Bertaqlid Buta Dalam Menyukai dan Membenci
Teringat saya kepada kekecohan di Jordan apabila kerajaan menaikkan harga roti ekoran kenaikan harga tepung gandum sedunia.
Rakyat sungguh marah.
Bukan setakat menjerit-jerit marah, mereka merusuh seluruh negara. Masih jelas di ingatan saya bagaimana pekan Karak dikelilingi kereta kebal untuk mengawal bangunan-bangunan strategik seperti bank, pejabat kerajaan dan balai polis.
Tetapi, yang tidak akan saya lupakan adalah temubual wartawan televisyen Jordan bersama perusuh di Qatranah. Ia adalah sebuah pekan kecil di selatan Mu’tah, lokasi kami belajar ketika itu. Entah mengapa, penduduk Qatranah ini sering dikaitkan dengan sifat clumsy yang sering menjadi bahan gurauan masyarakat.
“Mengapa kamu merusuh?” tanya wartawan.
“Tak tahu! Kami lihat penduduk Karak merusuh, kami pun merusuhlah!” kata lelaki berkenaan.
Saya dan rakan-rakan ketawa besar menonton berita berkenaan. Hendak keluar rumah tidak sedap hati. Menonton berita, mujarab dengan menggelikan hati.
Tidak cukup dengan bertaqlid buta dalam beribadah dan berilmu pengetahuan, penduduk Qatranah mempamerkan satu bentuk taqlid buta dalam membenci dan menyukai. Orang suka, kami suka, orang benci, kami benci. Apa sebabnya, itu kira kemudian.
Namun dalam lurus bendul penduduk Qatranah, strategi mereka merusuh ada kepandaian yang tiada diajar di mana-mana sekolah. Serangan mereka ke atas Bank al-Iskan dilakukan dengan begitu unik. Seekor ayam hidup telah dicelup ke dalam minyak tanah, ayam itu dibakar dan dicampakkan ke dalam bank!
Dek kepanasan terbakar, ayam itu bertempiaran lari lalu menyebarkan api dengan begitu pantas, sebelum segala-galanya musnah, demi memuaskan sebuah kemarahan.
Kisah lama, tiada kaitannya dengan apa-apa.
Sekadar ‘mengalu-alukan’ era GST untuk pengalaman kita yang seterusnya.
Carilah ilmu, agar menyukai dan membenci, bukan sekadar ikut-ikutan.

Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan berakal, tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka” [al-Mulk 67: 10]
HASRIZAL
43000 BSP


