Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 35
December 21, 2016
Ingin Belajar di Finland? Baca Dahulu Catatan Ini
December 14, 2016
Pembaziran Wang Dalam ‘Lawatan Sambil Belajar’ (di Finland)
December 10, 2016
Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan
December 3, 2016
Pemansuhan UPSR Perlu Menjadi Natijah Perubahan Paradigma Pendidikan
Hasrat memansuhkan UPSR memerlukan anjakan paradigma dalam berfikir tentang pendidikan, dan bukan bertindak secara reaktif.
Ini bukan kali pertama UPSR mahu dimansuhkan. Sebelum ini hajat yang sama sudah diusulkan. Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.
Pemansuhan UPSR tidak berlaku. Malah lahir pula UPSR format baru dalam bentuk yang kompleks.

Untuk memansuhkan UPSR, saya berpandangan ia boleh dilakukan jika:
Pendidikan dilihat sebagai hak asasi manusia, bukan kelebihan dan keistimewaan. Maka pendidikan dan murid-murid dijaga, dilindungi dan dijauhkan daripada kepentingan yang menjejaskan hal ini. Kepentingan murid-murid dan pembelajaran diletakkan di keutamaan tertinggi mengatasi kepentingan ahli politik, birokrat dan ahli perniagaan.
Adanya kepercayaan yang tinggi terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran. Jika semua pihak yakin dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pelajar tidak perlu dinilai terutamanya dengan penilaian formatif dan berpusat secara kerap.
Kepercayaan bermula dengan memberikan kuasa autonomi kepada sekolah untuk mengolah keutamaan dalam pembelajaran dan pengajaran mengikut keadaan masing-masing. Guru besar dan guru-guru dihormati dan diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas mereka secara profesional. Jika ada yang tidak kena, ia boleh lahir dalam bentuk aduan, yang diambil perhatian serta tindakan. Kurangkan penaziran dan laporan-laporan prestasi yang tidak berguna.
Mengubah orientasi SBP dan MRSM agar menjadi institusi pendidikan yang mengutamakan pelajar yang kurang berkemampuan tetapi perlu disokong secara logistik dan prasarana untuk berjaya. Bukan institusi elit untuk golongan terpilih berdasarkan kriteria yang tidak munasabah.
Mengambil langkah perubahan ini kerana meyakini bahawa ia adalah apa yang sepatutnya, dan bukan semata-mata reaksi kepada keputusan UPSR 2016 atau tekanan daripada ibu bapa dan yang seumpama dengannya.
Perkara 3 boleh dilaksanakan dalam bentuk memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menentukan reka bentuk pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan pelajar sekolah masing-masing tanpa UPSR. Pelan mikro tidak perlu diselaraskan secara berpusat. Hanya garis panduan umum bersifat dasar sahaja yang wajar dikeluarkan oleh Kementerian.
Seperti kata Henry A. Giroux di dalam bukunya, On Critical Pedagogy:
“… Critical pedagogy becomes a project that stresses the need for teachers and students to actively transform knowledge rather than simply consume it.”
Ini adalah pandangan sederhana saya, sebagai seorang guru yang masih belajar untuk memahami sains pembelajaran. Jika benda-benda di atas ini payah untuk dilakukan, jangan mengalah. Mulakan daripada sesuatu kepada sesuatu.
Pendidikan adalah satu rangkaian model yang sistemik.
Tampal menampal jarang membantu.
Hasrizal Abdul Jamil
Learning, Education and Technology,
Oulu, Finland.
November 20, 2016
Khalifah Model School (Secondary) Bukan Sekolah Finland

Khalifah Model School – Secondary (KMSS) tidak menggunakan sistem pendidikan Finland. Malah banyak perkara di KMSS yang berlawanan dengan sistem pendidikan Finland. Saya, seorang kakitangan KMSS, belajar di Finland pada masa ini, bukan untuk meng’Finland’kan KMSS.
KMSS menggunakan kurikulum IGCSE (British). Ia berlainan dengan sekolah di Finland.
KMSS tidak mensyaratkan kelayakan minimum menjadi guru adalah ijazah sarjana (master). Tidak seperti Finland.
KMSS adalah sebuah sekolah berasrama, namun kini memberi pilihan jika ada pelajar yang mahu berulang rumah. Ia berlainan dengan sekolah Finland.
KMSS ada program hafazan al-Quran, subjek-subjek pengajian Islam dan metode Khalifah. Ia tiada di Finland.
KMSS menekankan kepentingan meletakkan pendidikan di dalam kerangka pandangan alam yang spesifik berasaskan pandangan alam Islam dan ia menjadikan tauhidisasi subjek sekular dengan subjek agama di peringkat epistemologi sebagai agenda utama. Ia mengatasi kurikulum Finland dan pergi lebih jauh berbanding kemasukan ‘faith’ di dalam Theory of Knowledge program International Baccalaureate® (IB).
KMSS masih beroperasi di bangunan kedai. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku di Finland.
KMSS mengenakan yuran kepada ibu bapa / penjaga pelajar. Ia berlainan dengan sekolah di Finland.
Jika ingin dicari persamaan, buat masa ini persamaannya amat sedikit tetapi kami menghargainya.
Antaranya:
Biar pun tidak mensyaratkan guru berkelulusan sarjana (master), kita tetap berusaha agar para guru mempunyai asas pemikiran reflektif bermetodologi, agar apa-apa masalah wujud di dalam kelas, cikgu akan memikirkan penyelesaiannya dengan asas ilmu pendidikan.
Biar pun menggunakan kurikulum IGCSE, KMSS berusaha memperbaiki cara mengajar dan belajar, daripada teacher-centered kepada student-centered merangkumi beberapa jenis pembelajaran seperti pembelajaran aktif (active learning), pembelajaran berinkuiri (inquiry learning) dan pembelajaran kontekstual (contextual learning). Ia selari dengan sasaran pendidikan Finland yang mahu pembelajaran para pelajar bersifat organik dan bergerak ke arah deep learning.
KMSS tidak membuat ranking dengan membandingkan seorang pelajar dengan pelajar yang lain. Sebaliknya KMSS berusaha meningkatkan penggunakaan summative assessment yang lebih berkualiti pada menerangkan perkembangan pelajar dengan membandingkan pencapaian beliau pada satu-satu masa dengan pencapaian sebelumnya.
Biar pun masih beroperasi di rumah kedai dan berdikari sehabis baik dari segi kewangan, KMSS masih komited mensasarkan perkembangan prasarana dan infrastrukturnya kepada membina sebuah kampus mithali, semoga diizinkan Allah realisasi ini tercapai.
KMSS melihat pendidikan sebagai hak asasi manusia dan bukan kelebihan, jauh sekali kemewahan. Biar pun pelajar dikenakan yuran, KMSS melalui Yayasan Pendidikan Khalifah sentiasa berusaha mendapatkan dana dengan pelbagai cara untuk membiayai pelajar yang tidak berkemampuan untuk terus belajar di KMSS.
KMSS menekankan kepentingan elemen constructivism di dalam pembelajaran yakni ‘learning by doing‘ di semester pendek, dan ia selari dengan agenda Finland memperkenalkan phenomenon based learning yang buat masa ini adalah dengan beberapa jam khusus dalam seminggu.
Sistem pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh ditiru-tiru. Biar pun Qatar dan Arab Saudi mempunyai Finnish International School, ia tetap menerima pengubah suaian agar kena dengan konteks tempatan. Pembelajaran saya di Finland setakat beberapa bulan ini membantu saya memahami sedikit demi sedikit apa sebenarnya yang dikatakan sebagai sistem pendidikan Finland, dan apakah sisi pro dan kontranya.
Jika ada sekolah di Malaysia yang mendakwa ia mengamalkan sistem pendidikan Finland, saya meraguinya. Jika ada yang mendakwa KMSS mengamalkan sistem pendidikan Finland, saya menafikannya. Malah jika ada yang berkata bahawa sistem pendidikan Finland adalah penyelesaian masalah sistem pendidikan Malaysia, saya turut menolaknya.
Pembelajaran saya di Finland bukan suka-suka.
Saya berusaha untuk belajar sesuatu yang berguna, untuk manfaat KMSS dan mudah-mudahan masyarakat seluruhnya.
Program sarjana saya pada masa ini adalah berkaitan dengan sains pembelajaran (2/3) dan bagaimana teknologi boleh membantu menjayakan pembelajaran (1/3). Kepakaran yang disasarkan di hujung program ialah graduan memahami aspek pembelajaran berkaitan kognitif, metakognitif, emosi, sosial, motivasi, kelakuan manusia dan reaksinya terhadap persekitaran, termasuk komputer, implikasinya kepada rekabentuk kurikulum serta aktiviti pembelajaran, dan seterusnya bagaimanakah masalah-masalah pembelajaran atau prospek-prospek pembelajaran boleh dibantu dan disokong oleh teknologi.
Ada banyak lagi program sarjana lain berkaitan pendidikan di Finland dan banyak di antaranya bersesuaian dengan penyataan masalah pendidikan di negara kita. Jika ada yang berminat untuk menyambung pelajaran di Finland dalam bidang pendidikan, ia mestilah berasaskan kepada penyataan masalah yang jelas.
Bukan terikut-ikut, jauh sekali kerana salji dan aurora. Cuaca ekstrim di sini akan mengazab anda hingga ke tulang sumsum.
PENTADBIRAN KMSS
Sepanjang 2016, semenjak permohonan menyambung pembelajaran di Finland dibuat pada Disember 2015, saya tidak membabitkan diri di dalam pentadbiran sekolah, hanya fokus kepada aspek kurikulum dan latihan perguruan. Ketiadaan sementara saya di KMSS setakat ini tidak menjejaskan pentadbiran KMSS kerana saya sememangnya tidak terbabit dengan aspek pentadbiran. Apa yang cuba diusahakan ialah pembangunan diri para guru (professional development) terus berlangsung, dengan komunikasi berterusan saya bersama mereka walaupun dijarakkan oleh sempadan geografi dan masa.
Kita perlu sentiasa menjauhi rekabentuk sistem termasuk pentadbiran yang berasaskan individu kerana ia tidak sihat dan bukan sunnah di dalam Islam. Hatta kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam pun tidak menjejaskan kelangsungan Deen Allah ini.
Pandanglah KMSS sebagai satu bentuk ‘kritikan membina’ terhadap sistem pendidikan semasa yang dilakukan bukan dalam bentuk cakap kosong, gosip, salah menyalahkan, tetapi berusaha menyediakan satu model penambah baikan. Ia tidak mempunyai tujuan lain kecuali mengembalikan manfaatnya kepada masyarakat, dan mendapat keredhaan Allah.
Pendidikan jalan islah.
Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland.
November 19, 2016
Mustahil Kita Tiada Pilihan

1505-42 Schoolchild Illustration
Photo Illustration of grade school child proudly displaying her grade to a parent.
May 18, 2015
Photo Illustration by Jaren Wilkey/BYU
© BYU PHOTO 2015
All Rights Reserved
photo@byu.edu (801)422-7322
“Kau ada duit, bolehlah. Hantar anak ke sekolah swasta. Aku nak beli beras pun tercungap!” kata seorang bapa.
“Cikgu sudah beri amaran, kalau anak tidak hadir kelas tambahan pada mana-mana hujung minggu, mesti hantar surat tunjuk sebab!” gusar seorang ibu.
“Tahun ini kami tidak boleh balik kampung selalu atau hadir kenduri kahwin sebab Angah ada tuisyen setiap hujung minggu. Persediaan peperiksaan!” maklum sepasang suami isteri kepada keluarganya.
Ibu bapa yang memahami apa tujuan anak-anak mendapat sebuah pendidikan, sentiasa mampu mengekalkan autonomi ke atas penjagaan hak-hak anak sebagai seorang manusia.
Ketepikan KPI sekolah, pejabat pendidikan atau sesiapa sahaja. Sebaliknya sokong anak belajar dengan aman, utamakan pembelajaran hari ke hari berbanding peperiksaan, dan apabila ada peperiksaan, kekalkan tekanan yang positif sahaja untuk beliau fokus, mengatur ulangkaji, dan bukannya kerana sekolah mahu beliau dapat sekian-sekian markah, atau takut dibandingkan dengan kawan, atau takut turun ke kelas ‘corot’. Undang-undang mewajibkan anak-anak mendapat pendidikan, bukannya kelas tambahan dan siri tuisyen yang membelakangkan regulasi sosial anak-anak dan ibu bapa sebagai manusia.
Selepas tamat persekolahan, Inshaallah anak yang menerima sokongan dan perlindungan ibu bapa daripada kekejaman sistem yang kiasu, adalah anak yang tenang, matang dan sihat. Apakah ada kemungkinan mereka ketinggalan di dalam gred peperiksaan kerana terlepas banyak tip dan strategi menjawab soalan peperiksaan?
Mungkin.
Mereka tidak rugi.
Kerana kemungkinan mereka bertambah suka kepada pembelajaran juga lebih tinggi. Dan suka kepada belajar itu penting, kerana mereka perlu terus belajar selepas tiada lagi persekolahan. Belajar jadi jiran, jadi anggota masyarakat, jadi suami, jadi isteri, jadi bapa, jadi ayah, jadi emak, jadi pekerja, dan terus belajar selagi hayat dikandung badan.
Jika si anak tidak layak masuk universiti awam sebab keputusan peperiksaan tidak bagus, dan tidak boleh masuk universiti swasta sebab tak ada duit, atau tidak boleh memohon universiti awam kerana tidak mengambil SPM, sokonglah beliau ambil kursus kemahiran, pensijilan, mungkin kemudiannya diploma dan jika ada rezeki maka seterusnya ke ijazah.
Mungkin lambat beberapa tahun berbanding rakan-rakannya.
Apa yang hina?
Apa yang kurang?
Tiada hina apa-apa.
Tiada kurang apa-apa.
Anak sebegini Inshaallah suka dengan kerja-kerja yang dilakukannya, fikirannya lebih matang, tahu apa yang dimahukan, dan tahu bagaimana hendak mendapatkannya. Jiwanya tidak pesimis, dan apabila berumahtangga, mudah-mudahan lebih tenang mendepani susah payahnya, tidak terkejut dengan susah kewangan dan ujian-ujian kehidupan yang lain.
Tangannya mungkin kasar sedikit dan muka pun ada kesan calar dan parut.
Tetapi mereka tidak rugi apa-apa.
Yang hilang daripada perjalanan anak itu adalah pengalaman untuk rasa bangga dengan keputusan peperiksaan tertentu dan berbangga-bangga dapat belajar di sekolah dan universiti tertentu. Semua itu tidak punya apa-apa makna kerana ia hanyalah ilusi yang kita sendiri bina untuk memangsakan diri kita sendiri. Ilusi yang meragut banyak kehidupan manusiawi mereka yang mengikut jalan perdana.
Saya tulis ini supaya ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak ke sekolah swasta keinginan mereka, tidak sewenang-wenangnya berkata, “kita tiada pilihan”.
Kita ada pilihan.
Asalkan kita kembali waras.
JIWA MERDEKA!
Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland.
October 24, 2016
Menamatkan Pendidikan Kiasu
Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini.
Setelah anak nekad terjun membunuh diri, si ibu berkata beliau hanya berharap anaknya mendapat markah 70, bukannya 80! Apabila markah peperiksaan menjadi currency dalam mendidik anak-anak, ibu bapa dan guru bukan penyiram air dan baja kepada impian, harapan, potensi dan kehidupan anak-anak, tetapi sebagai pembunuh.
Kisah di Singapura baru-baru ini bukan kisah baru.
Kami di kelas berbual mengenainya.
Rakan saya daripada Shandong Province di China juga bercerita tentang hal yang sama. Katanya mengenai kegilaan National College Examination yang beliau lalui, pelajar menjadi gila dan ada yang membunuh diri. Markah penuh untuk peperiksaan berkenaan adalah 750. Pada tahun berkenaan, mereka perlu memperolehi markah sekurang-kurangnya 595 untuk mendapat tempat di universiti, manakala di province lain, markah yang diperlukan rendah sedikit sekitar 400. Ia ada kaitan dengan diskriminasi dan sikap kerajaan China yang tidak pernah jemu menekan minoriti Uygur di wilayah berkenaan. Di dalam kelas rakan saya ini katanya ada 70 pelajar. Kesemua mereka tidak berehat pada waktu berehat, terus mengulangkaji dan menyiapkan diri untuk peperiksaan berkenaan dalam timbunan buku dan kertas-kertas peperiksaan contoh dan tahun lepas. Dan akhirnya, daripada 70 orang itu hanya 6 orang sahaja yang layak dan mendapat tempat. Mereka yang gagal perlu mengulang, atau mengalah dan masuk ke kolej vokasional yang tiada pelajaran sistematik untuknya, atau jika mereka daripada keluarga berada, mereka mengambil TOEFL atau IELTS dan menyambung pelajaran ke luar negara, terutamanya di Amerika Utara dan Australia.
Teringat saya kepada tragedi yang menimpa negara kita dalam beberapa kes yang semakin dilupakan. Subashini hari ini sepatutnya sudah berusia 19 tahun. Mungkin sudah semakin jelas kelebihan dirinya di dalam bidang, atau kerja yang bagaimana. Tetapi dia pergi dahulu. Tekanan UPSR sudah cukup untuk menyebabkan Subashini menamatkan penderitaannya dengan sebuah tragedi. Malapetaka yang pergi dibawa angin dan masa.
Pemansuhan UPSR tidak berlaku.
Malah bebanannya ditambah lagi daripada apa yang sedia ada. Pelbagai hujah diberikan terhadap perubahan demi perubahan, yang hakikatnya masih seperti “the child on the rocking horse”.
Artikel saya pada tahun 2010 berikut, saya paparkan kembali untuk muhasabah kita bersama:
MENAMATKAN PENDIDIKAN KIASU
Seawal 2006, saya sudah menangkap hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merombak sistem pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pelajaran ketika itu pernah membuat kenyataan betapa sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan menjadi satu bebanan ke atas guru dan murid. Justeru satu bentuk pendekatan baru di dalam sistem pendidikan mahu diperkenalkan.
Saya mengalu-alu saranan ini.
‘KIASUISM’
Obsesi semua pihak terhadap ukuran kecemerlangan murid berdasarkan pencapaian bilangan A di dalam peperiksaan semakin menjadi-jadi.
Jika dahulunya budaya kiasu sering membawa kita kepada membayangkan negara jiran, Singapura, kini sikap all-must-win itu sudah semakin membarah di Malaysia hingga ia tidak lagi ditonjolkan pada kegilaan menghimpun tertinggi, terpanjang, terbesar dan terhebat di mercu tanda negara, malah turut mengisi seluruh spektrum kehidupan. ‘Segala-galanya bersifat enjit enjit semut siapa sakit naik atas’!
Seawal usia pra sekolah, murid-murid sudah diheret ke budaya ‘saya masuk kelas A sebab ada yang masuk kelas B’.
Murid yang beroleh keseluruhan A akan disanjung oleh semua peringkat masyarakat dan media. Pelbagai anugerah diberikan dan jumlah mereka menyumbang kepada statistik kebanggaan sekolah, kemudian daerah dan akhirnya negeri ke peringkat kebangsaan. Sedangkan segala liputan terhadap kelompok ‘cemerlang ini’ hakikatnya adalah laporan berkenaan kelompok minoriti kecil berbanding kelompok majoriti dengan pencapaian sederhana yang terus dipinggirkan.
Sekurang-kurangnya dua tragedi besar sudah terpampang di hadapan mata kita kesan daripada obsesi terhadap peperiksaan ini.
TEKANAN PSIKOLOGI MELAMPAU

Subashini ditemui tergantung di jeriji tingkap bilik tidur oleh kakaknya.
Subashini memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D dalam UPSR 2007 yang diumumkan baru-baru ini.
— fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA
Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.
Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR? Saya yakin jika insiden ini berlaku di negara maju lain, ia sudah cukup untuk menggoncang seluruh sistem negara.
Tekanan psikologi yang dikenakan ke atas murid-murid sebagai ‘kuda pertaruhan’ amat membimbangkan. Apatah lagi, tidak semua pelajar boleh cemerlang dalam orientasi hafalan dan muntahan fakta ke kertas peperiksaan. Ramai juga yang datang daripada kategori hands-on. Mereka mahir di dalam pelbagai bidang kemahiran membabitkan seni, teknikal, vokasional dan lain-lain, namun dipandang rendah kerana tidak berjaya diukur dan pembaris tunggal yang mengukur kualiti manusia di dalam sistem pendidikan kita.
GENERASI ROBOTIK
Kesan kedua yang timbul adalah pada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan.
Kesan ini sukar dinilai semasa murid-murid berada di bangku pengajian kerana mereka masih berada di dalam sistem itu dan menjadi sebahagian daripadanya.
Tetapi, selepas menjadi graduan kepada sistem itu, bagaimanakah kualiti mahasiswa dan mahasiswi kita di peringkat pengajian universiti hari ini? Bagaimanakah pengalaman para pensyarah semasa mengendalikan murid-murid ‘cemerlang dengan A’ ini? Malah bagaimanakah statistik pelajar universiti yang terpaksa mengulang tahun atau kecundang di dalam pengajian, biar pun mereka itu adalah cream of the cream semasa di peringkat SPM?
Tidak dilupakan, keluhan demi keluhan pihak Sumber Manusia (HR) di dalam industri.
Bagaimanakah kualiti kemanusiaan warga kerja generasi muda kebelakangan ini?
Mereka mungkin mampu memiliki ijazah dengan CGPA 4.0 tetapi tidak terfikir bahawa untuk menghulurkan pisau kepada orang lain, yang patut diajukan adalah hulu pisau dan bukan matanya.
Common sense?
Logical thinking?
Segalanya semakin membarah.
Sistem pendidikan dan peperiksaan berkomputer kita benar-benar menghasilkan computerised-being. Generasi robot!
MAJLIS PERBINCANGAN MEJA BULAT PEMANSUHAN UPSR & PMR
Justeru saya amat mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai kembali peranan UPSR dan PMR dalam sistem penaksiran pelajar di negara kita.
Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.
Saya juga bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan yang mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR. Sebarang perubahan mestilah berasaskan kepada kajian yang menyeluruh dan tidak bersifat adhocism. Perubahan mesti bersifat holistik dan bukan gunting sana dan tampal sini.
Mangsanya adalah anak-anak kita dan masa depan negara.
Biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan nanti, saya mengharapkan agar sistem pendidikan negara kita kembali bersifat STUDENT CENTRIC dan bukannya SCHOOL CENTRIC apatah lagi PPD CENTRIC!
Bakul sampahkanlah segala yang berkaitan dengan reputasi dan kemasyhuran sekolah, rekod perkhidmatan cemerlang pegawai pendidikan atau apa sahaja yang menyebabkan murid-murid itu sendiri bukan lagi satu keutamaan.
Apakah boleh dikategorikan sebagai salah laku yang serius apabila murid yang kurang cemerlang diarahkan oleh pihak sekolah mendaftar sebagai pelajar persendirian demi menjaga peratusan kecemerlangan keputusan peperiksaan? Kepada siapa salah laku ini patut diadukan?
Menyembah peperiksaan…. demikianlah perumpamaannya.
Atau mungkin kata kuncinya, hentikan campur tangan politik dan ‘pasaran semasa’ terhadap pendidikan negara.
Sekolah bukan gelanggang lumba kuda.
Ia tempat memanusiakan manusia.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
p/s: Secara tiba-tiba dua minggu sebelum berlangsungnya Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR, saya dihubungi oleh wakil Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa saya dijemput untuk menyertai sesi perbincangan itu. Tidak pasti jemputan dibuat atas kapasiti apa, saya mengalu-alukan peluang itu dan mengambil tindakan pantas membatalkan program di UNIKL-MIMET Lumut demi amanah yang besar ini. Sehingga sehari sebelum program, saya tidak menerima sebarang berita daripada pihak penganjur. Saya mengambil inisiatif menghubungi PIC pada 26 Julai 2010 dan amat mengejutkan, beliau memberitahu bahawa senarai peserta Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR itu telah disenarai pendek oleh pihak atasan dan persidangan itu juga ditunda!
Segalanya tanpa sebarang notis.
Saya kehilangan peluang menyertai persidangan itu, juga kehilangan satu program yang penting untuk klien dan syarikat kami, dan ironinya persidangan itu tidak ditunda seperti yang dimaklumkan.
Tindakan tidak profesional ini semakin mendesak saya untuk terus berusaha melobi rombakan sistem pendidikan negara kita!
Hasrizal Abdul Jamil
Learning, Education and Technology
Oulun Yliopisto, Finland
October 1, 2016
Pendidikan Perlu Melahirkan Manusia Mukallaf
Source: http://mereja.com/forum/viewtopic.php?t=92946
Mungkinkah punca masyarakat kita mudah tertipu adalah didorong oleh kurangnya sifat berdikari di dalam memotivasi diri, menguruskan perkembangan diri dan pembelajaran?
Selama 6 tahun kita bergantung kepada ibu bapa.
Kemudian masuk sahaja alam persekolahan, kita tidak dilatih untuk ‘take charge‘ ke atas pembelajaran diri. Bukan sahaja kerana kebanyakannya disuap oleh guru, malah jenis keperluan pembelajaran kita pun rendah hingga boleh terisi sekadar dengan suapan guru berkenaan. Hanya meminta fakta dan yang cemerlang ialah yang menghafal dan kemudian cukup dengan memahaminya. Kebolehan menganalisis, mengapikasinya dalam konteks pelbagai dan seterusnya mencipta, mereka bentuk dan menghasilkan sesuatu, tidak tercapai. Keperluannya pun tidak disungguhkan.
Rekabentuk pembelajaran yang ada tidak mendidik kita untuk mengenal kelemahan dan kekuatan diri, kemudian dididik untuk menguruskannya serta mengatur strategi macam mana untuk berjaya. 11 tahun pendidikan sekolah tidak menjadikan kita ‘self regulated learner’. Kita tidak jadi mukallaf, iaitu identiti asas agama yang melambangkan kesempurnaan perkembangan potensi diri kita.
Kesannya mungkin meleret hingga ke alam dewasa. Sentiasa memerlukan dorongan luar (extrinsic) untuk melakukan sesuatu.
Motivasi dengan dorongan perkataan ala kadar pun boleh ‘menyedarkan’ kita dan kerananya ‘akhirnya kita berjaya’. Lalu yang mendorong kita itu menjadi sifu, diangkat sebagai pakar.
Walhal apa yang disarankan itu adalah amat asas yang sepatutnya seorang ‘self regulated learner‘ boleh fikir dan buat sendiri. Ramailah lahir di dalam masyarakat ‘pakar-pakar’ yang memimpin kita ke arah kejayaan, sedangkan kita sebenarnya mensesiakan kebolehan diri yang telah pun Allah berikan kepada kita semua. Dan lebih menyedihkan, ia bukan akibat kemahuan kita sendiri.
Suasana mudahnya masyarakat terpesona dengan kata-kata, bertukar menjadi peluang.
Duit, duit dan duit.
Jika ada sesuatu yang baik, salurkan ia kepada memperbaiki sistem pendidikan. Bukan buat duit atas kelemahan yang dibiarkan berpanjangan. Yang terbaik, sepatutnya berada di sekolah. Bukan membiarkan sekolah dan pendidikan sentiasa perlukan dorongan tambahan dari luar. Di negara-negara yang sistem pendidikannya baik, ‘kursus motivasi’ hampir tidak wujud dan janggal untuk wujud.
Kata Zimmerman:
“What defines them as “self-regulated” is not their reliance on socially isolated methods of learning, but rather their personal initiative, perseverance, and adoptive skill. Self-regulated students focus on how they activate, alter, and sustain specific learning practices in social as well as solitary contexts. In an era when these essential qualities for lifelong learning are distressingly absent in many students, teaching self-regulated learning processes is especially relevant.” (Zimmerman, 2002)
Model self regulated learning Zimmerman bukanlah yang sempurna. Saya sekadar mendatangkannya sebagai satu contoh.
Hasrizal Abdul Jamil
LET, Oulun Yliopisto.
Suomi.
September 20, 2016
Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi
Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. Jika kita fikir bagaimana hendak mengubah suai pengajaran dan pembelajaran supaya boleh menggunakan teknologi, maka ia memang mengundang padah malah salah. Apa yang kita perlu fikir ialah apakah masalah-masalah yang wujud di dalam pengajaran dan pembelajaran kita sekarang, dan bagaimana teknologi boleh membantu menyelesaikannya.
Pada masa ini trend di dalam pendidikan dan teknologi sudah semakin kritikal, bahawa kita hari ini bukan lagi berfikir bagaimana hendak membawa teknologi ke dalam pendidikan, sebaliknya meneliti pendidikan dan masalah yang ada, kemudian berfikir bagaimana teknologi boleh membantu. Justeru jangan pula nampak satu peranti atau aplikasi menarik, terus berfikir, saya mahu membawanya ke dalam pengajaran dan pembelajaran, tanpa terlebih dahulu mengenal pasti apakah keperluannya.
Di dalam kajian mengenai collaborative activities dalam student-centered, bahagian besar yang terjadi di dalam sesi berkenaan ialah BERTANYA SOALAN, diikuti dengan MENJAWAB SOALAN, kemudian satu bahagian kecil MEMBUAT KESIMPULAN (Hakkarainen, 2004).
Jika kemahiran bertanya soalan itu masih lemah, pelajar ertinya masih belum belajar. Dalam collaborative work yang bersifat kerja berkumpulan sekali pun, sebenarnya pembelajaran berlaku di dalam minda individu. Kerja kumpulan hanya menyokong dan membantu.
Adakah pelajar kita sudah menjadi pelajar? Jika belum, kita ada tanggungjawab besar melangkaui peperiksaan, untuk memupuk motivasi yang bertenaga, minda yang aktif, beberapa kemahiran belajar, barulah mereka jadi pelajar dalam erti kata yang sebenarnya. Barulah mereka akan menjayakan student centered, dan barulah mereka sesuai untuk cemerlang, sama ada SPM, IGCSE atau IB.
Dan untuk menangani keperluan-keperluan asas ini, fikirkan tentang pedagogi kita, fikirkan tentang alat-alat yang kita guna, mungkin kemudian nanti, akan ada keperluan untuk menggunakan teknologi. Jika kita putuskan bahawa tiada keperluan untuk teknologi dibabitkan di dalam pengajaran dan pembelajaran, ia mestilah natijah daripada kompetensi kita di dalam pengajaran dan pembelajaran, dan bukannya kerana analisis yang lemah atau kemahiran mengajar yang rendah.
Hasrizal Abdul Jamil
LET, Oulun Yliopisto,
Suomi
August 24, 2016
Perjalananku ke Oulu, Finland

Selepas menyempurnakan kursus Helsinki Summer School in 2015, saya mempunyai kecenderungan yang tinggi kepada sistem pendidikan Finland. Kursus yang saya hadiri telah memberikan pendedahan secara intensif kepada sistem pendidikan Finland, dan kami bertuah kepada berpeluang melakukan internship di Puistolan Peruskoulu, bertemu dengan guru, murid-murid dan pemimpin di sekolah komprihensif berkenaan. Saya selesaikan kursus di Helsinki itu dengan keazaman yang teguh untuk pulang dan berusaha memperbaiki Khalifah Model School, rendah dan menengah, untuk benar-benar menjadi sekolah mithali yang memodelkan satu bentuk pendidikan yang baik.
Ideanya mudah.
Kita mesti berusaha melindungi anak-anak di sekolah daripada sesiapa sahaja yang kepentingan mereka bukan pendidikan anak-anak serta pembelajaran mereka. Birokrat, ahli politik dan ahli perniagaan mesti berada jauh dari sekolah. Jika mereka mahu membabitkan diri dengan sekolah, mereka sewajarnya hanya memberi, dan tidak mengambil apa-apa untuk kepentingan peribadi. Guru juga mesti diberi peluang untuk fokus kepada kepakaran dan minat mereka yang utama iaitu mengajar dan bukan selainnya. ‘Budaya percaya mempercayai’ (the culture of trust) mesti menjadi tulang belakang kepada profesionalisme perguruan, yang mana penaziran dan lapor melapor mestilah dikurangkan seminima mungkin, dan jika boleh dihapuskan sepenuhnya. Apabila anak-anak ke sekolah, mereka mesti dibantu untuk berasa selamat dan gembira, suka belajar dan mempersiapkan diri menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat.
Saya mahu itu berlaku. Tetapi saya tidak tahu bagaimana. Saya tahu Finland bagus. Tetapi ia terlalu bagus bagai utopia apabila buku Finnish Lessons karya Pasi Sahlberg dijadikan jendela untuk memerhati.

Kini saya sudah punya idea. Dan ia menjadikan saya gembira. Isteri saya menggalakkan saya menyambung pelajaran di dalam bidang pendidikan supaya kerja dan usaha saya boleh dibina di atas asas yang kukuh. Walaupun University of Helsinki telah memberikan kepada saya 6 jam kredit ects melalui kursus berkenaan, UH tidak mengadakan pengambilan pada tahun 2016. EDISO telah dibatalkan sehingga ke makluman yang seterusnya.
Saya beralih kepada pilihan-pilihan yang lain. Jyväskylä, Tampere, Turku, Universiti Lapland di Rovaniemi dan banyak universiti lain menawarkan program sarjana antarabangsa (di dalam bahasa Inggeris) yang bagus, tetapi saya cenderung kepada dua program yang ditawarkan di University of Oulu. Pilihan saya ialah di antara Learning, Education and Technology (LET), atau Education and Globalisation (EdGlo). Tetapi berdasarkan kepada keperluan semasa di Khalifah Model School (Secondary), saya mengambil keputusan untuk memilih LET agar saya boleh menjadi seorang pendidik yang memahami pendidikan dan pembelajaran, serta bagaimana teknologi boleh membantu.
Sebelum menghantar permohonan, saya sedar bahawa bidang pendidikan dan teknologi ini adalah sesuatu yang baru buat saya. Untuk itu, saya bertemu dengan Dr. Nurkhamimi Zainuddin di USIM, cuba untuk belajar secara intensif melalui tunjuk ajar beliau tentang kecenderungan kajian semasa di bidang berkenaan. Beliau meneliti struktur program LET dan berkongsi maklum balas mengenainya. Saya terhutang budi dengan beliau kerana banyak membantu saya memahami pelbagai aspek kajian dan aplikasi bidang ini. Malah yang paling utama, beliau sudi menjadi referee untuk permohonan saya.
Malangnya, saya berdepan dengan pelbagai masalah semasa menguruskan dokumen permohonan. Pihak Kedutaan Jordan di Kuala Lumpur enggan meletakkan stem di setiap muka surat dokumen sebagaimana yang diarahkan secara spesifik oleh pihak Finland. Puas saya memujuk namun kakitangan di situ enggan melakukannya dengan alasan ia membazir. Saya tahu bahawa keengganan ini boleh menyebabkan permohonan saya terbatal. Selepas kecewa dengan usaha memujuk, saya telah mengambil tindakan yang paling tidak masuk akal. Saya terbang ke Helsinki untuk menguruskan dokumen tersebut di sana, dan menghantar permohonan secara in person. Di Helsinki saya hampir-hampir terbang ke Berlin untuk urusan pengesahan dokumen, tetapi akhirnya berjaya melakukan semua itu di Public Notary di Helsinki. Alhamdulillah. Permohonan dimasukkan ke kotak pos betul-betul pada hari tutupnya tempoh memohon. Suhu ketika itu mencecah -15ºC namun segalanya berbaloi.

Saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa permohonan ini akan berjaya. Saya mesti berjaya. Terutamanya apabila Finland mengumumkan bahawa tahun 2016 adalah tahun terakhir calon non EU seperti saya akan mengikuti program international master ini secara percuma (tanpa yuran universiti). Selepas ini, pelajar non EU akan dikenakan yuran penuh mencecah EUR10K setahun.
Sama ada saya mendapatkan tempat tahun ini, atau lupakan sahaja segalanya.
Apabila nama saya tersenarai pendek untuk temuduga, saya takut untuk mengambil risiko gagal. Demi untuk memastikan permohonan ini berjaya, saya sekali lagi lagi tekad mengorek segala sumber sokongan yang saya ada untuk terbang terus ke Oulu di utara Finland bagi menghadiri temuduga. Ia adalah suatu perjalanan yang sangat panjang dan meletihkan. Namun saya manfaatkan perjalanan itu dalam kelebihan orang bermusafir untuk berdoa dan berdoa agar temuduga berjalan lancar dan usaha kali ini bakal menjadi satu turning point yang besar dalam hidup ini.
Oulu di bulan April ketika itu masih sejuk. Salji mencair dengan amat perlahan dan saya teruja melihat bongkah-bongkah ais hanyut perlahan di delta Oulu masuk ke Teluk Bothnia. Saya telah hadir ke temuduga dengan proposal yang fokus kepada penggunaan teknologi berasaskan pedagogi ke arah menghapuskan indoktrinasi dalam kurikulum agama. Temuduga selama 40 minit sungguh mengujakan saya. Hati berbunga dan gembira kepada penemuduga menunjukkan minat dan kesungguhan terhadap setiap butir bicara yang saya sampaikan.

Saya pulang daripada temuduga berkenaan dengan keyakinan yang lebih kuat Inshaallah bahawa INILAH MASANYA!
Alhamdulillah seminggu kemudian, saya telah menerima tawaran daripada University of Oulu. Saya telah diterima ke program berkenaan untuk pengambilan musim luruh 2016. Alhamdulillah!
Selepas proses yang panjang dan rumit berkaitan visa, insuran, hal ehwal kewangan dan menyerahkan satu demi satu tugas saya kepada pasukan di KMSS, saya berlepas meninggalkan tanah air pada 14 Ogos 2016. Inshaallah isteri dan anak-anak saya akan menyusul kemudian di bulan Oktober. Kami telah melepaskan semua yang kami ada, kecuali rumah, untuk memastikan pelan ini berjaya.

Penghijrahan ke Finland adalah kombinasi pelbagai tujuan yang baik. Saya mahu belajar, isteri pun demikian juga. Saya juga berharap agar anak-anak saya akan mendapat pengalaman baru tinggal di negeri asing dan mudah-mudahan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan Finland selama keberadaan kami di Oulu ini, Inshaallah.
HASRIZAL ABDUL JAMIL
LET, Oulun Yliopisto