian ialah: JIKA KAMU TIDAK MALU, BUATLAH APA SAHAJA YANG KAMU MAHU” [hadith riwayat al-Bukhari nombor 3484]
Parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan perlakuan-perlakuan yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu, ada MALU atau TIDAK ADA RASA MALU. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah memalukan diri sendiri dan mangsa ‘Prank and Parody’, tepuk dada tanya iman.
Manakala prank pula, semakin menjadi fenomena global malah dinanti-nanti bukan hanya di media sosial, bahkan turut rancak di radio dan televisyen.
Ingatlah pesan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:
المسلمُ من سلِم المسلمون من لسانِه ويدِه ، والمهاجرُ من هجر ما نهى اللهُ عنه
Seorang Muslim itu, seseorang yang kaum muslimin lain terselamat daripada kejahatan lisah dan tangannya. Orang yang berhijrah pula, adalah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripadanya” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 6484]
Islam melarang Muslim berdusta, walaupun sekadar gurauan. Baginda Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam memberi amaran:
ويلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بالحدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القوْمَ فيَكَذِبُ ويلٌ لَهُ ويلٌ لَهُ
“Celakalah seseorang yang berbicara dengan suatu perbicaraan untuk menjadikan orang ramai ketawa sedangkan beliau berdusta. Celakalah dia, celakahlah dia” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]
Apatah lagi jika gurauan itu sifatnya adalah menakut-nakutkan saudaranya:
أنَّهم كانوا يسيرون مع النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فنام رجلٌ منهم فانطلق بعضُهم إلى حبلٍ معه فأخذه ففزِع فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لا يحِلُّ لمسلمٍ أن يُروِّعَ مسلمًا
Pada suatu ketika, mereka bersama-sama dengan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam di dalam sebuah perjalanan. Lalu salah seorang daripada mereka tertidur. Kemudian sebahagian mereka pergi mengambil tali dan mengikat lelaki yang tertidur itu tadi, dan beliau terkejut ketakutan. Lalu Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda, “TIDAK HARUS BAGI SEORANG MUSLIM MENAKUT-NAKUTKAN SEORANG MUSLIM YANG LAIN” [Al-Targheeb wa al-Tarheeb, hadith 3/403]
Budaya Prank dan Shenanigan ini adalah sebuah kegelinciran akhlaq yang mesti diberhentikan segera.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP


