Faisal Tehrani's Blog, page 13
January 24, 2011
Mereka Sesat?

Tahukah anda terdapat 300 000 umat Islam Syiah di Argentina? Tokoh mereka bernama Hujjatul Islam Sheikh Abdul Karim Paz, selain itu terdapat tokoh lain Hujjatul Islam Feisal Morhell, Sheikh Abdallah Madina, Sheikh Ali Abdur Rahman Pohl dan Sheikh Mahmud Aid (kesemuanya orang asal Argentina).






15 peratus umat Islam di dunia ini ialah Syiah Imamiyyah (mazhab fikah: Ja'fari). Selain cebisan minoriti syiah di atas, umat Islam Syiah begitu dominan di Iraq, Iran, Bahrain, Afghanistan, Lubnan, dan Pakistan.
Jika mereka di atas sesat, Syiah adalah ajaran sesat paling berjaya di dunia sehingga mempunyai ratus ribu ulama, ratus ribu masjid, ratus ribu kitab dan tradisi turun temurun selama ribuan tahun.
Oleh kerana itu, peristiwa penahanan umat Islam Syiah di Selangor 17 Disember lalu telah menjadi perhatian internasional dan akan mengundang kontroversi untuk satu tempoh yang lama. Ia juga bertentangan dengan 'kesederhanaan Malaysia' dan pendapat ulama sunni tersohor, al Marhum Muhammed Sayyid Tantawi: ''Bagi saya tiada bezanya antara Ahli Sunah dan Syiah kerana kedua-duanya masih berpegang kepada akidah yang satu dan kita semua tetap bersaudara, (klik sini) Buat pertama kali juga di dunia, seseorang akan diadili sebagai bersalah atau tidak menurut undang-undang semata-mata kerana ia bermazhab Syiah.
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
Published on January 24, 2011 07:40
January 23, 2011
JAKIM Wajar Nasihati

Ketika berada di Kuala Lumpur, Sayyid Tantawi berkata, dalam hal perselisihan pendapat antara Ahli Sunah Wal Jamaah dan Syiah, selagi semua pihak berpegang kepada akidah yang sama, mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan semua nabi serta mengiktiraf sahabat-sahabat Rasulullah, perbezaan yang berlaku itu tidak harus menjadi punca perpecahan.

Nampaknya, nasihat Sayyid Tantawi tidak lagi berguna apabila beliau pulang ke rahmatullah (penting: klik sini). Ilmu yang kita teguk dari al-Marhum wajar diamalkan, bukan dikesampingkan. Itulah ilmu yang berkat.
Beginilah; seorang utusan penting datang membisikkan kepada saya supaya memberi ruang kepada 'hal-hal lain'. Supaya 'dikendurkan' apa yang 'tegang'. 'Kompromi' sedang dirundingkan. Utusan itu hadir membawa mesej seseorang yang sangat saya hormati, ia membisik dan membayangkan kepada saya, meminjam kata-kata utusan tersebut, 'semacam satu gencatan'.
Secara dasarnya saya bersetuju. Kita tidak dapat bergerak jika tersangkut hal-hal ranting begini. Kerja Islam kerja besar yang tidak seharusnya terlengah oleh hal-hal dungu. al Marhum Sayyid Tantawi pun berpandangan begitu ketika beliau masih hidup. Speaker Majlis Iran dalam pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Iran pun ada berpesan , tingkatkan hubungan dagang dan avoid sectarian strife klik sini.

Kedua, eloklah dinasihati 'orang-orang yang tidak makan nasihat' seperti ini, klik sini dan sini. Kumpulan ini (sekadar contoh) boleh memburukkan keadaan, kerana memang bersifat duri dalam daging. Potensinya sudah kelihatan kerana guru dan bos berpesan lain, buatnya pula lain.
Maka saya pun memberitahu kepada utusan, supaya menyampaikan pula bahawa: 'Gencatan tidak boleh berlaku sebelah pihak. Ia memerlukan komitmen total pelbagai pihak.'
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
Published on January 23, 2011 15:25
January 22, 2011
Latar






Aku angguk. Tuduhan dan dakwaan yang menimpaku saat ingin menjambatani antara pelbagai sekolah pemikiran dalam Islam amat perit.

"El-Afghani – pada masa mudanya ia mendapat pendidikan di Iran, dan di beberapa kota suci syiah di Iraq dengan minat mendalam terhadap falsafah Islam. Juga penelitian khasnya dalam syiah jurusan syaikhi, yang merupakan ragam syiah yang sangat filosofikal pada abad ke-18 dan ke-19. Saat itu di dunia Arab dan Turki, falsafah telah dijauhi oleh umat kerana dianggap menyimpang dari Islam. Ini tidak terjadi di Iran bahkan tradisi pengajian falsafah terus berlangsung. Kitab karya Ibn Sina misalnya tidak basi dan diajarkan di sekolah keagamaan."
Kami berjalan santai. Medan Tajrish masih sunyi.
Fikiranku mengelamun. Ketika Afghani ke Istanbul, antara tahun-tahun 1869dan 1870, dia telah mengemukakan gagasan yang berasal dari falsafah inilah. Saat berada di Mesir pada 1870-an, dia mengajar murid-murid mudanya tentang ajaran falsafah yang pernah digalinya di Iran. Aku ingin belajar daripada Imam Khomeini. Seperti mana aku ingin mempelajari daripada el-Afghani.A ku ingin melawan kekerasan seperti yang mereka pernah tunjukkan. Seperti yang mereka pernah terokai. Dan kalau ada seorang dua ulama garis keras melawanku, itu sudah dijangka tentu. Banyak yang harus dipelajari.
Aku tiba-tiba berbicara semacam mengeluh sendirian, "Kembara panjang dalam hidup Afghani dilalui dengan berdakwah di pelbagai negara. Dalam usia 20 tahun, Afghani sudah ke India menyebar api supaya umat Islam bangun berjuang untuk mengusir pemerintahan Inggeris dari bumi India. Di mana sahaja ia beradaia membangkitkan pertanyaan, mengajak manusia kembali berfikir untuk kembali kepada Islam sebenar yang ditinggalkan oleh Nabi kita.
Setelah meninggalkan India, Afghani mengerjakan haji di Makkah, sambil melintasi kota-kota suci syiah. Beliau turut ke Afghanistan menerusi Iran. Di Afghanistan dia kekal menyalakan api, serbuk bedilnya sungguh panas. Dia diusir Inggeris pada Disember 1868.
"Pada tahun 1870, Afghani telah dilantik mengetuai Dewan Pendidikan Kerajaan Utsmaniah dan dia menyebarkan idea perpaduan dari sini. Idea menentang penjajah. Sayang, orang keras yang merasa benar lebih ramai. Kuliah-kuliah umum el-Afghani menimbulkan bantahan keras para mufti, kerana dia dianggap menyimpang dari agama. Akibatnya Afghani diusir dari Istanbul."
Tse hanya diam, mungkin lebih enak mendengar." Setelah itu Afghani ke Kaherah. Di sini dia menubuhkan media yang membahas isu-isu politik semasa. Dan seperti yang kita tahu, Mesir di bawah pemerintahan yang pro-Inggeris berasa bahangnya lantas Afghani akhirnya diusir dari Mesir. Bagai sudah nasibnya, dia kembali ke India, kali ini di Hyderabad di mana dia turut diusir. Dari sini Afghani langsung ke London, dan kemudian pada tahun 1883 berada di Paris. Di Paris inilah Afghani bersama dengan Muhammad Abduh, muridnya, seorang sunni. Mereka berdua menerbitkan akhbar berbahasa Arab, Al-Urwah Al-Wutaqa yang mendapat tajaan dari sejumlah pengkagum. Sebelum meninggal pada tahun 1887 di Iran, Afghani sempat juga pergi ke Rusia, Eropah dan Iraq. Ke mana sahaja dia pergi, jejaknya melawan kekerasan bertebaran."
Tse menggetap bibir, cuba memahami resahku. Gelisah yang menyesakku selama ini. Ombak dalam dadaku yang kurang difahami orang jahil atau mereka yang suka menghukum. Terlalu ramai yang melompat untuk melabel.
Tse bersuara, "Afghani merupakan tokoh besar dalam sejarah moden dunia Islam. Dia meminta kita kembali kepada Islam sebagai kekuatan yang sangat penting untuk mendepani Barat. Sambil itu dia bekerja keras meningkatkan perpaduan kaum Muslimin."
Aku melayani fikiran sendiri. Kedai-kedai di Tajrish kembali dibuka. Dalam benakku menimbang-nimbang persamaan seruan Imam Khomeini dan Jamaluddin el-Afghani; supaya ada pembaharuan dan perubahan di dalam sistem politik negara umat Islam. Juga kritikan keras el-Afghani terhadap mereka yang memihak imperialisme Barat dan kumpulan yang memecah-belahkan umat Islam.
"Enta , err… enta O.K?" Tanya Tse melihat aku bagai dirundung duka.
Aku geleng. Mungkin aku patut mengangguk. Musuh Islam begitu ramai, termasuk mereka yang tidak menyangka dirinya sedang memusuhi Islam kerana ditutup ilmu yang tidak diamalkan.
"Mungkin O.K, mungkin tidak O.K. Tse, laluan jauh dan penuh kerikil ditempuh dua tokoh inilah yang ingin ana pelajari. Dengan rendah diri ana belajar dari latar. Kerana latar dapat mengajar."
Tse menepuk bahuku, "Ana bersama enta. Dan ramai lagi akan menyertai. Tentu kita akan dimusuhi dari dalam, itu sudah dirasai oleh el-Afghani, bukan? Waktu enta bermula enta sudah tahu ini akan ditempuhi, bukan?"
Aku tidak membalas pertanyaan.
Latar turut dimuatkan dalam Tiga Kali Seminggu.

Klik sini dan sini.
*** Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog.
Published on January 22, 2011 05:34
January 20, 2011
Mazhab Firauni

Mazhab-mazhab fikah yang sembilan itu ialah; mazhab fikah Imam Zayd ibn Ali Zayn al Abidin, mazhab Ja'fari atau mazhab Imam Jaafar as Sadiq, mazhab Hanafi atau mazhab Imam Abu Hanifah an-Nu'man, mazhab Maliki atau mazhab Imam Malik bin Anas, mazhab Syafie atau mazhab Imam Muhammad Idris as Syafie, mazhab Hanbali atau mazhab Imam Ahmad bin Hanbal, mazhab al Laits bin sa'ad, mazhab Imam Ibnu Hazm, mazhab Imam al-'Izz 'Izzuddin Abdul Azis bin Abdissalam.
Di sini saya ingin berkongsi dengan pembaca pandangan Dr Abdul Majid al Najjar dalam bukunya yang berjudul Dawru Hurriyyah al Ra'y fi al Wehdah al Fikriyyah Baina al Muslimin atau 'Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Umat Islam'. Ia sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Mufti Labib. Dr al Najjar mengatakan; 'Semua jenis mazhab adalah kesan sejarah lama. Pada hakikatnya, mazhab tidak lain daripada visi bebagai-bagai jenis cara beragama dalam Islam, iman, akidah, perilaku dan syariah. Mazhab merupakan ijtihad tentang cara untuk melaksanakan agama, di mana terjadi interaksi nas-nas wahyu dengan keadaan dan situasi semasa yang sedang berlangsung dalam kehidupan umat Islam pada masa perkembangannya mengalami kebuntuan kerana kekangan politik. Namun halangan itu bukan selamanya kerana kekerasan politik, tetapi kadang-kadang kerana kurangnya kesedaran Islam.'

Kemudian ada pula alasan al akhdhu bi al Ahwat, maksudnya mengambil yang lebih berhati-hati. Semua alasan pemerintah di atas adalah semata-mata untuk memaksakan satu aliran mazhab. Dr al Najjar berpandangan, alasan-alasan itu semua palsu, kerana tujuan sesebuah pemerintahan (nota saya: seperti terlihat pada era Abbasiyyah) memaksakan satu mazhab ialah untuk tidak 'membahayakan kekuasaan mereka'.
Adakah ini wajar? Iaitu merampas akal sihat dan bebas manusia untuk dipaksakan dengan satu aliran atau mazhab tertentu?
Jawapan saya tidak wajar, berdasarkan ayat al Quran, ayat 130 dan 131 surah al A'raf, terjemahannya: 'Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran. Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui'.
Ayat-ayat di atas menggambarkan betapa parahnya akal kaum Firaun yang kebebasannya telah dikekang, dirampas dan dipaksakan untuk menunjangi satu sahaja aliran iaitu 'ketuhanan Fir'aun'. Mereka akan menghalang fakta berlawanan. Apabila ini berlaku, akal akan bercerai berai dalam menafsirkan setiap kejadian justeru mereka tidak dapat mencapai sebab-sebab sebenarnya.
Jelaslah, metod Fir'aun tidak ada bezanya sebagai misalan dengan media barat yang manipulatif dan inginkan maklumat satu hala sahaja. Media barat akan membataskan dan memaksakan ruang lingkup dalam pilihan mereka sahaja. Inilah metod Fir'aun yang dilakukan oleh mana-mana pemerintah yang dengan sengaja memaksakan satu mazhab sahaja kepada masyarakat. Akibatnya masyarakat menjadi pak turut, tidak menggunakan akal, beku pemikiran dan seterusnya menuju kehancuran seperti yang sudah dipugar kaum Fir'aun dalam ayat-ayat yang saya ketengahkan tadi.
Hari ini seruan perpaduan mazhab-mazhab yang ada dalam Islam mengatasi kecetekan dan kekerasan yang dikekang oleh pemerintah. Umat Islam harus berdepan dengan musuh yang lebih besar dalam bentuk penjajahan budaya barat dan juga cengkaman Zionis. Oleh kerana itu, kesatuan dalam kepelbagaian amat diraikan. Sementara kekerasan dalam kepelbagaian amat dikecam.


Itulah tuntutan hari ini untuk umat dari dua mazhab terbesar dalam Islam. Namun begitu kita tidak menafikan terdapatnya kumpulan yang menolak perpaduan ummah dan kumpulan duri dalam daging ini tidak sukar untuk kita kenali.

Puluh tahun lalu, Pendita Za'ba menulis dalam bukunya 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri' tentang keperluan merenungi semula mazhab yang kita pegang: 'Kerana tiada syak sekali-kali bahawa pemahaman akan sesuatu kebenaran, baik agama atau lainnya, dalam satu-satu zaman tentulah berkehendak kepada disemak kembali, diperiksa dan dibaharui dengan corak-corak baharu yang sesuai dengan semangat zaman itu. Sebarang kebenaran adalah selalu berhajat kepada dibaharui pemahamannya dalam tiap-tiap zaman menurut istilah pengalaman-pengalaman baharu'.
Pandangan terkehadapan Za'ba tersebut sangat benar. Hanya dengan semangat perenungan kembali itu kita umat Islam akan menggunakan akal dan tidak menjadi beku jumud sepertinya umat Firaun yang terkongkong oleh satu mazhab iaitu 'mazhab Firauni'.
* Justeru kebanyakan mazhab-mazhab ini pupus, dan hanya tinggal lima yang dominan.
** Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka. Penganut mazhab Firauni boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali pada kotak undi tersebut. Tetapi ingat, Fir'aun hidup mewah di dunia ini tetapi mendapat siksaan pedih di akhirat kelak.
Published on January 20, 2011 15:14
January 18, 2011
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia: Syiah Imamiyah Adalah Sebuah Mazhab

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Berikutan penindasan terhadap Syiah di negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia, Konsul Kebudayaan Republik Islam Iran Hujjatul Islam Muhammad Hasan Wahidi telah mengadakan pertemuan bersama pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) Abdul Ghani Shamsudin setelah Solat Jumaat (14-01-2010).
Hujjatul Islam Wahidi menerangkan harapan pengikut mazhab Syiah Imamiyah di seluruh dunia daripada para ulama, pensyarah universiti dan cendiakawan ialah membendung tidakan yang membawa risiko perpecahan di kalangan umat Islam. Perpaduan antara Mazhab dalam Islam merupakan topik yang penting untuk diketengahkan kepada masyarakat umum hari ini.
Hujjatul Islam Wahidi berkata para ulama dan ahli Fiqh Syiah sudah memberikan penjelasan terhadap pendirian sebenar mazhab mereka dan tersebarnya fitnah-fitnah baru-baru ini disebabkan kurang informasi yang tepat serta kemunculan konspirasi yang ingin menghancurkan Islam.
Syaikh Abdul Ghani Shamsudin selaku pemimpin SHURA menerangkan memang sudah wujud perancangan musuh yang ingin memusnahkan Islam dari dalam adalah bertentangan dengan pandangan umat Islam di Malaysia. Beliau menambah, "Empat Mazhab iaitu Imamiyah, Zaidiyah, Ibadhiyah dan Zahiriyah sudah diakui secara rasmi oleh umat Islam dan tidak ada sesiapa pun berhak mengkafirkan mereka".
Abdul Ghani berkata satu pendekatan dialog harus dilaksanakan supaya dapat membetulkan tanggapan umat Islam di waktu mendatang. Kata beliau lagi, "Memperbaharui pandangan dan meluruskan pendapat yang tidak sahih adalah satu kewajipan dalam agama".

Pertemuan ini juga turut membincangkan kerjasama antara rakyat Iran dan Malaysia untuk mengasaskan sebuah institusi yang membincangkan masalah Tauhid dan Pendekatan Antara Mazhab. Mereka berdua turut bertukar-tukar fikiran tenang Seminar Perpaduan Umat Islam yang akan dianjurkan di Tehran nanti.
Sumber di sini. Nota saya: Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin tidak tahu ke selama ini ada pihak tertentu mengkafirkan Syiah? (klik sini)
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
Published on January 18, 2011 18:56
Tenang-Tenang Leila

Mengapakah regim 23 tahun tersebut rebah mendadak?
Khabarnya, salah satu sebab tersungkurnya regim penindas tersebut ialah ekoran ketamakan dan kemewahan isteri Ben Ali: Leila Trabelsi.

Meski berasal dari keluarga melarat, kegelojohan Leila di belakang kuasa suaminya iaitu Presiden Tunisia menyebabkan beliau dinamakan sebagai "The Regent of Carthage'. Carthage adalah sebuah kerajaan purba tidak jauh dari Tunis hari ini. Ia adalah kerajaan Phoenician pada pertengahan abad ke 9 sebelum masehi; seperti kerajaan-kerajaan agung lain ia hancur pada tahun 146 sebelum masehi. Laporan media menyebut Leila adalah kuasa di belakang Presiden Tunisia dan kegilaannya kepada kuasa, wang, kereta dan kediaman mewah mendorong kebencian rakyat Tunisia.
Keluarga Presiden digelar oleh rakyat sebagai 'The Mafia'. Hari ini setelah keluarga Presiden terbirit melarikan diri dan dilindungi oleh satu lagi regim (Arab Saudi), rakyat masuk ke dalam kediaman mewah Presiden lalu menghancurkan kereta-kereta mewah tersebut.

Adalah dipercayai kekayaan keluarga Ben Ali berjumlah 3.5 bilion euro dan kebanyakannya dilonggokkan di Perancis. Bukan itu sahaja, akhbar Le Monde melaporkan keluarga Ben Ali berjaya melepaskan diri dari kebangkitan rakyat dengan membawa sama keluar harta berbentuk 1.5 tan emas.
Hari ini, dalam satu sidang akhbar, pemimpin sementara Tunisia ditanyai wartawan, 'Benarkah Leila Trabelsi yang berkuasa dan bukan Presiden Ben Ali?'
Perdana Menteri sementara, Mohammed Ghannouchi menjawab: "We have that impression." (klik sini)
Ada orang mengatakan, di sebalik seorang lelaki (dalam hal ini kehancuran, bukan kejayaan) pasti ada seorang wanita. Sumber di sini. Melihat pada foto-fotonya mungkin entri ini sepatutnya berbunyi 'Garang-Garang Leila.'

Bilalah kita nak menghargai orang lain, seperti kaum minoriti?
Klik sini.
** Pembaca blog ini dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog.
Published on January 18, 2011 01:26
January 17, 2011
Novel Faisal Tehrani Ke 21

Pengurus Sharifah Ezzati, Sharifah Diyanti memegang draf skrip. "Kita dah tengok skrip ni, menarik sebab Ezzati tak pernah berlakon dokumentari begini. Pasal batu pulak lagi. Kita sukalah jugak. Lagipun you nak bayar lumayan."
"Tapi…tapi…" Sharifah Ezzati mencelah. "I nak beritahu I tak fasih bahasa Melayu tahu. Nampak macam I kena cakap bahasa Melayu kuno dalam doku-drama ini."
Sharifah Diyanti angguk mengiyakan kenyataan artis dibawah pengurusannya. "Yes, sebab Ezzati ada darah Arab sikit, Inggeris sikit, Cina sikit, Jepun sikit, Mongolia sikit dan darah Jawalah yang paling, paling, paling sikit…di rumah pun dia berbual dengan moyangnya dalam bahasa Inggeris. Keluarga Ezzati ni moden sikitlah. Satu Malaysia lah."
Syarifah mengangkat kening tanda meluat. Sofea menahan geram tetapi bertahan.
"Kalau Sharifah Ezzati betul berminat, kami boleh minta peguam Akademi Seni Islam sediakan kontrak." Tutur Zulkifli penuh sabar.
"Eiiii…" Sharifah Ezzati menempik. "Nanti, jangan panggil I Sharifah, I tak berapa suka. You can call me Nono."
Zulkifli terbelalak. "Nono…"
Sharifah Ezzati angguk, "Ada ke panggil I sharifah! Eiiii I sound uncivilizedkan……I am not going to act without knowing siapa hero. Tak aci tau."
Sofea pula menarik nafas. "Pelakon lelaki yang sedang meningkat naik Azhan Kaya dan Fazid Kamil sudah menerima tawaran kami."
Sharifah Ezzati meletakkan tangan di dada, "Uhhh…Azhan Kaya? He's so good looking, I cant take my eyes off him. Berdebar masa I nampak dia di Pesta Filem baru-baru ni. Uhhh, finger licking good. Tapi emmm ada gosip kata dia ada teman wanita yang kewanitaannya diragui."
Sofea menggenggam tangan di bawah meja, pahanya menyinggung paha Syarifah yang juga sedang menahan bengang.
"Supporting?" Sharifah Diyanti mencelah.
"Amir Nin, Calvin Chong dan Betty Falak." Syarifah bersuara.

Kontrak ditarik, dan dengan kenyit mata yang saling berbalas dengan Sharifah Diyanti, Sharifah Ezzati menandatangani kontrak.
"Nanti fakskan jadual pengambaran. Jangan lambat. Nono need that fast. Dia terpaksa berlakon di Sarawak juga tau. Dan lepas ini dia ada promosi filem Masin tentang keluarga Serani." Perintah Sharifah Diyanti.
Shariah Diyanti dan Sharifah Ezzati bangun serentak. Zulkifli, Sofea dan Syarifah ikut bingkas. Sharifah Ezzati menghulurkan tangan kepada Zulkifli. Tetapi Zulkifli meletakkan tangannya di dada tanda tidak dapat bersalam.
"Don't tell me you pun macam budak Felda tu, tak nak salam dan pegang perempuan. We are not dogs you know. Bukan najis atau apa." Sharifah Diyanti membebel.
"Euhhii sindrom Mawi si pocong tu dah menjangkit di mana-mana ke, so uncivilized. Pathetic. Okaylah whatever, hope we can work together."
Sharifah Diyanti dan Sharifah Ezzati beredar.
* Akan menemui anda hujung Februari ini, Insya-Allah. Jangan bimbang, anda tidak perlu memahami apa itu Ahlus Sunnah wal Jamaah atau Syiah untuk membaca karya ini. Justeru ia 'halal' dibaca.
** Pembaca blog ini dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog.
Published on January 17, 2011 15:01
Kerugian

Ini ada berita yang masih segar, orang Syiah hendak menyaman seseorang. Siapakah orang tersebut?
Baca di sini:
"Kami menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Khusrin di bawah peruntukan undang-undang Malaysia kerana menghina, menghasut dan memfitnah.
"Kami juga menuntut pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Khusrin yang berniat jahat untuk menghuru-hara ketenteraman awam di Malaysia dan negara-negara Islam seluruh dunia.
"Selain itu, kami juga menuntut tindakan terhadap Mohd Khusrin kerana ia mencetuskan kebimbangan kepada penduduk Malaysia yang mengamalkan kebebasan beragama," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini.
Tambah Kamil Zuhairi, perkara tersebut akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat selepas mengadakan pertemuan dengan peguam.
Untuk berita lanjut klik TheMalaysianInsider, di sini atau Ahlul bayt News Agency, klik di sini.
* Ini ada sesuatu yang mengelirukan, bekas Mufti Perlis 'didakwa tokoh Syiah' dalam satu laporan berita asing: "Malaysia sepertinya akan menjadi sebuah negara ala Taliban yang hanya memperbolehkan satu aliran pemikiran," ujar Asri Zainul Abidin, seorang tokoh Syi'ah seperti dilansir Associated Press, Jumat (14/1/2011) klik sini. Agamawan yang terkenal itu pernah sebelum ini mengeluarkan kenyataan: "Saya bukan Wahabi dan saya tak tahu apa itu Wahabi." (klik sini).
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
* Foto diemel oleh seseorang yang tidak saya kenali.
Published on January 17, 2011 02:44
January 16, 2011
Ini Foto Arab Mana Pula?

a member of the National Fatwa Council (Sumber di sini)



'Islam agama orang Arab'.
Memang sangat meleset kenyataan di atas. Setahu saya penganut Syiah Imamiyyah ada dua belas orang Imam, semua dua belas itu bukan orang Iran tetapi orang Arab.
Sehingga sekarang ada Syiah di Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi. Mereka ini Syiah keturunan sejak zaman Saidina Ali agaknya. Baru-baru ini Amir wilayah Madinah, Abdul Aziz bin Majid membuat inisiatif menemukan tokoh-tokoh Sunni dan Syiah di kota Rasulullah saw, di Madinah al Munawwarah. Sheikh Tahir Abdul Mun'im al-Hajuj dan Sheikh Soleh al-Jud'an daripada pihak Syiah Madinah hadir dengan kumpulan Ahlusunnah pula diwakili oleh Faisal Abu Rab'ah dan Sheikh Sulaiman bin Ghamid al-Sa'idi dari wilayah al-'Ashbah (klik sini). Mereka berikrar untuk menjaga keamanan ekoran terdapatnya sekumpulan budak-budak wahabi jalanan melaga-lagakan penduduk Syiah dan Sunni setempat Muharram lepas. Inilah gambar-gambar Syiah Arab. Mengapa kita tidak tahu kewujudan Syiah di Madinah selama ini? Tak pernah dengar pun Syiah Madinah hiris badan dengan pedang? Serupa seperti Syiah Melayu; mereka tidak kacau orang jadi mereka pun halimunan. Juga kerana tiada sarjana ingin mengkaji perihal Syiah Madinah kerana tabu.
Di Masjidil Nabawi, di bawah dataran kubah mekanikal kedua; nama-nama Imam Syiah Dua Belas melekap dengan cantiknya pada dinding masjid. Ia telah berada di situ dengan penuh gaya menemani tok-tok haji. Kalau tuan-tuan berpeluang menunaikan umrah atau haji, silalah ke Masjid Nabi (Raudhah) pada waktu dhuha. Boleh lihat kelibat mereka (Syiah Madinah). Mereka ini kebanyakannya penanam tamar nabi. Ya, khabarnya, tamar nabi yang kita beli berkilo-kilo untuk dibawa pulang ke Malaysia ini kebanyakannya ditanam orang-orang Syiah di Madinah. Tak apalah kan, limau mandarin pun kita makan.

Tiba-tiba adalah kenyataan, "We don't want any religious differences. They are a threat to Muslim unity in Malaysia."
Hairannya di negara berbenih Wahabi pun Syiah boleh tanam dan tuai kurma serta berpakat-pakat elok dengan Sunni. Bukan setakat tanam kurma, mereka boleh buat konferens di kota Mekah al Mukarramah tanpa diserbu.




* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
Published on January 16, 2011 17:00
Ana Maria Matute

Salah satu kaedah pemantapan sastera yang diaplikasikan adalah dengan memberikan anugerah sastera Sepanyol bernama Anugerah Cervantes. Pengiktirafan ini malah dirujuk sebagai 'Hadiah Nobel Sastera Sepanyol'. Ia diberikan oleh kerajaan Sepanyol. Baru-baru ini Menteri Kebudayaan negara tersebut Angeles Gonzalez-Sinde mengisytiharkan pengarang asal Sepanyol, Ana Maria Matute, 85 tahun sebagai penerima terkini.
Matute, pengarang kepada lebih 40 buah novel dan ratusan cerpen bukanlah jaguh kampungan di peringkat sastera Sepanyol sahaja. Usaha memperkenalkan beliau di peringkat antarabangsa (di luar sastera Sepanyol) telah lama dimulakan. Karya beliau boleh diperolehi dan dibaca dalam lebih 20 buah bahasa. Antara yang penting adalah Awakening, The Lost Children, Soldiers Cry By Night dan School of the Sun.
Anugerah Cervantes, bernilai 125, 000 euro (atau 167, 000 dollar), diberikan secara tahunan oleh Kementerian Kebudayaan Sepanyol sebagai satu 'lifetime achievement'. Ia disandarkan kepada nama pengarang terkenal Sepanyol, iaitu penulis karya Don Quixote, Miguel de Cervantes yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Sepanyol baik di negara tersebut mahupun di Amerika Latin. Tahun sebelumnya, penyair Mexico, Jose Emilio Pacheco diberi penghormatan dengan Anugerah Cervantes.
Gaya Matute disebut-sebut sebagai 'lyrical realism' dengan tema-tema yang menjadi pilihan beliau adalah politik termasuklah ketidakadilan sosial dan Perang Saudara Sepanyol (1936-1939).
Apakah yang dimaksudkan dengan 'lyrical realism' sebenarnya? Ia adalah satu pendekatan di mana karya boleh dilihat sebagai satu sentuhan sinematik, perincian segala hal-hal yang kecil serta tetek bengek, karya diisi dengan aksi atau tabiat watak, juga secara terperinci; sementara keutamaan diberikan kepada aksi-aski konkrit berbanding abstrak. Selain itu pelukisan watak dan perwatakan digarap segar, jelas dan melampau, sambil pengarang masuk ke dalam dunia khayal atau lamunan watak secara bebas Aspek paling menonjol dalam pendekatan ini ialah pemilihan diksi yang ultra puitis.

Sebahagian besar pengkritik memuji gubahan perwatakan yang diketengahkan Matute, bersekali dengan plot yang tebal serta strategi penceritaan yang berkesan; bahagian-bahagian klimaks karya Matute sering menggugah rasa dan menimbulkan kesan emosi yang tidak sedikit.
Anugerah Cervantes adalah satu usaha tidak ternilai dalam mengangkat sastera Sepanyol. Di peringkat Sastera Nusantara, anugerah MASTERA mungkin dapat dijadikan sandaran. Akan tetapi, amatlah malang, usaha-usaha menerjemah karya yang memenangi anugerah tersebut masih terlalu lembab. Kerajaan seharusnya tidak lokek mencurah dana terjemahan kepada pihak Institut Terjemahan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan itu sahaja, kesepakatan yang longgar antara negara-negara yang menyertai MASTERA amatlah longgar dan lemah di bawah pentadbiran Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang. Bukan kita tidak punya pengarang besar. Kalau dibandingkan dengan 'lyrical realism' ala Matute, kita memiliki Siti Zainon Ismail dan A. Samad Said, atau Muslim Burmat dari Brunei. Setidak-tidaknya perlu ada usaha gigih dari pihak berwajib untuk mengenengahkan simbol baharu Sastera Nusantara. Ini kerana sejak Pramoedya Ananta Toer dari Indonesia pergi, khalayak sastera dunia seakan-akan terputus hubungan dengan kita sama sekali.
Dewan Sastera Januari 2011.
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.
Published on January 16, 2011 04:19
Faisal Tehrani's Blog
- Faisal Tehrani's profile
- 586 followers
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
